perkembangan ilmu dalam tamadun islam dan china

Upload: mohaspa-mohd-hassan

Post on 29-Feb-2016

128 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

Membincangkan ilmu pengetahuan dalam Tamdun Islam dan China Purba.

TRANSCRIPT

Perkembangan ilmu dalam Tamadun Islam dan China

Perkembangan ilmu dalam Tamadun Islam tidak dibahagikan kepada disiplin-disiplin khusus. Pemikiran Islam pada zaman khalifah tidak mengkhusus pada bidang-bidang tertentu. Sesetengah pemikir pada ketika itu menulis tentang pelbagai perkara dari sains semula jadi ke aspek kehidupan masyarakat dan sejarah serta agama. Ilmu pada zaman itu tidak dibahagikan kepada ilmu sekularnya dan agama atau sains semula jadi, sains sosial atau kemanusiaan. Tetapi pemikir sosial seperti Ibn Khaldun dan pengembara seperti Ibn Batuttah telah menulis tentang aspek sosial, budaya dan sejarah dalam masyarakat Islam dan menjadi asas kepada ilmu sains sosial dan kemanusiaan Islam masa kini.

Bentuk pemikiran sains sosial Islam, khususnya sosiologi dan sejarah, telah diasaskan oleh pemikir agung Islam, iaitu Ibn Khaldun (Abdul Rahman Abu Zain Waliuddin bin Muhammad bin Khaldun Al-Maliki). Beliau yang juga tokoh dalam bidang ekonomi dan politik. Melalui bukunya Muqaddimah atau Pengenalan Kepada Ilmu Sejarah, beliau telah memperkenalkan satu bidang ilmu yang sekarang ini dinamakan antropologi dan sosiologi. Ilmu itu kemudiannya dikembangkan oleh pelopor-pelopor sains sosial Barat yang telah meminjam dan menggunapakai analisis tamadun dan budaya oleh Ibn Khaldun tetapi menolak komponen agama dalam analisis mereka.

Dalam pendekatannya itu, Ibn Khaldun meletakkan faktor keagamaan sebagai salah satu peraturan hidup yang penting yang boleh menyelamatkan sesuatu tamadun daripada keruntuhan. Faktor keagamaan tersebut telah ditolak oleh pemikir sosial Barat yang menekankan analisis value-free, empiris, rasionalis dan sekular. (Ismail Yusoff, 2001). Setelah jatuhnya pengaruh Islam, ilmu sains sosial seperti ekonomi, politik, sejarah dan sosiologi berkembang dengan pesatnya di Barat dalam bentuk sekular, liberal danateistik. Ilmu sosial yang dipelopori oleh Ibn Khaldun dan pemikir sosial Islam lain ditenggelami oleh kemaraan tamadun Barat. Pada hakikatnya falsafah pemikiran Barat sejak Socrates hingga Freud yang mendasari ilmu pengetahuan zaman moden Barat telah membuat pilihan untuk memutuskan diri daripada Tuhan dan menumpu analisis mereka dalam batasan manusia dan alam sahaja. Oleh itu ilmu pengetahuan Barat, khususnya sains kemasyarakatan dan ilmu kemanusiaan telah terlepas daripada hubungan antara manusia dengan Tuhan (Ismail Yusoff, 2001).

Ilmu sains sosial yang berbentuk sekular inilah yang sampai semula ke negara-negara Islam yang dijajah oleh Barat. Pegawai kolonial, ahli akademik dan penyelidik sosial Barat memainkan peranan penting dalam hal ini. Walau bagaimanapun pada tahun 1960an muncul kesedaran dalam kalangan sarjana Islam bahawa sains sosial Barat yang sekular, liberal dan ateistik yang muncul dalam alam pemikiran yang tidak selari dan adakalanya bertentangan dengan masyarakat dan budaya Islam. Bentuk pemikiran seperti ini perlu ditolak. Justeru dimensi moral dan kerohanian dalam kehidupan masyarakat moden, baik di Barat atau di Timur perlu diterapkan semula dalam pengajaran sains sosial. Sentimen yang serupa diutarakan oleh Mohd. Kamal Hassan:

