Download - kerja kursus PAFA
1.0 PENGENALAN
Penilaian dalam Pendidikan Islam (PIM 3110) adalah salah satu kursus bagi guru pelatih
Pengajian Islam & Al-Quran semester 5. Hasil pembelajaran kursus ini ialah bagi
menganalisis konsep penilaian dalam Pendidikan Islam, membina item soalan dengan tepat
mengikut JSU dan melaksanakan proses penilaian dengan teratur. Selain itu, hasil
pembelajaran kursus ini juga adalah untuk mengaplikasi dan mentadbir penilaian PAFA
mengikut buku panduan PAFA. Bagi memenuhi objektif pembelajaran kursus ini, guru
pelatih 5PISMP Pengajian Islam & Al-Quran diberikan tugasan kerja kursus projek. Objektif
kerja kursus projek ini adalah untuk menghuraikan konsep dan pelaksanaan PAFA di
sekolah dengan mengenalpasti konsep, falsafah dan kepentingan penilaian PAFA,
mengenal pasti isu dalam penilaian PAFA dan membuat penilaian PAFA mengikut buku
panduan PAFA.
1
2.0 KONSEP PENGUJIAN, PENGUKURAN, PENILAIAN DAN PENTAKSIRAN PENDIDIKAN
ISLAM
Pengujian, pengukuran, penilaian dan pentaksiran merupakan konsep yang penting
diketahui dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Keempat-empat konsep ini walaupun
mempunyai tafsiran yang berbeza dari segi pengertian, tujuan dan ciri-ciri, tetapi saling
membantu untuk mencapai matlamat yang sama.
Pengujian
Menurut Ahmad Mohd Salleh (2008), pengujian merujuk satu teknik untuk mendapatkan
matlamat tentang perubahan tingkah laku seseorang individu. Ujian terdiri daripada satu set
soalan yang memerlukan maklum balas daripada murid untuk dinilai oleh guru terhadap
pencapaian mereka. Pengujian memerlukan murid menunjukkan secara eksplisit, seperti
perubahan tingkah laku murid berdasarkan perkara yang telah dipelajarinya. Oleh itu, dalam
proses pengujian, pemerhatian dan ujian formal biasanya digunakan sebagai alat
pengukuran.
Proses pengujian biasanya dimulakan dari peringkat persediaan soalan, kemudian
peringkat pelaksanaan dan diikuti dengan peringkat pemeriksaan. Dengan pengujian, guru
dapat mengesan sejauh mana murid dapat menguasai satu-satu kemahiran yang telah
dipelajari. Tujuan pengujian adalah untuk mengesan hasil pembelajaran yang dapat dicapai
oleh murid dan mengesan kemajuan yang telah diperoleh tentang pencapaian hasil-hasil
pembelajaran yang lain serta mengesan kesulitan-kesulitan yang dihadapi oleh murid-murid.
Proses pembelajaran murid tidak berakhir dengan menamatkan pelajaran oleh guru-
guru sahaja, malahan di akhir sesuatu ujian pihak guru seharusnya mengetahui sejauh
mana sesuatu pelajaran itu telah diresapi oleh pelajar-pelajar mereka. Justeru, penilaian
amat penting dalam konteks pembelajaran.
2
Pengukuran
Pengukuran ialah proses atau sistem yang digunakan untuk menentukan nilai kuantitatif
sesuatu benda, perkara atau keadaan. Nilai kuantitatif ini biasanya dinyatakan dalam
sesuatu unit angka yang tetap dengan menggunakan alat pengukuran yang berkaitan.
Dengan kata lain, pengukuran ialah tindakan atau proses untuk menentukan sejauh mana
sesuatu perkara itu wujud, khususnya apabila perkara itu dibandingkan dengan satu
standard.
Tujuan pengukuran dilihat dari segi pengajaran dan pentadbiran. Dari segi pengajaran,
Ee Ah Meng (1991) menyenaraikan fungsi-fungsi pengukuran seperti berikut :
1) Mengesan hasil-hasil pembelajaran yang diperoleh.
2) Mengesan jenis-jenis kemahiran yang diperoleh.
3) Mengesan kemajuan yang dicapai dalam aspek-aspek pembelajaran yang lain.
4) Mengesan jenis-jenis masalah pembelajaran yang dihadapi oleh murid.
Pengukuran sebagai disiplin boleh wujud dalam berbagai-bagai tahap dan peringkat.
Namun dalam bidang pendidikan, pengukuran biasanya dilaksanakan dalam dua tahap
sahaja. Tahap-tahap ini adalah seperti berikut (Sharifah Alwiah Alsagoff, 1986) :
1) Menempatkan pangkatan murid mengikut pencapaian mereka seperti memilih 10 orang
murid yang terbaik daripada satu darjah dalam mata pelajaran Pendidikan Islam. Untuk
ini, guru memerlukan alat pengukuran yang dapat membeza dan menempatkan
kedudukan murid dari segi kebolehan Pendidikan Islam. Untuk pengukuran di tahap ini,
guru tidak perlu mengetahui sebanyak mana pengetahuan Pendidikan Islam bagi setiap
10 orang murid terbaik itu atau perbezaan kebolehan Pendidikan Islam bagi 10 orang
murid yang terpilih berbanding dengan murid-murid lain. Skel yang digunakan ditahap ini
ialah skel urutan sahaja (skel ordinal).
2) Di tahap kedua, khususnya untuk kegunaan analisa perangkaan, pengukuran jenis ini
menggunakan skel selang. Guru harus menyediakan ujian yang memberi unit markah
yang sama besarnya (seperti 100% dan di tahap 1% adalah sama berat nilainya). Dari
maklumat seperti ini, kesemua murid bukan sahaja dapat diberi pangkatan, malahan
perbezaan antara murid dapat dikira.
