Download - Karya Cerpen Hadiah Sastera Perdana
SENARAI PEMENANG HADIAH SASTERA PERDANA MALAYSIA 2012
Kategori B: Eceran (Cerpen)
1. 20 Cerita Tentang Tuhan (S.M. Zakir) - Dewan Sastera
2. Pertemuan dengan Kitul (Saifullizan Yahaya) - Mingguan Malaysia
3. Hanya Tertulis dalam Hati (Maskiah Masrom) - Berita Minggu
4. Seorang Lelaki di Tebing Sebatang Sungai (Faridah Abd. Hamid) - Mingguan Malaysia
5. Protes Kari, Kepoh Ferrari ( Fudzail) - Mingguan Malaysia
6. Anatomi Sekeping Hati (Rebecca Ilham) - Mingguan Malaysia
7. Dendam Apai (Zainol Idris) - Dewan Sastera
8. Alkisah Tuan dan Saksi (Zainal Rashid Ahmad) - Mingguan Malaysia
9. Sebuah Surau, Sebuah Rumah di Tepi Kondominium (Osman Ayob) - Dewan Sastera
10. Bentuk dan Makna (Rebecca Ilham) - Berita Minggu
Kategori B: Eceran (Cerpen)
Anatomi Sekeping Hati – Rebecca Ilham (Mingguan Malaysia)
Cerpen ini mengisahkan seorang doktor, Adrian, yang menghadapi ujian getir apabila isterinya,
Najwa, disahkan mengidap penyakit sirosis hati. Walaupun sebagai doktor yang
bertanggungjawab merawati pesakit, apabila isterinya sendirinya sendiri yang sakit, dia tidak
mampu berbuat apa-apa. Ketika menunggu berita samada pembedahan isterinya akan berjaya,
keimanan Adrian teruji. Dia teringat akan cerita The Myth of Sisyphus, watak Greek yang
disumpah untuk membuat kerja sia-sia menolak sebongkah batu besar ke puncak bukit yang
akan bergolek ke bawah. Cerita ini ibarat sia-sianya kehidupan manusia. Walaupun nyawa
Najwa yang mungkin singkat akibat penyakitnya, namun wanita itu percaya kehidupan tidak sia-
sia, bahawa manusia “tidak disumpah untuk hidup kesengsaraan begitu.” Di akhir cerita, Adrian
memohon ampun Ilahi kerana mencurigai ketentuanNya.
Kekuatan cerpen ini terletak di atas penceritaan selingan retrospektif diri yang menunjukkan
konflik protagonis dan bagaimana ianya diselesaikan. Cerita padat ini, yang ditunjukkan dalam
satu latar, memberi gambaran kemas mengenai kedua-dua watak dan persoalan utama yang
diutarakan merupakan isu yang lazim dialami, namun kaedah garapan cerpenis ini segar dan
menarik.
Ketika genta kecil di atas puncak wijil kafe bergemerincing, kuakan wijil membawa sebatang
susuk lampai-sasa memasuki ruang. Dedar yang bertahun-tahun merajai rongga dada
semacam terhenti sesaat. Najwa berpaling dari mesin espreso yang sedang dikerjakan. Kampit
biji kopi, adunan rahsia resipi khas tuan punya kafe yang baru dituang separuh isinya dilipat,
disepit kemas, diketepikan. Dia melempar senyum kepada pelanggan baru di sebalik kaunter
yang masih mendongak membaca menu di papan hitam tanpa mempedulikan sisa titis hujan di
hujung rambut yang perlahan-lahan membentuk tompok-tompok gelap di bahu kemeja.
Najwa tidak menunggu. Dia mencapai cawan putih lalu ditadah ke bawah mesin espreso. Pati
biji kopi mendap di dasar cawan segera dicampur air panas. Najwa menyisip piring, lantas
menyua cawan ke birai kaunter. Pelanggan baru tergamam. Anak mata mereka berlaga. Hijau-
biru, dingin-dalam anak mata lelaki itu. Tidak ubah seperti bayangan-bayangan yang pernah
bertandang. Najwa mengorak senyum, memecah tangkupan kolam jiwa.
�Ayuh, nanti sejuk. Jangan lupa, minum tanpa gula."
Pelanggan baru bagaikan terpantak daripada anganan panjang. Mata yang tadinya terpersil,
tertancap penuh pada barista. Najwa senyum lagi, menggesa tanpa suara. Dia tahu, dia tahu
semua kegusaran itu. Dia telah lama menunggu, beberapa bulan setia di balik kaunter di kafe
kecil, dengan dedar yang tidak pernah meninggalkan dada. Matanya tidak melepaskan
tampang pelanggan baru, lelaki lampai yang pernah hadir dalam bayangan cuma.
Lelaki itu memilih meja bulat di penjuru kafe, paling dekat dengan rak buku. Lokasi itu
kegemaran Najwa jua. Kebanggaannya, malahan. Semenjak bekerja di kafe kecil itu, dengan
sukarela dia mengambil tugas sebagai kurator tidak rasmi. Meski seleksi bahan bacaan sengaja
tidak diperbanyak, dia cuba mempelbagaikan. Buku-buku peribadinya, dan - dedar nan reda
kembali menggoncang rongga dada.
Mata Najwa mengekori jari jemari lelaki pelanggan baru mengait kuras sebuah buku tipis. Buku
itu ditemuinya di pasar buku hujung minggu lalu. Buku itu bukanlah genre kelazimannya, namun
entah mengapa, entah apa yang mendorongnya membeli, membawa pulang sebelum
menyisipnya ke rak di penjuru kafe. Najwa menghela nafas, cuba mengawal namun jantung
bergoncang terlalu hebat. Darah dari jaringan pembuluh tidak sempat tiba di dada, lantas
mengirim longlai ke seluruh tubuh. Najwa terduduk. Dia mengerling jam besar di dinding kafe.
Masih berbaki dua jam sebelum dos ubat seterusnya.
Najwa mengemam bibir. Dia bertahan. Dia mesti bertahan.
Adrian menuang kopi panas ke dalam gelas kertas. Dia mencapai paket gula di sudut kabinet,
hampir mengoyaknya namun sempat menukar fikiran. Kopi panas diteguk tanpa perisa
tambahan. Terlalu cair, pahit dan masam. Dia memaksa diri menghabiskan tetapi belum sampai
tegukan terakhir, pengumuman genting bergema melalui sistem siaraya jabatan kardiologi.
Kod biru.
Adrian tidak jadi melangsaikan tegukan kopi pahit-masam. Dia menarik kerusi, lantas
menghenyak duduk. Kedua belah tangan mencepung gelas kertas direhatkan di birai meja yang
mendominasi sebahagian pantri khusus untuk kegunaan para petugas jabatan pembedahan
jantung itu. Gelas kertas yang terlalu ringan itu digulir-gulir dalam pegangan.
Kod biru.
Baru tak berapa jam lalu alat keluinya digegarkan kod biru juga. Satu-satunya pesakit di bawah
pengawasannya masih di unit rawatan rapi meski sudah seminggu menjalani pembedahan
sukar. Pesakit itu, jejaka cilik empat tahun usia yang keletah dan petah asal sahaja nafasnya
tidak lekas mengah, tenat sepanjang malam. Adrian ripuh; berjaga, berjaga-jaga - menstabilkan
keributan degupan jantung yang baru ditampal tiga lubang seni di ventrikel kiri, juga
menenangkan ibu dan bapa, pasangan muda yang dahulunya teruja menyambut kelahiran anak
pertama, kini lebih letih daripada sedih.
Adrian berhenti menggulir gelas kertas. Sisa kopi hitam ditenung, bagai menagih sesuatu
daripada permukaan kopi sejuk yang memantulkan semula wajahnya itu. Dia telah muak-jelak
mengingati semula kegetiran di unit rawatan rapi. Tidak cukup dengan analisis senyap di dalam
benak peribadi, dia telah mengulang semuanya di hadapan ketua jabatan, bersaksikan dua
jururawat dan doktor bertugas yang turut membantu.
Bukan sekali Adrian menegaskan bahawa dia telah melakukan segala yang terdaya, namun
jantung kecil jejaka cilik empat tahun itu kekal lesu dan tidak mahu berdegup jua. Dia masih
belum mahu kalah. Namun jururawat separuh usia, bertahun-tahun menggeluti pelbagai episod
di unit rawatan rapi pembedahan jantung itu menggeleng lembut tatkala dia mengarahkan agar
defibrilator dicas dengan kadar lebih tinggi.
Adrian menghabiskan kopi sejuk. Tidak berkurang pahit dan asidnya. Gelas kertas dicampak ke
arah bakul sampah di sisi kabinet. Gelas kosong berlaga dengan birai, lalu melantun. Masuk,
Adrian mengharap sungguh-sungguh. Namun gelas kosong tergelatak di lantai, sebagaimana
kecundangnya dia menyingkirkan bungkam ketua jabatan yang tersirat makna itu.
Adrian merenung kedua belah tangan, sepuluh jemari yang ditekap di atas permukaan datar
meja. Dia tidak tahu apa yang berlaku. Sepasang tangan itu, sepuluh jari yang gelincah digelar
tangan emas oleh warga jabatan sepanjang-panjang dia menjawat kedudukan tetap di situ.
Namun entah mengapa, sejak dua bulan ini, tidak seorang pun pesakit didiscaj keluar
melainkan melalui pintu ruang sejuk kamar mayat.
Adrian sungguh-sungguh buntu. Setiap penjuru, garis dan urat jari diteliti.
Ke mana pergi sentuhan Midas itu?
Ketika lelaki itu melangkah masuk ke ruang kafe buat kali kedua, Najwa sudah tahu.
Bagaimana - dia sendiri tidak tahu. Tetapi sejak lama dulu, dia belajar untuk tidak terlalu
mempersoalkan hal-hal yang dia sendiri tidak fahami.
Sekali lagi, lelaki itu gamam di hadapan kaunter. Kali ini Najwa lebih bersedia. Dia mengusulkan
secangkir kopi hitam, masih berasap tipis, dengan pesanan sama, agar dinikmati tanpa gula. Di
atas dulang itu juga semangkuk sup jernih. Hirisan kentang tanpa disish kulit, batang saderi,
ricihan bawang, butir-butir lada hitam dan paha ayam putih terapung-tenggelam, menyelerakan.
