Download - Tarian Mangunatip
TARIAN MANGUNATIP
Tarian mangunatip atau tarian buluh merupakan tarian tradisi suku kaum Murut
Kuhijau (Kwijau). Magunatip berasal dari perkataan ‘apit’ yang bermakna jepit (ketika
menari kaki penari terjepit atau terapit oleh 2 buluh jikalau tidak cekap mengelakkannya).
lanya ditarikan dengan iringan pukulan gong pada awal tarian tetapi semasa buluh
dilagakan, bunyi gong tidak diperlukan lagi kerana bunyi buluh yang dilagakan akan
mengeluarkan bunyi yang kuat dengan irama yang menarik dan unik. Beberapa penari
lelaki dan wanita, terlonjak-lonjak menari dengan pakaian yang penuh tradisi, sementara
dua atau empat orang melagakan alu dan dua orang lagi rnemegang pangkal alu tersebut
supaya tidak berganjak dari kedudukannya.
Tarian ini sudah dijadikan satu upacara rasmi, terutama sekali semasa Majlis
Jamuan Makan orang-orang kenamaan atau lebih dikenali sebagai 'Orang Kaya-kaya'
atau O.K.K. di samping ditarikan dalam majlis-majlis menyambut perayaan Pesta
Kaamatan iaitu hari Pesta Menuai Padi pada 31 Mei setiap tahun. Selain itu, tarian ini
juga dipersembahkan di majlis-majlis tertentu seperti menyambut Hari Guru, Hari
Kemerdekaan dan sebagainya. Tarian Mangunatip bertujuan untuk memeriahkan sesuatu
upacara yang diadakan. Pakaian Adat suku kaum Murut. Lelaki memakai jaket barbaru
dan cawat dari kulit kayu puputul yang dilukis dengan motif dari manik atau warna.
Perhiasan kepalanya “tupi sinulatan” juga dari kulit kayu. Wanita menggayakan pakaian
“pinongkolo” dari kain kapas berhiaskan motif sarat dari manik-manik berwarna-warni.
Perhiasan diri juga dari manik seperti rantai “rarangkol” dan hiasan kepala “salupai”.
1
KEUNIKAN TARIAN MANGUNATIP
Tarian Mangunatip ini mempunyai keunikannya yang tersendiri. Melalui nama tarian ini
sudah menampakkan keunikan kerana mengekalkan identiti suku kaum Murut. Perkataan
“Mangunatip” diambil dalam perkataan Bahasa Murut iaitu “apit” yang bermaksud
“sepit” kerana tarian ini menggunakan buluh dan para penari memerlukan kepantasan dan
kecekapan ketika menari.
Selain itu, tarian ini juga memerlukan buluh sebagai alat utama kerana tanpa
buluh, tarian ini tidak akan berjaya. Batang buluh pula mestilah jenis yang sesuai dan
melalui beberapa proses sebelum dijadikan sebagai alat tarian. Buluh tersebut akan
ditebang mengikut saiz dan kepanjangan yang sesuai. Selepas itu, buluh tersebut akan
dijemur supaya ringan dan tahan lama. Setelah kering, proses mengecat buluh akan
bermula dan dilukis dengan corak-corak yang menarik. Biasanya ia dilukis bermotifkan
bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan.
2
Seterusnya, ketika tarian ini ditarikan kita dapat melihat gerakan badan, tangan
dan kaki penari. Tarian yang lemah-gemalai dan memerlukan kepantasan kaki sangat
menguja perasaan penonton. Tarian dimulakan dengan rentak perlahan dan lama-
kelamaan, buluh akan diketuk dengan cepat dan para penari mengikut rentak bunyi buluh
tersebut. Pada masa inilah kemuncak Tarian Mangunatip kerana para penari akan melalui
buluh dengan cepat dalam tempoh beberapa minit sebelum mengakhiri tarian.
Di samping itu, pakaian yang dipakai oleh para penari menambahkan lagi
keistimewaan tarian tradisi masyarakat Murut. Pakaian yang berwarna-warni dan dihias
dengan manik-manik yang pelbagai jenis menambahkan lagi keayuan dan kesegakkan
penari. Aksesori wanitanya pula begitu unik seperti “salupai” yang dipakai di kepala,
“pipirot” iaitu tali pinggang, gelang tangan dan kaki, rantai dan sebagainya. Manakala
penari lelaki tidak terkecuali menjadi bahan tarikan penonton melalui pakaian yang
diperbuat daripada kulit kayu dan “tupi sinulatan” yang dipakai di kepala. Senjata yang
digunakan oleh penari lelaki iaitu parang dan perisai melambangkan sifat kepahlawanan
kaum Murut dan mengingati pahlawan kaum ini iaitu Antanom yang terkenal dengan
keberaniannya menentang penjajah.
