pengaruh perapatan ibu, bapa dan rakan sebaya ke atas adaptasi

9
1 ISBN : 978-967-0582-32-0 Pengaruh Perapatan Ibu, Bapa Dan Rakan Sebaya Ke Atas Adaptasi Di Universiti Dan Kepuasan Hidup Dalam Kalangan Pelajar Tahun Pertama Fakulti Psikologi Dan Pendidikan, UMS. Mazni Mustapha, Mahirah Masdin Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah ABSTRAK Kajian dijalankan bertujuan untuk mengkaji pengaruh faktor perapatan ibu, bapa dan rakan sebaya ke atas adaptasi di kehidupan di universiti dan kepuasan hidup dalam kalangan pelajar tahun pertama Fakulti Psikologi dan Pendidikan, UMS. Dua aspek pengalaman beradaptasi dengan kehidupan di universiti yang dikaji ialah kerinduan terhadap kampung halaman dan keseronokan terhadap kehidupan di universiti. Seramai 134 pelajar tahun pertama Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS yang terlibat dalam kajian ini dengan min umur 20.00. Kajian tinjauan ini menggunakan soal selidik Inventory of Parents and Peer Attachment-R (IPPA-R) untuk mengukur perapatan pelajar terhadap ibu, bapa dan rakan sebaya, Adaptation To Life Index (ALI) untuk mengukur tahap kerinduan terhadap keluarga, dan keseronokan terhadap kehidupan di universiti, dan Satisfaction with Life Scale (SWLS) untuk mengukur kepuasan hidup pelajar. Hasil kajian mendapati bahawa perapatan ibu berkorelasi dengan kerinduan pelajar terhadap kampung halaman dan keseronokan yang mereka alami selama dalam tempoh pengajian di universiti. Manakala, perapatan bapa dan rakan sebaya berkorelasi dengan kerinduan dan kepuasan hidup. Analisis regresi menunjukkan perapatan ibu sebagai peramal utama kepada ketiga-tiga pemboleh ubah terikat, iaitu kerinduan yang dialami terhadap kampung halaman keseronokan kehidupan di universiti dan kepuasan hidup pelajar tahun pertama. Kata kunci: Perapatan, Ibu Bapa, Rakan Sebaya, Adaptasi d iuniversiti, Kepuasan hidup Pembentang: Mazni Mustapha Sesi : 2.30 4.30 Ptg BS 4

Upload: trandan

Post on 29-Dec-2016

256 views

Category:

Documents


6 download

TRANSCRIPT

Page 1: pengaruh perapatan ibu, bapa dan rakan sebaya ke atas adaptasi

1

ISBN : 978-967-0582-32-0

Pengaruh Perapatan Ibu, Bapa Dan Rakan Sebaya Ke Atas Adaptasi Di Universiti Dan

Kepuasan Hidup Dalam Kalangan Pelajar Tahun Pertama Fakulti Psikologi Dan Pendidikan,

UMS.

Mazni Mustapha, Mahirah Masdin Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah

ABSTRAK

Kajian dijalankan bertujuan untuk mengkaji pengaruh faktor perapatan ibu, bapa

dan rakan sebaya ke atas adaptasi di kehidupan di universiti dan kepuasan hidup

dalam kalangan pelajar tahun pertama Fakulti Psikologi dan Pendidikan, UMS.

Dua aspek pengalaman beradaptasi dengan kehidupan di universiti yang dikaji

ialah kerinduan terhadap kampung halaman dan keseronokan terhadap kehidupan

di universiti. Seramai 134 pelajar tahun pertama Fakulti Psikologi dan Pendidikan

UMS yang terlibat dalam kajian ini dengan min umur 20.00. Kajian tinjauan ini

menggunakan soal selidik Inventory of Parents and Peer Attachment-R (IPPA-R)

untuk mengukur perapatan pelajar terhadap ibu, bapa dan rakan sebaya,

Adaptation To Life Index (ALI) untuk mengukur tahap kerinduan terhadap

keluarga, dan keseronokan terhadap kehidupan di universiti, dan Satisfaction with

Life Scale (SWLS) untuk mengukur kepuasan hidup pelajar. Hasil kajian

mendapati bahawa perapatan ibu berkorelasi dengan kerinduan pelajar terhadap

kampung halaman dan keseronokan yang mereka alami selama dalam tempoh

pengajian di universiti. Manakala, perapatan bapa dan rakan sebaya berkorelasi

dengan kerinduan dan kepuasan hidup. Analisis regresi menunjukkan perapatan

ibu sebagai peramal utama kepada ketiga-tiga pemboleh ubah terikat, iaitu

kerinduan yang dialami terhadap kampung halaman keseronokan kehidupan di

universiti dan kepuasan hidup pelajar tahun pertama.

