prince charming
Post on 25-Jun-2015
5.645 Views
Preview:
DESCRIPTION
TRANSCRIPT
PROLOG
PRINCE CHARMING! Menurut fakta, Prince Charming adalah watak yang lahir dalam
cerita legenda atau hikayat-hikayat zaman dahulukala. Contohnya seperti hikayat
Cinderella, Snow White, Sleeping Beauty dan sebagainya. Itu adalah salah satu contoh
hikayat dongeng dari negara Barat yang telah menarik minat kanak-kanak membaca dan
hikayat-hikayat tersebut masih lagi segar diperkatakan sehingga ke hari ini. Hikayat-
hikayat Melayu juga tidak ketinggalan memperlihatkan watak Prince Charming sebagai
watak utama. Prince Charming dan hikayat memang tidak boleh dipisahkan.
Putera Idaman. Pada zaman sekarang, bukan hanya putera sahaja yang boleh
dinobatkan sebagai putera idaman. Putera Idaman juga bukan mesti seseorang lelaki yang
berketurunan diraja. Namun begitu, masyarakat zaman sekarang lebih suka mentabalkan
seseorang yang kacak, kaya, bijak, bergaya dan sempurna sebagai Putera Idaman atau
Prince Charming. Lelaki daripada golongan inilah yang selalu menjadi rebutan gadis-
gadis zaman sekarang.
Rupa dan kekayaan sering menjadi ukuran bagi seseorang gadis mencari putera
idaman mereka. Walaupun mereka menafikan sekeras-kerasnya, tapi dalam diam mereka
juga menyimpan keinginan itu. Namun, mereka lupa tentang sesuatu. Sesuatu yang
mengaburi mata mereka semua.
Manusia. Prince Charming atau Putera Idaman adalah manusia. Mereka bukan
malaikat. Mereka juga bukan Tuhan yang mencipta alam ini. Mereka hanyalah manusia
biasa ciptaan Tuhan. Cuma yang bezanya adalah watak mereka dalam dunia ini. Mereka
cuma kacak, berduit, bergaya dan bijak. Tapi, adakah mereka ini benar-benar
dikategorikan sebagai Prince Charming?
Mungkin ramai antara kita tidak menyedari hakikat ini kerana kita semua telah
disogok dengan cerita-cerita dongeng yang memperlihatkan putera raja atau lelaki
idaman sebagai seorang yang sempurna. Hanya lelaki daripada golongan itu sahaja yang
layak diberi gelaran Prince Charming.
Tahukah anda, bahawa tidak semua lelaki yang bijak, kaya, berpelajaran tinggi
dan berkerjaya itu dianggap Prince Charming? Dan, tahukah anda juga seseorang lelaki
itu boleh ditabalkan sebagai Prince Charming biarpun dia tidak memiliki syarat-syarat
Prince Charming?
Ramai yang tidak menyedarinya…
1
KAKI lima penuh sesak. Awal pagi lagi mereka sudah berkumpul di hadapan papan
kenyataan yang terlekat pada dinding pada kaki lima. Majoriti daripada mereka adalah
pelajar perempuan yang begitu taksub dengan Carta Prince Charming yang pasti akan
terlekat di papan kenyataan itu pada hari Isnin setiap minggu.
Kakinya berhenti melangkah apabila tiada ruang lagi untuk dia mencelah melalui
kaki lima itu. Nurul Izzati atau lebih mesra dengan panggilan Nurul memeluk tubuhnya.
Matanya tajam memandang gelagat pelajar-pelajar perempuan yang berkumpul di situ
sehingga tiada ruang sedikit pun untuknya mengatur langkah ke kelasnya. Masing-
masing begitu taksub dengan Carta Prince Charming.
Carta Prince Charming merupakan tradisi sekolahnya dan telah wujud selepas
lima tahun sekolah itu ditubuhkan pada tahun 1984. Menurut kata orang lama-lama, tiada
sesiapa yang tahu siapakah yang membuat carta tersebut dan kenapa carta itu wujud
sehinggalah ke hari ini. Sepuluh tahun dahulu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
pernah membuat siasatan untuk menghentikan tradisi ini dengan bermalam di sekolah.
Siasatan ini dikatakan sulit dan hanya beberapa guru dan ibu bapa pelajar sahaja yang
terlibat dan pada malam itu, mereka menemui sesuatu yang luar biasa.
Tiada sesiapa tahu apa yang berlaku. Guru dan ibu bapa yang terlibat dalam
siasatan malam itu mendiamkan diri, malah memberi alasan bahawa itu adalah tradisi
sekolah sejak dahulu lagi dan tiada sesiapa pun yang boleh mengubahnya. Sejak itu,
Carta Prince Charming sentiasa wujud setiap hari Isnin setiap minggu.
Beberapa tahun kemudian, Carta Prince Charming dipersoalkan sekali lagi oleh
persatuan PIBG sekolah. Mereka mahu carta itu dihapuskan dan dalang yang membuat
carta itu dihukum kerana carta tersebut dikatakan mengganggu pembelajaran pelajar-
pelajar di sekolah itu. Oleh itu, beberapa CCTV telah dipasang sekitar kaki lima untuk
menangkap dalang yang mewujudkan Carta Prince Charming.
Rancangan yang begitu teliti dijalankan beberapa minggu akhirnya menemui jalan
buntu juga apabila rakaman CCTV tidak menunjukkan sesiapa yang menampal carta
tersebut. Tetapi, anehnya carta tersebut tetap muncul pada keesokan harinya.
Bukan itu sahaja, seorang guru pernah berkali-kali menanggalkan carta tersebut
dari papan kenyataan dan kejadian itu diikuti dengan beberapa kemalangan kecil yang
menimpa guru itu. Akhirnya, selepas guru tersebut mengakui kesilapannya, tiada lagi
kemalangan yang dihadapinya dan guru itu mengambil keputusan untuk bertukar sekolah.
Sejak itu tiada sesiapa yang berani mengganggu kewujudan Carta Prince
Charming sehinggalah ke hari ini. Bagi pihak guru yang mengajar di sekolah itu,
kewujudan Carta Prince Charming tidak mengganggu prestasi pelajar-pelajar, malah
prestasi mereka meningkat tahun demi tahun.
Namun, lain pula pandangan Nurul. Baginya, Carta Prince Charming adalah satu
carta yang melalaikan kerana mengagung-agungkan lelaki yang dianggap Prince
Charming. Setiap minggu pasti ada pelajar lelaki sekolah itu yang akan diangkat menjadi
Prince Charming. Antara mereka yang selalu masuk dalam carta Prince Charming adalah
pelajar-pelajar lelaki yang begitu menonjol di sekolah. Terutama sekali ahli-ahli rasmi
Kelab Bola Sepak.
“Aku dah kata, mesti Rezza dapat merampas takhta Prince Charming daripada
Fiq.”
Hangat telinga Nurul mendengar pelbagai suara-suara sumbang memuji nama
Rezza yang sememangnya popular di kalangan pelajar perempuan. Sebut sahaja nama
Rezza, satu sekolah tahu siapa gerangan orangnya. Siapa lagi kalau bukan kapten
pasukan bola sepak sekolah yang telah banyak kali mengharumkan nama sekolah setiap
kali perlawanan bola sepak diadakan.
Fiq atau nama sebenarnya Akmal Fiqri juga merupakan saingan sengit Rezza. Dia
juga merupakan salah seorang pemain rasmi Kelab Bola Sepak. Seperti Rezza, Fiq juga
mempunyai peminat-peminatnya sendiri. Sememangnya populariti mereka berdua lebih
berpengaruh daripada pelajar-pelajar lelaki di sekolahnya kerana mereka bukan sahaja
cemerlang dalam sukan, tapi juga dalam pelajaran.
Tapi, tidak seperti dalam drama-drama di televisyen, jika dua hero bersaing pasti
hubungan mereka dingin. Hubungan Rezza dan Fiq tidak begitu, sebaliknya mereka
berkawan baik dan sentiasa kelihatan bersama. Persaingan di Carta Prince Charming
langsung tidak mengganggu hubungan persahabatan yang telah terjalin lama.
Nurul mendengus marah. Sejak tadi dia tidak dapat melangkah kerana keadaan
sangat sesak. Dia tidak faham kenapa mereka semua mesti berbangga dengan Carta
Prince Charming. Hendak kata ini adalah normal bagi remaja perempuan, dia juga
seorang remaja dan perempuan. Tapi, tidaklah taksub dengan Carta Prince Charming,
malah dibenci lagi. Baginya, Carta Prince Charming adalah mengarut.
“Hoi!”
Tidak tahan dengan situasi itu, Nurul mengeluarkan vokal yang lantang. Menjerit
sekuatnya sehingga semua pelajar perempuan yang berkumpul di kaki lima terdiam
seketika apabila menyedari ada satu suara yang lebih kuat daripada suara mereka.
Masing-masing berpaling memandang ke arah empunya suara tadi.
“Kau orang ni tiada kerja lain ke? Berkumpul di sini… Orang nak jalan pun
susah!”
Semua terdiam. Masing-masing tidak berani bersuara apabila terpandang wajah
Nurul yang bagaikan harimau kelaparan yang tidak menjamah apa-apa makanan lagi
akibat sakit gigi.
Nurul menjeling tajam dan kembali memandang Carta Prince Charming yang
terlekat pada papan kenyataan. Dari situ dia dapat melihat wajah-wajah pelajar lelaki
yang kononnya Prince Charming diikuti dengan angka carta. Gambar Rezza berada di
atas sekali dan diikuti dengan gambar Fiq dan beberapa pelajar lelaki yang langsung tidak
menarik perhatiannya.
Pelik dengan pelajar-pelajar perempuan sekolahnya itu yang begitu taksub dengan
carta yang karut itu. Kalau hendak memuja seseorang lelaki pun, janganlah sampai buat
carta begini. Bukankah lebih baik kalau buat sesuatu yang berfaedah seperti membuat
carta siapakah yang mendapat peratusan tertinggi dalam peperiksaan atau carta
pertandingan-pertandingan yang dianjurkan oleh pihak sekolah.
Nurul mula mengorak langkah dan dengan spontan semua pelajar perempuan
yang berkumpul di situ memberi laluan kepadanya bagaikan seorang puteri raja yang
angkuh memaksa mereka tunduk memberi laluan.
“Aku tak fahamlah dengan kau orang ini, benda karut macam ini pun nak bangga
sangat. Apa yang hebat sangat dengan Carta Prince Charming ni?”
Dengan beraninya, Nurul menanggalkan Carta Prince Charming yang tertampal di
papan kenyataan. Serentak dengan itu, semua yang berada di situ tercengang. Mereka
hilang kata-kata. Terkejut juga ada. Ia bagaikan mimpi apabila melihat seseorang
menanggalkan Carta Prince Charming dan mengoyaknya.
Nurul berpaling apabila terasa suasana yang riuh-rendah tadi tiba-tiba bertukar
menjadi senyap. Bagaikan tiada sesiapa yang berada di situ. Dia kemudiannya berpaling.
Pelik apabila semua pelajar yang kecoh tadi kaget bagaikan patung bernyawa
memandangnya.
“Kenapa? Kesian dengan Prince Charming kau orang? Maaflah, mereka ini
bukannya Prince Charming, tapi prince sampah!” Dengan selamba, Nurul membuang
carta tersebut ke dalam tong sampah yang terletak tidak jauh dari papan kenyataan
tersebut. Tanpa berasa bersalah, Nurul segera mengatur langkah, berlalu dari situ tanpa
mempedulikan mereka yang masih lagi terpinga-pinga dengan apa yang berlaku sebentar
tadi.
Ah, selesai! Nurul tersenyum keseorangan. Puas!
“KAU buang Carta Prince Charming?” jerit Sofea seakan tidak percaya apa yang telah
kawan karibnya itu lakukan.
Sebentar tadi, sewaktu dia hendak berjalan pulang ke kelasnya, dia melihat satu
kekecohan yang berlaku di kaki lima. Disangkakan mereka bergaduh kerana lelaki
idaman mereka tidak tersenarai dalam Carta Prince Charming seperti yang berlaku selalu.
Tapi, alangkah terkejutnya apabila mendapat tahu Carta Prince Charming telah dikoyak
dan dibuang oleh seseorang. Apa yang mengejutkannya lagi adalah carta tersebut dikoyak
oleh seseorang yang rapat dengannya. Dikoyakkan oleh Nurul Izzati.
Nurul masih berlagak selamba dan berpura-pura tidak mendengar apa yang Sofea
katakan di hadapannya itu. Dia tahu, selain mereka yang terjerit-jerit bagaikan orang
histeria tadi, Sofea juga adalah salah seorang daripada mereka. Pemuja Carta Prince
Charming.
“Nurul, kau dah koyak Carta Prince Charming dan sekarang kau boleh duduk
selamba di sini?” Sofea bagaikan tidak keruan dengan kejadian tadi. Mujurlah dia tidak
melihat kejadian tersebut. Jika tidak, mungkin kawannya itu akan bersekolah di Hospital
Bahagia.
“Kenapa dengan kau ni? Macam ikan haruan aje aku tengok…” tanya Nurul pelik
dengan perangai kawannya yang ke hulu ke hilir seperti orang gila kehilangan otak.
“Masalahnya sekarang ni, kaulah ikan haruan, kau tahu tak?” balas Sofea masih
lagi tidak berpuas hati.
“Tak tahu! Aku pun tak pernah tengok macam mana rupa ikan haruan. Tapi, kalau
kau kata aku ni ikan kembung, aku tahu sebab aku suka makan ikan kembung goreng.
Tapi, rupa aku bukan macam ikan kembung,” balas Nurul seperti orang yang tiada
perasaan.
“Nurul, kau dah buat satu kesalahan yang besar kau tahu tak?” tanya Sofea.
“Apa dia?”
“Apa dia! Argh! Apalah nasib aku dapat kawan macam kau ni, hah? Kau dah
koyak Carta Prince Charming! Itulah kesalahan kau!” bentak Sofea.
“Sofea, ia hanyalah Carta Prince Charming dan sekeping kertas yang tak
bermakna langsung!” jawab Nurul selamba.
“Berapa tahun kau bersekolah di sini? Dua tahun, Nurul! Bukannya sebulan dua.
Dua tahun dan ini bermakna kau tahu apa yang berlaku di sekolah ini. Aku rasa kau pun
tahu yang Carta Prince Charming tu adalah tradisi sekolah. Menurut legenda, sesiapa
yang koyak Carta Prince Charming tu, hidupnya tidak akan aman atau dengan kata lain,
akan ditimpa bencana!”
“Benda tu hanyalah carta, Sofea,” kata Nurul lagi mempertahankan pendapatnya.
“Aku rasa kita pun ada belajar agama, bukan? Benda tu syirik dan kita tak boleh
percayakannya. Takkanlah dengan hanya mengoyak Carta Prince Charming, aku akan
ditimpa bencana. Mustahillah!”
“Benda ni pernah berlaku. Ada seorang cikgu yang pernah mengajar di sini dulu
pernah mengoyak Carta Prince Charming, tapi malangnya semasa dia hendak pulang ke
rumah, dia hampir dilanggar kereta. Nasib baiklah masa tu ada seseorang yang
menyelamatkannya. Kalau tidak, cikgu tu pasti akan mati di situ juga. Sejak itu tiada
sesiapa pun yang berani mengoyak Carta Prince Charming termasuklah cikgu-cikgu di
sini,” terang Sofea panjang lebar.
“Aku tahulah,” ujar Nurul yang sudah muak mendengar cerita itu dari mulut
Sofea.
Kononnya hendak buat dia percaya bahawa Carta Prince Charming bukanlah
sebarangan carta.
“Tapi, aku tetap tak percaya cerita dongeng tu. Benda tu melalaikan. Mesti ada
orang lain yang buat Carta Prince Charming sebab nak memuja putera idaman mereka.”
Sofea menarik nafas lemah. Tidak guna dia menasihati orang yang berkepala besi
macam Nurul ini kecuali jika dia dapat cari sesuatu yang boleh meleburkan besi dalam
kepala kawannya itu. Huh! Buang tenaga solar saja.
“Lantak kaulah. Tapi, kalau kau ditimpa kemalangan masa balik sekolah nanti,
jangan salahkan aku sebab aku dah beri amaran pada kau awal-awal lagi. Kalau kau takut
ditimpa malang, lebih baik kau keluar sekarang dan cari Carta Prince Charming tu dan
tampal semula di tempat asalnya.”
“Kalau aku teringat…” balas Nurul malas hendak ambil pusing.
NURUL melangkah keluar dari perpustakaan sekolah setelah bertungkus-lumus
menyiapkan semua kerja sekolah yang telah diberi oleh cikgu tadi. Memang itulah rutin
hariannya setelah tamat saja sesi persekolahan. Selalunya, jika ada kerja sekolah, dia
tidak akan terus pulang ke rumah kerana jika dia pulang ke rumah pasti dia akan bercinta
dengan bantal busuknya sehingga petang sampai terlupa hendak membuat kerja sekolah.
Kawasan sekolah agak lengang sedikit kerana sesi persekolahan waktu petang
telah pun bermula. Manakala, pelajar sesi pagi sudah pulang ke rumah masing-masing.
Hanya yang tinggal adalah pelajar-pelajar yang terlibat dengan aktiviti kelab pada waktu
petang.
Ketika melewati koridor, Nurul sempat menjeling ke arah papan kenyataan.
Terdapat seorang pelajar perempuan sedang memandang tepat ke arah notis yang
ditampal di papan kenyataan. Bagaikan ada sesuatu perkara yang membuatkan dia
tertarik melihat notis yang tertampal di papan kenyataan tersebut.
URGENT!!!
PENGURUS PASUKAN BOLA SEPAK DIKEHENDAKI
Ciri-ciri:
Mesti berpengetahuan luas dalam bola sepak.
Sanggup berusaha.
Minat dengan bola sepak.
Lelaki / perempuan (perempuan lagi okey hehehe…).
Seorang yang sanggup menerima cabaran.
Jika berminat sila hadiri temu duga pada:-
Rabu (2.30 - 4.30 petang)
“Gila! Pengurus bola sepak? Nak perempuan? Memang buta sukanlah mereka
semua ni.”
Nurul hanya sekadar menggeleng. Kemudian, dia memandang di sebelahnya.
Kosong. Tiada sesiapa. Seingatnya tadi ada pelajar perempuan sedang menulis sesuatu di
atas kertas di sebelahnya tadi. Mungkin sudah pergi.
Tanpa membuang masa, Nurul segera mengangkat kaki berlalu dari situ.
Melupakan iklan kekosongan jawatan bagi pengurus pasukan bola sepak yang dibacanya
di papan kenyataan sebentar tadi.
Setelah dia melangkah pergi, terdapat dua pelajar lelaki menghampiri papan
kenyataan dan memandang ke arah notis yang ditampal. Tanpa berkata panjang, salah
seorang daripada mereka menanggalkan notis tersebut dan diserahkan kepada kawan di
sebelahnya sebelum berlalu mengorak langkah meninggalkan kawannya itu tanpa sepatah
kata.
Sebaik sahaja Nurul melangkah keluar dari pagar sekolah, dia dikejutkan dengan
dentuman guruh yang kuat dan cahaya kilat yang memancar-mancar serentak dengan
hujan lebat yang turun secara tiba-tiba. Habis basah baju sekolahnya. Dengan pantas dia
berlari ke arah hentian bas yang berhampiran untuk berteduh.
“Ah, tiba-tiba saja hujan,” keluh Nurul lemah. Rasanya tadi langit cerah sahaja,
tapi entah kenapa sebaik sahaja dia melangkah keluar dari pagar sekolah, hujan turun
dengan lebat. Tiba-tiba dia teringat kata-kata Sofea tadi.
“Gila!”
Payung lipat yang selalu tersedia di dalam beg sekolah, dikeluarkan. Hujan masih
lagi lebat dan Nurul membuat keputusan untuk berteduh di hentias bas sementara
menunggu hujan reda. Tidak lama selepas itu, hujan mulai reda dan dia membuka
payungnya dan berjalan ke bahu jalan.
Setelah memastikan tiada kenderaan yang lalu-lalang di jalan raya, kakinya pantas
mengorak langkah melintas jalan untuk ke seberang sana. Sewaktu dia berada di tengah-
tengah jalan, dia mendengar satu hon yang panjang. Sebaik sahaja dia berpaling dia
terlihat sebuah kereta hitam sedang menuju ke arahnya dengan laju. Nurul tiba-tiba kaget.
Kedua kakinya tidak mampu bergerak. Otaknya seakan tidak dapat berfungsi untuk
berfikir sebaliknya memutar kembali kejadian pagi tadi.
Kejadian dia begitu marahkan pelajar-pelajar perempuan sedang berkerumunan di
tengah-tengah koridor sehingga mengganggu laluannya. Kejadian dia mengoyak Carta
Prince Charming tanpa memikirkan akibat daripada perbuatannya itu. Kata-kata Sofea
siang tadi masih lagi segar di ingatannya.
Hon semakin panjang, kereta semakin dekat, tapi dia langsung tidak dapat
bergerak. Kakinya seolah-olah digam oleh gam yang kuat di tengah-tengah jalan raya itu.
Hanya tunggu masa saja untuk dilanggar.
Tiba-tiba Nurul merasai tubuhnya di dakap seseorang. Seseorang yang bertubuh
besar. Dalam sekelip mata sahaja dia terbaring di atas tanah. Dia masih terkejut lagi
walaupun dia tahu ada seseorang telah menyelamatkannya. Seorang lelaki.
Nurul menguatkan semangat untuk melihat siapakah yang menyelamatkannya,
tapi pandangannya semakin kabur dan kabur. Apa yang dia nampak hanyalah jaket
kuning yang tidak asing lagi baginya. Walaupun dia semakin lemah dan mungkin akan
pengsan sekejap lagi, tapi dia pasti jaket kuning itu merupakan jaket rasmi pasukan bola
sepak sekolahnya.
“Prince Charming…” ujar Nurul sebelum matanya tertutup rapat.
2
SEBAIK sahaja Nurul sedar dari pengsan, dia mendapati dia terbaring di sebuah bilik
yang agak asing buatnya. Apabila dia membuka mata, dia terdengar suara Sofea yang
seakan memanggil ibu dan ayahnya. Dirinya masih lagi kebuntuan. Pelbagai soalan yang
timbul di fikirannya dan soalan utamanya adalah bagaimana dia boleh tidur di atas katil
yang asing itu.
“Kau tak ingat?” tanya Sofea bertubi-tubi setelah mereka sama-sama mengajukan
soalan yang sama.
Nurul melihat wajah ibu dan ayahnya yang jelas terpancar kerisauan. Mana
tidaknya, satu-satunya anak tunggal perempuan mereka tiba-tiba terlantar di katil
hospital. Dalam masa yang sama dia mula teringat kejadian yang hampir meragut
nyawanya apabila dia hampir dilanggar oleh sebuah kereta.
Dia menceritakan segalanya kepada mereka semua terutama sekali ibu bapanya
yang risau dengan kejadian yang menimpanya. Dia turut menceritakan segalanya
termasuklah detik cemas dia diselamatkan oleh seseorang.
“Hah, memang aku dah agak dah. Tulah kau, aku dah kata awal-awal, tapi kau tak
dengar. Tulah, siapa suruh kau koyak Carta Prince Charming? Nasib baiklah ada
seseorang yang selamatkan kau,” ujar Sofea yang sememangnya bermulut becok.
“Siapa yang selamatkan adik?” tanya Tuan Alif.
“Err… entah. Adik tak tahu. Macam mana ibu dan ayah tahu adik kemalangan?”
tanya Nurul hairan.
Sekiranya lelaki yang menyelamatkannya daripada dilanggar kereta tadi
membawanya ke hospital, mestilah mereka tahu siapa orangnya.
“Tu, anak Pak Cik Taha depan rumah kita tu yang beritahu. Dia kerja sebagai
jururawat di hospital ini. Dia yang bagi tahu adik masuk hospital,” ujar Puan Nurain.
“La, ya ke?” Nurul menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Betul ke adik tak apa-apa ni?” tanya Puan Nurain risau.
Nurul sekadar mengangguk. Selain perutnya yang mula menyanyikan lagu
rancak, rasanya selain itu tiada apa-apa yang mencurigakan.
“BETUL ke kau tak ingat siapa yang selamatkan kau?” tanya Sofea buat kali kesepuluh
dan buat kali kesepuluh itu jugalah Nurul terpaksa menjawab jawapan yang sama.
“Bukan tak ingat, tapi aku memang tak nampak siapa yang selamatkan aku tu dan
sekali lagi kau tanya soalan yang bodoh ni, aku humban kau dari bilik aku,” ugut Nurul.
Sofea sudah tersengih-sengih.
“Tapi… aku ingat dia tu pakai jaket kuning macam pemain rasmi pasukan bola
sepak,” kata Nurul.
“Ha! Mungkin yang selamatkan kau tu pemain rasmi pasukan bola sepak sekolah
kita?” teka Sofea.
“Memang pun! Hanya pemain rasmi saja yang ada jaket tu.” Nurul menghempas
tubuhnya ke atas tilam yang empuk.
“Kau tak nak cari siapa orangnya ke?”
“Nak buat apa? Pasukan rasmi ada 15 orang pemain, takkanlah aku nak temu bual
dia orang semua sekali. Gila apa!”
“Ini bukannya gila, ni untuk ucapkan terima kasih. Takkanlah kau tak nak
ucapkan terima kasih pada orang yang tolong selamatkan kau tu.”
“Kau tahu tak, mengucap terima kasih pada seseorang yang tidak dikenali adalah
sesuatu yang mengerikan dalam hidup aku?”
“Hah! Kenapa?”
“Sebab perkataan terima dan kasih. Aku anti dengan kedua-dua perkataan itu,”
jawab Nurul pendek sebelum kembali menarik selimutnya, membiarkan Sofea yang
masih lagi berfikir apakah yang dimaksudkan dengan kedua-dua perkataan itu.
Jauh dari sudut hati, Nurul hanya tersenyum dengan gelagat Sofea yang tidak
jemu melayan orang yang keras kepala sepertinya. Dia juga mengakui, dirinya memang
keras kepala. Pantang menyerah kalah dengan apa yang berlaku. Kalau dia salah pun, dia
pasti akan memutar belitkan kenyataan sehinggalah dia mencapai kemenangan.
Senyumannya makin melebar.
NURUL kembali ke sekolah seperti biasa walaupun doktor telah memberinya dua hari
cuti sakit. Baginya, selagi dia ada tenaga untuk berjalan ke sekolah, selagi itulah dia akan
kerah tenaganya habis-habisan untuk ke sekolah. Entahlah! Dia sendiri tidak tahu.
Hendak kata dia suka datang sekolah, tidak juga. Kalau boleh dia lebih suka duduk di
rumah. Tapi, dalam masa yang sama dia tetap berkeras untuk ke sekolah.
Hendak kata dia minat belajar pun tidak sebab semasa di kelas, fikirannya asyik
melayang dan kadang-kadang dia tidak sedar apa yang telah berlaku di sekelilingnya.
Bila cikgu menyuruh menyalin nota, dia sibuk melakar angan-angannya dengan menulis
sesuatu di buku latihan dan bila cikgu lalu di sebelahnya, terus diselak halaman tengah
dan menulis sebaris nota yang tertulis di papan hitam. Huh, taktik nak hiduplah katakan.
“Nurul!” pekik Sofea dari jauh sambil berlari anak menghampiri Nurul.
Setahu Nurul, Sofea datang ke sekolah bersama dengannya, tapi pelik pula
apabila Sofea berlari menghampirinya seperti telah tertinggal jauh di belakang. Atau dia
yang berjalan laju sehingga Sofea tidak dapat mengejarnya. Kesimpulan lain, Sofea
mengelamun semasa berjalan. Nasiblah, Sofea, siapa suruh jalan tak tengok arah, kan dah
sesat, omel Nurul dalam hati.
“Kenapa ni? Kau jumpa ikan haruan?” tanya Nurul separuh lawak.
Sofea tercungap-cungap cuba bernafas dengan betul. Entah berapa kilometer
Sofea tertinggal ke belakang tadi sehingga semput mengejar.
“Carta… Carta…” ujar Sofea tersekat-sekat sambil cuba menyedut oksigen yang
ada.
Nurul mengangkat kening. Kurang faham dengan apa yang diperkatakan oleh
Sofea.
“Ah…”
Tidak tahu bagaimana ingin dikatakan, Sofea terus menarik Nurul ke papan
kenyataan yang mana ramai pelajar perempuan sudah berkumpul sejak tadi.
“Kenapa kau bawa aku ke tempat yang sesak ni?” dengus Nurul marah. Baru
semalam dia berperang dengan Carta Prince Charming dan hari ini pula Sofea membawa
ke tempat itu lagi.
“Tu… tengok Carta Prince Charming tu…” Tangan Sofea menunjuk ke arah
sehelai kad manila yang ditampal di papan kenyataan.
“Hah! Kenapa?”
“Kenapa? Kau tak nampak ke perubahan ketara?”
“Oh, yang aku perasan dia orang dah tukar kad manila yang berwarna pink kepada
warna emas. Itu saja,” balas Nurul selamba.
Sofea menarik nafas lemah. Entah apa punya kawan.
“Kau tengoklah siapa yang dapat duduki Carta Prince Charming! Tiada sesiapa!”
ujar Sofea sedikit menjerit, cuba menyaingi suara-suara yang kecoh di sekelilingnya.
“Jadi? Aku perlu tahu ke?” tanya Nurul dengan selamba dan segera mengangkat
kaki berlalu dari situ. Dia tidak tahan dengan suara-suara sumbang di sekelilingnya yang
sedang berbisik sesuatu tentangnya.
“Helo, kau tak terfikir ke apa yang berlaku ni pelik? Selepas kau koyak Carta
Prince Charming tu semalam, kau hampir kena langgar dan hari ini tiada sesiapa dapat
takhta Prince Charming.”
“Ada aku kisah ke semua tu?” ujar Nurul masih lagi seperti orang yang tiada
perasaan. “Oh, ya, aku kisah. Aku dah koyak dan buang carta tu semalam dan hari ini ada
lagi. Orang yang tampal carta tu tak serik-serik rasanya,” tambah Nurul lagi.
Sofea di sebelahnya hanya melepaskan keluhan yang lemah. Sakit hati sahaja jika
bercakap dengan orang yang tiada perasaan seperti Nurul.
“Boleh tak kalau kau berlagak macam orang yang ada perasaan pada waktu,
ketika dan saat ni?” tanya Sofea yang mula sudah tidak tahan apabila interaksinya
bersama Nurul telah gagal. “Cuba berfikiran positif walaupun kau tak percaya dengan
carta yang karut tu hanya untuk seketika. Cuba kau fikir, selepas saja kau koyak carta tu,
kau hampir kena langgar semalam.”
“Ya. Hampir kena langgar dan bukan dilanggar. Ada seseorang selamatkan aku
dan kau tak boleh kaitkan kejadian tu sebagai malang sebab aku koyak carta tu.
Kemalangan boleh berlaku di mana-mana dan bila-bila masa,” balas Nurul dengan fikiran
positifnya.
“Mungkin pandangan kau boleh diterima, tapi bagaimana kau nak jelaskan
tentang Carta Prince Charming pada hari ni? Selalunya Carta Prince Charming akan
muncul seminggu sekali dan kali ini, selepas kau koyak Carta Prince Charming semalam,
hari ni carta tu muncul lagi dengan tiada sesiapa pun yang berada di takhta pertama
Prince Charming. Ini baru kali pertama benda ni terjadi,” balas Sofea cuba meyakinkan
Nurul.
“Ini juga kali pertama Carta Prince Charming dikoyak. Mesti orang yang buat
carta tu bengang tahap gaban sebab mensia-siakan usahanya mencari siapa Prince
Charming dalam sekolah ini. Jadi, sebab dia terlampau marah, dia sengaja kosongkan
takhta Prince Charming. Sengaja nak buat orang marah dengan aku. Kau tak tengok ke
tadi macam mana mereka semua mengumpat pasal aku? Itulah tujuannya,” balas Nurul
panjang lebar.
“Aku tak fahamlah dengan kau ni!” Sofea menggeleng lemah. Sememangnya dia
akan kalah bila berbalas kata dengan Nurul. Pasti ada sahaja yang cuba diputar belit oleh
Nurul dan akhirnya dia sendiri pening dengan apa yang Nurul katakan.
“Senang saja. Dengan kata lain… kau dah kalah.” Nurul tersenyum lebar seolah-
olah sedang memerli Sofea. Langkahnya pantas berjalan laju menuju ke kelasnya.
Sofea memeluk tubuh sambil menjeling tajam ke arah Nurul yang sudah berjalan
ke hadapan. Sememangnya dia tidak berpuas hati dengan perbahasan mereka tadi. Dia
mesti buat sesuatu untuk menyedarkan Nurul.
“Aku dengar Kelab Bola Sepak nak buat pemilihan pengurus merangkap
setiausaha kelab.”
Telinga Sofea terus terbuka luas-luas sebaik sahaja mendengar perbualan dua
orang pelajar perempuan yang lalu di sebelahnya.
“Ya. Aku pun dengar. Aku dengar juga, mereka nak perempuan yang jadi
pengurus tu. Bayangkan hari pertama mereka tampal iklan tu, hampir seratus
permohonan diterima. Nasib baik aku sempat daftar.”
“Hah? Kau tak beritahu aku pun. Aku pun nak mohon juga. Nak jumpa siapa?”
“Najmi.”
Sebaik sahaja Sofea mendengar nama Najmi, terus dia berlalu dari situ. Inilah
peluangnya untuk kenakan Nurul kembali. Jika Nurul bernasib baik dan diterima masuk
dalam pasukan bola sepak, bolehlah Nurul berjumpa dengan orang yang selamatkannya.
Ini juga bukan diklasifikasikan sebagai balas dendam, tapi menolong kawan.
MUHAMMAD SHAH REZZA berjalan pantas melangkah masuk ke dalam bilik yang
menjadi tempat lepak ahli-ahli bola sepak sebelum sesi kelas bermula pagi itu. Tangan
kanannya menggenggam erat sehelai kertas yang ditanggalkannya dari papan kenyataan
semalam. Segera dia berlalu menghampiri seorang pelajar lelaki yang sibuk membaca
komik yang selalu diseludup masuk ke dalam sekolah. Dia sempat menjeling ke arah
seorang pelajar lelaki yang sedang nyenyak tidur berbantalkan lengan.
“Siapa yang buat notis ni?” tanya Rezza kepada pelajar lelaki yang terkenal
dengan sikap pendiamnya.
Akmal Fiqri atau lebih mesra dengan panggilan Fiq mengambil notis dari tangan
Rezza. Selepas membacanya, dia sendiri tersenyum kelucuan. Kemudian dia menggeleng
dan memberi kepada Farizat yang baru menghampiri mereka. Lelaki tinggi lampai yang
terkenal dengan teknik pertahanan di padang turut ketawa kelucuan.
“Memang nak cari nahaslah siapa yang buat tu,” ujar Rezza berlalu, duduk di
sebelah pelajar lelaki yang masih lagi nyenyak tidur.
“Kau agak siapa yang buat?” tanya Farizat yang masih lagi ketawa.
“Hi, guys!” sapa Najmi sambil terus menongkat sikunya di bahu Rezza. Seperti
kebiasaan, kalau dia datang tanpa senyuman ceria memang tidak sah.
