1
EMFTAR lwn NMN
[Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Selangor. Kes Mal Bil : 10005-010-1514-2016 &
10005-042-1515-2016 (Tuan Mohd Firdaus Bin Mohed, HMRS Hulu Langat)
[Bertarikh 16 Mac 2017]
Undang-Undang Keluarga Islam – Permohonan Daftar Nikah – Tuntutan Faraq Nikah -
Seksyen 12 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 -
Seksyen 61 (3)(b)(i) dan Seksyen 62 (2)(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri
Selangor) 2003
PEGUAM SYARIE
Pemohon: diwakili oleh Norilyana Binti Dzulkifli dari Norilyana & Associates
Defendan: diwakili oleh Boestamam Bin Ahmad dari Boestamam Ahmad & Co.
HADITH YANG DIRUJUK
Imam Muslim, Sahih Muslim, Bab Kehakiman, hadith 3231
KITAB YANG DIRUJUK
1. Dr. Wahbah Az-Zuhaili, Fiqh Islami Wa Adillatuhu, juzuk 9,(dar al-fikr:cetakan keempat
1997)
2. Muhammad Uthman Shabir, Qawaid al-Kulliyyah Wa Dhowabit al-Fiqhiyyah fi Syariah
Islamiyah, (Dar-An-Nafais:Cetakan kedua, 2007) halaman 346
UNDANG-UNDANG YANG DIRUJUK
1. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 – s. 61 (3)(b)(i), s.62
(2)(b)
2
2. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 – s.1
3. Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 2003 – s. 3, s.57,
s.61,s.74, s.75, s.82
KES YANG DIRUJUK
Faizal Bin Abdul Rahman Dan Norina Binti Zainol Abidin, Jh 39 Bhg 1, (2014).122.
RINGKASAN KES
Pemohon dalam kes permohonan daftar nikah (10005-010-1514-2016) adalah EMFTAR.
Pemohon mendakwa telah berlaku pernikahan antara beliau dengan Responden NMN, di
Songkhla, Thailand pada 1 September 2014. Pada masa yang sama, Pemohon juga memfailkan
tuntutan faraq nikah (10005-042-1515-2016) terhadap NMN (Defendan 1) dan MRD
(Defendan 2) yang telah melangsungkan pernikahan di Subang Jaya, Selangor pada 16 Julai
2016.
Mahkamah memutuskan untuk mendengar kedua-dua kes ini bersekali dalam satu prosiding,
memandangkan hal-hal berkaitan fakta, dakwaan, penafian, pembuktian dan kesan hasil
keputusan kes faraq nikah berkait secara langsung dengan keputusan kes daftar nikah. Justeru,
akan didapati didalam alasan penghakiman ini dan proses perbicaraan yang telah dijalankan,
adalah lebih berfokus kepada isu pengesahan nikah Pemohon dengan Responden yang didakwa
berlaku di Songkhla tersebut.
DAKWAAN PEMOHON
Pemohon mendakwa (rujuk pada affidavit pemohon) telah berlaku pernikahan antara
Pemohon dengan Responden pada 1 September 2014 di Majlis Agama Islam Songkhla
Thailand.
PEMBUKTIAN PEMOHON
[1] Pemohon telah membawa dua jenis keterangan utama, iaitu keterangan saksi dan
keterangan dokumentar.
3
Keterangan saksi
[2] Saksi yang dibawa adalah seorang wanita bernama NS (selepas ini disebut SP1).
[3] SP1 merupakan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam di Bahagian Undang-Undang
Keluarga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), di Shah Alam.
[4] SP1 telah membuat akuan affidavit, yang bertujuan mengesahkan wali di dalam Surat
Nikah yang didakwa pemohon adalah antara wali yang diberi tauliah dan diiktiraf oleh Majlis
Agama Islam Wilayah Songkhla Thailand.
[5] SP1 menyatakan, beliau mempunyai akses terhadap rekod senarai nama-nama
jurunikah Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla khususnya dan nama-nama jurunikah di
seluruh wilayah selatan Thailand umumnya (Songkhla, Pattani, Yala, Narathiwat, Satun dan
Pattalung). Rekod yang dirujuk SP1 itu adalah yang terkini dan berkuatkuasa setakat affidavit
yang diikrarkan beliau.
