Download - PEMIKIRAN KERIS MAS.docx
SEMINAR 6 SASTERAWAN NEGARA 2014
Bertempat di Dewan Za’ba, FBMK UPM
Tajuk: Analisis Bahasa dan Pemikiran Keris Mas dalam Novel Rimba Harapan
1.0 PENGENALAN
Keris Mas atau nama sebenar beliau ialah Kamaludin bin Muhammad. Keris Mas adalah tokoh
yang terpenting dan berpengaruh kepada golongan penulis muda. Beliau membentuk namanya
sebagai penulis melalui bakat, fikiran yang kritis, penguasaan bahasa yang baik dan kematangan
pengalamannya. Keris Mas merupakan contoh seorang penulis yang mementingkan mutu
daripada jumlah karya.
Keris Mas mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu hingga darjah lima. Hasil daripada
keputusan yang cemerlang, beliau layak untuk melanjutkan pelajaran ke Maktab Melayu Kuala
Kangsar, tetapi oleh sebab amalan pemilihan pihak yang berkuasa beliau tidak dapat peluang itu.
Keris Mas lalu dihantar oleh keluarganya ke Sumatera untuk mengikuti pelajaran di Tawalib
School, sebuah sekolah menengah dengan pengantar bahasa Indonesia dan Bahasa Arab.
Setelah itu, Keris Mas melanjutkan pelajarannya di Kolej Kulliahtul Muallimin Al- Islamiah
(Maktab Perguruan Islam) untuk mengambil Diploma Perguruan bagi melayakkan dirinya
menjadi guru agama. Di kolej ini bahasa pengantarnya ialah bahasa Indonesia dan bahasa Arab,
di samping bahasa Belanda dijadikan sebagai pelajaran wajib, dan bahasa Inggeris sebagai mata
pelajaran tambahan.
Pada tahun 1940, Keris Mas kembali ke Tanah Melayu dan kemudian ke Singapura,
mendaftarkan diri dengan Pitman College untuk mengambil peperiksaan matrikulasi Universiti
London tetapi pelajarannya terhalang kerana meletusnya Perang Dunia Kedua.
SUMBANGAN/ PENCAPAIAN
Pegawai Penerangan Parti Kebangsaan Melayu Malaya
Bekerja dengan Warta Negara (1953-1955)
Bertugas sebagai anggota sidang pengarang Syarikat Utusan Melayu
Pengarang Umum di Dewan Bahasa dan Pustaka (1956-1962)
Ketua Pengarang DBP (1966-1971)
Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera (1971-1977)
Menerima anugerah Sastera Negara pada tahun 1981
Menjadi Karyawan Seni di Universiti Malaya (1979-1980) dan di Dewan Bahasa dan
Pustaka (1977, 1978 dan 1985)
Aktivis sastera dalam ASAS ’50, PENA dan GAPENA
2.0 OBJEKTIF
Memperkenalkan Sasterawan Negara Keris Mas
Menjelaskan makna perkataan berdasarkan konteks situasi.
Membincangkan aspek pemikiran Keris Mas dalam novel Rimba Harapan
2.0 ANALISIS BAHAS
Aspek Semantik
Kaum muda
Mengikut kamus Dewan Edisi keempat kaum muda ialah angkatan muda atau golongan muda
manakala berdasarkan dalam konteks novel Rimba Harapan kaum muda yang dimaksudkan ialah
golongan moden yang membawa fikiran-fikiran baru serta melihat datangnya perubahan politik,
ekonomi dan agama. Golongan ini diwakili oleh Zaidi, Cikgu Brahim dan Pendekar Atan.
Contoh Ayat:
Engkau dapat dari guru itulah ni. Engkau memang kaum muda. Masbuk engkau lain,
masbuk yang selalunya lain dari orang lain.
ms 9
Cikgu Nasir, walaupun sudah tua dan bukan pula guru terlatih seperti Cikgu Brahim,
sudah lama pula tidak menjadi guru lagi, tetapi mudah menerima fikiran-fikiran baru…
ms 51
Kaum Tua
Mengikut Kamus Dewan Edisi keempat kaum tua ialah generasi tua manakala berdasarkan
konteks dalam novel kaum tua ialah golongan tradisional yang masih berpegang teguh kepada
ajaran lama dan menolak segala perubahan. Golongan ini diwakili Pak Kia dan Pak Abu.
