bersara 60 tahun langkah atasi kenaikan kos hidup

8
Bersara 60 tahun langkah atasi kenaikan kos hidup Produktiviti guna tenaga kerja dapat dipertingkat, elak bergantung pekerja asing PELBAGAI reaksi diberikan terhadap cadangan melanjutkan usia persaraan kakitangan awam dan swasta kepada 60 tahun. Pihak yang menyokong antara lain bertegas ia demi keperluan dan kepentingan masa depan bagi menangani kenaikan kos sara hidup, yang menentang pula khuatir ia menyekat peluang kenaikan pangkat, meningkatkan kadar pengangguran, menyumbang kepada masalah sosial dan jenayah. Lebih baik jika KWSP, majikan dan Kementerian Sumber Manusia mengadakan program bagi memberi panduan kepada pekerja untuk menguruskan dana dengan lebih baik apabila bersara. Berikut ialah pandangan En Shamsuddin Bardan, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) tentang isu ini. APA pandangan masyarakat mengenai cadangan ini? Secara keseluruhannya, tujuan had umur persaraan dilanjutkan adalah bagi membolehkan kakitangan dalam perkhidmatan berdepan pelbagai kenaikan kos sara hidup, termasuk perubatan, perumahan dan barangan keperluan harian. Kita melihat isu usia mempunyai implikasi begitu besar kepada produktiviti guna tenaga kerja di negara ini. Sekarang ini, sektor swasta belum ada penetapan umur persaraan. Perkara ini sedang dikaji kerajaan serta kementerian dan sudah ada pelbagai inisiatif dengan mengumpulkan maklumat kajian dan hasil rundingan dengan semua pihak berkepentingan seperti kementerian, agensi kerajaan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), wakil majikan, wakil pekerja dan industri sebelum memberi keputusan terbaik kepada semua pihak. Kenapa perlu kajian semula selepas sekian lama mengikut amalan biasa? Pertama, kita perlu melihat daripada aspek demografi. Jumlah penduduk di negara ini berusia 60 tahun ke atas pada 2006 adalah 1.8 juta dan pada 2010 seramai 2.1 juta, dijangka meningkat kepada 2.7

Upload: athierah-affendi

Post on 26-Dec-2015

33 views

Category:

Documents


6 download

DESCRIPTION

copy

TRANSCRIPT

Page 1: Bersara 60 Tahun Langkah Atasi Kenaikan Kos Hidup

Bersara 60 tahun langkah atasi kenaikan kos hidup

Produktiviti guna tenaga kerja dapat dipertingkat, elak bergantung

pekerja asing

PELBAGAI reaksi diberikan terhadap cadangan melanjutkan usia persaraan

kakitangan awam dan swasta kepada 60 tahun. Pihak yang menyokong antara

lain bertegas ia demi keperluan dan kepentingan masa depan bagi menangani

kenaikan kos sara hidup, yang menentang pula khuatir ia menyekat peluang

kenaikan pangkat, meningkatkan kadar pengangguran, menyumbang kepada

masalah sosial dan jenayah.

Lebih baik jika KWSP, majikan dan Kementerian Sumber Manusia mengadakan

program bagi memberi panduan kepada pekerja untuk menguruskan dana

dengan lebih baik apabila bersara.

Berikut ialah pandangan En Shamsuddin Bardan, Pengarah Eksekutif

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) tentang isu ini.

APA pandangan masyarakat mengenai cadangan ini?

Secara keseluruhannya, tujuan had umur persaraan dilanjutkan adalah bagi

membolehkan kakitangan dalam perkhidmatan berdepan pelbagai kenaikan kos

sara hidup, termasuk perubatan, perumahan dan barangan keperluan harian.

Kita melihat isu usia mempunyai implikasi begitu besar kepada produktiviti

guna tenaga kerja di negara ini. Sekarang ini, sektor swasta belum ada

penetapan umur persaraan. Perkara ini sedang dikaji kerajaan serta

kementerian dan sudah ada pelbagai inisiatif dengan mengumpulkan maklumat

kajian dan hasil rundingan dengan semua pihak berkepentingan seperti

kementerian, agensi kerajaan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), wakil majikan, wakil pekerja dan

industri sebelum memberi keputusan terbaik kepada semua pihak.