Sekiranya kita terus mengembangkan ilmu itu di atas asas yang bertentangan dengan akidah dan syariat Islam, dalam bentuknya yang berpecah-pecah seperti sekarang dan dibina daripada dua sumber ilmu pengetahuan sahaja iaitu empirisisme dan rasionalisme, maka kita tidak akan dapat keluar daripada krisis kehidupan moden.(Ismail Yusoff, 2001)

Kassim Ahmad di dalam bukunya Teori Sosial Moden Islam telah membahagikan pemikiran sosial Islam kepada tiga peringkat atau zaman, iaitu zaman klasik, zaman pertengahan dan zaman moden. Mengikut beliau zaman klasik bermula dengan pembentukan negara Islam di Madinah (622 Masihi) hingga kejatuhan Kota Baghdad dan Daulah Abbasiyah (1258 Masihi). Zaman pertengahan bermula dengan tertubuhnya Empayar Uthmaniah Turki (1360 Masihi) hingga pemansuhan kekhalifahan Islam (1924 Masihi). Zaman moden bermula dengan kedatangan pengaruh tamadun Eropah (pertengahan abad ke-19).

Sumber-sumber asas falsafah dan teori sosial Islam pada awal zaman klasik (zaman Rasulullah dan Khalifah ar-Rasyidun) ialah al-Quran dan Sunnah Nabi, di samping ijmak dan ijtihad mereka. Kemudiannya Sunnah Khalifah ar-Rashidun dan ajaran tokoh-tokoh agama seperti Imam Abu Hanifah dan Abu Yusuf juga menjadi satu sumber penting falsafah dan teori sosial Islam. Jadi teori sosial Republik Islam pertama atau apa yang disebutkan sebagai teori Islam klasik adalah berdasarkan kepada tiga sumber penting iaitu Perlembagaan Madinah, Sunnah Nabi dan Khalifah ar-Rasyidun. Ia meletakkan masyarakat serta pemerintahannya di bawah undang-undang ketuhanan yang berdaulat sepenuhnya. Punca dan sumber kedaulatan itu terletak kepada Allah SWT yang diasadkan kepada ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan Tuhan sebagai pemilik kedaulatan mutlak. Selain itu beberapa falsafah dalam Perlembagaan Madinah dan juga ucapan Khalifah Islam pertama juga memperkuatkan lagi pegangan ini. Misalnya Khalifah pertama Abu Bakar (r.a) menyatakan bahawa:

Saya telah diberi kuasa ke atas kamu tetapi saya bukanlah yang paling baik di antara kamu. Jika saya berbuat betul, bantulah saya, dan jika saya berbuat salah, maka perbetulkanlah saya.Taatilah saya selagi saya mentaati Allah dan rasul-Nya, dan jika saya mengingkari mereka tidak ada ketaatanmu kepadaku.(Kassim Ahmad, 1984)

Konsep ini menjadi konsep asas dalam undang-undang syariah dan teori sosial Islam, serta menjadi panduan asas dalam amalan pemerintahan-pemerintahan Islam kemudiannya. Akan tetapi terdapat beberapa kelainan dalam amalan konsep asas itu kerana timbulnya tafsiran yang berbeza-beza. Walau bagaimanapun teori sosial Islam yang dirumuskan oleh ahli-ahli teori Islam zaman klasik seperti al-Mawardi, Abu Yusuf (798 Hijrah),al-Ghazzali (1111 Masihi) dan lain-lain, tidak meliputi semua praktis Nabi Muhammad s.a.w dan Khalifah ar-Rashidun. Perlembagaan Madinah misalnya tidak pernah dibincangkan. Mereka menumpu perhatian mereka kepada teori kekhalifahan (keperluan adanya Khalifah, bagaimana memilihnya, syarat yang perlu ada pada calon Khalifah, fungsi dan tanggungjawab, Khalifah, hak rakyat terhadapnya, dan lain-lain) dan tidak kepada pakatan sosial (social contract) yang terdapat dalam Perlembangan Madinah dan kerelevanannya dalam masyarakat Islam pada zaman mereka (beberapa ratus tahun selepas zaman Khalifah ar-Rasyidun). Pemikiran sosial Islam pada zaman ini menumpu perbahasan mereka kepada isu pemerintahan.

