Download - kerosakan turapan
BAB II
KAJIAN LITERATUR
2.1 Pendahuluan
Jalan raya dibina di atas tanah, tetapi tanah semulajadi tidak mampu
menerima laluan tayar kenderaan tanpa berubah bentuk. Oleh itu, tanah perlu
dibentuk kepada aras yang dikehendaki, dipadatkan dan dibina struktur yang kuat
diatasnya iaitu turapan jalan raya. Turapan berfungsi untuk menanggung beban
kenderaan pada asas jalan raya, menyediakan satu permukaan jalan yang rintangan
gelincirnya mencukupi dan mempunyai jangka hayat yang lama tanpa memerlukan
penyenggaraan jalan yang banyak. Apabila turapan gagal berfungsi sebagaimana
yang diharapkan ia akan memberi ketidakselesaan dan mengurangkan keselamatan
kepada pengguna jalan raya.
Untuk merekabentuk ketebalan turapan, beberapa faktor perlu diambil kira
iaitu kegagalan, pembebanan lalulintas dan kesan alam sekitar. Secara amnya, jalan
raya mempunyai lima lapisan utama untuk menampung beban lalulintas yang
semakin meningkat setiap hari. Setiap lapisan mempunyai fungsinya yang tersendiri
dimana jika berlaku kegagalan, setiap fungsi lapisan akan menyebabkan jalan
mengalami kerosakan dan tidak dapat menanggung beban yang dikenakan keatasnya
dengan baik. Oleh itu, kerosakan setiap satu lapisan akan memberikan kesan
terhadap lapisan yang lain.
2.2 Jenis-jenis Kegagalan
Croney (1972) mendefinasikan kegagalan sebagai perubahan bentuk atau
pesongan sebanyak 20mm pada lorong tayar tidak laju yang diukur dari aras asal.
Jika ini berlaku, turapan dikatakan telah gagal dan usaha penyenggaraan perlu
dilaksanakan segera. Apabila had pesongan yang tersebut di atas dilampaui, lapisan
permukaan mula retak, dan air dapat menyusup masuk ke subgred serta berupaya
memusnahkan keseluruhan turapan. Secara umumnya, kegagalan permukaan jalan
boleh didefinasikan sebagai apabila struktur turapan tersebut mula menimbulkan
ketidakselesaan kepada pengguna jalan raya yang akan menyebabkan isu kesesakan,
kelewatan dan konflik kemalangan di jalan raya.
Kegagalan turapan terbahagi kepada dua iaitu :
i. Kegagalan fungsi, dan
ii. Kegagalan struktur.
Kegagalan fungsi boleh melibatkan atau tidak melibatkan kegagalan struktur
di mana permukaan jalan tidak dapat melaksanakan fungsinya memberikan
keselesaan kepada pengguna (Yoder, 1959). Ia berlaku apabila permukaan jalan
terlalu kasar atau terlalu licin. Permukaan jalan yang kasar adalah kesan daripada
kerja-kerja tampalan yang tidak sempurna dan pembinaan yang kurang memuaskan.
Manakala permukaan licin disebabkan oleh pengilapan permukaan akibat proses
penuaan dan penggunaan batu baur yang mudah gilap dan rekabentuk campuran
yang tidak tepat.
Kegagalan struktur berlaku apabila lapisan turapan mengalami kerosakan
kerana tidak dapat menanggung beban lalulintas yang tinggi. Vallerga merumuskan
cara turapan boleh gagal dan sebab-sebab kegagalan berlaku adalah seperti dalam
Jadual 2.1.
6
Jadual 2.1 : Suatu analisis terhadap jenis dan sebab-sebab berlakunya
kegagalan didalam turapan.
(Sumber : Mohamed Rehan Karim, Meor Othman Hamzah dan Asri Hasan, 1997)
Objektif Memperbaiki bancuhan turapan asfalt
Jenis masalah Ketidakstabilan Penyepaian Patah
Sebab-sebab Geseran antara zarah rendah.
Geseran cecair rendah (kelikatan jisim).
Kurang rintangan inersia.
Kekuatan tegangan rendah (atau jelekit).
Ketanggalan (tindakan air).
Lelasan (tindakan trafik).
Pengecutan (perubahan isipadu).
Kerapuhan (ketakboleh-lenturan).
Gelinciran.
Berfungsikan Tekstur permukaan zarah.Kuantiti bitumen (terlebih).Tekanan sentuh antara zarah.
Penggredan atau luas permukaan.Jenis dan kandungan bitumen.Ketumpatan.
Laju kenderaan.Berat kenderaan.Jenis turapan yang terlibat.
Luas permukaan.Jenis dan kandungan bitumen.Ketumpatan.
Kerekatan, kelikatan dan kuantiti bitumen.Ciri keboleh-basahan agregat.
Kuantiti bitumen (tidak cukup).Kekerasan relatif bagi agregat.Kerapuhan bahan pengikat.
Kehilangan bahan meruap dan perubahan suhu.Penyerapan bitumen oleh agregat.Pelarasan struktur dalam bagi bitumen.
Kuantiti, kelikatan dan kerapuhan bahan pengikat.Penggredan agregat dan tebal turapan.Ciri pantulan tapak jalan atau subtapak.
Ikatan antara lapisan (tidak cukup).Kekuatan tegangan bagi turapan.Tebal lapisan yang gelincir.
