mari bergurindam

21
Meraut Kasih Meracik Sayang : Mari Bergurindam Oleh : Mohd. Fauzi bin Abdullah IPG Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur Latar Belakang Gurindam sebagai satu bentuk puisi Melayu tradisional sepertimana dikenali sekarang diperkenalkan oleh Raja Ali Haji melalui ‘Gurindam Dua Belas” yang dikarang pada tahun 1846 (23 Rejab 1263 / 3 Julai 1847). Bentuk gurindam adalah terikat, yakni terdiri daripada dua baris serangkap mengandungi tiga hingga enam patah perkataan dengan skima rima a;a. Seuntai gurindam memerlukan beberapa rangkap untuk melengkapkan keseluruhan idea. Bahasanya bernas dan serius. Isinya mengandungi nasihat, pengajaran, kebenaran serta pernyataan perasaan cinta. 1

Upload: qasehsafinah

Post on 15-Dec-2015

52 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

gurinnndaaaammmmmmm

TRANSCRIPT

Page 1: Mari Bergurindam

Meraut Kasih Meracik Sayang : Mari Bergurindam

Oleh :

Mohd. Fauzi bin Abdullah

IPG Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur

Latar Belakang

Gurindam sebagai satu bentuk puisi Melayu tradisional sepertimana dikenali

sekarang diperkenalkan oleh Raja Ali Haji melalui ‘Gurindam Dua Belas” yang

dikarang pada tahun 1846 (23 Rejab 1263 / 3 Julai 1847). Bentuk gurindam

adalah terikat, yakni terdiri daripada dua baris serangkap mengandungi tiga

hingga enam patah perkataan dengan skima rima a;a. Seuntai gurindam

memerlukan beberapa rangkap untuk melengkapkan keseluruhan idea.

Bahasanya bernas dan serius. Isinya mengandungi nasihat, pengajaran,

kebenaran serta pernyataan perasaan cinta.

Ciri-ciri Gurindam

Gurindam mempunyai beberapa ciri, seperti berikut :

i) Dua baris serangkap

ii) Empat hingga enam patah perkataan / 8 – 12 suku kata sebaris.

Contoh :

Apabila terpelihara mata,Sedikit cita-cita.

Bersungguh-sungguh engkau memelihara tangan,Daripada segala berat dan ringan. (Kerusi, hlm. 8)

1

Page 2: Mari Bergurindam

Anggota tengah hendaklah ingatDi situlah orang selalu hilang semangat. (Gurindam 12, Fasl 3)

iii) Jumlah rangkap dalam seuntai gurindam tidak ditentukan.

iv) Skima rima hujung bercorak serima iaitu a;a.

v) Ada kalanya wujud unsur asonansi dan aliterasi pada perkataan dalam

baris.

vi) Rangkapnya terbahagi kepada unit syarat atau induk kalimat (baris

pertama ) dan jawab atau anak kalimat (baris kedua)

vii) Umumnya mengandungi pernyataan yang serius terutama untuk

memberi pengajaran atau menyatakan perasaan cinta.

Penggunaan Istilah Gurindam

Dalam beberapa teks tradisonal, istilah gurindam, syair, pantun dan seloka

seringkali diguna pakai oleh tukang cerita atau penyalin teks secara agak bebas.

Hal ini menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat umum, kerana ‘nama’ puisi

yang disebut oleh si tukang cerita atau dicatatkan dalam teks berbeza dengan

penjenisan puisi yang dilakukan para sarjana, terutama untuk kajian dan rujukan

pelajar serta penyelidik. Misalnya :

i) “Maka adapun negeri itu baharu dibuka oleh baginda; adalah seperti gurindam orang dahulukala: ”

Awak tua bandar terbuka,Emas habis, dagangan mudah,Kerbau kambing sesak di padang,Itik angsa tenang di kuala,Merpati lindungan langit,Rengkiang tujuh sejanjar;Taman dengan sekerat kota,Emas perak penuh di rumah,Tangga rumah emas bertuang,Ibu tangga emas bertitik,

2

Page 3: Mari Bergurindam

Batuan sawa mengulur;Penuh sesak hamba sahaya,Ada yang empat senama,Ada yang lima senama,Dilaung di rumah di tanah menyahut,Dilaung di tanah di rumah menyahut. (Hikayat Malim Deman, hlm. 2)

ii) Setelah dilihat Tun Mamat, segala burung-burung di dalam taman itu pun berbunyi, pelbagai bunyinya; ada yang seperti orang bersiul, ada yang seperti orang berbangsi, ada yang seperti orang bersyair, ada yang seperti orang berseloka, ada yang seperti orang bergurindam.

