1
‘Grand Strategy’, Globalisasi, dan Gubahan Nilai Islam &
Gagasan Perpaduan Ummah di Malaysia
MOHAMAD ABU BAKAR
‘Grand Strategy’ boleh ditakrifkan sebagai perancangan dan pelakuan
menyeluruh dan berjangka jauh, dengan bersasaran suatu gubahan hidup yang
berimpak, termasuk ke atas persekitarannya, sama ada di peringkat nasional, serantau
atau antarabangsa. Selaku pelan operasi menuju suatu konfigurasi hidup berupa
“imagined society”, atau “Invisible Nation”, ia bertindak sebagai sebuah konstruk yang
menjadi rujukan, atau suatu naratif besar yang menjadi ikutan.
Sebagai perancangan dan pelakuan ia lebih daripada suatu “road map”:
penterjemahan atau pelaksanaannya memerlukan penglibatan serta sistem sokongan
yang menjadi batu bata dalam penggubahannya. Pelan strategik sebegini tidak boleh
diperkasakan tanpa penyertaan faktor-faktor ini secara tersusun dan konsisten.
Keberadaban atau kehadiran penglibat dan penggiat amat crucial dalam
pembugaran “grand strategy”. Peranan mereka secara aktif, dan pengiat pro-aktif dan
asertif berpotensi besar bagi menjamin kejayaan “grand design” yang menjadi natijah
kepada “grand strategy”. Malah dalam situasi ketiadaan “grand strategy” sebagai
kerangka dan konteks bertindak, matlamat “grand strategy” masih boleh dicapai
SEKIRANYA para penglibat dan penggiat berkelengkapan DNA yang menjuruskan
kehidupan mereka kepada sasaran yang sama. Ertinya, cita-cita besar mampu
terangkat sehingga membuah gubahan setara dengan objektif “grand strategy” sendiri.
______________________________________________________________________
* Versi asal tulisan ini telah diwacana dalam satu majlis usrah di Kota Damansara,
Selangor, pada April 4, 2016 yang lalu.
2
Oleh yang demikian, secara lojiknya, sekiranya “grand strategy” yang
dimaksudkan berbekalkan penglibat dan penggiat berkenaan dan disokongi oleh
prasarana atau institusi yang berkaitan, kejayaannya lebih terjamin. Dengan itu,
sewajarnya perancangan dan pelakuan sesuatu “grand strategy” turut memuat
penyediaan penglibat dan penggiat yang bertanggunjawab kepada misi dan visinya.
I. ‘Grand Strategy’ sebagai Gubahan & Gerakan
Sejarah kontemporari atau sejarah semasa telah menampil beberapa “grand strategy”,
sesetengahnya masih beroperasi, khasnya di peringkat antarabangsa. “Grand Strategy”
sebagai deskripsi mungkin tidak terpasang pada perancangan dan pelakuan
berkenaan, namun pada hakikatnya pelan operasi yang tersemat dengan berbagai
taktik sesungguhnya adalah “grand strategy” di bawah penajaan sesuatu kelompok atau
negara.
Semenjak penubuhannya lagi, Amerika Syarikat yang diarusi oleh nilai WASP
(White Anglo-Saxon Protestants), dengan gagasan untuk memartabatkan “kebebasan”
dan “demokrasi liberal” dan memasyarakatkan nilai-nilai ke Amerikanan keluar, ke
seantero dunia, telah bertindak menunduk pihak lain, kadangkala secara paksaan.
Perasaan bahawa Tuhan menyebelahi mereka, dan bangsa Amerika berkedudukan
“superior” begitu dominan. Maka bersandarkan “Manifest Destiny” ini, negara itu bukan
sahaja telah merampas Texas dan jajahan Mexico, tetapi juga merempuh Afghanistan
dan Iraq. Atas dasar “American exceptionalism”, ia telah merencana dan mencipta PBB,
Rancangan Marshall, Bank Dunia dan IMF untuk merealisasi cita-cita sejagatnya. Bagi
mengekang kominisme yang menjadi musuh nilai-nilai Barat ke Amerikanan,
Washington memasang dasar pembendongan (Containment Policy), yang melibat
pembentukan NATO di Eropah dan SEATO di Asia Tenggara.
Sekitar kurun ke-19, telah terbentuk dan terpupuk Zionisme, suatu “grand
strategy” untuk memajukan objektif penubuhan “Jewish homeland” di atas bumi Palestin
dan memerangkapkan pihak yang bertentangan. Dasar kebangsaan yang bersalutan
ideologi bahawa Yahudi adalah pilihan Tuhan, berusaha dan bertindak mempertemu
bangsa tersebut yang berada dalam diaspora semenjak 600 tahun sebelum Masihi.
