unit 3 tinjauan awal dan pelaksanaan...
Post on 04-May-2018
330 Views
Preview:
TRANSCRIPT
K a j i a n T i n d a k a n D a l a m P e n d i d i k a n | 21
UNIT 3
TINJAUAN AWAL DAN PELAKSANAAN KAJIAN
HASIL PEMBELAJARAN
Di akhir unit ini, anda diharap dapat:
1. Memahami prosedur dan proses kajian tindakan 2. Mengenalpasti dan memahami masalah kajian yang sesuai 3. Merancang tindakan yang sesuai dengan masalah yang dikenal pasti 4. Menilai tindakan yang dijalankan berdasarkan maklumat yang sesuai dan boleh dpercayai
PENGENALAN
Unit ini akan menjelaskan tentang prosedur dan proses kajian tindakan yang biasanya digunakan oleh guru.
Langkah-langkah umum kajian tindakan iaitu Tinjauan Awal, Merancang Tindakan, Melaksanakan Tindakan,
Pemerhatian dan Analisis Data dan Refleksi dan Penilaian akan dijelaskan dengan memberikan contoh-contoh yang
sesuai.
ISI KANDUNGAN
Langkah-langkah Melaksanakan Kajian Tindakan
Langkah1: Tinjauan Awal (Reconnaisance) – Mengenal pasti masalah dan fokus kajian
Proses kajian tindakan bermula di peringkat ini apabila anda berfikir untuk meneroka dan mengenal pasti masalah
yang dihadapi di sekolah serta anda berusaha untuk mencari jalan penyelesaiannya. Hal ini tidak sukar dilaksanakan
kerana pada kebiasaannya, anda sering berbincang secara lisan dengan rakan sejawat yang lebih berpenglaman
untuk mendapatakan nasihat dan panduan tentang bagaimana hendak mengatasi sesuatu situasi sosial atau
masalah yang dihadapi di sekolah. Maklumat daripada perbincangan itu, boleh anda dijadikan sebagai asas untuk
mengenal pasti masalah dan seterusnya menjalankan kajian tindakan secara lebih sistematik.
Masalah merupakan satu perkara yang hendak dicari jalan penyelesaiannya. Sesuatu yang didapati tidak
memuaskan, belum diselesaikan, terdapat kesukaran, sesuatu yang perlu diubah, sesuatu yang berjalan tidak
seperti yang diharapkan. Melibatkan sesuatu yang menjadi perhatian, prihatin, minat penyelidik, keadaan yang
hendak dipertingkatkan, kesukaran yang hendak dihapuskan, persoalan yang hendak dicari jawapannya.
K a j i a n T i n d a k a n D a l a m P e n d i d i k a n | 22
Mengenal pasti isu dan memperkecilkan topik kajian
Fikirkan satu situasi sosial di sekolah yang ingin anda perbaiki dan jawab soalan-soalan berikut:
Jangkaan Jawapan
Apakah yang sedang berlaku?
Bagaimanakan keadaan sesuatu isu/maslah/situasi itu boleh wujud?
Sejauh manakah mustahaknya isu itu kepada pelajar/pengkaji?
Siapakah yang berminat dan boleh membantu saya?
Apakah yang tindakan yang akan dilakukan oleh rakan saya untuk mengatasi keadaan atau situasi berkenaan?
Bagaimana pengalaman saya tentang sesetengah perkara boleh digunakan untuk mengatasi masalah ini?
Apakah idea baru yang boleh saya lakukan untuk menghadapi keadaan atau situasi berkenaan?
Rumusan Masalah dan Persoalan Kajian:
Apabila anda mulai bertanya dan memikirkan jawapan bagi persoalan di atas, ini merupakan tanda permulaan anda berminat dan ingin mengenali isu dan mencari idea untuk mengatasi masalah tersebut. Sebagai panduan untuk anda menulis rumusan sesuatu masalah atau persoalan kajian itu, garis panduan berikut boleh digunakan:
Cuba melibatkan masalah atau persoalan kajian yang boleh diambil tindakan
Pilih masalah atau persoalan kajian yang penting bagi pelajar anda
K a j i a n T i n d a k a n D a l a m P e n d i d i k a n | 23
Rumusan masalah atau persoalan kajian perlulah ditulis dengan jelas dengan menggunakan bahasa yang tidak terlalu teknikal
Skopnya cukup kecil supaya mudah diurus dan untuk memperbaiki amalan sendiri
Diletakkan dengan baik dalam konteks membina teori-teori daripada amalan sebenar
Setelah masalah dikenal pasti, langkah seterusnya adalah untuk mengetahui magnitud masalah tersebut. Misalnya
berapa ramaikah pelajar yang sebernarnya bermasalah, serta kekerapan pelajar melakukan masalah tersebut. Ini
memerlukan maklumat atau data yang sesuai untuk mengetahuinya. Oleh itu, guru perlu lah mengumpul data yang
sesuai melalui pelbagai cara seperti menjalankan ujian pra, soal selidik, temu bual dan sebagainya. Berdasarkan
maklumat tersebut barulah penyelidik mengetahui sebenarnya tentang magnitud masalah yang telah dikenalpasti.
