tarikh · web viewmungkin salah satu sebabnya mengapa ibu bapa tidak mahu menerima jika anaknya...

13
HHHC 9501 KEMAHIRAN PEMIKIRAN KRITIKAL, PENYELESAIAN MASALAH DAN PENDEKATAN SAINTIFIK LAPORAN BERKUMPULAN NO . NAMA NOMBOR MATRIK 1. NORSHAHIDAYU BINTI MOHD AZAHARI A 144655 2. NUR HASRA AQILAH BINTI SALLEHUDIN A 144657 3. NURUL NADIA SOFINA BINTI AHMED NORDIN A 144660 4. NUR SAKINA BINTI RAHMAT A 144528

Upload: buikhanh

Post on 07-Mar-2019

220 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

HHHC 9501

KEMAHIRAN PEMIKIRAN KRITIKAL, PENYELESAIAN MASALAH DAN

PENDEKATAN SAINTIFIK

LAPORAN BERKUMPULAN

NO

.

NAMA NOMBOR MATRIK

1. NORSHAHIDAYU BINTI MOHD AZAHARI A 144655

2. NUR HASRA AQILAH BINTI SALLEHUDIN A 144657

3. NURUL NADIA SOFINA BINTI AHMED NORDIN A 144660

4. NUR SAKINA BINTI RAHMAT A 144528

TARIKH : 28 DISEMBER 2015

NAMA PENSYARAH : DR SHOBHA SHARMA

TAJUK:

Perkahwinan pada usia muda dapat meningkatkan prestasi atau gred CGPA pelajar. Setuju atau tidak? Bincangkan.

PENGENALAN:

Isu perkahwinan dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi menjadi perbincangan yang ada pasang dan surutnya. Ibu bapa, penuntut dan masyarakat dewasa mempunyai pelbagai pandangan dan pendekatan dalam menghadapi masalah ini. Terdapat banyak pandangan sinis terhadap mereka yang berkahwin ketika belajar seperti prestasi pelajarannya akan merosot kerana tidak dapat menguruskan masa dengan bijak hingga akhirnya kedua-dua pasangan tercicir dari universiti.

Namun ada juga perubahan positif bagi mereka yang berkahwin semasa belajar, pelajarannya meningkat dengan cemerlang, kehidupannya baik dan rezekinya melimpah ruah. Malah mereka menjadi lebih semangat dalam melakukan tugasan berkaitan pelajaran kerana dapat melakukan tugasan tersebut bersama pasangan.

Ada yang selepas berkahwin, kekal seperti biasa namun berubah menjadi lelaki yang lebih matang dan bertanggungjawab. Walaupun prestasi pelajaran tidaklah meningkat tetapi melihat kematangan dan sifat tanggungjawab yang semakin hebat di sebalik banyak dugaan yang melanda serta sifat tabah yang terbina selepas perkahwinan semasa belajar. Ada juga yang selepas berkahwin semakin gedik, lupa diri dan pasangan hingga akhirnya rumah tangga yang baru dibina berantakan jadinya. Walaupun ketika bercinta seperti belangkas, namun selepas berkahwin beberapa tahun akhirnya bercerai.

Oleh sebab itu, ketika memilih pasangan, pilih yang betul-betul kerana urusan pemilihan pasangan hidup adalah antara keputusan yang paling besar dalam hidup. Sewajarnya masyarakat lebih terbuka dalam membincangkan isu pernikahan kerana arus kehidupan terus berubah dari semasa ke semasa menyebabkan pemikiran dan tindakan golongan muda berbeza mengikut faktor persekitaran, latar belakang pendidikan dan ekonomi.

Perkahwinan yang di bina semasa belajar memerlukan komitmen yang besar dan mementingkan keserasian bersama pasangan kerana ia merupakan kunci kebahagiaan di samping mereka perlu sedar bahawa mereka mempunyai cabaran untuk mengimbangi dalam melaksanakan tanggungjawab menjadi suami isteri dan tanggungjawab menjadi mahasiswa. Banyak cabaran dan dugaan perlu di hadapi dan sikap menjadi faktor utama dalam menentukan jatuh atau turunnya prestasi di dalam pelajaran.

