12.0 kajian penilaian tahap penggunaan teknologi …etmr.mardi.gov.my/content/report/2017/artikel...
Post on 10-Oct-2019
40 Views
Preview:
TRANSCRIPT
228
12.0 KAJIAN PENILAIAN TAHAP PENGGUNAAN TEKNOLOGI BAGI SUBSEKTOR
PERTANIAN TERPILIH KE ARAH PERTANIAN MODEN: LEMBU TENUSU
NOR AMNA A’LIAH MOHAMMAD NOR
12.1 PENDAHULUAN
Permintaan terhadap produk ternakan semakin meningkat di negara-negara
membangun seperti negara-negara Asia Tenggara termasuklah Malaysia
(Thorton, 2010). Peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan populasi
penduduk, proses urbanisasi, perindustrian, peningkatan pendapatan isi rumah,
kebanjiran pekerja asing dan peningkatan dalam industri pelancongan (Thorton,
2010; Abu Hassan, 2015). Industri ternakan ini penting dalam memastikan
jaminan bekalan makanan negara dan merupakan salah satu sumber pendapatan
bagi penduduk luar bandar. Pada tahun 2014, industri ternakan yang terdiri
daripada subsektor ruminan dan bukan ruminan telah menyumbang sebanyak
11.6% (RM 10.3 billion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) (Jabatan
Perangkaan Malaysia, 2017) berbanding 10.4% (RM 6.9 billion) pada tahun 2013
(Perbadanan Produktiviti Malaysia, 2015).
Di dalam sektor ternakan, ia terbahagi kepada 2 subsektor iaitu subsektor
ruminan dan subsektor bukan ruminan. Dalam subsektor ruminan pula
terbahagi kepada dua iaitu ruminan besar dan ruminan kecil. Ternakan yang
tergolong dalam ruminan besar adalah lembu pedaging dan tenusu, manakala
ruminan kecil adalah kambing dan bebiri. Lembu tenusu tergolong di dalam
kategori ruminan besar. Pada masa ini, penternakan sektor ruminan masih di
dalam skala yang kecil (Mohamed, 2007). Dalam tahun-tahun kebelakangan ini,
ia menunjukkan kemajuan yang menggalakkan, namun masih tidak dapat
memenuhi permintaan tempatan. Bagi menampung kekurangan ini, Malaysia
telah mengimport sebahagian besar daripada keperluan daging lembu, kambing
dan produk tenusu dari luar negara terutamanya India, Australia dan New
Zealand (Nor Amna dan Hifzan, 2015).
12.2 LATAR BELAKANG
Sektor ternakan di antara sumber penghasilan terpenting dalam industri
pengeluaran makanan. Sektor ternakan khususnya tenusu menjadi salah satu
keutamaan dalam penyelidikan untuk ditingkatkan pengeluaran bagi
meningkatkan tahap sara diri (SSL) produk berasaskan tenusu. Susu segar dan
produk berasaskan tenusu mempunyai permintaan yang tinggi di Malaysia.
Penggunaannya terus meningkat setiap tahun iaitu sebanyak 18.9 juta liter pada
tahun 2011 kepada 64.6 juta liter pada tahun 2017 (Jabatan Perkhidmatan
Veterinar, 2018). Penggunaan per kapita tenusu adalah 0.4 liter (2011) dan terus
229
meningkat kepada 2 liter (2017) per kapita masing-masing. Walau
bagaimanapun, jumlah pengeluaran susu segar tempatan masih kecil dan perlu
ditampung menerusi susu import dengan jumlahnya mencapai kira-kira
1,541.41 juta liter pada tahun 2016. Kuantiti import susu segar sebenarnya
melebihi jumlah eksport dimana jumlah eksport adalah sebanyak 557.08 juta
liter bagi tahun 2016. Secara keseluruhannya, industri tenusu di Malaysia
sehingga kini memerlukan pergantungan kepada bekalan import bagi memenuhi
permintaan domestik. Negara banyak bergantung pada import susu dari luar
negara terutamanya negara Australia, New Zealand dan Belanda.
Justeru, dalam memberi penekanan kepada penghasilan tenusu
tempatan, sektor ini telah menjadi salah satu agenda di dalam Rancangan
Malaysia ke-11. Peruntukan sebanyak RM200 juta telah disediakan bagi inisiatif
sumber kekayaan baharu seperti penanaman jagung bijian, kelapa, durian,
sektor kulinari termasuklah juga industri tenusu. Melalui inisiatif ini, kerajaan
akan menubuhkan Lembaga Tenusu dan Ruminan bagi merancakkan
pertumbuhan dan perkembangan industri tenusu dan ruminan. Dalam
rancangan Malaysia ke-11 turut menyatakan pelaksanaan program
pembiakbakaan lembu tenusu oleh DVS akan ditumpukan kepada baka Mafriwal
yang berupaya mengeluarkan susu yang tinggi dan beradaptasi dengan iklim
tropika. MARDI juga akan mempertingkatkan keupayaan Pusat Embrio Haiwan
Negara di Kluang, Johor untuk menambah baik teknik pembiakan lembu tenusu
yang berproduktiviti tinggi. Selain itu, usaha menaik taraf kemudahan di Pusat
Perkhidmatan Industri Tenusu (PPIT) akan terus dilaksanakan untuk
meningkatkan pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran susu. Selain itu,
PPIT akan beroperasi sebagai inkubator untuk meningkatkan keupayaan ahli
koperasi dalam pemprosesan produk berasaskan tenusu. Operasi pemasaran
dan pengedaran susu di PPIT akan dipajak secara berperingkat kepada koperasi
tenusu.
Dalam ternakan ruminan, penternak lembu tenusu menerima
pendapatan tertinggi. Walau bagaimanapun, pendapatan yang diterima adalah
berbeza bergantung kepada tahap produktiviti dan bilangan lembu tenusu
(Jadual12.1).
Jadual 12.1: Purata pendapatan penternak ruminan Ternakan Ruminan RM
Lembu Daging* 800 - 9,000
Lembu Tenusu* 2,790 - 32,450
Kerbau* 900 - 10,000
Kambing/Bebiri** 1,250 - 12,000
Nota: *20-200 ekor , ** 50-500 ekor
Sumber: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
230
Tidak dinafikan, walaupun sumbangan industri tenusu kepada Keluaran
Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah kecil, ini tidak bermakna industri ini tidak
menguntungkan. Sebenarnya industri ini tetap menguntungkan terutamanya
kepada penternak-penternak lembu tenusu yang berskala sederhana dan besar.
Dianggarkan sehingga kini sekurang-kurangnya 80% daripada penternak lembu
tenusu di Malaysia menjalankan perusahaan secara berskala kecil.
Terdapat pelbagai jenis baka-baka lembu tenusu. Antaranya ialah
Holstein Frisien, Brown Swiss, Guernsey, Aryshire, Jersey dan Jersey Frisien
(Jabatan Perkhidmatan Veterinar, 2010). Antara baka-baka lembu tenusu ini,
lembu tenusu Holstein Frisien merupakan baka yang paling banyak
menghasilkan susu dengan pengeluaran selaktasi 9,830 liter dan peratus lemak,
3.7% serta protein, 3.2%. Sistem penternakan lembu tenusu di Malaysia
terbahagi kepada tiga sistem iaitu sistem intensif, separa intensif dan integrasi.
