dalam mahkamah rayuan malaysia (bidang kuasa … · 2017-03-05 · 1952 yang boleh dihukum di bawah...

24
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: W-05-64-03-2014 ANTARA IMAN NAJJARZADEH ... PERAYU LAWAN PENDAKWA RAYA RESPONDEN DIDENGAR BERSAMA DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: W-05-56-03-2014 ANTARA PENDAKWA RAYA ... PERAYU LAWAN ABDOLKHALEGH MOHAMMADREZAEI ABBAS … RESPONDEN

Upload: others

Post on 06-Jan-2020

17 views

Category:

Documents


2 download

TRANSCRIPT

1

DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN)

RAYUAN JENAYAH NO: W-05-64-03-2014

ANTARA

IMAN NAJJARZADEH ... PERAYU

LAWAN

PENDAKWA RAYA … RESPONDEN

DIDENGAR BERSAMA

DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN)

RAYUAN JENAYAH NO: W-05-56-03-2014

ANTARA

PENDAKWA RAYA ... PERAYU

LAWAN

ABDOLKHALEGH MOHAMMADREZAEI ABBAS … RESPONDEN

2

___________________________________

(Dalam Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur

Perbicaraan Jenayah No: 45A-1-01-2012)

Antara

Pendakwa raya

Lawan

1. Iman Najjarzadeh

2. Abdolkhalegh Mohammadrezaei Abbas

KORAM:

MOHTARUDIN BAKI, HMR

ZAKARIA SAM, HMR AHMADI HAJI ASNAWI, HMR

ALASAN PENGHAKIMAN

[1] Untuk maksud rayuan ini, perayu Iman Najjarzadeh dalam

Rayuan Jenayah No. W-05-64-03-2014 akan dirujuk sebagai Tertuduh

Pertama (T1) dan responden Abdolkhalegh Mohammadrezael Abbas

dalam Rayuan Jenayah No. W-05-56-03-2014 akan dirujuk sebagai

Tertuduh Kedua (T2).

[2] Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh adalah seperti berikut:

3

“Bahawa kamu bersama-sama pada 15 September 2011, jam lebih

kurang 9.20 malam, di bilik No. 3007, Berjaya Times Square Hotel,

Jalan Imbi, di dalam daerah Dang Wangi di dalam Wilayah

Persekutuan Kuala Lumpur, dalam meneruskan niat bersama kamu

berdua, telah mengedar dadah berbahaya, iaitu 2,134.1 gram

Methamphetamine, dan oleh yang demikian kamu telah melakukan

satu kesalahan di bawah seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya

1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B (2) Akta yang sama

dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.”

[3] Kedua-dua tertuduh minta untuk dibicarakan.

[4] Di akhir kes pembelaan, T1 telah disabitkan dan dihukum mati,

sementara T2 telah dilepas dan dibebaskan dari pertuduhan tanpa

dipanggil membela diri.

[5] T1 telah mengemukakan rayuan di atas sabitan dan hukuman

mati ke atasnya. Sementara itu Pendakwa Raya mengemukakan rayuan

terhadap pelepasan dan pembebasan T2.

Kes pendakwaan

[6] Pada 19.8.2011, SP5 (Agent Provocateur) telah menerima

maklumat daripada sumber berdaftar beliau mengenai kegiatan

pengedaran dadah jenis syabu dalam bentuk kilo yang dijalankan oleh

dua lelaki Iran yang dikenali dengan nama ‘Iman dan ‘Haji Ali’. Satu

pertemuan telah diatur oleh sumber tersebut di Starbucks Café, Times

Square, Jalan Imbi (Starbucks Café) pada 20.8.2011 jam sekitar 4.30

petang.

4

[7] Dalam pertemuan itu, SP5 telah menyamar sebagai tauke kepada

sumber, seorang pengedar dadah yang bergiat aktif di Pulau Pinang.

Sumber telah memperkenalkan SP5 sebagai bosnya bernama Jeff

kepada T1. SP5 pula memperkenalkan Konstabel Zuraidah Salleh

(Zuraidah) yang turut bertindak sebagai AP sebagai teman wanita

beliau, kepada T1.

[8] Dalam pertemuan itu, T1 mengakui terlibat dalam aktiviti

pengedaran dadah jenis syabu (Methamphetamine) yang beliau sebut

sebagai ‘Ice’. T1 mengatakan beliau bekerja di bawah seorang boss

yang dikenali dengan nama Haji Ali. SP5 menyatakan minatnya untuk

berurusan dengan T1 dan Haji Ali dalam jual beli dadah syabu dan

meminta untuk diperkenalkan dengan Haji Ali. Sebelum berpisah, T1

telah memberikan nombor telefonnya 010-8928444 kepada SP5 dan

SP5 telah memberikan nombor telefonnya 016-3083939 kepada T1.

[9] Semasa perbualan mereka, sumber dan Zuraidah hanya

mendengar sahaja.

