umat islam diseru tolak empat amalan politik negatif

Upload: angkatan-belia-islam-malaysia-abim

Post on 03-Apr-2018

221 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

  • 7/28/2019 Umat Islam Diseru Tolak Empat Amalan Politik Negatif

    1/6

    PENYATAAN SIKAP NGO-NGO ISLAM SEMPENA PRU 13

    TERHADAP BUDAYA POLITIK FITNAH, LUCAH, SAMSENG SERTA RASUAH

    12 April 2013 / 1 Jamadil Akhir 1434H

    Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU 13) bakal menyaksikan persaingan sengit di

    kalangan parti-parti politik utama di negara ini. Keadaan in berlaku berasaskan

    kepada tanggapan bahawa pilihanraya ini bakal mencatatkan hitam putih ataupun

    jatuh bangun negara pada masa akan datang. Signifikasi sedemikian telah

    mengundang minat dan perhatian yang meluas dari pelbagai lapangan serta

    golongan masyarakat.

    Justeru,kami secara serius menanggapi PRU 13 ini tidak sahaja dianggap semata-

    mata sebagai pertembungan untuk mengundang populariti dan kejayaan Siyasiy.Sebaliknya pilihanraya ini memberi makna sangat mendalam ke arah membentuk

    budaya politik serta sosio budaya rakyat di negara ini.

    Kami menegaskan perlunya kita bersama: parti politik, pemimpin masyarakat, alim

    ulama, intelektual, pengamal media dan rakyat seluruhnya, berusaha

    mendaulatkan demokrasi yang bersih dan beretika. Dari itu, kami selaku wakil

  • 7/28/2019 Umat Islam Diseru Tolak Empat Amalan Politik Negatif

    2/6

    Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam utama di negara ini ingin

    mengetengahkan empat saranan utama untuk umat Islam sempena PRU 13 ini:

    1. MENOLAK BUDAYA POLITIK FITNAH

    Dalam era di mana Politic With Brain mula menjadi sebutan dan dambaan ramai,

    kami ingin menggesa agar umat Islam di negara ini menolak sama sekali amalan

    politik fitnah. Gesaan ini bersandarkan pada ayat ke-58 Surah Al-Ahzab yang

    berbunyi:

    Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang

    beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau

    perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka

    sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan

    berbuat dosa yang amat nyata.

    Kami ingin melahirkan keprihatinan kami terhadap berleluasanya budaya politik

    fitnah dalam amalan demokrasi di negara ini. Walaupun ia membuka ruang seluas-

    luasnya untuk semua warga mengekspresikan pandangan serta kritikan, demokrasi

    tidak seharusnya dicemari dengan amalan fitnah yang keji serta akan hanya

    mencemarkan kehormatan dan kesucian akal fikiran manusiawi.

    Seharusnya rakyat ditampilkan dengan pilihan politik secara sihat berupa manifesto

    serta hujah-hujah politik yang rasional serta memenuhi tuntutan asasi rakyat.

    Umat Islam perlu mengetengahkan pendirian ini agar hak mereka selaku rakyat

    tidak dikesampingkan dengan pembodohan berupa fitnah yang tidak mempunyai

    apa-apa signifikasi terhadap kehidupan mereka, sebaliknya membawa kerosakan

    kepada masyarakat.

    2. MENOLAK AMALAN POLITIK LUCAH

    Kami menggesa umat Islam untuk menolak sama sekali amalan politik lucah yang

    cuba dijadikan sebagai alat untuk mendulang populariti siyasiy dalam jangka

    pendek. Kami memandang berat amalan mencipta video, mempertontonkan

    bahan-bahan tersebut serta melakukan pertuduhan zina (ke atas seseorang)

    sewenang-wenangnya di khalayak ramai. Kami mengajak umat Islam untuk

    merenung pengajaran yang dikemukakan menerusi rangkaian ayat-ayat Al-Quran

    seperti:

  • 7/28/2019 Umat Islam Diseru Tolak Empat Amalan Politik Negatif

    3/6

    Orang-orang yang membuat pertuduhan palsu terhadap wanita muminah ,

    Muhsanah yang alpa mereka dilaknat di dunia dan di akhirat . Untuk mereka

    disediakan azab yang sangat besar. (An- Nur: 23) dan

    Orang-orang yang menyakiti mumin lelaki dan muminah wanita mengenai

    perkara-perkara yang mereka tidak melakukannya maka mereka telah melakukanpembohongan dan dosa yang jelas nyata (Surah Al Ahzab : 58)

    Sesungguhnya fitnah zina adalah perbuatan yang sangat keji di sisi syariat Islam.

