1.0 Pengenalan
Pewujudan kehidupan masyarakat yang adil, bersatu padu serta dapat
menjamin kehidupan yang lebih demokratik hanya boleh dilakukan melalui
persefahaman antara rakyat. Malaysia, negara yang mempunyai pelbagai
budaya, adat resam dan pemahaman agamanya tersendiri. Namun apa
yang menjadi persoalannya ialah bagaimanakah kepelbagaian ini dapat
diseragamkan agar peristiwa 13 Mei tidak akan berulang lagi? Jawapannya
Rukun Negara. Rukun Negara merupakan ideologi yang menyatukan
kefahaman bagi semua masyarakat. Malah Rukun Negara juga merupakan
hasrat Malaysia dalam membentuk sebuah bangsa Malaysia yang patriotik
dan memelihara kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan negara.
Secara umumnya, ideologi negara, iaitu Rukun Negara diisytiharkan pada 31
Ogos 1970. Satu daripada objektif Rukun Negara ialah mencapai perpaduan
yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakat, mencipta satu masyarakat
yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil
dan saksama. Walaupun negara kita mengejar arus kemajuan namun Rukun
Negara perlu sentiasa di hayati oleh rakyat kerana pembentukannya adalah
mengikut acuan masyarakat Malaysia.
1.1 Sejarah Pembentukan Rukun Negara
Rukun negara dibentuk disebabkan oleh peristiwa 13 mei yang mencetuskan
rusuhan. Setelah negara merdeka, Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri
pada ketika itu menghadapi masalah dalam menguruskan sistem ekonomi
yang diwarisi sejak penjajahan Bristish iaitu orang Melayu tinggal di
kampung, orang cina di pekan atau bandar dan orang india di estet. Sikap
liberal Tunku dan ditambah pula oleh kelembutan beliau untuk melayan
permintaan masyarakat berbilang kaum telah menyebabkan orang Melayu
merasakan kehidupan mereka diabaikan. Tumpuan Tunku yang terlalu
berlebihan pada pertumbuhan material dan pasaran bebas tanpa
menggunakan kuasa kerajaan untuk melakukan campur tangan telah
menyebabkan jurang di antara golongan berada dengan golongan tidak
berada semakin melebar. Titik-titik jurang antara kemewahan
bandar dan kemiskinan desa, kemewahan orang bukan Melayu dengan
kesempitan hidup orang Melayu, dan berbagai-bagai lagi adalah punca-
punca yang mencetuskan keresahan kaum dan manifestasinya Peristiwa 13
Mei 1969 (Abdul Rahman Abdul Aziz & Muhamed Nor Azman Nordin, 2009).
Peristiwa 13 Mei berlaku selepas beberapa hari Pilihan raya ketiga
berlalu. Dalam Pilihan raya ini, Parti Perikatan gagal mendapat undi Majoriti
dan telah kehilangan majoriti dua per tiga di Dewan Rakyat. Dalam pilihan
raya itu, Parti Gerakan Rakyat (GERAKAN), Parti Tindakan Demokratik
(DAP) dan Parti Progresif (PPP) telah memenangi 25kerusi manakala PAS
memenangi 12 kerusi Parlimen. Oleh itu, bagi meraikan kemenangan
mereka Parti GERAKAN telah mengadakan perarakan sebagai lambang
kemenangan mereka. Keadaan ini menimbulkan ketegangan di antara
orang Melayu dan juga orang Cina. Pada 13 Mei, UMNO telah mengadakan
perarakan balas dan mengakibatkan tercetusnya rusuhan di antara kedua-
dua pihak. Isu pilihan raya ini sebenarnya boleh dikatakan sebagai
kemuncak kepada ketidakpuasan hati masyarakat Malaysia.
Titik tolak daripada peristiwa itu, maka sistem kerajaan berparlimen
telah digantung dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan
bertujuan untuk mengembalikan keamanan, menegakkan semula undang-
undang negara dan memupuk suasana harmoni dan saling percaya di antara
masyarakat berbilang kaum. Tun Abdul Razak telah dilantik sebagai
pengarah operasi di bawah Akta Perintah Darurat selama 22 bulan
sehinggalah perintah darurat telah dibubarkan. Parlimen kembali dipulihkan
semula pada 22 September 1970. Melalui MAGERAN telah ditubuhkan
Majlis Perundingan Negara yang bertanggungjawab dalam menjadi pemikir
dalam merangka perpaduan negara dan salah satu hasilnya adalah lahirnya
satu ideologi kebangsaan iaitu Rukun Negara yang digubal sebagai falsafah
negara dan pendekatan baru ke arah mewujudkan sebuah negara bangsa
yang stabil. RukunNegara ini telah diisytiharkan secara rasmi pada 31 Ogos
1970 oleh Yang di-Pertuan Agong.