Cuba anda teliti contoh kajian yang telah dijalankan oleh guru berikut dan bagaimana masalah dikenal pasti dan
difahami.
Isu Keprihatinan
Kajian yang dijalankan ini berfokuskan aspek kemahiran membaca. Di samping itu, kajian ini juga secara tidak
langsung dapat membantu murid dalam menguasai subjek- subjek lain. Rasional kajian ini dijalankan
memandangkan kumpulan sasaran dalam kajian ini lemah dalam aspek membaca berbanding dengan rakan-rakan
mereka yang lain. Kumpulan sasaran dalam kajian ini gagal dalam membaca beberapa suku kata dan perkataan
mudah yang diberi kepada mereka. Masalah yang dihadapi oleh murid-murid ini merupakan satu masalah yang
kompleks dan perlu diatasi agar murid-murid ini tidak tercicir dalam kecemerlangan akademik khususnya dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu. Kemahiran membaca adalah sangat penting dalam membimbing murid mengolah ayat
serta ejaan dengan betul dan tepat.
Tinjauan Masalah
Pemerhatian
Untuk meninjau masalah murid, saya telah membuat pemerhatian semasa proses pengajaran dan
pembelajaran dalam kelas, pengajaran dan pembelajaran semasa di kelas pemulihan dan melalui respons
murid kepada soalan - soalan yang diajukan.
Temubual
Kaedah lain yang saya gunakan adalah temu bual yang mana dilakukan secara tidak formal terhadap
murid-murid yang telah dikenal pasti tidak dapat menguasai kemahiran membaca. Temu bual ini secara
tidak langsung dapat mengetahui punca sebenar masalah mereka. Sesi temu bual ini dilakukan bersama
murid di sekolah dan bersama ibu bapa atau penjaga dalam sesi pertemuan bersama antara ibu bapa dan
pihak pentadbir dan guru pemulihan.
Ujian Pra
Ujian pra telah dijalankan bagi menguji tahap sebenar pencapaian. Ujian pra yang dijalankan meliputi
beberapa aspek seperti :
a. Hasil kerja murid melalui aktiviti yang dijalankan oleh guru. b. Ujian penulisan melalui pita rakaman.
K a j i a n T i n d a k a n D a l a m P e n d i d i k a n | 24
c. Ujian ( UPCH ) Ujian Pengesanan Tahap bacaan murid.
Analisis Tinjauan Masalah
Pemerhatian
Berdasarkan pemerhatian yang dibuat sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran yang lalu, saya
dapati murid - murid ini lemah dalam aspek kemahiran membaca, kelemahan mereka dikenal pasti dalam
aspek penyebutan terutamanya gabungan beberapa huruf vokal dan konsonan serta perkataan dalam ayat
- ayat mudah yang dibaca. Kebanyakan mereka hanya dapat menyebut gabungan satu suku kata iaitu
gabungan huruf vokal dan konsonan.
Contoh : - B + a D + a C + a
v + k k + v k + v
Temubual
Hasil daripada temu bual yang dijalankan adalah seperti berikut:
Dalam laporan kajian ini, saya hanya memaparkan hasil temu bual saya bersama tiga orang murid sahaja
Dialog 1
Guru: Adakah anda berminat untuk belajar membaca ?
Murid: Ya, saya berminat.
Guru : Apakah yang kamu rasa apabila kamu tidak pandai membaca ?
Murid : Saya rasa malu, cikgu.
Guru : Adakah kamu tahu sebab kenapa kamu tidak pandai membaca ?
Murid: Tak tahu, cikgu.
Guru: Dalam aspek kemahiran membaca, apa yang sukar bagi kamu untuk kuasai?
Murid : Perkataan yang susah dan panjang - panjang.
Guru : Adakah di rumah kamu membuat latihan membaca ?
Murid : Tidak.
Dialog 2
Guru : Adakah anda berminat untuk belajar membaca ?
Murid : Ya, saya berminat.
Guru : Apakah yang kamu rasa apabila kamu tidak pandai membaca ?
K a j i a n T i n d a k a n D a l a m P e n d i d i k a n | 25
Murid : Saya tak boleh kuasai subjek - subjek lah.
Guru : Dalam aspek kemahiran membaca, apa yang sukar bagi kamu untuk kuasai?
Murid : Saya tidak pandai nak sebut huruf susah walau kh, dh, gh.
Guru : Adakah di rumah kamu membuat latihan membaca ?
Murid : Kadang - kadang.
Guru : Kenapa ?
Murid : Sebab saya tidak pandai membaca.
Dialog 3
Guru : Adakah anda berminat untuk belajar membaca ?
Murid : Kurang minat.
Guru : Kenapa ?
Murid : Susah.
Guru : Apakah yang kamu rasa apabila kamu tidak pandai membaca ?
Murid : Malu diejek kawan.
Guru : Dalam aspek kemahiran membaca, apakah yang sukar untuk dikuasai ?
Murid : Susah nak eja dan susah nak baca huruf yang banyak dalam perkataan.
Guru : Adakah di rumah kamu membuat latihan membaca ?
Murid : Tidak, saya hanya belajar di sekolah sahaja.