    Para pelaku serta pendukung amalan politik lucah ini akan mengundang laknat

    berpanjangan selaku golongan Fasiq yang ditolak kesaksian mereka selama-lamanya. Umat Islam perlu mengelakkan implikasi ini dengan menolak amalan

    politik keji ini serta tidak bersubahat mengembangkan mana-mana dakyah

    berkaitan dalam mana-mana saluran media.

    Adalah amat mendukacitakan dalam esak tangis kita meratapi keruntuhan moral di

    kalangan anak muda Islam (terutama sekali amalan zina yang berleluasa), amalan

  • 7/28/2019 Umat Islam Diseru Tolak Empat Amalan Politik Negatif

    4/6

    tersebut dijadikan sebagai modal rujukan untuk mencapai sesuatu perkara atau

    maksud!

    3. MENOLAK AMALAN POLITIK SAMSENG

    Kami menyeru umat Islam untuk menyatakan penentangan mereka secara jelas

    terhadap amalan politik ganas yang sering mewarnai politik negara semenjak

    kebelakangan ini. Pilihanraya seharusnya diraikan sebagai hari kebesaran rakyat.

    Seharusnya rakyat dibiarkan untuk menentukan pilihan yang terbaik untuk diri

    mereka tanpa sebarang ancaman fizikal dan mental.

    Demokrasi membolehkan persaingan dan perbezaan politik dilangsungkan secara

    aman. Amalan politik ganas merupakan bentuk kezaliman dan penindasan yang

    perlu ditolak samasekali berasaskan kepada firman Allah s.w.t menerusi Surah Al-

    Maidah ayat ke-8:

  • 7/28/2019 Umat Islam Diseru Tolak Empat Amalan Politik Negatif

    5/6

    Wahai orang beriman! Hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang

    menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan

    sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada

    tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga)

    kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwa kepada Allah,

    Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu

    lakukan.

    4. MENOLAK AMALAN RASUAH DAN PERAS UGUT

    Kami menyeru umat Islam untuk menolak serta menafikan sekeras-kerasnya

    amalan rasuah serta peras ugut daripada dikenakan ke atas mereka.

    Sesungguhnya amalan itu bertentangan sekali dengan fitrah illahi yang telah

    menetapkan kebebasan mutlak manusia ke atas segala apa yang dikurniakan

    menerusi firman-Nya berbunyi:

    Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri

    mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami

    telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta

    Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk

    yang telah Kami ciptakan. (Al-Isra: 70)

    Amalan rasuah serta peras ugut yang diterjemahkan menerusi pendekatan stick &

    carrot adalah amalan politik tidak berperikemanusiaan. Allah s.w.t telah

    mengurniakan ruang sebebas-bebasnya terhadap segala ciptaan-Nya di dunia ini.

    Manusia hanyalah pemegang amanah serta tidak menzalimi serta menafikan hak

    yang lain untuk menikmatinya.

    Kami khuatir amalan rasuah dan peras ugut ini akan terus membelenggu umat

    Islam dalam ikatan kemiskinan sekiranya ia terus berleluasa. Amalan-amalan

    tersebut adalah bentuk penjajahan baru yang menafikan hak para pengundi untuk

    mendapatkan apa yang terbaik ke atas diri mereka.

    Adalah menjadi harapan agar umat Islam dapat menyuarakan dengan tegas dan

    jelas akan pendirian ini. Sesungguhnya terbentuknya "baldatun tayyibatun wa

    rabbun ghafur bergantung kepada persekitaran serta masyarakat sesebuahnegara.

    Justeru kami menganjurkan agar umat Islam di seluruh negara sempena dengan

    PRU 13 ini untuk sama-sama menunaikan solat hajat secara individu serta

    berjamaah khususnya di sepertiga malam. Partisipasi pada penggerak masjid serta

    surau amat dihargai untuk mempermudahkan umat Islam mengerjakan amalan-

    amalan tersebut.

  • 7/28/2019 Umat Islam Diseru Tolak Empat Amalan Politik Negatif

    6/6

    Kurnia rahmat serta keberkatan Illahi dalam amalan berpolitik hanya akan terjelma

    sekiraya umat Islam menolak sebarang amalan politik yang melangkaui batas yang

    dilandaskan syariah. Semoga PRU 13 ini akan menjelmakan amalan politik murni

    yang tiada celanya terhadap pemikiran serta sosio budaya umat Islam serta rakyat

    di negara ini.

    Berikut adalah senarai NGO yang hadir ke Muzakarah Khas Pendirian NGO-NGO

    Islam terhadap budaya politik fitnah, lucah, samseng serta rasuah:

    Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

    Kumpulan PRIHATIN

    Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)

    Persatuan Hafiz Malaysia (PAHAM)

    Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM)

    Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

    Persatuan Ulama Malaysia (PUM)

    Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA)

    Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)

    Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)