nota khatam ihya' 'ulumuddin

36

Upload: abu-zulfiqar-amsyari

Post on 26-Oct-2015

1.171 views

Category:

Documents


2 download

DESCRIPTION

Nota untuk hadirin majlis khatam Kitab Ilmu daripada kitab Ihya' 'Ulumuddin.

TRANSCRIPT

Page 1: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin
Page 2: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

KITAB-KITAB YANG PERNAH DIKULIAHKAN

1. Maza Ya’ni Intima’I lil Islam (Syeikh Fathi Yakan).

2. 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman (Syeikh Fahmi Zamzam).

3. Munyatul Musolli (Syeikh Daud Al-Fatani)

4. Kimiya’ As-Sa’adah (Imam Al-Ghazali)

5. Ar-Risalah Al-Laduniyyah (Imam Al-Ghazali).

6. Al-Munqiz min Adh-Dhalal (Imam Al-Ghazali).

7. Kifayatul Muhtaj (Syeikh Daud Fatani).

8. Ihya’ ‘Ulumuddin (Imam Al-Ghazali).

9. Misykatul Anwar (Imam Al-Ghazali).

10. Fadhail Amal (Maulana Muhammad Zakariyya)

11. Syakhsiyyatul Muslim (Dr. MUhammad Ali Hasyimi).

Page 3: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

IMBAS KEMBALI KESELURUHAN PELAJARAN KITAB ILMU Apakah maksud “Ihya’ ‘Ulumuddin”? Maksudnya “menghidupkan ilmu-ilmu agama”. Siapakah pengarang kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini? Pengarangnya ialah Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali. Bilakah zaman Imam Al-Ghazali? Dilahirkan pada tahun 1058 dan meninggal dunia pada tahun 1111. Hari ini sudah tahun 2013. Beliau sudah meninggalkan kita 900 tahun. Apa kata Imam Al-Ghazali kepada Kerajaan Bani Tasyfin di Afrika Utara (Maghribi/Morocco) apabila kitab Ihya’ ‘Ulumuddin dikoyak dan dibakar di sana? “Tuhan akan merobek kerajaan mereka sebagaimana mereka merobek kitabku.” Ternyata kerajaan itu jatuh di tangan anak murid Imam Al-Ghazali iaitu Muhammad bin Tumart. Kitab ini ada berapa bahagian? Ada 4 bahagian besar iaitu :

1. Ibadah. 2. Pekerjaan sehari-hari. 3. Perbuatan2 yang membinasakan. 4. Perbuatan2 yang menyelamatkan.

Di dalam setiap bahagian itu ada 10 bab (10 kitab). Oleh itu keseluruhannya ada 40 kitab dalam kitab Ihya’ ini. Sekarang kita sedang belajar yang mana? Kita sedang belajar Bahagian Ibadah. Dalam Bahagian Ibadah ini ada 10 kitab. Kita baru sahaja menghabiskan kitab pertama iaitu Kitab Ilmu. Dalam Kitab Ilmu ada berapa bab? Ada 7 bab :

Page 4: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

1. Tentang kelebihan (fadhilat) ilmu, kelebihan mengajar ilmu dan kelebihan belajar.

2. Tentang ilmu-ilmu yang fardhu ‘ain dan yang fardhu kifayah. 3. Tentang ilmu-ilmu yang tercela. 4. Tentang bahaya-bahaya perdebatan. 5. Tentang adab-adab guru dan adab-adab murid. 6. Tentang ulama dunia dan ulama akhirat. 7. Tentang aqal.

Apakah ilmu-ilmu yang menuju ke akhirat?

1. Ilmu mukasyafah. 2. Ilmu mua’amalah. Apakah hukum belajar dan mengamalkan kedua-dua ilmu itu? Hukumnya fardhu ‘ain (mesti belajar dan beramal). Ada berapa bahagian ilmu mu’amalah?

1. Ilmu zahir – iaitu ilmu tentang amal-amal anggota badan. 2. Ilmu batin – iaitu ilmu tentang amal-amal anggota batin (hati).

Apakah antara tujuan penting Imam Al-Ghazali menulis kitab Ihya’ ‘Ulumuddin? Untuk membuktikan secara umumnya bahawa orang-orang pada zamannya termasuklah yang bergelar para ulama berpuas hati dengan kulit ilmu dan mengabaikan isi ilmu. Dia mahu keadaan ini dibetulkan. Apakah kitab-kitab Imam Al-Ghazali yang lain yang kita sentuh dalam pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumuddin?

1. Misykatul Anwar. 2. Kimiya’ As-Sa’adah. 3. Ar-Risalah Laduniyyah. 4. Al-Munqiz min adh-Dhalal.

Page 5: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

BAB 1.1 – KELEBIHAN ILMU Ilmu itu mulia. Apakah antara buktinya? Sabda Nabi saw : “Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah untuk mendapat kebaikan, nescaya dianugerahiNya pemahaman dalam agama dan diilhamiNya pentunjuk.” (Bukhari, Muslim) “Kelebihan orang berilmu berbanding orang ‘abid adalah seperti kelebihan bulan malam purnama berbanding bintang-bintang lain.” (Abu Dawud, Turmizi dll) Kata Ibnu Abbas ra : “Sulaiman bin Daud disuruh memilih antara ilmu, harta dan kerajaan. Maka dipilihnya ilmu, lalu dianugerahkan kepadanya harta dan kerajaan bersama-sama ilmu itu.” Kata Fathul Mausuli, hati akan mati jika tidak mahu kepada hikmah dna ilmu dalam masa 3 hari. Kata Al-Hasan : “Ditimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada’. Mala beratlah timbangan tinta para ulama itu daripada darah para syuhada’.” Ibnu Abbas, Abu Hurairah dan Ahmad bin Hanbal lebih suka bertukar-tukar fikiran tentang ilmu pada sebahagian daripada malam, berbanding melakukan ibadah. BAB 1.2 KELEBIHAN MENUNTUT ILMU Apakah antara kelebihan menuntut ilmu? Sabda Nabi saw : “Barangsiapa menjalani satu jalan untuk menuntut ilmu, maka dianugerahkan oleh Allah kepadanya jalan ke syurga.” (Muslim)

Page 6: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

“Sesungguhnya para malaikat itu membentangkan sayapnya kepada penuntut ilmu, tanda rela dengan usahanya itu.” ((Ahmad, Ibnu Hibban, Al-Hakim) Abu Darda’ berkata : “Aku lebih suka mempelajari satu masalah daripada mengerjakan solat satu malam.” Imam Syafi’i berkata : “Menuntut ilmu adalah lebih utama daripada melakukan ibadah sunat.” Kata Abu Darda’ : “Barangsiapa berpendapat bahawa pergi menuntut ilmu bukan jihad, dia ialah orang yang kurang fikiran dan akal.” BAB 1.3 KELEBIHAN MENGAJAR Apakah antara bukti kelebihan mengajar? Sabda Nabi saw : “Bahasawanya dengan sebab kamu, seseorang diberi petunjuk oleh Allah, adalah lebih baik bagimu daripada dunia dan isinya.” (Ahmad) Kata Umar ra : “Barangsiapa menceritakan suatu hadis lalu diamalkan orang, maka baginya pahala seperti pahala yang diperoleh oleh orang yang mengamalkannya.” Siapakah golongan yang paling layak dan berkesan untuk mengubah manusia?

