556-1076-1-sm.pdf
Post on 07-Oct-2015
254 Views
Preview:
TRANSCRIPT
-
PENGGUNAAN ALAT UMeHi BAGI MEMBANTU PROSES
PENAMBAHAN TIGA NOMBOR DENGAN
MENGUMPUL SEMULA
Oleh :
Azimah Binti Abdul Rahman, Encik Che Abdul Muttalib Bin Ismail,
Jabatan Matematik, IPG Kampus Dato Razali Ismail azimahrahman05@gmail.com, muttalib@ipgmkdri.edu.my
ABSTRAK
Hasil refleksi pengajaran dan pembelajaran semasa praktikum menunjukkan tahap
pencapaian matematik sebilangan murid agak rendah terutama dalam tajuk
penambahan tiga nombor dengan mengumpul semula. Pengkaji dapat mengenal pasti
beberapa bentuk kesilapan yang telah dilakukan oleh murid melalui pemerhatian dan
analisis dokumen. Oleh itu, kajian tindakan ini dilaksanakan bertujuan untuk membantu
murid lemah Tahun 2 meningkatkan kemahiran mereka menambah tiga nombor dengan
mengumpul semula menggunakan alat UMeHi. Peserta kajian terdiri daripada empat
orang murid perempuan yang dipilih berdasarkan ujian diagnostik. Pengumpulan data
menggunakan instrumen ujian, analisis dokumen, pemerhatian dan temu bual. Data
kualitatif dianalisis secara deskriptif mengikut peserta kajian. Dapatan kajian
menunjukkan bahawa kesemua sesi intervensi yang dilaksanakan berjaya membantu
peserta kajian menyelesaikan masalah yang mereka hadapi iaitu berkait dengan tajuk
penambahan tiga nombor dengan mengumpul semula. Alat UMeHi dapat menarik minat
murid untuk menyelesaikan soalan penambahan tiga nombor dengan mengumpul
semula, memudahkan pengiraan hasil tambah tiga nombor dengan mengumpul semula
dan membetulkan kesilapan murid memilih nilai kumpul semula yang salah.
Kata kunci : Alat UMeHi, penambahan tiga nombor dengan mengumpul semula
REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Guru memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Pengajaran yang
berkesan dapat menarik minat murid belajar dalam suasana yang lebih kondusif. Berdasarkan
pengalaman ketika menjalani praktikum fasa tiga di Sekolah Kebangsaan Padang Kemunting, Kuala
Terengganu, pengkaji dapat mengenal pasti bahawa murid mengalami masalah dalam penambahan
tiga nombor dengan mengumpul semula bagi murid Tahun 2.
Pengkaji telah diberikan amanah untuk mengajar topik penambahan bagi kelas 2 Uranus dan pengkaji
dapat melihat beberapa kesilapan yang sering dilakukan oleh murid kelas tersebut. Kelas 2 Uranus
merupakan kelas pertama daripada dua kelas. Walaupun kelas tersebut merupakan kelas pertama,
pencapaian murid di dalam kelas tersebut adalah pelbagai di mana ada murid yang berpencapaian
tinggi, sederhana dan rendah. Bagi topik penambahan tiga nombor dengan mengumpul semula, murid
lemah menghadapi masalah dalam menyelesaikan soalan yang diberi. Jadual 1 menunjukkan
kesilapan yang dilakukan oleh murid semasa menambah tiga nombor dengan mengumpul semula.
-
Jadual 1
Contoh kesilapan pengiraan murid
1.
2. 3.
Murid tidak menguasai proses
mengumpul semula.
Murid keliru dengan nilai
kumpul semula.
Murid tidak dapat mencari nilai
tambah yang betul
Bagi mengatasi masalah ini, pengkaji telah menjalankan satu kajian tindakan bagi meningkatkan
kemahiran murid lemah dalam menyelesaikan masalah penambahan tiga nombor dengan mengumpul
semula menggunakan alat UMeHi.
SOROTAN LITERATUR
Menurut Braten (1998), operasi tambah adalah konsep penting dalam Matematik kerana ia merupakan
algoritma pertama yang dipelajari oleh kanak-kanak yang juga akan menjadi asas kepada
pembelajaran mereka pada masa akan datang. Masalah yang sering dihadapi oleh murid-murid ialah
dalam topik penambahan dengan mengumpul semula. Kanak-kanak kurang memahami masalah
operasi nombor dengan mengumpul semula (Van de Walle, 2004). Murid-murid yang berpencapaian
rendah akan menghadapi masalah apabila melibatkan penambahan dengan mengumpul semula.