Tokoh pemikiran sosial pada zaman ini adalah terdiri daripada ahli teori politik ikhtisas seperti Abu Yusuf, al-Mawardi dan al-Ghazzali. Mereka mengkaji dan menganalisis amalan pemerintahan Islam dari penubuhan negara Islam, dari penubuhan negara Islam di Madinah hingga zaman mereka mengkaji dan menulis tentang sains sosial Islam.

Antara tokoh pemikir sosial terulung pada zaman klasik ini adalah al-Mawardi (991-1058 Masihi). Beliau merupakan pemikir sosial Islam yang pertama yang merumuskan teori sosial (politik) secara sistematik (walaupun konsep dan idea politik sudah pun wujud dalam masyarakat Islam sebelumnya iaitu dalam al-Quran, Sunnah Nabi dan Khalifah ar-Rasyidun dan ajaran-ajaran tokoh-tokoh agama). Beliau meneliti dan menulis tentang sistem pemerintahan kekhalifahan dan menghuraikan tentang cara pemilihan Khalifah serta isu-isu lain yang berkaitan dengan kekhalifahan.

Bermula dengan pemerintahan Daulah Umawiyah pemerintahan negara Islam berubah daripada pemerintahan Syariah yang berasaskan al-Quran dan Hadis/Sunnah Nabi Muhammad s.a.w pada zaman Rasulullah dan Khalifah ar-Rasyidun kepada pemerintahan yang berdasarkan kekerasan dan kepentingan sekular (Daulah Umawiyah dan Abassiyah).

Semangat Islamisme tulen telah mula terhakis dan semangat sekularisme muncul dan berkembang dalam pemerintahan Islam. Asas-asas kekuasaan utama pemerintahan Khalifah pada masa itu adalah kekuatan tentera dan kepentingan material, bukan lagi persetujuan rakyat dan tuntutan keadilan. Muncullah negara mulk atau negara politik sekular.

Pemikiran sosial Islam juga berubah. Teori sosial Islam yang dahulunya, pada awal zaman klasik, berasaskan al-Quran, Sunnah Nabi Muhammad s.a.w dan Khalifah ar-Rasyidun berubah arah, lebih berasaskan pemikiran sekular dan kepentingan sekular. Pemikiran sosial pada zaman ini mula menghuraikan dan mengesahkan sistem pemerintahan Khalifah yang wujud pada ketika itu. Teori sosial awal zaman klasik telah mula dipinda dari pertengahan zaman klasik oleh pemikir seperti al-Mawardi dan al-Ghazzali untuk menyesuaikannya dengan keadaan yang wujud pada ketika itu.

Pada zaman Khalifah Abassiyah pula pemikir seperti Ibn Jamaa dan Jalal-il-Din al-Darwani meneruskan dan memperkembangkan tradisi pemikiran tentang pemerintahan kekhalifahan ini. Pemikir seperti Ibn Jamaa (1241-1331 Masihi), seorang pemikir terulung pada zaman ini menyatakan di dalam risalah politiknya Tahriral al-Ahkam fi Tadbir ahl al-Islam bahawa Khalifah itu bayangan Allah dibumi. Kenyataan tersebut mewajarkan pemerintahan khalifah dalam bentuk yang jauh berbeza dengan zaman klasik.

Maka tidak hairanlah jika beliau telah membuat satu kenyataan yang agak mengejutkan dengan mengutarakan pandangan bahawa sebuah pemerintahan zalim itu adalah lebih baik daripada anarki Enam puluh tahun pemerintahan kuku besi lebih baik daripada sejam perang saudara. Ini bermakna prinsip syariah (yang menyatakan bahawa seorang Khalifah boleh digulingkan jika dia bertindak berlawanan dengan hukum syariah dan para pengikut tidak perlu patuh kepada seorang pemerintah yang menyeleweng daripada syariah) telah diketepikan sama sekali. Sebagai ganti, prinsip yang digunakan ialah pengikut mesti patuh kepada pihak berkuasa, sama ada yang memerintah itu mendapat kuasa itu secara sah atau pun secara kekerasan, sama ada dia memerintah tidak mengikut Syariah bukan soalnya (Kassim Ahmad, 1984).

