keyakinan diri
Post on 25-May-2015
118 Views
Preview:
DESCRIPTION
TRANSCRIPT
Keyakinan DiriArchived Posts from this Category
Wed 14 Oct 2009Saya terlupa…saya pun bijak juga…Posted by Osman Affan under Keyakinan Diri, Motivasi
[3] Comments
Saya telah pergi ke banyak sekolah, kolej dan juga universiti. Saya telah temui bermacam-
macam jenis pelajar. Ada pelajar cemerlang, ada pelajar malas, ada pelajar yakin untuk
berjaya, ada pelajar takut mencuba dan mungkin ratusan atau ribuan jenis pelajar lagi.
Antara jenis pelajar yang sering menarik perhatian saya ialah pelajar-pelajar cemerlang
yang terpilih memasuki asrama penuh, kolej ternama atau pusat-pusat pengajian tinggi
terpilih. Apabila kita dengar seseorang pelajar itu berjaya memasuki mana-mana pusat
pengajian yang terkenal dengan kecemerlangannya, apakah tanggapan kita terhadap
pelajar tersebut? Kita akan terfikir bahawa betapa hebatnya dan betapa cemerlangnya
pelajar ini bukan?
Kita juga mungkin terfikir, tidak yakin dengan kebolehan diri, rasa tidak pandai dan rasa
seperti orang bodoh tentu tidak pernah terlintas di fikiran pelajar-pelajar cemerlang yang
terpilih ini. Namun, tanggapan itu silap sama sekali.
Kerap kali saya apabila saya bertemu dengan kumpulan pelajar terpilih dan cemerlang,
majoriti daripada menghadapi masalah keyakinan diri. Mereka rasa mereka tidak pandai.
Mereka rasa cukup tertekan kerana mereka sukar untuk menjadi benar-benar cemerlang.
Mereka rasa mereka tidak ada bakat dan kemahiran.
Apa yang membimbangkan, ada antara mereka ini kekal dengan pemikiran tersebut hingga
mereka gagal mencapai potensi sebenar yang terpendam di dalam diri mereka. Jika anda
sedang belajar di sekolah berasrama penuh, kolej atau universiti yang dikenali, adakah
anda menghadapi masalah yang sama? Adakah anda selalu rasa rendah diri dan tidak yakin
untuk menjadi lebih berjaya berbanding orang lain?
Jika jawapannya ya, jangan bimbang. Ini adalah perkara normal. Apa yang sedang berlaku
ialah.
“Anda sudah terlupa yang anda juga BIJAK dan HEBAT orangnya.”
Jika anda sering bersedih kerana mengenangkan bahawa anda tidak sehebat orang lain,
anda sebenarnya sedang membandingkan diri anda dengan
kejayaan orang lain yang belum anda kecapi. kegagalan anda di masa lepas.
Ada pelajar di sekolah berasrama penuh yang sering merasa rendah diri kerana mereka
membandingkan keputusan peperiksaan mereka dengan pelajar lain yang lebih cemerlang.
Padahal, keputusan pelajar lain yang cemerlang itu bukan membuktikan yang mereka lebih
hebat daripada diri kita. Mungkin mereka cuma ada lakukan sesuatu dengan cara yang
betul dan lebih baik. Jadi mengapa perlu bersedih, merendah diri dan takut untuk terus
mencuba?
Ada pelajar di universiti yang bersedih dan hilang keyakinan apabila melihat CGPA yang
rendah. Keyakinan diri semakin parah apabila melihat pelajar lain mendapat CGPA yang
lebh baik. Padahal, CGPA yang rendah cuma menunjukkan bahawa kita mungkin tidak
belajar bersungguh-sungguh atau strategi belajar yang digunakan tidak berkesan. Jadi,
mengapa perlu hilang keyakinan diri dan percaya yang diri kita tidak berpotensi untuk
berjaya seperti orang lain juga?
Saya percaya, satu perkara yang sedang berlaku ialah kita mudah lupa yang kita ini hebat
juga orangnya. Kita mudah lupa kita ini dilihat sebagai hebat oleh orang-orang lain. Kita
tidak mudah sedar bahawa ketika kita rasa rendah diri melihat kehebatan orang lain, orang
lain juga merasa rendah diri apabila melihat kehebatan diri kita.
Jadi, hari ini, apa kata kita ingat kembali….. apa kata hari ini kita imbas kembali…. ingat
semula kejayaan dan kehebatan kita di masa lepas. Kita ingat bukan untuk diceritakan
kepada orang lain… tetapi untuk memenuhkan minda kita dengan fakta dan bukti bahawa
kita juga hebat dan kita juga mencapai kejayaan seperti orang lain.
Apabila minda sudah penuh dengan bukti kehebatan dan kemampuan diri, semangat dan
keyakinan diri akan mula meningkat. Kita akan mula rasa bahawa kita juga layak menjadi
hebat dan berjaya seperti orang lain. Kita juga mampu lakukan apa yang mampu dilakukan
oleh orang-orang yang selalu membuat kita rasa kecil dan hina.
Saya ucapkan, selamat ingat semula kehebatan dan kekuatan diri kita semua.
Tue 9 Sep 2008Sehari bersama pelajar UITM Seri Iskandar, PerakPosted by Osman Affan under Cerita, Keyakinan Diri, Program Motivasi
No Comments
Sabtu lalu saya berada di Universiti Teknologi Mara, cawangan Seri Iskandar Perak.
Program yang saya kendalikan ini bertajuk ‘Bengkel Kecemerlangan Akademik’ untuk
fakulti senibina perancangan dan ukur. Ini merupakan kali ketiga saya menjejakkan kaki
dan menjalankan program di UITM Perak ini. Seperti biasa, layanan yang saya terima
adalah sangat baik dan para penceramah di sini membuat saya rasa seperti saya sedang
pulang ke kampung halaman saya sendiri. Terima kasih saya ucapkan.
