hak ibu tunggal menurut syarakukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/01/02-dr...hak mereka...

14
ISU SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG SIRI 22 Disunting oleh: Md. Yazid Ahmad, Anwar Fakhri Omar & Mohammad Zaini Yahaya © Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Bangi, Selangor. ISSN 1511-3434 http://ukmsyariah.org/terbitan/index.php/isusyariah22/ Hak Ibu Tunggal menurut Syarak Norhidayah Md Salleh & Zuliza Mohd Kusrin Pengenalan Sebelum kedatangan Islam, kaum wanita tidak mendapat hak kehidupan serta terdedah dengan pelbagai bentuk penindasan dan penghinaan. Mereka tidak mendapat tempat di mata masyarakat dan dianggap seperti barang dagangan yang boleh diperdagangkan serta dipindah milik oleh suami melalui akad nikah. Contohnya, apabila seseorang suami meninggal dunia, isterinya dianggap sebagai barang yang boleh diwarisi oleh ahli keluarganya, sebagaimana mereka mewarisi harta peninggalan si mati. Islam telah melupuskan dan melarang keras amalan masyarakat Jahiliyyah tersebut serta melarang sebarang bentuk perlakuan yang menyakiti wanita dan mempergunakan hak mereka dengan melanggar syarak (al-Quran, al-Nisa4: 19). Kaum wanita juga diperlakukan sewenang-wenangnya dengan dinafikan hak mereka sebagai isteri mahupun anak. Hal ini terbukti melalui perbuatan suami yang tidak menyukai isterinya boleh menzihar isteri berkenaan dengan tujuan menghalang persetubuhan dengannya. Justeru, Islam telah menghapuskan penderitaan batin yang dilakukan terhadap isteri dengan menurunkan ayat yang menghapuskan amalan adat Jahiliyyah tersebut (al-Quran, al-Ahz ab 33: 4). Kepercayaan masyarakat Arab Jahiliyyah bahawa anak perempuan akan membawa nasib malang menyebabkan mereka bertindak membunuh anak-anak perempuan yang dilahirkan, dengan menanam mereka hidup-hidup. Amalan tersebut juga telah dihapuskan oleh Islam dengan menurunkan ayat yang melarang perbuatan kejam tersebut (Surah al-Takwir 81: 8- 9). Agama Islam juga menghapuskan persepsi negatif terhadap wanita dan menggangkat martabat wanita sebagai golongan mulia yang menjadi penyeri kehidupan (al-Quran, Al Imran 3:14). Kedatangan Islam merubah dan memartabatkan taraf wanita. Dalam aspek ibadat, wanita berhak mendapat ganjaran yang sama dengan lelaki dalam mencari keredhaan-Nya. Dalam aspek kekeluargaan, wanita berhak mendapat bahagian harta pusaka, kaum lelaki (suami/ayah) bertanggungjawab melindungi dan menafkahi serta melindungi wanita. Amalan seperti menjadikan isteri umpama barang warisan serta membunuh anak-anak perempuan telah dihapuskan sama sekali oleh ajaran agama Islam (Abdul Monir Yaacob 1986: 89). Islam juga telah memberikan hak perundangan kepada wanita, bermula dari fasa sebelum memasuki gerbang perkahwinan, semasa perkahwinan dan juga selepas perkahwinan disebabkan perceraian ataupun kematian.

Upload: lyphuc

Post on 16-Mar-2019

237 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

ISU SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG SIRI 22 Disunting oleh: Md. Yazid Ahmad, Anwar Fakhri Omar & Mohammad Zaini Yahaya

© Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Bangi, Selangor. ISSN 1511-3434 http://ukmsyariah.org/terbitan/index.php/isusyariah22/

Hak Ibu Tunggal menurut Syarak

Norhidayah Md Salleh & Zuliza Mohd Kusrin

Pengenalan

Sebelum kedatangan Islam, kaum wanita tidak mendapat hak kehidupan serta terdedah dengan pelbagai bentuk penindasan dan penghinaan. Mereka tidak mendapat tempat di mata masyarakat dan dianggap seperti barang dagangan yang boleh diperdagangkan serta dipindah milik oleh suami melalui akad nikah. Contohnya, apabila seseorang suami meninggal dunia, isterinya dianggap sebagai barang yang boleh diwarisi oleh ahli keluarganya, sebagaimana mereka mewarisi harta peninggalan si mati. Islam telah melupuskan dan melarang keras amalan masyarakat Jahiliyyah tersebut serta melarang sebarang bentuk perlakuan yang menyakiti wanita dan mempergunakan hak mereka dengan melanggar syarak (al-Quran, al-Nisa’ 4: 19).

Kaum wanita juga diperlakukan sewenang-wenangnya dengan dinafikan hak mereka sebagai isteri mahupun anak. Hal ini terbukti melalui perbuatan suami yang tidak menyukai isterinya boleh menzihar isteri berkenaan dengan tujuan menghalang persetubuhan dengannya. Justeru, Islam telah menghapuskan penderitaan batin yang dilakukan terhadap isteri dengan menurunkan ayat yang menghapuskan amalan adat Jahiliyyah tersebut (al-Quran, al-Ahzab 33: 4). Kepercayaan masyarakat Arab Jahiliyyah bahawa anak perempuan akan membawa nasib malang menyebabkan mereka bertindak membunuh anak-anak perempuan yang dilahirkan, dengan menanam mereka hidup-hidup. Amalan tersebut juga telah dihapuskan oleh Islam dengan menurunkan ayat yang melarang perbuatan kejam tersebut (Surah al-Takwir 81: 8-9). Agama Islam juga menghapuskan persepsi negatif terhadap wanita dan menggangkat martabat wanita sebagai golongan mulia yang menjadi penyeri kehidupan (al-Quran, Al ‘Imran 3:14).