Zionisme yang disokong dan dibantu oleh penglibat dan penggiat yang berjiwa
3
sehaluan, daripada kalangan Yahudi Ashkenazi terutama sekali, menjadikan
pembentukan “Eretz Israel”, sebagai matlamatnya. Di mana-mana, khasnya di Amerika
Syarikat, pihak-pihak yang menyokong atau bersekongkol denganya seperti Anti-
Defamation League (ADL), bergerak sama, termasuk membenteras gejala “holocaust
denials”. Minda Arab dilapah untuk memudahkan kejayaan. Dewasa ini, kejayaan demi
kejayaan yang tertempa oleh “grand strategy” mereka, termasuk berikutan “aliyah” atau
migrasi, merangsang para zionis untuk mengembang wilayah mereka melebihi Der
Judenstaat, atau Israel yang sedia ada. Zionisme, sebagai sebuah “grand strategy”
masih terpacak menjadi rujukan hingga ke hari ini, sama ada ia digandingkan dengan
“Protocol of the Elders” ataupun tidak.
Menjelang dan semasa Perang Dunia ke 2, Nazisme dan Projek Rantau Makmur
Asia Timur Raya (Dai – to – akyoiekan) merupakan dua “grand strategy” yang terpupuk.
Di bawah Hilter, penubuhan “Third Reich (Drittes Reich) yang menjadi matlamat telah
merangkai individu dan institusi dalam suatu perancangan strategik, melibat perjuangan
bangsa Jerman sebagai “Master Race”, pengamalan sains engenics, propaganda dan
pembugaran dasar luar yang membawa kepada penaklukan dan pengluasan wilayah
(Deutsches Reich, atau German Empire). “Grand Design” yang terungkap dalam karya
Hilter, Mein Kampf, dan yang menyasar kepada penghayatan masyarakat berasaskan
bangsa, ternyata begitu berpengaruh sekali. Tidak kurang juga pentingnya ialah “grand
strategy” Jepun untuk menakluk Asia Timor sambil menafikan penjajah Barat, dalam
rangka usaha penubuhan “bloc of Asian Nations led by the Japanese and free of
Western powers”. Idea yang tercanang oleh sarjana Kiyoshi Miki, mengalami
penghayatan ketara menerusi propaganda dan perang.
Kalaulah kedua-dua strategi yang melibatkan Amerika Syarikat dan Yahudi
Zionis jelas bergerak berbekalkan penglibat dan penggiat yang berkesedaran dan
berpengetahuan mengenai misi dan visi disebalik rancangan besar yang terlibat,
peserta dan bakal peserta dalam gerakan Nazisme dan penubuhan “Greater East Asia
Co-Prosperity Sphere” semacam terpaksa diasuh, diolah dan dibentuk supaya mereka
berkedudukan dan berperanan menjayakan skim kerajaan masing-masing. Semua
pihak, termasuk Gestapo, “Hitler’s Youth”, dan para doktor didoktrinasikan sebegitu
4
rupa sehingga mereka berjuang ke arah kejayaan “Third Reich”; begitulah juga di
Jepun, anggota “Imperial Japanese Army”, termasuk pejuang kamikaze, para sarjana,
diarah dan dikerah untuk menjayakan perintah Maharaja, dan menempat bangsa Jepun
sebagai pemimpin di rantau timur Asia. “Misi pentamadunan” atau mission civilisatre
sebagaimana yang terserap dalam “Pax Americana” atau “The Chosen People”
sebagaimana yang bersebati dalam Zionisme, tidak mencirikan kebangkitan Jerman
dan Jepun ini.
Kebangkitan China akhir-akhir ini, berikutan tamatnya Perang Dingin dan
penularan globalisasi, mengundang pertanyaan. Sekiranya ia bersifat Pax Sinica
dengan gagasan pengluasan wilayah (nine-dash line) meliputi Nanyang (Laut China
Selatan), penggunaan kepakaran dan modal orang Cina dimerata dunia, termasuk di
Thailand, Singapura dan Malaysia, dan pembentukan semula rangkaian Laluan Sutera
(Silk Road) yang melibatkan Asia Tengah, Timur Tengah dan Eropah, maka itu
menjelaskan suatu “grand strategy”. Sebagai “global power” dengan kecenderungan
expansi ia memungkin “clash of grand strategies” dengan pihak lain seperti Amerika
Syarikat, dan bukan sekadar “Clash of Civilization”. Lebih menarik lagi ialah komitmen
kebangsaan orang Cina yang turut mengiringi kedudukan mereka sebagai pengusaha
dan pelabur yang berpotensi menghasil SATU gubahan yang berimpak. Malah melihat
pada perwatakan orang Cina, dengan DNA mereka yang menyatukan sesama
sebangsa, kehadiran suatu “grand strategy” bukanlah suatu pra-syarat dalam
kejayaannya. Aspek “cunning, creativity and clannishness” memanfaatkan pelaksanaan
bersama cita-cita besar tersebut.
