kehakiman di malaysia

Upload: ct-kawaii

Post on 04-Mar-2016

66 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

glul 3113

TRANSCRIPT

GLUL3113 UNDANG-UNDANG PENTADBIRANPLK-UUM

1.0 PENGENALAN

Kehakiman di Malaysia merupakan gambaran maruah dan imej di kalangan pengamal undang-undang, rakyat biasa dan perspektif masyarakat antara bangsa terhadap pemisahan antara kuasa eksekutif dengan kuasa kehakiman di Malaysia sepertimana yang dipraktikkan dalam doktrin pengasingan kuasa yang diamalkan di antara Badan Kehakiman, Badan Perundangan dan Badan Eksekutif.

Corak pemerintahan di Malaysia telah ditentukan menerusi Perlembagaan Persekutuan dengan mengasingkan tiga badan yang terlibat dalam pemerintahan negara, iaitu badan perundangan (legislatif),badan pentadbiran(eksekutif)dan badan kehakiman(judiciary).Pengasingan ketiga-tiga badan dalam pemerintahan negara disebut sebagai doktrin pengasingan kuasa.Doktrin ini dikemukakan oleh Montesquieu, seorang ahli falsafah terkemuka Perancis pada abad ke-18.

Tujuan pengasingan kuasa ini adalah untuk memastikan bahawa individu yang sama tidak harus bertanggungjawab bagi membuat undang-undang, menguatkuasakan undang-undang dan menghukum orang-orang yang melanggarnya. Ini bermakna doktrin tersebut melibatkan pembahagian kuasa pemerintahan yang jelas antara badan-badan perundangan, eksekutif dan kehakiman tanpa sebarang pertindihan.

Di Malaysia, kuasa tertinggi di atas ketiga-tiga badan itu terletak pada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Ini bermakna Yang di-Pertuan Agong adalah sekaligus merupakan ketua kepada ketiga-tiga cabang kerajaan. Menurut Perlembagaan, baginda bukan sahaja memegang kuasa eksekutif malahan juga kuasa perundangan. Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa memerintah Persekutuan dan Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa perundangan Persekutuan.Badan Kehakiman merupakan satu daripada tiga kuasa dalam doktrin pengasingan kuasa. Badan kehakiman atau mahkamah mempunyai peranan yang besar dalam mengimbangi dua unsur lagi dalam doktrin pengasingan kuasa ini iaitu badan perundangan dan badan eksekutif. Mahkamah mempunyai kuasa seperti berikut : -

a) kuasa mentafsir Perlembagaan

b) kuasa menafsir undang-undang

c) kuasa mengisytiharkan sesuatu undang-undang bertulis Persekutuan dan negeri sebagai tidak sahd) mengisytiharkan sesuatu tindakan kerajaan sebagai tidak sah di sisi undang-undang.

Dalam sebuah negara, mahkamah perlulah mempunyai kebebasan dalam menjalankan tanggungjawabnya menegakkan keadilan tanpa merasa takut atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Hakim-hakim perlulah bebas menumpukan segala tenaga mereka untuk mencari keadilan, walaupun keputusan yang dibuat mendatangkan kesan negatif kepada pihak berkuasa. Umpamanya, Perlembagaan Malaysia mengecualikan para hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan daripada perjalanan kuatkuasa peraturan am yang ditetapkan dalam perkara 132(2A). Seseorang anggota perkhidmatan awam memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di Pertuan Agong (YDPA). Para hakim memegang jawatan hingga dia mencapai umur 65 tahun, dan boleh dipecat dari jawatan oleh YDPA hanya atas alasan berkelakuan tidak baik atau tidak berupaya, atas alasan kelemahan tubuh atau otak atu apa-apa sebab lain bagi menyempurnakan tugas jawatan mereka dengan sewajarnya. Tindakan pemecatan dengan alasan tersebut itu juga tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kecuali mengikut prosedur-prosedur yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan. Prosedur pemecatan dijelaskan di dalam Perkara 125 Perlembagaan Malaysia.