[10] Pada hari yang sama jam lebih kurang 11.05 malam, SP5 telah

menerima satu panggilan telefon daripada T1 menyatakan hasrat beliau

dan Haji Ali untuk bertemu dengan SP5. T1 meminta SP5 untuk

mengaturkan pertemuan tersebut.

[11] Pada 21.8.2011 lebih kurang jam 6.00 petang, SP5 telah

menghubungi telefon T1 dan memaklumkan pertemuan makan malam

telah diatur pada jam 10.00 malam hari tersebut di restoran The Ship, di

Jalan Sultan Ismail.

5

[12] Jam lebih kurang 10.30 malam, T1 dan Haji Ali iaitu T2 dan isteri

T2 yang bernama Neelofa telah bertemu dengan SP5 dan Zuraidah di

restoran The Ship. Dalam pertemuan itu, T2 memberitahu SP5 bahawa

T1 adalah manager beliau dan juga penghantar bekalan dadah kepada

pelanggan beliau. T2 juga menyatakan beliau pernah diburu oleh polis

Malaysia dan beliau telah melarikan diri ke Jepun. T2 mengakui beliau

menjalankan kegiatan yang sama di Jepun. T2 turut menyatakan beliau

baru masuk semula ke Malaysia 2-3 bulan lepas. T2 memberitahu SP5

bahawa beliau boleh membekalkan Ice sehingga 10 kilogram dalam

satu transaksi dengan harga RM140,000.00 bagi setiap kilogram.

[13] Pada 6.9.2011, SP5 telah menghubungi T1 dan mengaturkan satu

lagi pertemuan makan malam di restoran Victoria Station, di Jalan

Ampang pada 7.9.2011 jam 10.00 malam. SP5, T1, T2, Neelofa dan

Zuraidah hadir dalam pertemuan itu. Dalam pertemuan itu, T2 telah

menawarkan untuk membekalkan 3 kilogram syabu kepada SP5 dengan

harga RM360,000.00. SP5 menyatakan akan berbincang dengan

pelanggan beliau tentang bekalan dan harga yang ditawarkan oleh T2.

[14] Pada 9.9.2011, di atas permintaan T1, pada jam 2.00 petang, SP5

dan T1 telah bertemu di restoran Starbucks Café. Dalam pertemuan itu,

T1 telah bertanya kepada SP5 bilakah SP5 akan membuat pesanan.

SP5 menyatakan pelanggan beliau tidak bersetuju dengan harga yang

telah ditawarkan dan meminta harga dikurangkan.

[15] Pada 13.9.2011, SP5 telah menghubungi T1 dan mereka

bersetuju untuk berjumpa pada 14.9.2011 di sebelah petang.

6

[16] Dalam perjumpaan pada sebelah petang 14.9.2011 di Starbucks

Café, T1 memberitahu SP5 bahawa T2 telah bersetuju untuk

mengurangkan harga tiga kilogram Ice kepada RM350,000.00 sahaja.

SP5 memesan tiga kilogram syabu dengan harga yang ditawarkan. Atas

faktor keselamatan, SP5 mengesyorkan transaksi tersebut diadakan

pada 15.9.2011 jam 3.00 di bilik Hotel Berjaya Times Square (Hotel

Berjaya). T1 telah bersetuju dengan cadangan itu.

[17] Pada 15.9.2011 jam 9.00 pagi, satu mesyuarat dan taklimat telah

diadakan dengan dipengerusikan oleh SP8 selaku Ketua Bahagian

Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Dang Wangi. Turut hadir dalam taklimat

itu adalah dua ketua pasukan serbuan iaitu oleh SP6 dan SP7. Hadir

sama ASP Lee Hock Leong, selaku pegawai projek kes. Arahan

diberikan sekiranya dadah ada dibawa oleh kedua-dua tertuduh, SP5

akan memberi isyarat tangkapan kepada pasukan serbuan dengan

membuat panggilan SMS kepada SP6.

[18] Seperti yang diarahkan, SP5 telah menempah dua buah bilik yang

bersebelahan di Hotel Berjaya iaitu bilik 3006 dan 3007. Bilik 3007 untuk

transaksi jual beli dadah manakala bilik 3006 untuk menempatkan SP6

dan pasukan serbuan beliau.

[19] Pada 15.9.2011 jam 2.00 petang, SP5 telah masuk ke dalam bilik

3007 bersama-sama Zuraidah. Lebih kurang jam 3.00 petang, SP5 telah

turun ke tingkat bawah untuk menunggu kedatangan T1 dan T2 di

Starbucks Café. Sementara itu Zuraidah menunggu di bilik 3007.

Manakala pasukan serbuan yang diketuai oleh SP6 telah mengambil

tempat di dalam bilik 3006.