(Sejarah Melayu, Shellabear, 1975, hlm. 208)

iii) “ Maka sahut Hang Jebat ‘ Inilah pekerjaan yang sempurna. Sepala-pala jahat jangan kepalang, seperti pantun Melayu

rosak bawang ditimpa jambaknya’. (Hikayat Hang Tuah, hal. 356)

iv) “Sebermula, adapun waktu mimpi itu masa saat yang sempurna, “

Tengah malam sudah terlampau,Dinihari belum lagi tampak,Budak-budak dua kali jaga,Orang muda pulang bertandang,Orang tua berkalih tidur;Embun jantan rintik-rintik,Berbunyi kuang jauh ke tengah,Sering lanting riang di rimba;Melenguh lembu di padangSambut menguak kerbau di kandang,Berkokok mandung, merak mengigal,Fajar sidik menyingsing naik,Kicak- kicau bunyi murai,Taptibau melambung tinggi,Berkuku balam di hujung bendul,Terdenyut puyuh panjang bunyi;Puntung sejengkal tinggal sejari;Itulah alamat hari ‘nak siang.

(Hikayat Malim Deman , hal. 4)

v) Maka Tuanku Malim Deman pun lalu memanggil Si Kembang Cina seraya berpantun. Demikianlah bunyinya :

(a) Jikalau kulurut padiku ini,Jikalau kulurut pecah batang;

Jikalau kuturut hatiku ini,Jikalau kuturut,salah datang.

3

Page 4: Mari Bergurindam

Setelah didengar oleh Si Kembang Cina akan titah Tuanku Malim Deman itu, diamlah ia seketika seraya berfikir di dalam hatinya, ‘Apalah gerangan sebabnya Tuanku Malim Deman membuat aku seperti yang demikian ini? Tiadalah pernah ia bertitah serta berpantun seloka seperti malam ini pula’.

(Hikayat Malim Deman, hlm.5)

Hatta bertitah pula Tuanku Malim Deman seraya berpantun demikian bunyinya;

(b) Sepanjang-panjang rambut,Hujungnya gerak gerayu juga;

Sesayang-sayang disebut,Kesudahan bercerai pula.(Hikayat Malim Deman, hlm.9)

Berdasarkan pembahagian bentuk, mengikut kajian ilmiah masa kini,

Puisi (i) dikatogarikan sebagai bahasa berirama (rhythmical verse / rhythmical

passage), talibun atau sesomba. Skima bahasa ini menjadi acuan puisi yang

seringkali dimunculkan dalam mana-mana cerita lisan yang memaparkan babak

sedemikian (pembukaan negeri baru; gambaran tentang kemakmuran dan

keharmonian hidup rakyat jelata).

Sementara puisi (ii) memberi petanda bahawa istilah syair, seloka dan gurindam

merujuk kepada nyanyian yang berbunyi indah dan merdu.

Bentuk puisi (iii), pada masa kini dikenali sebagai peribahasa.

Beberapa teks antologi puisi tradisional dikesan meletakkan puisi (iv) sebagai

gurindam. Pengkatogarian ini agak kurang tepat dan mengelirukan. Ini kerana si

tukang cerita teks berkenaan pun tidak menyatakan puisi tersebut sebagai

gurindam. Puisi berkenaan dikatogerikan sebagai bahasa berirama.

Sementara puisi (v a) adalah seloka bentuk terikat (juga dikenali sebagai pantun

seloka) kerana isinya membawa mesej cinta bernada sindiran.

Bandingkan pula dengan puisi (v b) iaitu pantun 4 kerat.

Kecelaruan istilah yang diwujudkan oleh tukang cerita ini dapat difahami, kerana

bagi mereka pantun, syair, gurindam dan seloka merujuk kepada keselesaan

mengalunkan bahasa secara berirama (dengan/ tanpa alat muzik), puitis,

4

Page 5: Mari Bergurindam

mungkin juga bersukat dan berangkap, sehingga membentuk larik puisi yang

indah. Maka, terlaksanalah tugas mereka untuk mempesonakan khalayak yang

mendengarnya.