Jika difikirkan mustahak supaya dilucutkan seorang hakim daripada jawatannya, Perdana Menteri atau Ketua Hakim Negara setelah berbincang dengan Perdana Menteri hendaklah mengemukakan representasi tentang hal ini kepada YDPA. Kemudian YDPA akan menubuhkan sebuah tribunal yang akan menyiasat dan membuat laporan serta syor tentang perlucutan itu kepada YDPA. Berdasarkan laporan dan syor tribunal inilah seorang hakim itu boleh dilucut ataupun tidak daripada jawatannya. Tribunal yang dilantik ini hendaklah terdiri daripada tidak kurang daripada lima orang anggota terdiri daripada hakim atau bekas hakim, dan jika perlu boleh dilantik mana-mana anggota dari mana-mana Negara komanwel.

Sementara menanti laporan dan syor daripada tribunal, YDPA boleh menggantung daripada menjalankan tugasnya:

a) seorang hakim Mahkamah Persekutuan atas syor Perdana Menteri,

b) seorang Hakim Tinggi atas syor Ketua Hakim Negara.

Perkara 126 (5) memperuntukkan bahawa gaji hakim ditetapkan oleh Parlimen melalui satu akta khas dan gaji seseorang hakim itu tidak boleh dikurangkan selagi dia memegang jawatannya. Perkara 127 pula menetapkan bahawa kelakuan seseorang hakim tidak boleh dibincangkan dalam mana-mana satu majlis Parlimen kecuali atas satu usul yang tersendiri dan notis mengenainya telah diberi oleh tidak kurang dari satu perempat daripada jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen itu, dan juga tidak boleh dibincang dalam mana-mana Dewan Negeri. Bilangan maksimum hakim di tiap-tiap mahkamah juga ditentukan oleh Perlembagaan iaitu 11 orang bagi Mahkamah Persekutuan, 40 bagi Mahkamah Tinggi Malaya dan 10 orang bagi Mahkamah Tinggi Borneo.Seseorang itu adalah berkelayakan dilantik di bawah Perkara 122B Perlembagaan Malaysia sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan mana mana Mahkamah Tinggi jika:

a) ia adalah seorang warganegara, dan

b) dalam masa sepuluh tahun sebelum perlantikannya ia telah menjadi peguam bagi mahkamah-mahkamah tersebut atau mana-mana satu daripada mahkamah itu ataupun menjadi anggota bagi perkhidmatan kehakiman dan undang-undang Persekutuan atau perkhidmatan undang-undang sesuatu Negeri, atau pada suatu masa lain berkhidmat sebagi anggota perkhidmatan ke hakiman dan undang-undang Persekutuan.2.0 STRUKTUR PENTADBIRAN KERAJAAN MALAYSIAa.Badan KehakimanBadan kehakiman adalah merupakan badan yang diberi tanggungjawab untuk mentafsir dan melaksanakan undang-undang. Kehakiman merupakan badan yang bertanggungjawab mentafsir dan melaksanakan undang-undang. Badan ini juga dikenali sebagai sistem perundangan dan ahlinya terdiri dari para hakim dan majistret yang biasanya dilantik oleh Ketua negara masing-masing. Mereka juga biasanya menjalankan tugas di mahkamah dan bekerjasama dengan pihak berkuasa terutamanya polis dalam menegakkan undang-undang.

b.Badan EksekutifBadan Eksekutif kerajaan Malaysia adalah Kabinet Malaysia yang diketuai oleh seorang Perdana Menteri. Kabinet adalah merupakan sebuah majlis menteri-menteri yang bertanggungjawab kepada Parlimen. Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah memperuntukan bahawa anggota Kabinet hanya boleh dipilih daripada mana-mana Majlis Parlimen iaitu Dewan Rakyat ataupun Dewan Negara. Kebiasaannya, Yang di-Pertuan Agong melantik semua menteri atas nasihat Perdana Menteri. Namun begitu, seorang Perdana Menteri hendaklah dilantik terlebih dahulu dari Dewan Rakyat.

