pencemaran alam sekitar [sumber elektronik].pdf

Click here to load reader

Post on 18-Jan-2017

249 views

Category:

Documents

3 download

Embed Size (px)

TRANSCRIPT

  • 1

    ARKIB : 07/03/2013

    Kesedaran kitar semula harus dipupuk dari kecil

    Mohd Ezani Awang menyampaikan hadiah kepada Tengku Ariqa Tengku Kamaruddin yang berjaya mengumpul bahan kitar semula terbanyak pada majlis pelancaran program Kitar Semula Peringkat Sekolah 2013 di SK Zainab (2) Kota Bharu semalam.

    KOTA BHARU 6 Mac - Kesedaran awam tentang kepentingan kitar semula harus dipupuk sejak kecil bagi melahirkan generasi yang bersikap positif dalam mencintai alam sekitar.

    Sehubungan itu, kerjasama pihak sekolah dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) negeri Kelantan adalah satu langkah yang harus dipuji dan dicontohi.

    Penganjuran program kitar semula di sekolah semakin mendapat perhatian apabila Sekolah Kebangsaan Zainab 2 hari ini melancarkan program Kitar Semula Peringkat Sekolah 2013 yang dirasmikan Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Kota Bharu, Mohd. Ezani Awang.

    Guru Besar sekolah itu, Aidah Mohd. Salleh berkata, program tersebut bertujuan memperkukuh amalan kitar semula dalam kalangan murid-muridnya di samping mendidik mereka dalam amalan kehidupan harian.

    "Program ini melibatkan kira-kira 579 murid terdiri daripada murid tahun satu sehingga tahun enam yang mana mereka akan mengumpul sisa pepejal yang boleh dikitar semula dan dibawa ke sekolah untuk dijual kepada PPSPPA.

  • 2

    "Tahun ini, pihak sekolah menyasarkan tempat pertama bagi sekolah yang mengumpul paling banyak bahan terpakai memandangkan kami mendapat tempat kedua peringkat negeri Kelantan tahun lepas," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Sementara itu, pelajar yang diiktiraf sebagai pengumpul terbanyak bahan terpakai, Tengku Ariqa Tengku Kamaruddin, 9, berkata, dia mula mengumpul barangan kitar semula sejak dua tahun lepas bersama kakaknya yang juga gemar mencari dan mengumpul barang buangan tersebut.

    "Saya sentiasa membawa beg plastik bersama-sama ketika keluar bersiar untuk memudahkan saya mengutip sisa pepejal yang boleh dikitar semula dan membawa barangan itu ke sekolah setiap sebulan sekali." katanya yang mendapat hasil jualan kira-kira RM50.

    Sali Amalin Sofiya, 10, pula, berjaya mendapat hasil jualan kira-kira RM20 apabila mula mengumpul barangan kitar semula selepas diberitahu guru sekolahnya mengenai kepentingan amalan tersebut kepada alam sekitar.

    "Saya suka mengumpul barang kitar semula kerana dapat mengelakkan pencemaran dan saya akan menjual barangan ini setiap minggu," katanya.

    Menurut seorang lagi murid, Amalin Aisyah Putri Razali, 12, dorongan daripada keluarga menyebabkannya berminat mengumpul barangan yang boleh dikitar semula.

    "Saya mula mengumpul sisa pepejal ini sejak tahun lepas selepas adanya program kitar semula di sekolah dan saya menyimpan wang hasil jualan barangan tersebut.

    "Ahli keluarga sering mengingatkan saya mengumpul barangan kitar semula selepas digunakan untuk mengelakkan sampah sarap bersepah di merata tempat terutamanya di tempat pembuangan sampah," ujarnya.

  • 3

    ARKIB : 25/02/2013

    Sahut seruan kempen tanam pokok

    BENTONG 24 Feb. - Rakyat perlu menyahut seruan bagi menjayakan kempen menghijaukan bumi dengan menanam sekurang-kurangnya sebatang pokok bagi memulihara alam sekitar.

    Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, bumi bukan sahaja perlu dilindungi dengan kehijauan pokok untuk mengelak hakisan tetapi bagi mengurangkan pencemaran menangani masalah pemanasan global.

    Beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memandang serius masalah peningkatan pemanasan global dan perlu ditangani segera jika mahu menyelamatkan bumi.

    "Semasa menghadiri persidangan WHO baru-baru ini yang dihadiri menteri-menteri kesihatan dari seluruh dunia, masalah pemanasan global menjadi agenda utama dalam perbincangan tersebut.

    "Hasil kajian WHO menunjukkan kepanasan yang meningkat setiap satu darjah celsius akan menyebabkan salji menjadi cair dan paras air laut akan meningkat serta menenggelamkan pulau," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Penanaman Semula Pokok "Seorang Satu Pokok" anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri di Cure & Care Mempaga 3, dekat sini semalam.

    Yang hadir sama Pengarah AADK negeri, Azmi Mustafa dan Pengurus Felda Wilayah Mempaga, Mohd. Nasir Embong.

  • 4

    ARKIB : 25/02/2013

    Nilai sisa sawit

    Relau yang memuatkan buah kelapa sawit untuk distimkan sebelum proses memerah minyak dilakukan.

    Menerusi proses menghasilkan minyak kelapa sawit, penghasilan serta lambakan bahan buangan seperti tandan buah kosong (EFB) dan juga tempurung kelapa sawit mendatangkan sedikit masalah.

    Sebelum ini, bahan-bahan tersebut akan dibuang begitu sahaja, namun terdapat juga usaha untuk memproses bahan buangan tersebut untuk dijadikan baja.

