GGGB 6012: PENULISAN AKADEMIK 1
TUGASAN KERTAS KONSEP INDIVIDU:
PEMBELAJARAN BERASASKAN WEB DALAM PENGAJARAN KEMAHIRAN
PROSES SAINS
PENSYARAH:
Prof. Madya Dr. JAMALUDIN BIN HAJI BADASUH
PELAJAR:
MUHAMMAD RAFIQ BIN RAZALI
PENDIDIKAN SAINS
P79152
PEMBELAJARAN BERASASKAN WEB DALAM PENGAJARAN KEMAHIRAN
PROSES SAINS
Muhammad Rafiq bin Razali
Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia
ABSTRAK
Pembelajaran Kemahiran Proses Sains merupakan antara kemahiran yang penting yang dikuasai
oleh pelajar bukan sahaja untuk pencapaian yang baik dalam mata pelajaran Sains malah ia juga
untuk melahirkan modal insan yang kompeten dan bertaraf global kepada negara. Pengajaran
Kemahiran Proses Sains yang efektif ialah dengan menggunakan kaedah berpusatkan pelajar.
Pelajar berperanan aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran manakala guru sebagai
pemudah cara membimbing pelajar mencapai objektif pembelajaran. Pendekatan berasaskan web
adalah pendekatan yang sesuai untuk mengajar Kemahiran Proses Sains. Di dalam pembelajaran
berasaskan web, pelajar banyak meneroka dan mencuba sendiri untuk menjana pengetahuan.
Jesteru, kertas konsep ini membincangkan dengan terperinci berkenaan konsep pembelajaran
berasaskan web, Kemahiran Proses Sains, kelebihan dan kekangan pembelajaran berasaskan web
dan cadangan penambahbaikan pembelajaran berasaskan web dalam mengajar Kemahiran Proses
Sains iaitu melalui penggunaan aplikasi Blendspace.
1.0 PENGENALAN
Pembelajaran di sekolah masa kini telah melangkah ke suatu zaman yang baharu.
Pengenalan kepada pembelajaran adab ke 21 yang menggariskan beberapa ciri tertentu seperti
literasi digital menuntut para guru dan pelajar untuk membudayakan penggunaan Teknologi
Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Takrifan
ICT sangat luas dan ia merangkumi perkara-perkara berkaitan peranti berkomputer, alat digital
dan rangkaian internet. Menurut Finn (1960); Galbraith (1967); Heinich, Molenda dan Russell
(1989); Seattler (1990) teknologi dapat ditakrifkan kepada dua. Pertama; teknologi dapat
menyelesaikan masalah kerana ia dilihat sebagai satu proses pendekatan atau teknik berkesan
dengan menggunakan ilmu pengetahuan saintifik atau cabang ilmu yang lain. Kedua; teknologi
juga ialah perkakasan dan perisian iaitu satu produk atau bahan yang terhasil daripada proses-
proses teknologi itu sendiri. Banyak kajian dilakukan untuk menguji keberkesanan teknologi
dalam PdP. PdP berbantukan teknologi lebih menarik minat murid untuk belajar dan sekaligus
lebih memahami isi pelajaran. Ini adalah bertepatan dengan kajian oleh Nor Hashim, Maznah
dan Azlinda (1996) mengatakan bahawa teknologi maklumat berasaskan komputer merupakan
bahan yang berpotensi dalam memudahkan kerja-kerja seharian malah ia juga dapat menjadi
bahan untuk menjayakan lagi persekitaran pengajaran dan pembelajaran. Guru juga lebih mudah
untuk merancang dan melaksanakan pengajaran menggunakan teknologi di mana guru hanya
perlu menayangkan maklumat berbentuk tulisan, gambar dan video berbanding pengajaran tanpa
teknologi. Internet telah memberi banyak kemudahan dan manfaat kepada manusia sejagat dalam
aspek pengumpulan maklumat, penyampaian maklumat dan turut memberi sumbangan besar
dalam proses PdP. Menurut Zaleha dan Rosnita (2010), guru dan pelajar lebih mudah untuk
mencari maklumat dan berinteraksi dalam PdP menggunakan pembelajaran berasaskan web.
Kemahiran Proses Sains merupakan kemahiran yang penting dalam mata pelajaran Sains.
Kebanyakan murid di sekolah rendah mempelajari Sains melalui penghafalan konsep dan fakta.
