bongkah keegoan

13
Bongkah Keegoan Tatkala aku melangkah masuk melepasi pagar hadapan sekolah pagi itu, perasaanku bertukar menjadi seram sejuk. Nadiku berdenyut kencang daripada biasa mengingatkan kata-kata ketua kelasku petang kelmarin. Pagi itu terasa lain benar, tidak seperti hari-hari yang aku lalui sebelumnya. Sewaktu aku berjalan di koridor sekolah, kelihatan ramai pelajar bergelak ketawa, berbual dan bergurau-senda sesama sendiri. Keadaan sebegini adalah pemandangan biasa aku lalui pada setiap kali aku datang ke sekolah, namun entah kenapa pada pagi itu aku merasakan yang pelajar- pelajar itu seolah-olah mentertawakan dan menyindir aku. Aku terasa seperti diperhatikan dari segala arah. Aku seolah-olah menjadi bahan dalam setiap butir bicara, bisik dan cerita antara mereka. Tahukah mereka tentang berita yang disampaikan oleh Nadia, ketua kelas 4 Al-Khawarizmi, yang disampaikan kepadaku petang kelmarin? Siapa yang menyebarkan cerita tentang aku dipanggil menghadap Cikgu Murni pagi ini? Tidak pernah sebelum ini, semenjak aku memasuki dan mengenali dunia persekolahan, aku menjadi budak nakal di sekolah. Seingat aku tidak pernah aku melanggar peraturan sekolah yang boleh menyebabkan aku dihukum apatah lagi dipersalahkan. Semalaman aku cuba

Upload: mohaspa-mohd-hassan

Post on 24-Jun-2015

293 views

Category:

Education


6 download

DESCRIPTION

Cerpen

TRANSCRIPT

Page 1: Bongkah keegoan

Bongkah Keegoan Tatkala aku melangkah masuk melepasi pagar hadapan sekolah pagi itu, perasaanku bertukar menjadi seram sejuk. Nadiku berdenyut kencang daripada biasa mengingatkan kata-kata ketua kelasku petang kelmarin.

Pagi itu terasa lain benar, tidak seperti hari-hari yang aku lalui sebelumnya. Sewaktu aku berjalan di koridor sekolah, kelihatan ramai pelajar bergelak ketawa, berbual dan bergurau-senda sesama sendiri. Keadaan sebegini adalah pemandangan biasa aku lalui pada setiap kali aku datang ke sekolah, namun entah kenapa pada pagi itu aku merasakan yang pelajar-pelajar itu seolah-olah mentertawakan dan menyindir aku. Aku terasa seperti diperhatikan dari segala arah. Aku seolah-olah menjadi bahan dalam setiap butir bicara, bisik dan cerita antara mereka.

Tahukah mereka tentang berita yang disampaikan oleh Nadia, ketua kelas 4 Al-Khawarizmi, yang disampaikan kepadaku petang kelmarin? Siapa yang menyebarkan cerita tentang aku dipanggil menghadap Cikgu Murni pagi ini?

Tidak pernah sebelum ini, semenjak aku memasuki dan mengenali dunia persekolahan, aku menjadi budak nakal di sekolah. Seingat aku tidak pernah aku melanggar peraturan sekolah yang boleh menyebabkan aku dihukum apatah lagi dipersalahkan. Semalaman aku cuba mengingati setiap tindakan yang pernah aku lakukan sehingga menyebabkan aku digolongkan sebaris dengan pelajar-pelajar yang pernah menjadi hero jahat di sekolah. Tidak, aku pelajar yang baik, seboleh mungkin aku telah menuruti semua peraturan dan arahan sekolah seperti seorang hamba mentaati tuannya.