Kedatangan Islam merubah dan memartabatkan taraf wanita. Dalam aspek ibadat, wanita berhak mendapat ganjaran yang sama dengan lelaki dalam mencari keredhaan-Nya. Dalam aspek kekeluargaan, wanita berhak mendapat bahagian harta pusaka, kaum lelaki (suami/ayah) bertanggungjawab melindungi dan menafkahi serta melindungi wanita. Amalan seperti menjadikan isteri umpama barang warisan serta membunuh anak-anak perempuan telah dihapuskan sama sekali oleh ajaran agama Islam (Abdul Monir Yaacob 1986: 89). Islam juga telah memberikan hak perundangan kepada wanita, bermula dari fasa sebelum memasuki gerbang perkahwinan, semasa perkahwinan dan juga selepas perkahwinan disebabkan perceraian ataupun kematian.

Isu Syariah & Undang-undang Siri 22 6

Ibu tunggal adalah golongan wanita yang tidak mempunyai suami kesan daripada hubungan perkahwinan yang terbubar disebabkan perceraian atau kematian suami. Islam amat memelihara hak wanita, termasuklah semasa wanita dalam keadaan kesusahan akibat perceraian. Terdapat beberapa pensyariatan tentang hak wanita, begitu juga hak ibu tunggal yang termaktub dalam al-Quran dan hadis. Jaminan hak ibu tunggal tersebut adalah hak semasa dalam tempoh idah perceraian, idah kematian suami serta hak-hak lain selepas perceraian. Artikel ini membincangkan jaminan hak-hak ibu tunggal tersebut berasaskan sumber-sumber al-Quran dan hadis.

Konsep Ibu Tunggal menurut Perspektif Islam

Menurut bahasa, ibu tunggal dalam Islam disebut sebagai أرملة yang berasal daripada perkataan Bahasa Arab أرمة yang bermaksud ”janda”. Namun ada sedikit perbezaan maksud atau definisi dari sudut bahasa pada perkataan asalnya iaitu أرمة. Menurut al-Mu‘jam al-Wasit أرمة atau masdarnya األرملةة bermaksud ‘wanita yang kematian suami’. (Ibrahim Mustafa et.al 1972: 374). Manakala menurut Kamus al-Marbawi pula, kalimah أرمة atau jamaknya أرامة membawa maksud ‘miskin’ serta ‘lelaki bujang’, manakala perkataan أرملة ditakrifkan sebagai ‘janda perempuan’ dan ‘lelaki yang lemah’ (al-Marbawi 1998: 250). Kamus al-Miftah pula mentakrifkan أرمة sebagai ‘duda’ atau ‘menjadi duda’. Manakala perkataan أرملة pula bermaksud ‘janda’ atau ‘balu’ (Mohd Khairi Bin Zainuddin et.al. 2008: 121).

Selain itu, definisi janda menurut Kamus Oxford Fajar adalah sama dengan definisi yang diberikan oleh Kamus al-Miftah iaitu kata dasar ) أرمة atau jamaknya أرملة bermaksud ‘menjadi duda’. Perkataan (ي رمة juga dimaksudkan sebagai ‘balu’ atau ‘janda’ oleh Kamus Oxford أرامة (Abd. Rauf Bin Dato’ Haji Hassan 2011: 27). Walau bagaimanapun, definisi Kamus al-Khalil al-Islami berbeza kerana kalimah أرمةة didefinisikan sebagai ‘janda’ dan ‘si fakir’ dan kalimah أرملة pula ditakrifkan sebagai ‘janda’ serta digunakan sebagai perkataan jamak (banyak) untuk ‘si fakir’(Abu Abdullah Hanafi Bin Haji Dollah et.al 2012: 47). Walaupun terdapat sedikit perbezaan, namun semua definisi yang dikemukakan oleh mereka hampir sama iaitu perkataan أرمة atau .bermaksud ‘janda’ atau ibu tunggal أرمل

Menurut syarak, janda atau ibu tunggal ialah wanita yang diceraikan oleh suami dan wanita yang kematian suami. Dalam Islam, terdapat dua keadaan ibu tunggal iaitu ibu tunggal yang masih berada dalam tempoh idah dan ibu tunggal selepas tempoh idah. Hal ini kerana idah memberi kesan terhadap hak seseorang ibu tunggal semasa tempoh idah dan selepas tempoh idah. Islam menetapkan tempoh idah terhadap setiap ibu tunggal bagi memastikan rahim wanita tersebut suci daripada sebarang janin bagi mengelakkan ketidakpastian nasab sebenar anak jika perkahwinan baru dengan lelaki lain berlaku (al-Dimyati 1993: 34). Justeru itu, ibu tunggal menurut Islam dapat dijelaskan sebagaimana perbincangan berikut.

Hak Ibu Tunggal menurut Syarak 7

Ibu Tunggal semasa Tempoh Idah

Ibu tunggal dalam kategori ini ialah ibu tunggal yang bersifat sementara kerana masih dalam tempoh idah dan masih di bawah tanggungjawab suaminya. Ibu tunggal sementara juga membolehkan suami untuk merujuk kembali isterinya jika idah tersebut ialah idah rajii (al-Sharbini 1994: 3). Terdapat beberapa kategori ibu tunggal yang berada dalam tempoh idah iaitu isteri yang ditalak, isteri yang ditalak sewaktu hamil dan isteri yang kematian suami.