Lelaki pengunjung itu seperti hendak membuka mulut, barangkali ingin membantah. Ya, dia
tidak memesan semua itu. Malah hidangan tambahan itu tidak ditawarkan dalam menu lazim
kafe sekali pun. Namun Najwa melenyapkan bantahan yang belum terlantun dengan sekuntum
senyum cuma. Dia sudah menjangka. Bukan, dia pernah mengalaminya, di ruang masa dan
dimensi lain yang semena-mena mengirim getar dejavu ke tangkai jiwa.
Najwa melepaskannya cermat menatang dulang ke meja bulat di penjuru kafe. Lelaki itu
mencapai buku yang ditinggalkan pada hujung kunjungan pertama, menyelak ke halaman
ditanda lalu tenggelam di dalamnya.
Najwa menghela nafas, ngilu di ulu hati mencucuk. Dalam lagi tajam. Dia menggengam birai
kaunter. Ekor matanya menjeling tampang Adrian dari balik mesin espreso. Memang dia tidak
tahu, tetapi dia tidak mahu terlalu mempersoalkan. Setiap bayangan yang hadir, pada daerah
asing antara jaga dan mimpi seusai bacaan al-Fatihah, surah-surah tiga Qul, Ayat Kursi,
Bismillah 21 kali, doa tidur dan syahadah itu tentunya punya maksud tersendiri. Meski tidak,
atau juga belum, menjawab setiap doanya pada sujud setiap rakaat istikharah. Paling kurang,
bayangan dan gerak hati telah membawanya ke sini, ke kafe kecil di sebuah kota besar, beribu
batu jarak daripada tanah kelahirannya.
Siapalah dia untuk meragui segala aturan Allah Yang Maha Tahu?
Trem datang. Trem pergi. Khalayak turun. Khalayak naik. Khalayak datang. Khalayak bubar.
Beberapa kali. Berulang-ulang.
Adrian pegun di sisi teduhan tempat menunggu. Hujan rintik-rintik tetapi dia sengaja tidak mahu
mengambil ruang di bawah teduhan. Entah berapa lama dia di situ. Seingatnya ketika dia
melangkah rusuh daripada bangunan hospital tadi, langit belum berawan. Matahari terik,
menggigit dan angin kering tidak kunjung hadir. Sekujur tubuhnya berkeringat namun dia tidak
sanggup berlama-lama didakap hawa sederhana di tempat bertugas itu. Haba yang mengalir
dari dalam pascapertemuan empat mata dengan ketua jabatan itu perlu diredakan, jika pun
tidak mampu dipadamkan.
Maka dia berjalan tanpa arah khusus, bermula dari daerah kecil, medical precinct, menuju ke
selatan. Ke pusat bandar. Biar dia bergaul dengan khalayak. Biar terpencar marahnya. Biar
lega sakit hatinya. Adrian memejam mata. Telinga menangkap geselan rel dengan roda besi
trem. Titis-titis hujan serasa menghunjam pelupuk mata. Suhu tubuhnya sudah turun. Namun
pedih di dalam dadanya tidak juga berkurang.
Tergamak ketua jabatan mencadangkan agar dia melepaskan tanggungjawab seketika. Pergi
bercuti, doktor, dia dipujuk. Seminggu, dua minggu atau tiga minggu jika doktor mahu. Balik
nanti, kita bincang tentang masa depan doktor di sini. Apabila dia enggan, ketua jabatan
berubah tona suara. Barulah Adrian tahu bahawa surat arahan sebetulnya sudah
ditandatangani. Bujukan itu hanyalah sandiwara.
Adrian membuka mata. Dia melepaskan sandaran pada tiang teduhan. Apa jaminan rekod
buruknya akan pulih dengan berehat seketika? Dia sudah lelah mempertahankan diri.
Periksalah rekod setiap pesakitnya, soal-siasatlah staf lain yang bersama-sama pada masa dan
tempat setiap kecelakaan. Dia tidak pernah culas, apatah lagi cuai.
Adrian meneguk liur. Bukan mudah untuk dia menelan semua ini. Setangkas mana pun
tangannya, secekap mana pun analisanya, dia tetap bukan tuhan.
Najwa memanjang leher dari balik kaunter. Tangan ligat menuang susu segar ke dalam jag
keluli lalu disuguh wap panas. Matanya kemas di muka wijil, sambil benak berputar mencongak-
congak. Memang dia lewat hari ini. Sepatutnya dia masuk awal pagi, tetapi dada bergoncang
hebat ketika dia tersedar sebelum fajar; dedarnya merebak sehingga pijar, pedih seluruh.
Justeru, tatkala dia terduduk pada qiyam rakaat kedua solat tadi pagi dia tahu, dia terpaksa
menghadap pakar pemegang portfolio rawatan di hospital terlebih dahulu.
Dia juga tahu dia mesti berkeras tidak mahu dimasukkan ke wad, dan diletakkan di bawah
pemerhatian sepanjang minggu. Dia mesti meyakinkan doktor yang sudah lali dengan
kedegilannya bahawa pil-pil putih yang selama ini mengepung kesakitan itu mencukupi. Paling
tidak sehingga dia sendiri dengan rela hati mendaftar masuk ke wad kardiologi hujung minggu
nanti.
Susu menggelegak. Habanya menjalar ke jag keluli, lantas menyelar jari-jemari. Najwa terburu
mengalihkan. Jag keluli separa dicampak ke sisi mesin espreso. Terlambat. Jari jemari sudah
merah, bisanya menggigit kulit dan daging. Najwa menggigit bibir, menyeranah diri kerana
terlalu leka. Tombol pili dipulas. Jari jemari yang pijar-pedih dibiarkan disalut aliran air.
Najwa mengerling lagi ke arah wijil. Terkatup. Rapat.
Hatinya kuat mengatakan lelaki itu, pelanggan yang ditunggu-tunggu akan berkunjung hari ini,
sebagaimana dia mengerapi kafe ini hampir setiap hari sejak dua minggu lalu. Pada setiap
kunjungan itu juga, Najwa telah bersedia dengan hidangan di luar menu, dipelbagaikan
mengikut gerak hati jua. Lelaki itu tidak pernah menolak. Bersama secawan kopi hitam tanpa
gula, dia akan menghirup sup, bubur atau apa sahaja yang disuguhkan di meja kebiasaan
sambil sebelah tangan menguak buku tipis yang dibuka semenjak kunjungan pertama, tetapi
tidak juga tamat-tamat dibaca itu.
Najwa tidak pernah bertanya. Dia juga tidak terpanggil untuk memulakan perbualan pertama.
Cukuplah tampang lelaki itu tidak lekang daripada ekor matanya beberapa jam dalam
seminggu. Itu sudah seperti antidot untuk jantung abnormalnya.
�Mari saya tengok tangan tu."
Najwa menoleh ke hadapan kaunter. Pengunjung yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Najwa ingin
melempar senyum, namun kerutan terlebih dahulu muncul menatari dahi.
�Tangan awak lecur agaknya. Saya doktor, beri saya tengok."
Lelaki itu terlebih dahulu menghulur tangan. Najwa patuh tanpa mempersoalkan. Buat pertama
kali, dia melihat ada segarit kejernihan di wajah itu. Jantung berdetak lebih kuat, bagai
mempersetujui. Najwa merasakan peluh sejuk merenik di dahinya. Kepala ringan tiba-tiba.
Belum sempat jari-jemari merah-pedih dibelek-ditelek, dia sudah rebah dulu.
Adrian menarik kerusi dekat ke sisi katil besi. Dia duduk, berserenjang dengan Najwa. Mereka
bertatapan beberapa lama, namun masing-masing berlawan tidak membuka mulut. Libang-libu
koridor wad kardiologi sesekali menerobos ke dalam kamar kapasiti seorang pesakit itu,
memenuhi sepi antara doktor-pesakit.
�Awak terlambat. Sepatutnya awak datang beberapa bulan lalu, ketika saya belum pernah
meragui keupayaan sendiri. Pada masa itu, awak tak perlu meminta. Malah sayalah yang
terlebih dahulu akan berbalah, berebut dengan doktor yang merawat awak selama ini itu."
Adrian beralah akhirnya.
Najwa tidak menyahut. Anak matanya menyeluruhi air muka lelaki yang selama ini dicam di
balik tabir kaunter kafe dan mesin espreso cuma. Lebam di bawah matanya pekat benar,
manakala rambut-rambut halus telah menatari sekitar dagu. Najwa tahu, lelaki itu sudah terlalu
bersusah-payah kerananya. Dalam lenanya panjang semenjak rebah di kafe, biar dalam
kekaburan, mampir bayangan Adrian merawati, dengan cemas, cekap dan sabar sehingga dia
stabil sepenuhnya. Oleh itu dia juga tahu, bahawa secara teknikal lelaki ini lebih daripada
mampu. Sementara secara yang lain-lain, ah -
�Tapi jika pertemuan kita beberapa bulan lalu, saya akan menjadi sebahagian daripada statistik,
kasualti dalam rekod tugasan awak."
Najwa menjuring senyum. Mengusik sebetulnya. Adrian teragak-agak memahami, namun
tertawa kecil apabila menangkap maksud tersembunyi.
�Awak terlalu optimis."
�Saya tidak pernah meragui kuasa doa dan mimpi. Ia telah melorongkan saya ke sini, kepada
awak."
Adrian mengangkat kening. Sejuta satu persoalan berkerdipan daripada sinar anak matanya.
Najwa tersenyum lebih lebar. Manis dan misteri sekaligus. Ketika itu, Adrian beralah lagi. Dia
memutuskan untuk belajar dan cuba mengerti. Barangkali, dengan menjahit hati perempuan ini,
akan mencantum semula hatinya jua.
Bentuk dan Makna - Rebecca Ilham nama pena bagi Hazwani Rameli.