Singapura pula, semenjak kemerdekaannya berikutan perpisahan dari Malaysia
dalam tahun 1965, dipercayai bergerak dan bertindak dalam wawasan sebuah “grand
strategy”. Idea menjadikannya “The New York of Malaysia”, ketika ia masih berada di
dalam Malaysia dan gambarannya sebagai “The Israel of Southeast Asia”, serta
gelarannya sebagai “The Switzerland of the East”, selepas pemecatannya dari
Malaysia, membayangkan jalur-jalur yang bergerak dalam pengubahan Singapura yang
merdeka. Sungguhpun konsep “Malaysian Malaysia” gagal diterjemahkan menjadi
realiti, Singapura yang telahpun muncul sebagai kuasa ekonomi dan kuasa tentera
5
terkuat di rantau ini tentu sekali tidak lahir sewenang-wenang tanpa berbekalkan “grand
strategy”. Ungkapan “exceptionalism” yang dipadankan pada pengalaman negara-kota
itu bukanlah suatu deskripsi kosong. “The Little Red Dot” sudahpun bertukar menjadi “A
Large Yellow Sun”, kadangkala memanaskan negara-negara berjiranan dengannya
secara berlebihan.
Sebagai sebuah “global city” (ecumenopolis), berpandukan “pragmatic idealism”
dan ditangani oleh “high calibre minds”, Singapura menjadi rujukan negara jiran, dan
pengaruh yang mendefinasi persekitaran serantau. Ia bukan sahaja berkelengkapan
lebih daripada 100 buah peluru berpandu jarak sederhana, kapal terbang pejuang jenis
F-15 dan F-16, dan dinaungi Amerika Syarikat, menjadikannya satu-satu “garrison
state” di Asia Tenggara, negara-kota ini juga bertindak memisahkan diri daripada
sejarah tempatan dan menafikan pengaruh negara jiran. Kejayaan dan kekayaannya,
dengan penampilan pelabur dari seluruh dunia dan pelancongan sekitar 15 juta
setahun, menjelaskan tahap pencapaian sebuah “grand strategy”. Pengantarabangsaan
Singapura, dengan penularan pengaruh China di Asia Tenggara, menjamin penerusan
projek “Greater Singapore” dengan impaknya yang berpanjangan ke atas persekitaran
luar, termasuk Malaysia.
Tidak pasti sama ada orang Melayu yang beragama Islam, khasnya di Malaysia,
pernah bergerak di bawah sesuatu “grand strategy”. Selama ini, “Melayu Raya” yang
berasaskan “rumpunisme”, merupakan sebuah konstruk yang longgar bercirikan
nostalgia kegemilangan lepas dunia Melayu Nusantara dengan Majapahit-Srivijayanya,
tetapi tidaklah pula menjelma sebagai sebuah doktrin yang koheran. Ia sememangnya
terpugar pada suatu ketika di bawah tajaan Propagandists dan Apolinario Mabini di
Filipina, Muhammad Yamin dan Tan Malaka di Indonesia, dan Ibrahim Hj. Yaacob di
Malaya. Kemuncak kepada perkembangan ini ialah kelahiran Maphilindo pada Jun
1963 berikutan Persidangan Menteri-menteri Luar Malaya, Filipina dan Indonesia di
Manila. Segalanya semacam terhenti disitu. Adapun Persekutuan Malaysia (Greater
Malaya), hasil gabungan Malaya, dan tiga lagi bekas tanah jajahan British, Singapura,
Sabah dan Sarawak, yang jelas merupakan projek bersama Inggeris-Kuala Lumpur,
6
lebih tertumpu kepada isu keselamatan, politik dan ekonomi, dan tidak menetas
sesuatu binaan baru daripada segi gubahan nilai.
Apakah “Rancangan Luar Bandar”, “Dasar Pelajaran Kebangsaan”, “Dasar
Ekonomi Baru”, dan akhir-akhir ini “Wawasan 2020”, “Islam Hadhadri” dan “Islam
Moderat” yang dicanangkan boleh dianggap “grand strategy”? Paling jauh, segalanya
ini adalah “strategy” jangka pertengahan, dan lebih tepat lagi diperihalkan sebagai
“Crash Program”, “Projek Segera”, “Respons Semasa”, atau perancangan yang ditentu-
corak oleh kepimpinan politik dalam era atau zaman masing-masing. Sememangnya
nilai Melayu-Islam, atau unsur Islamiyyah terbungkus sama; namun elemen ini setakat
ini belum berupaya mendefinisikan gubahan yang cuba dijelmakan menerusi
pengenalan berbagai pendekatan ini. Sesetengahanya telah larut ditelan masa, atau di
pinggirkan berikutan perubahan kepimpinan, atau semakin terhakis akibat globalisasi
semasa.
