BAB 1
PENDAHULUAN
Pelaksanaan bahasa Inggeris dalam pengajaran matematik dan sains
merupakan satu dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Guru yang merupakan
pelaksana kepada dasar ini perlu melaksanakan walaupun tidak bersetuju dengan
dasar yang telah ditetapkan. Pelaksanaan bahasa Inggeris ini memberi satu tekanan
yang begitu berat kepada guru untuk meneruskan dasar ini. Terdapat pelbagai
masalah yang telah kita lihat secara langsung atau tidak rata-rata mengatakan
pelaksanaan dasar ini bakal mengundang kesan negatif mahupun kepada pelajar atau
institusi persekolahan tersebut. Di sini, peranan guru amat penting bagi memastikan
tiada masalah yang akan timbul dan pelaksanaan ini dapat berjalan dengan lancar.
Selain guru yang telah lama berkhidmat, bakal-bakal guru yang akan meneruskan
perjuangan dalam bidang ini juga tidak terkecuali dalam memastikan pelaksanaan
dasar ini dapat diteruskan dengan jayanya. Di sini, kajian akan dilakukan bagi
mengenalpasti faktor yang mempengaruhi persediaan bakal guru untuk mengajar
matematik dalam bahasa Inggeris. Faktor yang ingin dikenalpasti adalah dari segi
minat terhadap bahasa Inggeris, penguasaan bahasa Inggeris dan keyakinan untuk
mengajar dalam bahasa Inggeris. Kajian yang akan dijalankan ini diharapkan dapat
membantu semua pihak yang terlibat terutamanya bakal-bakal guru yang akan
menghadapi buat kali pertama mengajar dalam bahasa Inggeris. Selain itu, kajian ini
juga diharapkan dapat menjadi rujukan bagi menangani masalah yang berkaitan
dengan pengajaran matematik dalam bahasa Inggeris.
2
1.1 PENGENALAN
Bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa yang digunakan oleh semua
lapisan masyarakat di seluruh dunia. Bahasa ini menjadi satu bahasa perantaraan bagi
sesetengah negara yang majoritinya penduduknya yang bukan beragama Islam. Di
sini menunjukkan betapa luasnya penggunaan bahasa Inggeris di kalangan
masyarakat yang mempunyai daya saing yang tinggi dalam mengejar era globalisasi
ini. Oleh itu, menjadi satu keperluan kepada setiap orang untuk mempelajari dan
menguasai bahasa tersebut bagi melangkah ke arah yang lebih maju dan seiring
dengan perjalanan globalisasi masa kini. Di negara kita contohnya telah mengambil
inisiatif dengan pelaksanaan bahasa Inggeris digunakan dalam mengajar matematik
dan sains. Pelaksanaan ini telah dilakukan pada tahun 2003 untuk Tahun Satu,
Tingkatan Satu dan Tingkatan Enam. Oleh itu, tanggungjawab guru amat berat untuk
menyampaikan pengajarannya dengan lebih berkesan agar pelajar dapat memahami
dengan mudah.
Bahasa sangat penting dalam penyampaian dan pembinaan ilmu kepada
seseorang. Bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa digunakan secara meluas
terutama dalam bidang sains dan teknologi. Menurut Kesatuan Guru dan Pertubuhan
bukan kerajaan ( NGO ), bahasa Inggeris bukan sahaja dapat membantu golongan
pelajar menguasai bahasa berkenaan dengan lebih baik malah juga mampu bersaing
dengan pelajar-pelajar asing terutama dalam era globalisasi sekarang ini. Di samping
itu juga, Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah, Alimudin Md
Dom pula mencadangkan agar Kementerian Pendidikan menyediakan kursus dan
kemudahan yang sewajarnya kepada guru yang terbabit.
Selaras dengan pelaksanaan dasar pengajaran dalam bahasa Inggeris ini,
setiap warga Malaysia telah diseru untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris
dalam kehidupan. Latihan yang berterusan memberikan keputusan yang positif. Di
sinilah, usaha yang tinggi diperlukan dalam menjadikan bahasa ini sebati dalam diri
dan kehidupan kita di samping tidak memperendahkan bahasa kebangsaan yang tetap
3
menjadi bahasa kebangsaan negara kita. Mantan Perdana Menteri kita juga telah
menekankan bahawa setiap warganegara Malaysia yang berpendidikan haruslah
mempunyai kecekapan dalam bahasa Inggeris. Penguasaan dalam bahasa Inggeris
boleh menjadi tiket untuk maju ke hadapan dan menjadi seorang yang disegani oleh
semua orang. Kemahiran dalam bahasa Inggeris juga adalah salah satu syarat untuk
membangunkan negara Malaysia untuk menjadi sebuah negara perindustrian yang
maju. ( Asmah, 1989 ).