Perkara ini dikukuhkan lagi dengan pernyataan Muhammad Sofwan (2010) yang menyatakan bahawa
murid-murid berpencapaian rendah dalam matematik tidak mahir dalam penambahan dengan
mengumpul semula. Terdapat beberapa kesilapan umum yang sering dilakukan oleh murid-murid
dalam penambahan tiga nombor dengan mengumpul semula. Antara kesilapan umum murid-murid
dalam menyelesaikan masalah matematik ialah tidak mengumpul semula, kiraan yang salah dan
susunan digit yang tidak tersusun mengikut nilai tempat, (Douglas, 2004).
Terdapat beberapa kajian yang telah dilaksanakan bagi topik penambahan dengan mengumpul
semula. Antaranya ialah kajian yang dilaksanakan oleh Aniza Bt Nordin pada tahun 2012 yang
menggunakan kaedah Step Ladder Addition, Penggunaan ReadMethod oleh Ahmad Syukran pada
tahun 2012 dan Penggunaan Alat Stage Counting oleh Nadia Solehah pada tahun 2011. Kesemua
kajian ini mempunyai kelebihan tersendiri yang dapat membantu murid menambah nombor dengan
mengumpul semula. Namun demikian, kaedah dan alat tersebut juga mempunyai kelemahan kerana
kaedah dan alat tersebut tidak membantu peserta kajian untuk menyelesaikan penambahan tiga
nombor dengan mengumpul semula. Oleh itu, pengkaji telah menggunakan alat yang baru iaitu alat
UMeHi bagi membantu peserta kajian menyelesaikan masalah penambahan tiga nombor dengan
mengumpul semula.
TUJUAN KAJIAN
Tujuan utama kajian ini dijalankan adalah untuk meningkatkan kemahiran murid lemah Tahun 2
Uranus Sekolah Kebangsaan Padang Kemunting menambah tiga nombor dengan mengumpul semula
menggunakan alat UMeHi.
-
Objektif
Menentukan bagaimana alat UMeHi membantu murid lemah Tahun 2 menyelesaikan masalah
penambahan tiga nombor dengan mengumpul semula.
Persoalan Kajian
Bagaimana alat UMeHi dapat membantu murid lemah Tahun 2 menyelesaikan masalah tambah tiga
nombor dengan mengumpul semula?
METODOLOGI KAJIAN
Kajian tindakan ini melibatkan empat orang murid lemah Tahun 2 yang terdiri daripada empat orang
murid perempuan. Kesemua peserta kajian ini dipilih berdasarkan pencapaian ujian diagnostik yang
terendah. Pengkaji telah menggunakan model kajian Stephen Kemmis yang melibatkan proses
refleksi, merancang, melaksana dan memerhati. Data dikumpul menggunakan instrumen ujian,
pemerhatian, analisis dokumen dan temu bual. Data kualitatif dianalisis secara deskriptif mengikut
peserta kajian.
Pengkaji telah mengumpul maklumat berdasarkan ujian pra dan ujian pos yang telah dibuat oleh
peserta kajian. Ujian pra dibuat sebelum intervensi dilaksanakan manakala ujian pos dibuat selepas
intervensi dilaksanakan. Pemerhatian dilakukan bermula daripada ujian pra diikuti dengan sesi
intervensi sehinggalah ujian pos. Selain itu, pengkaji juga telah menganalisis dokumen peserta kajian.
Dokumen tersebut terdiri daripada hasil kerja ujian pra, ujian pos dan lembaran kerja sepanjang sesi
intervensi dilaksanakan. Pengkaji juga telah menemu bual peserta kajian selepas ujian pra dan ujian
pos bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pemahaman peserta kajian terhadap soalan yang
telah dijawab.
SPESIFIKASI INTERVENSI
Alat UMeHi merupakan alat yang diperkenalkan kepada peserta kajian bagi membantu mereka
menambah tiga nombor dengan mengumpul semula. Berikut merupakan langkah penggunaan Alat
UMeHi.