Kata kunci: Perapatan, Ibu Bapa, Rakan Sebaya, Adaptasi d iuniversiti,

Kepuasan hidup

Pembentang:

Mazni Mustapha

Sesi :

2.30 – 4.30 Ptg

BS 4

Page 2: pengaruh perapatan ibu, bapa dan rakan sebaya ke atas adaptasi

2

PENDAHULUAN

Salah satu kajian yang penting dalam bidang psikologi perkembangan ialah kesan perapatan

(attachment) ke atas perkembangan sosio-emosi individu. Secara umumnya perapatan adalah ikatan

istimewa di antara dua insan (Santrock, 2014) yang biasanya ditemui dalam hubungan di antara anak

dengan ibu bapa atau penjaga, atau di antara individu dengan rakan taulan. Mengikut teori Psikososial

Erikson perapatan yang selamat (secure attachment) bermula apabila bayi mengalami keselesaan

fizikal pada awal kelahirannya, justeru membawanya membina kepercayaan yang pertama terhadap

dunia (Erikson, 1968). Kepercayaan ini yang dikenali sebagai kepercayaan asas (basic trust) akan

berkembang menunjangi kepercayaan seterusnya terhadap dunia (Erikson, 1968). Sementara itu

Ainsworth dalam kajiannya mengenai reaksi bayi terhadap Situasi Pelik (Strange Situation) telah

membawa kepada penemuan empat jenis perapatan yang biasa ditemui dalam kalangan bayi, iaitu

perapatan selamat (secure attachment), perapatan tidak selamat penolakan (insecure resistant

attachment), perapatan tidak selamat berkecamuk atau ambivalen (insecure disorganised attachment

atau ambivalent attachment) dan perapatan tidak selamat pengelakkan (avoidance attachment) (dalam

Santrock, 2014). Bayi yang mengalami perapatan selamat adalah yang menerima perhatian, kasih

sayang dan jagaan yang secukupnya, dan selalunya dikaitkan dengan menunjukkan emosi yang positif,

ceria, responsif kepada persekitaran dan mempunyai rutin seharian yang teratur. Sebaliknya bagi bayi

yang menerima jenis perapatan yang tidak selamat seperti perapatan ambivalen dan penolakan

seringkali kurang diberikan perhatian dan layanan kasih sayang secukupnya. Ibu bapa atau penjaga

kepada bayi dalam kategori ini tidak konsisten dalam memberikan kasih sayang dan jagaan kepada

bayi yang berkenaan dan sikap ini dipercayai menjadikan bayi kurang mesra, agak kaku bila

berhadapan dengan persekitaran baru, dan mudah mengalami emosi positif seperti menangis apabila

ditinggalkan (Santrock, 2014).

Kajian mengenai perapatan tidak hanya tertumpu pada golongan bayi atau kanak-kanak, tetapi

juga kepada golongan remaja dan orang dewasa. Jenis perapatan yang dialami pada peringkat bayi

atau kanak-kanak dipercayai dapat membantu pemahaman terhadap perkembangan sosio-emosi yang

dilalui oleh individu pada peringkat usia yang lebih tinggi, khususnya remaja. Raja, McGee dan

Stanton (1992) mendapati bahawa terdapat hubungan positf yang signifikan di antara perapatan

dengan ibu bapa dan kesejahteraan psikologi remaja. Kajian yang melibat 935 orang remaja di

Amerika Syarikat ini merumuskan bahawa walaupun tahap perapatan denga ibu bapa yang rendah

iaitu dalam kalangan ibu bapa yang mempunyai masalah kesihatan, perapatan dengan rakan sebaya

tidak berperanan dalam kesejahteraan psikologi remaja.

Lanjutan daripada ini, pengkaji-pengkaji tempatan mulai menerokai aspek lain dalam

kesejahteraan remaja dan mengaitkannya dengan perapatan yang dialami. Rohaty Mohd. Majzub,

Noriah Ishak dan Ramlah Jantan (2010), misalnya telah mengkaji pengaruh kualiti pertautan

(perapatan) 420 orang pelajar asrama di sekolah berasrama penuh di Malaysia terhadap penyesuaian

hidup di sekolah. Hasil kajian ini menunjukkan pertautan dengan ibu bapa lebih memberikan impak

terhadap penyesuaian pelajar berbanding dengan pertautan dengan rakan sebaya. Jamal Ismuni, Jas

Laile Suzana Jaafar dan Yoo Fei (2012) pula menyoroti hubungan perapatan dengan status identiti

remaja. Seramai 200 orang pelajar sekolah yang berusia dalam lingkungan 13 hingga 19 tahun telah

menyertai kajian ini. Keputusan menunjukkan bahawa terdapat kecenderungan untuk pelajar-pelajar

ini mempersepsikan ibu bapa mereka menekankan aspek afektif dalam perapatan mereka. Selain itu,

kajian ini mendapati terdapat hubungan yang positif di antara perapatan ini dengan status identiti

tercapai dan status identiti moratorium. Kedua-dua bentuk status identiti ini adalah sesuatu yang

positif yang terlahir daripada kualiti perapatan ibu bapa-anak yang tinggi.