sains. Kemahiran Proses Sains merupakan salah satu kemahiran saintifik yang perlu dikuasai oleh murid sekolah rendah mahupun murid sekolah menengah. Menurut Abu Hassan (2004), dalam memastikan para pelajar
dapat mengkaji dan memahami alam, menyelesaikan permasalahan serta membuat keputusan secara sistematik selain dapat mewujudkan aktiviti penyiasatan Sains yang berkesan dan bermakna memerlukan penguasaan kemahiran saintifik. Kajian menunjukkan penguasaan konsep sains dalam kalangan pelajar
sangat lemah begitu juga penguasaan kemahiran saintifik dan mempunyai sikap saintifik pada
tahap yang rendah (Irfan dan Sajap, 2011). Menurut Johari (2004), terdapat beberapa faktor
yang membawa kepada masalah tersebut. Antaranya ialah kewujudan pelbagai kerangka
alternatif (miskonsepsi) dalam memahami konsep sains yang lazimnya bersifat abstrak dan
kompleks. Pelajar menghadapi masalah untuk menggambarkan dalam pemikiran mereka sesuatu
yang abstrak dalam pelajaran Sains dan penyelesaian kepada ini ialah guru perlu menunjukkan
sesuatu yang maujud kepada murid agar miskonsepsi tadi dapat diatasi. Kekangan kepada
penyediaan bahan-bahan maujud juga halangan besar kepada guru Sains dalam PdP. Tidak
semua bahan maujud dapat dibawa ke dalam kelas dan oleh sebab demikian ramai guru
menggunakan teknologi untuk menujukkan bahan-bahan yang maujud.
Menyedari akan permasalahan yang wujud dalam pengajaran Kemahiran Proses Sains
dan menyedari akan kebaikan pembelajaran berasaskan web dalam pengajaran hari ini, kertas
konsep ini penting dalam memperkukuhkan lagi kajian-kajian serupa selain dapat menjadi nilai
tambah kepada pengetahuan bahawa pengajaran Kemahiran Proses Sains mempunyai kesan yang
baik apabila diajar menggunakan aplikasi web. Kertas konsep ini bertujuan memberikan
gambaran tentang kelebihan dan kelemahan pembelajaran berasaskan web, kepentingan
kemahiran Proses Sains dan contoh aplikasi web yang boleh digunakan untuk mengajar
Kemahiran Proses Sains.
2.0 KEMAHIRAN PROSES SAINS
Kemahiran Proses Sains merupakan kemahiran yang perlu diterapkan oleh guru kepada
murid-murid sekolah rendah dan menengah dalam mata pelajaran Sains. Kemahiran ini mula
diperkenalkan pada tahun 1994 iaitu apabila Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR)
diperkenalkan. Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (1999) dan disokong oleh Rose
Amnah, Mohamad Sattar, Azlin & Zarina (2013), Kemahiran Proses Sains terbahagi kepada dua
iaitu Kemahiran Proses Sains Asas (KPSA) dan Kemahiran Proses Sains Bersepadu (KPSB).
KPSA terdiri daripada memerhati, mengelas, membuat inferens, meramal, mengukur
menggunakan nombor dan berkomunikasi. KPSB pula terdiri daripada menggunakan
perhubungan ruang dan masa, mentafsir data, mendefinisi secara operasi, mengawal
pembolehubah, membina hipotesis dan mengeksprimen. Menurut Pusat Pembangunan
Kurikulum (2003,p.vii) pengajaran dan penilaian KBSR bukan semata-mata menumpu kepada
aspek pengetahuan sahaja, malah ia juga mencapah dan merangkumi aspek pemupukan
Kemahiran Proses Sains, kemahiran manipulatif, sikap saintifik dan penyemaian nilai murni,
selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dalam “memperkembangkan
potensi setiap individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang
seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani”.
Penekanan kepada penguasaan Kemahiran Proses Sains di sekolah-sekolah
dipertingkatkan lagi dalam pelaksanaan kurikulum baru pada tahun 2011 iaitu Kurikulum
Standard Sekolah Rendah (KSSR). Satu perubahan besar dalam kurikulum Sains sekolah rendah
apabila Kemahiran Proses Sains dijadikan topik yang perlu diajar kepada murid bermula dari
tahun 3 hingga tahun 6. Ini berbeza dengan kurikulum KBSR di mana penerapan Kemahiran
Proses Sains dilakukan secara tidak langsung iaitu melalui eksperimen oleh murid atau juga
dikenali sebagai Penilaian Kerja Amali (PEKA). Menurut Bahagian Pembangunan Kurikulum
(2012a, p.3) Standard Kurikulum Sains sekolah rendah bertujuan untuk “menyemai minat murid
terhadap sains dan teknologi serta mengembangkan kreativiti murid melalui pengalaman dan
penyiasatan bagi menguasai ilmu sains, kemahiran serta sikap saintifik dan nilai murni” Dalam
Kurikulum Standard Sains sekolah rendah, Kemahiran Proses Sains telah mula diterapkan mulai
tahun 3 walaupun penerapan ini terhad kepada 6 kemahiran proses sahaja, yakni “memerhati,
mengelas, mengukur dan menggunakan nombor, membuat inferens, meramal dan
berkomunikasi” (BPK, 2012b, p.1).