Walaupun ini berbentuk cerpen tetapi sebenarnya adalah esei yang mengolah tentang persoalan bentuk
dan makna, dua isu yang sering diperkatakan dalam bidang sejarah seni bina. Amira berpendapat
bahawa masjid Nur Iman yang hendak dibina itu mestilah menghormati tradisi binaan setempat. Jangan
tiru tradisi orang lain: Turki suka menara kurus panjang; Parsi suka gerbang yang ada muqarnas; Arab
suka kubah besar. Sebaliknya, seni bina Melayu mementingkan serambi, pemeleh, tiang seri, bumbung
panjang, tebar layar. Pohon-pohon dan kolam hiasan menyediakan suasana yang nyaman, amat sesuai
bila beribadah. Walaupun pengarang berlapik dalam menyatakan pandangan yang berlainan yang
diwakili oleh Tengku Adli, namun penegasan nya ialah bahawa makna yang padu ialah mengenal diri,
mengenal tradisi membantu manusia mengenal Tuhan.
TENGKU Adli menyelit ke dalam dewan. Ruang bermuatan 200 tempat duduk itu hampir penuh. Mata
berkelintar mencari kerusi kosong antara lajur-lajur dihuni pelajar, ahli fakulti dan khalayak awam. Amira
mengetuk mikrofon di rostrum sekali, lalu mendehem kecil. Tengku Adli sempat menghenyak duduk di
tengah lajur kedua dari belakang. Dia terlepas hampir suku, mujur sekadar ucapan aluan dan
pengenalan, maka enggan kempunan lagi. Amira meneruskan pembentangan.
“Ada tiga ciri unggul seni bina Islam seharusnya menjadi falsafah setiap arkitek Muslim dalam
melaksanakan tuntutan fardu kifayah ini. Pertama,” jari ibu dilentur ke belakang, “sesuatu seni bina Islam
itu hendaklah setia atau setepatnya menghormati identiti seni bina setempat. Secara ringkas, ini bererti
menara kurus panjang ala Uthmaniyyah, gerbang agam persis seni bina Parsi, dewan solat nan luas
gaya Arab dan kubah besar sentuhan seni bina Mesir tidak mempunyai tempat di Malaysia.” Jeda
seketika. Tengku Adli sedar Amira memberi ruang untuk khalayak menghadam butir bicara. Retina
bekerja dalam pegun, menyeluruhi sesusuk gadis Melayu berkurung lengkap dan bertudung bawal dilipat
segi tiga di penjuru podium. Posturnya tegak, sementara bahasa tubuhnya membiaskan aura keyakinan
luar biasa. “Saya ulangi, semua pengaruh seni bina asing ini dan banyak lagi, tidak sewajarnya diangkat
dalam mana juga reka bentuk masjid di Malaysia. Selaku sebuah entiti di Kepulauan Nusantara, kita tidak
miskin dengan warisan seni bina yang tersendiri. Serambi, pemeleh, tiang seri, bumbung panjang, limas
potong Belanda dan tebar layar misalnya, adalah antara ciri seni bina Melayu Nusantara yang
seharusnya diraikan, bukannya disisihkan untuk memberi laluan kepada seni bina asing yang tidak
menggambarkan pun identiti kita.”
Dewan kuliah hingar. Tengku Adli mengisar duduk. Dia sebenarnya kurang senang dengan bisikan tidak
berbutir itu. Argh, tidak bolehkah disimpan komentar sehingga sesi soal jawab?
Tengku Adli tunduk membelek brosur di tangan. Kertas sekeping dilipat tiga itu sempat dicapai di meja
pendaftaran di luar wijil dewan kuliah yang sudah tidak berorang. Retina memetia atur cara di halaman
paling akhir. Selaku pemenang Anugerah Emas Seni Bina Negara, Amira diperuntukkan slot khusus
untuk mengongsi proses kreatif dan inspirasi di sebalik lakaran pelan Masjid Nur Iman.
Masjid Nur Iman.
Nama itu bergetar di hujung lidah Tengku Adli. Sepanjang hujung minggu yang dihabiskan di desa
kelahiran, telinganya pijar menadah leteran bonda, juga meladeni pelbagai pertanyaan jawatankuasa
pengelola pembinaan masjid baru di tanah wakaf gemulah nenda. Inti patinya tunggal cuma – bila hendak
dimulakan kerja pembinaan berdasarkan pelan Masjid Nur Iman yang sudah dihebohkan menang hadiah
itu?
“Bertenang.”
Amira menggumam. Tengku Adli mengangkat muka. Dewan kuliah sunyi kembali.
“Tuan-tuan dan puan-puan pastinya mempersoalkan tentang duduk letak identiti kita sebagai penganut
agama Islam. Apa gilakah arkitek sesat ini, membelakangkan agama dan lebih mengagungkan budaya?”
Majoriti khalayak mengangguk-angguk. Tengku Adli merasa pijar muka sebaik kalimah ‘arkitek sesat’
ditafsir koklea. Dia mengemam bibir.
Arkitek sesat!
Tengku Adli hampir merampas bentangan pelan bangunan, tetapi Amira lebih tangkas. Pelan bangunan
itu berkeronyok apakala dipeluk erat. Mata putih Tengku Adli merah saga, tetapi pedih ditikam tenungan
seorang arkitek muda.
Kamar perbincangan berdinding kaca lut cahaya sepi seketika. Tengku Adli merapatkan kedua-dua belah
tangan ke ribaan. Jari-jemari digenggam, dipatah-patahkan sebelum direhatkan di atas paha. Lengan
kemeja berjalur disingsing sehingga ke siku. Amira kejap memeluk tubuh setelah menggulung pelan
terancam serta menjauhkannya daripada jangkauan Tengku Adli. Jam besar di dinding pastel berdetik tik,
tik, tik, tatkala tiga jarum mempamerkan waktu yang telah melepasi rutin operasi firma.
Tengku Adli sedar, Amira telah banyak berkorban. Gadis itu bukan saja memenuhi permintaannya untuk
berjanji temu selepas waktu pejabat kerana dia sendiri dibebat tugas di jabatan pembedahan sebuah
hospital universiti, malahan pelan bangunan yang menjadi tema perjumpaan juga dilangsaikan pada
waktu lapang peribadi. Malahan, dia pasti, kerja sampingan itu diterima Amira atas dasar ‘kawan-kawan’
juga sementelah mereka berasal dari desa yang sama. Justeru sebagai pelanggan tidak rasmi,
sewajarnya dia tidak terlalu meminta-minta. Namun itu tidak bermakna arkitek muda itu sewenangnya
dibenarkan bereksperimentasi.
Masjid Nur Iman.
Semenjak hayat gemulah masih bersisa, bukan sekali nama itu bermain di bibir tua nenda. Sebidang
tanah pusaka turun-temurun keluarga bahkan diwakafkan sejak lama, dengan pesanan tanpa putus agar
dibina sebuah rumah ibadat untuk manfaat seisi desa selepas pemergiannya ke alam abadi.
Nenda tidak pernah meninggalkan sebarang perincian khusus mengenai reka bentuk Masjid Nur Iman
impiannya. Gemulah nenda perawakannya sangat sederhana, namun Tengku Adli berpendapat masjid
itu kelak seharusnya mengabadikan reputasi nenda sebagai individu terhormat, sekali gus menjadi
kebanggaan kariyah penduduk di desa kelahiran. Oleh sebab itu, dia telah menghadap Amira, teman
sepermainan kini seorang arkitek memegang gelar profesional Ar di pangkal nama untuk merealisasikan
aspirasi nenda dan visi seorang cucunda.
Tengku Adli membayangkan Amira akan mencadangkan sebuah struktur agam, suatu gabungan nafas
seni bina Timur Tengah yang bakal mengangkat kegemilangan empayar Islam pada zaman silam. Dia
juga berangan-angan untuk mengganti gelaran Masjid Nur Iman diberikan nendanya kepada nama datuk
sebelah bapa itu.
Amira bukannya tidak maklum tentang semua itu. Tetapi entah mengapa, gadis itu telah membentangkan
konsep seni bina yang langsung berselisih dengan visi visualnya. Tengku Adli mengawal nafas.
Orang kampung tak faham pun tentang ekspresionisme moden yang engkau anuti itu, Mimi. Berikan
mereka sebuah masjid tipikal, dengan kubah, menara dan dewan solat. Titik.
Walaupun rekaannya menyalin seratus-peratus seni bina asing mengikut aliran arkitektur
pascamodernisme?
Tengku Adli mengepal penumbuk. Dia ingin mengatakan sesuatu, tetapi tidak mempercayai emosi. Amira
menggeleng-geleng. Kerusi pusing ditolak menjauhi meja. Dia bangun mengutip serakan kertas dan fail
di atas meja persidangan.
Jangan memandang rendah kariah di desa kelahiran kita itu, kawan. Benar kita berpendidikan tinggi dan
bekerja serta bermastautin di kota pula. Namun, kadang-kala kita terlalu taksub dengan dunia materi,
sehingga dikaburkan pesona bentuk yang sifar pengertian makna.
Tengku Adli menjegil. Perkara pertama yang tampak di mata manusia adalah bentuk, Mimi, bukannya
makna.
Amira sudah menggenggam pemegang pintu. Gulungan pelan Masjid Nur Iman yang ditolak Tengku Adli
dikepit antara lengan dan siku.
Tetapi perkara pertama yang ditimbang Tuhan adalah makna, Ed.
Pembesar suara berderik. Suara halus Amira terlantun beberapa takah lebih nyaring dan tinggi. Tengku
Adli terpantak, kembali ke dalam ruang dewan. Dia menujah bingkai kaca mata ke atas tulang hidung.
Pandangan ditala kejap ke pentas, ke rostrum tempat seorang arkitek muda berdiri menegakkan,
mempertahankan rekaan dan pendirian.
“Hadirin dan hadirat sekalian. Ajaran Islam bebas doktrin etnokrasi. Sungguhpun mula-mula diturunkan
al-Quran dan hadis, tidak pernah dinyatakan larangan asimilasi setempat yang tidak berselisih dengan
hukum syarak. Dalam bidang seni bina, dengan izin, saya ingin menyebut tentang Masjid Kampung Laut
yang kini dipulihara di Nilam Puri, Kelantan.
Masjid ini antara masjid terawal di Malaysia dan ia berbentuk piramid berlapis tiga sebagai bumbung dan
tapak segi empat sebagai asas binaan. Masjid yang dibina daripada kayu-kayan tempatan sepenuhnya
tanpa sepasak paku pun ini tidak pula mempunyai kubah atau menara. Ia juga bebas sebarang dekorasi
ala Hikayat Seribu Satu Malam yang sering dikelirukan sebagai satu-satunya imej Islam. Tetapi adakah
sesiapa di antara kita yang berani menyelar kesahihan Masjid Kampung Laut sebagai antara ikon rumah
ibadat umat Islam, bukan saja di negara ini secara khusus, tetapi juga di seluruh Kepulauan Nusantara?”
