modul unit 1 pengenalan kepada perakaunan

28
1 UNIT 1 PENGENALAN KEPADA PERAKAUNAN HASIL PEMBELAJARAN Di akhir unit ini, anda diharap dapat: 1.Menerangkan sejarah ringkas dan evolusi perakaunan. 2. Menerangkan perbezaan perakaunan dan simpankira. 3. Membincangkan pengguna maklumat perakaunan. 4. Membincangkan bentuk organisasi perniagaan. 5.Menerangkan prinsip-prinsip perakaunan diterima umum. 6. Menerangkan badan-badan perakaunan di Malaysia. 1.1 SEJARAH RINGKAS DAN EVOLUSI PERAKAUNAN Perakaunan secara umumnya wujud sejak dahulu lagi, ilmu perakaunan bukanlah satu bidang yang asing dalam kehidupan manusia. Sejarah tamadun awal menunjukkan aktiviti ini dijalankan sejak turun-temurun khususnya manusia mula berniaga. Manusia mengenali ilmu perakaunan kerana keperluan untuk merekodkan semua aktiviti perdagangan harian. Tetapi, pada takat kini tidak ada lagi yang mengetahui kaedah atau teknik yang sebenar digunakan pada zaman dahulu. Walau bagaimanapun kaedah- UNIT 1 PENGENALAN KEPADA PERAKAUNAN

Upload: mohd-muktasim

Post on 05-Dec-2014

326 views

Category:

Documents


5 download

DESCRIPTION

Pengenalan Kepada Perakaunan

TRANSCRIPT

Page 1: Modul Unit 1 Pengenalan Kepada Perakaunan

1

UNIT 1

PENGENALAN KEPADA PERAKAUNAN

HASIL PEMBELAJARAN

Di akhir unit ini, anda diharap dapat:

1. Menerangkan sejarah ringkas dan evolusi perakaunan.2. Menerangkan perbezaan perakaunan dan simpankira.3. Membincangkan pengguna maklumat perakaunan.4. Membincangkan bentuk organisasi perniagaan.5. Menerangkan prinsip-prinsip perakaunan diterima umum.6. Menerangkan badan-badan perakaunan di Malaysia.

1.1 SEJARAH RINGKAS DAN EVOLUSI PERAKAUNAN

Perakaunan secara umumnya wujud sejak dahulu lagi, ilmu perakaunan bukanlah satu bidang yang asing dalam kehidupan manusia. Sejarah tamadun awal menunjukkan aktiviti ini dijalankan sejak turun-temurun khususnya manusia mula berniaga. Manusia mengenali ilmu perakaunan kerana keperluan untuk merekodkan semua aktiviti perdagangan harian. Tetapi, pada takat kini tidak ada lagi yang mengetahui kaedah atau teknik yang sebenar digunakan pada zaman dahulu. Walau bagaimanapun kaedah-kaedah itu telah mengalami perubahan mengikut peredaran zaman dan ada juga kaedah yang masih dipraktikkan sehingga ke hari ini. Di zaman silam segala aktiviti ditulis bukanlah berbentuk angka sebaliknya berdasarkan gambar binatang buruan, kegiatan bercucuk tanam dan kegiatan pertukaran barang dengan puak lain. Ini menunjukkan catatan perdagangan adalah tidak sistematik berbanding dengan sekarang.

Penggunaan simbol-simbol dalam urusniaga perdagangan mengalami banyak masalah. Diantaranya sukar memindahkan rekod-rekod ke tempat lain dan boleh mengelirukan pihak-pihak yang terlibat. Keadaan seperti ini boleh membawa kepada perselisihan faham malah membawa kepada pergaduhan. Penggunaan simbol-simbol ini akhirnya bertukar kepada pembentukan huruf-huruf dan angka-angka bagi mewakili nilai dan maklumat. Sistem ini dapat dilihat pada zaman silam seperti orang Rom telah banyak mengalami perubahan dalam sistem tulisan moden. Manakala orang Islam dan orang Hindu membawa perubahan sistem angka.

UNIT 1 PENGENALAN KEPADA PERAKAUNAN

Page 2: Modul Unit 1 Pengenalan Kepada Perakaunan

2

Abad ke-15

Pada abad ke-15 aliran perakaunan telah menjadi lebih mantap lagi. Dalam tahun 1495, Luca Pacioli telah menggegarkan bidang penyimpan rekod perniagaan dengan penerbitan buku matematiknya iaitu Summa De Aritmatica, giometrica, proportioni atau projotronalika yang diterbitkan di Venice. Terdapat satu bahagian di dalam buku ini yang menghuraikan pendekatan catatan bergu sebagai asas menyediakan rekod simpankira. Oleh yang demikian Luca Pacioli telah membentuk asas perakaunan yang diamalkan pada masa kini. Hasil sumbangannya dalam bidang perakaunan menyebabkan beliau dikenali sebagai ‘Bapa Perakaunan’.

Abad ke-17 dan 18

Revolusi perindustrian yang berlaku di abad ini telah membawa kepada pendekatan baru terhadap ilmu perakaunan. Revolusi yang berlaku menyebabkan banyak industri semakin besar dan memerlukan sistem perakaunan yang lebih meluas, sistematik dan efektif. Ini bertujuan untuk perkembangan industri dan mengelakkan kekeliruan berlaku. Pada masa yang sama, penyata kewangan dan pelaporan berasaskan akaun-akaun telah diperkenalkan.

Abad ke-19

Pada abad ini, syarikat perniagaan telah mula ditubuhkan secara besar-besaran. Syarikat perniagaan tersebut telah mengubah corak pengurusan dan pentadbiran yang lebih sistematik. Syarikat bukan lagi berbentuk milik perseorangan dan perkongsian malah berbentuk syarikat berhad. Pemilik syarikat berhad ini memerlukan ahli yang ramai. Ini dapat dilihat di dalam perusahaan kapal, besi dan kereta. Ia memerlukan saham atau syer yang dijual kepada orang ramai bagi mendapatkan modal yang lebih banyak. Oleh yang demikian bentuk perniagaan menjadi besar dan lebih terancang. Pada masa yang sama, pihak kerajaan telah menyediakan undang-undang bagi mengawal dan melindungi hak mereka yang terlibat.

Abad ke-20

Dalam abad ini, bidang perakaunan telah mencapai tahap yang lebih profesional. Pencapaian ini dapat dilihat dengan tertubuhnya badan-badan profesional perakaunan seperti Jawatankuasa Panduan Piawaian Perkaunan, Jawatankuasa Piawaian Perakaunan Antarabangsa, Lembaga Piawai Perakaunan Malaysia, Institut Akauntan Malaysia dan Persatuan Akauntan Awam Bertauliah Malaysia.