Pada zaman ini juga muncul seorang ahli sains sosial yang terkenal, iaitu Ibn Khaldun (1331-1406 Masihi). Beliau adalah tokoh pemikir sosial Islam yang terulung yang dianggap oleh sesetengah penulis sebagai bapa kepada ilmu sains kemasyarakatan. Bahkan ahli sosiologi Barat Sorokin, menganggapnya sebagai bapa sosiologi desa kerana kesarjanaan dan pemikirannya yang saintifik. Karya beliau, Muqaddimah, memperlihatkan keluasan pengetahuan serta sikap objektif dan kritis. Beliau telah menghimpun dan merumuskan segala ilmu pengetahuan yang wujud dalam bahasa Arab pada waktu itu ke dalam sebuah falsafah sejarah pertama di dunia. Termasuk di dalamnya teori politik yang mengandungi rumusan beliau bagi idea-idea politik dari Plato dan Aristotle, dan cetusan idea daripada ahli falsafah Islam dan daripada ahli-ahli hukum Islam (Kassim Ahmad, 1984). Menurut Ilya Ba-Yunus dan Farid Khalid (1985), sumbangan penting pemikiran Ibn Khaldun ialah bagaimana menganalisis secara deduktif data mentah yang dikutip oleh para etnografis pada masa itu. Dalam perkataan lain, Ibn Khaldun menunjukkan jalan dari segi menginterpretasi maklumat yang diperolehi dari lapangan ke dalam bentuk yang boleh difahami umum.

Zaman Moden

Pemikiran sosial Islam moden bermula selepas kejatuhan empayar Uthmaniyah dan penubuhan Republik Turki pada tahun 1924. Ianya ada hubungan rapat dengan gerakan kebangkitan Islam moden yang bermula pada abad ke-18 dan dibahagikan kepada tiga peringkat (Kassim Ahmad, 1984):

Peringkat pertama ialah peringkat keagamaan dan sosial dari awalabad ke-18 hingga pertengahan abad ke-19 di mana gerakan-gerakan Wahhbiyah di Arab, Sanusiyah Afrika Utara dan Shah Waliyullah di India mengkritik tahayul-tahayul dan perbuatan-perbuatan bidaah, mengecam taklid dan menganjurkan ijtihad.

Peringkat kedua ialah peringkat tindakan politik dari pertengahan abad ke-19 hingga pertengahan abad ke-20 di mana Jamaluddin al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh, Sayyid Ahmad Khan dan lain-lain meletakkan asas untuk perjuangan antikolonial bagi mencapai kemerdekaan umat islam.

Peringkat ketiga dan akhir yang masih dilalui sekarang ialah peringkat pembangunan semula di mana tiga aliran fikiran besar sedang bertembung untuk menguasai masyarakat Islam aliran-aliran fikiran yang kita namakan Islam tradisional moden dan Modenis.