Anggota Kabinet sering dilantik daripada majlis terendah bagi Parlimen, Dewan Rakyat. Walaupun Timbalan Menteri dan/atau Setiausaha Parlimen dilantik mengikut setiap portfolio, tetapi mereka tidak termasuk dalam Kabinet. Kabinet seringkali bermesyuarat secara mingguan, setiap Rabu.c.Badan PerundanganParlimen adalah badan perundangan bagi kerajaan persekutuan, dan ia membuat undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di seluruh negara yang berdasarkan kepada sistem Parlimen Westminster. Parlimen Malaysia terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara Ahli. Dewan Rakyat dikenali sebagai ahli Parlimen, manakala ahli Dewan Negara diberi gelaran Senator. Satu pilihan raya diadakan setiap empat atau lima tahun untuk memilih wakil-wakil ke Dewan Rakyat; manakala ahli-ahli Dewan Negara, iaitu senator dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Parlimen meluluskan undang-undang persekutuan, membuat pindaan kepada undang-undang persekutuan yang ada, memeriksa dasar-dasar kerajaan, meluluskan perbelanjaan kerajaan dan meluluskan hasil-hasil cukai yang baru. Parlimen adalah badan perundangan bagi kerajaan persekutuan, dan ia membuat undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di seluruh negara. Parlimen juga menjadi forum kritikan dan fokus pendapat awam mengenai perkara-perkara nasional.3.0 MELAKSANAKAN SEMAKAN KEHAKIMAN Negara-negara demokrasi biasanya membenarkan proses semakan kehakiman diadakan oleh badan kehakiman untuk membatalkan keputusan-keputusan badan perundangan dan badan eksekutif yang ditafsirnya sebagai bertentangan dengan perlembagaan.

Malaysia adalah sebuah Negara yang mewarisi sistem politik British India yang berdasarkan kepada Sistem Westminster yang tidak memberikan peruntukan untuk semakan kehakiman namun hakim-hakim diberikan kuasa untuk membuat keputusan di luar peruntukan undang-undang (ultra vires) jika ia bertentangan dengan peruntukan perlembagaan. Bagaimananapun, kuasa yang diperuntukan kepada hakim ini telah dikawal setelah berlakunya krisis kehakiman Malaysia pada tahun 1988 melalui pindaan perlembagaan Malaysia yang menghapuskan kuasa semakan kehakiman ini dan sesuatu keputusan mestilah dibincangkan di bawah undang-undang Negara.

Mengikut Dato Umi Kalthum, peruntukan untuk perlaksanaan semakan semula kehakiman ditentukan oleh Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 dan telah dipinda pada tahun 2000 dan berkuatkuasa pada 22 September 2000.4.0 LATAR BELAKANG SISTEM KEHAKIMAN DI MALAYSIASistem Kehakiman Malaysia dalam keseluruhannya di bawah organisasi kerajaan Persekutuan. Kedudukan sistem tersebut adalah seperti rajah di bawah :

Bidang kuasa serta prosiding :i.Mahkamah PersekutuanBidang kuasa Mahkamah Persekutuan adalah yang melibatkan rayuan, nasihat, sedia ada dan rujukan dan tidak meliputi bidang kuasa Mahkamah Syariah. Ketua Mahkamah Persekutuan ialah Ketua Hakim Negara. Anggota-anggotanya yang lain ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Borneo dan 7 orang hakim-hakim Mahkamah Persekutuan.ii.Mahkamah RayuanBidang kuasa Mahkamah Rayuan adalah rayuan untuk mendengar kedua-dua kes sivil dan jenayah daripada Mahkamah Tinggi. Manakala, dari Mahkamah Sesyen, hanya kes-kes jenayah didengar rayuannya. Diketuai oleh seorang Presiden dan dianggotai oleh 10 orang hakim.iii.Mahkamah TinggiMahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa bagi rayuan bagi kes-kes sivil dan jenayah dan bidang kuasa sedia bagi kes-kes jenayah dan sivil. Bidang kuasa yang sedia ada bagi kes-kes jenayah dan sivil adalah tidak terhad di mana kes-kes di luar bidang kuasa Mahkamah Rendah dibawa di hadapannya. Secara amnya, Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk mendengar kes-kes yang membawa hukuman mati mandatori.