Melihat kepada keistimewaan peranan ibu bapa dalam hal penjagaan dan didikan anak-anak

dan sumbangannya kepada kesejahteraan hidup anak-anak telah mendorong kedua-dua penulis untuk

melakukan kajian tinjauan ke atas sekumpulan pelajar tahun satu jurusan psikologi di Universiti

Malaysia Sabah untuk memahami sumbangan perapatan dengan ibu bapa dan perapatan dengan rakan

sebaya ke atas pengalaman beradaptasi di universiti, iaitu kerinduan terhadap kampung halaman dan

keseronokan dengan kehidupan di universiti, serta ke atas kepuasan hidup umumnya.

Page 3: pengaruh perapatan ibu, bapa dan rakan sebaya ke atas adaptasi

3

Objektif Kajian Kajian ini dijalankan mengikut objektif berikut;

1. Mengkaji pengaruh perapatan ibu, bapa dan rakan sebaya ke atas kerinduan terhadap kampung

halaman dalam kalangan pelajar tahun pertama.

2. Mengkaji pengaruh perapatan ibu, bapa dan rakan sebaya ke atas keseronokan kehidupan di

universiti dalam kalangan pelajar tahun pertama.

3. Mengkaji pengaruh perapatan ibu, bapa dan rakan sebaya ke atas kepuasan hidup pelajar tahun

pertama.

METODOLOGI

Reka Bentuk Kajian

Reka bentuk kajian yang digunakan dalam kajian ini adalah berbentuk penyelidikan tinjauan yang

menggunakan satu set soal selidik piawai. Kajian tinjauan ini bertujuan untuk melihat pengaruh

perapatan ibu, bapa dan rakan sebaya ke atas kerinduan terhadap kampung halaman, keseronokan

dengan kehidupan di universiti dan kepuasan hidup pelajar tahun pertama Fakulti Psikologi &

Pendidikan, UMS.

Sampel dan Tempat Kajian

Seramai 134 pelajar tahun pertama Fakulti Psikologi dan Pendidikan, UMS terlibat dalam kajian ini.

Kajian telah dijalankan di dewan kuliah pada 30 minit terakhir waktu kuliah kursus Pengenalan

Kepada Psikologi Perkembangan. Penyertaan pelajar dalam kajian ini adalah secara sukarela.

Alat Kajian

Bagi mendapatkan maklumat untuk menjawab objektif kajian, tujuh set soal selidik yang telah

digunakan. Bahagian A mengandungi set latar belakang/demografik responden. Ciri latar belakang

yang diperlukan meliputi jantina, umur, program pengajian, negeri asal, kawasan tempat tinggal dan

status perkahwinan ibu bapa. Bahagian B, C dan D meliputi set item berkenaan perapatan ibu, bapa

dan rakan sebaya. Alat kajian yang digunakan adalah Inventory of Parent and Peer Attachment

Revised (IPPA-R) oleh Gay Armsden dan Mark T.Greenberg (1987). Manakala, bagi bahagian E dan

F yang masing-masingnya mengukur kerinduan terhadap kampung halaman dan keseronokan hidup di

universiti yang dibina oleh Mustapha, Hyland, dan Jacobs (2010). Bahagian G merupakan bahagian

terakhir yang mengukur kepuasan hidup responden. Alat kajian yang digunakan ialah The Satisfaction

with Life Scale yang dibina oleh Ed Diener (1985). Semua alat kajian yang digunakan adalah piawai

dan telah melalui proses ujian kebolehpercayaan dan kesahan.

Prosedur Kajian

Pengkaji telah menjalankan kajian rintis ke atas 60 pelajar tahun pertama sebelum melakukan kajian

sebenar. Kajian rintis dijalankan bertujuan untuk menguji tahap kebolehpercayaan dan kesahan alat

kajian yang digunakan. Manakala, pemilihan responden bagi kajian sebenar adalah tertumpu kepada

pelajar tahun pertama iaitu semester pertama di Fakulti Psikologi dan Pendidikan (Blok Psikologi).

