Outlook Pelan Jana Semula Negara (PENJANA)
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) 1
PENGENALAN
Pada 5 Jun 2020, Perdana Menteri telah mengumumkan sebuah pelan pemulihan
jangka pendek iaitu Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bermula Jun
sehingga Disember 2020. PENJANA merupakan sebahagian daripada ‘grand design’
pihak Kerajaan dalam mengatur langkah strategik bagi menghadapi impak sosial dan
ekonomi disebabkan oleh pandemik COVID-19.
Perkara tersebut telah diterjemah kepada enam fasa iaitu Ketegasan (Resolve)
dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac yang lalu; Ketahanan
(Resilience) melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN);
Memulakan Semula (Restart) menjurus kepada pembukaan sektor ekonomi secara
berperingkat serta Pemulihan (Recovery) berkait dengan 40 inisiatif utama yang
dirangka melalui PENJANA. Ia melibatkan suntikan fiskal berjumlah RM10 bilion
daripada RM35 bilion jumlah keseluruhan peruntukan.
Fasa seterusnya adalah Memperkasa (Revitalise) serta Menyusun Semula (Reform)
yang akan menyusul kemudian yang dirangka berdasarkan jangka masa sederhana
dan panjang. Sudah tentu kedua-dua fasa ini akan menjadi input penting dalam pelan
Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang akan dibentang dan dibahaskan pada
tahun hadapan.
PENJANA adalah suatu bentuk kesinambungan kepada pakej rangsangan ekonomi
PRIHATIN dengan masih mengekalkan tiga teras utama iaitu “memperkasakan
rakyat”, “melonjakkan perniagaan” serta “merangsang ekonomi”. Aspek utama yang
menjadi penghubung (correlation) kepada kesinambungan kedua-dua pakej
rangsangan ekonomi ini adalah sikap tangkas dan dinamik Kerajaan dalam
menghadapi ketidaktentuan situasi negara dan global.
Hal yang demikian telah diperkukuhkan lagi dengan kerjasama yang erat di antara
sektor awam dan swasta, kombinasi menyeluruh dan capaian yang meluas dalam
memainkan peranan melonjakkan ekonomi negara serta perancangan berdasarkan
data dan statistik semasa. Kesemua aspek ini telah menjadikan segala bentuk
perancangan dalam PENJANA lebih bersasar, mempunyai hala tuju yang jelas dan
berpijak pada realiti yang sebenar.
Secara keseluruhannya, PENJANA menekankan kepada beberapa tunjang utama
antaranya ialah bagi menangani peningkatan kadar pengangguran di negara ini.
Pengangguran merupakan sebahagian daripada externality disebabkan penularan
wabak COVID-19 disusuli dengan langkah PKP yang mendorong penutupan sektor
ekonomi.
Outlook Pelan Jana Semula Negara (PENJANA)
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) 2
Tonggak Utama
Data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Mei yang lalu
menunjukkan 860 ribu rakyat (5.5 peratus daripada jumlah tenaga buruh) di negara
ini hilang punca pendapatan. Oleh itu, PENJANA telah mengambil kira pelbagai
inisiatif dalam menyerap impak tersebut, antaranya dengan memperkenalkan inisiatif
pengambilan pekerja dan bantuan latihan (upskilling) yang memfokuskan kepada
golongan penganggur. Tambahan lagi, inisiatif program subsidi upah seperti yang
telah diperkenalkan dalam pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN sebelum ini, juga
merupakan elemen penting yang ditekankan dalam PENJANA. Hal yang demikian
secara tidak langsung bagi memastikan pengurangan kadar pengangguran dapat
dilaksanakan secara lebih strategik dan bersasar.
Selain itu, PENJANA turut menekankan aspek pengaplikasian teknologi khususnya
kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi merancakkan perniagaan dalam
talian seperti kempen e-dagang yang melibatkan proses digitalisasi perniagaan,
penggunaan teknikal dan digital serta bimbingan teknologi melalui platform MyAssist.
Tambahan lagi, aspek teknologi turut menjadi sebahagian daripada proses penjanaan
ekonomi dengan pengenalan National Technology & Innovation Sandbox dalam
menerajui ciptaan penyelesaian selain kelonggaran peraturan bagi menguji teknologi
baru. Galakan inisiatif ini merupakan suatu pendekatan yang lebih mesra teknologi. Ia
bukan sahaja memberi fokus terhadap proses mengadaptasi teknologi dalam
perniagaan, bahkan turut menekankan proses pembangunan teknologi yang lebih
berkesan.
Disebalik langkah mengoptimakan peranan teknologi dalam mengukuhkan
perniagaan PKS, PENJANA turut memberi perhatian menggalakkan rakyat Malaysia
berbelanja bagi meningkatkan perbelanjaan domestik (domestic consumption).
Langkah ini melibatkan inisiatif Shop Malaysia Online, insentif one-off yang dikreditkan
melalui e-dompet selain kempen membeli barangan buatan Malaysia bagi menyokong
industri tempatan disamping merancakkan aktiviti perniagaan khususnya dalam talian.
Aspek-aspek ini telah menjadi sebahagian daripada tunjang utama kerajaan dalam
fasa pemulihan sosioekonomi rakyat. Kesemua inisiatif ini secara tidak langsung akan
memberikan impak positif kepada ekonomi dan dapat membantu meningkatkan
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Malah, unjuran daripada agensi-agensi global
seperti Tabung Kewangan Dunia (IMF) juga menunjukkan pertumbuhan ekonomi
Malaysia positif menjelang tahun 2021.
Outlook Pelan Jana Semula Negara (PENJANA)
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) 3
Fokus Outlook PENJANA
Beberapa inisiatif terpilih PENJANA secara lebih terperinci antaranya berkaitan
dengan geran kepada pengendali taska, bantuan kepada ibu tunggal, Orang Kurang
Upaya (OKU) dan sukarelawan Program Bantu di Rumah, pas perjalanan bulanan
tanpa had dan sebagainya. Inisiatif-inisiatif ini diteliti serta ditekuni secara lebih
mendalam bagi memastikan rakyat mendapat gambaran yang sebenar terhadap
perancangan Kerajaan.
Selain itu, penulisan ini juga memberikan beberapa cadangan penambahbaikan
kepada Kerajaan dalam menjadikan PENJANA sebagai suatu mekanisma yang
efisyen dalam membantu rakyat, memulihkan perniagaan dan merangsang ekonomi
negara.