Mahkamah Tinggi juga mempunyai kuasa untuk membuat kajian semula bagi kes-kes jenayah diputuskan di Mahkamah Rendah. Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa sivil mendengar kes-kes :

a. cerai dan nafkah

b. admiraliti

c. kebangkaran dan syarikat

d. penjagaan kanak-kanak

e. surat kuasa mentadbir dan probet

iv.Mahkamah SesyenBidang kuasa mahkamah sesyen ialah mendengar dan melupuskan apa-apa kes sivil atau jenayah yang timbul dalam kawasan yang dihadkan bagi bidang kuasanya. Bagi bidang kuasa jenayah, Mahkamah Sesyen boleh mendengar semua kes selain daripada kes yang membawa hukuman mati mandatori.

Bagi bidang kuasa sivil pula, mahkamah mempunyai kuasa yang tiada had bagi kes-kes kemalangan dan pertelingkahan atau pertikaian yang melibatkan tuntutan tidak melebihi darippada jumlah RM 250 00.00.v.Mahkamah MajistretMahkamah Majistret terbahagi kepada Mahkamah Majistret Kelas 1 dan Majistret kelas 2.

A. Mahkamah Majistret Kelas 1

Bidang kuasa mahkamah Malistret kelas 1 adalah kes Jenayah iaitu mendengar semua kes jenayah dan hukuman penjara yang boleh dijatuhkan ialah penjara tidak melebihi 10 tahun. Secara amnya, seorang Majistret Kelas 1 boleh menjatuhkan hukuman yang diperuntukkan undang-undang tidak melebihi 5 tahun penjara, denda sebanyak RM 10 000.00, rotan hingga 12 kali atau kombinasi mana-mana hukuman di atas. Bagi bidang kuasa sivil pula mahkamah boleh mendengar perkara yang dipertikaikan di mana jumlah tuntutan tidak melebihi RM 25,000.00.B. Mahkamah Majistret Kelas 2Bidang kuasa mahkamah ini adalah kes jenayah iaitu boleh mendengar kes-kes di mana hukuman penjaranya tidak melebihi 12 bulan atau denda sahaja. Boleh menjatuhkan hukuman yang diperuntukkan oleh undang-undang tidak melebihi 12 bulan penjara, denda sebanyak RM 250.00 atau kombinasi mana-mana hukuman di atas. Bidang kuasa sivil pula mahkamah boleh mendengar kes-kes yang tidak melebihi RM3000.00.vi.Badan Pengadilan Lain.

Bertujuan untuk menjaga keadilan masyarakat. Antara badan pengadilan ialah : -

1) Pesuruhjaya Khas bagi Cukai Pendapatan2) Badan tatatertib Majlis Peguam3) Badan tatatertib Majlis Perubatan Malaysia4) Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam5) Tribunal Pengguna6) Tribunal Perumahan.5.0 KONSEP DOKTRIN PEMISAHAN TUGASApabila Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, rakyatnya menerima dan bersetuju untuk mematuhi perlembagaan persekutuan yang berdasarkan kepada model Westminster di mana terdapat jurang pemisah yang besar dari segi kuasa di antara tiga organ utama kerajaan yang dipanggil Badan Eksekutif, Badan Legislatif (Perundangan) dan Badan Kehakiman. Sudah pun diputuskan bahawa semua ini adalah ciri-ciri dasar atau tonggak atau prinsip-prinsip asas perlembagaan yang tidak boleh dipinda tanpa konsensus (persetujuan bersama) di peringkat kebangsaan.

Mengenai fungsi pokok badan Eksekutif dapat dilihat beza kepentingan dari definisi yang diberikan dalam Walker's The Oxford Companion To Law (Page 449) : -

"Eksekutif adalah satu cabang pemerintahan sesuatu negara yang bertanggungjawab memastikan perlaksanaan polisi dan prinsip-prinsip dan keluhuran undang-undang dalam kes-kes bertentangan dengan badan legislatif yang fungsinya untuk membuat dan menentukan polisi dan mengubal undang-undang dan badan kehakiman yang fungsinya menyelesaikan pertelagahan mengenai makna dan pemakaian undang-undang itu.'