Sistem intensif mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan secara
komersial (Azizan dll., 1992). Pengurusan ternakan tenusu terbahagi kepada dua
iaitu pengurusan ibu dan juga pengurusan anak.
Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (2016), kebanyakan negara-
negara yang menjadi pengeluar utama susu seperti Australia, USA, New Zealand
dan sebagainya mengamalkan teknologi pengeluaran susu secara intensif yang
mana ketidakcekapan diminimakan manakala kecekapan pengeluaran susu
dimaksimakan. Umumnya, cabaran utama industri tenusu negara adalah untuk
mendapatkan baka lembu tenusu yang berprestasi tinggi setanding dengan baka-
baka yang terdapat di benua Eropah mahupun Oceania yang boleh beradaptasi
dengan cuaca dan iklim tropika di Malaysia. Malangnya, ini adalah merupakan
halangan utama kepada Malaysia untuk menjadi pesaing kepada negara-negara
kuasa besar industri susu terutamanya di rantau Asia. Oleh kerana kesukaran
mendapatkan baka lembu tenusu berprestasi tinggi yang boleh beradaptasi
dengan iklim tropika, maka penternak-penternak secara majoritinya telah
memilih pendekatan sistem penternakan secara semi intensif sebagai pilihan
utama.
Secara keseluruhannya, teknologi memainkan peranan penting terhadap
kecekapan dan juga produktiviti bagi setiap komoditi pertanian dan sekali gus
dapat menjana pertumbuhan ekonomi negara. Berdasarkan kajian yang
dilakukan oleh Raziah dll. (2010), lembu tenusu berada pada tahap kecekapan di
bawah keanjalan 1 (ε<1) yang membawa maksud komoditi ini mengalami
pulangan mengikut skala yang berkurangan (diminishing return to scale). Ini
bermakna teknologi semasa yang digunakan telah melepasi tahap maksimum
dan memerlukan kepada pengenalan teknologi baru.
231
12.3 METODOLOGI KAJIAN
Penilaian kajian dibuat secara empirikal melalui kutipan dan analisis data-data
sekunder dan primer secara kuantitatif dan kualitatif. Data dan maklumat
sekunder berkaitan populasi, import, eksport, penggunaan dan tahap sara diri
bagi ternakan lembu tenusu diperoleh daripada Kementerian Industri Asas Tani
dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Malaysia manakala data primer
diperoleh dengan menggunakan beberapa pendekatan. Antaranya ialah:
1. Lawatan ladang bagi mendapat gambaran sebenar operasi ladang.
2. Bancian (survei) dilaksanakan secara temu bual bersemuka dengan
responden menggunakan borang soal selidik berstruktur yang dijalankan oleh
pembanci (enumerator) yang terdiri daripada kakitangan MARDI dan JPV.
Antara data dan maklumat primer yang dikumpul ialah (maklumat lanjut
berkenaan soalan kaji selidik di Lampiran 1):
i. Profil penternak atau pengusaha perusahaan/perniagaan;
ii. Penggunaan teknologi
iii. Data teknikal, input dan output
iv. Pemasaran
v. Produk berkaitan ternakan lembu tenusu
vi. Penilaian penternak terhadap penggunaan teknologi
vii. Masalah umum dan halangan yang dihadapi oleh penternak atau
pengusaha
Bancian (survei) dilakukan dengan menggunakan kaedah pensampelan
tertuju (purposive sampling). Dengan kerjasama daripada Jabatan Perkhidmatan
Veterinar Malaysia, sebanyak 127 ladang ternakan lembu tenusu telah dipilih di
seluruh Semenanjung Malaysia (Jadual 12.2). Pemilihan responden adalah
berdasarkan kepada 3 skala penternakan iaitu skala kecil (kurang daripada 30
ekor lembu tenusu), skala semi komersial (30 hingga 50 ekor lembu tenusu) dan
skala besar (lebih daripada 50 ekor lembu tenusu).
232
Jadual 12.2: Kriteria pemilihan ladang ternakan lembu tenusu (anggaran responden)
Negeri Kecil Semi Kormesial Komersial Jumlah Mengikut Negeri
Johor 18 5 2 25
Kedah 5 1 1 7
Kelantan 3 0 0 3
Melaka 7 2 2 11
N.Sembilan 8 3 2 13
Pahang 4 0 6 10
Perak 25 5 5 35
Perlis 1 0 0 1
Selangor 8 4 4 16
P.Pinang 5 0 0 5
Terengganu 1 0 0 1
Jumlah Mengikut Skala 85 20 22 127
12.3.1 Analisis data
Data-data yang diperoleh daripada soal selidik dianalisis dengan
menggunakan kaedah statistik perihalan dan deskriptif. Petunjuk
keberkesanan teknologi diwujudkan berdasarkan parameter
teknikal dan ekonomi yang berkait rapat dengan produktiviti dan
kecekapan pengeluaran. Bagi melihat tahap penggunaan teknologi
penternakan lembu tenusu, kaedah model logik kabur (Fuzzy Logic
Model - FLM) digunakan. Model logik kabur (FLM) ini pada asalnya
telah diperkenalkan pada tahun 2011 oleh Kale dan Karaman. Ia
merupakan model matematik yang membangunkan petunjuk-
petunjuk wajar ke atas subjek yang diukur (Rabu et al. 2016). Di
dalam kajian ini, subjek yang diukur adalah teknologi-teknologi
yang digunakan oleh penternak iaitu terdiri daripada 8 penanda
aras teknologi ternakan lembu tenusu iaitu akreditasi, teknologi
perumahan atau lebih mudah dikenali dengan kandang, teknologi
pembiakan dan pembiakbakaan, teknologi pengurusan ternakan,
teknologi pengurusan kesihatan dan bio-sekuriti, teknologi
kawalan perosak dan bau, teknologi dalam pengurusan sisa ladang,
dan teknologi pemerahan susu.
Parameter ini dinilai berdasarkan wajaran yang
dibangunkan berpandukan teknik atau amalan yang digunakan
oleh pakar ataupun merujuk kepada manual penternakan MARDI.
Indeks tahap pencapaian teknologi di kalangan penternak lembu
tenusu dikelaskan kepada 3 kategori iaitu:
233
i. Indeks tahap teknologi baik/moden > 0.6
ii. Indeks tahap teknologi sederhana/sederhana moden 0.3 > x
< 0.6
iii. Indeks tahap teknologi rendah <0.3
Bagi setiap amalan teknologi (parameter) tersebut, indeks
yang menghampiri nilai 1 menunjukkan amalan teknologi yang
semakin lengkap dan moden manakala indeks yang menghampiri
nilai 0 menunjukkan amalan teknologi yang rendah ataupun
konvensional.