II. Globalisasi dan Penterjemahan dan Pemerkasaan “Grand Strategy”
Globalisasi semasa sebagai pensejagatan nilai sekular – moden Barat ke dunia
lain, yang telah mengalami kerancakan berikutan keruntuhan komunisme internasional
berkedudukan sama ada membantu atau membantut penterjemahan atau
pemerkasaraan sesuatu “grand strategy”. Dalam konteks masa kini, Amerika Syarikat
yang sering dilabel kuasa unilateral, meraih keuntungan, dan begitu berkeyakinan
memajukan cita-cita hegemoniknya, dalam bentuk “Manifest Destiny” yang asal atau
menerusi “Project for the New Century” yang dipelupori oleh puak neo-conservatives
atau melalui pembentangan “Orde Baru Dunia”. Tanpa banyak rintangan ideologi,
pemasyarakatan demokrasi, ekonomi laisse faire, dan budaya yang bersumberkan nilai
sekular-moden, atau Judea-Christian, lebih mudah diuruskan atas nama kestabilan dan
keselamatan sejagat. Globalisasi Amerika ini semestinya menguntungkan negara itu
untuk menjayakan strategi penaklukannya, apatah lagi ia turut berdampingan negara-
negara Anglo-Saxon lain, dalam gabungan “The Five Eyes”.
China juga menempa tempat yang lebih selesa apabila persoalan ideologi tidak
lagi berbangkit dalam era pasca-perang Dingin. Globalisasi menjadi saluran kepada
pengluasan pengaruhnya, terutama di negara-negara berjiranan dengannya dan yang
7
mempunyai jumlah etnik Cina yang ramai. Suatu bentuk, alignment telah wujud antara
Barat dan China apabila masing-masing berkongsi pendirian mengenai ekonomi,
sekalipun pada zahirnya wujud persaingan sengit antara kedua-duanya. Pemerkasaan
ekonomi menerusi perdagangan dan pelaburan berkaitan meletakkan China pada
kedudukan begitu strategik untuk menentu corak kehidupan di negara-negara yang
berurusan dengannya, seperti Malaysia. China sebagai “the Asian Tiger” telah bergerak
begitu berimpak sekali bukan sahaja di Asia Tenggara, tetapi juga di benua Afrika.
Tanpa mewar-warkan “grand strategy” sekalipun, etnik Cina yang berbekalkan DNA
penggerak telah mara ke hadapan menjayakan cita-cita bersama mereka.
Negara-negara yang berangkaian dengan Barat dan China semacam terserap
dalam “grand strategy” pihak tersebut dan semakin menerima padahnya. Negara-
negara yang berada dalam litaran gergasi luar ini menjadi sebahagian daripada dunia
dan terpaksa berurusan mengikut trend dan tempoh asing. Kalau di dahulunya
imperialisme-kolonialisme yang dibantu oleh orientalisme, memerangkap wilayah ini
selaku tanah jajahan atau negara baru merdeka, kini wilayah yang sama terdedah dan
terpedaya oleh mainan dan manipulasi luar. Malaysia yang beroperasi sebagai negara
baru selepas Merdeka, menganut demokrasi-liberial dan kapitalisme, sementara
budaya sosial penduduknya pula adalah refleksi nilai-nilai Barat yang berterusan
berkembang. Aktiviti hiburan pada zaman P.Ramlee, yang turut melibatkan Shaw
Brothers dan Cathay Pacific adalah sebahagian daripada senario ini. Bukanlah sesuatu
yang mengejutkan jika dewasa ini, keadaan serupa terus berlanjutan sekalipun ia turut
dilibat oleh Bollywood.
Salah satu dimensi globalisasi semasa ini ialah pengantarabangsaan Sejarah,
iaitu pemikiran dan pelakuan menyebati sejarah, sejarah negara lain, sejarah komuniti
lain, atau sejarah lokal dengan sejarah arus perdana, sama ada di bawah bayangan
Barat, atau di dalam skim kuasa besar lain, seperti China. Pemahaman seumpama ini
bukanlah suatu yang baru, kerana pernah terhasil gubahan bernama “One World
System Theory” oleh Immanuel Wallestein. Mengikut kacamata sarjana Hubungan
Antarabangsa, ini sejarah mengalir secara unilinear, iaitu dari Barat ke luar, dan segala
yang lain daripadanya merupakan bahagian-bahagian atau pinggiran-pinggiran
8
daripada keseluruhan sejarah kapitalisme yang besar. Francis Fukuyama menjelas
fenomina ini sebagai “The End of History”, tetapi pada realitinya Barat atau mana-mana
kuasa besar yang dominan merangkum pihak luar dalam wawasan dan gagasannya.
Kita sekadar pemboncang sejarah mereka.