Isteri yang Ditalak

Menurut syarak, wanita yang telah disetubuh dan diceraikan oleh suaminya hendaklah melalui tempoh idah selama tiga kali suci. Contohnya, jika ketika bercerai dalam keadaan suci, idahnya akan berakhir saat haidnya yang ke tiga (al-Quran, al-Baqarah 2: 228). Idah jenis ini (tiga kali suci) berlaku kepada semua jenis perceraian yang berlaku semasa hidup sama ada bercerai talak satu, talak dua, talak tiga, fasakh, khuluk, ila’ dan li‘an. Mereka perlu beridah sebanyak tiga kali suci atau tiga kali haid. Manakala idah wanita yang tidak mempunyai haid pula adalah berbeza dengan idah biasa (idah quru’) kerana wanita yang tidak mempunyai haid perlu beridah selama tiga bulan. Mereka ialah wanita yang belum baligh sewaktu diceraikan, wanita yang telah baligh tetapi tiada haid dan wanita yang telah putus haid (al-Shafi‘i 2001: 457-474). Oleh itu, idah mereka ialah selama tiga bulan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Talaq 65: 4, maksudnya:

Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa daripada

kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh idah mereka)

maka idahnya ialah tiga bulan; dan (demikian) juga idah perempuan-

perempuan yang tidak berhaid.

Isteri yang Ditalak Sewaktu Hamil

Ibu tunggal yang ditalak sewaktu hamil perlu melalui tempoh idah sehingga melahirkan kandungannya sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat 65 surah al-Talaq, maksudnya:

Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga

mereka melahirkan anak yang dikandungnya.

Isteri yang Kematian Suami

Dalam Islam, idah wanita yang kematian suaminya adalah selama 4 bulan 10 hari berdasarkan firman Allah SWT dalam ayat 234 surah al-Baqarah, maksudnya:

Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka

meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka

(beridah) selama empat bulan sepuluh hari.

Ibu Tunggal Selepas Tempoh Idah

Ibu tunggal dalam kategori ini adalah ibu tunggal dalam tempoh yang lama kerana telah melepasi tempoh idah dan akan bergelar janda selagi

Isu Syariah & Undang-undang Siri 22 8

mereka tidak berkahwin dengan lelaki lain. Mereka juga telah menjadi ibu tunggal dengan sepenuhnya kerana tidak lagi menjadi tanggungjawab suami sebagaimana ibu tunggal sementara yang masih berada dalam idah. Suami juga sudah tidak mempunyai hak ke atas idah isteri dan tidak boleh merujuk kembali bekas isteri melainkan dengan akad yang baru. Walaupun sudah melepasi tempoh idah, namun mereka masih mempunyai beberapa hak yang ditetapkan oleh syarak iaitu hak nafkah anak, harta sepencarian, mutaah dan sebagainya yang akan dibincangkan secara terperinci selepas ini (al-Shafi‘i 2013: 126).

Ibu Tunggal yang Tiada Idah

Ibu tunggal atau janda yang tiada tempoh idah iaitu isteri yang diceraikan oleh suami tanpa berlaku persetubuhan (al-Haytami 2001: 334). Firman Allah SWT dalam ayat 40 surah al-Ahzab, maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan

perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka

sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap

mereka mengenai sebarang idah yang kamu boleh hitungkan masanya

Kesemua ibu tunggal yang dinyatakan di atas hendaklah melalui tempoh idah tiga kali suci, tiga bulan, sehingga melahirkan anak dan empat bulan sepuluh hari. Islam meletakkan tempoh idah tertentu bagi menjaga kesucian nasab. Islam juga mengiktiraf beberapa hak terhadap ibu tunggal yang berada dalam tempoh idah.

Hak Ibu Tunggal menurut Perspektif Islam

Islam mengiktiraf dan memberikan beberapa hak kepada ibu-ibu tunggal. Hak tersebut merangkumi hak ibu tunggal secara umum di dalam Islam dan hak ibu tunggal yang masih berada dalam tempoh idah. Hak-hak tersebut adalah hak mutaah, nafkah idah, harta sepencarian, harta pusaka, hak zakat, nafkah anak, hak hadanah dan hak untuk dihormati serta mendapat layanan yang baik.

Hak Mutaah

Bagi wanita yang diceraikan oleh suami, Islam telah mendatangkan saguhati sebagai hadiah kepada wanita iaitu mutaah. Mutaah ialah sejumlah harta yang wajib diberi oleh suami kepada bekas isterinya yang pernah disetubuhi jika perceraian itu bukan berpunca daripada isteri dan bukan daripada kematian suami (al-Quran, al-Baqarah 2: 241). Ia juga merupakan penghargaan suami terhadap isteri atas sumbangan dan peranan yang diberikan oleh isteri selama ini (al-Zuhayli 1996: 316).

Ulama berbeza pendapat berkenaan hukum pemberian mutaah. Mazhab Shafii berpendapat pemberian mutaah adalah wajib bagi setiap perempuan yang diceraikan suami sama ada perceraian itu sebelum bersama dengan suami atau selepasnya (al-Sharbini 1994: 106). Namun ulama mazhab Maliki berpendapat sunat diberi mutaah kepada semua perempuan yang diceraikan oleh suami (Malik bin Anas 1905: 464). Ulama mazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat sunat diberi mutaah

Hak Ibu Tunggal menurut Syarak 9

kepada perempuan yang diceraikan oleh suami kecuali perempuan yang melakukan tafwid iaitu yang berkahwin tanpa ditentukan maharnya (al-Samarqandi 1984: 171.) Pendapat ulama mazhab Shafii lebih rajih kerana kekukuhan dalil mereka iaitu dalil surah al-Baqarah ayat 241 di atas, di samping memujuk perasaan perempuan, meringankan kepedihan perpisahan dan sebagai dorongan kembali semula kepada ikatan perkahwinan jika ia bukan talak bain kubra.