Walaupun sedang berada di dalam bulan Ramadhan, ia tidak menghalang pelajar untuk
hadir ke program ini. Matlamat utama program ini ialah meningkatkan keyakinan diri
pelajar bukan sahaja untuk mencapai kecemerlangan, malah untuk bercakap dikhalayak
ramai dan menyuarakan pendapat kepada orang lain.
Puasa seperti tidak terasa bagi saya apabila mendapat kerjasama dan maklumbalas yang
sangat baik daripada para pelajar ini. Pada awalnya, saya dapat lihat dan rasakan yang
ramai antara pelajar yang hadir ini mempunyai masalah keyakinan diri. Ini berdasarkan
cara mereka menjawab soalan saya dan cara mereka memberi maklumbalas kepada aktiviti
dan persoalan yang saya berikan. Itu adalah perkara biasa. Mana-mana universiti yang
saya pergi, saya boleh perkara ini.
Namun apa yang membuat saya benar-benar gembira ialah selepas rehat tengahari iaitu
pada sesi petang, semua pelajar ini seolah-olah telah berubah menjadi sekumpulan pelajar
yang lain! Mereka kelihatan lebih bertenaga berbanding waktu pagi dan mereka mula
memberikan jawapan dan maklumbalas yang cepat di dalam program ini. Saya turut
merasa bertenaga diatas perubahan ini. Apa yang berlaku semasa rehat tadi? Mereka balik
ke bilik dan makan tengahari kah? hehe… saya pasti tidak.
Apa yang berlaku ialah para pelajar ini sudah mula merasa selesa dan keyakinan diri
mereka sudah mula meningkat. Ini terbukti apabila saya jalankan aktiviti di mana pelajar
perlu hadir ke depan untuk bercakap selama beberapa minit, ada pelajar yang menawarkan
diri untuk tampil tanpa disuruh atau dipaksa.
Seronok melihat pelajar yang berusaha mencabar diri mereka. Seronok saya lihat pelajar
bertungkus-lumus melawan rasa takut yang sedang mencengkam diri mereka. Pesan saya
kepada mereka, siapa yang berani mencabar rasa takut mereka, akan wujud rasa berani
untuk berjaya dalam bidang apa sahaja suatu hari nanti.
Hasilnya, saya dapat banyak penyertaan pelajar dalam aktiviti bercakap di hadapan
khalayak ramai secara spontan ini. Saya bawa bersama beberapa hadiah untuk saya
berikan. Pemenangnya ialah dua pelajar perempuan (gambar di bawah) yang kelihatan
agak gementar dan resah pada mulanya tetapi dapat menyampaikan mesej dengan jelas
dan memenuhi kehendak dan objektif yang telah saya berikan. Tahniah saya ucapakan.
Saya ucapkan tahniah kepada semua pelajar yang hadir. Sekali lagi saya ucapkan terima
kasih kepada semua pensyarah yang terlibat terutamanya Cik Asniza dan En Zul yang
banyak melayan kerenah saya semasa berada di sana. Semoga kita berjumpa lagi.
Wed 13 Aug 2008Maklumbalas peserta program Keyakinan Diri UDMPosted by Osman Affan under Keyakinan Diri, Program Motivasi
No Comments
Di dalam posting 27 Julai lalu saya ada ceritakan program keyakinan diri yang saya
jalankan di Universiti Darul Iman Terengganu. Minggu lalu, saya terima kiriman
maklumbalas daripada pihak pengurusan UDM. Terima kasih saya ucapkan kepada Puan
Hayati dan Puan Rosni di atas kiriman maklumbalas. Maklumbalas peserta adalah sesuatu
yang saya perlukan untuk panduan dan juga sebagai pembakar semangat saya untuk
jalankan program yang lebih baik.
Di sini saya kongsikan beberapa maklumbalas yang saya terima daripada para peserta
program.
“Program ini amat berkesan untuk para pelajar dan program ini betul-betul membuatkan
saya cukup berpuas hati dan kalau diberi peluang untuk menyertai program seperti ini lagi,
saya akan menghadirinya sekiranya En Osman Affan penceramahnya.” ~Noor Hafiza
Othman~
“Program ini telah membuka minda saya bahawa setiap kejayaan mahupun kegagalan
berasal daripada kita sendiri. Justeru itu, saya telah buktikan minda yang positif memberi
jalan untuk saya capai kejayaan. Syabas En Osman. Anda memang hebat!” ~Nur Iffah
Aziz~
“Satu pendekatan yang amat rapat, seperti sudah lama kenal. Mudah diajak berbincang
dan satu perjalanan ceramah yang tak pernah buat saya tutup mata atau tertidur.” ~Siti
Zubaidah Abdullah~
“Program ini amat bagus kerana memberi kesan untuk lebih yakin untuk berhadapan
dengan orang ramai. Di samping itu program ini dapat membantu saya dan rakan-rakan
tampil dengan berani dan bersemangat.”~Norziati Juwaini Jusoh~
“Very happening Talk Show. Memberi saya semangat baru dalam mencapai matlamat
hidup saya.” ~Nadiah Mohd Razali~
“Program yang membuat saya sangat teruja. Saya suka cara En Osman Affan menarik
perhatian audience. Sekali sudah menghadiri program ini pasti akan datang
lagi.”~Norsalina Abdullah~
“Program motivasi ini amat seronok dan menggembirakan. Program ini merupakan
program yang paling best pernah saya hadiri. Program ini amat berguna bagi saya dan
rakan-rakan yang lain.”~Siti Norasiah Awang Su~
“Amat bagus untuk diri saya yang selalu merendah diri dan tidak yakin dengan diri sendiri.
