UCAPAN
YANG BERBAHAGIA TAN SRI
MOHAMAD ZABIDI ZAINAL
SEMPENA
KARNIVAL PATRIOTISME JPA 2014
14 NOVEMBER 2014
INTAN, BUKIT KIARA
KUALA LUMPUR
2
Assalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh. Salam Transformasi dan
Salam “1Malaysia : Rakyat Didahulukan,
Pencapaian Diutamakan”
Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Sharifah
Zarah Syed Ahmad
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan
Awam (Pembangunan)
Yang Berbahagia Dato’ Seri Zainal
Rahim Seman
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan
Awam (Operasi)
3
Yang Berbahagia Dato’ Dr. Mazlan
Yusoff
Pengarah INTAN
Yang Berbahagia Tan Sri, Dato’ Seri,
Dato’-Dato’, Datin-Datin
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dikasihi
sekalian.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah
SWT kerana dengan limpah kurnia dan
inayah-Nya jua kita dapat bersama-
sama pada hari yang berbahagia ini
sempena Majlis Perasmian Karnival
Patriotisme JPA 2014.
4
2. Terlebih dahulu saya ingin
mengucapkan penghargaan dan ribuan
terima kasih kepada pihak Institut
Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan
juga rakan-rakan kolaborasi
strategiknya atas kejayaan
menganjurkan Karnival Patriotisme JPA
2014 pada hari ini. Majlis ini begitu
bermakna buat saya kerana dapat
bertemu dan berinteraksi dengan para
hadirin dari pelbagai kumpulan
masyarakat dan usia.
3. Majlis pada pagi ini juga amat
signifikan kerana merupakan acara
yang julung kalinya diadakan di
5
peringkat Perkhidmatan Awam. Marilah
sama-sama kita menghayati pengisian
Karnival ini dan memahatkan di dalam
sanubari rasa kecintaan terhadap
negara Malaysia yang berdaulat ini.
MENGIKTIBARI KES DAN SALAH LAKU
PENJAWAT AWAM
Hadirin dan hadirat yang dikasihi,
4. Tahun 2014 bakal meninggalkan
kita dalam tempoh sebulan sahaja lagi.
Sepanjang tahun ini, terlalu banyak
6
cerita suka dan duka yang telah kita
tempuhi bersama-sama. Kita diuji
dengan pelbagai tragedi yang mencabar
kedaulatan negara. Kita dicabar dengan
keruntuhan moral dan terhakisnya sikap
kemanusiaan dalam kalangan rakyat.
Kita terpaksa menelan pahitnya
tanggapan rakyat terhadap
Perkhidmatan Awam apabila ada dalam
kalangan penjawat awam yang didakwa
atas tuduhan pecah amanah, tidak
integriti serta mengambil rasuah.
5. Kes-kes rasuah melibatkan
penjawat awam sentiasa terpampang di
dada akhbar. Seksyen 23 Akta SPRM
7
2009 memperuntukkan seorang
penjawat awam tidak boleh
menyalahgunakan kuasa dan
kedudukannya untuk mendapat suapan
rasuah, atau tidak boleh terbabit dalam
proses membuat keputusan sekiranya
menjadi pengerusi atau ahli dalam
sesuatu mesyuarat yang mempunyai
kepentingan.
6. Namun, lain yang diharap, lain yang
terjadi. Kata peribahasa Melayu,
harapkan pegar, pegar makan padi.
Yang menjatuhkan imej dan
merosakkan nama baik Perkhidmatan
8
Awam rupa-rupanya adalah mereka
yang berada dalam Kerajan itu sendiri.
7. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) telah menerima
sebanyak 4,693 laporan dalam tempoh
lima tahun lepas, dan daripada angka
itu, sebanyak 1,077 kes telah disiasat
dan 847 penangkapan telah dibuat.
Jumlah ini merangkumi kes-kes
melibatkan penjawat awam.
8. Pada bulan ini sahaja, kita boleh
melihat pelbagai kes salah laku
dilaporkan di dada-dada akhbar utama.
