Download - Sejarah Perkembangan Kaunseling Di Malaysia
SEJARAH PERKEMBANGAN KAUNSELING DI MALAYSIA
Sejarah awal:
Pada tahun 1910, Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan, Perak
telah didirikan. Ia merupakan sebuah hospital sakit jiwa yang telah dibina oleh
seorang pakar psikiatri yang bernama Dr W.F.Samuels atas arahan daripada
kerajaan British. Pada ketika itu, hospital berkenaan dikenali sebagai Federal
Lunatic Asylum.
Seorang pegawai kanan pendidikan, pentadbiran Kolonial Britian yang
dikenali sebagai H.R.Cheeseman telah membentangkan laporan tentang keperluan
bimbingan di sekolah. Peristiwa berlaku pada tahun 1938.Setahun selepas itu
(1939), Jabatan Pelajaran Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu telah
menerbitkan sebuah buku yang bertajuk “A guide to careers in Malaya for parents,
teachers, and pupils”. Penerbitan buku ini bertujuan untuk memuatkan analisis
pekerjaan yang terdapat dalam perkhidmatan kerajaan pada ketika itu.
Pada tahun1946, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah ditubuhkan untuk
menjaga hal-hal kebajikan komuniti. Setelah empat tahun kemudiannya(1950),
Kementerian Buruh telah mewujudkan perkhidmatan Belia di Pejabat Buruh Negeri.
Permulaan kaunseling:
Perkhidmatan Kaunseling di Sekolah Menengah.
Pada tahun 1961, sebuah buku yang bertajuk “Handbook on Training Facility
in Malaya” telah diterbitkan. Setahun kemudian (1962), seorang pakar perunding
Rancangan Colombo iaitu R.K.Mackenzie telah ditempatkan di Kementerian
Pelajaran Malaysia. Beliau mula melatih guru panduan yang terdiri daripada 11
pengelola sekolah pada 1963. Mereka telah berjaya menghasilkan risalah-risalah
panduan, buku panduan perkhidmatan di sekolah yang diterbitkan oleh Dewan
Bahasa dan Pustaka(DBP) pada tahun 1966 serta buku panduan dalam bahasa
Inggeris yang bertajuk “English Guidance Service in School” yang mana diterbitkan
pada tahun 1968.
Pada tahun 1963, Unit Panduan Pelajaran dan Kerjaya telah ditubuhkan di
Educational Planning and Research Division, Kementerian Pendidikan. Unit ini telah
dipindahkan ke Bahagian sekolah-sekolah pada tahun 1973. Setelah setahun
kemudian, Kementerian Pendidikan mengeluarkan surat pekeliling, KP5209/33(4)
dengan perakuan setiap sekolah mesti melantik seorang Guru Bimbingan yang
mana tugas pengajarannya dikurangkan kepada 25 waktu mengajar dalam
seminggu. Selain itu mereka juga dibekalkan panduan tugas-tugas sebagai guru
bimbingan agar dapat memudahkan pelaksanaan tugas.
Pada 1972, Maktab Rendah Sains Mara telah menubuhkan Unit
Perkhidmatan Kaunseling serentak dengan penubuhan sekolah pertamanya, di
Seremban. Kementerian Pendidikan telah mengarah supaya satu bilik panduan
Pelajaran diadakan mengikut surat Pekeliling KP(BS)8548a pada tahun 1976.
Seterusnya, pada tahun 1979, Kementerian Pendidikan telah menyenaraikan 21
jenis tugas guru panduan merangkumi pelajaran, kerjaya, peribadi, dan mencegah
salah guna dadah. Akhirnya, Unit Panduan Pelajaran dan Kerjaya di sekolah ditukar
kepada Unit Bimbingan dan Kaunseling.
Perkhidmatan Kaunseling di Institusi Pengajian Tinggi dan Penjara di
Malaysia.
Perkhidmatan ini telah bermula pada tahun 1969, di mana perkhidmatan
kaunseling telah diberikan di Institusi Teknologi Mara (ITM) melalui bantuan dari
Yayasan Asia di Pusat Kerjaya dan Kaunseling (ITM). Pada masa yang sama,
perkhidmatan kaunseling ini juga telah ditawarkan di Universiti Malaya. Empat tahun
kemudian, Universiti Kebangsaan Malaysia telah menawarkan perkhidmatan
kaunseling di Unit Rundingcara, universiti berkenaan. Pada tahun 1978, Jabatan
Penjara Seremban mengambil langkah memulakan perkhidmatan kaunseling dalam
usaha pemulihan dadah.
