antara ibadah sunat yang digalakkan dalam bulan ramadhan
Post on 09-Dec-2015
232 Views
Preview:
DESCRIPTION
TRANSCRIPT
ANTARA ibadah sunat yang digalakkan dalam bulan Ramadhan, selain
sembahyang tarawih, ialah bertadarrus membaca (tilawah) al-Qur'an al-Karim.
Seperti ibadah yang lain, tilawah al-Qur'an juga punya peraturan dan adabnya.
Pembaca al-Qur'an (qari` / qari`ah) sebaik-baiknya mengetahui dan mematuhi
peraturan dan adab membaca kitab suci itu. Wajib bagi kita menghalalkan apa yang
dihalalkan al-Quran dan mengharamkan apa yang diharamkannya. Diwajibkan pula
beradab dengannya dan berakhlak terhadapnya.
Ketika membaca al-Quran, seorang Muslim perlu memperhatikan adab berikut untuk
mendapatkan kesempurnaan pahala dalam membacanya.
- Membacanya dalam keadaan sempurna, suci daripada najis dan dengan duduk
yang sopan dan tenang. Dianjurkan agar pembaca berada dalam keadaan suci.
Imam Haromain berkata: "Orang yang membaca al-Quran dalam keadaan najis, dia
tidak dikatakan mengerjakan hal yang makruh akan tetapi dia meninggalkan sesuatu
utama".
- Membacanya dengan perlahan (tartil) dan tidak cepat agar dapat menghayati ayat
yang dibaca.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Siapa saja yang membaca al-Quran
(khatam) kurang dari tiga hari, bererti dia tidak memahami.” (Hadis Riwayat: Ahmad
dan penyusun Kitab Sunan)
Sebahagian kelompok daripada generasi pertama membenci pengkhataman al-
Quran sehari semalam berdasarkan hadis di atas. Rasulullah memerintahkan
Abdullah Ibnu Umar untuk mengkhatamkan al-Quran setiap satu minggu (tujuh hari)
(Muttafaq Alaih). Ini dilakukan Abdullah bin Mas’ud, Uthman bin Affan, Zaid bin
Tsabit. Mereka mengkhatamkan al-Quran sekali dalam seminggu.
- Membaca al-Quran secara khusyuk dengan menangis kerana sentuhan pengaruh
ayat yang dibaca yang menyentuh jiwa dan perasaan.
Dalam hal ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran dan
menangislah, apabila kamu tidak menangis maka usahakan menangis kerana ayat
yang engkau baca.” (Hadis Riwayat: Al-Bazzar)
Allah s.w.t juga menjelaskan sebahagian daripada sifat hamba-Nya yang soleh
dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil
menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk.” (Surah Al-Isra’: Ayat
109)
- Membaguskan suara membacanya, sebagaimana sabda Rasulullah yang
bermaksud: “Hiasilah al-Quran dengan suaramu.” (Hadis Riwayat: Ahmad, Ibnu
Majah & Al-Hakim). Dalam hadis lain dijelaskan: “Tidak termasuk umatku orang yang
tidak melagukan al-Quran.” (Hadis Riwayat: Al-Bukhari dan Muslim)
Maksud hadis di atas ialah membaca al-Quran dengan susunan bacaan yang jelas
dan terang makhroj hurufnya, panjang pendeknya bacaan, tidak sampai keluar
daripada ketentuan kaedah Tajwid.
- Membaca al-Quran dimulai dengan isti’adzah. Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan bila kamu akan membaca al-Quran, maka mintalah perlindungan kepada Allah
daripada (godaan-godaan) syaitan yang terkutuk.” (Surah An-Nahl: Ayat 98)
- Apabila ayat yang dibaca dimulai dari awal surah, selepas isti’adzah terus
membaca Basmalah dan apabila tidak di awal surah cukup membaca isti’adzah.
Khusus untuk surat At-Taubah, walaupun dibaca mulai awal surat tidak perlu
membaca Basmalah. Cukup dengan membaca isti’adzah saja.