EXCELLENT!” ~Nik Ayuni Nik Aziz~
“Program ini amat memberi kesan kepada diri saya. Melalui program sebegini saya mampu
mengembangkan bakat serta potensi diri yang terpendam sekaligus memberi keyakinan
dalam setiap tindakan dalam usaha untuk menjadi insan yang cemerlang.”~Nurul Ashikin
Basri~
“Sebelum ini saya selalu merasakan diri saya tidak berguna dan berharga tetapi sekarang
saya tahu diri saya sahaja yang boleh merubah dan menjadi yang terbaik. Thanks a lot for
giving me more confidence to be successful.” ~Nurul Hazirah Deraman~
“Program yang memberi banyak langkah untuk meningkatkan keyakinan diri dari segi
minda, kemahiran dan aktiviti sesuai untuk pelajar terutamanya pelajar universiti yang
kurang keyakinan diri.” ~Nur Izzatina Abd Ghafar~
“Penceramah motivasi yang amat santai dan pandai menarik perhatian kami untuk terus
menyertai bengkel ini sehingga ke akhirnya dengan keadaan yang bersemangat dan
perkataan bosan tidak pernah terlintas di fikiran kami… Syabas!” ~Nur Syazana Shanan~
Maklumbalas yang lain daripada kebiasaan dan sedikit mencuit hati saya.
“Kawan-kawan saya selalu mempermainkan saya setiap kali gambar En Osman dipamerkan
di setiap tempat kerana saya mempunyai tahi lalat yang sama dengan En Osman. Jadi saya
mengambil keputusan untuk pergi program yang dianjurkan. Apabila saya hadiri program
ini saya amat gembira sekali kerana En Osman mengajar saya supaya cintakan diri
sendiri. Saya berharap program ini akan diadakan lagi san saya kagum En Osman dan
saya berazam untuk menjadi seperti En Osman.” ~Nurmuhsila Md Yusoff~
Tahniah saya ucapkan sekali lagi kepada semua peserta program keyakinan diri anjuran
Unit Kaunseling Universiti Darul Iman ini.
Tue 1 Jul 20083 Sumber Keyakinan diri - KesimpulanPosted by Osman Affan under Keyakinan Diri, Motivasi, Soft Skills
1 Comment
Alhamdulillah. Saya telah kongsikan 3 sumber keyakinan diri untuk kita
semua gunakan bagi meningkatkan tahap keyakinan diri kita. Bagi saya,
tanpa keyakinan diri, kita sukar untuk melakukan sesuatu terutamanya
sesuatu yang baru. Kita akan sukar untuk meletakkan matlamat kejayaan
kerana kita bimbang dan tidak yakin bahawa kita boleh berjaya.
3 Sumber keyakinan diri yang telah saya kongsikan itu ialah
1. Kejayaan dan kenangan manis di masa lalu’2. Sokongan daripada orang-orang yang mengenali diri kita.
3. Cara kita berfikir dan fokus apabila sesuatu menggugat keyakinan diri kita. Untuk mudah mengingati sumber ketiga ini, ingat 2 perkara
1. Apabila kita rasa rendah diri dan tidak yakin, bandingkan diri kita kepada orang lain yang kurang berjaya dan yang selalu kalah dengan pencapaian diri kita.
2. Apabila kita mahu meningkatkan semangat diri kita untuk terus berjaya, kita bandingkan diri kita dengan orang lain yang lebih hebat, lebih berjaya dan lebih bersemangat daripada kita.
Insyaallah saya akan letakkan hasil tulisan ini di dalam ruangan kompilasi tips dan petua
dalam masa terdekat ini. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada kita yang
membaca dan yang mencubanya.
Mon 30 Jun 20083 Sumber keyakinan diri - Sumber 3.2Posted by Osman Affan under Keyakinan Diri, Motivasi, Soft Skills
No Comments
Bagaimanakah ibu bapa boleh gunakan sumber keyakinan diri yang ketiga ini untuk
membantu anak-anak mereka? Begini.
Jika bercakap dengan anak-anak, elakkan daripada
membandingkan kebolehan anak-anak kita
dengan orang lain. Contohnya, kita kata kepada
anak-anak kita,
‘Belajar la betul-betul. Mak tengok anak jiran sebelah
tu rajin belajar, keputusan pun cemerlang. Bukan
macam kau.’
‘Masa abang kau dulu, tak payah suruh, dia belajar sendiri. Sebab tu dia boleh masuk
universiti.’
‘Anak Pak Long kau semua cemerlang. Kenapa la anak-anak abah ni tak boleh jadi macam
tu’.
Membandingkan anak-anak kita dengan orang lain
yang lebih cemerlang lebih banyak merosakkan
daripada membantu sebenarnya. Walaupun niat kita
baik untuk meningkatkan semangat mereka, ia lebih
memedihkan hati dan semangat mereka kerana mesej
yang mereka perolehi ialah
‘Asyik aku je yang tak pandai. Asyik aku je yang bodoh. Orang lain semua pandai,
semua bagus.’
Apabila anak-anak dapat mesej begini, semangat dan keyakinan diri mereka akan terus
jatuh. Dibimbangi mereka akan membesar dengan pemikiran bahawa semua orang lain
lebih baik daripada mereka.
Jadi, kalau mahu meningkatkan keyakinan diri anak-anak untuk kecemerlangan, ada dua
langkah. Semasa berbual dengannya
1. Imbas kembali cerita-cerita di mana anak-anak kita hebat, cemerlang, bijak dan yakin. Cerita dengan penuh keyakinan agar anak-anak kita ingat semula tentang kisah itu semua. Kesannya, kita akan lihat anak kita semakin bersemangat. Cara dia duduk juga akan berubah sedikit seperti mahu kita terus bercerita. Teruskan bercerita dengan ikhlas. (Ikhlas bermaksud tak nampak macam kita bercerita macam terpaksa atau tak bersungguh-sungguh).
2. Apabila wajah anak-anak kita dah nampak mula bercahaya, mula berseri dan mula ceria, baru kita masukkan sedikit cerita tentang orang lain yang cemerlang. Dalam keadaan ceria, anak-anak kita akan lebih bersedia untuk menerima cerita-cerita tentang kehebatan orang lain. Kemudian katakan kepada mereka, “Mak/abah rasa, anak-anak mak/abah lebih hebat dari mereka semua ni. Kalau belajar betul-betul sikit, tambah jadi rajin sikit, mesti tak ada orang lain boleh lawan. (Senyum dan kita mesti percaya apa yang kita katakan).