Kenapa perlu kajian semula selepas sekian lama mengikut amalan biasa?

Pertama, kita perlu melihat daripada aspek demografi. Jumlah penduduk di

negara ini berusia 60 tahun ke atas pada 2006 adalah 1.8 juta dan pada 2010

seramai 2.1 juta, dijangka meningkat kepada 2.7 juta pada 2015 dan seterusnya

bertambah. Kedua, kadar kesuburan yang mana pada 1950-an, purata seorang

Page 2: Bersara 60 Tahun Langkah Atasi Kenaikan Kos Hidup

ibu melahirkan antara enam hingga tujuh anak, menyusut pada 2010 pada

purata hanya dua hingga tiga anak.

Kita faham sekarang wanita ramai kahwin lambat kerana pendidikan dan

kerjaya, ada juga memilih tidak berkahwin atas pilihan sendiri atau sebab lain.

Apabila bilangan berusia 60 tahun bertambah dan kesuburan menyusut, ia

sekali gus mengakibatkan kita kekurangan sumber tenaga kerja. Sekarang kita

ada ramai pekerja asing, jika kadar penggantian menyusut diakibatkan masalah

kesuburan, kita terpaksa bergantung kepada pekerja asing. Langkah awal

melanjutkan perkhidmatan adalah cara terbaik menangani masalah ini selain

membantu mereka dalam aspek kewangan selepas bersara.

Apakah masalah aspek kewangan selepas persaraan?

Berdasarkan kajian KWSP pada 2009, 73 peratus mereka yang bersara pada

usia 55 tahun memiliki simpanan RM50,000. Keadaan bertambah buruk apabila

purata jangka hayat meningkat sehingga 72.9 tahun. Hanya berbekalkan

RM50,000 simpanan selepas bersara, seseorang itu hidup dalam paras

kemiskinan dengan purata pendapatan bulanan RM530. Justeru, saya yakin

sekiranya perkhidmatan pekerja dilanjutkan sekurang-kurangnya lima tahun,

mereka tidak perlu bergantung kepada sesiapa kerana masih mempunyai

pendapatan tetap dalam tempoh beberapa tahun selain simpanan KWSP juga

akan semakin bertambah.

Berdasarkan angka daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan

Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 2010, bilangan

orang tua tidak bekerja yang menerima bantuan adalah sekitar 120,496 orang.

Ini bermakna kerajaan memperuntukkan RM422 juta setahun untuk

menampung golongan ini dan ia satu beban walhal peruntukan itu boleh

digunakan untuk menampung kos lain.

Namun, menaikkan had umur persaraan juga dilihat boleh memberi kesan

negatif terhadap produktiviti dan kualiti tenaga kerja?

Seperti yang kita ketahui, umur bekerja hari ini ialah antara 16 hingga 64

tahun. Soal produktiviti atau menyimpan ‘dead wood’ dalam satu organisasi

tidak timbul kerana ia tidak berkaitan dengan umur. Orang muda pun ada yang

Page 3: Bersara 60 Tahun Langkah Atasi Kenaikan Kos Hidup

tidak produktif. Kementerian melihat ia sebagai kebaikan kerana keperluan

tenaga kerja berpengalaman wajar dikekalkan selagi mereka mampu

berkhidmat. Kita juga akan fikirkan sama ada memberi pilihan atau mandatori

kepada pekerja jika cadangan ini diluluskan, bergantung kepada hasil kajian

dan perbincangan yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Satu lagi faktor ialah tahap kesihatan yang meningkat ketara. Jangka hayat

pada 1950-an, purata boleh hidup dalam lingkungan 48.5 tahun, iaitu lelaki

sehingga 47 tahun dan wanita pada purata 50 tahun, jadi sesuai dengan had

persaraan 55 tahun. Tetapi pada 2010, purata jangka hayat meningkat dengan

lelaki sehingga 72.9 tahun dan wanita 77.6 tahun. Ini menunjukkan mereka

mampu bekerja lebih lama. Jika hendak dibandingkan dengan negara lain, kita

agak ketinggalan. Jepun dan Korea Selatan sudah melanjutkan usia persaraan

hingga 60 tahun, Brunei, Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam dan Kemboja

juga melakukan perkara sama bagi sektor swasta mereka. Singapura pula

melanjutkan hingga 62 tahun dan Australia 65 tahun. Usia bersara 55 tahun di

Malaysia ketika ini hanya meletakkan kita sama dengan Bangladesh, Sri Lanka,

Nepal dan Papua New Guinea.