Islam tidak menetapkan kadar mengenai mutaah kerana ia bergantung kepada kemampuan suami dan persetujuan antara suami isteri serta tiada penentuan nas tentang mutaah dan jenisnya (al-Quran, al-Baqarah 2: 236). Para fuqaha melakukan ijtihad mengenai kadar mutaah. Para ulama Hanafi menetapkan bahawa mutaah merupakan tiga jenis pakaian iaitu pakaian basahan, kain tudung kepala dan pakaian yang menutup kepala hingga ke kaki (al-Sarakhsi 1989: 196). Ulama mazhab Syafii pula berpendapat mutaah adalah sunat tidak kurang daripada 30 dirham barang yang sama nilai dengannya dan setinggi-tingginya ialah khadam dan yang sederhana ialah pakaian. Disunatkan juga mutaah itu separuh daripada kadar mahar mithl. Walau bagaimanapun, sebarang pertelingkahan mengenai kadar mutaah hendaklah diselesaikan di hadapan hakim dengan ijtihadnya berdasarkan kesesuaian kedudukan atau taraf suami isteri (al-Sharbini 1994: 241). Manakala para ulama mazhab Maliki dan Hanbali pula berpendapat bahawa kadar mutaah adalah berdasarkan keadaan suami isteri, sama ada kaya atau miskin (Malik bin Anas 1905: 464).

Hak Nafkah Idah

Wanita yang sedang beridah diberikan hak nafkah idah oleh Islam. Ulama mazhab Syafii, Maliki dan Hanbali bersepakat bahawa wanita yang ditalak rajii berhak mendapat nafkah daripada suaminya kerana masih berstatus sebagai isteri yang berhak mendapat nafkah tempat tinggal, makan dan pakaian selama mereka dalam tempoh idah (al-Nawawi 1980: 131). Justeru, suami tidak boleh menghalau isterinya keluar dari rumah selagi tempoh idah belum berakhir, seperti firman Allah SWT dalam surah al-Talaq 65: 6. Manakala jika wanita yang diceraikan itu beridah pada talak yang tidak boleh dirujuk lagi iaitu idah talak ba’in, Imam Malik dan Syafii berpendapat bahawa wanita tersebut hanya berhak mendapat nafkah tempat tinggal sahaja (al-Shafi‘i 2013: 344). Walau bagaimanapun, mazhab Hanafi berpendapat seseorang wanita yang diceraikan berhak mendapat hak nafkah dan tempat tinggal tanpa mengira jenis perceraian tersebut sama ada talak rajii atau talak ba’in dengan syarat bekas isteri masih tinggal di kediaman suami. Alasan yang diberikan ialah pihak wanita yang diceraikan itu wajib beridah tanpa mengira jenis talak (al-Samarqandi 1984: 171).

Namun semuanya sepakat bahawa wanita yang ditalak ba’in sewaktu sedang hamil berhak mendapat nafkah sehingga melahirkan anaknya berdasarkan firman Allah SWT dalam ayat 6 surah al-Talaq.

Isu Syariah & Undang-undang Siri 22 10

Malah jika isteri berkenaan menyusukan anaknya selepas diceraikan dan anak tersebut merupakan hasil perkahwinan dengan bekas suaminya, isteri juga berhak mendapat upah daripada penyusuan tersebut (al-Sharbini 1994: 181-182). Hal ini juga jelas dinyatakan dalam firman Allah SWT dalam ayat 6 surah al-Talaq.

Namun demikian, bagi idah kematian suami pula, penentuan untuk memilih tempat tinggal adalah terpulang kepada wanita itu sendiri dan ia bebas untuk membuat keputusan kerana selepas dari itu dia sendiri terpaksa menanggung nafkah hidupnya. Walau bagaimanapun, jika isteri diceraikan sebelum terjadinya persetubuhan, dia tidak berhak mendapat nafkah kerana tidak ada masa idah baginya (al-Shafi‘i 2013: 334). Firman Allah SWT dalam ayat 40 surah al-Ahzab, maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan

perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka

sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap

mereka mengenai sebarang idah yang kamu boleh hitungkan masanya.

Hak Harta Sepencarian

Harta sepencarian juga merupakan satu lagi bentuk harta yang dijamin oleh syariat Islam untuk ibu tunggal. Harta sepencarian ialah harta yang diperoleh oleh suami dan isteri sepanjang tempoh perkahwinan mereka. Setiap ibu tunggal berhak mendapat bahagian dalam harta sepencarian sama ada bercerai mahupun suami meninggal. Harta sepencarian adalah berdasarkan adat dan hukum syarak yang diamalkan oleh masyarakat Melayu bersandarkan dalil dan pendapat ulama. Asas ambilan hukum harta sepencarian ini diambil daripada kaedah fiqh iaitu kaedah al-‘Adah Muhakkamah yang telah menjadi uruf atau kebiasaan (al-Dimyati 1993: 252). Ulama juga berhujah mengenai keharusan hukum harta sepencarian bersandar kepada frman Allah SWT dalam ayat 32 surah al-Nisa’, maksudnya:

Orang-orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan

orang-orang perempuan pula ada bahagian daripada apa yang mereka

usahakan.

Firman Allah SWT ayat 228 surah al-Baqarah, maksudnya:

Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang

ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya

(dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-

suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan

(isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Berdasarkan pendapat ulama dan dalil ayat al-Quran, isteri atau bekas isteri sememangnya mempunyai hak dan bahagian dalam harta sepencarian. Malah, dalam kitab I‘anat al-Talibin turut dinyatakan bahawa perkara-perkara yang tidak khusus kepada isteri melakukannya seperti memasak makanan suami dan mencuci pakaian suami, maka tidaklah menjadi kewajipan ke atas isteri mahupun orang gaji bagi isteri

Hak Ibu Tunggal menurut Syarak 11

tetapi kewajipan tersebut menjadi tugas suami membayar upah dan sebagainya (al-Dimyati 1900M: 76).