Orang Ketari
Mengikut Kamus Dewan Orang ialah merujuk kepada manusia dan Ketari ialah nama tempat.
Tetapi Orang Ketari yang dimaksudkan dalam novel ini ialah orang Melayu yang tinggal di
Kampung Ketari.
Contoh Ayat:
“Engkau tak tengok sawah kita. Agak aku semua sawah orang Ketari pun jadi macam
sawah orang Benus juga. Dusun kita itu pun sekarang sudah penuh lumpur pasir…
ms 28
Ralit
Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat ralit ialah asyik atau leka
Contoh ayat:
Pak Kia ralit memerhatikan beberapa ekor itik menyudu-menyudu di tepi paya.
ms 1
Menabiri
Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat menabiri ialah menjadi tabir pada: kain yang tebal
menabiri ruang solat wanita. Makna kedua ialah melindungi dengan menutupi sesuatu. Tetapi
makna menabiri yang dimasukkan dalam novel ini ialah hujan yang gerimis masih lagi turun
menutupi langit.
Contoh ayat:
Sudah beberapa hari gerimis ini masih juga menabiri langit.
ms 1
Jambar
Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat jambar ialah pertama memberi makna pondok, bangsal,
gubuk. Kedua memberi makna hidangan; makan bersama-sama sehidangan. Tetapi dalam novel
ini jambar membawa maksud hidangan,
Contoh ayat:
Jambar ubi kayu itu bubar sebentar. ms 3
Menebal
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat menebal ialah menjadi tebal dan tebal memberi lima
makna pertama tidak tipis seperti untuk kertas, papan, kain dan lain-lain. Kedua memberi makna
kasar dan jelas kelihatan seperti untuk garisan, tulisan dan lain-lain. Ketiga memberi makna
padat seperti untuk awan, kabus dan lain-lain. Keempat memberi makna lebat seperti untuk
rambut, janggut, tanaman dan lain-lain. Kelima memberi makna teguh dan kukuh seperti untuk
iman, kepercayaan, keyakinan, kasih sayang dan lain-lain. Tetapi dalam konteks ayat di bawah
menebal memberi makna yang keempat iaitu hujan yang semakin lebat.
Contoh Ayat:
Hujan gerimis menebal. Menjelang pukul sepuluh hampir semua orang telah pulang …
ms 11
Darat
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat darat memberi tiga makna pertama ialah tanah.
Kedua ialah kawasan yang tertinggi. Ketiga ialah kawasan tanah pedalaman, hulu negeri.
Tetapi dalam konteks ayat di bawah darat merujuk kepada Pekan Ketari
Di seberang jalan raya, rumah orang di darat itu seperti rumah-rumah di baruh juga,
semuanya bertutup rapat. Tingkap tidak ada yang terbuka. Bezanya rumah dalam dusun
tengah sawah di baruh itu terpencil-pencil dalam pulau-pulau kecil.
ms 4
“Lekaslah. Kita punggah padi ini ke rumah. Suruh Rahimah berkemas. Kita pindah ke
darat.”
ms 13
Baksis
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat baksis ialah upah, hadiah (dalam bentuk wang dan
lain-lain). Oleh itu, dalam ayat di bawah baksis membawa makna yang sama dengan yang
diberikan oleh kamus dewan iaitu memberi upah.
Contoh ayat
“Itulah saya tanya berapa Tuan Pekok hendak baksis pada Tuntung dan Tapa
ini.”
ms 35
Daki
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat daki memberi dua makna pertama ialah kotoran
yang melekat pada bahagian badan. Kedua ialah memberi makna memanjat (gunung,
bukit). Tetapi dalam konteks ayat di bawah daki membawa makna wang dan harta
hanyalah kotoran yang boleh merosakkan dunia.
… Wang dan harta itu daki dunia. Dan dunia ini bangkai. Tuntung dan Tapa
memang ada juga sembahyang. Tapi itulah saja amal ibadatnya…
ms 39
Keruh
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat keruh memberi empat makna. Pertama ialah tidak
jernih (kerana mengandungi kotoran seperti keladak, lumpur dan lain-lain. Kedua ialah tidak
menyenangkan atau menggembirakan atau agak muram. Ketiga dengkur atau dengus.