[6] SP1 telah hadir pada 18 November 2016, untuk disoal oleh peguam responden. SP1
menyatakan dokumen rekod senarai nama jurunikah itu adalah dokumen sulit dan hanya tiga
orang pegawai di ibupejabat (JAIS), di Shah Alam, termasuk SP1 sendiri, yang boleh membuat
pengesahan jurunikah yang bertauliah dan diiktiraf ini.
Keterangan Dokumentar
[7] Pemohon telah mengemukakan sebanyak enam dokumen dan telah ditender di dalam
Mahkamah iaitu:
i. Passport Pemohon sebagai P1
ii. Catatan Keterangan Nikah (2951)(tulisan jawi) sebagai P2
iii. Surat Majlis Agama Islam Songkla kepada Konsulat Jeneral Malaysia
Songkhla (tulisan rumi) sebagai P3
iv. Surat Konsulat Jeneral Malaysia Songkhla berhubung pengesahan
perkahwinan di Selatan Thailand sebagai P4
v. Afidavit Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam JAIS, (NS) sebagai P5
vi. Surat dikeluarkan JAIS (bagi pengesahan wali bertauliah di Majlis
Agama Islam Songkhla) kepada Peguam Pemohon sebagai P6.
4
[8] Di pertengahan prosiding, pihak-pihak telah bertikai bagi dokumen-dokumen yang
ditender sebagai P2,P3,P4 dan P6 tersebut, dan mahkamah mengarahkan untuk kedua-dua
pihak menghujahkan sama ada boleh ditender sebagai P atau id sahaja.
[9] Setelah meneliti hujah kedua pihak, mahkamah berpuashati dan memutuskan dokumen-
dokumen yang dipertikai itu adalah dokumen awam di bawah Seksyen 57 (a) Enakmen
Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 dan bukan dokumen persendirian.
Seksyen 57. Dokumen awam.
Dokumen yang berikut ialah dokumen awam—
(a) Dokumen yang mengandungi tindakan atau rekod tindakan—
(i) kuasa pemerintah berdaulat;
(ii) badan rasmi dan tribunal; dan
(iii) pegawai awam, perundangan, kehakiman dan eksekutif, sama ada
bagi Persekutuan atau Negeri atau bagi negara asing; dan
(b) rekod awam yang disimpan di Malaysia mengenai dokumen
persendirian.
[10] Dan bagi dokumen-dokumen khususnya id-2, dan id-3 (ketika itu P2 dan P3 masih id),
ia adalah dokumen awam di negara asing, dan cara pembuktiannya adalah berdasarkan Seksyen
61 (1)(e) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
Seksyen 61. Pembuktian dokumen rasmi tertentu.
(1) Dokumen awam yang berikut bolehlah dibuktikan seperti
berikut—
..
(e) dokumen awam daripada apa-apa jenis lain di sesuatu negara
asing, melalui dokumen asal atau melalui salinan yang diperakui oleh
penyimpannya yang sah, berserta suatu perakuan yang dimeterai
dengan meterai notari awam atau pegawai konsul Malaysia bahawa
salinan itu diperakui dengan sewajarnya oleh pegawai yang
mempunyai jagaan yang sah ke atas dokuman asal itu dan apabila
sifat dokumen itu dibuktikan mengikut undang-undang negara asing
itu.
[11] Maka berdasarkan peruntukan undang-undang, dan hujah pihak-pihak ketika prosiding,
isu dokumen tersebut telah selesai dan ditender sebagaimana yang disebutkan dalam perenggan
8 di atas.
5
PENDIRIAN RESPONDEN
Responden MENAFIKAN dakwaan pemohon (rujuk pada affidavit jawapan responden) dan
membangkitkan isu-isu pernikahan yang didakwa pemohon itu:
i- Tidak diatas kerelaan diri Responden
ii- Responden tidak beri izin sukarela kepada wali hakim
iii- Tidak dapat izin dan kebenaran dari bapa kandung responden
iv- Tidak pernah tinggal sebagai suami isteri bersama pemohon
Responden juga MENDAKWA (rujuk pada affidavit jawapan responden):
i- Responden dipukul dan diugut untuk ikut pemohon ke Thailand dan
ii- Responden menetap bersama ibu di USJ sebelum berkahwin dengan MRD.
