bm...krja rumah

24
srt rasmi/x rsmi * laporan pendapat * penceritaan peribahasa * / prbahasan *

Upload: dyg-siti-herdawati

Post on 29-Jun-2015

569 views

Category:

Documents


3 download

TRANSCRIPT

Page 1: bm...krja rumah

srt rasmi/x rsmi *laporanpendapat *penceritaanperibahasa * /

prbahasan *

Page 2: bm...krja rumah

Soalan: Anda telah dipilih untuk menyertai satu pertandingan bahas. Pasukan anda dipilih sebagai pencadang. Tajuk perbahasan ialah 'Pembangunan lebih banyak mengorbankan alam sekitar daripada membawa kebaikan.' Sediakan hujah-hujah anda selengkapnya.

Yang mulia Tuan Pengerusi majlis, barisan hakim yang arif bagi menegakkan keadilan, guru-guru dan teman pelajar sekalian.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan kerana sudi melapangkan masa ke majlis ini. Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan ketahui, berdirinya saya di sini adalah untuk mengemukakan hujah-hujah bagi menyokong tajuk perbahasan hari ini, iaitu "Pembangunan Banyak Mengorbankan Alam Sekitar Daripada Membawa Kebaikan".

Hadirin sekalian,

Seperti negara dunia ketiga, Malaysia sedang giat melaksanakan pembangunan untuk menjadi negara maju menjelang abad ke-21. Dalam kepesatan proses pembangunan ini, alam sekitar terpaksa dikorbankan. Tanpa mengorbankan alam sekitar, hasrat menjadi negara maju tidak mungkin tercapai. Bukan sahaja Malaysia, bahkan negara maju yang lain telah mengorbankan hampir keseluruhan alam sekitar di negara mereka sehingga menimbulkan kesan negatif kepada dunia. Berdasarkan pernyataan ini, saya ingin menegaskan bahawa pembangunan memang mengorbankan alam sekitar.

Hujah saya yang pertama, pembangunan industri telah menyebabkan pencemaran alam sekitar, terutamanya pencemaran udara dan air. Sebagai negara yang sedang pesat membangun, sudah pasti pembangunan yang giat akan menjejaskan pelbagai sumber alam. Misalnya, air, udara, bunyi dan tanah secara berterusan. Apa tidaknya, pembangunan menyebabkan udara tercemar.

Pelepasan gas beracun ke atmosfera secara berterusan memberi kesan jangka panjang kepada lapisan ozon. Pancaran ultra ungu boleh menjejaskan kesihatan, terutamanya barah kulit, sakit mata dan gangguan sistem imunisasi manusia. Perubahan iklim akan berlaku dan mengakibatkan bencana alam menjadi-jadi dan peredaran musim menjadi tidak menentu. Apakah menjelang abad ke-21 nanti, Malaysia akan ditimpa salji? Selat Melaka yang menjadi laluan 130 buah kapal sehari akan bertambah sesak dan tentunya lebih terdedah kepada ancaman tumpahan minyak dan sebagainya.

Para hadirin yang dihormati,

Hujah yang kedua saya, pembangunan infrastruktur yang pesat mengorbankan alam sekitar. Pembinaan jalan dan lebuh raya yang merentasi Banjaran Titiwangsa telah mempercepatkan proses pemusnahan alam sekitar. Kawasan lereng bukit dan tanah tinggi kian menjadi sasaran kerakusan pembangunan. Kajian yang dibuat oleh "World Wildlife Fund" menganggarkan bahawa kawasan Banjaran Titiwangsa sahaja mengandungi lebih 25 peratus daripada jumlah spesies flora di negara ini. Kajian flora di Gunung Kinabalu pula menunjukkan lebih daripada 1200 spesies orkid terdapat di kawasan tersebut. Berjenis-jenis burung juga terdapat di Bukit Fraser, Genting Highlands, Cameron Highlands dan Gunung Korbu. Cuba tuan-tuan dan puan-puan bayangkan betapa hebatnya kemusnahan alam sekitar jika kawasan ini diratakan untuk pembangunan.

Hadirin sekalian,

Page 3: bm...krja rumah

Hujah yang ketiga, pembinaan loji penapisan minyak, kegiatan pelabuhan mengakibatkan alam sekitar tercemar. Di samping itu, penciptaan senjata moden juga memusnahkan alam sekitar. Contohnya, tindakan pihak Perancis menjalankan ujian nuklear di Afrika menyebabkan kejadian gempa bumi yang dahsyat di beberapa buah negara, termasuk negara Jepun. Banyak negara membantah tindakan Perancis. Hal ini jelas membuktikan bahawa penggunaan teknologi menggugat kesempurnaan alam sekitar.

Hadirin sekalian,

Akhirnya, saya ingin mengatakan bahawa pembangunan dalam bidang pertanian juga mengorbankan alam sekitar. Kini, jumlah penduduk dunia telah bertambah daripada 2.5 bilion dalam tahun 1950 kepada 5.8 bilion pada tahun 1995. Justeru itu, untuk memenuhi keperluan makanan manusia, banyak kawasan hutan diterokai untuk tujuan pertanian. Akibatnya, kawasan pertanian telah bertambah daripada 1.2 bilion hektar pada tahun 1950 kepada 1.5 bilion hektar pada tahun 1980. Kawasan hutan semakin berkurangan iaitu daripada 4.2 bilion hektar pada tahun 1973 kepada 3.4 bilion hektar pada tahun 1990. Tahukah hadirin sekalian bahawa kawasan hutan yang semakin berkurangan ini boleh menjejaskan sumber makanan, sumber air, kestabilan cuaca dan perlindungan terhadap hakisan tanah? Penggunaan baja kimia untuk menyuburkan tanaman dan penggunaan racun serangga tanaman turut mengorbankan alam sekitar kerana boleh mengakibatkan penipisan lapisan ozon, kepanasan cahaya matahari dan hujan asid. Dengan itu, jelas kepada kita bahawa pembangunan tanpa perancangan yang rapi berpunca daripada kelalaian manusia. Tanpa kita sedari, pembangunan dalam bidang pertanian telah mengorbankan keharmonian dan keindahan alam sekitar. Jadi, mahukah para hadirin tinggal dalam dunia yang tercemar?

