peranan pemerintah umawi dalam pengukuhan kuasa islam di andalus (138h - 422h)
DESCRIPTION
Tamadun Zaman UmayyahTRANSCRIPT
SEJARAH DAN TAMADUN ISLAM SEHINGGA KEJATUHAN BAGHDAD
(PPPC 6073)
TAJUK :
PERANAN PEMERINTAH UMAWI DALAM PENGUKUHAN KUASA ISLAM
DI ANDALUS (138H - 422H)
DI SEDIAKAN OLEH :
NURUL ATIQAH BT JAMALLUDIN (P57393)
DI SEMAK OLEH :
IZZIAH SURYANI BT. MAT RESAD @ ARSHADROZIAH BT. SIDIK @ MAT SIDEKERMY AZZIATY BINTI ROZALI
JABATAN PENGAJIAN ARAB & TAMADUN ISLAMFAKULTI PENGAJIAN ISLAM
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA2010
1
ISI KANDUNGAN
TAJUK HALAMAN
1.0 PENDAHULUAN 2
2.0 ZAMAN PEMERINTAHAN BANI UMAYYAH DI AL-ANDALUS 4
2.1 Pembahagian Tahap Kerajaan Bani Umayyah Di Al-Andalus 7
3.0 PERANAN PEMERINTAH UMAWI DALAM MENGUKUHKAN
KUASA ISLAM DI AL-ANDALUS (138H-422H) 11
3.1 Pemerintahan dan Politik 12
3.2 Ekonomi 16
3.3 Sosial 18
3.4 Ketenteraan 27
4.0 PENUTUP 30
5.0 RUJUKAN 32
2
1.0 PENDAHULUAN
Bani Umayyah di al-Andalus adalah rentetan dari Bani Umayyah di Damsyik apabila
kerajaan Islam di bawah pemerintahan Khalifah al-Walid ibn ‘Abd Malik yang
merupakan khalifah Bani Umayyah yang kelima berjaya menakluki bumi al-Andalus
melalui gabenornya iaitu Musa ibn Nusayr. Namun, pemerintahan kekhalifahan Islam
yang tersendiri dan berpusat di al-Andalus hanya bermula pada tahun 138H/756M iaitu
setelah ‘Abd al-Rahman I memerintah al-Andalus. Seramai 19 orang amir atau khalifah
Bani Umayyah yang memerintah di al-Andalus. Amir pertama yang memerintah al-
Andalus ialah ‘Abd al-Rahman I (138H-172H) dan khalifah yang terakhir ialah Hisham
III Mu‘tamid (420H-422H). Terdapat juga khalifah yang memerintah sebanyak dua kali
seperti Muhammad II ibn Hisham, Hisham II ibn al-Hakam dan yang lain-lain.
Dalam penulisan ini, penulis membincangkan tentang peranan yang dimainkan
oleh para pemerintah Bani Umayyah di al-Andalus dalam mengukuhkan kuasa Islam di
al-Andalus. Zaman ini turut dikenali sebagai zaman Imarah dan khalifah. Pengukuhan
kuasa sama ada dari aspek pemerintahan dan politik, ekonomi, sosial dan ketenteraan.
Pengukuhan dari semua aspek ini sangat penting kerana melalui aspek-aspek ini sesebuah
kerajaan akan berada di tahap kegemilangan dan berlakunya perkembangan tamadun.
Oleh itu, pemerintah perlu berusaha memainkan peranan penting dalam mengukuhkan
kuasa ini, di samping masyarakat atau penduduk al-Andalus perlu mempunyai sikap
bekerjasama dalam pengukuhan ini. Kerjasama antara pemerintah dan masyarakat akan
membentuk sebuah kerajaan yang kuat dan digeruni oleh kuasa luar.
Pemerintah Bani Umayyah yang ramai di al-Andalus, memainkan peranan yang
tersendiri dalam mengukuhkan kuasa Islam di al-Andalus. Oleh itu, pengukuhan dari
pelbagai aspek hendaklah dilakukan supaya dapat menyumbang kepada kejayaan umat
Islam di al-Andalus. Antara amir atau khalifah yang banyak menyumbangkan peranan
dalam pengukuhan kuasa Islam di al-Andalus ialah ‘Abd al-Rahman I, Hisham I, al-
Hakam I, al-Hakam II dan ‘Abd al-Rahman III. Ini disebabkan mereka mempunyai tugas
3
yang berat untuk membina pengaruh mereka, di samping menyakinkan kepada rakyat al-
Andalus terhadap kebolehan mereka dan seterusnya mendapatkan kepercayaan rakyat
terhadap pemerintahan mereka. Sementara, para amir atau khalifah yang selebihnya
kurang menonjol peranan mereka. Hal ini mungkin disebabkan kurang cekapnya mereka
dalam bidang pentadbiran sehingga tidak dapat membuat sebarang perubahan yang
memberangsangkan. Di samping mereka menghadapi pelbagai pemberontakan dan
peperangan.
Kerajaan Bani Umayyah di al-Andalus mengamalkan sistem autokrasi di mana
khalifah atau amir mempunyai kuasa penuh. Di samping itu, corak perlantikan mereka
menggunakan sistem monarki yang berasaskan keturunan. Pada peringkat awal, para
pemimpin Bani Umayyah hanya menggunakan gelaran amir kerana mereka masih lagi
menghormati khalifah Bani ‘Abbasiyah di Baghdad. Tetapi, setelah ‘Abd al-Rahman III
berkuasa dan negara Islam mencapai kegemilangan mengatasi kerajaan Islam di Timur,
beliau menggelarkan dirinya sebagai khalifah. Beliau menggelarkan diri sebagai khalifah
apabila berjaya menewaskan pemberontakan Leon dan beberapa pemberontakan lain
dalam negeri. Di samping itu, Baghdad diperintah oleh khalifah yang tidak mampu
menangani masalah-masalah negara selepas peninggalan al-Mutawakkil.
Sistem pemerintahan Bani Umayyah di al-Andalus pada keseluruhannya
berdasarkan kepada sistem pemerintahan Bani Umayyah di Damsyik dan Bani
‘Abbasiyah di Baghdad. Tidak ada satu pun yang diambil dari sistem pemerintahan
Visigoth yang memerintah al-Andalus sebelum ini. Orang-orang Kristian sangat berpuas
hati dengan sistem pemerintahan Islam di al-Andalus dengan terus terang mereka berkata
bahawa mereka lebih suka hidup di bawah pemerintahan Islam dari pemerintahan orang
Frank atau Visigoth (Poole 1967: 47).
4
2.0 ZAMAN PEMERINTAHAN BANI UMAYYAH DI AL-ANDALUS
Sebelum pemerintahan Kerajaan Bani Umayyah di al-Andalus al-Andalus diperintah oleh
kerajaan Bani Umayyah di Damsyik. Terdapat seramai 20 orang gabenor yang mentadbir
al-Andalus dari tahun 94H/712M-129H/746M. Gabenor yang pertama ialah ‘Abd ‘Aziz
ibn Musa ibn Nusayr dan yang terakhir ialah Yusuf ibn ‘Abd al-Rahman al-Fihri.
Perpecahan yang berlaku di antara suku Qays dan Kalb merupakan faktor kejatuhan Bani
Umayyah di Damsyik, di samping jurang yang membeza-bezakan antara orang Arab
dengan bukan Arab turut menjadi salah satu faktor ini. Perpecahan ini akhirnya
menyebabkan keluarga Bani Umayyah muncul untuk memerintah al-Andalus pada tahun
756M.
Selepas pemerintahan kerajaan Bani Umayyah di Damsyik, bermulalah kerajaan
Bani Umayyah di al-Andalus. Kerajaan Bani Umayyah di al-Andalus telah didirikan oleh
‘Abd al-Rahman I iaitu selama 32 tahun beliau memerintah. Beliau juga merupakan
orang pertama yang bertanggungjawab terhadap penubuhan kerajaan Bani Umayyah di
al-Andalus. Ini bermakna beliau memerintah sendiri kerajaan tersebut dan bebas dari
kuasa-kuasa luar. Sebelum ini kerajaan Islam di al-Andalus diletakkan di bawah
pentadbiran kerajaan Bani Umayyah di Damsyik yang mewakilkan kepada gabenornya di
Afrika Utara untuk melantik pemimpin atau gabenor di al-Andalus. Tetapi setelah berlaku
perubahan itu, maka kerajaan Bani Umayyah di al-Andalus di bawah pimpinan seorang
amir akan mencari identitinya sendiri.
Pada zaman ini, al-Andalus mula maju, baik dalam bidang politik mahupun dalam
bidang peradaban. Ia adalah hasil daripada sistem ketenteraan yang bersistematik yang
ditubuhkan oleh ‘Abd al-Rahman I. Kemasukan al-Rahman I ke al-Andalus ketika
berlakunya kejatuhan kerajaan Bani Umayyah ke tangan Bani ‘Abbasiyah pada tahun
132H/750M. Kerajaan Bani ‘Abbasiyah telah mengambil tindakan untuk menghapuskan
5
seluruh keturunan Bani Umayyah atas perintah al-Saffah (Ibrahim 1964: 22, 85). Al-
Baladhuri (1959: 271) mencatatkan bahawa al-Saffah mengarahkan keturunan Umayyah
yang bernama Mu‘awiyah, Sufyan dan Marwan dibunuh dengan mengecualikan orang
yang tidak bernama seperti yang telah disebutkan. Pada ketika itulah, ‘Abd al-Rahman I
dapat melarikan diri ke Palestin bersama orang suruhannya iaitu Baldj ibn Bishr dengan
menyertai division tentera Syria ke Elvira dan Jean di al-Andalus. Kemudian, mereka
melarikan diri ke Mesir dan seterusnya ke Afrika Utara. Pelarian ‘Abd al-Rahman I
mengambil masa selama 5 tahun. Setibanya di pantai Ceuta, pantai Selat Gibraltar Afrika
Utara pada tahun 137H/755M, mereka diberi sambutan yang baik oleh orang-orang
Barbar yang mempunyai hubungan darah ‘Abd al-Rahman I (Wasserstein 1985: 16).
