konvo - utm.mymentah amat mudah terpengaruh dengan gejala sosial yang tidak bermoral. baginda...

11
INFO TERKINI KONVO KONVOKESYEN KE-59 SESI I & II 29 OKTOBER 2017 9 SAFAR 1439H BIL. 86/2017 GRADUAN SERBA BOLEH, MENGIMBANGI PROFESION DAN KESEJAHTERAAN SOSIAL GRADUAN PERLU SEDIA HADAPI CABARAN BAHARU TAN SRI DATIN PADUKA SITI SA’DIAH SHEIKH BAKIR DIISYTIHAR PRO-CANSELOR UTM DR. AHMAD KAMAL IDRIS DAN DR. SHAMSUDIN HAJI MOHD. AMIN TERIMA GELARAN PROFESOR EMERITUS “TIADA TOLERANSI TERHADAP KORUPSI” - TAN SRI AZMAN HASHIM Penerima Ijazah Kehormat Doktor Kepimpinan Pengurusan

Upload: others

Post on 25-Dec-2019

19 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

I N F O T E R K I N I

KONVOKONVOKESYEN KE-59 • SESI I & II • 29 OKTOBER 2017 • 9 SAFAR 1439H • BIL. 86/2017

GRADUAN SERBA BOLEH,MENGIMBANGI PROFESION DAN

KESEJAHTERAAN SOSIAL

GRADUAN PERLU SEDIA HADAPI CABARAN BAHARU

TAN SRI DATIN PADUKASITI SA’DIAH SHEIKH BAKIR

DIISYTIHAR PRO-CANSELOR UTM

DR. AHMAD KAMAL IDRIS DAN DR. SHAMSUDIN HAJI

MOHD. AMINTERIMA GELARAN

PROFESOR EMERITUS

“TIADA TOLERANSI TERHADAP KORUPSI” -

TAN SRI AZMAN HASHIMPenerima Ijazah

Kehormat Doktor Kepimpinan Pengurusan

Johor Bahru, 28 Oktober - Dengan persaingan yang sengit dalam mendapatkan pekerjaan dewasa ini, semua graduan universiti awam di Malaysia perlu lebih menonjol dan berketerampilan. “Dalam mengharungi dunia tanpa sempadan dan penuh cabaran kini, kebolehan serta kelebihan seseorang dalam mencari pekerjaan tidaklah bergantung pada segulung ijazah semata-mata. Majikan pada masa kini bijak dalam memilih pekerja mereka. Seseorang yang berkebolehan, mempunyai akhlak yang mulia, rajin serta mampu menjalankan tugas secara ‘multitasking’ adalah calon yang berpotensi untuk diambil bekerja”, demikian titah Tuanku Canselor UTM, DYMM Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah sempena Majlis Konvokesyen UTM kali ke-59. Baginda juga amat berharap para graduan sudah bersiap sedia dalam menempuhi alam pekerjaan selain bijak dalam merebut peluang yang ada dan tidak memilih kerja.

Baginda Tuanku Canselor turut menyentuh tentang peristiwa yang mengejutkan seluruh tanah air baru–baru ini. “Saya dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim berasa dukacita atas peristiwa yang berlaku di negara kita baru-baru ini, iaitu seramai 21 orang murid serta dua orang guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah telah terkorban akibat kebakaran yang dipercayai angkara khianat. Satu perkara yang lebih menakutkan, ia merupakan perbuatan remaja bawah umur yang dipercayai di bawah pengaruh dadah.”

Tuanku Canselor menyeru agar semua pihak saling bekerjasama dalam memantau pergerakan anak-anak muda remaja pada masa kini. Mereka yang masih mentah amat mudah terpengaruh dengan gejala sosial yang tidak bermoral. Baginda mencadangkan agar para mahasiswa UTM dapat menjalankan aktiviti berfaedah bersama murid-murid sekolah menengah dan komuniti remaja berkaitan. Pelajar UTM boleh dijadikan contoh sebagai golongan remaja yang mempunyai nilai-nilai murni dan bermaruah.

