garis panduan pemberian bb1m kepada penjual buku

3
KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA GARIS PANDUAN PEMBERIAN BAUCAR BUKU 1MALAYSIA (BB1M) TAHUN 2013 KEPADA PENJUAL BUKU 1. PENGENALAN Tujuan garis panduan ini adalah untuk menerangkan tentang proses tuntutan bayaran balik baucar oleh kedai-kedai buku daripada Bank Simpanan Nasional (BSN). 2. OBJEKTIF Penyertaan adalah terbuka kepada semua kedai buku yang berdaftar. 3. TEMPOH SAH LAKU BAUCAR Baucar ini sah diguna pakai selama 5 bulan sahaja iaitu 1 Januari sehingga 31 Mei 2013. 4. KADAR BB1M Setiap pelajar layak menerima sebanyak 5 keping baucar buku (RM50 sekeping) yang berjumlah RM250. Kuasa bagi percetakan baucar hanya diberikan kepada Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) sahaja. 5. TATACARA PENGGUNAAN BAUCAR 5.1 Penjual buku perlu memaparkan notis penerimaan baucar buku 1Malaysia di premis jualan. 5.2 Baucar ini adalah untuk pembelian buku-buku akademik, jurnal dan majalah ilmiah berdasarkan keperluan IPT masing-masing. 5.3 Pelajar boleh menggunakan baucar ini di mana-mana kedai buku yang menyertai pelaksanaan inisiatif ini. Pelajar perlu mengemukakan baucar buku yang lengkap dengan nama pelajar, nombor kad pengenalan dan cop rasmi IPT/sekolah serta menunjukkan kad pengenalan yang asal semasa pembelian. 5.4 Pihak kedai buku berhak menolak penerimaan baucar yang tidak lengkap dengan maklumat pelajar dan cop agensi/ institusi yang jelas dan melaporkan sebarang penyalahgunaan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut. 5.5 Sekiranya amaun pembelian buku-buku ada berbaki sedikit daripada RM250, pelajar adalah dibenarkan membeli peralatan pembelajaran seperti buku catatan dan alat tulis. Baki baucar yang tidak habis digunakan adalah dianggap luput dan tidak boleh dituntut.

Upload: franky-foo

Post on 11-Aug-2015

52 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

BB1m

TRANSCRIPT

Page 1: Garis Panduan Pemberian BB1M Kepada Penjual Buku

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA GARIS PANDUAN PEMBERIAN BAUCAR BUKU 1MALAYSIA (BB1M) TAHUN 2013

KEPADA PENJUAL BUKU

1. PENGENALAN

Tujuan garis panduan ini adalah untuk menerangkan tentang proses tuntutan bayaran balik baucar oleh kedai-kedai buku daripada Bank Simpanan Nasional (BSN).

2. OBJEKTIF

Penyertaan adalah terbuka kepada semua kedai buku yang berdaftar.

3. TEMPOH SAH LAKU BAUCAR

Baucar ini sah diguna pakai selama 5 bulan sahaja iaitu 1 Januari sehingga 31 Mei 2013.

4. KADAR BB1M

Setiap pelajar layak menerima sebanyak 5 keping baucar buku (RM50 sekeping) yang berjumlah RM250. Kuasa bagi percetakan baucar hanya diberikan kepada Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) sahaja.

5. TATACARA PENGGUNAAN BAUCAR

5.1 Penjual buku perlu memaparkan notis penerimaan baucar buku 1Malaysia di premis jualan.

5.2 Baucar ini adalah untuk pembelian buku-buku akademik, jurnal dan majalah ilmiah berdasarkan keperluan IPT masing-masing.

5.3 Pelajar boleh menggunakan baucar ini di mana-mana kedai buku yang menyertai pelaksanaan inisiatif ini. Pelajar perlu mengemukakan baucar buku yang lengkap dengan nama pelajar, nombor kad pengenalan dan cop rasmi IPT/sekolah serta menunjukkan kad pengenalan yang asal semasa pembelian.

5.4 Pihak kedai buku berhak menolak penerimaan baucar yang tidak lengkap dengan maklumat pelajar dan cop agensi/ institusi yang jelas dan melaporkan sebarang penyalahgunaan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

5.5 Sekiranya amaun pembelian buku-buku ada berbaki sedikit daripada RM250, pelajar adalah dibenarkan membeli peralatan pembelajaran seperti buku catatan dan alat tulis. Baki baucar yang tidak habis digunakan adalah dianggap luput dan tidak boleh dituntut.