Di bawah artikel 39 perlembagaan, kuasa kedudukan Eksekutif di dalam Persekutuan diberikan kepada Yang di Pertuan Agong (YDPA) dan boleh digunakan olehnya atau oleh Kabinet atau mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Kabinet. Di dalam menggunakan kuasanya YDPA boleh bertindak sejajar dengan "nasihat" Kabinet atau seorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa Kabinet, kecuali jika sebaliknya yang diperuntukkan oleh perlembagaan. Sungguh pun demikian, telah pun diputuskan bahawa YDPA tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya mengikut mana-mana nasihat. Nasihat yang diberikan mestilah berlandaskan undang-undang, mematuhi perlembagaan dan mesti dibuat demi kepentingan rakyat. Sebagai contohnya, YDPA sepatutnya tidak menerima "nasihat" Perdana Menteri untuk melantik bekas Peguam Negara sebagai Hakim Persekutuan, berdasarkan banyak dakwaan-dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang telah dilakukan oleh bekas Peguam Negara itu.

Kuasa kedudukan Legislatif (Perundangan) di dalam persekutuan pula diberikan berdasarkan Artikel 44 di Parlimen yang terdiri dari YDPA dan dua dewan Parlimen. Dan akhir sekali Artikel 121 menyatakan bahawa kuasa Kehakiman di dalam Persekutuan perlu diberikan kepada dua Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa dan status yang diselaraskan dan mahkamah-mahkamah yang lebih rendah sebagaimana yang mungkin diperuntukkan oleh undang-undang Persekutuan. Badan perundangan berfungsi sebagai pembuat undang-undang dan meminda undang-undang yang sedia ada agar tidak ketinggalan zaman. Dengan kata lain, ia bertanggungjawab untuk membuat undang-undang yang akan dijalankan di sesebuah negara. Institusi ini juga mempunyai hak untuk mengemukakan sesuatu usul kepada kerajaan ataupun raja untuk dikemukakan pula kepada para hakim. Di samping itu, ia juga bertindak sebagai penyelia kepada badan eksekutif dan ia tidak boleh menyerap kuasanya kepada badan lain.

Setiap organ kerajaan itu mempunyai fungsinya yang tersendiri dan kuasa dan setiap satunya memberikan penilaian dan keseimbangan terhadap kuasa yang digunakan oleh pihak yang satu lagi supaya sebarang keterlaluan Badan Eksekutif dan penyalahgunaan kuasa dapat disekat oleh Badan Kehakiman dan sebaliknya ketidakhematan Badan Kehakiman akan diuruskan oleh dua lagi organ kerajaan yang lain.

Dari itu sebarang percubaan untuk mengurangkan fungsi atau kuasa mana-mana organ kerajaan melalui pindaan perlembagaan akan menyentuh ciri-ciri dasar perlembagaan itu. Pindaan kepada dasar perlembagaan yang penting itu hanya boleh dibenarkan melalui konsensus peringkat kebangsaan dan bukannya melalui mekanisme pindaan seperti yang diperuntukkan oleh Artikel 159. Seperti yang telah dianjurkan, terpulanglah kepada para hakim untuk mengisytiharkan pindaan tersebut sebagai melampaui semangat dan tujuan perlembagaan 1957 yang memperuntukkan bahawa kuasa kehakiman di dalam Persekutuan adalah diberikan kepada Badan kehakiman, satu dari tiga organ utama di dalam kerajaan. Pindaan artikel 121 tidak menyatakan kepada siapa diberikan kuasa kehakiman itu di dalam Persekutuan. Pindaan 1988 juga tidak menyebut tentang perkara ini. Namun demikian, dengan membaca bahagian IX dari perlembagaan secara keseluruhan, adalah diputuskan bahawa kuasa kehakiman masih diberikan kepada Badan Kehakiman dengan merujuk kepada sifat perlembagaan dan bahawa ianya berasaskan kepada modelWestminster.