3
KAEDAH MENARIKAN TARIAN MANGUNATIP
Para penari yang menarikan tarian ini memerlukan latihan yang berterusan kerana
tanpa latihan yang kerap, mereka tidak akan mahir dalam tarian ini. Tarian Mangunatip
juga lebih memfokuskan kepada kepantasan dan kecekapan kaki untuk mengelakkan kaki
daripada tersepit. Justeru, mereka akan berlatih dengan kerap dan akan menambahkan
kelajuan memukul buluh supaya memberi ketegangan dan keghairahan kepada penonton
untuk terus menyaksikan tarian ini.
Corak persembahan tarian ini juga telah mengalami perubahan mengikut arus
kemodenan. Pelbagai teknik tarian dipelbagaikan dan ditokok tambah mengikut kreativiti
masing-masing namun masih mengekalkan keaslian tarian ini. Kebiasaannya, Tarian
Mangunatip dimulakan dengan pukulan gong dan sebahagian penari datang dan menari
dengan lemah-gemalai sebagai ucapan selamat datang kepada tetamu. Seterusnya, penari
yang akan beraksi dengan menggunakan buluh iaitu penari lelaki dan perempuan datang.
Penari lelaki akan membawa buluh yang panjang dan penari wanita pula membawa
empat batang buluh pendek.
Pemukul buluh akan mula memukul buluh dan para penari secara berpasang-
pasangan menari melalui keempat-empat buluh. Selepas itu, corak persembahan bertukar
membentuk step atau bunga tarian yang baru. Kempat-empat buluh akan disilangkan
menjadi bentuk X dan para penari menari dalam satu bulatan. Beberapa corak tarian akan
bertukar dan semakin lama buluh akan diketuk dengan cepat dan para penari memerlukan
kosentrasi dan menumpukan perhatian supaya kaki mereka tidak tersepit. Selepas itu,
tarian akan berakhir dengan latarbelakang atau kedudukan yang menarik daripada setiap
penari yang mengambil bahagian.
4
MAKSUD TERSIRAT DALAM TARIAN MANGUNATIP
Setiap gerakan dalam sesuatu tarian mempunyai maksud yang tersirat. Tarian
Mangunatip juga mempunyai makna disebalik sesuatu gerakan. Tarian yang lemah-
gemalai membawa maksud kesopanan wanita dan pihak lelaki sebagai pelindung kepada
wanita dalam kehidupan. Hal ini dapat dilihat ketika penari lelaki memegang parang dan
perisai sambil matanya liar berwaspada dan seolah-olah sedang bertarung dengan musuh.
Ketika melalui buluh pula, penari lelaki dan wanita akan berpasang-pasangan
sambil berpegangan tangan menari melalui buluh tersebut. Hal ini menerangkan kepada
kita bahawa walau apa jua cabaran dan rintangan yang melanda, kedua-dua pasangan
khasnya dalam institusi perkahwinan, kedua-dua pihak hendaklah berganding bahu
menyelesaikan masalah dalam rumahtangga.
5
ALAT MUZIK TARIAN MANGUNATIP
1. GONG.
Antara alat muzik yang paling penting bagi masyarakat Murut ialah Agong/Gong.
Gong yang juga merupakan sebahagian daripada barang hantaran masyarakat
Murut mempunyai nilai yang tinggi bahkan lebih mahal daripada bungkas (sejenis
aksesori kaum wanita) terutamanya gong asli.
Justeru Gong bukan sahaja dianggap sebagai salah satu alat muzik yang penting
bahkan juga sebagi simbol prestij seeorang individu di mata masyarakatnya. Gong
dipercayai berasal dari Pulau Jawa dan telah dibawa masuk ke Pulau Borneo ,
khususnya semasa kerajaan Majapahit menakluki negeri itu kira-kira pada abad ke
lima belas. Perkataan “gong” yang digunakan secara meluas di seluruh dunia
sekarang ini berasal daripada perkataan Melayu/Indonesia yang berasaskan
kepada sistem “onomatopeia” iaitu suatu sistem penamaan yang diilhamkan
melalui peniruan bunyi yang diterbitkan oleh alat berkenaan.
