pppm
TRANSCRIPT
Soalan 2
Menjelang 2025, setiap kanak-kanak di Malaysia akan mempunyai enam
atribut utama untuk memenuhi keperluan abad ke-21. Guru sekolah berperanan
untuk memenuhi aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
tersebut dalam memupuk identiti nasional dalam kalangan murid-murid. Terdapat
enam Aspirasi Murid dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia iaitu
pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika
dan kerohanian, dan identity nasional.
Dalam atribut pertama iaitu pengetahuan, ini merupakan peringkat yang
paling asas di mana setiap kanak-kanak perlu menguasai kemahiran literasi dan
numerasi. Guru kena sentiasa mendorong murid untuk minat akan belajar dan
menguasai bidang tersebut. Ini penting bagi melahirkan modal insan yang
berpengetahuan kerana literasi dan numerasi merupakan ilmu yang paling asas.
Selain itu, adalah penting bagi setiap murid menguasai mata pelajaran teras seperti
matematik dan Sains. Ini kerana semua tentang kehidupan melibatkan pengiraan
dan alam. Murid juga perlu didedahkan dengan pengetahuan am yang menyeluruh
tentang Malaysia, Asia dan dunia menerusi mata pelajaran Sejarah, Kemanusiaan
dan Geografi. Contohnya dalam mata pelajaran sejarah, guru perlu sentiasa
mendorong murid untuk mempelajari Sejarah kerana ramai murid yang tidak minat
untuk mendalami mata pelajaran ini. Ini penting bagi melahirkan masyarakat yang
patriotisme, membentuk jati diri dan identiti nasional. Contohnya seperti di Negara
Korea dan Jepun, rakyatnya sangat gigih belajar dari kecil dan sentiasa
bersemangat dalam apa jua yang dilakukan. Mereka mencontohi pemimpin-
pemimpinnya yang terdahulu untuk dijadikan contoh dan panduan. Akhirnya, mereka
sentiasa berasa bangga dengan budaya dan cara mereka sendiri. Murid juga
digalakkan untuk menambah ilmu dan kemahiran dalam bidang lain seperti Seni,
Muzik dan Sukan. Dalam bidang seni contohnya, murid bukan tertumpu kepada seni
lukisan sahaja kerana bidang seni itu luas cabangnya. Apabila murid menguasai
bidang ini dengan baik, ianya boleh membantu dalam merealisasikan hasrat PPPM.
Contohnya, dalam seni fotografi, murid boleh mengambil gambar tempat-tempat
menarik di Malaysia dan mempromosikannya di blog, facebook , laman web dan
lain-lain lagi. Sudah tentu masyarakat dunia akan melihat dan ianya dapat
membentuk identiti nasional Malaysia. Dalam bidang muzik pula, murid perlu
didedahkan dengan seni-seni budaya Malaysia seperti dikir barat, caklempong,
angklung, tarian zapin dan lain-lain lagi. Siapa lagi yang akan mempertahankan
budaya bangsa kalau bukan rakyatnya sendiri. Apabila diperkenalkan kepada
masyarakat dunia, tidak mustahil seni muzik di Malaysia akan terkenal di seluruh
dunia di samping mengekalkan ciri-ciri keaslian dan identiti nasional. Dalam bidang
sukan pula, guru perlu menekankan murid dalam sukan-sukan yang boleh dikaitkan
dengan budaya warisan Malaysia seperti sepak takraw, bola sepak dan badminton
Walaupun Malaysia bukanlah Negara yang mengasaskan sukan ini, tetapi Malaysia
pernah terkenal dengan kehebatan dan antara negara yang digeruni oleh negara-
negara yang lain. Sudah tiba masanya untuk generasi sekarang menjadi pewaris
dan pelapis pemain-pemain handalan dunia yang kita miliki seperti Datuk Nicol Ann
David, Datuk Lee Chong Wei, Mokhtar Dahari dan ramai lagi.