Kebanyakan golongan muda dalam sektor swasta dan awam membantah

cadangan itu, menyifatkannya menyekat peluang kenaikan pangkat,

meningkatkan kadar pengangguran dan masalah sosial. Ada juga sinis

menyindir cadangan ini mungkin kerana KWSP sudah kehabisan wang dan

kerajaan ada agenda sendiri?

Di sebalik reaksi negatif yang diterima, saya bertanggungjawab untuk

menjelaskan bahawa cadangan melanjutkan umur persaraan ini tiada kaitan

dengan peluang kenaikan pangkat mahupun kadar pengangguran. Kajian Bank

Dunia selama 42 tahun terhadap negara maju mendapati lanjutan umur

persaraan tidak menjejaskan peluang pekerjaan golongan muda kerana mereka

kurang berpengalaman dan pengetahuan jika dibandingkan dengan pekerja

lama. Malah, kerajaan juga sudah melakukan pelbagai usaha membantu

golongan muda melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang berpotensi

tinggi memacu pertumbuhan dan menyumbang secara langsung terhadap

peningkatan ekonomi negara selain Model Baru Ekonomi yang mana pihak

swasta akan memainkan peranan lebih ketara manakala sektor awam akan jadi

pemudah cara kepada sektor swasta. Kita dapati semua inisiatif ini akan

Page 4: Bersara 60 Tahun Langkah Atasi Kenaikan Kos Hidup

menjana pekerjaan baru yang begitu banyak dan dijangka 3.3 juta peluang

pekerjaan akan ditawarkan pada 2020.

Selain itu, usaha memperkasakan bidang kemahiran dengan latihan dalam

bidang teknikal dan vokasional secara tidak langsung membuka peluang lebih

kepada golongan ini untuk tidak hanya bergantung kepada pekerjaan tradisi

tetapi juga bidang kemahiran. Tidak timbul isu kewangan atau agenda tertentu

kerana cadangan ini jelas untuk masa depan negara.

Jika diluluskan, apa kaedah paling baik akan digunakan. Adakah melalui

kesediaan pekerja sendiri untuk menyambung khidmat selepas bersara

atau keputusan dibuat berdasarkan merit?

Buat masa ini kerajaan belum menentukan sama ada lanjutan umur persaraan

ini mandatori atau pilihan. Bagaimanapun, pemberian pilihan dilihat sebagai

sesuatu yang baik bagi memberi peluang kepada setiap individu membuat

keputusan berdasarkan kemampuan masing-masing. Merit atau penilaian pula

bergantung kepada organisasi itu sendiri. Yang pasti kerajaan akan menetapkan

majikan tidak boleh memberhentikan pekerja selagi mereka belum mencapai

umur persaraan, kecuali atas sebab tertentu seperti sakit atau sebagainya.

Bagaimana reaksi MEF apabila cadangan ini dibangkitkan dan jika ia

diluluskan kerajaan, perlukah wujud kategori kerja berbeza supaya

sesuai dengan usia pekerja?

Sebenarnya, permintaan untuk menaikkan had umur wajib bersara sudah lama

disuarakan pelbagai pihak. Sebelum ini, MEF tidak berminat dengan cadangan

ini kerana kita rasakan, pekerja pada usia 50 tahun ke atas masih boleh terus

bekerja secara kontrak. Namun, bila melihat kepada keadaan pasaran tenaga

kerja sekarang berlainan di mana begitu ramai pekerja asing, mencecah 1.7 juta

orang di Malaysia, haruskah kita membiarkan saja perkara ini atau

menggunakan tenaga kerja tempatan.