Banyak kajian yang dilakukan oleh pengkaji berkenaan Kemahiran Proses Sains sejak
dahulu hingga kini. Antaranya ialah Abu Hassan & Rohana (2003) yang mengkaji tentang tahap
penguasaan Kemahiran Proses Sains dan hubungannya dengan pencapaian Kimia dalam
kalangan pelajar di daerah Johor Bahru. Kajian yang menggunakan instrumen Ujian Penguasaan
sebagai instrumen kajian mendapati tahap penguasaan Kemahiran Proses Sains, khususnya
kemahiran membuat inferens dan mengenalpasti pemboleh ubah, serta tahap penguasaan kimia
di kalangan pelajar adalah sederhana. Walau bagaimanapun, tahap penguasaan pelajar terhadap
kemahiran membuat hipotesis, mentafsir maklumat seterusnya membuat ramalan berasaskan
maklumat yang diperolehi adalah baik; manakala, pelajar menghadapi masalah untuk menguasai
kemahiran mengeksperimen. Kesimpulannya, terdapat korelasi positif yang rendah antara
Kemahiran Proses Sains pelajar dengan pencapaian mereka dalam kimia.
Kajian lain yang dilakukan oleh pengkaji berkenaan dengan Kemahiran Proses Sains
ialah yang dilakukan oleh Ong E.T & Bibi Hazliana Mohd Hassan (2013) yang berfokus kepada
peguasaan Kemahiran Proses Sains dalam kalangan murid sekolah rendah di Selangor
berdasarkan jantina, lokasi dan aras tahun. Dapatan kajian tersebut mendapati murid sekolah
rendah tahap dua gagal untuk mencapai tahap dua-pertiga atau 67% dalam KPSA secara
keseluruhan dan merentas kesemua kemahiran spesifik dalam KPSA. Dalam aspek jantina, tiada
perbezaan jantina dalam KPSA secara keseluruhan dan merentas kesemua kemahiran spesifik
dalam KPSA kecuali mengelas yang memihak kepada perempuan. Manakala dalam aspek lokasi
murid, murid bandar mencapai lebih tinggi dan signifikan berbanding dengan murid luar bandar
dalam KPSA secara keseluruhan dan merentas kesemua kemahiran spesifik dalam KPSA kecuali
mengukur; dan dalam aspek aras tahun murid tiada perbezaan yang signifikan dalam KPSA
secara keseluruhan dan merentas kesemua kemahiran spesifik dalam KPSA dalam kalangan
murid tahun 4, 5 dan 6 kecuali menginferens yang memihak kepada murid tahun 6.
Kajian seterusnya yang berkaitan dengan Kemahiran Proses Sains ialah kajian oleh Rian
Vebrianto dan Kamisah Osman pada tahun 2012 yang memberi fokus kepada peningkatan
Kemahiran Proses Sains dalam kalangan pelajar menggunakan kaedah pelbagai media. Dapatan
kajian memihak kepada kumpulan kuasi eksperimen yang menggunakan Teknologi Maklumat
dan Komunikasi (ICT) dalam mengajar Kemahiran Proses Sains berbanding kumpulan
konvensional. Kajian tersebut menyimpulkan bahawa pengajaran dan pembelajaran dengan
menggunakan Pelbagai Media Pengajaran (PMP) yang diintegrasikan dengan ICT dan alam
sekitar telah memberikan kesan positif terhadap perkembangan Kemahiran Proses Sains dalam
kalangan pelajar.
2.1 Kepentingan Kemahiran Proses Sains Kepada Pelajar
Kepentingan Kemahiran Proses Sains sangat penting kepada murid-murid di sekolah
dalam melengkapkan diri untuk cabaran masa hadapan. Menurut Kartini, Badariah dan Ahamad
Shabudin (2010) pengetahuan Kemahiran Proses Sains guru perlu dipertingkatkan dalam usaha
untuk membantu murid menyelesaikan masalah berkaitan kemahiran saintifik.
Penguasaan Kemahiran Proses Sains menurut Martin, R. E., Sexton, C., Franklin, T., dan
McElroy, D. (2001) ialah ‘belajar bagaimana untuk belajar’. Ini adalah kerana kanak-kanak
melalui Kemahiran Proses Sains belajar berfikir secara kritikal dan menggunakan maklumat
dengan kreatif. Malahan, mereka juga belajar memerhati, menyusun atur dan menganalisis fakta
atau konsep, memberi alasan terhadap sesuatu hasil pembelajaran, menilai dan mentafsir data,
melakar kesimpulan yang munasabah dan meramal apa yang akan terjadi apabila sesuatu perkara
diubah.
Gagne (1993) pula menyatakan Kemahiran Proses Sains ialah proses yang sistematik
dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Manakala Lee, A. T., Hairston, R. V., Thames, R.,
Lawrence, T., & Herron, D. S. (2002) menyatakan bahawa Kemahiran Proses Sains mampu
menjadikan sesuatu pembelajaran lebih bermakna kerana ia membantu pelajar
mempertingkatkan kemahiran berfikir aras tinggi.
