sistem pengangkutan awam menjana pembangunan negara

Upload: farhana-rashid

Post on 04-Jun-2018

291 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

  • 8/13/2019 Sistem Pengangkutan Awam Menjana Pembangunan Negara

    1/9

    Sistem pengangkutan awam menjana pembangunan negara

    24 September 2008

    Oleh NOORZIHAN MOHAMED YIN

    DI Stockholm, ibu negara Sweden, pemandangan warga kotanya yang tinggal dalam lingkungan 10

    kilometer berbasikal ke pejabat adalah perkara biasa. Kenderaan persendirian hanya dilihat

    menghiasi garaj kerana rata-rata masyarakatnya - selain berbasikal lebih selesa menggunakan

    pengangkutan awam.

    Di Shanghai, China pula, kerajaan tempatannya menerapkan elemen penggunaan secara maksimum

    pengangkutan awam di kalangan warganya. Namun di Malaysia, situasinya sangat berbeza, dengan

    pengangkutan awam dilihat sebagai sebuah sistem yang beroperasi dengan kurang cekap dan

    berkesan.

    Kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam bermula daripada kaunter tiket selain perkhidmatan

    yang pantas, maklumat yang baik, kemudahan tempahan, pilihan laluan serta ketepatan waktu,

    gagal dijadikan sebagai petunjuk penting bagi menjamin pengguna terus menggunakan

    pengangkutan awam.

    Pelbagai isu dibangkitkan saban waktu, antaranya ketidakcekapan pengurusan operasi, keadaan

    kenderaan awam yang tidak selesa, ketiadaan khidmat pengangkutan awam di kawasan kepadatan

    penduduk tinggi dan mutu perkhidmatan yang tidak bersifat mesra pengguna, menjadikan

    kemudahan pengangkutan awam pilihan terakhir bagi pengguna.

    Namun, dalam menghadapi tekanan akibat kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen yang berkuatkuasa 5 Jun lalu, rakyat terutamanya yang mendiami bandar-bandar besar, berusaha mencari

    pelbagai ruang alternatif untuk berjimat-cermat.

    Keadaan ini tidak memberikan banyak pilihan kepada rakyat, apatah lagi menyedari kesan berantai

    seiring dengan kenaikan minyak yang secara langsung turut melonjakkan harga barang dan

    perkhidmatan dalam pasaran. Lantaran menyedari perlunya mengawal perbelanjaan waktu ini,

    mahu tidak mahu, penggunaan kemudahan awam yang sedia ada seperti bas, komuter, Transit

    Aliran Ringan (LRT), Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), monorel, dan teksi, terpaksa diaplikasikan.

  • 8/13/2019 Sistem Pengangkutan Awam Menjana Pembangunan Negara

    2/9

    PERKHIDMATAN BAS

    Semenjak perkhidmatan bas awam diperkenalkan secara sistematik pada tahun 1935 oleh General

    Transport Company milik British, operasi pengangkutan bas awam dibiayai sepenuhnya oleh

    pengusaha swasta. Tidak dinafikan, perkhidmatan pengangkutan bas awam di Malaysia telah melalui

    tahun-tahun yang cemerlang.

    Namun kini, kecemerlangan tersebut tidak lagi dinikmati.

    Sejarah pengangkutan bas awam yang pernah muncul dan lenyap di Kuala Lumpur seperti Sri Jaya,

    Toong Foong, Len Chee, Foh Hup, KL Klang, Naiela, Selangor Bus, Cityliner dan Park May, dahulunyadikendalikan oleh pengusaha persendirian tanpa bantuan kewangan daripada mana-mana pihak.

    Malangnya, akibat daripada situasi yang menekan negara menyebabkan banyak syarikat bas

    terpaksa memberhentikan perkhidmatan mereka kerana kos operasi yang tidak lagi dapat

    ditanggung memandangkan kali terakhir tambang bas henti-henti dinaikkan ialah pada 2005, iaitu

    daripada 40 sen kepada 60 sen untuk dua kilometer.

