ucapan perasmian yang berhormat dato’ sri · pdf filekepada kementerian sains teknologi...
TRANSCRIPT
0
UCAPAN PERASMIAN
YANG BERHORMAT DATO’ SRI ROHANI ABDUL KARIM
MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT
MAJLIS PELANCARAN
PROGRAM INOVASI SOSIAL MOSTI: PROGRAM KESEDARAN KESIHATAN TERHADAP KANSER SERVIKS
BERSAMA ALAT PERSAMPELAN SENDIRI, CERVISAFE
KOMPLEKS PENYAYANG SRI AMAN, SARAWAK 10 FEBRUARI 2017 (JUMAAT)
9.30 PAGI
1
SALUTASI
BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM.
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH
SALAM SEJAHTERA & SALAM KEKELUARGAAN
YB. DATUK SERI PANGLIMA WILFRED MADIUS TANGAU MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI YB. DATUK HAJJAH FATIMAH ABDULLAH MENTERI KEBAJIKAN, WANITA DAN KESEJAHTERAAN KOMUNITI SARAWAK YB. HAJJAH SHARIFAH HASIDAH SAYEED AMAN GHAZALI MENTERI MUDA PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK DAN PEMBANGUNAN KELUARGA YB. DATUK FRANCIS HARDEN HOLLIS MENTERI MUDA PEMBANGUNAN LUAR BANDAR MERANGKAP ADUN N.32 SIMANGGANG YBHG. DATIN MEGIR GUMBEK SETIAUSAHA TETAP KEMENTERIAN KEBAJIKAN, WANITA DAN KESEJAHTERAAN KOMUNITI SARAWAK YBHG DATO’ NORHALIM YUNUS KETUA EKSEKUTIF, MALAYSIAN TECHNOLOGY DEVELOPMENT CORPORATION (MTDC) PEGAWAI-PEGAWAI KANAN KERAJAAN, PEGAWAI-PEGAWAI PERSEKUTUAN DAN NEGERI, BARISAN MEDIA SERTA TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN YANG SAYA HORMATI
2
PENGENALAN
1. Alhamdulillah, bersyukur saya ke-hadrat Allah S.W.T. Kerana
dengan limpah kurnia dan inayahnya dapat kita bersama-sama
berkumpul di perkarangan Kompleks Penyayang Sri Aman bagi
pelaksanaan PROGRAM INOVASI SOSIAL MOSTI (MSI): PROGRAM KESEDARAN KESIHATAN TERHADAP KANSER SERVIKS BERSAMA ALAT PERSAMPELAN SENDIRI, CERVISAFE. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada
tuan-tuan dan puan-puan, semua ahli keluarga dan masyarakat di
sekitar Sri Aman yang dapat hadir sejak awal pagi hari ini.
2. Bagi pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat (KPWKM) dan merangkap Ahli Parlimen P201
Batang Lupar, saya merasa amat bersyukur dan berterima kasih
kepada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI)
kerana memilih Parlimen Batang Lupar sebaga lokasi
pelaksanaan program kolobrasi ini. Ia merupakan program
berlandaskan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara 2
Kementerian iaitu KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan
Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta MOSTI.
3. Di kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan dan ucapan terima kasih di atas sokongan dan
kerjasama yang diberikan oleh pihak Kerajaan Negeri Sarawak,
Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Pusat
Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE) - Universiti Putra
Malaysia (UPM), La-DIY Healthcare Sdn Bhd serta semua pihak
yang terlibat dalam memastikan kejayaan pelaksanaan Program
Inovasi Sosial Mosti (MSI).
3
KESEDARAN BERKAITAN PENJAGAAN KESIHATAN WANITA
4. Melalui program ini, saya percaya lebih ramai yang akan lebih
peka dan sedar bahawa pentingnya untuk kaum wanita menjaga
kesihatan, khususnya berkaitan dengan serviks (pangkal rahim).
Tahniah saya ucapkan kepada kaum lelaki terutamanya yang
bergelar suami kerana melapangkan diri menghadiri program
khusus untuk wannita hari ini kerana kita tahu bahawasanya
suami merupakan tunjang bagi isteri dan keluarga. Suami
seharusnya menyokong kuat isteri mereka dalam usaha menjaga
kesihatan masing-masing. Isteri sihat, barulah keluarga dapat
diurus sempurna.
5. Kementerian melalui LPPKN begitu memandang serius
mengenai isu kesihatan serviks. Di Klinik Nur Sejahtera LPPKN
turut menyediakan perkhidmatan saringan kanser serviks (Ujian
Saringan Pap Smear). Alhamdulillah semakin lama kesedaran
kaum wanita di Sarawak semakin meningkat. Melalui rekod, pada
tahun 2014 seramai 2,769 orang klien telah menjalani
pemeriksaan pap smear ataupun ujian saringan pangkal rahim.
Manakala pada tahun 2015, jumlah klien telah meningkat kepada 3,507 orang dan pada tahun 2016 adalah seramai 2,961 orang klien yang telah melakukan ujian saringan tersebut
di Klinik Nur Sejahtera LPPKN Negeri Sarawak.
