406
Analisis Modul Makanan Ubah Suai Genetik (GMF)1
Mohd Izhar Ariff bin Mohd Kashim & Sharif Bin Mohd Tahir
Universiti Kebangsaan Malaysia
ABSTRAK
Pada masa kini perkembangan teknologi sains makanan berkembang dengan pesat
selari dengan teknologi-teknologi yang lain. Oleh itu, pelbagai jenis makanan moden
dapat dihasilkan dengan menggunakan teknik kejuruteraan bioteknologi makanan bagi
menghasilkan makanan GMF. Diakui makanan GMF mempunyai kesan yang baik
terhadap kesihatan dan nyawa manusia serta mampu menjimatkan kos dan dapat
mengurangkan masa. Namun, timbul isu dalam kalangan umat Islam berkaitan dengan
makanan GMF ini yang terhasil dari percampuran gen-gen haiwan dan tumbuhan sama
ada ia halal di sisi Islam atau sebaliknya. Justeru itu, satu analisis telah dilakukan
dengan menghimpunkan garis panduan dalam bentuk modul berkaitan makanan halal
dengan tujuan untuk menghasilkan satu modul makanan ubah suai genetik (GMF)
menurut perspektif Islam. Beberapa modul halal daripada beberapa negara dianalisis
dan dikaji bagi menghasilkan modul GMF yang menepati syarak dengan mengambil
modul makanan halal sebagai asas dan dibentuk beberapa polisi yang sesuai untuk
dimasukkan ke dalam modul makanan GMF ini. Dalam menjayakan kajian ini kaedah
pengumpulan data telah dijalankan menggunakan reka bentuk kualitatif dengan
menggunakan metode perpustakaan, deskriptif, komparatif, dan analisis kandungan
terhadap sumber-sumber fiqh dan sains. Menerusi kajian yang dilakukan, produk
makanan GMF boleh dimakan sekiranya menepati prinsip-prinsip yang telah
ditetapkan. Kajian ini signifikan bagi mengatasi kesamaran dalam penggunaan produk
makanan GMF. Kajian ini juga bertujuan untuk membantu pihak berwajib seperti
Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Ugama Islam
Singapura (MUIS), The Religious Council Negara Brunei Darussalam (TRCNBD) dan
agensi-agensi Islam yang lain dalam menentukan hukum bagi produk-produk makanan
ubah suai genetik (GMF).
Pengenalan
Pengubahsuaian genetik telah berlaku sejak berkurun-kurun lalu. Manusia telah
membuat pengubahsuaian genetik tumbuhan-tumbuhan dan juga haiwan-haiwan bagi
menghasilkan suatu produk GMO atau GMF yang memenuhi ciri-ciri yang diinginkan
oleh manusia yang tidak akan berlaku secara semulajadi. Manusia menggunakan teknik
pembiakan terpilih terhadap tumbuh-tumbuhan klasik dan haiwan-haiwan bagi
memenuhi kehendak manusia. Persenyawaan tumbuhan dilakukan dengan
menggabungkan gen-gen antara dua tumbuhan atau lebih bagi menghasilkan tumbuhan
baru yang pelbagai. Perkara yang sama turut berlaku terhadap haiwan-haiwan yang
1 Artikel ini merupakan hasil kajian penyelidikan FRGS FRGS/2/2013/SSI03/UKM/03/2
407
dipilih untuk dijadikan kacukan antara haiwan berlainan jenis atau baka bagi
menghasilkan baka yang lebih baik dan berkualiti. Namun, terdapat perbezaan antara
cara tradisional dan cara moden dalam teknik pembiakan terpilih ini. Teknik moden
yang digunakan pada masa kini membolehkan penghantaran gen-gen yang dipilih
dengan lebih tepat dan mudah dikawal berbanding cara tradisional. Kebolehan manusia
tidak terhenti di situ, malah semakin berkembang selari dengan peredaran zaman. Pada
masa kini pelbagai makanan ubah suai genetik (GMF) telah dihasilkan oleh pengeluar-
pengeluar makanan dari seluruh dunia. Namun, produk yang dikeluarkan tersebut masih
belum mempunyai garis panduan yang boleh digunakan oleh umat Islam bagi
membolehkan umat Islam untuk memakan makanan tersebut. Justeru, bagi merungkai
permasalahan tersebut, satu analisis modul makanan halal dilakukan bagi menghasilkan
satu modul makanan ubah suai genetik (GMF) bagi membantu umat Islam dalam isu
produk makanan ubah suai genetik (GMF) ini.