    Di Pulau Pinang, seluruh sistem pengangkutan bas menjadi lumpuh apabila syarikat Hin Bus, Yellow

    Bus, Lim Seng Bus, Kenderaan Juara, Kiara Tuah dan Kiara Melati menamatkan perkhidmatan. Nasib

    malang tersebut turut dialami syarikat-syarikat bas di Selangor seperti Foh Hup Omnibus, Toong

    Fong Bus dan Len Bus yang terpaksa gulung tikar.

    Keadaan tidak kurang buruknya di Kedah dan Perlis. Syarikat perkhidmatan bas awam utama negeri-

    negeri tersebut iaitu Kubang Pasu Transport, Perlis Transport dan Kuala Kedah Transport mungkin

    terpaksa menamatkan perkhidmatan sekiranya situasi tidak menunjukkan sebarang peningkatan.

    Pihak kerajaan pernah mengambil langkah pembaikan melalui konsortium pengangkutan sekitar

    lewat 90-an dahulu. Menerusi penggabungan beberapa syarikat bas di Lembah Klang di bawah

    Intrakota Consolidated dan Park May Berhad, langkah tersebut juga tidak membawa hasil yang

    menggalakkan.

  • 8/13/2019 Sistem Pengangkutan Awam Menjana Pembangunan Negara

    3/9

    Beban perbelanjaan modal yang terlalu besar akibat daripada kos pembelian bas daripada luar

    negara, kos alat-alat ganti yang terpaksa diimport dan kos penyelenggaraan kenderaan yang tinggi

    terpaksa ditanggung.

    Bilangan bas yang tidak mencukupi selain sistem pemandu perseorangan yang tidak efektif,

    pemandu yang tidak mencukupi dan pelbagai masalah logistik, menyebabkan kelewatan perjalanan

    selain mampu mengundang bahaya ketika di jalan raya.

    Semua kesulitan ini mengecewakan para pengguna yang bergantung kepada bas sebagai satu-

    satunya kaedah pengangkutan mereka. Mereka bukan sahaja perlu menanggung kadar tambang

    yang tinggi dan tidak berbaloi, tetapi juga terpaksa berhadapan dengan perkhidmatan bas yang tidak

    menentu.

    Penggunaan bas yang telah berusia sebagai langkah pengurangan kos sebaliknya, menimbulkan

    masalah-masalah lain pula seperti keadaan bas yang usang dengan bumbung bocor, kerusi yang

    patah dan koyak, penghawa dingin yang tidak berfungsi, palang cermin yang patah dan pelbagai lagi.

    Keadaan ini bukan sahaja mendatangkan situasi tidak selesa kepada pengguna tempatan tetapi juga

    memberikan tanggapan negatif kepada pelancong-pelancong asing. Tanggapan sedemikian sudah

    tentu tidak akan menyumbang kepada industri pelancongan negara yang sangat bergantung kepada

    sistem pengangkutan awam yang lancar dan selesa.

    PERKHIDMATAN REL

    Wujudnya Sentral Kuala Lumpur atau lebih dikenali dengan panggilan KL Sentral sebagai hab

    pengangkutan utama rel awam dilihat sebagai permulaan yang baik. Malangnya, sistem

    pengangkutan awam yang telah menjangkau usia antara 12 hingga 13 tahun ini masih lagi tidak

    menampakkan kematangannya.

    Semenjak pelaksanaannya, masalah seperti tren lambat, tren yang tiba-tiba berhenti atau rosak,

    terlalu sesak, penghawa dingin yang tidak berfungsi dan masalah-masalah lain masih lagi berlaku.

    Keadaannya yang bagaikan sardin, lebih-lebih lagi waktu puncak turut memberikan kesan negatif

    kepada tanggapan pengguna. Keadaan ini turut dikesali Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah

    Ahmad Badawi yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan rel di ibu negara.

  • 8/13/2019 Sistem Pengangkutan Awam Menjana Pembangunan Negara

    4/9

    Beliau yang meninjau dan merasai sendiri menggunakan kemudahan perkhidmatan rel ini pada 21

    Ogos lalu mendapati bahawa perkhidmatan rel ini tidak sistematik, jadual ketibaan tidak teratur,

    gerabak tidak mencukupi dan liputan laluan tidak meluas.