7
2.2.1 Ketidakstabilan
Ketidakstabilan bermaksud rintangan kepada ubah bentuk semasa ditindak
oleh beban lalulintas. Kestabilan merupakan sifat turapan yang terpenting kerana
jika turapan itu kurang stabil atau tidak stabil, akibatnya akan mudah dilihat melalui
mata kasar. Di antaranya ialah kegagalan dalam bentuk pengaliran, penolakan,
penyodokan, beralur, berubah bentuk dan sebagainya. Kegagalan jenis ini mudah
berlaku dan kesannya jelas kelihatan di kawasan yang membelok (Mohd. Rehan
Karim et. al, 1997).
2.2.2 Penyepaian
Turapan berbitumen yang mengalami penyepaian dikatakan tidak tahan lasak
kerana penyepaian berlaku apabila turapan tersebut ditindaki oleh luluhawa dan daya
lelasan lalulintas. Antara bentuk kegagalan yang diakibatkan oleh kesan tindakan
lelasan lalulintas ialah ‘pitting, raveling dan pot-holing’. Untuk menghalang dan
mengawal berlakunya penyepaian, bahan pengikat bitumen mestilah mempunyai
darjah rekatan yang tinggi terhadap permukaan agregat dan mempunyai ikatan
menjelekit yang mencukupi di antara zarah-zarah agregat (Mohd. Rehan Karim et.
al, 1997).
Pada umumnya, penyepaian dapat dikurangkan dengan cara menggunakan
kandungan bitumen yang tinggi kerana bitumen itu akan menolong permukaan
turapan mengkalis air dan meyelaput agregat dengan baik.
2.2.3 Kegagalan Patah
Kegagalan patah ditakrifkan sebagai pemecahan turapan berbitumen kepada
beberapa bahagian. Apabila pemecahan ini bercorak teratur, kegagalan patah disebut
8
retak rambut atau ‘pembuayaan’. Faktor utama berlakunya retakan ini ialah
pengecutan, kerapuhan dan kegeliciran.
Retak pengecutan berlaku akibat daripada perubahan isipadu bitumen,
perubahan suhu dan penyerapan bitumen kedalam anggota agregat berliang. Ia
didapati pada turapan berbitumen yang berusia tua dan mengandungi kandungan
bitumen yang terlalu tinggi, tetapi yang jarang digunakan oleh lalulintas (Mohd.
Rehan Karim et. al, 1997).
Kerapuhan ialah ketidakupayaan mengikut perubahan jangka panjang yang
berlaku pada bentuk tapak dan subtapak dan ketidakupayaannya melentur secara
berulang-ulang tanpa mengalami keretakan. Di antara faktor yang menyebabkan
kerapuhan ialah tebal lapisan berbitumen, kandungan bitumen, penggredan agregat,
suhu dan keadaan terakhir bitumen yang berada didalam turapan.
Gelinciran berlaku apabila kenderaan berat membrek secara tiba-tiba. Ia
boleh dikawal dengan cara mewujudkan rekatan yang kukuh di antara lapisan yang
berbeza itu semasa kerja pembinaan dijalankan supaya lapisan tersebut tidak
tegelincir antara satu sama lain.
2.2.4 Kehilangan Rintangan Kelincir
Penurunan rintangan kelinciran juga mengakibatkan kegagalan lapisan
permukaan turapan berbitumen. Faktor yang menyebabkan permukaan turapan
hilang rintangan kelincir dan menjadi licin ialah kehilangan mikro tekstur yang
disebabkan oleh penggilapan permukaan yang terdedah ketika digelek oleh tayar
kenderaan. Oleh itu, jenis agregat yang digunakan didalam bancuhan turapan sangat
penting bagi menentukan rintangan kelincir sesuatu permukaan turapan.
9
2.3 Kategori Kegagalan Turapan
Kegagalan turapan boleh dikategorikan kepada enam jenis yang utama iaitu :
i. Retak (cracks).
ii. Ubahbentuk Permukaan (surface deformation).
iii. Kecacatan Permukaan (surface defects).
iv. Tampalan (patches).
v. Lelubang (potholes).
vi. Kecacatan Pinggir (edge defects).
2.3.1 Retak
Keretakan ialah rekahan yang berpunca daripada kegagalan patah permukaan
turapan yang merupakan kerosakan yang sering terdapat pada permukaan jalan. Ia
berlaku dalam pelbagai bentuk daripada satu retakan terpencil hingga saling
bersambungan dan meliputi seluruh turapan (IKRAM, 1992). Keretakan
mendatangkan kesan negatif kepada turapan seperti :
i. Struktur turapan kehilangan lapisan kalis air.
ii. Kehilangan keupayaan pengagihan beban.
iii. Pengepaman dan hilang bahan halus dari tapak jalan.
iv. Ketidakselesaan memandu disebabkan kualiti permukaan
rendah.
v. Kehilangan rupa bentuk.
Keretakan juga berkemungkinan berpunca daripada :
i. Lekukan.
ii. Umur lesu permukaan sudah dilampaui.
iii. Kerapuhan oleh usia permukaan.
iv. Pantulan keretakan dari lapisan bawah.
v. Pengecutan.
vi. Sambungan pembinaan yang lemah.
10
Terdapat beberapa jenis keretakan seperti Rajah 2.1 iaitu :
i. Retak Buaya (crocodile cracks).
ii. Retak Blok (block cracks).
iii. Retak Memanjang (longitudinal cracks).
iv. Retak Melintang (transerve cracks).
v. Retak Tepi Jalan (edge cracks).
vi. Retak Bulan Sabit (cresent shaped cracks).
