HIJRAH RASULULLAH SAW MELALUI NEGARA MADINAH
Kita sememangnya wajib bersyukur kepada Allah SWT yang telah
memberikan banyak kenikmatan kepada kita. Seandainya kita diminta
menghitungnya, pastinya kita tak akan mampu melakukannya. Bahkan,
kenikmatan yang terbesar yang diberikan kepada kita, iaitu Islam. Dan
kewujudan kita sebagai orang yang beragama Islam. Sebab, ramai orang yang
diberi nikmat hidup, tetapi tidak semuanya mahu memeluk Islam. Tetapi,
kenikmatan yang lebih besar lagi, yang diberikan kepada kita adalah wujudnya
dakwah Islam dan orang-orang yang memikulnya, sehinggalah Islam ini menjalar
sampai kepada kita. Dua perkara inilah yang tidak semestinya kita lupakan. Iaitu,
dakwah Islam dan orang-orang yang memikulnya, sehinggalah Islam ini sampai
kepada kita.
Oleh itu, sangat munasabah apabila Hijrah baginda Rasulullah saw.
diperingati sebagai suatu peristiwa sejarah yang paling penting dalam kehidupan
dakwah Rasulullah saw. yang kita peringati setiap tahunnya dengan nama "Maal
Hijrah". Mengapa peristiwa Hijrah baginda Rasulullah saw. ini merupakan
peristiwa yang sangat penting?
Pertama, dakwah Rasulullah saw. apabila masih berada di Makkah telah
melalui masa-masa yang sangat sulit. terutama setelah Rasulullah diperintahkan
oleh Allah untuk menyampaikan Islam secara terbuka kepada masyarakat
Makkah dan menunjukkan bahawa baginda tidak bersendirian, melainkan ada
jamaah yang menyertainya, setelah Allah menurunkan surat Al-Hijr: 94:
"Maka sampaikanlah secara terbuka apa yang diperintahkan kepada
kamu, dan tentanglah orang-orang musyrik itu."
Setelah ayat ini turun, tepatnya setelah Umar bin Khattab dan Hamzah bin
Abdul Muthallib memeluk Islam, maka Rasulullah memulakan dakwah secara
terbuka. Baginda, kemudian melakukan tawaf mengelilingi Ka’bah, yang diikuti
oleh para sahabat. Sejak itu, para sahabat dan pengikut baginda, termasuklah
baginda sendiri, setiap hari menerima penyiksaan daripada penguasa Makkah
dan orang-orang kafir Quraisy.
Pernah baginda sedang solat berhampiran Ka’bah, leher baginda diikat
oleh Uqbah bin Abi Mu’ait, sehingga baginda tidak dapat bernafas, sampai
akhirnya baginda ditolong oleh Abu Bakar. Pada masa yang lain, apabila
baginda sedang solat, tengkuk leher baginda dipukul oleh Uqbah bin Mu’ait,
sehingga baginda pengsan dan akhirnya ditolong oleh Fatimah. Puteri baginda
itu menangis dan sedih melihat nasib ayahanda tercintanya dianiaya oleh orang-
orang kafir. Bukan baginda sahaja yang mengalami nasib buruk seperti itu,
malahan keluarga Yasir telah disiksa sehingga Sumayyah meninggal dunia
sebagai syahidah pertama.
Setelah penganiayaan secara fizikal tidak mampu menggoyahkan
keteguhan para pemikul dakwah ini, maka orang-orang kafir itu telah merancang
untuk mengasingkan baginda saw. dan para pengikutnya. Maka, terjadilah
rancangan jahat itu selama kurang lebih tiga tahun. Baginda dan para sahabat
hidup di sebuah lembah dalam keadaan kekurangan makanan, pakaian,
pekerjaan, rumah dan diusir dari Makkah. Dan setelah itulah, baginda meminta
para sahabat untuk meninggalkan Makkah menuju ke Habbasyah (Ethopia-
Afrika) untuk mencari perlindungan kepada Raja Najasyi, dengan maksud untuk
mempertahankan agama mereka dari serangan secara berterusan yang
dilakukan oleh orang-orang kafir.