1. Tingkat tertinggi – para nabi. Semua manusia tidak kira apa jawatan berada di bawah mereka.

2. Tingkat kedua tertinggi – para pemerintah, kerana mereka punya kuasa untuk meletakkan dna menjalankan undang-undang.

3. Tingkat ketiga tertinggi – para ulama. Mereka tidak sekuat para pemimpin dari segi mempunyai kekuatan undang-undang.

4. Tingkat keempat – para juru nasihat. Mereka tidak sekuat ulama.

Page 7: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

BAB 2.1 ILMU-ILMU YANG FARDHU ‘AIN Apakah maksud fardhu ‘ain? Wajib ke atas setiap orang. Apakah ilmu-ilmu yang menjadi fardhu ‘ain ke atas kita?

1. Ilmu mukasyafah. 2. Ilmu mua’amalah.

Apakah ilmu mu’amalah yang diwajibkan ke atas seorang yang sudah akil baligh?

1. Aqidah – Sebaik-baik sahaja cukup umur, perkara pertama yang wajib baginya ialah mempelajari Dua Kalimah Syahadah , memahami dan mengimaninya.

2. Perkara-perkara yang kena buat – Contohnya selepas mengucapkan Dua Kalimah Syahadah, masuk waktu solat fardhu. Ketika itu barulah wajib baginya untuk belajar cara-cara bersuci dan mendirikan solat.

3. Perkara-perkara yang tak boleh dibuat – Selepas bersyahadah, dia berpakaian tidak menutup aurat. Ketika itu wajiblah ditegur hal itu agar dia tahu ketidakbolehan mendedahkan aurat dan hukumnya.

Apakah sifat-sifat mahmudah? Sifat-sifat yang dipuji pada syarak. Contohnya sabar, syukur, zuhud dan sebagainya. Apakah sifat-sifat mazmumah? Sifat-sifat yang dikeji pada syarak. Contohnya panas baran, terlalu sensitif, kelam-kabut, tamak, suka akan kemasyhuran dan sebagainya. Apakah hukum mempelajari hal ehwal sifat-sifat mazmumah? Fardhu ‘ain. Kita mesti berusaha untuk menghilangkan sifat-sifat itu daripada diri kita.

Page 8: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

Bagaimana mahu menghilangkan sifat-sifat mazmumah itu? Kenalah belajar/tahu tanda-tandanya, sebab-sebabnya dan cara-cara menghilangkannya. Semuanya fardhu ‘ain. Apakah bahayanya jika kita tidak belajar hal ehwal sifat-sifat mazmumah itu? Kita tidak tahu apa nama sifat-sifat mazmumah itu, tanda-tandanya, sebab-sebab terkena sifat mazmumah itu dan tidak tahu juga cara-cara menanganinya, yang menyebabkan diri kita terkena sifat-sifat mazmumah itu. BAB 2.2 ILMU FARDHU KIFAYAH Apakah maksud fardhu kifayah? Kewajipan tetapi tidak jatuh pada setiap orang. Apabila sudah ada orang yang melaksanakannya, maka orang lain terlepas daripada dosa. Ilmu fardhu kifayah terbahagi kepada dua iaitu :

1. Ilmu syariah – ilmu yang datang daripada nabi-nabi (ilmu agama). 2. Ilmu bukan syariah – ilmu yang datang daripada pemikiran

manusia (contohnya ilmu kedoktoran, ilmu matematik, ilmu bahasa dll)

Ilmu-ilmu bukan syariah terbahagi kepada 3:

1. Ilmu bukan syariah yang terpuji. 2. Ilmu bukan syariah yang tercela. 3. Ilmu bukan syariah yang dibolehkan/diharuskan.

Contoh-contohnya :

1. Ilmu yang terpuji – seperti ilmu kedoktoran, matematik, bekam, jahit-menjahit dan sebagainya.

2. Ilmu yang tercela – ilmu sihir, tilik nasib, mentera-mentera. 3. Ilmu yang diharuskan – pantun-pantun, cerita sejarah yang baik

dan sebagainya.

Page 9: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

Ilmu syariah pula terbahagi kepada dua :

1. Ilmu syariah yang terpuji. 2. Ilmu syariah yang tercela.

Apakah ilmu-ilmu syariah yang terpuji?

1. Ilmu pokok/usul/yang terpenting. 2. Ilmu furu’/cabang. 3. Ilmu pengantar. 4. Ilmu penyempurna.

Apakah huraiannya?

1. Ilmu yang pokok – Ilmu tentang Kitabullah (Al-Quran), As-Sunnah (hadith), ijma’ dan atsar (peninggalan para sahabat).

2. Ilmu cabang – huraian kepada Kitabullah, As-Sunnah, ijma’ dan atsar.

3. Ilmu pengantar – ilmu bahasa Arab, kerana ia alat untuk memahami Kitabullah dan Sunnah.

4. Ilmu penyempurna – cara membaca Al-Quran, cara membunyikan huruf, nasikh mansukh, ilmu mustalah hadith dan lain-lain.

2.3 PERBANDINGAN ILMU FIQH DENGAN ILMU TASAWUF Apakah perbezaan antara ilmu fiqh dengan ilmu tasawuf?

1. Ilmu fiqh matlamatnya mencari “lulus’ manakala ilmu tasawuf matlamatnya mencari “kecemerlangan”.

2. Ilmu fiqh berbicara tentang kuantiti (jumlah) manakala ilmu tasawuf berbicara tentang kualiti (mutu).

3. Ilmu fiqh mencantikkan amalan manakala ilmu tasawuf mencantikkan hati.

Berapakah tingkat-tingkat warak?

1. Warak orang awam. 2. Warak orang soleh.

Page 10: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

3. Warak orang muttaqin. 4. Warak orang siddiqin.

Apakah huraiannya?

1. Warak orang awam – seseorang itu dikatakan warak jika dia tidak melakukan perkara-perkara yang mandatangkan dosa.

2. Warak para solehin – bukan sahaja menjauhi perkara-perkara dosa, tetapi menjauhkan juga perkara-perkara syubhat.

3. Warak para muttaqin – bukan sahaja menjauhi perkara dosa dna perkara syubhat, perkara-perkara yang halal tetapi dikhuatiri boleh terbawa menjadi haram pun dijauhinya.

4. Warak para siddiqin – sesaat pun mereka tidak mahu terpakai kepada selain Allah.

Yang manakah warak peringkat fiqh dan yang manakah warak peringkat tasawuf? Warak peringkat fiqh – ialah warak orang awam. Kajian fiqh terhenti setakat ini sahaja. Warak peringkat tasawuf – ialah warak para solehin, muttaqin dan siddiqin. Apakah kelebihan ilmu fiqh berbanding ilmu kedoktoran?

1. Ilmu fiqh itu ilmu nabi-nabi, iaitu ilmu syariah. Ilmu kedoktoran ialah ilmu para pengkaji, iaitu ilmu bukan syariah.

2. Ilmu fiqh kena pada setiap orang dan setiap hari, sedangkan ilmu kedoktoran hanya kena pada orang yang sakit dan kadang-kadang.