Pelaksanaan undang-undang dan
9
penguatkuasaan yang lemah terhadap
mereka yang menceroboh di tanah
tinggi Cameron Highlands telah
menyebabkan bencana banjir lumpur
dan tanah runtuh beberapa hari yang
lalu hingga mengorbankan nyawa.
9. Selain itu, isu kebocoran beberapa
kertas soalan peperiksaan Ujian
Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)
2014 membawa kepada penggantungan
pengarah dan timbalan pengarah
Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM)
telah sedikit sebanyak menjejaskan
integriti LPM dan keseluruhan sistem
peperiksaan awam negara kita.
10
10. Kerja-kerja pembotakkan bukit
yang semakin berleluasa pada masa kini
sedikit sebanyak menunjukkan
kegagalan kerajaan untuk memelihara
alam sekitar. Siapakah yang boleh
dipersalahkan dalam hal ini jika bukan
perkhidmatan awam yang merupakan
salah satu agen yang memainkan
peranan dalam membuat keputusan.
Contoh-contoh yang saya berikan tadi,
telah banyak memberikan persepsi yang
negatif tehadap pekhidmatan awam.
11
Tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi
sekalian,
11. Marilah kita renung dan fikirkan
sejenak akan untung nasib negara kita
pada masa hadapan kelak. Penjawat
awam adalah merupakan tiang utama
yang akan menjadi penentu
kelangsungan survival anak bangsa
kita. Sekiranya penjawat awam sendiri
yang merosakkan amanah yang
diberikan oleh Kerajaan dan rakyat,
maka wajarlah mereka ini digelar
penderhaka rakyat.
12
12. Setelah 57 tahun negara kita
merdeka, marilah kita merenung
sejenak tentang nilai-nilai dan unsur-
unsur patriotisme. Kita seharusnya
mempraktikkan nilai-nilai yang
berteraskan perasaan muhibbah seperti
bekerjasama, tolong-menolong dan
bersatu padu dalam kehidupan
bermasyarakat. Nilai-nilai ini akan
membawa kepada perpaduan yang
merupakan asas pembinaan negara
merdeka.
13. Kerana itulah dalam Kerangka
Kerja Transformasi Perkhidmatan Awam
(KTPA), kita telah menggariskan aspek
13
Membudaya Nilai sebagai Teras
Strategik Kelima. Kita mahu membina
penjawat awam dan rakyat Malaysia
yang mempunyai semangat setia dan
perasaan cinta terhadap negara.
14. Perasaan ini dilengkapi dengan
sikap ketaatan dan kesetiaan yang
tidak berbelah bahagi kepada Raja dan
pemimpin negara. Dalam situasi semasa
yang begitu mencabar dan berbagai
krisis dialami, semangat kesetiaan kita
telah diuji. Kita mestilah memastikan
perpaduan rakyat Malaysia terus kukuh
dan utuh dalam menghadapi sebarang
14
ancaman baik dari dalam mahupun dari
luar negara.
15. Semangat kekitaan, bersatu padu
dan berharmoni yang perlu wujud dalam
jiwa setiap rakyat Malaysia. Sikap
hormat-menghormati dan bertolak-ansur
hendaklah sentiasa diutamakan dalam
kehidupan kita. Mengukuhkan
persamaan dan meraikan perbezaan
antara masyarakat berbilang kaum dan
etnik di negara ini adalah amalan kita
sejak sekian lama. Janganlah amalan ini
semakin hari semakin hilang dari
kehidupan kita.
15
16. Untuk mewujudkan semangat dan
amalan ini, membina penjawat awam
yang berdisiplin, berakhlak dan berbudi
pekerti mulia adalah suatu cabaran
kepada kita. Unsur ini banyak
menyentuh keperibadian seseorang
dengan ciri-ciri yang unggul seperti
berkelakuan sopan, bertatasusila dan
berhemah tinggi, mempunyai pemikiran
rasional, bersikap amanah serta berlaku
adil dan bertimbang rasa.
17. Akhirnya, kita hendaklah sentiasa
berusaha gigih dan produktif dalam
melaksanakan tanggung jawab dalam
pelbagai profesion sama ada dalam
16
sektor awam mahupun swasta.