Rajah 2.1 : Jenis-jenis Keretakan
(Sumber : IKRAM, 1992)
2.3.1.1 Retak Buaya
Retak buaya merupakan retakan yang saling bersambungan antara satu sama
lain yang membentuk jaringan berbilang sisi dimana ia menyerupai kulit buaya. Saiz
blok permukaan retakan adalah di antara 100mm - 300mm. Permukaan jalan yang
mempunyai retakan jenis ini adalah disebabkan oleh anjakan berlebihan permukaan
11
dimana subtapak dan subgred adalah tidak stabil terutama sekali dalam trek roda
kenderaan. Anjakan berlebihan ini hasil daripada ulangan oleh beban yang sangat
berat, kelesuan dan lapisan jalan yang terlalu nipis (IKRAM, 1992).
Retak buaya ini berlaku disebabkan oleh :
i. Ketebalan turapan yang tidak mencukupi.
ii. Kerapuhan tapak jalan.
iii. Sistem saliran yang kurang baik.
2.3.1.2 Retak Blok
Retakan blok ialah retakan yang saling bersambungan membentuk siri blok
segi empat yang berukuran lebih kurang 300mm hingga melebihi 3000mm (IKRAM,
1992). Ia berlaku berpunca daripada :
i. Pengerasan dan pengecutan campuran bitumen.
ii. Rekabentuk turapan yang kurang memuaskan.
iii. Kelesuan lapisan-lapisan turapan.
2.3.1.3 Retak Memanjang
Retak memanjang biasanya berbentuk garisan lurus dan selari dengan garisan
tengah jalan, berlaku secara berasingan atau dalam sisi hampir selari dengan
cabangan yang terhad. Retakan ini akan membenarkan kemasukan air ke lapisan
bawah jalan dan menyebabkan tanah subgred menjadi lemah. Jika retakan ini
berhampiran dengan tepi jalan, kemungkinan ia menandakan pengecutan subgred
(IKRAM, 1992). Retak ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti :
i. Pemantulan keretakan ‘shrinkage’.
12
ii. Lorong menghampar dalam permukaan berturap tidak dibina dengan
baik.
iii. Kedudukan penyambung lari pada penglebaran ubin.
iv. Pemantulan penyambung dalam lapisan aras dibawah.
2.3.1.4 Retak Melintang
Retak melintang ialah retak yang tidak bersambungan merintangi (serenjang
dengan garis tengah) turapan (IKRAM, 1992). Ia terjadi apabila :
i. Penyambung pembinaan dalam permukaan berturap.
ii. Keretakan ‘shrinkage’ dalam permukaan berturap.
iii. Pemantulan penyambung dalam lapisan bawah.
2.3.1.5 Retak Tepi Jalan
Retak ini berlaku di tepi atau pinggir jalan, selalunya terjadi bila bahu jalan
tidak diturap. Saiz keretakan adalah antara 300mm hingga 600mm yang
bersambungan antara satu sama lain secara selari (IKRAM, 1992). Retak ini
disebabkan oleh :
i. Pemendapan bahu jalan setelah parasnya ditinggikan atau dilebarkan.
ii. Saliran tepi jalan kurang memuaskan.
iii. Lebar jalan yang tidak mencukupi yang memaksa kenderaan
menghampiri tepi jalan.
iv. Turapan jalan mudah berubah bentuk.
2.3.1.6 Retak Bulan Sabit
13
Retak ini terbentuk seperti bulan sabit meretak dalam arah trafik dan hanya
berlaku pada lapisan berbitumen sahaja (IKRAM, 1992). Sebab-sebab berlaku
keretakan ini adalah :
i. Ketidaksempurnaan ikatan antara lapisan permukaan dan lapisan
bawah.
ii. Ketebalan lapisan haus permukaan yang tidak mencukupi.
iii. Retakan kegelinciran permukaan jalan dengan tegasan ricihan yang
tinggi dimana kenderaan membrek dan memecut.
2.3.2 Ubahbentuk Permukaan
Ubahbentuk permukaan terjadi apabila terdapat perubahan permukaan
daripada profil binaan asal. Keadaan ini berlaku selepas pembinaan yang disebabkan
oleh lalulintas atau cuaca. Ubahbentuk mungkin berlaku kepada turapan baru yang
disebabkan oleh kurangnya kawalan semasa pembinaan dan juga boleh berlaku
apabila turapan jalan tidak stabil (IKRAM, 1992). Ia boleh mempengaruhi kualiti
pemanduan dan mungkin menunjukkan tanda kelemahan struktur dan juga boleh
mengakibatkan retak pada lapisan permukaan.
Ubahbentuk permukaan terbahagi kepada empat jenis yang utama seperti
Rajah 2.2 iaitu :
i. Aluran (rutting)
ii. Pengalunan (corrugation)
iii. Lekukan (depression)
iv. Penyodokan (shoving)
14
Rajah 2.2 : Jenis-jenis Ubahbentuk Permukaan
(Sumber : IKRAM, 1992)
2.3.2.1 Aluran
Kegagalan permukaan turapan terjadi di bahagian tepi kiri jalan yang menjadi
laluan tayar kiri kenderaan. Ini kerana lapisan permukaannya lemah dan
pemendapan sering berlaku terhadap lapisan turapan akibat pembebanan trafik.
