teks syarahan

3
Terima kasih Tuan Haji Nik Azhar bin Nik Abdul Rahman dan rakan- rakan sekalian. Selamat pagi dan salam sejahtera. Terlebih dahulu saya, Dyrene Ngu ingin merakamkan rasa penghargaan kerana berpeluang berdiri di sini untuk menyampaikan syarahan saya yang bertajuk Jenayah Kian Berleluasa . Hadirin yang dikasihi, Pada abad ke-21 ini, negara kita, Malaysia telah kian menjadi maju sehingga dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara membangun yang lain. Namun, nama baik negara kita telah dicalar oleh kes jenayah yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Masalah ini merupakan duri dalam daging dan amat membimbangkan semua pihak terutamanya apabila kemelut ini juga melibatkan golongan remaja. Hampir setiap hari dalam surat khabar juga telah menyiarkan kes jenayah yang berlaku di mana-mana sahaja seperti kes rogol dan bunuh, gengsterisme, meragut, menyamun, rasuah dan penyeludupan. Contohnya, bandar raya Kuala Lumpur dan Ipoh mempunyai rekod jenayah yang paling tinggi setiap tahun. Apakah yang dimaksudkan dengan jenayah? Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, jenayah ialah perbuatan kejahatan seperti mencuri, merompak, membunuh dan lain-lain. Jenayah juga didefinisikan sebagai sesuatu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang negara. Orang yang melakukan perbuatan jenayah ini dinamakan penjenayah. Terdapat dua jenis jenayah, iaitu jenayah ringan dan jenayah berat. Jenayah ringan merangkumi perbuatan mencuri, samun dan meragut. Jenayah berat pula termasuklah membunuh, merogol, mendera, mengedar dadah serta menyeludup barangan haram. Sebagai masyarakat yang prihatin, kita perlu bekerjasama mengupas perkara ini hingga ke akar umbi untuk mengetahui punca perkara ini berlaku. Hadirin sekalian, Siapakah yang harus dipertanggungjawabkan atas masalah ini? Antara begitu banyak punca yang telah dikaji, telunjuk jari sememangnya akan ditujukan kepada ibu bapa. Pihak yang terlibat dalam kancah jenayah kebiasaannya kurang mendapatkan kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa mereka. Hal ini demikian kerana ibu bapa terlalu mementingkan rezeki sehingga bekerja dari siang hingga malam akhirnya mengabaikan keperluan anak-anak mereka. Manakala, sesetengah pihak yang terlibat dalam kes jenayah adalah dilahirkan di dalam keluarga yang porak peranda. Misalnya, bapanya adalah penjudi dan emaknya adalah pencuri. Oleh hal yang demikian, anak-anak yang dibesarkan dalam persekitaran ini juga adalah mudah untuk menjejaki langkah ibu bapa mereka. Kesannya, golongan inilah yang tidak mendapatkan kasih sayang dan perhatian yang mencukupi akan lebih cenderung dan terpengaruh untuk melibatkan diri dalam kes jenayah. Tindakan ini adalah

Upload: dyrene-ngu

Post on 01-Sep-2015

281 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

utk rujukan shj

TRANSCRIPT

Terima kasih Tuan Haji Nik Azhar bin Nik Abdul Rahman dan rakan-rakan sekalian. Selamat pagi dan salam sejahtera. Terlebih dahulu saya, Dyrene Ngu ingin merakamkan rasa penghargaan kerana berpeluang berdiri di sini untuk menyampaikan syarahan saya yang bertajuk Jenayah Kian Berleluasa.

Hadirin yang dikasihi,

Pada abad ke-21 ini, negara kita, Malaysia telah kian menjadi maju sehingga dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara membangun yang lain. Namun, nama baik negara kita telah dicalar oleh kes jenayah yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Masalah ini merupakan duri dalam daging dan amat membimbangkan semua pihak terutamanya apabila kemelut ini juga melibatkan golongan remaja. Hampir setiap hari dalam surat khabar juga telah menyiarkan kes jenayah yang berlaku di mana-mana sahaja seperti kes rogol dan bunuh, gengsterisme, meragut, menyamun, rasuah dan penyeludupan. Contohnya, bandar raya Kuala Lumpur dan Ipoh mempunyai rekod jenayah yang paling tinggi setiap tahun.