Hak Harta Pusaka

Harta pusaka ialah semua harta yang ditinggalkan oleh si mati selepas kematiannya sama ada harta alih seperti emas, perak, wang, perabot dan lain-lain atau pun harta tidak alih seperti tanah, rumah, kebun dan sebagainya. Antara sebab yang membolehkan seseorang mendapat pusaka adalah disebabkan perkahwinan, keturunan, wala’ (hubungan kekeluargaan) dan Islam. Wanita yang menjadi ibu tunggal atau janda selepas kematian suami berhak mendapat bahagian daripada harta peninggalan suaminya (al-Sharbini 1998: 6-7). Firman Allah SWT dalam ayat 7 surah al-Nisa’, maksudnya:

Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa

dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka

daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak

dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan

ditentukan oleh Allah).

Berdasarkan hukum syarak, isteri berhak memperoleh satu perempat (1/4) daripada harta pusaka suaminya yang meninggal dunia jika suami tersebut tidak mempunyai anak atau anak kepada anak lelaki. Anak tersebut tidak kira sama ada anak daripada beliau mahupun daripada orang lain, sama ada lelaki mahupun perempuan (al-Quran, al-Nisa’ 4: 12; al-Sharbini 1998: 13). Manakala jika suami tersebut meninggal dunia dan mempunyai anak atau anak kepada anak lelaki, sama ada lelaki mahupun perempuan, isteri berhak mendapat satu perlapan (1/8) daripada harta pusaka tersebut (al-Sharbini 1998: 13). Jika si mati meninggalkan seorang isteri, dua orang, tiga orang atau pun empat orang isteri sama ada mempunyai anak atau pun tidak, kesemua isteri-isteri si mati berkongsi pada bahagian satu perempat (1/4) atau satu perlapan (1/8) tersebut.

Hak Zakat dan Baitulmal

Baitulmal merupakan badan yang menyimpan, mengurus dan menyelenggara harta dan aset negara. Ia juga merupakan sumber kewangan negara, di mana harta-harta Baitulmal diperoleh daripada kutipan zakat daripada umat Islam, harta wakaf, wasiat, harta umat Islam yang tiada waris, cukai-cukai dan sebagainya. Permohonan zakat di Baitulmal hanya boleh dibuat oleh golongan asnaf iaitu golongan yang dibolehkan menerima zakat menurut syariat Islam. Pemohon mestilah menepati kriteria yang ditetapkan oleh Baitulmal seperti fakir, miskin, amil, muallaf, fi sabilillah, ibn al-sabil, hamba dan orang yang berhutang (al-Sharbini 1998: 551).

Realitinya, ibu tunggal berhak untuk mendapat bantuan zakat atas asnaf fakir atau miskin. Firman Allah SWT dalam ayat 60 surah al-Tawbah, maksudnya:

Isu Syariah & Undang-undang Siri 22 12

Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanya untuk orang-orang fakir,

orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang

dijinakkan hati mereka, untuk memerdekakan para hamba, untuk orang-

orang yang menanggung hutang, untuk Sabilullah dan untuk orang-orang

yang merantau sebagai suatu kefarduan daripada Allah. Dan Allah Maha

Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Para ulama kontemporari seperti al-Qaradawi cuba mentafsirkan kembali ayat 60 surah al-Tawbah serta memperincikan kriteria-kriteria lapan asnaf tersebut mengikut perkembangan semasa agar yang berhak terus mendapat haknya. Menurut al-Qaradawi, golongan wanita yang ditinggalkan suami termasuk dalam golongan asnaf fakir dan miskin. Beliau juga berpendapat bahawa orang miskin yang tidak mampu mencari nafkah sendiri seperti lumpuh, orang buta, ibu tunggal, anak-anak dan sebagainya boleh diberikan zakat secukupnya seperti diberi gaji tetap yang dapat dipergunakannya untuk setiap tahun, bahkan baik juga diberikan secara bulanan apabila dibimbangkan orang itu berlaku boros. Berdasarkan pandangan al-Qaradawi ini, dirumuskan bahawa ibu tunggal tergolong dalam golongan asnaf fakir miskin. Mereka yang disifatkan miskin dan mempunyai tanggungan yang ramai atau berat sahaja termasuk dalam golongan ini (al-Qaradawi 1994: 597-600)..

Jelas bahawa ibu tunggal mempunyai hak dalam zakat dan Baitulmal. Ibu-ibu tunggal boleh memohon bantuan atau sumbangan daripada Baitulmal kerana lazimnya seseorang ibu tunggal sebelum perceraian atau perpisahan, kehidupan mereka bergantung sebahagian besar atau sepenuhnya kepada pendapatan suami. Apabila kematian atau perpecahan keluarga berlaku, ibu tunggal akan hilang pergantungan kewangan dan terpaksa menanggung kos kehidupan diri dan anak-anak secara bersendirian.

Hak Nafkah Anak

Walaupun nafkah anak bukan merupakan hak ibu tunggal, namun ia merupakan suatu kewajipan yang perlu dibayar oleh bekas suami sekiranya hak hadanah berada di pihak ibu. Hal ini kerana seorang ibu tunggal memerlukan nafkah tersebut untuk membesarkan dan memberi pendidikan yang sempurna kepada anak-anak yang ditanggung oleh ibu tunggal (al-Sharbini 1998: 576). Kewajipan nafkah kepada anak ialah berdasarkan firman Allah SWT dalam ayat 233 surah al-Baqarah, maksudnya:

Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu

menurut cara yang sepatutnya.

Ayat di atas menerangkan kewajipan bapa terhadap keluarga termasuklah isteri dan anak-anaknya kerana bapa bertanggungan ke atas nafkah anaknya disebabkan hubungan darah atau nasab. Islam mewajibkan nafkah ke atas anak sebagaimana diwajibkan nafkah ke atas isteri (al-Sharbini 1994: 165), sebagaimana kisah Hindun dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘A’ishah:

Hak Ibu Tunggal menurut Syarak 13

1

Maksudnya: Daripada Aisyah, sesungguhnya Hindun binti ‘Utbah berkata:

wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan lelaki yang kedekut dan tidak

memberikanku apa yang aku dan anakku perlukan melainkan aku

mengambil daripadanya tanpa pengetahuannya. Rasulullah bersabda:

ambillah sekadar keperluanmu dan anakmu dengan jalan yang baik (Ibn al-

Jawziyy 2000: 704).