Keempat sejenis ukuran jarak jauh (kira-kira dua hingga tiga batu atau tiga hingga lima km.
Kelima memberi makna sejenis tumbuhan (palma), daun selebar, daun sar, daun lat, daun
payung, daun sang, daun segaluh. Tetapi keruh dalam konteks ayat di bawah memberi makna
yang kedua iaitu muram kerana marah.
Contoh Ayat:
“Cepat kita mesti selesaikan semua urusan dengan mereka yang ada itu. Kemudian
Pendekar mesti uruskan hal Pak Kia dengan Pak Abu ini lekas-lekas,” loyar Tuan Pekok
membuat keputusan setelah mendengar keterangan Pendekar Atan . Muka layar itu
keruh dan nada suaranya keras memerintah.
ms 56
Berdaun
Menurut Kamus Dewan daun mempunyai tiga makna iaitu pertama bermakna bahagian
tumbuh-tumbuhan yang biasanya leper dan nipis, berwarna hijau dan tumbuh di dahan.
Kedua benda yang berhelai-helai (berkeping-keping nipis-nipis). Ketiga memberi makna
bahagian sesuatu yang lebar lagi nipis seperti kipas dan pintu. Berdaun pula bermakna
mempunyai daun (tumbuhan bercambah) daunnya. Tetapi dalam konteks ayat di bawah tidak
berdaun merujuk kepada pintu yang tidak mempunyai daun iaitu bahagian yang lebar lagi
nipis.
Di tengah-tengah bahagian depan balai, pagar kisi-kisi itu putus kira-kira empat kaki.
Itulah pintu masuk ke balai. Pintu itu tidak berdaun, ternganga. Orang masuk
melaluinya tetapi ayam itik dan kambing yang selalu berkeliaran di keliling balai keluar
masuk dari mana saja melalui kisi-kisi atau melalui pintu …
ms 54
kecek
Mengikut Kamus Dewan Edisi keempat kecek memberi dua makna pertama ialah cakap, celoteh,
borak. Kedua memberi makna tipu, kecoh. Tetapi makna kecek dalam konteks ayat di bawah
ialah memujuk dengan menggunakan tipu muslihat.
“ Itulah saya minta tolong awak.”
“ Saya? Saya nak tolong macam mana?”
“ Saya mahu awak pujuk mereka. Kecek. Bukakan jalan supaya mahu menjual tanah itu
kepada saya; supaya mahu menandatangani surat jual beli. Suratnya sudah saya
siapkan. Sanggup?”
ms 257
Kepuk
Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat kepuk ialah yang pertama memberi makna tempat
menyimpan padi yang berbentuk bulat dan dibuat daripada kulit kayu. Kedua memberi
makna leher baju yang tinggi dan tidak berlipat. Ketiga memberi makna lekuk; mengepukkan
melekukkan. Tetapi maksud kepuk dalam ayat di bawah ialah makna yang pertama iaitu
tempat menyimpan padi.
Contoh ayat:
“ Cepatlah.” Pak Kia mulai membuka pintu kepuk: masuk ke dalamnya lalu mengisikan
padi ke dalam tangki yang memang ada kepuk itu. “Nah. Bawa ini naik,” dia,
menghulurkan tangki yang penuh berisi padi. “Panggil budak-budak. Tolong punggah
padi cepat.”
ms 14
Cincong
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat cincong ialah melakukan perbuatan yang sia-sia seperti
banyak bercakap. Justeru itu, dalam ayat ini cincong dalam ayat di bawah membawa makna
banyak bercakap.
…Memang dia tahu Pak Abu bukannya orang cerdik yang banyak cincong tapi bukan
pula bodoh, mudah diperdaya dengan pujuk atau dengan wang. Kadang-kadang memang
susah untuk memujuk orang yang lurus. Pak Abu memang lurus …
ms 32
Gerenyam
Mengikut Kamus Dewan Edisi keempat gatal, biang (perempuan), menggelenyar (kerana semut-
semutan). Tetapi berdasarkan konteks makna dalam novel ini gerenyam tapak tangan ialah
teringin menggenggam wang yang banyak.