Jawatankuasa Panduan Piawai Perakaunan telah ditubuhkan oleh Institute Of Chartered Accountants di England dan Wales pada tahun 1969. Badan ini menjadi rujukan dan panduan kepada ahli-ahlinya berkaitan dengan format piawai penyata kewangan yang hendak diterbitkan. Pada tahun 1973, Jawatankuasa Piawai Perakaunan Antarabangsa (IASC) telah ditubuhkan. Badan ini ditubuhkan bagi memastikan penggunaan piawai asas penyediaan akaun dan penyata kewangan.

UNIT 1 PENGENALAN KEPADA PERAKAUNAN

Page 3: Modul Unit 1 Pengenalan Kepada Perakaunan

3

Lembaga Piawai Perakaunan Malaysia (MASB) pula telah ditubuhkan pada 1 Julai 1997. MASB ditubuhkan bagi menggubal satu rangka perakaunan dan menerbitkan piawai perakaunan yang bersesuaian dengan akta pelaporan kewangan 1997. MASB juga berfungsi menyemak dan meminda piawai perakaunan sedia ada jika perlu.

Institut Akauntan Malaysia (MIA) merupakan satu badan profesional akauntan di Malaysia yang diperundangkan dalam tahun 1969 di bawah Seksyen 3 Akta Akauntan 1967. Penubuhan badan ini bertujuan membangun dan memperkembangkan profesion perakaunan di Malaysia. MIA juga berfungsi mengadakan latihan, pendidikan dan peperiksaan kepada mereka yang ingin mengamalkan profesion perakaunan di Malaysia.

Persatuan Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MACPA) telah ditubuhkan pada tahun 1965 berdasarkan kepada Akta Syarikat 1965. Badan ini ditubuhkan bagi membangun dan menggerakkan kemajuan profesion perakaunan di Malaysia. Sekarang MACPA telah ditukar kepada MICPA (Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia)

1.2 PERAKAUNAN DAN SIMPANKIRA

Definisi Perakaunan

Perakaunan secara ringkas ialah bahasa perniagaan. Ia menjadi satu alat yang digunakan oleh entiti perniagaan untuk mengemukakan laporan kegiatan yang dijalankan. Akan tetapi perakaunan tidak terhad kepada perniagaan sahaja malah ia juga digunakan di dalam organisasi bukan perniagaan.

Frank Wood di dalam bukunya Business Accounting 1, mendefinisikan perakaunan sebagai “the process of identifying measuring and communicating economic information to permit informed judgements and decisions by user of information".

Alan L. Robb pula mendefinisikan perakaunan sebagai satu disiplin ilmu yang menyediakan maklumat bagi bagi melaksanakan aktiviti yang lebih berkesan oleh sebuah organisasi. Di dalam proses itu terdapat aktiviti seperti mengumpul, mengira, mengklasifikasi, merumus dan melaporkannya kepada mereka yang berkepentingan terhadap maklumat tersebut.

Andrew Long pula mengatakan perakaunan sebagai satu cara merekod, mengklasifikasi, merumus dan melaporkan aktiviti perniagaan dalam suatu tempoh tertentu. Merekod bermakna sesuatu urusniaga direkodkan dalam buku perniagaan; mengklasifikasi bermakna pengisian data-data mengikut jujukan kategori; merumus bermakna data-data diringkaskan; dan melaporkan bermakna maklumat kewangan dianalisa dan laporkan.

Oleh itu saya mendefinasikan perakaunan sebagai satu proses mengenalpasti, merekod, mengkelas, meringkas, melapor dan mentafsirkannya semua urusniaga secara sistematik dalam bentuk nilai matawang.

UNIT 1 PENGENALAN KEPADA PERAKAUNAN

Page 4: Modul Unit 1 Pengenalan Kepada Perakaunan

4

Definisi Simpankira

Simpankira adalah proses merekodkan urusniaga secara tepat dan bersistem di dalam buku-buku akaun perniagaan. Ia dilakukan bertujuan untuk merekod, mengkelas dan meringkas urusniaga. Selain itu simpankira juga menyimpan maklumat aset yang dimiliki dan jumlah yang terhutang kepada orang lain.

Perbezaan Perakaunan Dan Simpankira

Perakaunan merupakan satu proses yang luas dan lebih menyeluruh manakala simpankira merupakan satu aspek kecil di dalam perakaunan. Simpankira berkaitan proses urusniaga iaitu urusniaga, dokumen, buku catatan pertama, lejar, dan imbangan duga sahaja.

Perakaunan diuruskan oleh akauntan yang melakukan kerja menyediakan penyata kewangan, menganalisis maklumat kewangan, menyediakan belanjawan, menjalankan kerja audit dan memberi nasihat kepada pihak pengurusan. Sementara simpankira dilakukan oleh kerani kewangan yang hanya memerlukan pengetahuan minimum perakaunan.

1.3 PENGGUNA MAKLUMAT PERAKAUNAN

Pengguna maklumat perakaunan terbahagi kepada dua iaitu pengguna dalaman dan pengguna luaran. Kedua-dua jenis pengguna ini mempunyai kepentingan yang berbeza ke atas maklumat dalam penyata kewangan. Pengguna dalaman terdiri daripada pihak pengurusan dan mereka yang bekerja dalam organisasi berkenaan. Pengguna luaran pula terdiri daripada individu atau sekumpulan orang luar syarikat yang mempunyai kepentingan dengan syarikat tersebut seperti pelabur, bank, pemiutang, Lembaga Hasil Dalam Negeri, dan lain-lain. Pengguna luaran memerlukan maklumat perakaunan tersebut bagi membolehkan mereka membuat perbandingan prestasi kewangan sesebuah perniagaan.

Setiap pengguna maklumat mempunyai kepentingan yang tertentu terhadap maklumat perakaunan. Kepentingan maklumat perakaunan kepada pengguna adalah seperti berikut:

UNIT 1 PENGENALAN KEPADA PERAKAUNAN

Page 5: Modul Unit 1 Pengenalan Kepada Perakaunan

5

PENGGUNA MAKLUMAT KEGUNAAN MAKLUMATPengguna dalamanPihak pengurusan / kakitangan Menilai keputusan pengurusan yang lepas,

mengawal aktiviti operasi syarikat dan membuat keputusan (merancang) untuk masa depan.

Pengguna luaran i. Pelabur sedia ada

ii. Bakal pelabur / bakal rakan kongsi

iii. Pihak bank / pemiutang

iv. Lembaga Hasil Dalam Negeri

Mengetahui nilai modal yang dilaburkan dan jumlah dividen yang yang diterima. Ingin mengetahui sumber-sumber kewangan perniagaan.