Selanjutnya ‘Abd al-Rahman I menghantar Baldj ibn Bishr ke al-Andalus untuk
meninjau sambutan orang-orang Syria. Mereka ini berasal dari Sham yang mana
keturunan terdahulu menjadi penyokong kepada tertegaknya kerajaan Bani Umayyah di
sana di bawah pimpinan Mu‘awiyah ibn Abi Sufyan. Kedatangan seorang lagi keturunan
Bani Umayyah di al-Andalus amatlah dialu-alukan oleh tentera Syria. Ini kerana
kebanyakan pemimpin tentera di sana daripada Bani Umayyah. Mereka telah
mengirimkan sebuah kapal ke Ceuta dengan 20 orang pengiring untuk menjemput ‘Abd
al-Rahman I. Kapal ini mendarat di sebuah kampung berhampiran Elvira (Chejne 1974:
14).
Baldj ibn Bishr telah menghubungi Ubayd Allah ibn ‘Uthman, ‘Abd Allah ibn
Khalid yang merupakan ketua-ketua tentera di Damsyik dan Quinnasrin yang berada di
Afrika Utara. Langkah seterusnya Baldj ibn Bishr mengambik keputusan menentang
Sumayl ibn al-Hatim iaitu seorang yang mempunyai pengaruh di kalangan Qays di al-
Andalus dan mendapatkan pertolongan Bani Umayyah di sana. Baldj ibn Bishr dan
tentera Bani Umayyah berjaya mengepung markas tentera Qays di Saragossa di mana
orang-orang Barbar dan Kalb memainkan peranan penting. Dengan kejayaan ini, akhirnya
al-Sumayl bersetuju menerima ‘Abd al-Rahman I sebagai amir al-Andalus.
6
Walau bagaimanapun, ‘Abd al-Rahman I terpaksa berhadapan dengan Yusuf al-
Fihri iaitu gabenor al-Andalus ketika itu. Yusuf al-Fihri telah menawarkan beberapa
perkara kepada beliau supaya membatalkan hasratnya untuk menakluki al-Andalus.
Perkara tersebut ialah berkahwin dengan anaknya iaitu Umm Musa, diberikan harta dan
penjagaan yang baik untuk hidup aman (Chejne 1974: 14). Namun begitu, ‘Abd al-
Rahman I telah menolak semua tawaran tersebut. Beliau bertolak ke al-Andalus pada
tahun 137H/755M dan mendapat sambutan baik oleh Arab Yaman (Kalb) dan Barbar di
situ. Beliau telah mendarat di Almunakkab di selatan Malaga. Yusuf al-Fihri mendapat
sokongan puak Qays yang dipimpin oleh al-Sumayl. Oleh itu, kedua-dua pihak ini telah
bertempur di Guadaquivir pada tahun 138H/756M yang menyebabkan pasukan Yusuf al-
Fihri tewas dan terbunuh di Toledo, manakala al-Sumayl dihukum bunuh pada tahun
142H/758M (Encyclopaedia 1987: 559).
Kejayaan beliau menawan Almunakkab, Seville, Cordova, Toledo dan akhirnya
dapat menguasai seluruh al-Andalus menyebabkan beliau dilantik menjadi amir di al-
Andalus. Tambahan pula, beliau merupakan keturunan Bani Umayyah dan cucu kepada
khalifah Hisham ibn ‘Abd Malik iaitu khalifah ke-10 kerajaan Bani Umayyah yang
berpusat di Damsyik. Dengan kejayaan itu, ‘Abd al-Rahman I dapat menguasai
Almunakkab, Seville, Cordova, Toledo dan akhirnya seluruh al-Andalus dapat
dikuasainya dan ‘Abd al-Rahman I telah dilantik oleh tenteranya sebagai amir di sana.
Perlantikan tersebut menandakan rasminya golongan Bani Umayyah menguasai
seluruh al-Andalus selepas penaklukan oleh gabenor Bani Umayyah di zaman
pemerintahan Khalifah al-Walid ibn ‘Abd Malik dahulu. Berikutan kejayaan ini, ‘Abd al-
Rahman I dikenali dengan al-Dakhil yang bererti orang yang memasuki negeri al-
Andalus (Al-Maqqari 1968: 329). Khalifah Abu Ja‘far al-Mansur menggelarkan beliau
sebagai Sakr Quraysh (Eagle of Kuraish) (Ibrahim 1964: 131). Selepas beliau meninggal
dunia, tempatnya digantikan oleh anaknya iaitu Hisham I dan seterusnya digantikan oleh
generasi seterusnya.
7
2.1 Pembahagian Tahap Kerajaan Bani Umayyah di al-Andalus
Kerajaan Bani Umayyah di al-Andalus, boleh dibahagikan kepada empat tahap iaitu:
1. Tahap penubuhan dan pengukuhan (138H/756M-238H/852M)
2. Tahap krisis dan pemberontakan (238H/852M-300H/912M)
3. Tahap kegemilangan (300H/912M-366H/967M)
4. Tahap kemunduran dan kejatuhan (366H/967M-422H/1031M)
Selain ‘Abd al-Rahman I, terdapat tiga lagi orang amir yang terlibat dalam
penubuhan dan pengukuhan kuasa Islam di al-Andalus. Mereka terdiri daripada Hisham
I, al-Hakam I dan ‘Abd al-Rahman II, kesemua amir ini merupakan pemimpin yang
berkaliber. Selepas pemerintahan mereka, timbul pula krisis dan pemberontakan yang
berpanjangan yang berlaku selama 60 tahun (852M-912M) yang mana amir yang terlibat
pada ketika ini ialah Muhammad I ibn ‘Abd al-Rahman II, Mundhir ibn Muhammad dan
‘Abd Allah ibn Muhammad. Krisis dan pemberontakan yang berlaku menyebabkan
struktur pentadbiran kerajaan Bani Umayyah menjadi lemah dan kucar-kacir.
Selepas berlalunya zaman krisis dan pemberontakan, kerajaan Bani Umayyah di
al-Andalus telah mencapai era kegemilangannya dalam pelbagai aspek politik, ekonomi,
sosial dan intelektual. Zaman baru ini dianggap sebagai zaman kebangkitan semula
kerajaan Bani Umayyah di al-Andalus. Malahan, pencapaiannya pada tahap ini adalah
lebih hebat dan mengkagumkan. Keadaan sebelum ini dapat dipulihkan dengan kenaikan
‘Abd al-Rahman III dan al-Hakam II pada tahun 912M yang menyandang gelaran
khalifah. Akhirnya, pemerintahan Bani Umayyah di al-Andalus mengalami zaman
8
kemunduran dan kelemahan. Hal ini disebabkan berlakunya perebutan jawatan khalifah
dan ini membuka ruang kepada kuasa-kuasa asing untuk menakluki kota-kota tertentu di
al-Andalus. Khalifah yang terlibat dalam zaman ini ialah Hisham II al-Muayyad Billah,
Muhammad II al-Mahdi, Sulayman al-Musta‘in, ‘Abd al-Rahman IV al-Murtada, ‘Abd
al-Rahman V al-Mustazhir, Muhammad III al-Mustakfi dan Hisham III al-Mu‘tamid.
Sebaik sahaja kerajaan Bani Umayyah di al-Andalus ditubuhkan, para amir atau
khalifah telah menghadapi beberapa masalah. Antara masalah yang dihadapi oleh mereka
ialah:
1. Masalah kerajaan ‘Abbasiyyah dan kerajaan dan kerajaan Fatimiyyah di Tunisia
Afrika Utara. Kerajaan ‘Abbasiyah merasa kurang senang hati dengan penubuhan
kerajaan Bani Umayyah atau satu kuasa lain di dunia di bawah pemerintahan
Islam ketika itu. Sedangkan pada zaman pemerintahan saudaranya iaitu al-Saffah,
Bani ‘Abbasiyah telah bersama-sama melenyapkan kekuasaan dan pengaruh Bani
Umayyah. Tertegaknya sebuah kerajaan Bani Umayyah baru di al-Andalus
pastinya mengecewakan Bani ‘Abbasiyah.
Salah satu usaha yang dilakukan untuk menjatuhkan kerajaan Bani
Umayyah ialah dengan menghantar gabenornya di Afrika iaitu al-Ala’ ibn
Mughith ke al-Andalus bagi memerangi ‘Abd al-Rahman I (Inan 1948: 178).
Akhirnya, berlaku pertempuran antara kedua-dua pihak, tetapi ‘Abd al-Rahman I
berjaya mempertahankan kerajaannya. Oleh itu, ‘Abd al-Rahman I dan
pemerintah seterusnya sentiasa berjaga-jaga bagi menghadapi serangan yang
mungkin berlaku pada bila-bila masa sahaja.Sebagai persediaan bagi menghadapi
cabaran kerajaan ‘Abbasiyah mereka terpaksa menubuhkan sebuah negara yang
kukuh dan maju, sama ada dari segi ketenteraan, pembangunan bandar dan desa,
keagamaan, pertanian dan sebagainya.