Amira berhenti lagi. Dia menyedut air putih yang disediakan urus setia di penjuru rostrum. Tengku Adli
melihat gadis itu dahaga sekali. Barangkali persekitaran dewan yang kering oleh hawa pendingin elektrik
menebarkan dehidrasi.
Setiap bangunan di Malaysia tidak memerlukan pendingin hawa pada suhu tetap dua puluh darjah
Celcius!
Tengku Adli terlontar ke laman Masjid Negara pada suatu tengah hari tatkala matahari terik di pundak
ubun-ubun kepala.
Tapi Malaysia panas!
Amira ketika itu tersenyum sangat manis sedang dia sudah basah ketiak dan tergesa ingin bersegera
kembali ke kereta. Cuma Amira belum mahu berganjak.
Maka atas sebab itulah hadirnya kreativiti, Ed. Serambi atau anjung sebagai ruang terbuka di hadapan
balai rumah atau bangunan dicipta untuk memanipulasi iklim Khatulistiwa. Sisir angin yang terdiri
daripada susunan mencerun bilah-bilah kayu kecil diletakkan di pundak tingkap dan jendela pula
memastikan pengudaraan dalaman berjalan lancar tidak kira siang atau malam tanpa sebarang bantuan
alat mekanikal yang memerlukan tenaga elektrik. Di samping rekaan struktur, seni reka landskap turut
dititikberatkan.
Amira berpusing ke kiri dan kanan dalam separuh bulatan. Tengku Adli menyeranahi diri kerana tidak
berkeras. Argh, dengan Amira dia sering lemas dan lemah!
Pohon-pohon dan kolam hiasan yang menjadi tunjang utama laman ini estetiknya bukan sekadar bentuk.
Sebaliknya, kedua-duanya bersifat pelbagai fungsi. Pohon-pohon menyediakan nuansa yang teduh dan
redup untuk keselesaan pengunjung masjid, manakala air yang memenuhi kolam memantul haba kembali
ke atmosfera. Kesannya, persekitaran masjid menjadi nyaman, sekali gus menyenangkan.
Tengku Adli tersandar, memicit ruang antara dua kening. Di pentas, Amira petah meneruskan
pembentangan. Namun di matanya hanya ulas bibir kecil Amira yang terbuka katup sedangkan
pendengarannya semacam tuli tiba-tiba.
Mengapa engkau sebegini keras hati, Adli?
Polos pertanyaan gadis itu di hujung talian lewat panggilan memastikan bahawa dia benar-benar tidak
berminat dengan lakaran mahupun konsep reka bentuk Masjid Nur Iman lebih semusim nan lalu
menerobos dewan, lantas bertenggek di cupingan.
Ya, mengapa?
Mengapa dia dan Amira, dua anak desa yang besar dalam persekitaran serupa dan mempunyai jalur
pendidikan yang lebih kurang sama, menjadi dua manusia yang sebegini berbeza? Bagaimana Amira, si
gadis kampung yang cemerlang pengajian di luar negara itu mampu ampuh mempertahankan jati diri
dalam sosok peribadi, juga lapangan kerjaya?
Tengku Adli menghela nafas, panjang dan dalam lantas menghembus sekali gus. Gemersik suara Amira
dari masa lalu memalu-malu gegendangnya.
Ed, sungguhpun engkau doktor dan di tanganmu hanya nyawa seorang pesakit menjadi tanggungan
setiap kali, engkau tetap seorang manusia, seorang insan. Engkau punya asal usul, engkau harus kenal
dirimu, tahu dari mana engkau datang dan ke mana engkau akan pergi. Seterusnya barulah engkau tahu
apa tujuan engkau dijadikan, diberikan nyawa untuk bernafas di dunia yang sementara ini.
Tengku Adli terlalu ingat, dia membungkam saja ketika itu. Dia boleh memutuskan talian jika mahu,
namun entah mengapa, cecehan lirih Amira seakan lagu. Ketika itu.
Jikalau kita kenal makna diri, kita tidak akan berlaku zalim terhadap diri kita. Keadilan yang aku
maksudkan di sini termasuklah meletakkan identiti dan jati diri kita di tempat yang sewajarnya. Kita tidak
akan sewenang-wenangnya mengambil unsur asing biar sebagai mana mempesonakan bentuknya
sekalipun, sedang warisan sendiri dipinggirkan. Itu - “…tak sedar diri namanya.”
Tawa terkawal meletus daripada segenap ruang dewan, kecuali di tempat duduk tengah, lajur kedua dari
belakang. Tengku Adli merasakan tangkai jantungnya disentap kuat. Dia meraup muka yang ketara
pijarnya.
Di atas pentas, di balik rostrum, Amira sudah menamatkan pembentangan. Tetapi di cupingan Tengku
Adli, masih atas kesimpulan yang tertangguh; oleh masa, oleh ketibaan makna.
Hanya apabila mengenal diri, Tengku Adli, barulah kita akan mengenal Tuhan Yang Abadi.
Seorang Lelaki di Tebing Sebatang Sungai - Faridah Abd. Hamid
Cerpen ini berkisar mengenai sebuah daerah di tebing sebatang sungai yang luas di mana sesi
kehakiman dikelolakan oleh sekumpulan nujum yang mendakwa lelaki bernama Fahmi yang jatuh cinta
dengan Raja Maimunah, isteri lelaki lain, Raja Iskandar. Ada desas desus mengatakan Fahmi dan Raja
Maimunah keturunan Frank Swettenham. Kumpulan ahli nujum cuba mencari persamaan kisah cinta
Fahmi-Raja Maimunah dan cerita-cerita cinta sebelum ini. Fahmi memberi alasan bahawa “cinta itu tidak
mempunyai sempadan” manakala ahli nujum cuba mencari penyelesaian kepada masalah cinta Fahmi.
Kerana tidak mempunyai ilmu mendalam, maka kes Fahmi dibiarkan, dan seorang lelaki lain pula diadili
oleh kumpulan nujum tersebut. Cerpen ini bersifat ambivalen, di mana agama Islam dan amalan khurafat
digandingkan bersama, menunjukkan tipisnya keagamaan manusia “ketika kiamat diramal semakin
hampir.”
Struktur cerpen yang terbahagi kepada lima sidang memperincikan kepercayaan tahyul. Dialog di antara
para nujum dan Fahmi memaparkan dua jenis ideologi – satu yang bersandarkan pemahaman rasional,
dan satu lagi bersandarkan pemahaman khurafat. Strategi penulis dalam bentuk sidang kehakiman
menyerlahkan naratif yang bersaingan merupakan salah satu ciri yang membuat cerpen ini menarik.
SEBELUM mengandaikan sebuah daerah di tebing sebatang sungai yang luas - bertemu arus ini, akan
hilang dari peta dunia, para nujum yang bersidang ketika kiamat diramal semakin hampir, berhujah
dengan segala kepandaian bahawa terdapat keturunan Frank Sweetenham di tebing sungai itu.
Tidak sukar diramal nama daerah ini kerana tamadun awal peradaban manusia Kepulauan Melayu,
seperti juga Kepulauan Borneo beranak-pinak di tebing sungai - pinggir pantai. Begitu juga dengan tarikh
kedatangan Frank Sweetenham. Tidak juga menjadi rahsia sebuah kerajaan kerana manusia akan
terdorong berfikir dan mencari jalan penyelesaian walaupun tentang sebiji buah epal atau buah rambutan.
Dan para nujum akan sentiasa mempunyai pekerjaan membaiki hubungan suami dan isteri.
Kata nujum, (dahulu), "suami adalah khalifah, pelindung. Isteri pendamping setia dalam suka dan duka
suami."
Lalu kedengaran keluhan suami dan resah isteri.
Kata nujum, "sabar! Bawa berbincang."
Kedengaran tawa berdekah-dekah. Lalu muncul seorang nujum (kini) - mengulangi nasihat yang sama
dengan cara berbeza. Dan bertepuk tangan sekalian manusia - kagum, menginsafi sesaat bahawa hati
dan fikirannya perlu dirawat hingga lupa bahawa para nujum hanya meniru dari al-Quran dan al-Sunnah.
Menurut Chou Mei, seorang penjual sayur kangkung di tebing sungai ini, kisah ini juga satu pengulangan.
Chou Mei telah meninggalkan negara China, setelah Hang Tuah berjaya melihat wajah Maharaja China -
mendongak memakan sayur tumis kangkung. Tidak juga diketahui bagaimana Chou Mei, lelaki berambut
putih itu tiba di tebing sungai ini. Mungkin menaiki jong yang menghantar rombongan orang-orang tua
yang tertanggal giginya sebagai petanda negara China itu terlalu jauh atau sudah tersurat migrasi
membuatkan manusia saling bercakaran kerana sempadan tanah.
Lihat sahaja Taskan, tanpa mempedulikan pandangan Frank Swettenham dan Chou Mei, mengulangi
sejarah serupa. Tidak ada sesiapa termasuk para nujum menyelidik kata-kata yang hebat dari orang
hebat adalah kata-kata biasa yang dikutip dari keluhan seorang kanak-kanak lelaki yang berkaki ayam
ketika menolak troli memuatkan bawang merah. Atau kepiluan seorang ibu mengandung yang
menjunjung tembakau ketika suaminya menyatakan : "aku lelaki hebat," dan lena beradu.
Chou Mei, tidak mempunyai kaitan dengan Taskan. Jauh sekali dari segi pemikiran atau anutan agama.
Pekerjaan juga menjadi bukti Chou Mei tidak mampu menandingi Taskan. Taskan pakar mengkaji batu
persuratan. Chou Mei hanyalah pemerhati seperti juga Frank Swettenham selepas berlakunya peristiwa
ini dan para nujum hanya pencatat kisah;
Sidang satu
Persidangan para nujum dengan pelbagai kepakaran tidak termasuk menukar wajah ke belakang dan
melakukan onar, memutuskan beberapa perkara :
Antara sebab Taskan mengulangi sejarah pilu ini ialah tidak mengetahui bahawa langit dan bumi adalah
satu, lalu dipisahkan kedua-duanya. Dan "Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut
takdir (yang telah ditentukan)."AlQamar :49
Dia juga dalam keadaan waras dan sedar berdasarkan ketinggian pengetahuannya, bahawa terdapat
perempuan yang tidak boleh didekati - Raja Maimunah.