CERVISAFE KAEDAH ALTERNATIF TERKINI
Hadirin yang dihormati sekalian,
6. Saya sebagai Menteri yang menjaga wanita, merasa amat
bangga dengan usaha yang telah dijalankan oleh MOSTI melalui
4
MTDC dalam menghasil dan memperkenalkan kaedah alternatif
saringan kanser serviks dengan alat persampelan sendiri,
Cervisafe kepada wanita di Malaysia. Difahamkan bahawa
Cervisafe adalah produk hasil rekaan rakyat Malaysia yang telah
berjaya dikomersilkan melalui pembiayaan dana CRDF MOSTI
yang disalurkan melalui MTDC.
7. Cervisafe merupakan kaedah alternatif yang sangat baik dalam
memastikan semua golongan wanita peka dalam penjagaan
kesihatan serviks masing-masing. Saya faham antara kekangan
utama bagi rakyat Sarawak adalah jarak yang jauh untuk akses
ke bandar bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan. Jadi
dengan terhasilnya inovasi teknologi baru Cervisafe ini akan lebih
memudahkan dan tiada lagi penghalang untuk semua golongan
wanita menjaga kesihatan serviks mereka. Sesungguhnya
pengesanan awal bagi sebarang penyakit adalah yang terbaik.
8. Saya cadangkan selepas ini MTDC boleh membekalkan alatan ini
kepada klinik-klinik Nur Sejahtera LPPKN juga, sebagai langkah
penyebaran perkhidmatan dan promosi. Saya sangat berharap
agar Cervisafe ini boleh dijadikan metodologi pengambilan
sampel alternatif di Malaysia oleh kerajaan dan Kementerian
Pembangunan Wanita bersedia mengambil tanggungjawab
sebagai pelaksana kepada program nasional ini.
9. Untuk makluman semua, program kesedaran ini akan dijalankan
di sepuluh (10) lokasi di Semenanjung Malaysia, Sabah dan
Sarawak. Pada hari ini, kita begitu bertuah kerana seramai 85
5
orang daripada peserta yang hadir, layak dan menepati kriteria
telah terpilih untuk menerima Cervisafe dan menjalani ujian
saringan HPV DNA dan LBC secara percuma. Nilai bagi setiap
pakej ujian dan peralatan melebihi RM 300.
KOMITMEN KEMENTERIAN MENERUSI LPPKN
10. Walau bagaimanapun, bagi anda yang mahukan perkhidmatan
doktor atau jururawat masih boleh berkunjung ke Klinik Nur
Sejahtera LPPKN atau mana-mana klinik kesihatan untuk
menjalani pemeriksaan serviks.
11. Kerajaan begitu prihatin dalam memastikan rakyat Malaysia dapat
hidup dengan sihat dan sejahtera. Dalam usaha mewujudkan
kesedaran terhadap penjagaan kesihatan serviks ini juga,
Kementerian saya melalui LPPKN tidak putus memberikan
suntikan vaksinasi HPV secara percuma kepada remaja wanita
yang lahir dari tahun 1990 hingga 1996 bagi mencegah kanser
serviks dari awal. Malah Kementerian Kesihatan Malaysia juga
turut menyumbang dalam usaha tersebut dengan memberikan
suntikan HPV secara percuma kepada para pelajar Tingkatan
Satu hingga Tingkatan Tiga di sekolah-sekolah seluruh Malaysia.
12. Untuk makluman semua, jumlah penerima vaksinasi HPV bagi
tempoh 5 tahun iaitu bermula Julai 2012 hingga Disember 2016 di
Negeri Sarawak adalah 20,751 orang dan sejumlah 83.7%
daripadanya lengkap bagi ketiga-tiga dos. Untuk makluman,
vaksinasi HPV perlu diambil sebanyak 3 dos dalam tempoh enam
bulan selepas dos pertama.
6
13. Suka juga saya memaklumkan bahawa program subsidi
mamogram kepada wanita 40 tahun ke atas dengan pendapatan
isi rumah bawah RM10,000.00 masih diteruskan pada tahun ini.
Saya harapkan ahli keluarga memberi sokongan untuk wanita dan
para ibu mendapatkan maklumat dan nasihat daripada LPPKN
untuk mendapatkan maklumat mengenai subsidi ujian Mamogram
dan Vaksinasi HPV demi kesejahteraan keluarga masing-masing.
PENUTUP
Hadirin yang dihormati sekalian,
14. Saya berharap kita semua akan sentiasa menyokong segala
usaha murni pihak kerajaan dalam memastikan kesejahteraan
rakyat terus terpelihara. Akhir kata, sekali lagi tahniah saya
ucapkan kepada MOSTI, Parlimen Batang Lupar, MTDC dan
LPPKN serta Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (Care UPM)
di atas penganjuran program ini. Tidak lupa juga kepada semua
pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung
dalam menjayakannya. Semoga segala usaha murni LPPKN
membina keluarga sejahtera di Malaysia amnya dan Sarawak
khasnya mendapat barakah Ilahi.
15. Dengan lafaz Bismillahirrahminirrahim, saya merasmikan
merasmikan PROGRAM INOVASI SOSIAL MOSTI:
KESEDARAN KESIHATAN TERHADAP KANSER SERVIKS
BERSAMA ALAT PERSAMPELAN SENDIRI, CERVISAFE.
Sekian. Wabillahi taufiq walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.