Guru : Kenapa ?
Murid : Tidak ada orang yang hendak ajar saya.
Ujian-Pra
Ujian pra dijalankan bagi menguji tahap sebenar penguasaan murid dalam aspek kemahiran membaca.
Ujian pra yang dijalankan dalam beberapa aspek seperti :
i. Hasil kerja murid melalui aktiviti yang dijalankan oleh guru. ii. Ujian penulisan melalui pita rakaman. iii. Ujian bacaan ke atas setiap orang murid dalam kumpulan sasaran ini.
K a j i a n T i n d a k a n D a l a m P e n d i d i k a n | 26
Jadual 1 menunjukkan dapatan daripada Ujian Pra yang telah saya jalankan :
Jadual 1 : Tahap Penguasaan Murid Dalam Aspek Membaca
Perkara / Aspek Isu Kumpulan Sasaran
Lemah Sangat Lemah
Penguasaan Huruf 6 2
Penguasaan Huruf Besar dan Huruf Kecil 4 4
Penguasaan KV ( ba) 5 3
Penguasaan KVK ( Lam ) 6 2
Penguasaan K+ K ( ng, ny ) 2 6
Penguasaan V + V ( au, ai ) 6 2
(Di petik daripada laporan kajian tindakan yang bertajuk “Meningkatkan Peratus Murid Pemulihan dalam Menguasai
Kemahiran Membaca dengan Kaedah Formula One” oleh Norizan bt. Hj Mamat, Sekolah Menengah Kebangsaan
Pelagat, Besut. Terengganu.)
Daripada contoh di atas, jelaslah bahawa pengkaji telah betul-betul dapat melihat magnitud masalah yang dikenal
pasti untuk dikaji. Data-data yang diperolehi melalui temu bual, pemerhatian, uji pra dapat membantu pengkaji
memahai masalah dengan lebih baik lagi. Setelah pengkaji mempunyai kefahaman yang jelas tentang masalah
kajian, maka baru lah perancangan yang sesuai boleh dilakukan.
Langkah 2: Merancang Tindakan
Perancangan kajian tindakan merupakan kerangka pemikiran tentang kajian tindakan yang akan memandu kerja-
kerja kajian selanjutnya. Elliott (1991) dan Kemmis & McTaggart (1988) mencadangkan langkah-langkah berikut:
Menulis pernyataan fokus kajian
Definisikan pembolehubah yang berkaitan
Bentuk soalan kajian
Jelaskan intervensi atau inovasi yang dicadangkan
Jelaskan rakan-rakan penyelidikan yang akan terlibat
Jelaskan perundingan yang perlu dijalankan
Bina garis masa (timeline) kajian
Nyatakan sumber-sumber yang boleh dan akan digunakan
Nyatakan idea-idea tentang pengumpulan data
K a j i a n T i n d a k a n D a l a m P e n d i d i k a n | 27
Sebaik-baiknya libatkan ramai rakan untuk membantu merancang kegiatan kajian tindakan. Di peringkat sekolah
misalnya boleh dibentuk satu jawatankuasa khas bagi mencadang dan merancang kajian tindakan. Sebagaimana
yang dijelaskan sebelum ini, kajian tindakan ini adalah lebih berkesan sekiranya dijalankan secara kolaboratif
dengan rakan sekerja yang lain.
Semasa merancang kajian tindakan, perlu dipertimbangkan perkara-perkara berikut:
Menjelaskan matlamat cadangan tindakan yang berkait dengan masalah yang hendak diselesaikan atau amalan yang hendak dipertingkatkan atau sesuatu idea/strategi baru yang hendak dicuba uji dalam konteks bilik darjah. Contohnya, sekiranya masalah yang hendak dikaji adalah berkaitan dengan ‘pelajar tidak berminat belajar’, sudah tentu perkara-perkara yang hendak diketahui lebih lanjut adalah seperti berikut: - Pelajar manakah yang tidak berminat?
- Apakah yang mereka lakukan selain daripada belajar?
- Adakah mereka tidak berminat membuat perkara yang sama atau yang berbeza?
- Adakah pada masa-masa yang tertentu, topik-topik tertentu atau matapelajaran- matapelajaran tertentu
sahaja yang menunjukkan mereka kurang berminat?
- Apakah bentuk-bentuk perlakuan yang menunjukkan mereka tidak berminat belajar?
Soalan-soalan ini boleh membantu menjelaskan lagi bentuk masalah yang dikaji. Pengumpulan maklumat
berkaitan dengan soalan-soalan di atas akan menyediakan asas untuk mengklasifikasi fakta yang relevan
serta membentuk kategori-kategori yang sesuai berkaitan dengan masalah ‘pelajar tidak berminat belajar’.
Menjelaskan sebab-sebab cadangan tindakan itu diambil dengan memberikan asas pemikiran atau teori-teori berkaitan yang dapat menerangkan dengan lebih lanjut tentang bentuk dan skop tindakan
Menyenaraikan tindakan-tindakan/aktiviti-aktiviti yang dicadangkan termasuklah: - tugas dan tanggungjawab,
- aktiviti-aktiviti, - bahan-bahan, - struktur organisasi, - falsafah dan konsep baru tentang perubahan, - bagaimana aktiviti dijalankan, - jumlah gelungan kajian dan tempoh pelaksanaan untuk semua gelungan, - cara-cara pemantauan perubahan, penilaian perubahan – formatif & sumatif, - keperluan-keperluan lain seperti bahan rujukan, kewangan, kemudahan, kelengkapan, tenaga, dan masa.