    Jadual waktu tren yang tidak tepat menyumbang kepada sikap negatif penumpang seperti berebut-

    rebut, tidak beratur ketika memasuki tren serta sikap kurang prihatin terhadap warga tua, warga

    kurang upaya dan wanita mengandung. Senario ini bukan sahaja menjengkilkan, malah turut

    memberikan pandangan buruk kepada pelancong-pelancong luar yang mana secara langsung akan

    turut menjejaskan industri pelancongan negara.

    PERKHIDMATAN TEKSI

    Bilangan teksi sebanyak 30,000 masih tidak mencukupi untuk menampung jumlah pengguna yang

    ada. Daripada jumlah ini, sebanyak 21,000 buah teksi yang terdapat di Lembah Kelang masih tidak

    mencukupi. Dianggarkan 3,000 buah teksi diperlukan bagi menambah jumlah sedia ada.

    Ironinya, dengan nisbah sebuah teksi bagi 500 orang penumpang, diburukkan lagi dengan perlakuan

    tidak bertanggungjawab pemandu teksi yang mengambil kesempatan mengenakan caj tidak

    munasabah selain tidak menggunakan meter, telah menimbulkan rasa tidak puas hati pengguna.

    Rasa tidak puas hati pengguna terhadap caj teksi yang terlalu tinggi ini telah menjadi satu isu yang

    berlarutan sekian lama. Malah, situasi ini diburukkan lagi dengan tindakan tidak berdisplin dan tidak

    bermoral di kalangan sesetengah pemandu teksi yang menggunakan perkataan yang tidak sopan dan

    menghina penumpang yang meminta pemandu teksi untuk menggunakan meter.

    Gesaan untuk menarik balik lesen pemandu teksi yang mengenakan caj tanpa menggunakan meter

    seolah-olah tidak pernah diambil berat. Malah, terdapat banyak kes di mana para pengguna

    terpaksa bertegang urat dengan pemandu teksi dalam menetapkan kadar tambang ke sesuatu

    destinasi. Sekiranya pemandu teksi tidak berpuas hati dengan kadar yang ditetapkan oleh

    penumpang maka akibatnya, pengguna terpaksa menunggu teksi yang lain pula.

    Senario sebegini sukar dilihat di negara lain. Di Kaherah, Mesir misalnya, perkhidmatan teksinya

    tidak menggunakan sistem meter tetapi mengamalkan sistem tawar-menawar di antara penumpang

  • 8/13/2019 Sistem Pengangkutan Awam Menjana Pembangunan Negara

    5/9

    dengan pemandu. Pemandu juga tidak pernah mengelak daripada mengambil penumpang.

    Pengguna tidak perlu menunggu lama lebih dari lima minit untuk mendapatkan khidmat teksi.

    Masalah kewujudan ulat-ulat teksi yang licik dan tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan turutmencemarkan imej pengangkutan awam ini. Kehadirannya di lokasi-lokasi tertentu terutamanya di

    lapangan terbang mampu memberikan mereka pendapatan lumayan sehingga antara RM6,000

    hingga RM7,000 sebulan.

    Masalah ini pula bagaikan tiada surutnya lantaran tiadanya pemantauan berterusan dalam

    penggunaan meter di kalangan pemandu teksi.

    Ini juga ditambah dengan alasan-alasan pemandu teksi itu sendiri seperti pendapatan daripada teksi

    bermeter tidak mencukupi kerana terdapat pelbagai caj yang dikenakan terhadap pemandu teksi

    iaitu seperti sewa teksi, sewa permit, minyak, penyelenggaraan kenderaan, cukai jalan, insurans

    kenderaan, pemeriksaan kesihatan tahunan dalam usaha untuk memperbaharui lesen dan salah satu

    kewajipan dalam ujian Puspakom.

    LANGKAH PENAMBAHBAIKAN

    Saranan yang dilaungkan kerajaan bagi menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam

    untuk mengelakkan kesesakan jalan raya akan hanya menjadi laungan kosong jika sistem itu tidak

    diperhalusi dan diperbaiki terlebih dahulu.