3
Pengukuran tidak melibatkan proses menilai (seperti sesuatu itu dihargai, dianggap baik,
buruk, memadai dan sebagainya). Apabila guru mengukur kebolehan murid contohnya
dalam mata pelajaran Pendidikan Islam, yang dinyatakan ialah sebanyak mana atau
setinggi mana pengetahuan Pendidikan Islam yang telah dicapai oleh murid tersebut.
Kebolehan atau pengetahuan murid tidak dikaitkan dengan nilai baik, lemah dan
sebagainya. Pertimbangan tentang nilai seperti ini dibuat dalam proses penilaian.
Pengukuran membandingkan markah seseorang murid dengan satu skel atau dengan
satu standard. Dalam hampir semua pengukuran di bidang pendidikan atau psikologi, skel
atau standard yang digunakan ialah pencapaian murid lain. Dengan kata lain, pengukuran
dalam pendidikan adalah untuk membandingkan pencapaian semua murid atau tentang
perbezaan antara murid. Skel atau standard yang mutlak dan sentiasa tetap tidak dapat
digunakan kerana pengukuran dalam pendidikan membandingkan seseorang murid dengan
rakan sebayanya dan memberi interpretasi pencapaian murid tersebut berdasarkan
pencapaian semua rakan sebayanya.
Penilaian
Menurut Ahmad Mohd Salleh (2008), penilaian adalah sebahagian daripada proses
pengajaran dan pembelajaran. Penilaian, pengajaran dan pembelajaran mempunyai
hubungan yang saling bertindak balas antara satu sama lain bagi mencapai matlamat yang
dikenal pasti. Penilaian dalam pendidikan merupakan suatu proses atau suatu sistem yang
merangkumi aktiviti-aktiviti mengumpul maklumat tentang strategi dan aktiviti pengajaran
dan pembelajaran untuk membuat analisis dan keputusan dengan tujuan mengambil
tindakan yang sewajarnya, seperti merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang
selanjutnya dengan lebih berkesan.
Proses penilaian melibatkan tiga langkah utama, iaitu :
1) Mendapatkan maklumat melalui cara mengukur.
2) Menetapkan suatu kriteria bagi pengukuran
3) Membuat suatu pentaksiran (pertimbangan) tentang hasil pengukuran.
4
Prosedur penilaian mengandungi aspek-aspek pengujian, pengukuran, penganalisaan
dan penyimpulan. Prosedur penilaian ini secara ringkasnya boleh dilaksanakan dalam lima
peringkat iaitu peringkat persediaan ujian, peringkat pentadbiran ujian, peringkat
pemeriksaan dan pengukuran, peringkat analisis dan peringkat interpretasi dan tindakan.
Dalam usaha membuat penilaian yang wajar, guru akan mempertimbangkan maklumat
dari berbagai-bagai punca, seperti pengetahuannya sendiri tentang murid tersebut, latar
belakang dan pengalaman mereka, keadaan pembelajaran di rumah dan di sekolah, minat
dan perkara-perkara yang tidak diminati oleh murid. Kesemua ini akan dipertimbangkan
atau dinilai oleh guru dan akhirnya satu penilaian akan dikemukakan untuk membolehkan
tindakan wajar selanjutnya, sama ada memberi pengajaran tambahan, beralih ke
pengajaran lain, menukar kaedah pengajaran dan sebagainya.
Kepentingan Penilaian dalam Pendidikan Islam
Kepentingan penilaian dalam pendidikan islam ialah :
1. Diagnosis
Penilaian yang dijalankan oleh guru dalam bilik darjah akan dapat memberikan maklum
balas kepada guru tentang tahap penguasaan pelajar terhadap pengetahuan dan
kemahiran yang telah diajar. Selain itu, penilaian ini juga dapat memberi maklum balas
tentang masalah yang dihadapi pelajar dalam pembelajaran. Dengan itu, guru dapat
mengenal pasti kemajuan seseorang pelajar, sama ada pada tahap yang sangat
memuaskan, memuaskan, sederhana, lemah atau tidak ada sebarang kemajuan langsung.
Daripada penilaian yang dijalankan juga, guru dapat mengenal pasti pelajar yang
cepat/cergas, yang memerlukan aktiviti pengayaan dan pelajar yang lemah yang
memerlukan aktiviti pemulihan. Guru juga perlu membuat keputusan sama ada untuk
mengubah strategi pengajaran, supaya ia lebih bersesuaian dengan keperluan pelajar atau
mengulang pelajaran dengan menggunakan strategi yang sama dan sebagainya.
Penilaian yang dijalankan sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran akan
memperlihatkan kemajuan pelajar dalam jangka masa tertentu. Pengesanan kemajuan
pelajar secara berterusan ini akan memberi maklum balas kepada guru tentang masalah
yang dihadapi pelajar. Adakah pelajar mempunyai masalah dalam mempelajari dan
5
menguasai pengetahuan dan kemahiran yang telah diajar? Sekiranya pelajar menghadapi
masalah, guru akan menyelidik punca masalah tersebut. Maklumat berkenaan akan
digunakan guru untuk mengubah pendekatan pengajaran atau menyediakan latihan yang
khusus supaya masalah yang dihadapi pelajar dapat diatasi. Tanpa bantuan khas ini,
pelajar-pelajar akan terus menghadapi masalah dan akibatnya mereka akan terus
ketinggalan dalam pembelajaran.