Maka, orang-orang kafir juga tidak mahu tinggal diam, sehinggalah
mereka menyampaikan maklumat-maklumat yang mengelirukan di luar negeri,
untuk mengusir kembali kaum muslimin yang berhijrah ke sana. Orang-orang
kafir tersebut berusaha untuk mengadu domba Raja Najasyi dengan kaum
muslimin, yang akhirnya tidak berjaya.
Sedangkan baginda Rasulullah saw. dan beberapa sahabat masih duduk
di Makkah. Natijahnya menjadikan tindakan orang-orang kafir semakin biadab
kepada baginda saw. Sehingga baginda berfikir untuk mencari perlindungan,
kerana dakwah Islam tidak mungkin lagi disebarkan kepada orang-orang
Makkah. Baginda pada masa itu cuba berhijrah ke Taif, untuk mencari
perlindungan kepada Bani Thaqif, yang akhirnya malah baginda diusir dengan
cara tidak sopan. Baginda dilempari dengan batu dan kotoran, sehingga tubuh
baginda berlumuran darah dan kotor. Sehinggakan Zaed bin Harisah menangis,
melihatkan keadaan baginda yang sangat menyedihkan itu. Baginda, cuba untuk
masuk kembali ke Makkah, meskipun baginda tahu bahawa baginda akan
dibunuh, apabila berada di sana. Maka, baginda berusaha mencari perlindungan
kepada Mut’im bin Adi, salah seorang tokoh pemuda Makkah. Dan beliau
sanggup melindungi keselamatan baginda saw. dan dakwah baginda. Sejak
itulah, baginda berada dalam perlindungan Mut’im bin Adi.
Sejak itu, baginda sering kali mendatangi kabilah-kabilah yang datang ke
Makkah untuk menyampaikan dakwah Islam yang baginda bawa. Meskipun
risikonya sudah jelas sekali bagi baginda, sebagaimana sumpah baginda: "Demi
Allah, seandainya mereka boleh meletakkan matahari di tangan kananku, dan
bulan di tangan kiri ku, aku tetap tidak akan meninggalkan urusan dakwah ini,
sehingga ianya dimenangkan oleh Allah, atau aku dibinasakan dalam usaha
untuk menuntutnya" . Maka, baginda saw, tetap tidak takut, dan terus-menerus
berdakwah meskipun pada masa itu tidak satu pun kabilah yang menerima.
Pernah baginda menyampaikan dakwah ini kepada kabilah Amru bin Sa’sa’ah,
yang pada awalnya bersedia menerima seruan dakwah rasulullah, namun
dengan syarat bahawa kepemimpinan setelah baginda mestilah diserahkan
kepada kabilah Amru bin Sa’sa’ah, namun hal ini dijawab dengan tegas oleh
baginda:
"Sesungguhnya perkara (kekuasaan kepimpinan) ini merupakan wewenang
Allah, yang akan Dia serahkan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki."
Setelah jawapan itu disampaikan oleh Rasulullah, baginda langsung diusir
dari khemah kabilah Amru bin Sa’sa’ah. Inilah keadaan dakwah dan keteguhan
baginda dan para sahabat dalam menyampaikan risalah dakwah Islam.
Setelah semua itu berlaku, Allah memberikan pertolongan dengan
mempertemukan baginda saw. dengan orang-orang Aus dan Khazraj yang
datang untuk menunaikan haji ke Makkah. Maka, apabila mereka mendengarkan
seruan Rasul untuk mengimaninya, mereka langsung menerimanya, dan setelah
itulah terjadi Bai’at Aqabah I, yang dilakukan di bukit Aqabah. Dan ini merupakan
titik awal perkembangan dakwah Rasulullah saw. yang pertama, sehinggalah
dakwah Islam ini sampai ke Yatsrib, (nama Madinah sebelum diubah oleh
baginda saw).
Setelah rombongan Aus dan Khazraj kembali ke Madinah, mereka
meminta Nabi saw. untuk mengirimkan orang agar mengajarkan Islam kepada
mereka di sana. Ketika itulah, baginda saw. Telah mengirim Mus’ab bin Umair.
Salah seorang sahabat Rasulullah, yang sebelumnya merupakan pemuda yang
kaya raya, tetapi lebih memilih hidup sederhana bersama Rasulullah. Mus’ab lah
yang menyampaikan pelajaran Al-Quran kepada penduduk Madinah, sehingga
beliau mendapat gelaran sebagai Muqriul Madinah.