Melihat perniagaan itu memberikan untung atau tidak sebelum membuat keputusan melabur atau menjadi rakan kongsi perniagaan. Menilai kebolehan perniagaan untuk membayar balik hutang bersama faedah atas pinjaman.

Menentukan jumlah cukai yang dikenakan atas untung perniagaan

Jadual 1.1 Pengguna dan Kegunaan Maklumat Perakaunan

1.4 BENTUK ORGANISASI PERNIAGAAN

1.4.1 Perniagaan Tunggal

Milikan tunggal ialah perniagaan yang dimiliki dan diuruskan oleh seorang pemilik sahaja. Pemilik kepada perniagaan jenis ini akan berkuasa sepenuhnya terhadap perniagaan mereka. Ia senang diuruskan dan bersaiz kecil. Sebagai pemilik kepada jenis perniagaan ini, ia menerima semua hasil dan menanggung semua risiko yang dialaminya. Seandainya jenis perniagaan ini mempunyai pembantu, biasanya pembantu tersebut terdiri daripada saudara-mara atau rakan taulan pemilik sebagai pekerja biasa sahaja.

Bincangkan Kebaikan Perniagaan Tunggal Bincangkan Keburukan Perniagaan Tunggal

UNIT 1 PENGENALAN KEPADA PERAKAUNAN

Page 6: Modul Unit 1 Pengenalan Kepada Perakaunan

6

1.4.2 Perkongsian

Perniagaan perkongsian ditubuhkan dibawah Akta perkongsian1961. Mengikut akta ini perniagaan dimilki diantara dua hingga dua puluh orang dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan atau sebarang faedah. Perniagaan perkongsian dikatakan lebih besar daripada milikan tunggal kerana ia mempunyai lebih daripada seorang pemilik. Pemilik perkongsian perlu berkongsi untung mengikut kadar tertentu yang dipersetujui.

Perkongsian dikendalikan mengikut persetujuan atau kontrak yang dipanggil perjanjian perkongsian. Di antara perkara yang termaktub dalam perjanjian ini adalah nama perkongsian, ahli-ahli yang terlibat dalam pengurusan, sumbangan modal setiap pekongsian dan harta-harta perkongsian.

Perniagaan perkongsian mempunyai ahli-ahli atau rakan kongsi. Rakan kongsi ialah pemilik bersama perniagaan. Secara umum jenis rakan kongsi dibahagikan menurut jenis liabiliti yang mereka tanggung iaitu rakan kongsi am dan rakan kongsi terhad. Rakan kongsi am ialah rakan kongsi yang berliabiliti tidak terhad, manakala rakan kongsi terhad ialah rakan kongsi yang berliabiliti terhad.

Selain itu rakan kongsi perkongsian boleh diklasifikasikan kepada jenis-jenis.

Rakan kongsi senyapRakan kongsi rahsiaRakan kongsi tidur Rakan kongsi namaan Kebaikan PerkongsianKeburukan Perkongsian

1.4.3 Syarikat

Perniagaan berbentuk syarikat ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965. Bentuk perniagaan jenis ini dimiliki oleh ramai pemilik melalui pegangan saham. Ia mempunyai liabiliti yang terhad. Syarikat akan membahagikan untung, risiko dan tanggungjawab berdasarkan jumlah saham yang dimiliki. Keuntungan diagihkan dalam bentuk dividen bagi setiap unit saham. Kepentingan pemegang saham dijaga oleh lembaga pengarah syarikat yang merupakan pemegang saham majoriti.

UNIT 1 PENGENALAN KEPADA PERAKAUNAN

Page 7: Modul Unit 1 Pengenalan Kepada Perakaunan

7

Bincangkan Kebaikan SyarikatBincangkan Keburukan Syarikat

1.5 PRINSIP-PRINSIP PERAKAUNAN DITERIMA UMUM

Prinsip ini memberi panduan bagaimana untuk membuat pengukuran, merekod aktiviti ekonomi dan cara melaporkannya. Ia merangkumi konvensyen, konsep, peraturan, prosedur dan garis panduan perakaunan yang bertujuan untuk menyediakan satu rangka rujukan dalam praktis perakaunan. Berpandukan prinsip ini, situasi yang sama akan diukur, direkod dan dilaporkan dengan cara yang sama oleh semua akauntan.

Prinsip ini perlu supaya maklumat yang dilaporkan adalah lengkap, boleh dipercayai dan boleh difahami. Oleh itu perbandingan di antara penyata kewangan tahun semasa dengan penyata kewangan tahun sebelumnya dan juga perbandingan dengan syarikat lain bagi tahun yang sama dapat dilakukan.

Prinsip atau konsep perakaunan adalah seperti berikut :

1.5.1 Konsep Kos Sejarah

Urusniaga sesebuah perniagaan melibatkan berbagai-bagai bentuk nilai asal, nilai semasa dan juga nilai masa depan. Walaubagaimanapun, setiap akauntan mesti melaporkan butir-butir kewangan yang tepat dan objektif. Oleh itu, amat penting kita mengambil asas yang menyatakan bahawa setiap aset mestilah daripada nilai asal aset tersebut dibeli dan bukannya berdasarkan nilai pasaran aset tersebut. Konsep ini merupakan asas untuk menilai aset kerana nilai kos adalah lebih objektif dan boleh dibuktikan. Aset ini tidak direkodkan pada nilai semasa atau nilai pasaran kerana ia adalah subjektif.

Contoh : Perniagaan Ahmadi membeli sebuah kereta proton saga dengan harga RM25,999 pada 15 Mei 20X1. Harga pasaran kereta proton saga ini telah meningkat kepada RM34,999 pada tahun 20X2. Seorang pelanggan ingin membeli kereta proton saga tersebut dengan harga yang bakal dipersetujui iaitu pada harga pasaran. Adakah tindakan yang diambil oleh Ahmadi itu betul? Jika tidak kenapa?

Penyelesaian : Tindakan yang diambil oleh Ahmadi salah. Ini kerana ianya menyalahi konsep kos sejarah, yang bermaksud semua aset perniagaan perlulah direkodkan pada harga belian aset tersebut bukannya pada harga pasaran.

1.5.2 Konsep Pengukuran Wang Stabil

Peristiwa perakaunan atau urusniaga perakaunan perlu diukur dalam bentuk menggunakan nilai matawang negara tersebut misalnya Malaysia menggunakan Ringgit. Oleh yang demikian, hanya urusniaga yang boleh diukur dengan wang sahaja yang akan direkodkan dalam perniagaan. Konsep ini turut mengandaikan wang mempunyai nilai yang stabil.