Budaya perkahwinan semasa belajar di IPT di Amerika mengikut satu kajian telah mencapai angka 34,6% bagi perempuan ketika usia 20-24 dan 21,4% bagi lelaki dalam usia tersebut.

Bahkan ada sesetengah pelajar telah berkahwin seawal usia 18 tahun, namun mereka masih meneruskan pengajian mereka di IPT (Hoffman et.al., 1994). Namun, perkahwinan semasa berada dalam umur belajar ini masih belum diterima dengan baik kepada sebahagian besar masyarakat di Malaysia.

Terdapat kajian membuktikan bahawa ada kalangan ibu bapa yang masih belum boleh menerima mahasiswa/i yang ingin berkahwin semasa mereka di IPT (Nor Rashidah Abdul Jamal 2006). Mungkin salah satu sebabnya mengapa ibu bapa tidak mahu menerima jika anaknya yang masih belajar ingin berkahwin adalah disebabkan mereka risaukan akademik anak-anak mereka akan menurun sesudah mereka berkahwin.

CGPA pula bermaksud markah keseluruhan bagi semua semester yang telah dilalui. Jumlah pointer dari semester satu dan akan dicampurkan semua semester sehingga semester akhir. Mahasiswa boleh membaiki gred dengan meningkatkan gred GPA untuk setiap semester. Oleh hal demikian, setiap mahasiswa perlu mengambil inisitif untuk meningkatkan prestasi mereka di dalam pelajaran tidak kira sudah berkahwin ataupun tidak.

Oleh hal yang demikian, kami dengan ini ingin membincangkan mengenai perkahwinan semasa belajar dapat meningkatkan CGPA atau sebaliknya.

HUJAHAN BERSETUJU:

Saya bersetuju dengan kenyataan bahawa berkahwin semasa belajar dapat meningkatkan CGPA. Sememangnya kahwin ketika belajar telah menjadi trend dalam kalangan remaja masa kini dan ia bukanlah suatu isu baharu sebaliknya sudah sinonim dengan kehidupan mereka yang bergelar pelajar.Walaupun ramai yang mengatakan berkahwin semasa belajar lebih banyak negatif daripada positif, saya tetap bersetuju dengan kenyataan tersebut. Hal ini kerana kita dapat meningkatkan motivasi jika pasangan mempunyai keputusan yang lebih baik. Setiap kali menghadapi kegagalan dalam peperiksaan, pasangan boleh memberi sokongan moral dan motivasi kepada anda untuk meningkatkan kembali daya juang dalam pembelajaran untuk berjaya Selain itu, kita juga boleh melakukan perbincangan atau diskusi bersama dan saling bertukar fikiran tentang subjek. Perbincangan bersama pasangan juga dilihat lebih berkesan jika kedua-duanya mempunyai semangat yang tinggi untuk belajar. Perkahwinan semasa belajar boleh menjadi motivasi bagi yang malas belajar, ada yang lebih cemerlang selepas berkahwin. Mungkin hidup bahagia atau tahu tanggungjawab besar yang perlu dipikul. Mampu menghalang diri daripada maksiat, jiwa orang kahwin pastinya lebih tenang daripada gelojak nafsu orang bujang. Fikiran lebih matang untuk memahami erti kehidupan, matlamat, tujuan dan gerak kerja akan datang. Jiwa lebih realistik berbanding dahulunya banyak yang idealistik.