3. Ilmu fiqh dekat dengan ilmu hati, sedangkan ilmu hati ialah jalan ke akhirat. Ilmu kedoktoran pula lebih kepada kesihatan tubuh badan.

Apakah 4 bahagian ilmu falsafah?

1. Ilmu matematik. 2. Ilmu mantiq. 3. Ilmu keTuhanan. 4. Ilmu alam.

Page 11: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

Apakah kepercayaan Aristotle. Al-Farabi dan Ibnu Sina yang dipandang kufur oleh Imam Al-Ghazali?

1. Mereka percaya bahawa alam ini qadim. 2. Mereka percaya bahawa ada perkara yang tidak diketahui oleh

Tuhan. 3. Mereka percaya bahawa hanya ruh yang akan dibangkitkan

semula, tidak bersama-sama jasad. Siapakah 5 orang ulama fiqh yang paling ramai pengikutnya?

1. Imam Abu Hanifah (pengasas Mazhab Hanafi). 2. Imam Malik (pengasas Mazhab Maliki). 3. Imam Asy-Syafi’I (pengasas Mazhab Syafi’i). 4. Imam Ahmad bin Hanbal (pengasas Mazhab Hanbali). 5. Imam Sufyan Ath-Thauri (pengasas Mazhab Ath-Thauri).

Apakah 5 ciri utama para imam mazhab di atas?

1. ‘Abid (seorang yang kuat beribadah). 2. Zahid (zuhud, tidak terpengaruh dengan nikmat-nikmat

keduniaan). 3. ‘Alim akan ilmu akhirat/ilmu hati. 4. Faham akan kepentingan umat manusia di dunia. 5. Bermatlamatkan Wajah Allah (ikhlas).

BAB 3.1 PUNCA TERCELANYA ILMU Mengapakah sesuatu ilmu itu boleh menjadi tercela?

1. Kerana ilmu itu pasti membawa kemudaratan. 2. Kerana biasanya ilmu itu membawa kemudaratan. 3. Kerana ilmu itu membuang masa dan sia-sia, sekalipun ia tidak

membawa kemudaratan.

Page 12: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

Apakah contohnya? 1. Ilmu yang pasti bawa mudarat – ilmu sihir. 2. Ilmu yang biasanya membawa mudarat – ilmu nujum. 3. Ilmu yang tak berfaedah – belajar ilmu yang tinggi-tinggi sebelum

yang rendah-rendah dan yang sederhana. Sebab itulah ilmu-ilmu itu dikatakan ilmu yang tercela. Mengapakah ilmu nujum itu tercela?

1. Kerana biasanya ia membawa keburukan kepada orang ramai. 2. Kerana keputusan-keputusan ilmu nujum itu tak lebih daripada

tekaan semata-mata. 3. Kerana merugikan masa kita yang boleh digunakan untuk hal-hal

yang penting. BAB 3.2 PERKATAAN2 YANG SUDAH LARI MAKSUD ASALNYA Apakah 5 perkataan yang sudah lari daripada maksud asalnya?

1. Fiqh. 2. Ilmu. 3. Tauhid. 4. Tadzkir. 5. Hikmah.

Apakah maksud “fiqh” yang asal? Ilmu jalan ke akhirat, iaitu ilmu berkaitan hati atau ilmu tasawuf. Ilmu ini berupa peringatan dan penakutan. Fiqh ialah pengertian-pengertian keimanan, bukannya ilmu fatwa, bukannya ilmu hukum-hakam dan cara-cara. “Al-fiqh” dan “al-fahm” maksudnya sama iaitu “faham”. Buktinya Surah Al-Baqarah ayat 1 : “Untuk berfiqh (berfaham) dalam ad-din (agama) dan memberi peringatan kepada kaumnya apabila telah kembali (dari menuntut ilmu) kepada mereka.”

Page 13: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

Dan dalam Al-A’raf ayat 179 : “Bagi mereka hati yang tidak berfiqh (tidak memahami) dengan hati itu.” Apakah maksud “ilmu” yang asal? Pengetahuan tentang Zat, ayat-ayat dan perbuatan Allah. Bukannya mahir atau banyak berdebat dalam soal-soal khilafiyyah. Sebab itulah ketika Saiyida Umar ra meninggal dunia, Ibnu Mas’ud berkata : “Sesungguhnya telah mati 9 per 10 ilmu.” Yang mati itu bukanlah ilmu-ilmu agama, tetapi pengetahuan tentang Allah. Apakah maksud “tauhid” yang asal? Berfaham bahawa segala-galanya adalah daripada Allah. Bukannya ilmu kalam (iaitu penyusunan kata-kata, tahu cara berdebat, cara mematahkan hujah lawan dan sebagainya). Apakah kulit dan isi tauhid?

1. Kulit pertama – mengucapkan “Laa Ilaahaillallaah”. Orang kafir pun boleh mengucapkan kalimah ini.

2. Kulit kedua – mengimani ucapan itu tadi. 3. Isi tauhid – Berabdi kepada Allah semata-mata dan berilmu

haqiqat. Apakah bahaya mengikut hawa nafsu? Orang itu sudah mengambil hawa nafsu sebagai Tuhannya. “Adakah engkau melihat orang yang mengambil hawa nafsunya sebagai Ilah (Tuhan)nya?” (Al-Jatsiyah : 23) “Tuhan yang disembah di bumi yang sangat dimurkai oleh Allah Ta’ala ialah hawa nafsu.” (Thabrani dengan isnad dhaif)

Page 14: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

Contohnya penyembah berhala. Dari satu sudut, dia bukannya menyembah berhala tetapi dia menyembah hawa nafsunya yang mahukan begitu. Apakah maksud “wajjahtu” itu ialah wajah muka? Tidak, maksudnya ialah wajah hati. Apakah maksud asal “zikir” dan “tazkir”? Maksudnya ingat akan Allah dan hal ehwal keagamaan. Malangnya cerita-cerita tentang hal lain pun pada zaman Al-Ghazali turut disebut zikir dan tazkir. Apakah maksud asal hikmah? Perkara yang baik dari sudut khusus agama, tetapi pada zaman Imam perkataan ini sudah terubah hingga ditujukan juga kepada para tabib (doktor), penyair (ahli sastera) dan ahli nujum. BAB 3.3 KADAR YANG TERPUJI DARIPADA ILMU YANG TERPUJI Apakah bahagian-bahagian terpujinya ilmu?

1. Ada sikit ataupun banyak, ia tetap dipandang sebagai terpuji. 2. Ada sikit ataupun banyak, ia tetap dipandang tidak terpuji. 3. Yang terpuji jika ia mencukupi, tapi jika berlebihan, sudah dikira

tidak terpuji. Apakah contoh-contohnya?

1. Sikit atau banyak tetap terpuji – contohnya kesihatan dan kecantikan.

2. Sikit atau banyak tetap tidak terpuji – contohnya keburukan dan buruk laku.

3. Kalau cukup-cukup, ia terpuji. Kalau berlebih, ia terkeji – contohnya menderma dan berani.

Apakah ilmu terpuji yang paling tinggi? Ilmu tentang Allah SWT.

Page 15: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

BAB 3.4 TAHAP-TAHAP PEMBELAJARAN ILMU Apakah tahap-tahap pembelajaran ilmu tafsir?