Mejar Dato’ Haji Mohamad Said, PBJ, dalam PEREDAR Angka 20 P.M.P.B Diraja semasa membincangkan bab “Perihal Rangkapan, Gurindam dan Seumpamanya”, (1940; hlm 19-23) menulis perihal gurindam seperti berikut;

Adalah gurindam itu daripada bahasa Keling (Tamil) dan digunakan dalam

bahasa Melayu bagi melafazkan perasaan dan kenangan seperti hal-hal yang

dinyatakan sedikit di saperti ini; 1. Pilu dan rawan. 2. Belas dan hiba. 3. Insaf dan

kesian. 4. Rindu dan dendam. 5. Kenangan dan untung nasib. 6. Ria dan cita. 7.

Rekaan bagi perasaan.

Maka ada kalanya gurindam itu, dipadukan setengah daripada setengah sukuan

cakapnya dan ada masa disyair atau diperbuat seperti pantun. Ada kalanya jatuh

seperti pujuk dan rayu. Maka yang molek dalam hal ini jikalau hendak dijadikan

dalam tulisan biarlah ada sukatan dan timbangan supaya ada hujung pangkalnya

dan perhentiannya, tidak meleret berlebih-lebihan. Di sini ada sedikit diberikan

toladan-toladan;

1. Pilu dan rawan;

Aduhai pilu dan rawan hatiku meninggalkan kampung halaman tempat

tumpah darahku,

Segala laman tempatku bermain,

Segala pokok yang hari-hari ku pandang,

Segala jalan ku pergi datang dan lalu lalang,

Seolah-olah bertanya hendak ke mana aku...

2. Belas dan hiba ;

Hai! Betapakah belas dan hiba hatiku melihat akan adik-adik ku yang

hendak aku tinggalkan,

Tambah pula masing-masing,

Itu lekat dan bergantung di sisiku,

Seperti tiada hendak melepaskan aku...

5

Page 6: Mari Bergurindam

3. Rindu dan Dendam;

Ya Allah!

Betapa rindu dendam aku akan ibuku dan saudara-saudara ku yang kecil-

kecil kerana budak itu semua manja kepada aku dan inilah pertama kali

aku meninggalkan berpanjangan masa dan teringatlah aku bagaimana hal

budak-budak itu betkejar-kejar dan berdahulu-dahuluan mendapat akan

daku bila aku balik dari mana-mana yang demikian hingga berlinang-

linang dan bercucuran lah air mataku....

4. Rekaan bagi perasaan;

Apakala dapat kepadaku perkhabaran mengatakan saudaraku tidak

sampai pada pagi tetapi akan tiba lepas maghrib, hampalah perasaan aku

dan cita aku menyambut dan meraikan dia pagi hari tibanya terhapuslah,

tetapi mujurlah jua perkhabaran itu sampai kepadaku segera yang

demikian bermulalah aku berkira. Maka rasaku hari itu amatlah lambat

hendak menjadi malam hingga termangu-mangulah aku ke sana ke mari,

tambahan tiada apa lain benda aku hendak perbuat melainkan semata-

mata diuntukkan bersuka-suka dengan saudaraku maka aku pun teringat

akan gurindam Alamat Hari Hendak Malam;

Apakala budak berhenti main

Ayam itik masuk ke reban

Kambing lembu balik ke kandang

Mentari rembang telah lenyap

Cahaya terang menjadi kusam

Mega merah di kaki langit

Jarum jam berupa sabit

Tuan bilal naik ke menara

Orang di kolah bersedia wudu’

Orang puasa mengadap kurma

Bulu roma tak berapa nyata

Ketuk-ketuk berbunyi masjid

6

Page 7: Mari Bergurindam

Taptibau bunyi mendayu

(Cacing bang ?) nyaring berbunyi

Senjakala telah berbayang

(Sayur limur ?) menjenguk datang

Pintu rumah ditutup dikunci

Lampu jalan bercahaya terang

Api di rumah mulai pasang

Itulah alamat hari hendak malam.