“Aik, kenapa dengan kau orang semua ni? Apa yang lucu semacam?”
Farizat menghulurkan notis yang dibacanya tadi kepada Najmi. Belum sempat
Najmi membaca notis tersebut, dia dapat rasakan udara di persekitarannya berbahang.
Dengan perlahan dia menjeling pandang ke arah Rezza di sebelahnya.
“Okey apa kalau ada pembantu perempuan. Bukan ke ada satu pepatah kata…
Kejayaan seorang lelaki ada seorang wanita di belakangnya. Err… lebih kurang macam
tulah. Jadi, apa kata kalau kita ambil seorang perempuan sebagai pengurus,” ujar Najmi
cuba meyakinkan kawan-kawannya terutama sekali Rezza yang sejak dulu lagi tidak
berminat dikaitkan dengan mana-mana perempuan walaupun Rezza mempunyai ramai
peminat di sekolah itu. Namun, sehingga hari ini tiada satu pun yang dapat menarik
perhatian Rezza.
Rezza masih tenung Najmi di sebelahnya. Dia tahu sangat dengan perangai Najmi
yang juga merupakan Romeo kelas satu di sekolah mereka. Cakap saja Najmi, semua
orang kenal dengan perangainya yang suka berfoya-foya dengan ramai perempuan. Yang
peliknya, pelajar perempuan yang sudah tahu perangai Najmi masih tergila-gilakan lelaki
yang tiga suku setengah ini.
Hendak kata Najmi handsome, Pak Mail, tukang kebun sekolah lagi handsome.
Nak kata anak orang kaya, tidak juga. Ayah Najmi hanyalah pekerja kerajaan, tapi entah
kenapa ramai perempuan sangkut dengan Najmi. Mungkin Najmi seorang yang periang
dan suka berlawak. Mungkin sebab itulah ramai yang sangkut.
“Terima kasih sebab datangkan bala yang tak dijemput. Petang ni lari 20
pusingan,” ujar Rezza selamba.
“20 pusingan?” soal Najmi hampir menjerit.
Farizat sudah tidak dapat menahan ketawanya. Entah apa yang lucu dia pun tidak
tahu. Tapi, dia benar-benar lucu melihat perangai Najmi yang secara spontan boleh
membuat orang lain ketawa. Fiq di sebelahnya sudah terenjut-enjut bahu.
Rezza sekadar menggeleng. Dia kemudiannya menjeling Nazrul di sebelahnya
yang masih lagi tidur dengan nyenyak.
“Ni lagi satu, kalau tak tengok dia tidur sehari memang tak sah. Wei, bangunlah!”
Rezza mengejutkan Nazrul, kawan karibnya itu.
Selepas dipanggil beberapa kali barulah Nazrul bangun.
“Aaa…” Nazrul mengeliat malas sambil menguap. Perkara tu memang sudah
menjadi kebiasaan pada setiap pagi.
Mereka siap menggelarkan Nazrul, The Sleeping Handsome kerana Nazrul
memang terkenal dengan perangainya yang suka tidur tidak kira masa dan di mana jua
dia berada. Dalam kelas, luar kelas, kantin, makmal, bengkel mahupun di tapak
perhimpunan pun dia boleh tidur. Pendek kata hobi Nazrul adalah tidur.
“Rezza, aku mimpi tadi…” Nazrul bersuara dalam mamai.
“Kau mimpi jumpa puteri kayangan ke?”
“Tak,” jawab Nazrul pendek.
“Habis tu?”
Nazrul memandang Rezza dengan mata mengantuknya. “Aku mimpi kau cium
aku…”
Serentak kepala Nazrul kena hantuk dengan meja tulisnya. Nazrul mengerang
kesakitan sambil mengurut dahinya yang terhantuk. Nasib baiklah kepalanya jenis kepala
batu. Tiadalah sakit sangat, tapi sakitlah juga. Serta-merta matanya yang kuyu tadi mulai
segar.
“Okey, terima kasih sebab cium aku.” Nazrul kembali segar. Mereka
berpandangan kemudian masing-masing ketawa kelucuan.
“Sakit tak?”
“Sakitlah mangkuk, bergegar otak aku kejap.” Nazrul mengeliat membetulkan
otot-ototnya yang rasanya turut terlena tadi.
“Bila kau macam nilah kena kejutkan kau. Aku rasa kalau kau tak bangun jugak,
aku bagi bom saja.” Rezza sekadar menggeleng. Salah satu tugasnya setiap hari adalah
untuk bangunkan manusia seperti Nazrul daripada tidur. Memang susah. Memang payah.
Kalau tidak diketuk, ditumbuk atau disepak, takkan bangun manusia aneh di sebelahnya
itu.
“Kerja Matematik dah buat ke belum?” tanya Rezza.
“Dah,” jawab Nazrul pendek.
“Ada peningkatan. Selalunya kau mana ingat nak buat kerja sekolah. Pelupa tahap
gaban.”
“Tu… Cikgu Midah punya pasallah,” jawab Nazrul mengurut tengkuknya yang
terasa lenguh lagi.
“Kenapa?”
“Yalah, entah apa sihir dia bagi kat aku sampai aku sedap-sedap mimpi makan
ayam golek dia boleh datang ganggu mimpi aku, suruh siapkan kerja rumah. Apa lagi,
terus terjagalah aku. Terus aku buat kerja sekolah yang dia bagi.” Kedengaran keluhan
lemah daripada Nazrul. Rezza di sebelah sekadar menahan ketawa.
Nazrul menjeling tajam. Hah, gelaklah!
“Tapi, aku tak bawa buku Matematik tu hari ni,” jawab Nazrul selamba.
Rezza di sebelahnya terus berhenti ketawa. “Lupa lagi?”
Kali ini Nazrul pula ketawa.
SEMANGKUK bihun sup terlepas dari pegangan. Keadaan kantin riuh-rendah dengan
sorakan. Memang begitulah situasi jika ada benda jatuh ke atas lantai. Kecoh macam bom
jatuh saja. Nurul sempat mengerling pelajar perempuan yang berlanggar dengannya tadi.
Pelajar tersebut hanya mengangkat bahu sambil tersenyum menyindir.
Walaupun hatinya membara, dia hanya dapat bersabar sahaja. Segera dia berlalu
mendapatkan Sofea yang sudah duduk di meja makan. Selera makannya hilang begitu
saja.
“Malangnya,” kata Sofea sambil menggeleng, sengaja ingin menyakitkan hati
Nurul. Tanpa mempedulikan Nurul yang sedang cuba mengawal marah, dia menjamah
bihun sup yang dibelinya tadi.
“Benda tu hanya sekeping Carta Prince Charming! Takkan sebab itu, mereka
semua nak marah aku macam aku rampas suami dia orang!” balas Nurul sengaja
meninggikan suara, biar semua orang di sekelilingnya mendengar.
“Masalahnya sekarang, Carta Prince Charming bagaikan suami dia orang. Aku
rasa kau dah terkena sumpahan puteri.”
“Sumpahan puteri? Kau ingat ini cerita dongeng ke? Puteri apa yang nak sumpah
aku ni? Puteri bunian? Puteri lindungan bulan?”
“Serius, Nurul. Benda ni tak boleh dibuat main.”
“Oh, okey. Kalau aku benar-benar terkena sumpahan puteri bunian, adakah
selepas ni aku akan ditimpa malang? Dan, kalau aku ditimpa malang, kita lihat apa yang
malangnya,” ujar Nurul dengan lagaknya.
“Okey, perkara pertama yang aku tahu, kau terpaksa berhadapan dengan sukan
yang paling kau benci iaitu bola sepak. Aku baru saja daftarkan nama kau sebagai salah
seorang calon pengurus pasukan bola sepak.”
“What?”
“Itu juga dikira malang, kan?” Sofea mengenyit mata manja.
“Kenapa kau memandai-mandai letak nama aku?” Nurul benar-benar naik angin
dengan kenyataan Sofea tadi. “Kan aku dah kata, aku benci dengan bola sepak. Bukan
setakat bola sepak, tapi semua jenis bola aku benci,” ujar Nurul sambil duduk di
tempatnya.
“Aku cuma nak tolong kau cari siapa yang selamatkan kau. Takkanlah kau tak
teringin nak cari siapa yang selamatkan kau? Aku tahu kau tu ego dan keras kepala, tapi
hakikatnya salah seorang daripada pasukan bola sepak dah selamatkan nyawa kau.
Takkanlah kau nak lupakan macam tu saja?” Sofea membalas.
“Kau nak suruh aku buat apa kalau aku jumpa orang yang selamatkan aku? Kau
nak aku bagi duit beribu-ribu kepadanya tanda terima kasih sebab selamatkan aku atau
cium jari kaki dia untuk balas hati budi dia?” tanya Nurul dengan nada menyindir. Dia
masih lagi tidak puas hati dengan tindakan Sofea yang seperti sengaja hendak mencari
gaduh dengannya.
“Tak adalah sampai macam tu. Okeylah, nampaknya aku terlalu memaksa kau.
Terpulanglah pada kau nak datang temu duga tu atau tak. Yang penting aku tak rugi.”
Sofea kembali ke tempatnya di belakang tempat duduk Nurul.
“Fine! Aku akan pergi, tapi jangan haraplah aku nak buat betul-betul.” Akhirnya
Nurul bersetuju. Jauh dalam sudut hatinya dia menyokong kata-kata Sofea. Ada
seseorang sudah menyelamatkannya. Kalau tidak reti ucapkan terima kasih pun,
sekurang-kurangnya kenalilah orang yang selamatkan nyawanya.
Orang tu pun satu! Dah selamatkan nyawa orang, tak reti-reti ke nak munculkan
diri? Bukan ke lagi senang kalau datang berdiri depan aku dan cakap, Sayalah yang
selamatkan awak daripada kena langgar semalam. Finish! Tak adalah nak panjangkan
cerita sampai beratus muka surat semata-mata nak cari Prince Charming! bentak hati
Nurul geram.
Nurul tersentak. Dia mengerut dahi. “Apa aku sebut tadi?” tanya Nurul pada diri
sendiri. Dia berpaling ke belakang merenung Sofea yang menyusun buku-buku di dalam
laci meja tulis.
“Apa aku sebut tadi?” Tanya Nurul kepada Sofea pula.
Sofea mengerut dahi. Entah apa hal pula yang tidak kena dengan kawannya ini.
Tu mesti mengelamun lagi. Pelik betullah. Matahari dah meninggi pun boleh
mengelamun lagi.
“Manalah aku tahu,” balas Sofea malas hendak ambil pusing.
Nurul kembali memusingkan badannya ke hadapan. Suasana kelas yang bising
macam Pasar Borong Selayang, langsung tidak diendahkannya.
“Aku sebut Prince Charming ke?” Nurul menggaru kepalanya. Dia pasti, dia
benar-benar sebut Prince Charming. Tiba-tiba memorinya mengimbas kembali kejadian
petang semalam. Masa tu dia sudah terselamat daripada dilanggar kereta. Akibat terkejut
teramat sangat, dia menjadi pitam dan sebelum pitam, dia ada menyebut sesuatu.
“Prince Charming…”
Nurul menutup mulutnya dengan kedua-dua telapak tangannya. Sah! Dia sebut
Prince Charming! Dan, memang sah, dia sudah terkena sumpahan Prince Charming.
Tapi, bukan dalam bentuk malang, sebaliknya dalam bentuk angau. Okey, nanti aku akan
soal siasat siapa yang sihir aku jadi angau ni!
3
“GILA!” Farizat terduduk. Dia tidak tahu hendak memberi reaksi apa. Dia seakan tidak
percaya sebaik sahaja melihat beberapa helai kertas yang diberikan kepadanya.
“Biar betul!” Zaki selaku bendahari kelab sekadar menggeleng. Juga tidak
percaya apa yang dibacanya itu.
“Siapa punya kerja ni?” Ehsan menggaru kepalanya.
Masing-masing memandang Najmi yang tersenyum-senyum kambing mengintai
sesuatu di luar. Daripada senyuman miang Najmi, mereka semua sudah boleh mengagak
siapa punya kerja. Fikri kemudiannya kelihatan melangkah masuk ke dalam dewan
dengan tergesa-gesa.
“Ada upacara apa ni?” tanya Fiq kepada Rezza yang dari tadi duduk mendiamkan
diri merenung kertas di hadapannya. Dia kemudiannya menghulur beberapa helai kertas
kepada Fiq yang baru sampai itu. Tidak sanggup dia hendak berkata-kata melainkan
menyuruh Fiq membacanya sendiri.
Helaian kertas yang dihulurkan Rezza disambutnya dengan tanda tanya. Tanpa
bertanya lagi, dia membacanya. Hampir sesak nafasnya apabila melihat angka terakhir
pada helaian terakhir kertas tersebut. Beg sekolah yang dipegangnya secara automatik
terlepas daripada pegangannya.
“Seratus orang datang temu duga?” ujar Fiq separuh menjerit.
Kesemua mereka langsung tidak berani hendak berkata apa-apa selain memberi
isyarat menunjuk ke arah Najmi.
“Najmi!”
Alamak. Najmi yang sedang usyar awek-awek cantik yang beratur di luar sana
tersentak tiba-tiba.
“Aku tak kira, kau kena lari seratus pusingan hari ni juga!” ujar Fiq yang mula
naik darah.
Mampus. Najmi menggeleng.
“The Perfect Guy dah marah.” Sedaya upaya Zaki cuba menahan gelaknya.
Fiq memang terkenal dengan gelaran The Perfect Guy disebabkan Fiq memang
nampak sempurna di mata semua orang termasuklah ahli Kelab Bola Sepak yang
mengenalinya. Selain perangainya yang cool, dia juga satu-satunya lelaki yang bersopan
santun apabila bercakap atau melakukan sesuatu kerja.
Anak seorang ahli politik yang agak terkenal di Dewan Parlimen, tapi statusnya
hanya diketahui ahli-ahli rasmi sahaja. Seorang yang low profile. Mudah didampingi
tidak kira lelaki ataupun perempuan. Aktif dalam aktiviti sekolah terutama sekali bola
sepak dan Kelab Muzik. Pendek kata, Fiq memang sempurna dari segala aspek kecuali
cinta. Itu memang gagal!
“Jadi, macam mana ni?” tanya Zaki kebuntuan.
Seratus orang bukannya sikit. Mungkin sampai pagi esok pun takkan habis
mereka menemu bual seorang demi seorang. Mencari pengurus bukannya boleh pakai
tunjuk saja, apatah lagi pengurus akan handle bukan saja ahli rasmi, tapi ahli biasa yang
seramai 50 orang. Yang menjadi masalah sekarang ini, semua yang datang untuk temu
duga kebanyakannya adalah perempuan. Kalau lelaki, mereka ini terdiri daripada
kumpulan nyah.
“Nak buat pilihan? Tapi, tak boleh juga, kita tak tahu yang mereka semua ni
datang memang nak join kelab bola sepak atau nak menggatal.” Farizat menarik nafas
lemah. Mesti sakit kepala menemu duga pelajar-pelajar perempuan itu nanti.
Masing-masing memandang Rezza yang masih senyap berfikir. Hati dan perasaan
mereka yang menunggu di luar sana perlu dijaga demi nama baik Kelab Bola Sepak.
Rezza tidak mahu nama baik kelab tercalar disebabkan hal sebegini. Dia kemudiannya
menjeling Nazrul yang sedap tidur di sebelahnya. Kemudian dia tersenyum.
“Kenapa?” soal Fiq hairan.
Kemudian masing-masing menjeling Nazrul yang sedang tidur nyenyak di
sebelah Rezza. Serentak dengan itu masing-masing dapat membaca apa yang difikirkan
oleh Rezza. Mungkin hanya itu sahaja yang boleh mereka fikirkan sekarang.
MULUT Nurul ternganga hampir dua minit apabila sampai saja ke dewan sukan. Dia
melihat sekumpulan pelajar perempuan dan sekumpulan lelaki yang boleh
diklasifikasikan dalam golongan nyah beratur panjang dari pintu masuk hinggalah ke
kantin. Adalah lebih kurang satu kilometer kalau diukur. Dia beratur di hujung sekali.
Orang terakhir.
“Terima kasih kepada Sofea.” Nurul tersenyum geram.
Dia tidak sangka begitu ramai yang bercita-cita mahu jadi pengurus Kelab Bola
Sepak untuk menggatal. Apatah lagi kebanyakan yang datang temu duga spesies minah
cinta. Kalau bukan minah cinta pun minah angau. Gedik. Siap bermekap lagi.
“Memang malang betul.” Nurul sekali lagi mengeluh lemah.
Hampir dua jam berlalu, temu duga berjalan dengan lancar. Malah, lagi lancar.
Baru beberapa saat seorang pelajar masuk untuk ditemu duga, tapi keluar tidak sampai
lima minit. Pendek kata panel temu duga hanya memerlukan lima minit atau kurang
daripada itu untuk menemu duga ke semua pelajar yang datang. Tapi, yang peliknya,
semua yang masuk dengan muka ceria keluar dengan muka masam. Tidak puas hati.
Lama Nurul menunggu akhirnya sampai juga gilirannya. Apabila Nurul
melangkah masuk, semua mata tertumpu ke arahnya dengan mata kuyu mereka. Nampak
sangat mereka penat menemu duga hampir seratus orang.
Satu per satu wajah-wajah yang menyerikan Kelab Bola Sepak dipandang Nurul.
Rezza, selaku kapten pasukan masih tetap maintain duduk tegak. Begitu juga dengan Fiq
yang terkenal dengan sifat pendiamnya. Zaki dan Farizat sudah menguap beberapa kali.
Hendak saja dia pelangkung budak dua ekor itu. Matanya tertumpu pada seorang pelajar
lelaki yang sedang asyik tidur di sebelah Rezza.
Itu memang dah melampau! Aku penat-penat tunggu kat luar sampai sakit kaki
berdiri, dia boleh tidur pula. Darah Nurul mulai menyirap. Tapi sebaik sahaja dia
memandang Fiq yang menghadiahkan senyuman manis, entah kenapa hatinya cair.
“Nurul Izzati.” Rezza mula berbicara memandang gadis yang duduk di
hadapannya itu. “Tak sangka, kita boleh berjumpa lagi,” tambahnya.
Dahi Nurul berkerut. Rezza bercakap sesuatu yang dia tidak faham maksudnya.
Berjumpa sekali lagi? Kepalanya ligat berfikir. Takkan Rezza tu…
“Kita pernah berjumpa ke?” tanya Nurul pula.
Kalaulah Rezza yang selamatkannya… Jadi, tidak sia-sialah dia berdiri lama di
luar tadi. Selepas ini, kalau Rezza mengaku, dia akan mengucapkan terima kasih dan
pergi meninggalkan dewan. Habis cerita!
“Ops… kalau nak tanya soal peribadi sila buat selepas waktu ini ya…” Zaki
bersuara.
Nurul menjeling tajam. Kacau daun betul!
“Okey.” Rezza menarik nafas lemah. Membetulkan kedudukannya. “Nurul
Izzati…”
“Panggil Nurul saja,” ujar Nurul.
Rezza mengangguk.
“Minta maaf sebab tunggu lama. Kami pun tak sangka ramai pula yang datang
untuk temu duga. Kami selaku AJK tertinggi Kelab Bola Sepak hendak mengucapkan
selamat datang pada temu duga hari ni dan seperti mana yang Nurul tahu kami hendak
mencari seseorang yang berkebolehan untuk mengurus Kelab Bola Sepak. Apa yang
kami cari daripada seorang pengurus adalah semangat yang kuat dan tegas sebab semua
ahli-ahli kami ni banyak ragam dan tugas pengurus adalah memastikan segalanya teratur.
Tak kira dari segi peralatan padang hinggalah ke kesihatan setiap ahli kelab. Bunyi
macam best, tapi percayalah dia orang ni memang memeningkan. Jadi, kami dah buat
keputusan, sesiapa dapat lepasi ujian getir ni, kami akan melantiknya sebagai pengurus.
Jadi, awak dah sedia?” ujar Rezza panjang lebar seperti yang dikatakan kepada semua
yang datang untuk temu duga tadi.
“Dah, tapi sebelum tu, aku cuma nak kata aku tak minat dengan bola sepak,” ujar
Nurul selamba. Semua mata memandangnya.
“Kami tahu. Semua yang datang sini untuk temu duga bukannya minat dengan
bola sepak.”
Nurul menghela nafas. Nampaknya tanggapannya salah sama sekali tentang
mereka semua. Dia ingatkan mereka semua jenis yang suka berfoya-foya dengan
peminat, tapi daripada cara mereka bercakap, nampak mereka semua matang dari usia
mereka.
“Jadi, ujiannya?” Nurul bertanya.
Masing-masing tersenyum. Kemudian menjeling Nazrul yang sedap berdengkur.
“Senang saja, kejutkan Putera Katak ni bangun dulu,” ujar Rezza tersengih.
“Hah!” Hampir tercabut anak tekak Nurul. “Apa sangkut paut kejutkan dia ni
bangun dengan jadi pengurus kelab?” tanya Nurul yang rasa perkara itu tidak logik akal.
“Kami percaya kau takkan faham.” Fiq mula berbicara dengan nada mesra.
Hampir cair hati Nurul apabila pertama kali mendengar suara Fiq. “Tapi, kami percaya
kalau kau terpilih jadi pengurus pasukan, kau akan faham kenapa. Percaya atau tidak,
Nazrul sudah tidur sejak awal lagi dan daripada semua yang datang temu duga tadi, tiada
sesiapa pun yang dapat mengejutkan Nazrul bangun.”
“Hah?” Nurul seakan tidak percaya. Patutlah sejak mula-mula tadi, kebanyakan
yang datang temu duga keluar dengan muka yang masam. Ada juga yang tidak puas hati
dengan temu duga tersebut. Rupa-rupanya kena kejutkan seseorang yang tidur tidak ingat
dunia. Tapi, benarkah lelaki yang tidur itu tidak bangun sejak tadi?
“Salah satu tugas pengurus adalah memastikan semua ahli turun padang untuk
sesi latihan terutama sekali ahli-ahli rasmi. Kalau nak kejutkan Nazrul bangun pun tidak
boleh buat, kami rasa tidak guna kami lantik seorang pengurus kelab,” tambah Rezza
memberi penerangan lagi.
Nurul tidak tahu apa yang harus dibuatnya. Kalau diikutkan hati, hendak saja dia
mengangkat kaki keluar dari situ. Tapi, senyuman Fiq membuatkan dia bagaikan hilang
kawalan. Sedar sedar saja, dia sudah berada di hadapan Nazrul yang sedang tidur
nyenyak itu.
“Err…” Nurul rasa janggal apabila mendapati semua mata memandangnya.
Entahlah! Sama ada dia dipermainkan atau ini sebahagian daripada ujian yang
mereka katakan tadi, dia sendiri pun tidak pasti. Yang pastinya, dia sudah terperangkap
dan mahu tak mahu, dia harus teruskan juga.
“Hei, bangunlah.” Dicuit sedikit bahu Nazrul. Langsung tiada reaksi. Nurul
menggaru kepala apabila hampir banyak kali memanggil Nazrul bangun. Pelik. Tidur ke
mati ni? Dia memandang mereka yang lain yang masih menunggu.
“Hei, bangunlah!” Nurul menjerit sambil menggoyang-goyangkan bahu Nazrul.
Nasib baiklah Nazrul memakai sweater, kalau tidak jangan haraplah dia hendak
memegang bahu lelaki yang tidak dikenali.
Sebentar kemudian Nazrul mula menunjukkan dia sudah sedar. Kepalanya di
angkat mamai. Matanya terbuka sedikit. Jelas sekali kemerahan pada matanya mungkin
kerana mengantuk. Nurul menarik nafas lega.
Akhirnya bangun juga budak ni.
“Hai, darling, cium sikit,” ujar Nazrul yang masih mamai.
Dengar saja Nazrul cakap begitu, darah Nurul mula naik mendadak. Tangan
kanannya digenggam kuat.
“Tak guna!!!” Sepantas kilat Nurul mengayunkan penumbuk ke muka Nazrul
sehingga Nazrul tersungkur ke lantai. Dadanya berombak. Geram. Panas. Marah. Rasa
dibodohkan. Semuanya ada.
Kemudian dia memandang Rezza dan yang lain. Mereka semua masih berlagak
selamba. Seolah-olah tidak nampak yang dia sudah membelasah Nazrul sehingga
tersungkur. Tiba-tiba saja dia diselubungi perasaan pelik.
“Aaa…” Nazrul yang tersungkur di lantai bangun sambil mengeliat membetulkan
otot-ototnya. Pipinya yang kena tumbuk tadi digosok-gosok sedikit sebelum duduk di
tempatnya semula. Dia tersengih-sengih. “Okey, jom mula temu duga,” ujarnya selamba.
Nurul mengerut dahi.
Spesies apa budak ni? Takkan dia tak tahu yang dia baru saja kena tumbuk? Lepas
tu boleh kata nak mulakan temu duga. Dia tahu ke aku ni orang terakhir yang ditemu
duga? Nurul menggaru tengkuknya. Pelik.
“Err… kenapa?” tanya Nazrul pelik apabila semua kawan-kawannya mendiamkan
diri. Dia tertinggal kereta api lagikah?
“Welcome to Football Club, Nurul Izzati,” ucap Rezza mengukirkan senyuman
lega. Akhirnya dia jumpa juga orangnya.
Nurul tidak tahu hendak kata apa. Benarkah apa yang Rezza cakap tadi? Welcome
to Football Club? Adakah itu maknanya dia sekarang dilantik sebagai pengurus Kelab
Bola Sepak yang baru? Tapi kenapa? Inilah malangnya… desisnya lemah.
SOFEA tidak berhenti ketawa. Terbahak-bahak tawa Sofea selepas Nurul menceritakan
pengalaman ditemu duga oleh AJK Kelab Bola Sepak untuk jawatan pengurus petang
tadi. Itu pun setelah tidak tahan didesak oleh Sofea yang ingin mengetahui apa yang
berlaku di sebalik pemilihan Nurul sebagai pengurus. Selepas saja Nurul menceritakan
segalanya, Sofea sudah tidak dapat menahan gelaknya dan dia ketawa dengan kuatnya.
Kalah puntianak yang selalu bertenggek di pohon pokok rambutan di belakang rumah.
Serta-merta puntianak itu akan letak jawatan, tidak mahu mengilai lagi sebab kecewa ada
lagi yang pandai mengilai.
Nurul dari tadi menjeling tajam. Masih lagi tidak berpuas hati dengan apa yang
berlaku. Dia masih tidak dapat mencari alasan sebenar kenapa dia dipilih sebagai
pengurus sedangkan dia rasa dia tidak membuat dengan betul tadi.
Ah, mereka pun satu, ada ke bagi ujian suruh kejutkan budak lelaki tu bangun
tidur? Tak pasal-pasal ayunya hilang dengan menghadiahkan satu tumbukan padu ke pipi
pelajar lelaki yang kurang dikenalinya itu.
“Aku tahu… dia orang tu mesti suruh kau bangunkan Nazrul.” Sofea berkata
dengan nafas tersekat-sekat kerana masih menahan gelak. “Hanya Nazrul saja yang suka
tidur dalam kumpulan mereka tu. Dia tu kalau tidur memang dah tak ingat dunia. Lagi
satu, kalau Malaysia ni kena bom pun mungkin dia takkan bangun. Pendek kata bila dia
dah tidur, tiada sesiapa pun yang dapat bangunkannya selain Rezza. Nampaknya kau juga
dah berjaya bangunkan Sleeping Handsome tu,” terang Sofea.
“Sleeping Handsome apa? Tidur macam katak puru aje aku tengok. Mulut
terbuka, siap berdengkur lagi. Lagi satu, ada ke masa aku kejutkan dia, dia minta aku
cium dia. Aku geram sangat, aku tumbuklah dia, tapi budak tu macam tiada perasaan
saja.” Nurul menarik nafas lemah. Dia teringatkan Nazrul yang menggeliat malas
membetulkan otot-ototnya dan menggosok pipinya seperti tiada apa-apa yang berlaku.
“Kalau dia dah tidur, dia takkan sedar apa yang berlaku di sekelilingnya. Bom
meletup di sebelah dia pun dia gerenti takkan sedar punya. Dia tu memang kuat tidur, tapi
yang peliknya dalam kuat tidur, pelajarannya okey. Mungkin dia tu jenis yang genius.
Nazrul tu okey. Jangan risau, dia bukan jenis yang suka membuli. Tapi, aku rasa kau
tetap akan kena buli.”
“Hah! Beranilah dia orang nak buli aku. Aku buli dia orang tu balik. Nanti aku
letak ubat julap kat minuman dia orang baru tahu!” ujar Nurul tidak mahu mengaku
kalah.
Sofea di sebelahnya sekadar tersengih-sengih.
“Ni kau punya pasallah. Datangkan bala yang tak dijemput. Tak pasal-pasal aku
kena jadi pengurus dia orang pula.”
“Kalau kau tak suka, lepas beberapa bulan kau letaklah jawatan,” jawab Sofea
senang.
“Sofea, aku ni memanglah kejam, tapi aku tak suka buat kerja separuh jalan.
Kalau tak, aku dah letak jawatan tadi. Tapi aku tak mahu buat kerja separuh jalan. Aku
dah dapat jawatan ni dan aku kena berusaha walaupun aku suka ataupun tidak. Aku tak
mahu dianggap sebagai pengecut. Walaupun aku tak minat dengan bola sepak, aku tak
minat dengan AJK kelab yang gila tu, tapi aku tetap nak teruskan sebab…” Kata-kata
Nurul tidak disudahkan. Tiba-tiba dia teringatkan wajah Fiq sedang tersenyum
memandangnya.
“Sebab…?” tanya Sofea.
Nurul tersentak. “Sebab… Anggaplah aku nak cari orang yang selamatkan aku
tu,” jawabnya selamba. Dalam hati, dia hampir menjerit sebab tidak terkantoi dengan
Sofea bahawa dia sedang tangkap lentuk dengan Fiq.
“Pelik. Bukan ke kau tak teringin nak cari orang tu?” Sofea menggaru dagunya
ala-ala orang sedang berfikir. Ada sesuatu yang tidak kena dengan kawannya itu.
“Memanglah! Kalau aku tak cari kau akan paksa aku cari jugak. Lebih baik aku
cari sampai dapat, lepas tu dunia aku akan kembali aman seperti biasa,” jawab Nurul
menjeling tajam.
Sofea di sebelahnya tersengih-sengih menahan tawa. Kalau Nurul sudah bercakap
memang tiada tapisan langsung. Nasib baiklah dia sudah kenal Nurul sejak dua tahun
yang lalu. Bagi sesiapa yang baru kenal Nurul mungkin tidak akan tahan dengan perangai
Nurul yang terlampau berterus terang. Kalau Nurul tidak suka, memang Nurul akan
cakap tidak suka. Kalau seseorang itu membosankan, Nurul juga akan cakap begitu.
Mungkin sebab itulah di sekolah Nurul tidak ramai kawan. Nasib baiklah dia sanggup
berkawan dengan Nurul. Baginya, dia lebih suka berkawan dengan orang yang berterus-
terang tanpa berselindung daripada berkawan dengan orang yang suka bercakap bukan-
bukan di belakang.
“Masa temu duga tu kau dapat cam tak siapa selamatkan kau?” tanya Sofea.
“Seorang pun aku tak dapat cam sebab aku tak nampak wajah lelaki yang
selamatkan aku tu. Yang aku nampak jaket rasmi saja dan kat sana tadi semua pakai jaket
rasmi kecuali budak yang aku tumbuk tu. Dia saja yang pakai jaket putih. Ada lagi yang
tak hadir petang tu sebab ada hal lain. Mungkin esok aku akan jumpa semua pemain
rasmi sebab ada mesyuarat penting,” terang Nurul.
“Mungkin selepas ini hidup kau akan bertambah sibuk. Tak dapatlah kita pergi
dating.”
“Kau datinglah dengan boyfriend kau tu.”
“Kau ni pun satu, bila masa aku ada boyfriend? Tapi, aku berharap sangat kau
kenalkan seseorang daripada ahli rasmi tu kat aku.” Sofea mengangkat keningnya sambil
tersenyum bermakna.
“Gatal!”
“Memanglah aku gatal. Gatal nak ada boyfriend. Aku tengok semua kawan-kawan
kita kat kelas tu dah ada balak. Aku ni kayu balak pun tiada. Aku tak nak kena gosip
dengan kau sebagai girlfriend kau sebab asyik bersama kau aje.”
“Gila! Tapi… aku rasa ada seorang yang sesuai dengan kau,” ujar Nurul.
Serta-merta mata Sofea bercahaya.
“Nazrul. Dia tu sesuai dengan kau.”
“Kalau si Nazrul tu baik tak payah. Orang macam dia tu berlambak kat Pasar
Selayang. Dahlah asyik tidur 24 jam. Nanti masa pergi dating, bukannya dating… dia
tidur lagi adalah.”
Kali ini Nurul pula ketawa terbahak-bahak. Tidak dapat dia bayangkan Sofea
pergi dating dengan Nazrul.
4
SEBAIK sahaja jam di tangan menunjukkan jam 2.00 petang, Nurul yang baru sahaja
menunaikan solat zuhur di surau sekolah bergegas ke bilik yang memang disediakan khas
untuk ahli-ahli Kelab Bola Sepak berkumpul. Selalunya bilik yang terletak di sebelah
bilik yang menyimpan peralatan sukan itu, dijadikan markas pemain-pemain bola sepak
untuk bermesyuarat dan tempat beristirahat selepas tamat latihan di padang.
Pintu bilik telah pun terbuka luas sebaik sahaja Nurul tiba di hadapan pintu. Dia
menjenguk ke dalam. Sunyi. Hanya bunyi kipas berpusing sahaja kedengaran. Pelik.
Tiada seseorang pun di dalam. Dilihat jam tangannya. Seingatnya mesyuarat akan
bermula jam 2.00 petang, tapi tiada seorang pun di dalam. Atau, dia yang tersilap.
“Cari siapa?”
Sapaan seseorang di belakang membuatkan Nurul terkejut. Pantas dia
memalingkan kepalanya.
Nazrul! Hatinya menjerit apabila mendapati lelaki yang menegurnya tadi adalah
Nazrul. Teringat pula kejadian semalam. Kejadian yang amat memalukan dirinya
sehingga dia hilang keayuan. Depan jejaka handsome pula tu.
“Dia Nurul. Mulai hari ini dia akan menjadi pengurus Kelab Bola Sepak,” ujar
Fiq menghampiri mereka berdua.
Fiq menghadiahkan senyuman kepada Nurul membuatkan Nurul hampir hilang
imbangan. Panahan asmara daripada lelaki yang kacak seperti Fiq, masakan dia tak gila
bayang.
“Oh…” Nazrul mengangguk faham.
Mereka bertiga kemudiannya melangkah masuk ke dalam bilik tersebut. Dari tadi
Nurul asyik memerhati keadaan sekeliling bilik. Bilik tersebut hanya mempunyai
beberapa lokar khas untuk ahli pasukan menyimpan barang, satu meja mesyuarat yang
lengkap dengan beberapa kerusi platik dan sebuah sofa yang nampak uzur. Di sekeliling
dinding yang dicat warna putih itu pula tertampal beberapa poster bola sepak dan
gambar-gambar pemain-pemain bola sepak yang pernah mengharumkan nama sekolah.