Semasa kejatuhan kerajaan Bani Umayyah orang syiah bekerjasama
dengan pemerintah kerajaan Bani ‘Abbasiyah bagi merampas kuasa Bani
9
Umayyah. Selepas mereka berjaya menjatuhkan kerajaan Bani Umayyah dengan
digantikan oleh Bani ‘Abbasiyah. Kerajaan Fatimiyyah adalah penganut Syiah
Ismailiyah tetapi Fatimiyyah Bani Umayyah pula bermadhhab Sunni. Oleh itu,
penganut Syiah menjalankan kempen untuk meluaskan empayar politiknya
berdasarkan motif agama dengan menggunakan para da‘i mereka. Mereka
mendakwa setiap pemimpin Islam mestilah dari keluarga Rasulullah (s.a.w.)
sahaja dan jika berlaku sebaliknya mestilah disingkirkan. Gerakan Syiah ini
mendapat sokongan kaum pemberontak Barbar dan telah menggugat kepimpinan
Bani Umayyah di bawah Khalifah ‘Abd al-Rahman III. Dengan itu, ‘Abd al-
Rahman III berusaha memadamkan pemberontakan kaum Barbar dan mengapi-
apikan pemberontakan terhadap kerajaan Fatimiyyah di Afrika Utara supaya
kerajaan itu sibuk dengan masalahnya sendiri. Selain dari itu, ‘Abd al-Rahman III
menguatkan tentera lautnya untuk mengawasi gerakan tentera Fatimiyyah jika
mereka menyeberangi Selat Gibraltar dan melindungi kawasan pantai al-Andalus.
Akhirnya, kerajaan Fatimiyyah tidak cuba menyerang al-Andalus tetapi
mengukuhkan lagi pengaruhnya di Mesir dan kawasan jajahannya dari Toledo
hingga ke Morrocco.
2. Masalah perpecahan masyarakat. Kepelbagaian kabilah dan fahaman masyarakat
Arab merupakan masalah yang dihadapi oleh ‘Abd al-Rahman I. Fahaman
kekabilahan yang kuat dalam pelbagai tindakan mereka lebih mementingkan puak
masing-masing. Perkara inilah yang berlaku di al-Andalus, penduduknya terdiri
dari pelbagai puak seperti Arab Yaman (Kalb), Aran Utara (Qays), Barbar,
Muwalladun dan masyarakat bukan Islam terdiri daripada penganut Kristian dan
bangsa Yahudi (Mahayudin 1990: 20). Kepelbagaian kaum ini menyebabkan
pemerintah menghadapi masalah untuk menyatukan mereka bahkan sering
berbalah sesama sendiri. Perbezaan mereka bukan sahaja dari segi latar belakang
namun keadaan sosio-ekonomi juga. Kepelbagaian puak ini telah menimbulkan
pemberontakan di kalangan mereka dan ia turut menimbulkan pelbagai masalah
kepada ‘Abd al-Rahman al-Dakhil dan pengganti seterusnya.
10
3. Masalah kerajaan Kristian dan kaum pemberontak Arab (Mahayudin 1990: 19).
Penganut-penganut agama Kristian, khususnya yang menetap di luar al-Andalus
merasa tidak senang dengan tertubuhnya kerajaan Islam di al-Andalus, tambahan
selepas kenaikan ‘Abd al-Rahman I Mereka telah berusaha menjatuhkan kerajaan
Islam di al-Andalus melalui tindakan bersenjata terhadap kerajaan Bani Umayyah
pimpinan ‘Abd al-Rahman I. Terdapat juga beberapa pemimpin Arab dari suku
Qays yang menyertai orang Kristian untuk memusuhi kerajaan Bani Umayyah di
al-Andalus ketika itu. Mereka yang terlibat ialah ‘Abd al-Rahman ibn Habib al-
Fihri dan Abu Sa‘ud al-Fihri. Masalah pemberontakan ini walaupun dapat
diselesaikan tetapi penentangan puak Kristian khususnya terhadap pemerintah
Islam di al-Andalus terus berkembang dari semasa ke semasa.
Berdasarkan permasalahan yang dihadapi oleh para amir atau khalifah ketika
diawal penubuhan dan pengukuhan kerajaan Bani Umayyah di al-Andalus, pelbagai
langkah telah diambil oleh amir-amir yang terawal terutamanya oleh ‘Abd al-Rahman I.
Usaha-usaha bagi mengatasi masalah tersebut boleh dibahagikan kepada beberapa aspek
iaitu aspek politik dan pemerintahan, ekonomi serta perkembangan intelektual dan
pendidikan serta sosial.
Pembinaan sebuah negara baru sudah tentu menghadapi pelbagai cabaran.
Masalah dan cabaran ini kadangkala tidak dapat diselesaikan dalam jangka masa yang
singkat. Demikianlah yang berlaku kepada kerajaan Bani Umayyah di al-Andalus ketika
menghadapi pertelagahan puak dan kaum. Masalah ini tidak dapat diselesaikan pada
zaman ‘Abd al-Rahman I. Begitu juga hal-hal yang berkaitan dengan pembangunan
adalah merupakan proses berterusan dari generasi ke generasi berikutnya. Oleh itu, agak
sukar untuk dipisahkan antara ‘Abd al-Rahman I dan pengganti-pengganti selepas beliau
ketika membincangkan masalah dan cabaran serta langkah-langkah yang di ambil oleh
kerajaan Bani Umayyah bagi menstabilkan dan mengukuhkan kuasa Islam di al-Andalus.
11
3.0 PERANAN PEMERINTAH UMAWI DALAM MENGUKUHKAN KUASA
ISLAM DI AL-ANDALUS (138H-422H)
Secara umum, pemerintahan kerajaan Islam di al-Andalus dilihat sebagai satu
pemerintahan yang mementingkan kecemerlangan ketamadunan dari segi ilmu, sosial dan
masyarakat. Sejarawan pada umumnya mengakui bahawa sebelum Islam membuka al-
Andalus, masyarakat Kristian Eropah hidup di dalam kegelapan dan kejahilan. Ini
bermakna, kedatangan dan era pemerintahan kerajaan Islam telah melonjakkan tamadun
Islam secara keseluruhannya. Oleh itu, pengukuhan kuasa Islam di al-Andalus oleh
kerajaan Bani Umayyah boleh dikategorikan kepada empat aspek iaitu aspek
pemerintahan dan politi, ekonomi, sosial dan ketenteraan.
Para amir atau khalifah perlu memainkan tanggungjawab yang besar bagi
mengukuhkan sesebuah kerajaan. Tahap penubuhan dan pengukuhan sesebuah kerajaan
dianggap sebagai periode yang mencabar kerana mereka perlu membina tapak asas
kerajaan tersebut dengan mencorak pentadbiran itu sendiri serta mereka perlu mendapat
kepercayaan rakyat terhadap pemerintahan yang dijalankan. Oleh itu, gabungan antara
pemerintah dan masyarakat perlu ada dalam kerajaan tersebut bagi memudahkan
pentadbiran itu berjalan dengan lancarnya.
Kemajuan dan kemunduran sesuatu kegiatan dalam sesebuah negara banyak
bergantung kepada sikap dan peranan yang dimainkan oleh pemerintah itu. Dengan itu,
al-Andalus telah berjaya membina sebuah negara yang maju dan bertamadun dalam
pelbagai aspek kehidupan sama ada kerohanian mahupun material. Walaupun, sebuah
12
kerajaan itu baru memulakan tapak penubuhan dan pengukuhan tetapi apabila pelbagai
inisiatif dilakukan bagi memajukan kerajaan maka kerajaan itu akan terus berkembang
maju dari pelbagai aspek. Tetapi akhirnya, sebuah kerajaan yang dibina akan mengalami
zaman kemunduran atau kelemahan yang akhirnya membawa kepada jatuhnya kerajaan
tersebut dan digantikan dengan kenaikan kerajaan seterusnya.
3.1 Pemerintahan dan Politik
Perkembangan politik Bani Umayyah di al-Andalus dibahagikan kepada dua zaman iaitu
era Imarah (755M-912M) dan era Khilafah (912M-1031M). Kerajaan Bani Umayyah di
al-Andalus memerintah mengikut sistem autokrasi di mana pemerintah mempunyai kuasa
penuh. Ini tidak bererti seseorang amir atau khalifah itu sentiasa melaksanakan semua
kerja yang bersangkutan dengan negara. Kadangkala ia dipertanggungjawabkan kepada
orang lain bagi melaksanakannya. Namun begitu, pada teorinya semua urusan
pentadbiran negara sama ada di dalam mahupun di luar adalah tanggungjawab amir atau
khalifah. Amir atau khalifah sekaligus bertindak sebagai ketua negara dan ketua
kehakiman. Sejak institusi khalifah ditubuhkan pada tahun 929M, kuasa dan imej
pemerintah lebih ditonjolkan.
Bagi mengukuhkan kuasa Islam di al-Andalus melalui aspek pemerintahan dan
politik, dapat dilihat bahawa amir yang banyak memainkan peranannya ialah ‘‘Abd al-
Rahman I, Hisham I, al-Hakam I dan ‘Abd al-Rahman II. Kesemua amir ini merupakan
pemerintah semasa tahap penubuhan dan pengukuhan di al-Andalus. Peranan yang
dilakukan oleh para amir dan khalifah Bani Umayyah di al-Andalus dalam mengukuhkan
kuasa dari aspek pemerintahan dan politik adalah seperti berikut.
i. Antara misi yang dilakukan oleh ‘Abd al-Rahman I dalam mengukuhkan kuasa
Islam di al-Andalus ialah ialah menyatukan orang-orang Islam di al-Andalus dari
pelbagai bangsa dan etnik. Beliau cuba menerapkan nilai-nilai Islam dalam semua
13
aspek kehidupan terutama dalam aspek pendidikan (Russel 1987: 45). Beliau turut
melucutkan kekuasaan daripada para pemimpin kabilah yang tidak berwibawa.
Akibatnya, permulaan pemerintahan beliau menghadapi pemberontakan para
pemimpin kabilah yang tidak berpuas hati kerana kedudukan mereka
dipinggirkan.
Bagi mengukuhkan perpaduan pula, beliau telah mengambil semua etnik
dari pelbagai keturunan di al-Andalus menganggotai tentera rasmi negara.