(PEREDAR Angka 20 P.M.P.B Diraja, terbitan Belajar atau Mengajar, cetak yang pertama 1940, dicetak di Matbaatul Ahmadiah, 101 Jalan Sultan,Singapura,sumber; Arkib Negara Malaysia, Cawangan Johor , no.siri ; 3625)

Sungguhpun demikian, masalah penjenisan dan penggunaan istilah kebanyakan

puisi tradisional masih lagi terbuka untuk perbahasan dan kajian lanjut.

Penjenisan awal yang dilakukan oleh Winstedt, A. Teauw, Taib Osman telah

dibahaskan oleh sarjana kemudian seperti Shafie Abu Bakar, Harun Mat Piah,

Muhammad Haji Salleh dan masih diteruskan oleh sarjana mutakhir di pusat

pengajian tinggi.

Namun, bagi kes istilah gurindam, ada baiknya diguna pakai istilah gurindam

untuk merujuk kepada bentuk dan struktur puisi ciptaan Raja Ali Haji, agar tidak

mengelirukan pelajar yang mengkaji puisi Melayu tradisional di peringkat sekolah

menengah dan masyarakat umum.

Panduan Menulis Gurindam

Untuk selaras dengan bentuk dan istilah teknis yang diguna pakai pelajar dan guru di sekolah, sebaiknya kita guna pakai istilah, bentuk, ciri dan sifat gurindam Raja Ali Haji (Gurindam Dua Belas, 1846).Penerangan Raja Ali Haji berhubung dengan gurindam adalah ;”Adalah beza antara gurindam dengan syair itu, aku nyatakan pula; bermula erti syair Melayu itu /perkataan yang bersajak/ yang serupa dua/ berpasang pada akhirnya/ dan tiada berkehendak pada sempurna perkataan pada satu-satu pasangannya/, tetapi sempurna perkataannya dengan satu pasangan sahaja/. Jadilah seperti sajak yang pertama itu syarat /dan sajak yang kedua itu jadi seperti jawab.

7

Page 8: Mari Bergurindam

Bermula inilah rupa syair ;Dengarkan tuan suatu rencana,Mengarang di dalam gundah-gulana,Barangkali gurindam tiada kena,Tuan betulkan dengan sempurna.

Inilah erti gurindam yang di bawah syair ini;Persimpangan yang indah-indahIaitulah ilmu yang memberi faedah.

Aku hendak bertuturAkan gurindam yang teratur.

Petikan Gurindam Dua Belas (Raja Ali Haji, 1846)

Ini Gurindam Fasal Yang Pertama

Barang siapa tiada mengenal agamaSekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.

Barang siapa mengenal yang empatMaka ia itulah orang yang makrifat.

Barang siapa mengenal AllahSuruh dan tegahnya tiada ia menyalah.

Barang siapa mengenal diriMaka telah mengenal Tuhan Yang Yazi.

Barang siapa mengenal duniaTahulah dia barang yang terpedaya.

Barang siapa mengenal akhiratTahulah dia dunia mudarat.

Ini Gurindam Fasal yang Kedua

Barangsiapa meninggalkan sembahyangSeperti rumah tidak bertiang.

Barang siapa mengenal yang tersebutTahulah ia makna takut.

Barang siapa meninggalkan puasaTiadalah dapat dua temasya.

Barang siapa meninggalkan zakat

8

Page 9: Mari Bergurindam

Tiadalah hartanya mendapat berkat.

Barang siapa meninggalkan hajiTiadalah ia menyempurnakan janji.

Ini Gurindam Fasal yang Kesebelas

Hendaklah berjasaKepada yang sebangsa.

Hendaklah jadi kepalaBuang perangai yang cela.

Hendaklah memegang amanahBuanglah khianat.

Hendak marahDahulukan hujah.

Hendak dimaluiJangan melalui.

Hendak ramaiMurahkan perangai.

Gurindam Raja Ali Haji ”Memelihara Mata”

Apabila terpelihara mataSedikit cita-cita.

Apabila terpelihara kupingKhabar yang jahat tidaklah damping.

Apabila terpelihara lidahNescaya dapat daripadanya faedah.

Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tanganDaripada segala berat dan ringan.

Gurindam Raja Ali Haji ”Hati Kerajaan Tubuh”

Hati itu kerajaan di dalam tubuhJikalau zalim segala anggota pun roboh.

9

Page 10: Mari Bergurindam

Apabila dengki sudah bertanahDatanglah daripadanya beberapa anak panah.

Mengumpat dan memuji hendaklah fikirDi situlah banyak orang yang tergelincir.

