Download - refleksi PRS
REFLEKSI KENDIRI
Syukur Alhamdulillah kerana di atas keizinanNya akhirnya Kem Kepimpinan
Pembimbing Rakan Sebaya anjuran Kelab Pembimbing Rakan Sebaya (CPR2011) di Kem
Rekreasi Sungai Gading, Ulu Bernam, Selangor telah berjaya dilaksanakan pada tarikh 13, 14
dan 15 Disember 2013.
Kem yang memakan masa selama selama 3 hari 2 malam ini mendapat respon dan
kerjasama yang sangat baik dari seluruh rakan pelajar yang mengikuti kursus ini. Tambahan pula
dengan keadaan cuaca yang baik, melicinkan lagi perjalanan program kami ini. Banyak
kenangan dan pengajaran yang diperoleh oleh saya sepanjang program ini berjalan dan
membantu diri saya untuk menjadi lebih berkeyakinan pada masa akan datang sebagai seorang
guru. Berikut adalah refleksi berdasarkan 3 hari 2 malam program tersebut dijalankan.
1. 13 Disember 2013 (Jumaat)
Perjalanan kami ke Kem Rekreasi Sungai Gading adalah bermula jam 2.30 petang di mana
kami dibawa menaiki bas menuju ke persimpangan masuk ke kem tersebut. Di sana kami telah
ditunggu oleh pihak yang bertanggungjawab membawa kami ke kem. Perjalanan yang memakan
masa lebih kurang setengah jam berjalan lancar dan pemandu perlu berulang untuk mengambil
pelajar lain. Lebih kurang pukul 4 petang, kesemua pelajar telah selamat berkumpul dan kami
diberi taklimat ringkas berhubung kem ini. Kami ditunjukkan dorm sebagai penginapan dan
diminta untuk solat asar berjemaah terlebih dahulu. Kami kemudiannya diarahkan berkumpul
semula untuk menjalankan aktiviti berbudi pada tanah iaitu masuk ke kebun di dalam kem
tersebut untuk bersama-sama mencari durian. Malangnya kami difahamkan oleh pihak berkenaan
bahawa musim durian kali ini kebun tersebut tidak menghasilkan banyak durian. Oleh hal yang
demikian kami hanya sekadar berjalan dan melihat-lihat keadaan kebun tersebut. Pulang sahaja
dari kebun, kami diberi makan dan dilepaskan untuk membersihkan diri serta bersiap untuk solat.
Pada waktu malamnya, selepas solat Maghrib dan Isyak berjemaah, kami menjalankan
aktiviti Latihan Dalam Kumpulan dan juga ice breaking. Kami dibahagikan kepada tujuh
kumpulan oleh guru pembimbing. Aktiviti pada malam tersebut berjalan secara santai tetapi
memerlukan kami untuk berfikir secara kritis dan kreatif dalam menyelesaikan masalah. Guru
pembimbing telah memberi kami satu masalah yang perlu diselesaikan dan kemudian
membentangkan idea kami. Kemudian kami diminta untuk saling berdebat tentang idea masing-
masing. Aktiviti ini menuntut kami untuk berfikir dengan lebih kreatif dan rasional apabila
menghadapi sesuatu masalah yang tidak dijangka.
Selesai sahaja aktiviti ini, kami meneruskan kepada aktiviti kedua iaitu nightwalk dan
solowalk. Aktiviti ini telah diuruskan oleh pihak fasilitator dari kem rekreasi terbabit. Nasihat
dan peringatan telah diberikan kepada kami berulang kali oleh pihak fasi memandangkan kami
perlu berjalan di dalam hutan dan tidak mahu sebarang perkara tidak elok berlaku. Aktiviti ini
memerlukan kami untuk melihat dengan teliti memandangkan tiada lampu suluh yang
dibenarkan untuk digunakan, melainkan bantuan dari cahaya bulan semata-mata. Pada aktiviti
tersebut, kami perlu meredah hutan dan sungai dalam gelap secara berkumpulan terlebih dahulu.
Dingin kesejukan malam sangat terasa apabila perlu memasuki sungai tambahan pula angin pada
malam tersebut agak kuat bertiup. Selesai berjalan berkumpulan, kami diminta untuk berjalan
secara bersendirian pula untuk sampai ke pusat kumpulan kami di kem tersebut. Kedua-dua
perjalanan tersebut berjalan dengan lancar. Selesai sahaja aktiviti, kami diarahkan untuk
membersihkan diri dan berehat untuk aktiviti pada esok hari pula.