3.0 PEMBELAJARAN BERASASKAN WEB
Teknologi adalah satu benda yang bukan asing lagi dalam masyarakat kini. Menurut
Mohd Arif dan Mohd Jasmy (2000), laman web ialah laman yang mengandungi maklumat sama
ada dalam bentuk grafik, teks, animasi atau video berdasarkan kreativiti pembangun laman web
tersebut. Maka pembelajaran berasaskan web dapat didefinisikan sebagai pembelajaran yang
mengintegrasikan grafik, teks, animasi dan video dalam pembelajaran. Menurut Menurut
Zuraini, Fatimah, Hasmawati dan Noresah (2006), ICT dalam pendidikan ialah medium digital
yang digunakan untuk menyalurkan maklumat dan berkomunikasi. Kepentingan pembelajaran
menggunakan ICT seperti penggunaan web ternyata memberi banyak kelebihan kepada negara,
masyarakat dan para pelajar dalam konteks penjanaan ilmu. Antara kelebihan pembelajaran
berasaskan web ialah ia dapat merapatkan jurang pemisahan masa dan jurang pemisahan secara
fizikal antara pelajar dan pengajar (Cheah, 2004). Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),
telah memperkenalkan banyak program pengintegrasian penggunaan ICT dalam pendidikan
antaranya program Schoolnet, EduWebTV, Score A dan FROG VLE. Selain daripada KPM,
badan-badan bebas dan organisasi-organisasi bukan kerajaan turut menyumbang dengan
memperkenalkan aplikasi-aplikasi pendidikan yang berasaskan web untuk membantu proses PdP
seperti blendspace dan Quizlet.Com. Berikut ialah contoh-contoh paparan antara muka aplikasi-
aplikasi tersebut:
Contoh Paparan Antara Muka Quizlet.com
Sumber: https://quizlet.com/
Contoh Paparan Antara Muka FROG VLE
Sumber: https://www.yes.my/v3/1bestarinet.do
Contoh Paparan Antara Muka Blendspace
4.0 KELEBIHAN PEMBELAJARAN BERASASKAN WEB
Hasil tinjauan literatur, iaitu daripada kajian-kajian yang lalu mendapati pembelajaran
berasaskan web memberikan kelebihan kepada guru dan pelajar.
4.1 Pembelajaran Berpusatkan Pelajar
PdP menggunakan web atau e-learning banyak memberi manfaat kepada para guru dan
pelajar. Menurut Zaleha dan Rosnita (2010), dalam kajian yang dilakukan menunjukkan
penggunaan web dalam pembelajaran memberi ruang dan pengalaman baru kepada guru dan
pelajar serta satu bentuk perubahan kepada persekitaran pembelajaran yang dahulunya
berpusatkan guru dan kini kepada berpusatkan pelajar. Perubahan ini terlaksana kerana
kewujudan pembelajaran yang lebih aktif dalam kalangan pelajar apabila menggunakan web
dalam PdP. Pelajar banyak bertindak dengan mencari maklumat di internet, menyelesaikan
masalah dalam bentuk maya dan berinteraksi secara maya. Pembelajaran berpusatkan pelajar
ternyata lebih banyak kelebihan berbanding pembelajaran berpusatkan guru di mana pelajar lebih
memahami sesuatu yang dilakukannya sendiri daripada melihat guru melakukannya. Menurut
Noor Hisham (2011) perbezaan pembelajaran berpusatkan guru dan berpusatkan pelajar ialah
pembelajaran berpusatkan guru, objektif pembelajaran, tugasan pembelajaran dan sumber
pembelajaran ditentukan oleh guru. Sebaliknya, pembelajaran berasaskan pelajar, pelajar
menentukan hala tuju pembelajarannya atau bersifat ‘autonomous’ dalam PdP. Pembelajaran
berasaskan web bertetapan dengan kaedah pembelajaran konstruktivisme di mana kaedah
pembelajaran ini menekankan tentang penglibatan aktif pelajar dalam PdP dan pembelajaran
adalah berpusatkan pelajar. Guru berperanan sebagai fasilitator manakala pelajar berperanan
aktif dan tidak sebagai pendengar dan penerima ilmu yang pasif (Jonnesen, 1999)
4.2 Memudahkan Perkongsian Ilmu dan Maklumat
Selain daripada itu, pembelajaran berasaskan web juga dapat menggalakkan perkongsian
ilmu dan maklumat dengan mudah. Menurut Razana dan Laili (2012), penyebaran maklumat
seperti nota-nota kuliah, atau maklumat yang berkaitan pembelajaran menjadi lebih mudah
melalui laman web yang boleh diakses oleh pelajar-pelajar lain. Menurut Rozana dan Laili lagi,
kelebihan pembelajaran berasaskan web ialah ia dapat memudahkan interaksi antara pelajar, guru
serta rakan sekelas sama ada dalam masa dan lokasi yang sama atau pun berbeza. Sekiranya
pelajar mempunyai masalah dengan kerja rumah atau tugasan yang diberikan oleh guru, mereka
boleh menghantar emel kepada guru atau menyatakan dalam kumpulan web atau forum yang
guru bina agar permasalahan tersebut dapat segera di selesaikan dan tidak perlu untuk menunggu
berjumpa dengan guru semata-mata. Kemudahan komunikasi secara sinkronus (sesi sembang
atau chat) dan asinkronus (menghantar mel elektronik) oleh pembelajaran berasaskan web
memudahkan pengguna berkomunikasi dan berinteraksi merentasi jarak dan masa. Kelebihan ini
memberi ruang kepada para pelajar untuk menggalakkan perkongsian ilmu dan maklumat
dengan cepat selain menggalakkan sikap kolaboratif dalam kalangan pelajar. Menurut Rahimi,
Zawawi dan Wan Nordin (2005) pengguna pembelajaran web tidak perlu membeli sesuatu
perisian untuk setiap unit komputer mereka sendiri apabila ia boleh dikongsi dalam rangkaian
internet. Pembelajaran menggunakan web akan memudahkan pelajar berkongsi fail dan perisian
tanpa perlu membelanjakan banyak kos.