Biasanya lompang udara akan berkurangan daripada 7% hingga 8% semasa
pembinaan kepada 4% atau 5% selepas dibuka kepada lalulintas. (Freddy et. al,
1994).
Aluran ialah ubahbentuk atau lekukan memanjang pada laluan tayar dengan
nisbah panjang kepada lebar melebihi 4:1 yang biasanya terjadi selepas pembebanan
gandar yang berulang. Jika perubahan bentuk dalam arah melintang terjadi disertai
dengan bonjolan-bonjolan di bahagian tepi muka jalan atau bahu jalan, ini bermakna
telah terjadi pergerakan pada subgred yang berlebihan atau muka jalan tidak kuat
(IKRAM, 1992).
Faktor yang menyebabkan aluran berlaku ialah :
i. Tebal turapan tidak mencukupi.
15
ii. Pemadatan struktur lapisan tidak cukup.
iii. Campuran bitumen tidak seimbang.
iv. Tapak dan sub-tapak kurang stabil.
2.3.2.2 Pengalunan
Pengalunan merupakan alunan melintang rapat dan berturutan dengan jarak
antara satu sama lain yang kurang daripada 2 meter (IKRAM, 1992). Umumnya, ia
akan mengakibatkan perjalanan dan pemanduan yang tidak selesa.
Ia terjadi disebabkan oleh :
i. Permukaan bitumen tidak cukup stabil.
ii. Penurapan lapisan permukaan yang tidak sempurna.
iii. Pada kedudukan jalan dimana gred curam dan kawasan-kawasan
dimana trafik membrek.
2.3.2.3 Lekukan
Lekukan ialah kawasan di mana arasnya lebih rendah daripada kawasan
sekeliling dan hanya berlaku pada kawasan permukaan berturap secara setempat. Ia
tidak terhad kepada bekas laluan tayar tetapi mungkin menjangkau beberapa laluan
tayar. Umumnya, akan mengakibatkan kegagalan cerun atau perubahan isipadu dan
kelembapan. Lekukan yang sangat kecil tidak akan kelihatan sehingga selepas hujan
apabila wujudnya takungan air di atasa jalan (IKRAM, 1992).
Antara faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya lekukan ialah :
i. Pengenapan subgred.
ii. Kaedah kawalan pembinaan kurang baik.
iii. Perubahan kandungan air dalam subgred.
16
2.3.2.4 Penyodokan
Penyodokan merupakan bonjolan permukaan jalan biasanya selari dengan
arah laluliantas di mana terjadinya pergerakan pemecutan dan membrek.
Berlakunya anjakan penyodokan melintang bahan permukaan turapan terutama
sekali dalam arah pergerakan trafik (IKRAM, 1992).
Sebab-sebab berlakunya penyodokan adalah :
i. Kestabilan rendah dalam campuran.
ii. Ikatan yang kurang antara permukaan bitumen dan lapisan bawahan.
iii. Pada kawasan persimpangan di mana trafik membrek dan memecut.
2.3.3 Kecacatan Permukaan
Kecacatan permukaan merangkumi kehilangan bahan permukaan mikro dan
makro tekstur. Biasanya ia tidak menunjukkan kekurangan struktur turapan
sebaliknya mempengaruhi mutu perkhidmatan dan keselamatan turapan terutamanya
rintangan gelincir, pergerakan dan kualiti pemanduan. Sesetengah kecacatan boleh
membawa kepada kehilangan keutuhan turapan (integrity).
Terdapat beberapa jenis kecacatan permukaan seperti Rajah 2.3 iaitu :
i. Penjujuhan (bleeding)
ii. Pengikisan (raveling)
iii. Pelicinan (polishing)
iv. Pengupasan (delamination)
17
Rajah 2.3 : Jenis-jenis Kecacatan Permukaan
(Sumber : IKRAM, 1992)
2.3.3.1 Penjujuhan
Penjujuhan berlaku apabila kehadiran bitumen bebas pada permukaan hasil
daripada pergerakan ke atas bahan pengikat. Ia kerap berlaku pada laluan tayar
kenderaan semasa cuaca panas (IKRAM, 1992).
Sebab-sebab berlakunya penjujuhan ialah :
i. Kandungan pengikat yang terlalu tinggi dalam lapisan permukaan.
ii. Pengikat dari lapisan bawah terpindah arah menaik.
iii. Pengikat yang terlalu lembut.
18
2.3.3.2 Pengikisan
Pengikisan merupakan penyepaian permukaan turapan yang progresif melalui
kehilangan pengikat atau agregat atau kedua-duanya sekali di bawah tindakan trafik
dan cuaca. Ia berlaku apabila lapisan asfalt tertanggal daripada permukaan jalan
kerana ikatan antara agregat dan bitumen adalah lemah (IKRAM, 1992).
Di antara faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya pengikisan adalah :
i. Rekabentuk campuran yang tidak betul.
ii. Pemanasan pengikat yang terlampau.
iii. Pemadatan yang tidak sesuai.
iv. Penggunaan kandungan pengikat yang terlalu rendah.
2.3.3.3 Pelicinan
Pelicinan dan pembulatan permukaan atas agregat yang mendedahkan agregat
yang berkilat pada pandangan dan licin pada sentuhan (IKRAM, 1992).