Contoh soalan :
254 + 173 + 258 =
Langkah penggunaan :
Jadual 2
Cara penggunaan Alat UMeHi
Bil Rajah Penerangan
1 1. Alat UMehi terdiri daripada dua warna bagi digit tertentu.
2. Sekiranya digit tersebut berwarna merah, murid hanya perlu
meletakkan nilai digit tersebut pada
rumah yang betul manakala
sekiranya digit tersebut berwarna
hijau, murid perlu meletakkan digit
tersebut sebagai nilai kumpul
-
semula pada rumah di sebelahnya.
Sebagai contoh, sekiranya
penambahan yang dibuat pada
rumah sa, maka nilai digit berwarna
merah akan diletakkan di rumah sa
dan digit berwarna hijau akan
diletakkan di atas rumah puluh.
3. Murid hanya perlu menggerakkan anak panah pada Alat UMeHi bagi
mendapatkan hasil tambah yang
betul.
2 1. Bagi soalan ini, murid akan menambah nilai pada rumah sa
dahulu.
2. Murid akan mula menggerakkan anak panah mengikut nilai digit
paling atas iaitu empat.
3. Murid akan menggerakan anak panah mengikut nilai yang perlu
ditambahnya.
4. Pada peringkat pertama murid akan menggerakkan tiga anak panah
dahulu diikuti dengan lapan anak
panah.
5. Selepas itu, murid akan melihat nilai tambah pada rumah sa.
6. Murid akan meletakkan digit berwarna merah di ruangan jawapan
rumah sa dan meletakkan digit
berwarna hijau di atas rumah puluh.
3 1. Bagi rumah puluh pula, prosesnya adalah sama dengan proses
penambahan pada rumah sa.
2. Murid akan memulakan penambahan menggunakan nilai
digit paling atas sekali iaitu satu.
3. Selepas itu, murid akan menggerakkan anak panah mengikut
nilai yang perlu ditambahnya pada
rumah puluh.
4. Setelah mendapat hasil tambah, murid akan menulis digit berwarna
merah di ruangan jawapan puluh
dan digit berwarna hijau di atas
rumah ratus.
-
4
1. Bagi rumah ratus, prosesnya adalah sama dengan proses penambahan
pada rumah sa dan puluh.
2. Murid akan memulakan penambahan menggunakan nilai
digit paling atas sekali iaitu satu.
3. Selepas itu, murid akan menggerakkan anak panah mengikut
nilai yang perlu ditambahnya pada
rumah ratus.
4. Setelah mendapat hasil tambah, murid akan menulis digit berwarna
merah pada ruangan jawapan ratus.
Pengkaji telah menjalankan empat sesi intervensi kepada peserta kajian bagi mengatasi masalah
penambahan tiga nombor dengan mengumpul semula bagi peserta kajian 1 iaitu Sabrina. Setiap
intervensi disertakan dengan enam item latih tubi. Jadual di bawah menunjukkan senarai intervensi
dan objektif bagi setiap intervensi yang telah dilaksanakan.
Jadual 3
Sesi intervensi dan objektif
Sesi intervensi Objektif
1 Mengenali dan mengetahui cara menambah dengan mengumpul semula
menggunakan Alat UMeHi.
2 Menggunakan Alat UMeHi dalam penambahan tiga nombor tanpa
mengumpul semula.
-
3 Menggunakan Alat UMeHi dalam penambahan tiga nombor dengan
mengumpul semula.
4 Menambah tiga nombor dengan menggunakan lakaran Alat UMeHi.
DAPATAN KAJIAN
Sabrina merupakan seorang murid yang rajin dan pendiam di dalam kelas. Berdasarkan pemerhatian
di dalam kelas, Sabrina akan menyiapkan semua kerja yang diberi. Semasa sesi pengajaran, Sabrina
menumpukan perhatian kepada pengajaran yang dilaksanakan. Dia tidak membuat bising di dalam
kelas. Namun demikian, Sabrina banyak melakukan kesilapan dalam item latihan yang diberikan
terutama bagi tajuk penambahan tiga nombor dengan mengumpul semula. Sabrina juga mengambil
masa yang lama berbanding rakan-rakan yang lain iaitu 20 minit bagi enam item untuk menyiapkan
tugasan melibatkan penambahan tiga nombor dengan mengumpul semula.