Analisis lanjut model logik kabur atau Model Fuzzy
diperkukuhkan dengan melihat hubung kaitnya dengan faktor-
faktor sosioekonomi. Analisis korelasi dan regresi di antara nilai
model logik kabur dengan analisis faktor masalah pengusaha dan
latar belakang responden. Untuk itu, beberapa analisis berkaitan
faktor-faktor sosioekonomi dilakukan untuk menyokong tahap
penggunaan teknologi pengusaha. Faktor-faktor sosioekonomi
yang digunakan akan dianalisis lanjut dengan melakukan korelasi
dan regresi berbilang untuk perkara-perkara berikut iaitu jantina,
umur, pendidikan, persatuan, pengalaman, entiti, status, kursus,
pekerja dan masalah.
Analisis faktor akan dijalankan bagi mengenalpasti apakah
faktor-faktor/masalah utama yang berkaitan dengan perusahaan
lembu tenusu ini. Analisis korelasi turut dilakukan untuk melihat
hubungan di antara nilai model logik kabur dengan faktor-faktor
sosioekonomi dan analisis regresi dilakukan bagi nilai korelasi
yang signifikan dengan nilai model logik kabur yang
mempengaruhi penggunaan teknologi di kalangan pengusaha
lembu tenusu.
12.4 DAPATAN KAJIAN DAN PERBINCANGAN
12.4.1 Demografi penternak lembu tenusu
Jadual 12.1 dibawah menunjukkan bahawa kebanyakan penternak
lembu tenusu ialah lelaki (92%) manakala selebihnya adalah
wanita. Dapatan kajian ini jelas membuktikan bahawa ternakan
lembu tenusu bukan mudah untuk dilaksanakan dan memerlukan
beberapa kriteria-kriteria yang penting seperti tenaga, kepakaran
dan kesabaran yang tinggi. Ketiga-tiga kriteria ini dilihat lebih
234
dekat dengan golongan lelaki. Secara tidak langsung, ternakan
lembu tenusu ini lebih didominasi oleh lelaki berbanding wanita.
Dapatan ini dilihat selari dengan semua aktiviti pertanian dan
penternakan di Malaysia yang lebih didominasi oleh lelaki.
Sebahagian kecil golongan wanita yang terlibat dengan ternakan
lembu tenusu dilihat didorong atas dua faktor utama. Faktor-
faktor yang ingin dinyatakan ini adalah berdasarkan kepada
maklum balas yang diterima daripada penternak semasa kajian ini
sedang berjalan. Yang pertama adalah wanita yang mempunyai
minat yang mendalam terhadap industri ini, manakala yang kedua
adalah sebagai penyambung warisan keluarga kerana ada di
kalangan wanita yang membesar dengan hasil titik peluh bapanya
yang menjadi penternak dan menjual susu lembu.
Rajah 12.1: Jantina penternak lembu tenusu
Jadual 12.3 di bawah menunjukkan maklumat umur dan
pengalaman penternak lembu tenusu yang mana secara umumnya,
purata umur penternak lembu tenusu adalah 45 tahun. Ini
menunjukkan bahawa majoriti daripada penternak lembu sedang
berada dalam kategori usia lebih muda berbanding dengan sektor-
sektor pertanian lain seperti padi. Namun begitu, bagi memastikan
kelestarian industri tenusu negara, beberapa usaha yang telah
dijalankan oleh kerajaan melalui agensi-agensi yang berkaitan bagi
menarik minat golongan belia menceburi bidang ini yang ternyata
memberikan pulangan yang berbaloi
Sementara itu, pengalaman penternak dalam ternakan lembu
tenusu pula secara puratanya adalah 16 tahun, dengan pengalaman
N=115
235
minimum adalah selama 2 tahun manakala pengalaman maksimum
adalah selama 52 tahun. Hasil kajian ini dapat memberi sedikit
petunjuk bahawa majoriti daripada penternak memiliki pengalaman
lebih dari 10 tahun dalam ternakan lembu tenusu. Secara amnya,
berdasarkan kepada pengalaman yang dimiliki, penternak lembu
tenusu boleh diklasifikasikan sebagai penternak yang mahir
menurut sumber dari Kementerian Sumber Manusia (KSM) kerana
pengalaman yang dimiliki melebihi 10 tahun.
Jadual 12.3: Umur dan pengalaman penternak lembu tenusu Umur (Tahun) Pengalaman (Tahun)
Purata (Mean) 44.92 16.44
Sisihan piawai 12.69 11.76
Minimum 22 2
Maksimum 72 52
N 112 108
Rajah 12.2 di bawah menunjukkan maklumat keahlian
penternak lembu tenusu dalam persatuan. Kajian mendapati, 61%
daripada penternak telah melibatkan diri dalam persatuan tenusu
di negeri ataupun daerah masing-masing. Manakala selebihnya
tidak menganggotai mana-mana persatuan tenusu. Justeru itu,
keahlian dalam persatuan adalah penting kerana ia memberi
kebaikan kepada penternak kerana ia boleh dijadikan sebagai satu
platform atau landasan terbaik bagi berkongsi isu-isu dan
permasalahan setempat yang timbul. Malah, keahlian dalam
persatuan juga boleh dijadikan sebagai medan perhubungan
antara penternak baharu yang ingin menimba ilmu dan
pengalaman dengan penternak yang lebih berpengalaman ataupun
senior.
Selain dari itu, antara lain-lain kebaikan yang diperolehi
penternak apabila menganggotai keahlian dalam persatuan adalah
kebajikan mereka lebih terjamin. Kebiasaannya, fungsi persatuan
adalah memberikan khidmat nasihat berkaitan ternakan kepada
penternak, membantu memasarkan susu, memberi khidmat
nasihat dari segi urusan dokumentasi kepada penternak yang
ingin menambah modal menerusi pinjaman dan lain-lain fungsi
lagi.
236
Rajah 12.2: Keahlian penternak lembu tenusu dalam persatuan
Rajah 12.3 dibawah menunjukkan maklumat tahap
pendidikan penternak lembu tenusu di mana kajian mendapati,
majoriti daripada penternak mendapat tahap pendidikan sekolah
menengah (66%), manakala selebihnya Diploma/STPM (17%),
Ijazah dan ke atas (11%) dan sekolah rendah (6%). Seperti yang
telah sedia maklum, majoriti tahap pendidikan di kalangan
penternak lembu tenusu adalah pada tahap sederhana iaitu
peringkat SPM.
Dengan perkembangan dunia yang semakin pantas
ditambah pula dengan tercetusnya revolusi industri 4.0, tahap
pendidikan menjadi sandaran utama kepada penternak bagi
mendepani cabaran ini. Dianggarkan penternak-penternak yang
memiliki tahap pendidikan SPM dan ke atas memiliki sedikit
kelebihan berbanding dengan penternak-penternak yang memiliki
tahap pendidikan SPM dan ke bawah. Dapatan kajian ini telah
disokong melalui perbincangan secara langsung dengan
penternak-penternak semasa kajian sedang dijalankan di
lapangan.