Para hadirin,

Tadi pihak pembangkang mengatakan bahawa kesan baik pembangunan ialah taraf hidup rakyat meningkat dan ekonomi negara pula bertambah. Pembangkang membuktikannya dengan mengatakan bahawa rakyat kita sekarang hidup dalam keadaan mewah dan negara Malaysia dikagumi oleh negara lain. Bagaimanakah pandangan tuan-tuan dan puan-puan? Memang, saya tidak menafikan hal ini, tetapi di sebalik kemewahan itu, pelbagai gejala sosial telah melanda masyarakat kita, terutamanya golongan remaja. Berapa ramaikah anak muda yang terlibat dengan penagihan dadah? Berapa ramaikah rakyat kita yang dihinggapi AIDS? Bahkan, yang lebih menggerunkan ialah kes pembuangan bayi, penderaan anak dan isteri, kelahiran anak di luar nikah, sikap suka berpeleseran, dan sebagainya. Semua gejala sosial ini berpunca daripada pembangunan dan terlalu mengejar kemewahan sehingga ibu bapa terpaksa bekerja siang dan malam sehingga mengabaikan hal rumah tangga. Adakah hal ini dikatakan kebaikan? Bagi saya, pembangunan bukan sahaja menjejaskan keindahan alam sekitar, malah pembangunan memporak-perandakan institusi kekeluargaan.

Berdasarkan hujah-hujah yang telah saya kemukakan, dapatlah disimpulkan bahawa kebenaran berpihak kepada kepada kami, pihak pencadang. Realitinya, hanya yang benar dapat bertahan, dan perjuangan pihak pencadang berasaskan kebenaran semata-mata. Oleh itu, nyatalah sidang hadirin sekalian, sesungguhnya pembangunan lebih banyak mengorbankan alam sekitar daripada membawa kebaikan. Sekian, terima kasih.

Page 4: bm...krja rumah

SoalanAnda akan menyertai Pertandingan Bahas Ala Palimen peringkat daerah sebagai pasukan kerajaan. Usul perbahasan tersebut ialah “Bangunan Bersejarah Perlu Dikekalkan Sebagai Warisan Negara”.Sebagai menteri kedua, sediakan teks perbahasan tersebut.

Teks Perbahasan Menteri Kedua

Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Speaker Dewan, rakan-rakan Yang Berhormat daripada pihak kerajaan, barisan pembangkang dan seterusnya ahli-ahli dewan sekalian.

Tuan Yang Dipertua,Sebagai menteri yang kedua, saya pastinya menolak definisi usul yang telah dipinda oleh Ketua Pembangkang sebentar tadi iaitu “Bangunan Bersejarah Tidak Perlu Dikekalkan Sebagai Warisan Negara”. Jadi saya memohon agar definisi usul itu dipinda semula seperti definisi yang diberikan oleh Perdana Menteri sebentar tadi, iaitu “Bangunan Bersejarah Perlu Dikekalkan Sebagai Warisan Negara”.

Sebelum membentangkan hujah-hujah seterusnya, saya akan membidas hujah yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang sebentar tadi. Ketua Pembangkang mengatakan bahawa bangunan bersejarah ini memerlukan kos yang tinggi untuk mengekalkannya. Beliau mengatakan bahawa kerajaan terpaksa membelajakan wang yang banyak untuk memulihara dan mengekalkan bangunan bersejarah yang rata-ratanya sudah lama ditinggalkan oleh penjajah.

Memang benar kata Ketua Pembangkang bahawa bangunan bersejarah yang perlu dipulihara dan dijaga daripada musnah atau rosak itu memerlukan belanja yang banyak. Namun demikian, kita perlu ingat bahawa kos tersebut tidak sama dengan nilai sejarahnya yang tidak boleh dijual beli. Jadi bangunan tersebut sememangnya perlu dijaga dan dipulihara daripada musnah ataupun rosak, walaupun terpaksa menanggung kos yang tinggi. Hal ini demikian kerana, kita tidak mahu bangunan yang tinggi nilai sejarahnya ini rosak kerana bangunan tersebut sebenarnya tidak dapat digantikan dengan wang ringgit. Sekiranya bangunan tersebut digantikan dengan bangunan yang baharu sekalipun, sudah tentu nilai sejarahnya tidak sama dengan bangunan yang asal. Tambahan pula, pada tahun lepas Melaka dan Pulau Pinang telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Hal ini sudah tentu membuktikan betapa pentingnya bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita itu perlu dikekalkan dan dipelihara daripada musnah. Pengumuman Tapak Warisan Dunia bagi kedua-dua buah negeri tersebut juga merupakan satu pengiktirafan yang sangat tinggi daripada UNESCO kepada negara kita.

Tuan Yang Dipertua,Bangunan bersejarah perlu dikekalkan sebagai warisan negara, jadi hujah saya yang pertama iaitu berpaksikan frasa, sebagai bahan kajian. Bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita ini menjadi tumpuan para pengkaji dalam pelbagai bidang. Seperti yang kita sedia maklum terdapat banyak bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita, seperti Fort Cornwalis di Pulau Pinang dan Bangunan Stadhuyst di Melaka. Selain itu terdapat juga bangunan bersejarah yang lain seperti Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar, Menara Jam Condong di Telok Intan, dan Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur.

Terdapat banyak aspek yang boleh dikaji oleh para penyelidik bangunan lama yang memiliki unsur sejarah yang tinggi ini. Aspek tersebut ialah teknologi binaan, bahan-bahan yang digunakan untuk membina bangunan tersebut serta kaitan bangunan itu dengan fakta sejarahnya dan sosiobudaya masyarakat tempatan. Kata orang, “Tak kenal maka tak cinta”, jadi para pengkaji ini akan melaporkan hasil kajian tersebut dalam bentuk penulisan atau dokumentari agar dapat dibaca, ditonton dan seterusnya difahami oleh masyarakat Malaysia dan juga masyarakat antarabangsa. Berdasarkan kajian itu juga, para pengkaji akan mendapat pengetahuan yang berguna tentang ilmu senibina yang telah digunakan oleh arkitek atau jurubina pada zaman dahulu.

Tuan Yang Dipertua,Hujah saya yang kedua iaitu berpaksikan frasa, menarik pelancong. Bangunan-bangunan bersejarah itu

Page 5: bm...krja rumah

berupaya untuk menjadi daya tarikan utama kepada pelancong dari dalam atau luar negara. Hal ini demikian kerana, para pelancong yang datang ke negara kita adalah semata-mata untuk melihat kesan-kesan sejarah tinggalan penjajah zaman dahulu. Oleh itu, bangunan-bangunan tersebut merupakan sebahagian daripada kesan sejarah dan perlulah dikekalkan dan dipulihara daripada musnah. Sebagai contohnya, bangunan Sultan Abdul Samad, Stesen Keretapi Kuala Lumpur, Istana Banda, di Jugra dan Kellie’s Castle di Perak, perlu dipulihara agar keasliannya dapat dikekalkan.Pelancong juga akan tertarik oleh keunikan dan kesenian bangunan-bangunan bersejarah itu. Hal ini membuktikan bahawa, orang zaman dahulu sudah memiliki kemahiran dan ilmu kesenian dalam senibina bangunan. Oleh hal yang demikian, bangunan-bangunan tersebut perlulah dipelihara dan dikekalkan keasliannya. Dengan cara itu, bangunan-bangunan tersebut akan kekal sampai bila-bila, seperti kata pepatah, “Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”, dan boleh disaksikan oleh generasi yang akan datang.

