kesan globalisasi

4
Kesan globalisasi PADA dasarnya globalisasi adalah pembebasan ekonomi dunia daripada sebarang sekatan dalam perdagangan antarabangsa. Kadang kala globalisasi dimaksudkan juga sebagai satu sistem kapitalisme yang diterjemahkan dalam skala ekonomi dunia ataupun laissez-faire globalism. Kononnya, faedah positif daripada sistem kapitalisme dapat direplikasikan, malah dalam skala yang lebih besar jika ia mencakupi dunia. Model globalisasi tulin atau naif merangkumi rasional-rasional berikut. Kebebasan pergerakan barang dan perkhidmatan memaksimumkan kecekapan ekonomi, lantas kebajikan manusia sejagat. Andainya, persaingan baik untuk sesebuah negara, maka persaingan juga baik untuk seantero dunia. Kedua, kapitalisme yang liberal tidak memerlukan peraturan tegar tetapi teratur kendiri (self-regulating). Ketiga, pasaran adalah telus dan harga adalah tertakluk kepada faktor fundamental _ penawaran dan permintaan. Implikasinya, pelabur bebas untuk membeli/jual saham daripada mana-mana institusi dari mana-mana negara di dunia, sama ada untuk tujuan spekulasi dan pelaburan. Ada yang menuduh bahawa globalisasi adalah agenda negara Barat terutama Amerika Syarikat untuk meningkatkan kekuatannya dengan memerah ekonomi yang lemah. Sama ada agenda ini disengajakan atau merupakan satu perkembangan semula jadi ekonomi dunia, adalah persoalan akademik dan empiris. Namun pengalaman 18 bulan krisis di Asia baru-baru ini sudah cukup menyangkal kesahihan model globalisasi naif ini kerana dalam realiti, pasaran dicirikan oleh pelbagai ketidaksempurnaan struktur dan ketidakseragaman gelagat dan persepsi institusi ekonomi. Dua aspek utama globalisasi yang mempengaruhi ekonomi negara membangun seperti Malaysia ialah perdagangan bebas barang dan perkhidmatan, serta aliran bebas modal antarabangsa. Dalam pasaran modal dunia yang bebas, modal akan bergerak ke kawasan yang dapat memberi pulangan yang tertinggi. Kesan pertama globalisasi adalah perkembangan pesat pasaran kewangan dunia, iaitu penarikan/pengumpulan modal ke pasaran dan institusi kewangan ternama dunia dan agihan modal ke negara persekitaran dalam bentuk kredit, pelaburan portfolio ataupun secara tidak langsung melalui MNC atau korporat multi-nasional dan juga kegiatan spekulasi dalam pasaran kewangan. Perkembangan ini membesarkan saiz pasaran

Upload: jesslyn

Post on 07-Apr-2016

22 views

Category:

Documents


2 download

DESCRIPTION

kesan globalisasi

TRANSCRIPT

Page 1: Kesan Globalisasi

Kesan globalisasi

PADA dasarnya globalisasi adalah pembebasan ekonomi dunia daripada sebarang sekatan dalam perdagangan antarabangsa. Kadang kala globalisasi dimaksudkan juga sebagai satu sistem kapitalisme yang diterjemahkan dalam skala ekonomi dunia ataupun laissez-faire globalism. Kononnya, faedah positif daripada sistem kapitalisme dapat direplikasikan, malah dalam skala yang lebih besar jika ia mencakupi dunia.

Model globalisasi tulin atau naif merangkumi rasional-rasional berikut. Kebebasan pergerakan barang dan perkhidmatan memaksimumkan kecekapan ekonomi, lantas kebajikan manusia sejagat. Andainya, persaingan baik untuk sesebuah negara, maka persaingan juga baik untuk seantero dunia.

Kedua, kapitalisme yang liberal tidak memerlukan peraturan tegar tetapi teratur kendiri (self-regulating). Ketiga, pasaran adalah telus dan harga adalah tertakluk kepada faktor fundamental _ penawaran dan permintaan. Implikasinya, pelabur bebas untuk membeli/jual saham daripada mana-mana institusi dari mana-mana negara di dunia, sama ada untuk tujuan spekulasi dan pelaburan.

Ada yang menuduh bahawa globalisasi adalah agenda negara Barat terutama Amerika Syarikat untuk meningkatkan kekuatannya dengan memerah ekonomi yang lemah. Sama ada agenda ini disengajakan atau merupakan satu perkembangan semula jadi ekonomi dunia, adalah persoalan akademik dan empiris. Namun pengalaman 18 bulan krisis di Asia baru-baru ini sudah cukup menyangkal kesahihan model globalisasi naif ini kerana dalam realiti, pasaran dicirikan oleh pelbagai ketidaksempurnaan struktur dan ketidakseragaman gelagat dan persepsi institusi ekonomi.