Bagi tujuan mencapai kelestarian industri tenusu negara,
tahap pendidikan dianggap merupakan salah satu antara elemen
yang penting dalam mengoptimumkan produktiviti sesebuah
perusahaan. Kebanyakan pakar-pakar dalam ilmu pengurusan
seperti Dale Carnegie, Richard L. Daft, Chester Barnard dan lain-
lain lagi bersetuju bahawa secara teknikalnya, semakin tinggi
tahap pendidikan, ini bermakna kebarangkalian untuk penternak
lebih berjaya adalah tinggi. Dapatan kajian ini didapati selari
N=115
237
apabila melalui ujian korelasi yang telah dijalankan menunjukkan
semakin tinggi tahap pendidikan seseorang penternak, semakin
tinggi tahap teknologi yang diamalkan dalam ternakan lembu
tenusu.
Rajah 12.3: Tahap pendidikan penternak lembu tenusu
Rajah 12.4 dibawah menunjukkan maklumat pekerjaan
utama penternak lembu tenusu. Kajian mendapati 89% daripada
penternak menjadikan ternakan lembu tenusu sebagai pekerjaan
utama manakala selebihnya sebagai pekerjaan sampingan.
Walaupun dikatakan ternakan lembu tenusu lebih sukar
diusahakan berbanding dengan ternakan ruminan yang lain,
namun, didapati adanya daya penarik dan juga keunikan dalam
komoditi ini sehingga telah dipilih sebagai punca pendapatan
utama penternak. Melalui hasil temubual, beberapa penternak
menyatakan mereka mewarisi perusahaan lembu tenusu secara
warisan daripada orang tua sehingga menyebabkan mereka jatuh
hati dengan keistimewaan industri ini walaupun dikatakan sukar
bagi sesetengah pihak untuk diusahakan.
N=114
238
Rajah 12.4: Pekerjaan utama responden
Rajah 12.5 dibawah menunjukkan maklumat sistem
penternakan lembu tenusu yang diamalkan di Malaysia di mana di
dapati 61% daripada penternak mengusahakan ternakan lembu
tenusu secara semi intensif manakala selebihnya pula secara
intensif. Perbandingan sistem ternakan lembu tenusu secara
intensif dan semi intensif secara keseluruhannya adalah
berkisarkan kepada penggunaan tahap teknologi dan inovasi yang
mana sistem ternakan secara intensif melibatkan penggunaan
teknologi dan inovasi yang lebih sofistikated berbanding semi-
intensif. Walau bagaimanapun, sistem ternakan lembu tenusu
secara intensif melibatkan kos yang tinggi.
Rajah 12.5: Sistem penternakan lembu tenusu
N=114
N=114
239
12.4.2 Latar belakang perusahaan lembu tenusu
Rajah 12.6 di bawah menunjukkan maklumat entiti perusahaan
ternakan lembu tenusu, yang mana didapati sebanyak 62%
daripada ladang ternakan adalah berdaftar manakala selebihnya
tidak berdaftar sebagai entiti perniagaan. Bagi ladang ternakan
lembu tenusu yang berdaftar, sebanyak 68% ladang ternakan
lembu tenusu didaftarkan sebagai entiti enterprise, manakala
syarikat Sdn. Bhd. pula sebanyak 21% dan selebihnya didaftarkan
di bawah entiti Koperasi.
Kajian mendapati, hampir 40% daripada penternak tidak
mendaftarkan perusahaan ternakan lembu tenusu mereka.
Peratusan ini boleh dikatakan agak tinggi kerana ia tidak
sepatutnya berlaku dalam era penternakan global yang semakin ke
arah digital. Tindakan tidak mendaftar premis perniagaan adalah
merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965, dan
sekiranya didapati bersalah maka penternak akan dikenakan
penalti.
Justeru itu, DVS telah memainkan peranan bagi membantu
penternak lembu tenusu mendaftarkan perusahaan mereka bagi
memudahkan sebarang urusan berkaitan geran, bantuan, insentif
dan sebagainya dapat disalurkan terus kepada penternak selain
daripada khidmat nasihat dan pemantauan berkala.
Rajah 12.6: Entiti perniagaan lembu tenusu
Rajah 12.7 di bawah menunjukkan maklumat status
pemilikan tanah penternak lembu tenusu mendapati, terdapat
N=72
240
sebanyak 45% daripada penternak lembu tenusu memiliki tanah
sendiri, manakala sewa (19%), tanah rizab (10%) dan selebihnya
adalah status tanah berupa pajakan, TKPM, dan TOL. Antara
cabaran utama yang dihadapi oleh majoriti penternak lembu
tenusu di Malaysia adalah masalah pemilikan tanah yang mana
realiti masa kini nilai tanah adalah semakin mahal.
Rajah 12.7: Status pemilikan tanah ternakan lembu tenusu
Rajah 12.8 dibawah menunjukkan maklumat status
ternakan di kalangan penternak lembu tenusu. Kajian mendapati
98% daripada penternak mengusahakan ternakan lembu tenusu
secara sendiri manakala selebihnya secara kontrak. Menurut Mohd
Syauqi (2015), industri lembu tenusu di Malaysia tidak begitu
besar seperti industri ayam pedaging misalnya, maka tidak banyak
syarikat-syarikat besar yang ingin melabur dalam industri ini. Atas
alasan itu, hanya 2% sahaja penternak menjalankan ternakan
lembu tenusu secara kontrak.
Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), industri
tenusu di Malaysia dipelopori oleh majoriti penternak yang
mengusahakannya secara sendiri dan berskala kecil menyebabkan
kesannya adalah perkembangan industri ini sejak dari 10 tahun
kebelakang tidak banyak berubah.
N=114
241
Rajah 12.8: Status ternakan lembu tenusu
12.4.3 Model Indeks Fuzzy dan jurang teknologi
Rajah 12.9 dibawah menunjukkan maklumat indikator penanda
aras teknologi lembu tenusu diterangkan dalam bentuk 'spider
web' yang mana terdapat lapan penanda aras dalam teknologi
ternakan lembu tenusu telah dibangunkan melalui kajian ini yang
merangkumi akreditasi, teknologi perumahan, teknologi
pembiakan dan pembiakbakaan, teknologi dalam pengurusan sisa
ladang, dan teknologi pemerahan susu. Model Indeks Fuzzy
menunjukkan bahawa terdapat lima penanda aras iaitu teknologi
perumahan, teknologi pengurusan ternakan, teknologi pengurusan
kesihatan dan biosekuriti ladang, teknologi kawalan perosak dan
bau dan teknologi pemerahan susu berada pada tahap teknologi
terbaik apabila masing-masing mencatatkan skor melebihi (0.6),
manakala selebihnya mencatatkan skor kurang daripada (0.6).
Secara keseluruhannya, terdapat 5 daripada 8 indikator penanda
aras teknologi ternakan lembu tenusu telah mencapai tahap
teknologi yang baik.
Dalam industri lembu tenusu negara, didapati para
penternak telah memberi penekanan yang utama dalam lima
aspek seperti yang telah dinyatakan di atas bagi tujuan
mendapatkan pengeluaran dan pulangan yang optimum. Sebagai
contoh dalam aspek perumahan, purata indeks teknologi yang
diperolehi ialah 0.747 dan dikategorikan sebagai pencapaian
teknologi pada tahap baik. Penternak didapati telah
menitikberatkan pembinaan kandang yang mempunyai ciri-ciri
pengudaraan yang baik, saiz dan ruang lantai kandang yang
N=113
242
bersesuaian dengan bilangan lembu tenusu yang diternak,
penggunaan bahan berteknologi dalam membersihkan lantai
kandang di samping penyediaan ruangan khas mengasingkan
lembu tenusu bagi tujuan rawatan, pembiakan, timbangan dan
sebagainya.