Perkembangan kaunseling di Malaysia
Pada tahun 1980, Maktab Perguruan Ilmu Khas telah menawarkan kursus
persijilan kaunseling secara sepenuh masa untuk guru yang akan bertugas sebagai
guru bimbingan dan kaunseling di sekolah. Sebelum ini, kursus itu hanya ditawarkan
semasa percutian atau di hari minggu. Pada tahun yang sama juga, Universiti Putra
Malaysia telah menawarkan kursus Bachelor Pendidikan pengkhususan dalam
Kaunseling. Selain itu, Persatuan kaunseling Malaysia atau lebih dikenali sebagai
PERKAMA telah ditubuhkan. Tambahan lagi, dua pakar dari Bereau of International
Narcotic Matters, USA telah melatih seramai 168 orang pegawai penjara dalam
kaunseling pemulihan. Bagi menjalankan perkhidmatan pemulihan penagihan
dadah, Penguasa Rundingcara telah ditugaskan di Maktab Penjara Malaysia,
Penjara Seremban dan Penjara Kajang.
Pada 1982, Kursus Diploma Psikologi (kaunseling) ditawarkan di Jabatan
Psikologi, Universiti Kebangsaan Malaysia untuk guru ijazah yang bakal menjadi
kaunselor di sekolah. Ketika itu juga,Guru Panduan dan Bimbingan dilantik di
sekolah untuk bertugas separuh masa manakala Maktab Rendah Sains Mara
melantik kaunselor sepenuh masa. Sejak itu juga, Universiti Pertanian Malaysia
mula memperkenalkan Ijazah Sarjan Muda Pendidikan selama 4 tahun. Namun,
keutamaan diberikan kepada guru-guru yang mempunyai Sijil Perguruan Khas
Bimbingan dan Kaunseling serta berpengalaman mengajar selama 5 tahun.
Pada tahun 1983, Skim perkhidmatan Bimbingan dan Nasihat di ITM
menggunakan Skim Gaji A22 digunakan untuk tujuan pengredan gaji. Skim gaji
dinaikkan kepada A20 setaraf dengan skim gaji pensyarah universiti pada tahun
1985. Pada tahun 1987, Institut Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim memulakan
Kursus Diploma Bimbingan dan Kaunseling setahun bagi guru-guru bukan siswazah.
Ketika itu juga, Unit Kaunseling ditubuhkan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Setahun selepas itu, Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (PULAPOR) juga telah
menubuhkan Unit Kaunseling pada 12 Disember.
Pemantapan Perkhidmatan Kaunseling
Pada tahun 1992, Unit Kaunseling dan Psikologi di Jabatan Perkhidmatan
Awam Kerajaan Malaysia telah ditubuhkan dan menawarkan perkhidmatan psikologi
dan kaunseling untuk kakitangan kerajaan secara sukarela atau dirujuk.
Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling ditubuhkan di Hospital Besar Ulu Kinta
pada tahun 1993. Seterusnya, unit kaunseling telah ditubuhkan di Ibu Pejabat Polis
Diraja Malaysia, Bukit Aman, Kuala Lumpur. Hal ini, berdasarkan rujukan
KPN(PR)33/1 bertarikh 8hb April 1996. Pada tahun 1998, Akta Kaunselor 580 telah
diluluskan oleh Parlimen Kerajaan Malaysia dan Lembaga Kaunselor diwujudkan di
bawah naungan Menteri di Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan
Masyarakat.
Profesionalisme Kaunseling.
Kaunselor yang berkelayakan di bawah Akta 580, dikehendaki berdaftar
dengan Lembaga Kaunselor untuk tujuan pendaftaran dan perakuan amalan
bermula pada tahun 2000. Temu duga untuk pengesahan pendaftaran dimulakan
oleh Lembaga Kaunselor yang terdiri daripada sekurang-kurangnya tiga ahli panel.
Surat perakuan pendaftaran mula diedarkan kepada kaunselor yang layak.
Seterusnya pada tahun 2001, kaunselor yang layak akan diwartakan dalam buletin
kerajaan sebagai kaunselor yang berdaftar. Unit Telekaunseling Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur telah dilancarkan setahun kemudian. Pada tahun 2003, Laporan
Halatuju Kaunseling di Malaysia dibentangkan dan diterima oleh Jabatan Pendidikan
Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai panduan kepada Institusi
Pengajian Tinggi Awam dalam mengorientasikan program pengajian kaunseling di
tempat masing-masing.
WHAT IS COUNSELING?