Tuan Yang Dipertua,Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa saya menyokong usul ini seratus peratus dan memohon agar usul ini diluluskan oleh dewan yang mulia ini dengan suara majoriti.

Tuan Yang Dipertua, saya mohon mencadang.Sekian, terima kasih.

Page 6: bm...krja rumah

TAJUK : Hukuman Merotan Patut Dilaksanakan Semula Di Sekolah FORMAT : Perbahasan/ pembangkang 

Salam sejahtera Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, saudara saudari pencadang yang saya hormati, serta para hadirin sekalian. Saya, sebagai pemidato pertama ingin mengemukakan hujah-hujah saya bagi membangkang tajuk perbahasan pada pagi ini. Kami pihak pembangkang tetap tidak bersetuju dengan pernyataan “Hukuman Merotan Perlu Dilaksanakan semula bagi Mendisiplinkan Pelajar-pelajar.” Panel hakim yang arif serta rakan-rakan seperjuangan sekalian, Sebelum saya melanjutkan hujah-hujah saya, terlebih dahulu izinkan saya menjelaskan tajuk perdebatan kita pada hari ini. “Hukuman merotan” merujuk denda yang dilaksanakan di sekolah-sekolah, iaitu menyebat pelajar-pelajar yang melanggar peraturan sekolah. Antara salah laku yang dianggap melanggar peraturan sekolah ialah merokok, ponteng, bergaduh, merosakkan harta benda sekolah, dan pelbagai kesalahan yang lain. Lazimnya hukuman ini dijalankan secara terbuka iaitu di hadapan pelajar-pelajar yang lain ketika perhimpunan sekolah. Di samping itu terdapat juga hukuman merotan yang dijalankan secara tertutup. Pada hemat saya, hukuman ini agak keterlaluan dan ketinggalan zaman. Merotan pelajar-pelajar tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah disiplin pelajar-pelajar. Pelajar yang di rotan pasti akan memberontak atau berdendam. Seharusnya kita mengambil kira usia pelajar-pelajar tersebut. Dalam usia yang begitu muda, mereka perlukan bimbingan bukannya hukuman. Kami barisan pembangkang menganggap hukuman ini penuh dengan unsur kekejaman dan keganasan. Mahukah saudara saudari dan rakan pencadang dirotan kerana kesalahan-kesalahan seperti yang saya katakan tadi? Barisan hakim yang bijaksana dan saudara saudari sekalian, Hukuman merotan ini bukan sahaja menyakitkan malah memalukan dan menakutkan para pelajar. Pelajar-pelajar yang dirotan pasti akan berasa malu kepada rakan-rakan dan saudara-mara mereka. Mereka akan mengalami tekanan perasaan yang kuat. Adakah mampu bagi seorang pelajar menanggung beban perasaan seperti itu ? Saya pasti walaupun barisan pencadang tidak menganggukkan kepala tetapi jauh di lubuk hati, mereka tetap bersetuju dengan hujah saya ini. Ini kerana, peristiwa kena rotan pasti akan menghantui jiwa mereka dalam jangka masa yang lama. Mereka yang tidak dapat menanggung perasaan mungkin akan bertindak diluar dugaan kita. Akhbar tempatan pernah menyiarkan berita tentang seorang pelajar di Melaka yang membunuh diri kerana pihak sekolah memberitahu keluarganya yang dia dirotan. Mahukah kita mendengar tragedi seperti ini berulang lagi? Janganlah saudara saudari menghalalkan hukuman ini di sekolah-sekolah. Ingat saudara saudari, sekolah bukan tempat untuk menjatuhkan hukuman. Sekolah ialah tempat pelajar-pelajar dididik dan dibimbing untuk menjadi anggota masyarakat yang berguna. Oleh itu saya ingin menyanggah dengan sekeras-kerasnya pandangan negatif pencadang yang pertama tadi. Para hakim yang saya muliakan serta para hadirin sekalian, Saya berpendapat bahawa hukuman merotan ini akan menimbulkan masalah yang lebih serius. Kata pihak pencadang sebentar tadi, para pelajar yang dirotan pasti akan insaf akan perbuatan mereka dan oleh itu akan berkelakuan baik sepanjang masa. Namun, tidakkah saudara pencadang sedar bahawa terdapat juga kemungkinanpara pelajar yang dirotan mungkin akan bertindak balas? Mereka akan melakukan perkara-perkara yang lebih buruk. Kereta guru akan menjadi sasaran. Ada kereta yang akan dicalarkan dan ada tayar yang akan dibocorkan oleh mereka. Apabila keadaan ini berlaku, keharmonian hubungan guru dengan murid akan menjadi tegang. Lebih buruk lagi mereka akan bertindak liar merosakkan harta benda sekolah, umpamanya membakar harta benda sekolah atau lebih buruk lagi, membakar sekolah. Mahukah kita melihat pelajar-pelajar kita bertindak liar seperti ini? Apa yang pasti, hubungan guru-guru dengan para pelajar akan menjadi renggang. Perasaan hormat mereka terhadap para guru akan hilang. Guru-guru pula akan membenci