7

[20] Lebih kurang jam 4.00 petang, SP5 telah menerima panggilan

telefon dari T1 yang memberitahu beliau dan T2 tidak dapat datang oleh

kerana terdapat sedikit hal. T1 menyatakan T2 akan menghubungi SP5

untuk memberitahu mengapa mereka tidak dapat datang hari itu. Selang

beberapa minit kemudian, SP5 telah menerima panggilan telefon

daripada T2 melalui nombor 013-3007303. Menerusi panggilan itu, T2

memberitahu SP5 dadah yang hendak dibekalkan masih belum kering

lagi dan T2 meminta transaksi ditangguhkan kepada jam 9.00 malam

itu.

[21] Pada jam 8.45 malam, SP5 turun menunggu kedua-dua tertuduh

di Starbuck Café. Lebih kurang jam 9.15 malam, T1 sampai dan

memberitahu SP5 bahawa T2 tidak dapat datang. Bagaimanapun beliau

ada membawa tiga kilogram Ice bersamanya di dalam beg plastik

Parkson (P13) yang beliau jinjit ketika itu. T1 telah bertanya kepada SP5

mengenai wang RM350,000 untuk harga tiga kilogram Ice tersebut. SP5

menjawab wang itu ada pada teman wanitanya di dalam bilik hotel dan

mengajak T1 naik ke bilik hotel untuk mendapatkan wang tersebut. T1

bersetuju.

[22] Di dalam bilik 3007, T1 telah meletakkan beg Parkson tersebut di

atas sofa. Apabila SP5 meminta untuk melihat bekalan, T1 telah

menunjukkan tiga paket plastik jernih bertulisan Diamond (P14, P15 dan

P16) yang berada di dalam beg Parkson itu yang setiap satu berisi

bahan kristal jernih disyaki syabu. Setelah pasti bahan tersebut adalah

syabu, SP5 terus menghantar SMS kepada SP6. SP6 dan pasukannya

terus melakukan serbuan ke atas bilik 3007. T1 telah ditahan dan P14,

P15 dan P16 juga dirampas.

8

[23] Di atas arahan ASP Leong, SP7 dan pasukannya pula telah

menahan T2 dan isterinya Neelofa di My Habitat 2 Studio Apartment

(My Habitat), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 16.9.2011 jam

12.45 tengah malam. Tiada dadah dijumpai di situ.

[24] T1 dan T2 telah di bawa ke May Tower Apartment di mana T1

dikatakan tinggal di situ. Pintu bilik telah dibuka dengan menggunakan

anak kunci (P44) yang dirampas dari unit di My Habitat. Setelah

dibacakan amaran, T1 telah mengambil satu beg plastik Seven Eleven

(P19) dan menyerahkannya kepada SP7. Di dalam beg tersebut

terdapat tiga plastik lutsinar (P20, P21 dan P22) yang berisi bahan

kristal jernih yang disyaki syabu.

[25] Barang-barang kes yang disyaki syabu telah dihantar ke Jabatan

Kimia untuk dianalisa. SP3 (Ahli Kimia) telah mengesahkan bahawa

bahan kristal jernih dari tiga bungkusan plastik P14, P15 dan P16

mengandungi dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan jumlah

berat 2,134.1 gram dan tiga bungkusan plastik P20, P21 dan P22

mengandungi Methamphetamine seberat 75.41 gram.

[26] T1 telah dipertuduh dengan pertuduhan tambahan No. 45A-72-

12/2001 iaitu pada 16.9.2011 jam 2.00 pagi di alamat 7-25-27 May

Tower, Jalan Munsyi Abdullah mengedar 75.41 gram

Methamphetamine, di bawah s.39B(1)(a) ADB (pertuduhan tambahan).

Dapatan di akhir kes pendakwaan

[27] Hakim bicara memutuskan pihak pendakwaan telah berjaya

membuktikan satu kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

9

[28] T1 dan T2 dipanggil membela diri dalam kes 45-1-01/2012. T1

juga dipanggil membela diri untuk pertuduhan tambahan.

Kes pembelaan

[29] Kedua-dua tertuduh memilih memberi keterangan secara

bersumpah.

Pembelaan T1

[30] Beliau berasal dari negara Iran dan pernah ke Malaysia sebanyak

tiga kali sebelum ini. Beliau datang ke Malaysia untuk menjalankan

perniagaan jual beli komputer dan peralatan IT.

[31] Pada 15.09.2011 jam 8.00 malam, beliau telah pergi ke rumah

kawannya, T2 dan Neelofa di My Habitat untuk menyerahkan pasport

beliau kepada Neelofa untuk diperbaharui tempoh visa beliau yang akan

tamat. Neelofa mempunyai kawan yang boleh menolong untuk

membaharui visa beliau.

[32] Pada masa itu T1 ada membawa bersamanya satu beg plastik

berisi beberapa helai pakaian untuk ahli keluarga beliau di Iran. Pakaian

itu hendak diserahkannya kepada kawannya Rezal yang akan pulang ke

Iran tidak lama lagi.