    Sebagai langkah permulaan, satu sistem yang berintegrasi, komprehensif dan tersusun di antara

    laluan terutamanya monorel, LRT, komuter dan bas perlu diusahakan. Langkah yang diaplikasikan

    oleh negara-negara maju seperti Jerman dan Jepun ini telah terbukti kejayaannya. Melalui sistem ini,

    setiap penumpang dapat turun bas dan pada masa yang sama dapat menggunakan perkhidmatan

    LRT yang juga terletak di tempat yang sama.

    Selain itu, pembabitan terlalu banyak badan yang menyelaras dan mengendalikan pengangkutan

    awam juga dilihat tidak membantu dalam menjamin kecekapan sistem perkhidmatan awam negara.

    Bidang kuasa yang bertindih berhubung pengeluaran lesen, pengesanan, pengujian kenderaan dan

    penguatkuasaan menimbulkan kekeliruan dan menjadi penyebab kepada pelbagai masalah yang

    timbul.

  • 8/13/2019 Sistem Pengangkutan Awam Menjana Pembangunan Negara

    6/9

    Di bandar-bandar utama seperti London, New York dan Singapura terdapat badan tunggal yang

    menguruskan pengangkutan awamnya. Malangnya keadaan itu tidak berlaku di Malaysia kerana 13

    agensi dan jabatan kerajaan terlibat dalam soal pengangkutan yang akhirnya bukan menyelesaikan

    tetapi memburukkan lagi masalah.

    Pengeluaran permit kenderaan komersial misalnya, diletakkan di bawah Lembaga Pelesenan

    Kenderaan Perdagangan (LPKP). Pengeluaran cukai jalan dan penguatkuasaan peraturan jalan raya,

    dipegang oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), manakala perkhidmatan rel dan tren pula di bawah

    Jabatan Keretapi. Kedua-dua jabatan ini adalah di bawah Kementerian Pengangkutan. Kemudahan

    pengangkutan awam seperti perhentian bas, terminal bas, lorong bas pula di bawah bidang kuasa

    pihak berkuasa tempatan.

    Masalah ini turut ditegur Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang

    mengakui penyelesaian kepada masalah lalu lintas negara sepatutnya memberikan kelegaan

    melangkaui tempoh 20 hingga 30 tahun. Tidak hanya sekadar untuk tempoh setahun dua sahaja.

    Ironinya, sistem perkhidmatan pengangkutan awam sekarang tidak mempunyai data statistik

    keperluan sebenar bagi pengangkutan awam. Oleh hal yang demikian itu, suatu kajian menyeluruh

    mengenai operasi pengangkutan awam di negara ini juga menjadi suatu keperluan yang bertindak

    sebagai rujukan atau penanda aras kepada keberkesanan dan kecekapannya selama ini.

    Menurut pakar pengangkutan awam, Prof. Dr. Abd. Rahim Md. Nor, dengan maklumat yang

    diperoleh daripada kajian itu, kerajaan akan dapat membina sebuah pangkalan data indeks kualiti

    industri pengangkutan awam khusus untuk memantau sektor itu secara berterusan.

    Pangkalan data ini akan mengumpul maklumat terperinci berkenaan sektor pengangkutan selain

    perlu dikemas kini secara tahunan sebagai rujukan kepada semua pihak termasuk pengguna,

    pengusaha dan kerajaan.

    Melalui usaha itu, kerajaan dan syarikat pengusaha dapat memantau operasi perkhidmatan

    pengangkutan awam mengikut situasi semasa termasuk peningkatan kos ekoran kenaikan harga

    minyak seperti yang berlaku ketika ini. Menerusi hasil kajian yang sama juga, kerajaan dapat

    mengenal pasti punca peningkatan kos dan menyalurkan subsidi secara lebih tersusun dan

    sistematik seterusnya memuaskan hati pengusaha dan pengguna.