Selamat membaca pandangan dan harapan daripada kami.
HAFIZ MANSOR
Ketua Sidang Editor
Outlook Pelan Jana Semula Negara (PENJANA)
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) 4
TERAS I: MEMPERKASAKAN RAKYAT
PROGRAM SUBSIDI UPAH
Objektif: Membantu majikan yang terkesan dari segi ekonomi akibat wabak
COVID-19 supaya dapat meneruskan operasi syarikat serta mengelakkan
pekerja hilang pekerjaan dan punca pendapatan.
1. Program Subsidi Upah (PSU) merupakan perluasan kepada Program
Pengekalan Pekerjaan (Employment Retention Program - ERP) apabila telah
mampu menyelamatkan lebih 2.2 juta pekerja di bawah Pakej Rangsangan
Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).
2. Di bawah PENJANA, Program Subsidi Upah bakal dimanfaatkan oleh 2.7 juta
pekerja melibatkan kuantum sebanyak RM5.3 bilion yang dijangka dilaksanakan
bermula pertengahan Jun hingga akhir September 2020.
3. Kadar subsidi upah yang diberikan di bawah pelan ini adalah berbeza daripada
kadar subsidi upah di bawah pakej PRIHATIN disebabkan ia adalah langkah
tambahan bagi menyerap impak selepas pembukaan sektor ekonomi yang telah
dibuka secara berperingkat. Semua majikan yang layak akan menerima kadar
subsidi RM600 sebulan bagi tempoh tiga bulan tambahan atas setiap pekerja
sehingga maksimum 200 pekerja setiap syarikat.
4. Selain itu, kebenaran juga telah diberikan kepada majikan untuk mengurangkan
waktu bekerja mingguan termasuk mengurangkan gaji sehingga maksimum 30
peratus dengan persetujuan pekerja. Kelonggaran juga diberikan kepada
majikan untuk membenarkan pekerja menerima subsidi upah secara langsung
bagi mereka yang telah mengambil cuti tanpa gaji, dengan syarat pekerja
tersebut menerima subsidi upah secara langsung (bagi sektor pelancongan dan
sektor yang tersenarai dalam aktiviti yang dilarang sepanjang tempoh PKPB).
5. Bagi setiap subsidi yang diberikan oleh kerajaan, terdapat syarat-syarat yang
perlu dipatuhi dalam memastikan ketelusan pemberian dan penerimaan. Antara
syarat utama yang mesti dipatuhi adalah majikan dan pekerja hendaklah
berdaftar atau mencarum dengan PERKESO sebelum 1 April 2020.
6. Perkara ini bertepatan dengan peruntukan di bawah Akta Keselamatan Sosial
Pekerja 1969 yang menjelaskan bahawa semua syarikat swasta di Malaysia
diwajibkan berdaftar di bawah PERKESO dalam tempoh 30 hari dari hari
pertama mula bekerja. Namun begitu, berdasarkan statistik majikan dan pekerja
Outlook Pelan Jana Semula Negara (PENJANA)
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) 5
berdaftar dan aktif PERKESO tahun 2017, sebanyak 1,087,922 majikan sahaja
berdaftar dengan PERKESO berbanding jumlah perniagaan yang didaftarkan
dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) iaitu sebanyak 6,285,895 pada
tahun 2016. Ketidakseimbangan data ini menunjukkan masih ramai pekerja yang
tidak dijamin sumber pendapatannya di bawah PERKESO.
7. Kebimbangan ini tidak lagi melibatkan situasi majikan yang mengambil
kesempatan atau cuai dalam menjaga kebajikan pekerja. Ini kerana Program
Subsidi Upah di bawah PRIHATIN sebelum ini hanya dapat dimanfaatkan oleh
lebih 2.2 juta pekerja sedangkan bilangan pekerja berdaftar dengan PERKESO
pada tahun 2017 adalah seramai 16.5 juta lebih.
8. Satu kajian telah dibuat oleh Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) yang
disertai oleh 419 syarikat menunjukkan bahawa 74 peratus pekerja menyatakan
subsidi upah adalah tidak mencukupi untuk mengekalkan pekerja dalam tempoh
tiga hingga enam bulan akan datang tanpa pemotongan gaji atau pemberhentian
pekerja. Pekerja syarikat yang terlibat dengan kaji selidik ini adalah 89.5 peratus
daripada sektor pembuatan dan berkaitan pembuatan serta perkhidmatan
sokongan. Manakala 74 peratus juga menyatakan bahawa subsidi gaji harus
meliputi semua pekerja tanpa mengira kadar upah dengan mencadangkan agar
siling ditetapkan pada kadar RM8,000 dan bukannya RM4,000.
9. Meskipun tidak dinafikan kelebihan dan kekurangan PSU, ia sewajarnya
disambut baik oleh para majikan di negara ini. Penambahbaikan walau
bagaimanapun perlu dilaksanakan dari masa ke masa bagi memastikan
kebajikan rakyat benar-benar terjaga. Ini kerana program ini hampir sama halnya
di zaman khalifah Umar bin Abdul Aziz yang sangat menitikberatkan keadaan
rakyat miskin apabila telah mengarahkan gabenor Iraq untuk membayar semua
gaji dan hak rutin rakyat di wilayahnya daripada wang Baitul Mal.
PROGRAM KEMAHIRAN DAN PENINGKATAN KEMAHIRAN
Objektif: Melatih dan membangunkan kemahiran 200,000 orang belia dan
penganggur bagi meningkatkan kebolehpasaran golongan ini dengan
peruntukan sebanyak RM2 bilion.
1. Pandemik COVID-19 telah menjejaskan pasaran pekerjaan sehinggakan ramai
yang telah dibuang kerja atau tidak dibayar upah. Golongan mahasiswa yang
baru bergraduasi pula terpaksa bersaing untuk merebut peluang pekerjaan yang
terhad.
Outlook Pelan Jana Semula Negara (PENJANA)
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) 6
2. Justeru, inisiatif bagi meningkatkan kebolehpasaran belia dan pengganggur ini
amat diperlukan bagi memastikan golongan ini mendapat tempat dalam pasaran
pekerjaan seterusnya memperoleh pendapatan untuk menyara kehidupan.