[33] Selepas menyerahkan pasport kepada Neelofa, T1 ke Bukit

Bintang untuk berjumpa dengan Rezal di hadapan Restoran KFC Bukit

Bintang. Selepas menyerahkan beg berisi pakaian itu kepada Rezal,

10

beliau telah diminta oleh Rezal untuk menyerahkan satu beg plastik

kepada kawannya yang bernama Jeff yang berada di Starbucks Café,

Berjaya Times Square.

[34] Beliau membawa beg yang diberikan oleh Rezal dan bertemu

dengan Jeff (SP5) di Starbucks Café. Mereka duduk dan berbual. Dalam

perbualan itu, T1 memberitahu Jeff beliau terlibat dalam perniagaan IT.

Jeff memberitahunya beliau ada kawan di Low Yat Plaza yang boleh

memberikan harga yang lebih murah kepadanya. Jeff mengajak beliau

naik ke biliknya di Hotel Berjaya untuk melayari internet untuk mencari

harga yang berpatutan. Di dalam bilik itu T1 telah berjumpa dengan

teman wanita Jeff.

[35] T1 telah meletakkan beg plastik di atas sofa dan pada masa T1

melihat Jeff bercakap dengan seseorang menerusi telefon bimbit, tiba-

tiba T1 melihat Jeff terus keluar dari bilik dan pada masa yang sama

seramai 10-12 orang telah menyerbu masuk dan menangkap beliau.

Mereka juga merampas beg plastik yang diletakkan di atas sofa. Mereka

memberitahunya terdapat dadah di dalam beg itu.

[36] T1 kemudiannya di bawa ke May Tower dan di sana beliau

bertemu dengan T2 dan Neelofa. Mereka kemudian dibawa ke sebuah

unit di May Tower. Di sana pihak polis telah merampas dadah di dalam

sebuah unit di tingkat 27. T1 menafikan tinggal di unit itu.

[37] Beliau menafikan terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah,

menafikan pernah bertemu dan berbincang dengan SP5 mengenai

transaksi jual beli dadah Ice dan menafikan telah menggunakan talian

012-8928444 dalam perhubungannya dengan SP5.

11

Pembelaan T2

[38] T2 telah mengemukakan keterangan membela diri secara bertulis.

[39] Beliau menafikan pernah menggunakan nama Haji Ali. Beliau, T1

dan Neelofa tidak pernah bertemu dengan SP5 di restaurant The Ship

pada 21.8.2011 jam 9.45 malam atau pada bila-bila masapun.

[40] Beliau tidak pernah memberitahu SP5 bahawa beliau adalah boss

kepada T1. Beliau juga tidak pernah menawarkan tiga kilogram syabu

kepada SP5. Beliau faham bahasa Inggeris. Beliau menafikan pernah

berbincang tentang harga syabu dengan SP5.

[41] Beliau datang ke Malaysia sebagai pelancong dan telah bertemu

dengan Neelofa di sini. Neelofa adalah isteri keduanya. Beliau tidak

terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dan tidak pernah bercakap

dengan SP5 mengenai dadah. Beliau menafikan talian 013-3007303

adalah nombor telefonnya.

[42] Beliau mengenali T1 melalui Neelofa. T1 pernah datang untuk

menyerahkan pasportnya kepada Neelofa dan pada masa itu T1 ada

membawa sebuah beg plastik berisi pakaian. Beliau langsung tidak ada

pengetahuan mengenai transaksi penyerahan dadah antara SP5

dengan T1 pada malam itu.

[43] Beliau mendapat tahu semasa di dalam penjara Sungai Buloh

bahawa SP5 sendiri adalah seorang pengedar dadah dan telah

menggunakan warga asing sebagai kambing hitam untuk

12

menyembunyikan aktiviti haram beliau. T2 percaya SP5 telah

berbohong dan mengada-adakan cerita apabila mengaitkan diri beliau

dalam kegiatan pengedaran dadah.

[44] Beliau tidak tahu di mana Neelofa berada sekarang dan beliau

menyalahkan pihak polis kerana gagal memanggil Neelofa ke

Mahkamah. Ini kerana Neelofa boleh menjadi saksi penting kepada

pembelaan beliau.

Dapatan di akhir kes pembelaan

Terhadap T1

[45] Untuk kes 45A-01-01/2012 hakim bicara memutuskan T1 telah

gagal menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes

pendakwaan. T1 disabitkan dan dijatuhi hukuman mati.

[46] Untuk pertuduhan tambahan, T1 telah dibebaskan.

Terhadap T2

[47] Hakim bicara memutuskan T2 telah berjaya menimbulkan

keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan. T2 telah dilepas

dan dibebaskan.

Rayuan

[48] T1 telah mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman

ke atasnya.

