ibu makan hati sampai mati.docx

Post on 09-Nov-2015

220 Views

Category:

Documents

3 Downloads

Preview:

Click to see full reader

TRANSCRIPT

Ibu makan hati sampai matiSuami malas kerja habiskan masa di warung22 April 2015 1:57 PM

Petikan lagu Pak Balik Pak dendangan Melati, mengembalikan ingatan saya pada perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur, bertemankan rakan yang sudah lama tidak bertemu, baru-baru ini.

Pelbagai perkara dan peristiwa diungkit menjadi kenangan yang melucukan dalam perjalanan selama tiga jam itu.

Sesekali keceriaan reda seketika sambil telinga masing-masing mendengar lagu-lagu yang berkumandang dari radio. Apabila kedengaran lagu berjudul Pak Balik Pak, dendangan Melati, rakan saya, Rokiah (bukan nama sebenar), 43, terdiam, seolah-olah menghayati bait-bait lirik lagu lama tersebut.

Sedang memandu, sesekali mata saya mengerling ke arahnya yang dilihat sekejap tersenyum sinis dan sekejap lagi rasa bungkam.

Cuak dengan keadaan itu, satu soalan terkeluar dari mulut saya, Kenapa tersenyum-senyum ni?

Kau tahu tak lirik lagu ini kena benar dengan kehidupan aku waktu kecil dahulu, macam drama sekarang... bezanya adalah realiti kehidupan, katanya perlahan.

Saya tidak bertanya lanjut, kerana tahu dia akan menyambung cerita.

Rokiah memberitahu, dia merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik. Ibunya seorang suri rumah yang tidak pernah culas menjalankan tanggungjawabnya menjaga mereka adik-beradik, manakala ayah mereka hanyalah seorang lelaki kampung biasa yang akan menerima upah daripada penduduk kampung untuk kerja-kerja yang dilakukan seperti menebang pokok, menebas dan sebagainya.

Berbeza dengan ibu, ayahnya bukanlah seorang yang rajin mencari kerja. Hobinya hanya berada di kedai kopi yang dianggapnya satu perkara yang menyeronokkan.

Lazimnya, sekiranya kita mahukan sesuatu pekerjaan, sepatutnya kita yang mencari, ini terbalik pula kerana ayah saya tidak akan mencari kerja, malah dia dengan bangga memberitahu kerja yang akan mencari dia dan apa yang dia perlukan hanya duduk di rumah sahaja.Kadangkala berhari-hari ayah duduk di rumah, makan, tidur sahaja kerjanya. Jarang sangat sebenarnya orang memanggil ayah untuk melakukan sesuatu kerana ayah mengenakan upah yang agak mahal.

Apabila ibu cuba menasihati ayah, dia tidak akan mengendahkan kerana ayah tidak mudah mendengar nasihat orang lain. Lama-lama ibu tidak terdaya lagi menasihati ayah. Dia banyak membiarkan ayah dengan kerja-kerja hariannya, iaitu bertandang ke kedai kopi sambil berbual dengan rakan-rakannya pada waktu pagi dan balik ke rumah ketika tengah hari.

Kami adik-beradik yang masih kecil waktu itu hanya mampu melihat perlakuan ayah kerana tidak mahu melawan. Kami tidak mahu ayah dan ibu bergaduh sekiranya mereka berbincang mengenai soal pekerjaan, katanya.

Rokiah berkata, kehidupan mereka yang sempit semakin susah dengan sikap ayah seperti itu. Ibu yang rajin mula mencari kerja.

Dia mengambil upah mencuci baju di rumah-rumah penduduk kampung pada waktu pagi, iaitu selepas menghantar kuih untuk jualan yang diletakkan di sebuah warung.

Dengan duit itulah ibu menanggung kami empat beradik. Ketika pergi mengambil upah membasuh baju, dua orang adik kami yang kecil akan dibawa agar senang menjaga mereka sambil membasuh kain.

Dahulu orang mencuci kain dengan menggunakan tangan bukannya mesin seperti sekarang. Saya dan adik di bawah saya ditinggalkan di rumah.

Selepas balik membasuh, ibu akan segera ke dapur untuk memasak. Pada sebelah petang ibu akan ke warung untuk mengambi wang jualan kuih sebelum bersiap untuk memasak kuih untuk jualan esok pagi.

Hampir senja ibu ke kebun di belakang rumah untuk mencari sayur-sayur kampung yang boleh dimasak untuk lauk sebelah malam.

Pendek kata, jadual ibu penuh sepanjang hari dan pada waktu malam, ketika ibu berehat, terlihat sesekali ibu memicit tangannya yang mungkin sakit dan lenguh akibat bekerja sepanjang hari. Apa yang penting, sikit pun ibu tidak pernah mengeluh dengan nasib yang dihadapinya.

Sebagai isteri yang jujur dan setia, dia tetap melayan ayah dengan penuh rasa hormat dan tidak pernah membantah cakap ayah. Cuma dalam doa ibu selepas solat ibu zahirkan agar ayah berubah sikap satu hari nanti, sekiranya tidak hari ini mungkin selepas ibu tiada nanti, kata Rokiah.

Tahun berganti tahun, ibunya tetap rajin mencari wang, ayahnya tetap rajin ke kedai kopi manakala Rokiah dan adik masing-masing sudah ke sekolah.

Suatu hari ibunya jatuh sakit, selepas batuk-batuk yang berpanjangan. Apabila dirujuk ke hospital, dia disahkan menghidap sakit paru-paru. Sakit ibu Rokiah semakin melarat, dan terlantar di wad selama dua minggu.

Waktu itu sikap ayah sudah agak berubah. Dia tidak ke kedai kopi lagi tetapi menjaga kami di rumah sewaktu ibu terlantar sakit. Ayah juga rajin melawat ibu di hospital. Datuk dan nenek (ayah dan ibu ayah) ada datang melawat dan memberi nasihat kepada ayah.

Mereka berkata mungkin atas sikap ayah yang menjadikan ibu terpaksa teruk bekerja menanggung kami adik-beradik.

Seminggu juga dilihat ayah termenung mungkin mengiakan apa yang dikatakan ayah dan ibu. Malang menanti kami kerana ibu meninggal dunia selepas dua minggu keluar dari hospital, katanya yang memberitahu ayah penuh sugul tatkala ibunya meninggal dunia.

Namun kata Rokiah, selepas pemergian ibunya, ayahnya sakit rindu selama sebulan kerana mengenang arwah ibu. Mungkin doa ibu makbul kerana ayah berubah sikap hanya setelah ibu tiada.

Selepas itu ayah mula sedar dan bangkit semula. Dia rajin bekerja mengambil upah kerja-kerja kampung dan menyara kami sekeluarga. Dia tidak berkahwin semula tetapi menumpukan kepada kami kasih sayangnya. Biarpun kami miskin tetapi kami mendapat makan yang cukup.

Dia memelihara kami sehingga dewasa dan berjaya. Baru tahun lepas, ayah meninggal dunia. Kini kami tinggal yatim piatu, kata Rokiah mengenang kisah arwah ayah dan ibunya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/ibu-makan-hati-sampai-mati-1.83571#sthash.TSyW7BzJ.dpuf

top related