3. Statistik kejayaan program SL1M sebelum ini boleh dijadikan salah satu indikator
penting dalam inisiatif yang diambil. Daripada jumlah seramai 226,251 pesrta
yang terbabit dalam program latihan SL1M tersebut, seramai 132,261 peserta
dibantu dan 70 peratus berjaya ditawarkan pekerjaan.
4. PROTEGE iaitu penjenamaan semula Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang
diberi suntikan elemen latihan keusahawanan merupakan inisiatif yang terbaik
daripada kerajaan yang menyediakan platform latihan keusahawanan seiring
dengan kehendak ekonomi semasa.
5. Program sebegini juga dapat membantu melengkapkan golongan penganggur
dengan kemahiran yang diperlukan oleh industri untuk bersaing dengan tenaga
buruh sedia ada bagi mendapatkan pekerjaan yang dijangka akan lebih
mencabar selepas ini.
6. Usaha Kerajaan bagi membantu meningkatkan kebolehpasaran para belia ini
adalah bertepatan dengan ajaran Islam yang sentiasa menyeru umatnya
berusaha mencari rezeki di atas muka bumi ini dengan daya usaha sendiri dan
menegah mereka daripada menjadi umat yang malas bekerja (menganggur).
7. Secara keseluruhannya, inisiatif program peningkatan kemahiran dalam
PENJANA ini diharap dapat membantu meningkatkan modal insan dan
kebolehpasaran para penganggur sekaligus menjadi peluang yang lebih terbuka
untuk mereka kembali ke pasaran kerja.
8. Namun, inisiatif kerajaan berkaitan galakan kepada penganggur untuk
melanjutkan pelajaran terutamanya dalam kursus jangka pendek di universiti
tempatan agak membebankan bagi golongan terbabit berikutan krisis ekonomi
sepanjang COVID-19. Persoalannya, sejauh mana cadangan ini di timbang tara
dengan peluang pekerjaan yang ada bagi menjamin tempat di pasaran
pekerjaan kelak?
9. Lantaran itu, diharap pihak kerajaan dapat melihat kembali kewajaran galakan
untuk para penganggur melanjutkan pelajaran kerana selepas COVID-19, rakyat
masih berusaha untuk memulihkan ekonomi masing-masing. Selain itu,
diharapkan bahawa program kemahiran dan peningkatan kemahiran yang
dilaksanakan adalah sejajar dengan keperluan dan permintaan semasa sektor
pekerjaan.
Outlook Pelan Jana Semula Negara (PENJANA)
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) 7
PERLINDUNGAN SOSIAL DAN LATIHAN BAGI PEKERJA
EKONOMI GIG
Objektif: Menggalakkan pertumbuhan, menyediakan perlindungan sosial dan
meningkatkan peluang ekonomi gig yang akan memberikan manfaat kepada
30,000 orang pekerja.
1. Geran sejumlah RM50 juta dalam bentuk dana padanan diperuntukan kepada
individu yang mencarum di bawah Skim Bencana Pekerjaan (PERKESO) dan
Skim i-Saraan di bawah KWSP dengan sumbangan caruman RM162 sehingga
RM250. Namun, ia hanya diperuntukan kepada pekerja dalam talian yang
berdaftar melalui platfom ekonomi gig sahaja.
2. Skim di bawah inisiatif ini perlu mendapat persetujuan daripada pencarum untuk
mencarum 30 peratus daripada pendapatan mereka dan akan ditambah 70
peratus daripada dana padanan oleh Kerajaan. Perlindungan ini meliputi
perlindungan bencana kerja untuk tempoh satu tahun di bawah Skim
Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS). Ahli yang mencarum menerusi
i-Saraan akan mendapat faedah yang sama dengan ahli yang bekerja sepenuh
masa selain sumbangan tambahan diberikan kerajaan.
3. Penawaran pekerjaan dalam sektor ekonomi gig dijangka terus berkembang
pada 2020 selaras kadar pengangguran yang juga dijangka semakin tinggi
terutama akibat pandemik COVID-19. Menurut laporan Perangkaan Tenaga
Buruh Mac 2020, kadar pengangguran pada Mac 2020 meningkat kepada 3.9
peratus iaitu seramai 610, 500 orang yang merupakan jumlah tertinggi semenjak
Jun 2010 (3.6%). Inisiatif ini diharap akan merangsang daya tahan ekonomi
digital negara dan seterusnya membantu rakyat dan perniagaan yang terkesan.
4. Tambahan lagi, peruntukan sebanyak RM25 juta kepada MDEC bagi program
Global Online Workforce (GLOW) adalah bertujuan untuk membimbing rakyat
Malaysia menjana pendapatan dalam talian melalui platform antarabangsa
selain menggalakkan rakyat untuk berkecimpung di dalam ekonomi digital sama
ada secara sepenuh masa atau sebagai pendapatan sampingan. Ini ditambah
lagi dengna kempen Shop Malaysia Online bagi menggalakkan rakyat
berbelanja secara atas talian akan membantu merancakkan ekonomi digital di
Malaysia.
5. Walau bagaimanapun, Kerajaan disarankan agar menyuntik peruntukan
tambahan untuk memastikan lebih ramai pekerja yang bekecimpung di dalam
ekonomi gig mendapat manfaat yang sama di samping ia akan memperluaskan
manfaat kepada semua peniaga atas talian. Selain itu, Kerajaan juga perlu
Outlook Pelan Jana Semula Negara (PENJANA)
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) 8
memperbanyak kursus dan program bagi memperkasa dan membimbing rakyat
Malaysia untuk berkecimpung di dalam ekonomi digital.
SUBSIDI PENJAGAAN ANAK
Objektif: Memberikan geran secara one-off sehingga RM5,000 kepada
pengendali taska yang berdaftar di bawah Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk memenuhi SOP penjagaan
kesihatan baharu.
1. Kerajaan telah melonggarkan perintah kawalan pergerakan dengan
memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10
Jun hingga 31 Ogos depan. Keputusan yang diumumkan oleh Perdana Menteri
itu memberi lebih banyak kelonggaran kepada pelbagai sektor untuk memulakan
operasinya termasuklah taman asuhan kanak-kanak (taska) di seluruh negara.
2. Sebanyak 7,901 taska yang berdaftar di seluruh negara telah membuat
permohonan untuk beroperasi semula mengikut SOP yang dikeluarkan
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Antara negeri-negeri yang telah
membuka semula taska adalah Terengganu (151 taska), Sarawak (lebih separuh
daripada 236 taska berdaftar) dan Pulau Pinang (14 taska) dan jangkaan lebih
banyak taska-taska berdaftar di negeri lain akan mengambil langkah yang sama.