Di Malaysia, boleh dikatakan semua anggota Eksekutif yakni kabinet adalah juga anggota Legislatif sama ada ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara. Jelas tiada pengasingan kuasa di sini. Pihak yang membuat undang-undang dan pihak yang melaksanakan adalah golongan yang sama. Dari sudut ini mudah bagi pemerintah yang menguasai badan legislatif untuk mengubal undang-undang yang ada kalanya memberi kepentingan peribadi mahupun kolektif kepada Eksekutif lebih lagi bila mempunyai sokongan lebih dari dua pertiga (2/3) ahli di kedua-dua Dewan. Misalnya kes Rang Undang-undang kenaikan gaji Perdana Menteri yang peningkatannya ada dipersoalkan oleh sesetengah golongan sedikit masa lalu.

6.0 KONSEP KEBEBASAN KEHAKIMAN BERLANDASKAN PERLEMBAGAAN MALAYSIA.Kebebasan kehakiman adalah asas kepada sistem pentadbiran undang-undang. Konsep kebebasan Kehakiman dengan mudahnya mengasingkan hubungan atau bidang tanggungjawab antara Badan Eksekutif dan Badan Legislatif (Perundangan). Di dalam kawasan masing-masing, setiap satunya bebas dalam menjalankan fungsi masing-masing yang tertakluk kepada beberapa pembatasan. Kebebasan kehakiman bukanlah semata-mata untuk mengelakkan campur tangan Badan Eksekutif terhadap kebebasan para hakim untuk membuat keputusan, tetapi juga bermaksud supaya para hakim dapat membuat satu-satu keputusan dan menggunakan kuasa mereka berlandaskan tanggungjawab kehakiman.

Sebarang keputusan yang dibuat mestilah dikawal oleh nilai-nilai etika dan moral masyarakat di mana seseorang yang dapat berfikir boleh membuat pertimbangan yang sewajarnya sebagaimana pertimbangan moral para hakim itu sendiri. Sebagai sebahagian dari tanggungjawab kehakiman, seorang hakim tidak boleh bertindak secara memalukan rakan sejawatannya atau sehingga memusnahkan keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran perundangan.Satu lagi unsur penting kebebasan kehakiman ialah tentang kuasanya untuk mengistiharkan apa apa undang-undang yang dibuat oleh legislatif sebagai tidak sah dan batal, atau tindakan Eksekutif yang bercanggah dengan Perlembagaan - Perkara 4 Fasal (1). Tindakan terhadap eksekutif/kerajaan boleh dilakukan dalam negara ini dan beberapa contoh di mana kerajaan telah didapati bersalah oleh mahkamah menjadi bukti tentang kebebasan pihak kehakiman.

Dalam Stephen Kalong Ningkan vs Tun Abang Haji Openg dan Tawi Sli (no.2 (1967) 2 M.M.j 46 Mahkamah Tinggi Borneo telah memutuskan bahawa Perkara 32 (1) Perlembagaan Persekutuan hanya melindungi Yang Dipertuan Agong dari didakwa dalam apa-apa juga perbicaraan dalam mana-mana mahkamah secara peribadi tetapi tak boleh ditafsir sebagai melindungi kerajaan persekutuan dari tindakan dalam mahkamah berkaitan dengan apa-apa jua yang dilakukan atas nama Yang Dipertuan Agong dan apabila Yang Dipertuan Agong bertindak atas nasihat kabinet persekutuan, tindakannya mestilah dianggap sebagai tindakan Kerajaan Persekutuan.

Dalam Stephen Kalong Ningkan vs Tun Abang Haji Openg dan Tawi Sli (1966) 2.M.L.J. 187, pula Mahkamah Tinggi Borneo telah memutuskan bahawa pembuangan Dato Ningkan dari jawatannya sebagai Ketua Menteri Sarawak adalah ultra vires perlembagaan dan dengan demikian tidak sah dan batal.