6
Agong/Gong
7
2. BULUH.
Buluh merupakan salah satu alat muzik yang digunakan dalam tarian mangunatip.
Biasanya empat batang buluh yang panjang dan empat batang buluh yang
dipotong pendek untuk diletakkan di bawah dua batang buluh panjang. Ia
bertujuan untuk menghasilkan bunyi yang lebih menarik dan memudahkan proses
melagakan buluh. Buluh-buluh yang digunakan itu akan dicat dan dihias dengan
cantik supaya kelihatan lebih menarik.
Masyarakat Murut juga menggunakan buluh semasa majlis perkahwinan yang
disebut “Tinauh”. Sebatang buluh akan dipotong di hadapan pengantin sambil
mendengar nasihat daripada ketua kampung ataupun ketua rumah, kemudian
nasihat daripada bapa pengantin lelaki dan seterusnya nasihat bapa perempuan.
Setiap individu yang memberi nasihat akan memotong buluh. Buluh yang
dipotong akan mengeluarkan air, dan air tersebut akan ditadah kemudian di
sapukan kepada kepala budak kecil sebagai air suci yang menandakan bahawa
budak yang disapu dengan air itu akan beroleh kehidupan yan aman sejahtera
disamping menjadi anak yang berguna di masa akan datang. Mereka yang
menadah air buluh ini terbuka kepada sesiapa yang berminat sahaja. Acara
memotong buluh ini disaksikan oleh semua orang kerana mereka sama-sama
mendengar nasihat yang diberi oleh individu-individu yang berkenaan.
8
Buluh
9
PAKAIAN PENARI TARIAN MANGUNATIP
1. Pakaian penari lelaki.
Penari lelaki akan memakai baju “babaru” dan “cawat” yang diperbuat daripada
kulit kayu “puputul”. Pakaian ini akan dilukis dan diwarnakan mengikut kreativiti
pembuatnya. Pada kebiasaannya mereka akan menggunakan warna yang terang
seperti warna merah yang melambangkan sifat keberanian dan kepahlawanan.
Selain itu, pakaian penari juga dihias dengan manik-manik yang berwarna-warni.
Perhiasan kepala penari lelaki disebut sebagai “tupi sinulatan” yang juga dibuat
daripada kulit kayu. Pembuatan pakaian ini memerlukan masa yang lama kerana
melalui banyak proses yang bermula dengan proses mencari kulit kayu yang
sesuai. Seterusnya kulit kayu itu diketuk sehingga lebar dan dijemur untuk
beberapa hari. “Tupi sinulatan”juga melalui proses yang sama dan dihias dengan
bulu binatang. Di samping itu, ala senjata yang digunakan oleh para penari lelaki
ialah parang atau disebut sebagai “lukut” dalam bahasa Murut. Mereka juga
membawa bersama perisai yang dibuat daripada kayu dan dilukis bermotifkan
tumbuh-tumbuhan dan sebagainya.
10
Babaru dan cawat
11
Pakaian lelaki
12
Contoh-contoh ukiran
13
2. Pakaian penari perempuan.
Penari wanita pula menggayakan pakaian “pinongkolo” daripada kain kapas
berwarna hitam dan dihias dengan manik-manik berwarna-warni.Warna hitam
adalah warna asas tekstil yang digunakan untuk membuat pelbagai bahan pakaian
untuk lelaki dan wanita. Bagaimanapun, pakaian-pakaian ini sudah mengalami
banyak perubahan dan banyak dihias dengan sulaman yang berwarni-warni,
labuci yang berkilat serta hiasan tepi kain disulam dengan benang yang diimport.
Perhiasan diri pula seperti rantai “rarangkol” dan hiasan kepala “salupai”.
Aksesori ini menggunkan manik-manik yang disebut “sulimpuk”. Selain itu,
penari perempuan juga memakai “tali pinggang duit syiling perak pipirot”. Baju
wanita berlengan pendek dan dihiasi dengan pelbagai corak yang bermotifkan
bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan. Masyarakat asli secara tradisi menenun
gentian asli seperti “pisang lanut” (musa testiles), “lamba” (Curguligo latifolio)
dan kapas (Gossypium herbaceum) dengan menggunakan tenunan lama untuk
dijadikan kain. Kemudian kain tersebut diwarnakan denagn nila (indigofera
tinetoria) kerana nila mudah diperolehi dan tidak mudah luntur. Pada zaman
dahulu, pakaian tradisi Murut dihias dengan batu akik merah, manik kaca
berwarna, kulit kowri, butang putih atau cakera yang dibuat daripada cangkerang
dan tembaga. Bagaimanapun pada hari ini, kebanyakan hiasan-hiasan ini
digantikan dengan manik-manik plastik dan bahan moden yang lain seperti
benang emas, perak labuci dan benang berwarna. Pakaian tradisi ini turut dipakai
semasa hari perkahwinan dan majlis-majlis keramaian seperti Pesta Menuai pada
bulan Mei. Perayaan Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai turut mengadakan
14
pelbagai pertandingan antaranya Pertandingan Unduk Ngadau atau Ratu Cantik.