Kesungguhan kita dalam apa jua bidang
yang diceburi akan membuahkan hasil
yang setimpal. Namun, ketabahan kita
menghadapi cabaran dan dugaan
hendaklah sentiasa diperkukuh agar
terus berdaya menelusuri arus
kemajuan.
PATRIOTISME ASAS PERJUANGAN
NEGARA
Para hadirin yang saya kasihi sekalian,
18. Tanggal 16 Oktober 2014
menyaksikan peristiwa bersejarah dan
17
bermakna kepada rakyat Malaysia
apabila Malaysia terpilih sebagai wakil
tidak tetap Majlis Keselamatan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB). Peranan Malaysia yang konsisten
dalam memperjuangkan banyak isu
misalnya isu senjata pemusnah dan
nuklear, pembangunan mapan dan
seimbang, serta isu kemanusiaan
khasnya nasib penduduk Palestin
menunjukkan keupayaan Malaysia untuk
menyuarakan pandangan yang mampu
memberi impak yang besar.
18
19. Pelantikan Yang Berbahagia Tan
Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Setiausaha
Negara sebagai presiden baharu
Pertubuhan Komanwel Bagi Pentadbiran
Awam dan Pengurusan (CAPAM) untuk
penggal 2014 hingga 2016 merupakan
satu penghormatan dan manifestasi
keyakinan negara-negara Komanwel
dan CAPAM terhadap kepimpinan
negara kita.
20. Kejayaan demi kejayaan yang
berlaku ini menunjukkan Negara kita
berwibawa dan diiktiraf oleh dunia.
Pelantikan Malaysia ke dalam Majlis
Keselamatan PBB dan sebagai presiden
19
baharu CAPAM membuktikan suara kita
didengari dan mampu mempengaruhi
sesuatu keputusan.
21. Hari ini, Malaysia adalah sebuah
negara membangun yang berada di
lekok terakhir menuju ke arah status
negara maju selaras dengan hasrat
Wawasan 2020. Tidak ada guna menjadi
negara maju sekiranya penjawat awam
tidak mempunyai semangat patriotisme
yang kukuh dan kental di hati mereka.
22. Kemajuan yang diperolehi ini
adalah amat bermakna apabila segenap
lapisan masyarakat mempunyai
20
semangat cintakan negara. Sebagai
warganegara Malaysia, kita amat
berbangga apabila ada individu-individu
yang mampu dan berjaya
mengharumkan nama Malaysia di
persada dunia.
23. Malaysia sudah dikenali di seluruh
pelusuk dunia. Melalui semangat
cintakan Negara yang menggunakan
kata hikmat “Malaysia Boleh”, ramai
rakyat Malaysia yang telah berjaya di
dalam pelbagai bidang seperti dalam
sukan badminton melalui beregu emas
negara, Shalin Zulkifli dalam sukan
bowling, Datuk Nicole David dalam
21
sukan skuasy dan lain – lain. Tidak juga
kurang hebatnya rakyat Malaysia yang
mencipta rekod dunia dengan Datuk N.
Mohanadas dan Datuk M. Magendran
menawan Gunung Everest.
24. Apabila Malaysia berada di puncak
dunia dengan semangat cintakan
negara yang ditonjolkan oleh rakyatnya
maka ia mampu memberi pulangan yang
tinggi kepada semua warganegara
Malaysia terutamanya dari segi
ekonomi.
22
25. Ekonomi negara akan semakin
mantap dengan kehadiran pelancong
untuk melihat kemasyhuran Malaysia.
Para pelabur juga berlumba–lumba
menjana ekonomi negara kerana
mereka percaya Malaysia adalah negara
yang aman, bersatu padu dan makmur
serta stabil di mana semua rakyatnya
yang berbilang bangsa mencintai
negara.