    Terbaru, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Kyushu Institute of Technology (KIT) dari Jepun mengadakan bengkel khas untuk membincangkan pengurusan bahan buangan tersebut.

    Bengkel tersebut diadakan untuk membincangkan kaedah terbaik yang dikenali sebagai sistem sisa buangan sifar (zero-discharge system) di kilang sawit bagi menguruskan bahan buangan tersebut.

    Menurut pengerusi bengkel tersebut, Prof. Dr. Mohd. Ali Hassan, kajian antara UPM dan KIT telah dilaksanakan sejak 15 tahun dahulu lagi.

  • 5

    Jelasnya, industri sawit menjadi fokus negara dan usahasama yang mana penjanaan sisa sawit yang begitu banyak telah membuka peluang menjalankan pelbagai penyelidikan.

    Kita juga sentiasa mengambil peluang dan mencari kaedah serta teknologi terbaik menyelesaikan masalah sisa industri sawit.

    Kerjasama di antara Kyutech dan UPM telah menghasilkan pelbagai teknologi yang kini dapat diguna pakai oleh industri bagi mencapai matlamat zero-discharge dan pembangunan lestari," katanya ketika di Sandakan, Sabah baru-baru ini.

    Kini, hasil kerjasama ini kedua-dua buah universiti telah memperkenalkan system tersebut di kilang sawit di Sandakan, Sabah.

    Projek tersebut juga merupakan perkongsian penyelidikan untuk pembangunan mapan dalam bidang Sains dan Teknologi (SATREPS) di antara Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan Agensi Sains dan Teknologi Jepun.

    Konsep kami adalah untuk mewujudkan peluang perniagaan melalui sistem buangan sifar seperti bioplastik, biogas, arang EFBdan rawatan air sisa (efluen) yang menyumbang kepada pemuliharaan kawasan ramsar di Sungai Kinabatangan dan Segama," kata Dr. Mohd. Ali.

    UPM dengan kerjasama KIT akan membangunkan sistem bahan buangan sifar di kilang-kilang sawit di sekitar Sungai Kinabatangan untuk menjana perniagaan baru berkonsep hijau.

    JICA, JST, UPM dan KIT mempunyai sejarah kerjasama penyelidikan dan pembangunan sejak tahun 1990an dalam bidang alam sekitar dan bioteknologi.

    Konsep buangan sifar merupakan satu amalan membebaskan bahan-bahan seperti air yang terawat bagi mengelakkan alam sekitar tercemar.

    Di dalam industri pemprosesan minyak kelapa sawit, proses membebaskan sisa bahan buangan telah lama menjadi isu alam sekitar.

    Jika dahulu sisa buangan tersebut dialirkan terus ke sungai tanpa dirawat dan amalan tersebut menyebabkan pencemaran alam sekitar yang teruk.

    Antara sisa lain dalam pemprosesan minyak kelapa sawit adalah serat EFB dan juga tempurung kelapa sawit.

    Sebelum ini, serat EFB dan tempurung kelapa sawit hanya dibuang begitu sahaja dan hanya sedikit yang menjadikannya sebagai baja.

  • 6

    Biarpun sisa buangan tersebut mencemarkan alam sekitar namun pihak industri tidak memiliki cara untuk menjadikannya sebagai sesuatu yang berharga.

    Oleh kerana sawit merupakan salah satu industri utama negara, lambakan sisa bahan buangan tersebut semakin meningkat saban hari. Oleh itu, satu kajian atau tindakan perlu dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut.

    Sehubungan itu, bengkel yang bertemakan Zero-Discharge From Palm Oil Industry & Creation Of New Green Profitable Business yang diadakan telah membincangkan konsep penciptaan peluang perniagaan.

    Antaranya , ialah melalui sistem buangan sifar yang mana bahan sisa dari kilang-kilang kelapa sawit dikitar semula bagi memperoleh produk-produk yang mempunyai nilai tambah.

    Contoh produk nilai tambah yang boleh dihasilkan adalah seperti bioplastik, biogas untuk penjanaan tenaga elektrik, arang daripada tandan sawit kosong dan cengkerang sawit, perolehan semula air, serta rawatan air sisa.

    Menerusi kaedah tersebut, negara dijangka memperoleh impak yang positif seperti penggunaan bahan sisa sawit secara lebih efisien mampu mendatangkan keuntungan melalui penghasilan produk nilai tambah.

    Selain itu, pengamalan sistem rawatan sisa efluen yang lebih lestari di semua kilang sawit juga dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

    Menerusi sistem yang diperkenalkan juga, projek-projek loji pandu yang dibina di kilang sawit akan mempamerkan keupayaan untuk perlaksanaan pada skala penuh.

    Malah, sistem tersebut juga bakal mencipta peluang perniagaan hijau yang menguntungkan negara.

    Antara lain ia juga mencipta peluang pelaburan dari syarikat luar terutamanya Jepun bagi perniagaan produk nilai tambah serta menggalakkan pemuliharaan alam semulajadi di sekitar Kinabatangan, Sabah.

    Namun apa yang paling penting adalah, imej industri sawit sebagai industri yang mesra alam dan mengamalkan pembangunan lestari juga dapat dipertingkatkan.

  • 7

    ARKIB : 04/03/2013

    Bersedia guna teknologi hijau

    Oleh LAUPA JUNUS

    Model Rumah Tenaga Ultra Rendah yang dibangunkan di Taman Penyelidikan Inovasi Hijau di Bangi.

    MALAYSIA sebenarnya bersedia untuk menjayakan konsep teknologi hijau," dem