hak wanita berkahwin

8
Hak wanita berkahwin - Islam menjelaskan kedudukan dan hak setiap orang dalam perkahwinan BERSAMA PROF. DATIN NOOR AZIAH MOHD. AWAL 06 Mei 2015 1:41 PM DALAM Islam, hak wanita diiktiraf, sama ada dia berkahwin atau tidak. ISLAM melarang perzinaan dan sesiapa yang berzina melakukan dosa besar. Larangan berzina kerana perzinaan menyebabkan nasab menjadi keliru dan tidak menentu. Apa tidaknya, bagi sepasang kekasih, hubungan luar nikah mereka boleh menyebabkan kelahiran zuriat yang tidak sah taraf. Tidak sah taraf bermakna anak itu tiada hubungan sah dengan lelaki yang menyebabkan ibunya mengandung. Anak tersebut hanya ada hubungan dengan ibu kerana ibu itu yang mengandungkannya. Malah ibunya tidak boleh menuntut nafkah untuk dirinya atau untuk anak daripada lelaki yang menyebabkan dia mengandung kerana hak hanya lahir daripada pernikahan yang sah. Bagi orang Islam, perkahwinan bukan sahaja satu ibadah tetapi satu kontrak yang membawa pelbagai

Upload: azlanamirazhim

Post on 17-Dec-2015

6 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Hak wanita berkahwin - Islam menjelaskan kedudukan dan hak setiap orang dalam perkahwinan

BERSAMA PROF. DATIN NOOR AZIAH MOHD. AWAL06 Mei 2015 1:41 PM

DALAM Islam, hak wanita diiktiraf, sama ada dia berkahwin atau tidak.ISLAM melarang perzinaan dan sesiapa yang berzina melakukan dosa besar. Larangan berzina kerana perzinaan menyebabkan nasab menjadi keliru dan tidak menentu. Apa tidaknya, bagi sepasang kekasih, hubungan luar nikah mereka boleh menyebabkan kelahiran zuriat yang tidak sah taraf.

Tidak sah taraf bermakna anak itu tiada hubungan sah dengan lelaki yang menyebabkan ibunya mengandung. Anak tersebut hanya ada hubungan dengan ibu kerana ibu itu yang mengandungkannya.

Malah ibunya tidak boleh menuntut nafkah untuk dirinya atau untuk anak daripada lelaki yang menyebabkan dia mengandung kerana hak hanya lahir daripada pernikahan yang sah.

Bagi orang Islam, perkahwinan bukan sahaja satu ibadah tetapi satu kontrak yang membawa pelbagai tanggungjawab. Perkahwinan membawa hak dan memberi hak.

Di Barat, sedikit demi sedikit apabila manusia meninggalkan amalan agama, kepentingan perkahwinan juga menipis. Ia bermula dengan menganggap hubungan seks sebagai hak peribadi dan terpulanglah kepada seseorang itu, sama ada mahu melakukannya melalui perkahwinan atau tanpa perkahwinan.

Orang Barat menganggap orang Islam sebagai kuno kerana berpegang kepada agama dan budaya lama iaitu hanya mengadakan seks apabila telah bernikah atau berkahwin secara sah.

Di Barat mengadakan hubungan seks bukan bermakna mereka akan berkahwin atau mempunyai hubungan intim melebihi kawan biasa tetapi hubungan seks hanyalah untuk bersuka-suka.

Akhirnya, ramai pasangan di Barat tidak berkahwin atas berbagai alasan. Ada yang menyatakan mereka belum bersedia, tidak mahu tanggungjawab dan moden. Apabila bertemu dengan pasangan yang mereka benar-benar mahu hidup bersama, mereka tidak berkahwin kerana merasakan kahwin atau tidak, ia tidak menjejaskan perasaan mereka.

Mereka hidup bersama, mempunyai anak, membeli dan mengumpul harta. Tapi di sisi undang-undang mereka tidak ada hubungan walaupun telah mempunyai anak. Apabila telah tinggal bersama bertahun-tahun seperti orang berkahwin mereka beranggapan mereka mempunyai hak yang sama seperti orang berkahwin, tetapi realitinya di bawah kebanyakan undang-undang di dunia ini, sama ada Common Law atau Civil Law, pasangan yang tidak berkahwin tidak mempunyai hak.

Dalam persidangan yang saya hadiri di Paris pada 24-25 April anjuran Persatuan Antarabangsa Undang-undang Keluarga, perbincangan tertumpu kepada hak selepas perceraian atau perpisahan.

Orang Islam beruntung

Sebagai satu-satunya wakil yang membincangkan hukum Islam, saya merasakan kita orang Islam sangat beruntung kerana kita mewajibkan orang berkahwin jika ingin melakukan hubungan seks.

Perkahwinan dalam Islam membawa hak dan tanggungjawab kepada setiap pasangan dan anak-anak. Ia bukan hak satu orang tetapi hak semua orang dalam perkahwinan itu.

Dalam perbincangan di Paris, negara Barat merasakan ketidakadilan berlaku kepada orang yang telah hidup sebagai suami isteri tetapi tidak berkahwin kerana mereka tiada hak yang diiktiraf dalam undang-undang Barat yang mereka cipta.

Jika mahukan hak, mereka perlu berkahwin atau membuat perjanjian sehinggakan orang yang sama jantina pun perlu kahwin untuk mendapat hak yang sama. Maka tidak hairanlah mereka membuat undang-undang menghalalkan perkahwinan atau penyatuan orang yang sama jantina.