Tadbiran kajian sebenar dijalankan semasa proses pembelajaran berlaku, iaitu pengkaji memohon

peruntukan masa sebanyak 30 minit untuk mengutip data kajian.

Analisis Data

Analisis data kajian ini menggunakan IBM SPSS versi 21.0. Analisis deskriptif dan inferensi adalah

dijalankan untuk mendapatkan maklumat kajian. Analisis deskriptif menggunakan teknik deskriptif

dan peratus kekerapan. Manakala, analisis inferensi menggunakan kaedah Korelasi Pearson bagi

melihat hubungan di antara pemboleh ubah, dan Regresi Linear untuk melihat pengaruh pemboleh

ubah bebas ke atas pemboleh ubah terikat.

Page 4: pengaruh perapatan ibu, bapa dan rakan sebaya ke atas adaptasi

4

HASIL KAJIAN

Hasil Analisis Secara Deskriptif

Jadual 1 menunjukkan hasil analisis kajian secara deskriptif. Kajian deksriptif mendapati min umur

responden pelajar tahun pertama yang terlibat dalam kajian ialah 20.00 tahun.

Jadual 1

Taburan Subjek Kajian Berdasarkan Faktor Demografi

Faktor Demografi N Peratus (%)

Jantina

Program Pengajian

Umur

Kawasan Tempat

Tinggal

Status Perkahwinan

Ibu Bapa

Lelaki

Perempuan

Psikologi Belia & Komuniti

Psikologi Industri &

Organisasi

Psikologi Kanak-kanak &

Keluarga

Psikologi Kaunseling

18 tahun

19 tahun

20 tahun

21 tahun

22 tahun

23 tahun

24 tahun

Bandar

Luar Bandar

Berkahwin

Bercerai

Dudal/Balu

13

121

53

5

69

7

3

10

113

5

1

1

1

54

80

113

8

13

9.7

90.3

39.6

3.7

51.5

5.2

2.2

7.5

84.3

3.7

0.7

0.7

0.7

40.3

59.3

84.3

6.0

9.7

N=13

Hasil Analisis Secara Inferensi

Jadual 2 menunjukkan korelasi di antara perapatan ibu, bapa dan rakan sebaya dengan kerinduan

terhadap kampung halaman, keseronokan di universiti dan kepuasan hidup. Teknik korelasi Pearson

digunakan untuk menentukan hubungan antara pemboleh ubah kajian. Hasil kajian menunjukkan

pemboleh ubah perapatan ibu berkorelasi dengan kerinduan terhadap kampung halaman dan

keseronokan di universiti, tetapi tidak berkorelasi dengan kepuasan hidup pelajar tahun pertama.

Manakala, perapatan bapa dan rakan sebaya pula berkorelasi dengan kerinduan terhadap kampung

halaman dan kepuasan hidup pelajar tahun pertama.

Page 5: pengaruh perapatan ibu, bapa dan rakan sebaya ke atas adaptasi

5

Jadual 2

Analisis Korelasi Perapatan Ibu, Bapa, Rakan Sebaya dengan Kerinduan Terhadap Kampung

Halaman, Keseronokan di Universiti dan Kepuasan Hidup

__________________________________________________________________________________

Pemboleh Ubah 1 2 3

__________________________________________________________________________________

Perapatan Ibu 0.528** 0.172* 0.142

Perapatan Bapa 0.201* 0.148 0.333**

Perapatan Rakan Sebaya 0.204* 0.121 0.294**

__________________________________________________________________________________

Nota. 1 = Kerinduan terhadap kampung halaman; 2 = Keseronokan di Universiti; 3 = Kepuasan Hidup

*k<.05. **k<.01.

Jadual 3 menunjukkan analisis regresi pengaruh pemboleh ubah bebas ke atas kerinduan terhadap

kampung halaman, keseronokan dengan kehidupan di universiti dan kepuasan hidup pelajar tahun

pertama. Berdasarkan hasil analisis mendapati perapatan ibu, bapa dan rakan sebaya menyumbang

sebanyak 29.5 peratus ke atas kerinduan. Tetapi, didapati bahawa perapatan ibu sebagai penyumbang

yang terbaik bagi pemboleh ubah kerinduan dengan nilai Beta yang tinggi dan signifikan. Manakala,

bagi keseronokan di universiti, hanya perapatan ibu yang menyumbang terbaik sebanyak 0.3 peratus.

Bagi kepuasan hidup, analisis menunjukkan perapatan bapa dan rakan sebaya menyumbang sebanyak

13.5 peratus ke atas kepuasan hidup pelajar tahun pertama. Namun, hanya perapatan bapa yang

didapati memberi sumbangan terbaik dengan nilai Beta dan aras signifikan yang diterima.