Tuanku Canselor turut berharap agar UTM sebagai sebuah pusat pendidikan dan penyelidikan bertaraf antarabangsa dapat memainkan peranan dalam membantu menangani masalah sosial menerusi program khidmat masyarakat dan aktiviti lain yang dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat.

GRADUAN SERBA BOLEH,MENGIMBANGI PROFESION

DAN KESEJAHTERAAN SOSIAL

Johor Bahru, 28 Oktober - Pengijazahan bukan satu noktah dalam kehidupan seseorang yang bergelar graduan, sebaliknya ia merupakan satu daripada batu tanda (milestone) yang membuktikan keupayaan mereka dalam mengharungi cabaran, membina keyakinan diri, dan mencipta kejayaan yang hebat dalam menuju alam kehidupan sebenar. Kini, para graduan perlu sentiasa bersedia mengatur langkah bagi mengharungi cabaran baharu dunia tanpa sempadan.

Konsep dunia tanpa sempadan meningkatkan persaingan para graduan bukan sahaja dalam mendapatkan pekerjaan, malahan untuk meneruskan kehidupan. Justeru, graduan perlu lebih terbuka dengan perubahan dan kehendak semasa untuk kekal bersaing dalam dunia hari ini yang kian mencabar.

Menurut YBhg. Datuk Naib Canselor UTM semasa berucap dalam Majlis Konvokesyen ke-59 UTM, graduan perlu menyedari betapa besarnya peranan mereka dalam menjamin kesejahteraan sejagat. Tambahnya, graduan kini bakal berhadapan dengan cabaran baharu, seperti VUCA atau singkatan daripada perkataan Volatility, Uncertainty, Complexity dan Ambiguous, selain Industry 4.0, iaitu trend berkurangnya peranan manusia dalam menjalankan tugas. Dalam cabaran baharu ini, hanya mereka yang mempunyai keupayaan berinovasi, berkomunikasi, dan berminda keusahawanan mampu mencipta peluang.

Tambah beliau lagi, “Dalam berkomunikasi, satu daripada kekuatan ialah boleh menguasai bahasa kedua dan dalam konteks semasa bahasa Inggeris.” Hal demikian merupakan kekuatan yang perlu dimiliki oleh graduan dalam mengharungi cabaran era ini.

Johor Bahru, 28 April 2017 – Bersempena Majlis Konvokesyen ke-59 UTM, YBhg. Tan Sri Datin Paduka Siti Sa’diah binti Sheikh Bakir diisytiharkan sebagai Pro-Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menggantikan YBhg. Tan Sri Dato’ Dr. Yahya bin Tun Dato’ Dr. Haji Awang pada 1 November 2016. Majlis yang disempurnakan oleh DYMM Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah, Tuanku Canselor UTM, berlangsung di Dewan Sultan Iskandar pada hari ini.

YBhg. Tan Sri Datin Paduka Siti Sa’diah berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya serta Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Henley Business School, University of Reading, United Kingdom. Beliau ialah mantan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad (KPJ), iaitu sebuah syarikat pembekal utama perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta di Malaysia. Beliau juga pernah dilantik sebagai Penasihat Korporat KPJ dan Pengerusi dan Pro-Canselor KPJ Healthcare University College (KPJUC).

Menyingkap kembali kerjaya awal beliau, Tan Sri Datin Paduka Siti Sa’diah memulakan kerjayanya

bersama Johor Corporation (JCorp) pada tahun 1974. Seterusnya, pada tahun 1989 beliau dilantik sebagai Ketua

Eksekutif Kumpulan Perubatan (Johor) Sdn. Bhd. sehingga disenaraikan sebagai KPJ Healthcare pada tahun 1994. Beliau bertanggungjawab untuk

menyelaras kepimpinan strategik, berwawasan dan transformasi di KPJ sehingga Kumpulan Perubatan (Johor) Sdn. Bhd. ini mencapai kejayaan yang luar biasa dalam banyak bidang termasuklah memiliki dan menguruskan hospital swasta sejak tahun 1981.

