86822914-keciciran
DESCRIPTION
asalTRANSCRIPT
KECICIRAN, APA PUNCANYA
(Oleh: Umar Bakhy bin Ghazali)
Baru-baru ini isu keciciran hangat semula apabila dikatakan bahawa
bilangan pelajar sekolah menengah yang gagal menamatkan pengajian
sehingga ke tingkatan lima mencecah 242,195 atau 3.8 peratus daripada
keseluruhan 6.3 orang. Jumlah tersebut menimbulkan keraguan kerana
mengikut unjuran Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) jumlah enrolmen
murid pada 2006 hanyalah 5.5 juta (bukannya 6.3 juta) iaitu 3.2 juta di
sekolah rendah & 2.3 juta di sekolah menengah.
Walaupun terdapat perbezaan dari segi statistik, itu bukanlah isunya.
Isunya ialah masih wujud masalah keciciran di Malaysia. Masalah keciciran
sering dikaitkan dengan perbezaan kualiti dan kemudahan pendidikan antara
bandar dan luar bandar. Sementara kemiskinan pula dikatakan sebagai punca
utama berlakunya keciciran di kalangan para pelajar.
Namun begitu, menurut Wahid Hashim (2006) kemiskinan bukanlah
satu-satunya punca yang menyebabkan pelajar tercicir. Mengikut Bahagian
Sekolah, KPM punca lain ialah tidak menguasai kemahiran menulis, membaca
dan mengira sejak di bangku sekolah rendah, faktor pengankutan atau
perhubungan, faktor keluarga dan pengaruh rakan sebaya. Pengurusan yang
lemah di peringkat sekolah juga mungkin menjadi faktor kepada kadar
keciciran yang tinggi. Pentadbir di sekolah kurang ilmu pentadbiran atau
kurang minat dengan tempat mereka mengajar menyebabkan mereka tidak
begitu mempedulikan nasib anak bangsa.
Hal tersebut pernah disentuh oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi sendiri iaitu guru perlu mendalami ilmu kepimpinan
instruksional atau kepimpinan pengajaran. Secara amnya, kepimpinan
instruksional ialah pemimpin sekolah yang mengambil peduli terhadap
pengajaran guru dan pembelajaran pelajar serta perkembangannya dan
sentiasa membina suasana dan iklim pembelajaran kondusif di sekolahnya
bagi memacu kecemerlangan sekolah.
Secara ringkasnya, tanggungjawab pentadbir sekolah perlu memberi
fokus kepada pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan murid (modal
insan) yang cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan sahsiah. Mengikut
Murphy (1990), seseorang pemimpin instruksional perlu mengamalkan
‘Hukum 80/20’ iaitu 80 peratus untuk urusan pengajaran dan 20 peratus
urusan pentadbiran dan bukan sebaliknya.
Adalah menjadi harapan masalah keciciran ini boleh diatasi dalam
Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), sebelum kita melangkah sebagai
sebuah negara maju menjelang 2020.
Kementerian Mahu Kurangkan Kadar Keciciran Pelajar
Sumber: Forum Utusan Malaysia |17 November 2009|
KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat Mohd. Fahzudin Mohd. Sharuji, Kuala Lumpur dalam rangan ini pada 10 September 2009 bertajuk Kaji Dasar Naik Tingkatan 4.
Dasar Pendidikan Kebangsaan bagi pendidikan menengah bermatlamat untuk menyediakan dan memberi peluang pendidikan percuma kepada semua pelajar yang berumur antara 12+ tahun hingga 17+ tahun, dan pada masa yang sama dapat mengurangkan kadar keciciran pelajar. Struktur pendidikan menengah memberi fokus kepada pendidikan umum pada Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 agar setiap pelajar mendapat pendedahan kepada pelbagai bidang ilmu. Dalam Tingkatan 4 dan Tingkatan 5, pelajar dijuruskan kepada jurusan sastera, sains, agama, teknikal dan vokasional.
Pada masa yang sama, Malaysia telah pun memberikan komitmen untuk menyediakan peluang pendidikan untuk semua kanak-kanak, remaja dan orang dewasa dalam World Conference on Education for All di Jomtien, Thailand pada Mac 1990. Sehingga 2007, Malaysia telah mecapai peningkatan dalam Gross Enrollment Rate (GER) bagi pendidikan rendah dan menengah daripada 85 peratus pada tahun 1985 kepada 92 peratus pada tahun 2007.
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 telah memberi tumpuan yang berterusan dalam perkara berhubung penyertaan pendidikan dan ekuiti di samping memastikan sistem pendidikan negara kekal efisien dan efektif dalam pembentukan modal insan.
KPM juga sedang mengkaji dasar berkaitan kualiti pelajar di Tingkatan Empat. Mesyuarat Majlis Penasihat Kebangsaan Pendidikan dan Latihan Bil. 1/2008 bertarikh 30 April 2008 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, menyarankan KPM menambah dan memperkenalkan pendidikan aliran vokasional dan aliran Asas Kemahiran lebih awal bagi mengatasi masalah keciciran murid sekolah rendah dan menengah seluruh negara.
Mesyuarat Memperkasakan Pendidikan Teknik dan Vokasional bertarikh 25 Julai 2008 yang dipengerusikan oleh Menteri Pelajaran telah memutuskan supaya pendidikan kemahiran atau aliran Asas Kemahiran (AAK) diperkenalkan lebih awal iaitu di peringkat Tingkatan 1 bagi memberi alternatif kepada pelajar-pelajar yang tidak cenderung kepada akademik.
Dasar ini akan dapat mengatasi masalah keciciran yang tinggi peratusnya semasa transisi dari Tahun 6 ke Tingkatan 1 dan akan memudahkan pelajar untuk menentukan laluan kerjaya masing-masing. Ia juga bertepatan dengan salah satu daripada bidang dalam Ministerial Key Result Areas (MKRA), iaitu Aliran Vokasional dan Kemahiran yang juga merupakan Teras 2 dalam PIPP.
Kementerian Pelajaran Malaysia
Tags: guru, murid, Pendidikan, sekolah