Ternyatalah dakwah Islam yang disampaikan oleh Mus’ab dan orang-orang Aus
dan Khazraj yang telah memeluk Islam itu berjaya merubah public opinion
penduduk Madinah, sehinggalah semua orang memperkatakan tentang Islam
dan dikatakan juga tidak ada satu pintu rumahpun yang tidak diketuk oleh
Mus'ab bin Umair. Akhirnya, bilangan orang yang menyertai Islam menjadi
semakin ramai, sehingga mereka mula melaksanakan solat Jumaah yang
pertama kalinya di sana.
Berita ramainya penduduk Madinah yang menyertai Islam ini telah
menyenangkan hati Rasulullah saw. dan para sahabat yang masih menyertai
baginda di Makkah. Dan untuk membuktikan kesiapan Madinah sebagai pusat
tegaknya dan pengembangan Islam, maka baginda meminta Mus’ab untuk
mengirimkan mereka ke Makkah. Maka, berangkatlah pada musim haji
berikutnya, seramai 75 orang. 73 orang terdiri daripada lelaki, dan 3 orang
lainnya adalah perempuan. Mereka kemudian sampai di Makkah dan bertemu
langsung dengan Nabi, menyatakan sumpah setia yang dikenal dengan Bai’at
Aqabah II. Bai’at ini juga dikenal sebagai sumpah setia untuk hidup dan mati
demi Islam dan juga merupakan penyerahan kekuasaan orang-orang Madinah
kepada Nabi untuk menjadi Ketua Negara Islam. Dan inilah yang mendorong
baginda untuk berhijrah ke Madinah.
Kedua, hijrah Rasulullah saw. ke Madinah bukan untuk melarikan diri,
atau menyelamatkan diri dari ancaman orang-orang kafir tetapi adalah untuk
menegakkan Islam, sehingga Islam ini menjadi agama dan ideologi yang boleh
disebarkan ke seluruh dunia, untuk menyelamatkan dunia daripada kehancuran.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT. dalam surat At-Taubah: 33/Al-
Fath: 28/As-Shaf: 9.
"Dialah yang mengutus RasulNya dengan (membawa) petunjuk dan agama yang
haq, agar Dia memenangkan agamanya, ke atas agama-agama yang lainnya."
Maka, tanpa hijrahnya Rasulullah ke Madinah, Islam tidak akan pernah
sampai kepada kita di Malaysia. Sebab, tidak pernah wujud negara Islam yang
menyebarkan dakwah ke seluruh dunia. Tetapi dengan hijrahnya baginda saw.
ke Madinah, maka sejak masa itulah negara Islam berdiri untuk yang pertama
kalinya di Madinah, dan sejak itulah Islam disebarkan dengan dakwah dan jihad
ke seluruh dunia. Sehinggalah Islam berkembang dengan cepatnya ke seluruh
dunia, yang dimulakan dengan penaklukan wilayah Hejaz (622-632 M.) semasa
baginda saw. kemudian secara berterusan, wilayah Syam di taklukkan semasa
Umar bin Khattab. Sehinggalah Islam memasuki Eropah, setelah beberapa
wilayahnya ditaklukkan pada tahun 696-705 M. pada masa Khilafah Umaiyah.
Pada masa yang sama, Islam juga telah sampai di Russia. Dan pada tahun 712,
Islam telah sampai di Asia Tenggara.
Tetapi memandangkan pentingnya peristiwa Hijrah Rasulullah saw. ini,
maka sememangnya peristiwa ini bukan sekadar menjadi peringatan, melainkan
lebih daripada itu. Peristiwa Hijrah tersebut, justeru wajib dijadikan pelajaran,
bahawa Islam menjadi agama kita, dan sampai kepada kita bukan merupakan
peristiwa kecil, tetapi merupakan peristiwa besar. Kalau bukan kerana
pengorbanan Rasul dan para sahabat yang tidak kecil itu, pastilah Islam ini tidak
akan sampai ke hari ini. Dan kalau bukan kerana wujudnya orang-orang yang
sanggup hidup dan mati demi Islam ini, tentulah Islam ini tidak sampai ke hari ini.