Taskan, suami kepada seorang perempuan yang tidak pernah dikenali kerana jarang sekali Taskan
menyebut nama isterinya. Tidak dapat dipastikan mengapa, mungkin kerana susuk tubuh isterinya tidak
menggiurkan tetapi tidak terdapat bukti sahih mengatakan demikian, kerana tidak ada sesiapa di
kalangan para nujum pernah melihat isteri Taskan. Atau Taskan tidak petah menyebut nama isterinya
yang terperi-peri.
Tidak terdapat hukum dalam perundangan daerah di tebing sungai ini jauh sekali hukum agama Islam,
bahawa seorang isteri sepatutnya memiliki pinggang yang ramping jika tidak seperti kerengga, pasti
seakan biola. Atau hidung mancung, pipi gebu atau warna kulit bak kapas dan sehalus kain sutera. Tidak
juga termaktub dalam hukum yang sama bahawa seorang suami harus tampan dan tinggi kerana tidak
juga terbukti lebih bijak menjaga hal ehwal keluarganya.
Kenyataan ini disokong seorang nujum yang boleh mengintai masa depan berpandukan garisan tapak
tangan dan jarang sekali menilik tapak kaki, katanya tidak terdapat bukti sahih bahawa perempuan
mempunyai sifat yang sama iaitu membebal dan lelaki pandai bermain bola sepak atau sepak takraw.
Para nujum sepakat menafikan sekeras-kerasnya kenyataan di bawah walau bentuk penafian itu tidak
kelihatan zahirnya seperti sebiji belon atau buah kelapa.
"Adakah kerana kasih sayang itu semakin pudar?"
"Kasih sayang tidak mempunyai warna, kasih sayang adalah perasaan yang mendamaikan. Melunturkan
keangkuhan seorang lelaki dan menjadikan seorang perempuan bahagia."
"Mungkin lelaki kehilangan sifat lelakinya dan mahu menjadi seorang perempuan. Perempuan pula mahu
menyerupai lelaki, maka songsanglah makna kasih sayang itu. Maka terhukumlah kasih sayang."
"Mustahil,"
Dan para nujum diam seketika, menelan kata-kata bak semilir angin.
"Mustahil! Mustahil kerana susutnya kasih sayang kerana Taskan masih menggauli isterinya sebagai
ladang yang subur untuk bercucuk tanam. Lihat wajahnya sentiasa ceria dan tersenyum, petanda
bahagia mekar dari sanubarinya," menurut firasat nujum yang meramal soal kejantanan.
"Wajah akan pudar. Kendur. Akan kelihatan garis halus seperti benang atau parit menakung air apabila
usia bertambah, kudrat hilang. Lemah!"
"Kasih sayang itu adalah ubat paling mujarab mengikat hati suami dan isteri, Uda dan Dara."
"Kasih sayang juga membuatkan seorang lelaki berpaling."
"Kasih sayang juga membuatkan seorang isteri berpaling."
"Kasih sayang tanpa akad sah umpama buih di permukaan air."
"Mengapa nujum salahkan kasih sayang? Kasih sayang itu perasaan yang paling indah. Kasih sayang
boleh menghidupkan semangat seorang lelaki dan memberi keyakinan kepada seorang perempuan.
Bukankah itu anugerah Tuhan?" Bantah Fahmi. "Jangan salahkan Raja Maimunah." Pekiknya.
Sidang dua
Kata Frank Swettenham atau dipanggil orang putih kerana kulitnya bukan hatinya, "Jika sesiapapun
memandang Raja Maimunah dan terpandang lesung matinya itu akan gila bayang sampai ajalnya."
Jika Raja Maimunah hidup ketika itu, orang putih itu juga tidak terkecuali dan akan mati begitu sahaja,
dan tidak tercacat dalam sejarah bahawa orang putih itu ialah Residen British pertama Negeri-negeri
Melayu Bersekutu.
Keturunan orang putih itu juga tidak akan lahir di tebing sungai ini.
"Sudah selesai bercanda?"
Fahmi berusia 30 tahun, berwajah segak dan budi pekerti. Mendengus, bagai sekawan kerbau liar
menyeberang sungai yang dipenuhi buaya tembaga. Fahmi mengerti mengapa dia dilarang mendekati
Raja Maimunah.
Tidak juga diketahui sama ada isteri Fahmi diandaikan seperti isteri Taskan. Para nujum juga tidak
mengenali isteri Fahmi kerana Fahmi berkahwin di negara orang Putih. Tidak juga sahih menyatakan
perempuan orang putih lebih cantik dari perempuan berkulit kuning atau gelap.
Para nujum tidak dapat membayangkan wajah isteri Fahmi, walaupun merenung di dalam mangkuk sakti,
kerana hanya kelihatan wajah para nujum. Para nujum malu melihat wajah masing-masing lalu dengan
sengaja mencampakkan sebiji limau kapas di dalam mangkuk itu.
"Cinta itu tidak mempunyai sempadan." Alasan Fahmi.
Para nujum hanya mengangguk. Seorang perempuan boleh bernikah tanpa kehadiran bapa kandung
dengan berwalikan hakim atau adik-beradik lelaki yang tidak rela seorang bapa menurut hatinya yang
berang - tanpa fikirkan nasib anak perempuan itu kelak.
Fahmi akad nikah dengan perempuan orang putih itu tanpa pengetahuan keluarganya setelah hilang lima
tahun. Kini, Fahmi kembali ke tebing sungai ini dan jatuh cinta kepada Raja Maimunah.
"Ini bukan negara orang putih."
"Ini juga bukan negara orang hitam."
"Apa perlu berada di negara orang putih atau hitam untuk mencintai seorang perempuan bernama Raja
Maimunah? Dunia ini sudah lama rata." Bidas Fahmi - tinggi ilmunya.
Tetapi bumi ini adalah bulat, seperti bumerang yang kembali ke tangan setelah di baling ke udara - teori.
Bola yang akan melantun dan jatuh ke tanah - hukum fizik.
Hidup lawannya mati - senang lawannya susah.
Sakit lawannya sihat. Lima perkara sebelum lima perkara.
Para nujum berhujah dalam hati, mulut terkumat-kamit membaca mantera di dalam mangkuk sakti - air
jernih. Kononnya akan kelihatan bayangan masa hadapan sedang ketika itu para nujum hanya memakai
jubah lusuh, alas kaki yang menampakkan jejari kering - kematu.
Hidup para nujum telah sempurna (dalam fikiran sepoi-sepoi bahasa) dengan sepinggan nasi dan seketul
ikan yang pernah terperap di dalam tin.
Fahmi juga bukan budak berusia tujuh tahun yang perlu diajar sembahyang dan disebat punggung
setelah berusia sepuluh tahun. Difahamkan dia sudah bergelar bapa kepada dua orang anak perempuan
yang berambut perang - dunia semakin rata - sekali lagi.
"Jangan salahkan aku, Raja Maimunah juga harus disalahkan." Fahmi mengangkat telunjuk ke langit -
360 darjah. Keras nadanya, banyak untungnya jika Fahmi mengetuai pasukan sorak tebing sungai ini
bagi acara lari berganti-ganti di dalam perahu - sukan tahunan. Kurang ketirisan. Fahmi juga akan hilang
waktu dari memikirkan tentang Raja Maimunah.
Perlukah juga Raja Maimunah disalahkan?
Daripada Muawiyah bin Haidah RA beliau berkata, "Wahai Rasulullah, apakah hak seorang isteri yang
wajib kita penuhi?" Rasulullah SAW bersabda, "Kalian wajib memberi makan apa yang engkau makan,
dan memberi pakaian apa yang engkau pakai, jangan sekali-kali menampar wajahnya, jangan
memburuk-burukkannya dan jangan diamkannya kecuali di dalam rumah." (Hadis sahih riwayat Abu
Daud dan Ibnu Majah)
Para nujum berpandangan. Membuka kitab usang yang telah dicetak semula dan dialih bahasa, kitab
perihal percintaan di tebing sungai ini.
Sidang tiga
Suami Raja Maimunah, Raja Iskandar memelihara gundik dan menolak sunah. Raja Iskandar gemar
tinggal di dalam perahu yang berlabuh di hadapan rumahnya di tebing sungai itu meninggalkan Raja
Maimunah bersama dua orang anaknya.
Di mana sahaja Raja Iskandar berada, maka akan hadirlah penjudi, penyabung ayam dan penghisap
candu yang wujud sejak 5,000 tahun lalu. Orang Arab hanya mengenal 'khamar' sebelum candu dibawa
masuk ke Tanah Arab oleh orang-orang Parsi yang tidak percayakan Tuhan.
Tidak percayakan Tuhan!
Para nujum membelek halaman seterusnya. Bimbang tersalah hujah dalam kekaburan cahaya siang dan
bukan malam.
Perlukan juga Raja Sleman disalahkan?
Raja Sleman muncul dengan dua buah perahu, niatnya berjudi dan bersabung ayam di hadapan rumah
Raja Iskandar. Satu hari terpandang Raja Maimunah - jatuh hati. Raja Maimunah dengan jiwa kosong,
terpandang Raja Sleman lalu menjatuhkan selendang. Dan perempuan amat pandai bermain mata,
bukan kerana keluar perkataan dari bola mata yang bulat.
Dan sudah tercatat satu kisah di tebing sungai itu : Raja Maimunah - Raja Sleman.
Raja Sleman memutuskan tidak ingin lagi bersahabat dengan Raja Iskandar. Raja Sleman membawa lari
Raja Maimunah dan kemudian mengutus surat menunggu di satu tempat jika Raja Iskandar mahukan
Raja Maimunah.
Menunggulah Raja Sleman, bala tentera berperahu Raja Iskandar.
Membayangkan kisah percintaan lampau yang membawa peperangan antara dua buah kerajaan -
negara - keluarga. Kononnya semakin banyak pancaroba menjunjung cinta, jatuhnya sebuah kerajaan -
agunglah cinta itu : Romeo - Juliet - Laila - Majnun. Mencekak pinggang sambil mengangkat parang di
hadapan pintu rumah : konon itulah makna cinta sejati buat kenang-kenangan anak cucu.