1.2 Rukun Negara lambang demokratik
Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, demokratik secara literalnya disifatkan
sebagai keadaan sosial tanpa perbezaan keistimewaan kelas. Hal ini
bermakna pemerintahan di negara kita Malaysia pemerintahan tidak melihat
pada keadaan sosial seseorang dan semuanya memiliki keistimewaan yang
sama. Oleh itu Rukun Negara dianggap sebagai lambang demokratik kerana
unsur-unsur yang terkandung dalam Rukun Negara tidak menampakkan hak
milik sesuatu kaum. Ia bersifat umum dan mencuba untuk membina
lingkaran yang luas, sehingga pada titik akhirnya dapat mengatur tata
kelakuan, mengendalikan, dan memberi arah kepada kelakuan dan
perbuatan yang sebenarnya bercirikan Malaysia.
Prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara ini dibentuk
berdasarkan acuan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan juga
agama. Prinsip-prinsip yang terbina ini adalah bagi memperkukuhkan
perpaduan kaum. Oleh itu menurut Tun Abdul Razak,
“Rahsia kesempurnaan Rukun Negara, ialah pada amalannya.
Tanpa amalan Rukun Negara akan menjadi secebis dokumen yang
tidak mempunyai makna”.
“.... adalah mustahak Rukun Negara bukan sahaja difahami oleh
setiap rakyat, tetapi juga diamalkan dengan sepenuhnya dan segala
hikmat-hikmat yang terkandung di sebalik tiap-taip perkataan dan
kalimat Rukun Negara itu benar-benar menjadi darah daging.”
Lima prinsip Rukun Negara adalah seperti berikut :
i) Kepercayaan kepada Tuhan
ii) Kesetiaan kepada raja dan negara
iii) Keluhuran perlembagaan
iv) Kedaulatan undang-undang
v) Kesopanan dan kesusilaan.
Di dalam Rukun Negara terdapat lima cita-cita negara antaranya
adalah untuk mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan
seluruh masyarakat, untuk memelihara satu cara hidup yang
demokratik. Seterusnya untuk mencipta satu masyarakat yang
adil di mana kemakmuran negara akan dinikmati bersama secara
adil dan saksama, untuk menjamin satu cara yang liberal
terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-
bagai corak dan yang terakhir adalah untuk membina satu
masyarakat yang progresif yang akan menggunakan sains dan
teknologi moden.
2.0 PRINSIP RUKUN NEGARA MELAHIRKAN MASYARAKAT
DEMOKRATIK
Setiap prinsip yang dibentuk dalam Rukun Negara mempunyai
sifatnya sendiri dalam melahirkan masyarakat yang adil, bersatu
padu serta dapat menjamin kehidupan yang lebih demokratik.
Setiap satunya mempunyai nilai-nilai yang boleh diterapkan dalam
diri setiap insan yang bergelar rakyat Malaysia. Jika prinsip-
prinsip ini dihayati maka keberhasilan Rukun Negara dalam
melahirkan masyarkat yang demokratik adalah tinggi.
2.1.1 Kepercayaan kepada Tuhan
Agama dijadikan pegangan utama rakyat Malaysia kerana
ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang,
sesuatu bangsa dan juga negara. Pegangan yang kukuh terhadap
agama akan dapat menahan seseorang itu daripada melakukan
jenayah dan juga kejahatan. Perlembagaan Persekutuan
memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi Persekutuan,
tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan
dengan aman. Menyedari betapa pentingnya keteguhan
pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-
masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam
Rukun Negara. Apabila prinsip ini diamalkan, maka seseorang itu
dapat memikirkan mana yang baik dan jahat serta tidak mudah
dikuasai oleh emosi. Seseorang yang mempunyai kepercayaan
terhadap Tuhan dan melaksanakannya mengikut ajaran agama
masing-masing sudah tentu akan membina hubungan yang baik
dengan orang disekelilingnya. Prinsip ini sangat bertepatan
dengan konsep kehidupan masyarakat Malaysia.