Definisi Makanan Ubah Suai Genetik (GMF)
Makanan ubah suai genetik (GMF) merupakan makanan yang dihasilkan daripada
organisma yang telah berlaku manipulasi yang menyebabkan kepada perubahan secara
spesifik terhadap struktur dan ciri-ciri gen secara langsung. Asid Deoksiribonukleik
(DNA) dimanipulasi melalui proses penggabungan dan pengasingan antara DNA satu
organisma dengan DNA satu organisma yang lain. Proses ini akan menghasilkan satu
organisma yang baru yang tidak akan wujud secara semula jadi. Makanan ubah suai
genetik merupakan makanan yang dihasilkan daripada organisma ubah suai genetik
dengan mengubah gen tumbuhan atau haiwan untuk tujuan tertentu. Makanan ubah suai
genetik lebih jimat dari sudut ekonomi, dan mempunyai daya tahan racun perosak,
serangga, mempunyai jangka hayat yang lama, serta lebih berkhasiat berbanding
tumbuhan atau haiwan yang asal. Teknik ubah suai genetik ini telah ada sejak zaman
dahulu namun menggunakan teknik yang berbeza. Beberapa contoh teknik bioteknologi
konvensional yang telah ada sekian lamanya adalah penggunaan mikro-organisma
dalam proses pembuatan roti, wain atau menggunakan rennin untuk membuat keju
(Wan Jasimah Wan Mohammed Radzi 2002).
Sementara itu, bioteknologi moden atau lebih dikenali sebagai biologi molekul
melibatkan teknik terkini yang canggih yang membolehkan saintis unuk mencapai
sasaran yang sama tetapi dengan lebih cepat dan tepat. Walaupun terdapat pelbagai
definisi bioteknologi moden tetapi kebanyakan peraturan di peringkat antarabangsa dan
di negara maju bersetuju bahawa bioteknologi moden berbeza daripada teknik klasik
seperti teknik pembiak baka dan mutagenesis. Bioteknologi moden melibatkan
pengubahsuaian secara selektif dan sengaja DNA sesuatu organisma dengan campur
tangan manusia sama ada melibatkan penyelitan, pengubahsuaian atau pengeluaran
gen-gen tertentu menggunakan teknik biologi molekul atau DNA rekombinan. Dalam
kes percampuran protoplasma atau sel, hanya teknik yang dapat mengatasi halangan
pembiakan fisionlogi semula jadi diambil kira (Anon. 2006).
Salah satu teknik yang telah banyak digunakan ialah pengklonan yang merujuk kepada
proses penggandaan DNA, sel atau organisma yang serupa secara genetik. Pengklonan
haiwan merujuk kepada penggandaan haiwan yang serupa dari segi genetik melalui
kaedah Pemindahan Nukleus Sel Somatik (Bruce A. 2005). Organisma hidup yang
diubah suai secara genetik (GMO) adalah merupakan organisma yang genetiknya telah
diubahsuai melalui kaedah bioteknologi moden. Ia berlaku melalui pembiakan atau
408
rekombinan semula jadi atau kedua-duanya yang tidak berlaku secara semula jadi
(Anon. 2006).
Konsep Umum Modul Makanan Halal
Makanan halal merujuk kepada makanan yang dibenarkan kepada umat Islam. Sebagai
seorang yang beragama Islam, adalah amat penting untuk mengikut garis panduan yang
telah ditetapkan oleh agama Islam. Kehalalan sesuatu makanan itu ditentukan oleh dua
faktor iaitu dalaman dan luaran. Faktor dalam merupakan kandungan atau sumber
makanan tersebut, manakala faktor luaran merujuk kepada cara sesuatu produk
makanan itu diproses, dihasilkan, disimpan, dan dihantar. Oleh itu, institusi-institusi
Islam di negara yang menitikberatkan agama Islam seperti Malaysia, Brunei, Indonesia
dan Singapore telah menghasilkan garis panduan makanan halal bagi umat Islam di
negara masing-masing bagi memudahkan warga Islam di negara masing-masing
mampu untuk membezakan sama ada sesuatu produk makanan itu halal atau sebaliknya.
Berikut merupakan garis panduan dalam bentuk modul yang telah ditetapkan oleh
beberapa negara asia agar produk makanan tersebut menepati prinsip-prinsip makanan
halal dalam Islam:
Sumber Makanan
Umat Islam telah diarahkan oleh Allah SWT agar menggunakan sumber-sumber yang
baik dan bersih dalam semua urusan kehidupan mereka termasuklah dalam urusan
makan dan minum mereka (al-Zuhayli 1998). Sumber utama makanan adalah dari
haiwan, tumbuh-tumbuhan, bahan kimia dan mikro-organisma dan diantaranya ada
yang halal dan haram. Oleh itu, perlu diberi penelitian yang khusus berkaitan dengan
sumber makanan yang diambil bertujuan untuk dijadikan sebagai makanan ubah suai
genetik (GMF) yang bertepatan dengan hukum syarak.