Dan kalau bukan kerana wujudnya orang-orang yang rela mengorbankan harta,
keluarga dan nyawa mereka, pastinya Islam tidak akan wujud hingga ke hari ini.
Dan oleh itu, kita semua berhutang kepada mereka. Dan kita tidak dapat
membayarnya, sebab mereka bukan meminta ganjaran daripada kita. Tetapi,
mereka menegakkan Islam dengan seluruh pengorbanan mereka, kerana
mereka telah menjual diri mereka kepada Allah, yang jiwa, harta dan semua
yang mereka korbankan itu telah dibeli oleh Allah dengan syurgaNya.
"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman itu, diri
dan harta mereka, bahawa mereka akan diberi (imbalan) syurga." (Q.s. At-
Taubah: 111).
Saat ini , ketika ini Islam telah kehilangan generasi terbaiknya yang
sanggup menjual diri, harta dan nyawanya kepada Allah untuk mendapatkan
syurga-Nya, dengan menegakkan Islam. Dan inilah yang menyebabkan
hilangnya cahaya petunjuk Islam, setelah runtuhya Khilafah Islamiyah, Turki
Uthmaniyah, pada 3 Mac 1924. Setelah itu, negeri kaum muslimin berterusan
mengalami musibah. Lihatlah bagaimana krisis Palestin, Bosnia, Filipina,
Kosovo, Indonesia dan Iraq.
Islam ketika ini memerlukan generasi yang sanggup mengorbankan diri,
harta serta nyawa mereka untuk menegakkannya. Kerana sekiranya tanpa itu,
Islam mustahil kembali berjaya diperingkat antara bangsa, seperti pada masa
baginda dan para sahabat hingga 13 abad kemudian. Maka, semuanya
terpulang kepada keimanan dan ketaqwaan tuan-tuan, puan-puan, saudara,
saudari dan teman-teman sekelian. Tetapi yang wajib diyakini, bahawa syurga
dan neraka itu adalah abadi. Syurga merupakan puncak kenikmatan yang tidak
diberikan secara percuma oleh Allah kepada manusia. Kerana itu, semakin tinggi
pengorbanan kita, maka semakin besar kenikmatan kita di akhirat kelak. Dan
sebaliknya. Akhir kata semoga kita termasuk di antara orang-orang yang
sanggup memberikan pengorbanan yang tertinggi demi Islam, semata untuk
mencari redha Allah dan syurgaNya.
HIJRAH SUBURKAN SEMANGAT PERSAUDARAAN
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan
janganlah kamu bercerai-berai; dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu
ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyyah dahulu), lalu Allah
menyatukan di antara hati-hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan
nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam
yang bersaudara”.(Ali Imran :103)
Memang benar bahawa persaudaraan adalah antara nikmat terbesar yang
diberikan oleh Allah S.W.T kepada umat Islam. Ia merupakan biasan dan
cerminan lubuk hati setiap individu Muslim yang beriman dan bertakwa dalam
membentuk sesebuah masyarakat. Firman Allah lagi dalam surah al-Anfal : 63
yang bermaksud:
“Dan Dialah yang menyatupadukan di antara hati mereka (yang beriman
itu). Kalaulah engkau belanjakan segala harta benda yang ada di bumi, nescaya
engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi
Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha
Berkuasa, lagi Maha Bijaksana”.
Persaudaraan dan Perpaduan
Persaudaraan yang kukuh dan utuh antara ahli masyarakat merupakan
asas kepada perpaduan sesebuah negara. Jalinan ikatan antara akidah, iman
dan takwa yang dimiliki oleh masyarakat tersebut akan dapat melahirkan nilai-
nilai positif dalam kehidupan bermasyarakat. Oleh sebab itu, para Rasul dan
Nabi diutuskan Allah kepada manusia. Berbekalkan risalah dakwah yang sama
iaitu mengajak manusia kepada tauhid, mereka juga memikul tugas
menyempurnakan kehidupan manusia yang sentiasa lalai dan alpa.