Rasanya bagaikan mimpi sahaja dia diterima sebagai pengurus Kelab Bola Sepak
merangkap setiausaha yang diidam-idamkan oleh ramai pelajar perempuan di sekolahnya
itu.
“Duduklah dulu, yang lain tu biasalah. Janji Melayu. Kalau kata mesyuarat jam
2.00 petang, mereka akan datang setengah jam lewat. Sebenarnya mesyuarat akan mula
2.30 petang,” kata Fiq selepas mencapai beberapa buah fail dari dalam lokarnya.
Tanpa bercakap banyak Nurul berlalu duduk. Dia sempat menjeling ke muka
pintu. Kelibat Rezza kelihatan berbual dengan Nazrul di hadapan pintu. Nazrul dan Rezza
memang merupakan sahabat baik. Mereka berdua tidak pernah kelihatan bergaduh atau
bermasam muka. Tapi, jika dibandingkan antara mereka berdua, nama Rezza lagi popular
berbanding Nazrul. Mungkin ramai yang tidak suka dengan perangai Nazrul yang asyik
tidur dan ponteng kelas semata-mata hendak tidur.
Tapi, apa yang dia tidak faham, pihak sekolah seolah-olah menutup mata sahaja
apa yang dilakukan oleh Nazrul. Jika pelajar lain, pasti surat amaran telah diberikan atau
digantung sekolah. Tapi, dalam kes Nazrul tiada tindakan pun yang diambil oleh pihak
sekolah.
“Sebelum kami memilih seorang untuk uruskan kelab ni, Rezza suruh aku
kumpulkan maklumat tentang kelab ni dan maklumat berkenaan bola sepak. Semuanya
ada di sini.” Fiq menghulur sebuah fail ABBA kepada Nurul.
“Sebelum ni kelab ni diuruskan oleh siapa?” tanya Nurul. Pelik juga apabila tiba-
tiba mereka ingin mencari seorang pengurus.
“Oleh AJK kelab. Sebelum ni AJK yang handle semuanya, tapi memandangkan
AJK kelab kebanyakannya pelajar tingkatan lima dan akan menghadapi peperiksaan
SPM, aktiviti kami dihadkan. Kami ada juga AJK tingkatan empat dan ke bawah, tapi
setelah berbincang kami buat keputusan untuk wujudkan satu jawatan pengurus
merangkap setiausaha kelab sebab tugas ni agak berat. Kami memang pandang serius
dengan orang yang kami pilih apatah lagi yang datang untuk temu duga semalam
semuanya perempuan.” Fiq mengeluh.
“Ada juga lelaki yang datang,” kata Nurul.
Mereka berdua ketawa kelucuan apabila teringat kembali mat-mat sotong yang
turut menghadiri temu duga tersebut.
“Tapi, apa yang aku tak faham, kenapa pilih aku? Kenapa aku perlu kejutkan
Nazrul bangun tidur?”
“Ahli kami ada pelbagai ragam yang tak diketahui oleh orang lain. Semalam tu,
baru Nazrul buat hal. Kau belum lagi berjumpa dengan pemain yang lain. Yang banyak
ragam dan banyak timbulkan masalah. Dalam banyak-banyak masalah, bangunkan
Nazrul daripada tidur adalah tugas yang lebih mencabar.” Fiq melemparkan pandangan
ke luar melihat Nazrul dan Rezza sedang berbincang sesuatu.
Nampaknya tugas aku macam kena bangunkan Putera Katak bangun saja, desis
hati Nurul sambil menjeling Rezza yang masih rancak berbual bersama Nazrul di luar.
BILIK tersebut meriah dengan kedatangan beberapa AJK kelab yang lain sampai. Riuh-
rendah juga jadinya dengan kedatangan mereka. Rata-rata mereka memang Nurul kenali.
Mana tidaknya, kebanyakan ahli rasmi bola sepak memang popular di sekolah. Putera
idamanlah katakan.
Sementara menunggu kedatangan Cikgu Majid selaku guru penasihat Kelab Bola
Sepak sekolah dan tanpa mempedulikan kemeriahan pemain-pemain bola sepak yang
seperti budak-budak tidak cukup umur bermain, Nurul membuka fail yang diberikan oleh
Fiq kepadanya tadi.
Terdapat sebelas orang pemain rasmi yang dipilih untuk mewakili sekolah dalam
perlawanan bola sepak dan mereka ini juga memegang jawatan penting dalam Kelab Bola
Sepak. Rezza diberi mandat untuk menentukan hala tuju kelab dengan dilantik sebagai
pengerusi Kelab Bola Sepak. Naib pengerusi pula adalah Fiq. Manakala setiausaha kelab
dipegang oleh Khairul Najmi. Ridzwan selaku bendahari kelab.
Manakala baki tujuh orang yang selebihnya dilantik sebagai ahli jawatankuasa
kecil kelab. Mereka adalah Zul Hilmi, Hayrul Azriq, Mohd Zaki, Zaimi Ahmad, Farizat
Hamdan, Adnan Yazir dan Nazrul. Kebanyakkan mereka ini bukan calang-calang pelajar.
Ada antara mereka pernah menerima pelajar cemerlang dan pernah mengharumkan nama
sekolah dalam setiap pertandingan yang mereka sertai. Mungkin sebab itulah ramai
pelajar perempuan menganggap kesemua ahli bola sepak sebagai putera idaman mereka.
Aku tak fahamlah, apa yang best sangat pasal bola sepak ni? Dalam diam Nurul
mengeluh. Dia tidak tahu berapa lamakah dia boleh bertahan dengan mereka semua.
Kalau mengikut kehendak hati hendak saja dia menyerah kalah. Tapi, bila difikirkan
tentang Fiq pula, hatinya berat untuk melangkah.
Gila betullah. Memang susah betul kalau aku dah jatuh hati dengan seseorang!
desis Nurul sempat mencuri pandang ke arah Fiq yang sedang membalas mesej. Memang
dia mengakui, dia mudah jatuh cinta apabila berjumpa dengan lelaki kacak seperti Fiq
dan sebab itulah selama ini dia melancarkan peperangan dengan Carta Prince Charming.
Dia takut sejarah yang sama berulang kembali. Betapa peritnya apabila cintanya ditolak
seseorang semasa menuntut di sekolah lama.
Tapi semalam, sebaik sahaja terpandang wajah Fiq, dia hilang pertimbangan. Dia
lupa bahawa dia benci dengan sukan bola sepak. Dia masih berkeras mahu menerima
tawaran yang diberikan asalkan dia dapat melihat Fiq dari dekat.
Tidak beberapa lama kemudian, Rezza dan Nazrul yang rancak berbual di luar
tadi melangkah masuk ke dalam dan diikuti dengan Cikgu Majid selaku penasihat Kelab
Bola Sepak.
Cikgu Majid yang pernah mengajar Nurul mata pelajaran Sains sewaktu di
tingkatan tiga pada tahun lepas menghadiahkan senyuman kepadanya tanda masih lagi
mengingatinya. Nurul membalasnya semula.
“Baiklah, terima kasih kerana dapat hadir ke mesyuarat kali ini. Mesyuarat kali ini
adalah bertujuan untuk memaklumkan perlantikan Nurul Izzati sebagai pengurus
merangkap penolong setiausaha Kelab Bola Sepak. Harap Nurul Izzati dapat membantu
menyudahi kerja-kerja Najmi yang tertunggak,” ujar Cikgu Majid sambil memandang
Najmi yang sudah tersengih.
“Patutlah dia sokong sangat nak wujudkan jawatan pengurus dan penolong
setiausaha. Malah, membukanya pada kaum perempuan,” ujar Zaki sambil menjeling
tajam.
“Rupa-rupanya ada udang di sebalik batu,” sambung Ridzwan.
Najmi masih lagi tersengih.
“Kalau macam tu aku pun nak wujudkan jawatan penolong bendahari jugalah.
Terbuka khas untuk pelajar-pelajar perempuan.”
“Kalau kau nak datangkan bala yang tak dijemput lagi, teruskanlah dengan niat
kau tu,” balas Rezza pula. Bilik itu gamat dengan gelak ketawa mereka.
“Kenapa kau pilih perempuan pula untuk jawatan ni?” tanya Hayrul yang sejak
tadi asyik mendiamkan diri. Selain berbakat dalam bola sepak, Hayrul juga merupakan
ketua pengawas. Orangnya memang tegas dan jarang nampak dia tersenyum. Mungkin
sebab itulah ramai orang yang gerun dengan Hayrul.
“Hampir 90 peratus yang datang temu duga semalam adalah perempuan dan
sepuluh peratus lagi adalah lelaki spesies sotong. Kalau kau yang berada di situ, adakah
kau nak pilih Encik Sotong atau perempuan tulen?” balas Rezza menjawab pertanyaan
Hayrul.
“Tak mengapalah. Apa salahnya kalau kita beri peluang pada kaum perempuan
untuk menyertai Kelab Bola Sepak. Lagipun bola sepak bukan untuk lelaki, malah ada
juga pasukan bola sepak perempuan. Jika boleh memang saya nak wujudkan satu Kelab
Bola Sepak perempuan, tapi bukan senang nak lakukannya. Saya percaya, Rezza pilih
orang yang betul untuk pasukan ini. Lagipun saya memang sudah agak pasti kebanyakan
yang datang temu duga itu adalah perempuan.” Cikgu Majid sekali lagi menjeling tajam
ke arah Najmi yang mengangguk-angguk.
“Ya! Betul tu! Aku tak nak Kelab Bola Sepak ni dianggap kelab gay sekolah.
Kadangkala bosanlah asyik dikelilingi lelaki saja. Kalau ada perempuan cantik macam
Nurul ni, mesti kita bersemangat lagi nak berlatih. Kan, Nurul?” Najmi mengenyit
sebelah matanya.
Aku sepak juga jantan miang ni, bentak Nurul geram. Terasa satu mukanya panas
sebaik sahaja Najmi menghadiahkan kenyitan mata yang menggoda. Buat malu saja!
“Yang bersemangat tu kau seorang saja,” sindir Farizat yang hanya mampu
menggeleng kepala.
“Baiklah, kita selesaikan perkara ini sampai di sini saja. Keputusan muktamad.
Nurul Izzati akan menyertai Kelab Bola Sepak. Saya mahu Rezza dan Fiq tolong bantu
Nurul. Nazrul... tolong jangan tidur lagi,” ujar Cikgu Majid sempat memberi amaran
kepada Nazrul yang sudah berbantalkan lengan. Serentak dengan itu kedengaran
dengkuran kuat daripada Nazrul. Cikgu Majid hanya mampu menggeleng.
Kesemua mereka dilihat cuba menyembunyikan tawa mereka sebaik sahaja
dengkuran Nazrul kedengaran. Cikgu Majid menggaru-garu kepalanya yang sudah
ditumbuhi rambut-rambut putih. Nurul pula, berasa dia berada di dunia yang asing.
Bagaimana Cikgu Majid yang dikenali seorang yang tegas boleh menggeleng saja apabila
Nazrul tidur sewaktu mesyuarat berlangsung. Itu namanya tidak hormat mesyuarat.
“Baiklah agenda seterusnya…” Tanpa mempedulikan Nazrul yang masih lagi
berdengkur, Cikgu Majid meneruskan mesyuarat. “Disebabkan ramai antara pemain akan
menghadapi peperiksaan SPM dan PMR tahun ini, saya telah buat beberapa rancangan
untuk kelab ini. Aktiviti padang dan latihan intensif akan berjalan seperti biasa untuk
semua ahli rasmi, manakala bagi pertandingan pula, ahli rasmi hanya akan terlibat dalam
satu pertandingan sahaja iaitu Kejohanan Bola Sepak Peringkat Sekolah-Sekolah yang
akan diadakan pertengahan tahun ini.
“Rezza, saya mahu awak wujudkan satu pasukan lagi yang akan menjadi pelapis
Kelab Bola Sepak. Saya tak mahu tahun depan, bila awak dah tinggalkan sekolah ini, ada
yang berebut-rebut nak menjadi ahli rasmi,” arah Cikgu Majid.
Rezza hanya sekadar mengangguk.
“Mengenai kejohanan yang akan berlansung nanti, apa yang telah dimaklumkan
bahawa kita akan menerima kunjungan daripada pasukan Haji Mansur,” ujar Cikgu Majid
sambil mengeluh memandang Nazrul yang masih lagi berdengkur.
“Haji Mansur?” Zul Hilmi bertanya kembali.
“Kelab Bola Sepak kawasan kampung ke?” tanya Adnan pula.
“Kawasan kampung?” Zaimi terbayangkan orang-orang tua yang akan menjadi
lawan mereka nanti.
“Kenapa aku rasa aku tak pernah dengar pun pasukan tu? Tu sekolah ke?” tanya
Zaki pula sambil menggaru kepala.
“Sekolah baru. Baru saja dua tahun lepas beroperasi. Mereka pernah menyertai
kejohanan yang sama tahun lepas, tapi terkandas di perlawanan separuh akhir.” Nazrul
tiba-tiba bersuara dan bangun dari tidurnya yang nyenyak. Terkejut Nurul dibuatnya.
Ingatkan lelaki itu tidur sehingga tidak ingat dunia. Rupa-rupanya masih belum
tinggalkan dunia ni.
“Aku rasa kau orang pun tahu pasal pasukan ni.” Nazrul memeluk tubuh.
“Pasukan yang perasan dia orang charming tu?” teka Farizat.
Nazrul hanya sekadar mengangguk.
“Sekolah Semarak?” tanya Rezza untuk mendapat kepastian lagi.
Angguk.
Masing-masing menarik nafas lemah.
“Tapi, kenapa nama pasukan Haji Mansur pula?” tanya Adnan.
Nazrul tidak segera menjawab, sebaliknya memandang Nurul yang tidak jauh
daripadanya. “Aku lupa nama sekolah tu, tapi aku ingat nama pengetua sekolah tu Haji
Mansur. Sebab nak cepat aku beritahulah Cikgu Majid nama pasukan tu Haji Mansur,”
balas Nazrul selamba.
Masing-masing mengeluh lemah. Nazrul memang benar-benar buat orang lain
hilang akal. Ingatkan jawatankuasa kampung manalah yang hendak berlawan dengan
mereka di padang.
“Nama pengetua dia kau ingat, tapi nama sekolah kau tak ingat…” Zul sekadar
menggeleng.
Begitu juga dengan Cikgu Majid yang sudah penat otaknya berfikir siapakah
gerangan di sebalik pasukan Haji Mansur. Nazrul memang benar-benar mencabar
otaknya berfikir sehingga dia sendiri tidak mendapat klu. Tapi, dia tetap memang
memandang tinggi dengan Nazrul. Baginya, biarpun Nazrul suka tidur, tapi apa yang
ditugaskan kepada Nazrul dibuat dengan lancar dan sempurna.
Nazrul sekadar tersengih.
“Kalau dia orang nak lawan kita, memang masalah,” ujar Najmi.
“Memang masalah pun,” ujar Nazrul sambil kembali berbantalkan lengan.
MESYUARAT habis sejam selepas itu. Bilik yang Kelab Bola Sepak meriah tadi
kembali sunyi. Beberapa ahli rasmi sudah pulang ke rumah dan ada juga antara mereka
yang sudah pergi melepak di kedai kopi yang terletak berhampiran sekolah mereka.
Nurul masih lagi tekun membaca fail yang diberikan oleh Fiq tadi. Sesekali dia
memuji tulisan Fiq yang kemas dan teratur. Tidaklah seperti sesetengah tulisan pelajar
lelaki yang macam cakar ayam yang baru pandai mencakar.
Rezza sedang berbincang sesuatu dengan Cikgu Majid. Dia tidak dapat
mendengar perbualan mereka walaupun jarak antara dia dengan mereka berdua hanya
beberapa meter sahaja jauhnya. Dia cuba membesarkan telinga sebaik sahaja dia
mendengar namanya disebut-sebut.
“Nurul perlu tahu,” kata Cikgu Majid dengan wajah yang serius.
“Terlampau awal. Saya tak yakin…” Rezza menggeleng.
“Awak pilih dia, jadi awak mesti ada keyakinan. Kalau tidak, awak tak akan pilih
dia. Lagipun sejak dari hari tu lagi saya dah cakap pasal benda ni. Kalau nak lantik
pengurus di kalangan pelajar untuk kelab ni, awak mesti bersedia dengan semua ni,” kata
Cikgu Majid lagi.
“Saya tahu, tapi benda ni susah sikit,” balas Rezza sambil menggaru dahinya.
Sesekali dia menjeling Nurul yang tidak jauh daripadanya.
“Maksud awak?”
“Nazrul. Saya tak yakin yang Nazrul akan benarkan,” kata Rezza lagi sambil
menjeling Nazrul yang masih lagi berdengkur dengan kuat. “Cikgu sendiri pun tahu kan
dia memang fobia kalau orang lain dapat tahu yang dia tu…” Kata-katanya terhenti.
Bukannya dia tidak sanggup untuk teruskan kata-katanya, tapi dia sendiri sudah berjanji
dengan Nazrul bahawa tidak akan menyebutnya walaupun orang itu tahu tentang perkara
itu.
“Jadi, awak nak biarkan saja?” tanya Cikgu Majid.
“Dia cakap, dia boleh kontrol,” ujar Rezza.
“Baiklah, tapi saya nak tanya awak sesuatu. Berapa lama awak semua boleh
bertahan?” soal Cikgu Majid beralah.
Rezza menghela nafas panjang sebaik sahaja Cikgu Majid hilang dari
pandangannya.
Nurul yang berpura-pura asyik memandang fail di hadapannya masih berlagak
seperti dia tidak wujud di situ. Tapi, hatinya sudah pun menyenaraikan soalan-soalan
mengenai perbualan yang dicuri dengar tadi.
Dia menjeling Nazrul yang masih lagi berdengkur. Kalau diikutkan hati, hendak
sahaja dia letakkan bom di dalam mulut Nazrul yang mengganggu ketenteramannya.
Fiq pula sedang asyik mengemas lokarnya yang disediakan oleh pihak sekolah
untuk ahli-ahli rasmi menyimpan barangan mereka.
“Wei, jom pergi makan. Aku laparlah. Dari pagi lagi aku tak makan.”
“Okey, tapi siapa yang tanggung ni?” tanya Farizat yang dari tadi sedang
menyusun buku-bukunya ke dalam lokar.
“Tanggung diri sendirilah.” Rezza berkata selamba sambil menghampiri Nazrul.
“Wei, bangun. Jom pergi makan.”
Serentak itu, Nazrul terus mengangkat kepala.
Nurul yang melihatnya sedikit rasa pelik. Dia ada dengar daripada Sofea yang
mengatakan hanya Rezza sahaja yang mampu mengejutkan Nazrul bangun daripada tidur
yang lena. Tapi, dia masih lagi tidak percaya. Mustahil Nazrul tidur tidak ingat dunia dan
mustahil juga tiada sesiapa pun yang dapat kejutkannya bangun.
“Makan? Jom, jom!” Bergegas Nazrul mencapai beg sekolahnya.
“Nak join sekali?” tanya Rezza kepada Nurul.
“Err… tak mengapa. Aku dah kenyang,” balas Nurul.
“Wei, Rezza, cepatlah!” jerit Nazrul yang sudah tidak sabar-sabar.
“Fiq,” sapa Rezza memberi isyarat.
“Kau gerak dulu. Nanti aku datang,” balas Fiq.
“Okey.”
Mereka bertiga berlalu pergi. Kini, hanya tinggal Fiq dan Nurul sahaja di dalam
bilik itu. Nurul yang berasa janggal dengan situasi tersebut terus mengemas barang-
barangnya. Dia mahu keluar secepat mungkin dari situ. Nanti entah apa pula gosip yang
melanda dirinya. Berdua-duaan dengan Fiq di dalam bilik? Memang ngeri!
“Aku balik dulu,” ujar Nurul yang sudah siap mengemas barang-barangnya. “Fail
ni aku pinjam untuk buat rujukan.” Dia mula melangkah keluar.
“Tunggu!”
Langkah Nurul terhenti apabila Fiq bersuara. Lantas Fiq menutup lokarnya dan
mencapai beg sekolahnya. Pintu bilik dikunci dan dimanggakan sekali.
“Kenapa?” tanya Nurul.
“Pasal apa yang dibincangkan tadi tu, ada apa-apa yang kau tak faham?” tanya
Fiq sambil berjalan seiringan dengan Nurul.
“Bolehlah, tapi aku masih tak faham lagi dengan nama sekolah tu.”
“Dah agak dah.” Fiq tersenyum. Sekolah Haji Mansur tu sebenarnya Sekolah
Menengah Semarak. Ni semua Nazrul punya pasallah. Nama pengetua dia ingat, tapi
nama sekolah dia lupa.” Fiq sekadar menggeleng.
Nurul masih lagi kurang faham.
“Oh, lupa nak beritahu, sebenarnya tugas Nazrul adalah mencari maklumat
tentang pasukan lawan termasuklah menguruskan jadual perlawanan. Cikgu Majid dah
serahkan tugas ini kepada Nazrul. Dia juga orang penting dalam kelab ni. Bagi sekolah-
sekolah yang ingin adakan perlawanan persahabatan dengan sekolah kita juga mesti
melalui Nazrul terlebih dahulu dan Nazrul juga yang akan pastikan sama ada ingin terima
sesuatu perlawanan atau tidak,” terang Fiq.
Kali ini Nurul mengangguk faham. “Tentang sekolah tu aku ada dengar…”
“Dengar apa?”
“Tentang pelajar-pelajar lelaki mereka. Dia orang tu kira charminglah,” ujar
Nurul lagi.
Fiq di sebelah Nurul mengangguk setuju.
“Tapi, kenapa kau orang semua kata mereka tu bermasalah?”
“Sebenarnya…” Fiq menghela nafas lemah dan kemudian menggeleng. “Anggap
sajalah benda ni hal orang lelaki.”
Nurul sekadar mengangguk faham. Kalau hal orang lelaki sudah semestinya
perempuan tidak boleh masuk campur atau dengan kata lain, walaupun dia memaksa Fiq
bercakap, Fiq tetap tidak akan bercakap tentangnya. Jadi, lebih baik dia lupakan tentang
hal-hal orang lelaki.
“Jadi, kau nak join kami semua?” tanya Fiq.
Geleng.
“Kalau macam tu, aku pergi dulu. Jumpa esok.”
“Jumpa esok…” balas Nurul sebelum Fiq mengatur langkah untuk ke kedai kopi
yang berhampiran. Kelihatan dari jauh, Rezza dan rakan-rakan yang lain melambai-
lambai ke arah mereka.
Jam di tangan dilihat, tepat jam 4.30 petang. Nurul segera mengatur langkah ke
bahu jalan. Memerhati kiri dan kanan jalan untuk melintas. Kali ini dia perlu berhati-hati
supaya kejadian tempoh hari tidak berulang lagi. Selepas mendapati semuanya selamat,
dia segera mengorak langkah melintas jalan raya.
Tiba-tiba…
“Nurul!”
Jeritan Rezza dari warung kopi mengejutkan Nurul yang sedang melintas jalan.
Apabila dia berpaling, dia dapat melihat sebuah kereta sedang meluncur laju
menghampirinya.
Matilah… itu sahaja yang difikir Nurul ketika itu. Mungkin kali ini dia tidak
dapat lari lagi. Tiada sesiapa yang akan menyelamatkannya. Dan, mungkin di sini
sahajalah perjalanan hidupnya.
Tiba-tiba tubuhnya di tarik ke tepi. Sedar-sedar sahaja di dalam dakapan
seseorang. Nurul kaget sebentar. Dia cuba bernafas dengan betul walaupun payah.
Nafasnya turun naik dengan laju. Tidak percaya dia terselamat buat kali kedua.
“Kau tak apa-apa?” suara Fiq mengejutkannya.
Pantas dia memandang Fiq di hadapannya.
Prince Charming, hati Nurul bersuara.
5
“SO sweet…” Sofea separuh menjerit di kamar tidurnya sebaik sahaja Nurul
menceritakan kejadian petang tadi.
Mana boleh Nurul tidak bercerita pada Sofea. Sofea seperti ahli nujum, tahu
sahaja dia mesti ada cerita-cerita terkini yang perlu dikongsi bersama. Dia pula
sememangnya tidak boleh menahan dirinya daripada menceritakan segalanya kepada
Sofea. Mungkin dia dilahirkan untuk bercerita tentang dirinya kepada Sofea agaknya.
“Sweet apa kebendanya! Aku hampir hilang nyawa nak kena langgar, kau boleh
kata sweet? Atau, kau memang bercita-cita kereta tu bercium dengan aku?” balas Nurul
mencebik. Punyalah bersemangat dia bercerita tentang kejadian hampir kena langgar
siang tadi, alih-alih Sofea seperti suka pula dia kena langgar.
“Sweet tu aku tujukan kepada Fiq yang selamatkan kaulah! Lupakan tentang
kereta yang hampir tercium kau tu. Tapi, walau bagaimanapun kau tetap kena berterima
kasih dengan pemandu kereta tu sebab kalau tak kerana dia, mungkin kau takkan
mengalami bagaimana rasanya jadi heroin dalam cerita cinta.”
Sofea sudah mula merepek tidak tentu pasal.
“Kau memang nak aku bercium dengan kereta tu, kan? Cakap sajalah!” Nurul
menjeling tajam.
Tapi, ada benar juga cakap Sofea tadi, mungkin dia patut berterima kasih dengan
pemandu kereta yang hampir melanggarnya siang tadi. Kalau tidak kerana kecuaian
pemandu itu, mungkin dia tidak akan mengalami satu perasaan yang sangat indah. Tapi…
dia hanya akan lakukan apabila dia tidak normal. Sekarang, dia normal! Jadi, mesti
menjadi senormal yang mungkin.
“Relakslah… Kau tahu tak, ramai perempuan sekolah kita tu tergila-gilakan Fiq.
Ada yang nak bercakap dengan Fiq pun payah, apatah lagi nak berjalan berdua-duaan
dengan Fiq atau bersentuh tangan dengan Fiq. Tapi, kau dengan mudah saja boleh buat
semua tu dalam sekelip mata,” kata Sofea lagi cuba mengagung-agungkan Fiq.
Nurul tahu semuanya. Dia juga tahu Fiq jenis yang sukar ditangkap. Orangnya
memang kacak dan mempunyai pakej yang lengkap untuk dijadikan pasangan setiap
perempuan. Tapi, dia tidak menggunakan semua itu untuk berfoya-foya dengan
perempuan seperti yang dilakukan oleh kebanyakan lelaki di sekolahnya. Malah, selama
dia bersekolah di situ, dia memang tidak pernah mendengar desas-desus Fiq dengan
mana-mana perempuan kecuali pelajar-pelajar yang gedik mengaku bahawa Fiq adalah
teman lelakinya dengan alasan, Fiq rapat dengan mereka.
Pada masa itu dia memang tidak ambil pusing dengan segala yang terjadi di
sekolah. Baginya, gosip-gosip cinta hanyalah membuang masa sahaja. Waktu sekolah
begini sepatutnya menimba ilmu dan mencipta kenangan manis untuk memori masa
depan. Nanti, asyik sibuk bercinta, pelajaran ke mana, kenangan manis untuk dicipta
hilang macam itu sahaja.
“Kalaulah aku ada masa tu, mesti aku cemburu gila!” kata Sofea lagi dengan mata
yang bersinar-sinar.
“Tak payahlah kau nak cemburu dengan aku yang semestinya tiada apa-apa
hubungan dengan Fiq.”
“Aku terfikirlah… Aku rasa aku patut koyak Carta Prince Charming tu!”
“Sofea, berapa kali aku cakap, apa yang berlaku ni tak ada kena-mengena dengan
Carta Prince Charming atau sumpahan puteri yang mengarut tu. Semua ni nasib saja.
Allah dah tentukan nasib kita, bukannya Carta Prince Charming tu,” tegas Nurul.
Mungkin dia patut bakar Carta Prince Charming itu lain kali.
“Yalah tapi cubalah kau fikir, semua ni bermula selepas kau koyak Carta Prince
Charming tu. Kalau kau tak koyak, aku rasa hidup kau aman damai agaknya.”
“Sofea, cubalah kau fikir… semua ni bermula selepas kau pandai-pandai letak
nama aku dalam senarai yang perlu hadiri temu duga untuk jawatan pengurus Kelab Bola
Sepak. Dah lupa?” Nurul menjeling tajam.
Sofea tersenyum meleret.
“Kira kau kena ucapkan terima kasih pada akulah ya sebab aku melakonkan
watak pembantu dengan berkesan sekali. Dan, sebagai balasannya, kenalkan aku pada
Rezza atau Fiq,” ujar Sofea dengan senyuman yang dibuat-buat.
“Ah, barulah aku tahu kenapa kau beria-ia sangat letak nama aku sebagai calon
jawatan tu. Rupanya ada udang di sebalik batu. Maaf, sayang, aku takkan sesekali tolong
kau dalam hal ini. Kalau kau nak berkenalan dengan dia orang berdua, gunakan sihir
cinta kau sendiri.”
“Cis, tak mengapa. Kau ingat pelakon pembantu tak diberi perhatian ke? Suatu
hari nanti aku akan pastikan Rezza atau Fiq berada dalam genggaman aku.”
“Mungkin aku patut bagi warning pada mereka berdua!”
“NURUL, kan?” tegur seorang pelajar senior.
Nurul mengangguk tanpa teragak-agak. Memang dalam kelasnya, hanya dia
sahaja yang bernama Nurul. Tapi pelik juga, awal-awal pagi lagi dia dikejutkan dengan
kedatangan seorang pelajar perempuan senior yang hanya dikenalinya dengan nama Kak
Aiza.
“Kenapa?” tanya Nurul hairan. Mana tidaknya, kalau ketua pengawas perempuan
sudah mencarinya, pasti ada kesilapan yang sudah dia lakukan, tapi apa? Seingatnya,
selama dia bersekolah di situ, dia tidak pernah melakukan kerja-kerja keganasan yang
merosakkan harta benda awam atau mengores hati orang awam, terutamanya melanggar
peraturan sekolah. Oh, lupa… Ada! Carta Prince Charming!
Tapi, takkanlah perbuatannya yang mengoyak Carta Prince Charming, dia akan
dikenakan tindakan tatatertib? Gila apa? Mana ada undang-undang macam tu. Dalam
buku undang-undang sekolah pun tiada tercatit satu pun tentang Carta Prince Charming.
“Akak nak minta tolong sangat-sangat ni,” kata Kak Aiza seperti cacing
kepanasan.
Dengar saja Kak Aiza ingin meminta tolong, Nurul berasa lega. Namun, perasaan
itu hanya singgah sebentar sahaja sebab dia mula terfikir pertolongan yang bukan-bukan.
Contohnya, tolong minta maaf dengan peminat-peminat Carta Prince Charming secara
terbuka sebab mereka sedang melancarkan mogok besar-besaran. Ah, ada ke?
“Tolong apa?” tanya Nurul malas hendak fikir yang selanjutnya.
“Akak nak minta tolong sangat-sangat. Akak tak tahu nak buat macam mana lagi
dah ni. Dah bermacam-macam cara dah kami lakukan, tapi tak berjaya juga.”
Nurul menggaru kepala walaupun dia memakai tudung. Entah apa kena dengan
ketua pengawas perempuan ni yang tiba-tiba minta tolong dengan cara mendayu-dayu.
Seingatnya, sumbangannya dalam aktiviti sekolah memang dikatakan zero. Dan, pihak
sekolah pula tidak pernah memandangnya sebagai pelajar yang hebat.
“Nak tolong apa ni?” tanya Nurul yang tidak boleh bersabar lagi.
“Tolong kejutkan Nazrul bangun,” pantas mulut Kak Aiza berkata.
“Hah?!” Hampir terjerit Nurul mendengarnya.
LANGKAH Nurul pantas mengekori langkah Kak Aiza. Jari-jemarinya diletup-letupkan
sambil cuba menahan marah. Kalaulah tidak kerana Kak Aiza yang merayu-rayu tadi,
memang dia tidak akan berganjak.
“Tolonglah, Nurul, Cikgu Rosli dah mengamuk kat kelas tu. Semua benda dia dah
baling kat Nazrul, tapi dia tu macam tak ada perasaan. Kami semua pun dah puas cuba
kejutkan dia, tendang meja dia, tendang kerusi dia, tapi dia tak bangun juga. Akak pun
tak tahu macam manalah dia boleh tidur dengan lena walaupun teruk kami kerjakannya,”
ujar Kak Aiza sambil menggeleng.
“Habis tu, selama ni siapa yang kejutkan dia bangun?” tanya Nurul dalam situasi
hendak percaya atau tidak. Mana tidaknya, ada ke orang tidur macam mayat bernyawa
sampai orang hentam pun tidak bangun-bangun.
“Rezza, tapi Rezza ada kuiz pula hari ni. Cikgu Nora tak akan lepaskan Rezza
selagi waktunya belum tamat. Tahulah Cikgu Nora tu memang anti gila dengan Nazrul.
Rezza pula terpaksa ikut arahan cikgu dan dia suruh akak cari Nurul. Dia kata Nurul
mesti boleh bangunkan Nazrul.”
Oh, aku memang boleh bangunkan Putera Katak tu. Tapi, sebelum tu tolong
sediakan satu baldi besar air panas yang baru mengelegak. Hati Nurul berkata.
Dengan penjelasan Kak Aiza tadi, Nurul dengan separuh hati akhirnya bersetuju
untuk menolong mereka kejutkan Putera Katak. Bila difikir kembali, ada ke manusia
macam Nazrul dalam dunia ni?
Tiba sahaja di kelas yang dituju, jantung Nurul tiba-tiba berdegup kencang. Mana
tidaknya, apabila dia melangkah masuk, semua mata tertumpu ke arahnya.
“Ah, dapat jumpa Rezza?”
Masuk-masuk saja, Encik Rosli sudah menyapa mereka berdua dengan suara
lantang. Hampir kecut perut Nurul melihat wajah bengis Encik Rosli yang sememangnya
bengis. Lagi kecut perutnya apabila Encik Rosli memandangnya.
“Ni minah mana pula yang kamu bawa ni? Bila masa pula Rezza dah bertukar jadi
perempuan?”
Walaupun kata-kata Encik Rosli tadi agak melucukan, tapi tiada siapa pun yang
berani membuka mulut untuk ketawa. Namun bagi Nurul, ia langsung tidak lucu.
“Cikgu Nora buat kuiz sekarang, jadi Rezza tak dapat keluar kelas. Tapi, dia
suruh saya cari Nurul. Rezza kata Nurul boleh tolong kejutkan Nazrul.”
“Oh…” Encik Rosli menjeling Nurul dengan tajam. “Jadi, kamu ni teman wanita
Nazrullah?” Dengan sesedap mulut sahaja Encik Rosli berkata.
Serentak dengan itu dengar pula suara-suara sumbang yang berbisik-bisik di
belakang.
Nurul tidak berkata apa, tapi sebaliknya dia membalas apa yang dilemparkan
kepadanya tadi dengan pandangan yang tajam. Kali ini dia tidak peduli yang di
hadapannya cikgu ke, pengetua ke, Perdana Menteri ke… Apa yang penting, orang di
hadapannya itu sudah meletupkan bom jangka yang sudah lama tidak aktif. Tambah-
tambah lagi semasa dia sedang kibarkan bendara Jepun. Memang silap waktulah.
