MAKLUMAT PROGRAM LEARNING CITY ANJURAN
JABATAN PENGUATKUASAAN
PENGENALAN
Majlis Bandaraya Petaling Jaya melalui Jabatan Penguatkuasaan telah menganjurkan
Pasukan Keselamatan Kejiranan Petaling Jaya (PKKPJ). Program tersebut telah
dilancarkan pada 28 Julai 2011 sehingga kini, dan terkini program tersebut adalah di
bawah pemantauan Program Induk Keselamatan PJ Safe – Safety for All. Majlis
Bandaraya Petaling Jaya adalah Pihak Berkuasa Tempatan pertama yang mengambil
inisiatif menganjurkan program sedemikian bersama-sama Ahli Majlis, ADUN dan
Agensi Keselamatan yang terlibat demi meningkatkan kesedaran berhubung
keselamatan kejiranan dalam kalangan penduduk Petaling Jaya.
Pasukan Keselamatan Kejiranan adalah merupakan pasukan
sukarelawan terdiri daripada penduduk kawasan setempat yang bernaung di bawah
Persatuan Penduduk (RA), Rukun Tetangga (RT) dan Badan Pengurusan Bersama
(JMB) bagi melaksanakan aktiviti bertemakan ‘Keselamatan’ dalam kejiranan. Bagi
menyahut seruan penggunaan teknologi pembelajaran moden, satu dashboard program
PKKPJ telah diusahakan bagi memenuhi keperluan pendaftaran Program PKKPJ
secara atas talian (online). Tambahan lagi, menerusi dashboard tersebut, maklumat
kejiranan (seperti jumlah penyertaan penduduk kejiranan dan jumlah lampu jalan di
sekitar kawasan kejiranan) juga boleh diperolehi.
OBJEKTIF
Objektif pelaksanaan Program PKKPJ adalah seperti berikut:
i) Meningkatkan program rondaan keselamatan bersama penduduk;
ii) Mewujudkan peningkatan Pasukan Keselamatan Kejiranan dalam kawasan
pentadbiran MBPJ;
iii) Meningkatkan penglibatan penduduk bersama Ahli Majlis dan ADUN
Kawasan
iv) Meningkatkan hubungan perpaduan dan kerjasama yang baik serta
meningkatkan semangat berpasukan dalam kalangan penduduk;
v) Meningkatkan tahap kesedaran penduduk Petaling Jaya berhubung isu-isu
keselamatan.
PERLAKSANAAN PROGRAM
Peruntukan tahunan sebanyak RM6,000 diberikan kepada RA, RT dan JMB yang telah
berdaftar dan diluluskan permohonan bagi menyertai Program PKKPJ. Bagi tahun
2018, sehingga Julai 2018, sebanyak 128 permohonan RA, RT dan JMB telah
diluluskan dengan kos perbelanjaan sebanyak RM768,000 telah diperuntukkan bagi
Program PKKPJ. Peruntukan ini diberikan bagi RA, RT dan JMB khusus bagi
menjalankan program dan aktiviti yang bertemakan ‘Keselamatan’ dalam kejiranan,
seperti:
a. Rondaan keselamatan secara sukarela bertujuan sebagai pencegahan
kepada aktiviti jenayah dan vandalisme.
b. Program Kesedaran Keselamatan Kejiranan seperti Taklimat dan Ceramah
Keselamatan, Dialog Keselamatan bersama Majlis, Polis Di Raja Malaysia
(PDRM) dan juga Agensi Keselamatan yang lain.
Manakala RA, RT dan JMB yang terlibat haruslah menghantar laporan
perlaksanaan Program bertemakan ‘Keselamatan’ dalam kejiranan yang telah
dijalankan kepada Sekretariat dengan kekerapan setahun sekali.
KRITERIA PENILAIAN
Terdapat sembilan (9) kriteria yang dinilai bagi mengukur keberkesanan
perlaksanaan Program PKKPJ, seperti berikut:
i) Taklimat
ii) Dialog
iii) Program Kemasyarakatan
iv) Rondaan Keselamatan
v) Berkumpulan
vi) Jumlah Anggota
vii) Penglibatan Penduduk
viii) Penglibatan Agensi Luar
KESAN PERLAKSANAAN
Inisiatif penganjuran rondaan keselamatan dan lain-lain program bertemakan
‘Keselamatan’ oleh sesuatu kejiranan itu sendiri dilihat dapat membangkitkan rasa
kekitaan, tanggungjawab dan pembelajaran dalam kalangan keluarga amnya dan
komuniti secara khasnya. Ahli kejiranan adalah digalakkan untuk mendukung elemen
keselamatan dalam kehidupan seharian. Tambahan lagi, pengetahuan dan kesedaran
yang diperolehi oleh penduduk semasa menganjurkan program-program bertemakan
‘Keselamatan Kejiranan’ melalui Program PKKPJ ini telah mengangkat budaya
pembelajaran sepanjang hayat. Di peringkat Majlis pula, penganjuran program ini dilihat
dapat meningkatkan persepsi baik penduduk Petaling Jaya terhadap usaha-usaha
memelihara keselamatan dan keharmonian Bandar Raya Petaling Jaya. Secara tidak
langsung juga, Program PKKPJ ini turut menyumbang kepada penurunan Indeks
Jenayah di peringkat Petaling Jaya.khususnya dan Negeri Selangor amnya.
GAMBAR-GAMBAR PERLAKSANAAN PROGRAM
Gambar 10-12: Sesi Taklimat dan Dialog PKKPJ dan Pameran Keselamatan
GAMBAR-GAMBAR PERLAKSANAAN PROGRAM
Gambar 10-12: Sesi Taklimat dan Dialog PKKPJ
KERATAN AKHBAR
Gambar 13: Penyampaian Sumbangan Basikal kepada Pasukan Keselamatan Kejiranan Petaling Jaya