3. Pemberian insentif kepada pengusaha-pengusaha taska yang berdaftar di
bawah KPWKM iaitu geran sehingga RM5,000 bagi pengendali taska yang
berdaftar di bawah KPWKM adalah sebahagian usaha bagi membantu taska-
taska yang terjejas teruk sepanjang PKP dilaksanakan.
4. Geran yang ditawarkan dalam PENJANA ini sangat membantu pengusaha taska
berikutan masalah yang dihadapi mereka khususnya berkaitan masalah aliran
tunai. Hal yang demikian disebabkan kebanyakan pengusaha taska tidak
mengenakan bayaran kepada ibu bapa sepanjang tempoh PKP kerana taska
tidak dapat beroperasi.
5. Para pengusaha taska juga memerlukan kos tambahan apabila beroperasi
semula kerana perlu mengikuti SOP yang ditetapkan seperti aktiviti
menyahkuman/sanitasi di premis taska sekurang-kurangnya 2 kali sehari,
penyediaan PPE dan pelitup muka kepada petugas taska, penyediaan bahan
pembasmian kuman premis, pencuci tangan, hand sanitizer dan alat pengimbas
suhu dan sebagainya.
Outlook Pelan Jana Semula Negara (PENJANA)
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) 9
6. Pihak taska juga perlu mengurangkan pengambilan kanak-kanak taska berikutan
ia adalah sebahagian SOP bagi penjarakan sosial di dalam premis taska. Ini
akan mengurangkan pendapatan bulanan mereka, dalam masa yang sama perlu
menanggung kos operasi yang dijangka meningkat.
7. Selain itu, sebahagian besar taska-taska lain akan menghadapi penurunan
jumlah kanak-kanak yang dihantar ke taska berikutan sesetengah ibu bapa
masih takut untuk menghantar anak-anak mereka. Sebagai contoh, Taska
Permata Keluarga di bawah kendalian Yayasan Pembangunan Keluarga di
Terengganu (YPKT) menghadapi penurunan sebanyak hampir 84 peratus iaitu
hanya seramai 718 orang daripada 4,400 orang yang telah berdaftar sebelum
ini.
8. Namum begitu, dalam fasa ini sewajarnya pemeriksaan terhadap pematuhan
SOP dilakukan secara berkala ke atas taska-taska yang telah beroperasi bagi
memastikan pematihan yang optima oleh pengusaha
SUBSIDI PENGANGKUTAN AWAM MY30
Objektif: Memperkenalkan pas perjalanan tanpa had pada kadar RM30
sebulan bagi meringankan beban 200,000 pengguna pengangkutan awam
berstatus warganegara di Lembah Klang.
1. Pas perjalanan bulanan tanpa had yang berharga RM30 sebulan dapat memberi
manfaat kepada pengguna untuk menikmati perjalanan tanpa had bagi
pengangkutan awam yang di bawah seliaan Prasarana seperti perkhidmatan rel
(MRT, LRT, Monorel), BRT, bas RapidKL dan bas pengantara MRT.
2. Ini merupakan inisiatif yang sangat baik kerana akan menjimatkan pengguna
sebanyak RM70 sebulan dan dianggarkan seramai 200,000 orang akan
mendapat manfaatnya. Justeru, langkah ini akan sangat membantu meringkan
beban dan mengurangkan kos sara hidup bagi pengguna-pengguna
terutamanya mereka yang daripada golongan M40 dan B40 yang terjejas ketika
ini.
3. Selain itu, inisiatif ini boleh menggalakkan lebih ramai orang untuk menggunakan
perkhidmatan awam untuk perjalanan harian mereka. Impak daripada ini akan
mengurangkan kesesakan jalan raya di kawasan Lembah Klang terutamanya
dan pada masa yang sama akan mengurangkan pencemaran udara yang
disebabkan oleh asap kereta.
Outlook Pelan Jana Semula Negara (PENJANA)
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) 10
4. Islam sangat mengajarkan untuk kita saling membantu sesama manusia dalam
meringkan beban mengikut kemampuan kita. Sabda Rasulullah SAW dalam
sebuah hadis yang bermaksud :
“Manusia yang paling dicintai oleh Allah SWT adalah yang paling bermanfaat
untuk manusia. Dan amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT adalah
kegembiraan yang engkau masukkan ke dalam hati seorang mukmin atau
engkau hilangkan salah satu kesusahanya, atau engkau membayarkan
hutangnya, atau engkau hilangkan kelaparannya.”
(Hadis riwayat at-Tabrani)
BANTUAN SOSIAL BAGI GOLONGAN MUDAH TERJEJAS
Objektif: Menyediakan bantuan one-off bernilai RM300 kepada 190,000 OKU
berdaftar dan 150,000 ibu tunggal serta geran kepada NGO berkaitan yang
membantu kumpulan mudah terjejas.
1. Keprihatinan Kerajaan dalam membantu golongan mudah terjejas ini dilihat
dapat mengurangkan beban kewangan yang ditanggung mereka sekaligus
menunjukkan Kerajaan tidak pernah sesekali meminggirkan kelompok sebegini.
Pelaksanaan inisiatif ini melibatkan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak
RM108 juta dengan RM102 juta akan memberi manfaat kepada 190,000 OKU
berdaftar dan 150,000 ibu tunggal, manakala baki RM6 juta pula akan memberi
manfaat kepada beberapa NGO terpilih.
2. Usaha baik oleh Kerajaan ini amatlah bertepatan dengan hadis yang
diriwayatkan Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda :
“Orang yang memberi kecukupan kepada para janda dan orang-orang miskin
(pahalanya) seperti orang yang berjihad di jalan Allah atau seperti orang yang
qiamullail di malam hari atau berpuasa di siang harinya.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
3. Bukti Islam menyantuni golongan OKU pula dapat dilihat berdasarkan teguran
Allah SWT kepada Rasulullah SAW di dalam Al-Quran melalui Surah Abasa
apabila Rasulullah SAW yang sedang berdakwah kepada pembesar Quraisy
tidak menghiraukan pertanyaan Abdullah Ibn Umm Maktum, seorang yang cacat
penglihatan. Peristiwa ini menunjukkan bahawa walaupun seseorang itu ada
kecacatan tertentu, kita tidak boleh pilih kasih dan harus melayaninya sama
Outlook Pelan Jana Semula Negara (PENJANA)
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) 11
seperti orang lain. Apa yang ditonjolkan oleh Kerajaan ini adalah suatu sikap
yang terpuji.