“Dah, dah... Pergi kejutkan si Nazrul tu…” Encik Rosli kelihatan cuba melarikan
diri daripada pandangan Nurul.
Dengan satu dengusan marah, Nurul melangkah pantas menghampiri Nazrul yang
masih lagi berdengkur dan tidur dengan nyenyak. Di sekitar meja Nazrul terdapat
pemadam papan putih yang mungkin dibaling oleh Encik Rosli tadi.
Dia tahu, sekarang dia sedang menjadi perhatian umum, tapi dia langsung tidak
pedulikan semua itu selagi tidak bangunkan Putera Katak itu. Entah sejak bilalah pula dia
pegang tugas sebagai dayang yang perlu bangunkan Putera Katak?
Pandangannya tajam memandang Nazrul sambil kedua-dua tangannya memeluk
tubuh. Apakah yang patut dilakukan sekarang? Hentak kepala Nazrul ke meja atau
tumbuk muka Nazrul seperti tempoh hari? Atau, cipta satu bom dan masukkan ke dalam
mulut Nazrul? Tak pun bakar rambut Nazrul? Yang manakah lagi kejam?
Tapi, kejam bukan bermaksud pada perbuatan yang kejam sahaja. Banyak lagi
caranya dan salah satu daripadanya adalah menggunakan cara yang halus. Tiba-tiba
Nurul tersenyum maut.
“Nazrul…” Dengan suara mendayu-dayu Nurul memulakan misinya mengejutkan
Putera Katak itu.
Pelajar-pelajar yang melihatnya, sedaya upaya menahan ketawa. Dia juga
mendengar bisikan mereka yang menganggap ia bukan satu rancangan yang baik dalam
mengejutkan Nazrul bangun.
Tapi, mereka salah! Dengan perlahan-lahan Nazrul kelihatan mula sedarkan diri.
Lagi mengejutkan mereka semua apabila dengan satu panggilan yang mendayu-dayu
membuatkan Nazrul bangun daripada tidur sambil menggeliat malas. Tapi, Nurul
langsung tidak terkejut dengan tersedarnya Nazrul. Sebaliknya dia meletup-letupkan jari-
jemarinya. Bersedia untuk pembalasan!
Nazrul yang membetulkan otot-otot lehernya yang lenguh itu tiba-tiba terperasan
ada satu aura membunuh di hadapannya. Dengan perlahan dia memandang ke
hadapannya. Kelihatan seorang pelajar perempuan yang dikenalinya sedang berdiri di
hadapannya sambil memandang dengan pandangan maut. Macam ahli sihir yang
kelaparan tulang manusia pun ada.
“Hah!” Seperti ada orang menyergahnya tiba-tiba sebaik sahaja dia melihat wajah
Nurul yang bengis memandangnya. Serentak dengan itu juga, kerusi yang dia duduki
entah bagaimana terjengket dan dia tersungkur jatuh.
“Aduh…” Nazrul merungut sambil mengurut kepalanya yang terhantuk meja.
Nurul pula tidak ambil pusing. Nasib baiklah dia dapat menahan perasaan
marahnya tadi, kalau tidak memang lebam mata Nazrul ditumbuknya.
“Bukannya susah sangat nak kejutkan Putera Katak tu…” kata Nurul sebelum
berlalu pergi. Ketika itu, kelas tersebut menjadi riuh. Barangkali mereka tidak percaya
Nurul boleh kejutkan Nazrul dengan hanya satu panggilan yang mendayu-dayu.
“EH, tadi aku dengar yang kau kejutkan Nazrul bangun.” Sofea yang entah datang dari
mana tiba-tiba menyapa Nurul ketika dia hendak menyuap nasi.
Hampir lemah jantung Nurul apabila disapa begitu, ditambah lagi apabila nama
Nazrul disebut-sebut. Sudahlah marahnya pada Nazrul masih belum reda lagi.
“Jahatlah kau. Sepatutnya aku sebagai kawan karib kau mesti tahu terlebih dahulu
cerita-cerita terkini dan sensasi ini dan bukannya daripada orang lain.” Sofea mencebik
bagaikan kanak-kanak yang disakat orang.
“Boleh tak tolong jangan sebut nama dia masa aku tengah makan,” ujar Nurul
yang tiada mood untuk melayan sesiapa sekarang. Semuanya gara-gara terpaksa
bangunkan Nazrul pagi tadi. Malas dia hendak melayan Sofea. Tapi jauh di sudut hatinya,
dia kagum dengan tindakan pantas wartawan-wartawan yang tidak bertauliah di
sekolahnya yang menyebarkan berita yang tidak berfaedah itu. Jika pihak sekolah
mempunyai akhbar harian mereka sendiri mungkin berita ini akan menjadi tajuk besar di
dada akhbar. Nurul berjaya mengejutkan Putera Katak bangun daripada tidur!
“Bukankah aku dah kata, kau memang ditakdirkan untuk bersama mereka. Kau
memang bertuah Nurul! Berpeluang dikelilingi oleh lelaki yang hebat seperti mereka.”
“Kejutkan Putera Katak daripada tidur, kira hebat ke?” Nurul menjeling tajam.
Sofea pula tersengih-sengih.
“Nurul…” panggil Rezza sambil menghampiri Nurul. Di sebelahnya kelihatan
Nazrul. Nazrul hanya berdiam diri. Nampak sangat seperti dipaksa oleh Rezza untuk
berjumpa dengan Nurul.
“Terima kasih tentang tadi,” ucap Rezza terlebih dahulu.
Memang dia serba salah kerana terpaksa menggunakan khidmat Nurul untuk
kejutkan kawannya itu bangun daripada tidur. Dia kemudiannya mencuit Nazrul di
sebelahnya.
“Err… terima kasih.” Dengan tergagap-gagap Nazrul berkata.
Biarpun terkejut dengan ucapan terima kasih daripada Nazrul tadi, Nurul masih
lagi tidak berpuas hati. Mungkin sampai tua pun dia akan mengingati peristiwa
mengejutkan Putera Katak bangun tidur.
“Hah! Aku harap ini kali pertama dan terakhir aku kena kejutkan kau bangun.
Lagi sekali ada orang panggil aku suruh kejutkan kau bangun lagi, aku bangunkan kau
dengan air panas!” ugut Nurul tidak puas hati.
Nazrul berbisik sesuatu pada Rezza. Suaranya yang halus membuatkan Nurul
tidak dapat mendengar apa yang dibisikannya walaupun jarak mereka hanyalah beberapa
meter sahaja. Begitu juga dengan suara Rezza yang menjawab sesuatu dengan berbisik.
“Malangnya, kerja kau adalah kejutkan aku bangun daripada tidur,” ujar Nazrul
tersengih nakal sebelum mengorak langkah meninggalkan mereka.
“Kenapa aku rasa macam nak siram dia dengan air panas?!”
“Err… Nazrul bergurau saja tu.” Rezza cuba menyejukan hati Nurul yang
membara.
“Ya. Ya. Nazrul bergurau saja,” sokong Sofea sambil matanya tidak berkelip
memandang Rezza.
Nurul sekadar menjeling tajam. Itulah Sofea yang sememangnya pantang
berhadapan dengan lelaki kacak seperti Rezza. Itu baru Rezza, belum berhadapan dengan
Fiq lagi. Mungkin keadaan Sofea lagi teruk dari sekarang dan pada masa itu mungkin
juga dia akan simbah Sofea dengan air panas. Mana boleh tahan kalau Sofea tergedik-
gedik dengan Fiq. Itu namanya cari nahas!
6
“SOFEA, aku rasa aku dah jatuh cinta,” kata Nurul tiba-tiba.
Sofea yang sedang menjamah makanan tengah hari sebaik pulang dari sekolah
hampir tercekik kerana kedatangan Nurul menceroboh dapur rumahnya tanpa diundang
dan berkata sesuatu yang di luar jangkaannya.
“Kau… apa?” tanya Sofea seiring dengan batuk kecil. Nasib baiklah dia tidak
tercekik sebaik sahaja mendengar luahan hati kawannya yang tidak dijangka itu.
“Aku dah jatuh cinta,” kata Nurul lagi.
Mata Sofea terkebil-kebil beberapa kali. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang
didengarinya itu. Rasa bagai bermimpi. Mana tidaknya, kalau Nurul yang selama ini
dikenalinya itu berhati batu dan langsung tidak pernah menunjukkan ciri-ciri perempuan
yang mudah jatuh cinta, tapi hari ini tiba-tiba meredah masuk rumahnya tanpa beri salam
dan kemudian memaklumkan bahawa dia sudah jatuh cinta. Tak ke pelik?
“Kau tak bergurau, kan?” Sofea bertanya inginkan kepastian. Mungkin Nurul
tersilap hari bahawa hari ini bukannya 1 April, tarikh yang selalu digunakan oleh mereka-
mereka yang nakal membuat lawak membodohkan orang lain.
“Muka aku nampak macam bergurau ke?” Wajah Nurul serius.
“Kau tak sakit, kan?” tanya Sofea lagi.
“Tak! Aku masih waras lagi, cuma aku dah jatuh cinta. Aku tak tahu macam mana
boleh jadi begini!” Bagaikan orang hilang akal, Nurul berkata.
“Dengan siapa?”
“Fiq.” Tanpa berfikir panjang Nurul memberitahunya.
“Ah, dengan Fiq.” Sofea kembali menyuap makanannya.
“Apa maksud kau?” Nurul tidak faham apabila Sofea seperti buat tidak endah
sahaja sebaik sahaja mengetahui Fiq adalah orangnya.
“Kalau dengan Fiq memang perkara normal,” jawab Sofea.
Bagi Sofia, seorang perempuan jatuh cinta dengan Fiq memang menjadi perkara
normal dalam hidupnya sebab apa yang dia dengar, sesiapa yang pernah mengenali Fiq
tidak kira secara langsung atau tidak langsung, pasti akan tertawan dengan aura cinta Fiq.
“Tapi, tak normal bagi aku!” balas Nurul tetap tidak puas hati.
Sofea terdiam sejenak. Dia kemudiannya memandang Nurul di hadapannya.
“Ya. Tak normal bagi kau.” Akhirnya Sofea terpaksa bersetuju.
“NURUL…” panggil seorang pelajar perempuan sebaik sahaja Nurul melalui hadapan
kelas tingkatan lima untuk ke kelasnya.
Seorang pelajar perempuan yang tidak diketahui namanya menghampiri Nurul
dan menghulurkan sekeping sampul surat berwarna biru kepada Nurul.
Surat cinta? Hati Nurul berdetik. Hairan! Tidak mungkin surat cinta itu diberikan
kepadanya. Seorang perempuan memberi surat cinta kepada perempuan? Dunia sudah
nak kiamat ke?
“Tolong serahkan kepada Fiq,” pintanya perempuan itu.
“Err… ya.” Dengan teragak-agak Nurul menyambut surat dari tangan pelajar
tersebut walaupun dia masih lagi tidak faham situasi sebenar.
Kenapa dia yang perlu menjadi orang tengah atau posmen untuk memberikan
surat cinta orang lain kepada Fiq? Kenapa pula orang itu tidak mahu memberi surat
cintanya kepada Fiq sendiri? Kenapa mesti dia? Pelik betullah budak-budak zaman
sekarang ini. Hendak bagi surat cinta untuk lelaki idaman pun pakai posmen. Bukankah
sekarang ini zaman teknologi canggih, gunalah handset saja dan beritahu isi hati. Habis
cerita.
“Terima kasih ya,” ucap pelajar itu sebelum mengundur diri.
Nurul masih lagi terpinga-pinga.
“Kenapa aku rasa macam berada dalam komik Jepun saja?” tanya Nurul kepada
dirinya sendiri. Dia kemudiannya merenung sampul surat berawan biru di tangannya.
Masuk kali ini sudah lebih sepuluh orang menahannya untuk menyampaikan surat cinta
kepada ahli pasukan bola sepak yang mereka puja itu. Surat cinta untuk Fiq lebih banyak
daripada ahli yang lain.
“KAU nak aku tampar kau ke?” Sofea tiba-tiba mencelah.
“Hah? Kenapa pula? Aku ada buat salah ke?” Nurul memandang Sofea di
sebelahnya.
“Mana tahu kau nak aku pastikan kau tak bermimpi sebab tengok banyak surat
cinta untuk putera idaman tu atas meja kau,” balas Sofea sambil menunjuk ke arah meja
Nurul yang penuh dengan surat cinta sebaik sahaja mereka berdua melangkah masuk ke
dalam kelas.
“Idea yang bagus, tapi terima kasih sajalah.” Beg sekolah diletak di atas bangku
dan dengan penuh kemalasan, Nurul mengemas mejanya yang penuh dengan surat cinta
itu. Dalam pada itu, ada juga suara-suara sumbang yang menggertaknya supaya
sampaikan surat-surat itu kepada orang yang sepatutnya menerima.
“Aku tak fahamlah… Sejak bila aku jadi posmen mereka?” Nurul yang masih lagi
tidak puas hati berkata setelah penat menyusun semua surat cinta itu ke dalam sebuah
plastik.
“Kau tak tahu ke?” tanya Sofea pula.
“Tahu apa?”
“Ah, jadi kau tak tahulah.”
Nurul dengan perlahan menggeleng. Serius. Dia tidak tahu perkara pelik yang
berlaku pada hari ini dan kenapa ramai sangat yang memberi surat cinta untuk pemain-
pemain bola sepak kepadanya. Mungkin dia tertinggal sesuatu yang penting tentang
tarikh hari ini sehinggakan ramai yang memberi surat cinta untuk pemain bola sepak.
Tapi, cara Sofea cakap tadi, nampak gayanya macam ada sesuatu yang tidak kena sahaja.
“Semalam mereka ada keluarkan satu memo,” beritahu Sofea.
“Mereka?” Nurul bertanya kembali.
“Budak bola sepak tulah.”
“Oh, tapi memo apa?” tanya Nurul. Itu pun setelah dia teringat bahawa dia yang
bertanggungjawab dalam pengeluaran memo untuk Kelab Bola Sepak. Mustahil dia tidak
tahu-menahu tentang memo terbaru atau mungkin ada orang lain yang dengki telah
sabotaj tugasnya.
“Memo tak rasmi,” jawab Sofea.
“Yalah, tapi memo apa?” Nurul meninggikan suara.
NAZRUL dan Rezza berdiri menghadap papan kenyataan yang disediakan oleh pihak
sekolah kepada pengurusan Kelab Bola Sepak sejak dari tadi apabila terpandang sesuatu
yang pelik di papan kenyataan mereka. Kedua-duanya memandang ke arah memo yang
tertampal pada papan kenyataan tersebut. Mereka berdua kemudiannya saling
berpandangan tanpa mampu berkata apa setelah menghayati apa yang tertulis di sekeping
kertas A4 itu.
“Tepi!”
Tiba-tiba sepasang tangan yang kasar menolak kedua-duanya ke tepi. Nurul
mencelah antara Nazrul dan Rezza yang menghalang penglihatannya untuk membaca
memo tidak rasmi yang dikatakan oleh Sofea tadi dan juga penyebab kenapa dia
menerima surat cinta untuk pemain bola sepak daripada peminat-peminat mereka.
Kepada semua peminat-peminat setia,
Mulai dari hari ini, iaitu tertampalnya notis tidak rasmi ini, adalah dimaklumkan
bahawa semua urusan berkenaan pemberian surat cinta kepada semua ahli bola sepak perlu
melalui pengurus kelab yang baru iaitu saya, Cik Nurul Izzati.
Saya akan mengutip surat-surat cinta anda untuk mengelakkan surat-surat anda tidak
sampai ke tangan jejaka idaman anda. Malah, bukan sahaja surat cinta, jika anda ingin
menetapkan temu janji dengan salah seorang ahli bola sepak, maka haruslah melalui saya
terlebih dahulu. Sekian, terima kasih.
Majulah cinta untuk negara!
Yang benar,
Nurul Izzati
Pengurus Kelab Bola Sepak.
“Bila masa pula aku tulis memo tu?”
Rasa geram yang sudah mula wujud membuatkan Nurul terfikir hendak bom
sahaja papan kenyataan itu apabila membaca memo yang menggunakan namanya sebagai
pembuat memo tersebut. Patutlah hari ini dia diserang dengan surat-surat cinta.
“Siapa Nurul Izzati? Kenapa aku rasa macam tak pernah dengar saja namanya?”
tanya Nazrul tiba-tiba.
“Hah!” Nurul memandang Nazrul. Orang tengah marah, dia ada masa lagi hendak
buat lawak bodoh. Tapi, pelik… Cara Nazrul berkata tadi seperti dia tidak kenal langsung
siapa Nurul Izzati yang tertulis pada memo tersebut. Walaupun dia baru sahaja dilantik
sebagai pengurus kelab, tapi hampir satu sekolah mengenalinya kerana jawatan itu. Tapi,
lain pula yang terjadi pada Nazrul.
“Err…” Rezza menggaru kepalanya apabila menyedari Nurul dan Nazrul saling
berbalas pandang. “Tak ada apalah dengan memo ni.” Tanpa mempedulikan peperangan
mata antara Nazrul dan Nurul, dia segera menanggalkan memo tersebut dari papan
kenyataan.
“Tak ada apa? Kau kata tak ada apa? Kau tahu tak, lebih sepuluh orang tahan aku
pagi tadi semata-mata nak aku serahkan surat cinta untuk jejaka idaman mereka. Tak
cukup dengan itu, meja aku penuh dengan surat cinta untuk kau orang. Kau kata itu tak
ada apa?!”
“Kalau macam tu, teruskan usaha kau kumpul surat cinta,” balas Nazrul selamba
sebelum mengorak langkah berlalu dari situ.
“Err… jangan ambil hati dengan apa yang Nazrul cakap. Anggap saja dia tersalah
bangun tidur pagi tadi,” kata Rezza yang bertindak sebagai agen pendamai.
“Yalah tu…”
“Aku minta maaf tentang apa yang berlaku ini. Kadangkala mereka ni sukar
dikawal,” kata Rezza berjalan seiringan dengan Nurul.
“Kerja kau hari-hari minta maaf ke?”
Rezza tersenyum. Ini baru pertama kali dia mendengar seseorang bercakap yang
lahir daripada suara hati. Terlampau berterus terang. Mungkin bagi setengah orang akan
rasa sakit hati dengan orang begini, tapi Rezza, dia kagum dengan Nurul.
“Mungkin juga. Aku ketua mereka dan kapten pasukan bola sepak. Jika ada antara
mereka yang buat hal contohnya seperti memo macam ni, aku yang sepatutnya
bertanggungjawab sebab tak pandai mengawal mereka. Aku tahu, jaga mereka semua lagi
susah daripada jaga budak tadika. Tapi, mereka sebenarnya okey.”
“Itu yang aku selalu dengar daripada peminat Putera Idaman,” balas Nurul acuh
tak acuh. Sememangnya dia sudah muak mendengar puji-pujian yang dilemparkan
kepada ahli bola sepak.
“Aku nak tanya kau, apa pandangan kau tentang Carta Prince Charming?” tanya
Nurul sengaja membuka topik tentang carta tersebut.
Selama ini dia hanya mendengar komen atau pendapat pelajar perempuan sahaja
tentang Carta Prince Charming, kali ini dia ingin mendengar pendapat daripada pelajar
lelaki pula apatah lagi Rezza merupakan juara bertahan dalam Carta Prince Charming
selain Fiq.
“Oh, Carta Prince Charming… Kau pun suka carta tu?”
“Aku satu-satunya ahli anti Carta Prince Charming di sekolah ini.” Dengan
selamba Nurul berkata. Tapi, memang betul. Kebanyakan pelajar perempuan mengikuti
perkembangan Carta Prince Charming.
Rezza tersenyum.
“Masih ada juga perempuan yang anti dengan carta tu…”
“Kau pula?”
“Sama saja. Sama ada carta tu wujud atau tidak, carta tu hanyalah carta saja. Tapi,
baru-baru ini aku mula terfikir sesuatu.”
Mereka berdua berhenti di hadapan Carta Prince Charming yang ditampal. Seperti
beberapa hari yang lalu, tiada seorang pun yang mendapat gelaran Prince Charming.
Takhta Prince Charming kosong.
“Kenapa? Sebab kau tak dapat takhta Prince Charming seperti selalu?”
Rezza sekali lagi tersenyum menggeleng.
“Bukan. Aku dah kata tadi, aku tak pernah pedulikan sama ada carta ini wujud
atau tidak,” balas Rezza.
“Habis tu?”
“Baru-baru ini aku terfikir mungkin carta ini patut…”
“Patut dibuang?” pantas Nurul memintasnya.
Geleng.
“Habis tu?”
“Patut dipuji.”
“Dipuji?”
“Ya. Kalau tak kerana carta ini, semua orang akan bersemangat hendak ke
sekolah. Bagi perempuan, mereka ingin melihat siapakah yang mendapat takhta Prince
Charming. Bagi yang lelaki, mereka berlumba-lumba untuk mencipta yang terbaik sekali
gus menjamin masa depan mereka yang cerah pada masa hadapan.”
Tercengang Nurul mendengarnya. Tidak sangka dia mendengar teori tersebut dari
mulut Rezza. Kalau dari mulut Nazrul atau Hayrul, mungkin dia akan percaya.
“Kenapa aku rasa kau dah gila?”
Rezza sekadar ketawa kelucuan.
“Kenapa kau ketawa?”
“Mungkin sebab aku sukakan kau,” ujar Rezza sebelum mengorak langkah
meninggalkan Nurul yang terkejut dengan apa yang dikatanya tadi.
“KAU sengaja nak buat aku cemburu dan mulakan perang dunia ketiga dengan kau,
bukan?” kata Sofea sebaik sahaja Nurul menceritakan apa yang dibualkan dengan Rezza
pagi tadi sambil menyusun surat-surat cinta yang diterimanya.
“Buat kau cemburu atau mulakan peperangan dengan kau tiada dalam senarai
yang perlu aku buat,” balas Nurul.
“Kalau macam tu, susun surat cinta ini ada dalam senarai yang perlu kau buat?”
“Aku rasa aku patut mulakan perang dengan kau. Aku tak percaya aku buat kerja
yang bodoh ini. Kalau suatu hari nanti, bila aku menghadiri temu duga kerja dan ditanya
apakah tugas yang aku buat untuk jawatan pengurus Kelab Bola Sepak, kau rasa patut ke
aku jawab membahagikan surat cinta yang aku terima mengikut si penerimanya sebelum
meletakkannya ke dalam lokar mereka. Patut ke?” tanya Nurul lagi.
“Mungkin kau patut jawab macam ini, Menerima dan membahagikan surat cinta
untuk ahli Kelab Bola Sepak sambil membaca puisi-puisi indah yang ditulis di
dalamnya,” ujar Sofea sambil cuba membuka salah satu surat yang baru disusunnya.
“Jangan nak terfikir lakukannya.” Pantas Nurul merampas sekeping sampul surat
dari tangan Sofea. “Kau perempuan dan orang yang bagi surat ini juga perempuan, jadi
mesti kau tahu apa perasaan mereka bila ada perempuan lain baca surat mereka.”
“Kau ni sensitif sangatlah. Macamlah mereka tahu kita baca surat tu.”
“Ini bukan sensitif, tapi aku dah pegang amanat orang, mestilah aku kena jaga.”
“Yalah tu.”
“Dulu aku pun seperti mereka. Tulis surat cinta pada lelaki yang aku suka dan
kemudian aku sendiri yang terkena.”
Nurul kembali teringat kisah hitamnya di sekolah lama. Hanya kerana surat
cintanya jatuh ke tangan orang yang tidak sepatutnya, dia mendapat malu dan dikenakan
tindakan tatatertib.
“Kenapa?”
“Surat cinta aku jatuh ke tangan peminat setia lelaki yang aku minat tu. Apa lagi,
kecohlah satu sekolah. Sebab itulah aku faham perasaan mereka kalau kita curi baca surat
cinta ini. Aku tak nak benda ni jadi pada orang lain,” terang Nurul.
“Nasib baiklah mereka pilih kau jadi pengurus dan tukang kutip surat cinta.”
“Kadangkala aku rindu dengan semua tu. Tulis surat cinta pada seseorang yang
kita minat. Walaupun nampak kolot, tapi apa salahnya guna cara lama untuk luahkan
perasaan.”
“Eh, aku rasa kau boleh tulis surat cinta kepada Fiq.”
“Tak naklah. Aku tak nak pisang berbuah…” Tiba-tiba Nurul terdiam. Otaknya
ligat memproses idea Sofea tadi. Lambat-lambat bibirnya terukir senyuman manis setelah
menyedari bahawa Kelab Bola Sepak di bawah kawalannya.
7
“AKU dah dapatkan jadual latihan yang terbaru daripada Cikgu Majid,” kata Nurul
sambil melangkah masuk ke dalam bilik Kelab Bola Sepak.
Kelihatan semua ahli rasmi sudah berada dalam bilik itu. Ada antara mereka
sudah berpakaian sukan lengkap sebelum turun ke padang untuk latihan. Ada juga di
antara mereka yang masih mengikat tali kasut.
“Mungkin selepas ni kita patut buat peraturan. Perempuan dilarang masuk ke
dalam bilik ni. Dahlah main redah saja. Kalaulah kita orang tengah tukar seluar, boleh
menjerit satu sekolah,” kata Hayrul seolah sedang menyindir Nurul.
“Mungkin lepas ni kita buat peraturan, kalau kau orang nak tukar seluar, sila
kunci pintu terlebih dulu,” sindir Nurul pula, tetap tidak mahu mengaku kalah.
Masuk hari ini, hampir sebulan Nurul menjalankan tugasnya sebagai pengurus.
Kelab Bola Sepak. Pelbagai rintangan yang ditempuhi olehnya. Dia terpaksa berhadapan
dengan macam-macam ragam terutama sekali Hayrul yang sememangnya anti dengan
perempuan. Ada saja yang tidak kena dengan apa yang dilakukannya dan dia pula tetap
akan mempertahankan dirinya.
Kadangkala peperangan besar akan meletus antara dia dengan Hayrul. Dan, yang
terpaksa meleraikan pergaduhan itu adalah Rezza atau Fiq. Tetapi, selalunya mereka
berdua akan bekerjasama untuk meleraikan pergaduhan yang berlangsung.
“Memang betul-betul perempuan tak reti malu,” ujar Hayrul perlahan.
Walaupun perlahan, tapi telinga Nurul mendengarnya dengan jelas. Serentak
dengan itu, Nurul menghempas sebuah buku berkulit tebal di atas meja bersebelahan
dengan Nazrul yang sedang tidur nyenyak. Serta-merta Nazrul terjaga daripada tidurnya.
Semuanya kaget.
“Aduh, kau orang ni kalau bergaduh mesti aku yang jadi mangsa,” keluh Nazrul
sambil menguap besar. “Aku nak tidur pun tak boleh!”
Rezza yang duduk di hadapan Nazrul cuba menahan tawa. Tak sia-sia dia
memilih Nurul sebagai pengurus kelab. Inilah pengurus idamannya. Boleh bangunkan
Putera Katak walau apa cara sekalipun.
“Sekarang bukan waktu untuk tidur,” ujar Nurul tegas.
Nazrul segera bangun dan membuka jaketnya sambil mulutnya menyumpah-
nyumpah sesuatu.
Nurul hanya menghadiahkan jelingan tajam. Selain Hayrul, Nazrul juga
merupakan musuh luar selimut. Mana tidaknya, Nazrul asyik tidur saja sepanjang masa
sampai ada satu hari, Nazrul yang selaku penjaga gol boleh tidur di tengah-tengah
gawang sewaktu latihan berjalan.
“Menyusahkan kalau ada pengurus ni,” kata Hayrul pula sambil membuka pintu
lokar untuk menyimpan baju sekolahnya.
Nurul langsung tidak ambil peduli dengan sindiran Hayrul. Dia tahu lelaki itu
tidak berpuas hati dengan cara pengurusannya. Tapi, dia tidak peduli. Siapa suruh cari
pasal dengannya. Kan dah kena!
Sebentar kemudian Fiq yang sudah siap berpakaian sukan melangkah masuk ke
dalam. Nurul menghadiahkan senyuman manis kepada Fiq dan Fiq membalasnya. Selama
Nurul jadi pengurus, dia dengan Fiq sentiasa bersama walaupun bukan berbincang
tentang hal peribadi. Tapi, itu pun sudah boleh dikatakan sebagai satu peningkatan yang
baik.
“Kenapa?”
Pertanyaan Zul menarik perhatian mereka semua. Semua tertumpu pada Hayrul
yang kaku di hadapan lokarnya yang terbuka luas. Masing-masing pelik.
“Err…” Suara Hayrul seakan tersekat. Matanya memandang sekeping sampul
surat warna biru yang tiba-tiba terdapat di dalam lokarnya.
Sekejap saja mereka semua berkerumun di hadapan lokar Hayrul, melihat surat
biru misteri itu.
“Surat cinta?” tanya Zaki seakan tidak percaya.
Serentak dengan itu Nurul berpaling apabila mendengar Zaki menyebut surat
cinta. Setahunya, Hayrul langsung tidak menerima surat cinta dan dia juga pasti tiada
surat cinta yang diletak di dalam lokar Hayrul.
“Surat cinta?” Nurul terus bergegas ke hadapan lokar Hayrul untuk memastikan
sesuatu. Sekeping surat cinta berwarna biru dilihatnya.
Surat cinta daripada aku untuk Fiq… Nafas Nurul tersekat-sekat, seolah-olah
tiada oksigen untuk bernafas. Kenapa ada kat dalam lokar Hayrul pula? jerit suara
hatinya.
Di sudut tepi, Nazrul tersenyum sinis, membetulkan tali kasutnya. Sebiji bola
sepak dalam lokar diambil keluar.
Rezza menjeling memandang Nazrul yang sedikit tersenyum. Kemudian dia
menggeleng. Lebih baik jangan masuk campur. Tidak lama selepas itu keadaan yang
kecoh tadi lagi bertambah kecoh apabila Hayrul pengsan dengan tiba-tiba. Nurul
kelihatan tidak keruan. Sekejap memandang Hayrul yang pengsan dan sekejap
memandang surat cintanya untuk Fiq dalam almari Hayrul.
“HAYRUL alergi dengan surat cinta,” terang Rezza kepada Nurul sambil memandang
Hayrul yang masih belum sedarkan diri dan dikipas oleh kawan-kawannya yang lain.
“Bila dia terima surat cinta, kesudahannya dia akan pengsan. Dan, sejak itu kami semua
tak berani ambil surat cinta untuk Hayrul.”
“Kenapa Hayrul akan pengsan kalau dapat surat cinta?” tanya Zaki sambil
menggaru dagu. “Mungkin dia pernah terima surat cinta beracun kut.”
“Surat cinta beracun?”
“Lebih kurang nak kenakan dialah…”
“Oh…” Nurul mengangguk faham.
“Agak-agak, siapa yang minat gila dengan Hayrul tu ya,” ujar Najmi dengan
seorang di belakangnya.
“Apa kata kalau kita baca. Hayrul bukannya tahu. Lagipun aku gerenti dia takkan
baca surat cinta ni. Bukan ke lebih baik kita guna peluang yang ada ni untuk baca surat
cinta daripada peminat misteri dia ni…” ujar Adnan Yazir memberi cadangan.
“Cantik!”
“Jangan!” Segera Nurul bertindak menolak mereka ke tepi dan pantas mengambil
surat cinta tersebut. “Err… demi melindungi hak asasi manusia, aku terpaksa rampas
surat cinta ni.”
“Sejak bila hak asasi manusia melarang seseorang baca surat cinta?” tanya Najmi
sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Sejak aku jadi pengurus kelab,” jawab Nurul tanpa berfikir panjang. “Jadi,
memandangkan surat cinta ni telah membuat Hayrul jatuh pengsan, aku terpaksa
membuang surat cinta ni. Pergi dulu dan jangan lambat untuk latihan petang ni!” Nurul
terus melarikan diri secepat yang mungkin. Lagi lama dia duduk dalam bilik itu, lagi
banyak soalan yang akan diterimanya. Lebih baik dia melarikan diri segera.
“Sejak bila Nurul ambil berat tentang Hayrul?” Sekali lagi Najmi menggaru
kepalanya. Dia dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan Nurul. Takkanlah
Nurul cemburu dengan Hayrul yang dapat surat cinta. Itu tidak mungkin. Tidak mungkin
Nurul sudah jatuh cinta dengan Hayrul sebab kedua-duanya memang tidak boleh
berjumpa. Jika berjumpa pasti ada sahaja yang tidak puas hati.
“Macam budak-budak,” ujar Nazrul perlahan dan tanpa disedari dia tersenyum
kecil. Seronok tidak terkata apabila dia melihat wajah Nurul yang cemas cuba mencari
jalan keluar. Akhirnya berjaya juga.
“SERIUS?” tanya Sofea yang terkejut mendengar cerita daripada Nurul.
Nurul yang tiada mood sejak pulang dari sekolah tadi sekadar mengangguk. Dia
sendiri kebuntuan bagaimana surat cintanya yang diletak di dalam lokar Fiq boleh
'berjalan' ke loker Hayrul. Itu pun dia bernasib baik sebab Hayrul ditakdirkan alergi
dengan kehadiran surat cinta. Jika tidak, pasti dia sudah menjadi bahan ketawa mereka.
“Aku selalu malang bila dikaitkan dengan surat cinta.” Nurul mengeluh lemah.
Dahulu dia dimalukan satu sekolah dengan tertampalnya surat cintanya di papan
kenyataan dan dijadikan bahan ketawa oleh pelajar sekolahnya. Hari ini dia hampir
mengulangi kejadian yang sama.
“Kau agak-agak siapa yang nak kenakan kau?” tanya Sofea.
“Aku tak tahu… Yang aku peliknya, macam mana orang tu boleh tahu aku tulis
surat cinta untuk Fiq sedangkan aku dan kau saja tahu pasal surat tu.” Nurul
kemudiannya memandang Sofea di hadapannya.
“Kira tak normallah aku kalau kenakan kau macam tu,” kata Sofea.
“Kenapa pula? Normallah kalau kau—sebagai salah seorang peminat Fiq
cemburu dengan keberanian aku bagi surat cinta kepada Fiq.” Dengan selamba Nurul
berkata.
“Itu tak normal maknanya.” Sofea masih lagi selamba. Langsung tidak rasa
menggelabah apabila dituduh oleh Nurul.
“Kenapa pula tak normal?”
“Daripada aku letak surat cinta kau di lokar Hayrul, lebih baik aku tampal surat
cinta kau macam pengalaman kau dulu tu.”
Nurul memandang Sofea sambil berfikir.
“Ya. Memang betul.” Akhirnya Nurul bersetuju. Lagipun dia kenal Sofea. Sofea
tidak akan melakukan sesuatu yang licik begitu. “Kalau nak dikira, memang ramai yang
dengki dengan aku, tapi orang yang buat ni bukan jenis nak dajalkan aku, tapi nak
kenakan aku.”
“Ada beza ke dua perkataan tu?” tanya Sofea.
“Izinkan aku jawab soalan kau tu dengan menghadiahkan satu tumbukan,” balas
Nurul menjeling tajam.