Dalam aspek pengurusan ternakan, purata indeks teknologi
yang diperolehi ialah 0.682 dan dikategorikan sebagai pencapaian
teknologi pada tahap baik. Ini kerana dalam aspek ini terdapat dua
perkara asas yang dititik beratkan oleh penternak iaitu
pengurusan anak lembu dan lembu susu. Kajian mendapati, para
penternak telah memberi perhatian terhadap kedua-dua perkara
asas tersebut yang mana dalam aspek pengurusan anak lembu
yang baru lahir sebagai contoh haruslah mendapatkan keperluan
kolostrum yang secukupnya, kemudian diberi rawatan pusat,
dipasang tanda pengenalan dan seterusnya diberikan pelalian,
vaksin dan sebagainya apabila telah mencapai umur matang.
Manakala dalam aspek pengurusan lembu susu pula, para
penternak didapati telah menjalankan pemeriksaan fizikal susu
sebelum lembu dipindahkan ke dalam kumpulan pengeluaran
susu, kemudian mereka menjalankan pemeriksaan 'mastitis' ke
atas lembu susu, membekalkan makanan seimbang yang setara
dengan pengeluaran susu dan pemantauan kualiti susu seiring
dengan piawaian yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan
Veterinar (JPV).
Dari segi pengurusan kesihatan dan biosekuriti ladang pula,
purata indeks teknologi yang diperolehi ialah 0.447 dan
dikategorikan sebagai pencapaian teknologi pada tahap sederhana.
Aspek ini sangat penting untuk diuruskan dengan baik oleh para
penternak kerana kuantiti pengeluaran dan kualiti susu adalah
amat bergantung kepada kedua-dua aspek ini. Justeru itu, para
penternak telah mengambil langkah-langkah yang sempurna
dalam memastikan tahap kesihatan ladang berada dalam keadaan
baik. Antara langkah-langkah yang dinyatakan adalah seperti
pemberian vaksin, penyediaan bilik khas bagi penyimpanan
vaksin, pemberian ubat cacing kepada lembu, dan juga
pengetahuan asas tentang simptom dan penyakit lembu susu.
Berkenaan dengan simptom dan penyakit ini, biasanya penternak
akan mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat dari Jabatan
Perkhidmatan Veterinar (JPV). Dari sudut pengurusan biosekuriti
pula, para penternak didapati telah menekankan beberapa aspek
penting dalam pengurusan biosekuriti ladang bagi mengawal dan
243
mengelakkan wabak dan penyakit dari luar menular ke kawasan
kandang ternakan. Antara aspek-aspek biosekuriti yang telah
dititikberatkan oleh penternak adalah seperti kaedah disinfeksi
yang diamalkan di ladang, program kawalan penyakit lembu
terutamanya penyakit 'mastitis', pemasangan nombor pengenalan
kepada lembu, dan mempunyai jadual lawatan doktor veterinar
secara berkala di ladang.
Dari aspek kawalan perosak dan bau pula, purata indeks
teknologi yang diperolehi ialah 0.343 dan dikategorikan sebagai
pencapaian teknologi pada tahap sederhana. Para penternak
dilihat telah menjalankan beberapa kaedah dalam mengawal
serangan perosak antaranya adalah kawalan lalat dan tikus,
program kawalan bau dari tinja lembu, teknologi pelupusan
bangkai lembu, penggunaan sistem pembuangan sisa dari
ternakan, mempunyai sistem saliran atau perparitan yang
berasingan bagi aliran air hujan dan air kumbahan daripada
kandang, dan menjalankan pemprosesan tinja lembu untuk
dijadikan baja.
Dari sudut penggunaan teknologi dalam proses pemerahan
susu pula didapati purata indeks teknologi yang diperolehi ialah
0.655 dan dikategorikan sebagai pencapaian teknologi pada tahap
baik. Pemilikan tahap teknologi dikalangan para penternak dilihat
hampir setara terutama sekali bagi penternak-penternak lembu
tenusu yang berskala kecil dan sederhana. Apa yang ingin
dijelaskan adalah industri tenusu di Malaysia dipelopori oleh
pemain-pemain industri yang berskala kecil dan sederhana. Antara
pemilikan teknologi dalam proses pemerahan susu dikalangan
penternak adalah seperti mempunyai tempat pemerahan susu
berasingan dengan kandang yang bersih dan bebas kuman, sistem
teknologi pemerahan susu, dan prosedur serta amalan yang boleh
diklasifikasikan sebagai inovasi oleh penternak sebelum, semasa
dan selepas pemerahan susu dijalankan.
244
Rajah 12.9: Penanda aras teknologi lembu tenusu
Rajah 12.10 di bawah menunjukkan skor Indeks Fuzzy bagi
127 ladang tenusu mendapati hampir keseluruhan persampelan
ladang tenusu berada pada skor lebih rendah dari 0.6 (<0.6). Ini
menandakan bahawa, majoriti daripada ladang tenusu di Malaysia
mengamalkan teknologi pengeluaran susu pada tahap sederhana.
Ini dapat dibuktikan bahawa lebih daripada 60% sampel kajian
ladang tenusu di Malaysia datang daripada ladang-ladang tenusu
berskala kecil yang mana tahap teknologi pengeluaran susu yang
diamalkan di kebanyakan ladang-ladang ini adalah paling minima
manakala selebihnya lebih selesa menjalankan proses
mengeluarkan susu secara tradisional berdasarkan kepada
pengalaman yang dimiliki.
Secara keseluruhannya, kajian ini mendapati, tahap
teknologi pengeluaran susu yang diamalkan dari kalangan
sebahagian besar ladang-ladang tenusu berada pada tahap
sederhana (87.8%), manakala selebihnya berada pada tahap yang
tinggi. Kebanyakan ladang-ladang tenusu yang berskala besar
secara umumnya mengamalkan tahap teknologi yang tinggi bagi
mendapatkan pengeluaran susu yang paling optimum. Secara
jelasnya, kajian ini juga tidak menjumpai ladang tenusu yang
245
mengamalkan tahap teknologi rendah dalam operasi pengeluaran
susu.
Rajah 12.10: Taburan Indeks Fuzzy lembu tenusu
Rajah 12.11 dibawah menunjukkan jurang teknologi
pengeluaran lembu tenusu mendapati terdapat indikator-indikator
seperti teknologi perumahan, teknologi pengurusan ternakan,
teknologi pengurusan kesihatan dan biosekuriti ladang, teknologi
kawalan perosak dan bau, dan teknologi pengurusan sisa ladang
menunjukkan jurang teknologi yang tinggi. Jurang teknologi yang
tinggi ini berlaku disebabkan oleh variasi yang tinggi terhadap
tahap amalan teknologi antara penternak dalam satu-satu
indikator tersebut.