Merancang tindakan bertujuan untuk menentukan aktiviti-aktiviti yang sesuai dijalankan termasuk tugas dan
tanggung jawab kumpulan, serta tempoh kajian. Kita harus membuat perancangan yang baru sekiranya
perancangan yang lama tidak boleh diteruskan. Pelan perancangan perlulah fleksibel bagi membolehkan ubahsuaian
dibuat sekiranya menghadapi masalah atau kekangan yang tidak diduga.
K a j i a n T i n d a k a n D a l a m P e n d i d i k a n | 28
Contoh Perancangan Tindakan
Berikut diberikan contoh perancangan yang telah dijalankan oleh penyelidik-penyelidik kajian tindakan dalam merancang tindakan.
(Dipetik daripada laporan Kajian Tindakan bertajuk: Meningkatkan Penguasaan Penggunaan Kata Sendi dan Kata Bilangan - Kumpulan Penyelidik: Sekolah Kebangsaan Manjoi Dua, Ipoh, Perak Darul Ridzuan).
Perancangan Tindakan
Tumpuan kajian kitaran pertama ini adalah untuk menangani masalah pembelajaran yang berkaitan dengan penggunaan kata sendi dan kata bilangan yang betul supaya tidak timbul kekeliruan dalam menggunakannya. Fokus kajian ini adalah terhadap amalan pengajaran guru.
Berdasarkan tinjauan awal yang telah kami lakukan, pihak kami membuat perancangan kajian tindakan untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh murid dalam penggunaan kata sendi dan kata bilangan. Oleh itu, kami telah merancang mengadakan sesi pengajaran yang khusus memberi tumpuan kepada aspek-aspek tersebut. Pengajaran bagi kedua-dua unsur dalam tatabahasa ini perlu dijalankan secara khusus. Sebelum melaksanakan pengajaran tersebut, rancangan pelajaran perlu disediakan dengan teliti supaya pengajaran yang akan dilaksanakan akan mencapai objektifnya. Sesi pengajaran yang akan dijalankan adalah sebanyak dua kali yang khususnya memberi tumpuan kepada penggunaan kata sendi dan kata bilangan yang betul.
Contoh perancangan pengajaran:
Berikut adalah Rancangan Pelajaran yang disediakan untuk sesi pengajaran tersebut:
Set A
Butiran am:
Mata pelajaran : Bahasa Melayu
Tarikh : 9 Mei 2002
Masa : 8.40pg – 9.40pg (60 minit)
Kelas : 5 Melati
Bilangan pelajar : 38 orang
Tajuk : Kata sendi
Objektif Umum : Mengetahui penggunaan Kata Sendi
Objektif Khusus : Pada akhir pelajaran, murid dapat:
i. membina ayat berdasarkan kata sendi yang diberi ii. membetulkan kesalahan penggunaan kata sendi yang terdapat dalam ayat
Alat Bantu Mengajar : Papan gulung, lembaran kerja
Pengetahuan Sedia Ada : Murid-murid telah pun didedahkan dengan aspek membetulkan kesalahan kata dalam ayat
Nilai : Berusaha, kerjasama, yakin
K a j i a n T i n d a k a n D a l a m P e n d i d i k a n | 29
Rujukan guru : 1) Mastura Abd. Basar, Fatimah Azzahara bt Mat Yunus, Bahasa Melayu Tahun 5, Sasbadi Sdn Bhd
2) Arbak Othman, Mengajar Tatabahasa, DBP:K. Lumpur
3) Nik Safiah Karim, Tatabahasa Dewan, DBP:K.Lumpur
Rujukan murid : Bahasa Melayu Tahun 5, DBP:K.Lumpur
Langkah Pengajaran
Set Induksi
Guru mengemukakan satu contoh ayat yang ada dalam kata sendi
Langkah 1
Guru menerangkan konsep kata sendi
Langkah 2
Guru menyenaraikan kata-kata sendi yang terdapat dalam BM. Guru menerangkan fungsi bagi setiap kata sendi tersebut
Langkah 3
Guru mengemukakan ayat-ayat contoh yang menggunakan kata sendi
Langkah 4
Guru mengemukakan kebiasaan-kebiasaan kesalahan kata sendi yang sering dilakukan oleh murid-murid
Pengukuhan
Guru mengedarkan lembaran kerja kepada setiap murid. Murid-murid diminta berbincang secara berpasangan supaya membetulkan semula kesalahan-kesalahan yang terdapat dalam ayat-ayat tersebut
Penilaian
Guru menunjukkan ayat-ayat di papan gulung yang mengandungi kesalahan penggunaan kata sendi dalam ayat.