Page 7: bm...krja rumah

pelajar-pelajar yang berkenaan. Sesungguhnya tiada manusia yang suka dirinya dizalimi walaupun dia bersalah. Hubungan renggang antara guru-guru dengan pelajar-pelajar pasti akan menjejaskan aktiviti pembelajaran dan pengajaran. Pelajar-pelajar yang terbabit pasti akan hilang minat untuk belajar. Akibatnya prestasi mereka dalam pelajaran pasti akan merosot. Inilah harga yang perlu dibayar oleh sistem pendidikan kita sekiranya hukuman merotan dilaksanakan di sekolah-sekolah.. Menyedari hakikat ini, saya dan rakan-rakan pembangkang tetap menyelar pandangan pihak yang saya anggap ‘selangkah ke belakang’. Tuan-tuan hakim yang saya hormati serta rakan-rakan sekalian, Dalam zaman yang serba canggih ini saya berpendapat hukuman ini sudah ketinggalan zaman. Di negara-negara maju yang lain, hukuman ini sudah lama dilenyapkan. Saya tidak mahu menyalahkan pihak pencadang yang mungkin terlalu asyik belajar sambil mentelaah buku teks sehingga lupa membaca akhbar dan majalah. Kita harus mempraktikkan kaedah yang lebih saintifik dan berperikemanusiaan. Beberapa sesi kaunseling yang berkesan pasti akan dapat menyedarkan para pelajar yang bersalah akan kesalahan yang dilakukan oleh mereka. Sebelum kita mengenakan hukuman, kita perlu membuat penyiasatan yang terperinci. Latar belakang para pelajar yang berkenaan perlu diambil kira. Menghukum dengan sewenang-wenangnya akan meninggalkan implikasi buruk yang sukar dilupakan. Anak-anak zaman sekarang tidak sepatutnya didedahkan dengan unsur-unsur keganasan. Para guru perlu mengkaji punca-punca berlakunya perbuatan-perbuatan yang melanggar disiplin sekolah. Menangani masalah disiplin secara bersopan dan berhemah pasti akan membuahkan hasil yang positif. Pelajar-pelajar perlu dinasihati dan dibimbing dengan sebaik mungkin. Kita harus menerima hakikat bahawa fikiran mereka masih belum matang dan mereka memerlukan tunjuk ajar. Merotan mereka hanya akan melenyapkan keyakinan mereka terhadap guru-guru. Oleh yang demikian saya sekali lagi menegaskan bahawa hukuman merotan hanya akan mencederakan pelajar-pelajar dari segi fizikal dan emosional. Hakikatnya, hukuman ini tidak harus dilaksanakan di sekolah-sekolah pada masa kini. Hadirin sekalian, Oleh sebab masa tidak mengizinkan saya untuk berhujah lebih lanjut maka saya mohon untuk berundur diri seketika namun rakan seperjuangan saya pasti akan menyambung hujah-hujah kami. Walau bagaimanapun, saya tetap menegaskan, hukuman merotan tidak patut dilaksanakan di sekolah-sekolah bagi mendisiplinkan pelajar-pelajar. Sekian, terima kasih.

Page 8: bm...krja rumah

Seorang sahabat pena anda telah mendapat tahu tentang usaha-usaha gigih Malaysia dalam mengatasi masalah perkauman. Beliau ingin mengetahui dengan lebih lanjut berhubung dengan langkah yang diambil oleh kerajaan Malaysia untuk mengatasi masalah tersebut. Jawab surat sahabat anda itu selengkapnya.110, Taman KencanaJalan Matahari Terang,O5300 Alor Setar,Kedah Darul Aman.24 April 2009

Menemui sahabatku yang diingati, Mohd Ariff semoga berada dalam keadaan sihat selalu hendaknya.

Saudara Mohd Ariff,

Saya berasa gembira menerima surat daripada saudara dan telah pun memahami isi kandungannya. Seperti yang saudari maklum, kerajaan Malaysia berusaha dengan gigih untuk mengatasi masalah perkauman, namun sebenarnya memupuk perpaduan secara total amatlah rumit. Hal ini demikian kerana Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk dan mereka pula sudah lama diajar hidup berpuak-puak sejak zaman imperialisme dahulu. Tambahan pula, amalan hidup, kepercayaan, adat, dan cara hidup yang berbeza menyebabkan terhalangnya kegiatan hidup bersama.

Saudara Mohd Ariff,

Selepas merdeka, kerajaan menyedari bahawa wujudnya perpecahan kerana terdapat kegiatan ekonomi mengikut kaum dan sektor. Umpamanya, kaum Cina dengan aktiviti perniagaan, hidup mewah serta tinggal di bandar. Orang Melayu pula terlibat dalam bidang pertanian, miskin, dan tinggal di luar bandar. Manakala, kaum India bekerja sebagai penoreh getah dan tinggal di estet-estet. Jurang perbezaan ekonomi ini menjadi punca masalah perkauman. Ekonomi negara yang hanya dikuasai oleh sesuatu kaum akan menimbulkan perasaan curiga dan iri hati di kalangan kaum-kaum yang lain.

Keadaan yang sedemikian menyebabkan kerajaan telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bermatlamat menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan. Selepas tamat tempoh DEB tahun 1990, langkah-langkah tersebut memerlukan susulan, lalu kerajaan mewujudkan pula Dasar Pembangunan Nasional (DPN) yang antara lainnya bertujuan untuk menyusun ekonomi secara lebih sistematik.

Saudara Mohd Ariff,

Melalui langkah-langkah sosial pula, kerajaan berusaha mewujudkan kegiatan sosial secara bersama seperti sukan, permainan, pertubuhan belia, rukun tetangga, dan terkini melalui program Rakan Muda. Kerajaan juga menekankan pentingnya semangat kejiranan, bergotong-royong dan lain-lain aktiviti kemasyarakatan. Pada musim-musim perayaan pula, kita digalakkan kunjung-mengunjungi antara satu sama lain. Pendekatan sosial ini diharap dapat mewujudkan sikap saling memahami, menghormati, dan toleransi antara sesama kaum.

Langkah seterusnya yang dilakukan oleh kerajaan adalah melalui sistem pendidikan. Melalui Sistem Pendidikan Kebangsaan terutamanya, telah dirancang satu sistem yang seragam dan menyeluruh

Page 9: bm...krja rumah

berteraskan cita-cita kebangsaan. Ini termasuklah menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, diikuti sukatan pelajaran dan corak peperiksaan yang sama. Dengan ini, akan lahirlah masyarakat yang sama dan seragam dan seterusnya tersemailah semangat perpaduan di kalangan penduduk.

Untuk pengetahuan saudari, sistem politik negara ini berasaskan konsep Demokrasi Berpalimen. Ini bererti kita bebas bercakap, mengeluarkan pendapat, dan bebas berpolitik. Namun kebebasan ini hendaklah tidak sampai menimbulkan isu-isu sensitif yang boleh menyentuh isu perkauman. Tambahan pula perkara-perkara yang sensitif yang akan menyemarakkan lagi semangat perkauman. Oleh yang demikian, kerajaan boleh mengenakan tindakan terhadap mereka yang terlibat mengikut Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri OSA dan (ISA).

Saudara Mohd Ariff,

Sebenarnya, usaha-usaha mengatasi masalah perkauman adalah amatlah sukar.Walau bagaimanapun, melalui usaha yang bersungguh-sungguh, cita-cita tersebut pasti akan tercapai. Di samping itu, rakyat yang bernaung di bawah langit Malaysia hendaklah sanggup berkorban, saling memahami, dan turut bekerjasama bagi menjayakan cita-cita perpaduan negara.

Sekian sahaja coretan saya untuk kali ini. Jika umur panjang, kita jumpa lagi.

Yang Ikhlas,

....................................................(MOHD THORIQ B OTHMAN)

Page 10: bm...krja rumah

Soalan :

Di kawasan tempat tinggal anda terdapat pelbagai masalah keselamatan yangtimbul berpunca daripada

pendatang asing yang terlalu ramai di kawasan itu.Sebagai wakil penduduk di tempat anda. tulis sepucuk

surat kepada pihak yangberkuasa bagi mengadukan hal tersebut agar masalah ini dapat diselesaikan.