Gerakan kebangkitan Islam moden peringkat pertama (awal abad ke-18 hingga pertengahan abad ke-19) telah menganjurkan penggunaan semula ijtihad (yang pintunya telah dianggap tertutup sejak abad ke-12) dan menganut prinsip rasionalisme Islam (menentang taklid) serta menyeru ummah kembali kepada al-Quran dan hadis sebagai sumber asal dan pokok bagi agama Islam. (Ibid, 1984: ms.84). Idea-idea ini telah diteruskan di peringkat kedua (pertengahan abad ke-19 hingga pertengahan abad ke-20) dan ketiga (pertengahan abad ke-20 hingga masa kini). Suku ke empat peringkat ketiga gerakan kebangkitan Islam moden bertindan dengan pemikiran sosial Islam zaman moden. Idea-idea yang dipelopori dan dikembangkan dalam gerakan kebangkitan Islam moden ini telah mempengaruhi pemikiran sosial Islam pada zaman ini. Ahli-ahli sains sosial Islam seperti Basharat Ali dan Ali Shariati telah mendakap idea-idea ini dan mengintegrasikannya dalam analisis dan penulisan mereka tentang masyarakat. Basharat Ali, menerima pendidikannya di Jerman di bawah bimbingan Karl Mannheim dalam bidang sosiologi ilmu (sociology of knowledge). Walaupun begitu, beliau menolak the secular and variegated character of western sociology. Ali cuba menjawab dua persoalan asas. Beliau mencari jawapan kepada persoalan What is man and why society?dengan melihat kepada inti pati al-Quran dan kehidupan Nabi Muhammad (s.a.w). Beliau menggunakan peristilah Sorokin dalam analisisnya tetapi menolak konsep budaya seperti yang difahami di Barat. Beliau menggunakan konsep budaya seperti yang difahami dalam Islam. Mengikut beliau ajaran Islamiah yang membendung dan mengawal konflik. Bahkan jika tiada Islam, masyarakat akan mula mewajarkan wujudnya konflik, bahkan akan menggalakkan konflik supaya terus berlaku, Without Islam, society begins to justify and even promote, rather keep under control human conflict. (IIyas Ba-Yunus & Farid Khalid, 1985)

Ali Shariati (1933-1977) pula adalah seorang ahli sains sosial Iran yang dilatih di Perancis. Shariati melihat sosiologi (tulen dan terapan) sebagai satu disiplin saintifik. Tugas sosiologi tulen baginya adalah untuk mengenali dan mengiktiraf Islam sebagai satu gagasan pemikiran (a school of thought). Ke arah ini beliau telah membuat sumbangan bernilai dengan memberikan makna sosiologi kepada konsep-konsep Islam seperti tawhid, syirik dan al-nas. Beliau juga telah menyumbang kepada wacana yang sangat bernilai berkenaan dengan sifat manusia dan sifat ummah (the nature of man and the ummah).

Beliau juga menjelaskan faktor asas yang menyebabkan sesuatu masyarakat itu berubah dan berkembang dengan pantas atau jatuh dan runtuh dengan pantas sebagai berkait dengan prinsip hubungan yang ideal. Jika kita ingin membentuk sesuatu susunan sosial (social order) yang ideal, kita perlu tahu terlebih dahulu akan prinsip-prinsip ideal dalam hubungan manusia, seterusnya menerapkan prinsip-prinsip ini untuk mewujudkan situasi yang sesuai dan dikehendaki itu. Mengikut beliau lagi, peraturan tentang susunan sosial yang ideal dalam Islam sudah pun ada dalam al-Quran dan amalan susunan Rasulullah. Kita hanya perlu mengguna pakai peraturan tersebut supaya kita semua dapat bergerak ke arah tersebut..the laws of the ideal Islamic order are available to us through the Quran and Sunnah of the prophet (peace be upon him). The only element we need is the man who is committed to apply these rules in order to motivate people in this direction (Ibid, 1985). Hasil daripada gerakan kebangkitan Islam moden, maka pemikiran sosial Islam kembali kepada al-Quran dan Sunnah sebagai sumber ilmu sosial dan asas analisis tingkah laku sosial dan budaya manusia.

3.0Perkembangan ilmu dalam Tamadun Cina

Hasil arkeologi menunjukkan sains dan teknologi Cina sudah wujud pada kurun ke-15 sehingga kurun ke-11SM. Di peringkat awal permulaannya, budaya Cina sangat menghargai kemahiran dalam teknologi khasnya kejuruteraan hidraulik kerana kewujudan budaya Cina bergantung kepada kejayaan atau keupayaan untuk mengawal banjir Sungai Kuning. Teknologi yang lain misalnya, teknologi melebur dan menuang besi ke dalam acuan (eating of iron), pengeluaran porselin, pembuatan kertas dan loyang, dipercayai telah wujud pada masa yang lebih awal lagi. Bagaimanapun, berikutan perkembangan sejarah, budaya Cina menjadi satu dengan golongan elit birokratik begitu dominan. Golongan ini telah membawa kesan konservatif terhadap inovasi, dan selanjutnya telah menghalang segala pengenalan teknik baru kecuali teknik itu boleh mendatangkan manfaat secara langsung kepada seluruh birokrasi.

