Download - Pernyataan Profesional (Semasa)
Pernyataan Profesional
Pada hari pertama saya tiba di SK Kampong Pasir, saya telah melaporkan diri
kepada pihak pentadbir SK Kampong Pasir.Pn.Rafidah BT Mohd Yussup, guru besar
SK Kampong Pasir, telah berkongsi pengalaman beliau bersama kami tantang
perkhidmatannya di bidang pendidikan. Beliau turut menasihati kami agar sentiasa
sabar apabila menempuh cabaran. Selain itu, saya turut berjumpa dengan GPK
Pentadbir. Beliau telah mengagihkan jadual waktu kepada kami. Saya telah diarah
untuk mengajar murid pemulihan Tahun 2T bagi mata pelajaran Bahasa Melayu. Saya
dikehendaki mengajar sebanyak 6 waktu dalam satu minggu.
Saya mula menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran pada minggu kedua.
Pada minggu pertama saya memasuki kelas, saya telah memerhati tingkah laku murid
saya. Saya telah mengenal pasti masalah mereka dan merancang aktiviti yang
menjurus kepada masalah yang mereka hadapi. Saya mendapati murid 2T lebih aktif
dan suka membuat bising dalam kelas, Saya menganalisis setiap masalah dan tingkah
laku murid agar saya dapat menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dengan
lebih terancang dan efektif.
Tidak dapat dinafikan bahawa pengurusan bilik darjah yang baik penting untuk
mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif. Saya sedar bahawa guru
memainkan peranan yang penting dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran
yang berkesan untuk anak muridnya. Saya turut sedar bahawa murid yang menghadapi
masalah dalam pembelajaran dapat menyelesaikan masalah mereka jika mereka
menemui guru yang baik dan sanggup membantu mereka. Namun, bukan mudah untuk
mengendali murid yang terdiri daripada pelbagai karenah. Bak kata pepatah “Berat
mata memandang, berat lagi bahu yang memikul”. Saya menghadapi kekangan apabila
murid 2T tidak menumpukan perhatian terhadap pengajaran saya. Penguasaan Bahasa
Melayu yang lemah dalam kalangan murid 2T menyebabkan mereka tidak memahami
pengajaran saya sehingga kurang motivasi untuk belajar. Justeru, perancangan dan
tumpuan yang khusus harus diberi kepada mereka agar masalah ini dapat diatasi.
Sehubungan itu, saya meminta tunjuk ajar daripada pensyarah dan guru yang
lebih berpengalaman untuk menimba ilmu saya dalam mengurus tingkah laku negatif
murid dalam kelas. Saya telah berbincang bersama guru pemulihan SK Kampong Pasir,
Pn Hjh Diwi Melati binti Hj Hamzah tentang aktiviti yang boleh saya laksanakan
terhadap murid pemulihan. Beliau telah memberi cadangan dan berkongsi
pengalamannya bersama saya. Perkongsian ini memang memanfaatkan saya. Selain
itu, saya juga merujuk kepada bahan bacaan serta melayari internet untuk
menambahkan ilmu pengetahuan saya.
Selain itu, saya turut diarah untuk bertugas dalam aktiviti kokurikulum di sekolah
ini. Saya telah dipertanggungjawab untuk mengendali aktiviti sukan bola keranjang. Ini
menambahkan ilmu pengetahuan saya terhadap perlaksanaan kokurikulum di sekolah
serta cara pengendalian murid dalam aktiviti sukan.
Sepanjang praktikum selama satu bulan ini, saya berpeluang mempraktikkan
pengetahuan yang diajar oleh pensyarah semasa melaksanakan pengajaran terhadap
murid pemulihan serta mengendali aktiviti kokurikulum. Pengalaman sebenar ini dapat
membuka minda saya serta meningkatkan penguasaan dan pemahaman saya terhadap
bidang pendidikan. Tambahan pula, saya boleh mengenali dunia kanak-kanak dengan
lebih mendalam dengan mendampingi mereka. Pengalaman ini memang membantu
saya dalam kerjaya saya kelak.