4. Walau bagaimanapun beberapa persoalan timbul apabila berdasarkan semakan
yang dibuat di portal MaNis milik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat (KPWKM), bilangan OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM) setakat data yang dikemaskini sehingga 20 April 2019 adalah
seramai 542,918 orang. Jumlah tersebut tidak konsisten seperti yang
diumumkan oleh YAB Perdana Menteri yang hanya memberi manfaat kepada
190,000 OKU berdaftar sahaja.
5. Maka, persoalan ini timbul apakah nasib hampir 360,000 OKU yang lain?
Adakah terdapat kriteria-kriteria tertentu untuk melayakkan mereka layak
menerima bantuan ini? Jika ada kriteria tertentu, apakah pemilihan yang dibuat
ini telus merangkumi semua aspek?
6. Selain itu, persoalan juga timbul adakah bantuan ini hanya merangkumi kepada
ibu tunggal sahaja? Bagaimana pula dengan bapa tunggal? Sedangkan bapa
tunggal juga perlu menjalankan tugas bapa dan ibu secara serentak. Malah
definisinya mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka juga adalah sama iaitu
seseorang ibu/ayah yang membesarkan serta mendidik anaknya seorang diri
tanpa suami/isteri kerana perceraian, kematian dan sebagainya. Tapi kenapakah
tidak banyak pihak yang berbicara dan jauh sekali membela golongan ini sama
seperti ibu tunggal?
7. Justeru itu, berdasarkan persoalan tentang OKU tadi, Kerajaan perlu memberi
penjelasan mengapa hanya 190,000 OKU berdaftar sahaja yang bakal
menerima manfaat berbanding OKU berdaftar dengan JKM adalah melebihi
500,000 orang. Penjelasan ini penting supaya tiada golongan yang akan rasa
terpinggir dengan syarat-syarat yang dikenakan. Malah Kerajaan juga perlu
memastikan pemberian bantuan ini telus dan adil bagi semua tanpa ada pilih
kasih.
8. Manakala, berdasarkan persoalan bantuan kepada ibu tunggal pula, jika benar
bantuan ini tidak termasuk bapa tunggal, Kerajaan perlu memperhalusi semula
dan turut mengambil kira bebanan tanggungjawab yang dipikul oleh bapa
tunggal.
9. Selain itu, pemantauan terhadap NGO yang terpilih juga perlu dititik beratkan
oleh Kerajaan bagi memastikan mereka betul-betul menggunakan geran yang
diberikan untuk membantu golongan yang terjejas dan tidak menggunakannya
untuk tujuan peribadi.
Outlook Pelan Jana Semula Negara (PENJANA)
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) 12
TERAS II: MELONJAKKAN PERNIAGAAN
KEMPEN E-DAGANG KEPADA PERUSAHAAN MIKRO DAN PKS
Objektif: Memperluaskan akses pasaran PKS dan PKS mikro menerusi
peralihan kepada platform e-dagang yang akan menyediakan latihan
onboarding, subsidi jualan dan khidmat sokongan jualan.
1. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), PKS menyumbang sebanyak
38.3 peratus atau RM521.7 juta kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
pada 2018 berbanding RM491.2 juta atau 37.8 peratus pada tahun sebelumnya.
Kini, sektor perniagaan yang berkonsepkan dalam talian atau e-dagang dilihat
sebagai satu norma baharu susulan wabak pandemik COVID-19 dan pemangkin
dalam membantu PKS menjalankan perniagaan semasa tempoh PKP.
2. Pendapatan melalui transaksi e-dagang telah mencatatkan nilai sejumlah
RM447.8 bilion pada tahun 2017 berbanding RM398.2 bilion pada tahun 2015
dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 6.0 peratus. Manakala,
perbelanjaan transaksi e-dagang pula mencatatkan nilai sebanyak RM228.8
bilion pada 2017 berbanding RM195.1 bilion pada tahun 2015 dengan kadar
pertumbuhan tahunan sebanyak 8.3 peratus.
3. Hakikatnya, 28.7 juta dari 32.6 juta penduduk Malaysia pada tahun 2019 adalah
pengguna internet, bersamaan dengan 88 peratus. Bahkan, sebahagian besar
daripada pengguna internet ini menggunakan platform digital sebagai peluang
untuk menjalankan urusniaga jual beli dalam talian.
4. Salah satu inisiatif yang diumumkan di dalam PENJANA adalah dengan
memberi galakan kepada sektor PKS dan PKS mikro supaya beralih kepada
digitalisasi perniagaan ataupun e-dagang yang diterajui oleh Perbadanan
Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bersama platform e-dagang terpilih. Ia
menjurus kepada sesi latihan onboarding, subsidi jualan dan khidmat bantuan
jualan. Menerusi kempen e-dagang ini, kerajaan telah memperuntukan
sebanyak RM70 juta kepada PKS dan PKS mikro.
5. Dalam mendepani era digitalisasi, asas terpenting dalam menjalankan
perniagaan e-dagang ini adalah pemilikan kelengkapan fasiliti IT yang sesuai
dan mutu prasarana serta infrastruktur telekomunikasi bagi membolehkan
pengaksesan internet seperti komputer, modem dan talian telefon. Ketika
tempoh PKP, 25 peratus perniagaan dilihat tidak memiliki infrastruktur
Outlook Pelan Jana Semula Negara (PENJANA)
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) 13
komunikasi yang mencukupi dan masih belum menyesuaikan diri serta
terkebelakang dalam pertumbuhan ekonomi digital.
6. Sektor e-dagang melibatkan situasi sejumlah besar transaksi yang dibuat di
antara pembekal barangan dan pengguna. Oleh itu, keselamatan data dan
transaksi pembelian terus haruslah ditambahbaik agar kepercayaan pengguna
dalam membeli-belah dalam talian terus meningkat. Menurut Pusat Khidmat
Aduan Pengguna (NCCC), aduan membabitkan transaksi e-dagang adalah yang
tertinggi dengan menerima 10,615 kes dilaporkan dengan nilai kerugian
mencecah RM12 juta.