2. Pencapaian
Penilaian yang dijalankan pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran dapat
memberikan maklumat tentang tahap penguasaan para pelajar terhadap pengetahuan,
kemahiran dan sikap yang ingin disampaikan guru. Selain itu, penilaian yang dijalankan
pada akhir tempoh pengajian; misalnya pada akhir Tahun 6 (UPSR), Tingkatan 3 (PMR)
dan Tingkatan 5 (SPM); adalah bertujuan untuk menentukan gred pencapaian para pelajar
secara keseluruhan. Penilaian pada peringkat ini lebih bercorak formal dengan tujuan
akhirnya untuk memberi sijil kepada pelajar.
Hasil penilaian ini akan menunjukkan pencapaian akademik pelajar mengikut gred yang
diberikan, seperti cemerlang, sederhana atau gagal. Pihak sekolah akan dapat menentukan
keupayaan keseluruhan seseorang pelajar berdasarkan pencapaian yang ditunjukkan
dalam peperiksaan yang diduduki untuk tindakan selanjutnya, seperti pemilihan dan
penempatan.
3. Pemilihan dan Penempatan
Penilaian adalah penting sebelum pengajaran dan pembelajaran bermula kerana guru
perlu meninjau sejauh manakah pelajar-pelajarnya menguasai pengetahuan dan kemahiran
asas kepada tajuk yang hendak diajar. Misalnya, seseorang guru Bahasa Melayu yang akan
mengajar pelajar bukan penutur asli bahasa Melayu, perlu mengetahui aspek pengetahuan
dan kemahiran manakah yang telah mereka kuasai, seperti tatabahasa, perbendaharaan
kata dan sebagainya. Maklumat ini penting untuk guru membuat keputusan dalam
menentukan peringkat yang bersesuaian untuk memulakan pengajaran.
6
Selain itu, guru juga dapat memilih pelajar untuk dikelompokkan dalam sesuatu
kumpulan berasaskan tahap penguasaan mereka. Sekiranya penguasaan mereka berbeza,
guru perlu menempatkan mereka mengikut tahap penguasaan masing-masing dan
seterusnya merancang dan melaksanakan pengajaran mengikut keperluan mereka yang
berbeza-beza itu. Dalam keadaan ini, tujuan penilaian ialah untuk memilih dan
menempatkan pelajar mengikut penguasaan pengetahuan dan kemahiran mereka.
Selain memulakan sesi pengajaran, tujuan penilaian juga ialah untuk memilih dan
menempatkan pelajar mengikut aliran tertentu. Misalnya, keputusan pelajar yang cemerlang
dalam mata pelajaran sains memungkinkan ditempatkan dalam aliran sains atau mengikut
kecenderungan seseorang murid berkenaan.
4. Bimbingan dan Kaunseling
Penilaian juga dapat digunakan untuk tujuan bimbingan dan kaunseling kepada pelajar
yang memerlukannya. Setiap pelajar sepatutnya mempunyai motivasi untuk belajar dan ia
mungkin bersifat intrinsik/dalaman, iaitu motivasi daripada dalam diri pelajar itu sendiri.
Contohnya, mereka yang belajar disebabkan ingin mengetahui sesuatu dengan
mendalam, akan memperoleh pencapaian yang baik dan seterusnya akan dapat
melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Selain motivasi yang bersifat intrinsik
ini, terdapat pula motivasi yang bersifat ekstrinsik/luaran, iaitu motivasi daripada luar, seperti
dorongan daripada ibu bapa/rakan sebaya atau nasihat daripada guru/guru besar.
Pentaksiran
Konsep pentaksiran ialah langkah untuk menentukan sejauh mana seseorang mempunyai
sifat tertentu yakni tahap keupayaan, status dan nilai. Proses menilai dilakukan secara
kuantitatif merangkumi skala ordinal dan skala slang. Pentaksiran dibuat bagi tujuan
menentukan kedudukan dan pencapaian murid-murid. Mengikut pakar dan penulis buku yang
terkenal dalam bidang berkenaan iaitu David Payne dalam bukunya Applied Educational
Assessment Edisi Kedua tahun 2003, pentaksiran ialah integrasi proses mengumpul
maklumat, menginterpretasi maklumat atau memberi nilai kepada maklumat itu dan membuat
keputusan berdasarkan interpretasi yang dibuat ke atas maklumat.
7
Dalam konteks sekarang, istilah pentaksiran mula digunakan dalam membuat penilaian.
Popham (2000) berpendapat istilah pengukuran, pengujian dan pentaksiran digunakan silih
berganti dan dianggap sebagai sinonim. Pentaksiran melibatkan proses membuat keputusan
berdasarkan suatu peraturan atau piawaian. Pentaksiran merupakan sebahagian daripada
proses pembelajaran. Dalam konteks pendidikan juga pentaksiran dianggap sebagai suatu
proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberikan
skor (markah) dan menterjemahkan maklumat tentang pembelajaran seseorang murid bagi
sesuatu tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2000). Hasil pentaksiran dinyatakan
dalam bentuk skor. Skor mestilah selari dan boleh dipercayai untuk memastikan keadilan
kepada murid serta mengekalkan kewibawaan institusi pentaksiran.
8
3.0 KONSEP, FALSAFAH DAN KEPENTINGAN PENILAIAN PAFA
Konsep
Penilaian yang dilaksanakan dengan sempurna oleh guru dapat membantu murid
mengatasi masalah pembelajaran yang telah dikenalpasti pada peringkat awal. PAFA
adalah satu bentuk penilaian amali yang dilaksanakan untuk melihat kefahaman dan
amalan fardhu ain. Sejauh mana pelaksanaan dan keberkesanan PAFA dalam membentuk
keperibadian muslim.