“Yalah, yalah… Jadi, kau nak siasat siapa yang berjaya kenakan kau tu?”
“Entah! Tapi, aku rasa orang yang buat ni mungkin orang yang aku kenal.”
“Siapa?”
“Antara ahli bola sepak tulah. Mereka semua memang tak boleh tengok aku
senang sikit. Mesti ada sahaja nak buli aku. Tengoklah nanti. Perkara ni akan terbukti
juga dan jangan haraplah orang yang buat dajal ni boleh hidup senang!”
8
DARI jauh Nurul asyik melihat Fiq yang berada di tengah-tengah padang, berlatih
bermain bola bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain. Hari ini merupakan hari
terakhir mereka berlatih memandangkan lusa mereka ada perlawanan persahabatan
bersama pasukan Sekolah Haji Mansur atau Sekolah Semarak.
Semua kelihatan bersungguh-sungguh berlatih berbanding beberapa hari yang
lepas. Yang tidak datang atau yang jarang datang berlatih beberapa hari lepas turut datang
berlatih terutama sekali Nazrul.
Entah kenapa Rezza dan yang lain tidak beberapa kisah sangat dengan
ketidakhadiran Nazrul. Bila ditanya semuanya memberi jawapan yang sama.
“Nazrul memang macam tu, dia pergi bertapa dulu dan sehari sebelum
perlawanan barulah dia datang latihan. Jangan risaulah,” kata Fiq.
“Kalau dia datang pun sama juga. Nanti dia bertapa kat tengah gawang juga,” kata
Najmi pula.
“Lebih baik jangan pedulikan dia, nanti parah masa perlawanan tu. Orang suruh
tangkap bola, dia suruh bola masuk gawang,” kata Farizat pula sambil menggeleng
apabila teringatkan perlawanan yang dulu.
Bila ditanya pada Rezza, pasti Rezza akan menjawab begini, Anggap sajalah dia
tu hero. Bukan ke hero selalu menyusahkan keadaan.
Pendek kata mereka semua memang tidak kisah dengan ketidakhadiran Nazrul.
Kalau mereka tidak kisah, buat apa dia hendak memeningkan kepala memikirkan Nazrul
yang tidak hadir latihan. Daripada dia fikirkan masalah Nazrul, lebih baik dia fikirkan
masalahnya dengan Hayrul yang asyik termenung sehingga berapa kali kepalanya terkena
bola. Macam-macam kerenah mereka semua. Semuanya hendak dijaga. Macam budak-
budak lima tahun yang perlukan asuhan seseorang.
Tidak lama selepas itu, wisel ditiup oleh Cikgu Majid. Dia mengarah semuanya
berkumpul di hadapannya.
Nurul hanya duduk dipohon angsana. Malas dia hendak bergerak ke sana. Nanti
bermacam-macam bau yang ada. Kalah bau minyak wangi cap kapak. Keharumannya
memang memikat hidung sehinggakan bulu hidung ni pun boleh layu dengan bau peluh
mereka.
Dari situ dia dapat dengar pesanan terakhir Cikgu Majid sebelum perlawanan
lusa. Esok, mereka semua dibenarkan merehatkan badan dan tenangkan minda. Selepas
saja Cikgu Majid bercakap dengan mereka semua, cepat-cepat dia mengambil pewangi
miliknya badannya dan disemburkan ke udara sebelum mereka semua menghampirinya,
memandangkan beg-beg mereka berada di sekitarnya.
“Amboi, perli nampak,” ujar Zaki apabila berbau sesuatu yang wangi.
“Aku risaukan pokok angsana ni hampir layu menyedut udara yang tercemar.
Lagi satu, dah berapa kali aku cakap, jangan bukak baju depan aku!” ujar Nurul sambil
matanya menjeling tajam ke arah Zul Hilmi yang baru hendak membuka baju.
“Buka seluar boleh tak?” tanya Ridzwan pula.
“Hah, beranilah buka kalau kau orang nak rasa cirit-birit masa perlawanan nanti.”
“Kenapalah kau cari pengurus yang kejam macam ni?” tanya Ridzwan kepada
Rezza dan Fiq yang menghampiri mereka setelah berbual sesuatu dengan Cikgu Majid.
Belum sempat Rezza membuka mulut, Ridzwan sudah mencapai beg galasnya meminta
diri untuk pulang.
“Nurul, Cikgu Majid nak jumpa,” beritahu Rezza.
“Hah, pergi cepat!” gertak Najmi sedikit bergurau.
“Tahulah!”
Tanpa membuang masa Nurul segera bangun dan mengorak langkah ke arah
Cikgu Majid yang sedang bercakap sesuatu dengan Nazrul. Mungkin ada perkara yang
Cikgu Majid yang tidak puas hati dengan Nazrul. Mungkin pasal Nazrul tidak menghadiri
latihan untuk beberapa hari ini? Tapi rasanya dia tiada mengadu pada Cikgu Majid.
“Not sure… It’s difficult to say… But I think is 50-50,” kata Nazrul kepada Cikgu
Majid seperti membincangkan sesuatu yang serius.
“50-50? Kenapa?”
“Okay, it’s look stupid but sometime stupid look smart. I already told them about
this. Dan terpulanglah pada diri masing-masing untuk terimanya atau tidak. Kalau kita
tak buat sesuatu untuk perlawanan lusa, kita akan kalah,” ujar Nazrul tegas memberi
pendapatnya dengan jujur.
Cikgu Majid kemudiannya mengangguk sambil berfikir.
Nurul yang berdiri antara Cikgu Majid dan Nazrul, tidak faham apa yang mereka
berdua bincangkan. Akan kalah? Belum perlawanan lagi, Nazrul dah kata akan kalah.
Memang betul-betul tiada semangat langsung! Mananya tidak kalah kalau orang
terpenting dalam pasukan tidak munculkan diri masa latihan. Buat letih memikir saja.
“Jadi, kamu ada cadangan?”
“Esok mereka akan adakan pelawanan persahabatan dengan Sekolah Haji
Harun… Ini peluang terakhir kita.”
“Haji Harun? Nama pengetua lagi ke?” tanya Cikgu Majid sambil menggeleng.
Nazrul hanya tersengih.
“Okey, kalau kamu fikir kita akan kalah, fikirkan sesuatu. Nurul, saya nak kamu
bantul Nazrul.”
“Apa?!” tanya Nurul sedikit terkejut.
“Saya tak perlukan bantuan,” balas Nazrul.
“Dan saya tak mahu bantu Nazrul. Banyak lagi kerja yang perlu saya buat.
Tentang jersi, tentang bas, tentang makan minum mereka di sana, tentang surat pelepasan
kelas dan tentang…”
“Surat cinta.” Nazrul mencelah.
Nurul menghadiahkan serangan pandangan tajamnya. Nazrul buat bodoh saja.
“Rezza boleh bantu saya, lagipun Nurul tidak tahu pasal bola sepak. Dunianya
hanyalah surat cinta,” ujar Nazrul dengan selamba.
Mata Nurul masih tepat memandang Nazrul yang berlagak seperti orang tidak
bersalah. Hatinya sudah membara, manakala darahnya hampir menggelegak. Tunggu
gunung berapi meletup saja.
“Sebab Nurul tak tahu pasal bola sepaklah saya suruh dia pergi dengan kamu.
Saya nak kamu ajar dia tentang bola sepak. Saya tak mahu seorang pengurus yang tidak
tahu apa-apa tentang bola sepak,” ujar Cikgu Majid tegas.
“Tapi…”
“Keputusan saya muktamat. Esok kamu berdua akan pergi sana dan fikirkan
apakah strategi terbaik untuk pasukan sekolah kita,” ujar Cikgu Majid lagi sebelum
berlalu dari situ.
“Ah, menyesalnya aku cakap kita akan kalah,” keluh Nazrul sambil melihat
kelibat Cikgu Majid meninggalkan padang sekolah. Tiba-tiba Nazrul terasa udara panas
di sekitarnya. Dengan perlahan dia berpaling memandang Nurul yang bagaikan singa
betina yang sudah sepuluh hari tidak makan sebab sakit gigi.
“Apa?” tanya Nazrul sedikit pelik.
“Macam mana kau tahu pasal surat cinta tu?” tanya Nurul garang.
“Err…” Nazrul kelihatan kehilangan kata-kata. Dia menggaru-garu leher mencari
mencari idea untuk melepaskan diri. Entah macam manalah dia boleh terlepas cakap
pasal surat cinta? Patutlah sejak dari tadi Nurul asyik memandangnya macam hendak
makan saja.
“Rupa-rupanya kaulah yang dajalkan aku letak surat tu dalam lokar Hayrul!”
“Err… Alamak, baru aku teringat… kucing aku belum makan lagi.” Tanpa
membuang masa Nazrul membuka langkah seribu untuk menyelamatkan diri daripada
dibaham oleh singa kelaparan itu. “Rezza! Bawa balik beg aku!”
“Nazrul! Jangan nak lari!” Dengan seribu langkah juga Nurul yang berpakaian
sukan mengejar Nazrul yang sudah jauh melarikan diri dulu.
“Kenapa tu?” tanya Najmi kehairanan apabila melihat Nazrul lintang pukang
melarikan diri dan Nurul mengejarnya dari belakang. “Ada pengambaran filem Hindustan
ke?”
“Tu macam pengambaran filem kungfu saja,” ujar Rezza sekadar menggeleng.
Nasib kaulah Nazrul. Siapa suruh bermain dengan api. Kan dah kena.
Rezza kemudiannya menghampiri Fiq yang sedang membelek telefon bimbitnya.
Satu senyuman gembira singgah di bibir Fiq tidak lama selepas itu. Pantas dia berlalu
bangun dan mencapai beg galasnya.
“Aku balik dulu,” ujar Fiq sebelum sempat Rezza bertanyakan sesuatu.
“Ni lagi sorang…” Najmi hanya sekadar menggeleng.
“Hei, ada sesiapa nampak Hayrul tak?” tanya Rezza kepada mereka yang lain.
Masing-masing menggeleng.
“Risaulah aku tengok Hayrul sejak terima surat cinta tu. Terus macam orang sakit
mental pun ada.”
NURUL tercungup-cungap kepenatan setelah hampir sepuluh kali dia mengelilingi
sekolah mengejar Nazrul. Laju juga Nazrul berlari walaupun dia selalu tidak menghadiri
sesi latihan setiap petang. Matanya liar memandang sekeliling mencari kelibat Nazrul
yang sudah hilang daripada pandangannya.
“Tak apa, esok masih ada. Taulah apa aku nak buat dengan kau,” kata Nurul
dengan nafas tersekat-sekat.
“Eh, Fiq…” Satu senyuman manis singgah di bibir Nurul apabila dia terpandang
Fiq yang berlari anak menuju ke pintu pagar. Baru saja dia hendak memanggil Fiq,
pandangannya dihalang oleh satu tubuh sasa seseorang. Pantas dia mendongak
memandang.
“Ah, Hayrul… Kenapalah masa macam ni kau suka muncul?” Terus ditolak
Hayrul ke tepi untuk melihat kelibat Fiq yang kelihatan tersenyum gembira.
“Aku nak surat cinta hari tu,” ujar Hayrul setelah mengumpul semua tenaganya
untuk memintanya daripada Nurul.
“Hah?!”
“Najmi cakap kau yang ambil surat cinta tu.”
“Err… aku dah buang,” jawab Nurul selamba.
“Apa?”
“Kau pekak ke? Aku dah buang.” Mata Nurul masih lagi memandang Fiq. “Bukan
ke kau alergi dengan surat cinta. Kalau kau dapat, gerenti kau pengsan lagi. Apalah,
dengan surat cinta pun boleh pengsan.”
“Aku tak pengsanlah. Cuma tertidur saja,” balas Hayrul.
“Tidurlah sangat…” perli Nurul sambil menjeling tajam. Kemudian dia
terpandang Fiq menghampiri seorang gadis manis yang kelihatan menunggu seseorang di
hadapan pintu pagar sejak dari tadi. Tersentap hatinya melihat kemesraan mereka berdua
terutama sekali mereka berdua berlalu pergi dengan berpegangan tangan.
Pelbagai persoalan muncul di fikiran Nurul. Siapakah gadis yang bersama dengan
Fiq tadi? Lagak gaya bukan pelajar sekolah sebab gadis itu nampak matang daripada
gaya pemakaiannya. Kakak? Sepupu? Atau… kekasih? Kalau kekasih, adakah dia
langsung tiada peluang untuk memiliki hati Fiq?
“Wei, aku nak surat cinta tulah,” kata Hayrul lagi.
“Kan aku dah kata aku dah buang surat tu.”
“Aku tak kira aku nak jugak!”
“Macam budak-budak.” Nurul berlalu pergi tanpa mempedulikan Hayrul.
“Hei, aku nak surat cinta akulah!”
“Kawan, sejak bila kau minat baca surat cinta ni?” sapa Nazrul tiba-tiba.
“Dan, sejak bila pula kau suka masuk campur hal orang lain ni?” kata Hayrul
pula.
“Sejak tidur aku sering diganggu,” jawab Nazrul menggeleng lemah.
9
NURUL sekali lagi menguap malas. Mengantuk sehinggakan hendak membuka mata pun
tidak terdaya. Semuanya gara-gara tidak dapat tidur kerana asyik memikirkan hubungan
Fiq dengan gadis yang dilihatnya semalam. Penat juga otaknya berfikir, hatinya pula
bermain dengan kata-kata sehinggakan dia berasa lemah. Apatah lagi sejak pasukan bola
sepak sekolah akan menghadapi perlawanan persahabatan dengan Sekolah Haji Mansur.
Haji Mansur? Kemudian dia tersenyum menggeleng. Lucu. Sejak Nazrul
memanggil nama sekolah itu Sekolah Haji Mansur, semua dah gelarkan Sekolah Haji
Mansur. Tiada lagi SMK Semarak.
Nazrul! Hatinya memberontak. Rasa mengantuk tadi hilang begitu saja apabila
nama Nazrul menjelma di fikirannya. Perasaan geram dan marah membuak-buak dalam
dirinya. Mana tidaknya, Nazrul hampir memalukannya dengan meletak surat cinta dalam
lokar Hayrul. Nasib baiklah Hayrul alergi dengan surat cinta, kalau tidak manalah dia
hendak letak mukanya itu. Pasti kecoh satu sekolah.
Kaki kanannya melangkah masuk ke dalam bilik Kelab Bola Sepak. Pintu bilik
sudah terbuka luas. Sejak dia menjadi pengurus, pintu bilik memang sentiasa akan dibuka
kecuali kalau ada mesyuarat atau sewaktu latihan di padang.
Kebiasaanya pagi-pagi lagi dia akan singgah sebentar ke bilik itu untuk
mengambil barang-barang sekolah yang diletakkan di situ seperti buku teks dan alatan
tulis yang lain. Jadi, tidak beratlah beg sekolahnya ketika datang dan balik sekolah.
Kelihatan Farizat dan Ridzwan sedang menyiapkan kerja sekolah. Itulah rutin
harian mereka yang pasti akan menyiapkan kerja latihan yang diberi oleh guru mereka
pagi-pagi lagi. Itu pun copy daripada pelajar lain.
“Kenapa tu?” tanya Nurul menghampiri Ridzwan dan Farizat yang asyik
menyalin jawapan Matematik.
Mereka kemudiannya berpaling memandang Hayrul yang dari tadi asyik berdoa di
hadapan lokarnya.
“Doa tolak bala kut,” jawab Ridzwan yang tidak mengendahkan Hayrul.
“Kesian anak si Bala tu, tak pasal-pasal kena tolak,” ujar Nurul sambil
menggeleng-geleng kepala. Sengaja dia meninggikan suaranya tadi, namun tiada
sebarang reaksi daripada Hayrul.
Hayrul masih lagi berkumat-kamit membaca sesuatu sambil menadah tangan.
“Wei, aku dengar kau kena keluar dengan Nazrul untuk bincang pasal strategi tu.”
Farizat mula bertanya.
“Mana ada keluar. Cuma bincang saja.”
“Semalam kita orang pergi rumah Rezza, Nazrul cakap dia nak pergi Sekolah Haji
Harun tu petang ni. Kau pun kena ikut sekali,” beritahu Farizat.
“Hah! Kenapa aku tak tahu pun?”
“Sebab… Nazrul. Tiada siapa dapat agak apa yang dia akan buat selepas ni. Jadi,
bersedialah apa-apa yang akan berlaku petang nanti.”
“Dia tu memang macam tu. Kalau pasal bola sepak, langsung tak peduli dengan
orang sekeliling.”
Sementara itu, Hayrul di hadapan pintu lokar yang tertutup rapat sedang
mengaminkan doa. Kedua-dua tapak tangannya menyentuh muka. Dengan penuh
kesabaran, pintu lokarnya dibuka secara perlahan-lahan.
Matanya terbeliak. Tidak percaya! Terus dia mencari di ruang-ruang di dalam
lokarnya itu. Tiada! Di cari di dalam laci. Tiada juga! Argh!!! Dia terus menapak
menghampiri mereka bertiga.
“Nurul, mana surat cinta aku?” tanyanya.
“Hah!”
“Surat cinta aku mana, pekak!”
Mata Nurul terkebil-kebil dengan sapaan Hayrul yang inginkan surat cinta. Entah
apa pula yang tidak kena dengan Hayrul ini. Kalau dulu masa terima surat cinta, terus
pengsan. Tapi sekarang, terkejar-kejar surat cinta.
“Manalah aku tahu.” Acuh tak acuh Nurul menjawabnya. Mampus kalau Hayrul
dapat tahu hal yang sebenarnya.
“Bukan ke kau yang ambil surat cinta tu?”
“Memanglah aku yang ambil, tapi aku dah buang. Yang kau macam cacing
kepanasan cari surat cinta ni kenapa?”
“Aku tak kira, aku nak surat cinta tu jugak!”
“Kejap lagi aku tuliskan surat cinta untuk kau dan kau bacalah ya.” Nurul
tersenyum menyindir. Tak faham bahasa betullah mamat sekor ni!
“Hah, kalau macam tu mesti kau tahu siapa yang tulis surat cinta untuk aku, kan?
Mesti kau ada bacakan? Jadi, aku nak kau suruh minah tu tulis balik surat cinta tu. Aku
nak surat tu ada kat dalam lokar aku selepas perlawanan!” kata Hayrul sebelum mencapai
beg sekolahnya dan berlalu pergi.
Mereka bertiga masing-masing berpandangan. Kemudian ketiga-tiganya ketawa.
Ada ke patut suruh orang tulis balik surat cinta? Manusia macam itu pun wujud ke?
“PETANG ni, pukul 2.00 petang, tunggu aku kat bus stop depan sekolah.” Nazrul tiba-
tiba mencelah apabila Nurul dia sedang berbual dengan Sofea dan kawan-kawannya yang
lain di kantin sekolah.
Belum sempat Nurul berkata apa-apa, Nazrul telah pun mengangkat kaki berlalu
pergi membuatkan dia terpinga-pinga.
“Dating?” tanya Sofea.
“Hah? Takkanlah…” jawab Nurul selamba.
“Tapi cara dia ajak kau macam nak pergi dating saja,” celah Noni yang bertocang
dua. Entah kenapa tiba-tiba dia mahu berehat bersama-sama dengan Nurul dan Sofea
pada hari ini.
“Dating apanya. Aku kena fikirkan strategi untuk perlawanan esok. Cikgu Majid
yang suruh.”
“Tapi, takkanlah nak berbincang kat taman bunga, kan… Kat sekolah kita pun ada
tempat untuk berbincang.”
“Taman bunga apa! Mulalah nak buat spekulasi yang tak berasas. Nazrul tak
cakap pun nak jumpa aku di taman bunga. Mungkin kita orang akan pergi ke Sekolah
Haji Harun.”
“Hah! Sekolah mana tu?”
“Entah. Aku pun tak tahu sekolah apa, tapi yang aku tahu pengetua sekolah tu
bernama Haji Harun. Kenapa aku rasa macam kenal saja nama pengetua tu?”
TEPAT jam 2.00 petang Nurul sudah tercegat di bus stop depan sekolah seperti yang
dipinta Nazrul semasa waktu rehat tadi. Sekali-sekala dia merenung jam di tangannya.
Namun, kelibat Nazrul langsung tidak kelihatan lagi.
Janji jam 2.00 petang, tapi sekarang sudah lebih lima minit. Walaupun lima minit,
tapi ia berharga. Sudahlah malam tadi dia tidak dapat tidur dengan nyenyak gara-gara
asyik memikirkan hubungan Fiq dengan gadis misteri yang setia menunggu di pintu
pagar sekolah semalam. Kalau itu teman wanita Fiq…
“Hoi, mak cik!”
Tersentap jantung Nurul dengan sapaan Nazrul yang entah bila berdiri di
sebelahnya.
“Hidup lagi rupanya, aku ingat dah mati,” ujar Nazrul selamba.
Nurul memandang tajam ke arah Nazrul di hadapannya. Ini macam hendak suruh
dia mulakan perang dunia ketiga saja. Sudahlah dia bengang sangat semalam apabila
dapat tahu Nazrul adalah dalang segala dalang dengan meletakkan surat cinta dalam lokar
Hayrul. Tak pasal-pasal Hayrul pengsan satu hari dan esoknya angau mencari surat cinta.
Awal pagi lagi Hayrul sudah mencarinya untuk menuntut surat cinta yang diterima.
Bukan itu saja, masa rehat tadi pun Hayrul ada menemuinya dan bertanyakan
surat cinta sehinggakan dia sudah tidak tahan dengan perangai Hayrul yang semakin hari
semakin tak normal.
“Kau ingat aku ni pengeluar terbesar surat cinta ke? Senang-senang minta surat
cinta daripada aku. Kau nak surat cinta sangat, kan? Apa kata kau tampal memo, Aku
sedia terima kehadiran surat cinta daripada anda semua tidak kira lelaki atau perempuan
kat papan kenyataan sebelah Carta Prince Charming tu. Kat situ memang ramai pelajar
suka berkumpul.” Tak faham bahasa betul Hayrul tu!
Tapi, kalau dibandingkan Hayrul dengan si Putera Katak ini, dia lebih rela
melayan kerenah Hayrul. Walaupun Hayrul menjengkelkan, tapi sekurang-kurangnya
Hayrul bukannya seperti Nazrul yang suka serang dari belakang. Memang betul pun
orang kata, orang pendiam ni adalah orang yang paling bahaya sekali.
“Wei, kenapa kau pakai baju sekolah?” tanya Nazrul sambil melihat Nurul atas
bawah seperti tidak pernah melihat Nurul berpakaian baju sekolah.
“Habis tu, aku kena pakai baju apa? Baju renang?” sindir Nurul.
“Kalau kau pakai baju renang pun aku tak ada selera langsung,” jawab Nazrul
selamba sambil mengatur langkah.
Patut ke aku baling fail ni kat kepala dia? Bentak Nurul sendiri.
Nurul memegang erat fail kuning yang menjadi teman setianya setelah dilantik
menjadi pengurus bola sepak. Nafasnya turun naik. Entah kenapa dia geram sangat bila
berhadapan dengan Nazrul. Setiap apa yang Nazrul kata mesti menyakitkan hati.
Tak ada selera langsung? Huh, lelaki kurang normal saja yang cakap macam tu.
Nazrul memang kurang normal. Memang patut pun tiada seorang perempuan pun yang
mengaku menyukai Nazrul, omel Nurul dalam senyap.
Tapi, memang betul ke aku ni tak ada daya tarikan langsung? Hati Nurul tertanya-
tanya sendiri sambil matanya meliar memandang dirinya sendiri.
Mungkin sebab tu aku kena reject dulu.
“Hoi, mak cik, tak payahlah nak pandang-pandang badan sendiri. Memang tak
menarik pun,” jerit Nazrul yang sudah beberapa kaki di hadapan.
“Okey, mungkin aku patut humban dia ke dalam loji najis.” Nurul mendengus
marah.
“KITA nak ke mana ni?” tanya Nurul setelah otaknya penat berfikir ke mana Nazrul
hendak membawanya.
Sudahlah berjalan kaki di bawah matahari yang panas terik seperti tiada arah
tujuan. Lagi satu yang paling dia tidak puas hati, sampai sekarang dia tidak tahu di mana
letaknya sekolah Haji Harun.
Bila ditanya pengetua Haji Harun itu pengetua sekolah mana? Jawapan Nazrul
senang saja, Sekolah menengahlah, takkan sekolah rendah pulak… Sejak itu malas Nurul
hendak bertanya soalan pada Nazrul lagi. Daripada dia tanya soalan pada Nazrul, lebih
baik dia tanya soalan dengan pokok-pokok di sekelilingnya. Sudah semestinya tidak
menyakitkan hati.
Sekali lagi Nazrul senyap walaupun dia sudah berkali-kali bertanya soalan yang
sama. Bila dia mendongak memandang Nazrul di sebelahnya, betapa panasnya hatinya
apabila melihat kedua-dua telinga Nazrul di sumbat oleh earphone. Patutlah sepanjang
dia berjalan seiringan dengan Nazrul, dia terdengar muzik rancak. Ingatkan muzik itu
datang dari kereta-kereta yang lalu-lalang.
“Huh!” Nurul mendengus marah.
Tanpa mempedulikan Nazrul yang melayan muzik yang bergendang di
telinganya, Nurul membuka payung yang sentiasa dibawanya ke mana sahaja kerana
tidak tahan dengan cuaca yang terlampau panas. Nanti tak pasal-pasal kulitnya hitam.
Sudahlah kulitnya jenis yang suka merajuk bila berjemur di bawah cahaya matahari.
“Kenapa nak pakai payung pulak?” celah Nazrul setelah beberapa kali wajahnya
tercucuk bucu payung Nurul. “Kan matahari tu baik untuk kulit.”
“Lantak akulah. Kulit aku bukannya kulit kau,” balas Nurul selamba.
Memang dia sudah agak, apa yang dia buat mesti ada saja yang tidak kena.
Sekarang hendak pakai payung pun salah.
“Memanglah kulit kau, tapi bucu payung ni dah berapa kali tercucuk muka aku.
Nasib baik muka, kalau tercucuk mata aku, buta mata aku, siapa nak jawab kat mama
aku?”
“Hah, nak mengadu kat mama kau, mengadulah. Anak mama!” Nurul menjelir
lidah. Puas hatinya. Dengan Nazrul memang tidak boleh diberi muka. Kalau tidak,
memang sakit hati saja melayan. Macam manalah semua ahli rasmi boleh tahan dengan
perangai Nazrul yang tidak normal itu. Mungkin lebih baik dia biarkan Nazrul tidur
sepanjang masa. Aman dunia!
“Bak sinilah aku pegang.” Payung tersebut dirampas Nazrul dari tangan Nurul.
“Sudahlah pendek, pegang payung pun tak reti.”
“Payung aku suka hati akulah nak pegang macam mana.” Payung merah tadi
dirampas Nurul kembali.
“Masalahnya, payung kau ni bahaya sangat. Sampai nak tercucuk mata aku.”
Nazrul merampas kembali payung di tangan Nurul. “Sepatutnya biar orang yang lagi
tinggi daripada kau pegang payung ni. Kalau tak, satu-satu kawan kau akan jadi orang
kurang upaya.”
“Lantaklah! Yang penting, itu payung aku, lagipun tak ada undang-undang di
Malaysia ini melarang orang yang pendek macam aku pegang payung.”
Nurul cuba merampas dari tangan Nazrul, tapi Nazrul sudah bersedia dengan
menggenggam erat batang payung daripada dirampas oleh Nurul.
“Dengar cakap aku sajalah. Biar aku pegang. Apa salahnya mengalah sekali.”
Nazrul sekadar menggeleng apabila Nurul masih lagi cuba menarik payung dari
tangannya. Nampaknya gadis itu tetap tidak mahu mengaku kalah.
“Jangan harap!” tegas Nurul dengan nafas turun naik. Barangkali bengang dengan
situasi tersebut.
Nazrul pelik betul dengan perempuan seperti Nurul, hendak tolong sikit pun
meradang sampai hendak bom satu dunia lagaknya.
Nurul kemudiannya meletak fail di tempat perjalanan kaki dan tanpa membuang
masa dia menggunakan kedua-dua belah tangannya untuk menarik payungnya dari tangan
Nazrul. Ternyata tenaga lelaki lebih kuat daripada tenaga perempuannya tapi itu tidak
bermakna dia akan mengaku kalah. Apatah lagi pada lelaki yang tidak normal seperti
Nazrul itu.
“Lepaskanlah!” marah Nurul.
“Mengalah sajalah,” balas Nazrul pula tetap tidak mahu mengaku kalah.
“Jangan harap!” Dengan sepenuh tenaga Nurul menarik kuat batang payung.
Prak! Akhirnya Nurul dapat payung dan Nazrul pula dapat batang payung. Kedua-
duanya dapat bahagian masing-masing. Dengan kata lain, payung Nurul terpatah dua.
“Kan senang, masing-masing tak payah pegang payung,” jawab Nazrul selamba
sambil membuang batang payung di tangannya ke tepi jalan tanpa mempedulikan
perasaan Nurul yang bercampur baur itu. Dia meneruskan langkahnya.
“Mungkin aku patut cincang dagingnya lumat-lumat selepas ni.” Nurul
mendengus marah. Payung di tangannya dibuang ke tepi. Sakit hati saja kalau dia masih
memegangnya.
NURUL mendongak memandang papan tanda di hadapannya. Dikelip-kelip matanya
berkali-kali. Barangkali tersalah lihat. Kemudian, selepas tidak puas hati dia menggosok-
gosok kedua-dua matanya pula untuk memastikan sesuatu. Bila dibuka matanya semula,
perkataan Butik Sukan jelas terpampang di hadapan matanya. Betul matanya tak silap. Ini
bukannya sekolah, tapi sebuah butik yang menjual pakaian sukan khas untuk orang
perempuan.
“Err… apa yang kita buat kat sini sebenarnya?” tanya Nurul pelik. Kemudian
memandang Nazrul yang masih tenang di sebelahnya. Dia dapat rasakan ada sesuatu
yang tidak baik akan berlaku terhadap dirinya. Benarlah kata Ridzwan, tiada siapa yang
dapat agak apa yang difikirkan oleh Nazrul dan bersedia sajalah kalau ada apa-apa yang
berlaku nanti.
“Tukar baju,” jawab Nazrul pendek.
“Hah?”
“Tukar bajulah, pekak.”
“Aku tak pekak. Aku dengar kau kata tukar baju, tapi kenapa pula nak tukar
baju?” Sekali lagi darah Nurul seakan mahu menyirap naik. Marahnya tadi pun masih
belum berkurangan lagi dan kini Nazrul paksa dia tukar baju.
“Takkanlah aku nak bawa kau pergi tengok perlawanan bola sepak dengan pakai
baju sekolah kita. Dah tentulah orang lain dapat syak yang kita sebenarnya sedang
mengintip perlawanan tu,” jawab Nazrul tenang.
Nurul mengerut dahi. Patutlah dia pelik melihat Nazrul hanya berbaju-T dan
berseluar jean saja sejak muncul di bus stop tadi.
“Yang kau tak bagi tahu awal-awal kenapa?”
“Dah tahu nak mengintip, gunalah otak sikit.”
“Manalah aku tahu aku kena jadi pengintip hari ni. Kalau aku tahu pun, gerenti
aku tak nak ikut. Aku nak balik!”
Belum sempat Nurul mengorak langkah pergi, Nazrul pantas menangkap tangan
Nurul dan ditariknya masuk ke dalam butik tersebut.
“Aku nak baliklah!” tengking Nurul marah.
Memang dia pantang betul kalau ada orang memaksanya buat sesuatu kerja yang
dia sendiri tidak suka. Apa yang dia paling marah adalah apabila tangannya disentuh
seseorang yang bukan muhrim.
“Lepaslah tangan aku ni…” Nurul meronta, cuba melepaskan tangannya daripada
genggaman Nazrul.
“Kalau aku lepaskan, gerenti kau lari,” jawab Nazrul selamba sambil membelek-
belek baju sukan di dalam kedai itu. “Kau suka warna apa?”
“Lepaskan tangan aku.”
“Kau suka warna apa?” tanya Nazrul lagi.
“Lepaskan tangan aku dulu!”
“Kau suka warna apa?” tanya Nazrul lagi sambil terus menyelak sehelai demi
sehelai baju yang tersangkut.
“Lepaskan tangan aku dulu dan aku akan jawab soalan kau tu.”
“Jawab dulu dan lepas tu baru aku lepaskan tangan kau.” Nazrul masih lagi tidak
mahu mengalah.
“Okey, aku suka warna pink.” Akhirnya Nurul terpaksa mengalah. “Jadi, lepaskan
tangan aku sekarang.”
“Okey.” Tangan Nurul dilepaskan dan serentak dengan itu Nazrul menghulurkan
baju sukan berwarna biru kepada Nurul.
Nurul terpinga-pinga. Rasanya dia baru saja kata dia suka warna pink dan
bukannya warna biru tapi sekarang, Nazrul memberinya baju warna biru, kepadanya.
Adakah Nazrul ini buta warna?
“Err… ini warna biru,” kata Nurul.
“Aku tahu.”
“Tadi aku cakap aku suka warna pink.”
“Tapi, aku suka warna biru,” jawab Nazrul pendek.
Terkebil-kebil mata Nurul mendengar jawapan selamba daripada Nazrul. Tadi
beria-ia tanya dia suka warna apa setelah diberitahu, Nazrul memberinya baju warna biru
dengan alasan dia suka warna biru. Normal atau tidak normal sebenarnya Nazrul ini?
“Kan aku cakap aku suka warna pink.” Sekali lagi pertengkaran berlaku.
“Kan aku cakap, aku suka warna biru,” balas Nazrul yang seperti biasa tidak
mahu mengaku kalah.
“Lantaklah kau suka warna biru ke, warna hijau ke, tapi sekarang ni aku suka
warna pink. Kenapa pula aku perlu pakai warna baju yang kau suka?”
“Sebab aku suka warna biru,” jawab Nazrul dengan jawapan yang sama.
“Ah! Lantaklah! Kau pakailah baju biru ni, aku nak balik!”
Baju-T yang diberi oleh Nazrul tadi diletak di tempatnya semula sebelum dia
melangkah jauh daripada Nazrul. Mungkin sampai setakat ini sajalah dia „dating‟ dengan
Nazrul yang dianggap orang yang paling tidak normal di dunia.
Tiba-tiba… Crekk… Bunyi baju koyak!
Dengan perlahan Nurul berpaling memandang tangannya yang cuba ditarik oleh
Nazrul, tapi malangnya, Nazrul tersilap tarik. Lengan baju kurung sekolahnya ditarik
Nazrul sehingga terkoyak di bahagian bahu. Kalau terkoyak sedikit tu boleh lagi dia
terima, tapi masalahnya lengan bajunya sudah terlerai dari baju sekolahnya.
“Err…” Nazrul tiba-tiba kaget. Matanya terkebil-kebil memandang helaian lengan
baju Nurul yang sudah tercerai dari baju dan berada di dalam genggaman tangannya. Dia
kemudiannya memandang wajah Nurul yang kelihatan merah. Sama ada menahan malu
atau menahan marah, dia sendiri tidak pasti. Rasanya dia tiada masa untuk meneka
jawapan antara dua itu.