Di England misalnya, orang yang berkahwin mempunyai hak yang jelas di bawah status, sama ada hak semasa berkahwin atau selepas berkahwin. Ini termasuk hak melibatkan anak dan pemilikan harta semasa berkahwin.

Pasangan sama jantina mempunyai hak yang sama jika mereka berkahwin tetapi ramai dalam kalangan masyarakat di England tidak berkahwin tetapi tinggal bersama. Perbincangan tertumpu kepada negara dengan jumlah penduduk yang bersekedudukan sangat tinggi daripada jumlah yang berkahwin.

Mereka menyatakan betapa rugi, jika mereka tidak berkahwin kerana apabila berpisah mereka menghadapi masalah membuktikan hak kerana undang-undang tidak memberi hak kepada orang yang bersekedudukan.

Ia lebih merugikan wanita bekerja yang menyara keluarga, sedangkan rumah yang didiami dimiliki pasangan lelakinya dan jika pasangan ini pernah berkahwin dan mempunyai anak daripada perkahwinan terdahulu, maka jika pasangan tersebut meninggal dunia tanpa wasiat, maka anak-anak daripada perkahwinan pertamanya mempunyai hak terhadap harta tersebut. Anak-anak hasil daripada bersekedudukan tidak mempunyai hak. Ini kerana mereka ketiadaan dokumen untuk menunjukkan pertalian.

Wanita tersebut juga perlu membuktikan kepada mahkamah dia yang membayar rumah secara bulanan. Semua masalah yang dihadapi oleh pasangan bersekedudukan di Barat ini berlaku kerana di Barat sendiri tiada undang-undang yang mengiktiraf kedudukan orang bersekedudukan.

Jika undang-undang diwujudkan untuk mengiktiraf orang bersekedudukan, ini akan menimbulkan kekeliruan kerana tujuan utama mereka tidak berkahwin ialah kerana mereka tidak mahu terikat dengan hak dan tanggungjawab yang terlahir daripada ikatan perkahwinan itu sendiri.

Tuntut hak

Orang Barat perlu kembali ke pangkal jalan dan melihat bagaimana Islam telah mengatur kehidupan manusia dengan jelas dan teratur. Saya mengambil contoh isu wanita atau isteri.

Di England, di bawah undang-undang Common Law, wanita sememangnya tidak mempunyai sebarang kedudukan dari kecil hingga dewasa.

Mereka tidak boleh memiliki harta dan apabila perundangan mengenai perceraian diwujudkan, mereka tidak boleh memohon pemeliharaan anak. Ini menyebabkan wanita di England bangkit menuntut hak asasi mereka dan Parlimen England, sedikit demi sedikit memberi wanita Inggeris hak dalam perkahwinan.

Harta perkahwinan tidak wujud dalam undang-undang Common Law kerana harta milik lelaki. Anak perempuan boleh mendapat harta daripada bapanya melalui perkahwinan dan harta itu diurus suami.

Apabila Parlimen Inggeris meluluskan undang-undang Married Women Property Act 1880an, wanita Inggeris boleh memiliki harta, boleh menyaman dan disaman. Sehingga hari ini hak harta perkahwinan diwujudkan melalui status kerana sebelum ini, pasangan suami isteri yang memiliki harta semasa berkahwin, setelah bercerai, isteri sering tidak mendapat apa-apa hak kerana harta di atas nama suami. Kesukaran mendapat hak walaupun berkahwin merumitkan tuntutan terhadap harta pasangan bersekedudukan.

Islam iktiraf hak wanita

DALAM Islam, hak wanita diiktiraf, sama ada dia berkahwin atau tidak. Wanita bertanggungjawab atas dirinya sendiri, boleh disaman dan menyaman dan boleh memiliki harta. Hartanya menjadi milik mutlaknya dan suami bertanggungjawab menanggung isteri semasa berkahwin.

Jika isteri menyumbang kepada rumah tangga maka ia dikira sebagai sedekah dan mendapat pahala. Jika semasa dalam perkahwinan harta dibeli oleh suami, misalnya rumah, isteri tetap dapat menuntut rumah tersebut sebagai harta perkahwinan jika pasangan bercerai.

Sekiranya si suami meninggal dunia, isteri boleh menuntut harta sepencarian sebelum harta difaraidkan. Islam juga mewajibkan suami membiayai anak-anak dan ini memudahkan proses tuntutan. Bersekedudukan itu berzina dan berdosa, maka Islam tidak mengiktirafnya dan tidak memberi sebarang hak.

Orang Barat terlupa bahawa bersekedudukan juga dilarang oleh agama mereka dan sebab itu menuntut hak daripada bersekedudukan tidak diiktiraf.

Orang Islam perlu berkahwin kerana perkahwinan menjelaskan kedudukan dan hak setiap orang dalam perkahwinan tersebut. Hak dalam Islam itu lengkap. Ada hak dan tanggungjawab suami isteri serta anak-anak terhadap ibu bapa dan ibu bapa terhadap anak-anak.

Dalam sistem perundangan Barat, hanya hak dan tanggungjawab pasangan yang ada. Anak-anak ada hak tetapi tiada tanggungjawab. Islam agama yang lengkap. Kembalilah kepada ajarannya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/hak-wanita-berkahwin-1.88490#sthash.xQbZ1RIA.dpuf