Ujian Pra
Pengkaji telah menjalankan ujian pra ke atas Sabrina bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh
Sabrina dalam penambahan tiga nombor dengan mengumpul semula. Item ujian pra akan menguji
Sabrina sejauh mana penguasaannya dalam topik penambahan tiga nombor dengan mengumpul
semula. Di samping itu, item ujian pra juga bertujuan untuk menguji fakta asas tambah dan konsep
tambah dengan mengumpul semula yang dikuasai oleh Sabrina.
Jadual 4
Analisis Pola Kesilapan Sabrina Dalam Ujian Pra
Bil Pola Kesilapan Contoh Hasil Kerja Murid Catatan
1. Tidak mendapat hasil tambah
yang betul
5,6
-
2 Keliru dengan nilai kumpul
semula
2, 7, 8, 10
Berdasarkan Jadual 4 iaitu analisis pola kesilapan Sabrina dalam ujian pra, pengkaji dapat mengenal
pasti dua kelemahan Sabrina. Pertama, beliau tidak mendapat hasil tambah yang betul. Selain itu,
Sabrina juga keliru dalam menulis nilai kumpul semula. Ini menunjukkan bahawa Sabrina tidak
memahami nilai kumpul semula dengan baik. Hal ini merupakan masalah utama kepada kelemahan
Sabrina dalam menyelesaikan item tambah tiga nombor dengan mengumpul semula. Sabrina dapat
menjawab empat daripada sepuluh item dengan betul. Enam item yang salah adalah terdiri daripada
dua jenis kesilapan iaitu tidak mendapat hasil tambah yang betul iaitu item 5 dan 6 dan keliru dalam
menentukan nilai kumpul semula iaitu item 2,7,8 dan 10.
-
Bagi mendapat penjelasan daripada Sabrina mengenai kesilapan yang telah dilakukan,
pengkaji telah menemubual Sabrina. Temu bual yang dibuat ialah temu bual berstruktur. Berdasarkan
temu bual yang telah dilaksanakan, pengkaji dapat menguji sejauh mana pemahaman Sabrina dalam
topik penambahan tiga nombor dengan mengumpul semula. Apabila ditanya mengenai cara Sabrina
menambah kesemua nombor dalam item, dia menjawab Mula-mula saya tulis semua dulu. Pastu saya guna jari tambah semua nombor cikgu. Sabrina juga ada menyatakan bahawa dia tidak yakin semasa menjawab item yang diberi.
Selain itu, pengkaji juga membuat pemerhatian terhadap Sabrina semasa ujian pra. Pengkaji dapat
melihat bahawa Sabrina teragak-agak semasa mengira nilai tambah. Dia kelihatan ragu-ragu
menggunakan jari bagi mencari nilai tambah. Sabrina mengambil masa yang lama untuk menjawab
item yang diberi. Kebanyakan jalan kira yang telah dibuat dipadamnya berkali-kali. Selain itu,
Sabrina juga bertanya mengenai jawapan yang dibuat sama ada betul atau tidak. Ini menunjukkan
Sabrina tidak yakin dengan jawapan yang dikemukakan.
Pengkaji telah menjalankan empat sesi intervensi terhadap Sabrina selepas siap menganalisis
ujian pra yang telah dilaksanakan. Intervensi bertujuan untuk mengukuhkan pengetahuan Sabrina
dalam menambah tiga nombor dengan mengumpul semula menggunakan alat UMeHi.
Sesi Intervensi 1
Pada sesi intervensi 1, peserta kajian akan diperkenalkan dengan alat UMeHi bagi membantu peserta
kajian menjawab item penambahan tiga nombor dengan mengumpul semula. Berdasarkan analisis
dokumen, pengkaji dapat merumuskan Sabrina dapat memahami cara penggunaan alat UMeHi. Hal
ini kerana Sabrina dapat menjawab kesemua item dengan betul. Item yang diberi melibatkan
penambahan tiga nombor tanpa mengumpul semula dan dengan mengumpul semula.