Sebab-sebab berlakunya pelicinan ialah :
i. Batu baur pada permukaan jalan tergilap di bawah tindakan trafik.
ii. Batu baur terbenam dalam bitumen.
2.3.3.4 Pengupasan
Pengupasan merupakan sebahagian lapisan haus tertanggal atau hilang.
Biasanya ia jelas kelihatan pada lapisan haus dan lapisan bawah (IKRAM, 1992).
Pengupasan berlaku disebabkan oleh :
i. Ketebalan dan kestabilan lapisan haus tidak mencukupi.
ii. Lekatan antara lapisan yang tidak sempurna.
19
2.3.4 Tampalan
Tampalan merupakan bahagian turapan yang dibaikpulih dimana permukaan
turapan dibuang dan diganti. Berkemungkinan ia boleh dikaitkan dengan kehilangan
kapasiti struktur. Had dan frekuensi tampalan boleh digunakan sebagai penunjuk
kelemahan turapan (IKRAM, 1992) . Kecacatan boleh berlaku pada tampalan atau
pada tampalan yang lebih tinggi atau rendah dari aras jalan. Rajah 2.4.
Rajah 2.4 : Tampalan dan Lelubang
(Sumber : IKRAM, 1992)
2.3.5 Lelubang
Lelubang ialah lubang yang berbentuk mangkuk dalam pelbagai saiz pada
permukaan turapan yang diakibatkan oleh kehilangan lapisan haus dan pengikat. Ia
terbentuk apabila lalulintas memecahkan turapan dan membenarkan air memasuki
turapan menyebabkan turapan menjadi lembut. Setelah air memasuki lapisan
turapan, proses penyepaian berlaku kerana lapisan pengikat menjadi lemah
(IKRAM,1992). Lelubang juga boleh terjadi apabila kualiti permukaan menjadi
lemah dimana permukaan turapan tidak terikat dengan lapisan bawah dengan
sempurnanya disebabkan oleh penyediaan permukaan subgred yang tidak tepat.
Rajah 2.4.
20
Sebab-sebab boleh berlakunya lelubang ialah :
i. Kehilangan lapisan permukaan.
ii. Kemasukan air ke lapisan pengikat melalui retakan permukaan turapan.
iii. Penyepaian tapak oleh beban.
iv. Sistem saliran yang tidak sempurna menyebabkan air meresap kedalam
turapan.
2.3.6 Kecacatan Tepi Jalan
Kecacatan tepi jalan berlaku di sepanjang permukaan antara turapan dan bahu
jalan, dan ia lebih banyak terjadi pada bahu jalan yang tidak berturap.
Terdapat beberapa kesan buruk kecacatan tepi jalan, antaranya ialah :
i. Pengurangan lebar turapan.
ii. Kehilangan kualiti pemanduan dan kemungkinan kawalan kenderaan.
iii. Pengaliran air pada tepi turapan menyebabkan berlakunya hakisan bahu
jalan.
iv. Kemasukan air ke tapak jalan.
Terdapat dua jenis kecacatan tepi jalan seperti Rajah 2.5 iaitu :
i. Pecahan Tepi (edge break).
ii. Jatuhan Tepi (edge drop-off).
21
Rajah 2.5 : Jenis-jenis Kecacatan Tepi Jalan
(Sumber : IKRAM, 1992)
2.3.6.1 Pecahan Tepi
Pecahan tepi berlaku apabila tepi permukaan bitumen pecah atau terkopek. Ia
berpunca daripada :
i. Lebar turapan tidak mencukupi.
ii. Penjajaran yang menggalakkan pemanduan pada tepi turapan.
iii. Sokongan tepi tidak mencukupi.
iv. Jatuhan tepi.
v. Kehilangan rekatan pada tapak jalan.
22
2.3.6.2 Jatuhan Tepi
Jatuhan tepi merupakan perbezaan aras diantara laluan trafik dan bahu jalan
yang disebabkan oleh enapan atau hakisan bahu jalan. Kebiasaannya ia dianggap
jatuhan tepi sekiranya jatuhan melebihi 25mm (IKRAM, 1992). Ia berpunca
daripada:
i. Lebar turapan tidak mencukupi.
ii. Bahan bahu jalan yang rintangannya kurang terhadap hakisan dan
lelasan.
iii. Hamparan semula turapan tanpa hamparan semula bahu jalan.
2.4 Faktor Dalam Merekabentuk Turapan
Untuk menentukan jenis-jenis kegagalan turapan, punca dan faktor yang
menyebabkan kegagalan haruslah diketahui. Di antaranya ialah kriteria kegagalan
dimana mutu tunggangan jalan raya menurun kerana berlakunya pemadatan
menyebabkan setiap lapisan turapan dan subgred berubah bentuk. Ia penting untuk
menentukan hayat rekabentuk turapan jalan.
Pembebanan lalulintas yang semakin bertambah jumlah beban gandarnya
menyebabkan semakin cepat jalan mengalami kegagalan. Beban lalulintas
termasuklah beban dan susunan gandar dan tayar, tekanan tayar dan luas sentuhan
permukaan. Kuasa pemusnahan lalulintas mentaksirkan kesan pemusnahannya ke
atas turapan. Kesan yang ditinggalkan oleh beban yang berbeza-beza saiznya
mestilah diberi tumpuan. Ini kerana lalulintas yang menggunakan jalan raya terdiri
daripada berbagai jenis dengan berat dan jumlah gandar yang berbeza-beza.