Perpaduan umat penting kerana ia adalah satu manifestasi kesatuan umat
Islam yang berpegang teguh kepada satu ikatan akidah rabbaniyyah dan berdiri
di atas komitmen iman dan takwa. Realiti sejarah telah membuktikan bahawa
masyarakat yang dibentuk atas landasan syariat Islam, yang kuat ukhuwah
Islamiyyahnya mampu mencipta tamadun dan peradaban yang tinggi. Lihat
sahaja pada kejayaan Rasulullah s.a.w dalam membina masyarakat Islam
pertama pada tahun 622M.
Umat Islam pada masa itu telah beriman dengan Allah dan berhijrah
kerana Allah bagi mendirikan masyarakat Islam, juga telah berjihad kerana Allah.
Oleh itu mereka telah memperolehi kejayaan, baik di dunia mahupun di akhirat.
Kejayaan mereka disebut oleh Allah S.W.T dalam firman-Nya yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada
jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi
darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-
orang haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah
orang-orang yang berjaya”.(at-Taubah : 20)
Kehebatan ukhuwah umat Islam terdahulu turut diceritakan oleh Imam al-
Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin iaitu perihal seorang sahabat Rasulullah
yang telah diberi hadiah kepala kambing, kemudian ia berkata “Saudaraku, Si
Fulan lebih memerlukan daripada aku”. Maka dikirimkan kepala kambing itu
kepada saudaranya dan saudaranya itu mengirimkan pula kepala kambing itu
kepada saudaranya yang lain. Ternyata si penerima selepas itu mengirimkannya
pula kepada saudara yang lain. Demikianlah berturut-turut hingga akhirnya
kepala kambing itu kembali kepada sahabat yang pertama, setelah ia berpindah-
pindah tangan kepada tujuh orang.
Ini adalah antara bukti bahawa dasar persaudaraan Islam tidak pernah
mengutamakan kepentingan peribadi sebaliknya sentiasa meletakkan
kemaslahatan umum di tangga yang pertama. Akidah rabbaniyyah yang
tertanam dalam jiwa mereka telah menjadikan mereka umat yang bersatupadu.
Maka tidak hairanlah jika umat Islam dahulu banyak mencipta kegemilangan dan
berjaya membina kekuatan yang luar biasa serta digeruni pihak musuh.
Peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Madinah ternyata begitu
banyak memberi inspirasi kepada pengukuhan perpaduan umat Islam pada hari
ini. Ia dikenang dan diraikan saban tahun supaya semangat perjuangan yang
ada pada umat Islam pada masa itu terus hidup dan dijiwai oleh generasi Islam
hari ini.
Dalam suasana kehidupan kita di Malaysia, perpaduan tetap menjadi asas
penting kepada kemajuan dan pembangunan yang kita kecapi pada saat ini. Kita
mempraktikkan agama dan budaya yang berbeza tetapi kita masih dapat
bekerjasama dan hidup rukun. Semangat persaudaraan dan muhibbah sesama
masyarakat masih terus diamalkan terutama di hari perayaan dan kebesaran
tertentu.
Oleh yang demikian, sewajarnyalah keharmonian yang ada pada hari ini
ditingkatkan dan dikekalkan. Tanggungjawab ini terpikul di bahu setiap individu
masyarakat tanpa kecuali.
Ancaman perpecahan dan permusuhan
Naluri atau tabiat semulajadi manusia yang bersih akan menuju kepada
kebaikan. Sifat-sifat mulia seperti toleransi, ‘ringan tulang’ dan murah hati adalah
merupakan Iradah Allah S.W.T yang diberikan kepada seseorang yang
dikehendaki-Nya.
Namun demikian, tidak semua manusia itu memilih untuk melakukan
kebaikan dalam hidup mereka. Golongan sebegini hanya bertindak mengikut
hawa nafsu dan mengutamakan kepentingan peribadi. Kehadiran mereka dalam
masyarakat hanya sebagai agen perosak kepada perpaduan dan keharmonian
yang terbina dalam masyarakat tersebut. Dalam Surah al-Jqthiyah : 23, Allah
S.W.T berfirman yang bermaksud :
“Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad)
terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia
pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui-Nya (bahawa dia tetap kufur ingkar),
dan dimeteraikan pula atas pendengaran dan hatinya, serta diadakan lapisan
penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah
petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh
itu mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak mahu beringat dan
insaf?”