- Membaca al-Quran dengan berusaha mengetahui ertinya dan memahami inti
daripada ayat yang dibaca dengan beberapa kandungan ilmu yang ada di dalamnya.
Firman Allah bermaksud: “Maka apakah mereka tidak memperhatikan al-Quran,
ataukah hati mereka terkunci?” (Surah Muhammad: Ayat 24)
- Membaca al-Quran dengan tidak mengganggu orang sedang solat, dan tidak perlu
membacanya dengan suara yang terlalu keras atau di tempat yang banyak
orang. Bacalah dengan suara atau dalam hati secara khusyuk. Rasulullah bersabda
bermaksud: “Orang yang terang-terangan (di tempat orang banyak) membaca al-
Quran, sama dengan orang yang terang-terangan dalam sedekah.” (Hadis Riwayat
Tirmidzi, Nasa’i, dan Ahmad)
Dalam hadis lain dijelaskan: “Ingatlah bahawa setiap hari dari kamu munajat kepada
Rabbnya, maka janganlah salah satu daripada kamu mengganggu yang lain, dan
salah satu daripada kamu tidak boleh mengangkat suara atas yang lain di dalam
membaca (al-Qur'an).” (Hadis Riwayat: Abu Dawud, Nasa'i, Baihaqi dan Hakim)
Jangan jadikan ibadah yang kita lakukan sia-sia kerana kita tidak mengendahkan
sunnah Rasulullah dalam melaksanakan ibadah membaca al-Quran.
Misalnya, membaca dengan suara keras pada larut malam, yang akhirnya
mengganggu orang yang istirahat dan solat malam.
- Dengarlah bacaan al-Quran. Jika ada yang membaca al-Quran, maka dengarlah
bacaannya itu dengan tenang. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan tatkala
dibacakan al-Quran, maka dengarlah dan diamlah, semoga kamu diberi rahmat.”
(Surah Al-A’raaf: Ayat 204)
- Membaca dengan saling bergantian. Membaca al-Quran, boleh dilakukan secara
bergantian dan yang mendengarnya haruslah dengan khusyuk dan
tenang. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidaklah berkumpul suatu kaum di
dalam rumah Allah, mereka membaca al-Quran dan saling mempelajarinya kecuali
akan turun atas mereka ketenangan dan mereka diliputi oleh rahmat (Allah),
malaikat menyertai mereka, dan Allah membanggakan mereka di kalangan
(malaikat) yang ada di sisi-Nya.” (Hadis Riwayat: Abu Dawud)
- Melakukan sujud Tilawah (sujud Sajdah) pada saat selesai membaca ayat Sajdah,
pada bila-bila masa saja, baik siang ataupun malam, jika pembacanya belum batal
daripada wuduk. Tatacara pelaksanaannya dimulai daripada takbir, lalu sujud,
kemudian membaca “Subhaana Rabbiyal A’laa”' (Maha Suci Rabb-ku Yang Maha
Tinggi), lalu dilanjutkan dengan doa sujud Tilawah. Selepas itu bangkit daripada
sujud tanpa takbir dan salam, kerana tidak ada riwayat daripada Nabi s.a.w
mengenai hal itu, kecuali jika sujud Tilawah itu dilakukan di tengah-tengah
pelaksanaan solat, maka ia bertakbir ketika sujud dan bangkit daripada sujud.
- Berdoa selepas membaca al-Quran. Dalam sebuah riwayat dijelaskan, bahawa
sahabat apabila khatam membaca al-Quran, mereka berkumpul untuk berdoa dan
mengucapkan: “Semoga rahmat turun atas selesainya membaca al-Quran.”
Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a dijelaskan bahawa
apabila dia sudah khatam membaca Al-Quran, dia mengumpulkan keluarganya dan
berdoa. (Hadis Riwayat: Abu Dawud)
Setiap orang Islam wajib mengatur hidupnya sesuai dengan tuntutan al-Quran. Ia
harus dipelihara kesucian dan kemuliaannya, serta dipelajari dan difahami ayat-
ayatnya.
Pelaksanaan ini adalah sebagai tanda kita beriman kepada al-Quran.
top related