PEMBUKTIAN RESPONDEN
[1] Responden juga telah membawa dua jenis keterangan utama, iaitu keterangan
dokumentar dan keterangan saksi-saksi.
Keterangan Dokumentar
[2] Responden telah mengemukakan sebanyak empat dokumen dan telah dipersetujui
peguam pemohon dan ditender di dalam Mahkamah iaitu:
i. Kad pengenalan responden sebagai R1
ii. Satu halaman laman sesawang- Syarat bagi mendapatkan perakuan
nikah di Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla sebagai R2
iii. Laporan polis bertarikh 13 November 2016 oleh responden mendakwa
surat konsulat milik pemohon adalah palsu sebagai R3
iv. Halaman laman sesawang - untuk membuktikan waktu urusan
mengambil dokumen di pejabat konsul jeneral sebagai R4
Keterangan Saksi-saksi
[3] Responden telah memanggil empat orang saksi untuk menyokong dakwaannya dan
memberatkan penafian dipihaknya, iaitu :
i. SRSH – selepas ini disebut SR1
ii. AHMN – selepas ini disebut SR2
iii. MNAR – selepas ini disebut SR3
iv. MRD – selepas ini disebut SR4
6
[4] SR1 adalah ibu kepada responden. Mahkamah rumuskan berdasarkan perkaitan
keterangan SR1 dengan penafian dan dakwaan responden, SR1 ingin memberitahu mahkamah
bahawa responden tinggal dengannya di No.XX, Jalan USJ XX, USJ4, Subang Jaya, Selangor
sejak 2013. Dan menyatakan pemohon yang dikenali sebagai kawan kepada responden, tidak
ada datang meminang atau merisik responden. Perkara lain yang bangkitkan adalah hal-hal lain
dan tidak menjurus kepada pliding asal, justeru tidak diulas di sini.
[5] SR2 adalah adik kandung kepada responden. SR2 menyatakan pada 1999, SR2 tinggal
dengan SR1 dan responden di USJ 4. Kemudiannya SR2 berpindah keluar pada Ogos 2015 ke
USJ 19. Responden dikatakan ada tinggal dengannya sehingga responden bernikah dengan
MRD. Kemudiannya, SR2 menyatakan juga responden tinggal dengan SR1 di USJ 4 sebelum
responden bernikah dengan MRD. Sungguh mengelirukan mahkamah, percanggahan dalam
keterangan affidavit SR2 ini dalam soalan 6 dan 7 (mukasurat 2 afidavit SR2 ini), mungkin
kerana tidak dijelaskan dengan tempoh, atau keadaan responden yang tinggal di dua tempat ini
dalam keadaan yang tidak tetap. SR2 seterusnya menyokong bahawa responden bekerja, tidak
ditemani lelaki, tiada teman istimewa yang selalunya akan diperkenalkan kepada SR1.
Mahkamah rumuskan, keterangan SR2 ini adalah untuk menyokong penafian responden iaitu
[Tidak pernah tinggal sebagai suami isteri bersama pemohon] dan dakwaan responden
[Responden menetap bersama ibu di USJ sebelum berkahwin dengan MRD].
[6] SR3 adalah bapa kandung kepada responden. SR3 menyatakan tidak pernah tahu
tentang pernikahan pemohon dan responden di Thailand dan tidak pernah pemohon datang
minta izin darinya untuk bernikah dengan responden. Kemudiannya, memberitahu ibu dan ayah
pemohon ada datang berjumpa dengannya untuk merisik, tapi tidak ingat bila. SR3 mendakwa
pernah berjumpa pemohon dan bercerita dalam keadaan seorang yang seperti hilang akal.
Mahkamah merumuskan, keterangan SR3 ini adalah untuk menyokong penafian responden
iaitu [pernikahan yang didakwa pemohon itu tidak dapat izin dan kebenaran dari bapa
kandung responden].
[7] SR4 mendakwa telah bernikah dengan responden pada 16 Julai 2016, dan dalam
pengetahuannya pasti responden tidak berpunya atau isteri orang ketika pernikahan beliau ini
dengan responden berlangsung. Tidak pernah ditunjukkan kepadanya dokumen nikah Thailand
sebelum pernikahannnya dengan responden. Selepas bernikah baru ada ditunjukkan dokumen
nikah Thailand itu semasa di JAIS, bahagian penguatkuasa. SR4 kemudiannya membangkitkan
7
isu, dokumen-dokumen yang diperolehi untuk mengesahkan pernikahan di Selatan Thailand
ini, tidak mustahil boleh dipalsukan.