Apa kata kita cuba teknik ini bila berpeluang. Jika kita tidak cuba, kita pasti akan gunakan
cara lama yang biasa kita gunakan. Jangan risau jika tidak dapat buat dengan sempurna
kerana setelah mencuba, kita akan dapat beberapa idea baru bagaimana mahu
melaksanakan teknik ini dengan lebih berkesan. Untuk jangka masa panjang, kita akan
mula meningkatkan tahap keyakinan diri anak-anak kita sendiri tanpa bantuan orang lain.
Selamat mencuba.
Thu 26 Jun 20083 Sumber keyakinan diri - Sumber 3.1Posted by Osman Affan under Keyakinan Diri, Motivasi, Soft Skills
No Comments
Jika kita asyik membandingkan diri kita dengan orang yang
kurang berjaya, tentu kita kelihatan lebih hebat bukan?
Bukankah perasaan begini akan menghancurkan dan
merosakkan kita di masa akan datang?
Ya, benar, jika kita terlalu bandingkan diri dengan orang yang
kurang berjaya, kita akan gagal. Itulah sebabnya sumber ketiga keyakinan diri ini
mengatakan bahawa anda perlu ingat 2 perkara iaitu
1. Apabila kita rasa rendah diri dan tidak yakin, bandingkan diri kita kepada orang lain yang kurang berjaya dan yang selalu kalah dengan pencapaian diri kita.
2. Apabila kita mahu meningkatkan semangat diri kita untuk terus berjaya, kita bandingkan diri kita dengan orang lain yang lebih hebat, lebih berjaya dan lebih bersemangat daripada kita.
Tujuan kita membandingkan diri dengan orang kurang berjaya
adalah sekadar untuk menaikkan semula semangat kita
daripada bawah. Apabila semangat dan keyakinan diri kita jatuh ke paras terendah, tidak
begitu mudah untuk kita mengangkatnya begitu sahaja. Saya dapati antara cara termudah
untuk mengangkatnya semula ialah dengan membandingkan diri dengan kelemahan orang
lain.
Namun, kita tidak sepatutnya berhenti di situ. Apabila semangat dan keyakinan diri kita
sudah meningkat sedikit akibat aktiviti perkara pertama, kita perlu tingkatkan lagi
kejayaan kita dengan membandingkan diri kita dengan orang-orang yang lebih berjaya.
Jika kita sedang lemah semangat dan tidak yakin diri, ia akan jadi lebih teruk jika kita
bandingkan diri kita dengan orang-orang berjaya. Ini kerana kita akan rasa semakin jauh
ketinggalan di belakang. Jadi apa kata kita naikkan dulu sedikit semangat kita. Kemudian,
apabila ia sudah meningkat sedikit, kita pun sudah mula mampu
hilangkan rasa sedih dan kecewa akibat rasa tidak yakin diri
tadi, barulah kita bandingkan diri kita dengan orang-orang
berjaya. Ini akan menambahkan dan meningkatkan lagi
semangat dan keyakinan diri kita sendiri.
Idea mengenai sumber keyakinan diri ketiga ini sebenarnya datang apabila saya teringat
kisah saya semasa di tingkatan lima. Ketika belajar di Kolej Islam Sultan Alam Shah Klang,
saya dikelilingi oleh pelajar-pelajar cemerlang. Keputusan peperiksaan bulanan saya
selalunya tidak sehebat kawan-kawan saya yang lain. Ini membuat saya merasa kecil
dengan kebolehan diri saya terutamanya dalam bidang akademik. Lama-kelamaan, saya
seolah-olah telah menerima kenyataan bahawa saya tidak sehebat pelajar lain. Ini
adalah satu perkara yang tidak sihat untuk keyakinan diri.
Kemudian, beberapa bulan sebelum peperiksaan SPM, saya pulang ke kampung dan
mengambil peluang bermalam di rumah sahabat baik saya daripada sekolah lama (SMKA
Tok Jiring). Ketika bermalam di sana, selepas membuat latihan dan sedikit ulangkaji,
sahabat saya ini membuka cerita kisah sekolah rendah kami (SK Tok Jiring). Sahabat saya
ceritakan tentang ke mana perginya 11 orang pelajar yang berjaya mendapat 5A dulu.
Masing-masing ada cerita kejayaan masing-masing. Semasa dia bercerita, saya mula sedar
rupa-rupanya saya juga termasuk dalam cerita tersebut kerana saya adalah salah seorang
daripada 11 pelajar tadi. Saya juga mula sedar yang saya sebenarnya datang dari kalangan
pelajar cemerlang. Lebih hebat lagi, saya mula sedar yang kalau dulu saya boleh
cemerlang, kenapa sekarang tidak boleh cemerlang?
Cetusan idea ini terus meningkatkan semangat diri saya untuk bersedia menghadapi
peperiksaan SPM pada tahun itu. Sejak hari tersebut, apabila saya lihat sahabat lain yang
cemerlang di KISAS, saya akan kenang kembali bagaimana saya cemerlang suatu masa
dahulu. Dalam masa yang sama, saya tekadkan azam untuk capai kejayaan seperti
beberapa pelajar cemerlang di dalam kelas saya dan kelas lain. Dua perkara ini berjaya
mengekalkan semangat dan keyakinan diri saya hingga hari peperiksaan sebenar.
Saya percaya anda boleh gunakan pendekatan ini. Saya juga percaya bahawa pendekatan
ini boleh digunakan oleh ibu bapa untuk meningkatkan semangat anak-anak. Bagaimana
ye? Kita tunggu posting seterusnya.