Fardhu ain bermaksud kewajipan yang dituntut oleh agama bagi orang perseorangan,
contohnya mengucap dua kalimah syahadah, sembahyang lima waktu, puasa, mengerjakan
haji dan sebagainya. Dalam konteks PAFA, beberapa perkara fardhu ain yang terkandung
dalam Sukatan Pelajaran Pendidikan Islam hendaklah dipastikan supaya tiap-tiap murid
atau pelajar benar-benar mengetahui, memahami dan boleh mengamalkannya dengan cara
yang betul dan sempurna sebagaimana yang ditetapkan oleh syarak. (Surat Pekeliling
Ikhtisas Bil. 4/1994, ruj : Kp5206/8/70 Jld. 13/(14) bertarikh 12 Mac 1994 bersamaan 29
Ramadhan 1414H).
Dalam aspek penilaian, murid dinilai dari segi kefahaman yang betul tentang perlakuan
serta pengamalan solat dan boleh mengamalkannya sekira-kira ‘sah’ pada tahap yang
paling asas dan minimum. PAFA dinilai dan dilaporkan dalam Ujian Penilaian Sekolah
Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), dan Peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM). PAFA mula dilaksanakan pada sesi 1994/1995.
PAFA adalah sebahagian kecil daripada isi kandungan mata pelajaran Pendidikan
Islam. Oleh itu, P&P PAFA adalah P&P Pendidikan Islam. Apa yang penting dalam PAFA
ialah memastikan tiap-tiap murid/pelajar tanpa sebarang keciciran mengetahui, memahami
dan boleh mengamalkan dengan betul, sah dan sempurna sebagaimana yang dikehendaki
atau dituntut oleh syarak. Oleh sebab PAFA adalah mata pelajaran Pendidikan Islam (bukan
satu mata pelajaran baharu di luar Pendidikan Islam), maka P&Pnya adalah sepanjang
masa. P&P Pendidikan Islam mulai Tahun 1 hingga Tahun 6 di peringkat sekolah rendah;
dan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di peringkat sekolah menengah.
9
Pelaksanaan PAFA di sekolah rendah dan menengah amat bertetapan dengan falsafah
Pendidikan Islam iaitu; Pendidikan Islam ialah satu usaha berterusan untuk menyampaikan
ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah bagi
membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah
yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan
negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.
Matlamat di dalam falsafah Pendidikan Islam adalah untuk membina keperibadian
seorang muslim dengan melaksana semua tuntutan agama Islam. Sebahagian tuntutan
tersebut terkandung di dalam perkara yang hendak dicapai sewaktu proses P&P PAFA iaitu
pelajar boleh mengucap dua kalimah syahadah dengan betul dan mengetahui serta
memahami ertinya, mengingat dan memahami rukun Islam dan rukun Iman, selain
mengetahui, memahami dan boleh mengamalkan bersuci daripada beristinjak
membersihkan tubuh badan, pakaian dan tempat daripada najis, berwuduk, mandi wajib
dan tayammum.
Di samping itu, perkara yang hendak dicapai oleh PAFA ialah pelajar boleh mendirikan
solat fardu dan yang berkaitan dengannya seperti azan, iqamah, menjawab azan dan
iqamah dan doanya serta mengetahui dan menghayati ibadat puasa, memahami hikmatnya
dan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Malah, PAFA juga adalah untuk
mengetahui dan menghayati akhlak yang mulia yang berasaskan “Ihsan” dan bertolak
daripada “Birrul Walidain” di samping memahami dan meyakini sistem kekeluargaan Islam
dalam pembentukan ummah yang kuat dan teguh.
Kepentingan
Di antara kepentingan pelaksanaan penilaian PAFA ini ialah mengenal pasti murid atau
pelajar yang lemah dalam kefahaman dan amalan Perkara Asas Fardu Ain, kemudian
membimbing sehingga mereka dengan sendirinya faham dan dapat mengamalkan dengan
betul dan sempurna. Pelbagai bentuk bimbingan yang boleh digunakan oleh guru bagi
membimbing pelajar antaranya ialah menggunakan kaedah dan teknik seperti penerangan,
bercerita, lakonan, simulasi, tunjuk cara, talaqqi musyafahah dan banyak lagi. Guru juga
10
boleh menggunakan kaedah dan teknik tersebut dengan bantuan alat bantu mengajar yang
sesuai dengan cara yang digunakan.
Selain itu, penilaian PAFA juga bertujuan untuk memastikan tidak terdapat keciciran
dalam PAFA, dalam erti kata lain, menentukan kejayaan 100 peratus. Seperti yang
diketahui, perkara asas fardu ain adalah sangat penting untuk difahami, dihayati seterusnya
diamalkan di dalam kehidupan seharian individu muslim bagi melahirkan ummah yang celik
agama. Sekiranya terdapat keciciran di dalam penilaian PAFA, ini akan mewujudkan dan
menyumbang kepada beberapa masalah ummat seperti masalah sosial yang sedang
berleluasa pada hari ini. Perkara ini akan menjadi penyakit yang serius dalam kalangan
masyarakat khususnya umat Islam sekiranya tiada tindakan yang sewajarnya dijalankan.
Seterusnya, PAFA juga mampu menimbulkan dan menyuburkan keinsafan dan kerelaan
yang positif untuk menghayati dalam amalan kehidupan seharian. Penilaian PAFA dapat
menyuburkan rasa keinsafan dalam diri individu melalui item-item yang diuji di dalamnya
kerana kesemua item tersebut merupakan perkara yang wajib diketahui dan diamalkan oleh
umat Islam. Oleh sebab itu, PAFA ini diwujudkan bagi membantu umat Islam khususnya
murid/pelajar sekolah dalam menguatkan lagi kepatuhan terhadap Allah SWT dengan
mengamalkan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Akhir sekali, kepentingan penilaian PAFA juga dapat dilihat melalui konteks merangsang
tanggungjawab guru dalam memastikan murid menguasai dan menghayati PAFA secara
berterusan. Sebagai guru Pendidikan Islam adalah menjadi satu kewajipan di dalam tugas
bagi memastikan setiap murid/pelajar mendapat bimbingan yang terbaik dalam penilaian
PAFA.