Tindakan ini memberi gambaran baik kepada rakyat dan akhirnya menguatkan
pertahanan negara. Semua bangsa dan kabilah merasa bertanggungjawab menjaga
keamanan dan kestabilan negara. ‘Abd al-Rahman I turut mengambil anak-anak
Eropah yang melarat atau yatim piatu dengan memberikan didikan yang sempurna
kepada mereka yang berlandaskan ajaran Islam. Mereka kemudiannya diserap
menjadi askar Islam. Kesannya, dakwah Islam tersebar dengan baik dan meluas.
ii. Pemerintah Bani Umayyah pada peringkat awal penubuhan dan pengukuhan
kerajaan ini telah menjalankan dasar pemerintahan yang tegas dan mengambil
tindakan segera terhadap sesiapa yang cuba menggugat kestabilan negara. Sebagai
contoh ialah dalam peristiwa yang berlaku pada tahun 797M, semasa zaman al-
Hakam I apabila sekumpulan muwalladun yang cuba menentang kerajaan telah
dihukum bunuh di istana al-Hakam I di Toledo dan mayat-mayat mereka dibuang
ke dalam parit. Peristiwa ini dikenali sebagai “Hari Parit”. Contoh lain ialah
berlakunya pemberontakan di pinggir bandar Guadalquivir iaitu seramai 300
orang pemberontak telah dihukum bunuh oleh al-Hakam I. Peristiwa ini berlaku
pada tahun 818M (Mahayudin 1990: 22).
iii. Dalam sistem pengadilan pula, jawatan qadi atau hakim mempunyai kedudukan
yang istimewa di al-Andalus seperti di negara-negara Islam yang lain Ketua
tertinggi majlis kehakiman ialah amir dan khalifah (al-Maqqari 1968: 103). Ketua
14
qadi dinamakan Qadi Negara. Setiap qadi mestilah mempunyai ilmu yang
mendalam dalam bidang fiqh, diakui sebagai seorang yang lurus dan bersih
hidupnya. Qadi dipilih dari wilayah-wilayah dan daerah-daerah yang diakui
kebijaksanaannya dalam bidang pengadilan. Qadi Negara dipilih oleh amir atau
khalifah sendiri (Ibrahim 1964: 82). Antara tugas-tugas khas qadi ialah mengawal
dan mengendalikan hasil-hasil waqaf dan menyimpan daftar-daftar fatwa dalam
masalah-masalah fiqh serta menyelia solat-solat Jumaat dan solat Hari Raya di
masjid al-Zahra.
Seperti di Baghdad, para ulama Cordova mempunyai pengaruh yang kuat
ke atas amir atau khalifah. Para ulama menjadi penasihat khalifah, khususnya
dalam bidang agama. Oleh sebab itu, sistem pemerintahan Bani Umayyah di al-
Andalus walaupun tidak semuanya berdasarkan undang-undang syariah dan
kadangkala undang-undang syariah ini menjadi halangan kepada perlaksanan
sistem autokrasi yang diamalkan oleh pemerintah. Akan tetapi pada kebiasaannya
para ulama dan sarjana hanya mengikut dan patuh kepada arahan istana. Jesteru
itu, maka lahirlah ramai ulama upahan yang mementingkan pangkat dan
kebendaan (Watt 1963: 108). Para ulama sangat berpengaruh pada zaman al-
Hakam II dan madhhab yang diamalkan oleh kerajaan Bani Umayyah al-Andalus
ialah madhhab Maliki.
iv. ‘Abd al-Rahman I juga berhati-hati untuk melantik pemimpin selepasnya ini
bererti beliau melantik pemimpin yang berkaliber sahaja. Beliau mahu
memastikan pemimpin tersebut benar-benar berkaliber dan mampu memikul
tanggungjawab negara yang masih baru itu. Contohnya beliau melantik anaknya
Hisham I sebagai putera mahkota kerana kebijaksanaannya dan kuat berpegang
kepada agama Islam meskipun Hisham I bukan anak sulungnya.
v. Wujudnya jawatan al-Hajib ketika kerajaan Bani Umayyah mengalami zaman
kemunduran. Di samping tugas amir dan khalifah, terdapat jawatan Perdana
Menteri (al-Hajib). Tugas Perdana Menteri seakan-akan sama dengan tugas
15
seorang wazir di kawasan empayar Islam. Perbezaannya ialah di al-Andalus setiap
al-Hajib mempunyai beberapa orang menteri di bawahnya. Menteri-menteri ini
ditugaskan mengendalikan kerja-kerja pentadbiran yang berpusat di istana
Cordova. Setiap wilayah ditadbir oleh seorang gabenor. ‘Abd al-Rahman III
adalah orang terawal yang menggelarkan wazirnya dengan gelaran dhu al-
wizaratayn yang bererti pemegang dua tugas iaitu ketenteraan dan pentadbiran.
Pada tahun 377H/938M, beliau menggelar Ahmad ibn ‘Abd Malik ibn Shahid
dengan gelaran dhu al-wizaratayn (Ibrahim 1964: 42).
Pada masa yang sama, pengaruh al-Hajib ini turut menyumbangkan
kepada kelemahan pentadbiran kerajaan. Hal ini berlaku semasa pemerintahan
Hisham II al-Muayyad Billah, bermulalah pengaruh al-Hajib atau Perdana
Menteri dalam kerajaan Islam di al-Andalus. Perlantikan ini berikutan
ketidakupayaan Hisham II untuk memerintah kerana pada ketika itu beliau baru
berusia 10 tahun (Ibn Athir 1965: 677). Zaman pemerintahan Hisham II ini
berada dalam keadaan kucar-kacir dan lemah, hal ini disebabkan berlakunya
perebutan jawatan khalifah dan diselangi dengan pengaruah-pengaruh al-Hajib
yang memegang kuasa khalifah. Tidak ada perubahan yang dapat dilakukan pada
zaman pemerintahan Hisham II dan khalifah seterusnya kerana mereka sering
menghadapi masalah dalam negeri. Zaman-zaman berikutnya khalifah-khalifah di
al-Andalus bersilih ganti dan bertanding sesama sendiri bagi merebut kuasa di
Cordova.
Contohnya, khalifah Muhammad II menghadapi tentangan daripada
Sulayman al-Musta‘in. Khalifah ‘Abd al-Rahman IV menghadapi tentangan
daripada penduduk Cordova dan memerintah tidak sampai setahun. Khalifah ‘Abd
al-Rahman V pula memerintah selama 47 hari sebelum dirampas oleh
Muhammad III iaitu dua pupunya sendiri dan kemudian beliau dibunuh.
Manakala pemerintah Bani Umayyah di al-Andalus yang terakhir ialah Hisham
III al-Mu‘tamid telah dipecat. Hal ini kerana, wazir beliau iaitu Hakam ibn Sa‘id
16
al-Qazaz melakukan diskriminasi terhadap kaum Barbar. Setelah Hisham II
dipecat maka tidak lagi pemimpin Bani Umayyah di al-Andalus lagi. Sejak itu
bermulalah pemerintahan raja-raja puak di al-Andalus sehingga membawa
kejatuhan kerajaan Bani Umayyah di al-Andalus dan lahirlah pelbagai kerajaan
kecil yang berpemerintahan sendiri bermula dari tahun 422H/1031M yang
dikenali sebagai Muluk al-Tawaif. Penguasaan Muluk al-Tawaif di al-Andalus
ini sekaligus melenyapkan kerajaan Bani Umayyah di al-Andalus.
vi. Mengadakan beberapa ekspedisi ke bahagian utara Sepanyol. Contohnya,
ekspedisi di zaman pemerintahan Hisham I ke Narbonne yang terletak di utara al-
Andalus pada tahun 177H/793M dan ke Galica pada tahun 179H/759M
(Encyclopaedia of Islam 1987: 1005). Matlamat ekspedisi ini adalah untuk
mengukuhkan kestabilan negara supaya tidak diancam oleh musuh-musuh luar.
Walaupun kedua-dua ekspedisi ini tidak banyak mencapai kejayaan, tetapi
kedudukan pemerintah Bani Umayyah di al-Andalus pada ketika itu sudah cukup
kuat khususnya selepas kenaikan ‘Abd al-Rahman II. Al-Hakam I juga banyak
membuat ekspedisi penaklukan termasuk ke Perancis. Dengan ini al-Hakam I
digelar sebagai al-Fatah (penakluk).
vii. Selain itu, bagi mengeratkan hubungan diplomatik di antara pemerintah dengan
negara-negara eropah seperti Jerman, Itali, Perancis dan England ‘Abd al-
Rahman III telah membina Istana al-Zahra. Tujuan Istana al-Zahra ini dibina
ialah untuk mewujudkan hubungan diplomatik di antara negara yang mana negara
eropah telah menghantar duta diplomasi ke Cordova. Ramai perutusan diplomatik
dan wakil pendidikan yang diterima oleh ‘Abd al-Rahman III.
3.2 Ekonomi
17
Kemajuan ekonomi merupakan faktor penting bagi pembangunan sesebuah negara.
Tamadun tidak akan berkembang di negara miskin dan mundur. Oleh itu, pengukuhan
dari aspek ekonomi amat penting dalam sesebuah kerajaan. Ringkasnya, ekonomi di al-
Andalus berkembang pesat semenjak pemerintahan Islam dijalankan di sana. Kedatangan
Islam telah membawa masuk kemajuan pertanian dari Timur. Jenis tanaman yang dibawa
masuk seperti limau, beras, gula, tebu dan kapas (Watt 1977: 51).
Orang Islam pada zaman Bani Umayyah sangat aktif dalam bidang perniagaan dan
perdagangan. Malahan kedua-dua bidang ini meupakan sumber utama kemakmuran al-
Andalus. Mereka menjalankan perniagaan hingga ke Perancis di bahagian utara dan
Afrika Utara di bahagian selatan. Industri dan perusahaan bandar turut berkembang bagi
menampung keperluan penduduk setempat. Semakin ramai penduduk semakin banyak
industri san semakin besar gedung-gedung perniagaan dan semakin bertambah pula
pendapatan negara hasil cukai yang dikenakan ke atas perniagaan mereka.