Jadual 3

Analisis Nilai Beta Sumbangan Perapatan Ibu, Bapa, Rakan Sebaya ke atas Kerinduan terhadap

kamung halaman, Keseronokan di Universiti dan Kepuasan Hidup

__________________________________________________________________________________

Pemboleh Ubah Beta Sig.

__________________________________________________________________________________

Kerinduan Ibu 0.539 0.000

Bapa -0.089 0.326

Rakan Sebaya 0.124 0.139

Keseronokan Ibu 0.172 0.47

Kepuasan Hidup Bapa 0.250 0.007

Rakan Sebaya 0.178 0.055

__________________________________________________________________________________

PERBINCANGAN

Perapatan Ibu Bapa dan Kerinduan serta Keseronokan Kehidupan Universiti

Bagi kebanyakan pelajar, peralihan dan penyesuaian kepada kehidupan universiti adalah

perkembangan yang penting kerana mereka memulakan perjalanan hidup baru kepada alam

kedewasaan (Arnett, 2000). Peralihan kehidupan ini meningkatkan kehendak untuk berautonomi dan

bertanggungjawab sekiranya pelajar mampu beradaptasi dengan persekitaran baru yang memerlukan

mereka menguruskan masa sendiri, meningkatkan pencapaian akademik dan memberi maklum balas

kepada tekanan dan cabaran baru (Hiester, Nordstrom & Swenson, 2009). Berdasarkan beberapa

kajian lepas mendapati salah satu aspek yang menyumbang kepada kemampuan beradaptasi pelajar

kepada kehidupan yang baru adalah perapatan ibu bapa (Grotevant & Cooper, 1985; Kenny, 1990).

Hal ini kerana, perapatan selamat di antara pelajar dan ibu bapa membantu pelajar beradaptasi dengan

positif kepada peralihan kehidupan baru di unibersiti.

Page 6: pengaruh perapatan ibu, bapa dan rakan sebaya ke atas adaptasi

6

Berdasarkan analisis yang dijalankan mendapati perapatan ibu bapa berhubungan positif dan

mempengaruhi kerinduan kepada kampung halaman. Dalam konotasi lainnya ialah semakin tinggi

perapatan ibu bapa maka kerinduan kepada ibu bapa semakin meningkat. Maka, hal tersebut

cenderung menyebabkan pelajar tahun pertama mengalami kesukaran beradaptasi dengan persekitaran

baru (Stroebe, Vliet, Hewstone & Willis, 2002). Dapatan kajian ini disokong oleh beberapa kajian

lepas. Scopelliti dan Tiberio (2010) menjelaskan bahawa pelajar tahun pertama biasanya mengalami

kesukaran beradaptasi dengan persekitaran baru kerana mereka sukar meninggalkan budaya rutin

kehidupan lama. Hal ini kerana, apabila di rumah ibu bapa sering bersama-sama mereka dan

membantu menguruskan kehidupan seharian. Manakala, apabila di universiti iaitu persekitaran baru,

pelajar perlu menguruskan diri sendiri tanpa bantuan langsung daripada ibu bapa. Lazimnya, keadaan

ini berlaku kepada pelajar yang berada di semester pertama (Fischer & Hood, 1988). Selain itu, Flett,

Endler dan Besser (2009) juga menjelaskan bahawa faktor yang menyebabkan pelajar pada semester

pertama sukar beradaptasi dengan persekitaran baru adalah kerana kerinduan yang tinggi kepada ibu

bapa mereka. Pengkaji merumuskan kemungkinan bahawa kerinduan yang tinggi kepada keluarga

adalah kerana pelajar masih kurang berkeyakinan untuk berhadapan dengan cabaran baru tanpa

penglibatan keluarga dalam pembuatan keputusan (Flett, Endler & Besser, 2009). Necef (2014) pula

menegaskan bahawa kesukaran pelajar tahun pertama beradaptasi dengan kehidupan baru kerana

kerinduan kepada ibu bapa cenderung menyebabkan gangguan psikologikal kepada pelajar tersebut,

seperti kemurungan dan kebimbangan.

Walau bagaimanapun, analisis mendapati bahawa perapatan bapa tidak berhubungan dan

mempengaruhi keseronokan kehidupan di universiti. Mattanah, Hancock dan Brand (2004)

menjelaskan bahawa perapatan di antara ibu dan bapa memberikan kesan yang berbeza kepada

adaptasi kehidupan pelajar di universiti. Hal ini dijelaskan kerana, perapatan kepada ibu berhubung

rapat dengan perkembangan autonomi pelajar tahun pertama, yang mana pelajar tahun pertama yang

mempunyai hubungan yang erat dengan ibu cenderung berhadapan dengan kesukaran berautonomi

(Schultheiss & Blustein, 1994b), berdaya tindak (Brack et al., 1993) dan mengembangkan identiti

kerjaya (Blustein, et al., 1991).