Tan Sri Datin Paduka Siti Sa’diah turut berkhidmat di pelbagai sektor korporat, antaranya sebagai Ahli Lembaga Pengarah di Syarikat Kimia Malaysia Berhad (CCM), CCM Duopharma Biotech Berhad, OSK Holdings Berhad, Pengerusi Nationwide Express Holdings Berhad, serta Ahli Lembaga Bursa Malaysia dari tahun 2004 hingga 2012. Selain itu, Tan Sri Datin Paduka Siti Sa’diah merupakan Presiden Malaysian Society for Quality in Health (MSQH). Beliau juga turut dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Akademik Sekolah Kerajaan Razak (Razak School of Government – RSOG). Kecemerlangan serta kepakaran yang amat luas dalam pelbagai bidang membolehkan beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) sejak tahun 2016.

Pada tahun 2010, Tan Sri Datin Paduka Siti Sa’diah menjadi wanita pertama yang dianugerahkan ‘CEO of The Year’ oleh New Straits Times Press dan American Express sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang beliau pada tahun 2009.

Ketokohan beliau turut dirakamkan dalam sebuah biografi berjudul Siti Sa’diah: Driven by Vision, Mission and Passion karya Profesor Dr. Rokiah Talib pada tahun 2013.

Johor Bahru, 28 Oktober 2017 – “Tiada toleransi terhadap korupsi” merupakan antara satu daripada tiga pesanan YBhg. Tan Sri Azman Hashim, penerima Ijazah Kehormat Doktor Kepimpinan Pengurusan sempena Majlis Konvokesyen ke-59 UTM. Beliau menyuarakan rasa kebimbangan terhadap peningkatan korupsi di negara ini. Sesungguhnya, perkara ini perlulah dibendung kerana amalan rasuah atau korupsi ini amat berbahaya kepada kestabilan sesebuah negara. Tan Sri Azman juga turut berpesan kepada mahasiswa yang bergraduan pada konvokesyen hari ini serta warga umum agar terus menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi tanpa mengira usia. Hal ini demikian kerana menuntut ilmu itu tiada batasnya. Selain itu, beliau turut mengingatkan agar semua graduan fasih berbahasa Inggeris sekiranya mahu berjaya di alam pekerjaan, lebih-lebih lagi untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Beliau berucap ketika sesi ucap balas sebagai penerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Kepimpinan Pengurusan yang telah dikurniakan oleh DYMM Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah, Tuanku Canselor UTM.

Tan Sri Azman Hashim yang berusia 78 tahun, merupakan seorang ahli perbankan, usahawan dan Pengerusi Bukan Eksekutif serta Pengasas Kumpulan AmBank. Beliau juga merupakan Pengerusi Eksekutif Amcorp Group Berhad.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini memulakan kerjayanya sebagai seorang akauntan dan setiausaha bertauliah sebelum memulakan firma perakaunanya sendiri. Tan Sri Azman Hashim juga pernah berkhidmat di Bank Negara Malaysia serta Maybank sebelum menerajui Kumpulan AmBank yang kini menjadi sebuah konglomerat dalam bidang kewangan.

Di peringkat antarabangsa, Tan Sri Azman Hashim turut memainkan peranan penting dalam misi pelaburan Malaysia ke luar negara, dan beliau kerap dilantik sebagai Ketua Delegasi Perniagaan. Beliau juga menyokong kuat inisiatif Selatan-Selatan. Tan Sri Azman Hashim sering melibatkan diri dalam pertubuhan awam dan sosial serta memainkan peranan sebagai Pengerusi Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA); Pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Ahli Badan Pentadbir Pertubuhan Produktiviti Asia (APO); Pengerusi Perbadanan Kerjasama Selatan-Selatan Malaysia Berhad; Pengerusi Emeritus Majlis Ekonomi Lembangan Pasifik (PBEC) Malaysia; Pengerusi Institut Jurubank Berkanun Asia; Pengerusi Lembaga Perkhidmatan Kewangan Profesional, Pengerusi Asian Banking School Sdn. Bhd.; Presiden Persatuan