13

[49] Pihak pendakwaan pula telah mengemukakan rayuan terhadap

pembebasan dan pelepasan T2.

[50] Pihak pendakwaan bagaimanapun tidak mengemukakan rayuan di

atas pelepasan dan pembebasan T1 dari pertuduhan tambahan.

Rayuan T1

[51] Di hadapan kami, T1 telah mengemukakan tiga isu di atas

sabitannya:

i. Niat bersama mengedar dadah – bolehkah hakim melepas dan

membebaskan T2 dan mensabitkan T1;

ii. Kredibiliti SP5 sebagai AP telah dicabar di dalam satu kes lain

yang diputuskan oleh hakim yang sama; dan

iii. Bolehkah sabitan hanya berdasarkan inferen/syak wasangka

(suspicion) tanpa pengetahuan?

[52] Kami akan menjawab isu kedua dan ketiga dahulu.

[53] Di atas isu kedua, peguam bela T2 menghujahkan SP5 bukan

seorang saksi yang kredibel kerana keterangannya pernah dicabar di

dalam kes PP v. Bird Dominic Jude [2013] 6 AMR 598 yang dibicarakan

oleh hakim bicara yang sama.

[54] Hakim bicara telah menjawab isu ini seperti berikut di perenggan

35 penghakimannya (di m.s 244 RR Jilid 2):

14

‘[35] Peguambela terpelajar bagi tertuduh kedua telah mengemukakan

keterangan yang telah diberikan oleh saksi SP5 dalam kes PP v. Bird

Dominic Jude [2013] 6 AMR 598 sebagai keterangan untuk

menunjukkan bahawa SP5 bukanlah seorang saksi yang kredibel. Di

dalam kes Bird Dominic Jude [supra], saksi SP5 (sebagai SP4 dalam

kes tersebut) tidak pernah kredibilitinya dicabar oleh mana-mana pihak

di bawah seksyen 155 Akta Keterangan 1950. Begitu juga di dalam

kes di hadapan Mahkamah sekarang, kredibiliti SP5 tidak penah

dicabar oleh mana-mana pihak di bawah peruntukan yang sama.

Walaupun begitu, peguambela-peguambela terpelajar berhujah SP5

saksi yang tidak boleh dipercayai dan seorang saksi yang tidak

kredibel.’

[55] Seterusnya di perenggan 38 hakim memutuskan:

‘[38] Oleh sebab kredibiliti SP5 tidak dicabar dalam kes ini dan bahawa

kredibiliti SP5 telah dipersoalkan dalam kes yang lain tidak boleh

diterima bagi mencabar kredibiliti SP5 dalam kes ini, Mahkamah ini

berpandangan bahawa kredibiliti SP5 adalah kekal baik (intact). Tiada

alasan lain ditunjukkan oleh pihak pembelaan bahawa keterangan SP5

langsung tidak boleh dipercayai yang mewajarkan keterangannya

ditolak. Oleh itu Mahkamah ini menerima keterangan yang telah

diberikan oleh SP5 dalam kes ini.’

[56] Kami bersependapat dengan hakim bicara. Pihak pembelaan

perlu mengemukakan keterangan yang mampu mencabar keterangan

SP5 di bawah s.155 Akta Keterangan. Kami dapati tiada keterangan

dikemukakan oleh pihak pembelaan yang telah berjaya untuk

menyanggah keterangan SP5.

[57] Tiada undang-undang yang mengatakan oleh kerana di dalam kes

terdahulu seorang saksi telah dicabar kredibilitinya, maka di dalam kes

15

berikutnya keterangan saksi itu tidak boleh diterima. Kredibiliti

seseorang saksi itu berdasarkan kepada keterangan yang telah dicabar

di dalam kes berkenaan sahaja. Sekiranya kes berikutnya keterangan

saksi itu tidak dicabar, keterangannya adalah baik di sisi undang-

undang. Mahkamah tidak pernah memutuskan sekali saksi itu

berbohong, sampai bila-bila akan hilang kredibilitinya. Kredibiliti

seseorang saksi itu bergantung pada keterangannya dalam sesuatu kes

di mahkamah bukannya berasaskan suatu stigma. Kami bersetuju

dengan S. Augustine Paul di dalam bukunya Impeachment Proceeding

apabila beliau menulis:

‘Where the credit of a witness has been impeached in one case there

is no justification for a Court to consider that fact in evaluating the

credibility of the same witness in another case. The issue must be

decided by the Court on the evidence before it. So the judgment of

another Court disbelieving the witness cannot be put in for impeaching

his credit. It is also not admissible under section 158 of the Evidence

Act.’

[58] Kami memutuskan isu ini tidak bermerit.

[59] Di atas isu ketiga, adalah kes T1 bahawa beg plastik Parkson

berisi dadah itu diberikan kepadanya oleh rakannya Rezal untuk

diberikan kepada rakan Rezal bernama Jeff (iaitu SP5) di Starbuck

Café. Apabila beg itu disampaikan kepada SP5 beliau telah ditangkap di

bilik hotel SP5. Beliau menafikan beliau mengetahui beg itu

mengandungi dadah dan itulah pertama kali beliau bertemu dengan

SP5.