  • 8/13/2019 Sistem Pengangkutan Awam Menjana Pembangunan Negara

    7/9

    Sasaran penggunaan pengangkutan awam kepada 40 peratus menjelang 2020 daripada hanya 20

    peratus pada masa kini, dilihat sebagai langkah permulaan penambahbaikan perkhidmatan

    pengangkutan awam negara. Langkah ini bertujuan mengikuti kejayaan negara-negara jiran

    mengaplikasikan sistem pengangkutan awamnya di mana Singapura sebanyak 56 peratus, Bangkok

    (30 peratus), Manila (54 peratus), Tokyo (49 peratus) dan Seoul (60 peratus).

    Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerusi perbentangan Kajian Separuh

    Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), dalam agenda pembangunan negara, telah

    membentangkan lima Teras Utama Misi Nasional yang mana antara strategi utama teras

    keempatnya adalah menambah baik kemudahan pengangkutan.

    Penambahbaikan ini meliputi agenda meningkatkan liputan sistem rel transit bandar di samping

    memperbanyak terminal pengangkutan awam bersepadu meliputi perkhidmatan komuter, bas,

    teksi, LRT, ERL dan monorel bagi tujuan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan

    persendirian terutama di kawasan Lembah Kelang.

    Bagi mencapai maksud tersebut, Suruhanjaya Pengangkutan Awam ditubuhkan bagi merangka Pelan

    Induk Pengangkutan. Usaha ini termasuk juga di negeri Sabah dan Sarawak yang mana rangkaian

    jalan rayanya akan diperluas terutama di kawasan pedalaman.

    Perhatian yang sama turut diberikan di dalam perbentangan Belanjawan tahun 2009. Bertemakan

    kerajaan prihatin, belanjawan 2009 menumpukan kepada penambahbaikan pengangkutan awam

    dalam konteks meningkatkan produktiviti dan kualiti hidup sekaligus membantu pembangunan

    negara.

    Peruntukan sebanyak RM35 bilion disediakan bagi perbelanjaan dalam tempoh enam tahun bagi

    meningkatkan kapasiti perkhidmatan rel sedia ada, membina laluan baru, menambah bilangan bas

    dan menyediakan kemudahan infrastruktur berkaitan.

    Sistem LRT sedia ada di Lembah Klang akan dipanjangkan sejauh 30 kilometer (km), iaitu masing-

    masing sepanjang 15 km bagi aliran Kelana Jaya dan aliran Ampang. Dijangka siap pada 2011,

    seramai 2.6 juta penduduk di sepanjang Koridor Subang Jaya-USJ dan Koridor Kinrara-Puchong akan

    menikmatinya berbanding 1.9 juta orang pada masa ini.

    Pembelian 35 set tren aliran Kelana Jaya baru yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal 2010juga akan meningkatkan kapasiti penumpang lebih dua kali ganda. Daripada 160,000 penumpang

  • 8/13/2019 Sistem Pengangkutan Awam Menjana Pembangunan Negara

    8/9

    sehari pada masa ini meningkat kepada 350,000 penumpang sehari. Aliran Ampang pula akan

    mempunyai kapasiti 280,000 penumpang sehari berbanding 150,000 penumpang pada masa ini.

    Laluan baru dari Kota Damansara ke Cheras iaitu meliputi laluan sepanjang 42km akan turutditambah. Laluan yang dijangka siap pada 2014, dengan kapasiti melebihi 300,000 penumpang

    sehari, akan memberi perkhidmatan rel bagi kawasan kediaman, perdagangan dan kewangan

    Koridor Kota Damansara-Cheras yang mempunyai bilangan penduduk lebih sejuta orang.

    Pengambilalihan aset dan operasi KL Monorail daripada operator swasta pada akhir tahun 2007

    turut meningkatkan jumlah penumpang lebih 10 peratus Langkah ini akan menyumbang kepada

    usaha menjadikan perkhidmatan rel bandar di Lembah Klang lebih berintegrasi.

    Perkhidmatan Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad turut dipertingkatkan. Langkah itu termasuk

    membaik pulih 20 set Electric Multiple Unit (EMU) sedia ada yang dijangka siap pada 2009.