Melalui pemerhatian pengkaji terhadap Sabrina, pengkaji mendapati bahawa Sabrina dapat
memahami dan mengikut cara penggunaan alat UMeHi semasa proses pengajaran dan pengajaran
intervensi dilaksanakan. Sabrina menunjukkan respon yang positif di mana dia dapat menjawab
kesemua item yang diberikan tanpa meminta bantuan dari rakan-rakan lain. Selain itu, alat UMeHi
dilihat dapat menambahkan keyakinan Sabrina untuk menjawab item penambahan tiga nombor
dengan mengumpul semula di mana dia tidak mengambil masa yang lama untuk menjawab item
tersebut jika dibandingkan dengan sikapnya semasa menjawab item pra.
Sabrina juga bersemangat menyelesaikan item menggunakan alat UMeHi. Setelah pengkaji
memperkenalkan alat UMeHi, Sabrina dapat menyelesaikan item dengan betul. Sabrina juga tidak
memanggil pengkaji bagi mendapatkan kepastian jawapan yang telah dibuatnya. Selepas selesai sesi
intervensi yang pertama, pengkaji menjalankan temu bual bagi memastikan keberkesanan alat yang
digunakan. Pengkaji bertanya kepada Sabrina adakah penggunaan alat UMeHi dapat membantu dalam
menyelesaikan item penambahan tiga nombor dengan mengumpul semula. Sabrina memberikan
jawapan yang positif iaitu, Haah cikgu. Kite dah pandai guna ulat bulu tu. Kite tak penin doh nak kira gune jari .
Sesi intervensi 2
Semasa sesi intervensi 2, pengkaji telah memberikan item berbentuk penambahan tiga nombor tanpa
mengumpul semula. Pengkaji mahu melihat sama ada peserta kajian mempunyai masalah dalam
menambah tiga nombor tanpa mengumpul semula di samping melatih peserta kajian menggunakan
alat UMeHi.
Memandangkan item yang diberikan adalah mudah, Sabrina menunjukkan perubahan sikap
yang baik. Dia menjawab kesemua item dengan cepat berbanding peserta kajian yang lain. Selain itu,
Sabrina juga menawarkan diri untuk membantu rakannya yang lain. Sabrina kelihatan teruja kerana
-
dapat menjawab item yang diberikan dengan menggunakan alat UMeHi. Hasil kerja bagi kesemua
item yang diberi adalah betul. Ini menunjukkan Sabrina tidak mempunyai masalah dalam menambah
tiga nombor tanpa mengumpul semula.
Sesi Intervensi 3
Pada sesi intervensi ketiga pula, pengkaji telah memberikan item penambahan tiga nombor dengan
mengumpul semula. Sabrina bersemangat untuk menjawab item yang diberi menggunakan alat
UMeHi. Berdasarkan pemerhatian pengkaji, Sabrina cuba menjawab kesemua item dengan cepat. Dia
dapat menggunakan alat UMeHi dengan baik. Namun begitu, terdapat juga item yang tidak dapat
dijawab dengan betul oleh Sabrina. Sabrina dapat menjawab lima daripada enam item yang diberikan
dengan betul.
Sikap tergopoh-gapah Sabrina untuk menyiapkan kesemua item juga menjadi penyebab
kepada kecuaian Sabrina untuk mencari jawapan yang betul. Pengkaji bertanya kepada Sabrina
mengenai kesilapannya dalam menjawab item. Sabrina memberi respon bahawa dia cuai dan keliru
dengan pengiraan yang telah dilakukan.
Sesi Intervensi 4
Sesi intervensi 4 merupakan sesi intervensi yang terakhir. Pada sesi ini, peserta kajian hanya
dibekalkan dengan kertas kosong dan juga lembaran kerja. Peserta kajian tidak dibenarkan
menggunakan alat UMeHi tetapi dikehendaki menulis turutan nombor seperti di dalam alat UMeHi.
Tujuan sesi ini dilaksanakan adalah untuk menguji keberkesanan alat UMeHi dalam membantu
peserta kajian menambah tiga nombor dengan mengumpul semula.
Berdasarkan pemerhatian pengkaji, Sabrina tidak mempunyai masalah untuk menulis turutan
nombor dan menyelesaikan item menggunakan cara yang digunakan seperti alat UMeHi. Sabrina
dapat membuat turutan nombor seperti alat UMeHi untuk menyelesaikan item yang diberikan. Namun
begitu, Sabrina tidak dapat menjawab semua item yang diberikan dalam lembaran kerja dengan betul.