246
Label Parameter Min Mak Jurang Teknologi
A Akreditasi 0.03 0.29 0.26
B Teknologi pembiakan/pembiakbakaan 0.06 0.49 0.43
C Teknologi pemerahan susu 0.31 0.84 0.53
D Teknologi pengurusan sisa ladang 0.04 0.72 0.68
E Teknologi perumahan 0.31 1.00 0.69
F Teknologi pengurusan kesihatan dan
biosekuriti ladang
0.14 0.91 0.77
G Teknologi pengurusan ternakan 0.18 0.99 0.81
H Teknologi kawalan perosak dan bau 0.01 0.84 0.83
Rajah 12.11: Jurang teknologi pengeluaran lembu tenusu
12.4.4 Hubung kait faktor-faktor sosioekonomi dan indeks teknologi (analisis faktor, korelasi dan regresi)
Analisis lanjut model logik kabur (Model Fuzzy) dijalankan dengan
menjalankan beberapa ujian statistik dan ekonometrik bagi
melihat sejauh mana hubung kaitnya dengan faktor-faktor
sosioekonomi penternak lembu tenusu di Malaysia. Untuk itu,
beberapa analisis berkaitan faktor-faktor sosioekonomi akan
dijalankan bagi menyokong tahap penggunaan teknologi
dikalangan penternak. Faktor-faktor sosioekonomi ini akan
dijadikan sebagai pembolehubah bagi menjalankan beberapa
analisis lanjutan seperti ujian korelasi dan regresi berbilang.
Pembolehubah-pembolehubah yang dimaksudkan seperti jantina,
umur, pendidikan, persatuan, pendidikan, pengalaman, sistem
ternakan (intensif atau semi-intensif), entiti perniagaan, kursus,
pekerja dan masalah.
247
Bagi faktor sosioekonomi yang berkaitan dengan masalah
yang dihadapi oleh penternak, analisis faktor dilakukan bertujuan
mendapatkan faktor-faktor masalah utama berkaitan dengan
ternakan lembu tenusu. Ujian realibility dijalankan ke atas 39 item
dan selepas dianalisis, 10 item dibuang dan hanya 29 item sahaja
yang di gunakan dengan nilai Cronbach's Alpha diperolehi adalah
0.824. Analisis ini dijalankan dengan membuang beberapa item
yang tidak signifikan dan mengulangi ujian ini beberapa kali
sehingga nilai Cronbach's Alpha yang diperolehi menjadi tetap.
Kemudian, item-item tinggal digunakan untuk analisis Faktor
dengan menggunakan 'varimax rotation'.
Jadual 12.4 dibawah menunjukkan ujian KMO yang
dilakukan dalam analisis faktor menunjukkan bacaan sebanyak
0.74 yang mana melebihi 0.5 iaitu nilai signifikan dalam ujian KMO
dan ujian Barlett’s juga menunjukkan ia signifikan yang
membenarkan item-item pemboleh ubah sesuai dilakukan analisis
faktor.
Jadual 12.4: Ujian KMO and Bartlett's Kaiser-Meyer-Olkin Measure of Sampling Adequacy. .740
Bartlett's Test of Sphericity Approx. Chi-Square 1896.384
df 496
Sig. .000
Nota: Ujian Bartlett’s tahap signifikan p <0.000 dan Kaiser-Meyer-Olkin ukuran kecukupan pensampelan
>0.60
Terdapat enam faktor-faktor masalah seperti yang
ditunjukkan dalam jadual 12.5 dibawah yang mempengaruhi
perusahaan lembu tenusu iaitu modal, teknologi, kos operasi,
pekerja, pasaran, dan agensi yang berkaitan dengan nilai varians
sebanyak 60.6%. Faktor masalah modal merupakan faktor paling
kuat dalam mempengaruhi masalah-masalah yang dihadapi oleh
penternak lembu tenusu. Masalah modal mempunyai lapan item
yang berkaitan tentang kesukaran penternak mendapatkan modal
awalan dan juga tambahan bagi tujuan memajukan ataupun
membesarkan saiz operasi ternakan lembu tenusu.
Masalah teknologi merupakan faktor sosioekonomi kedua
yang dihadapi oleh penternak dimana akses kepada maklumat dan
teknologi baharu adalah terhad disamping kekurangan
pengetahuan tentang teknologi-teknologi terkini. Faktor yang
ketiga adalah masalah kos operasi yang dihadapi oleh penternak
248
yang mana faktor harga bagi sesebuah teknologi yang tinggi
sehingga menyukarkan untuk mereka membeli teknologi tersebut.
Masalah pekerja merupakan faktor keempat yang dihadapi oleh
penternak yang mana hasil dari maklumbalas terhadap majoriti
penternak yang memiliki pekerja mendapati mereka berdepan
dengan masalah pekerja kerap berhenti dan juga pemuda-pemuda
kampung yang tiada minat menceburkan diri dalam industri
tenusu.
Masalah pasaran merupakan faktor kelima yang mana
mereka sukar untuk mendapatkan maklumat pasaran dan tidak
banyak saluran pasaran yang tersedia. Faktor masalah dari agensi
yang berkaitan merupakan masalah keenam yang telah dikenal
pasti apabila terdapat sebilangan penternak berhadapan dengan
kesukaran mendapatkan khidmat nasihat pegawai veterinar di
daerah masing-masing dengan segera terutamanya apabila
berlaku kecemasan di ladang apabila pegawai tersebut
menjalankan urusan rasmi diluar pejabat.
Jadual 12.5: Komponen matriks berdasarkan faktor Komponen
Modal Teknologi Kos Operasi Pekerja Pasaran Agensi
Syarat pinjaman
ketat
.853
Syarat kelulusan
ketat
.850
Permohonan
lambat proses
.777
Sukar diperoleh .758
Perlu cagaran
tinggi
.704
Prosedur borang
kerja rumit
.679
Jumlah diluluskan
lebih rendah
.597
Kurang modal .503
Akses maklumat
teknologi baru
terhad
.725
Kurang
pengetahuan
.699
Manual
merumitkan
.657
Teknologi
ketinggalan
.657
Tidak berani ambil
risiko
.655
249
Jadual 12.5: (sambungan) Komponen
Modal Teknologi Kos Operasi Pekerja Pasaran Agensi
Teknologi sukar
diperoleh
.648
Teknologi kurang
sesuai
.558
Harga .823
Kos operasi .741
Upah tinggi .647
Kos teknologi
tinggi
.594
Sukar dapat
pekerja
.548
Kerap berhenti .841
Kurang berminat .801
Kurang latihan .786
Harga tidak stabil .842
Pasaran terhad .737
Sukar peroleh
maklumat pasaran
.711
Tidak banyak
saluran pasaran
.549
Tiada pemantauan .818
Khidmat sukar .797
Nilai Eigenvalues 7.281 3.681 3.087 1.902 1.815 1.625
Peratus
Eigenvalues
22.754 11.504 9.647 5.944 5.672 5.079
Peratus kumulatif
Eigenvalues (%)
22.754 34.259 43.906 49.850 55.522 60.601
Nota: Faktor loading >0.70, nilai eigen >1 dan jumlah varians menerangkan >60%
Jadual 12.6 dibawah menunjukkan analisis ujian korelasi
yang dijalankan bagi melihat hubungan di antara nilai indeks fuzzy
dengan faktor-faktor sosioekonomi seperti jantina, pendidikan,
sistem ternakan lembu tenusu, entiti, bilangan pekerja, kursus
yang dihadiri, masalah mendapatkan modal dan masalah kos
operasi. Hasilnya, ujian korelasi terhadap indeks fuzzy dengan
faktor-faktor sosioekonomi mendapati jantina (p<0.05),
pendidikan (p<0.01), sistem ternakan lembu tenusu (p<0.01),
entiti perniagaan (p<0.01), dan masalah mendapatkan modal
(p<0.05) menunjukkan terdapat hubungan positif dan signifikan
pada (p<0.01) dan (p<0.05), manakala pembolehubah seperti
bilangan pekerja (p<0.01) dan masalah kos operasi (p<0.01)
menunjukkan terdapat hubungan yang negatif dan signifikan. Ini
bermakna sebagai contoh, semakin tinggi tahap teknologi tenusu
250
diamalkan, masa bilangan pekerja yang diperlukan akan
berkurangan.