Lin Cheng Heng,

No.6, Jalan Limau Purut 3,

Taman Cheras Perdana,

52400 Kuala Lumpur.

Ketua Balai,

Balai Polis Cheras,

Jalan Ikan Emas 2,

53000 Cheras,

Kuala Lumpur……………………………………………………………………………………………

………….16 JULAI 2008

Tuan,

Page 11: bm...krja rumah

Aduan Tentang Masalah Pendatang Tanpa Izin di Taman Cheras Perdana

Merujuk perkara di atas, saya Lin Cheng Heng selaku setiausaha penduduk TamanPerdana, ingin

membuat aduan tentang masalah pendatang tanpa izin yang begituramai bilangannya di kawasan tempat

tinggal kami. Akibat bilangannya yang terlaluramai, pelbagai masalah sosial telah timbul sehingga

mengganggu ketenteramanhidup penduduk di kawasan ini.

2…………….Untuk makluman pihak tuan, kawasan ini menjadi tumpuan pendatang

tanpa izin kerana banyak bangunan baru didirikan di kawasan ini. Hal ini

menyebabkan ramai pekerja tanpa izin bertumpu di kawasan ini untuk bekerja

sebagai pekerja bangunan kerana di mana ada gula, di situ ada semut. Kebanyakan

daripada pendatang tanpa izin itu tertumpu di Jalan Limau Manis 4 dan Jalan

Tembikai 3. Mereka tinggal di dalam pondok-pondok sementara yang disediakan

oleh pemaju dan didirikan daripada kayu. Perkara yang membimbangkan kami ialah

sebahagian daripada pendatang tanpa izin tersebut melakukan pelbagai jenayah

dan mengancam keselamatan penduduk tempatan di kawasan ini.

3…………….Sebelum kedatangan mereka di kawasan ini, kehidupan kami amat

aman dan makmur. Namun begitu, kehadiran mereka sejak lima bulan yang lalu

telah mengubah segala-galanya. Kejadian kecurian dan rompakan sering kali

berlaku di kawasan tempat tinggal kami. Sehingga kini terdapat 6 kejadian pecah

rumah dan rompakan yang telah diadukan kepada pihak polis. Kebanyakan

rompakan tersebut melibatkan senjata tajam seperti parang dan senjata tajam yang

lain. Hal ini menyebabkan kami berasa takut sekiranya kejadian seperti itu berulang

semula. Kami juga percaya bahawa kejadian jenayah tersebut melibatkan

pendatang tanpa izin pertuturan mereka semasa kejadian jenayah itu

melalui berlaku. Hal seperti ini amat merungsingkan penduduk di kawasan ini.

4…………….Selain itu, sebahagian pendatang tanpa izin di kawasan ini turut

berkelakuan tidak sopan terhadap penduduk tempatan di sini. Beberapa orang

gadis yang pulang lewat daripada bekerja telah diganggu dengan kata-kata yang

tidak menyenangkan. Mereka juga sering mengeluarkan kata-kata berbau lucah

kepada penduduk di kawasan ini sehingga pernah menyebabkan pergaduhan di

antara pendatang tanpa izin dengan penduduk di taman ini. Sebagai ibu bapa di

kawasan ini, kami berasa bimbang jika berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini

ke atas keluarga kami. Justeru, kami berharap agar pihak tuan mengambil tindakan

awal seperti kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Kami tidak mahu ada di

antara penduduk di kawasan ini yang akan menjadi mangsa akibat kelewatan kita mengambil tindakan

kerana nasi sudah menjadi bubur.

5…………….Pada masa yang sama, sebahagian daripada pendatang tanpa izin

tersebut juga melakukan pelbagai jenayah seperti berjudi dan menyalahgunakan

dadah. Hal ini telah kami maklumi melalui beberapa orang penduduk yang pernah

terserempak dengan mereka ketika melakukan jenayah tersebut. Sebelum ini,

Page 12: bm...krja rumah

kejadian seperti itu tidak pernah berlaku di kawasan tempat tinggal kami. Keadaan

ini juga amat membimbangkan penduduk di kawasan ini kerana kami takut

sekiranya ada di antara anak-anak kami yang akan terpengaruh dengan gejala yang

tidak sihat tersebut. Justeru kami meminta agar pihak tuan mengambil tindakan

awal kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.

6…………….Sehubungan dengan itu, kami mencadangkan agar pihak tuan dapat

mengambil tindakan dengan secepat mungkin. Antara cadangan kami termasuklah

meminta pihak tuan membuat serbuan dan menangkap pendatang tanpa izin di

kawasan kediaman kami. Kami juga mencadangkan agar pihak tuan dapat

membuat rondaan dengan lebih kerap supaya kejadian jenayah yang

membimbangkan kami tidak berlaku di sini. Sekiranya pihak tuan memerlukan

bantuan dan kerjasama daripada penduduk di kawasan ini, kami sedia

menghulurkan bantuan yang diperlukan.

7…………….Akhir kata, saya berharap agar pihak tuan dapat mengambil tindakan

yang sewajarnya dengan segera demi keselesaan dan keselamatan penduduk di

kawasan ini. Kerjasama daripada pihak tuan amat kami hargai dan didahului dengan

jutaan terima kasih.Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan tugas,

Linchengheng

(LIN CHENG HENG)

Setiausaha,

Persatuan Penduduk Taman Cheras Perdana

Page 13: bm...krja rumah

“Bersatu Teguh Bercerai Roboh” seterusnya menjadi amalan berguna untuk menentukan kejayaan sesebuah negara.Huraikan pandangan anda terhadap pernyataan di atas.