Melalui pertandingan inilah kita dapat melihat pelbagai jenis baju tradisi yang
direka khas untuk pertandingan ini.
Pakaian wanita
Baju Pinongkolo
15
16
KESIMPULAN DAN CADANGAN
17
Tarian Mangunatip merupakan salah satu daripada tarian tradisi kaum Murut
selain daripada “Tarian Mangalai” dan “Tarian Sumazau”. Keunikan yang terdapat dalam
tarian ini membuatkan saya tertarik untuk membuat kajian walaupun memerlukan kos
yang tinggi ekoran daripada jarak negeri Perak dengan negeri Sabah sangat jauh. Di
samping itu, pihak yang pakar dengan sejarah tarian ini juga sukar dihubungi namun
dengan pertolongan ibu saya dan kawan-kawan seperjuangan yang tahu sedikit sebanyak
mengenai tarian ini dapat merungkaikan segala persoalan tentang Tarian Mangunatip.
Tarian ini mempunyai maksud yang tersirat yang dapat diperhatikan dalam setiap
langkah tarian. Tarian yang lemah-gemalai membawa maksud kesopanan wanita dan
pihak lelaki sebagai pelindung kepada wanita dalam kehidupan. Hal ini dapat dilihat
ketika penari lelaki memegang parang dan perisai sambil matanya liar berwaspada dan
seolah-olah sedang bertarung dengan musuh. Ketika melalui buluh pula, penari lelaki dan
wanita akan berpasang-pasangan sambil berpegangan tangan menari melalui buluh
tersebut. Hal ini menerangkan kepada kita bahawa walau apa jua cabaran dan rintangan
yang melanda, kedua-dua pasangan khasnya dalam institusi perkahwinan, kedua-dua
pihak hendaklah berganding bahu menyelesaikan masalah dalam rumahtangga.
Setiap masyarakat di Malaysia memang kaya dengan budayanya yang tersendiri
namun kurangnya pendedahan daripada masyarakat itu sendiri menyebabkan adat resam
dan budaya tersebut semakin dilupakan. Justeru, dengan kesedaran itulah golongan muda
hari ini berusaha mengkaji kebudayaan dan keunikan tinggalan sejarah itu untuk
didedahkan kepada masyarakat umum untuk dihayati bersama. Semua pihak hendaklah
18
bekerjasama untuk memelihara kebudayaan masyarakat kita daripada pupus ditelan
zaman ekoran daripada tiada langkah untuk menjaga dan mempelajarinya.
Pihak ibu bapa misalnya, hendaklah mendedahkan kepda anak-anak mereka
tentang asal usul budaya, jenis-jenis adat, pantang larang dan sebagainya. Melalui
pendedahan awal daripada pihak ibu bapa, anak-anak dapat pengetahuan umum dan
berminat untuk mengkaji dengan lebih mendalam lagi budaya bangsa mereka apabila
mereka sudah dewasa kelak. Selain itu, peranan remaja dan golongan muda sesuatu kaum
juga sangat penting kerana golongan inilah yang akan memperkenalkan keunikan budaya
kaum mereka serta memeliharanya supaya ianya tak lekang dek panas dan tak lekang dek
hujan.
Selain itu, peranan pihak kerajaan seperti Kementerian Kebudayaan dan Warisan
amat penting untuk mempromosikan sesuatu kebudayaan untuk dipersembahkan kepada
khalayak umum. Contohnya, apabila negara kita menyambut sesuatu perayaan,
kementerian ini telah memasukkan semua kebudayaan masyarakat Malaysia seperti
Melayu, Cina, India, etnik Sabah dan Sarawak. Namun, masih ada lagi kebudayaan yang
belum dipromosikan secara meluas. Justeru, dengan adanya kajian seperti ini, budaya,
adat resam dan sebagainya dapat diperkenalkan kepada masyarakat kita.
19