11
4.0 ISU-ISU PERMASALAHAN DALAM PELAKSANAAN PENILAIAN PAFA & CADANGAN
PENAMBAHBAIKAN
12
Isu permasalahan
Teori yang berkaitan
Cadangan penambahbaikan
Melalui proses pembacaan dan berdasarkan kepada pengalaman saya sendiri sebagai
murid yang dikehendaki menjalani ujian amali PAFA, saya mendapati terdapat beberapa isu
permasalahan yang sering berlaku sepanjang pelaksanaannya di sekolah rendah atau
menengah. Saya dapat rumuskan di sini bahawa isu permasalahan ini boleh dibahagikan
kepada dua faktor ; faktor yang pertama ialah faktor pentaksir PAFA iaitu guru dan yang
kedua faktor instrumen PAFA itu sendiri. Saya akan jelaskan satu persatu dengan terperinci
mengenai isu-isu permasalahan tersebut berdasarkan teori atau model pembelajaran dan
seterusnya membincangkan cadangan penambahbaikan bagi mengatasi masalah isu
tersebut.
i) Isu berkaitan dengan faktor pentaksir PAFA
Isu 1 ; Bebanan kerja yang ditanggung oleh guru mengakibatkan tekanan
Murid yang belum menyelesaikan ujian PAFA akan sentiasa diminta untuk menghadiri
masa pengujian di luar waktu pembelajaran sedangkan mereka juga terbeban dengan
aktiviti lain persekolahan termasuk menyiapkan tugasan bagi mata pelajaran lain. Hal ini
juga akan menimbukan masalah kepada guru kerana akibat daripada penangguhan
tersebut, guru akan terbeban dengan ujian PAFA dan kerja-kerja lain yang perlu
diselesaikan. Sebagai contoh, penangguhan ujian PAFA tahun 5 ke tahun 6 akan menjadi
beban kepada guru yang akan menyebabkan pengajaran guru Pendidikan Islam tahun 6
terganggu kerana terpaksa menguji kod ujian PAFA tahun 5 yang masih belum
diselesaikan. Sedangkan, terdapat juga kod ujian PAFA yang perlu dijalani oleh murid tahun
6. Kesannya, guru mungkin akan mendapat tekanan kerana terpaksa membuat kerja yang
banyak dalam satu masa sahaja.
Selain itu, penangguhan ujian PAFA tahun 5 ke tahun 6 turut menjadi beban kepada
murid-murid tersebut ketika mereka tahun 6. Bebanan ini terjadi kerana murid-murid tahun 6
akan berhadapan dengan dua peperiksaan besar iaitu peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah
Rendah (UPSR) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) bagi yang
bersekolah rendah agama di sebelah petang. Keadaan ini akan membuatkan tumpuan
13
terhadap UPSR dan UPSRA terganggu serta boleh mengakibatkan mereka akan
memperolehi keputusan yang rendah.
Teori yang boleh dikaitkan dengan isu permasalahan di atas ialah ;
Teori tekanan Hobb (1972)
“Teori ini menghuraikan hubungan antara prestasi guru dengan tuntutan yang dialaminya
(Dunham, 1992). Hobb (1972 ; dalam Dunham 1992) mengatakan bahawa kerja tanpa
sebarang tuntutan akan membawa kepada kebosanan. Justeru itu, tuntutan kerja yang
meningkat akan dikira sebagai merangsangkan dan ‘energising’. Namun begitu, jika
tuntutan ini melebihi keupayaan individu untuk bertindakbalas terhadapnya, ini akan
mewujudkan tahap kebimbangan yang tinggi, tahap ‘concentration’ yang lemah dan kurang
berkesan dalam kerjanya”.
Berdasarkan teori tekanan Hobb, tekanan yang dialami oleh guru akibat dari lambakan
kerja-kerja yang perlu diselesaikan akan menyebabkan prestasi kerja dan kualiti kerja guru
tersebut menurun dan kurang memberangsangkan. Setelah membuat kajian, saya dapat
mengaitkan isu permasalahan iaitu bebanan kerja yang ditanggung oleh guru dalam
melaksanakan ujian penilaian PAFA dengan teori tekanan Hobb di atas. Merujuk kepada
teori Hobb, jika guru terpaksa untuk melaksanakan beberapa tugasan yang melebihi
keupayaan mereka, hal ini akan menyebabkan kualiti kerja guru terjejas. Menurut Girdano
(1979), individu tidak mungkin dapat berfungsi dengan berkesan dan produktif jika ia dalam
keadaan tertekan. Perasaan tertekan menjadikan seseorang itu tidak rasional, cemas,
tegang, tidak dapat memusatkan perhatian kepada kerja dan gagal menikmati rasa gembira
atau puas hati terhadap kerja yang dilakukan. Hal-hal ini akan menghalang seseorang
mewujudkan sifat peribadi yang positif, apa lagi sifat toleransi dan kasih sayang.
Isu permasalahan mengenai bebanan kerja guru akan menyebabkan tekanan kepada
guru kerana guru terpaksa menggunakan masa lain untuk membuat ujian amali sekiranya
terdapat murid yang mengambil masa yang lama untuk menjalani sesi ujian amali.