Bergaduh? Tidak, aku tidak pernah bersengketa dengan mana-mana kawanku inikan pula bergaduh. Ponteng kelas? Aku tidak pernah buat perkara itu. Aku hanya datang ke sekolah dan berada di kelas sepanjang waktu pembelajaran sehingga waktu pulang. Kalau dari segi penampilan, tidak pernah pula aku bertudung pendek, berbaju ketat dan singkat. Malah kuku juga terpotong rapi.

Inilah pertama kali dalam hidupku dipanggil menghadap guru kaunselor. Suatu yang sangat memalukan aku. Bagiku, diarah menghadap guru kaunselor

Page 2: Bongkah keegoan

samalah seperti seorang pesakit jiwa dirujuk kepada pakar psikiatri, atau seperti seorang suspek jenayah direman untuk disoal siasat oleh mata-mata. Malu, geram dan risau membelenggu kotak fikiranku pagi itu. Aku amat berdebar. Aku rasa tidak selesa sekali. Aku sendiri pun tidak tahu mengapa dan apa tujuan aku di panggil ke sana.

Setibanya aku di hadapan bilik kaunseling, aku membuka pintunya. Tanganku seakan-akan tidak mahu meyentuh tombol pintu itu. Perasaanku berbaur resah, berdebar membayangkan nasibku.

“Assalamualaikum cikgu” aku memberi salam kepada cikgu Murni yang sedang duduk di mejanya. Cikgu Murni merupakan guru kaunselor sekolah. Seorang yang tidak kedekut dengan senyuman, berkulit agak cerah dengan tinggi yang sederhana.

“Waalaikummussalam” jawab Cikgu Murni disulami kuntuman senyum mesranya. Pagi itu Cikgu Murni kelihatan sungguh cantik berseri dengan baju batik biru dipadankan dengan tudung merah hati seperti warna motif baju batiknya.

Cikgu Murni menjemput aku untuk duduk. Seperti terpukau aku menurut sahaja arahannya. Perlahan-lahan aku duduk di sofa yang membelakangi tingkap sambil menundukkan muka dan sesekali mencuri pandang muka cikgu Murni. Cikgu Murni bangun menuju ke kabinet besi yang terletak di penjuru sebelah kiri bersebelahan dengan meja cikgu Murni. Sebaik laci kabinet paling atas ditarik, cikgu Murni segera mencapai sebuah fail. Aku merenung sekeliling bilik cikgu Murni. Dinding bilik itu dicat dengan warna hijau muda yang amat menenangkan, perhiasan bunga diletakkan di penjuru kanan bilik menghiasi ruang kosong antara dua sofa.

Cikgu Murni lalu datang dan duduk di hadapanku. Di wajah Cikgu Murni masih lagi terpapar senyuman yang manis. Senyuman itu memberi sedikit ketenangan dalam diriku. Rasa takut dan tertekan yang aku rasakan sebentar tadi kini semakin berkurangan. Mungkin inilah yang dikatakan kuasa sebuah senyuman. Tiba-tiba Cikgu Murni memecahkan kesunyian dalam bilik itu dengan soalannya.

Page 3: Bongkah keegoan

“Apa khabar Dila, kamu sihat?”

“Ya cikgu.” Jawab ku pendek.

“Pagi tadi kamu ada sembahyang subuh?”

“Ada cikgu” Jawabku.

Soalan yang ditanya kepadaku hanyalah sekadar soalan biasa. Hatiku tenang menjawab soalan-soalan itu.

“Saya dapat tahu daripada beberapa orang guru yang kamu semakin kurang memberi perhatian semasa cikgu mengajar. Kata mereka kamu sering tidur di kelas, malas menyiapkan kerja sekolah, membuat bising di kelas. Bukan itu saja, saya juga mendapat laporan yang kata kamu berkelakuan kurang sopan dengan guru sejarah kamu. Betulkah?”

Soalan Cikgu Murni kala ini agak memberi tekanan kepadaku. Aku tidak begitu pasti untuk memberi jawapan kepada soalan itu. Aku juga tidak menafikan kata-kata Cikgu Murni.