Masyarakat yang mengamalkan prinsip ini dapat
mewujudkan suasana yang baik dan juga aman. Hal ini kerana,
agama merupakan asas dalam membentuk peribadi yang unggul
dan peribadi yang unggul sudah semestinya dapat mewujudkan
kemesraan dalam sesuatu perhubungan tanpa melihat status
sosial dan ekonomi. Masyarakat yang tidak melihat status sosial
dan ekonomi akan mewujudkan masyarakat yang adil, bersatu
padu serta dan menjamin kehidupan masyarakat yang lebih
demokratik dan peristiwa 13 Mei tidak akan berulang kembali.
Oleh itu, dalam Rukun Negara, MAGERAN meletakkan
prinsip ini sebagai prinsip yang pertama kerana agama
merupakan satu asas yang sangat kuat dalam membentuk
Masyarakat yang demokratik. Agama kunci kepada perpaduan
dan agama jugalah yang membentuk peribadi seseorang manusia
yang diberikan pemikiran dalam menentukan sesuatu yang baik
dan jahat. Setiap agama mengajar sesuatu yang baik dan
meminta umatnya menghormati agama yang lain. Hal ini sangat
bertepatan dengan negara kita Malaysia.
“Perpaduan dan keamanan yang wujud dalam negara ini
hasil daripada sikap toleransi dan memahami di antara satu sama
lain (mutual understanding) perlu diperkukuhkan, bukan
diperkotak katikkan demi kepentingan diri dan perjuangan politik
berunsurkan perjuangan perkauman atau bercirikan konsep
komunisme yang membelakangkan tradisi masyarakat
beragama.”
“Kebebasan beragama yang diamalkan oleh negara
Malaysia perlu dihormati supaya setiap individu dapat memahami
bahawa menghindari atau mencegah sesuatu kaum daripada
mengamalkan tradisi agama dan budaya mereka merupakan satu
perkara yang sensitif dan boleh membangkitkan kemarahan dan
mencetuskan permusuhan” - Utusan Malaysia-
Kesimpulannya, prinsip kepercayaan kepada Tuhan yang
terkandung dalam Rukun Negara dapat melahirkan masyarakat
yang bukan sahaja adil,bersatu padu tetapi demokratik dan
mempunyai asas agama yang kuat.
2.2 Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja
Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan
Agong sebagai Ketua Negara dan sistem beraja juga diamalka ndi
setiap negeri, dan Yang di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang
tidak beraja. Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang di-Pertua
Negeri adalah merupakan lambang perpaduan rakyat. Maka
setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia,
jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan
Agong . Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki
menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri
tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia
kepada Yang di-Pertuan Agong.
Prinsip ini sebenarnya sudah lama diterapkan dalam diri
masyarakat terutama sekali orang Melayu. Kita boleh lihat
melalui pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka yang menitik
beratkan kesetiaan kepada Raja dan Negara. Sesiapa yang
ingkar akan dibuang negeri atau dijatuhkan hukuman. Raja
sebagai lambang kedaulatan negara dan perpaduan negara.
Jatuhnya empayar Melaka kerana kecurangan si Kitul dan
beberapa pembesar yang mengkhianati Melaka sehingga
empayar yang agung itu musnah. Hal tersebut dijadikan sebagai
penyebab kenapa prinsip ini dimasukkan dalam Rukun Negara.
Kesetiaan itu sangat penting dalam sesuatu perhubungan, begitu
juga dengan negara. Prinsip ini mengajar kita sebagai manusia
dan rakyat untuk menjaga keharmonian negara, bersatu padu
dalam menentang musuh dengan menumpahkan kesetiaan
kepada negara sendiri. Maka, prinsip ini membuktikan bahawa
sesuatu masyarakat dapat bersatu padu dengan menumpahkan
taat setia kepada raja dan negara sekaligus dapat memelihara
keamanan negara.
2.3 Keluhuran Perlembagaan
Prinsip ini menekan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan
mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan
Negara. Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan
yang tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada
setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka
sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia dikehendaki
menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan
kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan
Perlembagaan Negara.
Perlembagaan Negara merupakan asas kepada hala tuju
Malaysia dalam memerintah negara sendiri. Kemenangan Parti
Perikatan dalam Pilihanraya Persekutuan pertama pada tahun
1955, Tunku Abdul Rahman Putra telah dipilih sebagai Ketua
Menteri Pertama.
Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu
merupakan langkah pertama ke arah membentuk Kerajaan sendiri
selepas Britain bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada
Tanah Melayu pada 1956. Untuk tugas penggubalan
Perlembagaan, Kerajaan British telah menubuhkan sebuah
Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada wakil Kerajaan British
sendiri, penasihat Majlis Raja-Raja dan pemimpin-pemimpin parti.
Pada Januari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan
ke London untuk membincangkan soal penggubalan
Perlembagaan Persekutuan dan merundingkan tarikh
kemerdekaan untuk negara. Pada Mac 1956 satu Suruhanjaya
Perlembagaan diketuai Lord Reid telah ditubuhkan untuk
merangka dan meneliti Perlembagaan Persekutuan Tanah
Melayu. Suruhanjaya tersebut telah mendapatkan pandangan
parti-parti politik, persatuan-persatuan bukan politik dan individu
tentang bentuk negara dan bangsa bagi negara ini. Dalam proses
runding cara itu, satu memorandum daripada parti Perikatan telah
mendapat keutamaan.
Dalam memorandum yang disebut sebagai Pakatan Murni,
persetujuan secara bertolak ansur demi kepentingan bersama
serta persetujuan menghormati hak-hak orang lain, menyentuh
lima perkara utama iaitu kedudukan Raja-Raja Melayu,
kedudukan agama Islam, kedudukan bahasa Melayu, kedudukan
istimewa orang Melayu dan kerakyatan sama rata.
Perlembagaan yang digubal Suruhanjaya Reid ini diiktiraf
Jawatankuasa Kerja sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah
Melayu mulai tarikh kemerdekaan negara iaitu pada 31 Ogos
1957. Apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah
Melayu pada tahun 1963, beberapa peruntukan Perlembagaan
Persekutuan telah dipinda dan nama negara ditukar kepada
Malaysia.
Melalui sejarah pembentukan perlembagaan ini , kita dapat
melihat bagaimana usaha para pemimpin dahulu berusaha untuk
mendapatkan satu kemerdekaan juga hak-hak yang sepatutnya
dimiliki oleh orang Tanah Melayu. Dalam prinsip ini, ia mengajar
kita sebagai masyarakat Malaysia untuk menghormati setiap apa
yang termaktub dalam perlembagaan untuk kesejahteraan
bersama dan tidak boleh mempersoalkannya kerana ia
merupakan rang undang-undang yang pertama dibina sejak
Malaysia merdeka. Prinsip ini juga mengajar kita sebagai rakyat
Malaysia untuk menghormati antara satu sama lain dan
memastikan hak semua orang tidak dipertikaikan. Hal ini kerana,
setiap apa yang terkandung dalam perlembagaan adalah untuk
mewujudkan satu perpaduan dalam masyarakat. Oleh itu dapat
dibuktikan bahawa prinsip keluhuran perlembagaan dapat
melahirkan masyarakat yang bersatu padu tanpa mempertikaikan
hak-hak yang terdapat dalam perlembagaan dan mewujudkan
kehidupan yang demokratik.
2.4 Kedaulatan Undang-undang
Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana
setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara.
Undang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan .
Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan. Tanpa
undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman
dan stabil. Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh
institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Tuntutan kepada
prinsip keempat ini adalah supaya kita sama-sama menghormati
undang-undang dan berusaha menyokong penguatkuasaannya
serta memelihara kedaulatannya.
Dalam prinsip ini, ia menekankan akan keadilan bagi setiap
masyarakat. Undang-undang yang dibuat semuanya sama bagi
setiap rakyat tanpa mengira status sosial dan ekonomi mereka.
Selain itu, prinsip ini juga akan mewujudkan perasaan puas hati
dalam setiap masyarakat kerana tugas penguatkuasaan undang-
undang dijalankan dengan penuh keadilan. Kerajaan dan rakyat
terikat oleh undang-undang dan wajib mengikutinya dan inilah
prinsip utama dalam konsep kedaulatan undang-undang.
AV Dicey, seorang ahli falsafah perlembagaan British,
memperkenalkan kedaulatan undang-undang dengan tiga elemen
asas; ketiadaan kuasa yang dilaksanakan secara sewenang-
wenangnya; keluhuran undang-undang dan kuasa budi bicara
yang terhad.