Set B
Mata pelajaran : Bahasa Melayu
Tarikh : 11 Mei 2002
Masa : 8.40pg. – 9.40pg. (60 minit)
Kelas : 5 Melati
Bilangan murid : 38 orang
Tajuk : Kata bilangan
Objektif umum : Mengetahui penggunaan kata bilangan
K a j i a n T i n d a k a n D a l a m P e n d i d i k a n | 30
Objektif khusus : Pada akhir pelajaran, murid dapat:
1) membina ayat dengan menggunakan kata bilangan dengan tepat
2) membetulkan kesalahan kata arah yang terdapat dalam ayat
Alat Bantu Mengajar : OHP, transparensi, petikan, lembaran kerja
Nilai : Menghargai, bekerjasama, berusaha
Pengetahuan sedia ada : Murid-murid telah diajar penjodoh bilangan
Rujukan guru : 1) Arbak Othman, Mengajar Tatabahasa, DBP:K.Lumpur
2) Mastura Abd. Basar, Fatimah Azzahara Mat Yunus, Bahasa Melayu Tahun 5, Sasbadi Sdn Bhd.
Rujukan murid : Bahasa Melayu Tahun 5, DBP:K.Lumpur
Langkah Pengajaran
Set Induksi
Guru bersoaljawab dengan murid-murid berkenaan dengan penjodoh bilangan
Langkah 1
Guru memperkenalkan tajuk pelajaran. Guru menyenaraikan beberapa contoh kata bilangan
Langkah 2
Guru memandu murid-murid langkah demi langkah untuk mendapatkan satu hukum atau peraturan dalam penggunaan kata bilangan
Langkah 3
Guru menayangkan transperansi untuk latihan latih tubi tukar ganti mudah. Guru menunjukkan contoh-contoh penggunaan kata bilangan.
Contoh: Tukar ganti subjek
Berbulan-bulan
Berminggu-minggu Masa pelayarannya dihabiskan di Lautan Hindi
Bertahun-tahun
Langkah 4
Guru mengedarkan petikan kepada murid-murid. Murid diminta menggariskan penggunaan kata bilangan yang salah dalam petikan tersebut. Guru menyuruh murid-murid membetulkan semula kesalahan kata bilangan tersebut.
K a j i a n T i n d a k a n D a l a m P e n d i d i k a n | 31
Penilaian
Guru menyuruh murid menulis semula ayat yang mengandungi kata bilangan yang salah di papan tulis
Pengukuhan
Guru meminta murid-murid membina ayat-ayat dengan menggunakan kata bilangan yang disediakan.
Contoh di atas menunjukkan satu perancangan tindakan yang telah dirancang oleh penyelidik kajian tindakan. Tindakan yang merupakan beberapa set perancangan pengajaran yang akan digunakan oleh penyelidik dalam langkah seterusnya iaitu langkah Menjalankan Tindakan.
Merancang kajian tindakan: Sila isikan cadangan perancangan anda dalam lajur sebelah
kanan.
Proses
Merancang
Perkara yang perlu dipertimbangkan (Diubahsuai daripada Kemmis & McTaggart,
1988)
Catatan
Langkah 1 Menulis pernyataan fokus kajian
Langkah 2 Definisikan pembolehubah yang berkaitan
Langkah 3 Bentuk soalan kajian
Langkah 4 Jelaskan intervensi atau inovasi yang dicadangkan
Langkah 5 Jelaskan rakan-rakan penyelidikan yang akan terlibat
Langkah 6 Jelaskan perundingan yang perlu dijalankan
Langkah 7 Bina garis masa (timeline) kajian
Langkah 8 Nyatakan sumber-sumber yang boleh dan akan digunakan
K a j i a n T i n d a k a n D a l a m P e n d i d i k a n | 32
Langkah 9 Nyatakan idea-idea tentang pengumpulan data
Langkah-langkah yang dinyatakan di atas membantu anda membuat perancangan yang komprehensif supaya
tindakan yang bakal diambil bertepatan dengan masalah yang ingin di atasi. Sehubungan itu, fokus perancangan
perlulah kepada masalah kajian dan aspek tindakan atau intervensi yang perlu diambil sebagaimana yang anda
catatkan pada Langkah 4 dalam jadual di atas. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (1995)
telah menggariskan beberapa pertimbangan dalam merancang tindakan dan telah menyarankan prosedur berikut:
(i) Tentukan matlamat cadangan tindakan,
(ii) Mengapa tindakan itu diambil dan
(iii) Senaraikan tindakan yang perlu diambil, dan nyatakan bentuknya seperti: aktiviti, bahan dan tanggung
jawab dan tugas.
Juga semasa membuat perancangan tindakan itu anda dinasihatkan: i) Berfikiran terbuka, ii) Bersikap kritikal, iii)
Bertanggungjawab dan iv) Menilai kendiri.
Langkah 3: Menjalankan Tindakan
Pada peringkat ini anda sudahpun mengenal pasti tindakan atau intervensi yang paling sesuai untuk mengatasi
situasi sosial yang berlaku di sekolah anda. Apa yang telah dirancang perlu dijalankan untuk melihat
keberkesanannya. Kumpulan akan mempastikan segala yang dirancang dilaksanakan. Ada yang terlibat dalam
melaksanakan rancangan dan ada yang terlibat dalam mengumpul maklumat atau data untuk mengesan
keberkesanan tindakan yang dibuat. Sekiranya apa yang dirancang adalah satu sesi pengajaran, maka perlu ada
ahli kumpulan yang melaksanakan pengajaran dan ada yang memerhatikan pengajaran untuk mengumpul maklumat
yang diperlukan.
Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, kajian tindakan adalah lebih berkesan sekiranya dijalankan secara
kolaboratif dengan rakan sekerja yang lain. Sebaik-baiknya cuba libatkan lebih ramai rakan anda untuk membantu
melaksanakan kegiatan tindakan. Di peringkat sekolah misalnya boleh dibentuk satu jawatankuasa khas bagi
mencadang dan merancang tindakan. Tindakan atau intervensi anda itu misalnya, mungkin melibatkan beberapa
sesi pengajaran dan pembelajaran dalam kelas dengan menggunakan pendekatan dan strategi pembelajaran yang
berbeza. Dalam hal ini, maka perlu ada ahli kumpulan yang melaksanakan pengajaran dan ada yang memerhatikan
pengajaran untuk mengumpul maklumat yang diperlukan. Dengan kata lain, ada yang terlibat dalam melaksanakan
tindakan dan ada juga yang terlibat dalam mengumpul maklumat atau data untuk mengesan keberkesanan tindakan
yang telah dipilih dan dikenal pasti itu.
Langkah 4: Pemerhatian dan Data Analisis
Semasa guru menjalankan tindakan yang dirancangkan, proses pengumpulan data juga boleh dilakukan melalui
pemerhatian bilik darjah yang dilakukan oleh rakan pengkaji atau rakaman video boleh dilakukan. Di samping itu,
K a j i a n T i n d a k a n D a l a m P e n d i d i k a n | 33
data daripada bentuk-bentuk lain seperti ujian dan lain-lain bentuk pentaksiran juga boleh dijalankan. Setelah
selesai sesuatu tindakan dijalankan, pengumpulan data juga boleh dilakukan dengan menggunakan kaedah-kaedah
seperti temu bual, analisis kerja pelajar, soa selidik dan sebagainya. Setelah data dikumpul melalui pelbagai kaedah
dan sumber, maka data tersebut perlu dianalisis dan diinterpretasi. Kaedah analisis dan interpretasi bergantung
kepada bentuk data yang dikumpul, sama ada data kuantitatif atau data kualitatif. Yang pentingnya adalah
penyelidik perlu mengumpul bukti untuk dijadikan asas kepada kesimpulan yang akan dibuat sama ada tindakan
yang dirancang dan dijalankan berkesan atau tidak, dapat mengubah atau tidak. Analisis dan interpretasi data akan
dijadikan asas dalam langkah seterusnya iaitu langkah penilaian dan refleksi.
Terdapat pelbagai cara anda boleh gunakan untuk mengumpul data dan ini bergantung kepada keperluan kajian.
Bahan-bahan berkenaan boleh didapati daripada:
bahan-bahan dokumentasi seperti kerja pelajar dalam bentuk projek atau kerja rumah, minit mesyuarat, rekod kedatangan pelajar, skor ujian bulanan, rekod keputusan peperiksaan dan sebagainya
rakaman video atau audio mengenai pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, luar kelas, pelaksanaan program kokurikulum
nota yang dibuat hasil dari temu bual, misalnya temu bual dengan pelajar
foto dan gambar menunjukkan kegiatan yang dikaji.
Catatan buku diari dan nota-nota kerja
Ujian bertulis dan soal selidik kepada pelajar
Langkah 5: Melakukan Refleksi
Selepas tindakan dirancang dan dilaksanakan, aktiviti penilaian dan refleksi mesti dijalankan. Penilaian dan refleksi
boleh dijalankan oleh anda sendiri sebagai pengkaji, atau bersama pihak lain seperti rakan anda melalui
perbincangan. Satu proses yang penting dalam tahap ini adalah refleksi yang melibatkan analisis, sintesis,
interpretasi, menjelas dan membuat kesimpulan.
Refleksi merupakan proses merenung, menganalisis masalah, mencari alasan, cadangan dan tindakan untuk
memperbaiki diri (Hanipah, 2000). Brookfield (1995) pula menjelaskan proses refleksi melibatkan seseorang itu aktif
mengimbas kembali segala permasalahan yang dihadapi dan berusaha mempertimbangkan segala kemungkinan
yang akan berlaku serta bertungkus lumus mencari jalan bagi menyelesaikan segala permasalahan tersebut (dalam
Nor Hasniza, 2005, ms. 13). Dengan perkataan lain, refleksi merupakan tindakan yang bertujuan dan berhati-hati
melalui penilaian secara kritikal yang melibatkan pengujian strategi seseorang untuk memberi respons kepada
sesuatu situasi atau tindakan.
Membuat refleksi bermaksud melihat sama ada terdapat perubahan dan adakah perubahan disokong oleh maklumat
dan data yang digunakan dan diperolehi selepas melaksanakan tindakan. Oleh itu, guru perlu mengkaji dan meneliti
perkara-perkara berikut dengan menjawab soalan-soalan berikut secara jujur:
K a j i a n T i n d a k a n D a l a m P e n d i d i k a n | 34
Penilaian dan Refleksi: Cuba anda teliti soalan-soalan yang diberikan dan fikirkan kemungkinan
jawapan yang sesuai.