Apakah yang dimaksudkan dengan jenayah? Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, jenayah ialah perbuatan kejahatan seperti mencuri, merompak, membunuh dan lain-lain. Jenayah juga didefinisikan sebagai sesuatu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang negara. Orang yang melakukan perbuatan jenayah ini dinamakan penjenayah. Terdapat dua jenis jenayah, iaitu jenayah ringan dan jenayah berat. Jenayah ringan merangkumi perbuatan mencuri, samun dan meragut. Jenayah berat pula termasuklah membunuh, merogol, mendera, mengedar dadah serta menyeludup barangan haram. Sebagai masyarakat yang prihatin, kita perlu bekerjasama mengupas perkara ini hingga ke akar umbi untuk mengetahui punca perkara ini berlaku.

Hadirin sekalian,

Siapakah yang harus dipertanggungjawabkan atas masalah ini? Antara begitu banyak punca yang telah dikaji, telunjuk jari sememangnya akan ditujukan kepada ibu bapa. Pihak yang terlibat dalam kancah jenayah kebiasaannya kurang mendapatkan kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa mereka. Hal ini demikian kerana ibu bapa terlalu mementingkan rezeki sehingga bekerja dari siang hingga malam akhirnya mengabaikan keperluan anak-anak mereka. Manakala, sesetengah pihak yang terlibat dalam kes jenayah adalah dilahirkan di dalam keluarga yang porak peranda. Misalnya, bapanya adalah penjudi dan emaknya adalah pencuri. Oleh hal yang demikian, anak-anak yang dibesarkan dalam persekitaran ini juga adalah mudah untuk menjejaki langkah ibu bapa mereka. Kesannya, golongan inilah yang tidak mendapatkan kasih sayang dan perhatian yang mencukupi akan lebih cenderung dan terpengaruh untuk melibatkan diri dalam kes jenayah. Tindakan ini adalah untuk menarik perhatian ibu bapa di samping mencari keseronokan. Tegasnya, ibu bapa sememangnya mempunyai tanggungjawab ke atas berlaku jenayah.

Selain itu, banyak laporan juga menyatakan bahawa kekurangan didikan agama dalam kalangan masyarakat merupakan faktor kes jenayah semakin berleluasa. Hal ini demikian kerana generasi hari ini sudah mula mengabaikan ajaran dan didikan agama kerana mereka berpendapat bahawa ajaran agama adalah jumud dan sudah ketinggalan zaman. Temenggung Vincent Lau Lee Ming berkata, dengan mempunyai didikan agama yang cukup ia akan membolehkan seseorang individu itu tahu membezakan kebaikan dan keburukan dalam menjalani kehidupan seharian mereka. Namun, mereka gagal dalam membezakan antara intan dengan kaca justeru mudah terpengaruh dengan pelbagai anasir negatif seperti melibatkan diri dalam aktiviti jenayah. Contohnya, kes rogol dan bunuh Canny Ong Lay Kian menunjukkan bahawa terdapat segelintir masyarakat yang sanggup bertindak mengikut hawa nafsu mereka tanpa memikirkan akibatnya. Jelaslah bahawa golongan yang terlibat dalam kancah jenayah adalah disebabkan oleh mereka tidak berpegang teguh kepada ajaran agama.

Pensyarah yang dihormati dan rakan yang dikasihi,

Sepenting mana pun peranan media massa, kita tidak dapat menolak unsur-unsur negatif yang dibawanya. Menurut Buerah Tunggak et.al. (2012), pelbagai konsep dan cara hidup seperti cara hidup happy go lucky, melepak, mengunjungi pusat hiburan, seks bebas dan sebagainya banyak disiarkan melalui media massa. Adegan-adegan lucah ini hanyalah sebagai halwa mata bagi mereka. Jadi, apabila filem tersebut dipertontonkan, sudah tentu golongan remaja amnya, akan meniru stail dan aksi artis pujaan mereka.Justeru, kes pembunuhan, kes rogol atau mayat dikerat-kerat, pada mulanya hanya terdapat di filem-filem keluaran barat tetapi sekarang telah berlaku di persekitaran kita. Hal ini demikian kerana pengaruh daripada media massa menjadikan corak kehidupan masyarakat semakin bebas, sehingga sanggup bersekedudukan tanpa nikah, terlibat dalam najis dadah, merompak dan sebagainya. Contohnya, kes rogol dan bunuh Norita Shamsuddin dan Haserawati Saridi yang berumur sembilan tahun di Menggatal, Sabah. Sudah terang lagi bersuluh, media massa adalah antara faktor yang menyumbang kepada berleluasanya kes jenayah.