Page 2: Garis Panduan Pemberian BB1M Kepada Penjual Buku

5.6 Jika amaun yang dibeli melebihi RM250, pelajar perlu membayar sendiri dan tidak boleh membuat tuntutan tambahan kepada Kerajaan.

6. TUNTUTAN BAYARAN BALIK BAUCAR

6.1 Tuntutan bayaran balik baucar akan dibuat oleh kedai buku terus kepada BSN. Tuntutan hanya boleh dilakukan sehingga 30 Jun 2013.

6.2 Semasa menuntut bayaran balik daripada BSN, pihak kedai buku perlu memastikan:

i. akaun korporat telah dibuka di BSN; ii. baucar-baucar yang diterima telah dicop rasmi kedai buku (dicop sekali

sahaja); iii. resit pembelian buku dikepilkan pada setiap baucar; dan iv. melengkapkan senarai di Lampiran A.

6.3 Resit pembelian yang dikepilkan perlu menunjukkan item buku yang dibeli oleh pelajar. Pihak BSN berhak menolak penunaian baucar yang gagal mengemukakan resit yang jelas atau pembelian selain buku rujukan/ majalah ilmiah yang sesuai untuk tujuan pengajian. Pembelian peralatan pembelajaran hanya dibenarkan sekiranya masih terdapat baki sedikit daripada amaun baucar buku yang tidak dapat dibelanjakan.

6.4 Pihak kedai buku perlu mendepositkan RM500 untuk tujuan pembukaan akaun korporat BSN. Deposit tersebut akan dikembalikan kepada pihak syarikat semasa penunaian baucar.

6.5 Pihak kedai buku digalakkan untuk membuat penunaian secara berperingkat (bergantung kepada bilangan baucar yang diterima) untuk mengelakkan kelewatan dalam proses penunaian di BSN.

7. PEMBUKAAN AKAUN KORPORAT BANK SIMPANAN NASIONAL

7.1 Pihak kedai buku perlu mendapatkan borang permohonan untuk membuka akaun korporat daripada mana-mana cawangan BSN yang terdekat dan menyatakan tujuan akaun korporat dibuka iaitu untuk menyertai program Baucar Buku 1Malaysia.

7.2 Pihak kedai buku perlu mengemukakan nama penuh, nombor kad pengenalan, salinan fotostat kad pengenalan dan contoh tandatangan pengelola akaun kepada BSN.

7.3 Pihak kedai buku perlu mengemukakan borang pendaftaran syarikat (borang 24/49) semasa pembukaan akaun korporat di BSN bagi Syarikat Sendirian Berhad, bagi syarikat enterprise perlu mengemukakan Sijil Pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) manakala bagi syarikat koperasi perlu mengemukakan sijil pendaftaran koperasi.

7.4 Pihak kedai buku perlu mengemukakan surat arahan pindahan ke akaun bank lain (sekiranya ada) semasa membuat tuntutan bayaran balik baucar yang ditandatangani oleh pengelola akaun yang sama semasa pembukaan akaun korporat tersebut.

Page 3: Garis Panduan Pemberian BB1M Kepada Penjual Buku

8. PENYALAHGUNAAN BAUCAR BUKU

8.1 Baucar buku yang diterima tidak boleh ditukarkan dalam bentuk wang tunai atau dijualkan kepada pihak ketiga.

8.2 Pihak yang didapati bersubahat dalam penyalahgunaan baucar akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang.

8.3 Adalah menjadi tanggungjawab pihak pelaksana di IPT dan kedai-kedai buku untuk mematuhi tatacara dan prosedur dalam pelaksanaan pemberian baucar ini bagi mengelakkan sebarang penyelewengan dan penyalahgunaan.

9. PENUTUP

9.1 Dokumen berkaitan pemberian baucar ini perlulah dikemas kini dan disimpan secara teratur dan kemas bagi tujuan pemantauan dan pengauditan.

9.2 Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berhubung penunaian Baucar Buku 1Malaysia boleh menghubungi En.Zulkarnain bin Ismail di talian 019-215 2673 atau mana-mana cawangan BSN yang berhampiran.

Untuk makluman lanjut, sila layari laman web Kementerian Pengajian Tinggi di www.mohe.gov.my/bb1m atau mengajukan pertanyaan melalui talian 03-88705339/4361 dan emel [email protected]