1. Yang singkat – yang banyaknya dua kali ganda kitab Al-Quran. Contohnya Tafsir Al-Wajiz susunan ‘Ali Al-Wahidi An-Nisaburi.

2. Yang pertengahan – yang banyaknya 3 kali ganda Al-Quran. Contohnya Tafsir Al-Wasith susunan Ali Al-Wahidi.

3. Yang mendalam – yang lebih daripada itu. Apakah tahap-tahap pembelajaran ilmu hadith?

1. Yang singkat – kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim. 2. Yang sederhana – tambahan dengan kitab-kitab hadith yang lain. 3. Yang mendalam – seluruh ilmu mustalah hadith.

Apakah tahap-tahap pembelajaran ilmu fiqh?

1. Yang singkat – contohnya kitab Mukhtasar karangan Al-Muzani. 2. Yang sederhana – contohnya kitab Al-Wasith minal Mazhab

karangan Al-Ghazali, 3 kali ganda kitab Mukhtasar Al-Muzani. 3. Yang mendalam – yang lebih daripada itu.

Apakah tahap-tahap pembelajaran ilmu kalam?

1. Yang singkat – sebagaimana dalam kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini. 2. Yang sedang – contohnya setebal kitab Al-Iqtishad fil I’tiqad karya

Al-Ghazali. 3. Yang mendalam – tak digalakkan oleh Imam Al-Ghazali.

Page 16: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

BAB 4.1 SYARAT-SYARAT PERDEBATAN Perdebatan hanya sesuai dijalankan sekiranya mempunyai sekurang-kurangnya 8 syarat :

1. Para pendebat sudah pun selesai ilmu dan amal fardhu ‘ain yang asas.

2. Apabila tidak ada tuntutan fardhu kifayah yang lebih penting daripada perdebatan ketika itu.

3. Kalau dalam hal ehwal fiqh antara mazhab yang memungkin berlakunya perubahan pandangan, pendebat hendaklah seorang yang mencapai taraf mujtahid.

4. Hal yang didebatkan mestilah yang relevan, semasa, selalu berlaku atau yang bakal/mungkin berlaku dalam masa terdekat.

5. Lebih baik diadakan di tempat yang jauh dari orang lain. 6. Memandang teman debat sebagai teman yang sedang sama-sama

mencari barang yang hilang. Siapa sahaja yang menemuinya, kedua-duanya hendaklah bergembira.

7. Permudahkan, jangan menyulitkan. 8. Perdebatan itu hendaklah dalam kalangan mereka yang

berkelayakan. Inilah petunjuk kepada perbezaan antara berdebat kerana Allah atau berdebat kerana selain-Nya. BAB 4.2 MATLAMAT PERDEBATAN YANG SALAH Apakah tujuan-tujuan perdebatan yang salah?

1. Hendak menang, bukannya hendak sama-sama mencari kebenaran/keputusan.

2. Hendak menjatuhkan lawan. 3. Untuk mempamerkan kelebihan diri.

Page 17: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

BAB 4.3 BAHAYA-BAHAYA PERDEBATAN Apakah antara bahaya-bahaya perdebatan?

1. Menimbulkan dengki. 2. Menimbulkan takbur/ meninggi diri/sombong. 3. Bersifat dendam. 4. Mengumpat lawan debatnya. 5. Menunjukkan diri sendiri baik. 6. Mengintip dan menyebarkan keaiban-keaiban lawannya yang

tidak berkenaan. 7. Seronok dengan kesusahan lawan dan susah hati dengan

kegembiraan lawan. 8. Bersikap munafik, apabila memuji pihak lawan tapi tidak ikhlas. 9. Malu untuk mengakui kebenaran. 10. Riya’ – menunjuk-nunjuk amal baiknya kepada orang.

BAB 5.1 ADAB-ADAB SEORANG PELAJAR Apakah ada-ada seorang pelajar/murid/penuntut ilmu?

1. Berusaha membersihkan diri dan hati. Ilmu itu mulia, maka diri dan hati tempat menerimanya hendaklah mulia juga.

2. Bagi pelajar bermukim/tetap, hendaklah mengurangkan hubungannya dengan urusan duniawi sepanjang pembelajaran.

3. Jangan sombong dengan guru, jangan melawan guru, dan berusaha mendahulukan sangka baik terhadap guru.

4. Pada peringkat awal, elakkan mendengar atau mengikuti isu-isu khilaf.

5. Belajar semua ilmu-ilmu asas, dan kemudian barulah memilih bidang pengkhususan.

6. Beri lebih tumpuan kepada ilmu-ilmu yang lebih penting. Ilmu yang terpenting ialah ilmu akhirat iaitu ilmu mukasyafah dan ilmu mu’amalah.

7. Mengikut tertib sukatan pelajaran. 8. Tahu kemuliaan hasil ilmu-ilmu.

Page 18: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

9. Niat menuntut ilmu ialah kerana Allah. 10. Tahu nilai dan peranan ilmu itu di sisi Tuhan.

BAB 5.2 TENTANG ILMU MU’AMALAH DAN ILMU MUKASYAFAH Apakah tujuan ilmu mu’amalah? Tujuan ilmu mu’amalah ialah untuk mendapatkan ilmu mukasyafah. Tujuan ilmu mukasyafah pula ialah untuk mengenal Allah dengan peng’alam’an, bukan fikiran atau melalui ilmu kalam. Adakah kelebihan keempat-empat Khulafa Ar-Rasyidin (Saiyidina Abu Bakar, Umar, Uthman dna Ali) khususnya Saiyidina Abu Bakar ialah kerana ilmu kalam? Tidak, kerana ilmu mukasyafah. Sebab itu dikatakan jika ditimbang keimanan Saiyidina Abu Bakar dengan seluruh orang lain, berat lagi keimanannya. Apakah yang berjalan menuju Allah? Badan ataupun hati? Hati (qalb). Adakah hati (qalb) itu ialah daging organ jantung? Tidak. Hati (qalb) yang dimaksudkan ialah yang berkait dengan jiwa/ruh. BAB 5.3 ADAB-ADAB GURU/MURSYID/MU’ALLIM Apakah adab-adab seorang pendidik/pentarbiyyah?

1. Rasa kasih dan belas kepada para pelajarnya. 2. Mengajar kerana Allah. 3. Mengawal sukatan pelajaran seseorang murid mengikut

kebolehan masing-masing. Tegur murid yang melompat sendiri sesuatu sukatan pelajaran.

Page 19: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

4. Bijaksana dalam menegur murid, bukan terus secara berterus-terang dan jangan mengejek. Gunakan cara sindiran yang baik selagi bersesuaian.

5. Guru sesuatu juzuk ilmu agama jangan merendah-rendahkan juzuk ilmu agama yang lain. Contohnya guru tafsir jangan merendah-rendahkan pelajaran fiqh.

6. Ajarkan tahap yang sesuai ikut tahap murid. Ilmu yang belum sampai masanya, jangan diajarkan.

7. Kepada murid yang singkat pemahamannya, jangan promosikan secara melulu pelajaran-pelajaran peringkat tinggi.

8. Guru hendaklah berusaha mengamalkan ilmu dan ajarannya. BAB 6.1 TANDA-TANDA ULAMA AKHIRAT & ULAMA DUNIA Apakah tanda-tanda ulama akhirat?