Mahkamah dalam Kes Koh Yin Chye vs Leong Kee Nyean (1961) 2. M.L.J 67 telah mengistiharkan pemilihan seorang ahli dari parti Perikatan yang memerintah sebagai tidak sah apabila didapati calon itu bersalah atas amalan curang pilihanraya.

Dalam Kes Fan Yew Teng vs Setiausaha Dewan Rakyat & Lain-lain (1975) 2. M.L.J 41, Plaintif, seorang anggota parlimen telah didapati bersalah di Mahkamah Tinggi kerana satu kesalahan di bawah Akta Hasutan dan telah didenda sebanyak $2000/- atau enam bulan penjara. Sebelum kes rayuannya selesai, beliau telah dimaklumkan oleh defendan pertama bahawa beliau telah hilang kelayakan menjadi ahli Parlimen menurut Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan dan kerusi parlimennya menjadi kosong mengikut peruntukan Perkara 51. Seterusnya Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya telah mengarahkan mengambil tindakan bagi satu pilihanraya kecil menurut Peraturan Pilihanraya 1959. Isu utama kes ini adalah sama ada keputusan mahkamah yang mendapati plaintif bersalah dan hukuman yang ditentukan itu menjadikan kerusi Parlimen plaintif secara automatik dikosong dari Dewan Rakyat menurut Perkara 53 Perlembagaan. Mahkamah telah memutuskan bahawa kerusi Parlimen plaintif tidak dikosongkan secara automatik hanya kerana si plaintif telah didapati salah dan dihukum oleh mahkamah.

Jelas sekali dari kes-kes yang dibentangkan di atas, mahkamah adalah bebas dari sebarang campurtangan pihak eksekutif mahupun legislatif dalam membuat keputusan perbicaraan mahkamah. Namun begitu tidaklah semestinya setiap kali keputusan mahkamah mesti berpihak kepada bukan eksekutif atau bukan legislatif baru dikatakan pihak kehakiman bebas. Ada juga ketikanya keputusan itu berpihak kepada eksekutif atau legislatif tapi tidaklah bermakna mahkamah tidak bebas dan tidak adil dalam membuat keputusannya - (lihat kes 1. Karam Singh vs Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia (1969) 2. M.L.J. 129; 2. Thambipillai vs Kerajaan Malaysia (1969) 2. M.L.J. 206).

7.0 CONTOH KES KEHAKIMAN DI MALAYSIAKes JP Berthelsen

Vs

Director General of Immigration

Fakta Kes :

Dalam kes JP Berthelsen v Ketua Pengarah Imigresen, Malaysia & Ors (1987) 1 MLJ 134, Plaintif, seorang wartawan Amerika, telah diberikan pas penggajian 2 tahun yang sah sehingga 2 November 1986. Walau bagaimanapun, selepas menulis dan menerbitkan artikel dalam The Asian Wall Street Journal terhadap kronisme dalam perbankan dan salah urus dalam hal ehwal ekonomi Malaysia, pihak berkuasa imigresen disampaikan suatu notis pembatalan pas penggajian di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 pada 26 September 1986. Ketua Pengarah Imigresen telah menghendaki beliau meninggalkan negara ini dan telah menyerahkan ke atas beliau notis pembatalan berkuatkuasa dengan serta merta bagi pas pekerjaannya itu.Keputusan Mahkamah:(Permohonan perintah certiorari dan larangan plantif dari Mahkamah Tinggi telah ditolak)Notis tersebut mengatakan bahawa beliau telah melanggar Akta Imigresen dan Peraturan-peraturannya dan telah gagal mematuhi syarat-syarat yang telah dikenakan di dalam pas pekerjaannya itu dan bahawa kehadiran beliau di dalam Persekutuan telah atau boleh menjejaskan keselamatan negara. Beliau tidak diberi peluang untuk mempertahankan diri. Perayu telah memohon untuk satu perintah certiorari untuk membatalkan penamatan pas pekerjaannya, tetapi hakim Mahkamah Tinggi telah menolak permohonannya. Rayuan telah ditetapkan pada 3 dan 11 November 1986 untuk perbicaraan di Mahkamah Agung di hadapan korum terdiri daripada Salleh Abas, Ketua Hakim Negara, Mohamed Azmi dan Abdoolcader, Hakim-Hakim Mahkamah Agung. Mahkamah Agung dalam satu keputusan bertulis sebulat suara membenarkan rayuan itu serta membatalkan penamatan pas pekerjaan Perayu.Ulasan:

Atas rayuan kepada Mahkamah Agung, Eusoffe Abdoolcader Hakim Mahkamah Agung memutuskan bahawa Plaintif yang diperolehi jangkaan yang sah berhak untuk kekal di Malaysia, sekurang-kurangnya sehingga tamat tempoh yang ditetapkan. Mahkamah membuat kesimpulan bahawa Plaintif telah tidak diberi peluang untuk membuat representasi mengenai pembatalan pas pekerjaan, dan bahawa jalan yang hak semula jadi tidak pernah berpuas hati.8.0 KESIMPULANMelalui perbincangan di atas dapat di lihat sudah wujud kesedaran di kalangan rakyat mengenai ketelusan dan kebebasan sistem kehakiman negara. Pemerintah juga seharusnya tidak mencampuri urusan badan kehakiman dalam memberikan kebebasan untuk mereka menjalankan tugas dengan adil. Begitu juga dengan kawalan terhadap badan kehakiman seperti hakim-hakim mereka juga perlu dipantau supaya tidak terlibat dengan perkara-perkara yang boleh memudaratkan perjalanan sistem kehakiman negara. Apa yang pasti kini, perubahan dalam ketelusan dan kebebasan badan kehakiman sudah menampakkan hasil dan mampu memberikan satu reputasi yang baik kepada badan tersebut.

Amatlah penting sekali untuk badan Kehakiman itu bebas dari pengaruh politik dan lain-lainnya. Para Hakim sepatutnya memiliki keberanian untuk menentang campur tangan sebegitu dan berani pula mengatakan kepada Badan Eksekutif supaya tidak mengganggu fungsi Kehakiman. Ahli Politik yang sering mengganggu Badan Kehakiman seperti Perdana Menteri seharusnya disedarkan kedudukannya. Para hakim mesti menghambakan dirinya kepada Undang-undang, bukannya kepada orang perseorangan.Para hakim Malaysia perlu diperingatkan sekali lagi bahawa perlembagaan adalah undang-undang yang tertinggi di negara ini dan sebarang undang-undang yang diluluskan yang tidak selaras dengan perlembagaan perlu diisytiharkan sebagai tidak sah. Dan seperti di negara-negara lain di mana perlembagaan adalah undang-undang yang tertinggi di dalam sesebuah negara itu, dan tindakan dari kedua-dua rakyat biasa dan negara boleh diuji di dalam mahkamah, peranan dan kebebasan badan kehakiman adalah lebih penting dari yang sebelumnya. Dan peri pentingnya doktrin pemisahan kuasa dan keutamaan diberi kepada kedaulatan undang-undang.9.0 RUJUKANJudicial Review in Malaysia, semakan terakhir pada 1 November 2009, Wikipedia,http://en.wikipedia.org/wiki/Judicial_review_in_malaysiaKehakiman di Malaysia, semakan terakhir pada 1 November 2009, Wikipedia,http://ms.wikipedia.org/wiki/Kehakiman_di_MalaysiaPrinsip Perlembagaan dan Pemerintahan di Malaysia, Tun Mohd Salleh Abas, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003.Pengenalan kepada sistem perundangan di Malaysia, Noor Aziah Mohd Awal, International Law Book Services, cetakan semula 2004.The Malaysian Legal System, Wu Min Aun, Terbitan 1990 (Reprinted 2004), Peaeson Malaysia Sdn Bhd.Tun Salleh (1989)Kebebasan Kehakiman. Kuala Lumpur:Penerbitan Pena Sdn.Bhd.No.Matrik 223092

Page | 19