Wed 25 Jun 20083 Sumber keyakinan diri - Sumber 3Posted by Osman Affan under Keyakinan Diri, Motivasi, Soft Skills
No Comments
Sumber keyakinan diri yang ketiga ialah cara kita berfikir dan fokus apabila sesuatu
menggugat keyakinan diri kita. Untuk mudah mengingati sumber ketiga ini, ingat 2
perkara
1. Apabila kita rasa rendah diri dan tidak yakin, bandingkan diri kita kepada orang lain yang kurang berjaya dan yang selalu kalah dengan pencapaian diri kita.
2. Apabila kita mahu meningkatkan semangat diri kita untuk terus berjaya, kita bandingkan diri kita dengan orang lain yang lebih hebat, lebih berjaya dan lebih bersemangat daripada kita.
Penggunaan perkara pertama adalah lebih kurang seperti cara
membuat diri kita bersyukur. Apabila kita merungut tentang
sekolah kita yang kurang peralatan atau kurang dewan besar,
kita bandingkan sekolah kita dengan sekolah yang lebih
mundur. Tentu kita akan rasa bersyukur berada di sekolah kita
sekarang. Jika kita merungut tentang banyak masalah di tempat
kerja kita sekarang, cuba bandingkannya dengan tempat kerja lain yang lebih teruk. Ini
akan menimbulkan rasa bersyukur dan kita sepatutnya akan berhenti merungut.
Begitu juga dengan keyakinan diri, jika kita rasa lemah semangat dan hilang keyakinan
diri, ingat kembali kelebihan diri kita dan bandingkan dengan orang lain yang tidak
mempunyai kelebihan tersebut. Ini akan mengangkat semangat kita kembali. Saya banyak
kali bertemu pelajar di sekolah berasrama penuh dan pelajar diperingkat kolej dan
universiti yang mengadu lemah semangat dan tidak ada keyakinan diri. Mereka rasa
mereka tidak pandai dan tidak kurang potensi untuk berjaya.
Nasihat saya mudah sahaja. Tahukah pelajar ini semua bahawa
di luar sana beribu-ribu lagi pelajar yang gagal memasuki
asrama penuh, kolej dan universiti? Sedarkah pelajar ini semua
bahawa apabila mereka berjaya berada di tempat sekarang, ia
bermakna mereka lebih hebat (dalam beberapa perkara
terutamanya pencapaian akademik) berbanding dengan pelajar-
pelajar lain di luar sana? Tidakkah ini boleh membuat mereka merasa atau melihat
kehebatan dan potensi yang sebenarnya terpendam dalam diri mereka selama ini?
Untuk hari ini, apa kata jika anda merasa rendah diri dan tidak berkebolehan, bandingkan
diri anda dengan seseorang yang anda tahu anda lebih hebat daripadanya. Jika anda rasa
tidak pandai, apa kata bandingkan diri anda dengan seseorang
yang mungkin jauh lebih tidak pandai. Aktivti mudah ini sahaja
akan meningkatkan tahap keyakinan diri anda.
Saya faham mungkin ada antara anda yang terfikir bahawa,
kalau kita asyik bandingkan diri kita dengan orang kurang
berjaya, sampai bila kita akan berubah? Bukankah ia akan menyebabkan kita selesa dan
tidak mahu berusaha kerana sangka kita sudah hebat? Bukankah ia akan menimbulkan
rasa sombong, bangga diri dan bongkak?
Jika anda terfikit begitu, tahniah. Ia menunjukkan anda benar-benar faham apa yang saya
sampaikan di dalam posting ini. Saya akan menjawab persoalan itu dalam posting
seterusnya dengan menerangkan tentang perkara kedua (di atas).
Fri 20 Jun 20083 Sumber keyakinan diri - Sumber 2.1Posted by Osman Affan under Keyakinan Diri, Motivasi, Soft Skills
1 Comment
Sedarkah anda bahawa apabila kita merasa rendah diri, kita akan terlupa sebenarnya ada
ramai orang yang menyokong kita dan ada ramai orang yang sebenarnya kagum dengan
kehebatan kita.
Ada masanya, kita tidak pandai dalam sesuatu
bidang dan kita rasa rendah diri. Contohnya kita
tidak pandai dalam bidang akademik lalu rasa
rendah diri terutamanya bila berada diantara
kawan-kawan yang cemerlang akademiknya. Tetapi
tahukah kita bahawa kita mungkin ada kehebatan
lain yang kawan-kawan kita tadi tidak ada? Mungkin
kita pandai bersukan? Mungkin kita pandai
berkawan atau pandai bergaya? Itu semua adalah sesuatu yang patut kita banggakan dan
patut rasa yakin dengan diri kita sendiri.
Kita perlu tahu, kita mungkin tidak akan hebat dalam semua bidang. Takkanlah kita nak
buat semua perkara di dunia ini. Perkara yang kita tak berapa pandai, biarkan orang lain
yang buat. Bagi saya sendiri, saya rasa saya yakin dan cekap dalam teknik belajar. Tetapi
bila saya balik ke rumah dan ada kerosakan elektrik, saya angkat tangan (menyerah
kalah) dan panggil juru elektrik untuk membaikinya. Perlukah saya rasa rendah diri apabila
juru elektrik itu datang ke rumah saya? Perlukan saya
bersedih kerana saya tidak pandai membaiki kerosakan itu
sendiri? Tentu tidak bukan?
Mesejnya di sini ialah, kita ada kelebihan dan kekuatan kita
tersendiri. Jangan biarkan kekuatan orang lain membuat
kita rasa rendah diri. Jadi, setiap kali kita rasa rendah diri
apabila melihat kehebatan orang lain, fikirkan tentang
kehebatan kita sendiri. Tetapi dalam masa yang sama, buat
keputusan sama ada kita mahu miliki kehebatan seperti orang tadi atau tidak. Contohnya,
jika ada kawan pandai main catur dan kita tidak, jangan rasa rendah diri dan fikirkan
tentang satu perkara di mana kita lebih hebat daripada kawan tadi. Kemudian, fikirkan,
adakah kita mahu jadi pandai main catur? Kalau mahu, fikirkan begini, ‘kalau aku belajar
betul-betul permainan ni, aku pun akan jadi sehebat dia’. Insyaallah perasaan rendah diri
itu tidak akan mengganggu.