7. Tambahan lagi, Kerajaan perlu komited dalam meningkatkan penyertaan wanita
dalam PKS bagi turut sama meningkatkan pertumbuhan ekonomi. Menurut
DOSM, sejumlah 907,065 PKS beroperasi di Malaysia merangkumi 98.5 peratus
daripada jumlah perniagaan dengan 20 peratus daripadanya dimiliki dan
dikendalikan oleh golongan wanita. Oleh itu, wanita digalakkan agar mengikuti
latihan dan kursus kemahiran yang disediakan terutama dalam sektor e-dagang
sehingga menjadi usahawan berjaya dan berkemahiran.
8. Hakikatnya, keterlibatan wanita dalam bidang perniagaan bukanlah sesuatu
yang baharu. Ketokohan Saidatina Khadijah RA dalam mengendalikan
perniagaan wajar dijadikan sebagai contoh. Beliau merupakan usahawan terbaik
bagi kaum wanita sebelum berkahwin dengan Baginda Rasulullah s.a.w. Aktiviti
perniagaan beliau merentasi sempadan negeri sehingga ke peringkat
antarabangsa.
9. Selain itu, mewujudkan satu pusat sehenti (one stop center) keusahawanan PKS
dan PKS mikro yang mempunyai pelbagai pilihan terjemahan bahasa seperti
bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Cina, Korea dan seumpamanya bagi
memudahkan komunikasi urusniaga pembekal dan pelanggan dari negara-
negara maju.
10. Pertumbuhan e-dagang dilihat semakin positif dan berkembang maju. Jelaslah
bahawa kerajaan telah sedaya upaya melakukan yang terbaik terutama kepada
usahawan PKS dan PKS mikro melalui suntikan kewangan dan bantuan
sokongan yang menyeluruh. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama untuk
menggerakkan ekonomi negara agar lebih maju dan setanding dengan negara
luar.
11. Usahawan PKS dan PKS mikro haruslah mengambil peluang dalam
membudayakan diri dan mempertingkatkan pemahaman mengenai teknologi
digital serta teknik pemasaran jual beli dalam talian secara berterusan seperti
melalui MDEC. Peniaga yang tidak merebut peluang daripada penggunaan
teknologi digital ini akan ketinggalan zaman dan tidak mencapai kemajuan.
Outlook Pelan Jana Semula Negara (PENJANA)
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) 14
PEMBIAYAAN SEKTOR PELANCONGAN PENJANA
Objektif: Memastikan kelangsungan dan daya tahan PKS dalam sektor
pelancongan dengan membiayai inisiatif transformasi.
1. Presiden Majlis Pelancongan Malaysia menyatakan sektor pelancongan
menyumbang sejumlah RM84 bilion pada tahun 2019. Sejumlah 640 ribu
syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Pelancongan berdaftar dan
telah membuka 640 ribu peluang pekerjaan.
2. Mengikut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, sektor pelancongan
telah terjejas teruk disebabkan oleh pandemik COVID19 dengan jangkaan 1 juta
pekerja hilang pekerjaan dan merekodkan kerugian kira-kira RM20 bilion dalam
tempoh empat (4) bulan pertama tahun 2020.
3. Oleh itu, inisiatif kepada sektor ini perlu disalurkan kepada PKS Pelancongan
yang aktif, kukuh dan berdaya saing tinggi agar pembiayaan tersebut memberi
impak positif kepada industri pelancongan dan ekonomi negara.
4. Berdasarkan Euromonitor International, Malaysia berada pada kedudukan
pertama dalam Global Muslim Travel Index 2018. Crescent Rating (2018).
Malaysia juga telah mengekalkan rekod dalam kelompok 10 negara destinasi
pelancongan terbaik dunia bagi tahun 2018.
5. National Trust for Historic Preservation manyatakan bahawa minat para
pelancong adalah untuk mencari pengalaman tempat-tempat dan aktiviti yang
asli yang menggambarkan cerita dan manusia masa silam.
6. Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islam bercirikan makanan halal,
penginapan mesra Muslim dan kegiatan aktiviti yang patuh syariah. Tambahan
juga, mempergiat promosi destinasi pelancongan dengan nilai budaya dan
sejarah tersendiri sebagai produk warisan negara.
Outlook Pelan Jana Semula Negara (PENJANA)
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) 15
TERAS III: MERANGSANG EKONOMI
NATIONAL TECHNOLOGY AND INNOVATION SANDBOX
Objektif: Menyediakan geran padanan berjumlah RM10 juta bagi
menggalakkan aktiviti dan projek sosial berkaitan menangani isu yang dihadapi
oleh komuniti dengan pendekatan yang inovatif.
1. National Technology & Innovation Sandbox (NTIS) merupakan salah satu
strategi Kerajaan bagi merangsang ekonomi negara. Ia melibatkan peruntukan
sejumlah RM100 juta yang disalurkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan
Inovasi (MOSTI) bagi merealisasikan usaha ini.
2. Inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan perkembangan inovasi dan kreativiti
dalam kalangan usahawan digital dan syarikat pemula (start-ups) agar dapat
menjadi pemangkin terhadap platform perkhidmatan pendigitalan dalam negara.
3. Malaysia wajar menyediakan persiapan secukupnya bagi mendepani cabaran
baharu ekonomi ke arah Revolusi Perindustrian 4.0. Hal ini mestilah berteraskan
konsep digital ekonomi selain proses adaptasi teknologi sebagai tunjang kepada
kemajuan ekonomi sesebuah negara.
4. Pandemik COVID-19 dilihat meningkatkan penggunaan aplikasi digital dalam
kehidupan seharian rakyat seperti e-dagang, e-hailing dan online conference.
Menurut Bank Dunia, pertumbuhan ekonomi digital diunjur meningkat hampir 20
peratus atau bernilai lebih RM110 bilion pada tahun 2020.
5. Melalui Belanjawan Negara 2020, beberapa inisiatif pendigitalan berserta
peruntukan telah diperkenalkan termasuklah Kerajaan Digital Malaysia (RM21.6
bilion), Geran Pembangunan Ekosistem 5G (RM50 juta) dan projek perintis
aplikasi digital (RM25 juta).
6. Sehingga kini, terdapat beberapa buah organisasi yang telah terlibat secara aktif
dalam National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) termasuklah
Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC), Technology Park
Malaysia, Malaysia Technology Development Corporation (MTDC) dan
Cyberjaya Futurise Centre.