16

[60] Sekiranya beliau hanya perlu menyerahkan beg plastik itu kepada

SP5 dan telah menyerahkannya kepada SP5 di Starbuck Café, apa

perlu T1 mengikut SP5 naik ke bilik hotel SP5.

[61] Pembelaan T1, selepas menyerahkan bungkusan itu kepada SP5,

SP5 telah mengajaknya naik ke bilik hotel untuk melayari internet bagi

mendapatkan harga bahan-bahan IT yang lebih murah untuknya.

Penjelasan T1 ini sukar untuk diterima. Masakan SP5 yang baru

pertama kali bertemu dengan T1, terus mengajak T1 ke bilik hotelnya.

Tambahan pula teman wanita SP5 berada di dalam bilik berkenaan.

SP5 dan T1 bukannya bersahabat.

[62] Bagaimanapun SP5 telah memberikan penjelasan mengapa T1

naik ke bilik hotelnya seperti mana diringkaskan oleh hakim bicara di

perenggan 39 penghakimannya (di m.s 246 dan 247 RR Jilid 1):

‘[39] ….. Menurut keterangan SP5 penyerahan barang kes dadah

hendaklah dilakukan di dalam bilik hotel (bilik 3007 Hotel Berjaya

Times Square). Apabila tertuduh pertama menanyakan mengenai

wang RM350,000 untuk harga dadah Ice tersebut, SP5 mengajak

tertuduh pertama masuk ke dalam bilik hotel dan memaklumkan wang

itu berada bersama teman wanitanya dalam bilik hotel tersebut.

Setelah tertuduh masuk dalam bilik hotel sekali lagi beliau minta wang

bayaran RM350,000 tersebut. SP5 telah minta untuk melihat dadah

dahulu. Tertuduh telah menunjukkan beg plastik ‘Parkson’ tersebut

kepada SP5 dan setelah dibuka, SP5 dapat melihat tiga plastik

bertulisan ‘diamond’ di dalamnya berisi bahan kristal jernih disyaki

syabu. Tujuan tertuduh pertama naik ke bilik hotel tersebut adalah

untuk menyerahkan dadah dan menerima bayaran harga dadah

tersebut.’

17

[63] Ini adalah dapatan fakta oleh hakim bicara yang telah mendengar

dan melihat kedua-dua saksi SP5 dan T1. Kami bersetuju dengan

dapatan hakim bicara. Hakim bicara menerima penjelasan SP5

mengatasi penjelasan T1 yang tidak munasabah.

[64] Dengan membawa dadah masuk ke dalam bilik hotel SP5

menunjukkan secara konstruktif penyerahan dadah telahpun berlaku.

Beg berisi dadah itu telah diletakkan oleh T1 di atas sofa di dalam bilik

itu dan beliau sedang menunggu bayaran wang RM350,000 daripada

SP5 semasa T1 ditangkap. Walaupun harga belum dibayar, penjualan

telah berlaku oleh sebab dadah tersebut telah pun diserahkan kepada

SP5.

[65] Peguambela T1 juga menghujahkan T1 adalah innocent carrier.

Hujahan ini amatlah diragui.

[66] Pertama, sekiranya dadah itu milik Rezal, tiada penjelasan dari T1

mengapakah Rezal tidak menghantar sendiri bungkusan itu kepada SP5

kerana Rezal ada memberitahunya KFC Bukit Bintang ke Starbuck Café

Berjaya dekat sahaja (lihat m.s 200 RR Jilid 1). Kedua, menurut T1,

Rezal adalah kawannya, mengapa pula Rezal mahu menganiayainya?

Ketiga, beg plastik Parkson itu terdedah dan T1 mengakui tidak

memeriksa kandungan beg plastik itu yang mengandungi dadah (lihat

m.s 199 RR Jld 1). Keempat, memandangkan beg itu perlu dihantar

kepada seorang yang tidak dikenali tiada keterangan T1 telah bertanya

kepada Rezal apakah kandungan beg plastik itu. Ini tidak menandakan

kriteria seorang innocent carrier. Telah diputuskan di dalam kes PP v.

Hla Win [1995] 2 SLR 424:

18

‘If a person deliberately, ‘shuts his eye’ to the obvious, because he

doesn’t want to know’, he is taken to know’s …. Ignorance is a defence

when there is no reason for suspicion and no right and opportunity of

examination, and ignorance simpliciter is not enough.’

[67] Dalam isu yang sama, Mahkamah Persekutuan di dalam kes PP v.