Dalam mengejar pembangunan dan kemajuan dunia hari ini, didapati
masyarakat di Malaysia kini sedang berhadapan dengan pelbagai masalah
terutamanya dalam kalangan remaja. Antara gejala serius yang hangat diperkatakan
ialah masalah buli, ponteng, gengsterisme, merokok, rempit, seks luar nikah, dan
pembuangan bayi. Masalah ini semakin hari kian meruncing seiring kemajuan dalam
bidang teknologi. Keadaan ini sudah pasti mendapat perhatian umum tidak mengira
lapisan masyarakat. Pelbagai spekulasi positif dan negatif telah dikeluarkan oleh
berbagai pihak. Namun, yang pasti strategi dan inisiatif yang dilaksanakan masih
belum mencapai tahap yang membanggakan. Golongan dewasa juga turut tidak
ketinggalan. Berdasarkan maklumat-maklumat yang diperoleh daripada keratan
akhbar, majalah dan berita, sesetengah dari golongan ini terbabit dalam masalah
penceraian, kewangan, penderaan fizikal dan mental, gangguan seksual, dan juga
kes jenayah. Bagi memastikan kestabilan dari aspek ekonomi, politik dan sosial
pada masa hadapan lebih kukuh dan mantap, tindakan proaktif dan segera perlu
dilaksanakan.
Perkhidmatan kaunseling merupakan salah satu langkah yang dapat
membantu dalam menyelesaikan masalah yang sedang berlaku. Walaupun terdapat
juga sesetengah kes yang tidak dapat diselesaikan, namun pendedahan
perkhidmatan ini secara meluas terutamanya dalam bidang pendidikan mampu
mengurangkan masalah-masalah ini sedikit demi sedikit. Kaunseling merupakan
salah satu perkhidmatan yang amat diperlukan oleh masyarakat hari. Di Negara
Barat misalnya, perkhidmatan kaunseling telah digunakan secara meluas oleh
segenap lapisan masyarakat di sana. Namun, keadaan ini berbeza di Negara kita
kerana persepsi serong mereka terhadap perkhidmatan ini.
Apakah yang dimaksudkan dengan kaunseling sebenarnya? Kemungkinan
persepsi serong yang dilontarkan sesetengah pihak terhadap perkhidmatan ini
adalah disebabkan mereka tidak memahami maksud sebenar perkhidmatan
kaunseling itu sendiri. American Counseling Association (ACA,1997) telah
mengeluarkan satu definisi kaunseling iaitu, “Counseling is the application of mental
health, psychological, or human development principles, through cognitive, affective,
behavioral, or systemic interventions, strategies that address wellness, personal
growth, or career development, as well as pathology”. Terdapat beberapa perkara
penting yang dapat di kenal pasti dari definisi ini seperti kaunseling adalah profesion,
ia berkaitan dengan kesejahteraan, pertumbuhan personal, kerjaya, dan patologi.
Kaunseling dijalankan ke atas individu yang berfungsi penuh dan mempunyai
masalah, berasaskan teori, proses yang melibatkan perkembangan dan intervensi
dan mempunyai pelbagai kepakaran. Berdasarkan Akta Kaunselor, 1998,
Kaunseling merupakan satu proses sistematik untuk membantu perhubungan
berdasarkan prinsip-prinsip psikologi yang dilaksanakan oleh kaunselor yang
berdaftar mengikut kod etika kaunseling untuk mencapai suatu perubahan,
kemajuan dan penyesuaian yang holistik, baik dan sukarela pada diri klien supaya
perubahan, kemajuan dan penyesuaian itu akan berterusan sepanjang hayat klien.
Ramai tokoh yang terlibat dalam memberikan makna bagi perkhidmatan ini.
Salah seorang tokoh tersebut ialah Rogers (1951). Beliau menjelaskan bahawa di
dalam suatu proses kaunseling , seseorang klien akan menceritakan hal-halnya dari
kejadian yang lepas dan beransur kepada hal yang lebih meruncing sehingga
menceritakan ‘saya’, ‘di sini’ dan ‘pada masa ini’. Ia merujuk kepada keadaan
semasa tentang dirinya sahaja. Menurut Corey (2004) pula, merujuk kaunseling
sebagai proses apabila seorang klien diberi peluang untuk meneroka aspek diri dan
kehidupan yang menimbulkan kesusahan dan masalah kepadanya. Penerokaan ini
akan menimbulkan kesedaran tentang diri dan situasinya serta pilihan-pilihan yang
ada padanya. Proses ini diharapkan dapat menolong klien mengesan halangan-
halangan dan mengenalpasti bakat serta kebolehan agar dapat hidup dengan lebih
sempurna.
Mengikut Good (1945), kaunseling merupakan bantuan menyelesaikan
masalah peribadi seseorang yang dilakukan oleh pembantu yang benar-benar
berpengetahuan dan berkebolehan. Proses ini dijalankan sehinggalah seseorang itu
boleh membuat keputusannya sendiri dengan baik. Mengikut Aziz (2002),
kaunseling ialah proses seorang kaunselor menolong individu memberi secara
bimbingan dan nasihat bagi membuat pilihan atau keputusan sendiri bagi mencapai
sesuatu matlamat.