7. Selain tiga agensi utama di atas, Kerajaan juga disarankan agar memberi
kemudahan kepada golongan usahawan digital atau organisasi berkaitan
teknologi dalam menghasilkan produk ciptaan mereka. Menurut The UK
Outlook Pelan Jana Semula Negara (PENJANA)
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) 16
Financial Conduct Authority (FCA), “sandbox” merupakan platform tanpa had
dan kawalan kepada sektor perniagaan dalam menguji kreativiti dan inovasi
produk, perkhidmatan, model perniagaan serta mekanisma penghantaran.
8. MOSTI menyatakan akan melonggarkan beberapa prosedur projek pilot seperti
pengujian dron penghantar produk dan kenderaan pandu sendiri di bawah
inisiatif NTIS. Ia dapat memberi kelebihan kepada perintis teknologi digital agar
menjalankan pilot testing produk mereka dengan lebih efektif tanpa dibebani
dengan prosedur yang ketat.
9. Secara asasnya, lima inisiatif awal telah dijana dibawah NTIS iaitu penggunaan
robot dalam perkhidmatan kesihatan dan sektor agrikultur, pengaplikasian
Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet Pelbagai (IoT), penggunaan robot berkualiti
tinggi dalam sektor pembuatan, teknologi percetakan 3D serta penubuhan
aplikasi pembiakan mutasi.
10. Malah sehingga kini, Futurise Centre telah bekerjasama dengan Civil Aviation
Authority of Malaysia (CAAM) dan pelbagai agensi sektor digital dalam menguji
inovasi dron serta kawalan kenderaan secara automatik.
KEMPEN BELI BARANGAN BUATAN MALAYSIA
Objektif: Menggalakkan penggunaan barangan dan perkhidmatan buatan
Malaysia.
1. Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia (BBBM) bukanlah suatu perkara
baharu. Ia telah dipopularkan oleh Kerajaan seawal tahun 1984 lagi. Kempen
BBBM sering dikaitkan dengan semangat patriotisme dan telah beberapa kali
melalui proses penjenamaan semula dalam usaha mengukuhkan sentimen ‘Beli
Barangan Malaysia’ dalam kalangan rakyat.
2. Portal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna
(KPDNHEP) mentakrifkan barangan Malaysia sebagai “produk mestilah
dikilangkan di Malaysia dan mengandungi sekurang-kurangnya 51 peratus
bahan/kandungan tempatan dan produk-produk yang dikeluarkan hendaklah
melibatkan aktiviti proses pengilangan (manufacturing activity)”.
3. Galakan untuk rakyat membeli barangan dan perkhidmatan tempatan dibuat
kerana masih ramai yang kurang yakin dengan kualiti produk Malaysia. Walhal,
kualiti produk Malaysia sebenarnya setanding dengan produk antarabangsa
yang lain.
Outlook Pelan Jana Semula Negara (PENJANA)
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) 17
4. Penularan COVID-19 menyaksikan banyak perniagaan terpaksa gulung tikar
dan rakyat kehilangan pekerjaan. Malah, Kajian dari Malaysian Institute of
Economic Research menjangkakan seramai 2.4 juta rakyat Malaysia bakal
hilang kerja ekoran COVID-19.
5. Menuju ke fasa pemulihan ekonomi, usaha kerajaan melalui PENJANA dengan
menggiatkan kembali Kempen BBBM di platform digital seharusnya disambut
baik oleh masyarakat Malaysia.
6. Kempen BBBM dilihat dapat membantu industri tempatan terutamanya Sektor
Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bertahan dalam keadaaan ekonomi
yang kurang memberangsangkan. Hal ini kerana perbelanjaan domestik mampu
memberikan kesan pengganda (multiplier effect) kepada ekonomi negara selain
mengurangkan pengaliran wang ke luar.
7. Melangkah ke hadapan, platform digital adalah norma baharu sistem
perniagaan. Justeru, usaha yang tersusun dan giat perlu dilaksanakan bagi
memastikan barangan dan perkhidmatan tempatan boleh diniagakan secara
atas talian. Perusahaan tempatan perlu sentiasa meningkatkan mutu dan kualiti
produk yang dihasilkan kerana di era negara tanpa sempadan, persaingan
adalah terbuka. Rakyat bebas mendapatkan produk yang dikehendaki dari
pelbagai negara dengan segalanya terletak di hujung jari.
8. Kerajaan disarankan merancakkan kempen BBBM melalui inisiatif seperti
mewujudkan portal khusus barangan dan perkhidmatan tempatan, diskaun
LHDN untuk pembelian produk tempatan dan meningkatkan duti import untuk
pembelian produk dari luar negara. Selain itu, Kerajaan juga boleh mengambil
contoh Korea Selatan yang mendidik rakyatnya mengutamakan produk
tempatan melalui semangat nasionalisme yang utuh.
9. Kesimpulannya, kempen BBBM adalah usaha membantu rakyat dan negara
daripada menghadapi krisis ekonomi yang lebih serius. Usaha ini sebenarnya
adalah suatu jihad ekonomi dan kita sebagai orang Islam sentiasa diseru untuk
berbelanja dan memanfaatkan harta ke arah kebaikan sepertimana firman Allah
SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 261.
Outlook Pelan Jana Semula Negara (PENJANA)
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) 18
MALAYSIA AS AN ATTRACTIVE HORIZON FOR BUSSINESS
Objektif: Menyediakan geran padanan berjumlah RM10 juta bagi
menggalakkan aktiviti dan projek sosial berkaitan menangani isu yang dihadapi
oleh komuniti dengan pendekatan yang inovatif.
1. Inisiatif ini selari dengan saranan daripada pelbagai agensi antarabangsa seperti
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Fitch Rating supaya
Malaysia dapat menarik pelabur asing secara lebih agresif. Keadaan ini
seterusnya akan membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara agar
kembali pulih disokong oleh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang terus
berkembang.
2. Kerajaan disaran agar melakukan kolaborasi dengan semua agensi yang terlibat
bagi mengukuhkan pelaburan langsung asing (FDI) datang melabur di negara
ini. Perkara ini secara tidak langsung dapat menjana ekonomi negara. Selain
penubuhan Project Acceleration & Coordination Unit (PACU) sebagai medium
untuk mempercepatkan perlaksanaan projek, ia juga perlu diperkasakan dari
semasa ke semasa agar terus aspek penyampaian polisi berlaku dengan efisyen
dalam memastikan setiap perancangan dapat dicapai dengan optimum.