“Bersatu Teguh Bercerai Roboh” merupakan satu cogan kata yang dalam maknanya untuk diamalkan oleh manusia sejagat demi mencapai kesejahteraan hidup. Cogan kata ini menggesa seluruh masyarakat bersatu dan berganding bahu dalam melakukan sesuatu pekerjaan atau menyelesaikan sesuatu masalah supaya mereka dapat hidup dalam suasana yang sejahtera, utuh, dan harmoni. Sebaliknya, jika kita bercerai-cerai, berpecah-belah, dan mementingkan diri sendiri, kita akan mengalami huru-hara dan kehancuran.Dalam konteks negara Malaysia yang terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum, kita haruslah menghayati peribahasa ini dengan hidup bersatu padu tanpa mengira bangsa, agama, dan adat resam. Untuk mencapai kemajuan nagara, masyarakat harus hidup dalam suasana aman dan damai.Semangat bersatu padu boleh disemai dan dipupuk di kalangan jiran tetangga melalui semangat kejiranan, khususnya di kawasan bandar yang semangat kejiranannya dikatakan semakin luntur. Kita yang tinggal di kawasan bandar sering berjauhan dengan keluarga dan kaum kerabat. Jadi, jiranlah yang menjadi saudara mara kita yang terdekat. Melalui hubungan sedemikian, masalah-masalah sosial seperti kecurian dan rompakan dapat dikurangkan. “Jiran sepakat membawa berkat” juga dapat diperhatikan melalui suasana kemesraan, tolong-menolong, dan saling menjaga kebajikan sesama mereka.Semangat gotong-royong, iaitu dengan melakukan kerja secara beramai-ramai juga akan mempererat hubungan sosial antara anggota masyarakat dan seterusnya dapat melahirkan perasaan kekitaan dan kesedaran kebangsaan. Selain itu, dengan adanya aktiviti bergotong-royong, masa, tenaga, dan perbelanjaan individu, masyarakat, dan negara dapat dijimatkan. Ini juga bermakna, sesuatu kerja berat akan menjadi ringan apabila dilakukan bersama, bak kata pepatah “ berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.Dalam bidang pentadbiran, sama ada di sektor swasta atau di sektor kerajaan, semangat bersatu di kalangan pekerjanya juga harus dipupuk. Sekiranya semangat ini diabaikan, maka sesebuah organisasi itu tidak akan maju. Hal ini terjadi kerana tidak ada kerjasama antara semua pihak untuk memajukan organisasi tersebut. Jika hanya pihak tertentu sahaja yang bekerja bertungkus lumus, sedangkan pihak yang lain tidak memberi komitmen, maka kejayaan cemerlang tidak akan tercapai. Oleh yang demikian, semangat seperti “aur dengan tebing” perlu dijadikan panduan demi meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi.Di peringkat nasional, memang tidak dinafikan lagi tentang kepentingan semangat bersatu itu. Misi dan visi yang dirancangkan oleh kerajaan untuk memajukan negara bukan setakat memerlukan kerjasama semua rakyat, malahan kerajaan dan rakyat harus bersatu dan berganding bahu untuk menjayakannya. Usaha-usaha kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat tidak akan menjadi realiti, sekiranya tidak ada tindak balas positif daripada rakyat keseluruhannya. Jika segelintir sahaja yang menyahutnya, maka kempen-kempen dan program-program kerajaan seperti inflasi sifar, cintai alam sekitar, budaya membaca, dan lain-lain akan gagal.Tambahan pula, negara sekarang sedang mengalami masalah ekonomi. Oleh sebab itu rakyat harus bersama-sama membantu memulihkan keadaan supaya tidak bertambah teruk. Rakyat dan kerajaan tidak boleh mementingkan diri sendiri kerana masalah yang melanda negara dirasai bersama-sama.Oleh yang demikian, dapatlah kita katakan bahawa pepatah “Bersatu teguh bercerai roboh” amat penting untuk dijadikan teras dalam mencapai kejayaan. Jika masyarakat berpecah-belah dan bercerai-berai, sudah pasti berbagai-bagai masalah negara akan timbul seperti kes jenayah, pengangguran, kemiskinan, rusuhan kaum, dan lain-lain. Sesungguhnya keadaan sosial yang tidak stabil akan membantut usaha kerajaan untuk memajukan negara. Oleh itu, marilah kita beramal dan berpegang teguh dengan peribahasa “Bersatu teguh bercerai roboh” demi kebahagiaan kita semua.

Page 14: bm...krja rumah

Orang Melayu mempunyai pelbagai cabang seni bahasa yang patut dibanggakan. Antaranya ialah kemahiran dan kebijaksanaan membina dan mencipta kata-kata bidalan, perumpamaan, pantun, peribahasa, dan lain-lain. Tentu kita banyak mendengar dan melihat peribahasa orang zaman dahulu. Antaranya ialah ‘kacang lupakan kulit’, ‘bagai isi dengan kuku’, ‘air dicincang tidak akan putus’, dan lain-lain. Semuanya sudah sinonim dan terkenal dengan masyarakat masa kini.

Salah satu peribahasa yang amat terkenal ialah ’seperti katak di bawah tempurung’. Peribahasa ini rnembawa maksud orang yang tidak mengetahui apa yang berlaku di sekelilingnya. Peribahasa ini amat berguna dan bermakna kerana ia membawa maksud orang seperti ini tidak mengetahui kejadian yang berlaku di sekelilingnya. Maka jadilah seperti seekor katak yang berada di bawah tempurung yang tidak tahu apa yang berlaku di luar tempurung tersebut. Ia seolah-olah terkurung dan tidak dapat rnembezakan keadaan di dalam dan di luar.

Peribahasa ini bolehlah dikaitkan dengan satu kisah yang berlaku pada diri seorang wanita bernama Aminah. Dia tinggal seorang diri setelah ibu bapanya meninggal dunia lebih kurang tiga tahun yang lain. Dia tidak hidup melarat kerana ayah dan ibunya telah meninggalkan harta yang banyak. Aminah seorang yang agak pendiam dan tidak mempunyai ramai kenalan. Dia cuma mengharapkan wang daripada harta yang ditinggalkan oleh ibu bapanya untuk menyara kehidupannya. Wang daripada pajakan tanah sawah seluas lima relong, tanah kebun seluas lima hektar, rumah sewa sejumlah lima buah, serta rumah sendiri memberikan pendapatan yang lumayan. Aminah seorang yang pendiam dan jarang berbual. Dia tidak stika menonton televisyen atau membaca surat khabar. Oleh itu, sudah tentu dia tidak rnengetahui hal-hal yang berlaku di sekelilingnya.

Hari-hari yang dilalui oleh Aminah berjalan seperti biasa sehinggalah pada suatu hari dia didatangi oleh seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Osman. Dia datang menemui Arninah kerana dia hendak menjual tanah seluas empat hektar kepada Aminah. Alasannya ialah dia tidak mahu tanah itu jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab. Aminah yang berminat untuk rnembeli tanah tersebut telah meminta Osman menyerahkan geran tanah yang hendak dijual itu. Osman bersetuju lain pulang ke rumahnya Aminah berasa gembira kerana dia memang berhajat untuk membeli tanah itu untuk menambahkan hartanya. Malah, bagi Aminah dengan pembelian tanah itu dia rnampu untuk menambah pendapatan bulanannya.