4.3 Penghasilan Pelajar Yang Berfikiran Kreatif dan Kritis
Penggunaan web dalam pembelajaran dapat menghasilkan pelajar yang kreatif dan kritis
sebagai contoh penggabungjalinan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki oleh pelajar dengan
aplikasi dalam internet untuk menghasilkan artifak atau bahan multimedia yang berguna. Ini
disokong oleh Chang (2001) tahap pembelajaran pelajar dapat dipertingkatkan dan menghasilkan
pelajar yang berfikiran kreatif dan kritis melalui pembelajaran medium web. Rangkaian
maklumat yang luas membolehkan pelajar mencari dan mengakses maklumat dengan mudah
untuk melaksanakan sesuatu tugasan. Malahan, proses inkuiri atau ingin tahu semasa
menggunakan web akan menghasilkan penerekoan kepada bidang atau perkara baharu. Pelajar
akan cenderung untuk berfikir lebih kreatif apabila menggunakan web kerana keluasan
maklumatnya. Ini sekaligus membantu guru khususnya dalam proses pengajaran iaitu
membentuk pelajar yang berfikiran tinggi serta kompeten dan negara amnya dalam membentuk
tenaga pakar yang mampu menyumbang untuk pembangunan negara. Menurut Jonassen (1999)
pembelajaran menggunakan web menggalakkan pemikiran yang krtis dalam kalangan pelajar dan
melibatkan interaksi dan perbincangan kumpulan yang aktif dalam pemerolehan ilmu.
5.0 KEKANGAN PEMBELAJARAN BERASASKAN WEB
Walaupun begitu, melalui kajian-kajian yang lepas juga menunjukkan beberapa kekangan
yang perlu diatasi berkenaan pembelajaran berasaskan web agar objektif pembelajaran
menggunakan kaedah ini dapat dicapai.
5.1 Kekangan Prasarana dan Kemudahan Internet
Pembelajaran berasaskan web memerlukan prasarana dan kemudahan yang lengkap dan
baik supaya proses PdP yang dijalankan tidak terganggu dan mencapai objektif. Kebanyakan
guru tidak dapat melaksanakan pembelajaran berasaskan web ialah kerana kekurangan prasarana
seperti komputer dan LCD serta kemudahan capaian Internet yang lemah atau tidak dapat
dicapai. Capaian internet memainkan peranan yang penting dalam pelaksanaan pembelajaran
berasaskan web. Menurut Razana dan Laili (2012), antara masalah yang dihadapi dalam
pelaksanaan pembelajaran berasaskan web terutama kepada mereka yang tinggal di kawasan
pedalaman ialah peralatan komputer yang bersesuaian serta kekangan capaian internet di mana
akses kepada internet masih lagi terhad. Malahan, prasarana dan kemudahan tersebut juga
menjadi masalah kepada golongan yang kurang berkemampuan sekaligus menghalang
pembelajaran berasaskan web dijalankan.
5.2 Sikap Guru Terhadap Penggunaan Web dalam Pembelajaran
Di samping itu juga, kekangan utama dalam pelaksanaan pembelajaran berasaskan web
ialah kerana sikap guru itu sendiri. Tahap penerimaan terhadap penggunaan internet dalam
kalangan guru kini semakin hangat diperkatakan. Kebanyakan guru yang mempunyai
pengalaman mengajar lebih daripada 20 tahun lebih selesa menggunakan kaedah PdP tanpa
menggunakan internet. Terdapat juga situasi di mana guru kurang mahir menggunakan teknologi
sekaligus menyebabkan masa PdP yang dirancang tidak dapat ditepati. Guru banyak
menghabiskan masa untuk menyelesaikan masalah-masalah seperti video yang dihubungkan
dalam Powerpoint tidak dapat dimainkan dan sebagainya. Implikasi daripada ini juga
menyebabkan sikap guru menjadi negatif dalam pelaksanaan pembelajaran menggunakan web
lantas menyatakan kaedah ini menyusahkan dan tidak membantu mereka. Menurut Breiter
dan Light (2006), kekangan masa dihadapi oleh guru dalam menyediakan bahan pengajaran sebelum memulakan PdP kerana guru kurang berkemahiran dalam mengendalikan teknologi.