SOKONGAN SEKTOR PERTANIAN DAN MAKANAN
Objektif: Menyediakan geran padanan berjumlah RM10 juta bagi
menggalakkan aktiviti dan projek sosial berkaitan menangani isu yang dihadapi
oleh komuniti dengan pendekatan yang inovatif.
1. Walaupun kesan negatif PKP kepada keselamatan makanan (food security)
adalah minimum untuk jangka masa pendek, ia tetap berpotensi memberikan
impak yang besar pada jangka masa panjang jika tiada langkah drastik diambil.
Hal ini demikian kerana Malaysia masih bergantung kepada import makanan luar
sebanyak 30 peratus dan hanya memenuhi 70 peratus tahap sara diri (SSL).
2. Sejak pandemik COVID-19 menular pada Januari 2020, kebanyakan negara
pengeksport makana seperti Indonesia, Thailand, Jepun, China dan Amerika
Syarikat menyekat hampir keseluruhan eksport makanan masing-masing bagi
mengutamakan keselamatan makanan di dalam negara sendiri.
Outlook Pelan Jana Semula Negara (PENJANA)
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) 19
3. Oleh itu, inisiatif yang digerakkan dalam PENJANA ini merupakan sebahagian
daripada usaha kecil ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara dengan 100
peratus SSL. Namun, kerajaan disaran agar menyediakan Skim Pembiayaan
Mikrokredit yang menggunakan kontrak patuh Shariah seperti Qardhul Hasan
(sifar kadar faedah), Mudharabah, Murabahah dan Musharakah Mutanaqisah.
4. Pembiayaan patuh Shariah ini bukan sahaja dibenarkan di dalam Islam, yang
sesuai dengan Malaysia yang menjadikan Islam sebagai Agama Persekutuan,
bahkan ia meletakkan risiko perniagaan di bahu kedua-dua pihak (Kerajaan dan
Peniaga) dan tidak membebankan hanya satu pihak sahaja seperti skim
konvensional. Di akhirnya, manfaat daripada pembiayaan patuh Shariah ini juga
akan dapat dirnikmati oleh kedua-dua pihak tersebut.
TERBITAN SUKUK PRIHATIN
Objektif: Memberi peluang kepada rakyat untuk turut terlibat dalam langkah
pemulihan ekonomi.
1. Pembangunan ekonomi sesebuah negara bergantung kepada pasaran modal
yang cekap dan berkesan. Secara umumnya, pasaran modal Islam terdiri
daripada pasaran hutang (sukuk) kerajaan dan korporat serta pasaran ekuiti
(saham dan amanah saham) korporat di bawah penyeliaan Suruhanjaya
Sekuriti.
2. Sukuk merupakan instrumen alternatif bagi pembiayaan dan pelaburan. Pada
masa kini, pasaran sukuk Malaysia berkembang menjadi pasaran bon Islam
terbesar di dunia berdasarkan Laporan Tahunan yang dikeluarkan oleh
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
3. Tahun 2019 telah menyaksikan terbitan sukuk bernilai RM102.39 bilion atau
77.09 peratus daripada jumlah terbitan korporat. Pasaran sukuk menjadi sumber
penting bagi keperluan pembiayaan kegiatan pelaburan yang produktif,
manakala bagi pelabur, ia menyediakan potensi untuk mempelbagaikan kelas
aset pelaburan baru.
4. Melalui teras Meransang Ekonomi di bawah PENJANA, antara inisiatif yang
diumumkan ialah terbitan Sukuk PRIHATIN bernilai RM500 juta. Bertemakan
“Daripada Rakyat, Kepada Rakyat”, terbitan Sukuk PRIHATIN membuka
peluang kepada lebih ramai rakyat yang berkemampuan untuk turut sama
terlibat dalam langkah pemulihan ekonomi.
Outlook Pelan Jana Semula Negara (PENJANA)
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) 20
5. Dengan kata lain, penerbitan Sukuk PRIHATIN menjadi alternatif yang berfungsi
sebagai pendanaan awam untuk membiayai projek-projek yang membantu
pemulihan ekonomi.
6. Hasil penerbitan Sukuk ini akan digunakan untuk program pembangunan khusus
seperti kesalinghubungan sekolah terutama di kawasan luar bandar,
pembiayaan untuk perusahaan mikro dengan memberi
perhatian terhadap usahawan wanita dan geran penyelidikan untuk penyakit
berjangkit. Tidak dapat dinafikan, ketiga-tiga program pembangunan ini
sewajarnya mendapat perhatian khusus Kerajaan.
7. Penutupan operasi bagi sebahagian besar perniagaan semasa PKP telah
memberikan kesan kepada kehilangan pekerjaan dan menimbulkan keresahan
di kalangan pencari kerja. Berdasarkan angka SME Corp pada tahun 2016,
terdapat sejumlah 907,065 perusahaan mikro, kecil dan sederhana di Malaysia
dan ia dijangka melepasi angka sejuta pada masa ini.
8. Jelas di sini, industri PKS merupakan penyumbang tenaga kerja terbesar di
Malaysia. Oleh yang demikian, pembiayaan terhadap sektor PKS wajar diberikan
perhatian melalui Sukuk PRIHATIN selain daripada inisiatif-inisiatif lain yang
telah sedia ada.
9. Dalam mendepani era kebiasaan baharu ini juga, kemudahan jaringan jalur lebar
dan infrastruktur tekonologi maklumat telah menjadi suatu keperluan. Justeru,
pelaburan untuk meningkat kemudahan ini terutamanya di kawasan luar bandar
sudah pasti amat perlu dipertingkatkan, lebih-lebih lagi dalam sektor pendidikan.
10. Bagi sektor kesihatan pula, Sukuk PRIHATIN dilihat dapat merancakkan lagi
penyelidikan berkaitan penyakit berjangkit melalui pendanaan geran
penyelidikan.
11. Sebelum inisiatif ini diterbitkan, Kerajaan diharapkan dapat memberikan
penerangan yang lebih jelas & kempen yang lebih efektif agar pendanaan awam
untuk memulihkan kembali ekonomi negara ini dapat direalisasikan melalui
dokongan yang memberangsangkan daripada rakyat.