Abdul Rahman Akif [2007] 4 CLJ 337 telah mengikut dan bersetuju

dengan penghakiman Lord Morris di dalam Warner v. Metropolitan

Police Commissioner [1968] 2 All ER 356:

‘… if, however someone deliberately so assumes control of some of

the package or container, then I would think that he is in possession of

it. If he deliberately so assumes control knowing that it has contents,

he would also be in possession of the contents. I cannot think that it

would be rational to hold that someone who is in possession of a box

which he knows to have things in it is in possession of the box but not

in possession of the things in it. If he had been misinformed or misled

as to the nature of the contents, or if he had made a wrong surmise as

to them, it seems to me that he would nevertheless be in possession of

them.’

[68] Satu fakta nyata yang gagal diambil kira oleh hakim bicara ialah,

kegagalan T1 menafikan dadah itu bukan miliknya tetapi milik Rezal,

ketika ditangkap oleh SP6. Tiada juga keterangan beliau telah

memberitahu pegawai penyiasat bahawa dadah itu bukan miliknya.

Nama dan peranan Rezal ini pertama kali ditimbulkan semasa

perbicaraan. Kelewatan ini menjadikan pembelaan T1 mengenai Rezal

diragui dan sesuatu yang difikirkan kemudian atau direka: Teng Howe

Sing v PP [2009] 3 MLJ 46 dan PP v. Badrulsham b. Baharom [1988] 2 MLJ

585. Walaupun T1 mengakui Rezal itu rakan baiknya, tetapi beliau gagal

memberikan butir-butir Rezal kepada polis untuk disiasat.

19

[69] Adalah jelas T1 bukanlah seorang innocent carrier seperti yang

didakwanya. Kami berpendapat isu ketiga ini tidak bermerit.

[70] Berdasarkan dapatan kami di atas isu kedua dan ketiga, kami

berpendapat isu pertama tidak lagi relevan untuk diputuskan.

Kesimpulan

[71] Kami sebulat suara menolak rayuan T1. Sabitan dan hukuman ke

atas T1 adalah selamat. Perintah hakim bicara dikekalkan.

Rayuan terhadap pelepasan dan pembebasan T2

[72] Pihak pendakwaan di dalam rayuannya membangkitkan satu isu

sahaja iaitu hakim bicara telah membuat dua dapatan yang bercanggah.

[73] Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berhujah di akhir kes

pendakwaan hakim bicara telah memutuskan T1 dan T2 secara niat

bersama terlibat dalam transaksi jual beli Methamphetamine bersama

SP5.

[74] Hakim bicara telah memanggil T1 dan T2 membela diri apabila

beliau berpuas hati bahawa keterangan saksi-saksi pendakwaan boleh

dipercayai dan diterima oleh Mahkamah. Menurut hakim bicara,

keterangan saksi-saksi pendakwaan telah berjaya membuktikan intipati-

intipati utama pertuduhan, seperti mana penghakimannya di m.s 260

dan 261 RR Jld 1.

20

[75] Setelah mendengar pembelaan T2 dan mengakui pembelaan T2

hanyalah penafian semata-mata, hakim bicara walau bagaimanapun

telah melepas dan membebaskan T2 dengan alasan (di m.s 269 RR Jld

1):

‘[63] Pembelaan tertuduh kedua walaupun berbentuk penafian semata,

namun telah meninggalkan beberapa inferen yang munasabah apabila

mengambil kira keterangan tertuduh pertama bahawa beliau

memperoleh dadah tersebut dari seorang bernama Rezal dan

bukannya daripada tertuduh kedua sebagai pembekal. Fakta bahawa

tertuduh kedua tidak berada di hotel Berjaya Times Square pada

malam penyerahan dadah seperti dijanjikan telah berjaya

menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan. Ketiadaan tertuduh

kedua di tempat kejadian juga telah menimbulkan satu lompang dalam

kes pendakwaan selain inferen yang memihak kepada tertuduh kedua

bahawa beliau tidak terlibat dalam pengedaran dadah tersebut. Versi

tertuduh kedua dapat meyakinkan Mahkamah ini bahawa satu

keraguan yang munasabah telah ditimbulkan terhadap kebenaran kes

pihak pendakwaan.’

[76] Kami bersetuju dengan hujahan TPR bahawa dapatan hakim

bicara di peringkat pembelaan bercanggah dengan dapatannya di

peringkat prima facie walaupun berdasarkan fakta yang sama dan

setelah beliau memutuskan keterangan T2 hanyalah penafian semata-

mata. Di dalam pembelaannya, T2 tidak ada membawa keterangan

yang baru bagi menjawab atau menangkis kes pendakwaan. T2 masih

membawa isu-isu yang sama dalam pembelaannya yang telah pun

diambil kira oleh hakim bicara ketika memanggil pembelaan T2. Adalah

jelas hakim bicara telah gagal menguji pembelaan T2 dengan

keterangan SP5.