Interaksi atau hubungan antara China dengan Barat kurang terserlah sehinggalah kemunculan zaman moden. Namun begitu, wujud pertemuan sekali- sekala yang berlangsung antaranya pengembaraan Marco Polo pada tahun 1275- 1292. Ini telah menarik perhatian dunia Barat tentang keunggulan teknologi Cina dan seterusnya berlaku pemindahan pengetahuan teknologi dan China ke Barat. Ilmu mengenai sutera, kompas, pembuatan kertas dan porselin di dunia Barat dibawa masuk dari negara China. Bagaimanapun, para pemerintah China tidak berminat untuk menggalakkan penciptaan atau perniagaan dan perindustrian serta tidak menggalakkan perhubungan perniagaan dengan dunia luar. Kesannya, negara China telah ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi sehingga abad ke-20 yang kemudiannya, evolusi politik dan pergolakan sosial telah membangkitkan kesedaran orang Cina tentang kepentingan sains dan teknologi moden.

18.5.1 Bidang AstronomiDi zaman awal pemerintahan dinasti Zhou (kurun ke-11 sehingga ke-3SM), orang Cina telah mampu menyediakan katalog bintang, mencatat rekod tepat tentang gerhana dan komet. Sumbangan terbesar ahli astronomi Cina ialah penghasilan peralatan astronomi dan penyelenggaraan rekod astronomi yang sempurna, tepat dan berterusan sepanjang lebih daripada 2,000 tahun. Sistem kalendar Cina juga adalah salah satu sistem yang paling awal, maju dan tepat berbanding dengan sistem lain di dunia ini.

18.5.2 Bidang Matematik

Orang Cina juga banyak mencapai kemajuan dalam bidang matematik. Penggunaan sempoa (abacus) disebut buat pertama kali pada kurun ke-2 dalam karya ahli matematik Xu Yue, walaupun alat itu tidak digunakan secara meluas sehingga masa yang lebih lewat. Kebanyakan matematik Cina terkandung dalam karya agong jiuzhang suanshu (Sembilan Bab Matematik) oleh Zhang Cang (kurun ke-2SM). Di dalam buku ini terdapat misalnya catatan mengenai kuantiti negatif. Ahli matematik Cina juga mengenai pasti nilai pi, sistem pecahan dan sistem perpuluhan. Kesemua kemajuan dalam bidang matematik ini kekal digunakan sehingga masa kini.

18.5.3 Bidang Perubatan

Sistem perubatan Cina tradisional bersifat kepurbaan dan adalah bebas daripada pengaruh asing. Mengikut legenda, ia bermula sejak masa Fu Xi (2953SM?) dan diperkembangkan seterusnya oleh Shen Nong (?-2698SM?) dan Huang Di (?-2598SM?).

Rangka teori asas bagi perubatan Cina tradisional ialah teori kosmik dualistik yin dan yang dan juga teori lima elemen. Teori yin dan yang mengatakan bahawa keseimbangan secara harmoni kedua-dua kuasa yin dan yang akan mempengaruhi kesihatan badan manusia. Apabila kadar yin dan yang dalam badan manusia kurang seimbang, kesakitan berlaku. Dalam badan manusia kadar yin dan yang boleh dikawal dan mi merupakan tumpuan paling utama dalam perubatan Cina tradisional. Teori lima elemen menganggap badan manusia sebagai sebahagian daripada dunia fizikal ini dan organ dalaman seperti hati, jantung, limpa, paru-paru dan ginjal adalah secocok dengan lima elemen dalam alam semesta. Misalnya, paru-paru dianggap mempunyai kualiti kayu yang boleh dinyala oleh api. Oleh itu seseorang yang menghadapi gangguan paru-paru mudah menjadi marah. Berdasarkan dua teori ini doktor Cina tradisional mengambil berat tentang kepentingan melaraskan semula keseimbangan harmoni badan seseorang pesakit.