Penghakiman oleh Tuan Mohd Firdaus Bin Mohed, HMRS.
Bidangkuasa Mahkamah
[1] Pertama, mahkamah berpuashati bahawa mahkamah ini berbidangkuasa untuk
memutuskan kes yang difailkan pemohon ini berdasarkan Seksyen 12 Enakmen Undang-
Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003, Seksyen 61 (3)(b)(i), Seksyen 62 (2)(b)
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
[2] Permohonan ini juga telah memenuhi kehendak peruntukan Seksyen 4 Enakmen
Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 yang hanya memerlukan
pemastautinan salah satu pihak ketika permohonan dibuat adalah di Negeri Selangor, dan
pemohon sendiri beralamat di Negeri Selangor dalam daerah Hulu Langat. Justeru, mahkamah
ini berpuashati mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan semua tindakan
dan prosiding kedua-dua kes (daftar nikah dan faraq nikah) ini.
Isu Utama
[3] Isu utama dalam kes ini adalah berlaku pernikahan antara pemohon dengan responden
pada 1 September 2014 di Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla, Thailand. Keterangan
utama pemohon dan responden diberikan dalam bentuk affidavit, dengan ‘versi cerita’ masing-
masing. Kedua-dua keterangan ini bercanggah satu sama lain. Sebagai contoh, pemohon
mendakwa ada berlaku lafaz ijab dan qabul, namun responden menafikan tiada sebarang majlis
pun berlaku, dan tidak dengar ijab dan qabul. Oleh kerana sifat keterangan pihak-pihak
adalah dakwaan, maka pembuktian adalah segalanya.
[4] Dakwaan pemohon disokong dengan dua dokumen utama, iaitu Catatan Keterangan
Nikah (2951)(tulisan jawi) sebagai [P2] dan Surat Majlis Agama Islam Songkla kepada
Konsulat Jeneral Malaysia Songkhla (tulisan rumi) sebagai [P3].
[5] Kedua-dua dokumen ini diakui keaslian dokumennya keluaran Negara Thailand,
melalui Surat Konsulat Jeneral Malaysia Songkhla berhubung pengesahan perkahwinan di
Selatan Thailand sebagai [P4]. Ketiga-tiga dokumen ini pula telah mahkamah putuskan
8
diterima sebagai dokumen rasmi awam dibawah Seksyen 61 (1)(e) Enakmen Keterangan
Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
[6] Pemohon mengemukakan sokongan tambahan, berkenaan wali dalam catatan P2 dan
P3 disiasat kelayakkan tauliah wali tersebut melalui pengetahuan khas Pegawai Unit Undang-
undang Keluarga, JAIS, secara affidavit ditender sebagai [P5] dan surat rasmi oleh pegawai
JAIS yang diberikuasa untuk mengesahkan tauliah seseorang jurunikah selatan Thailand
ditender sebagai [P6].
[7] Di sebelah pihak responden, seperti yang telah disebutkan di atas, responden telah
menafikan beberapa perkara, iaitu:
i- Tidak diatas kerelaan diri Responden
ii- Responden tidak beri izin sukarela kepada wali hakim
iii- Tidak dapat izin dan kebenaran dari bapa kandung responden
iv- Tidak pernah tinggal sebagai suami isteri bersama pemohon
Dan mendakwa:
i- Responden dipukul dan diugut untuk ikut pemohon ke Thailand dan
ii- Responden menetap bersama ibu di USJ sebelum berkahwin dengan MRD.
[8] Mahkamah mendapati, ada antara penafian dan dakwaan responden ini disokong
dengan pembuktian yang dikemukakan dan ada yang tidak dibuktikan.
[9] Alasan (Tidak dapat izin dan kebenaran dari bapa kandung responden), ada disokong
dalam keterangan SR3, yang mana SR3 tidak pernah tahu pun adanya pernikahan berlaku
antara Pemohon dengan responden di Thailand.