UNIT 1 PENGENALAN KEPADA PERAKAUNAN

Page 8: Modul Unit 1 Pengenalan Kepada Perakaunan

8

Walaupun demikian, konsep ini mempunyai kelemahan iaitu: skop perakaunan dihadkan, dimana faktor-faktor yang memberi kesan ke atas aktiviti dan prospek masa hadapan perniagaan seperti maklumat berkaitan kebolehan pengurusan, kekuatan dan kelemahan perniagaan serta maklumat berkaitan kematian dan kelemahan presiden syarikat, tidak dapat dilaporkan dalam bentuk nilai wang. Matawang pula tidak sentiasa stabil kerana berlaku perubahan dalam nilai matawang di pasaran akibat daripada berlakunya inflasi dan deflasi dalam ekonomi.

Contoh : Suatu urusniaga telah berlaku dalam sebuah perniagaan tetapi nilainya dalam bentuk wang tidak dapat dipastikan lagi. Akauntan perniagaan tersebut telah membuat keputusan untuk tidak merekodkan urusniaga tersebut sehingga nilai dapat dipastikan. Adakah tindakan akauntan tersebut betul ? Kenapa ?

Penyelesaian : Tindakan akauntan tersebut betul kerana pelaporan urusniaga perlu dilaporkan dalam bentuk nilai wang tepat.

1.5.3 Konsep Entiti Berasingan

Konsep ini mengandaikan firma atau perniagaan dan pemilik adalah dua entiti yang berbeza tidak kira samada perniagaan berbentuk perniagaan tunggal, perkongsian atau syarikat. Perakaunan menganggap bahawa setiap entiti perniagaan memiliki aset sendiri dan menanggung hutang dalam perniagaan secara berasingan dari pemiliknya. Begitu juga dengan hasil dan belanja. Oleh yang demikian, proses perakaunan hanya berkenaan dengan perekodan urusniaga yang dialami oleh firma sahaja. Dengan ini hasil operasi dan kedudukan kewangan entiti dapat ditentukan. Bagi perniagaan tunggal dan perkongsian, daripada segi perakaunan kedua-dua pemilik perniagaan ini adalah berasingan daripada perniagaannya. Tetapi, dari segi undang-undang pula, pengasingan sebegini tidak wujud iaitu pemilik adalah bertangungjawab sepenuhnya ke atas perniagaannya. Ini bermakna, jika perniagaan tidak mampu menjelaskan hutangnya, pemiliknya akan bertanggunjawab menjelaskan dengan menggunakan aset peribadinya.

Contoh : Encik Remy membeli sebuah kereta untuk kegunaan isterinya. Beliau telah merekodkan pembelian ini ke dalam buku perniagaannya. Selain itu, semua perbelanjaan minyak petrol untuk kereta berkenaan turut direkodkan dalam buku perniagaan. Adakah tindakan Encik Remy ini menepati mana-mana konsep perakaunan?

Penyelesaian : Encik Remy tidak mematuhi konsep entiti berasingan. Ini kerana pembelian kereta dan perbelanjaan petrol adalah perbenjaan peribadi bukannya perbelanjaan perniagaan. Oleh itu, ianya tidak boleh dilaporkan dalam buku perniagaan. Sebaliknya ianya perlu dilaporkan sebagai belanja peribadi pemilik.

1.5.4 Konsep Usaha Berterusan

Konsep ini mengandaikan perniagaan terus beroperasi untuk satu tempoh yang panjang dan tidak dapat ditentukan hadnya. Ini bermakna perniagaan akan dapat berniaga dan membuat untung untuk tempoh yang lama. Andaian ini penting untuk menilai aset dan melaporkan kedudukan kewangan sesebuah perniagaan di mana perekodan dibuat pada nilai kos dan bukannya pada nilai pasaran. Ini adalah kerana

UNIT 1 PENGENALAN KEPADA PERAKAUNAN

Page 9: Modul Unit 1 Pengenalan Kepada Perakaunan

9

aset tetap terutamanya diandaikan akan digunakan secara berterusan dalam operasi perniagaan untuk menghasilkan pendapatan. Perubahan dalam harga pasaran tidak akan mempengaruhi kegunaan aset.

Contoh : Labu Labi Enterprise membeli sebuah kenderaan pada harga kos RM40,000 dengan anggaran jangka hayat kenderaan tersebut adalah selama 10 tahun. Harga pasaran kenderaan tersebut adalah RM44,000. Adalah dicadangkan aset tersebut disusutnilaikan untuk tempoh lima tahun kerana perniagaan dijangkakan akan dibubarkan dalam jangkamasa tersebut.

Penyelesaian : Cadangan ini tidak boleh diterima kerana ianya bertentangan dengan konsep usaha berterusan. Aset tersebut perlu direkodkan pada nilai RM40,000 dengan susutnilai selama 10 tahun kerana perniagaan diandaikan akan beroperasi pada satu jangka masa yang tidak boleh ditentukan.

1.5.5 Konsep Catatan Bergu

Konsep ini menekankan yang setiap urusniaga mempunyai dua kesan. Satu "penerima" dan satu lagi "pemberi". Oleh itu wujud istilah yang dipanggil "debit" dan "kredit". Konsep ini mempunyai 2 alasan penting. Alasan logik menyatakan nilai yang masuk hendaklah didebitkan dan nilai yang keluar hendaklah dikreditkan. Manakala alasan prinsip menyatakan jika berlaku pertambahan dalam aset, belanja dan rugi hendaklah didebitkan dan sebaliknya jika berlaku pengurangan di dalam item tadi hendaklah dikreditkan.

Contoh : Ali memulakan perniagaan dengan membawa masuk tunai sebagai modal RM10,000. Ali telah merekodkannya di dalam Akaun Modal dan Akaun Ali. Berikan komen anda.

Penyelesaian: Ali telah tidak mematuhi konsep catatan bergu. Ia sepatutnya debitkan Akaun Tunai dan kreditkan Akaun Modal.

1.5.6 Konsep Ketekalan

Konsep ini menghendaki firma mengekalkan semua kaedah yang digunakan. Tujuannya ialah untuk memudahkan perbandingan antara prestasi masa lepas dan semasa, memudahkan perbandingan antara firma, dan supaya pelaporan yang ideal dan saksama dapat dipersembahkan.

Contoh : Syarikat TESL Berhad menggunakan kaedah garis lurus dalam menilai susutnilai semua aset syarikat. Syarikat bercadang untuk menukar kaedah penilaian tersebut kepada kaedah baki berkurangan untuk semua aset tetap syarikat. Adakah tindakan syarikat ini mematuhi konsep ketekalan? Huraikan.