Soalan Reflektif Jangkaan Jawapan
Berkaitan Kajian Tindakan:
Apakah pandangan rakan anda tentang
rancangan dan pelan tindakan yang disediakan?
Apakah reaksi anda terhadap komen orang lain
terhadap usaha atau tindakan anda itu?
Sejauh manakah komen-komen tersebut
membantu anda?
Adakah langkah-langkah yang anda rancang itu
bersesuaian dan mencukupi?
Sejauh manakah tindakan atau intervensi itu
dapat membantu mengatasi situasi sosial atau
masalah yang dihadapi di sekolah anda?
Apakah cadangan-cadagan lain untuk
memperbaiki keadaan?
Berkaitan Fahaman Pengkaji
Apakah persepsi dan falsafah diri anda ke
atas isu?
Apakah kesedaran baru yang anda perolehi
selepas melaksanakan kajian tindakan ini?
Apakah kemahiran tertentu yang perlu
dikuasai untuk mempertingkatkan
profesionalime anda?
Apakah tindakan seterusnya yang anda akan
ambil/rancang untuk memperbaiki keadaan?
Rumusan:
Anggapan bahawa …………………………………………………………………………………………………..
………………………………………………………………………………………………………………
K a j i a n T i n d a k a n D a l a m P e n d i d i k a n | 35
Latihan di atas memberi penekanan kepada usaha untuk:
i. menilai keberkesanan proses kajian yang dibuat. Ini dilakukan dengan menilai bahagian yang perlu diperbaiki, mengenalpasti panduan yang telah diikuti atau lain-lain perkara untuk pusingan yang selanjutnya, dan
ii. membuat pemantauan kendiri tentang apa yang telah dilakukan, halangan yang wujud, masalah yang telah timbul, ambil pandangan orang lain terhadap masalah yang dihadapi dan cara kita menangani masalah berkenaan pada masa kan datang.
Langkah menilai tindakan yang dibincangkan adalah langkah yang amat penting kerana sesuatu keberkesanan tindakan dapat dikaji dengan teliti dan sistematik melalui langkah ini. Kepentingan penilaian kepada Kajian tindakan adalah banyak, antaranya:
menukur keberkesanan proses kajian
menunjukkan bahagian yang perlu dibaiki
menunjukkan kelemahan dalam arahan
mengukur pencvapaian objektif kajian
sebagai penduan untuk pusingan kajian seterusnya.
Contoh Penilaian dan Refleksi:
Penilaian dan Refleksi Berdasarkan Maklumbalas Daripada Ujian Awal dan Ujian Akhir
Bagi mengetahui perkembangan atau sejauhmanakah keberkesanan perlaksanaan tindakan iaitu dalam pengajaran
dan pembelajaran yang telah dijalankan, maka ujian akhir telah dijalankan. Ujian ini meliputi aspek-aspek
penggunaan kata sendi dan kata bilangan. Berdasarkan hasilan Ujian Akhir ini terdapat kemajuan yang ditunjukkan
oleh murid-murid ini. Jumlah kesalahan yang dilakukan oleh murid semakin berkurangan. Hasil dapatan adalah
seperti berikut:
JENIS KATA UJIAN AWAL UJIAN AKHIR
KATA SENDI 73 29
KATA BILANGAN 60 23
Analisis dan Refleksi Berdasarkan Maklumbalas daripada Pemerhatian Pengajaran
Pemerhatian telah pun dilakukan bagi kedua-dua sesi pengajaran itu. Tingkahlaku pengajaran guru diperhatikan dan
dicatatkan dengan menggunakan boring pemerhatian seperti yang digunakan dalam tinjauan awal kajian ini.
Tingkahlaku guru yang mengajar dicatatkan melalui borang pemerhatian inventori yang mengandungi item-item
tertentu.
K a j i a n T i n d a k a n D a l a m P e n d i d i k a n | 36
Berdasarkan pemerhatian yang dijalankan, kami mendapati pengajaran guru menunjukkan peningkatan dalam
sesetengah aspek. Guru telah dapat mengatasi beberapa kelemahan yang menjadi punca bagi masalah yang
timbul.
Hasil analisis perlakuan guru menunjukkan bahawa dalam tiga minggu yang diperhatikan, guru telah dapat
meningkatkan peratusan aspek-aspek perlakuan tertentu.
Contoh:
a) Membetulkan kesalahan kata sendi dan kata bilangan secara lisan.
(Minggu 1 – 20, Minggu 2 – 15, Minggu 3 – 10)
b) Latihan khusus dalam pengajaran kata sendi dan kata bilangan
(Minggu 1 – 7, Minggu 2 – 9, Minggu 3 – 12)
Secara keseluruhannya, hasil dapatan analisis pemerhatian aspek-aspek tertentu tentang perlakuan guru dalam
pengajaran guru lebih memberi tumpuan kepada latihan khusus dalam pengajaran aspek kata sendi dan kata
bilangan ini. Guru dapat mengurangkan penekanan kepada penerangan tentang pengajaran fungsi bagi kedua-dua
jenis kata ini. Perubahan perlakuan guru ini menunjukkan bahawa guru telah lebih prihatin kepada masalah
pembelajaran pelajaran dan guru diperhatikah lebih banyak memberi respon kepada masalah mereka.