Contoh ayat:
Semuanya berasa gerenyam tapak tangan menggenggam wang yang banyak.
ms 32
3.0 PEMIKIRAN KERIS MAS
1) Masyarakat Melayu ditindas
Masyarakat Melayu ditindas, hidup dalam kesusahan disebabkan oleh penjajah . Bagi beliau
pendirian beliau adalah tegak atas perjuangan memburu kemerdekaan, dan segala keburukan
yang timbul akibat penjajah harus didedahkan sebagai senjata terpenting. Dalam novel ini beliau
menyatakan orang putih yang datang ke negeri ini membawa bermacam-macam-macam
perubahan untuk mencari kekayaan. Mereka membuka ladang-ladang getah dan lombong untuk
mengaut keuntungan hasil bumi di tanah Melayu dengan memujuk, menipu dan membelit orang
Ketari supaya menjual tanah mereka. Oleh itu, orang Ketari terpaksa berpindah ke rimba seperti
Janda Baik.
Cotoh Ayat:
… Orang Puteh datang ke negeri kita ini membawa bermacam-macam-macam
perubahan untuk mencari kekayaan. Pemerintahan yang dijalankan semenjak orang
putih datang ialah pemerintahan yang membolehkan tanah negeri kita ini diusahakan
supaya mendatangkan keuntungan kepada mereka.
ms 49
Bagaimanakah satu keputusan yang adil dapat diwujudkan terhadap orang-orang yang
lurus dan jujur seperti ini. Mereka tidak akan pernah tahu bahawa mereka sedang
dihalau ke hutan rimba untuk menghadapi kehancuran yang berpandangan. Zaidi hanya
dapat menyatakan kekecewaan dengan pandangan yang sugul ke muka Cikgu Nasir.
ms 54
“Saya sedang mencari kerja. Nak memulihkan paya yang saya jual kepada Tuan Pekok
dulu itu tidak terdaya,” dia diam lagi seperti menelan keluhan ke dalam dadanya. ‘Kalau
saya pulihkan dari dulu mungkin terdaya. Sekarang paya itu sudah jadi semak-samun.
Harimau pun boleh bersembunyi di situ,
“Patutnya Tuan Pekok beri orang macam awak ini pekerjaan,” Pendekar Atan tahu
benar orang ini menjadi susah kerana tanahnya dijual kepada syarikat lombong Tuan
Pekok …
ms 143
2) Kemiskinan Rakyat
Masyarakat Melayu yang miskin dan tertinggal menjadi hujahan tekstualitinya. Sebarang amalan
dan nasib buruk masyarakat, cuba dibanterasnya. Terutamanya dalam novel Rimba Harapan ini
beliau cuba membanteras kemiskinan penduduk kampung yang hanya bergantung pada aktiviti
tradisional sahaja seperti bersawah dan berkebun. Hal ini dapat dilihat melalui watak Zaidi yang
cuba memujuk abangnya supaya jangan jual tanah mereka sebaliknya membuka ladang getah.
Contoh Ayat:
“ Abang kata kita nak buat macam mana. Kita tak usah juallah. Kalau semua orang tak
mahu jual, Tuan Pekok sapa ke tak boleh paksa.”
ms 28
Begini, Pendekar,” Zaidi meneruskan. “ Kalau dulu Tuntung dan Tapa sudah dapat
diselamatkan dari pindah randah ke hutan sekarang pun mereka mesti terus
diselamatkan. Mereka mesti diberi modal cukup untuk membuka tiga empat ekar kebun
getah dekat-dekat sini. Orang lain itu pun patut begitu juga. Kalau Ban Lee boleh buka
estet sepanjang-panjang bukit itu seorang diri mengapa orang Ketari tidak boleh buka
kebun lima eman ekar seorang di batu lima atau batu enam. Ada lagi tanah di situ boleh
dibuka.”
ms 36
3) Berfikiran nasionalisme dan patriotisme
Dalam konteks ini Keris Mas mempunyai pendapat yang berbeza dengan penulis sezaman A.
Rahim Kajai yang telah menghasilkan 48 cerpen itu, dua pertiga daripada cerpen itu bertemakan
cinta yang tertumpu pada Uda dan Dara yang dikonflikkan dengan perpecahan rumah tangga.