Penyelesaian : Syarikat tidak mematuhi konsep ketekalan kerana sesuatu kaedah yang telah digunakan perlu diteruskan penggunaan di tahun-tahun berikutnya.

1.5.7 Konsep Tempoh Perakaunan

UNIT 1 PENGENALAN KEPADA PERAKAUNAN

Page 10: Modul Unit 1 Pengenalan Kepada Perakaunan

10

Penyata kewangan sesebuah perniagaan disediakan untuk satu tempoh yang tertentu, biasanya setiap 12 bulan (satu tahun). Namun begitu ada perniagaan yang menyediakan penyata kewangan untuk tempoh enam bulan, empat bulan dan sebagainya. Konsep ini membolehkan prestasi diukur.

Contoh : Perniagaan Air Batu telah ditubuhkan pada 1 Januari 20X1. Perniagaan ini menutup akaun perniagaannya setiap 12 bulan iaitu pada 31 Disember setiap tahun. Berikan komen anda berkaitan dengan tindakan syarikat ini dengan melihat kepada konsep perakaunan yang berkaitan.

Penyelesaian : Tindakan ini adalah amalan biasa perniagaan dan ianya memenuhi konsep tempoh perakaunan iaitu penyata kewangan disediakan untuk setiap 12 bulan.

1.5.8 Konsep Materialiti

Konsep ini adalah berkait dengan prosedur pengkelasan dan persembahan semua maklumat perakaunan dan amaunnya. Sesuatu amaun yang dilaporkan itu mestilah signifikan dimana nilai yang tidak material seperti nilai sen boleh diabaikan. Penentuan samada sesuatu nilai itu adalah signifikan atau tidak, bergantung kepada pertimbangan pihak pengurusan. Penentuan nilai yang signifikan ini adalah dilihat dari segi jenis firma, jenis perniagaan atau saiz perniagaan. Tujuan konsep ini supaya persembahan penyata kewangan yang lebih kemas dan teratur.

Contoh : Dua buah peralatan telah dibeli pada harga RM10 dan RM10,000 masing-masing. Usia guna kedu-dua peralatan ini dijangkakan selama 10 tahun. Dicadangkan kedua-dua peralatan ini disusutnilaikan selama 10 tahun. Berikan komen anda terhadap tindakan ini berpandukan kepada konsep perakaunan tersebut.

Penyelesaian : Mengikut konsep materialiti adalah tidak signifikan untuk mengira susutnilai ke atas peralatan yang berharga RM10. Oleh itu, peralatan bernilai RM10 lebih baik dilaporkan sebagai belanja untuk tahun berkenaan. Sementara RM10,000 adalah material untuk disusutnilaikan selama 10 tahun.

1.5.9 Konsep Realisasi

Konsep ini menyatakan hasil hanya akan diambilkira jika ianya benar-benar berlaku atau diperolehi. Untuk memastikan bahawa sesuatu hasil itu benar-benar berlaku ianya hendaklah mematuhi kriteria berikut : barang atau perkhidmatan diberi (berlaku urusniaga), pembeli sanggup membayar harga barang dan perkhidmatan, pembeli pada situasi ini berupaya untuk membayar, dan kestabilan nilai matawang. Oleh yang demikian, realisasi tidak berlaku apabila pesanan diterima atau apabila menerima pendahuluan daripada atas barang atau perkhidmatan yang belum diberikan.

Contoh : Encik Sameon adalah seorang pengusaha barang tembikar. Beliau telah menerima tempahan untuk membuat 100 buah tembikar daripada seorang pelanggan. Beliau telah merekodkan tempahan tersebut dan mengiktiraf hasilnya pada tarikh tempahan tersebut dibuat oleh pelanggan. Berikan komen anda dengan berpandukan konsep di atas.

UNIT 1 PENGENALAN KEPADA PERAKAUNAN

Page 11: Modul Unit 1 Pengenalan Kepada Perakaunan

11

Penyelesaian : Encik Sameon tidak boleh mengiktiraf tempahan pasu itu sebagai hasil kerana urusniaga pertukaran barang belum berlaku. Tindakan beliau ini bercanggah dengan konsep realisasi.

1.5.10 Konsep Pemadanan

Konsep ini menghendaki belanja direkodkan dalam tempoh perakaunan dimana ianya telah dilibatkan bagi memperolehi sesuatu hasil perniagaan. Tujuannya adalah untuk membolehkan perniagaan mengetahui jumlah sebenar hasil dan belanja untuk sesuatu tempoh kewangan. Dengan itu, untung atau rugi untuk tempoh tersebut dapat ditentukan.

Contoh : Pemilik sebuah perniagaan mendapati bahawa perniagaan tersebut akan memperolehi kerugian. Untuk itu, beliau telah mengarahkan akauntan syarikatnya mengurangkan pelaporan belanja tahun berkenaan dengan mengurangkan pelaporan nilai belanja elektrik dan tidak melaporkan belanja susutnilai. Adakah akauntan berkenaan patut mengikut kehendak pemiliknya? Berikan pendapat anda dengan berpandukan konsep yang berkaitan.

Penyelesaian : Akauntan tersebut tidak patut mengikut kehendak pemilik perniagaan berkenaan kerana ianya bercanggah dengan konsep pemadanan. Pelaporan belanja seperti belanja elektrik dan susutnilai adalah perbelanjaan yang berlaku dalam tahun kewangan tersebut dan ianya berkaitan dengan hasil yang diperolehi pada tahun berkenaan. Oleh itu perbelanjaan perlu menunjukkan kedudukan kewangan yang sebenar perniagaan tersebut.

1.5.11 Konsep Konservatisma

Konsep ini menyatakan bahawa hasil dan untung perniagaan hanya direkodkan apabila ianya benar-benar telah berlaku. Di bawah konsep ini, perekodan perlu memastikan, aset tidak terlebih nyata dan liabiliti tidak terkurang nyata.

Mengikut konsep ini akauntan mesti memastikan perkara yang selamat untuk dilaporkan supaya tidak berlakunya terlebih atau terkurang nyata dalam pelaporannya. Untuk itu akauntan perlu mengambilkira perkara berikut : untung tidak terlebih nyata, modal tidak terlebih nyata, rugi mesti direkodkan walaupun belum berlaku (dijangka akan berlaku), dan untung dinyatakan bila ianya terjadi. Amnya, konsep ini adalah berdasarkan kepada slogan menjangkakan tiada keuntungan dan mengambilkira segala kerugian yang mana ianya lebih merupakan konsep berhati-hati dalam pelaporan.