Sekiranya benar globalisasi semasa lebih berimpak, sebagaimana ternyata
daripada peranan meluas MNCs dan seumpamanya, maka itu bermakna projek-projek
seperti “Rancangan Luar Bandar”, Dasar Pelajaran Kebangsaan”, “Dasar Ekonomi
Baru”, serta gagasan “Wawasan 2020” dan sepertinya, akan dihanyutkan oleh arus
perdana global tersebut. Program yang sememangnya telahpun terpedaya oleh
wawasan politik ini, atau dimangsakan oleh kegagalan para pentadbir dan
penugursnya, akan semestinya terbeban lagi akibat asakan daripada luar, dengan janji-
janji materialnya yang kadangkala bersalutan korapsi. Segala perancangan yang
digembar gemburkan sebagai penyelamat bangsa dan negara akan terlebur lama
kelamaan dan Malaysia akan bertukar menjadi kawasan pelaburan asing, arena politik
pihak luar, medan sosial dunia, dan taman reaksi untuk pelancong semua bangsa
bersantai dan berkelah.
Predikamen atau peristiwa yang sedang meyelubungi Malaysia, khasnya
orang Melayu yang beragama Islam, menuntut suatu gubahan “grand strategy” untuk
dihayati. Gerakan penyelamatan ini seharusnya disegerakan dan segala penyusunan
ke arah itu dibuat sebelum “grand strategy” pihak lain memusnah apa sahaja
peninggalan warisan lepas. Sebagai “counter-strategy”, pendekatan ini boleh dianggap
suatu bentuk pertahanan, kerana “the best form of defense is attack”.
Walaubagaimanapun, pembugaran dan penterjemahan sesuatu “grand strategy” di
peringkat tempatan atau nasional ini bukanlah suatu pekerjaan dan penglibatan yang
mudah, sama ada kesukaran daripada segi penggubahannya, atau kesukaran dari segi
pelaksanaannya. Masa yang lama, tenaga yang banyak dan pemikiran yang kreatif
sangat-sangat diperlukan, lantaran kekangan yang terpaksa dihadapi begitu banyak
dan besar.
9
III. Gubahan Nilai Islam sebagai “Grand Strategy” dan Gagasan Perpaduan
Ummah Di Malaysia
Sebuah “grand strategy” yang dipadankan kepada kehidupan Malaysia masih
belum wujud, sekalipun bayangan mengenainya dapat dikesan dalam sistem
kesultanan, federalisme dan perlembangaan negara dengan peruntukan tentang raja-
raja Melayu, Agama Islam, Bahasa Melayu dan hak istemewa orang Melayu. Malah
“Rancangan Luar Bandar”, “Dasar Pelajaran Kebangsaan”, polisi-polisi berkaitan,
secara langsung dan tidak langsung, mengukuhkan gubahan dalam bayangan ini.
Namun itu semua tidak menjadi ia suatu gubahan padu dan koheran, sebuah “grand
strategy” dalam ertikata yang sebenar. Jalur-jalur yang bertindak dan bergerak ini
merangkumi langkah melengkapi, tetapi yang juga jelas ialah ia kadangkala berjalan
berasingan, dan berserpihan (disparate), tanpa penujuan yang SATU. Tidak terdapat
usaha untuk merangkai dan merantai kesemuanya dalam satu sistem. Lebih teruk lagi
apabila ia bersifat “one-off”, terhenti di tengah jalan. Kita jelas belum berjaya; selama ini
kita hanya mampu mengurang kegagalan.
Sesuatu yang luar biasa adalah tidak lebih daripada gabungan perkara-
perkara biasa dalam susunan yang luar biasa. Sekiranya jalur-jalur ini disepadukan
menerusi suatu jalinan, maka segala komponen yang di ungkit di atas, khasnya
kesultanan dan perlembangaan dengan segala isi kondongannya, dan apa sahaja
institusi yang telah beroperasi sehubungannya, mampu diangkat sebagai batu bata
dalam pembinaan “Grand Strategy” berteraskan nilai Islam Malaysia. Apabila ia sudah
tegak dalam bentuk “mindset”, ia berkedudukan menilai dan menafsir, menapis dan
memilih unsur, sambil menyuluh jalan, menerangi polisi dan program, menuju matlamat.
Seandainya “grand strategy” ini berjaya dimasyarakatkan dengan penyertaan anggota
yang komited, maka ia akan berfungsi seperti pesawat yang berpandukan “auto-pilot”.
Di mana ia beroperasi, ia tetap menjurus kepada sasarannya. Begitulah pengalaman
bangsa Inggeris, yang berDNA Anglo-Saxon, dalam penghijrahan keluar mereka ke
benua Amerika dan Australasia. Mereka menjadi bukit di darat dan pulau dilaut.
10
“Grand Strategy” sebagai suatu naratif besar seharusnya dibentangkan sebagai
petunjuk jalan dan rujukan, dan untuk mengukuhkan lagi imej tentang masa depan yang
ditujui. Ia menjadi kerangka bertindak.