[10] Alasan (Tidak pernah tinggal sebagai suami isteri bersama pemohon) dan (Responden
menetap bersama ibu di USJ sebelum berkahwin dengan MRD) ada disokong oleh keterangan
SR1 dan SR2.
[11] Namun mendukacitakan, alasan (pernikahan itu tidak diatas kerelaan diri Responden,
Responden tidak beri izin sukarela kepada wali hakim, dan Responden dipukul dan diugut
untuk ikut pemohon ke Thailand) telah gagal dibuktikan mahupun dihujahkan dengan baik oleh
pihak responden. Mahkamah pasti, responden yang dibantu dengan peguam yang terpelajar,
9
pasti tidak meletak alasan-alasan dalam affidavit jawapan yang difailkan, tanpa apa-apa makna
dan tanpa apa-apa kekuatan untuk membuktikannya kepada mahkamah. Atau, ia memang satu
dalihan yang dibangkitkan untuk mengelirukan mahkamah di peringkat awal prosiding, dan
diakhirnya, tanpa pembuktian, tiada asas untuk mahkamah menerimanya untuk pertimbangkan
dalam membuat keputusan ini.
[12] Seksyen 75. Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003:
Seksyen 75. Beban membuktikan tentang fakta tertentu.
Beban membuktikan tentang apa-apa fakta tertentu terletak pada orang
yang berkehendakkan Mahkamah mempercayai tentang kewujudan fakta
itu.
[13] Mahkamah mengambil pendirian, tidak boleh mengulas keadaan dalam ‘majlis itu’.
Pihak-pihak seperti yang mahkamah jelaskan, dengan versi majlis yang bercanggah antara satu
sama lain. Contoh dalam keterangan pemohon, dalam majlis itu, wali hakim pada masa itu ada
meminta izin dari responden untuk menikahkannya dengan pemohon. Sebaliknya, dalam
keterangan responden, wali hakim tidak ada ada meminta izin untuk menikahkannya bahkan,
sebarang majlis pun tiada!. Mahkamah juga merekodkan, seorang saksi pun tiada dikemukakan
untuk memberatkan dakwaan situasi ‘majlis itu’ sama ada berpihak kepada pemohon atau
responden untuk membantu mahkamah.
[14] Walaupun pada zahirnya keterangan pihak-pihak disebut keterangan pemohon dan
keterangan responden, namun, hakikatnya ia bukan satu keterangan, ia adalah dakwaan.
Justeru, apa-apa penyataan pihak-pihak ini juga adalah bersifat dakwaan semata dan tidak
boleh disamakan dengan keterangan iqrar. Dan dakwaan perlu kepada membuktikan dakwaan
dengan keterangan.
[15] Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003:
Seksyen 3. Tafsiran.
“keterangan” termasuklah—
(a) bayyinah dan syahadah;
(b) segala pernyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh Mahkamah
dibuat di hadapannya oleh saksi berhubung dengan perkara-perkara fakta yang
disiasat: pernyataan sedemikian disebut keterangan lisan;
10
(c) segala dokumen yang dikemukakan bagi pemeriksaan Mahkamah: dokumen
sedemikian disebut keterangan dokumentar.
“saksi” tidak termasuk plaintif, defendan dan orang tertuduh;
Seksyen 74. Pada siapa letaknya beban membuktikan.
Beban membuktikan dalam sesuatu guaman atau prosiding terletak pada orang
yang akan gagal tiada apa-apa keterangan langsung diberikan oleh mana-
mana pihak.
Ringkasnya, pihak yang tiada keterangan, dakwaannya ditolak.
[16] Responden kemudiannya pula mengalihkan perhatian mahkamah dengan melampirkan
suatu repot polis bertarikh 13 November 2016 ditender sebagai [R3] yang mendakwa atau
mengadukan kepada pihak polis, bahawa surat pengesahan konsulat jeneral Malaysia di
Songkhla dalam milikan pemohon adalah palsu. Isu ini menarik minat mahkamah untuk
menunggu selanjutnya dakwaan dokumen penting dalam kes ini adalah palsu. Namun, sekali
lagi mendukacitakan, hanya itu sahajalah kemampuan pihak responden yang dibantu peguam
terpelajar, mendakwa sesuatu, tapi tiada disokong dengan bukti tentang dokumen palsu yang
didakwa.