Ingin saya kongsikan dapatan kajian daripada seorang pensyarah daripada Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial, UTM menerusi kajiannya yang bertajuk Perkahwinan Semasa Belajar: Kebaikan dan keburukannya dalam Pembangunan Pelajar Universiti. Antara dapatan kajian beliau ialah perkahwinan semasa belajar merupakan satu cabaran yang menyeronokkan bagi mereka kerana dapat saling membantu dalam pelajaran serta perkahwinan semasa belajar mampu meningkatkan prestasi pelajaran mereka hasil daripada perkongsian teknik belajar, perbincangan tentang subjek pelajaran dan kemudahan yang diusahakan dalam belajar. Perkahwinan semasa belajar di IPT peringkat ijazah pertama juga merupakan satu proses pendidikan yang mematangkan diri menjadi orang dewasa bertanggungjawab.

Dr. Mariani Md Nor, pensyarah Jabatan Psikologi dan Awal kanak-kanak Universiti Malaya pula mengatakan bahawa cinta atau kasih sayang manusia merangkumi elemen tanggungjawab, komitmen dan keghairahan. Jelasnya, cinta di kampus umumnya melibatkan mahasiswa. Seseorang itu memerlukan sokongan sosial dan emosi terutama pelajar. Lumrahnya, pelajar banyak tugasan, masalah dengan kawan serumah, sekolah dan pensyarah. Faktor-faktor inilah yang mendorong mereka mencari bantuan dan sokongan moral. Sokongan moral yang dimaksudkan disini adalah daripada rakan yang dicintai atau lebih tepat, suami/isteri.

Manakala menurut Imam Muda Asyraf pula, perkahwinan ketika sedang belajar itu adalah sesuatu yang tidak perlu dipandang dari sudut negatif sahaja kerana tidak semua yang kahwin ketika belajar itu tidak baik dan tidak semua yang kahwin selepas belajar itu baik kerana ia bergantung kepada situasi seseorang itu.

Jika dilihat dari sudut positif, selepas berkahwin bukankah telah ada orang yang memberikan semangat kepada anda untuk belajar dan berjaya? Bukankah ada orang yang selalu mengingatkan anda tentang pelajaran, tentang tugasan dan tentang kejayaan. Seharusnya rakan “cinta” anda itu boleh memberikan semangat kepada anda untuk berjaya dan cemerlang. Seharusnya anda tidak akan melepaskan peluang untuk berjaya di dalam pelajaran dan pada masa yang sama berjaya di dalam alam perkahwinan.

Tuntasnya, jika mahukan kejayaan di dalam perkahwinan dan pelajaran, waktu perlulah diuruskan dengan baik. Hal ini kerana selepas berkahwin, mereka akan memegang dua tanggungjawab iaitu sebagai isteri atau suami dan juga sebagai pelajar. Mereka perlu memastikan masa mencukupi untuk urusan pelajaran dan hal-ehwal rumahtangga. Jangan terlalu melebihkan alam perkahwinan andai mahu kejayaan dalam pelajaran begitu juga sebaliknya. Sekiranya anda bijak membahagikan masa, tidak mustahil kejayaan dalam pelajaran dan perkahwinan dapat dicapai. Kejayaan dalam kedua-dua bidang dapat membuang mentaliti bahawa perkahwinan merupakan satu halangan dalam pelajaran tetapi perlu dianggap sebagai satu proses kematangan terhadap tanggungjawab.

HUJAHAN MEMBANGKANG:

Tidak dapat dinafikan berkahwin pada usia muda mempunyai banyak kebaikan yang dapat menyumbang kepada peningkatan prestasi dalam pelajaran, namun setiap kebaikan pasti tersirat keburukan. Di sini saya akan menghujahkan beberapa isi penting yang bakal membangkang isi-isi yang dihujahkan sebelum ini.

Berkahwin awal banyak masalah akan timbul. Kebanyakkan kes penceraian yang berlaku di negara ini adalah disebabkan kahwin muda kerana mereka belum matang. Pasangan yang berkahwin muda biasanya mempunyai masalah kewangan kerana status ekonomi si suami muda biasanya belum stabil seusia belasan tahun atau sekitar 20-an. Ini memberikan tekanan hidup dan mula menyebabkan berlakunya masalah rumah tangga.