Bagi maksud pembentangan ini, “grand strategy” yang dimaksudkan ialah
gubahan yang mengatur penghayatan nilai Islam dalam konteks Malaysia, dengan
mengambil kira warisan sejarah dan wawasan Al-Quran. Ia mungkin diwarwarkan
sebagai sebagai sebuah peradaban Islam yang terbina menerusi fiqh Malaysia dan
diresapi oleh nilai keNusantaraan. Orde yang menjadi “imagined society” ini perlu terisi
oleh modus operandi yang membantu pelaksanaannya, terdiri daripada individu
penglibat dan penggiat dan institusi sebagai sistem sokongan. Perkiraan jangka jauh,
dan persoalan menggerak-aktif semua komponen dalam binaan ini secara kumulatif,
seharusnya ditekankan untuk mengelak kegagalan di tengah jalan. Setiap
perjalanannya adalah sebahagian daripada DESTINASI. Jentera kerajaan berupa
institusi dan agensi agama adalah di antara pihak yang dimandatkan dengan tugas dan
tanggongjawab mewujudkan persekitaran ini.
Sememangnya diakui bahawa bukanlah mudah, untuk membugar sesuatu
“grand strategy”, dengan halangan di dalam dan di luar negara. Dunia luar lebih besar
dan lebih perkasa daripada Malaysia. Pendukung dunia luar juga terdapat dalam
negara. Nilai-nilai asing yang semakin terserap, berikutan globalisasi turut diterimapakai
oleh orang Melayu yang beragama Islam sendiri. Sepatutnya, menerusi asuhan Islam,
yang menyasar mereka kepada kebaikan di dunia dan diakhirat, mereka ini sudahpun
menjelma menjadi manusia berDNA yang berkencerungan kepada gubahan orde Islam
ke Malaysianan semenjak dahulu lagi. Sebaliknya, mereka hanya bangkit apabila
bercerminkan kejayaan pihak lain, sebagaimana yang telah mereka lakukan semenjak
tahun-tahun 1930an, apabila berdepan dengan percapaian dan perolehan bangsa Cina
dan India. Itupun berlaku dalam kadar sementara, “panas-panas tahi ayam”, manakala
tindak tanduk pemimpin mereka sekadar bersifat “fire-fighting”.
Sehubungan ini, “grand strategy” sebagai gubahan dan gambaran idea
hendaklah dibentangkan untuk menjadi anutan sekurang-kurangnya oleh pemimpin
tertentu yang berpengetahuan dan berkedudukan strategik, dalam politik dan
11
pentadbiran, dan bidang-bidang tertentu yang jelas dapat membantu pelaksanaannya.
“Political Will” sangat penting dalam penterjemahan fahaman ini, dan mereka
berkenaan tidak seharusnya terjerumus dalam developmentalism semata-mata, tanpa
memikir isu nation-building yang lebih besar. “Grand Strategy” ini boleh disepakatkan
dalam pembinaan negara, dan bertindak sebagai sejarah dalam sejarah. Ia
berkedudukan bertindak sebagai counter-globalization, ketika berdepan dengan
persejagatan nilai Barat dan pengaruh China. Para sarjana intelektual yang
membongkar nilai silam patut memain peranan sama untuk mengukuh “grand strategy”
yang semestinya bertunjang masa lepas. Sokongan cerdik-pandai sangat penting untuk
membuah school of thought yang mendukung “grand strategy”. Agamawan terutama
sekali seharusnya menjadi penyumbang utama dalam pembentukan konfigurasi hidup
ini.
Gubahan yang diketengahkan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama,
lebih-lebih ketika negara dan masyarakat turut dihidangkan oleh peradaban luar,
hendaklah kelihatan menawan, mampu mengikjaskan, dan diyakini benar-benar
menjadi “Rahmat kepada sekalian alam”. Hanya sesuatu yang istemewa sahaja yang
dapat mendefinasikan persekitaran hidup. Ia melebihi amalan sembahyang dan puasa,
zakat dan haji, kerana kalau ia sekadar itu sahaja, maka kehidupan sebegini sedia
terdapat di negara-negara kapitalis di barat dan di negara-negara kominis di timor.
Manusia dan masyarakatnya seharusnya berfungsi sebagai peradaban yang berjalan.
Seandainya, “grand strategy” diperihalkan sebagai suatu “a civilization in the making”,
dan dipercayai beroperasi sedemkian maka masa depannya lebih cerah. Ini bermakna
“organizing principles” yang menggerakkan perjalanan dan penujuannnya seharusnya
sesuatu yang dianggap baik, dan dikesan baik. Orang Melayu yang tidak berbekal
warisan Borobubur atau Angkor Watt, iaitu budaya material yang kekal mengkagumkan,
perlu memperlengkapkannya dengan gubahan idea sebagai gantinya. Kalaulah
Abraham Lincoln merujuk kepada cara dan gaya Amerika sebagai “the last, best hope
on Earth”, “grand strategy” ini sewajarnya manjadi “the last, best hope for Malaysians”.