6.0 PENGINTEGRASIAN PEMBELAJARAN BERASASKAN WEB DENGAN PENGAJARAN KEMAHIRAN PROSES SAINS
Pengajaran Kemahiran Proses Sains kurang sesuai diajar dengan kaedah tradisional iaitu
berpusatkan guru di mana guru menyediakan semuanya seperti seolah-olah resepi. Menurut Abu
Hassan dan Hasmawati (2014), pelajar tidak berpeluang terlibat secara langsung dalam
penyiasatan kerana semua aktiviti sudah pun distrukturkan oleh guru. Pelajar hanya perlu
mencatat hasil akhir penyiasatan yang diperoleh di ruangan yang telah tersedia di dalam buku
amali dan tiada penekanan kepada Kemahiran Proses Sains (KPS) berlaku. Senario sebegini
menyebabkan matlamat kurikulum Sains di sekolah tidak tercapai. Oleh sebab itu, terdapat guru
yang inovatif dengan menggunakan ICT dan web dalam pengajaran Kemahiran Proses Sains.
Walau bagaimanapun, kekangan pembelajaran berasaskan web akan wujud dalam sudut
kesukaran guru untuk menyedia dan menggunakan aplikasi web dalam PdP. Jesteru,
permasalahan ini dapat diatasi dengan menyediakan alternatif aplikasi yang lebih mudah dan
tidak rumit digunakan oleh guru. Antara alternatif aplikasi yang boleh digunakan oleh guru ialah
penggunaan aplikasi dalam talian Blendspace.
6.1 Blendspace
Blendspace dibangunkan secara percuma di atas talian berperanan menjadi platform
pembelajaran alternatif dan sesuai dengan peredaran masa. Bertepatan dengan galakan
pembelajaran abad ke-21, Blendspace merupakan aplikasi berasaskan web yang membenarkan
pengguna memperkembangkan Sumber Pendidikan Terbuka atau ‘Open Educational Resouce’
(OER) di mana sumber-sumber pembelajaran dari Internet dengan mudah dapat diambil dan
dikongsikan kepada orang lain. Kemudahan Blendspace ialah pengguna hanya perlu memuat
naik (upload), menarik (dragging) dan meletakan (dropping) sumber digital yang diingini
daripada komputer peribadi atau daripada sumber-sumber web seperti Youtube, Drobox, Flickr
dan sebagainya ke dalam ruangan (grid) yang telah disediakan (Foong & Fei, 2014).
Contoh Rajah Antara Muka Aplikasi BlendspaceSumber: https://www. blendspace .com
6.2 Keberkesanan Penggunaan Blendspace dalam PdP
Pengajaran menggunakan bahan digital dan web sudah banyak terdedah kepada guru-
guru di seluruh dunia. Dengan wujudnya istilah seperti kelas maya, blending learning, e-learning
dan sebagainya membuktikan bahawa pengajaran berasaskan web bukan satu perkara yang
baharu. Walaubagaimanapun, lambakan pilihan pengajaran berasaskan web ini turut akan
menjadi beban kepada para guru sekiranya tidak dipilih dengan betul dan bijaksana. Menurut
Asmara, Harnani & Salman (2012), dalam pengajaran dan pembelajaran bahagian yang paling
sukar bagi para guru ialah merancang sesuatu pengajaran di mana mereka perlu
mempertimbangkan pengurusan masa di antara penyampaian secara lisan, pencarian maklumat
dalam Internet dan aktiviti-aktiviti yang lain dalam bilik darjah.
Pemilihan aplikasi berasaskan web yang releven dan betul adalah penting kerana menurut
Norazah Mohd Nordin & Hong N. C. (2009), PdP berasaskan web selain melibatkan penyertaan
aktif para pelajar dalam PdP, ia juga memudahkan para guru menguruskan bahan pengajaran dan
menghasilkan suasana pembelajaran yang lebih berkesan. Aplikasi berasaskan web seperti
Blendspace membolehkan guru-guru menguruskan sumber-sumber pengajaran dalam susunan
yang teratur dan pelajar-pelajar secara individu berpeluang memberi maklum balas terhadap
sumber-sumber yang dimuat naik oleh guru (Lales D., 2013). Menurut Lales D. lagi, Blendspace
menjadi ruang PdP di atas talian di mana guru bebas meletakkan pelbagai bahan pengajaran
dengan mudah dan mempersembahkannya di dalam satu platform sahaja.
Perbandingan Blendspace dengan aplikasi-aplikasi lain dalam aspek penyediaan bahan
PdP oleh guru adalah lebih baik kerana fitur-fitur yang tersedia dalam Blendspace lebih
memudahkan para guru. Blendspace membolehkan guru mengakses dengan mudah bahan-bahan
pengajaran guru-guru lain yang dimasukkan dalam internet. Malahan, guru juga lebih senang
menunjukkan video dan gambar kepada pelajar menggunakan Blendspace apabila hanya perlu
mencarinya di paparan Blendspace dan memilihnya tanpa perlu bersusah payah memuat
turunnya terlebih dahulu. Banyak kajian menunjukkan pengajaran Sains termasuklah Kemahiran
Proses Sains lebih berkesan dengan penggunaan media dan grafik berbanding pengajaran secara
lisan dan bertulis sahaja. Maka, cadangan penggunaan Blendspace sebagai pembelajaran
berasaskan web dalam mengajar Kemahiran Proses Sains adalah cadangan yang perlu
dipertimbangkan oleh para guru.
