Download - P kuliah 1
Kuliah 1 (21 Februari 2012) Pengenalan Demografi
Objektif Kuliah
1. Pelajar boleh memberi definisi demografi
2. Mengenalpasti sumber data demografi yang berbeza
3. Menerangkan perbezaan utama sumber data
4. Menyenaraikan persediaan untuk menjalankan banci penduduk
1.1 Definisi Demografi
Demografi boleh didefinisikan sebagai satu bidang kajian mengenai
populasi manusia yang meliputi komposisi, taburan, kepadatan,
pertumbuhan dan ciri-ciri lain termasuklah punca dan kesan akibat
daripada perubahan faktor-faktor ini.
Demografi seperti yang difahami pada hari ini merupakan kajian
saintifik populasi dan dinamik manusia. Istilah demografi
(kependudukan) merupakan gabungan dua perkataan Greek,
Demos bermaksud populasi Graphicsbermaksud melukis
Demografi menumpukan kajian kepada tiga fenomena manusia iaitu:
i. Perubahan saiz populasi (bertambah atau mengurang)
ii. Komposisi populasi
iii. Taburan populasi dalam ruangan
1.2 Dinamik penduduk
Dinamik penduduk dalam kajian demografi bermaksud proses-proses
demografi seperti kelahiran, kematian dan migrasi sentiasa berubah-
ubah yang memberi kesan kepada saiz, komposisi dan taburan
populasi.
Thompson dalam buku bertajuk Population Problems menghurai tiga persoalan penting dalam kajian kependudukan:
1. Bilangan orang yang tinggal di sesebuah kawasan. Adakah perubahan-perubahan yang berlaku terhadap saiz kumpulan
(populasi) manusia itu mempengaruhi kemudahan-kemudahan yang disediakan kepada mereka?
2. Apakah jenis manusia yang tinggal dalam suatu kumpulan penduduk
itu? Apakah bezanya cara hidup mereka daripada cara hidup kumpulan penduduk yang lain.
3. Bagaimanakah pola taburan penduduk dalam kawasan yang dikaji?
Apakah perubahan-perubahan yang telah berlaku pada pola taburan tersebut?
Tiga unsur penting dalam kajian mengenai penduduk ialah saiz, komposisi dan taburan.
1.2.1 Saiz
Persoalan yang sering ditanya: berapa bilangan penduduk yang tinggal disesebuah kawasan pada masa yang tertentu. Soalan nampak mudah. Tetapi sukar untuk mendapat jawapan yang tepat. Kerana sukar untuk mengira jumlah penduduk sebenar terutamanya dalam sebuah kawasan yang sangat luas cth: negara. Proses mengira jumlah penduduk melibatkan definisi manusia, tempat dan masa. Semua aspek ini perlu ditentukan terlebih dahulu sebelum proses pengiraan jumlah penduduk boleh dilaksanakan. Oleh kerana sukar memperolehi jumlah sebenar, ahli demogrfi membuat anggaran untuk mendapatkan gambaran asas penduduk dunia, negeri ataupun wilayah. Dalam aspek temporal, pengkaji ingin mengetahui jumlah penduduk pada masa lalu, masa kini dan masa akan datang. Maklumat-maklumat ini penting bagi mereka untuk dijadikan sebagai panduan dan rujukan dalam menyediakan kemudahan yang diperlukan oleh manusia. Salah satu daripada masalah utama untuk mendapatkan jumlah penduduk yang tepat ialah jumlah penduduk yang bertambah dari tahun ke setahun, terutamanya negara yang mempunyai kadar migrasi yang tinggi.
1.2.2 Komposisi
Komposisi merangkumi semua ciri penduduk yang tinggal di sesuatu
kawasan. Dalam sesuatu populasi (kumpulan individu) terdapt
perbezaan berkaitan dengan aspek kesuburan, kematian dan
kumpulan umur.
Komposisi kumpulan penduduk sesuatu kumpulan mungkin sama
atau mungkin berbeza dengan kumpulan penduduk yang lain,
terutamanya dari segi besar atau kecil jumlah penduduknya. Sebagai
contoh, komposisi penduduk di kawasan bandar kenal huruf adalah
lebih tinggi berbanding dengan kumpulan penduduk di kawasan
yang lebih terpencil.
Ahli demografi perlu menimbangkan dua ciri penting sebelum
memilih kumpulan penduduk yang mahu dikaji iaitu ciri-ciri yang
memberi kesan kepada pola kesuburan, kematian dan migrasi.