“TIADA TOLERANSI TERHADAP KORUPSI”TAN SRI AZMAN HASHIMPENERIMA IJAZAH KEHORMAT

DOKTOR KEPIMPINAN PENGURUSAN

Selatan-Selatan Malaysia; Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (MAJECA), Ketua Mesyuarat Perniagaan ASEAN-Jepun (Jawatankuasa Malaysia, Keizai Doyukai); Presiden Persatuan Sahabat Penjara Malaysia; Bendahari Yayasan Malaysia-Australia; Ahli Majlis Penasihat Perniagaan dan Ahli Institut Kewangan Asia. Kejayaan dan kepakaran dalam bidang perbankan Negara melayakkan Tan Sri Azman Hashim menerima pelbagai pengiktirafan dari dalam serta luar negara.

Sumbangan Tan Sri Azman Hashim kepada UTM pula amat signifikan apabila beliau turut menyumbang kepada Dana Endowmen UTM sebanyak RM30 juta untuk Tabung Biasiswa Azman Hashim. Oleh itu, UTM telah mengabadikan nama beliau di sebuah dewan di UTMKL sebagai Dewan Azman Hashim, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, dan Stadium Azman Hashim bagi mengenang jasa dan sumbangan beliau kepada UTM.

Johor Bahru, 28 Oktober – Majlis Konvokesyen ke-59 UTM telah melakarkan sejarah bagi dua orang individu yang banyak berjasa dalam mencurahkan bakti serta ilmu dalam bidang kepakaran masing-masing di UTM. Kedua-dua tokoh tersebut merupakan penerima gelaran Profesor Emeritus, iaitu Dr. Ahmad Kamal Idris dan Dr. Shamsudin Haji Mohd. Amin. Pengurniaan gelaran tersebut telah disempurnakan oleh DYMM Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah, Tuanku Canselor UTM.

Dr. Ahmad Kamal bin Idris dilahirkan pada 15 Julai 1953 di Batu Kikir, Negeri Sembilan. Beliau berkelulusan ijazah Doktor Falsafah (Kejuruteraan Petroleum) (1990) dari Imperial College of Science, Technology & Medicine, University of London, United Kingdom; Sarjana Kejuruteraan Petroleum (1980) dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum (1978) kedua-duanya dari Institut Teknologi Bandung, Indonesia.

Dr. Ahmad Kamal telah berkhidmat di UTM selama 30 tahun mulai April 1981 sehingga Julai 2011, dan meneruskan perkhidmatan secara kontrak sehingga Julai 2016. Pembabitan awal beliau di UTM adalah sebagai pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Petroleum, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli pada tahun 1981. Semasa perkhidmatannya di UTM, beliau merupakan salah seorang pelopor dalam meningkatkan kualiti akademik serta kualiti graduan di UTM melalui peranannya sebagai pencetus dan peneraju dalam pembangunan portfolio pengajaran, pembangunan atribut graduan, pembangunan spesifikasi program, pembangunan portfolio pembelajaran, serta pembangunan institutional repository yang akhirnya membawa kepada penubuhan Unit Pengajaran dan Pembelajaran yang kini dikenali dengan nama UTMLead. Beliau juga turut menjadi pengasas kepada penubuhan Unit Pemasaran Universiti dan Pejabat Pra-Siswazah UTM. Di samping itu, beliau juga telah mengambil inisiatif menerajui pelaksanaan service learning dalam kursus ko-kuriklulum UTM.

Sumbangan beliau kepada UTM tetap diteruskan walaupun kini telah bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Petroleum, Universiti Teknologi PETRONAS (UTP). Beliau masih menabur bakti di UTM sebagai penasihat semakan kurikulum dan program akademik di Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT) selain menyelia pelajar Sarjana dan Doktor Falsafah serta memberi ceramah berkaitan campus experience kepada para pelajar di fakulti.