Refleksi dan Penilaian Kendiri Setelah Perlaksanaan Kajian Tindakan
Berdasarkan pengalaman menjalankan kajian dalam kitaran pertama ini, penyelidik membuat beberapa rumusan
tentang proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah:
a) Pengalaman menjalankan kajian ini telah menunjukkan kepada guru bahawa pencapaian murid banyak
dipengaruhi oleh amalan mengajar yang ada pada jangkaan guru tidak mempengaruhi proses pengajaran. Amalan-
amalan guru termasuklah brecakap terlalu cepat, bentuk soalan, hubungan guru-murid, dan beberapa amalan lain.
Melalui pengalaman ini, guru mendapati amalan-amalan demikian adalah antara faktor yang membuatkan murid
menjadi bosan an tidak memberikan tumpuan kepada pelajaran. Amalan ini apabila berlaku berulang kali akan
menjejaskan proses pembelajaran murid.
b) Kajian ini juga menunjukkan bahawa pencapaian tiap-tiap murid boleh dipertingkatkan apabila masalah
sebenar yang dihadapi oleh mereka dalam proses pembelajaran dapat diatasi. Bagi memahami masalah murid,
guru perlu sentiasa peka terhadap perubahan perlakuan mereka dalam sesuatu pelajaran seperti mengantuk,
berbual-bual ketika guru mengajar, tidak aktif dan sebagainya. Perlakuan-perlakuan itu adalah petunjuk kepada
keberkesanan pengajaran guru.
Walaupun begitu, segala kelemahan yang timbul ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor antaranya ialah guru
terlalu terikat dengan beban sukatan pelajaran yang ketat. Guru kadangkala terpaksa berkejar untuk menghabiskan
sukatan tanpa mengambil kira prestasi murid. Selain itu, wujud juga masalah tumpuan pengajaran yang terlalu
cenderung kepada peperiksaan. Guru BM ini juga terpaksa mengajar kelas BM yang banyak. Ini menyebabkan
timbul beberapa kesulitan yang akhirnya menjejaskan kualiti pengajarannya.
K a j i a n T i n d a k a n D a l a m P e n d i d i k a n | 37
(Dipetik daripada Laporan Kajian Tindakan bertajuk: Meningkatkan Penguasaan Penggunaan Kata Sendi dan Kata Bilangan - Kumpulan Penyelidik: Sekolah Kebangsaan Manjoi Dua, Ipoh, Perak Darul Ridzuan).
RUMUSAN
Jelas menunjukkan bahawa kajian tindakan bermula dengan masalah atau prihatin yang dikenalpasti oleh pengamal sendiri dalam kerja-kerja seharian mereka. Masalah dan keprihatinan itu perlu dijelaskan dengan membuat refleksi ke atas apa yang telah dilakukan di samping mengumpulkan bukti-bukti yang relevan bagi menjelaskan lagi permasalahan yang ingin dikaji. Selaras dengan perkembangan tradisi kajian tindakan ini, proses dan prosedurnya juga berkembang dan berbeza mengikut bidang serta orientasi penyelidik yang terlibat dalam kajian tindakan. Dari proses dan prosedur awal kajian tindakan yang dikemukakan oleh Lewin, ianya terus berkembang dari segi pendekatan dan paradigmanya oleh penyelidik-penyelidik kemudiannya seperti Kemmis, Elliott, Ebbutt, Somekh, Stringer dan lain-lain. Faedah yang utama kajian tindakan adalah peningkatan amalan, peningkatan pemahaman ke atas amalan oleh pengamalnya serta peningkatan situasi di mana amalan berlaku. Ciri-ciri utama kajian tindakan adalah penglibatan dan kolaborasi, berorientasikan tindakan, kritikal serta proses gelungan yang melibatkan secara ringkasnya sebagai perancangan, tindakan, pemerhatian dan refleksi.
KATA KUNCI
1. Tinjauan Awal
2. Perancangan Tindakan
3. Pelaksanaan Tindakan
4. Pemerhatian Dan Analisis Data
5. Penilaian Dan Refleksi
PENILAIAN KENDIRI
1. Pada pandangan anda, sejauhamana kah proses dan prosedur kajian tindakan dapat membantu anda dalam menyelesaikan masalah pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah anda?
2. Refleksi merupakan proses yang penting dalam kajian tindakan. Dalam langkah yang manakah refleksi sangat diperlukan dalam kajian tindakan?
RUJUKAN
Elliot, J. (1991) Action Research for Educational Change, Buckingham: Open University Press.
Kemmis, S. & McTaggart, R. (1988) The action research planner, 3rd ed. Victoria, Australia: Deakin University Press.
Stringer, E., (2004) Action Research in Education, New Jersey: Pearson Prentice Hall
K a j i a n T i n d a k a n D a l a m P e n d i d i k a n | 38
top related