Jadual 12.6: Korelasi di antara nilai model logik kabur dan faktor-faktor sosioekonomi Variable Pearson Correlation Sig. (2-tailed) N
Jantina .222 .017** 115
Umur .038 .687 112
Persatuan .039 .675 .115
Pendidikan .383 .000*** 114
Pengalaman -.037 .704 108
Sistem (Intensif atau Semi-
intensif)
.540 .000*** 114
Entiti (Ada dan tiada
pendaftaran)
.462 .000*** 115
Tanah .145 .124 114
Status .093 .326 113
Bil Pekerja -.346 .000*** 106
Masalah Modal .227 .016** 112
Masalah Teknologi .035 .710 112
Masalah Kos operasi -.288 .002*** 112
Masalah Pasaran -.026 .783 112
Masalah Agensi .152 .110 112
** significant at 0.05 level *** significant at 0.01 level
Setelah menjalankan ujian korelasi, maka ujian seterusnya
perlu dijalankan bagi menentukan sejauh mana pembolehubah-
pembolehubah yang mewakili faktor-faktor sosioekonomi
penternak lembu tenusu berhubungan secara signifikan dengan
indeks fuzzy teknologi pengeluaran lembu tenusu. Ujian yang
dimaksudkan adalah ujian regresi berbilang. Jadual 12.7
menunjukkan bahawa terdapat lima pembolehubah bersandar
iaitu sistem penternakan, entiti, bilangan pekerja, masalah modal
dan masalah kos operasi yang mempunyai hubungan secara
signifikan dengan indeks fuzzy selaku pembolehubah bebas.
Pembolehubah sistem penternakan lembu tenusu secara
intensif yang dipilih oleh penternak menyebabkan mereka
memperolehi nilai indeks fuzzy yang tinggi berbanding dengan
sistem penternakan separa intensif. Bagi pembolehubah bilangan
pekerja menerangkan bahawa semakin tinggi indeks fuzzy yang
diperolehi maka bilangan pekerja yang diperlukan semakin
menurun. Ini adalah bertepatan dengan hukum penggunaan
teknologi, apabila semakin tinggi tahap teknologi sesebuah
perusahaan, maka bilangan pekerja mahir yang diperlukan bagi
menguruskan teknologi tersebut adalah rendah atau ianya lebih
dikenali dengan istilah 'capital intensive'.
251
Sementara itu, bagi pembolehubah-pemboleh yang
mewakili faktor-faktor sosioekonomi penternak seperti masalah
modal dan masalah kos operasi menunjukkan bahawa semakin
tinggi tahap amalan teknologi oleh penternak, maka masalah
berkaitan modal juga adalah tinggi. Ini adalah rentetan daripada
sebilangan penternak lembu tenusu bermasalah bagi
mendapatkan pinjaman untuk dijadikan sebagai modal membeli
mesin-mesin dan sebagainya. Masalah kos operasi juga
mempunyai hubungan yang signifikan tetapi berhubungan secara
negatif dengan indeks fuzzy.
Jadual 13.7: Analisis regresi berganda di antara nilai logik kabur dan faktor-faktor
sosioekonomi
Unstandardized Coefficients
Standardized
Coefficients t Sig.
B Std. Error Beta
(Constant) .330 .035
9.334 .000
Jantina .024 .017 .092 1.393 .167
Pendidikan .006 .005 .094 1.262 .210
Sistem penternakan .047 .011 .325 4.465 .000***
Entiti .023 .012 .153 1.954 .054*
Bil. Pekerja -.002 .001 .146 2.051 .043**
Masalah modal .012 .005 .156 2.248 .027**
Masalah kos operasi -.020 .005 -.277 4.242 .000***
R-squared 0.626
Adjusted R-squared 0.593
F-statistics 19.041
Prob (F-statistics) 0.000
12.5 SARANAN
Berdasarkan kepada analisis indeks logik kabur (indeks fuzzy) tahap
penggunaan teknologi bagi subsektor lembu tenusu secara puratanya berada
pada tahap yang sederhana. Dengan kadar populasi penduduk Malaysia yang
semakin meningkat setiap tahun ditambah pula kawasan pertanian dan
penternakan yang semakin mengecil disebabkan oleh pembukaan kawasan-
kawasan perumahan dan perbandaran baru, maka penggunaan teknologi telah
dikenalpasti sebagai salah satu alternatif terbaik bagi mendapatkan hasil
252
pengeluaran susu yang optimum. Saban tahun statistik telah menunjukkan
bahawa permintaan terhadap susu tidak pernah berkurangan, malahan semakin
meningkat. Secara tidak langsung, penggunaan teknologi sedikit sebanyak dapat
membantu menyelesaikan permasalahan ini.
Justeru itu, beberapa saranan yang ingin diketengahkan bagi menjadikan
industri tenusu negara menjadi lebih berdaya saing adalah:
i) meningkatkan kemahiran dan kefahaman kepada penternak lembu
tenusu berkenaan dengan teknologi pembiakan dan pembiakbakaan.
Hasil daripada maklumbalas secara temubual dengan kebanyakan
penternak mendapati bahawa pendedahan dan latihan amali yang
diterima berkaitan dengan teknologi pembiakan dan pembiakbakaan
adalah sangat rendah berbanding misalnya dengan latihan pengurusan
ternakan lembu tenusu.
ii) tahap akreditasi ladang ternakan lembu tenusu di Malaysia juga
didapati rendah dan ini menyukarkan urusan memasarkan susu lembu ke
pasaran domestik. Oleh itu, kajian ini menyarankan supaya ladang-ladang
lembu tenusu yang berskala kecil sehingga besar dilengkapi dengan
akreditasi-akreditasi utama yang telah diiiktiraf oleh Jabatan
Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Kementerian Kesihatan Malaysia
(KKM) bagi menghasilkan susu yang berkualiti disamping mudah untuk
memasuki pasaran tempatan
iii) Selain itu, penternak juga digalakkan untuk meningkatkan amalan
teknologi terkini terutamanya dalam teknologi pengurusan sisa ladang
demi memastikan kesihatan dan persekitaran kawasan ladang dan juga
ternakan lembu tenusu di tahap yang terbaik dan memuaskan bagi
mendapatkan produktiviti pengeluaran susu yang optimum.