Permintaan terhadap pekerjaan lebih-lebih lagi dalam sektor awam semakin
meningkat selaras dengan kemajuan dunia masa kini dan antaranya Malaysia
merupakan sebuah negara yang maju dalam apa jua bidang seperti perindustrian,
pertanian dan sebagainya. Sesebuah syarikat yang mengambil pekerja melihat dalam
pelbagai aspek termasuk akademik, kemahiran yang dimiliki dan sebagainya. Jika
pada zaman dahulu, ia hanya melihat kepada akademik tetapi pada masa kini, bukan
hanya akademik tetapi kemahiran yang ada pada seseorang. Antaranya kemahiran
berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Di sini, kita dapat lihat betapa pentingnya
penggunaan bahasa Inggeris dalam kehidupan pada masa kini. Data yang diperolehi
dari pasaran kerja menyokong pendapat mengenai kekurangan sumber manusia atau
kekosongan di dalam pekerjaan memerlukan kelayakan sains dan disokong dengan
kemahiran berkomunikasi dalam berbahasa Inggeris.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Hishamuddin Tun Hussein
berharap agar pihak kerajaan dapat melaksanakan pengajaran dan pembelajaran
Matematik dalam bahasa Inggeris dengan teliti, bijak dan tersusun bagi mengelakkan
pelajar menjadi mangsa kegagalan. Satu jawatankuasa perancangan dan pelaksanaan
digesa agar ditubuhkan untuk memperhaluskan lagi sistem yang bakal dilaksanakan
nanti bagi merealisasikan dan memberikan dorongan kepada guru. Satu mesyuarat
khas kabinet yang dipengerusikan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir
Mohamad di Putrajaya juga bersetuju memberi galakan kepada guru-guru agar
menguasai bahasa Inggeris dengan baik (Berita Harian, 2003).
Menurut bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Musa Mohamed, pelaksanaan
pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sebagai satu kepentingan
4
utama negara dan mengarahkan Kementerian Pendidikan memberi perhatian
sepenuhnya bagi menjayakan dasar ini. Bagi memantapkan dan membolehkan
pengajaran ini dapat dibuat dengan lebih berkesan, pihak kementerian menyediakan
sejumlah peruntukan untuk membekalkan infrastruktur teknologi komunikasi
maklumat (ICT) seperti komputer bimbit, projektor LCD, skrin dan bahan interaktif
kepada sekolah. Bekalan elektrik juga akan dibekalkan secepat mungkin kepada
sekolah-sekolah yang masih tidak mempunyai kemudahan berkenaan, selain
dibekalkan dengan bahan rujukan bercorak sains. Selain itu juga, beliau juga
berpendapat bahawa penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya bagi mengajar
Matematik dan Sains di Sekolah Kebangsaan dan SJKT merupakan kelebihan,
bukannya satu kekurangan (Berita Harian, 2007).
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Rafie Mahat menegaskan apa
yang dilakukan oleh Malaysia dalam memperkenalkan pelbagai dasar baru dalam
pendidikan tidak salah, sebaliknya ia adalah mengikut perkembangan dan tuntutan
semasa. Katanya, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (P&P) Sains dan
Matematik dalam bahasa Inggeris (SMI) adalah antara contoh pembaharuan yang
dilakukan untuk membolehkan rakyat negara ini mencipta pelbagai kejayaan dalam
bidang sains dan teknologi. ``Jika Korea Selatan mewujudkan sekolah khas untuk
pelajar bijak, maka Malaysia juga mempunyai sekolah yang sama iaitu Sekolah
Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains Mara,'' katanya kepada Utusan Malaysia
di Seoul, Korea Selatan.
1.2 LATAR BELAKANG MASALAH
Pelaksanaan pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris telah
membuka mata banyak pihak terutamanya bakal guru yang akan mengajar. Bakal
guru ini seharusnya membuat banyak persediaan dari segi mental, fizikal dan rohani.
Persediaan yang rapi memerlukan pengorbanan yang tinggi. Pengorbanan ini
5
memerlukan seseorang bakal guru memenuhi ilmu pengetahuan yang secukupnya
dalam bidang yang akan diajar di samping mengukuhkan penguasaan bahasa
Inggeris. Dasar yang telah ditetapkan telah memaksa bakal guru untuk mencari
alternatif untuk menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik lagi.
Penguasaan bahasa Inggeris di kalangan bakal guru tidak lagi mencapai tahap
yang diperlukan untuk menjadi seorang penyampai yang baik. Pihak yang sangat
penting dalam pelaksanaan dasar tersebut, iaitu guru sendiri menghadapi masalah
yang amat besar. Daripada sejumlah 181,340 orang guru di sekolah rendah pada
tahun 2004, dianggarkan kira-kira 80,000 orang terlibat dalam pengajaran sains dan
matematik dan semuanya terlatih dalam bahasa Melayu yang dijadikan bahasa
penghantar utama dalam sistem pendidikan negara sejak tahun 1970. Dengan
pelaksanaan dasar tersebut secara mendadak, dapat dipastikan berlakunya masalah
pengajaran yang dihadapi oleh guru-guru. Kajian yang dijalankan oleh Dewan
Bahasa dan Pustaka Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2004 di 242 buah
sekolah menengah di seluruh negara menunjukkan bahawa guru tidak mempunyai
kesediaan untuk mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Hanya 54.7%
guru sains dan 62.2% guru matematik yang mampu menerangkan konsep sains dan
matematik dalam bahasa Inggeris. Satu kajian lain yang dijalankan pada tahun 2004
dengan jelas menunjukkan bahawa 81% guru mahu sains dan matematik diajarkan
dalam bahasa Melayu, 72% mengatakan bahawa pencapaian pelajar dalam sains dan
matematik akan lebih cemerlang jika diajarkan dalam bahasa Melayu, dan 79%
berpendapat bahawa pelajar lebih dapat menumpukan perhatian jika kedua-dua mata
pelajaran itu diajarkan dalam bahasa Melayu. Daripada kajian-kajian di atas, dapat
dibuat satu kesimpulan bahawa seorang guru yang sudah lama berkhidmat dalam
profession ini mempunyai masalah dalam persediaan mengajar dalam bahasa
Inggeris inikan pula bakal guru yang baru dalam profession ini.