Satu lagi bentuk teori penting ialah teonjing (saluran) dan luo (kolateral) yang merupakan asas bagi rawatan terapeutik seperti akupuntur dan moxishustion (membakar daun moxa). Mengikut teori ini, organ dalaman, tangan dan kaki badan manusia adalah berkaitan dan dihubungkan oleh saluran di mana darah dan qi (tenaga dinamik) beredar. Apabilaywg atau luo tersekat, darah dan qi tidak dapat mengalir lancar dan ini akan menyebabkan kesakitan. Dengan ini memastikan darah dan qi mengalir lancar merupakan asas dan langkah pertama untuk menyembuhkan sesuatu penyakit.

Akupuntur dan moxihustion sangat penting dalam perubatan Cina tradisional. Berdasarkan teori jing dan luo, akupuntur melibatkan perbuatan memasukkan atau mencucuk jarum logam yang telah disteril, yang panjangnya antara 3 sehingga 24 cm ke dalam kulit dan tisu di bawah kulit. Salah satu tujuannya adalah untuk menstimulasikan titik tertentu pada saluran jing dan luo supaya gangguan peredaran darah atau qi dapat dibetulkan. Pengamalan akupuntur telah bermula sejak kira-kira 2,500SM atau lebih awal dan adalah benar-benar sifat Cina dari sudut perubatan. Dalam rawatan moxibustion, daun moxa (Artemisia chinensis) dibubuh pada titik tertentu pada permukaan kulit lalu dibakar.

Bahan yang digunakan sebagai ubat-ubatan sangat luas termasuklah tumbuh-tumbuhan (herba), binatang dan sumber galian. Terdapat herba zaman purba yang berjumlah lebih kurang 1,000 jenis. Kegunaan ubat-ubatan dalam rawatan pada dasarnya ialah untuk memulihkan keseimbangan yin dan yang dan merupakan satu perkara yang agak rumit. Ini menyebabkan cara mempreskripsi (menentukan penggunaan ubat-ubatan) bersifat kompleks. Terdapat ubat yang telah diguna oleh sistem perubatan Barat misalnya rubarb, besi (untuk anemia), dan kapur barus (champor). Herba mahuang telah digunakan sekurang-kurangnya sepanjang 4,000 tahun di negara China dan sekarang sangat berguna dalam bidang perubatan Barat untuk merawat penyakit lelah (asthma) dan penyakit lain yang berkaitan.

Buku mengenai perubatan dan farmokologi Cina tradisional sangat berguna dalam memperkembangkan sains perubatan Cina. Huangdi neijing (Klasik Perubatan Maharaja Kuning), yang dipercayai dihasilkan oleh sarjana perubatan tidak bernama pada Zaman Negeri Berperang (475-221SM), merupakan kesimpulan sempurna yang pertama bagi perubatan Cina tradisional. Bencao gangmu (Farmakopeia Agung) yang ditulis oleh Li Shizhen (1518-1593) ialah farmakopeia Cina teragung dan mengandungi 52 jilid yang masih dianggap berwibawa sehingga masa kini.

18.5.4 Bidang Optik

Dalam bidang optik, saintis Cina awal telah memberi perhatian kepada penyongsangan (inversion) imej yang dihasilkan oleh kamera lubangjarum (pin- hole camera), dan begitu juga pelbagai imej yang dihasilkan oleh kanta cekung (concave- lens). Mereka juga memahami prinsip fokus.

18.5.5 Bidang Alkimia

Ahli alkimia Cina dalam usaha mereka mencari satu cara yang dapat membuat manusia hidup selama-lamanya telah menghasilkan sejenis "eliksir kehidupan" (elixir of life). "Eliksir kehidupan" ini mengandungi bahan-bahan seperti merkuri, plumbum dan arsenik. Bahan-bahan tersebut kebanyakan adalah bersifat toksik dan ahli alkimia sedar akan sifat ini. Dalam bidang perubatan moden, penggunaan bahan beracun adalah biasa. Walaupun tujuan utama adalah untuk mengkaji hasil yang dapat memanjangkan usia manusia, uji kaji ahli alkimia Cina dalam mencampur pelbagai bahan, termasuk bahan beracun, telah menyebabkan ciptaan lain yang berguna.