[17] Dakwaan ini bukan perkara mainan. Jika sungguh ia dokumen palsu, banyak cara
mampu diambil pihak responden dan peguamnya untuk memberi bukti kepada mahkamah
supaya mempercayainya adalah dokumen palsu. Dimana kesungguhan responden menuntut
haknya. Mahkamah percaya, bukan hanya dengan repot polis ini sahaja usahanya harus
terhenti. Dakwaan ini juga gagal dibuktikan.
[18] Mahkamah percaya, pernikahan di sesebuah Majlis Agama Islam di wilayah Selatan
Thailand mempunyai ‘jalinan hubungan yang istimewa’ dengan Majlis/Jabatan Agama Islam
di Malaysia khususnya negeri Selangor, berbanding dengan majlis agama Islam di negara lain,
sekalipun negara Brunei, Indonesia, dan Singapura yang berjiran. Buktinya, Jabatan Agama
Islam Selangor (JAIS) sebagai badan pelaksana undang-undang agama, diberikan akses kepada
suatu rekod yang dikemaskini dari masa ke semasa berkaitan nama-nama kadhi, naib kadhi /
jurunikah /wali am yang bertauliah di Majlis Agama Islam di wilayah-wilayah Selatan
Thailand, (Songkhla, Pattani, Yala, Narathiwat, Satun dan Pattalung).
11
[19] Mahkamah juga percaya, sijil nikah/ catatan nikah di majlis agama Islam di Thailand,
tidak dikeluarkan sewenangnya tanpa majlis dan upacara pernikahan di sana. Dan hanya jika
surat catatan nikah majlis agama Islam itu diakui palsu oleh pihak yang berotoriti, maka
bolehlah diragui ‘majlisnya dan rukun-rukun nikahnya’.
Seksyen 82 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003,
Seksyen 82. Mahkamah boleh menganggap kewujudan fakta tertentu.
Mahkamah boleh menganggap kewujudan apa-apa fakta yang
difikirkannya mungkin telah berlaku, setelah mengambil perhatian akan
perjalanan biasa kejadian semula jadi, kelakuan manusia, dan urusan
awam dan persendirian, dalam hubungannya dengan fakta kes yang
tertentu.
[20] Dokumen di negara asing, mempunyai kedaulatan undang-undang di negara mereka.
Justeru, selaras dengan Seksyen 61 (1)(e) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri
Selangor) 2003, surat konsulat yang merupakan dokumen rasmi awam, telah mengesahkan
bahawa surat dan catatan keterangan nikah di majlis agama Islam Songkhla itu sah dikeluarkan
oleh majlis agama Islam tersebut. Jika diragui Catatan Keterangan Nikah dan Surat Majlis
Agama Islam Songkhla itu palsu, buktikan kepalsuannya. Dan jika diragui Surat Pengesahan
oleh Konsulat Jeneral Malaysia Di Songkhla itu sebagai palsu, buktikan kepalsuannya kepada
mahkamah. Hadith Nabi S.A.W menyebutkan :
د الحسن بن علي بن أبي طالب سبط رسول هللا صلى هللا عليه وسلم وريحان ته رضي هللا عن أبي محم
.ما يريبك إلى ما ال يريبك عنهما قال: حفظت من رسول هللا صلى هللا عليه وسلم: دع
]رواه الترمذي وقال: حديث حسن صحيح[
Dari Abu Muhammad, Al Hasan bin ‘Ali bin Abu Thalib, cucu Rasululloh
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan kesayangan beliau radhiallahu ‘anhuma
telah berkata: “Aku telah menghafal (sabda) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa
Sallam: “Tinggalkanlah apa-apa yang meragukan kamu, bergantilah kepada
apa yang tidak meragukan kamu“.
(HR. Tirmidzi dan dia berkata: Ini adalah Hadits Hasan Shahih)
[21] Dan kaedah fiqh :
بيقين ال يرتفع إال بيقين ما ثبت
Maksudnya: Suatu yang telah diyakini, ia tidak akan hilang melainkan dengan
suatu yang diyakini.
12
Berkait dengan kes kedua - faraq nikah
[22] Mahkamah diperingkat ini telah berpuashati bahawa pernikahan yang didakwa oleh
pemohon pada 1 September 2014 adalah suatu pernikahan yang sah disisi Hukum Syarak.