Haiwan
Haiwan boleh dibahagikan kepada tiga kategori:
a. Haiwan darat
Semua haiwan darat halal dimakan kecuali yang berikut:
i) Haiwan yang tidak disembelih mengikut hukum syarak.
ii) Khinzir dan ajing serta keturunannya.
iii) Haiwan yang mempunyai gigi taring atau cakar yang digunakan untuk memburu
seperti harimau, beruang, gajah, kucing, monyet dan seabagainya (al-San’ani t.th.).
iv) Burung yang mempunyai taring atau burung pemangsa (al-Kashnawi t.th.).
v) Serangga seperti tikus, kala jengking, ular, burung gagak, dan haiwan yang
seumpamanya.
vi) Haiwan yang dilarang untuk dibunuh dalam Islam seperti semut, lebah dan
sebagainya.
409
b. Haiwan akuatik
Haiwan akuatik yang hidup di air dan tidak mampu untuk hidup di darat, seperti ikan.
Semua haiwan air halal dimakan kecuali yang beracun, bertoksin, atau membahayakan
kepada kesihatan (al-Shafi’i t.th.).
c. Haiwan dua alam
Para ulama berbeza pendapat dalam meletakkan hukum berkaitan haiwan dua alam.
Antaranya adalah:
i) Menurut mazhab Hanafi (Ibn Hammam 2003) dan Shafi’i (Ibn Hajar al-Haythami
t.th.) haiwan dua alam adalah haram dimakan kerana sifatnya yang kotor serta jijik.
Selain itu, ia juga merupakan haiwan pemangsa dan beracun seperti katak, ular, buaya
dan biawak.
ii) Mazhab Maliki pula berpendapat semua haiwan dua alam seperti katak, buaya, penyu
dan kura-kura adalah makruh dimakan kerana tiada nas atau dalil yang
mengharamkannya secara qot’ie (Ibn Rushd 1996).
iii) Mazhab Hanbali menentukan hukum haiwan dua alam dengan melihat aspek
kehidupan yang paling dominan bagi haiwan dua alam tersebut. Jika ia lebih dominan
di daratan, maka ia halal dimakan sekiranya disembelih dengan cara yang betul. Namun,
sekiranya ia lebih dominan di dalam air, maka ia halal dimakan selagi tidak bernajis dan
tidak memudaratkan kepada manusia (Ibn Qudamah t.th.).
ii. Tumbuh-tumbuhan
Semua jenis tumbuhan ataupun hasil produk tumbuhan adalah halal kecuali tumbuhan
yang beracun, berktoksik atau memberikan kemudaratan kepada manusia (al-Qur’an
Abasa 80: 27-32).
iii. Cendawan dan Mikro-organisma
Semua jenis cendawan dan mikro-organisma (bakteria, alga dan kulat) dan setiap
produk yang dihasilkan daripadanya adalah halal kecuali jenis yang beracun, bertoksik,
atau membahayakan kepada kesihatan manusia.
iv. Mineral Semula Jadi dan Bahan Kimia
Semua jenis mineral semula jadi dan bahan kimia adalah halal kecuali yang beracun,
berktoksik dan membahayakan kesihatan manusia.
v. Minuman
Semua jenis air dan minuman adalah halal kecuali yang beracun, berktoksik dan
membahayakan kesihatan manusia.
vi. Makanan Ubah Suai Genetik (GMF)
Makanan dan minuman yang mengandungi produk GMF adalah halal sekiranya
sumbernya adalah daripada sumber haiwan yang halal dan ia akan menjadi haram
sekiranya sumber produk GMF tersebut adalah daripada sumber yang haram (al-
Zuhayli 1998).
410
vii. Penambah Rasa Makanan
Adalah penting untuk memastikan bahawa penambah rasa makanan adalah daripada
sumber yang dibenarkan dan diproses mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh
syarak tanpa melibatkan sebarang unsur-unsur alcohol (Saadan 2014).
Terdiri Dari Sumber Makanan Yang Halal
‘Halal’ merupakan perkataan arab yang bermaksud dibenarkan atau memenuhi syarak.
Menurut Majlis Agama Islam Singapura (MUIS), makanan halal merujuk kepada
makanan yang dibenarkan kepada umat Islam (Anon. 2005). JAKIM menetapkan
makanan orang Islam atau makanan yang ditanggung halal merupakan makanan yang
bukanlah dan tidaklah terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda
daripada binatang yang dilarang oleh hukum syarak bagi orang Islam untuk
memakannya atau yang tidak disembelih mengikut hukum syarak. Selain itu, ia mestilah
tidak mengandungi benda yang dihukum sebagai najis mengikut hukum syarak.