    Sejumlah 13 EMU baru juga akan ditambah menjelang 2011. Bagi memperluaskan jaringan

    perkhidmatan rel komuter, laluan Sentul-Batu Caves sepanjang 7.5 km sedang dibina dan dijangka

    siap menjelang 2010.

    Di samping itu, dua projek utama sedang dilaksanakan bagi meningkatkan perkhidmatan KTM, iaitu

    projek landasan berkembar elektrik Seremban-Gemas, yang dijangka siap pada 2012 dan Ipoh-

    Padang Besar pada 2013.

    Terminal pengangkutan bersepadu bagi kemudahan teksi dan bas antara bandar juga akan dibina di

    Bandar Tasik Selatan. Terminal moden lima tingkat ini mempunyai kapasiti menampung lebih 130

    teksi dan 100 bas, kemudahan letak kereta dan ruang komersial, selain berhubung dengan rel aliran

    Ampang, ERL dan KTM Komuter serta teksi dan bas bandar di Lembah Klang.

    Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (RapidKL) telah menyaksikan kejayaan dengan

    pertambahan dalam purata jumlah penumpang bas dan Transit Aliran Ringan (LRT) sejak

    pengumuman kenaikan harga minyak oleh kerajaan pada 5 Jun lalu. Bagi operasi bas, purata jumlah

    penumpangnya meningkat sebanyak 7.5 peratus daripada 365,111 kepada 392,654 penumpang

    sehari manakala bagi LRT, puratanya meningkat sebanyak 3.9 peratus daripada 313,753 kepada

    326,095 sehari.

    Sebagai langkah membantu mengurangkan kos operasi operator pengangkutan awam, kerajaantelah meningkatkan kuota subsidi diesel selain kemudahan pinjaman mudah melalui dana

  • 8/13/2019 Sistem Pengangkutan Awam Menjana Pembangunan Negara

    9/9

    pengangkutan awam. Sebanyak RM3 bilion diperuntukkan di bawah Bank Pembangunan Malaysia

    Berhad untuk membiayai perolehan aset bas dan rel.

    Bayaran tol juga telah dikurangkan sebanyak 50 peratus bagi semua bas, kecuali di pintu masuksempadan, iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit Kayu Hitam, untuk tempoh dua tahun bermula

    15 September 2008. Pengecualian cukai jualan ke atas pembelian bas baru yang dipasang dalam

    negara dan perbelanjaannya diberi elaun modal turut dipercepatkan. Cukai jalan juga dikurangkan

    kepada RM20 setahun bagi semua bas dan teksi, termasuk kereta sewa pandu dan limousin.

    Bagi memastikan perhatian khusus diberikan kepada usaha memajukan sistem pengangkutan awam

    bandar secara menyeluruh, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat akan ditubuhkan di bawah

    Jabatan Perdana Menteri, untuk merancang, mengintegrasi, mengawal selia dan memajukan sistem

    perkhidmatan pengangkutan awam. Suruhanjaya ini dijangka mula beroperasi pada pertengahan

    2009.

    Pengalaman penyelidikan oleh penyelidik dari negara-negara maju telah membuktikan bahawa

    pengangkutan boleh bertindak sebagai pra-syarat yang penting dalam membangunkan negara.

    Model yang terbina daripada penyelidikan menunjukkan pengaruh yang positif dan signifikan

    infrastruktur pengangkutan terhadap pembangunan sosioekonomi sesuatu kawasan, wilayah atau

    negara.

    Di Malaysia, penelitian di kawasan luar bandar dan antara bandar, antara lain, oleh Lienbach (1971)

    dan Abd Rahim Md Nor (1996) menunjukkan perkaitan yang serupa. Menyedari hal ini, langkah

    kerajaan di dalam Belanjawan 2008 ini dilihat sebagai langkah yang bijak. Sistem pengangkutan yang

    baik dan komprehensif bertindak sebagai penjana bagi menarik pelabur asing serta pelancong.

    Kecekapan dan keberkesanannya, penentu pembangunan suatu bangsa dan negara.