Sehubungan dengan dapatan mahkamah ini, responden adalah berstatus isteri yang sah kepada
pemohon dari tarikh pernikahan tersebut, 1 September 2014. Maka, tanpa prasangka,
mahkamah menganggap status responden tersebut berterusan dari tarikh nikah tersebut, hingga
ke tarikh keputusan mahkamah ini.
[23] Dalam kes ini, responden kemudiannya telah melangsungkan pernikahan lain dengan
seorang lelaki lain yang bernama MRD pada 16 Julai 2016 di Masjid Al Mukminun USJ 2,
Subang Jaya, Selangor.
[24] Mahkamah hanya menyentuh satu sahaja rukun nikah yang berkait dengan kes kedua,
(faraq nikah) iaitu rukun isteri dan syarat nikah bagi isteri. Setelah mahkamah putuskan bahawa
pernikahan antara pemohon dengan responden pada 1 September 2014 adalah sah, maka
berterusanlah ikatan tersebut selagi mana tidak ada bercerai atau difaraqkan.
[25] Dr Wahbah Zuhaili, Fiqh Islami Wa Adillatuhu, juzuk 9, halaman 6521, menyebutkan,
rukun nikah disisi jumhur ulama’ :
صيغة )وهي اإليجاب والقبول( وزوجة ، وزوج ، وولي وهما وأركان الزواج عند الجمهور أربعة:
.العاقدان
Rukun perkahwinan disisi jumhur ulama yang empat: Sighah (ijab dan qabul),
isteri, suami, wali,dan mereka berdua itulah yang berakad.
[26] Bagi setiap rukun ini pula, ada syarat-syaratnya yang dipanggil, syarat nikah. Syarat-
syarat ini wajib dipenuhi, kerana jika tidak, jatuhlah nikah itu sebagai tidak sah atau batil,
halaman 6533:
وإذا تخلف شرط منها، كان . : هي التي يلزم توافرها في أركان العقد ، أو في أسسه وشروط االنعقاد
.العقد باطال باالتفاق
Dan syarat-syarat akad nikah : adalah ia wajib dipenuhi di dalam rukun-
rukun akad nikah, atau dalam asasnya. Apabila syarat itu tidak dipenuhi,
maka akad nikah itu batil seperti yang disepakati ulama’.
13
[27] Selanjutnya dalam kitab yang sama, disentuh berkenaan syarat bagi (pengantin
perempuan) yang hendak berkahwin itu, salah satunya (halaman 6535):
والمتزوجة بزوج أال تكون محرمة على الرجل تحريما قاطعا ال شبهة فيه : فال ينعقد الزواج بالمحارم ..،
.والزواج في كل هذه الحاالت باطل والمعتدة ،.. ، آخر
Dan tidaklah (pengantin perempuan) seorang yang haram dikahwini oleh
(pengantin lelaki), pengharaman yang pasti, : seperti bernikah dengan
mahram, dan bernikah dengan perempuan yang telah bersuami, dan
perempuan yang didalam iddah,.. dan perkahwinan dalam semua keadaan ini
adalah batil.
[28] Keadaan akad nikah yang batil (halaman 6533) :
فالزواج الباطل ال يترتب عليه شيء من ر العقد الصحيح ، اوالعقد الباطل : ال يترتب عليه أي أثر من آث
فال يثبت به النسب من األب ، وال بجب بعده الزواج ، ولو بعد الدخول ، ويعتبر في منزلة العدم. آثار
العدة من المرأة، مثل الزواج بإحدى المحارم كاألخت والبنت ، والزواج بالمرأة المتزوجة برجل آخر .
Akad yang batil: tiadalah dikira ke atasnya apa-apa kesan(implikasi)
daripada akad yang sahih, maka perkahwinan yang batil, tiadalah padanya
apa-apa kesan daripada perkahwinan yang dilangsungkan itu, walaupun telah
berlaku hubungan kelamin, dan dianggap perkahwinan batil ini dalam
kedudukan tiada berlaku perkahwinan. Maka tidak disabitkan nasab jika lahir
anak dari hubungan ini kepada bapanya, dan tidak wajib keatas perempuan
itu untuk beriddah, sebagai contoh, perkahwinan dengan orang yang
mempunyai hubungan mahram seperti saudara/adik-beradik perempuan, atau
anak perempuan, dan perkahwinan dengan seorang perempuan yang
merupakan isteri kepada lelaki lain.