Sekiranya komposisi penduduk disesuatu kawasan terdiri daripada
kalangan wanita, ia akan mempengaruhi pola kesuburan dan taraf
perkahwinan penduduk di kawasan tersebut.
Ciri kedua yang dipilih seharusnya relevan dengan usaha untuk
memahami aspek-aspek demografi tertantu dalam masyarakat.
Sebagai contoh isu penuaan di negara-negara maju. Maklumat
berkaitan dengan penduduk menua membolehkan perancangan
aspek-aspek kesihatan, peruntukan dana pencen, perumahan dan
masalah-masalah lain yang berkitan boleh diselesaikan.
Sekiranya penduduk di sesebuah kawasan berada dalam kumpulan
umur produktif (18 -35 tahun) kawasan tersebut dianggap
mempunyai kesuburan yang tinggi. Oleh itu penyediaan prasarana
kesihatan, kemudahan pendidikan dan seumpamanya perlu
dilaksanakan.
1.2.3 Taburan
Aspek ketiga dalam kajian demografi ialah taburan. Soalan-soalan
yang sering dikemukakan dalam aspek ini ialah apakah pola taburan
dipermukaan bumi dan apakah perubahan-perubahan yang berlaku
pada pola taburan tersebut.
Kawasan taburan pula boleh dirujuk sebagai sebuah kawasan yang
luas seperti benua atau sebuah kawasan yang lebih kecil seperti
daerah. Dalam konteks negara Malaysia, persoalan mengenai taburan
penduduk yang boleh dikaji termasuklah berapa peratuskan orang
Melayu, Cina dan India ynag tinggal di kawasan bandar?
Maklumat-maklumat ini boleh diperolehi dengan menjalankan banci.
Salah satu daripada proses pengutipan data yang paling
komprehensif di negara ini ialah banci penduduk dan perumahan
negara yang dijalankan setiap 10 tahun.
1.3 Sumber Data
Bidang demografi sama seperti disiplin sains yang lain mempunyai
kaedah pengumpulan dan analisis data yang tersendiri. Ini
menyebabkan ramai penyelidik mendefinisikan demografi sebagai
satu bidang sains emperikal yang memperhati dan mencatatkan data
mengenai penduduk. Data yang diperolehi dianalisis untuk
mendapatkan maklumat mengenai penduduk pada masa dahulu dan
yang akan datang.
Empat sumber data yang utama ialah banci penduduk, perangkaan
penting, tinjauan sampel isirumah dan rekod-rekod kerajaan serta
swasta.
1.3.1 Banci Penduduk
Banci menurut UN merupakan proses mengumpul, merekod dan
menerbitkan maklumat demografi, ekonomi dan sosial pada tempoh
masa tertentu semua penduduk di sesebuah negara.
Banci dijalankan secara berkala dengan selang masa antara 5 hingga
10 tahun. Tempoh yang panjang ini disebabkan oleh kerja-kerja
pembancian yang kompleks. Tempoh minimum selama 4 tahun
diperlukan untuk merancang perlaksanaan banci.
Sekurang-kurangnnya 18 bulan untuk perancangan permulaan
sahaja. Ini termasuklah menetapkan tarikh banci, jadual kerja,
penyediaan soalan, anggaran perbelanjaan dan pentdbiran
1.3.1.1 Kegunaan banci
i. Perancangan
ii. Mengira petunjuk penting seperti kesihatan
1.3.1.2 Peringkat-peringkat banci
i. Persediaan dan perancangan
ii. Memungut maklumat
iii. Kompilasi dan analisis
iv. Penilaian
1.3.1.3 Kualiti data banci
Banci mesti mempunyai kualiti-kualiti berikut:
i. Banci perlu menghitung semua orang dalam sesebuah
kawasan (tiada pengecualian atau pertindihan)
ii. Maklumat perlu mempunyai kaitan dengan suasana semasa
iii. Perlu dilaksanakan secara berkala (setiap 10 tahun)
iv. Merujuk kepada manusia yang tinggal di kawasan yang
khusus
v. Maklumat diperolehi daripada individu sendiri
1.3.2 Teknik pengambilan data banci
Terdapat dua teknik pengutipan data banci iaitu dejure dan defacto
Dejure
Teknik pengutipan yang menghitung manusia berdasarkan kepada
tempat tinggal tetap mereka.