12.6 RUMUSAN
Secara keseluruhan, penggunaan teknologi bagi penternakan lembu tenusu
berada pada tahap yang sederhana iaitu 87.8%. Dari segi demografi dan sosial
penternak, kajian mendapati secara purata, pengalaman yang dimiliki oleh
penternak lembu tenusu adalah sekurang-kurangnya 16 tahun. Ini menunjukkan
bahawa, pengalaman yang dimiliki oleh penternak boleh diklasifikasikan sebagai
'telah matang di dalam industri' kerana menurut sumber dari Kementerian
Sumber Manusia (KSM), pekerja yang memiliki pengalaman melebihi 10 tahun
boleh diklasifikasikan sebagai pekerja mahir. Sebanyak 61% ladang ternakan
lembu tenusu yang terlibat dengan kajian didapati mengamalkan sistem
253
pengeluaran lembu tenusu secara semi intensif, manakala selebihnya adalah
secara intensif. Dapatan ini menunjukkan bahawa dianggarkan sebanyak 39%
daripada ladang ternakan lembu tenusu yang mengamalkan tahap teknologi
yang baik bagi mendapatkan pengeluaran susu pada tahap yang paling optimum.
Indeks Fuzzy pula menggambarkan bahawa terdapat lima indikator
teknologi pengeluaran lembu tenusu yang menunjukkan amalan teknologi baik
dan sederhana iaitu teknologi perumahan (0.747 - Baik), teknologi pengurusan
ternakan (0.682 - Baik), teknologi pengurusan kesihatan dan biosekuriti ladang
(0.447 - Sederhana), teknologi kawalan perosak dan bau (0.343 - Sederhana) dan
teknologi pemerahan susu (0.655 - Baik). Manakala jurang teknologi bagi
pengeluaran lembu tenusu mendapati indikator-indikator seperti teknologi
perumahan (0.69), teknologi pengurusan ternakan (0.81), teknologi pengurusan
kesihatan dan biosekuriti ladang (0.87), teknologi kawalan perosak dan bau
(0.83), dan teknologi pengurusan sisa ladang (0.68) menunjukkan jurang
teknologi yang tinggi. Jurang teknologi yang tinggi ini berlaku disebabkan oleh
variasi yang tinggi terhadap tahap amalan teknologi antara penternak dalam
indikator teknologi yang dibangunkan. Jelasnya, jurang teknologi memberi
makna terdapat perbezaan pemilikan tahap teknologi antara penternak yang
memiliki teknologi pada tahap rendah dan tinggi. Jurang teknologi yang tinggi
juga boleh dikaitkan dengan kesanggupan penternak untuk membuat pelaburan
yang besar bagi medapatkan sesebuah teknologi. Sekiranya terdapat jurang
teknologi yang tinggi dalam beberapa indikator penanda aras, ia menandakan
sesebuah industri masih lagi belum matang dan kompetitif. Inilah senario yang
berlaku dalam industri tenusu negara yang tidak mengalami pertumbuhan yang
signifikan sejak hampir sedekad yang lalu.
12.7 RUJUKAN
Abu Hassan M. A. (2015). The Future of Livestock Industry in Malaysia. Scientia MARDI. Februari 2015 (vol:004), 1-3
Azizan, A.R., Mohd Shukri, H.I. dan Nordin, Y. (1992). Sistem Penternakan Lembu Tenusu Secara Intensif. Institut Penyelidikan dan kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Kuala Lumpur: Malaysia.
Jabatan Perangkaan Malaysia (2017). Selected Agricultural Indicators, Malaysia, 2017. Diperoleh pada 05hb Mac 2018 dari https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/cthemeByCat&cat=72&bul_id=MDNYUitINmRKcENRY2FvMmR5TWdGdz09&menu_id=Z0VTZGU1UHBUT1VJMFlpaXRRR0xpdz09
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (2010), Lembu Tenusu Panduan Pengeluaran Dara Gantian. Putrajaya: Malaysia
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (2018), Perangkaan Ternakan 2016/2017. Diperoleh pada 05hb Mac 2018 dari
254
http://www.dvs.gov.my/dvs/resources/user_1/DVS%20pdf/perancangan/2018/Perangkaan%202016%202017/3.Muka_Surat_1-15_.pdf
Kale, S. dan Karaman, E.A. (2011). A fuzzy logic model for benchmarking the knowledge management of construction firms. Can. J. Civ. Eng. 38: 464-475
Nor Amna, A. M. N dan Hifzan, R. (2015). The Development and Future Direction of Malaysia’s Livestock Industry. FFTC Agricultural Policy Articles. Diperoleh pada 05 Oktober 2017 dari http://ap.fftc.agnet.org/ap_db.php ?id=529
Mohamed, Z.A. (2007). The Livestock Industry. In S. A. Idid Fatimah, M.A.; Raja Abdullah, N.M.; Kaur, B.; Abdullah, A.M. (Eds.), 50 Years of Malaysian Agriculture: Transformation Issues, Challenges and Direction (553-584). Selangor, Malaysia: Universiti Putra Malaysia press. Diperoleh pada 05hb Julai 2015 dari http://ikdpm.upm.edu.my/50/50years/Part%206/Chapter%2023%20-.pdf
Mohd Syauqi, N., Tapsir, S,. Wan Mohd Kamil, W.N., Alam, A.R., Hasnul Hadi, I., Mohd Zaffrie, M.A., Mohd Khairul Hafifi, M., dan Che Nurul Akmal, C.M. (2015). Benchmarking of Broiler Production Technology in Malaysia. Economic and Technology Management Review. Vol 10b(2015). pg 89-95
http://etmr.mardi.gov.my/Content/ETMR%20Vol.10b%20(2015)/Vol10b%20(2).pdf
Perbadanan Produktiviti Malaysia (2015). Laporan Produktiviti 2014/2015. Putrajaya: Malaysia
Raziah, M. L., Tapsir, S., Rashilah, M., Syahrin, S., Engku Elini, E. A., Fadhilah A. H. H. Dan Rosnani, H. (2010). Produktiviti dan Kecekapan Sektor Pertanian dan Industri pemprosesan Makanan Terpilih (2009/2010). Institut Penyelidikan dan kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Kuala Lumpur: Malaysia
Rashid, R. (2016). Kajian Penandaarasan Teknologi Pertanian Terpilih: Industri Pemprosesan Sarang Burung Walit di dalam Laporan Kajian Sosioekonomi 2015 Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Sains Sosial MARDI (191-205). Institut Penyelidikan dan kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Kuala Lumpur: Malaysia
Thornton, P. K. (2010). Livestock production: recent trends, future prospects. Philosophical Transactions of the Royal Society of London B: Biological Sciences, 365(1554), 2853-2867
top related