Hadis ini adalah berkenaan kes pengabaian nafkah oleh suami terhadap isteri dan anak yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Hindun isteri Abu Sufyan menemui Rasulullah SAW untuk mengadu hal suaminya yang kedekut dan tidak memberikan nafkah kepada beliau dan anaknya. Kisah ini wajar dijadikan teladan kepada para bapa, suami atau bekas suami agar memandang berat soal tanggungan nafkah yang wajib mereka tunaikan, begitu juga dengan kaum wanita yang seharusnya mengambil tahu hak nafkah mereka dan anak-anak (al-‘Asqalani 1996: 247). Dalam hadis baginda yang lain, iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Mas‘ud al-Ansari, diriwayatkan:

2

Maksudnya: Bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sekiranya lelaki muslim

memberi nafkah kepada ahli keluarganya dalam keadaan beliau

mengharapkan ganjaran pahalanya, maka beliau memperoleh ganjaran

sama seperti bersedekah (Ibn al-Jawzi 2000: 700).

Dalam hadis di atas disebutkan bahawa pahala orang yang memberi nafkah kepada keluarga sama seperti pahala orang yang bersedekah (al-‘Asqalani 1996: 231). Islam tidak membebani bapa dan suami dalam persoalan nafkah kerana nafkah yang perlu diberikan kepada anak-anak dan keluarga hanyalah sekadar yang mampu berdasarkan firman Allah SWT dalam ayat 7 surah al-Talaq.

Hak Hadanah

Selain hak berkenaan dengan harta dan kewangan, Islam juga mengiktiraf hak bukan harta iaitu hak penjagaan anak yakni hadanah yang menjadi hak wanita selepas perceraian. Hadanah dapat diertikan sebagai menjaga dan mendidik kanak-kanak yang masih kecil dalam semua hal keadaan kehidupannya sehingga umur tertentu oleh seseorang yang berhak dan bertanggungjawab ke atasnya sama ada dari kaum kerabat atau mahramnya. Hadanah bagi anak kecil penting kerana kanak-kanak memerlukan orang yang boleh memelihara, membimbing dan mendidiknya dengan baik. Ibu adalah orang yang

Isu Syariah & Undang-undang Siri 22 14

paling layak dan sesuai dalam membentuk keperibadian serta memberikan sepenuh kasih sayang kepada kanak-kanak tersebut (‘Umar ‘Abdullah 1965: 553). Secara fitrahnya, sifat penyayang seseorang ibu menjamin seseorang ibu itu memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak tersebut, lebih-lebih lagi jika anak tersebut masih kecil dan menyusu badan (al-Sharbini 1998: 576). Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amru:

3

Maksudnya: Seorang wanita berkata: “Wahai Rasulullah! Ini adalah

anakku yang aku kandung dan aku ribanya serta aku susukannya. Ayahnya

telah menceraikan aku dan mahu merebutnya daripadaku.” Maka sabda

Rasulullah SAW kepadanya: “Engkau lebih berhak ke atasnya selama

engkau tidak berkahwin baru.” (Abu Dawud Tth: 185)

Berdasarkan hadis di atas, ibu adalah orang yang paling layak mendapat hak hadanah selagi dia tidak berkahwin dengan lelaki lain. Keutamaan ibu sebagai orang yang berhak menjaga kanak-kanak mengambil kira maslahah kanak-kanak tersebut. Malah para ulama juga meletakkan ibu sebagai penjaga utama dalam susunan hak penjagaan kanak-kanak kecuali jika ibunya seorang murtad atau perempuan jahat yang boleh merosakkan kehidupan anaknya (al-Shawkani 1961).

Manakala syarat-syarat hadinah (penjaga) juga turut ditetapkan oleh syarak demi menjaga kemaslahatan anak tersebut. Antara syarat yang ditetapkan oleh fuqaha mazhab Syafii terhadap penjaga ialah seorang yang merdeka, kerana seorang hamba tidak layak mendapat hak jagaan. Syarat kedua seorang penjaga ialah berakal kerana tidak sah orang yang gila dan bodoh mendapat hadanah disebabkan mereka sendiri tidak berupaya menjaga diri mereka. Syarat ketiga hadinah ialah seorang yang amanah dan berakhlak baik. Penjaga yang berakhlak buruk dan fasik tidak layak mendapat hak jagaan. Syarat keempat ialah penjaga mestilah beragama Islam kerana orang kafir tidak boleh menjaga orang Islam. Syarat seterusnya ialah, penjaga utama iaitu ibu mestilah tidak berkahwin dengan lelaki asing kerana haknya akan hilang jika berkahwin dengan lelaki ajnabi kepada kanak-kanak. Syarat tambahan seterusnya ialah penjaga dapat diterima oleh kanak-kanak, penjaga berkeupayaan memberi didikan kepada anak di bawah jagaannya serta tidak berlaku kemudaratan kepada diri penjaga seperti menghidap penyakit sopak dan kusta (al-Sharbini 1998: 579).