Pekerjaan marah jangan dibelaNanti hilang akal dikepala.

Jika sedikit pun berbuat bohongBoleh diumpamakan mulutnya itu pekung.

Gurindam Raja Ali Haji ” mengenal orang berbangsa”

Jika hendak mengenal orang berbangsaLihat kepada budi dan bahasa.

Jika hendak melihat orang yang berbahagiaSangat memeliharakan yang sia-sia.

Jika hendak mengenal orang muliaLihatlah kepada kelakuan dia.

Gurindam Raja Ali Haji ” Cahari isteri”

Cahari oleh mu akan isteriYang boleh menyerahkan diri.

Cahari olehmu akan kawanPilih segala orang yang setiawan.

Cahari oleh mu akan abdiYang ada baik sedikit budi.

10

Page 11: Mari Bergurindam

Gurindam Raja Ali Haji ” Banyak Berkata-kata”

Apabila banyak berkata-kataDi situlah jalan masuk dusta.

Apabila banyak berlebih sukaItulah tanda hampirkan duka.

Apabila kita kurang siasatItulah tanda pekerjaan hendak sesat.

Apabila anak tidak dilatihJika besar bapanya letih.

Gurindam Raja Ali Haji ” Lidah”

Lidah yang suka membenarkan dirinyaDaripada yang lain dapat sekaliannya.

Daripada memuji diri hendaklah sabarBiar daripada orang datangnya khabar.

Orang yang suka menempakan jasa,Setengah daripada syirik mengaku kuasa.

Kejahatan diri sembunyikanKebajikan diri diamkan.

Keaiban orang jangan dibukaKeaiban diri hendaklah sangka.

Gurindam Raja Ali Haji ” Hormat”

Dengan ibu hendaklah hormatSupaya badan dapat selamat.

Dengan anak janganlah lalaiSupaya boleh naik ke tengah balai.

Dengan isteri dan gundik janganlah alpaSupaya kemaluan jangan menerpa.

Dengan kawan hendaklah adilSupaya tangan jadi kafil.

11

Page 12: Mari Bergurindam

Gurindam Raja Ali Haji ” Raja Muafakat”

Raja muafakat dengan menteriSeperti kebun berpagarkan duri

Betul hati kepada rajaTanda jadi sebarang kerja

Hukum adil atas rakyatTanda raja beroleh inayat

Kasihkan orang yang berilmuTanda rahmat atas dirimu.

Hormat akan orang yang pandaiTanda mengenal kasa dan cindai.

Gurindam Alisjahbana”Kurang Fikir”

Kurang fikir kurang siasatTentu dirimu kelak tersesat.

Fikir dahulu sebelum berkataSupaya terelak silang sengketa.

Perkataan tajam jika dilepasIbarat beringin racun dan upas.

Kalau mulut tajam dan kasarBoleh ditimpa bahaya besar.

Siapa menggemari silang sengketaKelaknya pasti berdukacita.

Silang selisih jangan dicariJika bersua janganlah lari.

Membuat perkara amatlah mudahJika terjadi timbullah gundah.

Gurindam Alisjahbana” Isteri Cantik”

Isteri cantik permainan mataIsteri budiman tajuk mahkota.

12

Page 13: Mari Bergurindam

Perempuan bagus suntingan duniaPerempuan beriman sangat mulia.

Suami isteri harus sekataJauh segala silang sengketa.

Suami tempat isteri bergantungKepadanya serah nasib dan untung.

Jika suami tak berhati lurusIsterinya kelak menjadi kurus.

Sungguh suami pegang kuasaJika seorang ia binasa.

Suami isteri tubuh yang duaSekata hendaknya sampaikan tua.

1. Ditulis 2 baris serangkapOrang yang rajin membaca buku (Baris 1)Banyak ilmu yang ia tahu (Baris 2)

i) Bilangan rangkap tidak ditentukan jumlahnya.

ii) Baris 1 – frasa ayat yang tidak sempurna (memerlukan sambungan pada baris kedua)

Membaca buku siang dan malam….(bersambung pada baris ke-2)…

iii) Baris 2 adalah sambungan frasa pada baris 1 (menjadi ayat yang lengkap)

………… Menambah ilmu menyinari kelam (sambungan baris 1)

iv) Baris 1 adalah subjek idea (juga menjadi sebab)

Membaca buku siang dan malam

‘Membaca buku’ adalah subjek/ sebab

13

Page 14: Mari Bergurindam

v) Baris 2 adalah huraian idea (menjadi akibat)

Menambah ilmu menyinari kelam

‘Menambah ilmu’ dan ‘menyinari kelam’ adalah huraian idea/ akibat daripada perlakuan ‘membaca buku’.