Kumpulan ‘perosak masyarakat’ ini sentiasa berusaha menanamkan bibit-
bibit perpecahan dalam masyarakat dan tidak pernah berasa jemu
menggerakkan aktiviti mereka terutama jika mereka didalang oleh individu atau
kumpulan yang berpengaruh yang mempunyai agenda tersembunyi (hidden
agenda) untuk kepentingan peribadi mereka.
Bagi sebuah negara yang merdeka, pergolakan yang dicetuskan oleh
golongan ini akan memberi kesan buruk kepada survival dan masa depan
negara. Segala perancangan dan dasar yang diatur oleh pemimpin demi
kebaikan rakyat dan negara tidak akan dapat dilaksanakan dengan efektif selagi
ada usaha-usaha menghalang perlaksanaannya. Akibat daripada itu, masyarakat
akan ketinggalan dari segi pembangunan berbanding negara-negara lain.
Pembangunan mental melalui pendidikan juga tidak akan dapat berjalan lancar.
Ini akan menghalang usaha-usaha melahirkan sebuah masyarakat yang berilmu
dan intelek yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara. Bukan itu
sahaja, malah ia memberi kesan negatif kepada ekonomi yang merupakan
tunjang atau tulang belakang sesebuah negara bila mana pelabur asing tidak
berminat untuk melabur di negara kita berdasarkan rekod politik yang tidak stabil
dan ekonomi yang tidak mantap.
Kesan kepada rakyat akan lebih buruk lagi kerana mereka bukan sahaja
hidup dalam pergolakan yang merugikan, malah tidak dapat meningkatkan mutu
hidup seterusnya terus berada dalam kemiskinan yang menghimpit. Firman Allah
yang bermaksud: “Dan , sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam
banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu
memahami dengannya (ayat-ayat Allah) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak
mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga
(tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu
seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-
orang yang lalai”. (al-A’raaf:179)
Kalau begini keadaannya bagaimana dengan survival bangsa dan masa
depan generasi seterusnya? Kita perlu ingat bahawa Allah S.W.T telahpun
berpesan dalam firmannya yang bermaksud :
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum
sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” (ar-Ra’d:11)
Sesungguhnya Islam itu tidak pernah menyuruh kita terus berada dalam
perpecahan. Kita diseru supaya sentiasa bersatu-padu bagi memajukan diri,
agama , bangsa dan negara. Kemajuan tersebut tidak akan berhasil tanpa
penggemblengan tenaga sesama rakan taulan dan masyarakat.
PERISTIWA HIJRAH
Strategi Hijrah
Berdasarkan peristiwa hijrah, kita melihat betapa strategi dalam menjalankan
dakwah itu penting.
1. Ke rumah Abu Bakar
Rasulullah ke rumah Abu Bakar pada waktu paling sesuai, iaitu waktu
tengah hari, ketika mana orang kota Mekah tidak keluar rumah. Dan ketika itu,
Rasulullah berkelubung kerana memang ketika panas kepala ditutup (kelubung).
2. Minta ahli keluarga Abu Bakar keluar
Apabila Rasulullah ingin mengkhabarkan berita kepada Abu Bakar di
rumahnya, maka diminta ahli keluarga Abu Bakar keluar kerana tidak mahu
didengari oleh mereka. Ini menunjukkan bahawa kerahsiaan itu penting,
walaupun kepada orang yang terdekat kerana telah menjadi taktik musuh untuk
menggunakan org yang tersayang utk membocorkan rahsia (isteri, suami, ibu
bapa).
3. Ketika hendak berhijrah
Peristiwa Ali tidur di katil Rasulullah memang terkenal di kalangan
masyarakat kita. Bagaimana tanggungjawab seorang pengikut untuk berkorban
demi keselamatan ketuanya. Ini juga menunjukkan bahwa Rasulllah cuba lari
dari membuat perkara yang biasa. Menyentuh kejadian pembunuhan Hassan Al
Banna (Ikhwan Muslimin), kita mendapati bahawa satu kesilapan Hasan Al-
Banna ialah beliau gemar meletak kereta di tempat yang sama apabila beliau ke
satu tempat. Maka, musuh untuk memasang bom.