Persediaan utama adalah memastikan individu itu cukup bersedia untuk menempuh alam rumah tangga. Siap sedia diri untuk mengorbankan segala yang diminati atau tabiat buruk untuk memastikan rumah tangga itu bahagia. Sesetengah orang masih tidak bersedia untuk berkahwin kerana ingin cara hidup yang sama ketika mereka bujang. Sesetengah pasangan yang berkahwin awal ini juga mempunyai masalah merasakan diri masih bujang lalu menyumbang kepada keburukan kahwin muda. Ini disebabkan oleh penerimaan pasangan masing-masing dengan status baru yang dimiliki sekali gus menyumbang kepada kemerosotan prestasi pelajaran disebabkan oleh gangguan emosi.

Rumah tangga mungkin retak akibat pergaduhan sesama pasangan. Pergaduhan semakin memuncak dan tekanan hidup akibat kewangan yang tidak kukuh boleh menyebabkan berlakunya kes penceraian. Suami perlu memastikan diri mereka sanggup mengorbankan diri untuk bekerja lebih masa atau bekerja sambilan bagi pelajar bagi memastikan mereka dapat menampung segala perbelanjaan anda berdua, termasuk anak-anak. Hujah yang ingin disampaikan di sini adalah masalah kewangan yang masih tidak stabil sangat mengganggu kemaslahatan sesuatu institusi perkahwinan sekaligus menyumbang kepada kemerosotan pelajaran dan lebih teruk lagi adalah penceraian.

Secara keseluruhannya rumah tangga cepat bergoncang kerana kurang ilmu, kemahiran dan persediaan.

Orang muda sepatutnya digalakkan fokus kepada apa yang dilakukan seperti belajar, berkerjaya, berjihad dan sebagainya. Bagi mereka yang mampu mengelakkan maksiat, dan mampu menahan diri, bahkan mampu fokus tanpa memikirkan hal-hal kahwin semasa belajar, maka teruskanlah, tidak perlu digalakkan berkahwin kerana akan mengganggu pemuda yang aktif, mengganggu kerja jihad mereka, mengganggu untuk mereka berkelana mencari ilmu, biarkan pemuda yang pasif sahaja berkahwin awal.

Ingatlah! Bagi mereka yang sedang dalam lamunan cinta, fikir-fikirkanlah untuk berkahwin, dan jika masih belum bersedia, jangan sesekali bermain "api". Satu analogi yang saya petik dari sebuah forum islamik untuk seseorang yang bersedia ke arah cinta halal atau yang sedang bercita-cita ke arah itu.

"Untuk menjadi nakhoda, apa yang penting pada mulanya adalah persiapan sebuah bahtera yang lengkap dan berusaha sedaya mungkin untuk melihat dari segenap penjuru tentang keadaan bahtera tersbut, seterusnya, nahkoda juga perlu menyiapkan diri dengan ilmu-ilmu pengendalian bahtera, serta ilmu-ilmu teknikal yang berkaitan, agar dengan membawa masuk anak-anak kapal ke dalam bahtera seterusnya berlayar, dapat menjamin keselesaan mereka semua dan yang pasti setiap bahtera berlainan nahkoda dan berlainan lautan menjanjikan pelbagai peristiwa/dugaan yg bakal ditempuh, dan ini semua diatasi dengan ilmu-ilmu yang telah dilengkapi sebelum ini.."

"Jika hanya mendayung sampan, jangan sesekali menduga lautan dalam, jika hanya persediaan terlalu sedikit, masih belum tetap pendirian dan keyakinan, jangan sekali-kali mencuba untuk memasuki alam perkahwinan yang menanti dengan 1001 warna kehidupan yang mana impian fantasi belum tentu menjadi realiti.."

Nasihat saya, galakkan pemuda mencari ilmu, bukan galakkan mereka berkahwin awal tanpa ilmu."