Kesan alam sekitar merupakan faktor yang berupaya untuk menyebabkan
kegagalan turapan iaitu lembapan dan suhu. Cuaca hujan dan peningkatan aras air
bumi akan mempengaruhi kestabilan dan kekuatan tanah subgred. Ini menyebabkan
apabila air bertakung di atas permukaan jalan raya, rintangan kegelinciran menurun
23
dan permukaan jalan diselaputi air di antara muka tayar dengan turapan. Suhu
mempengaruhi kekuatan bahan berbitumen. Apabila suhu bertambah, kekuatan
bahan berbitumen menurun lalu menyebabkan lebih banyak beban disalurkan ke
bahagian lapisan bawah.
2.5 Kaedah Penyelenggaraan Turapan
Penyelenggaraan turapan adalah untuk mengekalkan keadaan jalan seperti
keadaan asal dari segi geometri dan kekuatan struktur. Ia memerlukan pengurusan
yang teliti supaya langkah yang diambil untuk penyenggaraan dapat dilaksanakan
dengan teknik yang betul mengikut standard serta piawai yang ditetapkan. Sebelum
perlaksanaan penyelenggaraan dijalankan, kajian mengenai teknik yang sesuai perlu
dibuat untuk mempastikan aspek-aspek berikut dapat dicapai :
i. Pemilihan teknik penyelenggaraan yang dilaksanakan adalah ekonomik.
ii. Teknik penyelenggaraan yang dilaksanakan sesuai dijalankan di tapak
bina.
iii. Penyelenggaraan turapan dapat bertahan untuk tempoh yang optima.
iv. Penyelenggaraan turapan dapat menghasilkan permukaan yang selamat.
Penyelenggaraan berkala dapat melambatkan proses kemerosotan jalan akibat
kesan trafik dan persekitaran. Kelewatan melakukan penyenggaraan akan
menambah dan mempercepatkan proses kerosakkan dan kemerosotan jalan (Freddy
et al, 1994). Apabila kelemahan turapan bermula dan terdapat beberapa keretakan di
peringkat awal, pemulihan secara teknik pengekalan turapan sediada adalah
digalakkan. Di antara teknik pemulihan yang membolehkan kebolehkhidmatan
turapan dikekalkan adalah seperti berikut :
i. Pembalikmuda (rejuvenator) permukaan turapan sediada dengan
menggunakan bahan kimia.
ii. Menampal atau menutup permukaan yang retak (crack sealing).
iii. Potong dan tampal (cutting and patching).
24
iv. Menurap atau melapis semula dengan permukaan lapisan yang nipis.
v. Pembinaan semula jalan yang gagal.
2.5.1 Pembalikmuda
Permukaan turapan yang lama boleh dipulihkan dengan mengawetkan
permukaannya dengan meyemburkan permukaan turapan dengan lapisan bitumen
atau bitumen berpolimer (IKRAM, 1992). Agen pengawet ini bertindak untuk
mengekalkan keupayaan sifat sebagai kandungan asal bitumen didalam turapan
sediada. Pemilihan agen pengawet dan kandungan bahan yang sesuai adalah
bergantung kepada kajian permukaan turapan sediada.
Pada peringkat lapisan permulaan turapan, pengerasan berlaku mengikut
peredaran masa dan usia turapan tersebut. Ujian makmal hendaklah dijalankan
sebelum kerja-kerja pengawetan diteruskan. Kandungan polimer yang berlebihan
didalam bitumen akan menjejaskan sifat-sifat bitumen untuk mengelakkan masalah
sampingan yang akan timbul seperti permukaan jalan terlalu licin atau melemahkan
asfalt sediada.
Teknik ini akan meninggalkan kesan berminyak dipermukaan jalan. Oleh itu,
langkah keselamatan perlu diambil untuk memastikan kenderaan yang melalui
permukaan tersebut hendaklah memperlahankan kalajuan untuk mengelakkan
kegeliciran di peringkat awal semburan bahan kimia tersebut.
2.5.2 Menampal atau Menutup Permukaan Retak
Kaedah ini merupakan kaedah pengekalan alternatif yang ekonomik. Teknik
ini adalah dengan menutup permukaan yang retak daripada dimasuki air. Keretakan
yang kurang <3m lebar hendaklah ditutupkan dengan pasir halus atau batu halus jika
keretakan lebih besar (IKRAM, 1992).
25
Keberkesanan kaedah ini bergantung kepada usia turapan itu sendiri dan
beban kenderaan yang bertindak ke atasnya. Terdapat beberapa jenis penutup
keretakan dan ianya mempunyai ciri-ciri sifat yang tersendiri seperti :
i. Bituminous product dari jenis panas atau sejuk.
ii. Rubber asphalt.
iii. Low modulus silicone sealants.
iv. Petroleum base sealants.
Sebelum kerja-kerja menutup keretakan dijalankan, permukaannya hendaklah
dibersihkan dari sebarang kekotoran dengan menyemburkan permukaannya dengan
semburan angin. Segala sisa-sisa kerja di atas jalan hendaklah disapu dengan bersih
dan langkah-langkah keselamatan diambil kira semasa kerja sedang dilaksanakan.
Hanya peringkat lapisan yang nipis sahaja boleh diliputi dengan kaedah ini dan ianya
sesuai untuk keretakan yang minima sahaja.