Contoh : Syarikat Karisma Berhad telah membuat kontrak dengan sebuah syarikat daripada Negara Amerika Syarikat. Hasil dari kontrak ini, syarikat dijangkakan akan memperolehi keuntungan RM1 juta. Pengarah syarikat berkenaan menghendaki akauntan syarikat melaporkan keuntungan tersebut dalam penyata kewangan tempoh berkenaan. Patutkah akauntan syarikat melaporkan kuntungan tersebut? Berikan komen anda berdasarkan kepada konsep perakaunan yang berkaitan.

UNIT 1 PENGENALAN KEPADA PERAKAUNAN

Page 12: Modul Unit 1 Pengenalan Kepada Perakaunan

12

Penyelesaian : Akauntan syarikat tidak boleh melaporkan keuntungan tersebut kerana ianya belum berlaku dan hanya satu jangkaan. Tindakan ini menyalahi konsep konservatisma yang mana keuntungan perniagaan tidak boleh dilaporkan selagi tidak berlaku.

1.5.12 Konsep Pendedahan Penuh

Konsep ini menghendaki penyata kewangan dilaporkan secara jujur dengan mendedahkan semua fakta penting yang berkaitan dengan perniagaan. Ini bermakna penyata kewangan yang disediakan perlu memuatkan semua maklumat yang diperlukan. Penyata kewangan perlu menunjukkan semua asas perakaunan yang digunakan dalam memperolehi nilai item yang dipersembahkan. Jika berlaku sebarang perubahan dalam menggunakan polisi perakaunan, ianya perlu dinyatakan dengan jelas dan diberikan alasan kepada perubahan tersebut. Ini boleh ditunjukkan sebagai "nota kepada akaun". Tujuan konsep ini adalah supaya tidak wujud penyembunyian fakta-fakta penting.

Contoh : Syarikat IZI Berhad telah membuat perubahan dalam kaedah penilaian inventori yang digunakan. Syarikat tidak mendedahkan perkara ini dalam penyata kewangan bagi tempoh perakaunan yang berkenaan. Adakah tindakan tersebut memenuhi konsep pendedahan penuh? Huraikan.

Penyelesaian : Tindakan ini tidak memenuhi konsep pendedahan penuh dimana perubahan yang dibuat itu perlu dilaporkan dalam nota kepada akaun. Tujuannya adalah supaya pengguna maklumat tahu akan perubahan yang berlaku dalam syarikat berkenaan.

1.5.13 Konsep Objektiviti

Konsep ini menekankan kepada keobjektifan sesuatu rekod dan penyata kewangan yang disediakan. Ianya bermaksud semua data perakaunan haruslah mempunyai bukti yang sah untuk menyokong urusniaga yang berlaku. Bukti-bukti ini boleh terdiri daripada kontrak sah, invois, cek, resit, kad jaminan pekerja dan dokumen-dokumen lain.

Tujuan konsep ini adalah untuk : mengelak daripada akauntan memberikan pendapat berdasarkan kepada perkara yang subjektif dan tidak tepat, memastikan semua perekodan dibuat adalah tepat dan sentiasa disokong oleh bukti yang sah dan tidak boleh dipertikaikan, dan menyakinkan pengguna bahawa perekodan yang dibuat dan penyata kewangan yang disediakan adalah boleh dipercayai, sahih, tepat, benar dan saksama.

Contoh : Syarikat AHA Berhad menjalankan satu dasar dimana hanya urusniaga tunai saja dikeluarkan dokumen iaitu resit tetapi jika urusniaga secara kredit berlaku tiada sebarang dokumen perlu dikeluarkan. Adakah tindakan syarikat ini boleh diterima? Berikan komen anda.

Penyelesaian : Syarikat tidak mematuhi konsep keobjektifan kerana semua urusniaga yang berlaku perlu disahkan melalui pengeluaran dokumen tertentu sama ada urusniaga secara tunai atau kredit. Urusniaga sepertinya memerlukan dokumen untuk membuktikannya dan juga memudahkan perekodan dibuat.

1.6.14 konsep Isi Pokok Melewati Bentuk (substance over form)

UNIT 1 PENGENALAN KEPADA PERAKAUNAN

Page 13: Modul Unit 1 Pengenalan Kepada Perakaunan

13

Perakaunan tidak mengambarkan hak perundangan sebenar. Jika perniagaan membeli kenderaan secara sewabeli, hak kenderaan tersebut belum lagi menjadi milik perniagaan selagi belum habis dibayar, tetapi untuk tujuan perakaunan kita terpaksa mengandaikan ia adalah milik perniagaan.

Contoh : Mesin pengadun roti bernilai RM50,000 telah dibeli dengan membayar wang pendahuluan sebanyak RM5,000. Akauntan telah tidak merekodkan urusniagan ini dalam mana-mana akaun, sebaliknya hanya merekodkannya di dalam dairi harian pemilik sahaja, dengan alasan mesin tersebut belum selesai dibayar. Apakah pendapat anda?

Penyelesaian : Akauntan telah membuat kesilapan dari segi perakaunan. Ia telah melanggar konsep isi pokok melewati bentuk. Kita dibenarkan mengetepikan perundangan hakiki demi untuk tujuan perekodan perakaunan. Oleh itu kita dibenarkan menganggap hak milik mesin yang dibeli secara sewabeli adalah milik perniagaan.

1.7 BADAN-BADAN PERAKAUNAN DI MALAYSIA

1.7.1 Malaysian Accounting Standards Board (MASB)

MASB adalah satu badan yang ditubuhkan pada 1 Julai 1997. Ianya merupakan singkatan kepada “Malaysian Accounting Standards Board” yang membawa maksud Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia. Peranan MASB adalah membangunkan rangka kerja perakaunan yang bersesuaian yang dikuatkuasakan di bawah Akta Pelaporan Kewangan 1997. MASB menjadi satu badan teknikal bebas yang bertanggungjawab membangunkan piawai pelaporan di negara ini .

MASB juga menerbitkan piawai perakaunan baru dan menyemak atau mengadaptasikan piawai perakaunan yang sedia ada sebagai satu piawai yang diluluskan.

MASB mempunyai satu badan penasihat yang dikenali sebagai "Financial Reporting Foundation" (FRF). Badan ini berperanan sebagai penasihat berkaitan pelaporan kewangan, mengawasi operasi MASB, menyediakan dan meluluskan dana untuk pembiayaan operasi.

Pada masa akan datang, penyata kewangan yang disediakan oleh syarikat-syarikat yang ditubuhkan di Malaysia perlu mengikut undang-undang atau peraturan-peraturan yang ditetapkan melalui pematuhan piawai perakaunan yang diluluskan oleh MASB .