“Saya juga dapat tahu prestasi kamu dalam beberapa mata pelajaran agak menurun. Setahu saya kamu salah seorang pelajar cemerlang PMR tahun lepas.” Sambung Cikgu Murni.

Aku menundukkan muka memandang karpet nipis yang menutupi lantai simen bilik kaunseling itu sementara fikiranku bingung mencari jawapan.

“Apa sebenarnya masalah kamu? Ceritakan kepada saya, mana tahu saya boleh membantu.” Sambung cikgu Murni lembut.

Perlahan-lahan aku mengangkat kepala dan memandang muka cikgu Murni. Aku cuba membuka mulut, cuba meluahkan rasa, namun terasa suaraku tersekat tidak mahu melepasi anak tekakku.

“Dua minggu lagi ujian pertengahan tahun, lebih baik kamu berkongsi masalah kamu dengan saya. Insya Allah saya akan cuba membantu. Jangan salah faham, kamu dipanggil ke sini bukan untuk dituduh atau dihukum, tapi untuk dibantu”

Page 4: Bongkah keegoan

Pada mulanya aku segan untuk menceritakan masalahku. Namun setelah didesak berkali-kali oleh Cikgu Murni, akhirnya aku bersuara juga.

“Begini cikgu, sebenarnya saya tidak suka cikgu Sejarah saya, Cikgu Farhana. Saya tidak dapat menerima apa yang diajarkannya, tambahan pula Cikgu Farhana sering marah pada kami, kadang-kadang separuh masa yang sepatutnya diisi dengan pelajaran diganti dengan leteren dan bebelan yang merimaskan kami.”

Senyuman cikgu Murni sudah tidak menguntum lagi. Air mukanya Nampak serius. Anak matanya tajam memandang ke arahku.

“Sudah muak saya mendengar leterannya setiap kali masuk ke kelas. Walaupun leteran itu bukanlah ditujukan kepada saya, namun saya tetap tidak suka cara pengajarannya, kadang-kala saya juga tidak tahu apa sebab sebenar yang menyebabkan saya tidak suka kepadanya. Dua hari lepas memang saya ada mengatakan secara terus terang kepada cikgu Farhana yang saya tidak suka cara dia mengajar. Mungkin cara saya bercakap itu agak kasar tapi saya memang sudah tidak tahan dengan sikapnya yang sering marah.” Terangku kepada cikgu Murni.

Cikgu Murni memerhati diriku. Renungan yang membuatkan rasa kurang selesa kembali menghuni jiwaku. Kemudian Cikgu Murni menyambung soalannya.

“Kalau kamu tidak suka pada Cikgu Farhana, kenapa pula markah mata pelajaran lain juga semakin menurun?”

“Saya kurang memberi perhatian di dalam kelas cikgu.”

“Kenapa?” Tanya Cikgu Murni.

“Entahlah cikgu, mungkin kerana saya rasa saya SPM masih lambat lagi dan saya masih mempunyai banyak masa lagi untuk mengulang kaji sebelum mengambil SPM tahun depan.” Jawabku tanpa berselindung.

“Saya faham perasaan kamu Dila, seorang remaja pada umur kamu selalunya memilik satu sifat ego, bongkak dan angkuh. Sebab itu walaupun kamu telah menyinggung perasaan cikgu kamu sendiri, kamu tetap tidak rasa bersalah. Kamu beranggapan kamu sudah besar dan terlebih pandai untuk diajar”

Page 5: Bongkah keegoan

Aku terkejut mendengar kata cikgu itu. Kata-kata itu seolah-olah melemparkan satu sindiran kepada diriku.

“Dulu semasa saya masih seorang pelajar macam kamu, saya juga pernah mengalami perasaan yang sama. Saya juga pernah tidak meminati cara salah seorang cikgu yang mengajar saya. Saya memandang rendah dan mengkritik kebolehannya mengajar, malah saya selalu ponteng semasa kelasnya berjalan. Namun ada suatu peristiwa berlaku yang menyedarkan saya. Peristiwa yang menyebabkan saya berubah.”