Sabrina dapat menjawab lima daripada enam item dengan betul. Pengkaji dapat melihat bahawa
Sabrina cuai semasa membuat penambahan walaupun telah menggunakan alat UMeHi. Apabila
ditanya mengenai kesilapan item 5 tersebut Sabrina mengatakan bahawa beliau salah mengira kerana
hendak menjawab semua soalan dengan cepat.
Ujian Pos
Pengkaji menjalankan ujian pos ke atas peserta kajian setelah kesemua sesi intervensi telah selesai.
Ujian pos ini bertujuan untuk melihat sejauh mana keberkesanan alat UMeHi bagi membantu peserta
kajian menyelesaikan item dalam topik penambahan tiga nombor dengan mengumpul semula.
Memandangkan Sabrina telah diberikan pendedahan mengenai cara mencari hasil tambah tiga nombor
dengan mengumpul semula menggunakan lakaran alat UMeHi, dia tidak mempunyai masalah untuk
menjawab ujian pos. Sabrina menyelesaikan semua sepuluh item dengan cepat iaitu selama 20 minit.
Dia merupakan peserta kajian yang pertama yang dapat menjawab kesemua item dengan cepat. Hasil
pemerhatian pengkaji, Sabrina nampak lebih yakin dan bersemangat untuk menjawab item.
Berdasarkan semakan ujian pos yang telah dilaksanakan, Sabrina berjaya menjawab kesemua
sepuluh item dengan betul. Pengkaji juga menjalankan sesi temu bual bersama Sabrina. Apabila
ditanya adakah Sabrina akan menggunakan cara alat UMeHi untuk menambah tiga nombor secara
berturut-turut selepas ini, Sabrina menyatakan bahawa beliau akan menggunakan cara yang telah
diajar oleh pengkaji. Menurut beliau, cara pengkaji lebih mudah dan beliau tidak mengalami masalah
untuk mengira memandangkan sebelum ini beliau mengira menggunakan jari sahaja. Pernyataan
-
Sabrina menunjukkan bahawa dia lebih suka menggunakan cara alat UMeHi bagi mendapatkan
jawapan berbanding dengan menggunakan jari. Secara ringkasnya, pengkaji dapat membuat rumusan
bahawa Sabrina dapat menguasai penambahan tiga nombor dengan mengumpul semula menggunakan
alat UMeHi.
Jadual 5
Perbandingan Hasil Kerja Sabrina Antara Ujian Pra dan Ujian Pos
Item Ujian Pra Ujian Pos Analisis
2
Sabrina dapat
memperbetulkan
kesilapannya daripada
menulis nilai digit
kumpul semula yang
salah kepada menulis
nilai digit kumpul
semula yang betul.
5
Sabrina dapat
memperbetulkan
kesilapannya daripada
mendapat hasil tambah
yang salah kepada
mendapat hasil tambah
yang betul.
6
Sabrina dapat
memperbetulkan
kesilapannya daripada
mendapat hasil tambah
yang salah kepada
mendapat hasil tambah
yang betul.
7
Sabrina dapat
memperbetulkan
kesilapannya daripada
menulis nilai digit
kumpul semula yang
salah kepada menulis
nilai digit kumpul
semula yang betul.
-
8
Sabrina dapat
memperbetulkan
kesilapannya daripada
menulis nilai digit
kumpul semula yang
salah kepada menulis
nilai digit kumpul
semula yang betul.
10
Sabrina dapat
memperbetulkan
kesilapannya daripada
menulis nilai digit
kumpul semula yang
salah kepada menulis
nilai digit kumpul
semula yang betul.
Perbandingan hasil kerja Sabrina antara ujian pra dan ujian pos menunjukkan perubahan yang
positif seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 5. Ini dapat membuktikan bahawa penggunaan alat
UMeHi dapat membantu Sabrina menyelesaikan masalah tambah tiga nombor dengan mengumpul
semula.
Kesemua peserta kajian memberikan perubahan yang baik selepas intervensi dilaksanakan. Setiap
peserta kajian dapat meningkatkan pencapaian mereka dalam menyelesaikan masalah penambahan
tiga nombor dengan mengumpul semula. Jadual di bawah merupakan rumusan dapatan kajian bagi
kesemua peserta kajian.