26. Tanggungjawab kita adalah untuk
membawa Malaysia ke puncak dunia
dengan sentiasa menyemai rasa
cintakan negara dengan tidak
melibatkan diri dalam pelbagai gejala
23
sosial dan jenayah. Kita perlu menjadi
warganegara yang terus menyokong
pembangunan negara yang telah
direncanakan oleh kerajaan Malaysia.
27. Kita mestilah berasa bangga
dengan kejayaan yang telah dikecapi
oleh rakyat Malaysia dan pastinya
generasi seterusnya akan meneruskan
kesinambungan pembangunan yang
telah dicipta berasaskan semangat
cintakan negara hingga Malaysia berada
di puncak dunia.
24
MALAYSIA… DI SINI LAHIRNYA SEBUAH
CINTA
Hadirin dan hadirat yang dikasihi
sekalian,
28. Tema Hari Kebangsaan kita pada
tahun ini ialah Malaysia... Di Sini
Lahirnya Sebuah Cinta yang merupakan
sebahagian daripada lirik lagu
Allahyarham Datuk Sudirman Haji
Arshad bertajuk Warisan. Pemilihan
tema ini adalah untuk menyemai dan
menyemarakkan rasa cinta dalam diri
rakyat Malaysia terhadap negara.
25
29. Jalur Gemilang adalah lambang
negara kita yang sentiasa kita bawa
dalam jiwa kita. Kita seharusnya berasa
berbangga dengannya kerana Jalur
Gemilang menjadi bukti bahawa kita
adalah rakyat kepada sebuah negara
yang bernama Malaysia. Tidak kira di
mana pun kita berada, lambang Jalur
Gemilang haruslah sentiasa disemai di
dalam diri kita.
30. Sebagai rakyat Malaysia juga, kita
perlu menanam rasa kecintaan terhadap
Bahasa Melayu yang merupakan bahasa
bahasa kebangsaan negara kita. Malah
Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu
26
mengadakan lawatan kerja di Australia
baru-baru ini telah menegaskan bahawa
Bahasa Melayu mempunyai tempat
sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan
ia tidak harus dikorbankan dalam usaha
untuk memperkasakan Bahasa Inggeris.
31. Seperti mana yang kita sedia
ketahui, peruntukan Perkara 152
Perlembagaan Persekutuan dan Akta
Bahasa Kebangsaan 1963/67 telah
memperuntukkan bahawa bahasa
Melayu adalah bahasa kebangsaan dan
hendaklah digunakan dalam pentadbiran
negara. Sehubungan itu, JPA telah
mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan
27
Bilangan 9 pada tahun 2011 mengenai
Panduan Penggunaan Bahasa
Kebangsaan dalam Perkhidmatan
Awam. Terdahulu Surat Pekeliling Am
Bilangan 1 Tahun 2006 telah
dikeluarkan sebagai panduan untuk
memperkasakan penggunaan bahasa
kebangsaan dalam perkhidmatan awam.
32. Sewaktu sambutan Bulan Bahasa
Kebangsaan 2014, Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) telah memaklumkan
bahawa terdapat sembilan agensi awam
dan enam pejabat kerajaan negeri telah
diaudit sepanjang tahun ini. DBP akan
meneruskan pengauditan terhadap
28
penggunaan bahasa kebangsaan di
agensi-agensi awam sehingga awal
tahun hadapan dan hasil dapatan
keseluruhan dijangka akan dibentang
pada bulan Jun 2015.
33. Justeru itu, saya ingin mengajak
tuan-tuan dan puan-puan untuk
bersama-sama menyelami erti
kemerdekaan, nilai patriotisme dan rasa
cintakan negara agar kedaulatan negara
dapat kita pertahankan. Sahutlah
gagasan yang direncanakan oleh
kerajaan dengan keazaman dan
semangat juang yang tinggi demi untuk
mencapai kemakmuran bersama.
29
34. Mudah-mudahan segala usaha
murni yang kita gembelengkan akan
mendapat keredhaan Allah SWT jua.
InsyaAllah. Akhir kata, dengan lafaz
Bismillahirrahmanirrahim saya
merasmikan Karnival Patriotisme JPA
2014 ini.
Sekian. Wabillahitaufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh. Terima kasih.