“Political Will” sebagai kehendak politik perlu juga diiringi oleh propaganda,
penyelidikan, perang psikologi, perang proksi dan penyediaan penglibat atau penggiat
12
yang berorentasikan “grand strategy”. Sesebuah “grand strategy” sekalipun kelihatan
statik sebagai “master-plan”, ialah sebuah gubahan dinamik yang mengambil kira
persekitaran dan keperluan taktikal. Propaganda dan penyelidikan mempunyai
peranannya tersendiri. Propaganda bertindak memasyaratkan dan mempopularkan
idea, sementara penyelidikan merisik, mengkaji dan menilai pendekatan dari semasa ke
semasa, disamping memahami keperluan keadaan dan menangani kritikan dan
tentangan pihak yang bermusuhan. Perang psikologi dan perang proksi juga
mempunyai peranannya. Setelah penglibat dan penggiat mampu beroperasi dengan
kekuatan sendiri dan menempa kedudukan yang berpengaruh di mana sahaja mereka
berada, maka itu merupakan tahap di mana mereka sudah berDNA. DNA di sini bukan
terbatas kepada keupayaan biologi, kerana ia juga boleh terbentuk menerusi
sosializasi. Ia melebihi ‘survival instincts’. Penterjemahan ideal ini perlu diiringi oleh
perundangan dan penguatkuasaannya, kerana pendekatan legalis masih kekal relevan
dalam pembugaran hidup berperadaban ini.
Dalam konteks ini, perpaduan ummah sangat penting dan amat crucial dalam
penterjemahan ‘grand strategy’- yakni perpaduan sebagai pra-syarat kepada
penubuhan orde yang diidam-idamkan. Perpaduan sekadar reaksi kepada perpecahan,
biasanya bersifat ‘reactionary’, defensive, dan sementara, dan ditelan keadaan apabila
anggota masyarakat kelihatan kembali bersatu hati dan berdamai. Pengalaman lepas
ditandai oleh episod-episod sebegini, semenjak kemunculan gerakan Islah Islamiyyah
pada tahun-tahun awal Abad Kedua Puluh dan selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei.
Perpaduan untuk perpaduan (unity for unity sake), atau perpaduan untuk
mengembalikan status quo yang belum tentu berupa sesuatu yang baik, juga tidak
memadai, selagi ia tidak dipertali dan dijalinkan kepada suatu ‘imagined society’ atau
‘invisible nation’ yang berada dalam wawasan. Sahubungan ini, para agamawan yang
tersentuh dan tersentak oleh perpecahan dalam masyarakat akan menghulur idea,
sepertimana peserta jamuan ‘pot-luck’ menyediakan sumbangan masing-masing
kepada majlis makan, dan selepas acara berlangsong, mereka akan kembali
meneruskan kehidupan asal. ‘Grand Strategy’ diharap dapat mengikat mereka agar
berterusan komited kepada agenda jangka jauh. Ringkasnya, perpaduan yang terjana
dalam acuan yang kukuh dan adunan berpanjangan, semestinya bersifat definatif, atau
13
penentu. Manusia dan masyarakat yang tertambat kepada Islam, di resapi oleh
ukhuwwah Islamiyyah, terhala kepada sistem rabani, hatta mereka berlainan pendirian
politik.
IV. Masa Depan ‘Grand Strategy’
Sesuatu gubahan hidup yang menyentuh pihak lain, secara positif atau negatif,
mengundang masalah. Pemberitahuan dan pembentangan dengan terperinci “grand
strategy” boleh membangkit banyak persoalan dan pertanyaan. Keadaan ini
seharusnya ditangani dengan bijak. Pemberitahuannya secara umum, dalam bentuk
yang kabur, pula boleh menyebabkan kesukaran kepada penglibat dan penggiat untuk
menuruti dan mematuhi pelan yang terancang. Pendukung yang menjadi sistem
sokongan “grand strategy” akan kehilangan perspektif atau hala tuju. Keadaan ini
seharusnya ditangani dengan bijak. Dalam situasi sekarangpun, bukan sedikit di
kalangan orang Melayu bertukar menjadi “manusia lembut” dan penuh apologetik
membicara kedudukan mereka. Pengalaman Amerika Syarikat dan Zionis, dan
penglibatan Jerman dan Jepun pada masa Perang Dunia Kedua wajar diambil kira
sehubungan ini.
Amerika Syarikat dan Zionis bergerak dan bertindak berlatar belakangkan para
pendukung “grand strategy” yang sudahpun berDNA bertepatan dengan misi dan visi.