Atribut yang ke-2 pula ialah kemahiran berfikir. Setiap murid perlu belajar cara
untuk memperoleh ilmu pengetahuan sepanjang kehidupan mereka (menerapkan
perasaan ingin tahu dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat) untuk
membolehkan murid menghubungkan pelbagai disiplin ilmu. Contohnya apabila di
dalam kelas, guru-guru harus maminkan peranan yang besar dalam
mengembangkan minda murid-murid. Guru juga boleh mengaplikasikan kemahiran
berfikir aras tinggi dalam sesuatu penyelesaian masalah. Lebih penting lagi, dalam
ekonomi berasaskan pengetahuan, mereka mencipta ilmu yang baharu. Setiap
murid perlu menguasai pelbagai kemahiran kognitif termasuk penyelesaian masalah,
penaakulan dan pemikiran kreatif dan inovatif. Contohnya dalam tajuk “pencemaran”
dalam mata pelajaran Sains. Murid dilatih berfikir daripada pertama sekali kejadian
itu berlaku seperti puncanya, apa yang perlu dilakukan, tindakan selanjutnya dan
akhir sekali refleksi mengenai apa yang difikirkan dan apa yang dilaksanakan sama
ada Berjaya atau sebaliknya. Dalam sistem pendidikan, bidang ini kurang diberi
perhatian menyebabkan murid kurang berupaya untuk mengaplikasi ilmu
pengetahuan dan berfikir secara kreatif di luar konteks akademik. Apabila bidang ini
dapat dikuasai dengan baik, murid dapat mengaplikasikannya di luar bilik darjah
seperti penyelesaian setiap sesuatu masalah dan melatih murid merangsang minda
dalam apa jua situasi.
Atribut yang ke-3 pula ialah kemahiran memimpin. Dalam dunia yang saling
berhubung kait, kebolehan untuk memimpin dan bekerja dengan orang lain secara
berkesan adalah sangat penting. Sistem pendidikan negara akan membantu setiap
murid mencapai potensi sepenuhnya dengan mewujudkan peluang yang formal dan
bukan formal, bekerja dalam pasukan dan mengamalkan ciri kepimpinan.
Contohnya, memberi peluang kepada setiap murid untuk memegang minimum satu
jawatan seperti ketua kelas, pengawas, pengerusi kelab, dan ahli jawatankuasa
persatuan. Dengan ini, murid akan dilatih mengenai cara kepemimpinan yang baik
dan dapat diaplikasikan apabila sudah dewasa. Murid akan berasa lebih yakin diri,
meingkatkan kemahiran kepemimpinan, disiplin, interpersonal, dan mempelajari
serba sedikit mengenai selok belok pengurusan dengan baik. Dalam konteks sistem
pendidikan, kepimpinan merangkumi empat dimensi, iaitu keusahawanan, berdaya
tahan, kecerdasan emosi, dan kemahiran berkomunikasi dengan berkesan.
Kesannya, mereka tidak akan berasa kekok atau malu apabila memegang jawatan
yang besar apabila dewasa. Paling tidak pun dalam memimpin keluarga, bangsa,
dan masyarakat tidak kira dari pelbagai latar belakang.
Atribut yang ke-4 ialah kemahiran dwibahasa. Setiap kanak-kanak menguasai
sekurang-kurangnya bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa
perpaduan, serta bahasa Inggeris sebagai bahasa komuniksai antarabangsa.
Dengan tahap penguasaan bahasa ini selepas menamatkan persekolahan, murid
sepatutnya berupaya menggunakan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dalam
persekitaran kerja. Dasar kerajaan dalam Memartabat Bahasa Melayu dan
Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) harus dititik-beratkan. Ini penting untuk
mengekalkan bahasa Melayu itu sendiri sebagai bahasa Ibunda di Malaysia. Di
samping itu juga ianya dapat menjamin kelangsungan dan memartabatkan bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Ini akan mengekalkan ciri-ciri identiti nasional
dalam kalangan rakyat Malaysia itu sendiri. Memperkukuh bahasa Inggeris pula
penting kerana ianya merupakan bahasa ke-2 dan bahasa utama antarabangsa.