Didapati bahawa hanya kurang daripada 10% rakyat Malaysia yang boleh
berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Kadar ini juga telah menunjukkan bahawa
amalan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris kurang diterapkan di kalangan bakal
guru terutamanya. Mereka tidak mempunyai keyakinan diri untuk bertutur dalam
6
bahasa Inggeris. Sikap ini memberi kesan yang negatif kepada diri sendiri dan pelajar
yang akan diajar. Masalah akan timbul apabila bakal guru ini ingin menyampaikan
isi pengajaran kepada pelajar dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, di sini dapat kita lihat
bahawa amalan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dapat memberi bonus untuk
mengukuhkan lagi kemampuan dalam bahasa Inggeris.
Menurut kajian yang dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Universiti
Kebangsaan Malaysia (2004), ia menunjukkan penurunan prestasi yang cukup
mencemaskan di kalangan pelajar yang terlibat dalam mata pelajaran sains dan
matematik, bahasa Inggeris dan bahkan bahasa Melayu. Dalam Peperiksaan
Pertengahan Tahun Tingkatan 2 pada tahun pengajian 2004 (pelajar yang mula
belajar sains dan matematik di tingkatan 1 pada tahun 2003 dalam bahasa Inggeris),
peratus pelajar yang mendapat gred cemerlang (gred A) bagi mata pelajaran sains
hanya 11.9% dan bagi mata pelajaran matematik hanya 16.9%. ini. Ini telah
membuktikan bahawa bakal guru terutamanya haruslah meningkatkan usaha untuk
memastikan pengajaran yang berkesan seterusnya melahirkan pelajar yang berjaya.
1.3 PERNYATAAN MASALAH
Dasar pelaksanaan pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris
menuntut bakal guru untuk membuat banyak persediaan bagi memastikan
pelaksanaannya berjalan dengan baik dan lancar. Dalam memastikan pelaksanaan
dasar ini mencapai kejayaan, beberapa faktor harus dipertimbangkan. Antaranya
faktor minat terhadap bahasa Inggeris, penguasaan dalam bahasa Inggeris dan
keyakinan diri.
Persediaan bakal guru dipengaruhi oleh faktor minat terhadap bahasa
Inggeris, penguasaan dalam bahasa Inggeris dan keyakinan diri. Minat adalah suatu
7
aspek yang penting dalam melakukan sesuatu dengan berjaya. Sebagai contoh,
seseorang mampu menjadi seorang doktor yang berjaya kerana dia mempunyai minat
yang mendalam terhadap dunia perubatan, yang telah menjadikan dia seorang doktor
yang mampu merawat semua orang yang memerlukan perkhidmatannya. Begitu juga
dengan minat terhadap bahasa Inggeris. Seseorang bakal guru seharusnya menanam
minat yang mendalam terhadap bahasa Inggeris. Ini bagi memastikan seseorang
bakal guru dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang guru yang
berdedikasi.
Selain itu, penguasaan terhadap bahasa Inggeris juga memainkan peranan
yang penting dalam persediaan bakal guru untuk mengajar. Apabila seseorang tidak
menguasai sesuatu ilmu yang akan diajar kepada orang lain, proses pengajaran dan
pembelajaran tidak akan berlaku. Ini bermakna tujuan kita sebagai seorang guru
tidak akan berjaya. Oleh itu, bakal guru seharusnya menguasai bahasa Inggeris
dengan baik. Penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru amat penting bagi
memastikan pelaksanaan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan ini berjalan dengan
lancar dan berjaya.
Keyakinan diri juga berkait rapat dengan persediaan bakal guru untuk
mengajar dalam bahasa Inggeris. Seseorang bakal guru mestilah mempunyai
keyakinan yang tinggi dalam diri kerana dengan adanya semangat ini, dapat
menyampaikan pengajaran dengan lebih berkesan. Oleh itu, seseorang bakal guru
harus mempersiapkan diri dengan tahap keyakinan yang tinggi dalam diri masing-
masing.
Oleh itu, kajian ini dijalankan bagi melihat adakah faktor-faktor seperti minat
yang mendalam terhadap bahasa Inggeris, penguasaan terhadap bahasa Inggeris dan
keyakinan diri mempengaruhi persediaan bakal guru untuk mengajar matematik
dalam bahasa Inggeris.