[29] Mahkamah juga merujuk kepada peruntukan undang-undang, Seksyen 14, Enakmen
Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003:
Seksyen 14. Perkahwinan seseorang perempuan
(1) Tiada seseorang perempuan boleh, dalam masa perkahwinannya
dengan seorang lelaki berterusan, berkahwin dengan seseorang
lelaki lain.
14
[30] Mahkamah percaya, sekalipun pernikahan yang berlangsung di Subang Jaya ini telah
melalui proses dan saluran yang betul melalui tapisan pejabat agama Islam, namun status
perkahwinan responden yang terdahulu bersama pemohon di Songkhla pada 1 September 2014
tersebut masih belum dibuat pengesahan dan pendaftaran di Malaysia, khususnya di Selangor.
Jika tiada antara pihak-pihak ini yang mendedahkan perkara sebenar, maka tiadalah siapa yang
tahu.
[31] Oleh itu, berdasarkan dalil dan peruntukan undang-undang yang disebutkan, dan
setakat apa yang dizahirkan sepanjang prosiding di mahkamah, mahkamah berpuashati status
responden sebagai isteri yang sah kepada pemohon adalah berterusan sejak 1 September 2014,
dan perkahwinan antara responden dengan MRD pada 16/7/2016 adalah tidak sah dan batil.
[32] Mahkamah memetik sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, bab
kehakiman, hadith 3231:
عليه وسلم إنكم تختصمون إلي ولعل صلى هللا بعضكم أن يكون ألحن عن أم سلمة قالت قال رسول هللا
ته من بعض ا أسمع منه فأقضي بحج فمن قطعت له من حق أخيه شيئا فال يأخذه فإنما له على نحو مم
أقطع له به قطعة من النار
Yang bermaksud: Daripada Ummu Salamah berkata: Rasulullah S.A.W
bersabda: “ Sesungguhnya kamu bertikai dihadapanku dan di antara kamu
ada yang lebih petah dalam hujahnya berbanding pihak yang satu lagi, maka
aku putuskan (hukumkan) baginya atas apa yang aku dengar daripadanya,
….” .
[33] Bahawa Rasulullah sendiri dalam mengadili sesuatu pertikaian dihadapannya, baginda
memutuskan berdasarkan apa yang dizahirkan pihak-pihak, dengan pembuktian serta hujah
yang dilihat meyakinkan baginda.
Dan kaedah yang masyhur di kalangan ulama’
إنما نحكم بالظاهر وهللا يتولى السرائر
Sesungguhnya kami menghukum berdasarkan yang zahir, dan hanya Allah
yang meliputi perkara yang tersembunyi (rahsia).
15
KEPUTUSAN
Setelah mahkamah menimbangkan segala fakta yang didakwa pihak-pihak dan pembuktian
yang dizahirkan di mahkamah ini sepanjang prosiding, setelah mahkamah berpuashati, maka
diputuskan seperti berikut:
1. Mahkamah meluluskan permohonan Pemohon berdasarkan Seksyen 12(2) Enakmen
Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
2. Mahkamah mensabitkan bahawa pernikahan Pemohon dan Responden yang
diakadnikahkan pada 1 SEPTEMBER 2014 di Majlis Agama Islam Wilayah
Songkhla, Thailand adalah sah menurut Hukum Syarak.
3. Mahkamah memerintahkan Pemohon mendaftarkan pernikahan tersebut di Pejabat
Agama Islam Daerah Hulu Langat dengan sewajarnya.
4. Berdasarkan sabitan di atas, bagi kes 10005-042-1515-2016, Mahkamah mensabitkan
bahawa pernikahan yang didakwa berlaku antara Responden, NMN dengan MRD pada
16 Julai 2016 di Masjid Al-Mukminun USJ 2, Subang Jaya, Selangor, adalah suatu
pernikahan yang tidak sah dan batil.
5. Mahkamah memerintahkan NMN dan MRD difaraqkan serta-merta mulai hari ini 16
Mac 2017.