“Nazrul!”
Jeritan Nurul kedengaran tidak lama selepas itu sehingga boleh menggegarkan
kedai butik itu.
Sah! Nurul sedang marah!
NURUL yang lengkap berbaju-T biru dan berseluar sukan yang juga berwarna biru,
sekali lagi mendengus marah. Masuk kali ini, sepanjang dia berjalan menuju ke Sekolah
Haji Harun, dia asyik mendengus tidak puas hati. Tangannya memeluk tubuh. Mukanya
masam mencuka, manakala matanya asyik memandang tajam ke arah Nazrul yang dua
langkah maju di depan. Paling sakit hatinya apabila mendengar siulan Nazrul yang
berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku tadi.
Mungkin lepas ni aku patut bagi anjing ratah tulangnya, desis hati Nurul yang
hampir rentung dibuat Nazrul hari ini. Lepas satu-satu yang berlaku. Kalau macam inilah
selalu, pasti dia akan kena heart attack atau hatinya rosak kerana Nazrul.
“Dah sampai,” ujar Nazrul yang berhenti secara tiba-tiba di hadapan sebuah pagar
sekolah.
Nurul di belakang turut berhenti berjalan. Dia sendiri tidak menyedari ke mana
kakinya melangkah. Mana tidaknya, sejak keluar dari butik sukan tadi, hatinya panas
membara bila teringatkan peristiwa yang memalukan tadi. Bila hatinya dah panas,
seluruh tubuhnya panas sehingga tubuhnya tidak dapat menumpukan perhatian dan
mungkin sebab itulah kakinya hanya mengekori langkah Nazrul. Kalaulah Nazrul tu
pembunuh bersiri, mungkin sudah lama dia termasuk perangkap Nazrul tanpa disedari.
Nurul memandang sekeliling. Pelik. Entah kenapa dia rasa dia macam pernah
jejak saja ke sekolah itu. Persekitaran dan reka bentuk bangunan sekolah seperti pernah
dilihatnya sebelum ini. Malah, bukan saja lihat, tapi dia rasa macam pernah bersekolah di
sekolah itu saja.
“Takkanlah…” Terus dia berpatah balik melihat nama sekolah yang terlekat
kemas di atas dinding batu bersebelahan pagar sekolah. SEK. MEN. KEB.
SETIAWASIH.
Setiawasih! Bukan ke ini sekolahnya dahulu sebelum dia berpindah rumah pada
tahun lepas? Dan, Haji Harun tu… pengetua sekolahnya dulu!
Serentak itu, Nurul menepuk dahinya. Ini sekolah lamanya! Kenapa aku boleh tak
perasan ni?
10
NURUL memandang sekeliling kawasan SMK Setiawasih. Kagum. Tidak sangka baru
dua tahun dia meninggalkan sekolah tersebut, banyak perubahan ketara yang dapat
dilihatnya. Antaranya, semua bangunan sekolah sudah dicat warna biru cair berbanding
warna putih dahulu. Itu pun seingat dia, warna bangunan seakan pudar, malah ada yang
ditumbuhi lumut.
Jika dahulu, Taman Botani yang terletak bersebelahan dengan pintu pagar
dipenuhi dengan rumput-rumput panjang. Tapi, kini sudah dihiasi dengan pelbagai jenis
bunga-bunga dan di tengahnya terdapat tiga buah pondok yang lengkap dengan kerusi
meja. Terdapat beberapa orang pelajar sedang berbual sambil mengulang kaji pelajaran di
bawah pondok tersebut.
Sedang asyik dia memerhati keadaan sekeliling yang sudah berubah, baru dia
perasan, Nazrul yang datang bersama dengannya tadi sudah menghilangkan diri tanpa
dikesan. Sedar-sedar saja, dia kini berdiri seorang diri di situ. Malas dia hendak mencari
lelaki itu. Buat sakit hati adalah. Hari ni saja, sudah berapa kali Nazrul membuatnya
bengang tahap gaban. Agaknya kalaulah Gaban masih wujud lagi sampai hari ni, Gaban
pun takut dengannya.
Begitu lama rasanya dia tidak menjejak kaki ke situ. Walaupun tempat tinggalnya
tidak jauh dari sekolah lamanya itu, tapi dia jarang ke situ disebabkan tiada apa-apa yang
menarik. Kawan-kawan? Huh, di sini dia langsung tidak kenal siapa kawannya. Tapi,
yang paling ramai adalah musuh yang dengki dengan kewujudannya.
Nak kata dia cantik? Tak juga. Wajahnya biasa saja. Tidak putih, tidaklah hitam
sangat, ada kedua-dua mata, satu hidung dan satu mulut. Semuanya lengkap. Lagipun di
sekolahnya itu terdapat ramai pelajar perempuan yang cantik-cantik belaka. Malah, ada
lelaki yang sanggup bergaduh dengan lelaki lain untuk dapatkan perempuan yang mereka
idam-idamkan.
Diana. Nama pelajar yang popular di kalangan pelajar lelaki. Orangnya memang
cantik, malah pandai bergaya walaupun dia datang daripada keluarga yang sederhana.
Tidak kaya dan tidak miskin. Cita-cita Diana hanyalah satu, iaitu berkahwin dengan
lelaki kaya. Dan, lelaki yang kaya yang menjadi mangsa buruan Diana adalah Hazwan.
Hazwan. Entah bagaimana keadaan lelaki yang dia pernah puja dahulu. Adakah
dia masih bersama dengan perempuan dua alam seperti Diana itu? Adakah Hazwan
pernah cuba untuk mencarinya memandangkan dia telah berpindah sekolah dengan
tergesa-gesa tanpa sempat memberitahu guru-gurunya.
Dulu selepas sahaja berpindah di rumah barunya, dia asyik berangan bahawa
Hazwan akan datang mencarinya semula, tapi betul kata orang, angan-angan cinta hanya
tinggal angan-angan. Ia tidak akan jadi nyata.
“Hisy, apa aku asyik fikir ni…” Lama dia mengelamun. Sedar-sedar saja dia
sudah berada di kaki lima yang menempatkan beberapa papan kenyataan yang telah
dibahagikan dengan ruangan-ruangan khas. Cuma bezanya, sekolah itu tiada ruangan
khas untuk Carta Prince Charming seperti di sekolahnya.
Jam di tangan dipandangnya. Beberapa minit lagi jam 3.00 petang. Beberapa
minit lagi juga perlawanan persahabatan antara Sekolah Haji Harun dengan Sekolah Haji
Mansur akan bermula.
Baru sahaja dia hendak melangkah pergi ke padang, telefon bimbitnya berbunyi.
Panggilan daripada nombor yang tidak dikenali. Tanpa berfikir panjang, dia terus
menjawab panggilan tersebut.
“Hoi, mak cik!” sapa suara di hujung talian.
Nazrul! jerit hati Nurul. Siapa yang tidak kenal dengan suara dan gaya pertuturan
yang sentiasa menyakitkan hati itu. Meskipun dalam telefon, tapi Nurul masih lagi boleh
mengecam suara Nazrul.
“Mak cik, cepatlah. Perlawanan dah nak mula ni.”
“Aku nak pergilah ni. Lagi satu, aku bukan mak cik kau!”
“Cepatlah! Membebel aje.”
“Aku nak pergilah ni. Tapi, macam mana kau tahu nombor handset aku ni?” tanya
Nurul pelik. Setahunya dia belum lagi memberi nombor telefonnya kepada mana-mana
ahli rasmi bola sepak lagi.
“Yalah… Agaknya pergi cari pakwe,” balas Nazrul.
“Banyaklah kau punya pakwe!” Terus Nurul memcepatkan langkah. Selagi dia
tidak sampai di sana, selagi itulah hatinya panas. Kalaulah dia boleh bertukar jadi
Ultraman, sudah lama dia fire Nazrul tanpa belas kasihan.
“Habis tu kenapa tak sampai lagi?”
“Aku tengah jalan nak pergi sanalah ni!” marah Nurul sehinggakan dia hampir
terlanggar seseorang. Mujur dia sempat mengelak.
“Sorry,” kata pelajar lelaki yang hampir dilanggar Nurul tadi.
Langkah Nurul yang terus mara tanpa meminta maaf tadi terhenti sebaik sahaja
mendengar suara pelajar lelaki itu. Rasanya suara tadi seperti pernah dia dengari sebelum
ini. Dia segera memalingkan kepalanya, melihat gerangan orangnya dan tiba-tiba
tubuhnya jadi kaget.
Hazwan! jerit Nurul dalam hati apabila memandang lelaki yang hampir
berlanggar dengannya tadi.
Hazwan turut memandang Nurul. Lama. Barangkali cuba mengingati gadis yang
berdiri di hadapannya itu. Mungkin ingat dan mungkin tidak ingat.
“Kau ni mengurat pakwe ke?” Suara Nazrul jelas kedengaran daripada telefon
bimbitnya. Terus membuatkan Nurul tersedar daripada lamunannya.
“Yalah! Aku on day way sekarang ni.” Terus Nurul berlalu mengangkat kaki
tanpa mempedulikan Hazwan. Entah lelaki itu kenal dia lagi atau tidak, dia tidak tahu.
Tapi, buat masa sekarang, serang Nazrul lagi penting!
Mujurlah dia mempunya ingatan yang bagus tentang kedudukan padang sekolah
lamanya itu. Tidaklah dia terkial-kial mencari jalan hendak ke sana. Dari jauh, dia sudah
dapat mengesan kedudukan Nazrul. Pantas kakinya mengorak langkah mendekati Nazrul.
“Mana kau dapat nombor telefon aku?” Terus Nurul serang sebaik sahaja dia
merapati Nazrul yang sedang mencatat sesuatu di buku nota. Namun, hatinya sempat pula
berterima kasih kepada Nazrul yang memilih untuk duduk di bawah pokok angsana dan
bebas dari matahari terik. Kalau ada payung, dia tak kisah sangat kalau disuruh duduk di
tengah panas. Payung… Ah! Sakitkan hati saja!
“Bukan ke kau tulis dalam surat tu,” jawab Nazrul selamba.
“Surat? Surat apa?” tanya Nurul lagi.
Seingat Nurul, dia tidak pernah tulis surat… Surat? Dengan pantas Nurul
memandang Nazrul yang masih bersikap selamba. “Maksud kau surat...”
Tanpa memandang Nurul, Nazrul mengangguk.
“Kau baca surat tu?”
“Mak cik, boleh tak diam sikit?” tegur Nazrul sambil menjeling tajam. Kemudian,
dia menyambung menulis sesuatu di buku notanya.
Nurul terus menarik muka masam. Sakit hati betul bercakap dengan Nazrul ni.
Memang lelaki yang langsung tiada perasaan.
Sebentar kemudian Nurul dikejutkan dengan sorakan meriah sekumpulan pelajar
perempuan yang baru sahaja turun dari bas sekolah yang sudah lama diparkir di depan
pintu pagar padang sekolah itu. Beberapa orang lelaki yang lengkap berpakaian sukan
berjersi merah putih turun dari bas tersebut. Saat itulah para penonton yang
kebanyakannya terdiri daripada kaum perempuan menjerit bagaikan disampuk hantu
apabila pasukan Haji Mansur turun padang. Belum pernah lagi dia melihat situasi begitu
apabila perlawanan bola sepak berlangsung.
Kalau orang ramai datang dengan berpakaian sukan pasukan kegilaan masing-
masing, mungkin dia tidak hairan sangat. Tapi, kebanyakan mereka yang datang pada
hari ini terdiri daripada anak-anak gadis yang berpakaian seksi dengan berbedak macam
opera Cina. Memakai gincu merah membara seperti sedang bertanding dengan Pak Cik
McDonald‟s, gincu siapa yang paling cantik dan paling merah.
Hampir terkena culture shock dengan mereka semua itu. Nurul tahu, pelajar lelaki
SMK Semarak memang hot sehinggakan ada yang sanggup mati demi memiliki hati
mereka. Kacak bukan alasan utama mereka hot, tapi disebabkan semua orang tahu semua
pelajar yang belajar di sekolah itu datang daripada keluarga yang ternama dan berada.
Siapa yang tidak cair bila melihat kemewahan mereka.
Ditambah lagi kalau lelaki itu kacak. Huh, ada yang menggelupur bila bertentang
mata. Nasib baiklah dia bukan tergolong dalam jenis perempuan yang mudah cair dengan
kekacakan atau kekayaan seseorang.
Sorakan mereka jelas kedengaran. Mujurlah Nazrul mengambil tempat jauh dari
khemah penonton. Kalau tidak, mungkin selepas pertandingan ini, dia akan jadi pekak
selama-lamanya. Terima kasih kepada Nazrul!
“Apa yang kau tahu pasal bola sepak?” tanya Nazrul tiba-tiba. Dia masih lagi
menulis sesuatu di buku notanya.
“Bola sepaklah. Pengadil bagi bola, lepas tu, dua pasukan akan berebut bola tu…
Emm… macam bodoh pun ada, kan? Hanya sebiji bola dia orang berebut…”
Perlahan-lahan Nazrul memandang Nurul yang acuh tak acuh menjawab
soalannya. Disangkakan Nurul sudah faham dengan sukan, itu tapi nampak gayanya
kerjanya akan bertambah.
“Kenapa? Salah ke?”
Nazrul melepaskan keluhan berat. Ini masalah berat ni. Seorang pengurus Kelab
Bola Sepak langsung tidak tahu apa itu bola sepak. Dia berhenti menulis. Buku nota
kembali ditutup dan diletak ke tepi. Kemudian, memandang Nurul di sebelahnya.
Nurul berasa gugup. Ini kali pertama dia bertentangan mata dengan Nazrul dan ini
juga pertama kali dia dapat melihat wajah Nazrul secara dekat. Baru dia perasan, rupanya
Nazrul memiliki anak mata berwarna coklat.
“Apa tujuan kau apply jadi pengurus?” tanya Nazrul.
“Hah?”
“Kau pekak ke? Apa tujuan kau apply jadi pengurus?”
Nurul terdiam. Sejujurnya dia pun tidak tahu kenapa dia jadi pengurus Kelab Bola
Sepak. Sofea yang mendaftarkan namanya untuk temu duga pengurus Kelab Bola Sepak.
Walaupun dia tidak suka, tapi dia pergi juga dan akhirnya terpilih. Dia boleh letak
jawatan, tapi entah kenapa dia masih lagi meneruskan jawatan pengurus itu. Adakah dia
berharap dapat berjumpa dengan orang yang menyelamatkannya tempoh hari?
“Atau kau ada agenda lain?”
Nurul berpaling memandang Nazrul.
“Memang ada agenda lain? Kalau kau fikir dengan masuk ke kelab kami kau
boleh cari calon suami, lupakan sajalah.”
“Kau ingat aku ni terdesak sangat ke nak kahwin sekarang?” kata Nurul dengan
nada yang tinggi. Menyirap darahnya bila mendengar Nazrul menuduhnya sedemikian
rupa. Tak sangka, orang yang suka buat hal sendiri seperti Nazrul boleh berkata begitu.
Walaupun selama ini Hayrul sering mempertikaikan kewujudannya sebagai pengurus
kelab, tapi dia tidak pernah rasa tersentap dengan kata-kata Hayrul.
“Habis tu kenapa kau apply jadi pengurus?”
Nurul hanya senyap. Wajarkah dia memberitahu hal yang sebenarnya? Apa yang
terjadi pada dirinya tempoh hari dan menyebabkan dia hampir kehilangan nyawa, tapi
mujurlah ada seseorang yang baik hati menyelamatkannya. Dan, orang itu memakai jaket
rasmi Kelab Bola Sepak.
“Tak apa… aku pun tak berminat nak tahu.”
Nurul kembali melemparkan pandangan ke arah padang. Walaupun dia berasa
lega, Nazrul menamatkan perbualan itu, tapi dia masih lagi berasa tidak sedap hati. Dia
cuba buang perasaan itu jauh-jauh buat seketika dengan mengalih pandangan ke arah
padang.
Hazwan tak main? Hati Nurul bertanya apabila matanya langsung tidak melihat
kelibat Hazwan yang sepatutnya beraksi di padang.
Dua pasukan yang akan bertanding telah beratur berhadapan dengan pasukan
lawan. SMK Haji Harun yang berjersi hijau, manakala SMK Haji Mansur berjersi merah
putih. Rasanya ini pertama kali dia menonton perlawanan bola sepak selain menontonnya
di televisyen.
Dari jauh dia melihat pengadil yang memakai baju dan seluar hitam memberi
sedikit penerangan sebelum sekeping duit siling dilambungkan. Setahunya, duit siling itu
adalah penentu di mana gawang gol dan pasukan manakah yang mendapat bola di awal
perlawanan. Ia lebih kurang macam bola jaring juga.
“Berapa pemain dalam bola sepak?” tanya Nazrul bersuara.
“Sebelas orang. Sepuluh orang pemain dan seorang penjaga gol. Tapi, untuk
melayakkan sesebuah pasukan tu ke sesebuah perlawanan, mereka kena ada 15 nama
pemain,” terang Nurul.
Nazrul hanya mengangguk. “Fiq yang ajar?”
“Dia tak ajar, tapi dia bagi buku catatan dia untuk tambahkan pengetahuan
tentang sukan ni,” kata Nurul selamba.
Wisel dibunyikan tidak lama selepas itu, menandakan perlawanan telah pun
bermula. Sebaik sahaja permain mula menggelecek bola, satu sorakan kuat bergema
dengan pekikan suara gadis-gadis sorak di bawah khemah.
Pelik betul dengan mereka semua yang terjerit-jerit itu. Kalau kipas angin susah
mati sekalipun janganlah membazir suara terpekik-pekik macam langsuir kehilangan
langsir rumah. Satu keluhan berat kedengaran daripada Nurul. Bosan. Macam manalah
lelaki boleh minat sangat dengan perlawanan bola sepak. Sekali-sekala dia akan
menjeling Nazrul yang memerhati perlawanan tersebut tanpa berkelip.
Ini pertama kali juga dia melihat Nazrul sedar. Selalunya bila dia bertemu dengan
Nazrul, pasti lelaki itu sedang tidur. Tidur pula macam tak ingat dunia. Siap berdengkur
lagi. Tapi, bila orang ajak pergi makan, terus tersedar. Lagi-lagi kalau Rezza yang
mengajak.
“Kau tulis apa tu?” tanya Nurul hairan. Pelik betul dengan Nazrul ni, takkanlah
mengarang karangan untuk kerja sekolah bahasa Melayu.
“Formasi dia oranglah.”
“Formasi?”
“Teknik atau kedudukan pemain di padang,” jawab Nazrul.
Nurul berkerut dahi. Tidak faham apa yang diberitahu Nurul tadi.
“Okey, kalau nak menang sesuatu perlawanan, kita tak boleh bergantung pada
tenaga saja. Ya, orang nampak memang kita kejar bola, sepak bola ke sana ke mari, tapi
sebenarnya ada teknik yang terselindung di dalam perlawanan tu. Macam pasukan SMK
Haji Mansur, dia orang menggunakan formasi 4-4-2.”
“Nombor apa tu? Nombor ekor ke?”
“Banyaklah kau punya nombor ekor.”
“Teka pun salah ke?”
“Memanglah tak salah, tapi kau tanya soalan yang tak logik. Kau ingat ni judi
ke?”
“Tapi ada jugak orang main judi bola.”
“Memanglah tapi 4-4-2 tu bukannya judi! Tu formasi atau teknik perlawanan
semasa di padang. Tulah, lain kali masa aku terangkan jangan nak menyampuk. Dahlah
Cikgu Majid tu dah serahkan kau pada aku, kalau kau tak tahu apa-apa pasal semua ni,
aku juga yang kena tau!”
Nurul berkerut dahi. Cikgu Majid serahkan dia pada Nazrul? Untuk apa? Untuk
jaganya atau jaga Nazrul yang asyik tidur sepanjang masa? Sesedap hati saja Cikgu
Majid nak serahkannya pada orang lain. Ingat dia tidak reti jaga diri sendiri ke?
“4-4-2 mewakili pemain di padang. Nombor di hadapan adalah jumlah pemain
pertahanan. Nombor tengah adalah jumlah permain tengah atau tengah kiri. Dan nombor
terakhir adalah bilangan penyerang yang digunakan di padang. Selain 4-4-2 ada banyak
lagi teknik lain. Selalunya teknik ni tidak akan kekal hingga akhir perlawan. Ia akan
berubah mengikut strategi lawan dan selalunya pengurus atau jurulatih yang akan
memberi arahan teknik apakah yang akan digunakan semasa di padang nanti. Faham?”
terang Nazrul.
“Err… sikit-sikit.”
“Balik ni buat research pasal bola sepak. Aku rasa kat Internet berlambak pasal
teknik bola sepak. Kau bacalah kalau kau tak faham. Tapi, aku mintak sangat kau baca
sebab kami perlukan pengurus yang arif dengan bola sepak dan bukannya arif dengan
menulis surat cinta.”
Nurul menjeling tajam. Ada juga yang hendak kena hentak dengan failnya pula
nanti. Tak habis-habis nak memerlinya dengan surat cinta.
“Tahulah…”
Nurul kembali memandang pertandingan yang sedang berlangsung di tengah
padang. “Kenapa kita perlu jadi pengintip? Aku tengok perlawanan ni macam perlawanan
biasa saja.”
“Kau tengok memang biasa, tapi lihatlah nanti. Sekolah Haji Mansur akan
menjaringkan gol.”
Tidak lama selepas Nazrul berkata, kedengaran para penyokong SMK Haji
Mansur bersorak kemenangan apabila salah seorang penyerang mereka menjaringkan gol
pertama pada minit ke 15 perlawanan.
“Kau ni ahli nujum ke?” Nurul bertanya seakan tidak percaya.
“Itu dinamakan analisis dalam perlawanan. Kau ingat main bola ni, hanya main
kat tengah padang ke? Kalau dia orang pakai strategi, kita kena balas balik dengan
analisis. Cari kelemahan dia orang, cari ruang kosong dan yang paling penting hapuskan
strategi dia orang tu. Itulah sebabnya kita perlu jadi pengintip hari ni,” terang Nazrul.
“Hah? Macam tu ke? Aku ingatkan main redah aje. Tapi, macam mana kau tahu?”
“Sebab aku daripada keturunan ahli nujum.”
Serentak itu Nurul menarik muka. Bila masa dia mula serius, Nazrul pula buat
lawak haiwan.
“Tugas kau, cuba perhatikan pemain nombor sembilan dan sepuluh tu. Tengok
saja pergerakan dia orang dan guna otak untuk fikir,” ujar Nazrul sebelum menutup buku
notanya dan disimpan ke dalam beg sekolahnya. “Aku nak pergi tandas kejap. Kau
jangan menggatal nak mengurat lelaki lain. Ingat tugas kau.”
“Tahulah! Kau pula jangan nak tidur dalam tandas tu.”
“Kalau aku nak tidur, aku takkan pilih tandaslah untuk landing. Tahulah aku cari
tempat yang strategik sikit nak landing,” balas Nazrul pula.
“Jangan lama-lama! Tu mesti sah nak tidurlah tu,” ujar Nurul separuh menjerit.
Nazrul buat pekak saja. Langkah kaki diatur laju. Sebaik sahaja dia melepasi pintu
pagar sekolah tersebut, dia segera mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluarnya.
Butang telefon bimbit ditekan-tekan mencari nama Rezza. Tanpa membuang masa, dia
terus menelefon Rezza, kawan karibnya itu.
“Rezza, tolong aku…” ujarnya sebaik sahaja panggilan disambut oleh Rezza.
11
WISEL penamat telah dibunyikan oleh pengadil lima belas minit yang lalu. Kedua-dua
pasukan telah pun bersalaman di akhir perlawanan. Ada juga para penonton yang sudah
beredar dari padang. Penyokong-penyokong sekolah Haji Mansur masih kelihatan yang
bersorak gembira atas kemenangan bergaya dua gol berbalas kosong ke atas SMK Haji
Harun.
Nurul memandang jam tangannya. Tepat jam 5.00 petang. Tapi, bayang Nazrul
masih lagi tidak kelihatan. Dia mendengus marah. Memang sah Nazrul sedang tidur di
mana-mana sekarang ini.
“Tak guna punya Nazrul!” Pantas Nurul bangun dari duduknya.
Telefon bimbitnya dikeluarkan dan dia cuba menelefon Nazrul. Tapi, hampa.
“Oh, tutup telefon ya… Tak apa, aku akan cari kau sampai ke lubang cacing! Tak
pasal-pasal lubang cacing kena ceroboh,” kata Nurul yang sempat lagi berlawak.
Nurul mendengus marah. Kali ini dia buntu. Entah ke mana Nazrul pergi.
Rasanya dia sudah meronda satu sekolah, tapi kelibat Nazrul langsung tidak kelihatan.
Kalaulah dia lelaki, memang dia sudah meredah masuk ke dalam tandas lelaki mencari
Nazrul. Nazrul tu bukannya boleh dipercayai sangat. Asal tempat baik, terus landing
tanpa ingat dunia.
“Nurul Izzati, right?” tanya seseorang.
Nurul pantas berpaling. Dia terkejut apabila melihat Hazwan yang entah bila
menghampirinya. Mungkin sebab dia tengah sibuk cuba menghubungi Nazrul sehingga
tidak sedar ada sepasang mata asyik memerhati gelagatnya sejak dari tadi.
“Awak kenal saya lagi?” tanya Hazwan sambil mengukir senyuman kacak.
Nurul mengangguk perlahan. Mana mungkin dia hendak buat-buat tidak kenal
dengan lelaki yang pernah mencuri hatinya dulu. Sampai bila-bila pun dia akan kenal
lelaki itu.
“Dah lama saya cuba cari awak, tapi awak dah berpindah ke tempat lain.”
“Oh, sebab rumah sewa saya dulu nak diubah suai, kami terpaksa berpindah ke
tempat lain. Kebetulan pula, ayah kena bertukar kerja, jadi saya terpaksa berpindah, tapi
tak jauh sangat dari sini,” jawab Nurul ikhlas dalam gugup.
“Oh…” Hazwan mengangguk faham. “Jadi, awak buat apa di sini?”
“Err…” Lidah Nurul kelu. Bukannya dia gagap bila berhadapan dengan lelaki
yang pernah mencuri hatinya dulu, tapi dia tidak tahu hendak bagi jawapan apa. Jadi
pengintip untuk pasukan bola sepak sekolahnya? Rasanya dia pula yang akan
diketawakan nanti.
“Kenapa ni?” sapa seseorang yang menghampiri mereka dari belakang.
Nurul pantas berpaling apabila terdengar satu suara yang amat dikenalinya.
“Fiq.” Nurul seakan terkejut apabila melihat Fiq turut berada di situ. “Macam
mana kau ada kat sini?” tanyanya pelik.
“Nazrul ada emergency call daripada famili dia. Jadi, dia minta aku datang sini,”
jawab Fiq memberitahu hal sebenar. “Sorry, jalan jammed tadi. Bertembung dengan
orang balik kerja.”
“Kenapa dengan Nazrul?” tanya Nurul seakan terkejut dengan berita yang
disampaikan oleh Fiq tadi. Tadi memang teruk dia menyumpah-nyumpah Nazrul
sehingga penat mulutnya bercakap seorang diri. Disangkanya Nazrul sedang nyenyak
tidur di mana-mana, tapi mendengar Fiq cakap tadi, dia berasa bersalah pula. Tapi, silap
Nazrul juga sebab tidak beritahunya terlebih dahulu.
Fiq sekadar mengangkat bahu. Tanda tidak tahu apa-apa.
Entah kenapa hati Nurul tetap rasa tidak selesa. Nazrul balik tanpa beritahunya.
Tapi, bila difikirkan kembali, kenapa Nazrul hendak beritahunya?
“Jom aku hantar kau balik,” ajak Fiq.
“Err… okey.” Nurul serta-merta mengangguk. Dia kemudiannya memandang
Hazwan yang masih berdiri di hadapan mereka. “Sorry, Hazwan, saya terpaksa balik
dulu. Kalau ada masa kita berbual lagi,” ujarnya sedikit gagap. Mana tidaknya, seorang
adalah lelaki yang diminatinya dulu dan seorang lagi adalah lelaki yang diminatinya
sekarang. Apabila kedua-duanya berada di hadapan mata, lidahnya menjadi kelu. Tanpa
membuang masa Nurul berlalu pergi seiringan dengan Fiq.
Hazwan masih lagi memandang Nurul dari jauh sehinggalah kelibat Nurul tidak
kelihatan lagi.
Sepanjang perjalanan ke pintu pagar sekolah Haji Harun itu, Nurul hanya senyap.
Begitu juga dengan Fiq yang asyik bermain mesej. Mungkin dengan perempuan yang
dilihatnya semalam, desis hatinya.
“Nazrul bagi mesej, dia minta maaf sebab tinggalkan kau seorang diri kat sini.
Dia pesan lagi, aku hanya boleh hantar kau balik selepas ajak kau makan.”
“Hah!” Terkejut Nurul apabila Fiq mengajaknya makan berdua.
“Jadi, aku hanya akan pulang selepas aku belanja kau makan,” ujar Fiq lagi.
Gila punya Nazrul. Dia tak ada pun, boleh pulak nak kenakan aku! desis hati
Nurul yang kian membara. Namun sempat lagi dia tersenyum mengangguk setuju dengan
perlawaan Fiq. Makan berdua-duaan dengan Fiq! Yahoo!!! sorak hatinya.
NAZRUL menguap malas sambil membetulkan otot-ototnya untuk menuruni anak
tangga rumah teres dua tingkat itu. Dia memandang jam pada dinding yang sudah
menunjukkan ke angka 12.00 tengah malam. Tapi, dia merasa pelik kerana melihat Rezza
yang sedang menonton televisyen di ruang tamu rumahnya.
“Wei, kau tak balik lagi ke?” tanya Nazrul.
“Malas,” jawab Rezza selamba.
“Kau tak takut mak kau risau ke? Tahulah kau tu anak teruna, tapi janganlah
sampai tak nak balik rumah. Nanti tak pasal-pasal aku kena dakwa sebab kidnap kau.”
“Yang kau ni nak risau kenapa? Bukan ke rumah aku dekat sebelah rumah kau ni.
Kalau mak aku panggil balik dah lama mak aku jerit.”
Serentak dengan itu Nazrul menepuk dahinya. Dia kemudiannya menggeleng
kepala. Bagaimana pulak dia boleh lupa yang rumah Rezza dengan rumahnya
bersebelahan saja. Lagi satu, Rezza memang selalu melepak hingga tengah malam di
rumahnya dan kadang-kadang tidak balik rumah langsung.
“Sorry, aku lupa,” ujar Nazrul tersengih-sengih sebelum berlalu ke dapur
mengambil dua gelas kosong bersama dengan sebotol air sejuk yang baru diambil dari
peti ais. Dia kemudiannya duduk di sebelah Rezza.
“Dah okey?” tanya Rezza.
“Agaknya,” jawab Nazrul selamba sambil menuang air sejuk di dalam cawan
sebelum meneguknya sedikit. Matanya meliar menonton televisyen di hadapannya.
“Apa kata kalau kau beritahu Nurul hal yang sebenar,” cadang Rezza yang dari
tadi asyik memandang Nazrul di sebelahnya.
“Beritahu apa?” tanya Nazrul pelik.
“Nurul dah jadi pengurus kelab dan dia berhak tahu benda ni.”
“Benda apa?” tanya Nazrul lagi. Sekali lagi dia berkerut dahi.
Rezza mengeluh lemah. Entah Nazrul sengaja atau tidak, dia tidak perduli. “Okey,
kalau kau tak nak cakap pasal tu, cakap sajalah pada dia yang kau selamatkan dia dulu.”
Hampir tersembur air yang Nazrul teguk tadi dari mulutnya. Nasib baiklah dia
cepat-cepat menelan. Kemudian dia mengurut dadanya yang terasa sakit. Mana tidaknya,
Rezza tiba-tiba bercakap pasal benda itu lagi.
“Gila! Kalau aku yang selamatkan dia pun memang aku tak nak cakap dengan
mak cik tu. Sekarang ini, yang selamatkan dia, bukannya aku. Kau ni nak aku jadi penipu
ke?”
“Tapi, hakikatnya kau yang selamatkan dia.”
“Hakikat yang sebenar bukan aku yang selamatkan mak cik tulah! Dahlah, malas
aku nak cakap pasal ni.”
“Tapi, kau kena cakap juga dengan dia.”
“Nak cakap apa? Aku malaslah nak panjangkan cerita ni. Biar habis kat situ
dahlah. Lantaklah dia nak cari siapa yang selamatkan dia ke? Siapa Prince Charming dia
ke? Yang penting benda ni tak ada kena-mengena dengan aku. Finish!” tegas Nazrul.
Rezza hanya menggeleng. Itulah Nazrul yang tidak suka mengambil tahu hal
orang lain dan tidak suka orang lain masuk campur dalam hal hidupnya.
“Terpulang pada kaulah. Aku rasa, Nurul selaku pengurus kelab, dia perlu tahu
tentang apa yang berlaku tengah hari tadi.”
“Alah, dia tu mana kisah sangat dengan semua tu. Aku suruh dia perhatikan
pemain nombor sembilan dan sepuluh, agaknya dia perhatikan muka pemain nombor
sembilan dan sepuluh tu. Hancur! Perlawanan esok aku nak kau jaga-jaga dengan kedua-
dua pemain tu. Dia orang tu pandai sangat buat strategi gila. Serang lutut pemain supaya
pemain rasa sakit bila beraksi di padang. Idea yang lapuk dan gila.”
“Sebenarnya, untuk pengetahuan kau, perlawanan antara kita dengan sekolah Haji
Mansur tu telah dibatalkan,” ujar Rezza tiba-tiba.
“Hah! Dibatalkan, kenapa?”
“Mereka tarik diri daripada join perlawanan persahabatan ni sebab SPM dah nak
dekat tapi aku rasa bukan sebab SPM.”
“Habis tu sebab apa?”
“Aku dengar dua anggota pasukan tu ditahan polis petang tadi sebab positif dadah
masa dia orang tengah berpesta kat sebuah restoran eksklusif. Ada yang tengah mabuk
pun ada. Baru tadi Cikgu Majid call aku cakap pasal ni. Pihak pengurusan memang
memandang serius tentang perkara ni. Jadi, demi menjaga nama baik dia orang, dia orang
tarik diri dan sekolah Haji Harun secara automatik menang dalam pertandingan petang
tadi.”
“Gila! Kalau nak berpesta pun tunggulah cukup umur dulu. Sia-sia saja kerja aku
pergi mengintip dia orang siang tadi. Lebih baik aku duduk rumah dan tidur. Ada jugak
faedahnya.”
“Kau ni asyik tidur aje. Cubalah fikir benda lain selain tidur.”
“Habis tu dah nasib aku asyik kena tidur setengah hari nak buat macam mana?”
“Kau tak nak pergi berubat ke?” tanya Rezza.
“Kau ni pun satu, kalau aku bagi tahu penyakit tidur aku ni kat doktor pun doktor
gelak sampai terkeluar anak tekak dia. Kalau pergi bomoh pula, nanti macam-macam
bunga dia suruh aku cari untuk mandi air bunga. Dahlah aku ni buta bunga, yang aku tahu
bunga tahi ayam saja.”