18.5.6 Teknologi Cina

Antara kurun ke-15 sehingga ke-11SM, orang Cina sudah tahu akan teknik pengairan, pertanian, astronomi, cara membuat kalendar dan penulisan. Seawal lebih kurang tahun 200SM, mereka telah menghasilkan abah-abah yang diikat pada dada (breast-strap harness). Ciptaan ini membolehkan kuda membawa muatan yang lebih berat dengan lebih mudah. la dibawa dari China ke Barat antara kurun ke-7 hingga ke-11 dan adalah asas bagi abah kerongkong yang digunakan masa sekarang. Kereta sorong (wheelbarrow) yang banyak meringankan tenaga manusia pula dicipta pada kira-kira tahun 200SM.

Masyarakat Cina juga menyedari mengenai kebaikan tumbuh-tumbuhan dan binatang-binatang dari segi perekonomian. Dari China, dibawa kain sutera ke dunia Barat semasa pemerintahan era Roma, dan ulat sutera serta pokok mulberi diperkenalkan di Eropah pada kurun ke-6. Manakala fosil dikenali buat pertama kali di negara China kira-kira pada tahun 1050 oleh Zhu Xi, sedangkan di Eropah hanya selepas Leonardo da Vinci iaitu kira-kira pada kurun ke-15.

18.6 EMPAT PENCIPTAAN AGUNG

Antara pencapaian teknologi Cina purba, yang paling berguna dan berpengaruh dan segi sumbangan terhadap perkembangan teknologi serta tamadun dunia ialah empat penciptaan agung iaitu teknik membuat kertas, pencetakan, bahan letupan dan kompas.

Mengenai teknik membuat kertas, ia telah dicipta oleh Cai Lun dengan bahan-bahannya menggunakan fiber tumbuh-tumbuhan pada tahun 105. Teknologi membuat kertas ini kemudiannya telah dibawa dan diperkenalkan ke dunia Barat melalui Jalan Sutera Lama (The Old Silk Road) dan tiba di Eropah pada kira-kira kurun ke-13.

Teknologi teknik pencetakan (printing) telah mula diperkenalkan semasa pemerintahan dinasti Tang (618-906). Antara buku bercetak yang paling awal dan masih wujud sehingga kini ialah fingangjing (Kitab Sutra Diamond) versi Cina yang bertarikh 11 Mei 868 yang kini disimpan dan dipelihara di Muzium British di England. Buku ini dianggap mewakili hasil daripada pengalaman lama orang Cina dalam teknik percetakan blok (block-printing). Pada tahun 1045, Bi Sheng mencipta teknik percetakan bergerak (mobile-type printing) dan mula menggunakannya secara umum. Penciptaan Bi Sheng adalah 400 tahun lebih awal daripada penciptaan yang sama di dunia Barat yang hanya berlaku pada kurun ke-15.

Bahan letupan (gunpowder) pula telah dicipta oleh ahli-ahli alkimia Daois yang menemui formulanya dalam uji kaji mencampur saltpetre dengan sulfur dan karbon. Menjelang kurun ke-7, orang Cina sudah pun menggunakan bahan letupan untuk membuat bunga api. Bahan letupan mulai digunakan dalam bidang militari pada tahun 906 oleh ketua tentera Tang (618-906). Ilmu bahan letupan dibawa masuk dan diperkenalkan ke negara Arab pada kurun ke-13 dan seterusnya dan situ diperkenalkan ke negara Eropah.

Kompas juga merupakan salah satu dari empat penciptaan agung dalam tamadun Cina yang memberikan sumbangan bermakna kepada tamadun dunia sehingga masa kini. Semasa dinasti Han (206SM - 220SM) sifat-sifat magnet

sudah diketahui di negara China. Antara kurun pertama dengan kurun ke-6, orang Cina sudah pun menemui pengetahuan tentang gejala kemagnetan aruhan (induced magnetism), dan menjelang kurun ke-8 dan ke-9, ilmu pengherotan (declination) dan juga kekutuban magnet (polarity) dikuasai. Berdasarkan ilmu pengetahuan ini, orang Cina telah menghasilkan kompas, yang pada mulanya untuk digunakan di kapal.

4.0Kesimpulan

BIBLIOGRAFI