Dr. Shamsudin bin Haji Mohd. Amin pula dilahirkan di Kampung Raja, Besut, Terengganu pada 9 Oktober 1956. Beliau menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dari Universiti Shieffield, United Kingdom dalam bidang Sistem Kawalan; serta seterusnya menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan Ijazah Kedoktoran di universiti yang sama.

Beliau telah berkhidmat di UTM selama lebih 36 tahun, iaitu dari Ogos 1980 hingga Oktober 2016, dengan jawatan terakhir sebagai Profesor Gred VK06. Sepanjang berkhidmat di UTM, beliau telah banyak memberikan sumbangan di peringkat universiti, negara dan antarabangsa dengan memegang beberapa jawatan penting.

Dalam bidang profesional, Dr. Shamsudin merupakan Founder Member bagi Asian Mechatronics Association, dan Malaysian Society for Engineers and Technologies (MySET), Senior Member bagi Instrument and Control Society of Malaysia (ICSM), Pengerusi Institute of Electrical and Electronics Engineers, Malaysian Section pada tahun 2001, ahli Asian Control Professors Association (ACPA), dan Founder Committee Member bagi Robotics and Automation Association of Malaysia (RAAM). Beliau juga telah menubuhkan pasukan Robocon UTM pada tahun 2002 serta memacu pasukan ini bersaing di peringkat antarabangsa.

Dr. Shamsudin tidak ketinggalan menyumbang bakti dalam bidang sosial apabila turut terlibat dalam penubuhan PERINTIS, iaitu Pertubuhan Saintis Muslim Malaysia, dengan memegang jawatan Naib Presiden (2010-2012).

Apa kata mereka

“Overall, UTM is a very good university. ank you UTM!”

Mohammed Ali Mohammed Mahmoud (Sudan) (24 tahun)Sarjana Kejuruteraan (Elektronik dan Komunikasi)

“UTM is one of the prominent universities in Malaysia. I am honoured to be part of UTM.”

Nur Marissa Vee Senap (28 tahun)Sarjana Kejuruteraan Perisian

“UTM is a very good university. I am so proud to be among the graduands.”

Rose Adeh (Nigeria) (34 tahun)Sarjana Pengurusan (Teknologi)

“Persiapan dan sesi raptai yang sangat teratur.

Pengurusan masa yang sangat baik.”

Azni Aziz (39 tahun)

Sarjana Sains Profesional

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang banyak

membantu saya sehingga berjaya.”

Wilson Rangga Anak Anthony Jiram

(31 tahun)Doktor Falsafah (Harta Tanah)

“Usaha dan tawakal serta berserah kepada Allah merupakan kunci kejayaan saya.”

Mohd Razif Haron (35 tahun)Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal

“Proud to be UTMrians. Love u!!!”

Zuraidah Bulat (37 tahun)

Sarjana Muda Sains Komputer(Rangkaian & Keselamatan Komputer)

“UTM gives great exposure to the students as it emphasizes both technical and theoretical.”

Nurul Hafizah Hazwani Hashim

(28 tahun)Sarjana Sains

(Keselamatan Maklumat)

PENAUNG:Dato’ Hj. Wan Mohd Zawawi bin Wan Abd. Rahman

SIDANG PENGARANG: Ungku Haliza Ungku Zahar (Ketua Editor), Roselaile Samah,

Salina Shamsuri, Nur Diyana Mohd. Ruzmi, Mohd Hafifi Jamal, Ahmad Fadhli Syed Hassan, Nur ‘Aina Osman, Sharil Amri Jamaludin

GRAFIK: Hafizah Mohamad Ahyah, Norizan Yaacob, Mohd Hairy ZolkefleFOTO: Nor Azman Sukri, Mohd. Isyamfazrin, Mohd Pua’at Ahmad

LAMAN SESAWANG: Zuraida Abd. Ghani LOGISTIK: Suhaimi Ikhwan

http://web.utm.my/convocation/ facebook: Info Terkini Konvo UTM

Hakcipta Terpelihara © Universiti Teknologi Malaysia