Selamat meningkatkan keyakinan diri.
Fri 13 Jun 20083 Sumber keyakinan diri - Sumber 2
Posted by Osman Affan under Keyakinan Diri, Motivasi, Soft Skills
No Comments
Sumber keyakinan diri yang kedua ialah
sokongan daripada orang-orang yang
mengenali diri kita. Jika anda sedar, kita
selalu terlupa untuk melihat kepada kekuatan
dan kehebatan diri kita sendiri. Apabila kita
berdiri dikalangan orang-orang hebat, kita
terlalu asyik memandang ke arah kehebatan
orang lain dan terlupa melihat ke arah
kehebatan diri sendiri. Akibatnya, kita rasa
rendah diri, tidak yakin dan mula mengutuk
diri sendiri. “Kenapa la aku tak pandai macam mereka? Kenapa la aku ni lembab sangat?
Kenapa la aku ni tak pandai?”……
Salah satu cara terbaik untuk melihat kekuatan diri kita ialah dengan mendapatkan
sokongan daripada orang-orang yang mengenali diri kita seperti keluarga atau sahabat
karib. Keluarga selalunya adalah orang-orang yang selalu percayakan kebolehan dan
kekuatan diri kita. Namun, jika mereka tidak begitu, cari orang lain yang boleh menyokong
kita.
Menyokong bukan bermaksud orang tersebut sentiasa mengatakan kita hebat. Ada
masanya orang yang menyokong kita ini akan memberi komen terhadap kelemahan diri
kita. Namun, kita pastu tahu bahawa komen itu adalah untuk lebih memajukan diri kita
lagi. Jadi jangan ambil hati atau bersedih terhadap komen membina daripada orang yang
menyokong kita ini.
Hari ini, apa kata anda senaraikan orang-orang yang anda rasa selalu menyokong anda.
Senaraikan nama-nama orang yang anda rasa setiap kali anda mahu mencuba sesuatu,
anda akan rasa lebih bersemangat apabila telah berbincang dengan orang-orang ini.
Selamat menulis.
Mon 9 Jun 20083 Sumber keyakinan diri - Sumber 1.3
Posted by Osman Affan under Keyakinan Diri, Motivasi, Soft Skills
No Comments
Jika kita benar-benar mahu meningkatkan keyakinan diri untuk melakukan apa sahaja, ada
beberapa perkara yang harus kita lakukan berdasarkan tips sumber pertama keyakinan diri
ini. Sebelum itu, bayangkan diri kita dalam satu situasi yang selalu membuat kita rasa tidak
yakin dan lemah semangat. Contohnya, untuk pelajar, mungkin situasi di mana mereka
perlu belajar subjek-subjek yang dikatakan sukar. Bagi mahasiswa dan mahasiswi, mungkin
mereka tidak yakin semasa hendak membentangkan hasil kajian mereka di depan pelajar
lain dan juga pensyarah. Bagi pekerja, mungkin mereka tidak yakin untuk
berucap atau meluahkan idea mereka di hadapan orang lain terutamanya
orang yang lebih berpangkat.
Langkah pertama, kita patut sedar bahawa rasa berdebar diikuti degupan
jantung yang begitu kencang adalah perkara biasa. Jangan merungut dan
berharap agar kita tidak rasa berdebar. Jika anda tanya saya, saya akan kata
bahawa rasa berdebar itu boleh membantu kerana ia sebenarnya akan
membuat anda lebih berhati-hati dan peka.
Langkah kedua, jika rasa berdebar membuat anda tidak boleh berfikir dengan baik,
lakukan dua perkara ini. Satu, tarik nafas sedalam mungkin dan tahan selama beberapa
saat. Jangan fikir apa-apa. Lepaskan nafas itu dengan gaya orang merasa lega. (Boleh
bayangkan orang rasa lega lepaskan nafas bagaimana?). Kedua, senyum dan
bayangkan/imaginasikan anda telah berjaya lakukan apa yang anda mahu lakukan dengan
begitu baik sekali. Perkara ini belum berlaku tetapi ia adalah sumber keyakinan diri yang
anda cipta sendiri di dalam minda. Fokuskan minda pada imaginasi ini.
Langkah terakhir, cuba ingat gaya seseorang yang kelihatan yakin dan bersemangat.
Ingat gaya mereka itu dan tiru gaya tersebut. Tiru juga bagaimana nada suara yang
mereka gunakan. Jangan risau jika ia tidak menjadi 100% kerana ia tidak perlu. Maksud
saya, tidak perlu jadi 100% untuk anda jadi yakin dan bersemangat.
Ini adalah contoh amalan untuk meningkatkan keyakinan diri menggunakan sumber
keyakinan diri pertama. Kejayaan teknik ini bergantung kepada usaha dan cubaan anda.
Jika selama ini anda sentiasa bermasalah dengan keyakinan diri, tidak ada ruginya kalau
anda mencuba 3 langkah mudah ini kan?
Selamat mencuba.
Fri 9 May 20083 Sumber keyakinan diri - Sumber 1.2Posted by Osman Affan under Keyakinan Diri, Motivasi, Soft Skills
1 Comment
Apabila kita merasa tidak yakin diri atau lemah semangat, kadangkala agak sukar untuk
kita mengimbas kembali saat-saat gembira atau saat-saat di zaman kegemilangan kita di
masa lepas. Ini kerana fikiran kita terlalu tertumpu kepada situasi sekarang dan kita
seolah-olah tidak mampu melepaskan diri. Ini juga selalu menyebabkan kita merungut yang
kita tidak ada saat-saat gembira atau saat-saat gemilang di masa lepas. Saya percaya ini
tidak benar.