Seterusnya, tidak disedia, diproses atau dihasilkan menggunakan alat-alat yang tidak
bebas dari benda-benda najis mengikut hukum syarak.
Menurut Majlis Agama Islam Brunei, makanan ataupun sumber-sumbernya tidak
mengandungi bahagian tubuh badan manusia atau sumber-sumber yang tidak mematuhi
syarak (Anon. 2007). Selain itu, makanan itu mestilah selamat dan tidak memudaratkan
kerana memelihara nyawa dan kehidupan adalah merupakan sebahagian daripada
tuntutan Islam. Atas tuntutan tersebut, Allah SWT telah menegaskan dalam al-Quran:
Maksudnya:
Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah
membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar.
(al-Israa’ 17:33)
Berdasarkan kepada ayat di atas, al-Qurtubi (1967) menegaskan sesiapa sahaja yang
mengabaikan keselamatan diri sama ada yang berbentuk nyawa atau kesihatan adalah
berdosa kerana dia telah meninggalkan perkara yang dituntut dalam Islam (Sayyid Qutb
t.th.).
Kepentingan Sijil Halal
Sijil halal merupakan salah satu pengiktirafan yang penting bagi sesuatu produk yang
hendak dipasarkan kepada umat Islam. Sijil ini dikeluarkan oleh badan yang diiktiraf
oleh kerajaan. Di malaysia, JAKIM merupakan badan yang bertanggungjawab dalam
mengeluarkan sijil halal di Malaysia. Manakala, Brunei Darussalam meletakkan
411
tanggungjawab tersebut kepada Majlis Agama Islam Negara Brunei Darussalam (Anon.
2007). Dengan adanya sijil halal tersebut menunjukkan bahawa sesuatu produk itu telah
diiktiraf oleh institusi agama yang bertanggungjawab setelah dilakukan kaji selidik dan
pemeriksaan yang teliti dari semua aspek.
Penggunaan Logo Halal
Di Malaysia, penggunaan penunjuk ‘Halal’, ‘Ditanggung Halal’ atau sebarang
perbahasan yang boleh membawa erti bahawa orang Islam boleh memakan dan
menggunakannya akan menujukkan hasil keluaran premis pemprosesan, penyediaan
dan penjualan adalah halal bagi orang Islam (Anon 2011). Menurut KPDNKK (2014),
Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011 hanya
memperuntukkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam
bagi Negeri-Negeri (MAIN) masing-masing dilantik menjadi pihak berkuasa
berwibawa untuk memperaku bahawa makanan, barang-barang atau perkhidmatan yang
berhubung dengan makanan atau barang-barang itu adalah halal mengikut Perintah
Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.
Manakala di Singapura, logo halal dikeluarkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura
(MUIS) di bawak seksyen 88A di bawah Akta Undang-undang Islam (Cap 3). Setiap
produk, perkhidmatan atau aktiviti yang mempunyai logo halal maka ia telah memenuhi
syarat undang-undang syarak yang membolehkan umat Islam di Singapura untuk
menggunakannya (Anon. 2005).
Menjaga Kebersihan
Islam adalah agama yang amat menitipberatkan kebersihan. Justeru, kebersihan
merupakan salah satu aspek penting dalam ciri-ciri makanan bagi orang Islam dan ia
meliputi pelbagai aspek kehidupan termasuklah diri, pakaian, makanan dan sebagainya.
Tujuannya ialah untuk menjamin agar makanan yang dihasilkan adalah suci dan tidak
membahayakan kepada kehidupan manusia. Allah SWT berfirman:
Maksudnya:
Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada
mereka segala benda yang buruk (kotor).
(al-Nahl 16:114)
Allah mengarahkan umat Islam agar menggunakan sumber yang baik dan bersih dalam
semua urusan kehidupan mereka termasuklah dalam urusan makan dan minum mereka
(al-Qurtubi 1998). Ayat ini secara tidak langsung mengharamkan semua jenis makanan,
minuman, barangan kegunaan harian yang bersifat kotor, jijik dan najis. Ibn Abbas
412
(1998) menyifatkan daging khinzir, darah yang mengalir, bangkai, arak dan semua
perkara yang diharamkan dalam Islam sebagai al-khaba’ith. al-Razi (t.th)
mendefinisikan al-khaba’ith sebagai semua perkara yang kotor dan jijik oleh tabiat
manusia sama ada makanan, minuman, hiasan dan sebagainya.