Hadirin yang dimuliakan,

Tiada penyakit yang tiada penawarnya. Maka langkah yang sistematik, pragmatik dan konkrit harus dilaksanakan dengan secepat mungkin untuk mengurangkan kadar jenayah. Pertama sekali, langkah yang paling signifikan adalah dengan menguatkuasakan undang-undang. Dalam hal ini, kata Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye, kerajaan perlu tegas dalam menguatkuasakan undang-undang demi kepentingan undang-undang dan ketenteraman awam serta pencegahan jenayah. Perkara ini bermaksud undang-undang bukan sahaja harus diperketat malah juga harus dilaksanakan tanpa rasa takut dan pilih kasih. Hal ini demikian kerana ada individu yang telah ditahan oleh pihak tertentu tetapi dilepaskan atas alasan yang tidak munasabah dan dalam situasi lain ada yang dilepaskan hanya kerana mereka terlibat dalam barisan kepimpinan negara. Merujuk kepada perkaran tersebut, Akta 302 Kanun Keseksaan perlu dikuatkuasakan dengan tegas terhadap penjenayah yang didapati membunuh atau merogol mangsanya. Penjenayah akan dijatuhi hukuman mati mandatori. Serbuan dan tangkapan kini diadakan lebih kerap dan secara rambang untuk menangkap penjenayah.

Sementelahan itu, kempen-kempen yang berkenaan juga harus dilancarkan dari semasa ke semasa untuk menyedarkan masyarakat tentang keburukan dan impak jenayah. Contoh kempen yang boleh dijalankan ialah tayangan video, pameran berunsurkan aktiviti jenayah atau menjemput pegawai polis untuk memberi ucapan mengenai kegiatan jenayah. Kempen-kempen pencegahan jenayah ini harus dijalankan di tempat-tempat awam di mana tempat yang menjadi tumpuan orang tidak kira muda atau tua. Tindakan ini adalah supaya semua pihak yang mendengar atau mengikuti kempen tersebut akan lebih berwaspada dengan kegiatan jenayah yang mungkin berlaku dan seterusnya mengetahui langkah-langkah yang berkesan sekiranya mereka berhadapan dengan situasi tersebut. Bukan itu sahaja, penjenayah yang berada dalam kawasan berhampiran dengan kempen yang dijalankan juga dapat disedarkan dengan berfikir panjang sebelum melakukan jenayah di kawasan terbabit kerana rata-rata pengunjung akan mengambil langkah keselamatan seperti yang diajar dan hal ini akan meningkatkan risiko mereka akan ditangkap atas jenayah yang dilakukan. Tuntasnya, kempen harus dilaksanakan secara berterusan dan bukannya hangat-hangat tahi ayam sahaja demi membanteras kes jenayah.

Hadirin yang sekalian,

Kesimpulannya, seantero pihak seyogianya menggembleng tenaga bagai aur dengan tebing untuk membanteras jenayah hingga ke akar umbinya. Hal ini demikian kerana jenayah bagai musuh dalam selimut bukan sahaja kepada masyarakat malah juga kepada negara. Oleh hal yang demikian, pendekatan dan inisiatif yang diambil harus dijalankan dengan bijaksana dan cermat. Jangan disebabkan setitik nila, rosak susu sebelanga. Jadi, wahai anak-anak, marilah kita semua memikulkan obligasi masing-masing untuk membendung jenayah sehingga terpadam daripada kamus negara seiring dengan wawasan untuk menjadikan negara ini cemerlang, gemilang dan terbilang.

Sekian, terima kasih.