Hak untuk Dihormati dan Mendapat Layanan yang Baik

Ibu tunggal berhak mendapat layanan yang baik daripada masyarakat, pemimpin, kaum keluarga dan semua pihak. Menurut Islam, hak wanita untuk mendapat layanan dan pergaulan yang baik ini adalah umum dan tidak terbatas kepada sesetengah golongan sahaja dan tidak bergantung

Hak Ibu Tunggal menurut Syarak 15

kepada status wanita berkenaan sama ada janda atau pun tidak, sebaliknya meliputi segenap lapisan masyarakat. Malangnya wanita yang berstatus ibu tunggal kebanyakannya terpaksa menghadapi stigma negatif masyarakat terhadap mereka, seperti sikap masyarakat yang berfikiran sempit amat mudah untuk menghukum dan menghina wanita yang berstatus ibu tunggal (Siti Fatimah Abd Rahman 2002: 1-6). Dalam hadis Rasulullah SAW disebutkan bahawa ganjaran pahala orang yang membantu ibu tunggal dengan mendapat ganjaran yang sangat besar sebagaimana hadis-hadis di bawah ini:

4

Maksudnya: Daripada Safwan bin Salim, Rasulullah SAW bersabda:

Orang yang membantu janda dan orang-orang miskin adalah sama seperti

pejuang pada jalan Allah atau seperti orang yang sentiasa berpuasa di siang

hari dan bersembahyang pada waktu malam.

Dalam hadis yang lain, diriwayatkan oleh Abu Hurayrah bahawa baginda bersabda:

5

Maksudnya: Daripada Abu Hurayrah RA, daripada Nabi SAW sabdanya:

“Orang yang berusaha membantu janda dan orang miskin seolah-olah sama

seperti orang yang berjuang pada jalan Allah”, dan aku kira baginda juga

telah bersabda, “juga sama seperti orang yang bersembahyang pada waktu

malam tetapi tidak berasa letih dan seperti orang yang berpuasa yang tidak

berbuka (tidak rasa lapar).”

Berdasarkan hadis-hadis di atas, orang Islam yang membantu janda termasuk ibu tunggal dan orang miskin untuk memperbaiki keadaan dan menjaga mereka adalah sama dengan pahala mereka yang berjihad atau yang sentiasa sembahyang dan sentiasa berpuasa kerana memerlukan kesabaran yang kuat dan terpaksa mengeluarkan wang dan harta. Golongan ibu tunggal dan orang miskin adalah golongan yang dianggap kurang bernasib baik dalam Islam dan mereka wajib ditolong (al-‘Asqalani 1996: 496).

Malahan Rasulullah SAW telah membuktikan bahawa baginda sendiri menghormati dan mengangkat darjat ibu tunggal dengan mengahwini mereka. Baginda telah menikahi wanita yang menjadi janda akibat kematian suami di medan perang, wanita yang diceraikan suami dan suami meninggal dunia. Antara isteri baginda yang dinikahi selepas kematian suami di medan perang ialah Hafsah dan Zaynab binti Khuzaymah. Sawdah binti Zum‘ah dan Umm Habibah yang menjadi janda setelah suami mereka meninggal dunia juga kemudiannya

Isu Syariah & Undang-undang Siri 22 16

dikahwini oleh Rasulullah SAW. Zaynab binti Jahsh menjadi janda setelah diceraikan oleh suaminya dan kemudian dinikahi oleh Rasulullah SAW. Manakala Juwayriyah binti al-Harith dan Safiyyah binti Huyayy adalah wanita tawanan perang yang dijadikan isteri oleh baginda Rasulullah SAW. Tindakan Rasulullah SAW membela nasib ibu tunggal memperlihatkan keperihatinan baginda terhadap nasib wanita dan ibu tunggal sehinggakan sanggup memperisterikan mereka dengan tujuan membantu ibu tunggal yang susah dan membela maruah mereka (Ibn Hisham 2000: 300-305).

al-Quran jelas menegaskan bahawa kemuliaan agama Islam tidak mengira status, pangkat, jantina lelaki atau wanita, janda atau pun duda. Islam memuliakan manusia kerana manusia ialah makhluk ciptaan Allah SWT yang dikurniakan akal fikiran. Tiada alasan untuk ibu tunggal disisihkan, dihina dan dicemuh sedangkan Allah memuliakan setiap hambanya sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ 17:70. Ayat tersebut menegaskan bahawa Allah SWT memuliakan manusia berbanding makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang lain. Hak-hak manusia tidak kira sama ada lelaki atau pun wanita perlu dihormati oleh semua golongan. Justeru, perbuatan menghina mana-mana individu serta sikap merendah-rendahkan martabat insan lain seperti ibu tunggal adalah bercanggah sama sekali dengan dalil di atas. Islam juga menggalakkan amalan bantu-membantu sesama manusia, tambahan lagi terhadap golongan yang sangat memerlukan bantuan (al-Quran, al-Hujurat 49: 10; al-Quran, al-Ma’idah 5: 2).

Kesimpulan

Islam ialah agama yang prihatin dalam membela nasib manusia bagi memastikan tidak berlaku penindasan terhadap semua umat manusia, termasuklah wanita dan kanak-kanak. Amalan penghinaan, penindasan serta diskriminasi terhadap wanita telah dihapuskan oleh ajaran agama Islam dengan memberi pengiktirafan dan martabat tertentu terhadap kaum wanita serta mengelakkan amalan diskriminasi sesama manusia. Berkenaan hak ibu tunggal, hak mereka juga dibela oleh Islam seperti terdapat banyak dalil al-Quran dan hadis yang menjelaskan persoalan hak ibu tunggal seperti hak nafkah, hak mutaah, harta pusaka, hak untuk dihormati, mendapat layanan yang baik dan sebagainya. Malah tuntutan supaya masyarakat membantu ibu tunggal juga telah dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW sebagaimana yang telah dibincangkan sebelum ini iaitu Rasulullah SAW telah menyebut ganjaran orang yang membantu ibu tunggal dan meringankan beban mereka. Justeru itu, masyarakat hendaklah membantu golongan ibu tunggal kerana mereka amat memerlukan lebih-lebih lagi kerana terpaksa membesarkan anak-anak secara bersendirian. Masyarakat yang kurang mampu memberikan bantuan kewangan sekalipun cukuplah sekadar memberi sokongan moral, motivasi dan semangat. Pandangan sinis terhadap ibu tunggal hendaklah dijauhkan kerana ia merupakan perbuatan yang dilarang oleh Islam. Setiap manusia inginkan hidup

Hak Ibu Tunggal menurut Syarak 17

yang tenang, bahagia, selamat dan tenteram. Begitu juga dengan golongan ibu tunggal. Tiada manusia yang meminta untuk menjadi sedemikian dan menerima nasib yang kurang baik. Jelas bahawa hak ibu tunggal diiktiraf oleh Islam sebagaimana yang telah dibincangkan.