2.5.3 Potong dan Tampal
Potong dan tampal merupakan kaedah menggantikan permukaan yang rosak
dengan permukaan bitumen yang baru, serta dimampatkan pada aras yang sama
permukaan di persekitarannya. Terdapat dua jenis bahan penampalan yang biasa
digunakan iaitu :
i. Campuran asfalt panas.
ii. Campuran asfalt sejuk.
Bahan yang digunakan untuk penampalan hendaklah mempunyai ciri-ciri
sifat seperti berikut :
i. Kekukuhan – untuk mengelak berlakunya penyorongan dan perpalohan.
ii. Kelikatan – untuk memastikan permukaan baru ada ikatan yang baik.
iii. Kalis air – untuk memastikan air tidak menembusi bahan tersebut.
iv. Ketahanlasakan – tidak mudah rosak.
26
v. Mudah disimpan – bahan yang digunakan boleh disimpan dan
digunakan dalam masa yang diperlukan.
Keberkesanan bahan penampal adalah bergantung kepada kualiti bahan, cara
penggunaan dan perlaksanaannya di tapak bina. Kaedah potong dan tampal ini
dijalankan dengan menggantikan permukaan yang telah retak dengan permukaan
yang baru dan biasanya dilaksanakan sebelum kerja-kerja penurapan dijalankan
untuk mengelakkan retakan bayangan berlaku. Kaedah ini juga sesuai untuk
mengatasi masalah perpalohan dimana permukaan yang tidak stabil dibuang dan
digantikan dengan lapisan permukaan yang lebih kukuh.
2.5.4 Menurap atau melapis semula dengan permukaan lapisan yang nipis
Kaedah ini sesuai digunakan untuk meningkatkan keupayaan pergerakan
kenderaan dan usia perkhidmatannya, juga untuk mengatasi masalah di tapak bina
untuk jangka masa pendek. Ia melibatkan penurapan semula lapisan permukaan
yang baru ke atas permukaan asal yang telah mengalami kegagalan fungsi atau
struktur. Lapisan berbitumen yang biasa digunakan adalah seperti berikut :
i. Dandanan Permukaan (Surface Dressing).
ii. Kedapan Buburan (Slurry Seal).
iii. Campuran Panas Nipis (Thin Hot Mix Overlay).
Dandanan permukaan dilaksanakan dengan menuangkan lapisan bitumen dan
diikuti dengan lapisan agregat samada satu lapisan atau beberapa lapisan. Agregat
yang digunakan mestilah bersih daripada debu untuk memastikan kelikatan antara
agregat dan bitumen. Pembinaan yang menggunakan kaedah ini memerlukan bahan
pengikat disembur dengan menggunakan alat penyembur secara mekanikal dan
agregat hendaklah dihampar dengan alat penghamparan.
Kedapan buburan ialah campuran agregat, air dan bahan pengisi dan
dicampurkan dengan bitumen emulsi. Kaedah ini sesuai untuk untuk tujuan
27
pembaikian dan halangan daripada penyelenggaraan lapisan permukaan asfalt dan
melambatkan dibahagian permukaan konkrit asfalt. Ia tidak sesuai digunakan di
permukaan jalan yang mengalami masalah struktur jalan.
Campuran panas nipis ialah satu lapisan yang mempunyai ketebalan yang
kurang daripada 40mm untuk memperbaiki keadaan permukaan tetapi ianya tidak
menambahkan kekuatan permukaan tersebut.
2.5.5 Pembinaan Semula Bagi Jalan yang Gagal
Jalan mengalami kegagalan kerana disebabkan oleh tapak jalan atau subgred
mengalami keadaan plastik. Biasanya ia berpunca daripada penyaliran sub-
permukaan yang tidak mencukupi. Kaedah ini melibatkan pembuangan dan
pembinaan semula kesemua lapisan turapan termasuk subgred atau sebahagiannya
menggunakan bahan dan spesifikasi pembinaan yang baru.
2.6 Kaedah Pemilihan Penyelenggaraan Turapan
Pemilihan teknik penyelenggaraan bergantung kepada aspek kejuruteraan dan
beberapa aspek lain termasuk dari segi kos, kemudahan peralatan penyelenggaraan,
kesan daripada penyelenggaraan dan kesan kepada pengguna jalan raya.
Peringkat prosedur pemilihan penyelenggaraan adalah seperti berikut :
Peringkat 1 :
Kenalpasti Masalah Sebenar
Mod kegagalan turapan hendaklah dinilai. Kajian terhadap kesan sampingan
daripada penyelenggaraan terhadap hayat kawasan yang diselenggara hendaklah
dikenalpasti.
28
Peringkat 2 :
Kenalpasti Beberapa Alternatif Penyelenggaraan
Daripada penilaian turapan, beberapa kaedah alternatif penyelenggaraan hendaklah
dipilih. Alternatif pemilihan hendaklah mengambil kira kesesuaian rekabentuk,
kesan sampingan daripada pemilihan tersebut, had ketahanan dan kebolehkhidmatan
turapan yang dipulihkan.
Peringkat 3 :
Pemilihan Penyelesaian Penyelenggaraan
Setelah penilaian dan pemilihan alternatif diambil kira, penganalisaan akan dibuat
perbandingan dari segi kos, kaedah perlaksanaan, cuaca, keselamatan di tapak, kesan
gangguan terhadap orang awam, pengawalan lalulintas dan sebagainya.