7.0 KESIMPULAN
Pembelajaran berasaskan web adalah alternatif terbaik dalam meningkatkan
keberkesanan pengajaran Kemahiran Proses Sains di sekolah. Pengajaran Kemahiran Proses
Sains lebih berkesan apabila murid dapat melihat grafik dan video berbanding penerangan lisan
semata-mata. Oleh sebab itu, pembelajaran berasaskan web sangat sesuai untuk digunakan oleh
guru dalam mengajar Kemahiran Proses Sains. Keupayaan guru untuk mengatasi kekangan-
kekangan dalam pembelajaran berasaskan web akan menjadikan pengajaran guru mencapai
objektif dan pelajar memahami isi pelajaran. Terdapat pelbagai pembelajaran berasaskan web
yang boleh digunakan oleh para guru dan antara aplikasi pembelajaran web yang mudah dan
tidak rumit untuk digunakan oleh guru ialah Blendspace. Kelebihan Blendspace ialah ia
memudahkan para guru untuk mengajar Kemahiran Proses Sains kerana guru dapat memasukkan
gambar, nota dan video berkaitan Kemahiran Proses Sains dengan lebih mudah tanpa perlu
memuat turunnya terlebih dahulu. Kajian pada masa hadapan boleh difokuskan kepada
keberkesanan aplikasi Blendspace dalam mengajar Kemahiran Proses Sains dalam aspek samada
pencapaian pelajar, sikap pelajar atau sikap guru itu sendiri.
RUJUKAN
Abu Hassan bin Kassim. 2004. “Perspektif Amali Sains: Kemahiran Saintifik”. Fakulti
Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia: Tidak diterbitkan.
Abu Hassan dan Hasmayati. 2014. Pelaksanaan Kurikulum Sains KBSM sekolah menengah di negeri Perak: Ke manakah arah tujunya?. http://www.ubd.edu.bn/Resources/docs/jaRE%20jOURNAL/2014/TK_Abu%20Hassan-Asmayati.pdf. (10 Mei 2015).
Asmara, Harnani dan Salman Firdaus. 2012. From e-Learning to M-Learning. In Ahmad Zamzuri (Ed.). Pembelajaran Berasaskan Web Isu dan Trend (pp. 149-160). Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK). 2012a. Kurikulum Standard Sekolah Rendah Dunia
Sains dan Teknologi Tahun 3. Putrajaya: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Breiter, A. dan Light, D., 2006. Data For School Improvement: Factors For Designing Effective Information Systems To Support Decision-Making In Schools. Educational Technology & Society, 9 (3), 206-217.
Chang, C. C. 2001. A Study On The Evaluation And Effectiveness Analysis Of Webbased Learning Portfolio (WBLP). http://web.stanford.edu/dept/SUSE/projects/ireport/articles/e-portfolio/a%20study%20on%20the%20effectiveness%20analysis%20of%20web-based%20learning%20portfolio.pdf. (16 Mei 2015).
Cheah K. G., 2004. Learning at a Distance: from Principles to Practice. Pulau Pinang:
Penerbitan Universiti Sains Malaysia.
Finn, J. D., 1960. Technology and The Instructional Process, Audiovisual Communication
Review. Vol. 8 (1), New York: Springer.
Fong S. F. dan Por F. P., 2014. Inspiring Educators as Contributors of Open Educational Resources (OER). http://hrmars.com/hrmars_papers/Inspiring_Educators_as_Contributors_of_Open_Educational_Resources_(OER).pdf. (18 Mei 2015)
Gagne, E. D., Yekovich, C. W. dan Yekovich, F. R. 1993. The cognitive psychology of school learning. New York: Harper Collins College Publishers.
Galbraith, J., 1967. The New Industrial State. Boston: Houghton Mifflin.
Heinich, R, Molenda, M. dan Russell, J.D., 1989. Instructional media and the new technologies
of instruction. 3rd ed.,. New York: Macmillan.
https://www.google.com/url?
sa=t&rct=j&q=&esrc=s&source=web&cd=2&cad=rja&uact=8&ved=0CCcQFjABahUK
EwjqnovV24fGAhXEq7wKHSZKAE0&url=http%3A%2F%2Fumexpert.um.edu.my
%2Fpapar_cv.php%3Fid
%3DAAAMJCAALAAC1MZAAG&ei=_oh5VeqnNMTX8gWmlIHoBA&usg=AFQjC
NEeGRpL-LRlccMQGTYR1jk8C91iFQ&sig2=sJ7keX3cmF5PH8aJgSWChQ. (20 Mei
2015)
Johari Surif. 2004. Pembinaan dan Keberkesanan Perisian Prototaip Berdasarkan Model
Generatif-Metakognitif Bagi Konsep Asas Jirim Dalam Fenomena Fizikal. Tesis Sarjana
UTM: Tidak diterbitkan.