Dua aspek utama globalisasi yang mempengaruhi ekonomi negara membangun seperti Malaysia ialah perdagangan bebas barang dan perkhidmatan, serta aliran bebas modal antarabangsa.

Dalam pasaran modal dunia yang bebas, modal akan bergerak ke kawasan yang dapat memberi pulangan yang tertinggi. Kesan pertama globalisasi adalah perkembangan pesat pasaran kewangan dunia, iaitu penarikan/pengumpulan modal ke pasaran dan institusi kewangan ternama dunia dan agihan modal ke negara persekitaran dalam bentuk kredit, pelaburan portfolio ataupun secara tidak langsung melalui MNC atau korporat multi-nasional dan juga kegiatan spekulasi dalam pasaran kewangan. Perkembangan ini membesarkan saiz pasaran kewangan, penawaran modal melimpah-limpah, memudahkan negara lain terutama negara kecil dan membangun menyumber modal dan kredit.

Krisis Asia bermula pada Julai 1997 apabila spekulator mata wang antarabangsa bertaruh ke atas baht - mata wang Thailand yang dijangka susut nilai kerana struktur fundamental ekonominya yang lemah. Seperti negara Asia Tenggara yang lain, pembangunan pesat telah mendorong Malaysia dan Thailand pada awal 1990-an melonggarkan kawalan terhadap pinjaman dari luar negara, menghapuskan koordinasi pinjaman dan kawalan ke atas bank menjadi lemah.

Selain mengalami kurangan dalam akaun semasa, hutang jangka pendek Malaysia adalah 76 peratus daripada KDNKnya pada 1996 dan hutang luaran pula adalah 38 peratus daripada KDNKnya pada 1996. Pinjaman domestiknya adalah yang tertinggi di Asia iaitu 170 peratus daripada KDNKnya, dan kebanyakan pinjaman ini untuk tujuan bukan produktif.

Kesan spekulasi mata wang ke atas ringgit telah menurunkan nilainya sebanyak 30 peratus. Kejatuhan nilai mata wang menjadikan hutang wang asing tadi lebih mahal untuk dibayar

Page 2: Kesan Globalisasi

apatah lagi apabila hutang ini tidak dilindungi (atau unhedged). Untuk membendung masalah ini kerajaan telah menetapkan kadar pertukaran tetap pada RM1 = AS$0.2632 mulai September 1998.

Krisis ekonomi telah melembapkan kadar pertumbuhan ekonomi, iaitu menurun daripada 7-10 peratus setahun kepada 4.8 peratus setahun antara 1997-8. Penguncupan ini berlaku kerana pengurangan permintaan dalam negeri kerana kekayaan sektor swasta terhakis dari kejatuhan nilai saham dan nilai aset, kadar faedah yang tinggi sebelum September 1998, kesukaran sektor swasta untuk mendapatkan kredit, keadaan mudah tunai yang ketat, ketidakpastian jangka pendek dan sektor pekerjaan, dan rakan dagangan Malaysia juga mengalami kelembapan ekonomi lantas menjejaskan permintaan luar negeri Malaysia (Kementerian Kewangan, 1998).

Pada 1990, imbangan keseluruhan mencatat lebihan RM5,365 juta. Namun di tengah kepesatan ekonomi pada awal 1990-an, negara mencatatkan imbangan pembayaran yang negatif iaitu pada tahun 1994-5. Menjelang 1998, imbangan pembayaran meningkat menjadi positif kerana akaun semasa yang telah pulih (positif) dan imbangan akaun dagangan dan perkhidmatan yang positif.

Pengeluaran sektor utama ekonomi turut terjejas disebabkan oleh permintaan yang berkurangan, penawaran yang berlebihan dan juga kekangan penawaran. Sektor utama ekonomi seperti pertanian, pembuatan, perkilangan, dan pembinaan mengalami penurunan nilai pengeluaran. Sektor pembinaan menurun dengan ketara sekali, 19.2 peratus, pada 1998.