2. Setiap baris mengunakan 3 hingga 6 patah perkataan.Gurindam di atas tercipta dengan menggunakan 4 hingga 5 patah perkataan sebaris.

Orang yang rajin membaca buku (5 pp)Banyak ilmu yang ia tahu (5 pp)

3. Sebagai latihan awal eloklah dicipta gurindam yang dimulai dengan kata ‘jika, apabila, kalau, andai’. Ciptalah gurindam bertemakan nasihat.Contoh :

Gurindam Rajin Belajar

Jika kita rajin belajar,Jadi berguna bila dah besar.

Apabila suka pergi sekolah,Ibu gembira bapa tak marah.

Kalau selalu membaca buku,Bertambah ilmu banyak yang tahu.

Andai tekun mendengar ajaran,Jadi ingat semua pelajaran.

4. Pilih dan susun perkataan yang dirasakan tepat untuk menggambarkan idea. Disaran menggunakan teknik medan kata / medan makna untuk mencari kata-kata yang tepat dan berkaitan dengan idea. Contoh.

Belajar

sekolah rajin ibu-bapa tekunilmu berguna guru membacabuku besar gembira sukapelajaran tahu ingat berguna

14

Page 15: Mari Bergurindam

Semua perkataan/ diksi yang dipilih menjadi medan kata untuk perkataan belajar adalah berkait rapat dan berada dalam lingkungan maksud serta sifat perkataan berkenaan.

5. Pilih kata-kata yang indah dan puitis. Seterusnya bentuklah frasa atau ayat yang juga indah dan puitis. Selalulah merujuk kamus untuk mencari perkataan yang dirasakan sesuai.

6. Susun perkataan dengan skima rima hujung a;a. Walaupun gurindam tidak mementingkan skima rima tengah, namun jika dapat diusahakan, pengucapannya akan menjadi lebih puitis.

Apabila suka pergi sekolah,Ibu gembira bapa tak marah.

‘Suka’ dijodohkan dengan ‘gembira’ untuk rima tengah, sementara ’sekolah’ dijodohkan dengan ’marah’ untuk rima hujung. Sungguhpun skima rimanya gurindam di atas tidak bercorak serima, ia masih boleh dianggap binaan gurindam yang baik.

7. Namun adalah lebih elok andainya dapat difikirkan skima rima yang serima baik di tengah mahupun di hujung.

Apabila suka pergi sekolah,Hilanglah duka betulkan salah

‘Suka’ dan ‘duka’ membentuk rima tengah sementara ‘sekolah’ dan ‘salah’ membentuk rima hujung; menjadikan skima rimanya bercorak serima. Dengan ini pengucapannya menjadi lebih harmonis.

8. Akhirnya bacalah berulang kali gurindam yang diciptakan tersebut sambil membuat suntingan agar tercipta gurindam yang bermakna, indah dan puitis dari aspek pemikiran dan bahasanya.

Panduan Mendendangkan Gurindam

Gurindam didendangkan dengan pelbagai variasi melodi lagu.Umumnya rentak gurindam adalah perlahan (kerana mesej cinta/ nasihat)Suara beralun dan bertingkah (tinggi-rendah-mendatar)Antara lagu gurindam yang sering didendangkan adalah versi (melodi) Bangsawan 30-an, versi Kedah – Perlis, versi Lagu Narasi (Johor-Riau).

15

Page 16: Mari Bergurindam

Peserta boleh menghubungi Dewan Bahasa dan Pustaka atau Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mendapatkan Compac Disc Puisi Tradisional untuk mendengar contoh melodi gurindam.

Akhirul kalam

Padi segemal kepuk di hulu,Sirih di hilir merakap junjungan;

Kepalang duduk menuntut ilmu,Pasir sebutir jadikan intan.

Sekian. Semoga dipertemuan ini ada sesuatu yang tertinggal.Wassalam

16

Page 17: Mari Bergurindam

17