Jonassen, H. D., 1999. Constructivist learning enviro·nment on the Web: Engaging students in
meaningful learning. Paper presented at Education Technology Conference and
Exhibition, 9-11 " February, SUNTEC City, Singapore.
Kartini Abdul Mutalib, Badariah Hashim dan Ahamad Shabudin Yahaya. 2010. Science Process
Skills Knowledge And Attitude Among Primary School Science Teachers In Daerah
Manjung Perak: A Pilot Study. http://ipgipoh.info/research/doc/5_Dr
%20Kartini_Badariah.pdf. (10 Mei 2015).
Lales D., 2013. Blendspace. https://newlearningtimes.com/cms/article/1194. (18 Mei 2015).
Lee, A. T., Hairston, R. V., Thames, R., Lawrence, T. dan Herron, D. S. 2002. Using a computer simulation to teach science process skills to college biology and elementary majors. Computer Simulations Bioscene, 28(4), 35-42. http://dx.doi.org/10.1081/SAC-120002714. (18 Mei 2015).
Martin, R. E., Sexton, C., Franklin, T., dan McElroy, D. 2001. Teaching science for all children. 3rd ed.,. Massechusetts: Allyn & Bacon.
Mohd Arif Ismail & Mohd Jasmy Abd Rahman. 2000. Pembinaan Laman Web Untuk
Pengajaran Fokus Terhadap Kursus GE2123 : Teknologi dan Inovasi Dalam
Pendidikan. Prosiding Seminar Pendidikan Kebangsaan 2000.
http://eprints.uthm.edu.my/2689/1/28._Pendidikan_Sains_dan_Teknologi_2009_3_.pdf.
(15 Mei 2015).
Noor Hisham. 2011. Pengajaran dan Pembelajaran; Penelitian Semula Konsep-Konsep Asas
Menurut Perspektif Gagasan Islamisasi Ilmu Moden.
http://umkeprints.umk.edu.my/111/1/P%26P%20Penelitian%20semula%20menurut
%20GIIM.pdf. (11 Jun 2015).
Nor Hashim Abu Samah, Maznah Yop dan Azlinda Alias. 1996. Komputer Dalam Pendidikan.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Norazah Mohd Nordin & Hong N. C., 2009. Pembangunan dan Penilaian Bahan Pengajaran dan Pembelajaran Berasaskan Web – Webquest bagi Mata Pelajaran ICT. http://www.ukm.my/jurfpend/journal/vol%2034%202009/pdf/BAB[07].pdf. (10 Mei 2015).
Ong E. T. dan Bibi Hazliana Mohd Hassan. 2013. Penguasaan Kemahiran Proses Sains dalam
Kalangan Murid Sekolah Rendah di Selangor Berdasarkan Jantina, Lokasi Sekolah dan
Aras Tahun. http://jpsmm.upsi.edu.my/images/Vol3No2Dec2013/artikel%206-%20eng
%20tek%20ong.pdf. (18 Mei 2015).
Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK). 2003. Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Huraian Sukatan Pelajaran Sains Tahun 6. Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Rahimi, Zawawi dan Wan Nordin. 2005. Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab Berasaskan Web. http://www.ipgkbl.edu.my/portal/penyelidikan/seminarpapers/2005/rahimiUM.pdf. (15 Mei 2015).
Razana Baharudin & Laili Farhana. 2012. Pembelajaran Berasaskan Web: Isu dan Trend. In Ahmad Zamzuri (Ed.). Pembelajaran Berasaskan Web Isu dan Trend (pp. 1-10). Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Rian Vebrianto dan Kamisah Osman. 2012. Keberkesanan Penggunaan Pelbagai Media
Pengajaran dalam Meningkatkan Kemahiran Proses Sains dalam Kalangan Pelajar.
http://www.ukm.my/jurfpend/J.pend%2037(1)%202012/PDF/JurnalPend37(1)Bab1.pdf.
(10 Mei 2015).
Rose Amnah, Mohamad Sattar, Azlin & Zarina (2013). Inculcation of Science Process Skills in a
Science Classroom.
Saettler, P., 1990. The Evolution Of American Educational Technology. Englewood, Colorado:
Libraries Unlimited.
Zaleha dan Rosnita. 2010. Pembangunan Bahan E-Pembelajaran Berasaskan Sistem
Pengurusan Kursus :Movement Of Substances Across The Plasma Membrane, Cell
Division And Nutrition. http://eprints.utm.my/11649/1/Pembangunan_Bahan_E.pdf. (1
Jun 2015).
Zuraini Zakaria., Fatimah H., Hasmawati H. dan Noresah M.S., 2006. Cabaran Pendidikan
Jarak Jauh: Kesedaran dan Pendedahan dalam Era Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (ICT).
http://eprints.usm.my/5590/1/Cabaran_Pendidikan_Secara_jarak_Jauh_Kesedaran_Dan_
Pendedahan_Dalam_Era_Teknologi_Maklumat_Dan_Komunikasi_%28ICT%29.pdf.
(19 Mei 2015)