Rezza sedikit ketawa. Walaupun dia rasa sakit hati bila bercakap dengan Nazrul
yang asyik jawab yang bukan-bukan, namun jawapan yang bukan-bukan Nazrul itulah
yang membuatkannya tersenyum.
“Mama aku dah balik?” tanya Nazrul mengubah topik setelah menyedari
rancangan televisyen tidak menarik minatnya.
“Bukan ke mama kau out-station seminggu kat Langkawi.”
“Ya ke? Kenapa aku tak tahu?”
“Bukan kau tak tahu, tapi kau tak ingat.”
“Hah!” Muka Nazrul nampak blur.
Rezza hanya sekadar menggeleng.
DARI tadi Nurul asyik tersengih-sengih mengenangkan peristiwa petang tadi. Dia dan
Fiq makan berdua-duaan di sebuah kedai makan yang tidak jauh dari sekolah Haji Harun.
Walaupun bukan sebuah restoran mewah, tapi dia terasa seperti makan di hotel taraf lima
bintang. Lama mereka berbual. Dari situ, dia mengenali Fiq dengan lebih dekat lagi.
Fiq banyak juga bercerita. Cerita tentang keluarganya, tentang masa silamnya
tentang kucing kesayangannya, tentang bola sepak dan bagaimana dia boleh mencintai
sukan itu sejak berkawan dengan Rezza dan Nazrul.
“MULA-MULA aku tak minat dengan sukan yang mengeluarkan peluh, tapi sejak
berkawan dengan Rezza dan Nazrul yang agresif masa tu, aku suka dengan bola sepak.
Tapi masa tu famili aku memang tentang hebat dengan minat aku, tapi nasib baiklah ada
Kak Liya. Dia yang berbincang dengan famili aku dan mujurlah Kak Liya ni baik dengan
keluarga aku. Jadi, sejak tu aku boleh main bola dengan senang hati,” terang Fiq.
“Kak Liya tu…”
“Oh, dia satu-satunya kawan perempuan yang rapat dengan aku sejak kecil lagi.
Dia juga yang menjaga aku sejak kecil. Sekali pandang, orang nampak kita orang macam
pasangan kekasih, tapi sebenarnya hubungan kami hanyalah setakat hubungan adik
dengan kakak sahaja. Lagipun Kak Liya sudah ada boyfriend.”
Penerangan Fiq membuatkan Nurul menarik nafas lega. Bersorak riang hatinya.
“Kau pula? Kau minat dengan bola sepak?” tanya Fiq hampir menggoncangkan
jantung Nurul dengan soalan maut.
“Err…” Terus kelu lidahnya hendak berkata-kata.
“Banyak yang aku dengar pasal kau. Ramai juga yang tanya kenapa kami pilih
kau sebagai pengurus kelab.”
“Mesti bukan cerita yang baik, bukan?” teka Nurul. Dia menghela nafas lemah.
Tahu sangat apa yang difikir oleh Fiq sekarang itu.
Memang tidak boleh dinafikan, di sekolah, ramai yang dengki dengannya sebab
dapat menjadi pengurus Kelab Bola Sepak yang diidam-idamkan semua peminat-peminat
ahli bola sepak. Mereka semua itu semuanya peminat-peminat ahli rasmi sebab itulah
tidak puas hati kalau ada orang lain yang terpilih sebagai pengurus pasukan, apatah lagi
yang terpilih itu adalah seorang perempuan yang langsung tidak minat dengan bola
sepak.
“Kami sebenarnya tak kisah sangat tujuan kau jadi pengurus, asalkan kau tahu
jaga privasi kami selaku ahli rasmi, itu sudah memadai. Kami tak perlukan peminat
sebagai pengurus sebab kalau seorang peminat jadi pengurus, mesti hancur privasi kami.
Itu yang kami pentingkan.”
“Jangan risau, rahsia kau orang semua di tangan aku, lagipun apa yang best sangat
dedahkan rahsia kau orang.”
Fiq hanya tersenyum.
Nurul turut tersenyum sama.
12
SEMINGGU berlalu dengan sempurna. Tugas Nurul sebagai pengurus Kelab Bola
Sepak berjalan dengan lancar walaupun ada sedikit masalah. Tapi, dia dapat
menyelesaikan dengan segera. Hubungannya dengan Fiq agak rapat memandangkan Fiq
juga merupakan orang terpenting dalam kelab tersebut.
Kadangkala, dia dengan Fiq akan duduk bersama selepas sesi persekolahan dan
berbincang perkara-perkara berkenaan dengan bola sepak. Banyak yang dia dapat belajar
melalui Fiq. Daripada peraturan-peraturan permainan sehinggalah jenis-jenis bola sepak
yang ada di dunia ini.
Kadangkala keakrabannya dengan Fiq dicemburi oleh ramai pelajar perempuan
yang juga peminat kipas angin susah mati Fiq. Orangnya bukan saja kacak, malah
cemerlang dari segi akademik dan sukan. Aset yang paling diminati oleh kebanyakan
peminatnya adalah Fiq berasal daripada keluarga berada.
Mungkin ada sesetengah peminat yang terkejar-kejar jejaka idaman itu
disebabkan statusnya dan mungkin ada juga yang tidak pandang harta benda. Ada juga
yang mengaku jatuh hati dengan Fiq kerana sikap Fiq yang peramah dengan semua orang
tidak kiralah lelaki atau perempuan, mak cik atau pak cik, India atau Cina, semuanya dia
berkawan baik. Kalau tidak, tidak mungkin ada mak cik kantin yang berharap dapat
menjadikan Fiq menantunya.
Namun, Fiq langsung tidak menunjukkan minat untuk menjadikan peminat-
peminatnya sebagai kekasih hatinya. Ada juga dia bertanya soalan itu memandangkan Fiq
langsung tiada kekasih sedangkan orang sepertinya boleh memiliki hati perempuan
dengan hanya memetik jari saja. Tapi, soalannya pasti akan berbalas dengan soalan juga.
Nurul masih ingat lagi perbualannya dengan Fiq satu ketika dahulu.
“KALAU aku minta kau jadi girlfriend aku, apa yang kau akan fikir?”
“Hah?” tanya Nurul kurang faham dengan soalan Fiq tadi.
“Kalau aku minta kau jadi girlfriend aku, apa yang kau fikir?” ulang Fiq lagi.
Nurul terdiam. Entah soalan apa pula yang ditanya oleh Fiq tadi. Pelik semacam.
Apa yang aku fikir kalau dia lamar aku jadi girlfriend dia? Bahagia? tanya Nurul kepada
hatinya sendiri. Ternyata hatinya juga tidak boleh menjawab soalan itu. Soalan Fiq
walaupun nampak mudah, tapi entah kenapa dia amat sukar hendak menjawabnya.
Tapi, kalau Fiq tiba-tiba melamarnya jadi teman wanita lelaki itu, agak pelik juga.
Sebabnya, Fiq melayannya sama seperti Fiq melayan orang lain. Langsung tidak nampak
perbezaan layanan Fiq terhadapnya begitu istimewa. Ia seperti dia sedang bertepuk
sebelah tangan.
“Mesti kau fikir aku sengaja nak permainkan kau. Cinta boleh jadi milik sesiapa
sahaja. Tapi, persoalannya siapa yang paling layak memiliki cinta kita? Memang tak
dinafikan aku ramai peminat, tapi bagi aku untuk cari seseorang yang kita betul-betul
minat bukan masanya lagi.”
“Oh, kau nak tumpukan perhatian pada pelajaran?” balas Nurul.
Dia sudah banyak dipengaruhi dengan drama-drama di televisyen dan cerita-cerita
novel yang dibacanya selama ini. Kalau budak yang masih sekolah sepertinya ingin
menjauhi daripada bercinta, hanya itu sahaja jawapan mereka dan ini adalah kenyataan.
Begitu juga dengan realiti hidupnya, kawan-kawannya yang pernah bersumpah
tidak akan jatuh cinta kepada mana-mana lelaki pada usia yang muda ini dengan alasan
ingin menumpukan perhatian, tapi dalam diam menyimpan hasrat untuk memiliki teman
lelaki yang tidak pernah kunjung tiba. Orang Melayu memang suka berkias-kias.
“Itu alasan lapuk,” jawab Fiq selamba. Dia ketawa menggeleng. Baginya ingin
menumpukan perhatian dalam pelajaran adalah alasan lapuk yang tidak berguna
langsung. Sekarang ini juga, ramai yang bercinta, tapi boleh menumpukan perhatian
dalam pelajaran. Bercinta pada zaman persekolahan memang tidak salah, tapi seseorang
itu mesti pandai menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam sesuatu hubungan.
“Habis tu?”
“Maksud aku… lelaki mempunyai masa depan mereka sendiri. Orang perempuan
takkan faham apa yang lelaki sedang fikirkan. Setiap lelaki mempunyai pendapat mereka
sendiri terhadap cinta. Aku tak nak jalankan sesebuah hubungan dengan fikir perkataan
couple. Lelaki dengan perempuan sekarang ni bercouple hanya untuk seronok . Mereka
tak fikir jauh. Aku tak suka macam tu. Aku nak sesebuah hubungan yang kekal dan sebab
itulah aku tak suka jalinkan hubungan dengan sesiapa buat masa sekarang ni,” terang Fiq
panjang lebar.
Nurul mengangguk faham. Memang benar, pelajar yang masih sekolah pada
zaman sekarang ini terlampau taksub untuk memiliki seseorang kekasih atau couple. Ada
yang sanggup bergaduh dan putus kawan hanya sebab mahu pertahankan cinta monyet
yang belum tentu betulnya. Bercinta masa zaman sekolah memang banyak risikonya,
terutama sekali dalam pelajaran.
Pelajaran akan terganggu kalau kita terlampau mengagungkan cinta atau lebih
memikirkan cinta. Selain itu, mereka mungkin tidak akan mencapai kegembiraan zaman
sekolah sebenarnya. Walaupun tiada teman lelaki atau teman wanita masa sekolah, kita
sebenarnya boleh mencari kegembiraan yang tidak mungkin diputar kembali sebab cinta
bukanlah sesuatu yang penting dalam kehidupan ini. Ada banyak lagi yang perlu
dipentingkan.
Memang ada juga pelajar yang couple sejak dari zaman sekolah berkahwin
apabila sudah melangkah ke alam dewasa, tapi tidak ramai. Tidak ramai yang bernasib
baik sebab nasib manusia dalam dunia ini tidak sama. Ada yang bernasib baik dan ada
yang bernasib malang. Begitu juga dengan cinta.
“Tapi, bila aku bertemu dengan seseorang itu, aku dah mula berfikir masa depan.”
Akhirnya Fiq berkata tersenyum memandang buku nota di hadapannya.
“Siapa?”
Fiq hanya tersenyum.
“NURUL…”
Lamunan Nurul hilang sekelip mata apabila Hayrul menyapanya. Fiq yang duduk
tidak jauh daripadanya direnung sejenak sebelum kembali menalakan wajah ke arah
Hayrul. Nurul geram. Pantang betul dia hendak bersenang-lenang, mesti ada saja yang
datang mengacau. Hayrul ini tidak lain dan tidak bukan mesti hendak bertanya tentang
surat cintanya yang tidak pernah wujud di muka bumi ini.
“Hah, sebelum kau tanya apa-apa, aku nak cakap, aku tak terima surat cinta untuk
kau,” ujar Nurul terlebih dulu yang sudah tahu sangat perangai Hayrul kalau berjumpa
dengannya.
“Macam mana boleh tak ada pulak?” tanya Hayrul hampa. Hampir sebulan dia
mengharap akan dapat surat cinta daripada peminat-peminat misterinya.
“Manalah aku tahu.”
“Sebab aku dengar kau dapat banyak surat cinta untuk Kelab Bola Sepak, takkan
satu pun tak ada untuk aku?”
“Tak ada,” tegas Nurul.
“Kenapa pulak tak ada?” tanya Hayrul tidak puas hati.
“Dah tak ada nak buat macam mana lagi. Mungkin semua orang tahu yang kau
alergi dengan surat cinta sebab itulah tiada seorang pun yang berani nak bagi. Atau kau
memang tiada peminat,” kata Nurul dengan selamba. Memang itu perangainya yang tidak
suka menjaga hati orang. Baginya menjaga hati orang begitu susah dan dia bagaikan
terhukum kalau tidak bercakap sesuatu apa yang benar.
“Tolong sikit. Aku ada peminat, tapi mereka tu yang tak berani nak luahkan
perasaan dia orang pada aku,” ujar Hayrul dengan lagaknya.
“Yalah tu…” Malas Nurul hendak melayan Hayrul.
“Dengar cerita Nazrul dapat surat cinta juga.” Fiq membuka cerita.
Serentak dengan itu Hayrul berpaling memandang Fiq di sebelahnya. Bagaikan
tidak percaya apa yang didengarinya tadi.
“Emm… aku pun tak percaya, tapi memang sampul surat tu tertulis nama
Nazrul.” Nurul mengiakannya. Dia juga terkejut melihat nama Nazrul tertulis pada
sampul surat yang diterimanya semalam. Rasanya ini kali pertama dia mendapat surat
cinta untuk Nazrul. Rupanya Nazrul ada peminat walaupun lelaki itu suka tidur 24 jam.
“Macam mana Nazrul yang kaki tidur tu boleh dapat surat cinta, tapi aku tak
dapat surat cinta?” tanya Hayrul tidak puas hati lagi. Setahunya, selain kaki tidur, Nazrul
tidak berminat menonjolkan diri dengan orang ramai. Di kelab mereka, Nazrul tidaklah
begitu menyerlah di kalangan pelajar perempuan walaupun dia juga merupakan ahli
terpenting dalam Kelab Bola Sepak
“Manalah aku tahu. Kau tanyalah Nazrul tu sendiri. Aku pun pelik jugak. Orang
macam dia pun ada peminat ke?” Nurul bertanya semula. Dia masih lagi tidak dapat
menerima kenyataan apabila terpandang nama Nazrul pada sekeping sampul surat
berwarna pink yang dijumpai di dalam laci meja tulisnya pagi tadi.
“Tak ada apa yang peliknya, Nazrul jenis yang low profile. Walaupun dia selalu
tidur, tapi imejnya bersih. Mungkin sebab itulah dalam diam ada orang yang
meminatinya,” balas Fiq memberi pandangan. Tapi, setahunya Nazrul memang tidak
suka menjadi perhatian orang terutama sekali dengan perempuan.
“Tapi, Nazrul memang tak layak terima surat cinta!” balas Nurul yang entah
kenapa tidak berpuas hati sejak semalam.
“Hah, dia memang tak layak terima surat cinta! Mesti Nazrul tu pergi jumpa
bomoh buat mandi bunga. Baru-baru ni aku dengar bunga-bunga kat taman pertanian
sekolah kita tu habis dikebas orang. Entah-entah Nazrul yang mencuri bunga tu untuk
mandi bunga,” ujar Hayrul lagi.
“Canggih betul idea kau.” Nurul menjeling tajam. Kalau Hayrul dah melalut
macam-macam yang difikirnya. “Sekarang ni tak payah mandi bunga pun. Kau pakai
minyak wangi gerenti ada perempuan yang tersangkut.”
“Hah? Betul ke?” tanya Hayrul seakan tidak percaya. “Kalau macam tu, aku pergi
beli minyak wangi.”
“Selama ni kau tak pakai minyak wangi ke?”
“Pakai.”
“Habis tu?”
“Aku pakai minyak wangi kakak aku. Pagi tadi bila aku nak pakai, dah habis.”
“Patutlah tak ada perempuan yang sangkut dekat kau. Kau tahu tak, kalau kau
pakai minyak wangi perempuan, ramai lelaki yang akan jatuh hati pada kau tau,” sindir
Nurul. Entah dari manalah idea itu datang dia sendiri tidak tahu. Tapi, pelik juga kalau
lelaki pakai minyak wangi perempuan.
“Yalah tu. Pandai saja kau nak buat cerita. Apa salahnya pakai minyak wangi
perempuan. Minyak wangi jugak tu!” balas Hayrul tidak mahu mengaku kalah.
REZZA melangkah masuk ke dalam bilik dan Kelab Bola Sepak mendapati Nazrul
tengah tidur dengan nyenyak berbantalkan lengan. Rezza sekadar menggeleng. Dengan
perlahan dia menghampiri rakannya itu. Sehelai kertas berwarna pink ditarik dari tangan
Nazrul secara perlahan-lahan supaya tidak mengejutkan kawan karibnya itu.
Tersenyum Rezza ketika membaca surat cinta seseorang yang dituju khas kepada
Nazrul. Tidak lama selepas itu Nazrul kelihatan mula sedar dari tidurnya. Matanya
memandang redup wajah Rezza di hadapannya. Kemudian pandangannya dialih pada
surat cinta di tangan Rezza.
“First time dapat surat cinta,” kata Rezza perlahan.
“Tapi, semuanya tidak bermakna langsung,” jawab Nazrul. Dari pandangan
matanya terpancar satu emosi yang berbelah bagi.
“Tak salah kalau jatuh cinta pada seseorang.”
Surat di tangan Rezza di ambil Nazrul. Direnung dalam surat di tanganya itu.
Ayat-ayat indah dibacanya untuk kali entah ke berapa. Dia sendiri tidak pasti. Kemudian
kertas itu direnyokkan sebelum menjadi penghuni tong sampah.
“Surat tu memang layak berada di dalam tu,” ujar Nazrul lagi.
“Kau tak perlu benci surat cinta,” ujar Rezza pula.
“Aku tak benci dengan surat macam tu, tapi aku takut ada seseorang yang
bencikannya. Kalau tak benci pun, dia akan berasa serba salah.”
“Aku rasa kalau keadaan ini berterusan…”
“Benda ni akan berakhir. Aku janji!” Pintas Nazrul kemudian tersenyum pahit.
NURUL memeriksa jadual latihan sebelum mencatatkannya ke dalam diari hariannya.
Sejak kejadian terlupa aktiviti-aktiviti Kelab Bola Sepak dulu, dia mengambil langkah
berhati-hati membuat kerja.
Sebuah diari harian miliknya diwujudkan, itu pun atas nasihat Fiq. Fiq siap
mengajaknya keluar semata-mata mahu membeli diari harian untuknya. Sejak hari itu dia
tidak pernah berenggang dengan diarinya itu. Meninggalkan diari ibaratkan
meninggalkan Fiq dari hatinya.
Sekali-sekala dia menjeling memandang Nazrul yang dari tadi asyik tidur dengan
nyenyak. Tapi, kali ini Nazrul tidak berdengkur seperti selalu. Tahulah dia buat kalau
Nazrul berdengkur dengan kuat. Akan diletaknya pembesar suara supaya satu sekolah
boleh dengar dengkuran Nazrul.
Tiba-tiba telefon bimbitnya yang diberi mod senyap bergegar dari kocek bajunya.
Segera dia mengambil dan direnung skrin telefon bimbitnya. Dari nombor yang tidak
dikenali. Nurul pelik. Dia memandang Nazrul yang masih tidur. Yang pastinya bukan
Nazrul yang telefon. Tanpa menghiraukan siapa yang menelefonnya, Nurul segera
menjawab panggilan tersebut. “Helo,” jawabnya lembut.
“Helo, Nurul,” jawab satu suara di hujung talian.
Hampir tersentak jantung Nurul apabila mendengar suara daripada seorang lelaki
yang tidak asing lagi daripada hidupnya. Dia pasti. Dia pasti sangat-sangat. Suara itu
tidak akan dilupanya sampai bila-bila.
“Saya Hazwan,” kata suara itu lagi memperkenalkan diri. Hazwan takut Nurul
tidak dapat mengecam suaranya.
“Oh, Hazwan, saya ingatkan mamat manalah yang telefon tadi.” Nurul cuba
bersikap tenang. Memang itulah situasinya bila bercakap dengan Hazwan. Berbeza jika
dibandingkan caranya bercakap dengan lelaki lain. Secara automatik terus menjadi sopan
dan bertatabahasa.
“Nurul, maaflah sebab mengganggu.”
“Err… tak ada apa. Awak tak mengganggu saya, tapi macam mana awak dapat
nombor telefon saya?” Serta-merta Nurul teringatkan peristiwa Nazrul yang mendapat
nombor telefon bimbitnya dari surat cintanya yang ingin diberi kepada Fiq, tapi
diperdajalkan Nazrul yang meletaknya di dalam lokar Hayrul. Mungkinkah Hazwan turut
membaca surat cintanya itu dan sebab itulah Hazwan mendapat nombor telefonnya?
“Daripada seseorang yang baik hati,” jawab Hazwan.
Nurul mengeluh lega. Mujurlah sangkaannya meleset. Mana mungkin Hazwan
mendapat nombor telefonnya dari surat cinta yang ingin diberikan kepada Fiq. Tapi,
Hazwan sebut daripada seseorang yang baik hati. Ini bermakna orang yang beri nombor
telefonnya adalah seseorang yang baik hati. Oh, ini bukan baik hati, tapi ini busuk hati.
Sesedap rasa saja nak bagi nombor telefon aku pada orang yang tidak dikenali. Orang
macam tu memang patut dibom! Apa yang aku merepek ni? desis hatinya.
“Siapa?”
“Saya rasa lebih baik kita jangan cerita pasal tu. Saya yang paksa dia beri nombor
telefon awak. Sejak kita berjumpa tempoh hari, saya asyik teringatkan awak.”
Okey, Hazwan ni dah angau ke? Teringatkan aku? Habis Diana tu dia dah campak
mana?
“Tapi, kenapa?” tanya Nurul.
“Boleh tak kalau kita berjumpa?”
“Jumpa?”
“Sekarang. Saya ada di hadapan pintu pagar sekolah awak.”
“Hah!”
“Please…” rayu Hazwan.
Nurul seakan tidak boleh lari dari pelawaan Hazwan. Bagaikan dikawal, terus dia
bersetuju untuk bertemu dengan Hazwan. Entah apa yang Hazwan mahu sehingga
sanggup mendapatkan nombor telefonnya dan menemuinya.
Selepas panggilan ditamatkan, segera Nurul menyiapkan sisa-sisa jadual yang
belum dicatit lagi ke dalam diarinya. Setelah siap, dia mula mengemas barang-barangnya
sebelum berlalu keluar dari bilik tersebut.
Selepas pintu bilik ditutup rapat, Nazrul yang sedang tidur tadi membuka kelopak
matanya dengan perlahan-lahan. Pandangannya redup. Sayu.
“ADA apa awak tiba-tiba cari saya?” tanya Nurul kepada Hazwan setelah mereka berdua
bersetuju untuk berbual di sebuah kedai makan yang berdekatan dengan sekolah.
“Saya memang nak cari awak selama ni, tapi saya hilang sumber. Semua tak tahu
awak pindah ke mana dan tak sangka pula saya jumpa awak di sekolah tempoh hari,”
terang Hazwan dengan tenang. “Saya dapat tahu awak bersekolah di sini sebab lelaki
yang bersama awak tu memang saya kenal.”
“Maksud awak Fiq?”
Hazwan hanya mengangguk.
“Tapi, bukan dia yang bagi nombor telefon awak. Lagipun saya hanya kenal dia
pada nama, sebab dia merupakan anak kepada kawan ayah saya. Tak tahulah kalau dia
kenal saya atau tak.”
“Oh… Tapi, sebab apa awak nak jumpa saya?”
“Saya nak minta maaf atas apa yang berlaku selama ni. Apa yang Diana dah buat
pada awak. Saya minta maaf. Saya tak tahu macam mana surat cinta yang awak bagi tu
boleh jatuh ke tangan Diana. Sumpah saya cakap, mana-mana surat cinta yang saya
terima, saya simpan dengan cermat sebab saya takut jadi macam tu. Tapi entah
bagaimana surat cinta awak boleh berada di tangan Diana,” terang Hazwan.
Serta-merta Nurul terbayang peristiwa hitam yang memalukan dirinya apabila
surat cinta yang diberikannya kepada Hazwan dulu jatuh ke tangan Diana dan
kesempatan ini dibuat oleh Diana dengan menampal surat cintanya itu di setiap papan
kenyataan sehinggakan dia dikenakan hukuman tatatertib kerana dituduh menampal
benda yang tidak berfaedah, padahal bukan dia yang menampalnya.
Dia malu dan pada masa yang sama dia sakit hati dengan Diana. Dia tahu, Diana
menyukai Hazwan, tapi dia tidak pernah mengacau Diana dan Diana juga tiada hak
menghalang perasaannya terhadap Hazwan. Tapi, apa yang Diana buat terhadapnya
membuatkan dirinya memberontak sehingga kini.
Dahulu, dia yang ramai kawan terus menyembunyikan diri daripada berkawan
dengan orang lain. Dia yang dahulunya seorang yang berhati lembut, terus bertukar
menjadi orang yang keras hati. Lagipun orang yang berhati lembut ini memang selalu
dibuli. Sebab itulah terbentuk perwatakannya yang keras kepala. Dengan ini saja orang
lain akan gerun memandangnya dan sekali gus menjauhkan diri daripadanya.
“Saya dah lupakan tentang tu. Lagipun memang patut pun dia marah sebab kacau
hak dia,” balas Nurul, tapi dalam hatinya hendak saja dia kata, Saya rasa kalau saya
jumpa dia, memang saya tampar dia seratus kali tanpa henti!
“Saya bukan hak dia.” Hazwan tersenyum.
Sungguh kacak! Benar! bisik Nurul sendiri.
“Diana memang macam tu. Dia fikir dia boleh memiliki semua apa yang dia
mahu, tapi dia silap. Dalam soal cinta, dia kalah. Actually, kami tak pernah ada apa-apa
hubungan dan dengan kata lain saya bukan boyfriend Diana. Tapi, demi menjaga hati
Diana yang sedikit terperasan, saya terpaksa mendiamkan diri. Diana tahu pasal ni cuma
dia masih tak dapat terima kenyataan.
“Selepas kejadian surat cinta tu, saya dah tak boleh tahan lagi. Kalau dia sanggup
buat begitu itu maknanya dia semakin hampir ingin mengawal hidup saya dan saya tak
mahu dia kawal saya. Cukuplah peluang yang saya berinya selama ini. Kalau saya
biarkan dia buat sesuka hati, mungkin hidup saya akan jadi lebih kucar-kacir,” ujar
Hazwan meluahkan apa yang terbuku di hati selama ini.
“Jadi, sekarang ni dia macam mana?”
“Diana malu sangat sebab saya tengking dia depan orang ramai. Saya tahu saya
tak patut tengking dia depan orang ramai dan memalukan dia, tapi selama ini bila dibawa
berbincang, dia tak pernah nak dengar, malah egonya semakin tinggi dan berlagak seperti
saya ini suaminya. Selepas saya tengking dia depan orang ramai, dia mula slow sikit
sebab ketika itu ramai yang menyokong saya, malah kawan-kawannya juga berpaling
tadah dan sejak itu dia semakin menyepikan diri dan akhirnya berpindah sekolah kerana
cikgu dapat tahu dia adalah dalang melekatkan surat cinta awak. Tak tahulah dia ke
sekolah mana, tapi dengar kata perangainya tetap macam dulu lagi. Kami lost contact
macam tu saja.” Hazwan menceritakan segala-galanya.
Nurul mengangguk faham.
“Dan saya datang ni sebab satu perkara. Dah lama saya ingin tanya awak, tapi
asyik tak ada peluang saja.”
Okey, dia mesti nak kata dia sukakan aku, lepas tu mesti nak minta couple dengan
aku.
“Pasal apa?”
“Sebenarnya…”
Nurul menunggu dengan sabar dengan dada yang berdebar-debar.
“Saya nak tanya, kenapa dalam surat tu awak tulis lirik Cinta Pepohan Cemara?”
tanya Hazwan.
“Hah!” Nurul hilang kata-kata.
13
“KENAPA aku tulis lirik lagu Cinta Pepohon Cemara dalam surat tu? Hisy, tak ada
soalan lain ke dia nak tanya? Kenapa soalan ni pulak dia nak tanya? Malu betul!
Takkanlah dia tak tahu yang perempuan ni memang suka tulis surat cinta yang jiwang-
jiwang dan bila sudah tiada idea akan tulis lirik-lirik lagu cinta yang menjadi lagu tema
cerita cinta,” bebel Nurul seorang diri sambil berjalan pantas untuk pulang ke rumahnya
setelah habis berbual dengan Hazwan.
Namun, perjumpaan mereka kali ini membuatkan dia berpuas hati bukan hanya
kerana gembira sebab namanya sudah bersih di sekolah lamanya, tapi kerana berpeluang
berbual dengan lelaki yang pernah menjadi pujaan hatinya.
“Kak Nurul,” panggil satu suara sebaik sahaja Nurul membelok ke kiri jalan.
Seorang pelajar perempuan menghampiri Nurul. Nurmaya, salah seorang pelajar
perempuan yang selalu mendapat perhatian semua orang di sekolah tidak kira lelaki atau
perempuan, guru atau pekerja kantin.
Orangnya memang cantik, ayu, berkulit putih melepak walaupun dia tidak
menggunakan bedak yang tebal. Memiliki sepasang mata yang cantik. Pendek kata,
orangnya memang cantik.
“Maaf sebab mengganggu Kak Nurul,” ujar Nurmaya dengan suara lembut.
Memang padan dengan orangnya. Bak kata orang, macam gadis Melayu.
“Kenapa?”
“Sebenarnya, saya nak minta pertolongan,” jawab Nurmaya agak tergagap-gagap.
“Pertolongan apa?”
Sehelai sampul surat kecil dikeluarkan dari poket baju dan dihulurkan kepada
Nurul. Nurul segera menyambut sampul surat tersebut tanpa banyak soal, malah tahu apa
yang ingin disampaikan oleh Nurmaya. Nurul agak terkejut apabila melihat nama Nazrul
tercatat di atas sampul surat tersebut. Terus Nurul memandang wajah Nurmaya yang
menundukkan muka.
“Tolong bagi pada Nazrul dan saya mintak akak tolong suruh dia baca surat saya
ini. Saya tahu, dia tak pernah membaca surat yang saya bagi selama ini. Saya minta
tolong sangat-sangat!” rayu Nurmaya tanpa segan-silu di hadapan Nurul.
Kalaulah Nurul wartawan sekolah, memang dia akan hebohkan kepada semua
pelajar bahawa pelajar yang menjadi rebutan putera-putera sekolah itu sanggup merayu-
rayu dengannya supaya menyuruh orang yang tiga suku seperti Nazrul membaca surat
tersebut.
Tapi, kenapa mesti Nazrul? Kenapa tidak Fiq atau Rezza yang paling sempurna di
mata orang lain? Kenapa orang seperti Nurmaya melihat Nazrul sebagai Prince Charming
pula? Kalaulah Nurmaya tahu bagaimana perangai Nazrul yang suka berdengkur bila
tidur…
Cinta itu buta. Tapi, kenapa mesti Nazrul? Nurul masih lagi tidak berpuas hati.
Patutkah dia memberitahu perangai Nazrul yang sebenarnya kepada Nurmaya?
“Mintak tolong sangat-sangat,” ujar Nurmaya lagi merayu-rayu sebelum meminta
diri untuk pulang.
Nurul masih lagi berdiri di situ. Merenung surat yang diberikan oleh Nurmaya
untuk Nazrul. Bermimpikah dia? Orang yang secantik seperti Nurmaya boleh jatuh cinta
dengan Nazrul? Rasanya mesti ada sebab-sebab yang membuatkan hati Nurmaya terpaut
pada Nazrul. Contohnya… Nazrul kuat tidur. Atau, Nurmaya terlihat betapa comelnya
bila Nazrul sedang tidur.
Kemudian Nurul terbayang wajah Nazrul yang sedang tidur. Terbayang bunyi
dengkuran Nazrul yang kuat sehingga mencairkan tahi telinganya. Terbayang wajah
Nazrul yang tidur diiringi dengan air liur basi yang meleleh tidak henti-henti, kemudian
dikesat air liurnya dengan tangan dan kembali menyambung tidur. Tidak lama kemudian
bulu romanya meremang bila terbayangkan Nazrul yang tidur.
“Kenapa ni?” sapa seseorang di belakang Nurul.
“Ah, Farizat.” Nurul menarik nafas panjang sebaik sahaja dia berpaling ke
belakang. Mujurlah dia tiada penyakit lemah jantung. Kalau tidak, tak pasal-pasal Kelab
Bola Sepak kena mencari pengurus lain selepas ini. “Lain kali bagi salam dulu.”
“Kalau bagi salam pun sama jugak. Kenapa kau tercegat ni?” tanya Farizat yang
sejak dari tadi asyik memerhati Nurul yang berdiri tegak seperti patung.
“Farizat, kau percaya tak?”
“Percaya apa?”
“Aku dapat surat cinta untuk Nazrul,” ujar Nurul sambil menunjukkan sampul
surat yang masih di tangannya. Nama Nazrul ditunjuk depan-depan mata Farizat.
“Jadi?” tanya Farizat selamba seolah-olah tidak rasa pelik Nazrul mendapat surat
cinta daripada peminatnya.
“Hei, takkan kau tak terkejut Nazrul yang kaki tidur tu dapat surat cinta?” balas
Nurul berasa kecewa. Ingatkan Farizat akan turut berasa terkejut sepertinya.
“Lelaki tak pernah pelik dengan kerja perempuan yang suka tulis surat cinta,”
jawab Farizat selamba.
“Yalah, tapi ini Nazrul yang dapat!”
“Kalau Nazrul dapat surat cinta, memang aku tak pelik, tapi kalau Hayrul dapat
surat cinta barulah aku pelik. Jadi benda ni perkara biasa saja.”
“Tapi, aku pelik!”
“Kenapa kau pelik?”
“Nazrul yang suka tidur dan buat hal sendiri tu dapat surat cinta, kau tak rasa
pelik ke? Kalau akulah, memang aku takkan bagi surat cinta pada budak tiga suku tu.
Buat sakit hati saja,” jawab Nurul.
“Itu pada kau, tapi pada orang lain tak sebab mereka semua tak tengok
perangainya dengan lebih dekat lagi. Kalau kau memanglah rasa pelik sebab kau selalu
bergaduh dengan Nazrul. Mestilah tak puas hati. Tak pelik sangatlah kalau Nazrul dapat
surat cinta, sebab sebelum ni pun dia pernah dapat surat cinta, tapi tak banyak seperti Fiq
dan Rezza dapat. Tapi, kan, aku nasihatkan kalaulah kau jumpa dengan orang yang bagi
surat cinta pada Nazrul tu, baik kau nasihatkan dia supaya berhenti tulis surat cinta untuk
Nazrul,” kata Farizat.
“Kenapa pula?” tanya Nurul hairan.
“Nazrul tak akan membacanya, tapi akan terus buang ke dalam tong sampah,”
kata Farizat yang sememangnya tahu sangat dengan perangai Nazrul.
“Amboi, lelaki pun jual mahal ke?”
“Ini bukan jual mahal, tapi terpaksa jual mahal. Cubalah kau bayangkan macam
mana nak bercinta kalau Nazrul tu…” Tiba-tiba Farizat berhenti berkata-kata.
“Kenapa dengan Nazrul?” tanya Nurul yang dapat rasakan ada sesuatu yang ingin
dicakapkan oleh Farizat tadi.
“Err… tak ada apa-apa. Okeylah, aku nak balik rumah ni.”