2.7 Analisis Fizikal Untuk Mengenalpasti Jenis Kegagalan Turapan
Secara umumnya, permukaan turapan yang baik mempunyai permukaan yang
tidak rosak. Permukaan yang rosak ini akan mengalami keretakan, ubahbentuk dan
kecacatan permukaan. Di bawah kategori ini pula, terdapat beberapa pembahagian
yang lebih terperinci bagi setiap kerosakan yang berlaku. Proses penilaian ini akan
dilakukan oleh pemantau yang terlatih dan mahir. Jadual 2.2 hingga 2.11
menunjukkan analisis tahap kerosakan sesuatu turapan yang sering berlaku.
29
Jadual 2.2 : Analisis Tahap Kerosakan Retak Buaya
(Sumber : IKRAM, 1992)
Tahap Catatan Kerosakan
Rendah Retakan-retakan rerambut yang saling bersambungan
dan selari.
Sederhana Retak serpihan yang ringan akan berkembang
menyebabkan kerosakan lebih banyak
Tinggi Perkembangan daripada tahap sederhana seterusnya
membentuk kepingan yang lebih banyak.
Jadual 2.3 : Analisis Tahap Kerosakan Retak Blok
(Sumber : IKRAM, 1992)
Tahap Catatan Kerosakan
Rendah Keretakan mempunyai lebar 3mm atau lebih.
Sederhana Keretakan mempunyai lebih 3mm.
Tinggi Retakan-retakan serpihan bertambah lebih banyak.
Jadual 2.4 : Analisis Tahap Kerosakan Retak Memanjang dan
Melintang
(Sumber : IKRAM, 1992)
Tahap Catatan Kerosakan
Rendah Satu retak yang memanjang tanpa ada sebarang
serpihan. Lebar retakan 3mm atau kurang.
Sederhana Retakan tidak kedap lebih 3mm lebar.
Tinggi Retakan mempunyai serpihan yang banyak.
30
Jadual 2.5 : Analisis Tahap Kerosakan Retak Tepi Jalan
(Sumber : IKRAM, 1992)
Tahap Catatan Kerosakan
Rendah Retakan rendah tetapi tiada pecahan turapan.
Sederhana Retakan sederhana dan ada sedikit pecahan turapan.
Tinggi Pecahan turapan yang banyak dan amat jelas
disepanjang tepi turapan.
Jadual 2.6 : Analisis Tahap Kerosakan Aluran
(Sumber : IKRAM, 1992)
Tahap Catatan Kerosakan
Rendah Kesan tayar kenderaan yang kedalamannya kurang
12mm.
Sederhana Kesan tayar kenderaan yang kedalamannya antara
12mm hingga 25mm.
Tinggi Kesan tayar kenderaan yang kedalamannya lebih
25mm.
Jadual 2.7 : Analisis Tahap Kerosakan Pengalunan dan Penyodokan
(Sumber : IKRAM, 1992)
Tahap Catatan Kerosakan
Rendah Alunan dapat dilihat apabila kesan tahap rendah
terhadap kualiti pemanduan.
Sederhana Alunan dapat dilihat apabila kesan tahap sederhana
terhadap kualiti pemanduan.
Tinggi Alunan dapat dilihat apabila kesan tahap tinggi
terhadap kualiti pemanduan.
31
Jadual 2.8 : Analisis Tahap Kerosakan Lekukan
(Sumber : IKRAM, 1992)
Tahap Catatan Kerosakan
Rendah Gerakan huyung dapat dilihat.
Sederhana Kawalan kualiti pemanduan pada turapan.
Tinggi Kawalan kenderaan lemah bila pemanduan melebihi
turapan.
Jadual 2.9 : Analisis Tahap Kerosakan Penjujuhan
(Sumber : IKRAM, 1992)
Tahap Catatan Kerosakan
Rendah Pewarnaan pada permukaan turapan dapat dilihat.
Sederhana Lebihan bitumen telah bebas tanpa melekat pada
tayar kenderaan.
Tinggi Tanpa bitumen, permukaan turapan menjadi lembap
atau basah.
Jadual 2.10 : Analisis Tahap Kerosakan Pengikisan
(Sumber : IKRAM, 1992)
Tahap Catatan Kerosakan
Rendah Agregat atau pengikat telah mula haus. Permukaan
turapan menunjukkan lubang hasil penanggalan
agregat.
Sederhana Agregat atau pengikat telah haus. Permukaan
menjadi kasar dan berlubang hasil penanggalan
agregat.
Tinggi Agregat atau pengikat telah haus dengan teruk.
Permukaan menjadi terlalu kasar dan keadaan
berlubang hasil penanggalan agregat.
32
Jadual 2.11 : Analisis Tahap Kerosakan Pengupasan
(Sumber : IKRAM, 1992)
Tahap Catatan Kerosakan
Rendah Pengupasan mula berlaku pada permukaan atas
dengan keluasannya kurang 0.1m2
Sederhana Luas permukaan pengupasan antara 0.1m2 hingga
2.5m2.
Tinggi Terdapat lebih dua kumpulan sederhana pengupasan
sepanjang regang pendek pada jalan.
Jadual 2.12 : Analisis Tahap Kerosakan Lelubang
(Sumber : IKRAM, 1992)
Kedalaman (mm) Keluasan (m 2)
< 0.1 0.1 – 0.3 > 0.3
< 25 Rendah Rendah Sederhana
25 – 50 Sederhana Sederhana Tinggi
> 50 Sederhana Tinggi Tinggi
33