Sedangkan masa lain yang digunakan untuk membuat ujian amali PAFA adalah masa untuk
guru menyelesaikan kerja-kerja lain. Seperti yang diketahui, sebagai seorang guru adalah
menjadi adat kebiasaan apabila seorang guru dikehendaki membuat kerja-kerja lain seperti
pendokumentasian, pengkeranian, kursus, kokurikulum dan lain-lain lagi. Hal ini akan
14
menyebabkan guru terpaksa menangguhkan kerja-kerja tersebut yang sepatutnya
diselesaikan pada masa itu kepada masa lain. Kesan daripada situasi tersebut akan
menyebabkan lambakan kerja guru dan guru terpaksa mencari masa lain untuk membuat
kerja-kerja tersebut.
Justeru itu, cadangan penambahbaikan bagi menyelesaikan isu berkenaan bebanan
kerja guru yang perlu ditanggung dan dalam masa yang sama menyebabkan berlakunya
tekanan dari segi mental dan emosi guru adalah berdasarkan prinsip modifikasi tingkah laku
yang diutarakan oleh Skinner iaitu pengukuhan. Menurut ahli behavioris, pengukuhan amat
berkesan untuk mengajar tingkah laku baru yang wajar serta mengubah tingkah laku
semasa yang kurang wajar. Pengukuhan menekankan kepentingan pengkukuh, sama ada
positif atau negatif yang digunakan untuk meningkatkan kebarangkalian berlakunya sesuatu
tingkah laku.
Dalam konteks bilik darjah, pengukuhan positif merupakan rangsangan yang diberikan
untuk mendorong murid-murid mengulangi tingkah laku yang diingini, misalnya : ganjaran
material, kata-kata pujian, keistimewaan, dan sebagainya. Manakala pengukuhan negatif
pula adalah rangsangan yang ditarik balik, misalnya : buku cerita, supaya murid-murid akan
menunjukkan tingkah laku yang diingini (misalnya : memberi perhatian dalam sesi
pengajaran). Di dalam isu permasalahan berkaitan dengan bebanan kerja guru akan
menyebabkan guru mengalami tekanan boleh diatasi dengan menggunakan teori tingkah
laku Skinner ini. Guru boleh menggunakan pendekatan pengukuhan negatif kepada murid
yang belum menyelesaikan mana-mana kod/tajuk ujian amali PAFA. Contohnya, guru boleh
membuat dendaan yang positif, misalnya : murid menulis tentang mana-mana kod/tajuk
yang belum diselesaikan di dalam buku secara berulang kali. Contoh, menulis rukun Islam
dan mengulanginya sebanyak 30 kali. Dengan cara ini, guru dapat mengurangkan tekanan
akibat lambakan kerja kerana tiada lagi murid yang akan keciciran dalam penilaian PAFA.
Selain itu, Jerrold S. Greenberg (1990), telah mencadangkan empat pendekatan dalam
menangani tekanan semasa bekerja. “Pertama, intervensi situasi-kehidupan, iaitu sekiranya
anda merasakan tidak menyukai bidang tugas yang diberikan, mungkin anda boleh
berunding untuk ditukar bidang tugas yang lebih bersesuaian. Ataupun mungkin anda
merasa terlalu terbeban dengan kerja yang banyak, mungkin boleh berusaha mendapatkan
pembantu atau pengagihan tugas dengan rakan lain. Walaubagaimanapun, ini bergantung
juga kepada nasib anda dan situasi di tempat kerja anda, adakah anda mempunyai peluang
15
berbuat begitu atau adakah pihak pengurusan akan melayan permintaan anda. Sekiranya
nasib tidak menyebelahi anda, apa yang boleh dilakukan adalah dengan cara mengawal
tekanan daripada menyebabkan anda ‘burnout’. Di antara perkara yang boleh dilakukan
ialah dengan cara mengelakkan daripada membawa pulang tugasan pejabat ke rumah,
mengambil waktu makan tengahari sepenuhnya dan tidak berbincang mengenai kerja ada
waktu makan, seterusnya membincangkan perasaan anda dengan seseorang yang berada
bersama anda ketika tekanan memuncak”.
ii) Isu berkaitan dengan instrumen penilaian PAFA
Isu 2 : Tiada bahan grafik/gambar di dalam buku panduan PAFA
Antara punca kegagalan penilaian PAFA di sesetengah sekolah adalah mungkin
disebabkan murid/pelajar cepat berasa bosan dengan kandungan yang ada di dalam buku
panduan PAFA. Seperti yang kita tahu, buku panduan PAFA hanya menyediakan kod/tajuk
dan perkara-perkara yang perlu diuji sahaja tanpa sebarang grafik atau gambar yang
menarik. Malah, kandungan dan reka bentuk di dalam buku panduan PAFA langsung tiada
perubahan sejak PAFA dikuatkuasakan di sekolah. Malah, hal ini juga menyebabkan
murid/pelajar tidak bersemangat untuk memahami, menhafaz dan menguasai setiap
kod/tajuk yang perlu diuji. Hal ini jelas menunjukkan bahawa sistem penilaian PAFA masih
lagi di takuk lama tanpa sebarang perubahan yang relevan dengan situasi alam
pembelajaran pada hari ini.
Teori yang boleh dikaitkan dengan isu permasalahan di atas ialah :
Teori Kecerdasan Pelbagai Gardner (1983)
Beliau mengemukakan lapan kecerdasan manusia yang dapat diperkembangkan
sepanjang hayat. Menurut Gardner, “manusia mempunyai kesemua lapan kecerdasan”.