Nota Hujung 1 al-Bukhari. Sahih Bukhari. Kitab nafaqat. Bab idha lam yunfiq al-rajul fa li

al-mar’ah an ta’khuza bi ghayr ‘ilmih ma yakfiha wawaladaha bi al-ma‘ruf.

2 al-Bukhari. Sahih Bukhari. Kitab nafaqat. Bab fadl al-nafaqah ‘ala al-ahl.

3 Abu Dawud Sulayman bin al-Ash‘ath. Sunan Abi Dawud. Kitab al-Talaq.

Bab man ahaqq bi al-walad.

4 al-Bukhari. Sahih Bukhari. Kitab nafaqat. Bab al-sa‘i ala al-armalah.

5 al-Bukhari. Sahih Bukhari. Kitab nafaqat. Bab al-sa‘i ala al-armalah.

Rujukan

Abd. Rauf Bin Haji Hassan et.al (pnys). 2011. Kamus Oxford Fajar. Edisi Kedua Shah Alam: Penerbit Fajar Baktir Sdn. Bhd.

Abu Abdullah Hanafi Bin Haji Dollah et.al. 2012. Kamus al-Khalil al-Islami. Edisi Pertama. Gombak, Selangor: IIUM Press Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Abu Dawud Sulayman bin al-Ash‘ath. T. th. Mukhtasar Sunan Abi Dawud. Beirut: Dar al-Ma‘rifah.

al-Dimyati, Abu Bakr ‘Uthman ibn Muhammad. 1993. I‘anat al-Talibin. Beirut: Dar al-Fikr.

al-Haytami, Ahmad bin Muhammad bin ‘Ali ibn Hajar al-Haytami. 2001. Tuhfat al-Muhtaj. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

Ibn al-Jawzi. 2000. Sahih al-Bukhari. Kaherah: Dar al-Hadith.

Ibn Hajar al-‘Asqalani, Abu al-Fadl Ahmad bin ‘Ali bin Hajar. 1996. Fath al-Bari bi Sharh Sahih al-Bukhari. Kaherah: Dar Abu Hayyan.

Ibn Hisham. 2000. al-Sirah al-Nabawiyyah. Beirut: Dar al-Ihya’ al-Turath al-‘Arabi.

Ibn Nujaym, Zayn al-Din ibn Ibrahim. 1999. al-Ashbah wa al-Naza’ir. Damsyik: Dar al-Fikr.

Ibn Qudamah, al-Shaykh al-Imam al-‘Allamah. 1996. al-Mughni. Kaherah: Dar al-Hadith.

Ibrahim Mustafa et.al. 1972. al-Mu‘jam al-Wasit. Kaherah: al-Maktabah al-Islamiyyah.

Malik bin Anas. 1905. al-Mudawwanah al-Kubra. Beirut: Dar al-Sadir.

Mohd Khairi Bin Zainuddin et.al (pysn). 2008. Kamus al-Miftah. Cetakan Kedua. Negeri Sembilan: Al-Azhar Media Enterprise.

Isu Syariah & Undang-undang Siri 22 18

Muhammad Idris Abdul Rauf al-Marbawi. 1998. Qamus Idris al-Marbawiyy, cArabiyy-Malayuwiyy. Kuala Lumpur: Darul Nukman.

al-Nawawi, Muhy al-Din Yahya ibn Sharaf. 1980. Kitab al-Majmu‘ Sharh al-Muhadhdhab li al-Shiradhi. Jedah: Maktabat al-Irshad.

al-Qaradawi, Yusuf. 1994. Fiqh al-Zakah. Kaherah: Maktabat Wahbah.

al-Samarqandi, ‘Ala’ al-Din Muhammad. 1984. Tuhfat al-Fuqaha’. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

al-Sarakhsi, Shams al-Din. 1989. al-Mabsut. Beirut: Dar al-Ma‘rifah.

al-Shafi‘i, Muhammad ibn Idris. 2001. al-Umm. Kaherah: Dar al-Wafa’.

al-Shalabi, ‘Ali Muhammad bin Muhammad. 2003. ‘Umar ibn al-Khattab Shakhsiyyatuh wa ‘Asruh. Damsyik, Beirut: Dar Ibn Kathir.

al-Sharbini, Sham al-Din Muhammad ibn Muhammad al-Khatib. 1994. Mughni al-Muhtaj. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

al-Shawkani, Muhammad ibn ‘Ali ibn Muhammad. 1961. Nayl al-Awtar. Mesir: Maktabat wa Matba‘at Mustafa al-Halabi.

Siti Fatimah Abd Rahman. 2002. Ibu Tunggal: Semua Pihak Perlu Lebih Bertanggungjawab. Artikel Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Hlm 1-6. www.ikim.gov.my. 13 Februari 2013

‘Umar ‘Abdullah. 1965. al-Ahkam al-Shar‘iyyah al-‘Amaliyyah fi al-Ahwal al-Shakhsiyyah. Mesir: Dar al-Ma‘arif.

al-Zuhayli, Wahbah Mustafa al-Zuhayli. 1996. al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh. Damsyik: Dar al-Fikr.