Perapatan Rakan Sebaya dan Adaptasi Kerinduan serta Keseronokan Kehidupan Universiti

Rakan sebaya merupakan salah satu agen sosial yang penting dalam perkembangan hidup pelajar

tahun pertama. Hal ini kerana, rakan sebaya dapat membantu pelajar tahun pertama untuk meneroka

aspek kehidupan baru kerana mereka bersama-sama menjalani proses perkembangan yang hampir

sama. Hasil analisis kajian menunjukkan rakan sebaya berhubungan dan mempengaruhi kerinduan

kepada kampung halaman tetapi tidak mempengaruhi keseronokan dengan kehidupan universiti.

Dapatan ini disokong oleh Claborn dan Kane (2012) yang mendapati bahawa perapatan rakan sebaya

menyediakan sokongan emosi kepada pelajar tahun pertama yang mengalami kerinduan pada kamung

halaman. Oleh itu, penglibatan rakan sebaya memberikan sokongan kepada pelajar tahun pertama

untuk bermotivasi dan bersemangat meneruskan kehidupan di universiti walaupun berhadapan dengan

kerinduan kepada keluarga. Malah, perapatan rakan sebaya yang dapat membantu pelajar tahun

pertama mengurangkan kerinduan kepada keluarga akan dapat mengembangkan kemahiran komitmen

persahabatan dengan rakan sebaya (Santrock, 1997).

Perapatan Ibu Bapa dan Kepuasan Hidup

Salah satu aspek penting yang dipengaruhi oleh perapatan bapa adalah kepuasan hidup pelajar tahun

pertama. Perapatan bapa yang kuat menyumbang kepada kepuasan hidup yang tinggi bagi pelajar

tahun pertama universiti. Hubungan yang unik ini disokong daripada analisis kajian yang mendapati

perapatan bapa menyumbang kepada kepuasan hidup pelajar tahun pertama. Dapatan kajian oleh

Flouri dan Buchanan (2002) menjelaskan bahawa perapatan bapa merupakan agen yang boleh

meningkatkan kepuasan hidup pelajar tahun pertama, terutama sekali bagi bapa mengamalkan

perapatan keselamatan kepada anak. Perapatan keselamatan merupakan bentuk keselamatan yang

diberikan kepada anak, yakni bapa sentiasa menyediakan diri untuk hadir sekiranya anak

memerlukannya (Zullig, Valois, Huebner & Drane, 2005). Hal ini mungkin dapat dijelaskan kerana,

bapa merupakan individu yang dilihat sebagai seorang yang tegas dan sukar untuk didekati, berbeza

dengan ibu sebagai individu yang sentiasa rapat dan mesra dengan anak-anak. Oleh itu, bagi seorang

Page 7: pengaruh perapatan ibu, bapa dan rakan sebaya ke atas adaptasi

7

bapa yang sentiasa menyediakan diri apabila diperlukan oleh anak-anak, maka hal tersebut

membuatkan pelajar tahun pertama berasa gembira dan diberikan perhatian, sekali gus meningkatkan

rasa kepuasan dalam hidup (Demo & Acock, 1996). Begitu juga dengan kajian oleh Wenk dan rakan-

rakan (1994) yang merumuskan bahawa kedua ibu dan bapa berperanan penting dalam kepuasan hidup

anak, tetapi perapatan bapa memberikan perasaan yang erat dan unik kepada anak yang mampu

meningkatkan kepuasan hidup yang lebih baik.

Dapatan kajian lepas itu juga dapat menjelaskan mengapa perapatan ibu tidak berhubungan

dan mempengaruhi kepuasan hidup pelajar tahun pertama. Hal ini berkemungkinan kerana, ibu

sentiasa berada di sisi pelajar dan kehadirannya tidak memberi sebarang rangsangan kelainan

sebagaimana kehadiran bapa. Dapatan tersebut dapat disokong oleh Zullig, Valois, Huebner dan Drane

(2005) yang mendapati bahawa pelajar tahun pertama yang hanya membesar bersama ibu

menunjukkan kepuasan hidup yang rendah. Hal yang sama juga bagi pelajar tahun pertama yang

masih mempunyai kedua ibu bapa yang tidak bercerai dan perapatan yang kuat, pelajar melaporkan

bahawa perapatan dengan bapa lebih meningkatkan kepuasan hidup mereka berbanding perapatan ibu

(Zullig et al., 2005).