Setiap makanan mestilah disediakan, diproses, dibungkus, dihantar dan disimpan dalam
keadaan yang bersih dan terjaga serta menepati piawaian Codex (Anon. 2005). Selain
itu, aspek lain yang harus diambil kira juga adalah kebersihan diri individu yang terlibat
dalam proses penghasilan makanan, pakaian yang dipakai, peralatan yang digunakan
dalam proses tersebut, serta premis operasi sama ada tempat penyembelihan haiwan
atau tempat memproses dan menghasilkan makanan. Beberapa langkah dapat diambil
dari Garis Panduan Makanan Halal Brunei Darsussalam (2007) bagi tujuan kebersihan
adalah seperti berikut:
a) Mengawal pencemaran udara, tanah, air, baja tumbuhan, racun serangga, atau
segala yang membahayakan nyawa manusia;
b) Mengurus sisa-sisa atau sampah secara efektif; dan
c) Menyimpan bahan-bahan yang berbahaya dalam keadaan selamat.
3. Konsep Umum Modul Makanan Ubah Suai Genetik (GMF)
Umat Islam telah dibekalkan dengan garis panduan terhadap makanan yang tergolong
dalam kategori sumber makanan utama. Namun, dalam membentuk pemahaman yang
jelas berkaitan isu ini, keaslian sumber dan pengetahuan sains amatlah diperlukan dalam
menyelesaikan perkara ini. Kedua-dua komponen adalah penting dalam mengeluarkan
fatwa dan perkara ini menitikberatkan kerjasama antara pemikir Islam dan saintis serta
pakar makanan. Isu ini bukanlah suatu isu yang mudah untuk dijawab dengan hanya
bersandarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah semata-mata bahkan ia memerlukan
kepada ijma’, qiyas dan juga ijtihad dari pada ulama’ (Izhar Ariff 2012). Selain itu,
konsep maslahah juga harus diambil kira sebelum mengeluarkan sesuatu hukum agar
selari dengan hukum syarak.
Modul makanan ubah suai genetik (GMF) mempunyai beberapa prinsip asas yang sama
dengan modul makanan halal dan terdapat beberapa perkara yang ditambah bagi
menepati piawaian yang telah ditetapkan oleh negara-negara atau agama Islam bagi
membolehkan produk GMF dipasarkan kepada umat Islam. Berikut merupakan
beberapa polisi yang perlu ditambah bagi melahirkan satu garis panduan dalam bentuk
modul berhubung dengan produk GMF agar ia selari dengan hukum syarak:
Sumber Makanan GMF Yang Halal
Umat Islam telah diarahkan oleh Allah SWT agar menggunakan sumber-sumber yang
baik dan bersih dalam semua urusan kehidupan mereka termasuklah dalam urusan
makan dan minum mereka (al-Zuhayli 1998). Sumber utama makanan adalah dari
haiwan, tumbuh-tumbuhan, bahan kimia dan mikro-organisma dan diantaranya ada
yang halal dan haram. Oleh itu, perlu diberi penelitian yang khusus berkaitan dengan
413
sumber makanan yang diambil bertujuan untuk dijadikan sebagai makanan ubah suai
genetik (GMF) yang bertepatan dengan hukum syarak.
Bagi makanan GMF yang dihasilkan dengan sumber yang berasaskan tumbuhan ubah
suai genetik (GMO) tidak akan timbul sebarang masalah sekiranya ia adalah cukup
syarat seperti yang telah dinyatakan sebelum ini. Begitu juga buat makanan GMF yang
dihasilkan dengan sumber berasaskan haiwan halal yang cukup syarat iaitu disembelih
mengikut hukum syarak bagi haiwan darat dan bagi haiwan air iaitu haiwan yang tidak
membahayakan serta memberi mudarat kepada kesihatan dan nyawa manusia (Anon
2005, 2007, 2011).
Pada Disember 2001, Kerajaan Arab Saudi telah menghentikan pengimportan produk
makanan yang mengandungi bahan yang berasaskan haiwan ubah suai genetik. Menurut
hukum syarak. Seperti yang ditetapkan oleh Arab Saudi, daging dan produk daging
mestilah datang dalam keadaan haiwan hidup bagi menepati syarat halal untuk
disembelih. Selain itu, hukum syarak telah menetapkan penggunaan daging khinzir atau
bahan penambah rasa makanan yang berasaskan khinzir termasuklah lemaknya adalah
haram di sisi syarak (Hussein Mousa 2012).
Memenuhi Prinsip Darurat
Darurat merupakan satu keadaan yang sangat mendesak sehingga memaksa sesiapa
sahaja untuk melakukan perkara-perkara yang diharamkan bagi meneyelamatkan
agama, jiwa, akal, keturunan dan harta (al-Suyuti t.th). Berhubung dengan isu ini, para
fuqaha telah bersepakat menghalalkan sesiapa sahaja yang berada dalam keadaan
tersebut melakukan perkara-perkara haram bagi memelihara maqasid syariah (al-Ramli
1987, Ibn Qudamah 1979).