1.7.2 Malaysian Institute Of Accountants (MIA)

MIA adalah singkatan kepada “Malaysian Institute Of Accountants” (Institut Akauntan Malaysia). Ianya merupakan satu badan profesional akauntan di Malaysia yang diperundangkan dalam tahun 1969 di

UNIT 1 PENGENALAN KEPADA PERAKAUNAN

Page 14: Modul Unit 1 Pengenalan Kepada Perakaunan

14

bawah Seksyen 3 Akta Akauntan 1967. Tujuan penubuhannya adalah untuk mempengaruhi perkembangan dan pembangunan profesyen perakaunan di Malaysia.

Fungsi utama MIA adalah mengadakan latihan, pendidikan dan peperiksaan kepada mereka yang mengamalkan profesyen ini. Ahli institut dikenali dengan gelaran akauntan awam (PA), akauntan berdaftar (RA) atau akauntan berlesen (LA). Keahlian tersebut diberikan berdasarkan kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh badan ini.

1.7.3 Malaysian Association Of Certified Public Accountants (MACPA)

MACPA adalah singkatan kepada “Malaysian Association of Certified Public Accountants” (Persatuan Akauntan Awam Bertauliah Malaysia). Ia merupakan satu badan profesional perakaunan di Malaysia yang ditubuhkan dalam tahun 1965 mengikut Akta Syarikat 1965. Badan ini berfungsi untuk menggerak dan memajukan profesyen perakaunan di Malaysia dengan memberi latihan dan peperiksaan profesional dalam bidang ini.SOALAN LATIHAN

Soalan 1.1

i. Perakaunan amat penting dalam sistem ekonomi kita. Adakah anda bersetuju? Bincangkan.ii. Bezakan antara dua jenis pengguna luaran maklumat perakaunan dan berikan contoh untuk

kedua-duanya.iii. Simpankira dan perakaunan adalah sama. Adakah anda bersetuju? Jelaskan.iv. Apakah yang dimaksudkan dengan Prinsip Perakaunan Diterima Umum. Apakah tujuan prinsip ini

diadakan?

Soalan 1.2

i. Kenapa perakaunan dikatakan sebagai bahasa perniagaan? Jelaskan.ii. Terangkan perbezaan di antara perakaunan kewangan dan perakaunan pengurusan.iii. Terangkan apakah kelemahan yang wujud bagi andaian unit ukuran atau andaian unit kewangan.iv. Berikut adalah 4 konsep yang anda telah pelajari : konsep tempoh masa, kos sejarah, pendedahan

penuh, dan konservatisma. Padankan konsep ini dengan amalan perakaunan di bawah. Setiap konsep hanya boleh digunakan sekali sahaja.

a. ___________ merekodkan inventori pada harga kos.b. ___________ menggunakan nota dan jadual sokongan dalam penyata

kewangan.c. ___________ menyediakan penyata kewangan mengikut asas satu tahun.

UNIT 1 PENGENALAN KEPADA PERAKAUNAN

A

Page 15: Modul Unit 1 Pengenalan Kepada Perakaunan

15

d. ___________ menggunakan kaedah terendah antara kos dan pasaran untuk menilai inventori

Soalan 1.3

i. Bagaimanakah anda boleh mengetahui sesebuah perniagaan tunggal?ii. Apakah yang anda faham tentang konsep liabiliti tidak terhad?iii. Mengapakah perjanjian perkongsian diperlukan?iv. Apakah kelebihan dan kelemahan perniagaan tunggal, perkongsian dan syarikat.v. Bezakan peranan utama yang dimainkan oleh badan-badan profesional perakaunan di Malaysia.

Soalan 1.4

Encik Osman menjalankan perniagaan sendiri tetapi beliau kurang mahir tentang urusan perakaunan perniagaan tersebut. Beliau telah menyediakan sendiri akaun-akaun perniagaannya untuk tahun berakhir 31 Disember 20X1 dengan mengambilkira perkara-perkara berikut :

i. Pada 15 Disember 20X1 Encik Osman telah menerima pesanan daripada seorang pelanggan untuk membeli barangan berharga RM12,000. Memandangkan barangan yang dipesan tidak ada dalam stok, Encik Osman telah berjanji untuk menghantar barangan tersebut kepada pelanggannya pada 15 Januari 20X2. Encik Osman telah memasukkan jumlah RM12,000 itu sebagai sebahagian daripada jualan tahun semasa.

ii. En. Osman telah mengambil sejumlah RM500 setiap bulan sepanjang tahun daripada akaun bank perniagaan untuk membayar yuran pengajian anaknya di sebuah kolej swasta. Pengeluaran wang ini tidak dicatatkan dalam rekod perniagaan kerana pada pendapatnya wang perniagaan adalah juga wangnya.

Dikehendaki :

Terangkan kepada En. Osman tentang konsep-konsep perakaunan yang tidak dipatuhi bagi setiap perkara di atas. Berikan alasan anda.

Soalan 1.5

i. Pengguna maklumat perakaunan terbahagi kepada pengguna dalaman dan pengguna luaran. a. Huraikan dan berikan contoh tentang kedua-dua pengguna maklumat di atas.b. Berdasarkan soalan "a", jelaskan kepentingan maklumat perakaunan kepada mereka.

ii. Pemilik perniagaan syarikat Amin Enterprise mendapati bahawa perniagaannya akan memperolehi kerugian yang besar. Oleh itu dia mengarahkan akauntannya mengurangkan pelaporan belanja tahun berkenaan dengan mengurangkan pelaporan belanja elektrik dan tidak melaporkan susutnilai. Apakah pendapat anda tentang perkara ini?