Namun, jika ada yang masih percaya itu semua benar
(bahawa mereka tidak ada kenangan gembira atau kejayaan
di masa lepas), apa yang boleh dilakukan? Saya cadangkan
begini. Jika kita rasa kita tidak ada kenangan yang boleh
menaikkan semangat diri untuk merasa yakin, kita boleh
cipta sendiri satu kenangan baru. Apa maksud saya?
Kenangan manis atau saat kegemilangan di masa lalu
sebenarnya hanyalah satu imej yang dimainkan di dalam
minda kita. Apabila kita teringat kenangan yang indah, kita
kadang-kadang tersenyum dan ketawa sendirian walaupun
itu tidak berlaku sekarang. Apa yang perlu kita tahu ialah
minda kita sebenarnya tidak boleh bezakan sama ada
apa yang kita kenang itu perkara yang benar atau
rekaan imaginasi sahaja. Maksud saya, bila
kita cipta/reka satu kenangan kejayaan di masa lepas di
dalam minda, minda kita tidak tahu yang ia hanyalah satu
imaginasi dan tidak pernah berlaku. Jadi, walaupun ia hanya
imaginasi, minda kita boleh memberi arahan kepada tubuh kita untuk ketawa, senyum atau
menangis disebabkan imaginasi itu. Hebat bukan?
Ini bermakna, apabila kita bayangkan yang kita seorang yang hebat dan petah berkata-kata
di masa lepas, minda kita akan beri arahan kepada seluruh tubuh kita agar berkelakuan,
bergerak, berkata-kata seperti seorang yang betul-betul hebat dan petah berkata-kata.
Kesannya kita akan menjadi yakin dan benar-benar percaya kita boleh menjadi hebat dan
petah berkata-kata. Namun kita perlu ingat, yakin dan boleh buat adalah dua perkara
berbeza. Ada orang yakin untuk bercakap dikhalayak ramai tetapi tidak boleh bercakap
dengan baik. Ada orang yakin boleh menendang bola tetapi menendang seperti kayu
memukul bola. Keyakinan perlu diikuti latihan susulan. Apabila kita yakin dan berlatih, kta
lebih mudah menguasai sesuatu ilmu.
Jadi hari ini, fikirkan apa kenangan kehebatan di masa lepas yang ingin anda cipta atau
reka? Keyakinan diri untuk apa yang anda mahukan. Seterusnya nanti saya akan terangkan
apa yang perlu dilakukan bagi melatih keyakinan diri yang baru menggunakan imaginasi
kejayaan di masa lepas ini.
Selamat mencuba.
Mon 5 May 20083 Sumber keyakinan diri - Sumber 1.1Posted by Osman Affan under Keyakinan Diri, Motivasi, Soft Skills
No Comments
Sudahkah anda senaraikan sekurang-kurangnya 5 kejayaan atau kenangan manis anda di
masa lalu? Jika sudah, bagus. Anda ternyata bersungguh-sungguh mahu meningkatkan
tahap keyakinan diri anda.
Langkah seterusnya ialah anda perlu imbas semula
kenangan ini. Cari satu tempat yang tenang. Duduk
dengan tenang dan imbas kembali kenangan ini semua.
Jika anda seorang pelajar, boleh lakukan aktiviti ini
sebelum mula belajar. Jika seorang pekerja, boleh lakukan
aktiviti ini sebelum melakukan sesuatu yang mencabar
keyakinan diri anda. (Jika anda lakukan selepas
sembahyang lebih baik). Lihat semula kenangan ini semua
seolah-olah anda sedang melihat satu tayangan gambar di
dalam minda anda. Perkara yang paling penting anda
harus capai dalam aktiviti ini ialah ‘anda perlu rasakan
dengan jelas betapa seronoknya dan betapa hebatnya
perasaan menjadi seorang yang berjaya’.
Semasa mengimbas kenangan itu juga, cuba rasakan betapa keyakinan diri anda sangat
tinggi ketika mengecapi kejayaan itu. Contohnya, ketika anda berjaya menjadi pelajar
cemerlang dengan mendapat keputusan yang sangat baik di dalam peperiksaan dulu,
apakah yang anda rasa? Gembira? Teruja? Yakin? Hebat?
Teruskan berada di dalam perasaan itu semua buat seketika. Kemudian, dalam masa yang
sama, cuba fikir begini, ‘kalau dulu boleh berjaya, maknanya aku pun orang yang hebat.
Kalau dulu boleh berjaya, sekarang pun mesti sama boleh berjaya juga!’
Apa yang berlaku apabila anda lakukan aktiviti ini? Sebenarnya, apabila anda mengimbas
kenangan kejayaan ini, anda sedang cuba mengekalkan imej kejayaan di dalam minda
anda. Dalam satu masa, manusia hanya boleh meletakkan satu imej sahaja di dalam minda
mereka untuk difokuskan. Maksudnya, jika anda sedang fokus kepada kegagalan lepas,
imej kegagalan akan memenuhi minda anda. Jadi, imej kejayaan tidak akan berada di situ.
Akibatnya, anda jadi resah, gelisah, bimbang setiap masa dan hilang keyakinan diri.
Sama juga, apabila anda kekalkan imej kejayaan, ia akan memenuhi minda anda dan imej
kegagalan tidak akan ada di situ. Hasilnya, anda rasa lebih tenang, ceria dan yakin dengan
kebolehan diri anda.
Seterusnya, saya akan terangkan apa yang boleh anda lakukan jika anda tidak ada banyak
kenangan manis atau kejayaan di masa lepas.
Fri 2 May 20083 Sumber keyakinan diri - Sumber 1Posted by Osman Affan under Keyakinan Diri, Motivasi, Soft Skills
No Comments
Sudahkah anda menjawab soalan saya yang lepas iaitu “Biasanya, apabila anda merasa
rendah diri atau hilang keyakinan diri, apa yang anda lakukan untuk menaikkan semula
semangat dan keyakinan diri anda?”