Namun begitu, pendekatan darurat sentiasa digunakan bagi menghalalkan sesuatu yang
haram. Perkara yang sama turut berlaku dalam penentuan hukum makanan ubah suai
genetik (GMF). Ini kerana terdapat pelbagai andaian bahawa GMF amat diperlukan
sehingga mencapai tahap darurat. Sehubungan itu, bagi mengelak perkara-perkara
haram dihalalkan dengan sewenang-wenangnya, maka penggunaan prinsip darurat ini
mestilah menepati syarat-syarat darurat seperti yang telah ditetapkan oleh Islam
(Muhammad Adham 2001).
Mempunyai Sijil Keselamatan Makanan Ubah Suai Genetik (GMF)
Tujuan utama pengenalan makanan ubah suai genetik (GMF) adalah untuk menjaga
tanaman. Sebagaimana yang dilihat dalam perbincangan sebelumnya berkaitan produk
GMF, ia mampu meningkatkan daya tahan dari racun serangga dan juga serangga itu
sendiri. Justeru, produk GMF yang bebas dari racun serangga dan gangguan serangga
mampu untuk menghasilkan produk GMF yang selamat untuk manusia. Di samping itu,
ia juga mesti selari dengan hukum syarak agar umat Islam turut dapat menggunakannya.
Dalam konteks Malaysia yang kian pesat bertambah makanan ubah suai genetik (GMF)
dihasilkan sebagai suatu langkah bagi memenuhi keperluan dan permintaan masyarakat
disamping meningkatkan kualiti dan kuantiti makanan. Oleh itu, makanan atau bahan
414
makanan yang berasaskan bioteknologi mesti memenuhi syarat yang telah ditetapkan
di bawah Bahagian Keselamatan & Kualiti Makanan Malaysia.
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) bertanggungjawab memastikan
keselamatan dan kualiti makanan melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan
bagi seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Perlaksanaan ini
mengikut peruntukan, prosedur dan kod amali yang ditetapkan di bawah Akta Makanan
1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985, Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan
Peraturan Makanan (Pengeluaran Sijil Kesihatan bagi Eksport Ikan dan Hasilan Ikan ke
Kesatuan Eropah) 2009. Jabatan ini akan bersidang dalam Mesyuarat Penyelaras
Kebangsaan untuk Makanan dan Pemakanan (Bahagian Keselamatan dan Kualiti
Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia 2014).
Sebarang produk bioteknologi yang dieksport ke Arab Saudi mestilah produk yang
telah diluluskan oleh negara asal pengeluar bahawa ia selamat digunakan oleh manusia
dan haiwan. Setiap produk GMF yang dieksport tersebut mesti disertakan dengan sijil
keselamatan yang diiktiraf oleh agensi kerajaan yang menyatakan bahawa kandungan
produk GMF itu adalah terdiri daripada sumber-sumber yang dibenarkan digunakan
oleh manusia dan haiwan (Hussein Mousa 2012). Selain itu, Kerajaan Arab Saudi hanya
bersetuju untuk menerima sijil keselamatan yang dikeluarkan oleh agensi kerajaan
seperti USDA atau FDA bagi produk yang diimport dari Amerika Syarikat. Sekiranya
produk dari negara maka sijil keselamatan tersebut mestilah dikeluarkan oleh agensi
kerajaan yang bertanggungjawab dalam urusan keselamatan makanan. Kementeriannya
menolak sebarang sijil yang dikeluarkan oleh syarikat pengeksport atau organisasi
persendirian bagi mengelakkan berlakunya salah laku dalam aspek penilaian ciri-ciri
keselamatan makanan yang dieksport (Hussein Mousa 2012).
Meletakkan Label Makanan Ubah Suai Genetik (GMF)
Setiap makanan ubah suai genetik mestilah mempunyai label yang khusus menyatakan
bahawa ia adalah produk yang dihasilkan melalui teknik kejuruteraan bioteknologi.
Label tersebut mestilah dalam bahasa yang difahami oleh lapisan masyarakat. Bahasa
inggeris merupakan bahasa pengantara yang mudah difahami masyarakat dunia. Selain
itu, bahasa negara yang mengeksport dan mengimport produk tersebut boleh juga
dinyatakan bagi memudahkan pembeli untuk memahami label yang dinyatakan itu.