Disebabkan faktor seperti ini yang disokong pula dengan pelbagai faktor lain,

MEF berpendapat wajar kita meningkatkan usia persaraan. Memang ada

sesetengah pekerjaan yang banyak menuntut penggunaan kudrat seperti dalam

Page 5: Bersara 60 Tahun Langkah Atasi Kenaikan Kos Hidup

sektor pembinaan, perladangan dan perkilangan tidak sesuai untuk dilanjutkan

umur bersara. Untuk mereka, kita ada minta pengecualian dan majikan,

kesatuan serta kerajaan harus melihat bagaimana boleh tolong mereka. Di

sinilah fungsi program latihan dan latihan semula untuk tenaga kerja, mungkin

golongan pekerja dalam sektor itu boleh dilatih melakukan kerja yang kurang

menggunakan manual. Contohnya, kita boleh berikan mereka kerja di lapangan

terbang, menggunakan mesin ringkas seperti yang diamalkan di Thailand dan

Singapura. Cara ini juga boleh meningkatkan imej negara kerana menunjukkan

kita lebih menggunakan tenaga kerja tempatan daripada orang asing.

Bagi majikan, apakah buruk baiknya menggaji kakitangan yang berusia

lebih 55 tahun?

Kita rasa melanjutkan usia persaraan sehingga 60 tahun itu boleh dilaksanakan.

Lihat saja purata jangka hayat rakyat kita kini yang mencapai lebih 72 tahun,

jadi tempoh persaraan itu dilihat agak lama untuk dilalui. Adakah kita perlu

berdiam saja atau berbuat sesuatu untuk jadi lebih aktif dalam ekonomi? Kalau

kita tingkatkan umur bersara dan beri peluang kepada golongan 55 tahun ke

atas terus bekerja lima tahun lagi, itu boleh membina masyarakat yang lebih

stabil bagi kelompok usia begini. Lanjutan lima tahun itu boleh kita gunakan

untuk menambah sumber tenaga manusia dan kita harus gunakan peluang ini

sepenuhnya. Dari segi statistik juga, pekerja sektor swasta yang bekerja secara

formal tidak begitu ramai.

Mengikut statistik KWSP, ada 5.8 juta pekerja sektor swasta yang aktif bekerja

dan kira-kira 100,000 bersara setiap tahun. Kalau kita ambil tempoh lima tahun,

kita akan peroleh kira-kira 500,000 pekerja tiada dalam pasaran kerja. Jumlah

500,000 itu secara tidak langsung dapat mengurangkan pekerja asing. Pada

masa sama, kehadiran pekerja asing perlu diuruskan sebaiknya dan

bersistematik. Negatifnya ada, iaitu dari segi kos tapi kita boleh urus perkara

itu. Sesetengah majikan berkata, lanjutan ini akan menjadikan pekerja yang

berusia ini malas dan sebagainya. Ia mungkin berlaku, tapi boleh ditangani.

Kalau benar-benar seseorang pekerja itu merosot prestasinya, syarikat boleh

ambil tindakan sepatutnya, memperbaiki prestasi mereka atau terus

menamatkan perkhidmatan pekerja terbabit. Tidak bermakna apabila seseorang

pekerja usia lebih 55 tahun, boleh duduk goyang kaki dan panaskan kerusi,

dapat gaji saja sehingga bersara pada usia 60 tahun.

Page 6: Bersara 60 Tahun Langkah Atasi Kenaikan Kos Hidup

Ramai juga membantah cadangan ini, terutama golongan muda yang

menganggap peluang memasuki pasaran kerja dan naik pangkat

semakin tipis jika usia persaraan dilanjutkan?