Oleh kerana kedudukan dan pengaruh ekonomi orang Islam yang kuat
menyebabkan banyak istilah Arab masih dipakai dengan pengubahsuaian dalam bahasa-
bahasa Eropah. Contohnya perkataan aduana (Perancis: douane) bererti rumah kastam
diambil dari perkataan Arab Diwan. Seorang ahli sejarah ekonomi al-Andalus pada
zaman Islam berkata: “Jika orang utara ingin mencapai kejayaan cemerlang dalam
bidang sains, perubatan, pertanian, perindustrian atau kehidupan yang bertamadun, ia
mesti belajar di al-Andalus” (Heaton 1948: 78). Peranan yang dilakukan oleh para amir
dan khalifah Bani Umayyah di al-Andalus dalam mengukuhkan kuasa dari aspek
ekonomi adalah seperti berikut.
i. Bagi memacu kekuatan ekonomi negara, ‘Abd al-Rahman I telah mendirikan
tempat untuk menempa wang rasmi negara. Tindakan ini memberi kesan positif
terhadap kepercayaan peniaga yang datang dari segenap pelusuk dunia (Rosli
2009: 73).
18
ii. Selain itu, begi mengukuhkan kekuatan ekonomi, pemerintah kerajaan Bani
Umayyah telah memperkenalkan sistem perairan yang teratur. Hisham I telah
memperbaiki sistem perparitan dan tali air bagi memajukan sektor pertanian.
Dengan wujudnya sistem perairan yang teratur ini menyebabkan hasil pertanian
bertambah, serta berupaya membekalkan buah-buahan dan sayur-sayuran serta
bahan-bahan makanan segar pada sepanjang tahun (Mahayudin 1990: 50). Antara
jenis tanaman yang terkenal pada waktu itu ialah limau, tebu, padi dan kapas.
Benih-benih tanaman ini dibawa dari negara-negara Islam di timur. Dari segi
pertanian, al-Andalus merupakan negara yang paling maju dalam bidang ini jika
dibandingkan dengan kawasan-kawasan takluk Islam yang lain.
iii. Semasa pemerintahan ‘Abd al-Rahman II, polisi negara yang mesra rakyat turut
menarik minat pedagang, kedatangan mereka ke sana telah membawa kepada
pertumbuhan ekonomi yang baik. Di zaman pentadbirannya, pencapaian ekonomi
negara Islam al-Andalus amat tinggi. Perniagaan berjalan dengan baik sekali, ahli
sejarah sepakat mengatakan bahawa pada zaman pemerintahan al-Hakam II
fenomena peminta sedekah jalanan tidak wujud sama sekali (Rosli 2009: 77).
iv. Semasa pemerintahan ‘Abd al-Rahman III, kedudukan ekonomi pada masa
pemerintahan beliau berada dalam keadaan yang baik dan stabil. Simpanan negara
mencecah 6 juta dinar emas. Beliau telah membahagikan perbelanjaan negara
kepada tiga bahagian iaitu dibahagikan untuk peruntukan ketenteraan, pembinaan
dan infrastruktur serta wang simpanan di dalam perbendaharaan negara.
Punca pendapatan lain ialah dari harta-harta rampasan (ghanimah), hasil
cukai tanaman, galian dan perindustrian, jizyah dan kharaj (al-Marrakushi t.th:
231). Dari cukai tanaman inilah ‘Abd al-Rahman III membahagikannya kepada
tiga bahagian. Hasil cukai tanaman diambil dari pekan-pekan kecil dan kampung-
kampung. Contohnya, lima juta dinar dari pecan kecil, 450000 dinar dari kampung
dan 65000 dinar dari cukai pasar (al-Marrakushi t.th: 231-232). Beliau turut
19
memberi penekanan terhadap perlombongan emas, perak dan tembaga. Selain itu,
pembuatan kulit binatang, pembuatan kapal, ubat alat pertanian juga dijalankan di
al-Andalus. Terdapat pasar-pasar khas yang membekalkan barangan tertentu
seperti bunga, tembaga, daging dan lain-lain.
3.3 Sosial
Kemajuan dan kemunduran sesuatu kegiatan dalam sesebuah kerajaan banyak bergantung
kepada sikap dan peranan yang dimainkan oleh pihak pemerintah itu sendiri. Demikian
juga, pengukuhan dari aspek sosial yang perlu dilakukan. Aspek sosial merangkumi
pembinaan bandar dan perkembangan intelektual dan pendidikan. Pemerintah-pemerintah
Bani Umayyah di al-Andalus sangat meminati bidang ilmu pengetahuan sehingga mereka
menjemput dan mengumpul ramai golongan intelektual dari pelbagai tempat di al-
Andalus. Kegiatan ilmu pengetahuan dibentuk melalui sistem pelajaran yang intensif,
membawa masuk buku-buku, guru-guru dan sarjana-sarjana dari timur ke al-Andalus di
samping menghantar para pelajar ke timur bagi mempelajari segala bidang ilmu
pengetahuan.
Pendidikan adalah merupakan bidang penting yang berkembang pada zaman
kerajaan Bani Umayyah di al-Andalus. Walaupun tidak ada suatu sistem pendidikan yang
percuma seperti yang terdapat pada hari ini, namum kegiatan penyelidikan dan
pembelajaran amatlah digalakkan oleh kerajaan Bani Umayyah di al-Andalus. Salah satu
galakan yang diberikan oleh mereka ialah mendirikan masjid-masjid sebagai tempat
beribadat dan tempat menimba ilmu pengetahuan. Di samping itu, mereka memberi
galakan kepada para ilmuan, sama ada dari dalam atau luar al-Andalus, Arab atau bukan
Arab datang mengajar di masjid-masjid tersebut. Penyebaran ilmu pengetahuan banyak
berlaku selepas zaman ‘Abd al-Rahman I.
Antara peranan yang dimainkan oleh pemerintah Bani Umayyah di al-Andalus dalam
pengukuhan aspek sosial adalah seperti berikut.
20
i. ‘Abd al-Rahman I telah mengadakan pelbagai pembangunan dalam negara sama
ada dari segi fizikal atau mental. Contohnya beliau telah membina masjid
Cordova pada 170H/786M sebagai pusat ibadat dan pendidikan. Dari situ beliau
memberikan perhatian kepada perkembangan ilmu dan memuliakan agama.
Beliau juga berusaha membangunkan bandar-bandar dengan dilengkapi masjid,
rumah-rumah, tempat mandi awam, kedai-kedai dan rumah tumpangan untuk
orang kenamaan (Salam 1962: 213).
‘Abd al-Rahman I amat memberi perhatian kepada bandar-bandar yang
berada di bawah naungannya. Setelah bandar-bandar dan kubu-kubu dapat
dirampas semula dari tangan pihak musuh, beliau akan memberi peruntukan yang
besar untuk membaiki dan menjaganya dengan baik. Dengan itu musuh tidak lagi
dengan mudah dapat mengalahkan pertahanan tentera Islam.
Seni sastera di al-Andalus sudah tumbuh dan berkembang sejak zaman
‘Abd al-Rahman I lagi iaitu pada abad ke-8M. Beliau sendiri seorang yang
terpelajar dan sangat meminat seni syair. Malahan beliau sendiri telah
menghasilkan beberapa bait syair. Antaranya menyentuh tentang kerinduan beliau
terhadap negeri asalnya (Syria) (Nicholson 1930: 418). ‘Abd al-Rahman I adalah
orang yang bertanggungjawab terhadap perkembangan kesusasteraan di al-
Andalus.
Beliau telah memberi sokongan kuat dan pertolongan yang banyak kepada
ahli-ahli sastera yang kebanyakannya datang dari bahagian timur empayar Islam
sebagai orang pelarian. Penyair paling terkenal pada zaman beliau ialah Abu al-
Makhsyi. Beliau pernah mendapat ganjaran sebanyak 2000 dinar dari ‘Abd al-
Rahman I kerana mencipta sebuah syair tentang orang buta (Irvin 1962: 140).
Pada zaman ini juga lahir tukang-tukang cerita di pasar-pasar perniagaan yang
menceritakan hal-hal yang diceritakan dalam kisah seribu satu malam dan kalilah
21
wa dimnah. Kisah-kisah ini adalah dongengan yang menggunakan binatang
sebagai watak bagi tujuan untuk memberi pengajaran moral. Dari kisah inilah
akhirnya mempengaruhi negara-negara Eropah yang kemudiannya melahirkan
kisah Reynard dan Bocaccacio dan Cahucer (Irvin 1962: 141).
ii. Pembahagian sistem pendidikan. Sistem pendidikan pada zaman Bani Umayyah di
al-Andalus terbahagi kepada tiga tahap iaitu rendah, menengah dan tinggi. Pada
peringkat rendah (ibtida’iyah) para pelajar diajar membaca al-Qur’an dan
tatabahasa Arab. Manakala para guru yang mengajar tidak diberi gaji tetap, tetapi
hanya sekadar menerima elaun dari yuran yang dibayar oleh murid-murid secara
sukarela. Murid-murid ini turut diajar menulis dengan menggunakan pena dan
dakwat dan mereka menulis di atas kayu licin yang boleh dipadam dengan kain
kesat. Pendidikan secara rendah ini dilakukan secara terbuka.
Peringkat menengah (thanawiyah) pula dijalankan secara persendirian dan
tidak mempunyai sukatan pelajaran yang tetap. Dengan sebab itu, sukatan
pelajarannya berbeza-beza antara satu sekolah dengan sekolah yang lain, ada yang
rendah dan ada yang tinggi. Bagi yang tinggi hanya terhad kepada para pelajar
yang bijak dan berminat sahaja. Mata pelajaran yang diajar ialah tatabahasa,
sastera, sejarah, Hadith, fikah, ilmu kesihatan praktikal, matematik, astronomi,
akhlak, metafizik dan khat. Pelajar yang lulus akan dikurniakan diploma atau
ijazah dan ditauliahkan mengajar mata pelajaran yang dipelajarinya.