“Peristiwa? Peristiwa apa tu cikgu?”

“Seperti kamu, saya juga tidak dapat terima apa pun yang cikgu itu ajarkan, apabila waktu kelasnya kalau tidak ponteng, saya selalu tidur, saya tidak ada rasa hormat pun kepada cikgu itu. Namun selepas saya membaca satu cerita ini, saya mula sedar siapa sebenarnya diri saya.”

Aku mendengar dengan penuh perhatian.

“Suatu hari, saya bersama kawan-kawan lain masuk ke pusat sumber sekolah semasa waktu rehat. Saya mengambil sebuah buku yang nampak agak menarik dari luarnya. Buku mengisahkan sirah Rasullalah S.A.W.”

“Buku itu tentang apa cikgu?” aku menegakkan badan ku, kedua-dua sikuku letak di atas paha sambil jari jemari dari kedua-dua tanganku disilangkan. Rasa ingin tahuku tiba-tiba memuncak . Tidak sabar mendengar sambungan kisah yang mahu diceritakan oleh cikgu Murni.

Kemudian Cikgu Murni senyum ke arahku. Aku tahu dia telah sedar yang dia telah berjaya menarik perhatian ku untuk mendengar ceritanya.

“Ia mengenai kisah salah seorang pemimpin utama suku Quraisy Mekah bernama Abu Sufian. Dia merupakan salah seorang pemimpin yang hebat dalam kaumnya sebelum penaklukan Kota Mekah oleh kaum Muslimin. Disebabkan merasakan dirinya mempunyai darjat yang tinggi dan harta yang banyak dia bersikap bongkak dan angkuh. Abu Sufian pernah menyatakan bahawa dia tidak akan sekali-kali menerima permintaan Nabi Muhammad untuk berjumpa dengannya. Jauh sekali untuk dia meminta untuk berjumpa dengan Nabi

Page 6: Bongkah keegoan

Muhammad S.A.W. Dia merasa dirinya lebih hebat dan dia tidak memerlukan bantuan sesiapa. ”

“Kemudian apa yang terjadi cikgu?” aku mula rasa seronok dan tidak sabar mendengar cerita cikgu seterusnya.

“Namun, apabila Kota Mekah hampir ditakluk, Abu Sufian menjadi takut. Takut kehilangan kuasa, takut kehilangan tempat dalam masyarakat Quraisy andainya orang Islam berjaya menguasi kota Mekah. Akhirnya Abu Sufian memutuskan untuk berjumpa Nabi Muhammad S.A.W. Namun apabila dia pergi untuk berjumpa baginda di pinggir Kota Mekah, permintaannya ditolak. Walaupun dengan pujuk rayu, dia tetap tidak dilayan. Malahan ada juga sahabat-sahabat baginda mengugut untuk membunuhnya.”

Cikgu Murni berhenti di situ, sambil merenung aku dengan sebuah senyuman yang kembali diukir. Lidahku kelu, aku tidak faham maksud tersirat daripada cerita yang disampaikan oleh cikgu Murni.

“Apa maksudnya cikgu? Apa kena-mengena cerita itu dengan masalah saya?” Aku bertanya dengan nada ingin tahu.

“Dila, pada saat itulah ego dan bongkak yang memandu hidup Abu Sufian selama ini akhirnya lebur dan hancur. Abu Sufian tersedar bahawa sikapnya yang angkuh dan memandang rendah kepada orang lain hanya mendatangkan kehinaan kepadanya. Dia tidak dihormati, malah dibenci. Dia dianggap tidak layak untuk berjumpa dengan Nabi Muhammad.”