Oleh itu, jelaslah di sini bahawa perkhidmatan kaunseling ini amat
bersesuaian dan merupakan salah satu inisiatif yang dapat membantu mengekang
masalah yang berlaku sekarang. Hal ini kerana perkhidmatan ini mampu memenuhi
keperluan masyarakat kini dalam menyelesaikan masalah. Tambahan lagi, ia
merupakan proses bantuan yang dijalankan oleh kaunselor bagi mengembangkan
pemikiran, menstabilkan perasaan dan mengubah tingkah laku klien ke arah lebih
baik.
Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling merupakan satu profesion yang
bertujuan untuk mewujudkan manusia yang sejahtera, bahagia dan produktif dalam
segala aspek kehidupan. Proses kaunseling berlaku apabila klien bertemu dengan
kaunselor secara sukarela untuk mendapatkan bantuan dalam mengurangkan
ketegangan yang dialami, memahami dirinya dan melakukan perubahan dalam
dirinya. Bagi memastikan proses ini berjalan lancar, amat penting kepada kaunselor
untuk memahami konsep bimbingan dan kaunseling secara terperinci dan
tanggungjawab yang dilaksanakannya juga perlu berlandaskan etika kaunseling.
Hubungan kaunseling yang diwujudkan merupakan interaksi mendalam yang
berbentuk dua hala iaitu interaksi antara kaunselor dan klien. Dalam melaksanakan
sesi kaunseling, kaunselor perlu mempunyai prinsip-prinsip seperti yang tertakluk
dalam kod etika kaunseling. Antara prinsip tersebut ialah empati, penerimaan tanpa
syarat, ketulenan atau kongruen, kemesraan, kerahsiaan dan terapeutik.
Empati merupakan keupayaan individu memasuki dunia klien atau menyelami
perasaan klien untuk memahami dan membantu klien serta merasai pengalaman
klien. Penerimaan tanpa syarat bermaksud kaunselor perlu menerima kedatangan
klien dengan seadanya tanpa mengira latar belakang, personaliti dan budaya yang
dibawa oleh klien serta menghormatinya. Ketulenan atau kongruen dalam proses ini
membawa maksud bahawa kaunselor perlu bersikap jujur pada klien dan bertindak
mengikut keupayaan diri dalam sesi yang dijalankan.
Ringkasnya, kaunselor tidak boleh sama sekali berpura-pura atau bertopeng
semasa sesi.
Kemesraan ketika sesi dijalankan amat membantu kerana suasana kekok
tidak wujud . Hal ini sekaligus memudahkan kaunselor mendekati kliennya dan
seterusnya membuatkan klien berada dalam situasi selesa sepanjang sesi
kaunseling. Selain itu, aspek kerahsiaan merupakan komponen yang amat penting
dalam sesi dan ia wajib dipatuhi. Bermakna kaunselor merahsiakan segala hal yang
diceritakan semasa sesi, namun ia boleh dibocorkan sekiranya kaunselor mendapati
hal itu mendatangkan kemudaratan kepada diri klien mahupun orang lain. Terapeutik
merupakan suasana yang selesa diwujudkan ketika perbincangan dilakukan tanpa
sebarang rasa tekanan. Suasana ini perlu diwujudkan sebelum sesi dijalankan
supaya klien selesa dan dapat membuat pendedahan kendiri.
Walau bagaimanapun, aspek komunikasi juga perlu diberi perhatian kerana ia
amat penting ketika berinteraksi dengan klien. Hal ini kerana komunikasi yang
berkesan mampu menyampaikan idea, maklumat, perasaan dan dapat
mengekspresikan tingkah laku dan emosi yang menggalakkan semasa sesi
dijalankan. Seperti aspek ini, kemahiran melayan dan mendengar juga turut tidak
ketinggalan, kerana ia amat diperlukan oleh kaunselor. Untuk menjadi pendengar
yang baik kaunselor perlu mendengar dengan aktif setiap percakapan klien agar
respon yang bakal diberikan nanti tidak menyimpang dari fokus sebenar. Kemahiran
melayan pula akan membuatkan klien merasa dirinya diberi perhatian dan dihargai.
Jelaslah bahawa aspek-aspek ini juga diperlukan dalam sesi kaunseling.
Kesimpulannya, semua komponen yang telah dijelaskan di atas amat perlu
diberi perhatian kerana ia bakal menentukan kejayaan sesi yang dijalankan.
Perkhidmatan yang berkesan mampu membantu klien mencari jalan penyelesaian
bagi masalah yang dihadapi mereka.