1. Tidak mencari kemewahan dunia dengan ilmu agamanya. 2. Cakap serupa bikin. 3. Mengutamakan ilmu yang lebih penting daripada yang penting-

penting. 4. Zuhud. 5. Kurangkan bergaul rapat dengan pemerintah. 6. Sangat berhati-hati mengeluarkan kata-kata. 7. Banyak beri perhatian kepada ilmu berkaitan dengan hati (ilmu

batin). 8. Bersungguh-sungguhkan menguatkan keyakinan (al-yaqin), iaitu

menguatkan amalannya agar bersesuaian dengan ilmu pengetahuannya.

9. Terpamer kewarakan pada dirinya. 10. Banyak berbicara tentang sifat-sifat mazmumah sebagai

langkah keselamatan. 11. Melebihkan pemahaman dan penghayatan berbanding

ingatan. 12. Menjauhi perkara-perkara bid’ah.

Page 20: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

Apakah tanda-tanda ulama dunia? 1. Menggunakan ilmu agamanya untuk mencari kesenangan dunia. 2. Cakap tak serupa bikin. 3. Ilmu-ilmu yang lebih penting kurang diberi perhatian. 4. Tidak zuhud. Banyak melayan kehendak diri. 5. Bergelumang dengan pemerintah. 6. Sangat suka, mudah dan cepat berkata-kata. 7. Kurang ambil berat soal hati. 8. Kurang berusaha menguatkan al-yaqin. 9. Terpamer ketidakwarakannya pada dirinya. 10. Kurang ambil berat hal ehwal sifat-sifat mazmumah. 11. Lebih tumpu ingat atau kumpul ilmu berbanding

pemahaman. 12. Suka berbuat bid’ah.

BAB 7 – AKAL Apakah antara bukti kelebihan akal? Ilmu itu mulia, sedangkan ilmu itu tempatnya pada akal. Oleh itu akal juga mulia. Orang-orang yang tidak bertamadun pun sangat memuliakan akal pemimpin-pemimpin mereka. Apakah 4 pengertian akal?

1. Akal ialah satu kelebihan yang Allah berikan kepada manusia, tidak kepada binatang.

2. Akal ialah kebolehan berfikir yang meningkat dari semasa ke semasa.

3. Akal ialah kepandaian/kebijaksanaan/keintelektualan. 4. Akal ialah kekuatan mengawal diri daripada menajdi hamba

kepada hawa nafsu.

Page 21: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

Apakah isi kandungan kitab Misykatul Anwar? Tafsiran Surah An-Nur ayat ke-35 dan ke-40 (keseluruhan Surah An-Nur terdiri daripada 64 ayat). Mengapakah Surah An-Nur sangat penting?

1. Kerana bagaimanalah kita hendak mendapatkan cahaya sedangkan Surah Cahaya tidak dibaca.

2. Permulaan surah ini dimulakan dengan : “(Inilah) suatu surah yang Kami turunkan dan KAMI WAJIBKAN, dan Kami turunkan di dalamnya tanda-tanda yang jelas, agar kamu ingat.” (An-Nur : 1)

Siapakah cahaya segala cahaya? Nabi Muhammad saw. Siapakah Cahaya Sebenar Cahaya? Allah SWT. Siapakah cahaya haqiqi? Allah SWT. Apakah nur/cahaya?

1. Pada kebanyakan orang, cahaya ialah sesuatu yang menampakkan iaitu benda-benda yang mengeluarkan cahaya seperti matahari , bulan dan lampu.

2. Pada sebahagian orang, cahaya ialah sesuatu yang menampakkan iaitu semua yang di atas iaitu mata.

3. Pada segelintir orang, cahaya ialah sesuatu yang menampakkan semua yang di atas iaitu akal.

Apakah matahari (penyuluh) bagi mata kepala? Matahari yang dilangit. Apakah matahari (penyuluh) bagi akal? Kitab Al-Quran.

Page 22: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

KATA-KATA AKHIR IMAM AL-GHAZALI PADA PENAMAT KITAB ILMU

“Telah sempurnalah KITAB ILMU dengan pujian dan

nikmat Allah Ta’ala. Rahmat Allah kepada penghulu kita

Muhammad saw dan kepada tiap-tiap hamba-Nya yang

pilihan dari penduduk bumi dan langit, di mana akan di

sambung dengan KITAB QAWA’IDIL ‘AQAID insya-Allah.

Segala pujian untuk Allah Yang Maha Esa pada awalnya

dan pada akhirnya.”

Page 23: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

RINGKASAN DOA PENUTUP PADA AKHIR KITAB IHYA’ ‘ULUMUDDIN

“Ya Allah, kami memohon keampunan daripadaMu atas

setiap tergelincirnya kaki kami.”

“Dan kami memohon keampunan atas kata-kata kami yang

tidak selaras dengan perbuatan-perbuatan kami.”

“Kami memohon keampunan daripadaMu atas setiap ilmu

dan amal yang kami lakukan, yang kami maksudkan WajahMu

Yang Maha Mulia, tetapi kemudiannya tercampur dengan

maksud-maksud selain itu.”

“Kami memohon keampunan kepadaMu atas setiap janji

kami pada diri kami sendiri, tetapi kami cuai melaksanakannya.”

“Kami memohon ampun kepadaMu atas setiap nikmat yang

Engkau anguerahkan kepada kami, tetapi kami menggunakannya

pada jalan kemaksiatan.”

Page 24: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

MENJELANG KHATAM KITAB IHYA’ ‘ULUMUDDIN (BAB ILMU) (*Artikel ini dikarang lebih seminggu sebelum majlis khatam) Insya-Allah majlis khatam kitab Kitab Ilmu daripada kitab Ihya’ ‘Ulumuddin akan diadakan pada hari Isnin malam Selasa 7 Oktober 2013, iaitu pada kuliah kitab Ihya’ ‘Ulumuddin bagi kali ke-82. Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini terdiri daripada 40 tajuk besar yang setiap satunya disebut “kitab”. Kitab Ilmu ialah yang pertama daripada 40 kitab tersebut. Masih ada 39 kitab lagi untuk kita sama-sama terokai. Syarahan Kitab Ilmu ini diadakan hampir setiap minggu bermula pada bulan Mac 2011 dan dijangka berakhir pada awal Oktober 2013 ini. Maksudnya kesemua 82 kali kuliah Kitab Ilmu mengambil masa lebih kurang dua setengah tahun untuk ditamatkan. Dijangkakan keseluruhan kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini akan selesai disyarahkan dalam tempoh 20 ke 23 tahun. Tempoh pengajian yang panjang ini adalah kerana kitab Ihya’ ‘Ulumuddin di Surau An-Nur, Trong, Perak disyarahkan dengan terperinci. Syarahan ringkasnya diadakan di Masjid PGA (Komando 69), Ipoh yang dijalankan sebulan sekali. Alhamdulillah, syukur! Dengan izin-Nya, setakat ini kesemua 80 kuliah kitab Ihya’ sejak kelas pertama berjaya dirakam dan dimuatnaik ke Youtube. Sudah ada 537 fail dan masih berbaki sekitar 8-10 fail lagi untuk tamat. Setiap satu fail berdurasi antara 7 ke 12 minit. Fail 1-99 adalah dalam bentuk audio. Fail 100 dan seterusnya dalam bentuk video. Tuliskan “syarah ihya” di Youtube untuk bertemu.