Kurikulum tradisional di sekolah lebih menitikberatkan kecerdasan logikal/matematikal dan
linguistik/verbal. Oleh itu, Gardner mengutarakan satu kurikulum yang lebih seimbang dan
merangkumi bidang-bidang seperti kesenian, kesedaran kendiri, komunikasi dan pendidikan
jasmani. Sehubungan dengan itu, beliau telah mengingatkan para pendidik bahawa walau
16
apa jua sahaja kaedah mengajar yang digunakan, guru harus mengambilkira kecerdasan
pelbagai murid-murid yang mereka ajar.
Begitu juga dengan isu permasalahan mengenai murid/pelajar cepat berasa bosan
kerana tiada bahan grafik/gambar di dalam buku panduan PAFA. Isu ini lebih berfokuskan
kepada murid/pelajar yang lemah. Murid yang lemah pada kebiasaannya sukar untuk
mengingati atau menghafal sesuatu pembelajaran. Mereka lebih memerlukan bahan bantu
mengajar yang menarik. Di dalam penilaian PAFA pula, mereka mungkin memerlukan
bahan grafik/gambar yang menarik dan bersesuai dengan perkara yang ingin dihafal oleh
mereka. Sehubungan dengan itu, dengan penggunaan bahan grafik/gambar di dalam buku
panduan PAFA mungkin dapat meningkatkan prestasi murid/pelajar yang lemah dalam
menghafal.
Menurut An-Nashmy (1980), mencadangkan supaya guru memilih kaedah yang boleh
memberi kesan yang mendalam bukan sahaja kepada kefahaman pelajar yang diajar,
malah yang memberi kesan kepada jiwa dan menyentuh perasaan pelajar. Dengan cara ini
pelajar akan memberi tumpuan yang padu dan dapat mengingati pelajaran dengan lebih
cepat dan bertahan lama. Untuk mencapai hasrat ini guru haruslah pandai memilih
pendekatan yang sesuai dan teknik yang menarik dan ditambah pula dengan bahan bantu
mengajar yang canggih dan menarik.
Berdasarkan pendapat An-Nashmy, guru boleh mengatasi masalah murid/pelajar cepat
bosan dan mengambil masa yang lama untuk menghafal kod ujian PAFA yang disebabkan
tiada bahan grafik atau bergambar di dalam buku panduan PAFA dengan menggunakan
kaedah dan teknik pengajaran yang lebih menarik seperti teknik nyanyian. Selain itu, guru
juga boleh menyediakan seberapa bahan bantu mengajar yang menarik bagi membantu
murid/pelajar mencapai objektif yang terkandung di dalam penilaian PAFA. Contoh bahan
bantu mengajar yang boleh menarik perhatian pelajar ialah video atau bahan grafik yang
bersesuaian dengan kod/tajuk yang diuji.
Selain itu, menurut Narayanasamy (2000), dengan menggunakan pengurusan grafik,
pelajar bukan sahaja melihat proses kemahiran berfikir tersebut secara eksplisit dan konkrit
tetapi juga berfikir dan memproses secara aktif. Secara lazimnya, pengajaran dan
pembelajaran kemahiran berfikir menjadi lebih berkesan dengan menggunakan pengurusan
grafik. Pengurusan grafik adalah bentuk visual proses berfikir berkenaan. Pengurusan grafik
17
membolehkan pelajar melihat secara konkrit dan visual, proses berfikir yang terbentang
secara abstrak.
Berdasarkan pendapat Narayanasamy tersebut, jelaslah bahawa bahan grafik adalah
bahan bantu yang sangat penting bagi memastikan kelancaran proses pembelajaran
pelajar. Justeru itu, guru dicadangkan supaya menggunakan bahan-bahan grafik mahupun
animasi yang menarik minat pelajar dalam proses penilaian PAFA. Hal ini sekaligus dapat
mengatasi masalah murid/pelajar yang cepat bosan dengan proses pembelajaran yang
hanya menggunakan tulisan.
18
5.0 PENUTUP
Kesimpulannya, pengujian, pengukuran, penilaian dan pentaksiran merupakan
sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Keempat-empat konsep ini
walaupun mempunyai tafsiran yang berbeza dari segi pengertian, tujuan dan ciri-ciri, tetapi
saling membantu untuk mencapai matlamat yang sama.
PAFA pula merupakan mata pelajaran Pendidikan Islam yang bertujuan untuk
mempastikan setiap pelajar mengetahui, memahami dengan betul aspek-aspek Islam
seperti yang dituntut oleh syarak. Perkara yang diuji dalam PAFA ialah perkara yang
berkaitan dengan fardu ain yang mengandungi 16 tajuk berdasarkan kod 1-16. PAFA
dijalankan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah
(PMR) dan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
19
6.0 REFLEKSI
NAMA : NUR AMANINA BT MOHD NAZRI
NO KP : 910909-06-5192
Assalamualaikum wbt. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah dan
junjungan besar Nabi Muhammad SAW kerana pada hari ini saya masih diberi peluang dan
ruang untuk bersama sahabat-sahabat dalam satu penyatuan yang sama iaitu menuntut ilmu
dunia dan akhirat. Tanpa belas kasih sayang dan keizinan-Nya, sudah tentu saya tidak berjaya
menyempurnakan tugasan kerja kursus Penilaian dalam Pendidikan Islam (PIM 3110) ini.
Memang benarlah kata pepatah Melayu, “kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat
sagunya”. Begitu juga dengan saya, jika saya tidak mencanai usaha membentuk gagasan
kerjasama yang utuh, sudah tentu tugasan ini berlangsung ala kadar asalkan siap sahaja.