Beberapa lagi prinsip utama di bawah konsep kedaulatan
undang-undang ialah, undang-undang hendaklah stabil, tidak
mudah dan tidak berubah, badan kehakiman yang bebas,
pemakaian prinsip semakan kehakiman dan kebebasan asasi. Di
samping itu, prinsip yang lebih terkini dalam konsep kedaulatan
undang-undang ialah mahkamah juga harus mudah diakses oleh
masyarakat, prosesnya tidak mahal dan terbuka kepada orang
ramai Ringkasnya, kedaulatan undang-undang mengandungi
prinsip bahawa semua orang dan institusi tertakluk kepada dan
bertanggungjawab kepada undang-undang yang sedang
dikuatkuasakan. Prinsip kedaulatan undang-undang. Prinsip
kedaulatan undang-undang berkaitan hak asasi ada dalam
Bahagian II Perlembagaan, kebebasan kehakiman ada dalam
Perkara 125 dan beberapa peruntukan lain.
Oleh itu dapat dibuktikan bahawa prinsip kedaulatan
undang-undang ini berkaitan dengan keadilan bagi setiap
masyarakat untuk mendapatkan kebenaran dan keadilan yang
sama rata. Kesamarataan itulah yang akan melahirkan
masyarakat yang adil, bantu-membantu dan dapat membina
perhubungan yang demokratik sesame rakyat.
2.5 Kesopanan dan kesusilaan
Prinsip kesopanan dan kesusilaan ini bertujuan untuk membentuk
warga negara yang bersopan santun dan bersusila. Sifat individu
yang bersopan santun dan bersusila adalah amat penting dalam
konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat
pelbagai kaum di negara ini. prinsip ini menjadi panduan supaya
perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai
dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.
Masyarakat Timur terkenal dengan kesopanan dan
keramahan mereka dalam percakapan begitu juga dengan negara
kita Malaysia. Seseorang yang mempunyai kesopanan dan
kesusilaan dapat menghindarkan diri daripada perbalahan dan
dapat menyejukkan hati yang marah. Prinsip ini memberi
penekanan kepada peri pentingnya personaliti dan tingkah laku
seseorang dalam menggambarkan kebudayaan negara ini. Sifat
sopan santun dan tatasusila adalah penting dalam konteks
perhubungan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia.
Bahasa yang lembut dan tingkah laku yang sopan dapat
menjamin hubungan yang harmoni dan saling hormat
menghormati antara satu sama lain. Pembentukan individu yang
berdisiplin dan bermoral tinggi hasil didikan yang berhemah dapat
menjamin kewujudan sebuah masyarakat yang saling berinteraksi
dalam suasana bersatu padu dan aman.
Prinsip ini mengajak masyarkat untuk menanamkan sifat ini
dalam diri sendiri. Hal ini kerana, perlakuan yang sopan dan juga
tatasusila yang baik dalam sesuatu perhubungan tanpa mengira
bangsa, kaum dan agama akan membentuk satu masyarakat
yang hidup harmoni dan bersatu padu, sekaligus dapat
mewujudkan kehidupan masyarakat yang lebih demokratik.
Oleh itu, prinsip ini membuktikan bahawa masyarakat yang
adil, bersatu padu dan memiliki kehidupan yang demokratik dapat
diwujudkan melalui prinsip kesopanan dan kesusilaan ini.
RUMUSAN
Kesimpulannya, Rukun Negara ini bukan hanya ideology yang
kosong semata-mata tetapi mempunyai prinsip-prinsip yang
sememangnya dapat melahirkan masyarakat yang adil, bersatu
padu serta dapat membentuk keamanan negara sekiranya
diamalkan. Selain itu, kehidupan yang demokratik juga turut
terbina.
Rukun Negara terdapat lima cita-cita negara antaranya
adalah untuk mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan
seluruh masyarakat, untuk memelihara satu cara hidup yang
demokratik. Seterusnya untuk mencipta satu masyarakat yang
adil di mana kemakmuran negara akan dinikmati bersama secara
adil dan saksama, untuk menjamin satu cara yang liberal
terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-
bagai corak dan yang terakhir adalah untuk membina satu
negara. Tun Abdul Razak dengan jelas memberikan jamin cita-
cita negara ini akan tercapai apabila semua rakyat mengamalkan
prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara.
“Amalan Rukun Negara keseluruhan memberikan kita
jaminan mengekalkan tradisi-tradisi kebudayaan yang
berbagai-bagai corak di mana anggota-anggotanya bebas
untuk mengamalkan tradisi agama dan adat resam masing-
masing. Tujuan kita pada akhirnya ialah membina satu
masyarakat progresif dan yang bergerak maju selaras
dengan kemajuan sains dan teknologi.”