Menurut Kerajaan Arab Saudi, sekiranya sesuatu produk itu mengandungi satu atau
lebih sumber daripada tumbuh-tumbuhan ubah suai genetik (GMO), maklumat tersebut
mestilah dinyatakan dengan jelas kepada pengguna dengan meletakkan label yang
sepatutnya. Satu segi tiga mesti dilukis dalam label tersebut dan dinyatakan ayat
‘Mengandungi Produk Ubah Suai Genetik’. Saudi Food & Drug Authority (SFDA)
tidak akan meluluskan label yang disertakan dengan ayat ‘Produk Ini Mungkin
Mengandungi Bahan Ubah Suai Genetik’. Hal ini kerana sesuatu label itu mestilah
dinyatakan dengan jelas bahawa ia mengandungi bahan ubah suai genetik sekiranya ia
melebihi 0.9 peratus positif ubah suai genetik. Di samping itu, Arab Saudi tidak
membenarkan makanan yang mengandungi bahan ubah suai genetik berasaskan haiwan
diimport ke negaranya. Menurut SFDA, pengusaha produk makanan tempatan juga
415
mesti mematuhi peraturan yang telah ditetapkan berkaitan dengan pelabelan makanan
ubah suai genetik (Anon. 2007).
Kesimpulan
Kesimpulan daripada analisis yang dibuat terhadap modul makanan halal daripada
beberapa negara, penulis mendapati kesemua negara tersebut hanya menetapkan garis
panduan secara umum berkaitan dengan produk makanan halal dan tidak ada garis
panduan yang khusus bagi produk makanan ubah suai genetik (GMF). Justeru, modul
makanan ubah suai genetik (GMF) adalah amat penting bagi umat Islam kerana pada
masa kini perkembangan teknologi penghasilan makanan berkembang dengan pesat
yang membolehkan berlaku percampuran daripada pelbagai sumber sama ada halal dan
haram. Dengan adanya modul ini diharap dapat membantu umat Islam dalam memilih
makanan ubah suai genetik yang benar-benar menepati hukum syarak. Masih banyak
yang perlu ditambah dan dikaji dalam isu berkaitan makanan ubah suai genetik bagi
umat Islam. Justeru, para pemikir Islam dan juga saintis Islam mesti bekerjasama dalam
menghasilkan satu modul yang lebih baik agar keselamatan dan juga kesihatan generasi
umat Islam pada masa akan datang terjamin dari sebarang produk makanan GMF yang
mengandungi sumber haram atau memberi kesan yang negatif kepada kesihatan dan
nyawa manusia.
Rujukan
al-Quran al-Karim.
Bruce A., Gertz R., Oram C., Suk J., Tait J., Warkup C., & Whitelaw B. 2005. Animal
Cloning and Genetic Modification: A Prospective Study, Genesis Faraday.
Scotland: Roslin BioCentre.
Saudi Food & Drug Authority (SFDA). 2007. http://www.sfda.gov.sa/en/food/
awareness/news/Pages/food+news+14-2-2007.aspx [5 April 2015]
DBP. 2005. Kamus Dewan Edisi Keempat.. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
FDA. 2001. U.S Food and Drug Administration http://www.fda.gov/food/
guidanceregulation/guidancedocumentsregulatoryinformation/labelingnutrition
/ucm059098.htm [4 April 2015].
Free Trade Agreement Malaysia Information. 2007. CAP Worries FTA Threatens GM
Food Labelling. http://www.ftamalaysia.org/article.php?aid=155 [5 April
2015].
Ibn Hajar al-Haythami, Ahmad Muhammad. t.th. Tuhfat al-Muhtaj bi Sharh al-Minhaj.
Beirut: Dar al-Fikr. Jil. 8.
416
Ibn Hammam. 2003. Sharh Fath al-Qadir wa Yalih Taklimat Sharh Fath al-Qadir.
Beirut: Dar al-Kutb al-Ilmiyyah. Jil. 8.
al-Kashnawi, Abu Bakr Hasan. t.th. Ashal al-Madarik Shar Irshad al-Salik fi Fiqh Imam
Malik. Misr: Maktabah al-Bab al-Halabi. Jil. 2.
Ibn Kathir, Ismail ibn Umar. 1999. Tafsir al-Qur’an al-Azim. Misr: Dar al-Taybah li al-
Nashr wa al-Tawzi’. Jil. 1.
Ibn Manzur, Abu al-Fadl Jamal al-Din Muhammad Ibn Mukarram. 1990. Lisan al-Arab.
Beirut: Dar Sadir. Jil. 12.
Ibn Qudamah, Abd Allah ibn Ahmad. 1979. al-Mughbi fi Fiqh Imam al-Sunnah Ahmad
ibn Hanbal. Beirut: Dar al-Fikr. Jil. 9. Cet. 1.