Perapatan Rakan Sebaya dan Kepuasan Hidup

Umumnya, pelajar tahun pertama yang mempunyai ramai rakan sebaya dan kualiti hubungan yang

tinggi mampu meningkatkan kepuasan hidup pelajar (Huebner & Alderman, 1993; Oberle, Schonert-

Reichl & Zumbo, 2011). Berdasarkan analisis kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa perapatan

rakan sebaya mempengaruhi kepuasan hidup pelajar tahun pertama. Hubungan di antara kedua aspek

tersebut dapat dikaitkan dengan faktor sokongan sosial yang diterima daripada perapatan rakan sebaya.

Sebagaimana kajian oleh Ma dan Huebner (2008) menyokong dapatan tersebut dengan menyatakan

bahawa sokongan daripada rakan sebaya memberi implikasi istimewa dalam menentukan kepuasan

hidup pelajar tahun pertama dalam pengalaman pembelajaran di universiti. Begitu juga dengan kajian

yang dijalankan oleh Mahanta dan Aggarwal (2013) menjelaskan bahawa rakan sebaya memberikan

sokongan sosial kepada pelajar universiti, khususnya kepada pelajar semester pertama. Hal ini kerana,

sokongan yang diberikan oleh rakan sebaya dapat membantu pelajar menyesuaikan diri dengan

persekitaran baru dan berdaya tindak dengan tekanan persekitaran baru. Bentuk sokongan sosial yang

mampu diperoleh daripada rakan sebaya adalah keselesaan fizikal dan emosional (Israel & Schurman,

1990).

Di samping itu, perapatan rakan sebaya juga mempengaruhi pengalaman pembelajaran yang

dapat meningkatkan kepuasan hidup. Malecki dan Demaray (2003) menyatakan bahawa pelajar tahun

pertama mendapat sokongan sosial semasa dalam proses pembelajaran daripada pelbagai sumber, di

antaranya adalah rakan sebaya. Sumbangan daripada rakan sebaya tersebut bermanfaat kepada

penghasilan pencapaian akademik yang cemerlang. Hal ini kerana, pelajar tahun pertama dan rakan

sebaya bersama-sama melalui proses pembelajaran yang sama. Oleh itu, rakan sebaya lebih

memahami dan mengetahui keperluan pembelajaran yang diperlukan oleh pelajar tahun pertama

(DeSantis King et al. 2006).

PENUTUP

Hasil kajian yang diperoleh mendapati perapatan ibu mempengaruhi kepada kerinduan kepada

kampung halaman dan keseronokan kehidupan di universiti, manakala perapatan bapa dan rakan

sebaya mempengaruhi kerinduan kepada kampung halaman dan kepuasan hidup. Oleh itu, aspek-aspek

perapatan pelajar universiti amat berguna dalam memahami kemampuan pelajar universiti dalam

beradaptasi dengan persekitaran baru dan meningkatkan kepuasan hidup mereka.

Page 8: pengaruh perapatan ibu, bapa dan rakan sebaya ke atas adaptasi

8

RUJUKAN

Arnett, J. J. (2000). Emerging adulthood: A theory of development from the late teens through the

twenties. American Psychologist, 55, 469-480.

Blustein, D., Walbridge, M., Friedlander, M., & Palladino, D. (1991). Contributions of psychological

separation and parental attachment to the career development process. Journal of

Counseling Psychology, 38, 39 –50.

Brack, G., Gay, M., & Matheny, K. (1993). Relationships between attachment and coping resources

among late adolescents. Journal of College Student Development, 34, 212–215.

Claborn, R. D., & Kane, S. T. (2012). First-Year College Students’ Homesickness and Separation

Anxiety: Implications for Orientation, Retention, and Social Integration. JCOT, 19(2).

Demo, D, H., & Acock, A. C. (1996). Family structure, family process, and adolescent well-being.

Journal of Research on Adolescence, 6, 457-488.

DeSantis King, A. L., Huebner, S., Suldo, S. M., & Volois, R. F. (2006). An ecological view of school

satisfaction in adolescence: Linkages between social support and behaviour problems.

Applied Research in Quality of Life 1, 279-295.

Fisher, S., & Hood, B. (1988). Vulnerability factors in the transition to university: self-reported

mobility history and sex differences as factors in Psychological disturbance. British Journal of

Psychology, 79, 309-320.

Flett, L. G., Endler, N.S., & Besser, A. (2009). Separation Anxiety, Perceived Controllability, and

Homesickness. Journal of Applied Social Psychology, 39, 265–282.