2. 14 Disember 2013 (Sabtu)
Kami dikejutkan seawal pukul 6 pagi untuk solat Subuh secara berjemaah di dewan yang
telah disediakan. Selesai solat, kami diberi tazkirah pendek oleh AJK Kerohanian yang telah
dilantik dari kalangan kami. Kami berkumpul semula pada pukul 7 pagi untuk bersarapan dan
senam robik. Aktiviti pada hari ini adalah jungle tracking dan river crossing. Perjalanan jungle
tracking mengambil masa lebih kurang sejam lebih dan berjalan dalam keadaan yang
menggembirakan. Terdapat beberapa orang pelajar yang terkena gigitan pacat, ada yang menjerit
panik dan ada juga yang boleh menghadapi situasi tersebut. Perjalanan kami kadang-kala
terpaksa dihentikan kerana terdapat halangan dari pokok-pokok hutan yang berduri dan
memerlukan para fasi untuk membuang dahan-dahan pokok tersebut, barulah kami dibenarkan
melalui jalan tersebut.
Sebaik sahaja perjalanan tamat, kami dibenarkan untuk berehat dan mandi di sungai. Lebih
kurang setengah jam mandi sungai, kami bergerak pula untuk ke bahagian sungai lain untuk
menjalankan aktiviti river crossing. Aktiviti ini memerlukan kami melintas sungai yang dalam
menggunakan tali yang telah siap diikat oleh fasi. Kami dibekalkan dengan jaket keselamatan
ketika melakukan aktiviti tersebut. Sebelum melakukan aktiviti ini, pihak fasi telah memberi
taklimat terlebih dahulu mengenai cara-cara yang betul untuk melintas sungai tersebut. Aktiviti
ini berjalan dengan lancar dan kesemua pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti ini. Selesai
sahaja aktiviti, kami dibenarkan sekali lagi untuk mandi sungai untuk segarkan diri. Lebih
kurang pukul 12.30 tengah hari, kami diarahkan untuk pulang ke dorm untuk makan,
membersihkan diri dan solat Zuhur sebelum menjalankan aktiviti seterusnya.
Aktiviti yang seterusnya iaitu tube rafting tergendala kerana hujan lebat dan air sungai agak
deras membahayakan kami semua. Pihak fasi telah mengambil keputusan untuk menukar aktiviti
iaitu survival cooking atau pun masakan rimba. Sementara menanti barang masakan tiba, kami
telah bermain satu permainan yang diberi nama “M. Daud Kilau” dan juga “Aeroplane”.
Permainan ini sangat menguji tahap kepekaan dan kerjasama dari kami. Daripada 69 orang
peserta, 3 orang peserta terbaik telah dipilih dalam permainan ini.
Setelah permainan tamat, kami telah dibekalkan dengan pinggan dan tepung gandum untuk
menyediakan roti lilit seperti yang diminta oleh pihak fasi. Buluh yang telah dipotong-potong
kecil telah diberi kepada kami untuk melilitkan tepung yang sudah diuli pada potongan buluh
tersebut. Setelah itu, tepung tersebut perlu dibakar hingga masak. Aktiviti ini memerlukan
kesabaran yang tinggi memandangkan tempat bakar yang disediakan adalah dari kayu-kayu yang
dibakar tambahan pula dengan keadaan hujan yang turun ketika itu. Walaupun mengalami
kesukaran untuk menunggu tepung tersebut hingga masak, namun kami masih mampu ketawa
kerana melihatkan keletah dan kerenah rakan-rakan dan juga pihak fasi yang mesra dengan kami.
Kumpulan 5 telah dipilih sebagai pemenang untuk aktiviti masakan rimba ini.
Kami pulang lebih kurang pukul 6.00 petang dan perlu membersihkan diri untuk solat Asar
dan perlu menunggu sehingga solat Maghrib dan Isyak memandangkan waktu yang tidak
panjang. Ketika menunggu, kami diberi tazkirah pendek dan berehat-rehat di dewan solat
tersebut sementara menunggu waktu solat seterusnya.
Seterusnya selepas solat Isyak, kami mengadakan BBQ bersama. Makanan yang disediakan
cukup dan sangat membuka selera kami, tambahan lagi perut yang sudah lapar selepas seharian
bermain air sungai. Selesai BBQ, kami mengadakan malam kebudayaan. Pada awalnya, kami
hanya merancang untuk kumpulan lelaki dan perempuan sahaja yang melakukan persembahan,
namun begitu disebabkan aktiviti tersebut mendapat sambutan pelajar, pihak fasi juga turut
terlibat dalam melakukan aktivit persembahan. Pelajar yang mudah memberi kerjasama dan
pihak fasi yang juga turut mesra membuat aktiviti pada malam tersebut menjadi lebih meriah.
Kumpulan pelajar lelaki membuat persembahan permainan spontan di mana mereka perlu
berlawan bertanyakan soalan tanpa jawapan. Selepas kumpulan lelaki pertama kalah, mereka
yang menang berlawan dengan pihak fasi pula yang menyaksikan pihak fasi juga turut kalah.