Page 25: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

Majlis di Masjid PGA Ipoh juga ada dimuatnaik. Tuliskan “ihya masjid pga”. Cuma kelas di Masjid PGA hanya dirakam bermula kelas yang ke-5. Kitab Ilmu dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini sangat penting. Sebab itulah Imam Al-Ghazali meletakkannya di awal-awal kitab, bahkan mendahului Kitab Tauhid! Kitab Tauhid pun diletakkan pada urutan ke-2! Maksudnya tentu ada sesuatu (sebenarnya banyak) perkara penting yang Imam mahu kita hadamkan terlebih dahulu sebelum diri kita sesuai untuk mendalami kitab-kitab seterusnya. Selepas ini kita akan masuk Kitab Tauhid, satu bab yang sangat ditunggu-tunggu daripada kitab Ihya’ ini. Oleh itu, kita sangat-sangat berpesan… agar sesiapa yang mahu mengikuti kupasan Kitab Tauhid nanti, hendaklah menyelesaikan pengajian Kitab Ilmu terlebih dahulu. Bukan saja-saja Imam menulis Kitab Ilmu panjang lebar dan diletakkannya di awal kitab Ihya’ ‘Ulumuddin. Untuk memahami dan menghayati bab-bab seterusnya dalam Ihya’ mungkin kita boleh, tetapi untuk sampai ke tahap menghayati, kuncinya ada dalam Bab Ilmu. Di situ antara rahsianya. Kitab Ilmu ialah manual kepada pembinaan bahtera Ihya’ ‘Ulumuddin. Jika kita mengabaikan manualnya lalu terus sahaja mahu menggunakan alat-alatnya lalu membina bahtera yang seperti bahtera Ihya’ ‘Ulumuddin, bahtera itu mungkin boleh siap dan seiras rupa, tetapi akan jauh berbeza dari sudut-sudut yang lain. Bahtera Ihya’ ‘Ulumuddin meluncur laju, bahtera kita perlahan. Bahtera Ihya’ tiba awal, kita masih di tengah lautan. Bahtera Ihya’ tahan lama, bahtera kita baru dipakai pun sudah longgar skru dan paku, berbunyi apabila dipijak atau disandar, asyik kena tukar kena perbaik. Bahtera Ihya’ tetap cantik, bahtera kita walaupun belum lama tapi sudah kelihatan lusuh dan buruk. Bahtera Ihya’ bersih dan kemas, bahtera kita kotor dan berselerak.

Page 26: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

Bahtera Ihya’ tepat binaannya, bahtera kita kiat sana senget sini. Bahtera Ihya’ selesa dalamannya, bahtera kita sempit luas tidak menentu. Kerana apa? Kerana mengabaikan manualnya… iaitu Kitab Ilmu. Selesaikan Kitab Ilmu terlebih dahulu, lebih-lebih lagi kepada mereka yang mengikuti pengajian kitab Ihya’ ini melalui internet. Biar diulang-ulang, lagi bagus. Majlis khatam Bab Ilmu itu nanti akan dibuat ala kadar sahaja, sekadar ada. Insya-Allah akan dibuat kenduri kesyukuran dan para hadirin akan dihadiahkan senaskah lembaran yang memuatkan isi-isi penting pelajaran kitab Ihya’ ‘Ulumuddin dari kelas pertama sampailah kelas terakhir Kitab Ilmu (masih belum siap, dianggarkan sekitar 40 mukasurat). Kemudian kita akan mengimbas kembali isi-isi penting seluruh Kitab Ilmu. Diakhiri dengan sedikit doa Imam Al-Ghazali yang terdapat di akhir kitab Ihya’ ‘Ulumuddin. Semoga segala usaha kita untuk dunia dan akhirat dimudahkan Allah. Abu Zulfiqar 29 September 2013 (*Sebarang perubahan akan dimaklumkan kelak) Tazkirah Facebook ke-16 (Mac 7, 2012) Rajin mendengar ceramah popular memang bagus, tapi... rajin mendengar ceramah popular DAN rajin juga mendengar kuliah bersiri (berkitab), adalah lebih bagus. Ceramah popular dapat mencetuskan rasa suka kepada agama dan ilmu-ilmunya. Ceramah popular juga dapat mengekal malah

Page 27: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

menambahkan rasa itu bagi mereka yang sudah sedia suka akan agama dan ilmu-ilmunya. Namun dengan hanya rajin mengikuti ceramah-ceramah popular, tidak dapat menjadikan seseorang itu banyak ilmu agamanya walaupun memang ada pertambahan. Tidak ada orang yang hanya menghabiskan usahanya mengejar ceramah-ceramah popular bertahun-tahun, kemudiannya kita dapat tahu dia berjaya menjadi seorang ilmuwan agama. Tidak ada. Untuk mendapatkan pemantapan, pelambakan dan pendalaman ilmu-ilmu agama, kita hendaklah rajin pula mengikuti kuliah-kuliah bersiri. Terbukti, ramai juga mereka yang rajin mengejar kuliah-kuliah bersiri, bertahun-tahun selepas itu akhirnya berjaya pula menjadi seorang pengajar (atau sekurang-kurangnya ada ilmu sebagaimana pengajar sekalipun dia tidak mengajar). Teruskanlah mendengar/mengikuti ceramah-ceramah popular, tapi luangkanlah juga masa untuk mendengar/mengikuti kuliah-kuliah bersiri (sama ada secara langsung ataupun melalui media seperti internet), sekalipun kita tidak bercita-cita untuk menjadi seorang pengajar suatu hari nanti. Tapi... takkanlah kita tak mahu mentarbiyyah isteri dan anak-anak? Cukupkah ilmu dan motivasi dari ceramah-ceramah popular sahaja untuk mengajar agama kepada mereka? Ceramah popular isinya bersifat umum. Huraian dan bahasannya terdapat dalam pengajian berkitab. Oleh itu, jangan berpuas hati sekadar dengan menjadi seorang peminat ceramah popular. Jadilah juga peminat tegar kuliah bersiri (berkitab). Jumpa lagi : ) Abu Zulfiqar

Page 28: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

AL-GHAZALI KUFURKAN AHLI FALSAFAH ISLAM? PENDAHULUAN Seorang hamba Allah mengemukakan persoalan di bawah :

“Assalamualaikum..saya ada 1 persoalan setelah membaca soal jawab ustaz di atas. Ustaz ada menyatakan "Imam al-Ghazali dalam kitabnya al-Munqiz min adh-Dhalal MENGKAFIRKAN Socrates, Plato dan Aristotle serta umat Islam yang mengikut mereka seperti Ibnu Sina dan al-Farabi." Berdasarkan kenyataan tersebut, adakah ini bermakna sarjana Islam yang terkenal dalam dunia Islam seperti Ibnu Sina dan al-Farabi adalah dari golongan orang-orang bukn Islam keraan mereka mengikut Socrates, Plato dan Aristotle? Atau mereka hanya mengikut dari segi pndangan ilmu tetapi tetap seorang Islam? Boleh ustaz perjelaskan pada saya...?