Para nujum menundukkan kepala, Raja Iskandar ketagihan candu, lelaki tanpa cinta suci itu mengulangi
hukum karma bahawa yang lemah perlu ditindas. Raja Iskandar membalas dendam dengan mencekik
mati dua orang perempuan suruhan Raja Maimunah.
"Ha!" Para nujum hanya mengaruk kepala. Simpati terhadap dua orang perempuan muda yang menjadi
kuli kepada Raja Maimunah.
Raja Iskandar menceraikan Raja Maimunah.
Sidang empat
"Sudahlah! Kamu tidak mengerti makna cinta. Cinta itu tidak mempunyai bentuk hanya rasa yang hanya
diketahui oleh orang bercinta. Kamu para nujum yang kolot," herdik Fahmi.
Tangannya tidak bergari dan tidak juga di pasung. Hartanya banyak bukan sedikit.
Fahmi tidak juga berganjak, sedangkan persidangan ini tidak dijalankan di sebuah bangunan tanpa pintu,
bukan juga di atas bara api - hanya tanah lapang. Fahmi bebas untuk berlari dan tinggalkan para nujum
yang tidak mempunyai cinta itu.
Aneh, apa yang mengikat kakinya?
Para nujum berpandangan, ketika Fahmi seperti ulat nangka di bawah terik matahari. Mencari silangan
mungkinkah Fahmi keturunan orang putih?
Setelah ditimbang dengan neraca dunia - tidak juga terbukti Fahmi keturunan Frank Swettenham
walaupun mahukan Raja Maimunah : kulit berbeza dan agama juga berbeza.
Sidang terakhir
Sebenarnya tidak diketahui, jumlah para nujum yang bersidang itu. Demikian juga jantinanya. Pakaian
yang tersarung di tubuh hanya menutup zahir. Mungkin dua orang atau lebih dari itu. Tidak mustahil
hanya seorang atau bersama bayang-bayang, kerana di hadapan para nujum ini terdapat sebuah cermin
yang besar - sedepa - setinggi galah. Tidak ada sesiapa pun yang mengenali para nujum ini. Jauh sekali
untuk bertanya kepada Fahmi dan mempercayainya.
Para nujum yang tidak diketahui jumlah itu - sukar dipercayai - kerana memilih waktu dan mangsa
ramalan. Bagaikan hukum Tuhan itu memilih warna kulit, darjat dan kehendak.
"Apa aku perlu dihukum? Atas alasan apa? Mengapa kisahkan tentang Taskan? Aku tidak mengenali
Taskan." Fahmi berang.
Para nujum sekali lagi menggaru kepala (aku juga manusia biasa), Fahmi umpama burung tiung yang
mengulangi setiap perkataan yang pernah didengarinya.
Lalu para nujum menutup buku itu (menangguhkan hukum) dan menyelak buku kelapan. Berkerutlah dahi
para nujum, wajah semakin hodoh dan sabar menipis; dan seorang lagi lelaki di tebing sebatang sungai
akan diadili.
Istana Cindai – Rosmiaty Shaari
GETAR yang bergalau dalam dada tetap meruntun sukma untuk melangkah, menghadap dan merafak
sembah - kalau ada yang bersemayam di tahta itu. Istana itu nampak marak dan ceria, namun ada getar
yang bergelombang dari segenap sudut, bermula dari tangga istana langsung ke serambi. Dan sesekali
getar itu hinggap ke rongga dengar, bergeming sayup ke sukma.
Kasut kanvas kusam putih itu disimpannya di tempat letak yang di sediakan.
Memberi salam entah kepada siapa, dalam sukmanya tetap sedia memaafkan, kalau ada getar
lain yang menyumpah seranah dia kerana memasuki istana ini tanpa izin. Wajah-wajah mannequin yang
bergaya ala sultan yang memerintah, permaisuri yang bersemayam di sisi, datuk bendahara,
temenggung, laksamana gagah perkasa, para pengawal, dayang-dayang, dan para sida sekalian, tidak
menampakkan kegembiraan, melainkan kaku, beku dan angkuh. Apakah ini lambang kehebatan
kesultanan Melayu zaman dahulu? Yang diwar-warkan punya kesungguhan mempartahankan susur
galur Melayu hari ini?
Ah, pedulikan! Rahsia kesultanan Melayu itu tidak penting baginya saat ini, getus hati Zau.
Dia berpaling ke satu sudut. Di situ ada sebuah kamar berhias cantik. Dia melangkah untuk
meninjau apakah keistimewaan kamar itu. Sebuah peraduan ukiran lama bermotif flora dan fauna yang
diperbuat daripada kayu jati masih utuh binaanya, terhampar rapi beralas kain cadar baldu berwarna
kuning di raja, berbantal tenunan sutera cina berbunga melati warna kuning juga. Kelambunya diperbuat
daripada kain sutera cina yang agak nipis berwarna putih, bercekak kiri kanannya dengan tali tenunan
benang emas. Aduhai, sehalus seni jemari bonda Miah menjalin benang emas menekat tepak, rupanya
halus lagi untaian tali benang emas pencekak kelambu di raja ini. Siapakah gerangan yang
menenunnya!
Angin semilir berhembus dari tingkap yang terbuka membelai-belai kain cadar dan kelambu di
raja itu. Beralun-alun bagai dituip angin monsun yang menampan dada laut. Dan alun-alun itu yang
menerbitkan resah gelisah dan getar, kembali bergelombang dalam kamar di raja itu. Ranah apakah
yang mula menguasai minda, saat angin yang bertiup melalui jendela istana itu menyentuh sukmanya.
Ada lara yang mula menggumam sanubari, tatkala tangan Zau cuba membetulkan kain cindai sutera cina
warna delima yang melitupi dandanan di kepala mannequin yang tersingkap ditiup angin.
“Jangan, jangan sesekali tuan sentuh milik beta!”
Zau terkejut mendengar bentakan itu. Suara yang entah dari mana datangnya tiba-tiba
menggugat ketenteramannya. Pandangannya berkeliling, mencari arah dari mana datangnya suara itu.
Tidak ada sesiapa yang bertamu di kamar itu maupun di anjung istana atau di balairong seri. Melainkan
dia, di temani beberapa mannequin yang dipakaikan pakaian di raja.
Ataukah ada roh yang tersembunyi di istana lama ini yang degil untuk pulang ke tanah asal
ataukah dia yang gemar berhalusinasi, dan kini ilusinya mula memerangkap diri? desis nubarinya. Lalu
Zau, mencuba sekali lagi membetulkan kedudukan cindai di raja yang tersingkap ditiup angin itu untuk
menguji kesahihan suara yang didengarnya tadi.
“Telah beta katakan, jangan sentuh barang milik beta! Tidakkah tuan faham!” Suara amarah itu
semakin meninggi dan membentak. Malah, getar yang Zau rasa bergelombang dari seluruh ruang kamar
itu sudah mula menyilaukan pandangan matanya.
“Siapakah kamu yang bersuara?”
“Siapa tuan yang berani menyoal beta?”
Zau gelisah, namun kedegilan sukmanya yang berantakan itu tetap tidak berganjak.
“Siapa kamu? Keluarlah!” Lagak suara seorang pahlawan yang berani, Zau cuba mencabar untuk
menzahirkan suara itu di depannya, meskipun getar di sukmanya semakin bercempera. Angin monsun
yang membawa benih-benih hujan mula berhembus kuat, sesekali cuba menyingkap jilbabnya.
“Beta, Tun Fatimah. Permaisuri Sultan Mahmud Shah! Permaisuri yang menyimpan dendam
kesumat yang tak pernah padam oleh kekejaman yang mengalirkan darah yang membasahi bumi Melaka
ini! Selamat datang tuan ke istana beta…”
Zau terkejut, malah amat terkejut. Dia cuba merapati ke tubuh mannequin yang berwajah lara,
kaku, beku dan angkuh itu!
“Engkaukah yang bersuara bernada hiba, wahai mannequin?” Zau memegang jari-jemari
mannequin yang dihiasi cantik bak puteri zaman dahulu kala. Di sisinya, sekeping penanda yang
berbunyi – persalinan Tun Fatimah, permaisuri Sultan Mahmud Shah.
Zau terkejut lagi. Setitis air jatuh ke tangannya. Terasa hangat dan kehangatan itu menyerbu
minda, menyela-nyela seluruh tubuhnya. Dia memandang wajah lara mannequin itu, membelek-beleknya
dengan rasa takjub. Oh, alangkah pelik kejadian. Zau merasakan tubuhnya mula nanar kembali. Dia cuba
mengungkap sukmanya yang mula membuak rasa ingin tahu. Benarkah atau ini hanya ilusi yang bermain
di ruang mata menyebabkan mata fikirnya bertambah nyali. Berpencar cahaya dari empat penjuru kamar
di raja itu menyelar pandangan rohani Zau yang semakin silau.
Zau tersasar ke dinding, cuba menghalang cahaya berpencar yang mengabui pandangannya.
“Bangun, tuan. Sekian lama beta menunggu tuan, baru kini tuan menjelma. Tolong beta, tuan. “
Suara yang tadinya bernada angkuh, berubah hiba.
“Tolong?!”
“Ya, tolong lenyapkan dendam beta. Selagi nama beta tidak hancur ditelan zaman, selagi Melaka
tidak diubah sejarahnya, selagi itulah dendam beta berkesumat, membawa padah, malah darah akan
kembali menyimbah bumi Melaka ini.”
Dipapah dengan jemari yang terasa amat lembutnya, Zau bersusah payah bangun kembali.
Tatkala itu sukmanya berbaur antara mahu percaya dengan tidak, dia merasakan seolah-olah sedang
berhadapan dengan pintu maut yang terkuak yang bersedia melontar dirinya ke lembah kelam. Dia
bangkit, cuba melenyapkan rasa nanar yang semakin bergalau menghenyak hingga tubuhnya semakin
memberat.
Semakin getar sukmanya, semakin kuat sesah nafasnya menahan debar yang semakin
membuak. Sekeliling dirinya bukan lagi istana lama, melainkan sebuah istana yang benar-benar wujud.
Tun Fatimah sudah berdiri di hadapannya, seperti cuba mententeramkan perasaannya.