Kemudian kumpulan perempuan membuat persembahan nyanyian yang mengundang tarikan
pelajar-pelajar lain kerana menggabungkan beberapa korus lagu popular hingga menarik rakan
lain untuk turut sama-sama menyanyi. Kemudian beberapa orang fasi mengambil bahagian
menjalankan permainan yang menguji minda pelajar. Aktiviti pada malam tersebut berjalan
dalam keadaan yang sangat meriah tambahan lagi pelajar-pelajar yang sangat-sangat
memberikan kerjasama sepenuhnya. Kami kemudiannya dilepaskan untuk tidur pada pukul 12
tengah malam.
3. 15 Disember 2013 (Ahad)
Seperti biasa, kami digerakkan seawall pukul 6 pagi untuk solat Subuh berjemaah. Kami
bersarapan lebih kurang pukul 7 pagi dan melakukan senam robik. Aktiviti pada hari ini ialah
tube rafting yang ditangguhkan pada hari semalam. Untuk melakukan aktiviti ini, kami seperti
biasa perlu meredah hutan dan anak sungai terlebih dahulu untuk sampai ke tempat yang dituju.
Kami telah diberi taklimat mengenai aktiviti ini terlebih dahulu oleh pihak fasi. Setiap pelajar
akan dibekal dengan tube dan jaket keselamatan untuk melakukan aktiviti ini. Pelajar diarahkan
untuk memakai jaket keselamatan sebelum duduk di atas tube. Kemudian pelajar dilepaskan oleh
seorang fasi pada bahagian permulaan dan terdapat beberapa fasi menunggu di tempat tamat
bersama tali yang diikat pada pokok merentasi sungai. Pelajar perlu memegan tali tersebut
selepas sampai bagi mengelakkan terlepas arus deras sungai. Aktiviti ini juga mendapat
kerjasama yang sangat baik dari kesemua pelajar. Selesai aktiviti ini, kami dibenarkan untuk
mandi sungai dan melakukan aktiviti tube rafting lagi sekali pada sesiapa pelajar yang mahu.
Ramai pelajar yang tidak melepaskan peluang ini menunjukkan bahawa aktiviti ini
sememangnya sangat menyeronokkan. Kami kemudian diarahkan pulang lebih kurang pukul 11
pagi kerana majlis penutupan akan berlangsung pada pukul 12.
Selesai membersihkan diri dan berkemas-kemas, kami berkumpul di dewan untuk majlis
penutupan bersama penasihat kursus CPR2011, Dr Syed Sofian bin Syed Salim. Pada
ucapannya, Dr Syed mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak jawatankuasa pelaksana
yang berjaya mengadakan program ini dengan jayanya. Beliau juga mengucapkan berbanyak
terima kasih kepada pelajar yang memberikan kerjasama untuk menjadikan program ini lebih
berjaya. Ucapan terima kasih juga tidak dilupakan buat pihak fasilitator dan pengurusan kem
yang bertungkus-lumus menjadi tenaga pengajar kami di sini lengkap bersama penginapan dan
makanan.
Majlis penutupan tamat pada jam 1.00 petang, dan sesi bergambar bersama dijalankan. Kami
dibawa pulang menaiki kenderaan yang sama oleh pihak pengurusan kem hingga sampai di
hadapan pintu utama UPSI.
PENUTUP
Program yang dijalankan dapat dikategorikan sebagai program yang berjaya mencapai
matlamat dan objektifnya. Hal ini kerana sepanjang kem ini berlangsung, kesemua pelajar
memberikan kerjasama yang sangat baik dan tidak melakukan sebarang masalah yang boleh
membawa kepada tercemarnya nama universiti. Hubungan antara kami semua juga menjadi lebih
akrab dan erat selepas berlangsungnya kem ini. Tahap disiplin dan kerjasama dalam diri turut
terbentuk melalui kem yang dijalankan ini. Ucapan tahniah dan terima kasih diucapkan kepada
semua pihak sama yang yang terlibat secara langsung atau pun tidak langsung.
LAMPIRAN
Gambar-gambar yang sempat diambil sepanjang aktiviti berlangsung:
Wajah-wajah ceria pelajar pada malam pertama kem.
Pelajar perempuan membuat persembahan.
Pelajar yang bertuah dapat merasa durian.
Wajah ceri apelajar menunggu waktu makan.
Aktiviti tube rafting.
Majlis penutupan dirasmikan oleh Dr Syed Sofian bin Syed Salim
Gambar kenangan bersama pelajar dan pihak pengurusan kem
Aktiviti senamrobik di pagi hari.
Aktiviti tube rafting
Pelajar menjalankan aktiviti tube rafting.
Aktiviti mandi sungai.
\
Aktiviti jogging oleh pelajar berama fasilitator
Aktiviti memasak BBQ.