Takut disoal siasat oleh Nurul, terus Farizat mengorak langkah berlalu dari situ
meninggalkan Nurul yang masih terpinga-pinga.
“Kenapa dengan Nazrul?” tanya Nurul pada dirinya sendiri.
14
SUDAH menjadi tugasnya untuk membersihkan bilik Kelab Bola Sepak jika ada waktu
terluang. Petang itu, sementara semua ahli rasmi turun padang untuk berlatih dengan ahli-
ahli bola sepak yang lain. Nurul mengambil masa yang terluang itu untuk mengemas bilik
kelab yang tidak nampak seperti tongkang pecah lagi, tapi sudah bagaikan seperti
tongkang meletup.
Dengan kulit-kulit kacang bertaburan, bekas-bekas air kotak dan air tin yang telah
habis diminum berselerak di atas meja yang selalunya dijadikan meja mesyuarat.
Memang inilah dinamakan lelaki. Pasti tidak boleh dipisahkan dengan sampah sarap. Itu
pun nasib baiklah tiada baju dan seluar-seluar bertaburan di atas lantai. Kalau tidak,
memang dia akan bakar bilik itu dengan tekadnya.
Baru saja dia hendak membuang sampah ke dalam tong sampah, mata Nurul
tertangkap satu sampul surat yang tidak asing buatnya. Terus diambilnya dan dihayatinya
dan akhirnya mendapati itulah sampul surat yang diberi oleh Nurmaya kepadanya untuk
diserahkan kepada Nazrul. Tapi, memandangkan dia tidak sempat hendak berjumpa
dengan Nazrul kerana terlampau sibuk, dia telah meninggalkan surat tersebut di dalam
lokar Nazrul semalam.
“Dia buang tanpa membacanya?” Nurul mendapati sampul surat tersebut masih
belum dibuka kerana gamnya masih tertampal ketat. “Memang nak kena ni.” Dia pula
yang tiba-tiba naik angin dengan perangai Nazrul yang tidak pernah tahu untuk
menghormati orang.
“KENAPA kau langsung tak bacanya dulu?” kata Nurul terus menyerang Nazrul sebaik
sahaja Nazrul melangkah masuk ke dalam bilik kelab bersama-sama dengan ahli-ahli
rasmi yang lain. Hampir semua orang terkejut dengannya yang tiba-tiba meninggikan
suara dengan Nazrul. Masing-masing hanya diam dan langsung tidak berani untuk
bersuara sepatah pun.
“Baca apa?” tanya Nazrul pelik. Lagi pelik apabila Nurul tiba-tiba
menengkingnya sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam. Rezza di sebelahnya
dipandang inginkan sedikit penjelasan, tapi nampaknya Rezza juga tidak tahu-menahu
dengan mengangkat bahunya. Entah apa pula yang merasuk Nurul petang itu.
“Surat nilah! Aku jumpa kat dalam tong sampah. Kalau kau benci sangat dengan
kaum perempuan ke, tak nak bercinta lagi dengan sesiapa ke, atau sudah ada idaman hati
ke, kau patut baca surat ni walaupun benda ni tak bermakna bagi kau,” ujar Nurul sambil
menunjukkan surat yang dijumpainya di dalam tong sampah tadi.
“Bukan urusan aku,” jawab Nazrul selamba sambil berlalu membuka lokarnya
tanpa menghiraukan Nurul yang masih baran.
“Bukan urusan kau? Hei, budak ni nak sangat kau baca surat dia. Dia benar-benar
sukakan kau. Kalau kau benci sangat dia pun, baca sajalah surat dia ni. Mungkin ada
perkara penting yang dia hendak sampaikan,” kata Nurul lagi.
Mereka yang lain hanya mampu melihat drama Nurul dan Nazrul berperang mulut
tanpa ada seorang yang berani masuk campur. Lebih baik jangan masuk campur.
“Beritahu dia jangan hantar surat lagilah kalau dia tak nak suratnya jadi penghuni
tong sampah!” Nazrul pula melenting marah. Selama ini tiada seorang pun yang
memarahi apa yang dilakukannya dan tiba-tiba pula Nurul yang hanya dikenali sebagai
pengurus Kelab Bola Sepak memarahinya hanya sebab surat cinta dan hak peribadinya.
“Tapi, kau memang tak patut buat dia macam ni. Kau tahu tak, dia merayu-rayu
pada aku supaya bagi surat ni pada kau. Dia harap kau baca surat ni!” Nurul masih tidak
mahu berganjak. Dia perempuan. Dia juga pernah tulis surat cinta dan dia juga berharap
sangat kalau orang, yang dia suka itu baca surat cintanya. Hati mana yang tidak terkilan
kalau cinta sejatinya tidak diterima orang apatah lagi surat cinta yang ditulis dibuang
tanpa dibaca.
“Mana kau tahu yang dia bagi surat ni untuk aku?” tanya Nazrul memandang
Nurul dengan tajam.
“Dia dah tulis terang-terang nama kau di sini. Kau buta ke?”
“Kau memang tak tahu apa-apa.” Pintu lokarnya ditutup dengan kuat
menyebabkan semua tersentak. Tanpa berkata apa-apa, Nazrul segera berlalu dari situ.
“Hei, aku belum habis lagi!”
“It’s okay, Nurul,” celah Fiq perlahan sambil cuba menenteramkan keadaan.
PINTU tandas lelaki dihempas kuat oleh Nazrul.
Sebentar kemudian Rezza yang mengekori melangkah masuk ke dalam.
“Aku okey,” kata Nazrul sebelum membasuh mukanya di singki.
“Kau patut beritahu Nurul hal yang sebenarnya. Terangkan pada dia supaya dia
faham,” ujar Rezza cuba menasihati kawan baiknya itu.
“Anggap sajalah dia tak pernah wujud. Sejak bila pula budak tu bagi surat?
Kenapa aku tak tahu langsung?” tanya Nazrul kepada Rezza. Dia pasti Rezza sedang
menyimpan sesuatu daripadanya.
“Dia memang tak nak bagi kau tahu,” balas Rezza berterus-terang.
Satu keluhan berat dilepaskan oleh Nazrul.
“Dia suka perempuan tu?”
Kali ini Rezza sekadar mengangkat bahu.
FIQ menghulur air mineral kepada Nurul setelah memujuk gadis itu ke kantin untuk
tenangkan fikiran. Dia tahu Nurul masih lagi tidak puas hati dengan apa yang terjadi
walaupun dia rasa Nurul tidak patut menengking Nazrul hanya kerana surat cinta.
“Teruk sangat ke aku marah tadi?” tanya Nurul tiba-tiba.
Fiq hanya sekadar menggeleng.
“Aku pun tak sangka boleh jadi macam tu,” kata Nurul sambil menghela nafas
panjang. “Tapi, aku sakit hati sebab Nazrul buang surat tu tanpa baca sepatah pun. Budak
tu berharap sangat Nazrul membaca suratnya. Aku tahu semua tu hak Nazrul, tapi aku
masih tak boleh terima. Surat cinta memang sensitif bagi kaum perempuan.”
“Aku faham,” balas Fiq dan kemudian tersenyum memandang Nurul.
Hampir gugur jantung Nurul melihat senyuman Fiq. Kacak sungguh. Mujurlah
ada Fiq, kalau tidak, entah pada siapa dia hendak mengadu.
“Kau tahu sebab apa Nazrul jadi macam tu? Langsung tak terima kehadiran
seorang perempuan.”
“Sebab itu hak dia,” jawab Fiq pendek.
“Tapi, mesti ada sebab lain. Contohnya, Nazrul fobia dengan perempuan atau
Nazrul sudah ada kekasih hati atau Nazrul tu... gay…” ujar Nurul dan kemudian berfikir
sebentar.
Fiq memandang Nurul dengan pandangan yang pelik.
“Nazrul tu gay?” tanya Nurul lagi dan inginkan kepastian.
Fiq terus hilang kata-kata. Bukannya kerana dia tiada idea hendak berkata, tapi
kerana terpaku melihat wajah Nurul yang entah kenapa begitu comel dilihatnya bila
Nurul membuat muka sedang berfikir sesuatu yang melalut.
“Kalau gay, dia couple dengan siapa?” tanya Nurul lagi. Kemudian, dia
ternampak Nazrul berjalan seiringan dengan Rezza dari jauh. “Nazrul dengan Rezza?”
tanyanya lagi.
“Aku tak nak masuk campur,” ujar Fiq dengan nada perlahan.
“NAZRUL dengan Rezza? Couple?” tanya Sofea seakan tidak percaya dengan apa yang
Nurul cakapkan tadi. “Ni fitnah atau kenyataan ni?”
“Ini adalah kebenaran,” kata Nurul selamba. Langsung tidak rasa bersalah
menyebarkan berita yang tiada kesahihannya lagi. Namun, dia berasa ia benar sama
sekali. Mana tidaknya, dia asyik melihat Nazrul bersama dengan Rezza setiap masa. Ada
kalanya bila Nazrul ingin berkata sesuatu yang rahsia, Nazrul akan tarik Rezza di tempat
yang tiada sesiapa boleh dengar dan begitu juga dengan Rezza.
“Hisy, kau ni tak baiklah. Rezza bukannya macam tu.” Sofea masih lagi tidak
percaya dengan apa yang dikatakan oleh Nurul.
“Aku tahulah kau ni peminat setia Rezza, tapi cuba kau fikir kenapa Rezza tak
pernah couple dengan sesiapa? Kenapa Rezza asyik bersama dengan Nazrul?”
“Sebab Nazrul kawannya sejak kecil lagi. Semua orang tahu mereka berdua
memang rapat. Apalah kau ni.” Sofea masih lagi tidak percaya.
“Lantaklah kau nak percaya atau tidak, tapi aku tengok memang dia orang berdua
tu ada something. Mulai dari hari ini aku akan siasat hubungan mereka berdua. Patutlah
hari tu, Farizat hampir pecah rahsia. Jadi, sasaran pertama aku adalah Farizat!”
Sofea hanya sekadar menggeleng. Inilah Nurul kalau tiada kerja yang hendak
dibuatnya. Ada saja perkara yang tak berfaedah yang hendak dibuatnya dan mangsa
seterusnya adalah Rezza dan Nazrul.
Memang dia tidak percaya langsung mereka berdua itu adalah couple. Siapa yang
hendak percaya kalau orang yang sebarkan fitnah itu sendiri tidak kenal Nazrul dan
Rezza dengan lebih dekat lagi. Nurul baru saja dua tahun berada di sekolah itu dan baru
saja mengenali Rezza dan Nazrul, tapi sudah pandai membuat andaian yang berani.
Memang betul-betul sudah gila kawannya yang seorang itu.
“NO comment!” Hanya itu jawapan yang diberikan oleh Farizat dan rakan-rakan yang
lain mengenai hubungan Rezza dengan Nazrul.
Penat juga Nurul bertanyakan pelbagai soalan berkenaan dengan Rezza dan
Nazrul, tapi tiada seorang pun yang mahu menjawabnya dengan jujur. Mereka seolah-
olah sedang menyembunyikan sesuatu rahsia yang besar daripada pengetahuannya.
Malah, apa yang lagi pelik, mereka semua kelihatan bersekongkol untuk memberi
jawapan yang sama. Entah rahsia besar apa yang mereka simpan sehingga tiada sesiapa
pun yang sanggup membuka mulut. Mungkin ada benarnya apa yang difikirnya selama
ini. Rezza dan Nazrul adalah pasangan kekasih.
“Jangan fikir apa-apa lagi.”
Sebuah buku latihan hinggap di atas kepala Nurul membuatnya tersentak daripada
lamunan.
“Sakitlah!” Nurul mencebik marah kepada Sofea yang duduk di hadapannya.
Sofea hanya sekadar menggeleng. Dia tahu apa yang sedang difikir oleh
kawannya itu, tidak lain tidak bukan mesti pasal hubungan Rezza dan Nazrul.
“Sudahlah tu… Aku dah cakap, mereka berdua tu adalah kawan baik sejak kecil
lagi. Tak mustahillah mereka berdua tu rapat macam belangkas. Tak payahlah kau nak
korek rahsia ni sampai ke lubang cacing. Cacing pun dah naik rimas kalau kau asyik nak
ceroboh lubang dia,” kata Sofea.
“Tapi, kalaulah mereka berdua tu setakat kawan biasa saja kenapa aku tanya
pemain bola sepak semua macam nak melarikan diri saja. Kau tak terfikir ke, mungkin
mereka ada simpan rahsia besar yang hanya Kelab Bola Sepak saja yang tahu pasal benda
ni,” balas Nurul cuba meyakinkan Sofea lagi.
“Semua orang ada rahsia, Nurul. Aku pun ada rahsia yang aku tak pernah bagi
tahu kau dan mungkin kau pun ada rahsia yang takkan beritahu aku. Jadi, tak ada
alasanlah buat seseorang tu simpan rahsia.”
“Tapi, rahsia ni rahsia besar-besaran. Semua orang dalam ta Kelab Bola Sepak
tahu dan hanya aku seorang saja tak tahu. Kau boleh bayangkan tak macam mana aku nak
terima kalau aku sebagai pengurus tak tahu apa masalah dia orang?”
“Kalau mereka tak nak bagi tahu kau, reda sajalah. Bukannya masalah kau kalau
mereka tak beritahu rahsia besar tu. Dahlah. Hentikan niat kau tu nak sebarkan gosip
tentang Nazrul dan Rezza tu. Mereka berdua tu kawan karib sejak kecil. Memang patut
pun mereka berdua tu berkawan rapat.”
“Aku tak kira. Kalau aku nak tahu, aku akan cari juga jawapannya. Tak kiralah
walau apa pun yang berlaku!” tegas Nurul.
“Lantaklah. Yang penting aku tak nak masuk campur.” Sofea kembali menghadap
buku-buku latihan di hadapannya tanpa mempedulikan Nurul yang sengaja mendera
otaknya memikirkan hubungan Nazrul dan Rezza.
“Eh!” Mata Nurul terpandang kelibat seseorang yang baru sahaja melangkah
masuk ke dalam perpustakaan sekolah itu.
“Kenapa?”
“Budak tu… Dia yang suruh bagi surat kat Nazrul,” beritahu Nurul sambil
menunjuk ke arah Nurmaya yang sedang memulangkan buku yang dipinjamnya di
kaunter pemulangan.
“Nurmaya? Emm… peliklah.”
“Memang pelik pun. Kalau dia bagi surat cinta kat Rezza atau Fiq, tak apalah…
Tapi, dia bagi kat Nazrul.”
“Bukan sebab tu…”
“Habis tu sebab apa?”
“Dia kan dah ada boyfriend.”
“Hah!”
“Aku dengar boyfriend dia tu pelajar UiTM. Memang ramai yang sangkut kat
minah ni, tapi semuanya dia tak layan. Tap, pelik juga sebab dia bagi surat kat Nazrul.
Kau pasti ke dia bagi kat Nazrul?”
“Kenapa kau tanya soalan yang sama?”
“Hah?”
“Nazrul juga tanya kat aku masa hari tu. Dia tanya, aku pasti ke yang surat tu
untuk dia,” ujar Nurul sedikit pelik.
“Kau jawab apa?”
“Dah nama atas sampul surat tu nama Nazrul, takkanlah untuk puntianak kat
belakang sekolah tu,” jawab Nurul sedikit marah bila teringatkan kejadian kelmarin.
Itulah kali pertama dia bertekak dengan Nazrul dan itu jugalah kali pertama dia melihat
Nazrul marah.
“Kenapa Nazrul tanya kau macam tu?”
“Manalah aku tahu. Tiba-tiba aku rasa macam dia tu ada krisis dengan namanya
sendiri. Nama sendiri pun tak tahu.”
“Sabar ajelah.”
“Kalau dengan orang lain aku boleh sabar, tapi kalau dengan Nazrul aku tak boleh
nak sabar. Aku rasa macam nak sepak aje si Nazrul tu. Menyusahkan!”
“Kenapa kau anti sangat dengan Nazrul tu. Aku rasa dia tu tak adalah kacau orang
sangat. Kerja dia pun asyik tidur saja memanjang.”
“Kau tak faham. Memanglah dia tak kacau orang, tapi aku tetap rasa geram
dengan dia. Lagi satu, aku benci tengok orang yang asyik tidur 24 jam.”
“Kau sukakan dia ke?” tanya Sofea.
“Gila!
15
“KAU ada dengar gosip terbaru tak?” tanya Rezza kepada Nazrul sebaik sahaja Nazrul
membuka pintu rumahnya membenarkan dia masuk. Nazrul kelihatan seperti baru sahaja
bangun daripada tidur.
“Kau ni masuk saja rumah aku terus nak bercerita pasal gosip. Ceritalah pasal
bola ke, ayam golek ke, ada juga semangat aku nak dengar,” balas Nazrul dan kembali ke
ruang tamu yang telah dibentang tilam di tengah-tengahnya. Nazrul memang suka tidur di
ruang tamu berbanding di dalam bilik kerana biliknya berbahang sehingga tidak boleh
bernafas pada waktu malam. Lagipun di ruang tamu boleh tengok televisyen sampai
lewat malam.
“Ini pasal kita.”
“Kalau kau nak cakap yang kita digosipkan bersama, benarkan aku tidur dulu,”
ujar Nazrul kembali meletak kepalanya di atas bantal.
“Aku ingat kau tak tahu lagi,” kata Rezza yang menyangkakan Nazrul tidak tahu
pasal gosip terbaru antara mereka berdua.
“Aku tahu semua yang terjadi kat sekolah tu, tapi malas nak ambil tahu. Daripada
aku ambil tahu, baik aku tidur. Ada juga faedahnya.”
“Kau dah satu hari tidur hari ni, itu pun nak tidur lagi ke?”
“Habis, dah malam buta. Nak dekat jam 12.00 tengah malam, apa lagi nak buat
selain tidur? Kau saja yang tak kenal malam dengan siang. Ketuk pintu rumah orang
macam ada raksasa menyerang bumi. Macam manalah kita berdua tak digosipkan
bersama?” Nazrul sudah mula membebel. Begitulah perangainya bila ada saja orang yang
orang yang mengacau tidurnya.
“Aku datang malam-malam buta bukan sebab nak tanya pasal gosip tu saja, tapi
aku nak sampaikan pesan ni,” kata Rezza.
Terus Nazrul membulatkan mata memandang Rezza. Kemudian kedengaran satu
keluhan berat daripada Rezza.
“Aku rasa macam dah jadi posmen bila kena sampaikan pesanan. Ini baru satu,
kalaulah aku ditugaskan hantar surat cinta seperti Nurul, tu aku tak tahu nak buat macam
mana.”
“Jangan nak merepek lagi. Cakap sajalahlah apa pesanan tu,” kata Nazrul seakan
tidak bersabar lagi hendak mendengarnya.
“Dia pesan, kalau kau senang…”
“Ah, aku tak senang,” Pantas Nazrul membalas sambil menarik selimutnya,
menutupi tubuhnya sebelum Rezza menghabiskan ayatnya.
“Hei, aku belum habis cakap lagi.”
“Aku tahulah. Dia suruh aku selesaikan pasal surat cinta tu.”
“Mana kau tahu?”
Satu jelingan tajam Nazrul hadiahkan kepada Rezza. Hisy, takkan tak faham-
faham lagi. Kemudian Rezza mengangguk faham.
“Jadi, kau nak tolong tak?”
“Malas! Biar dia yang selesaikan. Siapa suruh dia gatal-gatal berkenalan dengan
budak perempuan tu. Hah, tanggunglah sendiri. Kalau aku pergi pun aku bukannya tahu
masalah mereka.”
Rezza hanya menggeleng.
“Kalau kau tak pergi, aku pergi,” ujar Rezza.
Terus Nazrul bangun dari baringannya. Dia memandang Rezza yang ternyata
serius ingin lakukan apa yang dikatanya. “Sebenarnya, aku dah fikir lama dah sebab
benda ni berpunca daripada aku sendiri.”
“Ah, dia ni tahu sangat guna kelemahan aku. Yalah, aku pergi jumpa budak tu
nanti. Menyusahkan! Selagi aku tak jumpa, selagi tulah aku tak dapat tidur dengan aman.
Lepas ni pesan kat dia, aku nak tidur puas-puas satu hari! Dan, pesan kat dia lagi, jangan
gatal-gatal pikat perempuan lagi. Kan dah mengganggu masa tidur aku.” Nazrul
mendengus geram dan kembali berbaring di bantalnya.
Rezza hanya tersenyum menggeleng. “Budak ni, tidur lebih penting daripada
segala-galanya,” ujarnya perlahan.
“KAK NURUL,” panggil Nurmaya dari jauh dengan senyuman manisnya yang tidak
pernah lekang di bibir.
Memang patut pun gadis kecil molek itu menjadi ramai rebutan lelaki-lelaki maco
dan perasan maco di sekolah itu.
“Hai! Err… sebelum Maya cakap apa-apa, baik akak berterus terang dengan
Maya tentang…”
“Tak apa. Saya dah tahu. Mesti Nazrul tak baca surat saya, kan?” teka Nurmaya
tapi langsung tidak nampak perasaan terkilan dari raut wajahnya. Masih lagi mengukir
senyuman yang tidak lekang di bibirnya.
Nurmaya memang gadis yang tabah dan cekal, bisik hati Nurul yang tidak
menyangka gadis itu begitu matang dalam hal begini. Tidak seperti gadis-gadis lain yang
sebaya denganya yang terlalu mengikut perasaan bila berhadapan dengan hal percintaan.
Jika cinta tidak dapat dimiliki, mulalah menangis tidak tentu pasal. Macamlah tiada lagi
cinta sejati. Itulah pelajar sekolah sekarang.
“Saya dah agak sebab surat-surat yang saya bagi selama ni dia langsung tidak
baca. Mungkin ada sebab dia tak nak baca surat tu, tapi saya tak salahkan dia. Tak baik
kita memaksa seseorang, bukan? Terutamanya dalam soal perasaan.” Nurmaya masih
tersenyum.
Nurul hanya sekadar mengangguk dan mengiakan saja walaupun jauh di dasar
hatinya, dia berasa bersalah kerana memaksa Nazrul membaca surat itu. Memang dia
kesal atas apa yang berlaku. Tak tahulah macam mana dia boleh berkasar dengan Nazrul
dan memaksa Nazrul membaca surat itu walaupun ia hak peribadi Nazrul dan siapalah
dia hendak memaksa Nazrul.
“Saya datang ni sebab nak jemput Kak Nurul ke kafe yang abang saya baru
buka,” ujarnya sambil menghulurkan beberapa keping kupon yang tertulis The Café di
atasnya.
“Oh, ya ke?” Nurul menyambutnya. Untung juga jadi pengurus. Kelab Bola
Sepak . Dapat kupon percuma lagi.
“Kak Nurul bolehlah bawa sesiapa untuk ke majlis pembukaan kafe tu. Walaupun
ala-ala kafe biasa, tapi saya harap Kak Nurul dapat hadir sebab saya akan buat
persembahan juga.”
“Persembahan?”
“Karaoke saja. Abang yang paksa buat persembahan sebab abang kata kalau nak
jemput artis mau beribu-ribu duit keluar. Lebih baik jemput kawan-kawan dan saudara-
mara menyanyi kat depan tu.”
“Oh... Jadi, kalau akak ajak Nazrul pergi sekali, Maya tak kisah, kan?” Sengaja
Nurul mengajukan soalan, tapi pada hakikatnya, boleh ke dia heret Nazrul datang sekali.
Sudahlah hubungannya dengan Nazrul tidak beberapa baik dalam beberapa hari ini.
Pantas gadis itu menggeleng.
“Saya ada jemput dia juga, tapi tak tahulah Nazrul nak pergi ke tak.”
Okey, mungkin aku patut siasat apa yang ada pada Nazrul sampai budak ni pun
boleh jatuh lentok dengan Nazrul, desis hati Nurul.
SUASANA di The Café yang terletak hanya seratus meter dari kawasan sekolah begitu
meriah dengan kehadiran para pengunjung pertama yang datang untuk menyaksikan
perasmian kafe yang diusahakan oleh anak muda itu. Kebanyakan yang hadir adalah
pelajar-pelajar sekolah dan juga kawan-kawan rapat. Ada juga yang kebetulan lalu di
kawasan itu dan turut tumpang sekaki mencuba pelbagai jenis hidangan yang disediakan.
Nurul juga turut tidak ketinggalan untuk menyertai hari perasmian itu walaupun
tanpa Sofea. Pada mulanya memang dia ada mengajak Sofea, tapi apabila perbualannya
dengan Sofea di dengari Hayrul, Farizat dan Najmi, mereka semua bagaikan anak-anak
kecil mahu mengikut. Memandangkan dia banyak dapat kupon, dia sedekahlah pada ahli
kelab yang juga teruja dengan kupon percuma.
“Terima kasih sebab sudi datang,” ujar Nurmaya kepada Nurul yang duduk
berkumpulan dengan Hayrul, Farizat, Rezza, Najmi dan Zaki. Fiq tidak dapat datang
kerana ada program lain yang tidak dapat dielak.
“Aku hanya datang sebab ada kopi free,” ujar Hayrul perlahan.
Nurul yang mendengar sempat lagi menendang kaki Hayrul menyebabkan lelaki
itu mengerang kesakitan.
“Wei, kalau kau nak tendang pun jangan attact lutut aku. Lutut ni berharga buat
pemain bola seperti aku ni tau. Dahlah surat cinta tak dapat-dapat lagi, nanti lutut aku
cedera siapa yang nak bagi surat cinta kat aku lagi?”
“Ada aku peduli ke?” balas Nurul walaupun dia malas hendak bergaduh dengan
Hayrul. Tapi, entah kenapa dia rasa macam tidak puas hati. Rasanya semuanya okey,
kopi yang diminumnya pun sedap. Cheese cake yang tidak pernah dimakannya sebelum
ini juga sedap dimakan. Semuanya okey, tapi rasanya ada satu yang kurang. Mungkin
sebab Fiq tiada di situ.
“Okey! Lepas ni kita akan jemput penyanyi yang aku import dari negara Jepun
sebab dia ni lahir di Jepun, tapi dibesarkan kat Malaysia. Suara dia memang power.
Bayangkanlah hari-hari dia berlatih menyanyi kat dalam bilik air pagi-pagi buta sampai
aku nak tidur pun dah taubat nak tidur pagi lagi. Dipersilakan, penyanyi yang akan
popular suatu hari nanti, Nurmaya!” ujar Idham, pemilik kafe itu yang juga abang kepada
Nurmaya. Orangnya hitam manis,peramah, gila-gila pun ada dan sikapnya disenangi
hampir semua pengunjung yang datang.
Sebaik sahaja nama Nurmaya dipanggil, para pengunjung yang kebanyakan dari
kawan-kawan abangnya bersorak gembira menggamatkan lagi kafe tersebut.
“Wei, kau orang jangan main mata dengan adik aku. Kalau nak main juga kena
belanja abang dia ni makan setahun kat hotel lima bintang.” Sempat lagi Idham melawak
di hadapan. “Dan, lagi, kau orang semua ada bawak payung tak? Aku tak jamin kalau
kejap lagi kau orang balik dengan baju yang basah.”
The Café gamat lagi bila Idham asyik menyakat adik perempuannya itu. Nurmaya
yang sudah bersedia di hadapan pentas duduk di sebuah bangku yang telah disediakan
bersama dengan gitarnya kesayangannya.
“Terima kasih kepada semua yang hadir di majlis perasmian The Café. Saya
Nurmaya akan mendendangkan sebuah lagu yang bermakna bagi saya sebab kerana
inilah saya kenal diri saya. Dan, lagu ini saya tujukan kepada seseorang yang pernah
menolong saya bangkit semula dari hidup ini. Saya berharap sangat dia datang dan
mendengar nyanyian saya yang tak seberapa ini.” Nurmaya memberi beberapa patah kata
sambil memandang sekeliling.
Nurul tahu orang yang dimaksudkan itu adalah Nazrul. Seperti Nurmaya, dia juga
memandang sekeliling melihat kelibat Nazrul, tapi hampa. Bayang Nazrul langsung tidak
kelihatan.
“Terimalah… Katakan Dengan Indah.” Nurmaya mula memetik gitar dengan
lancar. The Café yang gamat tadi menjadi sunyi seketika apabila masing-masing
tertumpu kepada petikan gitar Nurmaya.
Kukatakan dengan indah
Dengan terbuka
Hatiku hampa
Sepertinya luka
Menghampirinya
Kau beri rasa
Yang berbeda
Mungkin ku salah
Mengartikannya
Yang kurasa cinta
Nurmaya memandang ke arah pintu. Kemudian, dia tersenyum. Nurul turut
perasan akan senyuman di bibir Nurmaya dan turut memandang ke arah pintu dan
mendapati Nazrul berdiri bersama-sama dengan beberapa pelanggan lain yang bersandar
di tepi dinding. Matanya tidak berkelip memandang Nurmaya yang masih lagi membuat
persembahan.
Tetapi hatiku
Selalu meninggikanmu
Terlalu meninggikanmu
Selalu meninggikanmu
Kau hancurkan hatiku, hancurkan lagi
Kau hancurkan hatiku, ‘tuk melihatmu
Kau terangi jiwaku, kau redupkan lagi
Kau hancurkan hatiku, ‘tuk melihatmu
Lagu masih lagi diteruskan, tapi dari jauh Nurul asyik memerhati mata Nurmaya
yang sesekali asyik memandang ke arah Nazrul. Bibir Nurmaya masih lagi mengukir
senyuman. Bagaikan satu kuasa, suara Nurmaya dapat membuat para pengunjung
menghayati lagu yang dinyanyikannya walaupun hanya dengan petikan gitar. Mungkin
ada antara mereka tidak percaya gadis yang baru di tingkatan dua itu pandai memetik
gitar dengan baik malah menyanyikan lagu itu dengan baik sekali.
Satu tepukan dan sorakan yang kuat dihadiahkan kepada Nurmaya sebaik sahaja
Nurmaya habis menyanyi. Suaranya memang begitu memukau bagi sesiapa yang
mendengarnya tadi.
Nurmaya beberapa kali membongkokkan badan tanda hormat. Ada antara mereka
yang mahu dia menyanyikan lagu itu semula kerana tidak puas hati. Barangkali tidak
percaya bahawa yang menyanyikan lagu itu dengan baik adalah Nurmaya. Ada juga yang
memberi komen seperti Fauziah Ahmad Daud di Akademi Fantasia.
Namun, sebaik sahaja Nurmaya cuba melarikan diri daripada sorakan kawan-
kawan abangnya yang suka mengusik, pandangan matanya tidak dapat mengesan
kehadiran Nazrul lagi. Pantas dia melangkah keluar dari kafe itu untuk mencari Nazrul.
“Nazrul!” panggil Nurmaya apabila melihat kelibat Nazrul yang menghampiri
sebuah motor Honda yang berada tidak jauh dari The Café.
Nazrul tiba-tiba berhenti melangkah. Dia kemudiannya berpaling memandang
Nurmaya yang semakin menghampirinya.
“Terima kasih kerana sudi datang,” ucap Nurmaya sambil mengukir senyuman
manis.
“Aku datang sebab amanat seseorang,” jawab Nazrul.
“Aku tahu. Aku dah tahu semuanya. Kalau kau jumpa dia boleh tak kau ucapkan
terima kasih kepadanya. Sebab tanpa dia, aku tak mungkin hidup seperti sekarang.”
Nazrul hanya mengangguk. Tapi, macamlah aku boleh jumpanya? Nazrul garu
kepala yang tidak gatal.
“Terima kasih. Pesan pada dia lagi, aku akan hidup dengan gembira seperti
selalu,” ujar Nurmaya lagi cuba menahan sebak.
Nazrul sekadar menganguk.
“Jumpa lagi.” Nurmaya berlalu pergi dengan hati yang gembira.
“Kenapa aku pula yang jadi posmen?” Nazrul sambil menghela nafas panjang.
“Lepas ni bolehlah aku tidur dengan aman dan damai. Aku nak tidur satu hari,” ujar
Nazrul lagi dan berlalu mendapatkan motornya.
Judul : Prince Charming
Penulis : Ratu Bulan
Harga S/M : RM19.90
Harga S/S : RM22.90
Penerbit : Fajar Pakeer (FP)
Sinopsis
Dia hidup bukan kerana cinta. Dia hidup kerana kehadiran Prince Charming yang
menyelamatkannya. Semuanya gara-gara dia mengoyak Carta Prince Charming—carta
misteri yang tiada sesiapa tahu dari mana datangnya. Yang pasti, memang dia langsung
tidak percaya dengan sumpahan yang dikatakan berkaitan dengan Carta Prince Charming.
“Sumpahan puteri? Kau ingat ini cerita dongeng ke? Puteri apa yang nak sumpah aku ni?
Puteri bunian? Puteri lindungan bulan?”
Desakan daripada Sofea membawanya ke Kelab Bola Sepak. Di situlah Prince Charming
berkumpul. Tetapi hanya seorang sahaja Prince Charming yang dicari-carinya. Namun,
untuk mencari Prince Charming bukanlah mudah, namun dia yakin, antara mereka, pasti
salah seorang adalah penyelamatnya.
Orang tu pun satu! Dah selamatkan nyawa orang, tak reti-reti ke nak munculkan diri?
Bukan ke lagi senang kalau datang berdiri depan aku dan cakap, Sayalah yang
selamatkan awak daripada kena langgar semalam. Finish! Tak adalah nak panjangkan
cerita sampai beratus muka surat semata-mata nak cari Prince Charming!
Antara Rezza, Fiq, Nazrul, Hayrul dan Najmi, siapakah Prince Charming yang sebenar?
Atau, bukan dalam kalangan mereka? Ada apa dengan Carta Prince Charming? Siapa
yang membuatnya? Apakah misteri di sebaliknya? Benarkah sumpahan itu benar?
Dapatkan novel PRINCE CHARMING di POPULAR, MPH atau KEDAI-
KEDAI BUKU berhampiran anda. Layari di laman web penerbit di
http://www.fajarnovels.com.my
APA KATA HEROIN?
"Aku tak fahamlah. Nazrul tu ada masalah ingatan ke? Semalam dia elok saja
berborak dengan aku dan hari ini pula dia naik angin semacam. Bila ditanya pasal
semalam, dia tak ingat dan lepas tu naik angin. Lepas tu tendang tong sampah dan
lepas tu aku pula yang kena kutip sampah-sampah tu masuk ke dalam tong sampah!
dan mungkin lepas tu nanti, aku akan jadi gila semata-mata melayan kerenah Nazrul"
APA KATA HERO?
"kau ni pun satu, kalau aku bagi tahu penyakit tidur aku ni kat doktor pun doktor
gelak sampai terkeluar anak tekak dia. Kalau pergi bomoh pula, nanti macam-macam
bunga dia suruh aku cari untuk mandi bunga. Dahla aku ni buta bunga, yang aku
tahu bunga tahi ayam saja"
71GF, Jalan 1/18A,
Taman Mastiara, Off Jalan Ipoh,
Batu 5, 51200 Kuala Lumpur.
No. Telefon: 03-62581194 / 03-62574978
No. Faks:03-62581196
Email : fajarpakeer@yahoo.com
Website : http://www.fajarnovels.com.my
Blog Promosi http://princecharming2u.blogspot.com/
Disediakan Oleh http://www.penulisan2u.my
top related