Kelebihan
- memberi gambaran sesebuah masyarakat secara tetap
- memberikan perangkaan yang realistik dan berguna
Kekurangan
- Terdapat sebilangan penduduk mungkin terkeluar daripada
hitungan. Isi rumah yang tidak berada di tempat tinggal semasa
banci dijalankan tidak termasuk dalam hitungan. Kecuali
pembanci memastikan semua orang direkodkan
- Kemungkinan berlaku pengiraan berganda
- Maklumat mengenai orang yang tidak ada pada hari banci sering
tidak lengkap atau tidak tepat
Defacto
Teknik melaksanakan banci yang mengira manusia dimana mereka
berada dalam tempoh masa banci
Kelebihan
- Masalah orang tercicir daripad perhitungan berkurangan
Kekurangan
- Sukar untuk mengambil maklumat mengenai manusia dalam
perjalanan. Kelompok ini sebagai contoh membuat perjalanan
meninggalkan tempat kediaman mereka tetapi belum sampai ke
destinasi semasa banci berlaku
- Memberi gambaran yang salah mengenai populasi
- Perangkaan penting ada kelemahan (terutamanya di kawasan
tinggi migrasi)
Usman Hj Yaakob dalam buku bertajuk Prinsip Kajian Kependudukan
meringkaskan kedua-dua kaedah ini seperti berikut:
Banci penduduk dapat diklasifikasikan menurut dua kawasan tempat
tinggal reponden. Pertama, penduduk direkodkan berdasarkan
tempat mereka berada pada malam banci (de facto). Kedua, penduduk
direkodkan bedasarkan tempat mereka tinggal (de jure).
Misalnya, seorang lelaki dari Kuala Lumpur yang sedang
menjalankan perniagaan di Johor Bahru sewaktu banci dijalankan,
direkodkan sebagai tinggal: (i) di Johor Bahru (de facto) (ii). di Kuala
Lumpur (de jure).
1.3.3 Sejarah Banci
Banci dikutip asalnya untuk digunakan bagi tujuan yang pelbagai,
Kerajaan Greek dan Romawi membanci lelaki dewasa di negara
mereka bagi tujuan ketenteraan.
Kerajaan Sumerian menghitung untuk tujuan cukai, Dinasti Chou
(1050-247 tahun s.m) menjadikan banci dan pendaftaran penduduk
peraturan biasa dalam pentadbiran awam.
Perhitungan penduduk pada masa lampau tidak begitu lengkap jika
dibandingkan dengan banci moden.
Banci moden paling lengkap pertama di rekodkan di Kanada pada
tahun 1665, Sweden 1749, Sepanyol 1789, Great Britain dan Perancis
1801, Jepun 1873, Negeri-negeri Selat 1891, Mesir dan Russia 1897
1.4 Banci di Malaysia
Banci pertama di negeri-negeri selat (Pulau Pinang, Melaka dan
Singapura) dijalankan seawal tahun 1801, 1824, 1826 – perhitungan
tumpukan kepada jantina dan bangsa.
Tetapi banci pada tahun 1871 lebih terperinci – memungut data-data
berkaitan jantina, umur, bangsa, perumahan, pekerjaan dan kawasan
geografi.
Banci awal paling komprehensif dijalankan di negeri-negeri melayu
bersekutu (Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor) pada
tahun 1891. Negeri-negeri melayu tidak bersekutu (Kedah,
Terengganu, Kelantan, Perlis dan Johor) mengadakan banci pada
tahun 1911.
Semua banci penduduk yang dikutip sejak kurun ke 19 mengamdungi
banyak maklumat penting perangkaan penduduk dan kegiatan
sosioekonomi. Menjadi sumber rujukan yang sangat berharga kepada
ahli demografi.
1.5 Perangkaan Penting
Merupakan pengutipan data secara berterusan bagi peristiwa-
peristiwa penting. Sistem pendaftaran awam yang merekodkan
kelahiran, kematian dan perkahwinan membolehkan pertumbuhan
populasi penduduk diketahui. Proses pendaftaran ini kurang penting
berbanding dengan banci pada peringkat kebangsaan.
Di negara-negara mundur atau sedang membangun, lazimnya kadar
buta huruf adalah tinggi dan hubungan komunikasi yang lemah
masalah untuk merekod kelahiran atau kematian bukan sahaja sukar
di kawasan luar bandar, tetapi juga sukar di kawasan bandar.
Bagaimanapun pelbagai usaha telah dijalankan untuk meningkatkan
keupayaan pengumpulan data-data berkaitan di seluruh dunia.
1.6 Tinjauan Sampel Isi Rumah
Sampel isi rumah murupakan sumber data demografi yang dikutip
secara saintifik dikawasan terpilih yang meliputi sebahagian kecil
daripada populasi yang ditentukan.