Flouri, E., & Buchanan, A. (2002b). What predicts good relationships with parents in adolescence and

partners in adult life: Findings from the 1958 British birth cohort. Journal of Family

Psychology, 16, 186-198.

Grotevant, H. D., & Cooper, C. R. (1985). Patterns of interaction in family relationships and the

development of identity exploration in adolescence. Child Development, 56(2), 415-428.

Hiester, M. A., Nordstrom, A. H., & Swenson, L. M. (2009). Stability and change in perceived

attachment to parents and adjustment outcomes during their first semester transition to

college life: The influence of gender and residence. Journal of College Student Development,

50, 521-538.

Huebner, E.S. & Alderman, G.L. (1993). Convergent and discriminant validation of a children’s life

satisfaction scale: Its relationship to self- and teacher-reported psychological problems and

school functioning. Social Indicators Research, 30, 71-82.

Israel, B. A., & Schurman, S. J. (1990). Social support, control and the stress process. In Health

Behavior and Health Education, K. Glanz, F. M. Lewis, &B. K. Rimer, 187- 215. San

Francisco, CA: Jossey-Bass.

Jamal Ismuni, Jas Laile Suzana Jaafar, & Yoo Fei .(2012). Hubungan antara perapatan keibubapaan

dengan status identiti remaja Melayu. Jurnal Pengajian Melayu. Jilid 23, 85-98.

Kenny, M. E. (1990). College seniors’ perceptions of parental attachments: The value and stability of

family ties. Journal of College Student Development, 31(1), 39-46.

Page 9: pengaruh perapatan ibu, bapa dan rakan sebaya ke atas adaptasi

9

Ma, C. Q., & Huebner, E. S. (2008). Attachment relationships and adolescents' life satisfaction: Some

relationships matter more to girls than boys. Psychology in the Schools, 45(2), 177–190.

Mahanta, D., & Aggarwal, M. (2013). Effect of Perceived Social Support on Life Satisfaction of

University Students. European Academic Research, 1(6), 1083-1094.

Malecki, C. K., & Demaray, M. K. (2003). What type of support do they need? Investigating student

adjustment as related to emotional, appraisal, information, and instrumental support.

School Psychology Quarterly 18(3), 231-252.

Mattanah, J., Hancock, G., & Brand, B. (2004). Parental attachment, separation–individuation, and

college student adjustment: A structural equation analysis of mediational effects. Journal of

Counseling Psychology, 51, 213-225.

Mustapha, M., Hyland, M.E.& Jacobs, P.A.(2010). Development of Adaptation to Life Index.

Unpublished report for fulfillment of transfering from Mphil. to PhD. Plymouth University,

United Kingdom.

Necef, I. (2014). International students' homesickness and depression associations with mood

regulation expectancies, acculturation and attachment (Tesis tidak diterbitkan). California

State University, Fullerton.

Oberle, E., Schonert-Reichl, K. A., & Zumbo, B. D. (2011). Life satisfaction in early adolescence:

The importance of personal, neighborhood, school, family, and peer influences. Journal of

Youth and Adolescence, 40, 889-901.

Raja, S.N., McGee, R. & Stanton, W.E. (1992). Perceived attachments of parents and peers and

psychological well-being in adolescence. Journal of Youth and Adolescence, 21(4), 471-485.

Rohaty Mohd Majzub, Noriah Mohd Ishak & Ramlah Jantan. 2010. Pengaruh Kualiti Pertautan Pelajar

Asrama dengan Ibu bapa dan Rakan ke atas Penyesuaian Akademik, Sosial dan Emosi.

International Journal of Learner Diversity,59-74.

Santrock, J. W. (1997). Life Span Development. New York: Brown & Benchmark Publishers.

Santrock, J.W. (2014). Essentials of Life-Span Development. 3rd

. ed. New York: McGraw-Hill.

Schultheiss, D. P., & Blustein, D. L. (1994). Contributions of family relationship factors to the

identity formation process. Journal of Counseling and Development, 73, 159-166.

Scopelliti, M., & Tiberio, L. (2010). Homesickness in university students: the role of multiple place

attachment. Environment and Behaviour, 42(3), 335-350.

Stroebe, M., Vliet, T., Hewstone, M., & Willis, H. (2002). Homesickness among students in two

cultures: Antecedents and consequences. British Journal of Psychology, 93, 147-168.

Wenk, D., Hardesty, C., Morgan, C., & Blair, S. (1994). The influence of parental involvement on the

well-being of sons and daughters. Journal of Marriage and Family, 56, 229-234.

Zullig, K. J., Valois, R. F., Huebner, E. S., & Drane, J. W. (2005). Adolescent health-related quality

of life and perceived satisfaction with life. Qual Life Res, 14(6), 1573–1584