Keris Mas dalam konteks ini, jauh menyimpang daripada cinta asmara sebaliknya cintanya lebih
mirip kepada persoalan politik dan kesedaran. Keris Mas berasa sedih dan marah akan kejadian
pengusiran orang Ketari dan Benus ke hutan rimba Janda Baik dan Lebu. Selepas beliau
mengerti erti peluasan industri getah dan timah bagi penjajah Inggeris, makin kuat jiwanya
memberontak terhadap kejadian-kejadian tersebut. Hal ini dapat dilihat dalam novel Rimba
harapan melalui watak Zaidi dan Cikgu Brahim yang mengkritik golongan orang putih.
Contoh Ayat:
Orang putih datang ke negeri kita membawa bermacam-macam-macam perubahan untuk
mencari kekayaan. Pemerintahan yang dijalankan semenjak orang putih datang ialah
pemerintahan yang membolehkan tanah negeri kita ini diusahakan supaya
mendatangkan keuntungan kepada mereka.
ms 49
“Itulah yang Pendekar lupa. Tuan Pekok memang bukan kerajaan tapi kerajaan kita
ialah kerajaan orang putih. Kerajaan orang putih menolong orang putih.”
ms 60
4) Status Realisme
Sebagai seorang penulis Keris Mas agak konservatif, iaitu kekal mempertahankan bentuk
realisme. Hal ini dapat dilhat khususnya dalam Novel Rimba Harapan yang berlatarkan zaman
Selepas Perang Dunia Pertama dan juga akibat banjir besar yang berlaku kira-kira akhir dua
puluhan dan awal tiga puluhan. Nama-nama tempat adalah benar. Namun begitu, fakta sastera
tidak selalu berangkat pada logik peristiwa; sebaliknya memenuhi kepingin epigramatik selera
Melayu. Masyarakat yang diciptakan kadang-kadang dipalsukan dengan adanya tokok tambah
dan mengandungi sihir-sihir dan magis-magis imaginasi. Beliau benar-benar mentaati takdir
realistik yang mana kebenaran adalah sebahagian daripada pegangan hidupnya.
5) Berpegang teguh kepada ajaran Agama Islam
Hal ini dapat dilihat menerusi watak Zaidi yang mewakili tokoh Kaum Muda. Keris Mas
melahirkan watak Zaidi sebagai seorang yang gigih dan berhati waja untuk memerangi
amalan bidaah, khurafat, syirik dan tahyul. Bagi Keris Mas, kelahiran watak berjiwa besar
lagi gigih bermula daripada sesuatu yang kecil, pada sebatang pokok rotan yang berduri
tajam, yang pada anggapan khalayak soal kecil dan remeh-temeh.
Contoh Ayat:
Siang tadi Zaidi tidak datang. Dia terang-terangan mengatakan kepada abangnya dan
kepada Jusuh, dia tidak setuju sama sekali akan perbuatan menyemah, berjampi berjin
atau sebagainya. Bidaah, syirik, katanya.
ms 107
6) Kecintaan kepada flora dan fauna
Kecintaan Keris mas terhadap alam sekitar dengan kekayaan alam flora dan fauna serta unggas
dan bintang buas ganas liar yang mengaum di hutan belantara.
Contohnya:
Malam di Janda Baik tidak sesunyi yang difikirkan oleh Pak Kia. Bunyi cengkerik, bunyi
cacing, bunyi burung tukang, bunyi lenguh kerbau di sawah, bunyi kuang di rimba dan
bunyi anjing melolong bersilih ganti…
ms 80
Di tepi pagar dekat sungai kawasan tanah Jusuh, Rahimah dengan Wok memetik bunga
tongkeng. Udara petang itu nyaman. Walaupun matahari memancar terik tadinya,
sekarang sinarnya sudah redup. Ia telah condong dan sinarnya mulai ditampan oleh
pucuk-pucuk kayu yang menyelubungi bukit di sebelah barat …
ms 209
7) Mementingkan fakta
Keris Mas cuba memelihara fakta sejarah sedapat mungkin. Beliau cuba mentafsirkan
peristiwa sejarah itu dengan menggambarkan reaksi manusia terhadap yang berlaku dalam
peristiwa tersebut. Bagi beliau sejarah dan sastera tidak banyak berbeza, iaitu interaksi antara
manusia dengan alam, dan tindak balas antara manusia dengan alam dan manusia dengan
penciptanya itulah menjadi mesej pada novel beliau. Bagi beliau cara menulis dulu lebih
spontan kerana idea yang diambil dari kejadian-kejadian sebenar dalam masyarakat.