Hari ini dan beberapa posting saya
seterusnya, saya akan kongsikan 3
sumber utama keyakinan diri yang
boleh digunakan untuk menaikkan
tahap keyakinan diri kita disaat kita
merasa lemah, tidak bermaya,
rendah diri dan tidak yakin. Sumber
keyakinan diri yang pertama ialah
“Kejayaan dan kenangan manis
di masa lalu’.
Adakah anda pernah mengecap apa-
apa kejayaan (walaupun kecil) di
masa lalu? Pernahkah anda menang
apa-apa pertandingan, mendapat
apa-apa anugerah atau dihadiahkan
dengan sesuatu yang istimewa? Jika pernah (saya percaya tentu anda pernah ada
pengalaman sebegini), anda boleh gunakannya sebagai sumber keyakinan diri.
Menurut pemerhatian saya, masalah utama orang-orang atau pelajar yang tidak yakin diri
ialah mereka terlalu fokuskan minda mereka kepada kelemahan diri mereka. Mereka
sentiasa terlihat akan kelemahan diri mereka setiap hari dan setiap masa. Apabila mereka
lihat kecemerlangan pelajar lain, mereka rasa mereka tidak cemerlang. Apabila mereka
melihat kehebatan orang lain, mereka terlupa akan kehebatan mereka.
Benarkah ini yang berlaku? Hmm…. jika anda tidak percaya,
cuba anda bertanya kepada pelajar di sekolah-sekolah
terpilih atau sekolah berasrama penuh. Sekolah-sekolah ini
dipenuhi dengan pelajar-pelajar yang mempunyai rekod
akademik yang cemerlang namun masih ramai juga antara
mereka yang merasa tidak pandai, lemah dan tidak
cemerlang. Apa yang bahayanya ialah apabila mereka mula
percaya bahawa mereka tidak cemerlang, ia akan menjadi
kenyataan.
Jadi, jika anda bersungguh-sungguh untuk meningkatkan tahap keyakinan diri anda, apa
kata hari ini anda senaraikan sekurang-kurangnya 5 kejayaan atau kenangan manis (lebih
banyak lebih baik) anda di masa lalu yang bisa membuat anda rasa gembira, seronok dan
yakin dengan kebolehan diri anda. Setelah anda senaraikan, cuba imbas kembali saat itu,
ingat kenangan itu sejelas-jelasnya dan rasakan apa-apa perubahan keyakinan di dalam diri
anda.
Selamat mencuba.
Wed 30 Apr 20083 sumber keyakinan diriPosted by Osman Affan under Keyakinan Diri, Motivasi, Soft Skills
No Comments
Bagi saya, keyakinan diri adalah sesuatu yang amat-amat berharga. Tanpa keyakinan diri,
seorang yang berilmu tidak akan dapat mengamalkan ilmunya. Tanpa keyakinan diri,
seorang yang gagah tidak akan mampu menggunakan kekuatannya. Tanpa keyakinan diri,
seorang yang hebat tidak akan mampu menyerlahkan kehebatan dirinya.
Saya juga percaya, walau sehebat mana pun diri kita, ada masanya kita
merasa seolah-olah hilang punca dan hilang semua keyakinan diri yang
pernah kita miliki. Kita rasa rendah diri dan tidak mampu menghadapi
cabaran. Kadangkala dengan hanya melihat kejayaan orang lain sahaja sudah
mampu membuat kita rasa sedih, kecewa dan tidak yakin dengan kebolehan
diri sendiri.
Banyak sebab mengapa kita boleh mengalami keadaan begitu. Namun, dalam
posting kali ini, saya tidak berminat untuk menceritakan itu semua kerana saya percaya
anda semua pasti sudah tahu sebab-sebabnya. Apa yang ingin saya kongsikan ialah di saat
kita merasa lemah dan tidak yakin diri, dari manakah kita boleh dapatkan setitik atau
seteguk keyakinan diri agar kita kembali bertenaga untuk meneruskan cabaran dan
rintangan hidup? Di manakah letaknya sumber utama kekuatan dan keyakinan diri kita?
Untuk menjadikan posting ini lebih bermakna dan lebih anda ingati, apa kata anda fikirkan
dulu hari ini tentang soalan ini. Biasanya, apabila anda merasa rendah diri atau hilang
keyakinan diri, apa yang anda lakukan untuk menaikkan semula semangat dan keyakinan
diri anda?
Tue 29 Apr 20083 Rahsia keyakinan diriPosted by Osman Affan under Keyakinan Diri, Motivasi, Soft Skills
No Comments
Alhamdulillah saya telah kongsikan 3 rahsia keyakinan diri untuk
meningkatkan tahap keyakinan diri kita semua. 3 Rahsia ini bukanlah satu
rahsia yang terlalu besar jika kita biasa menghadiri kursus-kursus, seminar
atau membaca buku-buku berbentuk pembangunan diri. Namun, ada juga
masanya kita terlupa rahsia-rahsia ini hingga kita mula merasa kurang yakin
dan tidak bersemangat dalam apa sahaja perkara yang kita lakukan.
Saya telah membuat kompilasi 3 rahsia keyakinan diri ini. Anda boleh
membacanya semula di ruangan kompilasi tips dan petua atau klik disini.
Beberapa minggu ini juga saya masih dihujani oleh soalan-soalan berbentuk keyakinan diri.
Risau juga saya melihat masalah keyakinan diri yang melanda diri pelajar dan orang
dewasa hingga ke tahap membahayakan diri dan juga mengganggu prestasi diri. Ada yang
bijak tetapi merasa bodoh kerana keyakinan diri. Ada yang cemerlang tetapi rasa begitu
hina hingga mahu membunuh diri disebabkan keyakinan diri. Ada yang hebat tetapi tidak
berani mencuba kerana kurang keyakinan diri.
Jadi, untuk posting seterusnya, saya akan kongsikan pula 3 sumber keyakinan diri.
Teruskan membaca.
top related