Peringkat tinggi atau universiti mula diwujudkan pada zaman Hakam II.
Institusi pengajian tinggi ini diwujudkan secara informal yang dikendalikan oleh
sekumpulan professor. Ia hanya mengendalikan kursus-kursus di peringkat
lepasan ijazah dan berpusat di Cordova dan Toledo. Kedua-dua tempat ini
merupakan pusat pendidikan utama bagi siswazah-siswazah di barat Eropah pada
ketika itu (Irvin 1962: 138-139).
Kemudahan-kemudahan pendidikan seperti buku, alat-alat tulis dan lain-
lain telah disediakan dan mudah diperolehi di Cordova. Di Cordova terdapat
22
kilang-kilang kertas, di samping itu, ada juga kertas-kertas yang diimport dari
negeri China (Irvin 1962: 142). Dengan adanya kemudahan-kemudahan ini,
wujudnya persaingan dengan kerajaan ‘Abbasiyah di timur dan kerajaan-kerajaan
Kristian di barat menyebabkan sektor pendidikan cepat berkembang di al-
Andalus. Oleh itu, pendidikan dapat melahirkan ramai intelektual dalam pelbagai
bidang yang mana mereka ini dapat mentadbir kerajaan Islam dengan baik.
iii. Antara peranan yang dimainkan oleh Hisham I dalam mengukuhkan kuasa Islam
di al-Andalus ialah beliau bertanggungjawab menyebarkan ilmu dan
mengukuhkan Bahasa Arab di al-Andalus sehinggakan Bahasa Arab turut diajar
dipusat pengajian orang-orang Yahudi dan Kristian yang terletak di kawasan
wilayah pentadbiran Islam sekitar al-Andalus (Rosli 2009: 74). Orang-orang
Yahudi dan Kristian ini dibenarkan mengamalkan agama mereka dengan bebas
dan turut serta dalam pentadbiran negara. Sikap toleransi yang ditunjukkan oleh
Hisham I dapat mengurangkan polarisasi kaum yang berbilang agama dan bangsa.
Bagi menyatupadukan orang-orang Islam yang pelbagai keturunan Hisham I
menggunakan lambang jihad dalam peperangan. Jihad ialah peperangan suci
dengan nama Islam, tidak kira bangsa atau keturunan bagi menentang orang-orang
kafir.
iv. Semasa pemerintahan ‘Abd al-Rahman II, pelbagai insentif diberikan kepada
ulama dan cendekiawan. Beliau mendirikan perpustakaan Cordova dan
memenuhinya dengan buku-buku yang berharga. Semasa pemerintahan beliau,
ulama mendapat tempat yang begitu tinggi dan dipandang mulia. Dengan usaha
yang dilakukan itu menyebabkan para cendekiawan berpeluang melakukan
banyak penyelidikan dan hasil penemuan baru dapat ditemui (Rosli 2009: 77).
‘Abd al-Rahman II juga telah mengasaskan perpustakaan Cordova di awal
pemerintahan beliau. Perpustakaan ini kemudiannya diperbesarkan lagi oleh
khalifah ‘Abd al-Rahman III. Perpustakaan ini memiliki ratusan ribu kitab dalam
23
ratusan ribu judul. Putera beliau iaitu Muhammad dan al-Hakam II dikatakan
memiliki koleksi buku masing-masing di perpustakaan ini (Imamuddin 1965:
140). ‘Abd al-Rahman II turut membina bangunan-bangunan di al-Andalus
dengan seni bina yang bermutu tinggi. Taman-taman, jalanraya yang maju turut
dibina berbanding kota Eropah yang lain ketika itu.
Intensif yang diberikan kepada ulama dan cendekiawan serta pembinaan
bangunan iaitu perpustakaan Cordova telah menarik orang luar dari al-Andalus
untuk datang ke al-Andalus. Di samping, para ulama dan cendekiawan akan
bersungguh-sungguh melaksanakan tugas mereka bagi mengukuhkan kuasa Islam
tanpa paksaan melakukannya. Peranan ulama dan cendikiawan amat penting
terutama dari segi intelektual yang man ia mempengaruhi pentadbiran sesebuah
kerajaan.
v. Al-Hakam II lebih menumpukan perhatian kepada pembangunan intelektual dan
ini menyebabkan beliau mengasaskan sebuah perpustakaan Umawi. Perpustakaan
ini merupakan perpustakaan terbesar di zaman pertengahan dan lebih besar dari
perpustakaan Cordova. Pada pemerintahan beliau juga, terdapat 70 buah
perpustakaan awam tidak termasuk perpustakaan Cordova dan seribu buah
institusi pengajian tinggi yang terdapat di semua bandar yang mempunyai
perpustakaan masing-masing. Beliau memperuntukkan wang yang banyak untuk
membeli buku-buku dari luar wilayah al-Andalus.
Al-Hakam II turut melantik para pekerja khususnya bagi mendapatkan
buku-buku terbaru dari seluruh pelusuk dunia. Naskhah pertama buku karangan
sarjana terkenal ketika itu ialah al-Asfahani telah dibeli oleh beliau dengan harga
seribu dinar yang bertajuk “al-Aghani” dan diletakkan di perpustakaan Umawi.
Buku-buku yang dibeli dibuat salinan kerana pada masa itu tiada undang-undang
hakcipta dan siapa yang membeli buku maka ianya boleh dibuat naskhah
peribadinya. Bagi tujuan itu, Al-Hakam II menggunakan tenaga wanita-wanita al-
24
Andalus yang terkenal dengan tulisan yang cantik. Hal ini kerana kaum lelaki
sibuk dengan kerja-kerja luar sama ada berdakwah, berjihad melawan musuh dan
pembangunan negara yang lain (Rosli 2009: 95).
Selain itu, al-Hakam II menggalakkan rakyat al-Andalus belajar di Timur
Tengah terutamanya di Kaherah, Baghdad dan Damsyik untuk mendalami ilmu
perubatan, arkitektur dan sains tulen. Para pelajar juga digalakkan membeli dan
membawa balik buku-buku ke al-Andalus setelah tamat pengajian mereka
(Hairudin 1992: 94). Kemasyhuran al-Andalus dalam bidang ini membuatkan
gereja Rome Itali membeli kertas dan peralatan tulisan dari Andalus bagi
menyalin semula kitab Injil. Seterusnya, barangan keluaran al-Andalus itu turut
diimport oleh negara-negara Eropah yang lain. Al-Hakam II terus membesarkan
perpustakan Umawi sehingga mampu menerima para pengunjung yang ramai.
Bagi meluaskan penguasaan ilmu kepada rakyat al-Andalus, al-Hakam II
telah menubuhkan pusat pengajian percuma bagi mereka yang kurang
berkemampuan. Banyak anugerah yang diberikan kepada pelajar yang akhirnya
matlamat untuk menjadikan buta huruf pandai membaca, menulis. Al-Hakam II
telah mengasaskan Universiti Cordova. Sebelum universiti itu ditubuhkan, para
cendekiawan Islam mengajar sambil bekerja. Ini kerana tenaga pengajar tidak
diberikan ganjaran rasmi yang mampu menampung perbelanjaan hidup mereka.
Namun demikian, setelah wujudnya Universiti Cordova, al-Hakam II telah
menyediakan gaji tetap bagi setiap tenaga pengajar. Tindakan bijak ini memberi
peluang kepada para cendekiawan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada
tugas penyelidikan dan penyebaran ilmu. Di samping itu, pengajian ilmu bahasa
turut berkembang hasil dari pengajian tatabahasa al-Qur’an ketika zaman al-
Hakam II. Hal ini mempengaruhi rahib Yahudi untuk menyusun semula
pengajaran kitab Taurat mengikut model pengajian Bahasa Arab. Pengajaran ilmu
Hadith pula telah mendorong pengajian sejarah.
25
Berdasarkan usaha yang dilakukan oleh al-Hakam II dalam mengukuhkan
kuasa dari aspek keilmuan, tindakan beliau menggalakkan rakyat menuntut ilmu
di Timur Tengah dapat melahirkan ramai cendekiawan yang mahir dalam pelbagai
bidang yang mana para cendekiawan ini merupakan pelapis pemerintahan pada
masa akan datang. Manakala perpustakaan yang diasaskan oleh beliau turut
menyumbangkan peranan besar kerana bahan-bahan yang ada di dalamnya
berautoriti dan berharga yang mana dapat menarik perhatian orang luar untuk
datang belajar di negara Islam.
vi. Antara peranan yang dimainkan ‘Abd al-Rahman III dalam mengukuhkan kuasa
Islam di al-Andalus ialah memperkuatkan kerajaannya dari segi moral dan
material. Contohnya usaha yang dilakukan oleh beliau ialah membina Istana al-
Zahra yang melibatkan 10000 orang pekerja dan disiapkan dalam masa 25 tahun
(Chejne 1974: 366). Istana ini dibina bagi menyambut ketibaan tetamu negara
yang sememangnya menjadi perhatian dunia disebabkan kekuatan dan
kemakmuran negaranya.
Kerajaan-kerajaan Eropah berlumba-lumba membuat lawatan dan
perjanjian dengan kerajaan Islam al-Andalus di istana al-Zahra. Banyak hadiah-
hadiah yang dibawa dan dihadiahkan kepada beliau. Antara hadiah yang terbesar
adalah sebuah batu permata besar yang dihadiahkan kepada beliau dan diletakkan
di tengah-tengah ruang istana al-Zahra. Negara-negara Eropah seperti Jerman,
Itali, Perancis, England telah menghantar duta diplomasi mereka ke Cordova.