8) Kegigihan dan keberanian Orang Melayu
Orang Melayu yang rajin dan gigih dalam melakukan aktiviti tradisional seperti bersawah
dan berkebun. Hal ini dapat dilihat melalui watak Pak Kia yang sanggup ke Janda Baik
mengalahkan hutan rimba dengan segala kayu kayan, semak belukar, gajah harimau, babi
monyet, musim hujan panasnya, bahkan penyakit dan hantu syaitannya. Kegigihan dan
keberanian orang Melayu tradisional ini membuktikan hasilnya dengan kejayaan pembukaan
Janda Baik.
Contoh Ayat:
Bukan tak ada orang bersawah dan berdusun yang kaya,” kata abangnya dulu tatkala
dia mengatakan bahawa dengan getah orang boleh menjadi kaya tapi kaya seperti orang
Cina. Memang ada orang Melayu yang kaya tapi kayanya hanya kerana rajin dan kuat
bekerja atau membelit dan membolot harta orang lain. Dan abangnya telah membuktikan
betapa rajin, tekun, dan gigihnya mengerjakan sawah dan memelihara dusun. Tapi
ternyata sekarang kehidupan orang kampung darat yang bergetah jauh lebih baik dari
kehidupan abangnya yang gigih dan rajin dengan sawahnya itu.
ms 45
9) Ketaatan anak kepada Ibu bapa
Anak yang taat kepada ayah dapat dilihat menerusi watak Karim yang terpaksa mengikut
ayahnya ke Janda Baik. Karim tidak melawan walau pun ayahnya telah memberhentikan dia
dari persekolahan dan membawanya ke Janda Baik.
Contoh Ayat:
Tadi dia memikirkan mengapa tiba-tiba saja dia berhenti sekolah dan mengapa dibawa
bersama oleh ayahnya. Sekarang dia sudah tahu rupanya dia tidak akan pulang lagi ke
Ketari. Bagaimana emak dan adik-adiknya. Mereka akan pindah jugakah? Bila?
ms 75
5.0 PENUTUP
Kebanyakan karya Keris Mas banyak berdasarkan pergaulan dan pengalaman peribadi beliau dan
juga pengalaman hidup bangsanya sendiri. Beliau mendapat ilmu bukan saja dengan membaca
buku atau pergi belajar secara formal tetapi juga dari pengalaman dirinya serta pengalaman-
pengalaman orang di sekelilingnya pada zaman dulu dan sekarang. Masyarakat di sekeliling
yang menjadi guru pada beliau.
Selain itu, dalam novel ini banyak menyentuh tentang kehidupan sosial, ekonomi, kepercayaan
orang Melayu, dasar penjajahan yang memaksakan peluasan penanaman getah dan industri
perlombongan biji timah secara besar-besaran selepas perang dunia pertama. Tambahan pula,
bencana alam yang menimpa membantu dasar Inggeris mempengaruhi dan menghancurkan
ketenteraman cara hidup orang Melayu hingga lari meneroka hidup baru ke hutan tebal. Hutan
telah dibuka dan diteroka dengan kegigihan serta penderitaan orang Melayu. Oleh itu, wujudlah
Janda Baik.
Seterusnya, Keris Mas telah menulis novel ini adalah bersumberkan pengalaman kehidupan
beliau sendiri dan juga sejarah yang berlaku dalam masyarakat. Bagi beliau novel ini bukanlah
novel romantik. Beliau melahirkan sebuah gambaran yang serealistik mungkin melalui pelukisan
latar, perwatakan dan peristiwa yang sesuai dengan masa dan keadaan. Bahasa dan pengucapan
beliau pula tidak diseragamkan dengan bahasa pengucapan orang lain. Oleh yang demikian, bagi
beliau novel ini boleh menyampaikan semangat sejarah dengan berkesan dengan kreativiti dan
imaginasi berdasarkan sejarah. Tetapi novel Rimba Harapan bukanlah semata-mata imaginasi
dan kreativiti perasaan. Ia pemikiran dan penelitian terhadap manusia dan persekitarannya. Ia
juga merupakan kesan interaksi antara manusia, masyarakat dan alam.