4. Bantuan Allah
ketika Rasulullah s.a.w. keluar rumah pada ketika ramai orang kafir
mengepung rumah baginda, beliau membacakan ayat 9 daripada Surah Yasin:
"And We have put a bar in front of them and a bar behind them, and further, We
have covered them up; so that they cannot see"
Dengan izin Allah, orang kafir tidak nampak dan mereka tertidur. Rasulullah
menabur pasir di atas kepala mereka, menunjukkan betapa hinanya mereka dan
bahawa perancangan Allah lebih hebat daripada perancangan manusia.
5. Ikut jalan lain ke Madinah
Madinah berada di utara Mekah. Baginda bergerak ke selatan dan
berhenti di Gua Thur untuk 3 hari lamanya. Malah selepas berteduh di dalam
gua, baginda mengikut jalan tepi laut Merah untuk ke Madinah, berbanding jalan
padang pasir biasa.
6. Bantuan Allah di Gua Thur
Ketika di Gua Thur (muat untuk dua orang), Abu Bakar nampak kaki orang
kafir di tepi gua. Pertolongan Allah, datang 2 ekor burung dan membuat sarang
di depan pintu gua dan juga labah-labah membuat sarangnya di pintu gua. Ini
membuatkan org kafir menyangka tiada siapa yang lalu di situ. Jika ada,
tentunya telur burung akan pecah, dan tentunya sarang labah labah akan koyak.
7. Peranan Asma, anak Abu Bakar di rumah.
Ayah kepada Abu Bakar adalah penentang ajaran Islam. Abu Bakar telah
mengambil barang-barang dalam rumah untuk dijadikan bekalan ketika
perjalanan. Untuk melindungi barangan yang hilang itu, Asma mengambil batu
dan meletakkannya dalam jar. Selubung dengan kain dan letak tepi dinding. Bila
ayah Abu Bakar nampak, maka dia ingat Abu Bakar tentu masih belum ke mana-
mana sebab barang dia masih ada lagi.
8. Mengupah bukan Islam
Ketika mengikut jalan laut, Rasulullah s.a.w. tidak tahu jalan mana yang
patut dilalui. Jadi, baginda telah mengupah seorang bukan Islam untuk menjadi
penunjuk jalan. Dengan ini menunjukkan kita boleh bekerjasama/minta tolong
dari orang bukan Islam.
9. Bercakap benar, tapi bijak
Dalam perjalanan ke Madinah, jika mereka bertemu dengan orang asing
yang bertanyakan Abu Bakar, “Siapakah dia bersama kamu (rasulullah)?, maka
Abu Bakar akan menjawab: “Dia ni penunjuk jalan”. Benarlah bahawa rasulullah
itu penunjuk jalan yang benar.
10. Pertolongan Allah daripada Suraqah Malik
Di Mekah, dikeluarkan notis (wanted) untuk Rasulullah s.a.w., sesiapa
yang dapat menangkap baginda akan diberikan 100 ekor unta merah. Suraqah
b. Malik adalah antara yang tertarik dengan tawaran tersebut. Dia dapat
mengesan jejak rasulullah dan apabila menghampiri Rasulullah s.a.w., kudanya
tiba-tiba terjatuh. Dia bangun lagi, terus mengejar dan kudanya terjatuh lagi.
Hinggalah kali ketiga kudanya terjatuh, maka Suraqah mengalah. Tentu ada
yang istimewa pada orang ni, cetusnya. Dia melaung supaya Rasulullah dan Abu
Bakar berhenti kerana ada perkara yang ingin dicakapkannya. Rasulullah
menyuruh Abu Bakar melihat situasi tersebut. Suraqah bertanya, “Apakah yang
kamu boleh bagi supaya aku jamin keselamatan kamu (tidak beritahu orang
lain)”? Maka Rasulullah s.a.w. menjawab yang Suraqah ini akan dipakaikan
gelang maharaja Parsi satu hari nanti. Ternyata ini menjadi kenyataan apabila di
zaman Umar Al-Khatab, Parsi jatuh ke tangan org Islam... dan gelang tersebut
diberikan kepada Suraqah.
Maka, dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa hijrah itu penting
kerana di saat itulah pertukaran antara umat Islam diperintah kepada yang
memerintah.