Apabila bahasa ini dapat dikuasai, ini akan mempermudahkan perkongsian pintar
iaitu perkongsian ilmu pada peringkat antarabangsa dan global. Kesannya, hasil dari
pinjaman ilmu moden itu tadi dapat diaplikasikan untuk memajukan Negara sendiri
tanpa menggadaikan nilai bahasa Malaysia itu sendiri. Selain itu juga ianya dapat
mengeratkan hubungan Malaysia dengan negara-negara dari seluruh dunia. Di
samping itu, Kementerian akan menggalakkan semua murid untuk mempelajarai
bahasa lain sebagai bahasa tambahan. Contohnya mempelajari bahasa Cina dan
Tamil. Ini juga dapat mempererat dan memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan
masyarakat majmuk di Malaysia. Selain itu juga, murid juga boleh mempelajari
bahasa-bahasa lain yang ada seperti Bidayuh, Kadazan, Murut, Bugis dan lain-lain
lagi. Selain mengeratkan hubungan, ianya dapat juga mempertingkatkan ilmu
pengetahuan dalam pelbagai bahasa.
Atribut ke-5 ialah etika dan kerohanian. Sistem pendidikan akan menyediakan
pengalaman kepada setiap kanak-kanak untuk berdepan dengan cabaran yang
bakal ditempuhi ketika dewasa, agar mereka boleh menyelesaikan masalah dan
konflik secara harmoni, bijak membuat pertimbangan, berpegang pada prinsip ketika
berada dalam situasi yang kritikal, serta berani melakukan sesuatu yang betul. Guru
perlu sentiasa mendidik anak murid dengan adab sopan dan nilai-nilai murni. Di
samping murid mempelajari ilmu-ilmu mata pelajaran, murid juga akan dapat
mempelajari tentang kebaikan nilai murni untuk diaplikasikan dalam kehidupan
seharian. Kesannya, ianya akan membentuk murid yang bersahsiah tinggi dan
berakhlak mulia. Akhlak yang baik juga akan dapat dijadikan contoh kepada
masyarakat antarabangsa. Contohnya di Negara Korea dan Jepun, amat terkenal
dengan sifatnya yang pembersih, cermat, kemas dan lain-lain lagi. Ini kerana aspek
nilai murni sangat diambil-berat oleh rakyatnya dari kecil. Sistem pendidikan juga
berhasrat untuk membentuk individu penyayang yang dapat menyumbang kepada
kesejahteraan komuniti dan negara. Kesannya, kejadian jenayah akan berkurang
dan menjadi role model kepada masyarakat dunia. Selain itu juga, ianya dapat
membuktikan dan menonjolkan Malaysia sebagai Negara Islam dan akan dijadikan
contoh oleh Negara-negara luar yang lain. Contohnya ketika musim haji di Mekah.
Kerajaan Arab Saudi telah memuji Jemaah haji dari Malaysia kerana antara Jemaah
haji yang terkenal dengan sifat sopan-santun dan lemah lembut.
Atribut yang terakhir ialah identiti nasional. Identiti nasional yang kukuh terikat
dengan prinsip Rukunegara yang diperlukan untuk kejayaan masa depan Malaysia.
Setiap murid akan berbangga dikenali sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira etnik,
agama atau status sosioekonomi. Semangat patriotik perlu dipupuk dalam diri setiap
murid dengan cara memahami sejarah negara, dan berkongsi aspirasi yang sama
untuk masa depan negara. Sedari kecil, peranan guru sangat besar dalam mendidik
anak murid untuk cintakan negara. Guru perlu selalu menyedarkan anak murid
bahawa kejayaan dan keamanan yang dikecapi sekarang adalah hasil titik peluh dan
titisan darah pejuang dan pemimpin pada zaman dahulu. Jika tidak, tidak mungkin
Malaysia akan Berjaya seperti skearang. Murid pula akan lebih menghargai dengan
segala nikmat yang dikurniakan Tuhan. Kesannya, rakyat sendiri akan mencintai
identiti Malaysia itu sendiri bahkan mengangkat martabat budaya ke peringkat yang
lebih tinggi tanpa rasa jemu dan malu. Demi mewujudkan identiti nasional yang
sebenar, semangat kukuh cintakan tanah air diperlukan. Identiti nasional akan dapat
dicapai bukan hanya melalui belajar memahami, tetapi juga menerima serta
menghayati hakikat kepelbagaian. Contohnya dalam program Rancangan Integrasi
Murid Untuk Perpaduan (RIMUP). Dengan aktiviti-aktiviti yang dilakiukan, murid
akan dapat lebih penghayatan dalam membentuk identiti nasional. Ini penting bagi
merealisasikan hasrat PPPM.