SIAPAKAH AHLI-AHLI FALSAFAH?

Golongan ahli falsafah ialah orang-orang yang mendakwa mereka ialah golongan ahli logik dan membawa pendalilan secara logik. Mereka terdiri daripada beberapa golongan, tetapi dalam kitab Al-Munqiz min Adh-Dhalal, Imam Al-Ghazali membahagikan kesemuanya kepada 3 golongan iaitu:

1. Dahriyyun 2. Tabi’iyyun 3. Ilahiyyun

Dalam golongan manakah Ibnu Sina dan Al-Farabi? Mari kita mengenali setiap golongan terlebih dahulu. Dahriyyun

Mereka menafikan kewujudan Tuhan. Mereka percaya alam ini terjadi dengan sendirinya. Imam Al-Ghazali menyatakan mereka sebagai zindik. Maksudnya mereka bukan Islam.

Page 29: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

Tabi’iyyun Banyak mengkaji tentang manusia, haiwan dan tumbuh-

tumbuhan. Hasil kajian mereka menunjukkan adanya Pencipta kerana segala ciptaan itu dijadikan begitu sempurna. Maksudnya mereka yakin kewujudan Tuhan. Namun begitu mereka menafikan kebangkitan semula, hari akhirat, syurga, neraka, Padang Mahsyar, hisab dan lain-lain. Mereka juga menolak konsep pahala dan dosa. Bagi mereka tidak ada pahala dan dosa. Oleh itu mereka menjadi hamba kepada hawa nafsu. Golongan ini juga disebut zindik. Mereka bukan Islam. Ilahiyyun

Antara bidang yang dikuasai danq dikaji oleh golongan ini ialah matematik, kejuruteraan, geografi, biologi, keTuhanan, politik, akhlak dan mantiq (logik). Mereka percaya akan kewujudan Tuhan.

Antara tokoh golongan ini ialah Socrates, muridnya Plato, dan murid Plato iaitu Aristotle. Namun kaum Ilahiyyun ini terpecah pula kepada 2 puak. Menurut Imam Al-Ghazali, Aristotle tidak menerima pendapat Plato dan Socrates, malah Aristotle menganggap mereka berdua tidak bersih dan masih kekal dalam kekufuran dan bid’ah. DI MANA IBNU SINA DAN AL-FARABI?

Di mana Ibnu Sina dan Al-Farabi? Mereka berada dalam kelompok ketiga kerana merekalah yang paling banyak mencedok ilmu-ilmu Aristotle. Jadi lanjutan tulisan ini akan dijuruskan kepada kaum Ilahiyyun sahaja.

Kata Imam Al-Ghazali : “...maka sewajarnyalah mereka (Socrates, Plato, Aristotle dan para pengikut ajaran mereka) itu dianggap kafir, dan juga mengkafirkan pengikut-pengikut mereka dalam kalangan ahli falsafah Islam seperti Ibnu Sina, Al-Farabi dan orang-orang seperti mereka.”

Page 30: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

APAKAH YANG DIKAFIRKAN OLEH AL-GHAZALI?

Adakah Imam Al-Ghazali mengkufurkan keseluruhan pegangan kaum Ilahiyyun? Tentunya tidak. Beliau hanya menolak perkara-perkara yang salah dan yang melemahkan sahaja. Terdapat 20 perkara asas dalam pegangan kaum ini yang ditolak oleh Imam Al-Ghazali. Pembahagiannya adalah seperti berikut :

1. 3 perkara yang wajib dikufurkan. 2. 17 perkara yang dibid’ahkan.

Pengisian kita selanjutnya akan tertumpu kepada 3 perkara yang

wajib dikafirkan sahaja, agar menepati kehendak soalan (iaitu tentang ‘kafir’). Pertama – Tentang alam akhirat. Golongan ini percaya yang jasad tidak akan dihimpun semula dengan ruh selepas kematian. Kenikmatan syurga dan keazaban neraka itu juga bersifat rohani, bukan jasmani. Sedangkan menurut ajaran agama Islam, jasad kita akan berhimpun semula dengan ruh di akhirat nanti, dan syurga neraka itu dialami oleh rohani dan jasmani. Kedua – Tuhan hanya mengetahui perkara-perkara yang bersifat umum, dan tidak mengetahui perkara-perkara yang kecil-kecil. Hal ini juga berbeza dengan pegangan umat Islam iaitu Tuhan Maha Mengetahui segala perkara. “Tidak ada yang tersembunyi bagi-Nya sekalipun sebesar zarah, baik yang di langit mahupun yang di bumi, yang lebih kecil daripada itu ataupun yang lebih besar.” (Saba’ : 3) Ketiga – Mereka percaya alam ini qadim. Maksudnya alam ini sudah sedia ada sebagaimana Tuhan yang sudah sedia ada sejak azali. Unsur-unsur awal yang menjadikan alam ini sudah sedia ada bersama-sama

Page 31: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

Tuhan. Tuhan bukanlah Pencipta segala sesuatu kerana ada benda yang tidak diciptakan oleh Tuhan tetapi benda itu sudah sedia wujud. Keyakinan umat Islam tentunya berbeza. Kita percaya alam ini baharu. Pada asalnya ia tidak ada, yang ada hanyalah Tuhan. Selepas Tuhan menciptakan alam ini, barulah alam ini wujud. Alam tidak qadim. Yang qadim hanyalah Allah. Tuhan menciptakan segala sesuatu termasuklah alam ini. “Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dengan haq.” (Al-An’am : 73) “Dialah yang awal, dan yang akhir, yang zahir, yang batin.” (Al-Hadid : 3) Inilah tiga perkara yang dikufurkan oleh Imam Al-Ghazali. Adakah dengan menolak 3 perkara di atas, menjadikan seseorang itu bukan Islam? ....... ADAKAH IBNU SINA DAN AL-FARABI MUSLIM?

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan. Adakah Ibnu Sina dan Al-Farabi (atau sesiapa sahaja) masih dikira Islam ataupun sudah bukan Islam (ketika mereka berpegang dengan 3 perkara di atas SAHAJA, sekiranya selepas itu mereka mengubah pendirian mereka sebelum meninggal dunia tanpa kita ketahui, tidaklah termasuk dalam perbincangan kita hari ini)?

Semua orang ada pandangan tersendiri. Anda sendiri cuba buat penilaian. Seandainya ada seseorang yang meyakini 3 perkara di atas, dia masih Islam atau bukan? Contohnya orang itu menyebutkan (dan meyakini) bahawa :

1. “Selepas kita mati nanti, jasad kita akan hancur dan lenyap. Di akhirat nanti, yang dibangkitkan hanyalah ruh. Ruh itulah yang akan masuk syurga ataupun neraka.”

Page 32: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

2. “Bukan semua perkara Allah tahu! Ada perkara-perkara yang Allah tidak tahu. Dia tidak Maha Mengetahui. Tidak ada suatu apa pun yang bersifat Maha Mengetahui.”

3. “Alam ini bukan Allah yang buat. Ia sudah siap-siap ada. Bukan semua benda Allah cipta. Ada benda yang Allah tidak cipta.”