Apabila mendengar kata-kata Cikgu Murni, terasa seperti ada suatu daya memecahkan bongkah keegoanku. Kini aku faham maksud cerita yang cikgu Murni sampaikan. Selama ini aku cuma mementingkan diri sendiri dan menganggap diriku lebih baik daripada orang lain. Tapi sebenarnya aku cuma membiarkan diri ku untuk lebih dibenci oleh orang lain.

“Cuba kamu baca peribahasa yang saya tampal di dinding itu.” Kata cikgu Murni sambil menunjukkan sekeping kad berwarna kuning, bersaiz A4 yang dilekatkan di dinding sebelah kananku.

Page 7: Bongkah keegoan

Apabila aku menoleh ke kanan, aku melihat potongan ayat yang berwarna merah tertulis, ‘Cium tangan sendiri, berbau atau tidak’. Aku membaca keterangan maksud peribahasa itu yang tertulis dengan siaz huruf yang lebih kecil berbunyi:

‘Lihatlah diri sendiri dahulu sebelum mengata orang lain’

Selama lebih tiga tahun aku bersekolah di sekolah ini, aku sering melihat ayat itu dari luar tingkap bilik ini. Aku sedikit pun tidak menghiraukan maksud di sebalik peribahasa itu namun kali ini aku seolah-olah diperli oleh ayat itu.

Tanpa aku sedari aku telah menundukkan kepalaku. Suasana yang tadinya riuh rendah dengan suara pelajar di luar kini seolah-olah sunyi sepi. Aku bungkam seribu bahasa. Lidah dan bibirku seolah-olah membeku. Aku tersentak memikirkan sikapku selama ini. Rasa malu yang disulami rasa sesal bertandang masuk ke dalam iiwaku. Aku cuba menahan sebak di hati.

“Jadi Dila, sekarang kamu faham apa maksud cikgu?” Tanya Cikgu Murni dengan suaranya lembut.

Aku cuma mengangguk kepala. Tanpaku sedari air mataku sudahpun membasahi pipi. Cikgu Murni bangun duduk di tepiku lalu menepuk bahuku. Aku tahu perbuatannya itu untuk memberi keselesaan kepada ku.

“Alhamdullillah, saya pasti kamu sudah sedar kesilapan kamu. Cikgu harap kesilapan yang kamu buat di masa lalu akan kamu jadikan teladan mulai hari ini.”

Pada masa itu ada satu tiupan semangat di dalam hatiku menjadikan aku berazam untuk menjadi seorang pelajar yang lebih baik. Aku berasa marah terhadap diriku kerana membiarkan diriku diperbodohkan oleh keegoanku sendiri. Aku berazam untuk datang ke sekolah bukan sebagai seorang pelajar biasa tetapi sebagai seorang pelajar mahu belajar. Seorang pelajar yang membuang jauh-jauh sikap angkuh Abu Sufian dalam dirinya.

Page 8: Bongkah keegoan

“Dila, kamu boleh kembali ke kelas sekarang, dan ingat, kalau kamu ada apa-apa masalah jangan takut, datanglah berjumpa dengan cikgu.” Kata cikgu Murni sambil menggosok-gosok belakangku persis seorang ibu memujuk anaknya.

“Terima kasih cikgu.” Jawabku lantas menghulur tangan bersalaman dengan cikgu Murni.

Aku bangun menuju ke pintu yang terbuka sejak aku memasuki bilik cikgu Murni. Tiba-tiba cikgu Murni memanggil namaku,

“Dila, sebagai manusia, kita memang tidak sunyi daripada masalah namun kita hendaklah tabah menerima ketentuan itu. Di samping itu, kita mestilah berusaha bagi mengatasi masalah tersebut. Saya doakan kamu berjaya dalam peperiksaan nanti.”

Kata Cikgu Murni dengan lembut kepadaku.

NUR ATIFAH BINTI MOHASPA

TINGKATAN 4 AL-KHAWARIZMI

18/04/11