Istilah kerja kursus begitu sinonim sekali dengan kehidupan seorang pelajar. Saya selalu
mendengar keluhan rakan-rakan saya dek kerana timbunan kerja kursus. Kebanyakan pelajar
akan keluh-kesah tatkala berhadapan dengan tsunami tugasan di maktab ini. Namun, bagi saya
semua itu adalah perkara normal dan perkara wajar yang harus dilalui oleh seorang pelajar.
Apa gunanya belajar kalau tiada kesusahan, apa gunanya nak berjaya kalau tidak mahu
berkorban, dan apa maknanya jika kita nak berjaya, pemikiran negatif selalu sahaja bersarang
diminda? Dalam Islam sendiri ada menekankan bahawa kesenangan itu muncul setelah
kesusahan. Pengurusan masa seorang pelajar itu sangat penting bagi menyiapkan tugasan-
tugasan agar tiada tekanan negatif dan keluhan.
Bagaimana tugasan ini dihasilkan? Izinkan saya berkongsi pengalaman saya sebelum,
semasa dan selepas dalam penghasilan kerja kursus ini. Sebelum saya memulakan kerja
kursus ini, saya agak keliru dengan tugasan yang diberikan semasa taklimat kerja kursus
20
disampaikan. Namun, bagi mengatasi masalah tersebut, saya dan rakan-rakan bertanya
kepada pensyarah pembimbing tentang kehendak sebenar soalan semasa di kelas. Setelah
pensyarah pembimbing memberikan penjelasan dengan lebih terperinci, barulah saya faham
apa sebenarnya yang dikehendaki oleh pensyarah. Setelah memahami kehendak soalan, saya
dan rakan-rakan lain telah pergi ke perpustakaan untuk mencari bahan-bahan iaitu buku-buku
rujukan yang berkaitan dengan Penilaian dalam Pendidikan Islam. Namun, agak
mengecewakan saya dan rakan-rakan kerana buku-buku yang berkaitan dengan Penilaian
dalam Pendidikan Islam tidak banyak dan buku yang sedia ada merupakan buku-buku lama
dan sudah lama tidak diperbaharui. Jadi, saya dan rakan-rakan mengambil keputusan untuk
mencari sedikit maklumat di dalam internet dan mencari buku di dalam ‘google books’.
Semasa penghasilan kerja kursus ini, saya telah mengalami beberapa masalah.
Antaranya ialah kesukaran untuk mendapatkan maklumat yang tepat mengenai penilaian
PAFA. Saya telah mencari maklumat mengenai PAFA di dalam internet namun agak
mengecewakan kerana terlalu sedikit maklumat yang disediakan. Oleh sebab itu, saya telah
membuat perbincangan dengan rakan-rakan bagi menjana idea mengenai penilaian PAFA.
Semasa proses penghasilan persembahan elektronik, saya dikehendaki membuat kaji selidik
bagi mendapatkan isu permasalahan dalam penilaian PAFA dan seterusnya mencari teori atau
model pembelajaran yang sesuai dengan isu permasalahan yang dialami. Saya mengalami
masalah apabila saya sukar untuk mendapatkan teori yang sesuai dengan isu permasalahan
yang saya perolehi. Namun, bagi mengatasi masalah tersebut saya terus berusaha dengan
mencari di dalam semua buku rujukan yang saya ada dan juga mencari di dalam internet
sehingga saya menjumpai teori tersebut. Selepas itu, saya juga mengalami kesulitan apabila
saya tidak pasti bagaimana caranya untuk mengaitkan isu permasalahan dengan teori. Bagi
menyelesaikan masalah tersebut, saya telah meminta pendapat dan bantuan rakan-rakan lain.
Seterusnya, bagi tugasan membuat penilaian PAFA mengikut buku panduan PAFA pula, saya
telah membuat ujian PAFA ke atas 3 orang responden daripada IPGKSM. Melalui ujian
tersebut, saya dapat membuat kesimpulan bahawa mereka kurang diberi pendedahan tentang
penilaian PAFA semasa di sekolah menengah. Masalah lain yang saya hadapi semasa
menghasilkan kerja kursus ini ialah saya mengalami kesuntukan masa untuk menyiapkan kerja
kursus ini kerana terdapat dua lagi kerja kursus yang perlu dihantar pada minggu tersebut.
Namun, berkat keazaman dan kesungguhan saya bersengkang mata semata-mata untuk
21
menghasilkan kerja kursus yang terbaik, akhirnya kerja kursus ini dapat disiapkan mengikut
tempoh masa yang telah ditetapkan.
Sepanjang penghasilan kerja kursus ini, saya mendapati bahawa saya telah banyak
memperoleh input dan ilmu yang berguna mengenai subjek Penilaian dalam Pendidikan Islam
ini. Pengalaman sepanjang menyiapkan tugasan ini ialah saya dapat mempelajari ilmu baru
mengenai kursus penilaian dalam pendidikan Islam dengan lebih terperinci. Selain itu, saya
juga dapat mempraktikkan apa yang saya belajar sepanjang penghasilan kerja kursus ini
apabila saya ditempatkan di sekolah apabila tamat belajar.
Akhir sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima
kasih kepada pensyarah pembimbing saya, En. Ahmad Shidki bin Mat Yussof yang telah
banyak memberi bimbingan, tunjuk ajar dan motivasi kepada saya dan rakan-rakan. Tidak sah
rasanya jikalau saya tidak mengucapkan sekalung apresiasi terima kasih kepada rakan-rakan
yang telah banyak berkongsi maklumat kepada saya sepanjang penghasilan kerja kursus ini.
Jasa mereka akan saya kenang sampai bila-bila dan hanya Allah SWT sahaja yang dapat
membalasnya. Sekian, terima kasih.
22