Jerman dan Jepun bertindak keras dan tegas, dan bersistem, menerapkan agenda
“grand strategy” sehingga berjaya mengubah perwatakan masyarakat dan negara
mengikut pola yang dipertetapkan. Masing-masing pendekatan mempunyai kekuatan
dan kelemahannya, dan ia seharusnya menjadi inspirasi dan iktibar dalam pembugaran
“grand strategy” keislaman ala Malaysia ini.
Suatu faktor campur dalam pemasyarakatan “grand strategy” dikalangan rakyat
ialah sudahpun wujud pendidikan, pelaksanaan dasar, penerapan budaya, dan
pematuhan kepada perlembangaan yang berpaksikan nilai Melayu-Islam. Aspek-aspek
ini, seandainya di semarakkan dan dimurnikan, berkemampuan menjadi sistem
sokongan yang lebih baik dan berkesan. Pendahwaan yang sedia berjalan juga mampu
menyumbang kepada pembinaan gubahan hidup ini.
14
Bahawa kini jumlah orang Melayu mencecah 60% daripada penduduk Malaysia
merupakan aset yang boleh diterjemahkan menjadi faktor positif. Oleh itu suatu
persekitaran yang kondusif sangat diperlukan dalam pemupukan jiwa mereka.
Malaysia, seperti kebanyakan negara di dunia ketiga, masih belum mantap
daripada pembudayaan demokrasi. Sorotan dan saranan dari atas masih boleh
dilakukan, dan amalan “top-bottom” ini masih boleh dipakai dalam penerapan nilai
“grand strategy”. State Capitalism dengan GLC nya adalah sebahagian daripada cara
dan gayanya.
Pengluasan ruang demokrasi tetap berguna, iaitu setelah anggota masyarakat,
terutama sekali pendukung “grand strategy”, berkelengkapan DNA yang bertepatan
dengan cita-cita disebalik “grand strategy”.
Ringkasannya, pembugaran dan perlaksanaan “grand strategy” dalam konteks
Malaysia ini melibat tindakan “legal-constitutional” di peringkat kebangsaan, pendekatan
dan penkaderan di peringkat sosial, dan aktiviti diplomasi di peringkat serantau dan
antarabangsa. Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah Barat telahpun
mengetatkan syarat ke atas migran baru, dengan mempastikan mereka terlebih dahulu
berbekalkan pengetahuan kenegaraan dan fahaman sejarah, di samping kebolehan
berbahasa. “Grand Strategy” yang berjaya ialah gubahan yang mampu mengasimilasi
unsur dan pengaruh luar, tanpa kehilangan jatidiri dan hala tujunya.
Sesuatu berupa “grand strategy” belum tentu dapat menghasilkan
kejayaan, tetapi tanpa “grand strategy” kita akan kekal berada dalam kegagalan,
sebagaimana yang telah dialami selama ini. Ada pula yang berpendapat bahawa
pelbagai ‘strategi’ kecil yang sedia tertempa akan membawa kepada natijah serupa,
kelahiran “Grand Strategy”: tetapi sayogia diingat bahawa air yang mengalir deras
dari berbagai penjuru belum tentu bertemu parasnya, dan menjadi arus besar,
jika tidak dipandu oleh sistem paritan dan terusan.
15
PROFESOR DATO’ MOHAMAD ABU BAKAR
Profesor Dato’ Mohamad Abu Bakar ialah bekas Ketua Jabatan Pengajian
Anatrabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, dan
Penyandang Kursi Tun Abdul Razak ke 12 di Universiti Ohio, Amerika Syarikat. Beliau
juga pernah menjadi Profesor Pelawat di Universiti Nasional La Plata, Argentina,
Sarjana Pelawat Fulbright di Universiti Washington, Amerika Syarikat, Felo Pelawat di
Universiti Victoria di Wellington, New Zealand, dan Felo Pelawat di Pusat Pengajian
Islam, Oxford, England.
Bidang penyelidikan beliau meliputi Falsafah Sejarah dan Golongan Intelektual, Politik
Melayu dan Dasar Luar Malaysia, Islam Kontemporari dan Globalisasi Semasa. Beliau
telah membuat sekitar 400 pembentangan dan menghasil lebih daripada 150
penerbitan. Sebahagian daripada tulisan dan temuduga telah diterjemah ke bahasa-
bahasa Arab, Cina, Indonesia, Jepun, Jerman, Sepayol dan Tagalog. Pandangannya
turut tersalur menerusi radio dan tv tempatan dan luar negara, termasuk Radio BBC,
Radio New Zealand, Voice of Amerika dan Al-Jazeera. Buku beliau, Penghayatan
Sebuah Ideal mengenai Islam semasa pernah memenangi Hadiah Bahasa Persatuan
Linguistik Malaysia-Maybank.