Dua hari kemudian, Osman datang lagi bersama-sama dengan geran tanah yang dipinta oleh Arninah tempoh hari. Setelah ditunjukkan kepada Aminah, mereka berbincang tentang harga yang dipersetujui. Osman ingin menjual tanah tersebut sebanyak RM75,000.00 tetapi Aminah meminta dikurangkan kepada RM70,000.00 sahaja. Osman bersetuju lalu meminta bayaran sebanyak RM50,000.00 sebagai pendahuluan. Aminah memberitahu bahawa wangnya ada di bank. Lalu, Osman mencadangkan mereka pergi ke bank bersama-sama untuk mengambil wang tersebut. Aminah bersetuju dengan cadangan Osman untuk memberikan RM50,000.00 kepada Osman sebagai pendahuluan.Bakinya pula akan diberi semasa membuat pertukaran nama pada geran nanti. Osman yang amat gembira dengan pemberian wang tersebut berjanji akan datang dengan segera untuk menyelesaikan hal pertukaran nama pada geran tanah tersebut. Aminah pun pulang dengan rasa senang hati kerana sudah harnpir pasti dia akan memiliki tanah itu.

Apabila hari yang dijanjikan, Aminah menunggu Osman di perkarangan Pejabat Tanah. Dia rnenanti dengan penuh harapan agar Osman muncul untuk menyelesaikan perkara itu. Tetapi hampir empat jam Aminah menunggu, namun bayang-bayang pun tidak kelihatan. ilia cuba menghubungi nombor telefon yang diberi oleh Osman namun ternyata nombor itu adalah palsu. Dia yang berasa tidak senang hati telah masuk ke dalam Pejabat Tanah dan meminta salah seorang daripada pegawai di situ rnenyemak geran tanah yang dikatakan milik Osman itu. Ternyata geran tanah itu adalah palsu. Pegawai itu menyatakan bahawa semua kakitangan sudah diberitahu tentang seorang lelaki yang menjalankan aktiviti penipuan penjualan tanah di serata tempat. Pihak mereka juga telah mengiklankan kegiatannya di akhbar-akllbar, televisyen, dan majalah.

Page 15: bm...krja rumah

Nyatalah Aminah ditipu dan dia menyesal kerana tidak mahu mengambil tabu tentang perkara yang berlaku di sekelilingnya. Osman merupakan seorang penipu dan orang kampung sudah pun dimaklumkan mengenai kegiatannya. Aminah hampir pengsan mengenangkan nasibnya yang ditipu oleh Osman.

Kesimpulannya, kita perlulah mengambil iktibar tentang kejadian yang berlaku ke atas diri Aminah. Dari kisah tersebut, dapatlah kita rumuskan bahawa keadaan ini merupakan satu kerugian kepada kita. Biarlah kita menjadi seorang yang tabu segala yang berlaku di sekeliling kita. Janganlah menjadi seperti ‘katak di bawah tempurung’, kelak kita juga yang akan rugi.

PERBINCANGAN….

Page 16: bm...krja rumah

Tajuk.Minat pelajar untuk menyertai kegiatan kokurikulum di sekolah semakin menurun. Huraikan langkah - langkah untuk menggalakkan pelajar menyertai kegiatan kokurikulum.

Memang tidak dapat kita nafikan bahawa pengllibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum di sekolah semakin menurun dari semasa ke semasa. Sebenarnya, jika kita halusi kegiatan kokurikulum merangkumi kegiatan atau aktiviti yang dilaksanakan di luar waktu pengajaran dan pembelajaran yang dianjurkan oleh pihak sekolah seperti kegiatan unit beruniform, persatuan atau kelab dan permainan.

Sebenarnya, kegiatan kokurikulum banyak mendatangkan faedah kepada pelajar-pelajar terutamanya dari aspek ilmu, kepemimpinan dan kesihatan. Oleh itu, semua pihak termasuklah ibu bapa haruslah mengambil tindakan proaktif untuk menggalakkan pelajar-pelajar untuk melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum.

Antara langkah yang patut diambil ialah memberikan taklimat dan kesedaran kepada ibu bapa atau penjaga. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan ibu bapa mempunyai konsep dan persepsi yang salah tentang kegiatan kokurikulum. Mereka berpendapat bahawa markah peperiksaan merupakan segala-galanya. Penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum kononnya akan mengurangkan masa belajar anak-anak mereka. Oleh itu, mereka akan cuba menghalang anak-anak mereka daripada menyertai kegiatan kokurikulum. Bagi mengubah konsep dan persepsi salah mereka, maka kerajaan haruslah menganjurkan kempen dan sesi ceramah untuk memberi ibu bapa maklumat yang betul tentang tujuan dan manfaat pelajar yang melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum. Dengan adanya usaha sedemikan, maka mereka akan menggalakkan anak-anak mereka menyertai kegiatan kokurikulum.

Selain itu, pihak sekolah juga harus senantiasa menekankan kepentingan kegiatan kokurikulum dalam dunia kehidupan dan kerjaya masa depan pelajar. Pihak sekolah boleh menganjurkan sesi ceramah atau merealisasikan minggu kokurikulum bagi menanamkan minat pelajar terhadap kegiatan kokurikulum. Orientasi kokurikulum difikirkan amat perlu untuk memberikan pendedahan dan pengalaman kepada pelajar-pelajar baharu, khususnya pelajar-pelajar Kelas Peralihan dan Tingkatan Satu pada minggu pertama sesi persekolahan supaya mereka lebih mengenali dan mengetahui jenis kegiatan kokurikulum yang wujud dan akan dijalankan sepanjang tahun di sekolah, bak kata peribahasa Melayu tak kenal, maka tak cinta. Minat pelajar baharu akan meningkat apabila mengetahui wujudnya pelbagai aktiviti mengikut cita rasa dan minat pelajar dijalankan oleh pihak sekolah seperti program perkhemahan, ekspedisi dan sebagainya.

Tambahan pula, kerajaan harus memberikan penekanan kepada kegiatan kokurikulum dengan menjadikan markah pencapaian kokurikulum tahunan sebagai salah satu syarat utama bagi pelajar-pelajar untuk memasuki kolej ataupun universiti awam tempatan. Mereka yang aktif dalam kegiatan kokurikulum dan juga mempunyai keputusan peperiksaan akademik yang cemerlang harus diberi keutamaan. Hal ini difikirkan mampu menggalakkan pelajar untuk menyertai lebih banyak aktiviti kokurikulum dalam pelbagai peringkat dan jenis untuk meraih peluang dan kesempatan untuk memasuki kolej atau universiti awam tempatan pilihan mereka. Syarat ini juga boleh diaplikasikan dalam penentuan calon untuk mendapat biasiswa negeri atau biasiswa persekutuan.

Sehubungan dengan hal itu, sistem pengiraan markah kokurikulum di peringkat sekolah harus diperketat bagi mengelakkan penipuan. Usaha pemantauan dan pemerhatian oleh guru-guru penasihat dan pihak berwajib kokurikulum sekolah dapat membantu usaha untuk mengekang gejala negatif tersebut. Setiap

Page 17: bm...krja rumah

aktiviti yang disertai oleh pelajar perlu disokong dengan bukti seperti sijil penyertaan, sijil kepujian atau sijil kecemerlangan sama ada di peringkat sekolah, negeri, kebangsaan mahupun di arena antarabangsa. Bagi mengelakkan berlakunya masalah ini, guru-guru penasihat haruslah senantiasa memantau buku rekod kehadiran pelajar dari semasa ke semasa.