21

[77] Menurut keterangan T2, beliau, T1 dan Neelofa tidak pernah

berjumpa dengan SP5 pada 21.8.2011 dan 7.9.2011. Ini bermakna T1

dan T2 tidak pernah mengenali SP5. Kami dapati hakim bicara telah

gagal mengambil maklum fakta berikut. Sekiranya mereka tidak pernah

berjumpa, bagaimana SP5 boleh mengenali T1, T2 dan Neelofa.

Bagaimana SP5 boleh tahu Neelofa adalah isteri kepada T2.

Seterusnya bagaimana pula SP5 boleh mengetahui T1 dan T2

mengenali satu sama lain sekiranya mereka tidak pernah berjumpa?

Melalui keterangan mereka di Mahkamah, T1 dan T2 mengakui mereka

berkawan. Menurut T2 beliau mengenali T1 melalui Neelofa. T2

mengakui Neelofa adalah isteri keduanya. Ini adalah maklumat eksklusif

di antara T1 dan T2 dan bagaimana pula SP5 boleh mengetahui

Neelofa itu isteri T2 sekiranya mereka tidak pernah berjumpa? Ini

menunjukkan T1 dan T2 malah Neelofa ada menemui SP5 seperti yang

dikatakan oleh SP5. Jelas di sini T1 dan T2 telah berbohong dalam

pembelaan mereka.

[78] Mengenai dapatan hakim bicara bahawa T1 mendapat bekalan

dadah dari Rezal dan bukan dari T2 telahpun kami jawab sebelum ini.

[79] Hakim bicara telah memutuskan bahawa SP5 adalah saksi yang

berwibawa (credible). Tambahan pula sebagai seorang AP, keterangan

beliau adalah dilindungi oleh s.40A(1) dan (2) ADB.

[80] Hakim bicara telah gagal mengambil kira fakta-fakta di atas ketika

memutuskan untuk membebaskan T2.

22

[81] Keterangan SP5, beliau telah berhubung dengan T1 dan T2

melalui nombor telefon 013-3007303 dan 010-8928444 telah dibuktikan

melalui rekod panggilan terperinci D29 dan D31.

[82] Hakim bicara telah dipengaruhi oleh fakta bahawa semasa

tangkapan, T2 tidak berada di Hotel Berjaya bersama-sama T1.

[83] Mahkamah Rayuan di dalam kes Sabaruddin Non v. PP & Other

Appeals [2005] 1 CLJ 466 telah diputuskan:

‘In our judgment, presence in every case is not necessary for s.34 to

apply.’

[84] Mahkamah Rayuan di dalam kes yang sama telah merujuk

kepada keputusan dari India dalam kes Suresh v. State of Uttar Pradesh

AIR [2001] SC 1344 yang telah memutuskan:

‘Thus to attract s.34 IPC two postulates are indispensable’ (1) the

criminal act (consisting of a series of acts) should have been done, not

by one person, but more than one person (2) doing of every such

individual act cumulatively resulting in the commission of criminal

offence should have been in furtherance of the common intention of all

such persons.

Looking at the first postulate pointed out above, the accused who is to

be fastened with liability on the strength of s.34 IPC should have done

some act which has nexus with the offence.’

[85] Pihak pendakwaan telah membuktikan terdapatnya perjumpaan

dan perbincangan di antara SP5 dengan T1 dan T2 mengenai

pembekalan dadah tiga kilogram kepada SP5 pada harga

23

RM350,000.00. T1 telah memperkenalkan T2 kepada SP5 sebagai

bosnya dan T2 memperkenalkan T1 kepada SP5 sebagai managernya

dan juga penghantar dadah. Peruntukan s.34 Kanun Keseksaan telah

mengikat peranan T1 dan T2 dalam urusan jual beli dadah tersebut

walaupun T2 tidak ditangkap bersama T1 pada hari kejadian.

Kesimpulan

[86] Berdasarkan alasan-alasan di atas, kami berpuas hati bahawa

hakim bicara telah khilaf dalam keputusannya melepas dan

membebaskan T2.

[87] Dengan menggunakan budibicara kami di bawah s.60 Court of

Judicature Act 1964, keputusan hakim bicara melepas dan

membebaskan T2 dari pertuduhan diketepikan dan digantikan dengan

suatu sabitan di bawah s.39B(1)(a) ADB dan dijatuhi hukuman mati

mandatori.

Tarikh: 10 Disember 2015

t.t ZAKARIA SAM

Hakim

Mahkamah Rayuan Malaysia

24

Mewakili T1

Vikneswaran

[Tetuan Viknes Ratna & Co]

Mewakili T2:

Datuk N. Sivanathan (Cik Syazlin Mansor bersamanya)

[Tetuan Sivanathan]

Mewakili Pendakwa Raya:

Wan Shaharuddin bin Wan Ladin

(Zafhran Rahim Hamzah bersamanya)

Timbalan Pendakwa Raya

Bahagian Pendakwaan

Jabatan Peguam Negara