Begitu banyak perutusan diplomatik dan wakil pendidikan yang diterima oleh
beliau. Antaranya ialah perutusan dari raja Inggeris yang memohon ‘Abd al-
Rahman III membenarkan 4 orang rakyat England belajar di perpustakaan
Cordova. Perutusan raja England itu diakhiri dengan kata-kata raja England:
“Dari pembantumu yang sentiasa mentaati, raja England.”
Philip K. Hitti menyifatkan ‘Abd al-Rahman III seorang yang mempunyai
ketabahan, keberanian dan keikhlasan yang tiada tolok bandingnya dalam semua
26
zaman (Commire 1994: 1). Beliau juga dikenali sebagai pengasas kedua kerajaan
Bani Umayyah di al-Andalus selepas ‘Abd al-Rahman I.
vii. Kumpulan ulama Maliki telah dibentuk dengan rasminya oleh kerajaan Bani
Umayyah dan mereka inilah yangg menjadi penasihat kerajaan dan mahkamah
(Mahayudin 1990: 56). Aktiviti mereka ini dianggap sebagai aktiviti intelektual
yang terpenting dalam bidang keagamaan pada zaman Bani Umayyah di al-
Andalus. Boleh dikatakan hingga akhir abad 10M bidang kajian Islam yang paling
berkembang di al-Andalus ialah fikah madhhab Maliki. Di samping itu, ilmu-ilmu
agama yang lain seperti Hadith, tafsir dan ilmu kalam turut diajar dan
dikembangkan. Begitu juga tatabahasa Arab dan perkamusan turut dipelajari.
Mengenai ilmu-ilmu duniawi pula ialah falsafah, perubatan, astronomi dan
matematik pada zaman al-Hakam II dan selepasnya. Bidang sejarah dan biografi
tidak kurang juga pentingnya tetapi bidang ini masih di peringkat tempatan.
Dari segi intelektual bidang yang paling berkembang maju pada zaman
tersebut ialah bidang syari‘ah iaitu hukum-hukum agama Islam yang berdasarkan
al-Qur’an dan Hadith. Di samping itu, ia juga berdasarkan kepada qiyas dan ijma’
ulama. Terdapat beberapa aliran atau madhhab yang popular dalam Islam iaitu
Sunni, Syi‘ah, Khawarij, Mu‘tazilah, Zahiri dan Awza‘i. Akan tetapi di al-
Andalus pada ketika itu hanya dua madhhab sahaja yang terkenal iaitu madhhab
Awza‘i dan Maliki (Sunni). Madhhab Awza‘i berasal dari Syria diamalkan
hingga tahun 800M, setelah itu pengikutnya menganut madhhab Maliki yang
berasal dari Madinah. Ini berlaku pada madhhab al-Hakam I apabila beliau
menjadikan madhhab Maliki sebagai madhhab rasmi negara. Antara tokoh ulama
madhhab Maliki di al-Andalus ialah ‘Isa ibn Dinor (m. 827M) dan Yahya ibn
Yahya al-Laythi (m. 874M). Terdapat juga di kalangan sarjana Islam al-Andalus
yang menganut madhhab selain Maliki. Antaranya ialah Baqi ibn Makhlad (m.
889M) menganut madhhab Syafi‘i, setelah itu madhhab Zahiri dan al-Jahiz (m.
868M) menganut madhhab Mu‘tazilah. Akan tetapi mereka ini merupakan
kumpulan kecil jika dibandingkan dengan kumpulan Maliki.
27
Dari segi kesenian pula, walaupun ia masih awal dari segi perkembangannya
tetapi ternyata bahawa zaman kerajaan Bani Umayyah boleh dianggap sebagai zaman
permulaan perkembangan kesenian Islam di al-Andalus. Sejak pembukaan al-Andalus
hingga tahun 976M boleh dianggap sebagai tahap pembinaan tamadun Islam di al-
Andalus. Dalam tempoh tersebut terbinanya masjid besar di Cordova. Masjid ini mula
dibina oleh ‘Abd al-Rahman I, setelah itu diperluas oleh ‘Abd al-Rahman II, al-Hakam
II dan al-Mansur. Reka bentuk masjid ini dicipta oleh ‘Abd al-Rahman I sendiri.
Keistimewaan masjid ini ialah dari segi kehalusan dan keindahan seni binanya yang tidak
dijangkakan pada waktu itu. Irving menyifatkannya “salah satu keajaiban seni bina di
dunia” (Irvin : 127).
Selain masjid Cordova, terdapat juga bandar istana di Madinah al-Zahra yang
dibina oleh ‘Abd al-Rahman III. Akan tetapi bandar istana ini telah runtuh pada tahun
1013M. Namun begitu, menurut pakar-pakar arkeologi yang melakukan carigali
menyatakan bahawa bandar istana ini mempunyai bentuk dan seni bina yang cukup indah.
Seni bina bandar ini mempunyai panduan antara seni bina Rom dan seni bina Islam.
Pada keseluruhannya, boleh dikatakan bahawa penciptaan seni Islam di al-
Andalus pada zaman Bani Umayyah merupakan gabungan antara bahan-bahan binaan
yang diperolehi dari Barat dengan teknik dan idea-idea dari negara-negara Islam di
bahagian timur. Menara masjid besar Cordova yang terakhir dibina pada zaman ‘Abd al-
Rahman III, contohnya ialah berbentuk bulat bersegi menyerupai menara Masjid Umawi
di Damsyik. Sekiranya dalam bidang bahasa dan sastera orang Arab yang lebih banyak
terlibat tetapi dalam bidang penciptaan seni boleh dikatakan hampir sama ramai antara
Arab, Barbar dan penduduk Islam tempatan. Dengan sebab itu, ia tidak boleh dianggap
sebagai penciptaan seni orang Arab atau Barbar atau al-Andalus. Tetapi adalah
penciptaan seni orang Islam.
28
3.4 Ketenteraan
Pertahanan dari segi ketenteraan amat penting bagi sesebuah kerajaan. Oleh itu, sesebuah
kerajaan itu perlu mempunyai ketenteraan yang kuat dan cekap bagi melawan kuasa-
kuasa luar. Pada zaman ‘Abd al-Rahman I, sistem ketenteraan darat dan laut telah
ditubuhkan jabatan atau sistem. Badan ketenteraan ini ditubuhkan bagi menangkis
serangan daripada pihak musuh sama ada jalan darat mahupun laut. Antara peranan yang
dilakukan oleh pemerintah Bani Umayyah dalam mengukuhkan kuasa dari aspek
ketenteraan adalah seperti berikut.
i. Dari segi ketenteraan, kerajaan Bani Umayyah mempunyai barisan tentera laut
yang kuat dan mempunyai tiga buah markas tentera iaitu di utara, tengah dan
selatan. Bagi mengukuhkan kuasa Islam di al-Andalus ‘Abd al-Rahman I telah
bertindak menguatkan armada laut negara Islam al-Andalus. Pelabuhan-pelabuhan
baru mula dibina di persisiran pantai al-Andalus di tempat paling strategik bagi
tujuan ketenteraan dan perdagangan. Tentera laut negara Islam al-Andalus
mengadakan rondaan di sepanjang perairan negara mereka bagi memastikan ianya
tidak dibolosi oleh kekuatan musuh. Jesteru itu, perairan negara Islam al-Andalus
sentiasa dalam keadaan selamat untuk kapal-kapal dagang yang merentasinya.
Selain daripada itu, langkah yang diambil untuk mengukuhkan pentadbiran dan
benteng negara, pihak pemerintah menubuhkan division tentera yang dianggotai
oleh hamba-hamba dari utara Pyreness (Watt 1977: 33).
Bagi mempertahankan persisiran pantai al-Andalus pada zaman ‘Abd al-
Rahman I, beliau telah menubuhkan kapal perang yang diketuai oleh Tamam
iaitu Laksamana Angkata Laut. Angkatan laut ini ditubuhkan bagi menghadapi
serangan Saqalibah (Slav) (Irving 1980: 119).
29
ii. Di samping itu, amir al-Hakam I telah membentuk pasukan tentera upahan yang
kuat dianggotai oleh puak Saqalibah (Slavs), Frank dan lain-lain. Bilangan mereka
ini bertambah dari semasa ke semasa, kaum-kaum lain termasuk Barbar dan
Negro turut serta dalam kumpulan ini. Selain tentera upahan (murtaziqah),
terdapat pula barisan tentera sukarelawan yang berperang kerana menegakkan
agama Islam. Golongan ketiga ialah tentera biasa yang dianggotai oleh kaum yang
terdapat di al-Andalus termasuk juga yang tinggal di bandar (Mahayudin 1990:
49).
iii. Sistem ketenteraan mengalami banyak perubahan pada zaman Imarah dan
khalifah. Mereka lebih bergantung kepada askar-askar luar. Al-Mansur telah
menyempurnakan sistem yang diperkenalkan oleh ‘Abd al-Rahman I dengan
mengambil orang yang lebih berdisiplin, yang terlatih seramai 40000 orang atau
lebih. Seramai 7000 tentera Sham menyertai kemasukan ini yang diketuai oleh
Baldj ibn Bishr pada tahun 125M (Imamuddin 1981: 63). Orang Barbar yang
dibawa masuk dari Afrika akan diberikan gaji yang tetap.
iv. ‘Abd al-Rahman III telah menguatkan ketenteraan dengan jumlah yang ramai.
Contohnya, dalam peperangan Battle of Alhandega ataupun Waq‘at al-Khandaq
jumlah tentera Islam seramai 100,000 orang. Selain jumlah tang ramai, beliau
memperkuatkan kekuatan tenteranya dari segi kerohanian dan material. Hal ini
terbukti melalui beberapa siri ekspedisi ketenteraan di mana beliau mengetuai
sendiri angkatan perang tersebut. Peranan beliau sebagai ketua angkatan perang
secara tidak langsung telah menambahkan lagi semangat juang tenteranya
(Maruwiah 2003: 57).
v. ‘Abd al-Rahman II, telah mengambil pengajaran dari peristiwa serangan tentera
Viking tersebut. Pada tahu 846M, kota Seville telah diserang oleh tentera Viking
yang datang dari wilayah Scandinavia. Pada ketika itu, al-Andalus tidak
mempunyai tentera laut yang kuat. Oleh itu, ‘Abd al-Rahman II mengemas kini
30
armada laut untuk menangkis serangan Norman itu. Beliau seterusnya bertindak
menjaga wilayah Islam al-Andalus dengan mengambil beberapa langkah segera.