Lantaran rasa terkejut yang ketara, Tun Fatimah yang sangat elok paras rupa dan lembut halus
budi itu, terkumat-kamit bibir delimanya seperti mengungkapkan sesuatu lalu dengan perlahan dia
menghembuskan nafasnya yang berbau setanggi itu ke muka Zau.
Merah menyala muka Zau menahan bau setanggi yang sesekali berbaur wangi bunga mawar itu.
Alangkah takjubnya, bila getar di sukma yang tadinya bergalau seperti disepuh puteri tujuh, lenyap tiba-
tiba. Dupa di tangan Tun Fatimah mengepulkan asap warna-warni memerangkap seribu kenang yang
mewarnai sejarah silam istana itu. Kini, rasa debar dan takut itu lenyap perlahan-lahan seperti diangkat
ke langit tujuh.
“Bertenang, tuan. Tuan datang ke istana beta atas perjanjian. Perjanjian yang telah lama kita
meterai sejak azali, dan sejak itulah beta dan sahabat-sahabat beta tidak kembali ke tanah asal,
menunggu tuan untuk menamatkan perjanjian ini.”
Tun Fatimah meletakkan dupa di tangannya ke sisi peraduannya. Asap warna-warni berkepul
naik ke langit.
“Mengarut! Aku tidak pernah berjanji apa-apa dengan kalian, ya siapa itu sahabat-sahabat yang
tuanku maksudkan? Siapakah mereka? Apa mahunya mereka terhadap aku? Maaf, aku mahu pulang!”
Zau segera beredar, hendak meninggalkan Tun Fatimah. Namun, langkahnya terhenti tatkala dia
terdengar bunyi bergemerincing di pintu. Dua orang pengawal tidak berbaju menyilangkan lembing yang
dipegang. Sukma Zau terpelosok kembali ke kamar Tun Fatimah.
“Bukankah tuan yang telah berjanji dengan kami untuk membebaskan penderitaan kami akibat
dendam yang tak terlerai? Darah yang pernah menyimbah bumi Melaka perlu tuan semah segera agar
beta dapat bersemadi tenang di alam baqa. Selagi sanubari tidak menguntum bunga selagi itulah langit
tidak akan berubah jingga, selagi itulah malam berselindung di sebalik siang!” Tun Fatimah teresak-esak,
menahan sebak.
“Aku nanar! Aku nanar!” Zau seakan hilang kawalan minda. Sukmanya sengsara.
“Jangan takut, tuan. Selagi kata boleh berbahasa, ciptakan beta hikayat di raja. Gurindam elok
dari sukma tuan yang elok rupa. Ciptakan beta syair nan bahagia yang dapat membunuh segala nista,
lantaran nafsu nafsi dari cinta berahi di hujung senja. Tuan tentu maklum apa yang telah terjadi di bumi
Melaka. Tuan tentu maklumi, siapa pendusta siapa penderhaka, siapa menyanjung siapa di
sanjung,lantaran itu darah merah menyimbah bumi Melaka – itulah darah suami dan ayahanda Tun
Mutahir yang tercinta!”
Semakin berhiba-hibalah sukma Tun Fatimah, seolah mendodoikan lagu penyesalan dari sebuah
percintaan yang dikhianati. Diseka airmatanya, yang mengalir di pipi hingga berkemilau cahaya peribadi
dari seorang wanita yang pemalu kini menjadi seorang wirawati yang berani. Dari sukma bernafas lembut
menjadi sukma berjiwa tegas, keras dan dendam!
Aku Tun Fatimah puteri Bendahara Seri Maharaja
aku bangkit dari pusara langit
ungu air bukit cina kuseru namamu kota Melaka
kembalikan kerisku ke sarung
kembalikan mahkotaku ke singgahsana
kembalikan dendamku ke lubuk kencana
kembalikan diamku ke sakar maduku
aku rindu ke dalam dakapMU…
Tun Fatimah meratib-ratib bergurindam tak henti-henti. Semakin lama airmatanya semakin lebat
mengalir, semakin sesah bunyi angin mencakar-cakar dinding kamar itu. Menggelepar sukma Zau
seakan merintih pula, mengharap Tun Fatimah segera menghentikan ratib ratapnya.
“Kalau itu mahu tuanku, aku akan laksanakan. Akan aku hikayatkan penderitaan tuanku, akan
aku gurindamkan cinta setia tuanku kepada Tun Ali, kasih tuanku kepada ayahanda tercinta, dan dendam
tuanku…”
“Tidak! Beta tidak mahu ada dendam dalam hikayat itu. Beta mahu dendam itu ditamatkan!”
Bergema suara Tun Fatimah menembus deria dengar Zau yang seperti ditusuk buluh runcing. Zau
tersentak.
“Mustahil! Bukankah itu sejarahnya, tuanku. Menamatkan sebuah hikayat tanpa dendam itu
bukan hikayat Tun Fatimah!”
Suara Zau seperti menerajang dan bergeming ke langit leluhur, menyebabkan Tun Fatimah
menyilau mata batinnya.
“Beta sangka tuan berjiwa hamba, rupanya tuan juga seperti mereka. Tak lekang jiwa tuan pada
sengkata, tak hilang jiwa tuan hendak menderhaka. Cukuplah bumi Melaka disimbah darah, tamatkan
sejarah itu supaya lenyap dendam beta, supaya bumi Melaka aman sentiasa!”
Zau semakin nanar, meregang-regang akal fikirnya cuba menelah riwayat yang tidak
berkesudahan ini. Mana mungkin sebuah dendam yang telah disejarahkan diputarbelitkan
penceritaannya. Escapist! Memudah cara dengan menoktahkan sebuah tanda soal!
Zau menggaru-garu kepalanya, memikir apa sebenar kehendak permaisuri diraja ini.
“Lenyapkan dendam beta, itu saja!”
“Dendam beta juga!”
“Hamba juga!”
Zau tersentak. Makin terpelosok dirinya ke lantai kamar. Makin mengecil dirinya menerawang
dalam minda yang bertaburan, bergetar antara gelombang batin yang membuatnya semakin lemas.
Siapakah gerangan yang tiba-tiba muncul di hadapannya, laksana lasykar yang cuba menentang musuh
dan musuh itu adalah dia!
“Beta Tun Teja, permaisuri Sultan Mansur Syah yang dikhianati sakar madunya oleh Hang Tuah!”
“Dan hamba, Mahsuri, isteri Wan Mat Deris yang direjam dengan tombak sendiri kerana dituduh
bermukah dengan Deramang oleh mentua sendiri!”
Zau makin nanar. Bergalau suara mereka merempuh sukmanya lalu menghenyaknya ke lantai.
Dia terpinga-pinga, rohkah atau apa mereka ini yang tiba-tiba memerangkap sukmanya daripada lolos
dalam sedar. Jarinya meraba-raba ibu jarinya, dengan harapan untuk sedar dan kembali ke dunia nyata.
Makin dipicitnya ibu jarinya makin terkunci sukmanya, terperangkap dalam kamar di raja ini. Nanarnya
makin menggila memaut deria pandangdengar yang menerawang antara ruang – keluarkan aku dari
perangkap getir ini!
“Seperti Tun Fatimah, kami juga mahu menamatkan dendam ini. Dan kembali damai ke tanah
asal!” Suara Tun Teja mula berhiba dan airmata mula bergencar. Bau daun sireh pelupa yang dimamah
berbaur bau setanggi bunga mawar terbit dari nafas-nafas lara yang sengsara sekian lama.
“Ya, cukup sumpahku tujuh keturunan, bumi Langkawi menjadi padang jarak padang tekukur,
cucu cicitku menderita menanggung lara akibat kekejaman bapa dan ibu mentua yang berdosa. Tak
sanggup aku terawang-awang antara lelangit bumi menyaksikan kekejaman ini. Putih darahku sudah
cukup melagang segala dendam kesumatku. Tolonglah kembalikan aku ke tanah asal, tolonglah, tuan.”
Mahsuri seperti hilang pertimbangan, seakan mahu menerpa ke arah Zau.
“Gila! Kerja gila!” Zau tersasar ke belakang.
Seperti orang gila juga, melantun bahasa kasar Zau, tiba-tiba. Menggeleng-geleng, sedang
sukmanya meronta-ronta, bagaimana cara untuk membetulkan hukum. Takdir yang tercatat sejak azali,
bagaimana hendak dipesong! Sukma Zau menjerit, bergelut ke langit tujuh, bersatu dengan
angin ,menyumpah-nyumpah kewujudan watak-watak yang penuh dendam kesumat ini.
“Lakukan!”
Mereka mula mendesak. Nada suara meminta dari wajah-wajah jelita berbaur lara itu sudah mula
meninggi. Sudah mula bergeming hingga mengilukan sukma Zau menjadikan dia berasa tidak menentu
saat itu.
“Jika tidak?”
Zau mencabar wajah-wajah jelita berbaur lara itu.
“Jangan menipu diri sendiri, tuan!”
Kali ini wajah-wajah jelita berbaur lara itu semakin berani mencabar Zau yang semakin
kebingungan.
“Tipu?”
Zau terasak oleh kata yang tiba-tiba mengaibkanya. Wajahnya memerah, berkaca ekor matanya
menyembunyikan sesuatu yang tersembunyi. Getar suaranya sudah semakin bergalau, meruntun
nubarinya untuk bertindak lebih aggresif. Ini tidak boleh jadi, getus hati Zau. Peluh dingin semakin
rencam membasahi mukanya, berkemilau di panah cahaya yang datang entah dari mana.
“Tuan adalah sebahagian dari kami! Sukma tuan penuh dengan dendam kesumat yang tak
pernah sudah! Tuan adalah kami! Dendam tuan terbit dari dendam kesumat kami! Derita tuan terbit dari
derita kami. Sampai bila tuan hendak berdendam sedang nadi mahmudah tuan sudah lama mengajak
nafas mazmumah tuan untuk berdamai!”
Asakan demi asakan dari nada suara lara itu semakin bergalau, membiaskan warna-warna keliru
yang kian membangkitkan rasa amarah Zau yang tak terbendung. Sesah nafasya semakin menyesak
sukma. Mengapa tidak dari tadi mengiakan sahaja permintaaan mereka , agar tidak terusik sedikitpun
apa yang tergumam di sukma? Untuk menobatkan kewibawaan, sudah terlambat. Apa yang tersembunyi
sudah semakin diketahui, malah sudah semakin menyatu dengan kehendak mereka.