Jadual 6
Perbandingan markah Ujian Pra dan Ujian Pos
Peserta Kajian Skor Ujian Pra (%) Skor Ujian Pos (%) Peningkatan (%)
Sabrina (PK01) 40 100 60
Damia (PK02) 20 80 70
Aina (PK03) 10 100 90
Farah (PK04) 0 80 80
KESIMPULAN
Pengkaji telah melaksanakan sebanyak empat sesi intervensi kepada peserta kajian. Pengkaji telah
menggunakan Alat UMeHi bagi membantu murid menambah tiga nombor dengan mengumpul
semula. Memandangkan alat yang digunakan merupakan bahan manipulatif, peserta kajian berminat
untuk menyelesaikan soalan penambahan tiga nombor dengan mengumpul semula. Ini adalah kerana
peserta kajian teruja untuk menggunakan marker bagi melakukan pergerakan anak panah semasa menambah. Selain itu, alat ini juga dapat membantu peserta kajian daripada membuat kesilapan pada
jumlah pengiraan bagi operasi tambah. Peserta kajian dapat mengira dengan baik menggunakan Alat
UMeHi. Intervensi yang dilaksanakan memberikan impak yang positif di mana peserta kajian
menunjukkan peningkatan bagi setiap intervensi. Perubahan sikap setiap intervensi juga berlaku di
mana pada sesi intervensi yang pertama perserta kajian mula menunjukkan minat untuk
-
menyelesaikan soalan penambahan tiga nombor dengan mengumpul semula jika dibandingkan dengan
sikapnya yang kurang berminat menjawab soalan matematik sebelum sesi intervensi dilaksanakan.
Kajian tindakan merupakan salah satu elemen yang boleh meningkatkan tahap profesionalisme
seorang guru pelatih. Guru pelatih dapat menimba pengalaman bagaimana untuk menambah baik cara
pengajaran bagi memastikan murid yang mengalami masalah dalam pembelajaran dapat dipulihkan.
Kajian yang dilaksanakan memberikan gambaran kepada guru pelatih bahawa murid yang lemah juga
mampu untuk berjaya sekiranya guru menggunakan kaedah dan alat yang dapat membantu menarik
minat dan memudahkan kefahaman murid dalam sesuatu topik. Melalui kajian yang dilakukan,
pengkaji dapat mengenal pasti masalah yang sering dihadapi oleh murid di samping melakukan
pembacaan terhadap kajian-kajian lain yang telah dilaksanakan. Perkara ini membantu guru pelatih
untuk menggunakan pelbagai kaedah yang sedia ada bagi membantu murid berkenaan menjawab
soalan yang diberi. Secara tidak langsung, ini menyumbang kepada peningkatan profesionalisme guru
di mana berlakunya perkongsian ilmu dengan guru pelatih sebelum ini yang turut sama melaksanakan
kajian tindakan.
Terdapat kekuatan terhadap Alat UMeHi yang telah diperkenalkan. Antara kekuatan yang terdapat
pada Alat UMeHi ialah murid dapat menambah tiga nombor secara berturut-turut tanpa menghadapi
masalah, mudah dibawa ke mana-mana, menggunakan kos yang rendah dan boleh juga digunakan
untuk operasi tolak. Kelemahan pada alat ini ialah murid mengambil masa yang lama untuk menulis
nombor satu hingga 27. Bagi menambahbaik Alat UMeHi, penggunaan ICT amatlah digalakkan.
Aplikasi ICT bukan sahaja dapat menarik minat murid untuk belajar tetapi juga mempercepatkan
langkah penambahan tiga nombor dengan mengumpul semula.
RUJUKAN
Braten, I. (1998). Cognitive Strategies in Mathematics, Part 1 : On Children's Strategies for
Solving Simple Additon Problem.
Douglas H.Clements, J. S. (2004). Engaging Young Children in Mathematics : Standards for
Early Childhood Mathematics Education, Studies in Mathematical Thinking and
Learning Series. Mahwah: Lawrence Erlbaum Associates.
Muhammad Sofwan, M. (2010). Meningkatkan Kemahiran Penambahan dengan Mengumpul
Semula Bagi Murid Tahun 2 yang Berpencapaian Rendah Menggunakan Bahan
Manipulatif "Straws & Board".
Van de Walle, J. (2004). Elementary and Middle School Mathematics :Teaching
Developmentally. New York: Pearson Education, Inc.
top related