Ibn al-Qudamah al-Maqdisi al-Hanbali, Abd Allah ibn Ahmad. t.th. al-Kafi fi Fiqh
Imam Ahmad ibn Hanbal. al-Qaherah: Dar Ihya’ al-Kutb al-‘Arabiyyah.
Ibn Rushd, Muhammad Ahmad. 1996. Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid.
Misr: Maktabah al-Bab al-Halabi wa Awladih. Jil. 1.
JAKIM. 2011. Portal Rasmi Halal Malaysia. http://www.halal.gov.my/
v3/index.php/ms/mengenai-pensijilan-halal/takrifan-halal [8 April 2015].
JAKIM. 2011. Portal Rasmi Fatwa Malaysia. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-
kebangsaan/hukum-memakan-makanan-terubahsuai-genetik-genetic-modified-
food [8 April 2015].
JAKIM. 1999. Portal Rasmi Fatwa Malaysia. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-
kebangsaan/bioteknologi-dalam-makanan-minuman [8 April 2015].
JKNKL. 2015. Portal Rasmi Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Dan Putrajaya. http://jknkl.moh.gov.my/web/guest/bahagian-keselamatan-dan-
kualiti [3 April 2015].
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Rang Undang-undang Keselamatan Bio.
2006. Kuala Lumpur: Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan.
KPDNKK. 2014. Portal Rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan. http://www.kpdnkk.gov.my/web/guest/pengguna/
penguatkuasaan/tanda-halal [8 April 2015].
Majma’ al-Lughah al-Arabiyyah. 1992. al-Mu’jam al-Wajiz. Jumhuriyyah Misr al-
Arabiyyah: Wizarah al-Tarbiyyah wa al-Ta’lim.
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). 2005. General Guidelines for the Handling and
Processing of Halal Food. MUIS-HC-S001. MUIS: Singapura.
417
Mohd Izhar Ariff Bin Mohd Kashim. 2012. Penentuan Hukum Makanan Ubah Suai
Genetik (GMF) Berasaskan Haiwan. Tesis PhD, Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
al-Qurtubi, Muhammad ibn Ahmad. 1967. al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an. al-Qaherah:
Dar al-Kitab al-Arabi.
al-Qurtubi, Muhammad Ahmad. 1998. al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an. Dimashq: Dar al-
Fikr. Jil. 7.
al-Ramli, Muhammad ibn Abi al-Abbas Ahmad ibn Hamzah ibn Shibab al-Din. 1987.
Nihayat al-Muhtaj ila Sharh al-Minhaj fi al-Fiqh ‘ala Madhhab al-Imam al-
Shafi’i. Beirut: Dar al-Gharb al-Islami.
al-Razi, Abd Allah Umar al-Hasan al-Husayn Fakhr al-Din. t.th. al-Tafsir al-Kabir.
Beirut: Dar Ihya’ al-Turath. Jil. 15.
Saadan Man, Zainal Abidin Yahya. 2014. “Halalan toyyiban” Halalkah Makanan
Kita ?. Batu Caves: PTS Islamika SDN. BHD.
al-San’ani. t.th. al-Badai’ al-San’ani fi Tartib al-Syarai’ fi Madhhab al-Hanafi.
Maktabah al-Fawa’id. Jil. 5.
al-Shafi’i, Muhammad Idris. t.th. al-Um. Beirut: Dar al-Fikr. Jil. 2.
al-Suyuti, Abd al-Rahman Abi Bakr. 2001. al-Ashbah wa al-Nazair fi Madhhab al-
Shafie. Beirut: Dar al-Kutb al-Ilmiyyah. Jil. 1.
al-Tabari, Muhammad Jarir. 2000. Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Qur’an. Beirut:
Muassasah al-Risalah. Jil. 4.
The Religious Council Negara Brunei Darussalam (TRCNBD). 2007. Halal Food:
Piawai Brunei Darussalam PBD 24: 2007. Edisi Pertama. Majlis Agama Islam:
Brunei Darussalam.
Wan Jasimah Wan Mohammed Radzi. 2002. Makanan Ubah Suaian Genetik:
Perspektif Kesihatan dan Keselamatan Makanan. Kertas Kerja Seminar
Muzakarah Pakar Makanan – Satu Perspektif Islam. Kuala Lumpur: Institut
Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Wikipedia. 2010. Genetically Modified Food. http://en.wikipedia.org/wiki/
Genetically_modified_food [7 April 2015].
World Health Organization (WHO). 2005. Modern Food Biotechnology, Human Health
and Development: An Evidence-Based Study. Switzerland: WHO Library.
al-Zuhayli, Wahbah. 1998. Tafsir al-Munir. Dimashq: Dar al-Fikr. Jil. 2.