Zau memejam mata. Getar di dada semakin bercempera, menyelar-nyelar sukmanya yang
bercelaru. Airmatanya, entah mengapa mudah benar mengalir, membasahi pipinya, mengalir lagi menitis
ke lantai. Tatkala itu, sayup-sayup dia mendengar deru mobil yang singgah di telinganya, dia cuba
menggagahkan mindanya untuk kembali ke dunia nyata, tanpa ada duga-menduga, desak-mendesak
dan dendam-mendendam.
Bohong! Akulah pendendam maha dahsyat yang sering menyelongkar dendam nubari dari kalbu
yang silam. Dusta kalau aku tidak berdendam, kalau bukan aku yang merangkai bait demi bait, menjalin
kata demi kata, menggubah duka kepada lara, siang kujadikan malam, malam kubenamkan ke dasar
akar sukmaku – bukankah aku si penyair yang bernama Siti Zauyah! Yang lahir dari ranah kejadian.
Yang diamanahkan oleh sejarah lara supaya membela tahta yang tercela! Hatta, dendam kesumat itu
bertunas seawal mula membenihnya tulang sulbi sejak di rahim bunda, dendamku telah dipupuk menjadi
subur oleh ratab ratib hikayat dari lipur lara ayahanda tercinta!
Kalbu Zau meronta, mengila-gila jadinya.
“Hah…,mengaku pun tuan! Malah, ada lagi dendam tuan yang tidak terbela. Bagaimana zaman
kanak-kanak tuan, saban hari melagang hidup atas airmata, remaja tuan dituduh nista, diperangkap,
difitnah, dihina, dan dewasa tuan – tak sudah-sudah lara menimpa. Pengecutnya tuan berselindung di
sebalik keluh kesah kami yang tak terbela! Sedangkan tuan lebih lara dari kami sepanjang usia
menjangkau ke riwayat kami, tuan berselindung di sebalik dendam kami!”
Suara Tun Teja menerobos, menikam sukmanya. Pedihnya tak terhingga. Sebaknya membuak
airmata tak henti-henti mengalir membasahi pipi dan bibirnya. Menggumam Zau seketika menahan sebak
yang tak terhingga.
“Cukup! Cukup! Aku tidak pernah berdendam dengan sesiapa! Akar di sukmaku bertunjangkan
nur dari Zat yang menyatu. Tidak terlintas di sukmaku untuk menentang takdir waimma memesongkan
catatan sejarah yang cukup mulus dalam ingatan. Tidak! Aku tidak berdendam seperti tuanku semua.”
Terlalu kerdil dirinya saat itu, mendepani nubari-nubari yang pernah menjadi tempat
persinggahan dia untuk berselindung lara. Bukan niat untuk dia berdendam melainkan menumpang untuk
menyusun bait-bait dari kata-kata mulus buat pengubat duka yang melanda. Hanya itu! Salahkah?
Tun Fatimah yang lembut halus budi itu mendekati Zau yang terpelosok di lantai. Dia menyeka
airmata yang membuak di pipi Zau dengan cindai sutera cina yang menyelimpang tubuhnya. Bau
setanggi berbaur wangi bunga mawar kuat lekatnya pada cindai sutera itu, menyerbu ke rongga baunya.
Berbekalkan sedikit kekuatan dari semangat Tun Fatimah, Tun Teja dan Mahsuri, Zau cuba
untuk bangkit, cuba mengheret tubuhnya mahu keluar dari kamar di raja itu. Dia sudah tidak sanggup
mendepani kehendak mereka yang sukar hendak ditunaikan itu. Amat mustahil memesongkan sejarah
yang sudah lama terpelihara dengan elok!
Bunyi gemerincing tombak berlaga, mematahkan semangat Zau sekali lagi. Wajah pengawal
yang mengawal nampak bengis dan ganas!
“Bebaskan aku!”
“Bebaskan dendam kesumat kami!” Serentak mereka membentak, menyilaukan pandangan
berupa ancaman yang bersungguh!
“Bebaskan aku!”
“Bebaskan dendam kami dulu! “
Wajah-wajah jelita berbaur lara itu semakin mendesak!
“Tapi, bagaimana? Memesongkan sejarah? Berbohong pada anak bangsa bahawa moyang
mereka adalah puteri-puteri yang hidup ceria. Yang tak pernah bersengketa? Yang tak pernah hidup lara
dan tak pernah sekelumitpun berdendam dengan sesiapa? Begitu? Dayus! Melampau!” Zau menjerit lagi.
Amarahnya memuncak. Dia tidak akan bertolak ansur dengan wajah-wajah jelita berbaur lara ini lagi.
“Dayus tuan kata? Bukankah tuan yang lebih dayus daripada kami. Berselindung di sebalik
dendam kesumat kami! Dendam tuan lebih hina dari dendam kami!” tempik Mahsuri, mula memberontak.
“Aku tak dendam! Tidak!” Zau juga memberontak.
Mahsuri yang kehilangan sabar, merebut tombak di tangan pengawal lalu menghunjam tepat ke
jantung Zau, sama seperti dadanya yang pernah ditombak dahulu! Membuak darah ungu, lalu
menyimbah pintu kalbu - Zau yang separuh longlai menjerit ke langit leluhur, menadah tangan kanannya
memohon kudrat Illahi dengan tangan kiri menahan darah ungu yang membuak laju.
Tun Fatimah dan Tun Teja, terpinga. Begitu cepat peristiwa berlaku. Bumi Melaka disimbah
darah ungu kali ini, dendam kesumat beraja lagi. Tun Teja mencabut tombak yang terlekat di jantung
Zau.
Zau mengerang menahan sakit.
Tun Fatimah segera membebat luka di jantung Zau dengan cindai sutera cina warna delima
miliknya. Menyatulah warna merah ungu mewarnai bumi Melaka , memunculkan buih-buih merah ungu
berlegar mengapung ke langit firus, berterbangan serata langit memayungi bumi Melaka.
Suara Zau bergema menahan sakit dan getarannya menggelombangi seluruh tonggak istana.
Menerobos ke dalam cahaya yang berpencar di sekeliling kamar di raja itu, seketika senyap. Tatkala itu
Zau terdengar suara muazzin, berkumandang azan yang sayup-sayup singgah ke rongga dengarnya.
“Aku bersumpah atas nama Tun Fatimah, Tun Teja dan Mahsuri, bahawa selagi darahku
berwarna ungu, selagi itulah dendam kalian berakartunjangkan di laut sakar maduku…..!”
Suara Zau semakin lemah, berbaur esakan tangis Tun Fatimah dan Tun Teja yang benar-benar
mengesali kejadian?
Dan Mahsuri yang terkejut oleh perbuatannya, terpelosok ke rusuk Zau, menyesal sehabis sesal
oleh perbuatannya sendiri. Meratap-ratib dek kekesalan yang tidak berkesudahan. Bergema esak
tangisnya, menggelombangi kamar di raja itu.
Zau yang hampir menyatu dalam dendam wajah-wajah jelita berbaur lara itu, semakin tenggelam
batinnya dalam rasa sebal penuh sesal. Akan terawang-awangkah rohku antara lelangit bumi, memikul
beban dendam wajah-wajah jelita berbaur lara ini? Zau lelah, nafasnya mula berombak mengikut sesah
denyut jantung yang terluka. Zau merasakan setiap isi bumi mula menyumpah-nyumpah dirinya. Matanya
mula gencar, titis bening mengalir dari alur matanya lalu menyatu dalam darah merah ungu,
memencarkan warna-warna keliru lalu membiaskan kamar di raja ini - menjadikannya berwarna ungu!
Alunan azan dari suara muazzin yang lemak merdu semakin menggetar kalbu Zau. Amat berat
tubuhnya ketika itu. Amat fana dunia ini, seolah-olah rohnya diapungkan bersama ribuan gelembung-
gelembung buih, naik ke langit biru. Saat itu semakin nyali sukmanya. Dia pasrah!
“Puan, Puan Siti Zauyah! Bangun puan……”
Zau melihat beberapa orang mengelilinginya, terpinga-pinga.
“Kenapa saya?”
“Puan pengsan di hempap tiga mannequin itu. Apa yang telah terjadi, puan? Wajah puan pucat
betul, macam orang kehilangan banyak darah!”
Kurator muzium istana, terpinga- pinga melihat keadaan Zau sedemikian rupa. Dia segera
meleraikan ikatan cindai di dada Zau.
Zau tersentak. Dia cuba mengelak tapi ikatan cindai itu sudah pun lerai. Alangkah peliknya! Zau
menekan dadanya yang ditombak Mahsuri. Pedihnya terasa namun tidaklah sampai menderita. Zau
semakin keliru dan bercelaru, menyelami bahasa kalbunya, kalau-kalau apa yang berlaku adalah
halusinasinya sahaja. Tapi, bagaimana cindai itu membebat dadanya?
Meski tubuhnya terasa longlai, dia gagah untuk bangun, malah cuba menjangkau jiwa hambanya
untuk kembali ke makam fana dalam kamar di raja itu. Puas dia memejam mata tapi hampa.
“Kita ke klinik?!” Ada suara yang mencadangkan. Namun, Zau tetap berdiam, seperti
mengelamun memikirkan, ya memikirkan tentang mannequin-mannequin itu!
Tatkala dia cuba menyelimpangkan cindai sutera warna delima ke bahu mannequin Tun
Fatimah, Zau terlihat ada setitik darah merah mewarnai cindai itu. Lantas Zau meraba dadanya - di
bajunya ada secalit darah berwarna merah!
Saat Zau dipapah pergi, dia sempat menoleh mannequin-mannequin itu. Tersedu sukmanya
apabila dia merasa ada air bening bergencar di mata…
remuk sukma Tun Fatimah
tatkala terbau mamah sireh Tun Teja
menyatu darah putih Mahsuri
kuzikirkan nyalaan merah
ungu terbit darahku
kumanterakan ke pintu kalbu –
dendam nyalaan dendam
dendam kesumat bunda ratu
dendam usailah dendam
balik menjadi debu, pulang menjadi abu
balik ke asal mula segala mula
asal dari zat yang Maha Mencipta….