Bagaimana? ....... HUJAH-HUJAH KEMUSLIMAN MEREKA Ibnu Sina dan Al-Farabi masih dalam kalangan orang-orang Islam. Antara hujah-hujahnya : Pertama – Sefaham kita mereka mengakui dan meyakini Dua Kalimah Syahadah sehinggalah ke hari mati mereka. WaAllahua’lam. Kedua – Kita digalakkan berpegang dengan saranan mendahulukan sangka baik berbanding sangka buruk selagi ada ruang yang sesuai untuk bersangka baik. Ketiga – Standard penggredan Imam Al-Ghazali biasanya lebih tinggi daripada standard penggredan professor-profesor lain. Contohnya, jika gred A memerlukan markah 80% pada pandangan ulama lain, gred A pada Imam Al-Ghazali mungkin 85%. Jadi “kufur” pada Imam Al-Ghazali tidak semestinya membawa maksud seseorang itu telah terkeluar daripada agama Islam. Dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin, Imam Al-Ghazali mengatakan ilmu-ilmu jalan ke akhirat itu ialah ilmu mukasyafah dan ilmu mu’ammalah. Jika kita belajar ilmu hadith dan ilmu fiqh sekalipun, masih belum dikira sebagai ilmu-ilmu jalan ke akhirat walaupun kedua-duanya bersangkutan dengan akhirat juga. Hal ini menunjukkan standard penggredan Imam Al-Ghazali yang tinggi. Keempat – Ibnu Sina dan Al-Farabi kekal beribadah, iaitu mengerjakan syariat Nabi Muhammad saw sehinggalah ke akhir hayat mereka.

Page 33: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

Kegemaran Ibnu Sina meminum arak untuk dapatkan “feel” dan berubat tidaklah menjadikan dia seorang bukan Islam. Al-Ghazali menulis dalam Al-Munqiz : Tetapi apabila ditanya : “Mengapa kamu minum arak?” Lantas ia (ahli falsafah) menjawab : “Dilarang minum arak itu kerana dikhuatiri membangkitkan perseteruan dan permusuhan. Tetapi aku dengan kebijaksanaanku dapat menghindarkan perkara tersebut. Sebaliknya aku bertujuan mempertajamkan lagi fikiranku.” “Sehinggakan Ibnu Sina sendiri telah menulis wasiatnya yang dia telah berjanji dengan Allah tentang perkara-perkara tersebut. Dia membesarkan hukum-hukum syara’, tidak mencuaikan ibadat-ibadat keagamaan. Dia minum arak sebagai ubat dan bukannya untuk berseronok-seronok. Bahkan semasa kemuncak keimanannya dan sentiasa beribadat, dia tetap meminum arak dengan tujuan untuk berubat.” Jelasnya Ibnu Sina menghalalkan arak bagi sesiapa yang mampu mengawal diri, lebih-lebih lagi jika arak itu membantu menguatkan pemikiran. Hal ini jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam. HUJAH-HUJAH KETIDAKMUSLIMAN MEREKA

Bagaimana dengan pandangan yang mengatakan Ibnu Sina dan Al-Farabi bukan Islam lagi? Saya tidak nafikan hujah-hujah golongan ini juga bagus-bagus. Pertama - Allah yang disembah oleh umat Islam ialah Dia Yang Maha Mengetahui. Mustahil Allah tidak Maha Mengetahui. Apabila golongan ini menyembah sesuatu yang tidak maha mengetahui, maksudnya mereka sudah menyembah ataupun tersembah selain Allah. Menyembah selain daripada Allah sebagai Tuhan, tentunya menjadikan mereka bukan Islam lagi. Kedua – Allah yang disembah oleh umat Islam ialah Pencipta seluruh alam makhluk. Apabila golongan ini menyembah sesuatu yang tidak

Page 34: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

menciptakan segala perkara, maka sebenarnya mereka sedang menyembah selain Allah. Berabdi kepada selain Allah tentunya bukan Islam lagi. Ketiga – Allah yang disembah oleh umat Islam bersifat qadim, dan hanya Dia sahaja yang qadim. Jika kita beri’tiqad bahawa ada sesuatu yang lain yang turut sama bersifat qadim, turut sama sedia ada sejak azali, hal ini sudah bertentangan dengan i’tiqad Ahli Sunnah wal Jamaah. Maksudnya Tuhan sudah ada saingan sejak azali. Tuhan tidak bersendirian. Tuhan tidak Esa. Tuhan yang sebegitu tidaklah bertepatan dengan Allah SWT yang disembah oleh umat Islam. Tuhan sebegitu sudah ada yang setara dengannya dari segi keazalian. “Dan tidak ada suatu apa pun yang setanding dengan-Nya.” (Al-Ikhlas : 4) Keempat – Dalam kitab Lisanul Mizan, Syeikh Ibnu Hajar al-Asqalani mengatakan para ulama pada zaman Ibnu Sina dan Al-Farabi menghukum mereka sebagai kafir. KESIMPULAN

Ibnu Sina dan Al-Farabi masih dalam agama Islam ataupun tidak, yang pastinya kita jangan sesekali menerima pegangan-pegangan mereka yang nyata salah di sisi agama Islam, sebagaimana yang dinyatakan di atas tadi. Abu Zulfiqar 11 Oktober 2010 *Tajuk asal artikel ini ialah "Sejauhmana 'Kekafiran' IBnu Sina dan Al-Farabi" di http://myalexanderwathern.blogspot.com/2011/10/sejauhmana-kekafiran-ibnu-sina-dan-al.html

Page 35: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin

LAMAN-LAMAN ABU ZULFIQAR

1. Debunga Teratai Syurgawi

http://alexanderwathern.blogspot.com/ 2. Bermesra Dengan Kebenaran Mutlak

http://myalexanderwathern.blogspot.com/ 3. Ikhtiar Muslim http://ikhtiarmuslim.blogspot.com/ 4. Satu Umat http://satuumat.blogspot.com/ 5. Tajdid Segar Tajdid Sebenar http://tajdidsebenar.blogspot.com/ 6. Ihya’ As-Sunnah http://ihyaassunnah.blogspot.com/ 7. Ribuan Ceramah http://ribuanceramah.blogspot.com/ 8. Mengapa Islam http://mengapaislam.wordpress.com/ 9. Allah Cinta Agung http://allahcintaagung1.blogspot.com/ 10. Menjawab Rakan Siswa

http://dakwahrakansiswa.blogspot.com/ 11. Ihya’ ‘Ulumuddin http://syarahihya.blogspot.com/ 12. Misykatul Anwar http://kitabmisykat.blogspot.com/ 13. Apa Sebenarnya Ajaran Jesus?

http://ajaranjesus.blogspot.com/ 14. Kifayatul Muhtaj http://syarahisrakmikraj.blogspot.com/ 15. 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman

http://40hadithakhirzaman.blogspot.com/ 16. Munyatul Musolli http://munyatulmusolli.blogspot.com/ 17. Al-Marbawi http://almarbawi2007.blogspot.com/ 18. Gagasan Ulama ASWJ

http://gagasanulamaaswj.blogspot.com/ 19. Mengenal Islam http://mengenalislam.blogspot.com/ 20. Menilai Ajaran Nasser Mohamed

http://imamnassermohamed.blogspot.com/

Page 36: Nota Khatam Ihya' 'Ulumuddin