Masyarakat luar juga harus menyokong usaha kerajaan dalam memberikan kesedaran kepada orang ramai melalui kempen dan sesi ceramah. Mereka boleh menyediakan tempat yang sesuai kepada pihak yang berwajib di samping menghulurkan bantuan sama ada berupa sokongan moral, wang ringgit, hadiah galakan dan perkhidmatan agar masyarakat umum memahami matlamat dan objektif kegiatan kokurikulum dalam sistem pendidikan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan modal insan yang berketerampilan dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Kesimpulannya, kegiatan kokurikulum memainkan peranan yang amat penting kepada pelajar-pelajar. Semua pihak haruslah senantiasa berganding bahu dan berusaha gigih untuk menggalakkan setiap pelajar sama ada di bandar atau di luar bandar untuk menyertai kegiatan kokurikulum kerana kegiatan tersebut dapat melahirkan modal insan yang mampu memimpin negara kita sekali gus merealisasikan Wawasan 2020. Sesungguhnya, generasi pelajar pada hari ini merupakan umarak nusa bangsa yang cemerlang pada masa hadapan sejajar dengan slogan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara!

PENDAPAT

Page 18: bm...krja rumah

Peranan ibu bapa dalam pembentukan disiplin anak-anak amat penting dalam membentuk masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.Bincangkan.

Sebagaimana kita sedia maklum, anak-anak bagaikan kain putih yang suci lagi kudus yang perlu diwarnakan oleh ibu bapa yang membesarkannya. Sebagai anak yang menjadi harapan ibu bapa, kita harus sedar bahawa segala perbuatan positif dan negatif akan mencerminkan imej keluarga. Sejak kecil, kita dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh oleh orang tua kita. Setiap belaian kasih dan sayang yang diberikan kepada kita penuh dengan harapan masa depan. Malangnya, masalah sosial dan kadar jenayah bagai bisul menjadi nanah dalam masyarakat pada zaman yang penuh dengan cabaran. Saya berpendapat bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan disiplin anak-anak.

Jika dibandingkan antara ibu bapa dahulu kala dengan ibu bapa zaman globalisasi ini, kita dapat mengetahui bahawa anak-anak dulu lebih kerap dipukul. Sejak kempen antidera diperluas, ibu bapa mula menjauhkan diri mereka dengan rotan. Daripada perspektif orang tua-tua, setiap sebatan dan hukuman yang diterima dapat memberi tamparan insaf kepada diri anak-anak yang melakukan kesalahan. Namun, saya percaya bahawa ibu bapa perlu tegas dan mendisiplinkan anak-anak sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan pendisiplinan yang kukuh dan ketegasan yang bertempat, anak-anak akan berfikir dua kali sebelum melakukan kesalahan.

Selain ketegasan dan pendisiplinan, pendidikan formal perlu disalurkan oleh ibu bapa demi mematangkan fikiran anak-anak. Dengan pendidikan yang diterima, akal dan perasaan ingin memberontak dalam kalangan anak dapat diatasi. Hal ini demikian kerana anak-anak dikawal ketat dari segi peraturan sekolah. Dengan peraturan sekolah yang efektif dan jadual pelajaran yang ketat, nescaya anak-anak tidak akan mempunyai masa yang terluang untuk melakukan perkara yang membelakangkan undang-undang. Pendidikan formal yang efektif dapat menjadi tulang belakang pendirian teguh anak-anak dalam mendisiplinkan diri agar tidak melakukan perbuatan yangmenconteng arang di muka ibu bapa.

Ajaran agama dan moral merupakan elemen yang maslahat dalam memperkukuh keimanan diri anak-anak demi mengekang hati dan perasaan yang ingin melanggar tatasusila. Masalahnya kini, ibu bapa bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana sibuk mengejar kebendaan dan kedudukan dalam masyarakat. Mereka alpa dengan tanggungjawab keibubapaan yang asas, yakni mendidik anak-anak dengan ajaran agama dan moral. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah menerangkan kepentingan menjaga moral dan tingkah laku yang murni demi mengukuhkan sahsiah diri. Dengan saluran yang betul dan tepat, anak-anak dapat didisiplinkan dan dibentuk menjadi modal insan yang berketerampilan dan berkewibawaan.

Mengikut Doktor Fazilah Kamsar, pakar motivasi yang terbilang, anak-anak akan menjadi berdisiplin jika kita menerangkan sebab dan akibatnya jika dia membuat kesalahan. Hal ini demikian kerana nasihat yang bernas daripada ibu bapa lebih berkesan daripada jeritan marah yang membuang masa dan tenaga. Anak-anak perlu diterangkan kesannya jika mereka merokok atau akibat daripada perbuatan ketidakjujuran mereka. Langkah ini penting agar akal anak-anak yang waras dapat dibentuk untuk membuat keputusan yang baik supaya tidak menyesal atas perbuatan diri kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Langkah ini amat penting agar anak-anak dapat dimatangkan dari segi psikologi sekali gus pencorakan disiplin diri mereka terbentuk secara semula jadi.

Page 19: bm...krja rumah

Di samping itu, ibu bapa mestilah menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Oleh sebab bagaimana acuan, begitulah kuihnya; ibu bapa berperanan penting mempamerkan disiplin yang tinggi di depan anak-anak. Tamsilannya, ibu bapa haruslah membuang sampah di tong sampah dan menjaga kelakuan diri di khalayak ramai agar dicontohi oleh anak-anak mereka. Anak-anak yang mencontohi sikap positif ibu bapa pasti tidak akan membuat perkara yang menyalahi peraturan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa mestilah menjauhi sikap ketam yang mengajar anaknya berjalan betul tetapi diri sendiri berjalan senget.

Kesimpulannya, pencorakan disiplin anak-anak dari rumah, yakni daripada komitmen ibu bapa amat berkesan. Ibu bapa harus menyedari hakikat bahawa masa depan anak-anak juga ditentukan oleh ajaran dan teguran membina daripada mereka. Anak-anak yang berdisiplin dapat meyakinkan ibu bapa dengan kejayaan akademik dan kokurikulum sekali gus menjadi warga yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Oleh hal yang demikian, saya berharap ibu bapa menginsafi tanggungjawab mereka dalam pembentukan disiplin anak-anak agar tidak menyesal selepas anak-anak terjerumus dalam kancah kebejatan sosial. Kebobrokan sikap anak-anak mestilah dikekang daripada menjadi duri dalam daging masyarakat kerana nusa tercinta ini memerlukan tenaga mereka untuk menggapai impian Wawasan 2020