Antaranya ialah beliau mendirikan tembok tinggi mengelilingi bandar Seville
memandangkan kedudukannya yang senang diserang kerana berada di persisiran
pantai menghadap lautan Atlantik dan Laut Mediterranean. Dengan adanya
tembok tinggi mengelilingi bandar, Seville telah menjadi antara bandar terkuat
pertahanannya di al-Andalus. Beliau juga telah membentuk dua armada laut yang
kuat bagi membuat rondaan di lautan Atlantik dan Laut Mediterrenean. Rondaan
di perairan sebelah utara hingga ke sempadan wilayah Islam al-Andalus dengan
kerajaan Kristian Leon.
Sementara, satu lagi armada meronda perairan al-Andalus hingga ke
sempadan perairan Itali. Menurut Ibn Khaldun, terdapat dua jenis pegawai
angkatan tentera laut iaitu pegawai tertinggi (ru’asa’), pegawai terendah (ashab
al-arjud). Kesan dari itu, kekuatan Islam dapat menawan kembali kepulauan
Balearic buat kali kedua. Pulau ini telah dibuka oleh Musa ibn Nusayr tetapi jatuh
ke tangan Kristian di zamam kelemahan kerajaan Gabenor dahulu. Semenjak
kejayaan tentera Islam mengalahkan tentera Viking, negara Islam Sepanyol
digeruni oleh negara-negara sekitarnya. Sehubungan itu, ‘Abd al-Rahman II telah
menerima kunjungan dari pemerintah Denmark. Rombongan mereka membawa
hadiah dan meminta untuk diadakan perjanjian antar kedua buah negara. Negara-
negara Eropah lain turut mahu berbaik-baik dengan negara Islam al-Andalus.
4.0 PENUTUP
Kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan rentetan pemerintahan Bani Umayyah di al-
Andalus yang bermula dari pemerintahan ‘Abd al-Rahman I sehingga pemerintahan
Hisham III ini, dapat dilihat bahawa banyak perubahan yang berlaku dari pelbagai aspek
yang telah dibincangkan di atas. Para amir dan khalifah berusaha untuk mengukuhkan
31
kuasa Islam di al-Andalus dengan menyumbangkan idea dan tenaga mereka demi
kerajaan Islam.
Kesimpulannya, pada peringkat awal al-Andalus berada di bawah pemerintahan
para wakil gabenor yang dilantik oleh khalifah Bani Umayyah uang berpusat di Damsyik.
Pada periode ini, kestabilan politik al-Andalus belum tercapai secara sempurna. Terdapat
pelbagai masalah yang timbul seperti perselisihan di antara pemimpin, terutama akibat
daripada perbezaan suku dan golongan. Di samping itu, terdapat perbezaan pandangan
antara khilafah di Damsyik dengan gabenor Afrika Utara yang berpusat di Qayrawan.
Seterusnya, al-Andalus berada di bawah pemerintahan seorang yang bergelar amir
yang berasingan dengan pusat pemerintahan Islam di Baghdad yang dipegang oleh Bani
‘Abbasiyyah. Amir pertama adalah ‘Abd al-Rahman I berjaya mendirikan kerajaan Bani
Umayyah di al-Andalus. Pada periode ini, umat Islam memperolehi kemajuan baik dalam
bidang politik mahupun dalam bidang peradaban. ‘Abd al-Rahman I telah mengasaskan
penubuhan Masjid Cordova dan sekolah-sekolah di kota-kota besar. Hisham I pula
banyak berjasa dalam menegakkan hukum Islam manakala Hakam I dikenali sebagai
pembaharu dalam bidang ketenteraan. Sedangkan ‘Abd al-Rahman II terkenal sebagai
penguasa yang mencintai ilmu.
Kemudiannya pemerintahan diteruskan oleh Muhammad I yang kemudiannya
diakhiri dengan ‘Abd Allah ibn Muhammad. Periode ini tidak membuat banyak
perubahan sebaliknya terpaksa menghadapi pelbagai tentangan dari dalam dan luar
negeri. Terdapat juga krisis dalaman yang dihadapi oleh pemerintah. Seterusnya,
pemerintahan diteruskan oleh ‘Abd al-Rahman III dan anaknya iaitu al-Hakam II. Pada
periode ini, al-Andalus diperintah oleh pemimpin dengan memakai gelaran khalifah.
Umat Islam pada zaman pemerintahan ini mencapai puncak kemajuan dan kejayaan
menyaingi kejayaan kerajaan ‘Abbasiyah di Baghdad.
Awal dari kehancuran khalifah Bani Umayyah di al-Andalus adalah ketika
Hisham menaiki takhta dalam usia sepuluh tahun dan tampuk pemerintahan dikuasai oleh
32
al-Hajib Ibn Abi ‘Amir sebagai pemegang kekuasaan secara mutlak. Tetapi, setelah
beliau meninggal dunia, negara yang sebelumnya makmur dilanda kekacauan dan
akhirnya menuju kehancuran. Akhirnya, Dewan Menteri yang memerintah Cordova
menghapuskan jabatan khalifah. Ketika itu, al-Andalus sudah berpecah kepada beberapa
kerajaan kecil yang berpusat di kota-kota tertentu.
Pelbagai pembangunan dari segi pentadbiran, ekonomi, sosial dan ketenteraan
telah dilakukan. Pembangunan ini bermula dari pemerintahan ‘Abd al-Rahman I dan
kemudiannya diteruskan oleh pemerintahan seterusnya. Pemerintah seterusnya telah
membuat penambahbaikan berdasarkan pembangunan yang telah dibuat oleh pemerintah
terawal. Oleh itu, pengukuhan dari pelbagai aspek hendaklah dilakukan supaya dapat
menyumbang kepada kejayaan umat Islam di al-Andalus.
RUJUKAN
Abel, Armand. 1955. Unity and Variety in Muslim Civilization, The University of Chicago Press. Terj. Yayasan Obor Indonesia: Jakarta.
Anne Commire. 1994. Historic World Leaders. Vol. 2. Gale Research Inc: London.
Al-Baladhuri. 1959. Futuh al-Buldan. Maktabat al-Tijariyat al-Kubra: Misr.
Baydawun, Ibrahim. 1978. Al-Dawlah al-‘Arabiyah fi Isbania. Dar al-Nahdat al-‘Arabiyah: Bayrut.
Chejne, Anwar G. 1974. Islamization and Arabization at Andalus. Otto Marroswitz: Weisbaden.
33
Chejne, Anwar G. 1974. Muslim in Spain: Its History and Culture. The University Minnesota Mess: Minneapolis.
Dozy, Reinhart. 1972. Spanish Islam: A History of Moslems in Spain. Frank Cass: London.
First Encyclopaedia of Islam (1913-1936). 1987. Vol. VIII. Leidein: New York.
Hairudin Harun. 1992. Daripada Sains Yunani kepada Sains Islam. Penerbitan Universiti Malaya: Kuala Lumpur.
H.Heaton. 1948. Economic History of Europe. Harper & Brothers: New York.
Ibrahim, Hassan. 1964. Tarikh Islam. Maktabat al-Nahdat al-Misriyah: Kaherah.
Ibn Athir. 1965. Al-Kamil fi al-Tarikh. Dar al-Sadir: Bayrut.
Imamuddin. 1961. A Political History of Muslim Spain. t.tp. Dacca
‘Inan, Muhammad ‘Abd Allah. 1948. Decisive Movements in The History of Islam. Terj. Muhammad Ashraf. Kashmiri Bazar: Lahore.
‘Inan, Muhammad ‘Abd Allah. 1960. Dawlah al-Islam fi al-Andalus. Mu’assasat al-Khanji: Kaherah
Lane-Poole, Stanley. 1967. The Moors in Spain. Khayats: Bayrut.
Mahayudin Hj. Yahaya. 1990. Islam di Sepanyol dan Sicily. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Mahayudin Hj. Yahaya. 1990. Ensiklopedia Sejarah Islam. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia: Bangi.
Mahayudin Hj. Yahaya. 1991. Pemerintah Bani Umayyah. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Al-Marrakushi, Ibn ‘Idhari. t.th. Kitab al-Bayan al-Maghrib fi Akhbar al-Andalus wa al-Maghrib. Dar al-Thaqafah: Bayrut.
Maruwiah Ahmat. 2003. Sejarah Bani Umayyah di Andalus. Karisma Publication Sdn. Bhd.: Shah Alam.
al-Maqqari, Ahmad b. Muhammad. 1968. Nafh al-Tib min Ghusn al-Andalus al-Ratib
34
wa Dhikr Waziruha Lisan al-Din ibn al-Khatib Jil. 1-8. Tahqiq. ‘Abbas, Ihsan. Dar Sadir: Bayrut.
Rosli Mokhtar. 2009. Kerajaan Islam Sepanyol. Casa Publication: Kuala Lumpur.
Russel, P.E. 1987. Spain a Companion to Spanish Studies. Methuen: New York.
Salam, ‘Abd ‘Aziz. 1962. Tarikh al-Muslimin wa Atharuhum fi al-Andalus. Dar al-Ma‘arif: Bayrut.
Salmah Omar. 2009. Andalus Semarak Tamadun di Eropah. Karisma Publications Sdn.Bhd: Shah Alam.
Watt. W. Montgomery. 1977. A History of Islamic Spain. University Press: Edinburgh.