UNIT 1 PENGENALAN KEPADA PERAKAUNAN

Page 16: Modul Unit 1 Pengenalan Kepada Perakaunan

16

Soalan 1.6

Berikut diberikan situasi yang berlainan berkaitan dengan penggunaan prinsip perakaunan diterima umum. Nyatakan apakah prinsip perakaunan berkaitan.

i. Syarikat TDE membeli sebidang tanah lima tahun lalu dengan harga RM200,000. Sekarang nilai tanah tersebut telah meningkat kepada RM300,000. Pemilik perniagan ini melaporkan nilai tanah tersebut pada harga pasaran RM300,000 di dalam kunci kira-kira.

ii. Kunci kira-kira Perniagaan Jadi melaporkan aset komputer yang berada di rumah pemiliknya, walaupun komputer tersebut digunakan untuk urusan peribadi sahaja.

iii. Syarikat ZTOO membeli sebuah tong sampah yang bernilai RM25 dan dijangkakan akan dapat digunakan selama 10 tahun. Pembelian tong sampah ini dilaporkan sebagai belanja di dalam penyata pendapatan.

iv. Agensi Hartanah EXP telah memberi perkhidmatan secara kredit kepada pelanggan berjumlah RM1,000 dalam bulan Disember 20X1 dan merekodkan sebagai hasil perkhidmatan dalam bulan tersebut walaupun tunai hanya akan diterima pada bulan Januari 20X2.

v. Syarikat SNA tidak menyediakan nota kepada penyata kewangan mengenai kaedah yang digunakan untuk penilaian inventori dan pengiraan susutnilai.

vi. Syarikat ANS telah membeli pengasah pensil bernilai RM12 yang dijangkakan boleh digunakan selama 3 tahun. Syarikat telah melaporkan ia sebagai aset di dalam kunci kira-kira.

vii. Perniagaan Khidmat Runding Nazif membeli sebatang pen yang berharga RM20 yang dianggarkan boleh digunakan dalam masa lima tahun. Akauntan merekodkan pembelian pen ini ke dalam akaun aset pen dan diperuntukkan susutnilai di sepanjang hayat pen tersebut.

viii. Farah, pemilik Pusat Kecantikan Warna, menggunakan akaun bank yang sama untuk urusan peribadi dan perniagaan.

ix. Pemaju Perumahan B menandatangani kontrak untuk membina sepuluh buah rumah teres berjumlah RM400,000. Pemaju tersebut merekodkan urusniaga ini sebagai hasil pada masa kontrak ditandatangani.

x. Perniagaan EDFA melaporkan tanah pada harga RM20,000 iaitu harga belian dua tahun yang lalu walaupun nilai tanah itu sekarang adalah sebanyak RM50,000.

xi. En. Tajudin, seorang usahawan tidak merekodkan perbelanjaan cuti keluarganya didalam buku perakaunan kedainya.

xii. Aset-aset kedai Muthu dinilaikan pada harga kos dan bukannya pada harga pasaran.xiii. Semua perbelanjaan kedai Ali dibandingkan dengan hasilnya pada tahun yang sama.

UNIT 1 PENGENALAN KEPADA PERAKAUNAN

Page 17: Modul Unit 1 Pengenalan Kepada Perakaunan

17

Soalan 1.7

Apakah konsep atau prinsip yang berkaitan dengan kenyataan berikut:

i. Perniagaan yang dimulakan oleh Zam akan dijalankan untuk satu tempoh masa yang tidak tetap.

ii. Bagi sesuatu perniagaan, hanya urusniaga yang boleh dinyatakan dari segi wang sahaja direkodkan.

iii. Hasil dan belanja yang berlaku pada tempoh perakaunan yang sama digunakan untuk menentukan keuntungan tempoh itu.

iv. Urusniaga direkodkan dalam buku mengikut harga asal yang terdapat dalam dokumen punca.

v. Laporan kewangan boleh dibuat bagi setiap tempoh tertentu kerana hayat ekonomi sesuatu perniagaan dibahagikan kepada tempoh perakaunan tertentu.

vi. Perniagaan adalah berasingan dan berbeza daripada pemilik atau pengurusannya.

vii. Setiap urusniaga perniagaan melibatkan dua catatan; satu akaun akan didebitkan dan satu akaun lagi akan kreditkan.

Soalan 1.8

i. Jelaskan tiga (3) bentuk entiti perniagaan dan nyatakan perbezaannya dari segi perundangan.

ii. Jelaskan tiga (3) kelebihan sistem perakaunan berkomputer berbanding dengan sistem perakaunan secara manual yang digunakan dalam era moden kini.

UNIT 1 PENGENALAN KEPADA PERAKAUNAN

Page 18: Modul Unit 1 Pengenalan Kepada Perakaunan

18

RUJUKAN

Anthony, R.N, Hawkins, D.F. and Merchant, K.A (1999). Accounting: Text and Cases. (Tenth Edition), Boston: Irwin/McGraw-Hill.

Barjoyal Bardai (1997). Perakaunan, (Jilid 1), Fajar Bakti: Kuala Lumpur.Belkaoui, A.R. (2000). Accounting Theory. (Fourth Edition), Business Press, Thomson Learning: USA.Frank Wood (1996), Perakaunan Perniagaan. (Bahagian 1 & 2), Longman: Malaysia.Lembaga Piawai Perakaunan Malaysia (MASB) (2003). Malaysia. Hilton, R.W. (1999). Managerial Accounting. (Fourth Edition), Boston: McGraw Hill.Hoggett & Edwards (1990). Accounting in Australia (2nd Edition). Singapore: John Wiley.Honrgren, C.T., Harrison, W.T. & Bamber, L.S. (1999). Accounting (Fourth Edition), Prentice Hall.Khalid Ismail, (2003), Asas Perakaunan, (Cetakan Pertama), Quantum Books, Tg Malim.Khalid, Mahadzir (2005). Perakaunan Awalan (Cetakan Kedua), Prentice Hall, Kuala LumpurKhalid, Mohd Diah (2009), Perakaunan Kewangan Pra Universiti & Matrilulasi (Cetakan Kedua),

Scholar Press, Kuala Lumpur.Khalid, Mohd Diah (2007), Perakaunan Pengurusan Pra Universiti & Matrilulasi, (Cetakan Pertama),

Quantum Book, Tg Malim. Khalid, Ibrahim, Baharudin, (2008), Konsep & Model Pengajaran Perakaunan, (Cetakan Kedua),

Pearson Prentice Hall, K.Lumpur. Khalid, Ibrahim, Baharudin, (2009), Pengurusan Bilik Darjah Dalam Konteks Pengajaran &

Pembelajaran Perakaunan, (Cetakan Ketiga), Pearson Prentice Hall, K.Lumpur.Khalid, Ibrahim, Baharudin, (2005), Rancangan Mengajar Prinsip Perakaunan Tingkatan 4, (Cetakan

Pertama), Pearson Prentice Hall, K.Lumpur.Khalid, Ibrahim, Baharudin, (2005), Rancangan Mengajar Prinsip Perakaunan Tingkatan 5, (Cetakan

Pertama), Pearson Prentice Hall, K.Lumpur.Wan Maznah, Zaleha (2000), Perakaunan Kewangan Matrikulasi, Fajar Bakti, Kuala Lumpur.Weygandt, Kieso, Kimmel, (2000). Financial Accounting (3rd Edition). John Wiley & Sons, USA.

UNIT 1 PENGENALAN KEPADA PERAKAUNAN