KONKLUSI:

Hujah bukan pendapat. Pendapat ialah sesuatu yang kita yakini. Oleh itu, ia adalah sejenis kepercayaan. Biasanya kepercayaan itu ialah berkenaan perkara-perkara yang dapat dipertikaikan kerana tidak cukup bukti. Keyakinan jenis inilah yang disebut pendapat. Orang boleh membuat pendapat walaupun dia tidak ada sebarang bukti. Orang juga boleh membuat pendapat berdasarkan bukti yang kuat ataupun bukti yang tidak kuat. Orang mengemukakan hujah dan menilai hujah orang lain kerana dia hendak mencapai suatu pendapat yang rasional, supaya dia dapat membuat keputusan yang bijaksana. Ada pendapat yang bersifat pendapat semata-mata. Ia dilaraskan pada perasaan ataupun sangkaan. Ada juga pendapat yang berdasarkan pada bukti-bukti kukuh dan hujah-hujah yang rasional, serta selepas mengambil kira pro dan kontra perkara berkenaan.

Oleh hal yang demikian, strategi yang paling sesuai untuk menyelesaikan isu yang dibincangkan ialah menyelit juga bukti-bukti yang kukuh dan hujah-hujah yang rasional. Apabila seseorang itu membuat penerangan, dia perlu mengemukakan fakta-fakta yang sebenarnya terjadi. Menilai kesahihan hujah adalah aktiviti penting dalam kehidupan intelektual. Aspek berhujah adalah intipati pemikiran kritikal.

Secara konklusinya, berkahwin atau tidak berkahwin semasa belajar mempunya kebaikan dan keburukannya yang tersendiri. Keburukan dan kebaikannya bergantung kepada individu itu sendiri dan bagaimana untuk mereka menghadapinya. Pelbagai langkah boleh diikuti dalam mencapai kejayaan yang cemerlang semasa berkahwin mahupun tidak. Individu itu sendiri memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan untuk diri sendiri. Isteri ataupun suami hanyalah faktor pendorong yang boleh membantu kejayaan masing-masing jika di bawa kearah yang betul dan kena pada tempat nya.

Selain itu, individu itu sendiri perlulah bersikap positif dan berusaha untuk memajukan diri demi mencapai kejayaan di dalam pelajaran. Sikap memainkan peranan yang penting dalam membawa kehidupan ke tempat yang lebih baik. Sikap yang positif dapat membawa seseorang untuk memperoleh kejayaan dan sebaliknya sikap yang negative mampu menghancurkan seseorang itu.

Perkahwinan merupakan salah satu faktor yang mampu mendorong dan menjatuhkan seseorang bergantung kepada bagaimana seseorang itu menguruskan hidup mereka. Jika seseorang itu mampu membahagikan masa antara pelajaran dan rumah tangga, mereka mampu memperoleh kejayaan dan sebaliknya. Selain itu, usia juga tidak memainkan peranan yang penting jika seseorang individu itu mampu untuk bersikap matang dalam menangani masalah-masalah yang mereka hadapi.

Oleh hal yang demikian, faktor utama dalam menentukan kejayaan adalah sikap individu itu sendiri dan tahap motivasi dalam hidup individu tersebut. Perkahwinan dan sebagainya hanyalah faktor pendorong yang mampu membawa kepada kejayaan mahupun kegagalan.

RUJUKAN:

1. Majidah Mohamed, Nur Hidayah Mustafa. 2015. Kahwin semasa belajar.Utusan Online. http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/kahwin-semasa-belajar-1.99806 [26 Disember 2015]

2. 2010. Cinta kampus hanya mainan?. Utusan Online. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_02.htm [26 Disember 2015]

3. 2010. Bercinta di universiti. Faedahnya. Blog Panduan Perkahwinan Anda.http://sarungcincin.blogspot.my/2010/07/bercinta-di-universiti-faedahnya.html [26 Disember 2015]

 

4. Kamarul Azmi Jasmi. 2008. Perkahwinan Semasa Belajar: Kebaikan dan keburukannya dalam Pembangunan Pelajar Universiti. Kertas kerja Persidangan Pembangunan Pelajar Peringkat Kebangsaan 2008, Universiti Teknologi Malaysia, 22-23Oktober 2008.