Pengeluaran pertanian keseluruhannya telah menurun dalam tahun 1998. Pengeluaran kelapa sawit menurun 8.1 peratus dibandingkan dengan tahun 1997 akibat masalah cuaca El Nino dan La Nina. Pengeluaran getah menurun sebanyak 10.3 antara tahun 1997 dan 1998 disebabkan oleh penurunan kawasan getah, kekurangan tenaga buruh dan harga yang tidak lumayan walaupun hasil sehektar bagi perladangan dan pekebun kecil bertambah baik dengan peningkatan tanaman dengan klon yang berkualiti tinggi.

Masalah cuaca yang dibawa oleh El Nino turut menjejaskan pengeluaran koko. Kawasan tanaman koko menurun 4.3 peratus antara 1997 dan 1998 iaitu daripada 156,738 hektar kepada 150,000 hektar.

Pendapatan eksport sektor pertanian telah meningkat 26.6 peratus antara 1997 dan 1998. Kenaikan pendapatan eksport berpunca daripada nilai eksport yang tinggi bagi minyak kelapa sawit, minyak isi rong kelapa sawit dan lada hitam yang didorong oleh harga eksport yang tinggi berikutan penyusutan ringgit.

Kesan langsung krisis tersebut adalah kenaikan harga import input pertanian. Nilai import negara telah meningkat sebanyak 13 peratus antara 1997-98 dengan barang perantaraan, seperti baja dan komponen, yang mencatatkan pertambahan yang paling ketara iaitu sebanyak 70 peratus.

Sektor pertanian mengambil 16 peratus daripada guna tenaga keseluruhan ekonomi. Bagi keseluruhan sektor, jumlah guna tenaga telah merosot antara 1997 dan 1998 sebanyak 2.8 peratus akibat krisis ekonomi. Masalah penurunan guna tenaga paling ketara dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan yang merosot sebanyak 5.3 peratus. Penurunan berlaku akibat beberapa estet yang cuba menjimatkan kos dengan memberhentikan pekerja asing.

Page 3: Kesan Globalisasi

Tahun 1998 menampilkan peningkatan ketara dalam Indeks Harga Pengguna (IHP). Antara Januari dan September 1998, IHP meningkat 5.2 peratus. Jika 1994 dikira sebagai tahun asas, maka IHP telah meningkat 37 peratus pada 1998. Kenaikan harga makanan adalah disebabkan nilai import makanan yang naik kesan kemerosotan nilai ringgit. Dalam negeri pula pengeluaran makanan masih terbatas, malah berkurangan. Pelaburan swasta dalam sektor itu merosot kerana masalah penawaran, kekurangan tanah dan buruh, dan kelembapan teknologi.

Krisis kewangan yang melanda Malaysia merupakan lumrah lazim kitaran sesuatu ekonomi, cuma krisis kali ini terlalu parah pernah direkodkan dalam sejarah ekonomi negara ini mahupun di negara Asia yang lain. Kesan krisis ekonomi tidak terbatas kepada pemboleh ubah ekonomi sahaja, tetapi melampaui politik dan sosial sebagaimana yang terbukti di Korea, Thailand, Indonesia dan Malaysia sendiri.

Punca utama krisis kewangan ini adalah proses globalisasi yang mula bertapak dalam pasaran antarabangsa. Ledakan maklumat memungkinkan globalisasi berlaku dengan cepat. Aliran modal yang bebas mendorong spekulator mata wang mengaut keuntungan daripada mata wang ekonomi negara membangun yang lemah fundamental ekonominya.

Globalisasi adalah fenomena yang terpaksa kita depani dalam alaf yang akan datang. Krisis ini memberi pengajaran bernas walaupun kosnya tinggi kepada negara.

Pemerhatian tentang sektor pertanian menyarankan beberapa implikasi polisi ke atas sektor ini. Pertama, kepelbagaian ekonomi adalah strategi mapan dalam menghadapi sistem ekonomi global tanpa sempadan dan liberal. Kecekapan kos dan teknikal adalah prasyarat utama untuk bersaing dalam sistem ini.

Kedua, sektor makanan Malaysia memerlukan pembaharuan untuk mengurangkan pergantungan pasaran import yang tidak menentu.

Ketiga, kenaikan harga input pertanian yang menjejaskan daya saing pertanian negara menyarankan bahawa sektor ini masih belum mencapai tahap kecekapan teknologi yang sepatutnya untuk mengurangkan pergantungan kepada bahan import. Dalam persekitaran ekonomi global dan tidak bersempadan ini, mempertahankan kecekapan dan daya saing adalah satu kemestian. -Oleh FATIMAH MOHD. ARSHAD

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0217&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz2rFfUJ9Og © Utusan Melayu (M) Bhd