Golongan muda tidak perlu khuatir kerana hal ini tidak semestinya

berlaku dalam semua organisasi. Peluang untuk naik pangkat masih

ada, cuma sedikit lewat. Sebagai rakyat, ini (perubahan) adalah

pengorbanan yang harus kita lakukan jika mahu menuju kepada

penggunaan sumber manusia yang lebih baik. Bagi yang bimbang

mengenai nasib graduan universiti atau lepasan sekolah yang tidak

dapat kerja, saya rasa itu sesuatu yang boleh ditangani dengan lebih

baik. Ada satu kajian dilakukan kerajaan, soal selidik mengenai jumlah

tenaga kerja yang diperlukan majikan. Pihak majikan menyatakan, ada

lebih sejuta ruang kosong. Dari segi kemasukan tenaga kerja baru

dalam pasaran, secara purata, seramai 300,000 orang setiap tahun.

Dengan kekosongan yang demikian, saya rasa pasaran kerja kita boleh

menampung permintaan. Nanti bila lebih ramai warga tempatan ingin

bekerja dan dapat penuhi ruang sedia ada, kita dapat kurangkan

keperluan terhadap pekerja asing. Ia sesuatu yang positif dari segi

ekonomi kerana dapat mengurangkan penghantaran wang ke luar

negara, iaitu kira-kira RM22 bilion oleh pekerja asing setiap tahun yang

boleh diguna untuk membangunkan negara.

Satu lagi faktor yang ditekankan penyokong cadangan ini ialah manfaatnya kepada tabungan. Sejauh mana tempoh lima tahun lanjutan itu boleh menambah jumlah simpanan dengan ketara?

Bagi saya, lebih baik jika KWSP, majikan dan Kementerian Sumber Manusia mengadakan program bagi memberi panduan kepada pekerja untuk menguruskan dana dengan lebih baik apabila bersara. Ini juga masa yang baik untuk memberi pendidikan begini kepada pekerja bagi mengelakkan masalah kehabisan simpanan dalam tempoh singkat selepas bersara. Golongan pekerja tidak harus mempunyai pemikiran bahawa selepas bersara, mereka tidak perlu lagi melakukan kerja yang boleh menjana pendapatan. Golongan ini perlu diberi bimbingan, apa yang boleh mereka lakukan selepas bersara.

Selain itu, pihak berkaitan perlu membantu dalam mewujudkan aktiviti ekonomi atau pekerjaan yang bersesuaian dengan golongan yang mencapai usia persaraan. Bukan bermaksud bila kita lanjutkan usia bersara beberapa tahun, simpanan KWSP yang sepatutnya seseorang pekerja ada akan mencukupi untuk menampung hidup mereka. Mungkin akan dapat kira-kira RM10,000 hingga RM15,000 saja caruman KWSP sepanjang lima tahun itu. Tapi, ia suatu langkah

Page 7: Bersara 60 Tahun Langkah Atasi Kenaikan Kos Hidup

permulaan yang baik. Apa yang penting ialah bagaimana kita dapat merangsang pekerja untuk terus memberi perkhidmatan yang baik dan menyumbang kepada ekonomi. Sebab itu MEF sering utarakan mengenai keperluan membayar gaji berdasarkan produktiviti dan prestasi. Jadi, masing-masing akan lebih produktif untuk dapat gaji lebih tidak kira usia.

Bagaimana untuk mendapatkan keseimbangan dalam isu ini supaya setiap pihak memperoleh manfaat?

Ada sesetengah majikan mengatakan lanjutan umur bersara akan menimbulkan masalah, antaranya dari segi tenaga fizikal dan kesihatan pekerja dan sebagainya. Kita perlu ubah keadaan ini seiring dengan langkah transformasi yang kerajaan lakukan. Kita perlu lakukan transformasi diri, ambil langkah pencegahan supaya berupaya untuk terus bertenaga dan sihat walaupun usia melangkau 50 tahun. Ini secara tidak langsung meningkatkan kualiti hidup. Perubahan yang mahu dilakukan juga mestilah holistik. Ubah usia bersara, ubah gaya hidup, ubah cara bekerja dan ubah cara berfikir. Namun untuk sementara waktu, perlu juga ada peruntukan atau pilihan kepada pekerja yang tidak mahu bersara pada usia 60 tahun, yang mungkin sudah mempunyai perancangan tersendiri untuk menghadapi pasca persaraan. Kita tidak boleh paksa mereka terus bekerja sedangkan dalam hati, mereka tak mahu.